JOHOR BAHRU – Luluh hati seorang ibu selepas dimaklumkan hasil pemeriksaan doktor mendapati anak tunggalnya itu telah diperkosa dan paling memeranjatkan perbuatan terkutuk itu adalah angkara suaminya sendiri.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, kanak-kanak enam tahun dan ibunya berusia 50 tahun itu, kini di tempatkan di rumah perlindungan JKM disebabkan faktor keselamatan sementara kes dalam siasatan.
“Kanak-kanak terbabit memaklumkan dia berasa sakit di bahagian sulit kepada ibunya, namun mangsa tidak menceritakan dia telah dirogol bapanya.
“Disebabkan wanita itu tidak sedap hati, dia membawa anaknya ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan. Bagaimanapun pihak klinik telah mencadangkan kepada ibu mangsa supaya merujuk kepada pihak hospital.
“Ketika itu, wanita yang bekerja sebagai tukang sapu itu masih belum tahu apa yang telah terjadi ke atas anaknya sehinggalah dia membawa anaknya ke hospital dan doktor menasihatkannya membuat laporan polis,” katanya.
Manayi berkata, ibu mangsa yang juga warga negara Indonesia turut mendakwa suaminya berusia, 60 tahun yang bekerja sebagai pemotong rumput kerap memukulnya jika berlaku perselisihan faham.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal JKM, lelaki pemegang status penduduk tetap itu, bertindak melakukan perkara terkutuk ketika isterinya tiada di rumah.
“Kita telah merujuk kanak-kanak terbabit untuk menjalani sesi kaunseling berikutan dia menunjukkan tanda kemurungan dan kurang bercakap,” katanya.
Manayi berkata, wanita itu juga terlalu sedih apabila suami yang diharapkan melindungi keluarga tergamak merosakkan anak sendiri.
Berikutan kejadian tersebut, ibu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya di sini, pada 1 April lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh sahkan menerima laporan terbabit dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes itu disiasat ikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. -SH