Isnin, 7 Oktober 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Azharina Akui Lelaki Takut Dekatinya Sejak Bergelar Janda

Posted: 05 Oct 2013 06:10 PM PDT


Azharina mengakui selesa hidup solo selepas enam tahun bergelar janda.
PETALING JAYA: Penyanyi lagu Elegi Sepi iaitu Azharina mengakui lelaki takut mendekatinya selepas bergelar janda sejak enam tahun lalu.
Azharina atau nama sebenarnya Azharina Azhar, 28, berkata, disebabkan perkara itu juga dia masih solo namun mengakui selesa dengan statusnya itu.
"Orang akan ingat saya jenis yang memilih atau sudah serik untuk berumah tangga tetapi sebenarnya lelaki takut hendak dekat dengan saya selepas bergelar janda,' katanya kepadamStar Online.
Bagiamanapun kata Azharina atau lebih mesra dengan sapaan Nina, ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya sebelum ini namun hubungan tersebut tidak kekal lama.
Jelas Nina, lelaki yang cuba rapat dengannya itu tidak dapat memahami kariernya sebagai seorang penyanyi tambahan pula jadualnya padat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Bukan tidak ada yang cuba tetapi hubungan itu tak dapat bertahan kerana saya sangat mengutamakan karier berbanding percintaan tetapi saya tidak kisah kerana menganggap jodoh belum sampai," jelasnya.
Tambah Nina, walaupun keinginan untuk mempunyai keluarga sendiri menembal dalam dirinya namun selepas enam tahun hidup bersendirian dia tidak melihat perkahwinan sebagai keutamaan pada masa ini.
"Apabila tengok adik-beradik yang telah berkahwin dan mempunyai anak rasa cemburu juga tetapi saya tidak tertekan hidup menjanda malah lebih berdikari," ujarnya.
Dalam pada itu, Nina berkata, dia sebelum ini tidak berniat untuk merahsiakan status perkahwinannya daripada pengetahuan umum sebaliknya memberitahu dia tidak mempunyai pilihan.
Jelas Nina, bekas suaminya tidak mahu perkahwinan mereka diketahui umum dan dia telah berjanji untuk tidak membocorkan mengenai perkara itu kepada pihak lain.
"Saya buat begitu kerana diberi kata dua oleh bekas suami dan sebagai isteri saya perlu taat kepadanya. Jika perkara itu terbongkar saya akan diceraikan dengan talak tiga," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nina berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya iaituPergilah Cinta dan akan melakukan strategi pemasaran berbeza bagi mempromosikan lagu itu.

Amir Jahari Tiada Niat Sorok Perkahwinan

Posted: 05 Oct 2013 06:10 PM PDT


Amir dan isterinya akan berbulan madu di Kundasang, Sabah.
PETALING JAYA: Penyanyi Amir Jahari tidak berniat untuk merahsiakan tarikh sebenar perkahwinannya dengan Kartini Ismail yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada pagi Sabtu lalu.
Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari, 21, berkata, dia tidak menghebahkan mengenai perkara baik itu kerana majlis berkenaan hanya dibuat secara kecil-kecilan dan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.
"Saya mengakui tidak menghebahkan tarikh saya akan berkahwin tetapi tidak pula mempunyai niat untuk menyorokkan perkara baik itu daripada sesiapa.
"Majlis yang berlangsung itu hanya dibuat secara sederhana sahaja untuk keluarga kedua-dua belah pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.
Amir dan Kartini, 27, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz tepat pukul 9 pagi pada majlis yang diadakan di Penview Hotel, Kuching.
Pada majlis itu, Amir telah memberikan mas kahwin berupa seutas rantai dan sebentuk cincin emas manakala RM10 ribu sebagai wang hantaran kepada pihak perempuan.
Dengan sekali lafaz Amir yang baharu berusia 21 tahun selamat bergelar suami kepada Kartini.
Bagaimanapun tiada barang hantaran diberikan oleh kedua-dua belah pihak.
Dalam pada itu, Amir berkata majlis resepsi telah diadakan ditempat sama selepas selesai majlis akad nikah untuk kedua-dua belah pihak dan antara tetamu yang hadir termasuklah Aizat dan Amar Andan.
Tampil dengan busana dan solekan tajaan Famee Abdullah Radzi, pasangan pengantin tampak berseri dengan persalinan dari rona hijau untuk majlis berkenaan.
"Alhamdulillah majlis selesai dengan baik dan saya adalah lelaki yang berbeza mulai saat ini. Sukar saya gambarkan perasaan selepas sah menjadi seorang suami tetapi ia sesuatu yang indah," katanya.
Tambah Amir, dia tidak melihat perbezaan umur di antara mereka sebagai masalah kerana apa yang lebih penting mereka saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain.
Sementara itu, Amir berkata, selepas ini dia dan isterinya akan menetap di Kuala Lumpur dan dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.
Tidak gentar karier nyanyiannya akan merundum selepas berkahwin, Amir berkata, dia percaya dengan rezeki dan yakin ikatan suci yang dilakukannya ini akan memberi berkat kepadanya.
"Cabaran itu sentiasa ada sama ada berkahwin atau pun tidak namun sebagai manusia kita perlu berusaha memajukan diri dan berserah selebihnya kepada Allah," katanya.
Dalam perkembangan sama, Amir berkata, dia dan isterinya akan berbulan madu di Kundasang, Sabah pada minggu hadapan sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Program Keagamaan 'Muhammadku' Ganti 'Al-Kuliyyah'

Posted: 05 Oct 2013 06:08 PM PDT


Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid sebagai pengacara program Muhammadku.
PETALING JAYA: Sebuah program terbaharu terbitan TV3 iaitu Muhammadku bakal menggantikan Al-Kuliyyah yang bakal membawa penonton merasai dan mencontohi insan agung iaitu Rasulullah SAW melalui pelbagai topik akhlak menarik yang disampaikan setiap minggu.
Program yang bersiaran setiap hari Jumaat pada pukul 5 petang itu bakal menampilkan pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid sebagai pengacara rancangan itu.
Program terbaharu yang penuh dengan teladan dan bersifat kerohanian itu dijangka mampu menarik minat variasi golongan penonton dan penampilan Habib Ali sebagai pemimpin progam ini dapat menyampaikan pengisian ilmiah berdasarkan sirah junjungan mulia Nabi Muhammad dengan lebih berkesan.
Habib Ali akan menggunakan konsep penceritaan dan dibantu dengan replika set berupa sebuah madrasah berusia 1400 tahun dahulu bersama dengan tata cahaya yang sangat tenang serta mampu menyentuh ke titik hati para penonton demi mengimbas dakwah dan akhlak Baginda.
"Antara keperibadian Rasulullah SAW yang bakal diceritakan termasuklah sifat solat Baginda, perjalanan haji mabrur dan banyak lagi kisah akhlak terpuji meliputi setiap disiplin kehidupan yang perlu dan wajib diketahui dan diteladani oleh umat Baginda.
Kumpulan Ahbabul Habib turut mengalunkan kegermisikan Qasidah puji-pujian kepada junjungan besar ke atas Baginda yang juga selama ini alunannya semakin dilupakan dalam program tersebut.
Habib Ali yang dilahirkan 12 April 1974 telah mengembara ke merata tempat di seluruh dunia untuk menuntut ilmu termasuklah di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia, dalam jurusan Al-Quran dan Sunnah.
Berlatarbelakangkan pendidikan dan pembangunan diri Habib Ali yang dinamik dan menyeluruh, diregukan dengan bakat semula jadi dan kemahiran berdakwah menjadikan beliau seorang pendidik dan pendakwah yang bukan sahaja dikenali.
Sepanjang perkongsian ilmu rancangan 13 episod ini, setiap episod Muhammadku juga diserikan dengan persembahan Kumpulan Ahbabul Habib mengalunkan kegermisikan Qasidah puji-pujian kepada junjungan besar ke atas Baginda yang juga selama ini alunannya semakin dilupakan.
Diterbitkan oleh Siti Zainah Juahir bersama Penerbit Eksekutif Ahmad Noor Sulaiman, Muhammadku turut boleh ditonton menerusi laman web www.tonton.com.my.

Kawal MP3 dengan gerakan rahang

Posted: 05 Oct 2013 06:06 PM PDT

  • Kawal MP3 dengan gerakan rahangFon telinga itu dilengkapi papan litar kecil, cip memori dan komponen untuk memainkan audio digital tersebut.

FON telinga terbaru dihasilkan di Miami membolehkan pengguna mengawal lagu tanpa menggunakan sentuhan jari.

Alat tanpa wayar digelar Split itu didakwa, berfungsi mengesan pergerakan rahang yang bertindak balas untuk memainkan, menghentikan seketika atau melangkaui trek lagu yang terdapat dalam pemain MP3.

Pereka salah seorang fon telinga unik itu, Marco Scandurra berkata, idea mencipta Split tercetus selepas dia terpaksa membuka sarung tangan setiap kali mahu menukar lagu ketika menghabiskan cuti musim sejuk di Boston, dua tahun lalu.

"Kami mahu mereka produk memberi keselesaan kepada pengguna. Setiap trek lagu boleh ditukar hanya dengan cara menggerakkan rahang seperti perbuatan sedang menggigit.

"Bagaimanapun, gerakan itu perlu dikawal mengikut fungsinya termasuk untuk menyesuaikan volume, namun ia tidak boleh dilakukan serentak jika sedang makan atau bercakap." jelasnya dipetik laporan DailyMail

Selain itu, pengguna juga boleh menyahaktifkan MP3 tersebut dengan cara menyentuh fon telinga kanan.

‘Saya mahu kekal sebagai pendakwah’

Posted: 05 Oct 2013 06:04 PM PDT

  • Syeikh Ahmad Faisol OmarSyeikh Ahmad Faisol Omar

ALOR SETAR – "Saya mahu kekal sebagai pendakwah bebas dan tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik," kata Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Ahmad Faisol Omar.

Beliau lebih selesa dengan kerjaya sekarang yang menjadi darah dagingnya dan keluarga sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan beberapa perkara dan memilih untuk terus kekal sebagai pendakwah dalam melaksanakan khidmat kepada masyarakat

"Saya harap selepas ini tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba mengaitkan saya dengan mana-mana parti politik. Saya adalah neutral.

"Saya tidak berminat dengan mana-mana parti dan lebih selesa sebagai pendakwah bebas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahmad Faisol berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi yang mengatakan beliau antara calon yang akan diketengahkan dalam PRK Dun Sungai Limau 4 November ini.

Menjawab persoalan itu, katanya, beliau sendiri terperanjat apabila namanya disebut di dalam akhbar dan laman web sebagai antara calon yang tersenarai untuk mewakili BN.

"Saya ingin buat penjelasan bahawa buat masa ini, saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik. Cadangan saya adalah untuk kekal sebagai penjawat awam dan pendakwah bebas.

"Pendirian saya juga begitu. Mana mungkin saya terima pelawaan untuk bertanding di PRK Dun Sungai Limau sedangkan saya tidak berminat ke arah itu (berpolitik). Saya lebih selesa sebagai pendakwah yang neutral," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Faisol yang juga bekas pelajar Maktab Mahmud antara calon yang disebut untuk dipertaruhkan menembusi tembok Pas di Sungai Limau

Antara nama yang disebut untuk mewakili BN ialah Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mempunyai penampilan sederhana dan mesra atau Mohd Fadzillah Mohd Ali iaitu sepupu bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

PRK Dun Sungai Limau diadakan selepas penyandangnya, Azizan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada 26 September lalu selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan 4 November sebagai hari pengundian.

Duka lara Shila Amzah

Posted: 05 Oct 2013 05:59 PM PDT


SHILA AMZAH kini semakin matang dan tegas berhubung kemahuan hidup dan karier seninya.


CAHAYA di matanya sudah tidak menggambarkan kekalutan. Garis-garis senyuman yang meleret di bibirnya mudah sahaja menjalar indah sampai ke hujung pipi. Seperti tiada lagi duka hendak dibenamkan jauh ke dasar jiwa. Segala-galanya terluah, mengalir bersama cerita dahulu dan kini. Apa yang tertinggal di belakang kekal di situ, biar bah atau kemarau, mana mungkin air di hilir berpatah ke hulu.
Dia Shila Amzah, yang sudah mampu bercanda dalam setiap titipan duka yang dilalui. Pada usia 23 tahun, khazanah pengalaman yang melingkari hayatnya sudah cukup sarat untuk akal mudanya merumuskan hakikat kehidupan.
Kalimah 'terima kasih' bersusun terbit daripada setiap patah bicaranya. Terima kasih daripada Shila untuk setiap memori, untuk setiap sokongan ataupun herdikan yang diterima selama ini. Dia sedar khilaf lalu dan segala kesilapan itu bukan untuk disesali sepanjang hayat.
"Paling besar tentunya terima kasih saya untuk Allah, terima kasih kepada orang sekeliling yang menyedarkan saya untuk menjadi lebih baik dan membuat keputusan terbaik.
"Saya ambil masa yang agak lama untuk pulih tapi apa yang terjadi selama ini adalah yang terbaik untuk saya. Saya punya beribu sesalan tapi saya bangkit untuk terus bergerak ke hadapan, dalam karier dan kehidupan peribadi," lenturnya mendasari apa yang dirasa.
Mengadakan konsert mini
Berulang-alik di antara Shanghai dan Kuala Lumpur, Shila yang kini menjadikan Shanghai sebagai hab karier muziknya sedang merencanakan misi besar. Bukan sekadar demi kelangsungan kecintaannya seni di sini, kepulangan kali ini mahu diwartakannya dalam sebuah detik yang cukup indah.
"Saya mahu mendedikasikan sebuah persembahan tanda terima kasih saya kepada seluruh peminat, pihak media, pemuzik yang terlibat dalam pembikinan album saya serta semua pihak yang menyokong saya selama ini," ujar Shila tentang sebuah konsert mini yang diberi nama Shila Amzah Showcase yang akan berlangsung pada Khamis (10 Oktober) nanti bertempat di Penthouse @ The Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Seiring dengan pelancaran album pertama yang dibikin sendiri, konsert mini Shila itu nanti akan dijayakan Shila bersama pemuzik-pemuzik yang terlibat dalam pembikinan albumnya. Diterajui oleh komposer ternama Helen Yap sebagai pengarah muzik, kebanyakan lagu yang bakal dinyanyikan merupakan lagu yang terkandung dalam album mini iaitu Cinta Hati, Maaf, Tulus, Masih Aku Cinta dan single Patah Seribu dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Mandarin yang dimasukkan sebagai runut bonus.
"Konsert mini itu akan jadi konsert percuma yang pertama kali daripada saya. Sudah 13 tahun saya dalam bidang muzik dan selama ini saya tidak pernah melakukan apa-apa untuk peminat. Rasanya, momen itulah yang paling tepat untuk saya mengadakan satu persembahan. Saya mahu berkongsi apa yang saya rasa bersama semua orang kerana semua lagu dalam album itu ditulis oleh saya.
"Saya juga mahu membuktikan bahawa saya telah bangkit dan sedang bersemangat untuk hidup. Ia juga simbol semangat dan mungkin boleh menjadi inspirasi kepada mana-mana artis yang melalui jalan payah sebagai mana yang saya lalui selama ini. Jujurnya, saya sendiri tidak tahu sampai bila saya akan terus mengecapi saat seperti sekarang, jadi detik itu nanti mahu saya rakamkan sebagai hari bersejarah buat diri sendiri," katanya yang berharap untuk menjayakan sebuah konsert solo pada masa akan datang.
Tambah Shila: "Mungkin konsert mini itu sebuah introduksi daripada saya sebelum rencana untuk mengadakan sebuah konsert sebenar tercapai. Rasanya juga, saya sudah ada cukup material ke arah itu. Perbincangan awal sudah dibuat. Saya benar-benar berharap ketika menyanyi di hadapan peminat berbilang bangsa, Cina dan Melayu, saya buktikan muzik juga penyatu bangsa kerana kita berada di rumpun yang sama."
Bercerita tentang misi karier yang terdampar luas untuk dijajahi, anak dara penyanyi terkenal ND Lala ini tidak terlepas daripada terhitung semula episod hitam yang hampir membunuh semangat juangnya.
Tutup hati untuk cinta
SHILA AMZAH bakal menghiburkan peminatnya secara percuma dalam sebuah konsert mini pada 10 Oktober ini pada pukul 2 petang bertempat di Penthouse @ The Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.


Tanpa tertahan ataupun berlindung menyembunyikan kebenaran yang banyak didiamkan, Shila bagai dilahirkan semula. Selama dua tahun sebelum ini, kisah juraian air matanya hanya dikongsikan bersama orang terdekat tetapi kali ini, tercuit satu persoalan, selembar kisah yang terurai satu per satu.
Benarlah cinta itu satu istilah yang cukup berkuasa. Namun dalam waktu yang sama juga cinta boleh menjadikan seorang anak menjadi bebal.
"Masa bercinta dahulu, mama nasihatkanlah apa sahaja. Semuanya saya tak peduli. Bercinta tidak salah kerana cinta itu indah, yang salahnya apabila kita bertemu orang yang salah. Dahulu, saya selalu berfikir untuk tidak menyakiti hati orang yang dicintai. Saya korbankan banyak benda, cuba elak segala benda yang boleh menimbulkan prasangka termasuklah hadkan pergaulan dengan kawan-kawan.
"Ketika itu juga, ramai yang takut hendak mendekati saya. Ada juga yang sengaja tidak mahu menghiraukan saya semata-mata untuk mengelakkan terjadinya perkara yang tidak diingini. Sekarang, saya bersyukur kerana kawan-kawan yang selama ini saya tidak pedulikan sudi memaafkan dan kembali menerima saya sebagai kawan mereka. Mereka sendiri rasa, Shila yang dahulu itu bukan diri saya yang sebenar. Sekarang, kalau saya buka mulut tentang lelaki, awal-awal lagi mereka akan beri amaran," jelas Shila berterus-terang.
Mengakui hatinya masih tertutup untuk menyerahkan cinta kepada mana-mana lelaki tetapi dalam masa yang sama, dia tidak menolak untuk berkawan dengan lelaki yang berniat baik terhadap dirinya.
"Saya hanya buka hati saya untuk berkawan dengan semua orang, lelaki dan wanita tetapi untuk memberi cinta, memang tidak. Saya tidak mahu buang masa dengan cinta. Cinta itu indah tetapi apabila ia disalah guna, ia akan menjadi sia-sia. Baiklah saya simpan cinta saya untuk siapa suami saya kelak. Seperti kata papa, dalam kepala saya ini sudah banyak khazanah sengsara dan saya tidak mahu sengsara lagi.
"Saya juga masih berfikir ada lelaki yang menganggap sudah menjadi pemilik mutlak kepada seseorang wanita apabila mereka bergelar pasangan kekasih. Saya bercakap begini kerana percaya ramai wanita berada dalam situasi begitu. Kalau sudah sampai ke tahap tersebut, wanita itu bukannya menyintai lelaki berkenaan tetapi simpati. Saya mengaku, dahulu saya seorang yang sangat pemaaf," ujar Shila yang berdepan episod putus cinta bersama aktor Sharnaaz Ahmad hujung tahun lalu.
Larut dalam emosi, bicara hati daripada wanita untuk wanita, kata Shila, dia tidak mahu wanita menjadi lemah kerana cinta. Ternyata tempoh hampir setahun melepasi 'tragedi' putus cinta menjadi Shila seorang yang tegas, berfikiran terbuka dan positif dalam banyak perkara.


5,000 tiket untuk KL Gangster 2

Posted: 05 Oct 2013 05:58 PM PDT


YUSOF HASLAM menerajui sesi sidang media semasa pratonton KL Gangster 2, beberapa minggu lalu.


DISABOTAJ dan dicetak rompak sebelum hari tayangan, filem KL Gangster 2 masih meraih sokongan khalayak apabila mencatat jualan tiket sebanyak RM600,000 pada hari pertama ditayangkan Khamis lalu. Jumlah itu tidak termasuk kutipan tiket sebanyak RM700,000 yang dicatatkan sepanjang tiga malam tayangan sneak preview pada 27 hingga 29 September lepas.
Jumlah kutipan tiket hari pertama untuk tayangan serentak KL Gangster 2 di enam buah pawagam di Singapura pula akan diperoleh selewat-lewatnya esok.
"Alhamdulillah. Jumlah itu bagaimanapun jangan dibandingkan dengan kutipan hari pertama KL Gangster dahulu. Dahulu kita boleh dapat RM1.5 juta pada hari pertama tayangan. Tetapi, melihat kepada respons dan sokongan yang diterima, kami semua rasa terubat juga. Setidak-tidaknya ia tidaklah menambah rasa kecewa.
"Kalau filem itu bajetnya RM2 juta, saya sudah boleh rasa gembira tapi bajet KL Gangster 2 ialah RM4.5 juta, sekurang-kurang filem itu kena dapat RM7.5 juta untuk pulang modal. Jumlah itu termasuklah kutipan pawagam dan jualan ke stesen televisyen," kata produser filem berkenaan, Datuk Yusof Haslam ketika dihubungi Sensasi Bintang kelmarin.
Ketika pengarah KL Gangster 2, Syamsul Yusof masih berkurung meratap kecewa kerana filemnya menjadi mangsa jenayah siber dan cetak rompak, ada berita gembira yang mahu dikongsikan bapanya itu. Sebanyak 5,000 tiket akan disumbangkan bagi memeriahkan sambutan KL Gangster 2 di pawagam.
Pada Selasa nanti, sebanyak 10 buah rumah produksi milik bumiputera akan berkumpul di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi menunjukkan sokongan terhadap KL Gangster 2. Rumah-rumah produksi berkenaan termasuklah Suhan Movies, Bright Network, KRU Studios, Rumah Karya Cipta, Nusan Bakti, Vision Works, Kuasatek Pictures, ACE Motion, Cinematic dan World Evolusion Brain.
"Kira-kira pukul 3 petang Selasa nanti, kesemua rumah produksi itu akan berkumpul di Finas bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap KL Gangster 2. Setiap rumah produksi akan membeli sebanyak 500 tiket filem itu dan akan diagihkan kepada rakan niaga serta pihak-pihak tertentu mengikut budi bicara masing-masing.
"Saya tak menagih simpati mereka tetapi sangat menghargai dan berbesar hati terhadap kesanggupan mereka sebagai sahabat dalam industri. Penyatuan yang ditunjukkan semua pihak itu merupakan satu agenda yang tidak pernah berlaku selama ini. Ia menunjukkan bahawa pemain industri perfileman tetap bersatu untuk menangani masalah secara bersama. Semua pihak juga telah bersetuju untuk terus mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan serius terhadap isu berbangkit dalam industri filem mahupun muzik," jelas Yusof terharu kerana masih ada pihak yang sanggup bersama-sama dengannya berjuang untuk filem KL Gangster 2.
Dalam pada itu, Yusof turut ditanya mengenai situasi Syamsul yang masih menjauhkan diri daripada sebarang promosi filem berkenaan.
"Sebagai bapa, saya termasuklah ibunya tidak pernah putus berdoa agar Syamsul segera pulih dan dapat kembali bekerja. Syamsul seorang yang sangat bersungguh-sungguh tetapi jiwanya sensitif. Kalau saya berada di tempatnya mungkin saya juga akan berdepan situasi yang sama.
"Cuma saya nasihatkan dia supaya jangan putus asa. Soal kutipan, berjaya atau tidak, kita kena terima dengan rezeki Allah kerana ini juga satu daripada ujian Allah," tegas Yusof lagi yang akan terus berusaha mencari petualang yang bertanggungjawab ke atas pembocoran dan cetak rompak KL Gangster 2.


Nadiya Nisa mahu menulis

Posted: 05 Oct 2013 05:57 PM PDT

NADIYA akan berlakon dalam sebuah pementasan teater tidak lama lagi.


PEMENANG anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Anugerah Skrin 2011 dan Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) menerusi filem Cun!, Nadiya Nisa sudah mula mengumpul kelompok peminatnya sendiri.
Dia bukan sahaja telah membuktikan bakat lakonannya menerusi kemenangan itu, malah pelakon telefilem Ajaibnya Cinta, Dengan Nama Cinta, Donut dan Hanya Kau itu turut membuktikan kebolehan diri apabila menjadi kegilaan penonton menerusi drama Adam dan Hawa.
Bahkan, dia tidak hanya menumpukan perhatian dengan terlibat dalam naskhah-naskhah di layar kaca, kerana Nadiya yang muncul dalam filem Ombak Rindu dan Jiwa Taiko itu saban hari mengisi portfolio dengan naskhah-naskhah baharu.
"Sebenarnya, banyak filem saya yang masih belum ditayangkan dan pastinya saya juga tertunggu-tunggu tayangan filem seperti Pengapit, Bikin Filem dan Gila Baby tidak lama lagi.
"Syukur kerana peminat menerima saya dan memberi peluang untuk saya terus berkarya menerusi lakonan," tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Penyiaran daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Wanita kelahiran Gombak, Selangor itu mula menceburi dunia perfileman dengan berlakon dalam filem Dukun pada tahun 2007 yang disekat tayangannya sebelum mencipta nama menerusi filem Cun! pada tahun 2011.


Aman enggan fikir tentang populariti

Posted: 05 Oct 2013 05:56 PM PDT

AMAN memilih untuk memperkenalkan dirinya kepada penonton menerusi lakonan terbaik berbanding dikenali kerana kontroversi murahan.


AMAN NASSIM menceburi dunia lakonan bukan secara semberono. Dia juga tidak mengharap menjadi popular.
Sebaliknya jejaka berumur 24 tahun itu sudah mencongak masa depannya untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjaya. Justeru, Aman memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam dunia seni.
Pemilik nama penuh Abdul Rahman Nassim itu merupakan graduan Diploma Teater daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Dia menamatkan pengajian kira-kira dua tahun lalu tetapi kini bergelar pelakon sepenuh masa.
"Saya memilih bidang pengajian itu kerana mahu menjadikan lakonan sebagai kerjaya. Pengajian dalam bidang teater banyak membantu saya mengasah bakat lakonan dan menambah kemahiran," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.
Dia meletakkan sasaran untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjayanya berbanding mengejar nama. Menurutnya, populariti jatuh ke No. 2 kerana menganggap hal itu sebagai bonus buat mereka yang rajin berusaha.
"Kalau kita berjaya buktikan yang kita adalah seorang pelakon hebat, popular itu akan datang juga. Ia sebagai satu kitaran kerana boleh hadir dan pergi begitu sahaja.
"Justeru, saya tidak mahu menjadi popular semata-mata tetapi ingin membuktikan dahulu bahawa saya boleh melakukan yang terbaik. Jika kita buktikan bahawa kita pelakon yang berkualiti, itu sudah cukup untuk membuka mata penerbit dan pengarah," ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.
Disebabkan memikirkan masa depannya juga, Aman yang memiliki ketinggian 178 sentimeter itu memilih dunia lakonan komersial berbanding bergiat di pentas teater.
"Itu bukan bermaksud teater tiada masa depan. Cuma, teater sedikit sukar berbanding pelakon komersial yang mendapat pulangan yang lebih.
"Keutamaan saya kini adalah untuk memberi tumpuan bergelar pelakon berjaya dahulu. Namun, teater juga penting kerana di situlah ruang untuk seorang pelakon mengasah kemahirannya," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Biarpun kariernya dalam bidang ini bermula sejak dua tahun lalu, namun, nama pelakon muda itu hanya mekar baru-baru ini.
Pelakon yang pernah terlibat dalam beberapa buah drama termasuklah Cinta Gadis Igal-Igal dan Sebenarnya Saya Isteri Dia itu mengaku bahawa penonton sudah menyedari kehadirannya dalam industri perfileman setelah menjayakan watak Muaz dalam drama Derhaka Seorang Madu di saluran TV3.
"Syukur, walaupun masih ramai yang tidak ingat nama saya, tetapi sudah ada yang mula memerhatikan lakonan saya selepas terlibat dalam beberapa buah drama.
"Pastinya, ia akan menjadi batu loncatan untuk saya menonjolkan diri kepada khalayak. Sebab itu juga, saya menjadi lebih yakin untuk mendedahkan diri kepada rakan-rakan media. Sekurang-kurangnya apabila ditemu ramah, saya boleh bercerita tentang produk lakonan," katanya yang mengagumi bakat lakonan Zamarul Hisham dan Faizal Hussein.
Dalam perkembangan sama, Aman merupakan salah seorang peserta yang terlibat dalam rancangan Liga Lawak Superstar yang dibarisi para pelawak tempatan dan pelakon di saluran TV3.


'Deejay ada magis' - Faizal Ismail

Posted: 05 Oct 2013 05:55 PM PDT



SEAWAL pukul 4.30 pagi, lelaki dengan nama Faizal Ismail bangkit meninggalkan tilam empuk untuk menjalani rutin harian. Dikenali dengan nama FBI, dia sudah terbiasa dengan perjalanan pagi atas tuntutan kerjanya di stesen radio Hot FM dan mengendalikan segmen Hot FM AM Crew bersama AG dan Fara Fauzana bermula pukul 6 pagi.
"Selalunya, saya tidur pukul 12 tengah malam. Badan sudah terbiasa dan kalau mengantuk, saya akan cas bateri pada waktu tengah hari dengan tidur selama sejam. Selain itu juga saya mengamalkan pengambilan suplemen seperti multivitamin dan vitamin C. Paling penting kena jaga emosi, selalu relaks dan memberikan senyuman kepada orang," terang Faizal memberikan tips keseimbangan hidupnya.
Sudah 13 tahun dalam bidang penyiaran, Faizal memberitahu bahawa pada awalnya, dia bukanlah seorang yang becok, malah boleh dikatakan pendiam.
"Saya memang tidak banyak bercakap seperti mak dan ayah saya. Tetapi, sejak saya memasuki aktiviti pidato dan perbahasan di sekolah, rentak itu berubah. Aktiviti tersebut membina keyakinan diri saya," ceritanya yang menganggap sikap spontan memang ada dalam diri setiap manusia.


Kotak pamer kelas tersendiri

Posted: 05 Oct 2013 05:55 PM PDT


PIHAK Warner Music yang merupakan label rakaman naungan kumpulan Kotak telah merealisasikan pengalaman wartawan Malaysia yang mahu menonton konsert hebat grup tersebut.


SEMBILAN tahun belum cukup untuk mematangkan sesebuah grup. Apatah lagi untuk grup muda yang masuk memperjudikan karya dalam sebuah industri muzik yang besar, Indonesia.
Namun Kotak bagai kalis angka dan usia. Persembahan dengan judul Konsert Ener9i Rock Never Dies membuktikan bahawa Tantri, Chua dan Cella sedang berada dalam fasa matang dan berjaya meletakkan mereka pada kelas atas.
Persembahan mereka di MEIS Ancol, Jakarta Utara pada Jumaat lepas merupakan satu pembuktian. Penuh tenaga dan perjalanan konsert itu sendiri menunjukkan kesungguhan pihak pasukan pengurusan Kotak dan Trans 7 mempamerkan sesuatu yang meninggalkan kesan di dalam jiwa.
Hebatnya Energi
Konsert yang dibawakan secara langsung di saluran Trans 7 ini merupakan konsert ulang tahun ke sembilan Kotak.
Tembakan pencahayaan menghidupkan suasana ditambah dengan pembentukan set pentas yang membenarkan penonton menyaksikan dari empat penjuru persis sebuah kotak sekali gus membuatkan konsert ini tampak dan berada di kelas yang hebat.
Suara Tantri menggila ke penjuru pendengaran para peminat grup itu terutamanya Kerabat Kotak (panggilan untuk peminat Kotak) yang datang dari jauh dan dekat. Konsert itu ditambah dengan kehebatan Chua sebagai gadis pemetik bes manakala Cella, jejaka yang kurang bercakap namun tetap hebat beraksi dengan gitarnya.
Kotak membuka acara di sebalik sebuah kotak gergasi yang dibikin daripada empat televisyen bersaiz besar yang mempamerkan sedutan persembahan Kotak yang terdahulu.
Tiga set dram diletakkan pada tiga penjuru dan mereka seperti biasa memanggil pemain dram jemputan ekoran masih enggan mencari anggota tetap buat Kotak.
Teriakan suara Tantri seolah-olah mengawal suasana konsert. Ia sekali gus menandakan konsert Rock Never Dies ini bakal menggila hingga ke akhir.
Kotak tampil sangat bertenaga pada malam itu dengan sejumlah lagu handalan mereka seperti Tendangan Dari Langit, Lupa Ingatan, Kecuali Kamu, Apa Bisa dan Beraksi.
Menariknya juga untuk konsert ini, Kotak membawakan beberapa lagu yang tidak biasa mereka bawakan di layar televisyen. Ia sesuatu yang sentiasa dinantikan oleh Kerabat Kotak tentang sebuah kelainan daripada persembahan layar televisyen Kotak.
Bagi memeriahkan suasana konsert yang berlangsung selama dua jam ini, grup itu mengundang gabungan bintang rock Indonesia iaitu Sandy PAS Band, John Paul Ivan, Abdee Slank, Yuke dan Zian untuk berkolaborasi medley lagu-lagu Tong Kosong, Semut Hitam dan Bongkar.
Sementara itu, kolaborasi lainnya diisi oleh Bondan Prakoso untuk lagu Terbang. Acara itu turut dimeriahkan dengan hadirnya Feydy The Painkillers dan Alsa.
"Ia adalah momen terindah kami pada ulang tahun yang kesembilan," ujar Tantri pada akhir konsert tersebut. Mereka turut mengajak Kerabat Kotak untuk mengabadikan momen tersebut dengan kamera masing-masing dan memuat naik gambar secara langsung melalui akaun Twitter.
TANTRI selaku vokalis mempunyai kebolehan menyanyi dengan penuh bertenaga dan mantap. Malah, dia juga pandai mencuri hati peminat dengan skil komunikasinya.


Konsert itu bukan hanya pertunjukan kehebatan untuk setiap ahli grup Kotak yang semakin dewasa dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki mereka. Ia juga membuktikan bahawa grup yang berusia sembilan tahun ini boleh membikin sesuatu untuk sebuah pembuktian bahawa mereka bergerak bukan hanya dengan material tetapi juga kehebatan beraksi di pentas.
Lebih daripada itu, ia dianggap menjalin silaturahim yang kuat antara Kotak dan peminat mereka iaitu sebuah apresiasi bahawa Kotak sentiasa memerlukan mereka sebagai inspirasi untuk masa hadapan.
Kotak sembilan tahun
Pada satu sidang media yang diadakan di tapak konsert baru-baru ini, Kotak sempat meluangkan masa sebelum bermulanya acara. Nampak keterujaan namun berbalut gemuruh yang tidak disembunyikan terutamanya pada wajah Chua.
Buat Kotak, menginjak usia sembilan tahun tepat pada 27 September 2013, mereka lebih banyak bermuhasabah.
Menurut Chua, Tantri dan Cella, usia sembilan tahun bagi pemuzik masih terlalu muda.
"Sembilan tahun baru permulaan buat kami kerana kami masih harus banyak belajar, berjuang," kata Chua yang sudah pandai memasang bulu mata palsu.
"Kami harus belajar cara menjaga penyatuan grup, membuat karya baharu dan semoga perjalanan gup ini tidak hanya sampai di sini," lanjut Chua.
Dalam kotak hati mereka, Chua meluahkan bahawa mereka berharap agar grup yang dibina dengan semangat dan kesamaan ini dapat terus berkarya dan mengukuhkan genre rock yang mereka bawa.
"Semoga boleh sampai 10, 11, 12 tahun dan sampai seterusnya terus bersama dan berkarya," senyum Chua dengan doa.
Memasuki usia sembilan tahun juga, anak-anak muda berjiwa rock ini berkongsi pahit dan manis selama berdiri sebagai Kotak.
"Perkara terberat bagi kami ialah ketika kehilangan anggota grup," kata Tantri merujuk kepada pemergian Posan Tobing dan Icez yang membawa hala tuju masing-masing.
"Paling parah ialah ketika kehilangan pemain dram, Posan Tobing kerana kami sudah bersama sejak sekian lama dan dia tiba-tiba keluar daripada grup ini," tukas Tantri.
"Tetapi, belum ada yang menggantikan dia. Buat masa ini, kami selesa untuk bertiga sahaja," tutup cerita Tantri.


Salman tolak sertai politik

Posted: 05 Oct 2013 05:53 PM PDT

SALMAN KHAN


AKTOR yang popular dalam filem Kuch Kuch Hota Hai, Salman Khan yang kini aktif dalam mengetengahkan isu-isu sosial menegaskan bahawa dia tidak akan menyertai mana-mana parti politik.
Pelakon berumur 47 tahun itu enggan menyertai politik kerana mahu memberi tumpuan terhadap isu-isu sosial.
"Saya tidak mahu menyertai politik tetapi saya akan terlibat dalam isu-isu sosial. Bagi saya, politik merupakan pekerjaan sosial di mana seseorang itu menjaga kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Justeru, katanya, dia enggan melibatkan diri dalam dunia politik.
Salman kini sibuk dengan penggambaran filem Jai Ho dan Kick.


MOJO muncul dengan Romancinta

Posted: 05 Oct 2013 05:53 PM PDT




HANYA dengan sebuah single, grup dengan nama MOJO sudah dapat dikenali dan memikat hati khalayak. Lagu Andai Ku Bercinta Lagi bertanggungjawab memperkenalkan nama grup berkenaan.
Kini tanpa berlengah waktu, grup itu tampil lagi dengan single terbaharu yang berjudul Romancinta.
Grup MOJO merupakan sebuah super band di bawah naungan KRU Music dianggotai oleh Aweera (bekas finalis OIAM), selaku vokalis utama, komposer/ penerbit ternama Edry sebagai pemain synthesizer, Denny selaku gitaris dan pemain dram, Johar (bekas anggota kumpulan TILU).
Menerusi single Andai Ku Bercinta Lagi selaku single pertama, grup itu telah berjaya menjulang nama di persada seni tanah air dan antarabangsa.
MOJO telah dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-19, layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-27, dan memenangi Vokal Terbaik pada Festival Muzik Asian Pop Hong Kong (HKAMF 2013).
Malah lagu Andai Ku Bercinta Lagi juga telah meraih anugerah lima kali platinum (melebihi sejuta muat turun bagi lagu Andai Ku Bercinta Lagi) daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
MOJO juga terpilih menyanyikan lagu Dark Clouds iaitu lagu tema filem antarabangsa keluaran KRU Studios Vikingdom yang dipasarkan di 80 buah negara mulai 12 September 2013.
Kini, MOJO mempertaruhkan single baharu berjudul Romancinta yang membawa maksud perasaan romantis dalam cinta atau merasa cinta di dalam hati.
Lagu dan lirik ciptaan Edry ini berkisar tentang keperitan seseorang selepas kehilangan cinta sejati, namun tetap setia menunggu cinta agungnya untuk kembali lagi.
"Liriknya yang amat mendalam dan menyentuh jiwa, Romancinta merupakan sebuah lagu yang memberi cabaran kepada saya dari segi vokal dan ia disampaikan dengan penuh emosi ketika sesi rakaman. Kami bersepakat memilih Romancinta sebagai single kedua dan kerana yakin dengan kekuatan lagu tersebut yang bakal menyaingi Andai Ku Bercinta Lagi," ujar Aweera, vokalis kumpulan MOJO.
Sejajar dengan rangka promosi yang menyeluruh untuk single Romancinta, KRU Music telah membelanjakan kos melebihi RM60,000 untuk klip video yang diarahkan oleh pengarah muda, Waan Hafiz.
Selain persembahan mantap MOJO , muzik video Romancinta turut menampilkan pelakon popular Amar Asyraf dan beliau telah berjaya melakonkan watak pemuda yang kecewa dengan kecurangan cinta sejatinya. Muzik video Romancinta akan dilancarkan secara rasmi di YouTube penghujung bulan Oktober nanti.
Istimewa bagi peminat setia MOJO, Romancinta boleh didapati dalam EP kedua MOJO yang dipasarkan mulai 20 September 2013.
Berkonsepkan Ruby iaitu bertemakan warna merah EP ini turut memuatkan lagu Dark Clouds. Versi instrumental bagi kedua-dua buah lagu tersebut turut ditampilkan.
EP tersebut akan diedarkan secara digital di i-Tunes dan platform-platform digital, juga pembelian secara online di Facebook United Studios.
Ia juga boleh didapati di semua cawangan Rock Corner, Muzik Valley dan Speedy berhampiran dengan anda pada harga RM16.90.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari Facebook MOJO www.facebook.com/TheMojoNetwork dan saksikanlah secara eksklusif video muzik Romancinta.


Fasa berkobar-kobar Zul Ariffin

Posted: 05 Oct 2013 05:52 PM PDT



KELIBAT lelaki bersosok tegap, Zul Ariffin mula disedari menerusi drama kepolisan bersama Skop Production sekitar tahun 2009. Dia bertatih dengan sensasi namun selepas empat tahun lelaki yang mesra disapa sebagai Zul itu sudah ada peminatnya tersendiri.
Sekilas pandang, anak kelahiran Taiping, Perak itu mula selesa menari dan mengikut gerak karier. Tidak sahaja drama televisyen, perlahan-lahan peluang diraih dan pada hari ini, akui Zul, dia gembira dengan setiap rezeki yang tercurah untuknya.
"Biar orang tengok saya ada, biar nama saya tidak begitu popular. Biar kerja yang menggerakkan nama saya. Sekarang, saya gembira dengan perjalanan karier ini. Semakin lama dalam industri, semakin ramai orang yang saya kenali, dapat pula kerja di merata-rata tempat. Semuanya kerana lakonan. Semua itu membakar semangat untuk saya terus berkobar-kobar, bekerja dan bekerja. Dari segi kepuasan, sampai bila pun kita payah hendak berasa puas, tetapi keseronokan kerja itu yang penting buat saya," ujar Zul melepaskan pandangan terhadap tangga-tangga kariernya setakat ini.
Masih menanti filem terbaharunya, Penanggal yang dijangka ditayangkan pada November nanti, Zul juga tidak mahu membebankan diri untuk keterlaluan memikirkan impak setiap kali terlibat dalam filem mahupun drama. Pada Mei lalu, lakonannya sebagai penunggang motosikal kuasa besar dalam Bikers Kental banyak dipuji.
"Saya hanya mahu fokus dan beri sepenuh komitmen, pada akhirnya, biar kerja itu yang bergerak sendiri. Antara filem dan drama, itu dua medium yang berbeza. Impak drama berlainan dengan impak filem. Untuk filem, kalau boleh, saya tidak mahu asal ada, ambil apa sahaja watak sebab saya percaya skala lakonan dalam filem tak sama macam dalam drama," katanya yang melakonkan watak lelaki keturunan Arab dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriaty Omar itu.
Sedang serius menjalinkan hubungan bersama Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai, Zul Ariffin, 27, membiarkan hubungan itu seiring dengan prestasi kerjaya. Kata Zul, biarlah suatu hari nanti, kelibatnya juga dihormati sebagai pelakon berkarisma sebagaimana pelakon-pelakon hebat terdahulu yang disegani oleh khalayak pada masa ini.
"Susah untuk menjadi seseorang yang hebat dan cita-cita itu masih terlalu jauh untuk saya. Saya harus terus berbaik sangka terhadap semua orang, berlakon dengan lebih ramai pelakon dan pengarah hebat," katanya yang kini muncul menerusi drama bersiri Janji Adam di TV3.
Sekali lagi membawa peranan utama, kali ini Zul menggalas watak Adam, anak sulung dalam keluarga yang berjanji kepada ibunya untuk menyatukan semula dua orang adiknya yang terpisah sejak kecil.
"Janji Adam ialah janji Adam kepada ibunya untuk cari semula dua adiknya yang diserahkan kepada keluarga angkat sejak kecil. Pencariannya berhasil dan dalam waktu yang sama dia menemui Aishah, seorang gadis yang menawan hatinya. Dari situ juga bermula konflik, dan drama itu masih lagi dalam penggambaran," beritahu Zul yang banyak bermain cangkul dan tanah di bawah terik matahari sepanjang penggambaran drama berkenaan.
Sebelum menutup cerita, Zul menambah: "Saya sudah biasa bawa watak pemuda kampung, itu bukan kerja yang susah tapi yang susahnya untuk kembali cerahkan kulit yang hangus terbakar. Setakat ini, ada tawaran ke negara musim sejuk untuk satu penggambaran. Kalau boleh bertukar angin seronok juga, sudah berbulan asyik duduk kampung dan mencangkul, sesekali nak juga berlakon berangan ke lokasi indah. Tapi, setakat ini saya tidak beri kata putus pun lagi."


Maruah aktres 'gred A' Bollywood

Posted: 05 Oct 2013 05:51 PM PDT

RANI MUKHERJEE


AKTRES tersohor di Bollywood, Rani Mukherjee dan Kareena Kapoor antara yang menjaga batas maruah ketika berlakon biarpun kerap mengenakan kostum yang menjolok mata.
Tanpa berfikir panjang, kedua-dua mereka akan menolak tawaran untuk beraksi tanpa seurat benang di badan.
Walaupun adegan intim, aksi mengghairahkan atau babak bercumbu pada layar lebar seolah-olah menjadi trend baharu dalam naskhah buatan India itu, namun mereka utuh dengan pendirian masing-masing.
Baru-baru ini seorang pengarah filem Bollywood, Tigmanshu Dhulia mendedahkan bahawa dua bintang tersebut menolak tawaran untuk berlakon dalam naskhah baharunya atas alasan tersebut.
Rani, 35, dan Kareena, 33, pada awalnya suka dengan skrip filem Begum Samru itu kerana ia sebuah naskhah yang berbeza, namun setelah meneliti skrip, mereka berpegang pada pendirian itu.
Beberapa babak dalam filem tentang zaman abad ke-18 di India itu memerlukan heroinnya untuk tampil tanpa seurat benang di hadapan kamera selain babak-babak separuh bogel.
Pengarah tersebut mengaku bahawa watak sebagai puteri perwira itu merupakan watak idaman kebanyakan pelakon, tetapi tuntutan babak panas tersebut membuatkan ramai pelakon gred A berasa tawar hati.
"Secara jujurnya, saya beritahu bahawa watak itu memerlukan banyak babak yang mendedahkan tubuh. Saya ada berbincang dengan Rani dan dia menyukai skripnya. Malangnya, dia menolak tawaran itu kerana enggan berbogel.
"Kareena juga memberikan alasan yang sama. Justeru, saya tidak fikir bahawa kebanyakan pelakon hebat dalam industri perfileman akan menerima tawaran itu.
"Jadi, sebagai penyelesaiannya saya akan mencari pelakon antarabangsa untuk menggantikan tempat itu," kata pengarah berumur 46 tahun itu.
KAREENA KAPOOR


Biarpun sebelum ini Kareena pernah menjayakan aksi ranjang dalam beberapa naskhah seperti Heroine, Omkara dan aksi bercumbu dengan aktor Aamir Khan dalam filem 3 Idots, isteri kepada pelakon Saif Ali Khan itu ada alasannya yang tersendiri.
"Filem itu (Begum Samru) begitu sarat dengan kandungan 'panas' dan tabu. Saya tidak mahu melakukannya apatah lagi kini sudah bergelar isteri," katanya yang sebelum ini mengaku dia enggan mencampurkan urusan kerja dengan keluarga.
Pada tahun 2009, Kareena yang popular menerusi beberapa naskhah seperti Kabhi Khushi Kabhie Gham, Asoka dan Refugee itu pernah berbikini dalam filem Kambhaqt Ishq ketika berlakon di sisi aktor sasa, Akshay Kumar.
Portal Spiceam.ca itu turut melaporkan bahawa Rani yang sudah terlibat dalam kira-kira 50 buah buah filem sejak tahun 1992 dikatakan semakin meletakkan diri pada aras sendiri dengan menolak tawaran yang dilihat sebagai murahan itu.
Wanita itu pernah terlibat dalam beberapa buah filem popular seperti Kuch Kuch Hota Hai, Hello Brother, Har Dil Jo Pyar Karega, Chori Chori Chupke Chupke, Kal Ho Na Ho dan Om Shanti Om.
Bagaimanapun, jika pelakon gred A menolak untuk melakonkan aksi 'murahan' itu, berbeza dengan beberapa pendatang baharu yang menjadikan tawaran sebegitu sebagai jalan mudah untuk popular.
Sherlyn Chiopra antara yang berani apabila menjadi bintang Bollywood pertama berbogel dalam majalah lelaki, Playboy.
"Bayangkan, nama saya seperti berada sebaris dengan Marlyn Monroe dan Madonna. Melakukan fotografi itu keputusan paling bijak yang pernah saya buat. Saya tidak menyesal dan menganggapnya sebagai batu loncatan untuk berada di peringkat antarabangsa pula.
Sherlyn, 29, bakal muncul dalam filem arahan Rupesh Paul berjudul Kamasutra 3D. Dalam filem itu, tubuhnya benar-benar dieksploitasi termasuklah melakonkan adegan panas bersama pelakon lelaki. Berdasarkan persetujuan pengarah, Sherlyn mendedahkan beberapa babak berkaitan di laman sosial YouTube untuk tatapan para peminatnya. Dia juga pernah menyiarkan gambarnya dalam keadaan bogel ketika menunggang seekor kuda putih menerusi Twitter baru-baru ini.
Bollywood juga turut disertai oleh bekas pelakon filem lucah apabila pelakon kelahiran Ontario, Kanada, Sunny Leone tampil dalam filem Jism 2. Dalam filem yang ditayangkan pada tahun lepas itu, Sunny tampil seksi dengan melakonkan aksi ranjang.
Selain itu, Priyanka Bose, Poonam Pandey dan Veena Malik antara pelakon yang kurang dikenali tetapi tidak segan untuk mendedahkan tubuh dalam filem-filem lakonan mereka.


14 maut, bas terjunam ke dalam gaung di Mexico

Posted: 05 Oct 2013 05:47 PM PDT


Petugas penyelamat bertungkus-lumus menarik bas yang terjatuh ke dalam gaung di sebuah kawasan luar bandar Mexico kelmarin.


NAUCALPAN, Mexico - Seramai 14 penumpang termasuk seorang kanak-kanak maut dan 24 yang lain cedera apabila sebuah bas yang sarat dengan penumpang terjunam ke dalam gaung di luar bandar Mexico kelmarin.
Bas yang terjatuh itu berada dalam kedudukan terbalik apabila beberapa buah ambulans tiba di tempat kejadian di sebatang rangkaian lebuh raya di bandar Toluca di pinggir bandar Mexico, Naucalpan.
Pejabat pendakwa raya negara Mexico berkata, mereka yang mati itu termasuk sembilan lelaki, empat perempuan dan seorang budak lelaki.
Pentadbir bandar Naucalpan berkata, budak lelaki itu memakai pakaian seragam pelajar baru sekolah tinggi.
Pejabat pendakwa raya dan Pertubuhan Palang Merah berkata, seramai 12 mangsa mati di tempat kejadian. Sementara seorang mangsa meninggal dunia di dalam ambulans akibat kecederaan teruk dan mereka yang lain mati di sebuah hospital di bandar Mexico.
Seorang jurucakap Pertubuhan Palang Merah berkata, seramai 24 mangsa lain cedera dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 6.38 pagi (waktu tempatan) itu.
"Dua buah helikopter dan beberapa buah ambulans dikejarkan ke tempat kejadian untuk membawa mangsa yang cedera ke beberapa buah hospital," katanya.


Rawat pesakit tanpa bantuan ubat

Posted: 05 Oct 2013 05:45 PM PDT


AHMAD KHAIRIL (kiri) akan memberitahu pelanggannya bahawa pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh akan dilakukan terlebih dahulu di klinik gimnasiumnya.


JIKA dilihat dari luar, Klinik Ideal di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur ini seakan-akan sama sahaja seperti klinik-klinik lain.
Namun, sangkaan tersebut mulai meleset apabila kru Jurnal mendapat tahu klinik tersebut turut menyediakan perkhidmatan klinik gimnasium perubatan selain beroperasi seperti klinik sedia ada.
Pemiliknya, Dr. Ahmad Khairil Faizi Rosli memberitahu, klinik yang dibuka pada penghujung bulan Oktober tahun lalu itu menggabungkan konsep klinik dan gimnasium seperti yang sudah dipraktikkan di negara-negara Eropah serta Amerika Syarikat.
"Sebenarnya, konsep itu sudah lama dipraktikkan di negara-negara Barat yang menggabungkan klinik dan gimnasium. Namun, ia bukan sahaja digunakan untuk melakukan fisioterapi tetapi juga sebagai preskripsi tambahan dalam rawatan penyakit-penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan strok.
"Semua program di gimnasium perubatan yang terdapat di klinik itu adalah berdasarkan garis panduan daripada pertubuhan Kolej Perubatan Sukan Amerika," ujar graduan dari Universiti Edinburgh, Scotland itu.
Pertubuhan itu mengandungi 45,000 anggota dan ditubuhkan pada tahun 1954.
Ahmad Khairil berkata, idea untuk mempraktikkan konsep tersebut diperoleh berdasarkan pengalaman ketika dia bekerja di London selain melalui pembacaan sebelum mengambil keputusan untuk membawa konsep yang sama ke Malaysia.
"Penubuhan klinik dan gimnasium kesihatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan pesakit pada ubat-ubatan seterutamanya untuk penyakit-penyakit yang kronik selain memberi alternatif ke atas rawatan kesihatan serta pengambilan ubat-ubatan.
"Jika mereka benar-benar memerlukan bantuan ubat-ubatan sebagai sokongan, kita akan memastikan ia diambil pada dos yang rendah.
"Buku-buku perubatan sendiri amat menekankan gaya hidup yang sihat diamalkan selain dibantu oleh diet sihat dan ubat-ubatan tetapi senario ini berbeza di Malaysia kerana ubat-ubatan dijadikan pilihan pertama," katanya.
Sesi konsultasi
Menurutnya, pada permulaan perniagaan, ada juga individu yang ragu-ragu dengan konsep yang dibawanya kerana ia masih baharu di Malaysia.
"Alhamdulillah, sambutan yang menggalakkan diterima pada tiga bulan pertama klinik gimnasium perubatan ini beroperasi," ujarnya.
Ahmad Khairil berkata, dia akan melakukan penyelidikan mengenai pesakitnya terlebih dulu sebelum sebarang program kesihatan dilakukan.
Katanya, sebelum para pesakit menjalani program di klinik gimnasium perubatan itu, mereka terlebih dulu akan menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti penyakit, tahap penyakit dan ubat-ubatan yang perlu diambil.
"Saya pernah berdepan dengan situasi apabila seorang pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis, kolesterol dan buah pinggang yang menjalani ujian darah bagi mengetahui tahap penyakit yang dialaminya.
"Saya dapati tahap bacaan buah pinggangnya tidak normal dan pada keesokan harinya saya turut melakukan ujian darah.
"Tetapi, keputusan yang diperoleh menjadi semakin teruk berbanding sebelumnya.
"Justeru, saya mengambil langkah dengan menghentikan pemberian ubat-ubatan yang diambilnya dan memulakan program di klinik gimnasium perubatan. Alhamdulillah, selepas dua bulan dia menjalani program, tahap bacaan buah pinggangnya menjadi normal," katanya yang mempunyai seramai 87 orang pesakit yang menerima rawatan di klinik gimnasium perubatan itu.

SETIAP sesi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman di klinik gimnasium milik Ahmad Khairil.


Menurutnya, ada antara pesakitnya yang tidak dibenarkan mengambil insurans hanya kerana mereka mempunyai tekanan darah tinggi yang kronik tetapi selepas menjalani program yang diketengahkannya itu, tekanan darah tinggi mereka menjadi normal.
Dia menjelaskan, cara pengendalian setiap pesakit bagi program klinik gimnasium perubatan itu berbeza berdasarkan kepada penyakit yang dialami, tahap penyakit serta kemampuan pesakit untuk melakukan latihan fizikal yang sudah diatur untuk mereka.
"Setiap pesakit akan menjalani sesi konsultasi selama satu jam yang melibatkan panduan kesihatan, rawatan senaman fizikal dan konsultasi diet yang betul.
"Kita tidak menjalankan sesi konsultasi dalam kaedah berkumpulan sebaliknya memfokuskan kepada seorang pesakit sahaja pada satu-satu masa kerana setiap pesakit mempunyai matlamat yang berbeza.
"Pada sesi konsultasi itu, pesakit akan ditunjukkan dengan graf mengenai keadaan diri mereka selain menjalani sesi senaman dan kaunseling pemakanan," tambahnya.
Dia memberitahu, para pesakit bakal memperoleh keputusan yang bagus sekiranya mereka mengikuti apa yang telah disarankannya.
Konsisten
Ujarnya, kos sebanyak RM60 hingga RM75 dikenakan kepada pesakit bagi setiap sesi.
Klinik itu menawarkan program tersebut berdasarkan pakej iaitu untuk 12 sesi, bayaran yang dikenakan ialah RM900.
Bayaran untuk program yang mengandungi 18 sesi ialah RM1,300 dan para pesakit yang mengikuti 24 sesi dikenakan bayaran sebanyak RM1,680.
"Klinik gimnasium perubatan ini terbuka kepada semua peringkat umur dan terpulang kepada para pesakit untuk mengambil sesi-sesi itu berdasarkan nasihat doktor mengikut tahap penyakit yang dialami mereka.
"Selain itu, kita meletakkan harga yang jauh lebih murah berbanding gimnasium yang sedia ada bagi memberi pilihan kepada para pelanggan.
"Peralatan yang digunakan di gimnasium perubatan ini juga di import dari luar negara seperti Itali," ujarnya.
Sudah menjadi adat perniagaan, pasti terdapat cabaran dan kliniknya juga tidak terkecuali kerana ia terpaksa bersaing dengan gimnasium-gimnasium yang sudah terkenal.
"Selain cabaran dari segi persaingan, kita juga turut mempunyai cabaran untuk melatih para pesakit supaya hidup secara sihat dan berdisiplin.
"Saya sering tekankan tentang perkara itu perlu dilakukan secara konsisten supaya para pesakit mencapai tahap kesihatan yang bagus. Tetapi, ada antara pesakit yang tidak mahu meneruskan sesi selepas mereka memperoleh keputusan yang diinginkan.
"Ada juga yang sudah membayar pakej penuh untuk menyertai program gimnasium perubatan tetapi dia hanya menyertai sekali sesi sahaja.
"Malah, pesakit itu juga lebih selesa bergantung kepada ubat-ubatan berbanding melakukan senaman walaupun mempunyai penyakit tekanan darah tinggi yang kronik ketika berumur 33 tahun," jelasnya.
Firdaus memberitahu, pihaknya turut menawarkan program menaikkan berat badan untuk pesakit yang mempunyai berat badan rendah yang tidak normal.
Tambahnya, pesakit tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka ketika melakukan senaman kerana setiap sesi konsultasi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang kecergasan iaitu Mohd. Rakin Abdul Rahim, 28.
"Sekiranya berlaku kecemasan, para pesakit tidak perlu khuatir kerana doktor akan ada bersama mereka sepanjang sesi berlangsung.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Faidzi Abdul Aziz, 34, dan Marlia Othman, 33, klinik gimnasium perubatan itu menawarkan konsep yang unik yang tidak pernah ditawarkan di klinik lain.
"Saya mula menyertai klinik gimnasium perubatan ini kira-kira tiga bulan yang lalu untuk program kecergasan dan penurunan berat badan.
"Sebelum ini, saya pernah juga mendaftar sebagai ahli di sebuah pusat gimnasium tetapi saya tidak mendisiplinkan diri bagi memperoleh berat badan yang diingini.
"Selain lokasinya yang berdekatan dengan rumah, jadual waktu program yang fleksibel juga menjadi punca saya memilih klinik gimnasium perubatan ini sebelum mencadangkannya kepada suami untuk mengikut program menaikkan berat badan dan merawat masalah kolesterol kronik yang dialaminya selama enam tahun," ujar ibu kepada empat orang anak ini.
Seorang ahli perniagaan, Azlin Othman, 43, berkata, sejak menyertai klinik gimnasium perubatan itu, dia merasakan terdapat perubahan di dalam dirinya yang sebelum ini kerap letih apabila melakukan kerja.
"Saya tiada masa untuk ke gimnasium kerana sibuk menguruskan perniagaan tetapi apabila mendapati badan kerap letih, saya merasakan perlu melakukan sesuatu sebelum terlewat apatah lagi di peringkat umur seperti ini selain jadual programnya sangat fleksibel," jelasnya.


Misteri cahaya berbentuk bulat

Posted: 05 Oct 2013 05:44 PM PDT


CAHAYA ganjil yang berbentuk bulat dapat dilihat oleh sejumlah orang di beberapa tempat di Zimbabwe.


SEJAK lebih satu abad lalu, satu cahaya misteri yang berbentuk bulat kelihatan di banjaran gunung Ozark di tengah Amerika Syarikat (AS).
Kawasan pergunungan itu terletak di selatan negeri Missouri dan timur laut negeri Oklahoma di AS.
Fenomena itu dikenali sebagai lampu hantu telah menyebabkan ramai penduduk tempatan bingung kerana mereka tidak tahu punca yang menyebabkan kemunculan cahaya tersebut pada waktu malam.
Cahaya tersebut kelihatan terapung-apung di kawasan hutan di kawasan pergunungan itu yang dikenali sebagai Devils's Promenade yang terlepas di sempadan barat daya Missouri dengan timur laut Oklahoma.
Kawasan itu terletak tidak jauh dari bandar Hornet, Missouri.
Cahaya lampu ganjil itu dikenali dengan pelbagai nama seperti Ozark Spook Light, Hollis Light, Hornet Spook Light, Hornet Ghost Light, Joplin Ghost Light, Devil's Jack-O'Lantern dan Tri-State Spook Light.
Menurut portal berita Examiner.com kelmarin, pada tahun 1948, Kor Jurutera Tentera AS telah menyiasat tentang cahaya misteri itu.
Bagaimanapun, pihak tentera itu gagal menemui punca yang menyebabkan cahaya tersebut muncul.
Pihak kerajaan AS memutuskan punca kemunculan cahaya itu masih tidak diketahui.
Baru-baru ini, kumpulan Pemburu Hantu Missouri berjaya merakamkan gambar cahaya misteri itu bagi membuktikan tentang kewujudannya.
Berdasarkan rakaman itu yang turut disiarkan di laman YouTube, terdapat dua cahaya ganjil di atas kawasan pergunungan tersebut.
Satu cahaya bulat itu kelihatan berkelip-kelip.
Terdapat satu lagi cahaya kecil yang berbentuk hampir bulat bersinar-sinar di langit.
Namun, bentuk cahaya itu tidak dapat dilihat dengan sepenuhnya kerana ia dihalang dengan ketinggian banjaran gunung tersebut.
Cahaya yang kecil itu kadangkala membesar dengan tiba-tiba.
Klip video yang menunjukkan cahaya itu dimuat naik sejak 29 September lalu.
Antara teori lain yang mengaitkan kewujudan cahaya itu adalah ia disebabkan pembiasan lampu kereta dan papan tanda iklan.
Namun, teori itu tidak boleh digunakan kerana cahaya lampu itu wujud sejak sebelum adanya papan tanda iklan.
Cahaya itu juga telah muncul sebelum kereta dicipta.
Ia telah wujud sejak tahun 1866 yang dapat dilihat dari sebatang jalan raya di kawasan luar bandar di kawasan berdekatan cahaya misteri itu muncul.
Terdapat cerita legenda yang menyatakan dua cahaya itu adalah roh dua Orang Asli Quapaw yang meninggal dunia di kawasan tersebut.
Ada juga cerita legenda yang menyatakan bahawa lampu itu merupakan roh seorang ketua Orang Asli Osage yang kepalanya dipenggal di kawasan tersebut.
Roh tersebut dikatakan mencari kepalanya yang hilang menyebabkan cahaya itu muncul.
Cahaya itu muncul pada pukul 10 malam waktu tempatan walaupun terdapat angin kuat dan hujan.
Cahaya misteri yang berbentuk seperti bulan juga dapat dilihat oleh sejumlah penduduk di Zimbabwe pada 29 September lalu.
Ia kelihatan bergerak di langit di antara pukul 7 dan 7.15 malam waktu tempatan.
Sejumlah penduduk di Karoi, Mashonaland Barat, Gunung Darwin di Mashonaland dan Mutoko dan Mashonaland Timur mendakwa mereka melihat cahaya tersebut.
Cahaya tersebut berjaya dirakamkan oleh penduduk dan disiarkan di YouTube.
Sebahagian penduduk juga menyaksikan cahaya ganjil itu di Botswana, Afrika Selatan dan Malawi di Afrika.
Ada beberapa penduduk mendakwa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO).
Cahaya itu muncul selama dua minit.
Menurut portal berita New Zimbabwe.com pada 1 Oktober lalu, seorang pensyarah sains dan pemerhatian bumi di Universiti Zimbabwe, Prof. Amon Murwira berkata, cahaya itu mungkin berasal daripada serpihan satelit yang sedang mereput atau daripada sebuah peralatan untuk melonjakkan ketinggian roket ke angkasa lepas.


Cepatlah kahwin Fizz-Almy

Posted: 05 Oct 2013 05:41 PM PDT

FIZZ FAIRUZ dan Almy Nadia.


MINGGU lepas pula, gamat orang bercerita pasal pelakon Fizz Fairuz yang mengaku sudah kembali kepada bekas kekasihnya Almy Nadia. Dahulu mereka putus seketika sebab Fizz ada hubungan dengan wanita lain sampai siap bertunang tetapi kemudian putus dalam tempoh beberapa hari sahaja. Secara pendeknya begitu dan sekarang Fizz memang rasanya dah yakin nak kahwin dengan Almy pada tahun depan.
Kali ini, harap jadilah Fizz dan Almy. Biarpun Fizz suruh Almy kunci mulut supaya jangan bagi komen, Diva rasa Fizz pun kena kunci dulu mulut jangan cakap apa-apa selain bagi tarikh bila nak masuk merisik atau meminang Almy. Jangan cakap nak kahwin sahaja, rasanya pada tahun lepas dan tahun-tahun sebelum ini Fizz dah selalu sebut pasal nak kahwin. Jadi lepas ini, cepat-cepatlah kahwin Fizz, Diva nak dengar berita kahwin itu sebelum Diva bersara tau. Jangan pisang berbuah dua kali.
Diva: Tengok Akademi Fantasia 10 tapi sedih tengok program itu macam tengok Bersamamu!


Prihatin sungguh Iqram Dinzly

Posted: 05 Oct 2013 05:40 PM PDT




SIKAP prihatin terhadap orang sekeliling termasuklah mengambil berat terhadap masalah orang lain memang sikap yang terpuji dan patut dicontohi semua. Sebab prihatin juga, orang macam Diva, Soseh-Soseh, Siti Jarum atau Kak Pora ditempatkan di meja-meja hiburan akhbar tempatan. Tujuannya menjadi mata dan telinga kepada sikap dan sifat yang dirasakan patut ditegur, baik secara terbuka atau berselindung. Maksudnya, tulis nama dan siarkan gambar atau sekadar bagi petunjuk-petunjuk kecil.
Itu cara wartawan hiburan menegur perangai artis, kalau tulis nama dan letak gambar, maknanya ia teguran secara terang-terangan, kalau sekadar tulis artis wanita atau lelaki itu maknanya, kami masih nak jaga air muka artis. Sebenarnya, tiada siapa yang sempurna, artis dan wartawan juga tak sempurna, masing-masing ada silap. Jadi, bila wartawan tegur artis atau artis tegur sikap wartawan, semua boleh jadi.
Sebab itu Diva tidak terkejut apabila pelakon Iqram Dinzly yang menegur penulisan satu ruangan pojok di sebuah akhbar bukan kumpulan Utusan berkenaan satu perilaku artis wanita yang nampak baik depan mata tapi bila di talian telefon, sombongnya, alahai!
Diva faham kedua-dua situasi, situasi Iqram dan penulis gosip berkenaan. Tapi, bila ada komen-komen yang mengata wartawan itu sengaja mahu cari publisiti, itu Diva rasa menyampah. Wartawan tak cari publisiti tapi beri publisiti percuma! Ada juga yang sedap-sedap mulut anggap kerja wartawan hiburan sebagai pekerja yang sarat penyakit hasad dengki (PHD), pemalas dan tidak buat rujukan. Itu semua dikutip hasil daripada luahan Iqram yang memberitahu pengikutnya bahawa media memang begitu. Suka menghukum atas satu alasan.
Bagi Diva, apa yang terjadi tentang artis wanita itu mungkin betul. Ada artis tak kenal wartawan, bila jumpa berjabat salam tapi pusing belakang terus lupa, nama memang tak ambil tahu. Bila telefon cakap nama sekian-sekian, memang dia buat tak tahu sebab tak kenal. Cuba dengan wartawan yang dia kenal nama dan rupa, pasti menunduk takut kena carut.
Diva: Wartawan dan artis saling memerlukan, mujur Diva bukan wartawan.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines