Isnin, 4 Mac 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Sam nafi bercinta dengan Fazura

Posted: 02 Mar 2013 10:34 PM PST


SAM dan Fazura mendakwa mereka sekadar kawan biasa.


STATUS tiada kekasih atau teman wanita istimewa yang diketahui umum menjadikan anak bujang Khaty Fauziah, Shaheizy Sam, 30, antara aktor yang terjebak spekulasi cinta di lokasi.
Dia pernah disensasikan bercinta dengan Lisa Surihani ketika sama-sama terlibat dalam filem Sekali Lagi. Kemudian dengan pelakon Wawa Zainal yang sedang meningkat naik.
Sekitar hujung tahun lalu, Sam turut menjadi tumpuan apabila pelakon baharu bernama Syatila Melvin tiba-tiba membuat kenyataan sedang mengenali dan berkawan baik dengan pelakon Adnan Sempit itu.
Tamat fasa pertama tahun ini, Aktor Terbaik Anugerah Skrin menerusi filem Songlap itu sekali lagi berdepan cerita panas. Kali ini, bukan lagi dengan nama-nama baharu atau pelakon yang boleh dianggap sebagai menumpang populariti namanya.
Minggu lalu, Sensasi Bintang menerima satu panggilan telefon menceritakan perihal kisah cinta pelakon yang pernah menjulang anugerah Bintang Paling Popular itu. Sam dikhabarkan kelihatan intim dan beraksi mesra bersama seorang bintang jelita berprofil tinggi, Nur Fazura Sharifuddin. Mereka kelihatan berdua-duaan sedang menikmati sajian makanan Thailand di sebuah restoran di ibu kota.
Umum tahu Sam dan Fazura baru sahaja tamat penggambaran drama bersiri yang menyaksikan mereka pertama kali disatukan dalam naskhah berjudul Kisah Cinta. Persoalannya, adakah Kisah Cinta itu benar-benar mengheret Sam ke alam percintaan bersama Fazura, si cantik yang juga masih solo namun terkenal sebagai pelakon yang menyimpan kemas privasi kehidupan peribadinya.
Jadi benarlah dakwaan yang mengatakan anda dan Fazura ada hubungan istimewa serta sering kelihatan keluar bersama?
Dakwaan mengatakan kami ada hubungan istimewa memang tak betul, tapi memang saya dan Fazura berkawan rapat. Kami akan makan bersama sebaik sahaja habis penggambaran. Kami gembira menikmati makanan dan berbual untuk mendapatkan keserasian.
Sejak bila berkawan?
Sejak selama 50 hari kami berada di lokasi penggambaran yang sama. Kami berlakon drama Kisah Cinta. Dalam drama itu asalnya saya yang pegang watak Johan dan Fazura (Zalea) tidak kenal antara satu sama lain. Tapi kami mula rapat setelah kedua-dua orang tua kami terlibat dalam kemalangan. Sekarang penggambaran telah pun tamat, mungkin ada yang melihat kami ketika penggambaran masih berlangsung.
Sebenarnya sejauh mana hubungan anda dengan Fazura?
Rapat sebagai teman artis. Saya selesa berborak dengan Fazura. Saya kan malu-malu orangnya, jadi kami kena dapatkan keselesaan dengan cara begitu, kena selalu berbual. Bagi saya Fazura gandingan pelakon yang hebat. Setakat itu sahaja.
Betul ke begitu?
Betul, itu Fazuralah dan siapalah saya nak memikat hatinya. Tolonglah jangan buat cerita ini jadi panas. Kalau nak tahu lebih, kenalah tunggu Kisah Cinta yang tayang tidak lama lagi.
Selain Fazura, dengarnya anda mahu kembali menyanyi dan aktifkan semula MOB yang sudah 10 tahun menyepi?
Saya bukan menyanyi tapi rapping. Dulu saya memang bersama kumpulan R&B dinamakan MOB. Kami ada merakam sebuah album mini pada tahun 2002, malangnya album itu terperap begitu saja. Sekarang, saya fikir lebih baik lagu-lagu dalam album itu dilancarkan semula.
Dulu kerana minat dan sekarang setelah berjaya dalam lakonan kenapa ingin kembali ke bidang muzik, adakah bosan dengan lakonan?
Bukan begitu, saya cuma rasa sayang kalau ada karya tapi terperap begitu. Ini kira-kira projek suka-suka, tak harapkan apa-apa. Saya juga nak peminat saya tahu siapa saya sebelum ini, itu sahaja.

'Bunohan' Bolot 5 Trofi FFM25

Posted: 02 Mar 2013 10:33 PM PST

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (tiga dari kiri) menyaksikan barisan penerbit, pengarah dan para pelakon filem Bunohan yang memenangi Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam Sabtu. Turut sama ialah Pengarah Filem Bunohan, Dain Iskandar Said (lima kiri).
PUTRAJAYA: Filem Bunohan arahan Dain Said membawa tuah buat pengarah itu apabila diangkat sebagai filem terbaik Anugerah Perdana Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, Sabtu.
Kemenangan yang menewaskan saingan terdekatnya, filem Songlap itu membolehkan Dain membawa pulang trofi dan wang tunai bernilai RM15,000.
Bunohan turut meraih sebanyak empat anugerah lain iaitu Pengarah Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.
Sebelum itu, pada malam Anugerah Cipta FFM25 yang berlangsung pada Rabu, Bunohan turut merangkul sebanyak tiga anugerah iaitu Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.
Jojo Goh
Filem Songlap pula berjaya merangkul sebanyak empat anugerah iaitu Penyunting Terbaik, Sinematografi Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Selain itu, anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi oleh Maya Karin, menerusi filem Ombak Rindu.
Para pemenang menerima sebuah trofi, wang tunai dan set barangan kemas tajaan Rafflesia.
FFM25 turut memberi lima anugerah khas iaitu Anugerah Khas Sepanjang Hayat Wanita kepada Mariani Ismail, Anugerah Khas Sepanjang Hayat Lelaki (Datuk Aziz Satar), Anugerah Khas Juri Penggiat TV Lelaki (Manomaniam) dan Anugerah Khas Juri Penggiat TV Wanita: (Lai Meng).
Normah Damanhuri
Selain itu Anugerah Khas Juri diberikan khas kepada filem Vaajran.
Dalam pada itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Utama Rais Yatim turut menerima Anugerah Khas Pembela Seni dan Budaya Malaysia.
Terdahulu, FFM25 telah menyampaikan 11 Anugerah Cipta yang berlangsung pada Rabu lalu di e@Curve, Mutiara Damansara.
Acara FFM25 yang dianjurkan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysian (Gafim), Karyawan dan FDAM (Persatuan Pengarah Filem).
Faizal Hussein
Berikut adalah pemenang-pemenang FFM25:
Filem Terbaik: Bunohan (Dain Said)
Filem Bukan Melayu Terbaik: Petaling Street Warriors (Juita Entertainment Sdn Bhd)
Pengarah Filem Terbaik: Bunohan (Dain Said)
Cerita Asal Terbaik: Bunohan (Dain Said)
Lakon Layar Terbaik: Bunohan (Dain Said)
Sinematografi Terbaik: Songlap (Haris Hue Abdullah)
Penyunting Terbaik: Songlap (Wong Hui Lynn)
Filem Box Office: Ombak Rindu
Pelakon Lelaki Terbaik: Bunohan (Faizal Hussein)
Pelakon Wanita Terbaik: Ombak Rindu (Maya Karin)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Songlap (Syafie Naswip)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Songlap (Normah Damanhuri)
Pelakon Harapan Lelaki Terbaik: 29 Februari (Izzue Islam)
Pelakon Harapan Wanita Terbaik: 29 Februari (Jojo Goh)
Anugerah Khas Sepanjang Hayat Wanita: Mariani Ismail
Anugerah Khas Sepanjang Hayat Lelaki: Datuk Aziz Satar
Anugerah Khas Juri Penggiat TV Lelaki: Manomaniam
Anugerah Khas Juri Penggiat TV Wanita: Lai Meng
Anugerah Khas Pembela Seni dan Budaya Malaysia: Datuk Seri Utama Rais Yatim

Aktivis Ruby Khong Rangkul Anugerah Utama Bella Awards 2013

Posted: 02 Mar 2013 10:32 PM PST

Datuk Ruby Khong
KUALA LUMPUR: Aktivis Datuk Ruby Khong dinobatkan sebagai pemenang trofi utama 'Bella Awards' (BA) yang diadakan di Hotel Royal Chulan, di sini, Sabtu.
Beliau yang turut memenangi kategori 'Bella Heart' dipilih kerana terlibat secara aktif dalam aktiviti kemanusiaan dan kebajikan.
Acara anugerah khas buat kaum wanita yang julung kali diadakan itu turut menobatkan Datuk Siti Nurhaliza dalam kategori 'Bella On-Stage Award' yang dipilih mengikut undian penonton menewaskan Jaclyn Victor, Ning Baizura, Datuk Sheila Majid dan Shila Amzah.
Selain lima kategori utama yang ditentukan juri profesional, BA turut mengangkat sumbangan lelaki kepada wanita dan masyarakat menerusi 'Bella Mars' yang dimenangi oleh Datuk Jimmy Choo.
Sementara itu, Ruby menyifatkan kemenangannya dapat memberi motivasi dan galakkan kepada masyarakat untuk tampil membuat kebajikan.
"Saya percaya apa yang saya lakukan dan saya berharap selepas ini ramai wanita yang berani tampil membantu golongan yang memerlukan," katanya pada sidang media selepas majlis Bella Awards, di sini, Sabtu.
Berikut adalah senarai pemenang dalam kategori yang dipertandingkan:
Bella Creative: Low Ngai Yuen
Bella Style: Gillian Hung
Bella Beautiful: Dr. Premitha Damodaran
Bella Business: Datuk Rosaline Ganendra
Bella Heart: Datuk Ruby Khong
Bella Mars: Datuk Jimmy Choo
Bella On-Screen: Debbie Goh
Bella On-Stage: Datuk Siti Nurhaliza
Bella Sports: Cheong Jun Hoong
Bella Radio: Fara Fauzana
Anugerah yang mengiktiraf martabat wanita itu bertemakan 'She Sparkles' dan disiarkan secara langsung pada tepat pukul 9 malam di siaran ntv7.
Majlis turut diserikan dengan kemunculan artis antarabangsa Ronan Keating dengan menyampaikan lagu popularnya, When You Say Nothing At All dan Fires diikuti beberapa artis popular seperti Rossa, Marcell, Mizz Nina, Garry Chaw, Darren Ashley dan Maliq and D'Essentials.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengarang Kumpulan, Berita dan Rangkaian Radio Media Prima, Datuk Manja Ismail serta pengurus Besar Kumpulan ntv7, 8TV, Airin Zainul.
Anugerah yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu diilhamkan daripada sebuah rancangan temu bual wanita terbitan ntv7 iaitu Bella, sebuah program yang memberikan inspirasi buat wanita menerusi topik-topik berinformasi berkaitan golongan itu.

Gambar Dimanipulasi, Shila Akan Ambil Tindakan

Posted: 02 Mar 2013 10:32 PM PST

Gambar yang dicuri oleh individu dan dimuat naik ke akaun palsu yang mendakwa Shila mengkritik produk 1Malaysia.
HULU LANGAT: Penyanyi Shila Amzah, 23, mengakui kesal dengan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang telah mencuri dan memanipulasi gambar miliknya melalui akaun palsu Instagram.
Menurut Shila, dia akan mengambil tindakan jika perkara tersebut terus berlanjutan sehingga menjejaskan kredibilitinya sebagai artis dan duta kepada program IM4U.
"Saya sangat sedih melihat perkara itu apabila gambar saya yang di muat naik di Instagram di curi oleh pemilik akaun palsu yang menggunakan identiti saya.
"Mereka menulis kata-kata yang tidak sepatutnya tentang 1 Malaysia sedangkan saya adalah duta kepada program kerajaan IM4U," katanya kepada media, baru-baru ini.
Shila berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beliau mengkritik produk yang dilabelkan sebagai barangan 1 Malaysia dan penyanyi ini turut difitnah cuba mempersendakan slogan '1 Malaysia' yang selama ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Shila Amzah
Shila turut mengesa agar individu yang tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan tersebut sebelum menjadi lebih serius.
"Perkara ini jika tidak dikawal selia akan jadi lebih serius, saya harap individu tersebut hentikan perbuatan tidak berfaedah ini," ujarnya.
Jelasnya, tujuan sebenar gambar itu dimuat naik ke akaun Instagram miliknya adalah hanya untuk berkongsi bersama peminat yang sentiasa ingin mengetahui perkembangan dan aktiviti sehariannya.
"Saya memang sering muat naik gambar-gambar terkini dan tidak sangka akan dicuri dan dimanipulasi. Apa yang pasti peminat saya tahu itu bukan akaun saya dan orang ramai pasti dapat menilai sendiri mana yang benar dan salah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shila sekeluarga yang akan berangkat ke tanah suci Mekah selama dua minggu bagi menjalani ibadah umrah pada 6 Mac ini berharap dapat melalui segala dugaan dan kontroversi yang menimpa dia dan keluarga dengan tenang.

Pilih lelaki beriman, Pesan ND Lala buat Shila

Posted: 02 Mar 2013 10:30 PM PST


Shila Amzah
Shila Amzah
ND Lala
ND Lala
Penyanyi terkenal era 80-an, ND Lala menegaskan dia tidak mengongkong jodoh anaknya, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah dan berpegang kepada empat perkara iaitu jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan ALLAH SWT.

Katanya, dia tidak letak kriteria mana-mana lelaki mahu mendekati Shila, namun berharap lelaki yang bakal jadi suami Shila beriman dan mampu bimbing Shila ke arah kebaikan.

"Jika ditanya pada mana-mana ibu bapa beragama Islam di negara ini, mereka pastinya mahu lelaki beriman untuk anak perempuan mereka dan begitu juga saya sebagai bapa, saya mahu yang terbaik untuk anak-anak saya.

"Dari segi kriteria tertentu lain, saya tidak kisah sangat kerana yang akan berkahwin bukan saya, tetapi tuan empunya badan. Tapi selagi saya hidup, saya akan beri pendapat kepadanya," ujarnya.

Bagaimanapun, ND Lala sebelum itu, memohon maaf kerana tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu kehilangan Shila serta apa saja perkara berkaitan kontroversi membabitkan anak perempuannya itu dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

Menurut ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah, 52, pada sidang media khas di rumahnya di Hulu Langat kelmarin, kes kehilangan anaknya tempoh hari kini dalam proses siasatan. Justeru, dia tidak mahu mengulas apa-apa kerana bimbang akan mengganggu siasatan pihak polis.

"Sebaliknya tujuan sidang media malam ini (kelmarin) bagi memberi gambaran jelas perjalanan karier Shila selepas pulang dari umrah dalam dia mencapai kejayaan sebagai penyanyi bertaraf lima bintang di peringkat antarabangsa kelak.

"Jika mahu menanti semuanya selesai, saya tidak pasti bila pula sidang media ini akan diadakan. Namun saya tidak menolak akan ada lagi sidang media selepas ini memandangkan banyak perkara perlu dimaklumkan mengenai perjalanan karier Shila," jelasnya.

Pun begitu, mengulas mengenai apa yang berlaku, ND Lala menyifatkan ia dugaan terbesar sebagai anak seni ketika Shila berada di kemuncak kerjayanya dan hanya berserah kepada ALLAH.

"Shila anak yang baik, kuat bekerja dan yakin dengan apa yang dia lakukan. Banyak cabaran terpaksa dia tempuhi. Apa yang terjadi padanya tak mustahil berlaku juga pada orang lain. Bezanya dia adalah selebriti dan sentiasa diperhatikan. Itu harga yang perlu dibayar iaitu diperhatikan," ujarnya.

Shila berserah


Sementara itu, Shila yang ditemui selepas sidang media tersebut menafikan dakwaan dia melarikan diri dan enggan lagi membuka cerita mengenai perkara yang sudah berlalu.

"Ingin saya jelaskan, saya bukan melarikan diri, tetapi mencari diri saya sendiri. Selama ini apa saja keputusan saya buat, saya sering memikirkan tentang orang lain. Jadi saya akhirnya membuat keputusan untuk bangkit dan fokus saya sekarang hanya pada kerjaya," jelasnya.

Ditebak media adakah dia bersedia membuka pintu hatinya untuk lelaki lain, Shila berkata : "Buat masa sekarang dia tidak memikirkan mengenai soal jodoh kerana bagi saya semua itu terletak pada takdir yang ditentukan oleh ALLAH SWT.

"Jika saya kata saya mahukan lelaki A, mungkin ALLAH SWT telah tentukan lelaki B untuk saya. Jadi saya hanya berserah sahaja, bila kita bercinta, cinta itu jangan melebihi cinta pada ALLAH SWT," ujarnya.

Malah, tatkala ditanya tindakannya memuat naikkan video Ombak Rindu nyanyiannya di Youtube, Shila menjelaskan, video itu sebenarnya tidak ditujukan kepada bekas kekasihnya.

"Tentang video itu, sebetulnya saya muat naik khas untuk ibu bapa saya. Saya tidak ambil pusing apa yang orang lain kata tentang saya. Tapi saya minta maaf kalau ada pihak kurang senang dengan tindakan saya itu," katanya.

Tak sabar tunai umrah

Shila mengakui tidak sabar menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah selepas beberapa kali tertangguh. "Memang dah lama saya nak tunai umrah bersama keluarga, tapi kami selalu kata tunggu ada masa terluang saya.

"Tapi pada Disember lalu, kami rasa tak boleh lagi tunggu ada masa, sebaliknya kami kena cari masa dan akhirnya kami ambil keputusan untuk pergi bulan ini dan saya sudah kosongkan jadual sejak Disember lagi.

"Apa doa saya, biarlah rahsia, tapi saya ingin berdoa di depan Kaabah nanti," katanya.

U Mobile tawar telefon HTC

Posted: 02 Mar 2013 10:27 PM PST


U Mobile tawar telefon HTC
HTC Butterfl y boleh didapati pada harga serendah RM1,488.
Penyedia telekomunikasi U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) minggu ini membuka tawaran baru pelan pascabayar semua dalam satu bagi telefon pintar HTC Butterfly untuk pelanggannya.

Dengan memilih pelan pascabayar U Mobile U88 yang menawarkan data, dan panggilan suara serta SMS percuma di dalam satu pakej, pelanggan boleh membawa pulang HTC Butterfly pada harga dari serendah RM1,488.

"Kami memastikan harga pelan pascabayar kami berpatutan supaya pelanggan dapat memiliki telefon pintar idaman mereka tanpa perlu berbelanja lebih," menurut Pengarah Pemasaran U Mobile Jasmine Lee.

Pelan baru ini didatangkan dengan Internet berkelajuan tinggi, 3GB data, panggilan suara dan SMS percuma ke semua rangkaian.

Selain itu, pelanggan yang banyak menggunakan khidmat SMS boleh memilih pelan U28 yang menawarkan HTC Butterfly pada harga RM1,888 bersama 1GB data dan 300 SMS percuma manakala mereka yang banyak membuat panggilan boleh memilih pelan U58 pada harga RM1,688 dengan 2GB data dan 300 minit panggilan percuma kepada semua rangkaian.

Helah larikan tabung derma dari masjid tak menjadi

Posted: 02 Mar 2013 10:26 PM PST


Helah sama tidak menjadi
Suspek juga mengaku mengidap penyakit HIV bagi mengelak dirinya terus dipukul.
Helah sama tidak menjadi
Suspek berusia 48 tahun ini kemudiannya dibawa anggota polis ke ibu pejabat polis daerah untuk diambil keterangan.
MARANG – "Saya bukan mahu ambil duit (tabung derma) tapi mahu tolong kutip derma." Demikian kata-kata seorang lelaki berusia 48 tahun selepas berjaya ditangkap penduduk ketika cuba melarikan tabung derma kebakaran dari Masjid Rusila di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, lelaki yang beralamat di Taman Rashidah, Rhu Renggeh, Marang itu berjaya ditangkap orang ramai yang kebetulan berada sekitar kawasan masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Tok Guru Haji Hadi.

Pada mulanya, suspek tinggi lampai memakai kaca mata dikatakan mundar mandir dalam kawasan pekarangan masjid sebelum cuba melarikan tabung derma kebakaran yang berisi wang tetapi gagal apabila perbuatannya disedari pengawal masjid.

Difahamkan, ketika pengawal masjid tersebut bersama rakannya cuba menangkap suspek berlaku pergelutan, sehingga menarik perhatian orang ramai yang kebetulan baru sahaja selesaimenjalankan perniagaan di kawasan berdekatan masjid.

Akibat pergelutan itu suspek mengalami kecederaan pada anggota badan dipercayai akibat dipukul orang ramai yang cuba memberkasnya.

Malah bagi meraih simpati agar tidak terus disakiti, suspek terbabit mengaku dirinya mengidap penyakit HIV.

Dia yang separuh sedar di atas tanah berdekatan dengan rumah penduduk dekat masjid itu, kemudiannya diserahkan kepada polis yang tiba di tempat kejadian selepas dihubungi ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Salah seorang ahli jawatankuasa masjid yang enggan dikenali memberitahu, lelaki terbabit juga melakukan perkara sama pada minggu lalu apabila melarikan sejumlah wang
milik peniaga yang menjalankan perniagaan di luar kawasan masjid.

"Pencuri sama disyaki melarikan sejumlah wang milik peniaga di sini minggu lalu, dan ketika itu dia berjaya melepaskan dirinya, namun kali ini kedatangannya ke masjid untuk melakukan jenayah yang sama berjaya dihidu," katanya.

Mohon bantu jejak anak

Posted: 02 Mar 2013 10:25 PM PST


Mohon bantu jejak anak
Nor Farhana Rizal
SELAYANG - Seorang bapa merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak gadisnya yang didakwa menghilangkan diri sejak 15 Februari lalu.

Rizal Che Muda, 42, berkata, ini kali ketiga Nor Farhana Rizal, 15, keluar dari rumah tanpa diketahui puncanya.

Menurutnya, remaja itu berjanji untuk pulang ke rumah pada awal Mac iaitu selepas mendapat gaji namun sehingga kini Nor Farhana tidak muncul.

"Saya dan isteri berasa bimbang dengan keselamatan anak kami. Muka saya sudah tebal untuk membuat laporan polis kerana tindakan anak saya itu.

"Saya mahu dia pulang ke pangkuan keluarga kerana dia keluar sehelai sepinggang, tanpa membawa kad pengenalan diri," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rizal berkata, ketika menghubungi Nor Farhana sebelum ini, anaknya itu memaklumkan bekerja di sebuah stesen minyak di Sungai Buloh namun maklumat diberikan tidak lengkap.

Katanya, anaknya itu pernah berhenti sekolah selama setahun sebelum menyambung semula pelajaran di tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini.

"Kali pertama dan kedua dia melarikan diri dari rumah adalah penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. Ketika itu dia mendakwa tinggal di rumah kakak angkat sebelum berjaya dikesan abangnya," katanya.

Rizal berkata, ketika kali terakhir dia bertemu dengan Nor Farhana, remaja itu meminta izin daripadanya untuk menemani rakannya menghantar barang ke Kampung Nakhoda.

Menurutnya, dia sudah mengambil pelbagai inisiatif untuk menjejaki anaknya itu namun sehingga kini menemui jalan buntu.

Katanya, orang ramai yang  mengenali atau terjumpa anaknya diminta menghubunginya di talian 03-61277501.

2 kemungkinan gagal dapat sumbangan RM1,000

Posted: 02 Mar 2013 10:23 PM PST


Ada dua kemungkinan gagal
Laporan Sinar Harian semalam.
JASIN - Bekas tentera tidak berpencen yang gagal mendapatkan sumbangan berjumlah RM1,000 mempunyai dua kemungkinan sama ada borang permohonan tidak lengkap atau berhenti daripada perkhidmatan tentera disebabkan masalah tatatertib.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Nik Anuar Nik Man berkata, setiap permohonan yang ditolak mahupun gagal akan diberi penjelasan kepada individu terbabit ketika mereka menghantar borang berkenaan di pejabat tersebut.

"Jika seseorang itu gagal, kita akan memberi penjelasan supaya mereka faham kerana itu mereka perlu membawa buku merah untuk kita melihat sebab-sebab mereka berhenti daripada perkhidmatan sama ada kerana masalah tatatertib atau sebaliknya.

"Pihak kami di sini cuba buat yang terbaik dan sejak sumbangan itu diperkenalkan boleh dikatakan setiap hari kita menerima borang permohonan," katanya.

Nik Anuar berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang bekas tentera tidak berpencen, Mahmood Leman, 61, yang disiarkan Sinar Harian, semalam.

Dalam kenyataan itu, Mahmood melahirkan rasa terkilan apabila permohonannya untuk menerima bantuan RM1,000 gagal biarpun sudah memohon dua kali.

Nik Anuar berkata, mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan dan masalah mengenai permohonan tersebut boleh datang ke pejabat JHEV di Tingkat 1, Wisma Persekutuan, MITC.

"Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian 06-2345931/932.

"Ramai yang tidak faham kenapa mereka masih belum memperoleh sumbangan itu dalam masa sama kita juga sedang berhubung dengan pemohon yang masih belum melengkapkan borang permohonan," katanya.

Katanya, sehingga kini pihaknya menerima 3,527 permohonan di Melaka dan 4,117 dari Negeri Sembilan sejak November lalu.

Ditipu lelaki 'alim'

Posted: 02 Mar 2013 10:21 PM PST


Ditipu lelaki 'alim'
Ahmad menunjukkan batu delima yang dibelinya daripada lelaki tersebut.
KOTA TINGGI - Seorang warga emas kerugian RM25,000 apabila ditipu sekumpulan 'orang alim' yang memintanya membeli sebiji batu delima dalam kejadian pagi kelmarin.

Ahmad Arbidin, 66,  dari Felda Adela, di sini, berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu, dia yang baru selesai urusan di Tabung Haji didatangi seorang pemuda dipercayai warga Indonesia berusia 30-an yang membawa batu berwarna merah.

Menurutnya, dalam masa sama, Ahmad yang berada di kereta turut didatangi rakan lelaki terbabit berusia 40-an sebelum disuruh masuk ke dalam kereta dan dipukau.

"Lelaki pertama itu bercakap dalam loghat Indonesia, namun dia mengaku berasal dari Melaka dan mendakwa menjumpai batu delima itu ketika melakukan kerja menggali di makam bersejarah di Melaka.

"Lelaki itu memberitahu batu itu istimewa dan lain daripada yang lain kerana cangkul yang digunakan untuk menggali makam itu menjadi bengkok," katanya.

Ahmad berkata, lelaki itu juga mendakwa telah bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih menyerupai wajahnya dan batu itu perlu dijual kepada lelaki di dalam mimpi itu.
"Malah lelaki itu turut menunjukkan keajaiban batu tersebut yang bercahaya apabila diletakkan di dalam air.

"Manakala lelaki kedua itu pula bersungguh-sungguh meyakinkan saya dengan menggunakan kalimah ALLAH dan saya seolah-olah terpukau dengan mereka," katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini semalam.

Katanya, dalam masa sama, dia juga turut didatangi seorang lelaki bergelar Haji Osman yang juga dipercayai sahabat kepada dua lelaki terbabit.

"Haji Osman mahu membeli batu itu tetapi lelaki pertama enggan menjualkannya kerana batu tersebut harus dibeli oleh saya kerana ia adalah amanah berdasarkan mimpi.

"Disebabkan itu, Haji Osman menyuruh saya membeli batu itu dahulu dan kemudian dia akan membeli batu itu dari saya dengan harga RM100,000," katanya.

Seolah-olah dipukau, Ahmad mengikut sahaja kata mereka dan mengeluarkan wang sebanyak RM25,000 untuk membeli batu tersebut.

"Sebaik mendapat batu tersebut, kumpulan lelaki terbabit menyuruh saya melakukan solat sunat sebagai syarat menerima batu ajaib itu manakala mereka pula meminta izin untuk solat Jumaat.

"Haji Osman berjanji akan membeli batu itu dari saya dan menunggu sehingga selesai solat Jumaat untuk membayar wang tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, setelah menunggu dari jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang, mereka tidak muncul malah telefon bimbit juga gagal dihubungi.

"Saya tersedar telah ditipu dan segera ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk membuat laporan.

"Impian saya untuk mengerjakan umrah terbantut ekoran wang tersebut sudah digunakan untuk membeli batu itu. Malah, batu itu juga sudah tidak bercahaya apabila diletakkan di dalam air," katanya.

Ular disangka penyamun

Posted: 02 Mar 2013 10:19 PM PST


Ular disangka penyamun
Najmi mengangkat ular sawa yang ditembak penduduk kampung selepas membaham haiwan ternakan mereka.
LAMBOR KANAN, Perak - Dua pekerja warga Indonesia terkejut apabila bunyi bising dari arah belakang kediaman mereka yang disangka angkara penyamun, rupanya tindakan agresif seekor ular sawa sedang membaham lima ekor ayam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sebanyak lima ekor ayam dibaham ular berkenaan di Kampung Tanjung Batu 16, Kampung Tua, di sini.

Seorang penduduk, Najmi Abdul Aziz, 18, berkata, pekerja berkenaan terjaga dari tidur dan segera memeriksa keadaan rumah mereka kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing sebelum menemui ular sepanjang lapan meter itu di reban berkenaan.

Menurutnya, dua pekerja itu bertindak untuk menangkap ular berkenaan, namun beberapa kali gagal sebelum dapat menjerut kepala ular itu.

"Dengan tertangkapnya ular itu menjawab misteri penduduk di kampung yang sebelum ini sering mengalami kehilangan haiwan ternakan.

"Sebelum ini penduduk sering mengadu haiwan ternakan mereka dimakan ular, tetapi tidak dapat menangkap binatang liar itu, sebelum ini ular sama juga dikatakan membaham dua anak anjing," katanya.

Saleha bukan sekadar kontrol cantik

Posted: 02 Mar 2013 10:13 PM PST

SALEHA menyimpan harapan dan berusaha untuk berada dalam hati khalayak berdasarkan kerja lakonan bukan cerita sensasi.


KUASA yang dijana wanita berdarah kacukan Melayu dan Inggeris ini belum cukup panas untuk membuatkan penonton teruja menontonnya di pawagam. Pertaruhan pertamanya menerusi Kerat 14 bersama Aaron Aziz, regu yang sama-sama digilai menerusi Nora Elena juga sekadar mencatat penonton ala kadar.
Siti Saleha sedar situasi berkenaan. Sebagai percubaan pertamanya ke layar perak, catatan yang diterima oleh Kerat 14 memberi satu dimensi baharu buatnya.
"Filem tetap sebuah filem. Orang mahu tengok filem bukan sekadar nak tengok pelakonnya sahaja tapi penonton mahukan kepuasan menyeluruh termasuk elemen-elemen di bahagian produksi, skrip dan jalan cerita.
"Macam saya dan Aaron, walaupun drama lakonan kami berdua dapat sambutan hangat, tapi tidak pula hasilnya dengan filem. Saya kena akur bahawa saya belum cukup pengaruh itu.
"Mujurnya, tak banyak komen negatif yang saya dengar berhubung dengan lakonan. Saya juga masih baharu dalam bidang filem. Ini satu pengalaman yang banyak beri pendedahan kepada saya," katanya tanpa perlu menjadi terlalu sensitif atau bersedih kerana filem pertamanya sekadar meraih kutipan RM1 juta.
Sengaja mengalirkan cerita Saleha kali ini menyimpang dari cabang sensasi, kisah putus cinta atau dibayangi episod hendak berumah tangga, bicara bersama pelakon yang mula menjual bakat sebagai pelakon iklan bersambung pula tentang pengiktirafan.
Malam penutup Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) yang berlangsung malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya telah menyaksikan anak wayang terbaik turun dan naik pentas menerima sebuah penghormatan. Meneka apa yang tersemat dalam naluri adik vokalis Sam Bunkface itu, dia juga menyimpan angan untuk menjadi salah seorang daripada pelakon terbaik di Malaysia.
"Bukan hanya terbaik kerana sudah menjulang trofi, maksudnya meletakkan piawaian terbaik setiap kali terlibat dengan mana-mana produksi. FFM itu kemuncak kepada pengiktirafan terhadap anak seni. Sesiapa sahaja yang menerima trofi FFM haruslah berbangga dan meraikan penghormatan yang diterima. Itu tandanya kerja seni kita diiktiraf," getus Saleha yang turut menanti peluang untuk setidak-tidaknya tercalon ke dalam senarai terbaik pada masa depan.
Tahun ini langkahnya bergelar pelakon filem tidak akan terhenti hanya disebabkan Kerat 14 kurang mendapat sambutan. Dalam stor syarikat produksi yang pernah disertainya, senarai judul-judul seperti Pencinta, Bravo 5, KL Zombie, Mamat Cup Cake dan Pak Pong sedang menanti untuk tampil ke mata penonton.
"Tahun ini saya ada lima buah filem lagi. Pencinta arahan Khir Rahman mungkin tayang pada September. Filem Bravo 5, KL Zombie juga dijadualkan tayang pada tahun ini. Tak tahulah. Saya harap tahun 2013 akan beri tuah. Jika dengan judul-judul itu orang akan mula buka mata mereka bahawa saya juga layak digelar aktres filem, alangkah manisnya," katanya yang akan ke udara juga dengan sebuah drama bersiri terbaharu Asmara Luna di TV3 menjelang April nanti.
Anak ketiga daripada empat beradik itu juga menaruh impian agar kerja seni yang dilakukannya akan membawanya ke satu fasa baharu.
Pertama kali tersenarai dalam pencalonan akhir untuk kategori anugerah berdasarkan populariti dalam satu majlis anugerah yang akan berlangsung April nanti, hal itu juga satu pencapaian menyenangkan buat Saleha. Jika tahun ini tercalon untuk kategori popular, lantas berdasarkan hasil kerja tahun ini, tidak mustahil pula untuk masuk senarai calon kategori terbaik dalam anugerah kualiti pula pada tahun hadapan.
"Tercalon pun sudah cukup bagus. Kalau menang lagi bagus sebab itu bukti penerimaan peminat terhadap seseorang pelakon. Untuk bercakap tentang anugerah berdasarkan kualiti pula pada masa hadapan, alangkah bagus kalau perkara itu jadi kenyataan tapi saya tidak berani berharap. Siapa yang tidak mahu kerjanya diiktiraf. Jika ada pihak yang fikir saya layak, saya patut terima dengan besar hati," katanya yang bakal mencecah usia 23 tahun pada 14 Mac ini.
Gila dalam hutan
Menanti tarikh penggambaran untuk sebuah filem berjudul Bikin Filem terbitan Playground Production dalam masa terdekat, Saleha merasakan jalan kariernya sedang di trek yang sempurna.
"April nanti saya sudah beri kata putus untuk terlibat dengan drama Memberku Hawa manakala Mei nanti ada juga sebuah tawaran filem daripada sebuah syarikat penerbitan yang sedang saya pertimbangkan.
"Saya akan cuba ikut laluan ini sebaik-baiknya. Dalam usia 23 tahun, ketika ada kawan-kawan baik saya sudah mula berkeluarga dan merancang masa depan bersama pasangan masing-masing, saya rasa peluang sebegini tidak harus dipersia-siakan. Bukan saya tidak mahu bercakap tentang komitmen tetapi adakalanya hidup secara solo seperti sekarang ada baiknya juga. Tidak perlu pening-pening kepala atau asyik berdating jika tiada penggambaran," katanya mengingatkan penulis terhadap kisah putus cinta yang baru-baru ini hangat diperkatakan.
Satu lagi pengalaman baharu yang sedang dinikmati Saleha ketika ini adalah mengacara sebuah program berjudul Projek Gila. Untuk empat episod, Projek Gila akan mendedahkan segala aksi dan perilaku Saleha yang selama ini mungkin tidak pernah diketahui oleh khalayak.
Dalam program seumpama Fear Factor namun tidak melibatkan artis lain itu, Saleha diberikan satu cabaran pelik seperti masuk dan hidup dalam hutan atau meneroka cara hidup di sebuah pulau.
"Sepintas lalu, banyak aksi saya memalukan akan ditonjolkan dalam program itu. Semuanya secara spontan kerana saya tidak diberikan skrip. Untuk episod pertama yang menjalani penggambaran di Taman Negara, saya kena memanjat pokok dan tidur atas pokok. Memang kena jadi lasak dan saya memang suka aktiviti begitu. Kena hadap pacat dan serangga dalam hutan tak payah cakaplah, saya seronok walaupun agak sengsara.
"Jika selama ini orang tengok saya macam lemah-lembut atau kontrol cantik sahaja dalam drama, Projek Gila memang gila. Saya jadi lasak, ketawa, menjerit macam tak ingat dunia dan buat aksi gila-gila yang saya sendiri tak pernah terfikir pun akan buat perkara sebegitu," katanya ceria.
Gembira, tenang dan punya banyak masa untuk diri sendiri serta paling penting memiliki keluarga yang kekal menyayanginya apa jua keadaan, itulah erti kehidupan sempurna selebriti muda Saleha ketika ini.

Celebration Day oleh Led Zeppelin

Posted: 02 Mar 2013 10:12 PM PST


SINERGI dan energi grup Lez Zeppelin terserlah dalam konsert yang merupakan pengumpulan semula selepas 27 tahun 'berpisah'.


KONSERT dengan tajuk Celebration Day boleh menjadi ubat merawat rindu terhadap grup legenda dengan nama Led Zeppelin ini.
Konsert pada 10 Disember 2007 di O2 Arena, London ini dipertontonkan secara eksklusif di GSC One Utama, Petaling Jaya pada 20 Februari lalu. Dokumentasi menarik tentang Led Zeppelin yang lahir dalam bentuk konsert itu disifatkan ramai sebagai salah satu konsert rock & roll terhebat.
Ramli Sarip, Nash, Datuk Hattan, Edrie Hashim, Along Exist, Fiq dan Awi Rafael berkumpul untuk menyaksikan kehebatan yang dipertontonkan Led Zeppelin dalam sebuah konsert reunion selepas 27 tahun tidak beraksi di atas pentas.
Konsert dalam bentuk filem arahan Dick Carruthers ini mempamerkan tenaga Led Zeppelin yang berlanjutan selama dua jam empat minit.
Persembahan kumpulan dari England, Britain itu dibawakan oleh ahli-ahli asal Led Zeppelin seperti Robert Plant, Jimmy Page dan John Paul Jones serta disertai oleh Jason Bonham, anak kepada mendiang John Bonham, bekas pemain dram asal kumpulan ini.
Led Zeppelin mempersembahkan 17 lagu dari senarai terbaik mereka termasuk lagu yang menjadi trademark mereka seperti Whole Lotta Love, Rock And Roll, Kashmir dan Stairway To Heaven.
Pihak Warner Music mengadakan inisiatif ini untuk mengumpulkan bintang rock tempatan dan pihak media untuk menyaksikan rakaman konsert Led Zeppelin yang juga ditawarkan dalam empat set penjualan.

ANTARA penyanyi dan penggerak genre rock tempatan yang hadir di majlis pratonton Celebration Day yang dikendalikan oleh pihak Warner Music.


Konsert Celebration Day ini ditawarkan dalam empat set edisi standard, edisi audio versi Blu Ray dan edisi vinyl (3 piring hitam).
Rakaman konsert ini membawa penonton kembali kepada 10 Disember 2007, di mana Led Zeppelin mengadakan persembahan di Arena London O2 untuk memberi penghormatan terhadap kawan yang mereka kasihi iaitu pengasas Atlantic Records, Ahmet Ertegun.
Darren Choy selaku Pengarah Urusan Warner Music Malaysia memberitahu bahawa tayangan seperti ini hanya dilakukan di beberapa buah negara seperti Jepun, Jerman, Amerika Syarikat dan Malaysia.
Buat Hattan yang datang ke tayangan eksklusif tersebut, Celebration Day mengimbau semula kenangan di mana dia dan beberapa artis Warner Music pernah mengadakan persembahan tribute untuk kumpulan itu pada 1995.
"Ketika itu saya, Amy Search, Arab, Ramli Sarip dan Maman Teacher's Pet pernah mengadakan pertunjukan tribute untuk Led Zeppelin di Hard Rock Cafe.
"Mungkin Led Zeppelin tidak begitu dekat dengan generasi sekarang tetapi mereka seperti Godfather kepada penyanyi dan peminat muzik rock lama," katanya.
Komposer Edrie Hashim yang merupakan pemain gitar terkenal menyatakan dia begitu teruja melihat dinamik dalam persembahan yang dipamerkan oleh Led Zeppelin.
"Pencahayaan dan konsep konsert ini santai tetapi dinamik dalam konsert itu yang saya rasakan sangat menarik. Manakala susunan lagu-lagu juga adalah terbaik. Jimmy Page selaku gitaris memberikan tenaga yang terbaik dalam konsert ini," ujarnya yang mengaku bahawa pemilihan Jason Bonham menggantikan ayahnya John Bonham selaku pemain dram adalah yang terbaik.
Buat Ramli Sarip yang datang dengan memakai jaket tertera tulisan Led Zeppelin ke tayangan tersebut menyatakan idea konsert dalam filem sebegini adalah satu dokumentasi yang baik.
"Saya memang suka dengan konsert live daripada dulu-dulu. Kreativiti mereka memang hebat. Generasi sekarang perlu menonton konsert sebegini untuk mempelajari banyak perkara. Mereka perlu jadikan ini sebagai sebuah rujukan dan ambil tahu perkara sebegini," katanya yang memang meminati Led Zeppelin.

Johan nyaris diliwat

Posted: 02 Mar 2013 10:11 PM PST



KARAKTER remaja samseng kelihatan mudah untuk ditangani pemain watak Botak yang pernah popular dalam siri Juvana itu. Johan As'ari yang masih kental diingati sebagai budak jahat di sekolah pemulihan akhlak itu masih berpanjangan sehingga ke layar perak, Januari lalu.
Bukan sebuah lanjutan tapi mungkin juga sebuah naskhah yang lebih matang pendekatannya, Johan bakal membenamkan imej Botak dalam permainan terbaharunya menerusi drama Karlos. Nama watak dalam drama itu, Karlos sendiri kedengaran lebih agresif, lebih dewasa berbanding gengster kawasan seperti Botak yang menjadikan rakan sekolah sebagai mangsa.
Akui Johan, dia berasa sedikit mencabar untuk melakonkan watak Karlos kerana jalan cerita drama tersebut melalui beberapa fasa.
"Karlos hanya panggilan luaran kepada Irwan Zaid. daripada budak baik dia akhirnya terlibat dengan dengan jenayah dan kena humban ke dalam pusat tahanan. Selepas penderitaan di pusat tahanan, dia keluar dan mahu jadi manusia tapi persekitaran dan takdir sekali lagi menghanyutkan dia ke lubuk jenayah yang lebih hitam sehingga menjadi orang paling dikehendaki oleh polis," cerita Johan yang berdepan rasa cuak akibat satu adegan liwat dalam drama berkenaan.
Sama ada lebih baik berbanding penghayatannya untuk Botak, sebagai Karlos, Johan merasakan skop wataknya kali ini lebih besar.
"Karlos ada banyak emosi dan melalui momentum dalam perjalanan hidupnya. Dia ada rasa cinta dan kasih sayang yang menebal. Dalam hidupnya, dia cuma sayangkan ibu dan kekasihnya yang dikenali sejak zaman kanak-kanak. Cerita ini beri banyak rasa kepada saya," katanya yang turut merasa gentar untuk melalui satu lagi kembara jiwa dalam hidupnya.
Masih berada di lokasi Karlos sehingga pertengahan Mac ini, Johan turut meluahkan hasratnya untuk menunaikan umrah menjelang 27 Mac nanti. Kata Johan, perjalanannya ke Mekah kali ini lebih bermakna kerana ia atas kehendak dan perbelanjaan sendiri.
"Sebelum ini, saya menunaikan umrah di Mekah atas sebab penggambaran drama di sana, tapi kali ini berbeza. Dulu ibadah bukan utama sebab fokus banyak kepada kerja. Dulu teruja lebih sebab pertama kali dan pergi pun rasa macam main-main. Jadi saya fikir, lebih elok ke sana dulu sebelum saya berhabis duit untuk bercuti ke tempat lain. Saya mahu cari balik keseimbangan dalam diri yang mungkin selama ini sudah terlalai dan banyak buat salah," katanya naif.
Berbalik kepada drama Karlos, siri 13 episod terbitan Neon Production itu akan menemui penonton bermula 4 Mac nanti menerusi slot Aksi di TV3 setiap Isnin pukul 9 malam. Barisan pelakon yang turut menjadi tulang belakang Karlos termasuklah Namron, Sherlie Merlis, Syazwan Zulkifly dan Azhar Sulaiman.

Aishiteru tuah buat Zivilia

Posted: 02 Mar 2013 10:10 PM PST

GRUP Zivilia dari Indonesia ini mempertaruhkan lagu Aishiteru dalam bentuk trilogi yang mendapat respons positif pendengar muzik. Grup ini dianggotai oleh Idham (kiri), Zul dan Obot (kanan).


NAMA grup Zivilia belum cukup melekat kuat dalam ingatan khalayak tempatan, apatah lagi wajah mereka. Namun pertaruhan yang mereka letakkan dalam single perdana mereka cukup meninggalkan impak.
Lagu dengan tajuk Aishiteru itu membuatkan mereka sedikit demi sedikit dikenali ramai. Rentetan daripada populariti yang ditempa oleh grup yang dianggotai Idham (bass), Zul (vokalis, piano dan gitar) dan Obot (dram), mereka merancang strategi seterusnya dengan menghasilkan trilogi cerita Asihiteru.
Lagu Aishiteru bercerita kisah perjuangan cinta Zul berjauhan dengan kekasih sementelah dia di Jepun selama lima tahun. Dalam lagu Aishiteru 2, mereka bercerita tentang detik pertemuan dirinya dengan kekasih. Namun cinta yang dipupuk serta beban rindu yang ditanggung berubah dan akhirnya menemui kegagalan.
Dalam lagu Aishiteru 3 pula, Zivilia mempertaruhkan lirik tentang jawapan kepada kesemua sebagai penutup tiga buah cerita lagu ini.
"Membuat sebuah kesinambungan lagu, bebannya lagi sukar. Namun tidak pernah berlaku lagi dalam sejarah bahawa satu tajuk menjadi tiga buah lagu. Itu yang kami bawakan," kata Zul.
Bagi Zivilia, mereka bersyukur dengan respons yang cukup positif diberikan kepada mereka. Malah ujar Zul tontonan klip video di laman YouTube menjadi salah satu klip video top trending di laman tersebut.
Walaupun ada yang menuding dan mempersoalkan daya kreativiti Zivilia yang tersekat di perkataan dan penghayatan Aishiteru, namun buat mereka ini sebuah kesyukuran.
"Memang ada yang bertanya kesinambungan Aishiteru. Sekurang-kurangnya kami sudah memecahkan rekod dengan membuat tiga buah lagu dengan judul yang sama. Itu cukup membanggakan. Dengan lagu-lagu itu juga, keberadaan Zivilia dalam industri terus ada," ujar Zul mewakili Zivilia.
Grup yang berasal dari Indonesia itu hadir ke Malaysia bagi mempromosikan album perdana mereka yang berjudul Aishiteru. Album tersebut membariskan 12 buah lagu termasuk Aishiteru, Cinta Buta, Karena Cinta dan Kokoro No Tomo.
"Lagu Kokoro No Tomo bermaksud teman hati. Lagu ini popular pada tahun 1980 dan dibawakan oleh Mayumi Isuwa," ujar mereka yang merasakan lagu ini dekat dengan karakter mereka.
Buat Zivilia, jalan mereka dalam industri seni masih baharu. Namun mereka yakin dengan elemen Jepun, pop dan Melayu yang diperjuangkan dan menjadi penyambung hayat sebagai sebuah kumpulan.
"Setiap lagu kami pasti ada menggunakan perkataan Jepun yang memang dekat dengan kami. Itu juga tidak menjadi halangan besar memandangkan intipatinya masih berkisah tentang kehidupan kami.
"Itulah yang membezakan antara Zivilia dengan kumpulan lain," ujar Zul yang akur bahawa keadaan industri penjualan album adalah sulit di negara mereka.
"Untuk bertahan dalam masa yang lama bukan satu perkara mudah. Paling tidak kami kena bersatu untuk terus menghasilkan muzik yang baik buat peminat," katanya yang akan muncul dengan album Zivilia Learn To Rock tidak lama lagi.

Pengganas Sultan Sulu diberi kata dua

Posted: 02 Mar 2013 10:09 PM PST

NAJIB (tengah) memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Zulkifli (keranda kiri)
dan Sabarudin di Pangkalan TUDM, Subang semalam.


SUBANG - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi kata dua kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah supaya menyerah diri atau berdepan sebarang tindakan yang akan diambil pihak berkuasa Malaysia.
Perdana Menteri berkata, masa untuk mempertimbangkan sebarang permintaan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari selatan Filipina itu sudah berakhir.
"Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini, kerana jenayah yang dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius," katanya selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota polis Komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang dekat sini semalam.
Dua anggota komando polis, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan kumpulan penceroboh itu di kampung tersebut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu kelmarin.
Dalam insiden itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera dan 12 anggota kumpulan itu maut.
Pesawat Charlie C130 TUDM yang membawa jenazah kedua-dua wira negara tiba dari Tawau pada pukul 12.30 tengah hari dengan disambut perasaan sayu dan hiba oleh anggota keluarga serta mereka yang hadir.
Turut berangkat menziarahi jenazah wira negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah yang berkenan meluangkan masa bersama keluarga Zulkifli dan Sabarudin serta menyampaikan sumbangan peribadi baginda.
Dalam pada itu, menurut Najib, beliau telah menghubungi Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan memaklumkan pendirian kerajaan berhubung perkara tersebut.
"Kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.
"Mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," katanya.
Najib bagaimanapun enggan mengulas mengenai tempoh yang akan diberikan kepada kumpulan penceroboh itu untuk menyerah diri.
Sementara itu, menurut Najib, kumpulan penceroboh telah menggunakan taktik mengibarkan bendera putih (sebagai tanda menyerah diri) untuk memerangkap anggota VAT 69.
Ujarnya, perkara itu disahkan oleh salah seorang anggota yang terbabit dalam pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata.
Najib memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa dua anggota polis yang terbunuh telah melihat bendera putih dikibarkan sebelum rakan kumpulan penceroboh itu memerhati gerak-geri anggota polis tersebut dan melepaskan tembakan.
"Saya tidak menolak kemungkinan itu satu perangkap dan ia adalah satu taktik pengecut," katanya.

Dua perajurit negara naik pangkat

Posted: 02 Mar 2013 10:08 PM PST


Zulkifli


SUBANG - Dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban dalam insiden tembak-menembak dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina dinaikkan pangkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dinaikkan pangkat kepada Asisten Superitendan Polis (ASP) dan Koperal Sabarudin Daud, 46, kepada Sarjan.

sabarudin


"Saya juga telah berbincang dengan (Timbalan Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa sebagai pertimbangan istimewa kedua-dua perwira kita akan dinaikkan pangkat," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang semalam.
Najib berkata, kerajaan dan pihak polis juga akan mempertimbangkan pemberian-pemberian yang lain selepas selesai urusan pengebumian.

Tidur peluk senjata tunggu serangan

Posted: 02 Mar 2013 10:07 PM PST


PASUKAN VAT 69 berada dalam keadaan siap sedia untuk bertindak menggempur penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU - Tiada apa yang diharapkan oleh anggota komando skuad VAT 69 Polis Diraja Malaysia selain menyelesaikan krisis pencerobohan kumpulan pengganas Sultan Sulu di Kampung Tanduo dekat sini sekalipun jika terpaksa berkorban nyawa.
Tanpa mahu memikirkan soal kemanusiaan, ada anggota yang sudah tidak sabar menunggu arahan bertindak bagi menggempur kawasan kampung itu yang menempatkan lebih 100 orang ahli kumpulan penceroboh dari selatan Filipina.
Wartawan Kosmo! yang menjejakkan kaki ke kem sub-taktikal pasukan itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Tanduo semalam melihat sendiri pengorbanan besar yang dipikul pasukan itu.
Seorang anggota VAT 69 kelahiran Perak mengakui, mereka kini memberi fokus sepenuhnya untuk mempertahankan kedaulatan negara.
"Kamu mesti tahu kenapa kami ada di sini. Di mana ada musuh di situ kami ada. Kami mahu selesaikan semua ini dan balik ke rumah masing-masing," kata anggota berpangkat koperal yang berusia 40 tahun itu.
Seorang lagi anggota VAT 69 menyifatkan pencerobohan oleh kumpulan pengganas itu sebagai satu kerja bodoh.
"Mereka manusia yang hati kering, sanggup buat apa sahaja termasuk berperang.
"Saya sendiri sudah melihat wajah mereka dan saya hanya tunggu masa untuk bertindak," jelasnya.
Ditanya rutin harian seorang komando, dia hanya tergelak.
"Kerja kami ialah bersiap sedia sepanjang masa, tak perlu fikir soal makan atau tidur.
"Kalau tertidur sekalipun, kami peluk senapang," ujarnya.

Dua wira negara selamat dikebumi

Posted: 02 Mar 2013 10:06 PM PST


NURUL NISAH (dua dari kiri) menabur bunga di atas pusara Sabarudin di Sabak Bernam semalam.


BESUT – Suasana pilu menyelubungi pengebumian wira negara, Inspektor Zulkifli Mamat, 30, yang dihadiri kira-kira 2,000 ahli keluarga, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung di Tanah Perkuburan Islam Gong Bayor di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Narkotik PDRM, Datuk Noor Rashid Ibrahim yang mewakili Ketua Polis Negara memberi tabik hormat kepada jenazah dan menyerahkan Jalur Gemilang sebagai tanda penghormatan negara kepada balu arwah, Nor Aziah Nor, 30.
Terdahulu, jenazah yang dibawa pulang menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Lapangan Terbang TUDM Gong Kedak di sini kira-kira pukul 3 petang dan disambut oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Jenazahnya disembahyangkan di rumah ibunya, Khadijah Ismail, 64, di Kampung Kubang Ikan di sini dan dikebumikan kira-kira pukul 4.45 petang.

NOR AZIAH dibantu oleh dua anggota polis wanita ketika menyiram air mawar di pusara Zulkifli di Besut semalam.


Turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan ialah dua anaknya, Nor Akhmal Amiruddin, 5, dan Nor Mohd. Akhil, 1.
Di Sabak Bernam, Selangor, jenazah Allahyarham Koperal Sabarudin Daud, 47, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar di sini semalam.
Kira-kira 1,000 saudara-mara dan orang ramai menghadiri pengebumian Allahyarham pada kira-kira pukul 4 petang.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nurul Nisah Abu, 40-an, dan tiga orang anak.
Sementara itu, ibu Allahyarham Sabarudin, Som Md. Salleh, 72, terkilan kerana hasrat arwah untuk membawanya, isteri serta tiga anak menunaikan ibadat haji tidak kesampaian.
"Arwah ialah seorang anak yang bertanggungjawab, malah dia tanggung separuh daripada perbelanjaan ketika saya menunaikan haji pada tahun lalu," katanya.
Allahyarham Zulkifli dan Sabarudin yang merupakan anggota polis komando VAT 69 terbunuh selepas terkena serangan mortar di Kampung Tandou, Lahad Datu, Sabah yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari Filipina kelmarin.

Pengganas Sultan Sulu tidak sayang nyawa

Posted: 02 Mar 2013 10:02 PM PST


SULTAN SULU, Jamalul Kiram III menghubungi adiknya, Raja Muda Agbimudin yang mengetuai 200 pengikutnya untuk menceroboh Sabah pada satu sidang akhbar di Alabang, Manila.


MANILA - Jurucakap Sultan Sulu, Jamalul Kiram III menegaskan bahawa 'tentera diraja' yang memasuki Sabah akan berjuang hingga ke hujung nyawa dan tidak sesekali meninggalkan negeri tersebut.
"Kami telah membuat keputusan bahawa maruah lebih utama daripada nyawa," kata jurucakap berkenaan, Abraham Idjirani di sini semalam.
Menurutnya, konfrontasi kumpulan mereka dengan pasukan keselamatan Malaysia di Sabah masih belum berakhir dan menolak kenyataan sebaliknya oleh pemerintah Filipina sebelum ini.
Namun, Idjirani mengesahkan tiada pertempuran antara baharu berlaku antara kedua-dua belah pihak sejak pukul 8 malam kelmarin.
Dalam insiden kelmarin, seramai 12 warga Filipina dan dua komando polis Malaysia terbunuh dalam pertempuran pasukan komando polis dengan sekitar 200 anggota kumpulan itu yang diketuai Raja Muda Agbimuddin Kiram

SEORANG anggota komando polis berkawal di kawasan sekitar 3 kilometer dari lokasi kumpulan bersenjata Filipina berkubu di luar Lahad Datu, Sabah.


Mengulas mengenai nasib Agbimuddin, Idjirani berkata, raja muda itu telah berpindah ke lokasi lain untuk meneruskan perjuangan mereka.
"Jika konfrontasi ini berakhir, ia bermakna sama ada Raja Muda dan pengikut-pengikutnya dibunuh atau ditangkap," ujarnya.
Kumpulan bersenjata itu menyeludup masuk ke sebuah kampung di Lahad Datu, Sabah sekitar tiga minggu lalu untuk menuntut hak ke atas negeri Sabah.
Dalam pada itu, anak perempuan Kiram III, Jacel Kiram semalam turut menggesa saudara lelakinya itu supaya terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir.
"Keputusan kami tetap sama. Mereka tidak akan pulang kerana maruah lebih tinggi nilainya daripada nyawa," kata Jacel dalam satu kenyataan semalam.
"Saki baki 224 pengikut Sultan Sulu di Sabah memutuskan untuk mati di Lahad Datu bagi mengejar impian dan aspirasi mereka," tegasnya.
Menurut wanita tersebut, selepas sembilan pengikut lelaki dan seorang wanita dikebumikan, semua 224 anggota kumpulan mereka yang masih tinggal memutuskan untuk menyerahkan nasib kepada takdir.

Presiden Filipina mahu penceroboh Sabah serah diri

Posted: 02 Mar 2013 10:01 PM PST


PRESIDEN BENIGNO AQUINO III


MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mendesak anggota dan pengikut Sultan Sulu, Jamalul Kiram III yang menawan sebuah kampung di Sabah supaya menyerah diri.
Dalam satu kenyataannya di Istana Malacanang di sini, Aquino membuat gesaan itu bagi mengelakkan pertumpahan darah berterusan.
Dalam kenyataan yang ditujukan kepada adik Kiram III, Raja Muda Agbimuddin Kiram, Aquino meminta dia dan anggota kumpulannya "menyerah diri serta-merta tanpa syarat".
Sebanyak 12 pengikut Agbimuddin dan dua komando polis Malaysia terbunuh dalam pertempuran pasukan komando polis Malaysia dengan lebih 200 pengikut raja muda itu.
Mereka belayar menaiki bot lebih dua minggu lalu untuk menuntut hak ke atas Sabah dengan alasan negeri berkenaan pernah menjadi tanah jajahan kesultanan Islam Sulu sebelum dipajakkan kepada penjajah British pada tahun 1870-an.

Senjata api teman tidur pelari kudung

Posted: 02 Mar 2013 09:59 PM PST

REEVA sering menulis isu rogol dan penderaan wanita dalam Twitter miliknya.


EBERAPA bulan sebelum Reeva Steenkamp menjadi kekasih atlet paralimpik terkenal Afrika Selatan yang memakai dua bilah kaki palsu, Oscar Pistorius, model cantik itu dilihat berlatih menembak di sebuah lapang sasar di negara itu.
Selepas memakai sungkup telinga dan cermin mata pelindung, wanita berambut perang itu memegang erat pistol a 9mm dengan kedua-dua belah tangannya sebelum melepaskan tembakan.
Ironinya, senjata a 9mm seperti itulah yang dikatakan digunakan oleh Pistorius untuk menembak Reeva pada Hari Kekasih, 14 Februari lalu. Reeva mati selepas terkena tiga das tembakan.
Gambar Reeva sedang menembak itu menunjukkan betapa dia sudah terbiasa dengan senjata api dan dengan itu dia mudah berasa selesa dengan lelaki seperti Pistorius yang sentiasa menyimpan senjata api di rumahnya.
Senjata api dimiliki oleh kebanyakan pemilik rumah di Pretoria yang mencatat kadar jenayah yang tinggi termasuk rompakan. Pistorius dipercayai menyimpan empat pucuk senjata api selain kayu kriket di katil bilik tidurnya.
Pistorius kini sedang didakwa di mahkamah kerana membunuh penghias kulit depan majalah FHM itu. Pistorius bagaimanapun mendakwa dia melepaskan tembakan kerana menyangka Reeva penceroboh yang masuk ke rumahnya.
Pistorius menjadi pengumpul tegar senjata api dengan menyertai kelab pengumpul senjata api dan membeli beberapa koleksi senjata api termasuk pistol jenis a .500 Magnum yang digelar oleh pengeluarnya sebagai pistol paling berkuasa yang pernah dihasilkan.
Pada penghujung tahun 2012, ketika dia menyulam cinta bersama Reeva yang kemudian ditembak dan dibunuhnya, Pistorius menjadi semakin obses dengan hobinya itu.
Pistorius sememangnya menggemari senjata dan hasil temu bual agensi berita Associated Press (AP) bersama pengumpul senjata api yang lain menunjukkan Pistorius sangat dedikasi bermain senjata api selama 12 bulan sebelum dia bertindak menembak teman wanitanya itu.
Lesen
Menurut Naib Pengerusi Persatuan Pengumpul Senjata Api Lowveld, John Beare yang menerima Pistorius sebagai ahli berbayar pada April lalu, bintang trek itu bukan sahaja memohon lesen untuk memiliki senjata lebih daripada satu tetapi dia sebenarnya mahu membeli senjata-senjata itu.

PISTORIUS menangis semasa pertama kali dihadapkan ke mahkamah Afrika Selatan pada 15 Februari lalu.


Dia dan Pistorius diperkenalkan di sebuah hotel di Johannesburg, Afrika Selatan pada Januari tahun lalu.
Seorang peguam yang juga pakar dalam undang-undang senjata api, Martin Hood, memberitahu, jika Pistorius tidak menjadi pengumpul senjata api, dia boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang Afrika Selatan yang mengehadkan pemilikan senjata api sebanyak empat pucuk sahaja bagi mempertahankan diri.
Pengerusi Senjata Api dan Pengumpul Peluru Afrika Selatan, Carvel Webb menambah, dengan berlakunya tragedi itu, Pistorius sudah memenuhi syarat yang diperlukan untuk diterima sebagai pengumpul senjata api dan dia mula mengumpul senapang separa automatik.
Pistorius tidak pernah menyembunyikan minatnya terhadap senjata api. Seorang wartawan yang melawatnya di rumahnya di Pretoria dan mendapati Pistorius menyimpan senjata api di tepi katilnya.
Dia juga berlatih menembak untuk Sukan Olimpik London 2012 di Afrika Selatan dan Eropah tetapi dia kurang dikenali sebagai pengumpul senjata api.
Ujar John, dia memerhatikan Pistorius berlatih menembak sebanyak dua kali tetapi tidak melihat apa-apa petanda yang menunjukkan dia boleh menjadi ancaman.
"Dia tidak akan melakukan apa-apa yang tidak rasional sekiranya memegang senjata api, kerana saya akan menyedarkannya dengan segera," jelasnya kepada AP.
Pistorius menyatakan, dia menyangka teman wanitanya itu adalah seorang penceroboh dan dia melepaskan tembakan ketika Reeva berada di tandas rumahnya.
Menurut Pusat Senjata Api Kebangsaan Perkhidmatan Polis Afrika Selatan, lesen bagi pistol a 9mm milik Pistorius dikeluarkan pada bulan September 2010 dan didaftarkan untuk tujuan mempertahankan diri.

PISTORIUS yang digelar Blade Runner memulakan larian untuk acara 400 meter lelaki pada Sukan Olimpik London, Ogos lalu.


Mahir
"Saya sukar untuk mempercayai berlaku perbuatan yang salah, tetapi dia boleh mempunyai sisi gelap, mungkin juga ada sesuatu yang tidak kena," kata John.
Presiden Penembak di Timur Laut Itali, Roberto Siriu, berkata Pistorius tidak kelihatan seperti mahir menggunakan senjata api.
Pistorius pernah ditembak di Tolmezzo, Itali, bandar berdekatan Gemona ketika berehat daripada menjalani latihan.
Pada November 2011, Pistorius memuat naik gambar dirinya menembak menggunakan senapang di Tolmezzo, dengan memberitahu dia berjaya mendapatkan 95 peratus skor menembak dari jarak 300 meter.
Dia turut membuat status di laman sosial Twitter yang dia akan kembali ke Tolmezzo untuk menembak menggunakan senapang vintaj.
Kes jenayah berprofil tinggi melibatkan senjata api milik individu sering menggemparkan dunia mutakhir ini. Selain negara-negara Afrika, Amerika Syarikat (AS) ialah antara negara maju yang sedang berusaha menggubal undang-undang baharu bagi mengekang pemilikan senjata api.
Disember lalu, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang dan membunuh 20 orang kanak-kanak dan enam orang dewasa di sebuah sekolah di Connecticut, AS.
Sebelum itu, seorang lelaki bertopeng melontar gas pemedih mata ke dalam sebuah pawagam yang menayangkan filem terbaharu Batman - The Dark Knight Rises di Denver AS, sebelum melepaskan tembakan ke arah penonton, menyebabkan 12 terbunuh dan 50 lagi cedera.

Mesin dialisis buatan sendiri

Posted: 02 Mar 2013 09:58 PM PST


BIARPUN Xue Peng kini tidak menyumbang apa-apa kepada keluarga, namun seisi keluarganya akan bergilir-gilir mengepam oksigen untuk dia terus bernafas.


TANPA bantuan alat perubatan yang canggih, mana mungkin seorang penghidap penyakit buah pinggang mampu bertahan untuk terus hidup. Begitu juga bagi seorang yang perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan untuk terus bernafas.
Namun hal itu tidak mustahil kepada dua orang lelaki di China. Biarpun tidak mampu menggunakan alat rawatan canggih akibat kesempitan wang, mereka terus hidup menggunakan mesin perubatan yang dibuat sendiri hingga kini.
Hu Song Wen yang menghidap penyakit buah pinggang, kini masih bernafas biarpun sekadar bergantung kepada mesin dialisis yang direka sendiri selama 13 tahun. Bagi Fu Xue Peng pula, dia telah menyambung hidup dengan alat bantuan pernafasan manual sejak lima tahun lalu.
Dua orang lelaki di luar bandar China itu dan ahli keluarga mereka menjadi begitu inovatif semata-mata meneruskan hidup akibat kesempitan wang.
Song Wen yang tinggal di perkampungan Qutang, wilayah Jiangsu di timur China bersama ibunya yang berusia 81 tahun terpaksa bergantung kepada sebuah alat dialisis usang selepas tidak mampu membayar kos perubatan.

JARI-JEMARI Min Zu rosak akibat mengepam gas oksigen kepada anaknya pada setiap hari secara bergilir-gilir dengan ahli keluarga yang lain.


"Kos membuat rawatan menggunakan alat yang saya buat ini hanya 60 yuan (RM30). Ia lebih murah sebanyak 12 peratus daripada kos rawatan hospital," katanya yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 20 tahun lalu.
Mesin itu bertindak sebagai sebuah buah pinggang yang terdiri daripada dua bahagian yang dihubungkan menerusi membran iaitu struktur seperti filem yang membenarkan partikel tertentu melepasinya.
Mesin itu beroperasi dengan cara darah akan dipam pada separuh mesin yang sebahagian daripada strukturnya terdiri daripada perkakasan dapur itu. Manakala cecair dialisis dipam pada bahagian yang satu lagi.
"Saya menghasilkan sendiri cecair dialisis dengan mencampurkan bahan-bahan pottasium klorida, sodium klorida dan sodium hidrogen karbonat (bikarbonat) bersama air suling.
"Ketika rawatan, dua tiub akan dimasukkan pada lengan yang dihubungkan kepada mesin dialisis itu. Seterusnya, darah akan dipam ke salah satu tiub untuk ditapis dan memasuki semula tubuh melalui tiub yang satu lagi," katanya yang menggunakan mesin itu setiap tiga kali seminggu.
Bagaimanapun doktor pernah memberi amaran kepada Song Wen tentang tindakan itu yang akan memberi risiko besar kepadanya. Apatah lagi dia meletakkan mesin itu di dalam bilik air yang dikhuatiri kotor.
"Kata doktor, ia berisiko untuk mendapat jangkitan teruk selain komplikasi jangka masa panjang kerana tidak menggunakan air steril. Tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain," katanya.
Jelas Song Wen, dia tidak akan mengalah biarpun dua orang daripada rakannya meninggal dunia setelah menghasilkan sendiri mesin seperti yang digunakannya.
Bagi seorang lelaki lain di wilayah Zhejiang di timur China pula, dia terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan secara manual selama lima tahun untuk meneruskan hidup setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Fu Xue Peng, 30, mengalami kecacatan sistem saraf yang menyebabkan dia lumpuh seluruh tubuh sehingga tidak mampu untuk bernafas sendiri. Dia terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menyumbang oksigen.

ADIK bongsu Xue Peng memperoleh idea membina sebuah mesin mengepam oksigen ini menerusi rancangan televisyen.


Dia yang sebelum itu ditempatkan di Hospital Besar Taizhou, Zhejiang, China terpaksa dibawa pulang kerana keluarganya tidak mampu menanggung kos hospital berjumlah 10,000 yuan (RM5,000) seminggu. Wang pampasan insurans bernilai 300,000 yuan (RM15,000) akibat kemalangan itu juga habis untuk kegunaan tersebut.
"Kami hanya membeli sebuah beg injap ventilasi dan mengepam oksigen dengan menggunakan tangan sejak lima tahun lalu," kata ibunya, Wang Lin Qin ringkas.
Untuk memastikan lelaki itu terus hidup, seluruh ahli keluarganya termasuklah ibu bapa, dua orang kakak dan adik iparnya akan bergilir-gilir mengepam beg pernafasan itu sebanyak 18 kali seminit. Sekiranya mereka berhenti mengepam selama tiga minit, nyawa Xue Peng akan melayang kerana tidak mendapat oksigen.
"Ia sangat memenatkan. Tangan kami pun sudah pecah kerana tidak henti mengepam oksigen," kata ayahnya, Fu Min Zu.
Bagaimanapun mereka bertuah kerana adik bongsu Xue Peng telah memperoleh idea daripada sebuah rancangan televisyen yang memaparkan cara membuat sebuah mesin yang ringkas.
Dengan terhasilnya alat motor tersebut, beban mereka sekeluarga yang sebelum ini terpaksa mengepam alat tersebut tidak kira siang dan malam itu sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.
Motor itu beroperasi apabila sebuah batang besi disambungkan kepada alat pengepam tersebut dan ia akan beroperasi mengepam sebanyak 18 kali seminit.
Bagaimanapun, penghasilan alat tersebut bukan menjadi penyelesaian buat mereka sekeluarga kerena ia akan dioperasikan pada waktu malam sahaja kerana menelan kos penggunaan elektrik yang tinggi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines