Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Produser Mahu Saman, Sekat Bayaran Jika Fida Ibrahim Enggan Mohon Maaf
- Kamal Adli, Intan Ladyana Sudah Sedia Kahwin
- Johan As'ari Pinta Adegan Panas Tidak Disensasikan
- Anak 10 tahun pemuas nafsu
- Cacat fizikal bukan penghalang
- Ramona sanggup bersumpah
- Pelakon popular sertai Liga Lawak Superstar
- Komunikasi Qi, nilai budaya Razif
- Gerabak kereta api lama jadi penginapan mewah
- Merpati nilai jutaan ringgit dirampas
- Satu pokok hasil 250 jenis epal
- Jamsbell pertaruh fesyen high street
- Teman peribadi musim luruh
- Hijab dua rona
- Cita rasa pastri Jepun
- Mata sihat, menawan dengan pati beri
Produser Mahu Saman, Sekat Bayaran Jika Fida Ibrahim Enggan Mohon Maaf Posted: 30 Sep 2013 06:55 PM PDT PETALING JAYA: Konflik di antara produser drama Kampungku dan Aidiladha iaitu Hazmimi Johar dengan Fida Ibrahim masih belum reda apabila penerbit itu menuntut pelakon berkenaan memohon maaf jika ingin masalah yang berlaku dapat diselesaikan. Hazmimi yang juga Presiden Persatuan Pertubuhan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (PERKAP) berkata, sekiranya pelakon itu tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah selain akan menyekat baki 50 peratus bayaran lakonannya. "Pihak kami memberikan tempoh kepada Fida untuk membuat permohonan maaf. Tidak kisahlah dengan cara apa sekali pun, bertulis mahupun dalam bentuk lisan. "Jika tiada respons atau dia enggan berbuat demikian, kami akan mengambil tindakan undang-undang dan menahan baki wang gajinya," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. mStar Online pada Khamis lalu melaporkan penerbit drama berkenaan kesal dengan sikap pelakon itu yang telah menimbulkan masalah termasuklah meninggalkan set penggambaran di Baling, Kedah pada 22 September lalu. Pelakon itu berbuat demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan adegan akhir telefilem berkenaan apabila terdapat skrip yang dikatakan cuba menyindirnya selain kegagalan pihak produksi memastikan aspek keselamatan ketika penggambaran di hutan. Kontroversi yang berlaku itu menyebabkan Fida membuat laporan kepada Biro Pengaduan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bagi menjelaskan perkara sebenar. Dalam pada itu Hazmimi berkata, pihak Seniman sudah berjumpa dengannya pada Ahad lalu yang turut disertai oleh pengarah Shuhaimi Lua Abdullah untuk mendapatkan gambaran mengenai kes berkenaan. Katanya, persatuan tersebut mahu pihaknya dan Fida menyelesaikan masalah berkenaan dengan baik tanpa melibatkan saman-menyaman. "Saya telah berjumpa dengan pihak Seniman dan mereka mahu kami menyelesaikan masalah dengan cara baik. Sebab itu kami beri tempoh masa pada Fida untuk memohon maaf kepada kami. "Lebih-lebih lagi banyak fakta yang tidak benar dia nyatakan kepada pihak media dan ia tidak adil buat kami. Saya telah pun menunjukkan bukti-bukti kepada Seniman sebagai rujukan mengenai sikap Fida," tuturnya. Telefilem Kampungku dan Aidiladha diterbitkan oleh Langkah Karya Sdn Bhd untuk siaran sempena Hari Raya Aidiladha di TV3. Selain Fida, drama tersebut turut dilakonkan oleh Zalif Sidek, Razak Ahmad, Syafiq Kyle, Ameera Rusly dan Aidil Aziz. | ||||
Kamal Adli, Intan Ladyana Sudah Sedia Kahwin Posted: 30 Sep 2013 06:54 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan aktres Intan Ladyana kerana merasakan kedudukannya lebih stabil untuk membina keluarga. Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, berkata, setakat ini dia sudah pun memiliki aset seperti rumah sendiri dan kereta namun ingin melunaskan satu lagi hasrat iaitu membuka gelanggang futsal sebelum membuat keputusan menyunting kekasihnya itu. "Saya dah bersedia untuk kahwin dan kami (dengan Intan) ada berbincang mengenai perkahwinan. "Alhamdulillah saya sudah memiliki rumah dan kereta untuk keselesaan Intan nanti. Cuma tinggal satu perkara sahaja lagi iaitu saya mahu membuka tempat bermain futsal sebelum kami mendirikan rumah tangga," katanya kepada mStar Online. Tambah Kamal, dia merancang akan membuka gelanggang futsal tersebut di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) pada akhir tahun ini atau awal tahun 2014 bersama seorang rakan kongsinya. Dalam pada itu, dia juga gembira apabila pihak media semakin kurang bertanyakan mengenai kisah cintanya. "Saya seronok sangat apabila kami dah tak lagi dikaitkan dalam mana-mana berita mahupun gosip. Yalah... lagipun semua orang dah tahu mengenai perhubungan ini. "Orang mesti kata 'dia orang tunggu masa nak kahwin saja'... Itu yang mereka dah tak banyak cakap fasal kami. Tetapi macam mana pun kami tetap tidak boleh lari daripada persoalan, 'bila nak kahwin?'," selorohnya. Sementara itu, mengenai perkembangan kerjaya, Kamal baharu saja selesai penggambaran drama Terukir Di Bintang bersama pelakon Tasha Shilla dan Wan Ilyas bagi tayang slot Samarinda TV3 tidak lama lagi serta drama Bulan Tiada Madu bagi siaran TV9. Selain itu, Kamal turut menyertai sebuah pertandingan program Liga Lawak Superstarterbitan Vision Works Sdn. Bhd untuk siaran TV3 pada Oktober ini. "Saya bersyukur juga sejak tawaran kerja tidak pernah putus dan Alhamdulillah saya masih lagi berada di landasan yang betul dalam ingin menjadi pelakon yang baik." ujarnya. | ||||
Johan As'ari Pinta Adegan Panas Tidak Disensasikan Posted: 30 Sep 2013 06:53 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari tidak mahu adegan panas yang pertama kali dilakonkannya dalam filem seram Paku cuba disensasikan. Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As'ari, 27, berkata ketika melakonkan adegan itu, dia yang bergandingan dengan pelakon baru Aishah Alias telah meminta beberapa krew sahaja dibenarkan berada di set tersebut ketika babak itu dilakonkan. "Saya pertama kali bawa watak yang saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk melakonkan kerana saya belum berkahwin, begitu juga Aishah, jadi kami minta agar krew yang tidak terlibat keluar daripada set tersebut. "Saya tidak mahu perkara ini akan menimbulkan fitnah dan mengelakkan gambar yang tidak sepatutnya diambil dan tersebar," katanya kepada mStar Online. Tambah Johan, walaupun tiada sebarang aksi yang bersentuhan dan hanya menggunakan teknik kamera namun dia mahu lebih berhati-hati dengan perkara berkaitan sensitiviti masyarakat. Sementara itu, bercerita pengalaman melakonkan adegan tersebut, Johan berkata, dia terpaksa berlari mengelilingi kawasan lokasi bagi mendapatkan ekspresi yang sepatutnya. "Saya bertanya kepada pengarah macam mana nak buat aksi ini, dia kata ia seperti selepas bermain bola, jadi saya terpaksa berlari mengelilingi kawasan lokasi terlebih dahulu untuk mendapatkan perasaan itu," katanya. Dalam pada itu, Johan yang pertama kali melakonkan cerita seram ini mengakui teruja dengan jalan cerita yang berbeza daripada filem seram lain. "Ketika menerima tawaran ini, saya baca skripnya sangat kuat dan menarik, watak yang saya bawa pula lebih banyak bermain dengan emosi. "Pada saya watak Fahmi yang tidak dapat menerima kehilangan isteri itu memerlukan saya banyak menangis dan mencabar lakonan saya," katanya. Filem Paku berkisarkan tentang seorang suami yang tidak dapat menerima kematian isteri, lantas menggunakan ilmu hitam untuk menghidupkan kembali isterinya. Filem terbitan Nusantara Seni Karya ini turut dibintangi oleh Azad Jasmin, Diddy Hirdi, Zaidi Omar dan Kamal Adli. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 12 Disember depan. | ||||
Posted: 30 Sep 2013 06:45 PM PDT
Menurut sumber, perbuatan jijik suspek berusia 38 tahun terhadap mangsa terbongkar selepas dipaksa ibunya menceritakan kejadian sebenar apabila dimaklumkan perubahan sikap mangsa yang cuba melarikan diri serta terlalu takut setiap kali berhadapan suspek. Perubahan ketara anak sulung daripada tiga beradik itu mula disedari ibu saudaranya selepas mangsa dirogol dalam kejadian terbaru 12 September lalu, kira-kira jam 9.30 malam di sebuah kebun di Bandar AMBS Dungun sebelum memaklumkan kepada ibunya. "Mangsa yang belajar di sebuah sekolah asrama akan pulang ke rumah neneknya setiap dua minggu bagi menghabiskan cuti hujung minggu, sementara ibunya menetap di Wakaf Tapai, Marang kerana bekerja di sana. "Semasa itulah, suspek ambil kesempatan mengajak mangsa bermalam di kebun tempat dia bekerja tidak jauh dari rumah nenek sebelum melakukan perbuatan terkutuk tanpa kerelaan mangsa," katanya, semalam. Sumber berkata, disebabkan terlalu takut, mangsa hanya membiarkan suspek yang turut memiliki dua isteri itu melakukan perbuatan jijik itu terhadap dirinya buat sekian kalinya. "Sebaik melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek tanpa rasa bersalah menghantar mangsa pulang ke rumah ibu yang juga nenek mangsa pada keesokan harinya," katanya. Bagaimanapun, mangsa yang trauma mula menunjukkan perubahan sikap dengan sering menjauhkan diri, serta dilihat sentiasa berada dalam ketakutan setiap kali berdepan dengan suspek dan disedari ibu saudaranya sebelum memaklumkan kepada ibunya. "Sejurus menerima berita itu, ibu mangsa berusia 30-an segera ke sekolah untuk berjumpa mangsa dan selepas puas dipujuk, barulah mangsa berani membuka mulut menceritakan kejadian sebenar. "Mangsa turut mendakwa menjadi pemuas nafsu bapanya sejak berusia 10 tahun lagi, dan hanya berdiam diri kerana bimbang akan diapa-apakan bapanya yang sering mengugut akan memukul dan bertindak lebih kasar jika dia menceritakan kepada ibunya," katanya. Terkejut dengan pendedahan mangsa, ibu mangsa yang juga isteri pertama suspek membuat laporan polis pada 23 September lalu sebelum suspek ditahan di rumah isteri keduanya di Wakaf Tapai, Marang, kira-kira jam 11.10 pagi, kelmarin. Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Rosila Nik membenarkan suspek direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. | ||||
Cacat fizikal bukan penghalang Posted: 30 Sep 2013 06:40 PM PDT
FELDA BUKIT BADING - "Walaupun sekadar berkenalan melalui facebook, namun saya dapat rasakan suami seorang yang baik hati. Melihat sendiri dia memandu kereta walaupun tiada tangan, suara hati saya kuat mengatakan dia bukan OKU biasa." Demikian secebis kisah cinta antara Hedza Azwin Hasbullah, 25, yang disatukan dengan seorang OKU dari Felda Bukit Bading, Mat Jamil Ramli, 29, pada 6 September lalu, manakala majlis sambut menantu pula diadakan di sini, kelmarin. Hedza Azwin yang berasal dari Melaka berkata, dia mula berkenalan dengan suaminya menerusi facebook sekitar 2010 dan pada awalnya hanya menganggap Mat Jamil sebagai kawan biasa serta rakan sekerja memandangkan mereka bernaung di bawah syarikat sama, tetapi berlainan cawangan. Namun katanya, lama-kelamaan perasaan sayang mula bercambah kerana sikap Mohd Jamil yang begitu mengambil berat dan baik hati. "Suami bekerja sebagai pereka grafik di Subang Jaya, manakala saya di Melaka. Mulanya saya sukar mempercayai dia boleh memandu kereta, namun tanggapan itu berubah ketika kami bertemu apabila dia (suami) datang sendirian sambil memandu kereta. "Ketika itu hati saya kuat mengatakan suami bukan calang-calang orang. Walaupun OKU, saya yakin dia seorang yang berdikari dan kuat semangat. Biarpun suami tidak sempurna, namun saya tidak rasa kekurangan itu, sebaliknya bersyukur kerana bertemu jodoh dengan insan yang sentiasa berfikiran positif," katanya, kelmarin. Sementara itu, Mat Jamil yang merupakan anak ketiga bagi pasangan Ramli Husin, 55 dan Jarah Mohamad, 52, berkata, dia tidak mempunyai kedua-dua belah tangan sejak lahir dan bersyukur kerana dikurniakan isteri yang cukup memahami. "Walaupun tidak mempunyai tangan, saya sentiasa berfikiran positif. Sejak kecil saya dididik berdikari, malah saya turut mengambil SPM bersama pelajar normal pada 2003 di SMK Ajil," katanya. | ||||
Posted: 30 Sep 2013 06:32 PM PDT
POPULARITI segera yang dikecapi Ramona Zamzam usai tayangan terakhir drama bersiri Cinta Jannah yang telah mencapai rating penonton 4.2 dua minggu lalu tidak bermakna pelakon muda itu harus menghela nafas lega. Terbaharu, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira, 23, dilayangkan gosip liar menyatakan dia sering keluar masuk rumah seorang usahawan bergelar Datuk di pinggir ibu kota. Lebih menjelikkan Ramona dituduh menjadi perempuan simpanan usahawan tersebut serta sering berkunjung ke banglo mewah itu bukan atas dasar perniagaan semata-mata. Ikuti luahan hati pelakon cantik kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Kosmo!: Sebelum ini pernah keluar cerita yang kurang enak mengenai Ramona yang dikatakan bercuti ke Pulau Pinang bersama seorang lelaki bergelar Datuk menaiki pesawat peribadi, kali ini keluar lagi cerita mengaitkan anda dengan lelaki kaya yang lain pula. Apakah komen Ramona? RAMONA: Ya, memang benar sebelum ini saya pernah dikaitkan dengan spekulasi tersebut tapi saya menegaskan bahawa saya bercuti bersama isteri seorang usahawan berpangkat Datuk dan ditemani adik serta ibu saya. Gosip kali ini sangat mengganggu emosi saya, seharian saya menangis apabila diberitahu mengenai cerita yang mengaibkan ini. Sesungguhnya, saya bersumpah cerita yang dikeluarkan itu tidak benar sama sekali! Atas dasar apakah sampai Ramona sanggup bersumpah menafikan cerita itu? Demi Allah saya tidak pernah mengunjungi mana-mana rumah Datuk dan saya mengaku saya seorang kaki lepak kalau saya tiada penggambaran. Ramai yang mengetahui perangai saya dan saya pun tak pandai propa (kelentong). Saya tidak kacau orang, kalau orang tidak suka saya itu bukan masalah saya tapi jangan sampai mengaibkan saya sebegini. Saya tidak tahu daripada mana cerita ini boleh timbul dan sepanjang karier saya ini tuduhan paling melampau pernah saya terima. Saya tahu saya tidak popular tapi kenapa perlu nak jatuhkan saya? Saya tidak mengharapkan perhatian orang, kalau orang tidak perasan kehadiran saya dalam industri ini lebih bagus. Saya pun lagi selesa. Tak perlu untuk saya gila populariti. Ramona juga dikatakan akan menjalankan bisnes dengan Datuk terbabit. Komen anda? Memang betul saya merancang untuk memulakan perniagaan bersama kawan baik saya, Naomi Yap memandangkan saya juga lulusan Pengurusan Perniagaan. Tapi tiada seorang pun Datuk yang akan terbabit dengan urusan perniagaan saya melainkan kawan saya itu.
Mungkin ada tindakan Ramona berkunjung ke rumah individu lain berpangkat Datuk sehingga mengundang fitnah? Saya akui saya selalu berkunjung ke rumah Naomi untuk mengambil atau menghantarnya pulang tapi baik keluarga saya atau keluarga dia masing-masing tiada berpangkat Datuk. Selain Naomi, saya mempunyai seorang bapa saudara bergelar Datuk yang kediamannya terletak di Batu Caves, Selangor. Mungkin dia individu yang dimaksudkan cuma setiap kali saya berkunjung ke rumahnya saya akan datang bersama-sama keluarga saya. Kali terakhir ke rumahnya pun beberapa minggu lalu sempena rumah terbuka Aidilfitri. Jadi, siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini? Saya tidak salahkan wartawan yang menulis kerana sudah pasti penulis juga mendapat informasi daripada individu di luar sana yang cemburu dan mahu melihat saya jatuh. Saya mahukan penjelasan dan bukti bahawa saya melakukan perbuatan itu bersama Datuk yang dimaksudkan. Apakah tindakan Ramona selepas ini untuk membersihkan reputasi diri anda? Saya seorang wanita yang akan berjuang untuk mempertahankan hak saya dan perbetulkan tohmahan negatif yang dilemparkan. Saya akan mencari siapa individu yang menyebarkan berita fitnah itu dan saya cabar untuk kemukakan bukti di depan mata saya. Jangan sampai saya bawa kes ini menjadi kes saman-menyaman. Saya tahu saya benar dan tiada seorang pun Datuk dalam hidup saya. Jangan cabar saya kerana saya boleh berdendam dengan orang. Adakah Ramona akan lebih berhati-hati selepas ini? Saya sangat takut sekarang kerana mungkin akan timbul spekulasi lanjutan apabila orang mendapat tahu saya akan bercuti di Eropah selama sebulan. Ingin saya tegaskan bahawa percutian ini bersama keluarga saya yang ramai menetap di sekitar Eropah dan atas titik peluh saya sendiri, tidak ditaja oleh mana-mana pihak. Saya akan melawat Switzerland, United Kingdom, Perancis dan Itali sepanjang tempoh itu. | ||||
Pelakon popular sertai Liga Lawak Superstar Posted: 30 Sep 2013 06:31 PM PDT
SETELAH menerbitkan beberapa program realiti TV kegemaran ramai seperti Mentor, Vokal Bukan Sekadar Rupa dan Bintang Mencari Bintang, kini TV3 bakal tampil dengan sebuah lagi program terbaharu iaitu Liga Lawak Superstar. Menariknya, program cetusan idea pengarah, pelakon dan pelawak Afdlin Shauki itu memperlihatkan kewibawaan pelakon popular tanah air dalam mempamerkan kreativiti masing-masing dalam sketsa komedi. Afdlin berkata, program berkenaan dihasilkan kerana mahu memberi peluang kepada para pelakon untuk tampil dalam sebuah program hiburan yang berbentuk komedi. "Program ini membabitkan pelakon-pelakon yang membintangi drama-drama terbaharu terbitan TV3. Seramai 24 orang peserta telah dipilih membabitkan 16 pelakon yang membintangi drama terbaharu TV3 serta lapan pelawak. "Kesemua peserta akan dibahagikan kepada lapan pasukan. Ia bermakna, setiap pasukan diwakili tiga peserta. Kemudian mereka dipecahkan pula kepada dua iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B," ujarnya. Pelakon popular yang bersaing dalam Liga Lawak Superstar termasuklah Riezman Khuzaimi, Zalif Sidek, Qazeem Nor, Fizz Fairuz, Idzham Ismail, Sheera Iskandar, Nad Zainal, Anas Ridzuan, Hairi (Anak Wayang), Aman Nassim, Mikael Andre, Kamal Adli, Akim Ahmad, Iqram Dinzly, Syafiq Kyle dan Aidil Aziz. Selain pengarah dan pelakon Aziz M. Osman, program itu turut dimeriahkan dengan barisan pelawak iaitu Azlee Senario, Aziz M. Osman, Ilya, Hamdan, Sathiya, Bell Ngasri, Ropie dan Farouk Hussein. Mengenai cabaran yang harus dilalui oleh peserta, Afdlin menjelaskan, setiap pasukan akan bersaing dalam lima buah permainan, termasuk yang membabitkan fizikal. Ujarnya, mereka yang menonton program tersebut berpeluang untuk melihat bakat-bakat terpendam yang dimiliki oleh peserta seperti menyanyi dan aksi komedi. "Buat masa ini setiap cabaran yang perlu dilakukan peserta tidak boleh diumumkan lagi kerana mereka akan mengetahuinya semasa saingan berlangsung nanti," ujarnya. Menurutnya, kesemua pasukan akan memulakan saingan sebenar bermula pada episod kedua hingga kelima. Kemudian juara dan naib juara setiap kumpulan layak bersaing untuk peringkat separuh akhir. Boot camp Sebelum berhadapan dengan persaingan yang sebenar, kesemua pasukan dikehendaki untuk menempuh cabaran awal dalam sesi boot camp. Jelas Afdlin, tujuan utama sesi berkenaan dibuat adalah untuk memberi peluang kepada setiap pasukan mengumpul markah tertinggi dalam setiap permainan yang harus ditempuhi. "Kepada mana-mana pasukan yang berjaya mengumpul markah paling tinggi, mereka akan diberi keutamaan untuk memilih mana-mana pelawak yang akan menyertai pasukan. "Kami merasakan cara sebegini dilihat lebih adil kerana bukan kami yang menentukannya. Langkah ini akan menunjukkan kesungguhan masing-masing untuk bersaing, sekali gus memilih pelawak yang digemari dan mampu membantu pasukan," ujarnya. Episod pertama Liga Lawak Superstar akan mula bersiaran pada 6 Oktober ini pukul 9 malam. Untuk episod pertama akan ditayangkan sesi para peserta bersaing di boot camp, manakala episod seterusnya merupakan cabaran sebenar yang berlangsung dalam studio. | ||||
Komunikasi Qi, nilai budaya Razif Posted: 30 Sep 2013 06:30 PM PDT
SEBELUM ini program, Destinasi Bajet menampilkan Qi Razali sebagai pengacara tunggal. Namun sebaliknya untuk musim ketiga, apabila program siaran ntv7 itu menampilkan dua lagi pengacara baharu iaitu Razif Hashim dan Diana Rusdi. Kehadiran dua pengacara baharu dalam program yang disiarkan setiap hari Khamis, pada pukul 8.30 malam itu dilihat mampu menyuntik kelainan dan pendedahan lebih luas mengenai tarikan yang terdapat di setiap negara yang dilawati. Lebih menarik, musim ketiga Destinasi Bajet akan menerokai lokasi lebih jauh di luar Malaysia termasuk Saigon, Bangkok, Yogyakarta, Bandung, Hanoi, Banda Aceh dan Bali. Pada musim ini, tiga hos tersebut masing-masing dibekalkan dengan bajet sebanyak RM300 untuk destinasi dalam negara. Sebaliknya untuk destinasi di Asia Tenggara, mereka dibekalkan bajet sebanyak RM700. Penonton yang terlepas episod mingguan di kaca tv boleh melayari laman web www.tonton.com.my Bertemu dengan Qi dan Razif ketika sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini mereka bercerita mengenai pengalaman yang diraih sepanjang penggambaran program tersebut. Razif tonjol budaya Sambil merendah diri, Razif yang memulakan bicaranya pada hari itu mengakui, Qi masih kekal sebagai pengembara bajet unggul untuk program tersebut. Bagaimanapun, sebagai pengacara baharu program tersebut, Razif cuba menonjol untuk mencari kelainan dalam penggambaraannya sendiri. "Sebelum ini Qi seorang sahaja hos untuk program ini. Tetapi, pihak penerbit mahukan kelainan untuk jadikan program ini seperti Globe Trekker dan Lonely Planet yang menampilkan banyak hos untuk setiap episod. "Idea ini menarik kerana cara penggembaraan Qi lebih bersifat artistik. Dia akan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai nilai-nilai seni. "Sebaliknya saya akan ke sesuatu tempat untuk lebih memahami budaya sesuatu kaum.
"Bagaimanapun, saya tidak berniat menyainginya untuk menonjol sebagai hos tetapi lebih kepada menonjolkan sesuatu tempat dan budaya yang dilawati," jelasnya yang tampil santai dengan baju tajaan Camel Active. Berkongsi pengalamannya, tutur pemilik penuh nama Mohamad Razif Hashim Natt, 30, itu, antara tempat-tempat yang sudah dijelajahinya menerusi program tersebut ialah Pulau Pinang, Endau Rompin, Bandung, Hanoi dan Vietnam. Paling menarik perhatiannya adalah negara Vietnam yang mana adat dan budaya orangnya sangat berlainan dengan masyarakat di Malaysia. "Kalau di Malaysia, kita akan mengadakan perbincangan di meja bulat. Tetapi, di Vietnam mereka lebih suka berbincang di meja panjang dalam keadaan berderet. "Orang Vietnam juga memiliki rumah yang kecil tetapi keadaannya adalah meninggi dan mendalam. Tidak seperti di Malaysia, kita lebih suka duduk dalam rumah yang luas dan besar," ungkapnya. Mengulas lanjut, kata Razif, dia juga tertarik dengan masyarakat orang Asli di Endau-Rompin, Johor yang begitu kuat dengan adat dan budayanya. Ceritanya, setiap kali menerima kunjungan tetamu, Orang Asli di Endau Rompin akan menjamu rokok resdung dan sirih buat tetamu mereka. "Rasa sirih yang dijamu mereka adalah berlainan dengan rasa sirih orang Melayu. Orang Asli juga mempunyai pengetahuan meluas tentang nama-nama pokok di dalam hutan," ujarnya yang selepas ini akan ke Surabaya dan India pula.
Qi komen tentang Yuna Bercerita mengenai pengalaman penggembaraannya pula, kata Qi Razali, 36, atau lebih mesra disapa Qi, dia juga mempunyai pengalaman menarik ketika menonjolkan makanan yang terdapat di Vietnam. Di sana, ujar Qi, orang Vietnam menganggap serangga-serangga seperti cengkerik adalah kacang putih. "Mereka akan goreng semua serangga-serangga tersebut dan letak serbuk perisa. "Kemudiannya mereka akan makan seperti kacang putih. Saya pernah cuba makan satu tetapi bila cuba gigit saya terus muntahkan balik. "Perasaan saya macam makan buah melaka. Itu sebabnya saya tak jadi makan dan terus termuntah," luahnya yang turut ke beberapa destinasi lain seperti Taiping, Bali, Ho Chi Minh, Saigon dan Banda Aceh. Mengulas mengenai kehadiran dua lagi pengacara baharu program berkenaan, kata Qi, sebelum ini destinasi yang dituju lebih mengikut kepalanya sahaja. Kini, Destinasi Bajet ada tiga persepsi berbeza dan masing-masing mempunyai cara tersendiri mengendalikan destinasi yang dituju. Dia yang bakal ke Phuket dan Krabi selepas ini juga mengakui, kehadiran dua lagi pengacara dapat memberi lebih pendedahan kepada penonton Destinasi Bajet yang bakal dilawati. Usai mengenai program dikongsikan, kekasih kepada pelakon cantik Nelydia Senrose itu turut berkongsi pengalamannya selama dua bulan ke Argentina pada bulan Julai hingga September lalu. Kunjungannya ke negara Latin itu adalah untuk rakaman program Art Attack untuk siaran saluran Disney. "Saya pergi Argentina sebelum raya. Duduk sendiri selama dua bulan di sana. Siang dari pukul 8 pagi hingga 3 petang kerja dalam studio. "Kerja hari isnin sampai jumaat. Jadi, hari minggu saya akan berjalan-jalan ke pasar malam di sana. Saya suka tengok barang-barang kraftangan yang unik di sana," ulasnya yang turut membeli barang buat kekasih, keluarga kekasih dan untuk keluarganya sendiri.
Mengakui berdepan dengan kesukaran berbahasa ketika di sana kerana masyarakatnya lebih pandai bercakap dalam bahasa Sepanyol, ujar Qi lagi, tempat paling menarik yang disukainya ketika di Argentina adalah di bandar Tigre. Kata Qi, terdapat tasik yang sangat besar di Tigre. Dekat situ, kalau bersantai sambil melihat kapal-kapal besar sangat menyeronokkan. "Dekat sana juga terdapat banyak lukisan mural pada dinding. Semuanya menarik dan pengalaman ketika di sana memang tidak boleh dilupakan. Di sana daging halal juga banyak dijual," ujar Qi lagi. Disoal bagaimana keadaannya selama dua bulan berjauhan dengan kekasih hati, ungkap Qi, setiap hari sebelum tidur dia akan berhubung dengan Nelydia sama ada melalui aplikasi WassApp, telefon video atau tango. Bagi Qi, dalam perhubungan mereka perlu berkomunikasi setiap hari. "Biar duduk jauh tetapi komunikasi jangan jauh," jelasnya yang secara tidak langsung menimbulkan sedikit persoalan mengenai jawapannya itu. Terlanjur mendengar jawapannya itu, Qi turut ditanya tentang bekas kekasihnya Yuna. Bukan mahu mengimbau kenangan lama, tetapi sekadar untuk mendengar pandangan Qi sendiri mengenai lagu terbaharu Yuna iaitu Lelaki. Kata Qi, dia ada mendengar lagu tersebut tetapi tidak pernah terasa lagu tersebut ditujukan buat dirinya. Bagaimanapun, Qi mengakui lagu tersebut sedap didengar seperti lagu-lagu ciptaan Yuna yang lain. | ||||
Gerabak kereta api lama jadi penginapan mewah Posted: 30 Sep 2013 06:26 PM PDT ALLERSTON, Britain - Sepasang suami isteri di Britain telah menukar tiga gerabak kereta api lama di Allerston, North Yorkshire menjadi sebuah rumah tetamu kelas pertama sejak 17 tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin. Pasangan itu, Carol dan Mark Benson menukar keseluruhan ruang dalaman tiga gerabak kereta api restoran layan diri tersebut kepada ruang penginapan mewah. Stesen itu kini mengalu-alukan kehadiran para tetamu pelbagai peringkat usia sama ada dari kanak-kanak sekolah sehingga warga emas yang telah bersara. Gerabak-gerabak berusia 45 tahun itu dilengkapi sebuah dapur, ruang tamu dan dua hingga tiga bilik tidur. "Kami pada mulanya sedang mencari idea untuk membuka sebuah perniagaan penginapan di kawasan tersebut dan saya suka stesen kereta api itu sebaik sahaja melihatnya," kata Carol, 54, ibu kepada dua orang anak. Stesen kereta api itu pada asalnya digelar Stesen Wilton. Namun, ia ditukar nama kepada Stesen Ebberston selepas tahun 1900. Kini ia diberi nama The Old Station. "Saya menemui stesen ini dan memberitahu suami yang saya mahu membelinya. Keadaannya ketika itu sangat menyedihkan. "Suami saya mempersoalkan di mana dia mahu meletakkan pengunjung itu nanti. Kemudian saya mendapat idea. Saya jawab sudah tentu kita letak mereka di dalam gerabak. Bahagian lain hanya tinggal sejarah," kata Carol. | ||||
Merpati nilai jutaan ringgit dirampas Posted: 30 Sep 2013 06:24 PM PDT BEIJING - Pihak berkuasa China merampas beratus-ratus ekor burung merpati Belgium dan seekor burung merpati lumba paling mahal di dunia, lapor sebuah akhbar kelmarin. Merpati lumba tersebut, Bolt, pernah dijual pada harga AS$419,800 (RM1.3 juta) pada awal tahun ini. Burung berkenaan diimport ke China untuk tujuan perlumbaan merpati yang semakin popular di negara itu. Bagaimanapun, semua 400 ekor burung berkenaan termasuk Bolt dibebaskan pada Khamis lalu. Pihak berkuasa China berkata, burung-burung merpati lumba itu dirampas selepas ia diisytihar pada nilai biasa bagi mengelak dikenakan cukai import yang tinggi. Penipuan tersebut akan menyebabkan negara China kehilangan hasil cukai dan duti import. Bolt pernah dilelong pada bulan Mei lalu oleh persatuan pedagang merpati Belgium, PIPA. Semua burung berkenaan dibebaskan selepas Ketua Eksekutif PIPA, Nikolaas Gyselbrecht terbang ke Beijing untuk berunding dengan pihak berkuasa China. PIPA juga bersetuju membayar sejumlah wang untuk pembebasan semua haiwan itu. Burung merpati itu juga telah dikurung selama dua bulan, lebih daripada tempoh standard kuarantin yang ditetapkan iaitu selama sebulan. | ||||
Satu pokok hasil 250 jenis epal Posted: 30 Sep 2013 06:23 PM PDT CHIDHAM, West Sussex - Seorang lelaki di sini mengambil tempoh masa selama 20 tahun untuk menanam sebatang pokok buah epal yang menghasilkan 250 jenis epal dibelakang rumahnya, lapor sebuah akhbar kelmarin. Bagi melakukannya, Paul Barnett telah mencantumkan 250 jenis tunas pokok epal berlainan jenis pada ranting sebatang pokok epal yang bertindak sebagai induk. Melalui teknik itu, dia kini memiliki banyak pilihan buah epal dari pelbagai jenis untuk dimakan, dimasak dan dijadikan cuka. Barnett turut melabelkan setiap dahan epal untuk memudahkan dirinya mengingati dahan bagi jenis epal yang dicantumkan pada pokok berkenaan. "Saya mula bekerja di sebuah tapak semaian yang mengandungi 90 jenis pokok epal pada setiap batas," kata lelaki berusia 40 tahun itu. "Saya mahu menanam pokok-pokok saya sendiri, namun saya tidak memiliki kawasan untuk melakukannya. Oleh itu saya menggunakan kaedah pencantuman tunas untuk tujuan tersebut," tambahnya. | ||||
Jamsbell pertaruh fesyen high street Posted: 30 Sep 2013 06:16 PM PDT
KAKAK sulung berusia 21 tahun bernama Sharifah Farah Liyana Syed Kamil, sementara dua adik kembarnya, Sharifah Sarah Amirah Syed Kamil dan Syed Harith Aiman Syed Kamil masing-masing berusia 20 tahun. Ketiga-tiganya masih muda, penuh tenaga namun serius membina profesion secara berdikari. Paduan tiga beradik yang membentuk jenama Jamsbell barangkali melahirkan pandangan sinis orang ramai, merendahkan kemampuan anak-anak muda yang cuba mendirikan empayar fesyen ketika negara dihujani kewujudan pelbagai jenis butik dalam talian. Jamsbell memerlukan pengenalan, ruang dan sokongan remaja tempatan untuk berdiri teguh. Percayalah, secara tuntas, usaha jenama itu tidak hanya berkisar kepada keuntungan jualan, namun mengimbangi faktor pendidikan penggayaan yang amat diperlukan kelompok audiens mereka. Sharifah Farah Liyana, Sharifah Sarah Amirah dan Syed Harith Aiman mahu mempromosikan gaya high street di Malaysia dengan menjadikan Jamsbell sebagai medium pengaruh yang efektif. Benar, high street bukan gaya baharu di negara ini tetapi pengetahuan terhadap adaptasi pakaian berkonsep sebegitu masih belum difahami sepenuhnya orang kita. "Jika kita bandingkan Malaysia dengan negara Asia lain, kita agak ketinggalan dari segi perkembangan trend, termasuklah fesyen high street," Sharifah Farah Liyana memulakan bicara ketika trio bersaudara itu ditemui. Elemen mewah Fesyen high street merujuk kepada gaya yang ditawarkan jenama-jenama pakaian arus perdana. Ia boleh dikelaskan sebagai gaya yang menggabungkan elemen fesyen mewah (high fashion) dan fesyen jalanan (street fashion). "Tujuan Jamsbell adalah mendidik orang ramai menjadikan fesyen high street sebagai gaya harian untuk ke tempat kerja, kelas atau bersantai. Kami banyak mendapat inspirasi daripada perkembangan trend di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
"Di luar negara, fesyen high street bukan lagi gaya untuk acara tertentu malah sudah diterima sebagai penampilan biasa. Orang kita kena mengubah mentaliti terhadap fesyen yang selalunya dikaitkan dengan majlis glamor dan formal ini. Ia sebenarnya sudah diterima masyarakat sebagai gaya harian," tambah gadis yang juga memiliki ijazah Diploma Lanjutan Fesyen dan Pemasaran dari Raffles College of Higher Education (Raffles), Kuala Lumpur. Dilancarkan pada awal bulan Januari lalu, item-item dalam katalog Jamsbell memang mudah menangkap perhatian. Jumpsuit dengan cetakan unik bersama jalinan rona kontra menghidupkan tata gaya high street secara bersahaja. Tambahkan aksesori seperti kalung dengan perincian besar dan anda sedia untuk mencuri tumpuan umum. Mahu gaya sedikit nakal dan seksi, sesekali anda patut mencuba seleksi playsuit Jamsbell. Persalinan yang mencantumkan baju dan seluar pendek itu sesuai untuk gadis yang sedang meniti alam remaja dan sukakan gaya ringkas, pantas tetapi berani. "Agak mengejutkan kerana kebanyakan item yang kami tidak jangka akan mendapat sambutan sering habis dijual. Jumpsuit contohnya, jarang kita melihat wanita di sini menggayakannya tetapi ia menjadi antara pakaian kami yang paling laris. "Seluar pendek dengan perincian besi juga sering menjadi permintaan ramai. Di bawah koleksi seluar pendek, kami sediakan variasi item dengan potongan menarik seperti blaze peplum, layered spring, midnight quilted dan blooming. "Mereka yang gemarkan dres boleh memilih sama ada mahukan block maxi klasik, denim skater atau retro crush. Apa jua pilihan anda, ia tidak akan lari daripada konsep gaya high street yang kami terapkan dalam Jamsbell," saran Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu kemasukan stok baharu jenama itu adalah pada setiap minggu. Semangat Asia Tidak lengkap gaya high street jika tanpa menggayakan seluar panjang barok bercetak yang tinggi sentimen seninya. Tonjolkan semangat Asia anda menerusi seluar harem bermotifkan batik atau cipta penampilan matang bersama seluar jenis palazo dengan kombinasi motif tradisional. "Kami banyak menggunakan material sifon untuk baju. Selain itu ada juga item yang dihasilkan dengan fabrik poliester campuran dan kapas," tambah Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu Jamsbell juga kini berkolaborasi bersama label aksesori baharu, Bits of Random. Selain berfungsi sebagai butik dalam talian, Jamsbell juga menyediakan khidmat nasihat tentang suai padan dan cara-cara membentuk gaya high fashion menerusi item-item yang ditawarkan. Satu-satunya pengemudi lelaki dalam Jamsbell, Syed Harith Aiman berpendapat, majoriti blog fesyen dan butik dalam talian di Malaysia tidak memfokuskan kepada pendidikan penggayaan untuk pelanggan-pelanggan mereka. Ujar Syed Harith Aiman yang juga salah seorang wajah rasmi jenama fesyen The Garment: "Kami banyak melakukan penyelidikan dan mengikuti perkembangan semasa trend-trend di Eropah dan AS. "Di sana, perubahan trend berlaku dengan pantas dan cepat diterima masyarakat sekeliling. Mungkin medium mempromosikan sesuatu trend itu datangnya daripada pelbagai pihak sekali gus memudahkan ia berkembang dalam tempoh yang singkat. "Jamsbell mahu mendekati orang di sini dengan formula yang sama, menjadi sebahagian kelompok fesyen yang tidak hanya berdiri atas nama keuntungan tetapi menjadi penggerak kepada transformasi trend di negara ini." Idea yang disemaikan Jamsbell melalui paduan item-item pada laman web mereka banyak memberi ilham kepada para pelanggan mereka untuk bergaya. "Kadang-kadang ada pelanggan yang sanggup membeli satu set persalinan yang kami cipta menerusi suai padan kerana begitu menggemari gaya tersebut," cerita Sharifah Farah Liyana menutup sesi temu bual. | ||||
Posted: 30 Sep 2013 06:14 PM PDT CIRI fungsional harian yang disatukan dalam rekaan mewah klasik, moden dan bergaya bersama fabrik kulit bermutu tinggi serta perincian penuh teliti merangkumi sempurna koleksi musim luruh Coach pada tahun ini. Tiga koleksi utama untuk wanita kali ini memaparkan item menawan daripada Legacy, Saffiano dan Madison. Diinspirasikan daripada rekaan ikonik Coach, termasuk beg tangan Duffle yang masih menjadi pilihan ramai, koleksi Legacy kembali untuk musim luruh kali ini. Penambahan fabrik kulit baharu dan mewah serta penggunaan rona-rona musim luruh seperti hitam keunguan, ungu terung dan biru gelap (midnight) menghidupkan ciri-ciri moden dan ranggi item-item Legacy. Ketinggian karakter sebagai wanita yang mengutamakan stail eksklusif akan terserlah apabila anda mendampingi beg-beg elegan daripada koleksi Legacy. Sama ada Mirror Metallic Turnlock Tote atau Liquid Metallic Croc Clutches, anda pasti tampak glamor dengan inspirasi vintaj yang menggunakan material kulit dengan perincian besi (studded). Anda juga boleh memilih aksesori menarik di bawah koleksi Saffiano. Direka menggunakan material kulit Itali yang berkualiti tinggi bersama tekstur jejaring silang, koleksi ringkas dan bergaya Saffiano menjadikan musim luruh anda lebih praktikal. Beg Tote Saffiano Leather Medium East-West City yang diberi penegasan baharu menerusi penggunaan blok-blok warna pula menjadikan ia aksesori mudah untuk digayakan secara harian. Aksesori lelaki Untuk kaum Adam pula, rangkaian aksesori daripada koleksi Bleecker dan Crosby pasti menyuntik gaya maskulin klasik yang ideal. Musim luruh kali ini, Coach menghamparkan siluet baharu, warna-warna terang, material segar, corak grafik dan ekstra fungsional dalam barangan lelaki berbanding keluaran dulu.
Sesuai untuk musim luruh, koleksi Bleecker ditambah beberapa rona menarik, reka corak dan tekstur bagi mengangkat sentimen mewah seorang jejaka. Material kulit dengan permukaan kasar (pebbled) pada beg Metropolitan, merupakan antara kombinasi sempurna beg Tote Business dan Slim Brief yang dilengkapi beberapa ruang bagi mengisi keperluan harian si jejaka. Elemen bermusim daripada material sued kembali menerusi Tote Bleecker Suede Traveler. Penggunaan siluet yang bertentangan menawarkan penampilan maskulin yang optimum terutama pada rekaan luarannya yang stailo. Bleecker Suede Courier juga satu lagi kunci gaya yang mengalami pembaharuan material bermusim, sama pentingnya dengan Bleecker Leather Duffle. Penggunaan rona mahogani dan maskulin menjadikannya sempurna digayakan pada acara hujung minggu. Koleksi Crosby turut membuat kemunculan semula sempena koleksi musim luruh Coach tahun ini. Aksesori buatan tangan yang tidak terlalu formal dalam koleksi tersebut memperkenalkan elemen unik dari segi fungsi dan perinciannya. Beg-beg eksklusif seperti Crosby Box Grain Slim Brief, Flap Brief dan Business Tote menampilkan sepenuhnya material premium dengan perincian halus. Paling penting, tekstur yang diterapkan pada setiap item koleksi tersebut mengimbangi ciri fungsi dan gaya. Sepatu Selain beg, kaca mata dan aksesori untuk gajet elektronik anda, koleksi musim luruh Coach juga memaparkan barisan sepatu mewah buat wanita moden. Kasut but menjadi signatur untuk musim ini memandangkan cuaca yang agak sejuk terutamanya di negara-negara empat musim. Ciri feminin masih dapat diserlahkan apabila anda menyarungkan but Udell yang direka dengan tapak tumit tinggi. Namun untuk keselesaan berpanjangan, pilih but Lilac yang klasik dan bertapak rata atau Laurinda yang merupakan item wajib untuk dimiliki pada musim luruh kali ini. Untuk maklumat lebih jelas berkenaan koleksi musim luruh 2013 Coach, layari laman web www.coach.com atau kunjungi sendiri butik-butik Coach di seluruh negara. | ||||
Posted: 30 Sep 2013 06:12 PM PDT
TUDUNG atau selendang sewajarnya menjadi sebahagian daripada pakaian wanita yang paling mudah digayakan. Dahulu, kaum Hawa jarang menekankan keutamaan fesyen tudung. Namun sejak gelombang fesyen Muslimah melanda negara ini, penggunaannya mula dipelbagaikan. Terdapat variasi tudung dan sebai (shawl) kini ditawarkan kepada wanita Muslimah. Bagaimanapun kebanyakannya terarah kepada tudung moden yang boleh digayakan menerusi teknik ikatan yang berbeza. Adakalanya, fesyen tudung yang terlalu sarat menenggelamkan fungsi utama item yang bertujuan untuk menutup aurat wanita. Remaja perempuan khususnya, mudah tertarik kepada penggayaan tudung berlapis sehingga ia kelihatan berserabut dan terlalu mencuba. Tidak salah untuk bereksperimen dan mengikut trend terkini tetapi keutamaan menutup aurat masih perlu didahulukan. Rekaan Atas faktor itu, Farrah Fathma Saari, 31, mewujudkan FathmasariDeHijabista. Jenama yang baru bertapak kira-kira tiga bulan itu mengetengahkan tudung dan sebai moden yang sederhana rekaannya malah menepati syariat agama. "Setakat ini kami mempunyai tiga jenis tudung dan sebai iaitu Lunin Hijab, Mia Lunin Hijab dan Sofhea. Lunin Hijab mempunyai dua bahagian (two sided) dengan dua warna yang berbeza.
"Kami banyak bermain dengan blok warna yang kini menjadi kegilaan ramai. Tudung jenis ini mempunyai rekaan polos tanpa sebarang motif atau cetakan," jelas Farrah ketika ditemui Stailo. Bagi membentuk penampilan Muslimah klasik dan sopan, anda boleh menambah anak tudung atau inner bagi menutup penuh rambut. Wanita moden yang mahu sentuhan urban pula boleh menggayakan Lunin Hijab tanpa anak tudung. Ia sesuai disatukan dengan apa jua jenis pakaian untuk acara yang berbeza. Tidak lupa, satu lagi item keluaran FathmasariDeHijabista iaitu Mia Lunin Hijab. Rekaannya menyerupai Lunin Hijab cuma ia lebih panjang dan hanya mempunyai satu bahagian (one sided). Percikan motif flora dan cetakan comel pada sebai Sofhea pula pasti menarik minat mereka yang berkarakter ceria. Didatangkan dalam satu saiz, anda boleh memilih sama ada mahu membentuk sebai tersebut seperti tudung atau tampil elegan dengan menukarnya kepada turban. "Kami banyak menggunakan sifon sebagai material utama dan kesemua rekaan kami disasarkan untuk wanita berumur 20 tahun ke atas termasuk kelompok pelajar," ujar Farrah. | ||||
Posted: 30 Sep 2013 06:09 PM PDT
SAAT pertama kali melalui kafe Komugi, Paradigm Mall, Petaling Jaya, mata saya tertarik dengan barisan roti dan pastri yang kelihatan enak lagi menyelerakan. Komugi merupakan perkataan Jepun yang membawa maksud gandum. Maka, tidak hairanlah kafe ini menawarkan produk utamanya iaitu pelbagai roti Jepun buatan tangan, kek, variasi coklat dan hidangan makanan lain. Kafe Komugi bukan sekadar berkonsepkan Jepun semata-mata, keaslian pembuatan roti juga dititikberatkan dengan kehadiran perunding chef yang diterbangkan khas dari negara Matahari Terbit itu. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Holdings Bhd., Datuk Liaw Choon Liang, buat masa ini, sebanyak tujuh cawangan Komugi dibuka di sekitar Lembah Klang selepas pembukaan kafe Komugi yang pertama pada bulan November tahun lalu. "Buat masa ini, kami lebih fokus kepada pasaran di sekitar Lembah Klang kerana dapur pusat Komugi berada di Kota Damansara, Petaling Jaya. "Kebanyakan kafe Komugi berada di dalam pusat beli-belah seperti di Mid Valley, Paradigm Mall, Sunway Pyramid, Pavilion, Sunway Giza dan Subang Parade," katanya ketika ditemui di Komugi, Paradigm Mall baru-baru ini. Tambahnya, lebih daripada 100 jenis roti, 70 jenis pastri dan kek yang ditawarkan pada harga berpatutan dibuat menggunakan ramuan berkualiti didatangkan khusus dari Jepun. "Roti, kek dan pastri dibuat setiap hari bagi membolehkan para pelanggan menikmatinya secara segar. "Apabila anda mengunjungi Komugi, jangan lepaskan peluang merasai hidangan signatur kami iaitu roti Jepun, Hanjuku Cheese, Namachoco Sand, Creamy Custard Krone dan Cookie Cream Puffs," ujar Choon Liang yang menyukai makanan Jepun. Hanjuku Cheese didatangkan dengan dua perasa iaitu asli dan coklat. Teksturnya yang cair di mulut dan enak dimakan bersama hirupan kopi dijual pada harga RM3.50 sebiji.
Rambang mata Anda pasti teruja apabila melihat kek lapis unik berbentuk bulat seperti donat iaitu Baumkuchen yang namanya diambil daripada bahasa Jerman, membawa maksud kek pokok, harganya RM23.90 sebiji. Antara pastri lain ialah creamy custard krone, namachoco sand (perisa coklat dan teh hijau) dan fuwa fuwa serta pelbagai pilihan pastri yang membuatkan anda rambang mata. Bagi mereka yang menggemari coklat, Komugi merupakan persinggahan wajib jika anda mahu merasai coklat premium, Chocoletto buatan tangan yang diperbuat daripada coklat dari Belgium. Komugi juga menawarkan variasi minuman, daripada minuman panas, sejuk hinggalah ke jus. Kelainan yang ada di sini ialah jus segarnya dibotolkan dipanggil Furutsu diperbuat daripada air oksigen. "Pelanggan beragama Islam tidak perlu risau kerana pembuatan kek, pastri, mahupun coklat di Komugi bebas daripada unsur babi dan alkohol. "Tiada sebarang bahan pengawet digunakan kerana kesemua makanan itu dihasilkan menggunakan bahan-bahan dan ramuan semula jadi. Kami juga menitikberatkan aspek kesihatan memandangkan pastri di Komugi tidak begitu manis," katanya sambil memberitahu Komugi di Paradigm Mall boleh menempatkan 55 orang pada satu masa. | ||||
Mata sihat, menawan dengan pati beri Posted: 30 Sep 2013 06:08 PM PDT DALAM satu kajian ke atas 1,000 orang lelaki yang telah dilaporkan di akhbar Daily Mail UK baru-baru ini, mata merupakan anggota badan pertama yang menarik perhatian mereka terhadap wanita, diikuti dengan senyuman. Sebanyak 70 peratus daripada responden terlibat turut menyatakan bahawa mata merupakan tarikan utama seorang wanita kepada mereka. Kini jelas dilihat betapa pentingnya mata yang kelihatan segar untuk menawan hati seseorang jejaka. Melalui rangkaian InnerShine Pati Beri, kini mata anda akan mendapat khasiat tambahan serta perlindungan yang sebaiknya. Mata merupakan satu organ dan deria yang paling penting. Apabila sering terdedah terhadap pencemaran, sinaran ultraungu matahari dan radiasi daripada pelbagai peranti elektronik, mata akan menjadi kering dan lesu. Ada kadangkala ia kelihatan kemerahan dan tidak bermaya. InnerShine Pati Beri berupaya untuk menghindari keadaan tersebut kerana ia mengandungi tujuh jenis buah beri premium dari benua Eropah dan Amerika yang kaya dengan bahan antioksidan dan zat. Ramuan intipati minuman yang berkhasiat, pekat lagi lazat ini terdiri daripada beri acai, beri biru, blackcurrant, chokeberry, kranberi, elderberi dan strawberi. Buah-buahan eksklusif yang kaya dengan Vitamin C dan flavonoid ini bukan sahaja merawat kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas tetapi juga meningkatkan pengedaran darah ke mata. InnerShine Pati Beri diperkaya dengan nutrien penting seperti Vitamin A, C dan E serta zink yang sekali gus amat baik untuk mata agar sentiasa sihat dan tampak bersinar sepanjang hari. "Penjagaan kesihatan mata sering diendahkan dan kadangkala diabaikan sama sekali. "Berikanlah mata anda nutrien dan khasiat tambahan yang terkandung dalam InnerShine Pati Beri bagi meningkatkan tahap kesihatannya," kata Naib Presiden dan Pengurus Besar Cerebos Malaysia, Koh Joo Siang. Tambahnya, Cerebos Malaysia sentiasa komited untuk membekalkan para pengguna suplemen-suplemen yang terbaik dari segi ramuan yang berkualiti tinggi dan pematuhan terhadap piawaian pengeluaran yang ketat. InnerShine Pati Beri dengan jaminan Brand's VEssenz boleh didapati di semua farmasi, pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara pada harga RM30.50 untuk pek 6 botol x 42 mililiter (ml) dan RM57.90 untuk pek 12 botol x 42ml. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |