Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Zain Saidin Mohon Maaf, Tiada Niat Sorok Majlis Risik
- Zain Saidin Akhirnya Merisik Rozita Che Wan
- Kaka Azraff Cuba Lari Daripada Bayangan Ella
- Antivirus berlandaskan syariah
- Akar seakan wajah manusia
- 18 penagih tegar ditangkap
- Rosyam menonjol, Soffi seimbang
- Didie Alias kecewa ditipu rakan sendiri
- Bayaran BR1M 3.0 terus masuk akaun
- Pahit manis anggota penguat kuasa
- Olesan gincu yang ideal
- 1,000 jenis pokok di Anjung Rimbun
- Kisah seram muzium perang
Zain Saidin Mohon Maaf, Tiada Niat Sorok Majlis Risik Posted: 30 Sep 2013 02:38 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin, memohon maaf kepada mana-mana pihak yang berkecil hati kerana tidak menjemput ke majlis merisik antara dia dengan aktres Rozita Che Wan, 40, yang diadakan di Carcosa Seri Negara dekat sini pada Ahad. Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, dia tidak berniat untuk menyembunyikan majlis berkenaan sebaliknya ia diadakan secara kecil-kecilan melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja. "Saya memohon maaf kepada mana-mana pihak termasuklah kawan-kawan artis, rakan-rakan media atau sesiapa sahaja yang berkecil hati kerana saya tidak menjemput mereka. "Saya nak jelaskan, ia hanya majlis merisik. Bukan bertunang. Hanya keluarga terdekat sahaja yang hadir," katanya ketika menghubungi mStar Online di sini pada Isnin. Zain berkata, pada majlis yang diadakan kira-kira pukul 3 petang itu, hanya 20 ahli keluarganya hadir manakala keluarga Rozita pula seramai 30 orang. Pada majlis itu dia turut menghadiahkan sebentuk cincin sebagai tanda untuk memiliki Rozita. Ditanya mana mungkin majlis berkenaan diadakan secara kecil-kecilan kerana ia diadakan di sebuah lokasi yang gah Zain berkata, ia kelihatan seperti meriah kerana majlis itu ditaja banyak pihak melibatkan dekorasi dewan, pakaian, solekan dan khidmat jurugambar. "Saya buat majlis itu selepas dapat 'sponser' melainkan dewan sahaja (bayar). Saya berjanji, pada majlis bertunang dan nikah yang akan diadakan serentak pada Disember depan, saya dan Rozita akan membuat jemputan rasmi," ujarnya. Dalam perkembangan berkaitan Zain memberitahu pihaknya masih mencari tarikh sesuai untuk mengadkan majlis pernikahan kerana ada beberapa lokasi yang dipilih mempunyai acara lain yang sudah ditempah awal. Sementara itu Zain berkata dia akan mula bercuti pada November depan untuk memberi tumpuan kepada majlis pernikahannya selepas pulang mengdakan penggambaran telefilem Oh My English di Amerika Syarikat. Zain dan Rozita pada mulanya dikatakan bercadang untuk bernikah di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, dekat sini. Rozita yang pernah berkahwin sebelum ini mempunyai dua orang anak iaitu Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezra, yang berusia 15 tahun. | |||
Zain Saidin Akhirnya Merisik Rozita Che Wan Posted: 30 Sep 2013 02:37 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin, 29, akhirnya merisik kekasihnya, aktres Rozita Che Wan, 40, dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, pada Ahad. Pengurus peribadi Rozita iaitu Afiq berkata majlis berlangsung kira-kira pada pukul 3 petang dan disaksikan seramai 50 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak. "Majlis ini dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh kedua-dua belah keluarga sahaja. Ia hanya majlis merisik, bukan pertunangan. "Ia majlis pihak lelaki mahu bertanya sama ada Rozita sudah ada yang punya atau belum," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad. Tambahnya majlis berlangsung dengan tema adat melayu tradisional dan dekorasi pelamin ditaja oleh Kuntum by Najeeb. mStar Online turut menerima gambar kiriman individu yang hadir pada majlis berkenaan. Sementara itu, Zain yang dihubungi mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan mengulas panjang selain agak terkejut bagaimana majlis tersebut berjaya dihidu pihak media. Terdahulu pada Jumaat lalu Zain memberitahu mStar Online dia terkejut apabila timbulnya khabar angin kononnya dia dan Rozita sudah bertunang secara senyap selain menganggap gosip berkenaan sebagai mengarut. | |||
Kaka Azraff Cuba Lari Daripada Bayangan Ella Posted: 30 Sep 2013 02:36 AM PDT PETALING JAYA: Penyanyi Kaka Azraff mengakui cuba untuk berdiri sendiri tanpa disamakan dengan identiti Ratu Rock Negara, Ella yang juga merupakan ibu saudaranya. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 24, berkata, ia bukan satu perkara yang mudah kerana dia dibesarkan dengan lagu-lagu wanita tersebut. "Pertalian darah mungkin menyebabkan kami banyak persamaan sehinggakan sekarang masih lagi ada yang mengatakan cara saya bercakap atau menyanyi seperti Ella. "Saya dibesarkan dengan lagu-lagu dia dan keluarga kami memang sangat mengidolakan dia, mungkin itu yang membuatkan saya sukar lari daripada bayangan dia," katanya kepada mStar Online. Tambah Kaka, dia mengambil keputusan untuk berdiri sendiri dan bernaung di bawah syarikat pengurusan Wirefame Entertainment sebagai satu cara untuknya membentuk imej tersendiri. "Kalau saya mahu mungkin saya boleh sahaja duduk di bawah pengurusan Ella tapi saya sedar nanti saya lebih terikut-ikut sepertinya," katanya. Tambah Kaka, hampir dua tahun berada dalam industri seni, dia semakin matang dalam menentukan hala tujunya sebagai penyanyi. Kaka yang baru sahaja melancarkan single duet terbaharu bersama Zizan Raja Lawak berjudul Infiniti Cinta mengakui selesa bekerjasama dengan Zizan. Namun begitu Kaka menolak dakwaan dia ingin menumpang populariti pelawak tersebut dalam mencipta nama sebagai penyanyi. "Lagu ini adalah kesinambungan lagu Bawaku Pergi dan saya dan Zizan memang sudah merancang untuk berduet bersama sekali lagi selepas single pertama itu mendapat sambutan menggalakkan," katanya. | |||
Antivirus berlandaskan syariah Posted: 30 Sep 2013 02:34 AM PDT
Lebih membanggakan, produk unik ini dihasilkan sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), 1Machine Sdn Bhd (1Machine) yang merupakan antara syarikat di bawah bimbingan Technology Park Malaysia (TPM). Dikenali sebagai Perisai, perisian yang digunakan untuk keselamatan internet ini adalah buah fikiran tiga usahawan muda Melayu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif 1Machine, Abbyamir Sapie; Ketua Pegawai Operasi 1Machine, Shaifulizan Othman dan Pengarah Perniagaan Antarabangsa 1Machine, Mohd Juani Affendi Ibraham. Idea menghasilkan produk teknologi itu datang selepas mereka menyedari masih tiada syarikat tempatan yang menawarkan produk perisian keselamatan internet kepada pengguna, jadi 1Machine diasaskan pada 2010 bagi merealisasikan impian itu. Pada 2011, 1Machine mula mengkomersialkan Perisai kepada umum dengan mengutamakan konsep perniagaan kepada perniagaan (B2B) melalui pengedar. Kini, syarikat itu menawarkan perkhidmatan seperti Perisai Antivirus, Perisai Anti Spyware, Perisai Anti Spam, Perisai Parental Control, Perisai Firewall dan Perisai Mobile Security. Tembusi pasaran Timur Tengah Abbyamir berkata, selepas empat bulan pelancaran Perisai, pada 2012, 1Machine berjaya mendapatkan beberapa pengedar di peringkat global di mana kebanyakannya adalah dari negara Islam Timur Tengah serta Utara Afrika seperti Arab Saudi dan Mesir. "Peluang ini kami dapat daripada penglibatan dalam beberapa program seperti pameran dan juga program di bawah TPM termasuk tunjuk ajar mengenai kemasukan pasaran, nasihat perniagaan, pembangunan serta rancangan perniagaan. "Tahun lalu, kami banyak habiskan masa mencari pendedahan kepada pasaran. Pada Februari tahun ini, kami telah menubuhkan syarikat pertama 1Machine di luar Malaysia dikenali sebagai 1Machine Technology Pte Ltd di Juba, Sudan Selatan bagi menjaga operasi dan pemasaran jualan kami di Afrika," katanya. Abbyamir menambah, 1Machine pada bulan lalu juga telah membuka syarikat 1Machine Technology Pte Ltd yang berpangkalan di Yorkshire, United Kingdom sebagai pusat operasi dan hab pemasaran Perisai di Eropah. "Kami buka syarikat itu dengan kerjasama rakan kongsi di sana yang sudah beri pendapat dan kemukakan rancangan mereka bagaimana untuk membantu Perisai menembusi pasaran di Eropah," katanya. Kerajaan turut bantu sektor teknologi Bagi Abbyamir, inisiatif daripada kerajaan memang banyak disediakan bagi membantu usahawan sektor teknologi. "Kami juga penerima bantuan daripada Yayasan Usahawan Baru Malaysia (Mynef) yang membuat rancangan baik untuk mempromosikan Perisai dalam kalangan pengguna terutamanya syarikat PKS. "Melalui geran ini kami menyediakan Perisai kepada syarikat PKS secara percuma dan ia dibiaya oleh Mynef sendiri," katanya. Berdasarkan sokongan itu, 1Machine menyasarkan anggaran penggunanya akan mencecah 200,000 pada hujung tahun ini. Namun beliau juga berharap akan ada bantuan dari segi penjenamaan produk unik itu supaya lebih dikenali pengguna. "Sebagai produk baru kami perlukan bimbingan dari segi penjenamaan, komersial dan pengiklanan bagi memberitahu umum mengenai produk tempatan dan saya harap kerjaan akan beri lebih perhatian untuk bantu usahawan teknologi dalam perkara ini," katanya. Tak banyak produk negara Islam Ditanya mengenai perancangan akan datang, Abbyamir berkata, 1Machine akan mengutamakan sasaran bagi penembusan pasaran Perisai di peringkat global kerana tidak banyak produk yang datang dari dunia Islam seperti negara-negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). "Boleh dikatakan 98 peratus (produk teknologi) adalah dari Eropah dan Amerika Syarikat. Di sini kita boleh lihat peluang sangat cerah bagi produk dari Malaysia dan negara Islam untuk tembusi pasaran Timur Tengah dan negara yang mempunyai peratusan penduduk Islam tinggi. "Rakan kongsi kami di Eropah juga turut memberi cadangan untuk menembusi pasaran negara di Eropah yang mempunyai peratusan penduduk Islam tinggi seperti Perancis, United Kingdom dan beberapa negara lain lagi," katanya. Bagaimanapun, beliau tetap mahu mengukuhkan kedudukan di pasaran negara sendiri sebelum menarik perhatian pengguna luar kerana syarikat itu yakin, produk dari dunia Islam boleh diterima dengan baik di negara Islam seluruh dunia. | |||
Posted: 30 Sep 2013 02:31 AM PDT
MARANG - Akar pokok ru disimpan seorang nelayan di Kampung Baru Rhu Muda, di sini, menjadi tumpuan apabila terdapat satu bahagian pada akar pokok itu berbentuk seakan wajah manusia. Keunikan itu disedari ahli keluarga Ramli Kecik, 54, yang membersihkan akar pokok ru disimpan sejak lima tahun lalu tersebut ketika mereka sedang berehat di ruang tamu. "Mereka terus memanggil saya untuk sama-sama melihat wajah yang pelik dan menakutkan, tetapi menarik pada akar itu," katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, di sini. Menurutnya, seorang daripada anaknya turut merakam dengan menggunakan telefon bimbit dan wajah pelik serta menakutkan itu kelihatan lebih jelas berbanding apabila melihatnya secara langsung. Menceritakan penemuan akar pokok itu lima tahun lalu, Ramli berkata, dia mengambil dan menyimpan akar pokok ru tersebut selepas mendapati ia tidak hangus walaupun pokoknya dibakar seorang rakan di Kampung Alur Tuman, di sini. "Sebelum dibakar, kami sering diganggu 'lembaga misteri' ketika melalui laluan menuju ke pantai berdekatan pokok itu. Kerana marahkan 'lembaga misteri' dikatakan menjadi penunggu pokok itu, rakan saya membakarnya. "Namun agak menghairankan apabila akar pokok itu tidak terbakar yang hanya disedari keesokan harinya ketika melalui laluan sama menuju ke pantai. Saya kemudiannya mengambil akar itu untuk disimpan," katanya. Bagaimanapun, Ramli berkata, tiada sebarang imej atau wajah manusia kelihatan pada peringkat awal dia menyimpan akar sepanjang setengah meter itu. Menurutnya, mungkin ada rahsia di sebalik kejadian itu, namun dia tidak mahu masyarakat terlalu taasub dan menganggap akar pokok ru tersebut adalah jelmaan penunggu pokok atau sebagainya. "Saya akan simpan akar pokok ini yang mungkin berguna satu hari nanti," katanya. Penemuan itu adalah kejadian ketiga berlaku di daerah ini, kejadian pertama membabitkan dua sahabat di Kampung Kijing, di sini, yang melihat seraut wajah manusia lengkap dengan mata, hidung dan mulut muncul pada batang pokok tembesu ditebang mereka pada 31 Mei yang disiarkan Sinar Harian 1 Jun, tahun lalu. Dalam kejadian kedua pula, pokok jenis melaka kijang milik seorang nelayan di Jalan Surau Ayah De, di sini, menjadi tumpuan apabila satu daripada dahannya seakan berwajah manusia. Wajah pada dahan pokok kayu hutan dikatakan dapat mengubati penyakit kencing manis itu juga agak menakutkan. Keunikan itu disedari Abdullah Ali, 57, ketika berehat di pekarangan rumahnya pada 21 November, tahun lalu. | |||
Posted: 30 Sep 2013 02:29 AM PDT
PASIR PUTEH - Seramai 18 penagih dadah tegar berusia 20 hingga 40 tahun berjaya ditangkap dalam serbuan di Kampung Kolam, Selising, dekat sini, awal pagi kelmarin. Serbuan menerusi Ops Tapis dan Cantas Khas oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh diketuai Inspektor Eddy Yusman Abu Bakar itu adalah hasil maklumat orang ramai. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mereka ditangkap di satu kawasan berhampiran sempadan Pasir Puteh-Bachok yang dijadikan port mereka dalam tempoh tujuh jam bermula jam 6 pagi. Menurutnya, polis menahan seorang demi seorang penagih yang memasuki port tersebut dengan menyembunyikan suspek untuk menahan suspek seterusnya. "Walaupun ada yang cuba meloloskan diri namun gagal kerana anggota kita sudah bersedia," katanya kepada pemberita, semalam. Mohd Kamal berkata, hasil pemeriksaan lanjut, seorang daripada mereka disyaki pengedar selepas polis menemui tiga botol plastik berisi sejenis dadah bersamanya. "Kita juga merampas sebuah motosikal jenis Honda selepas mendapati enjin dan nombor casisnya sudah dicanai. "Kawasan semak itu dijadikan lokasi terbaru penagih dari Pasir Puteh dan Bachok untuk melepaskan gian selepas port sebelum ini diserbu polis," katanya. Menurutnya, semua penagih dibawa ke IPD Pasir Puteh untuk ujian air kencing dan semuanya didapati positif dadah. "Mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 15(1) akta sama, manakala pemilik motosikal terbabit turut didakwa mengikut Seksyen 29 (1) di bawah Undang-undang Kesalahan Kecil," katanya. Dalam pada itu, pihaknya berterima kasih kepada penduduk kampung yang segera menyalurkan maklumat berhubung kegiatan terbabit. | |||
Rosyam menonjol, Soffi seimbang Posted: 30 Sep 2013 02:21 AM PDT
TIDAK sukar menyatukan dua figura hebat ini dalam sesi fotografi. Baik Rosyam Nor mahupun Soffi Jikan, kedua-duanya tahu memberikan pose dalam menjiwai watak yang dimainkan mereka dalam filem terbaharu buah tangan pengarah hebat, Syamsul Yusof iaitu KL Gangster 2. Sepertimana profesionalnya mereka dalam memberi pose yang dikehendaki jurukamera Kosmo!, Shahril Azman Zain, begitu jugalah kedua-dua pemain filem itu memberi lakonan hebat mereka menerusi KL Gangster 2. Soffi Jikan, gangster bernama Ajib dengan trademark sengat dalam KL Gangster pada 2011, kembali semula dalam KL Gangster 2 yang sebenarnya merupakan prekuel KL Gangster. Bagaimanapun, untuk watak Tai Long (ketua gengster paling jahat dan berhati binatang) yang dilakonkan Rosyam Nor itu adalah sesuatu yang baharu cuba diketengahkan oleh Syamsul menerusi KL Gangster 2. Penangan Rosyam Sepi Rosyam selama dua tahun bukan kerana apa. Ketika itu, dia sedang memikirkan mengenai reaksi penonton dan juga rakan-rakannya mengenai lakonannya sebagai Tai Long dalam KL Gangster 2. "Selama dua tahun saya menunggu jawapan peminat dan rakan-rakan mengenai watak Tai Long yang dibawa. "Selama dua tahun itu jugalah saya takut dilabel zaman saya sudah habis. Bagaimanapun saya bersyukur, rata-rata yang menonton KL Gangster 2 mereka memuji lakonan saya," ujarnya jujur. Lebih mengejutkan, lakonan pelakon berusia 46 tahun itu dikatakan paling menonjol berbanding pelakon utamanya iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra malah, Rosyam sendiri telah dilabelkan watak utama dalam filem prekuel tersebut. Itulah penangan pelakon yang memiliki nama penuh Mohd. Noor Shamsuddin itu. Mengulas mengenai watak Tai Long, kata Rosyam, selama 30 tahun bergelar pelakon, itulah watak paling jahat dan kejam pernah dilakonkannya. Memang dia akui pada mulanya Syamsul sendiri berasa was-was dengan kreadibilitinya untuk beraksi dalam filem yang mengangkat tema gengster itu namun, dia membuktikan kemampuannya dalam memberi aksi lawan yang tidak diduga oleh pengarah itu.
"Syamsul seorang pengarah yang terbuka. Dia tahu apa yang dia mahukan dan tahu bagaimana mahu menghidupkan setiap watak dalam ceritanya. Dalam filem ini sebahagian daripada aksi lagak ngeri dilakukan sendiri oleh saya," ujarnya. Akui Rosyam lagi, dia menjiwai sepenuhnya watak berkenaan yang disifatkannya lebih ganas daripada watak-watak gangster yang pernah dilakonkannya sebelum ini seperti dalam filem Castello, Bara mahupun Lenjan. Disoal bagaimana perasaannya tatkala diarah oleh seorang pengarah yang jauh lebih muda daripadanya, jujur kata Rosyam dia tidak pernah memikirkan perkara itu. Kata Rosyam, apabila sudah terikat pada sesuatu kerja dia akan mengikut arahan yang diberikan. Bagi Rosyam juga tiada bezanya pengarah muda atau sebaliknya malah, Syamsul sendiri sudah membuktikan kemampuannya sebagai pengarah dengan anugerah-anugerah yang dimenanginya. Luah Rosyam lagi, apa yang boleh diberi seorang pelakon pula adalah lakonan yang mantap tidak kira sama ada watak tersebut besar atau kecil. "Saya pernah tampil kameo bawa watak Lan Pet Pet dalam filem Senario XX. Walaupun muncul secara cameo (seketika), saya pastikan kehadiran saya dalam filem tersebut memberi kesan yang mendalam," ujarnya yang bakal muncul dalam filem Balistik, lakonannya bersama Adi Putra dan Rita Rudaini pada bulan Februari tahun depan. Sebelum mengakhiri perbualan, Rosyam juga menyatakan dia bakal mengarah sebuah filem. Selepas menjadi pelakon dan penerbit, bagi Rosyam inilah masanya untuk dia menerokai bidang baharu iaitu pengarahan filem. Soffi perlu seimbang Mohamad Shoffi Jikan atau lebih dikenali sebagai Soffi Jikan, 43, mengakui watak Ajib yang dilakonkan tidak boleh terlalu menonjol atau tenggelam. Apa yang perlu dilakukannya adalah menyeimbangkan watak itu tetapi dalam masa yang sama ia tetap memberi kesan kepada jiwa penonton. Perkara itu tidak mendatangkan masalah buat pelakon dan juga aktivis teater serta penulis lakon layar itu.
"KL Gangster 2 adalah prekuel kepada KL Gangster. Saya melakonkan watak Ajib seorang gengster baharu dan belum pandai membunuh. Dia cuma pandai bercakap dan menghasut orang sahaja. "Filem KL Gangster 2 ramai watak-watak besar. Jadi, saya cuba letakkan diri seimbang. Tidak boleh terlebih atau terkurang," jelasnya mengenai watak Ajib. Mengulas mengenai pengalamannya berlakon dalam filem tersebut, kata Soffi, paling mencabar ialah dia perlu menjalani sebanyak 40 kali babak yang sama iaitu ketika berlawan dengan Rosyam. Ujar bapa kepada tiga orang anak itu, babak itu sangat kritikal baginya kerana Syamsul mahu ia kelihatan begitu sempurna. "Semua pelakon sudah memberikan yang terbaik. Penat sudah tidak dirasakan ketika itu sebab keadaan kami boleh digambarkan sebagai lunyai. "Disebabkan itu penggambaran yang sepatutnya berlangsung selama 45 hari menjadi 70 hari. Tetapi itu pengorbanan yang ditunjukkan oleh semua pelakon untuk memberikan yang terbaik," ungkapnya. Disoal mengenai karakternya yang sering memberi kesan kepada penonton, kata Soffi, seorang pemain filem perlu memilih projek-projek yang bijak. Mengulas lanjut, jelas Soffi, dia juga akan memastikan pasukan dan produksi yang akan bekerjasama adalah yang terbaik bukan produksi tangkap muat. "Filem Rock, Hantu Kak Limah, Bohsia adalah contoh filem-fielm yang terbaik. Sebab apa, kerja keras dan pelaksanaan kerja yang diberikan mereka adalah terbaik. "Saya tidak mahu berlakon dalam produksi yang main-main yang memberi watak jahat kepada saya tetapi ia ibarat pepatah melepaskan batuk di tangga. Tiada plot dan kesinambungan yang bagus," luahnya. Dedah Soffi, dia tidak kisah jika tidak popular asalkan selepas 10 tahun daripada sekarang dia tidak malu melihat portfolio lakonannya. Berkongsi lanjut, kata Soffi, dia juga bersyukur kerana orang tidak lagi memberikan peranan jahat kepadanya malah telah mengangkatnya kepada watak hero. "Buat pertama kali saya bawa watak hero dalam filem KL Cinta. Seorang anak orang kaya yang nakal dan bercinta dengan Puteri Sarah," ujarnya mengenai filem terbitan White Merpati itu. | |||
Didie Alias kecewa ditipu rakan sendiri Posted: 30 Sep 2013 02:20 AM PDT
KELETAHNYA yang sentiasa menceriakan suasana dan perwatakan yang unik telah menjadikan aktres, Didie Alias pilihan syarikat pelancongan Amar Travel & Tours sebagai selebriti pertama yang dipilih bagi mewakili pakej pelancongan mereka. Mensyukuri rezeki yang diraihnya kini, bicara Didie mengimbau pengalaman buruk yang pernah berlaku terhadap diri, dia kini lebih berhati-hati untuk memilih tawaran. "Pengalaman tahun lepas memang membuat saya lebih berhati-hati dan saya benar-benar kecewa. Ini kerana pemilik syarikat tersebut merupakan rakan yang telah dikenali sejak 15 tahun lalu. "Saya juga rasa telah menipu kawan-kawan lain dan jelaskan kepadanya bahawa saya tidak mahu terlibat lagi. "Sejujurnya, sebelum terima tawaran Amar Travel & Tours ini, saya telah memeriksa latar belakang syarikat itu. "Terbukti mereka memang telah lama dalam bidang pelancongan dan ada lesen," tutur Didie ketika ditemui pada sidang akhbar Let's Cruise With Lady Didie yang bertempat di Modesto's Capsquare, Kuala Lumpur. Didie's Entertainment & Management Bercerita lanjut mengenai tawaran yang baru diterimanya itu, kata Didie, dia terus mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut dengan Amar Travel & Tours. Selepas, bersetuju dengan semua perkara yang dibincangkan, syarikat pelancongan itu akhirnya melamar Didie dengan menandatangani kontrak setahun bermula tahun 2014. "Kami berbincang secara serius dan hasilnya, pelancongan cruise ini merupakan cubaan pertama bersama peminat yang ingin turut serta. Di atas kapal itu kelak, saya akan menghiburkan pelanggan dengan pelbagai aktiviti menarik.
"Jika ingin dapatkan maklumat lanjut boleh hubungi talian Amar Travel & Tours atau laman-laman sosial seperti di laman-laman web, Facebook, Instagram serta kelab peminat saya sendiri," jelas Didie panjang lebar mengenai pakej yang ditawarkan. Bagi yang berminat dengan pakej Let's Cruise With Lady Didie ini, tempahan dan maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web Amar Travel & Tours di www.amartravelandtours.com atau talian 03-2692 7979 (pembelian tiket) 03-2692 8080 (pertanyaan). Selain menerima tawaran menjadi pengacara dan berlakon, Didie juga sibuk menguruskan syarikat penerbitannya sendiri yang ditubuhkan sejak tahun 2003. Sebagai seorang penggemar fesyen, Didie juga mempunyai perancangan ingin membuka sebuah bisnes jenama fesyennya sendiri. Namun, sebagai permulaan, produknya akan dijual dalam talian. "Saya akan memulakan fesyen dengan jenama sendiri dan berkolaborasi bersama beberapa pereka fesyen yang dikenali. Antara produk yang akan dijual ialah seperti aksesori, kemeja-T dan kemeja edisi terhad. "Harganya pula tidaklah semahal mana dan ia mampu dimiliki oleh golongan biasa," jelas Didie. | |||
Bayaran BR1M 3.0 terus masuk akaun Posted: 30 Sep 2013 02:15 AM PDT IPOH – Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 bakal menerima bayaran melalui dua peringkat mulai tahun hadapan. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, wang bantuan itu pula akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima dan bukannya secara tunai atau baucar seperti yang dilakukan sejak tahun lepas. Katanya, langkah itu bertujuan menggalakkan penerima menggunakan wang bantuan secara berhemah dan berbelanja mengikut keperluan. | |||
Pahit manis anggota penguat kuasa Posted: 30 Sep 2013 02:12 AM PDT
INDIVIDU yang melakukan kesalahan trafik serta kewujudan premis-premis haram di sekitar pusat bandar raya sudah menjadi rencah kehidupan warga kota. Apabila anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas, pasti ada dalam kalangan warga kota yang kurang senang dengan kehadiran mereka. Lontaran kata-kata kesat sudah lali di telinga anggota penguat kuasa tatkala mereka 'menghulurkan' surat kompaun kepada pesalah trafik yang melanggar undang-undang. Antaranya termasuklah kesalahan meletakkan kenderaan di garisan kuning. Perbuatan tersebut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. Penjaja haram di jalanan pula lari bertempiaran sebaik sahaja melihat kelibat anggota penguat kuasa DBKL. Namun, Parameswaran Rengasamy, 56, sudah masak dengan ragam warga kota. Beliau yang berkhidmat di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak 35 tahun lalu itu juga merupakan antara pegawai penguat kuasa DBKL yang berpengalaman luas dalam menguruskan hal ehwal trafik di ibu kota. Beliau merupakan salah seorang saksi yang melihat perubahan dan kemajuan di ibu negara selama hampir empat dekad. Kesalahan trafik Memulakan kerjaya sebagai waran trafik DBKL pada tahun 1978, bidang tugasnya lebih tertumpu kepada mengawal lalu lintas bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Beliau juga diberi kuasa untuk mengeluarkan notis kompaun kesalahan trafik bagi warga kota yang ingkar undang-undang. Menurut Ketua Inspektor Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu, kesesakan lalu lintas bukan masalah utama warga kota sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an. Pada waktu itu, bilangan kenderaan yang menyusuri jalan-jalan di ibu kota tidak sebanyak pada hari ini. Parkir-parkir kenderaan juga mencukupi untuk menampung jumlah kereta dan motosikal yang memasuki ibu kota saban hari. "Tugas sebagai waran trafik pada waktu itu lebih mudah berbanding hari ini. Warga kota pada tiga atau empat dekad lalu sangat mematuhi peraturan dan undang-undang. Segala teguran dan nasihat daripada waran trafik diterima dengan hati yang terbuka," ujarnya yang menjawat jawatan waran trafik pada umur 21 tahun. Ceritanya lagi, walaupun warga kota memberi kerjasama yang baik terutama dalam melancarkan pergerakan trafik, beliau juga seorang yang tegas. Pada peringkat awal berkhidmat dengan DBKL, beliau hanya mengikut operasi menyita premis haram di jalanan dan trafik dari pukul 8 pagi hingga 4 petang. Kini, operasi dilakukan pada bila-bila masa. Bagi pegawai yang berasal dari Klang, Selangor itu, setiap anggota DBKL perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai undang-undang sebelum melaksanakan tugas setiap hari. Berhemah "Mentaliti dan pemikiran warga kota pada hari ini tidak seperti dahulu. Mereka lebih celik undang-undang, malah ada yang akan mempertikaikan setiap tindakan anggota DBKL sebelum mengeluarkan kompaun dan menyita premis haram. Situasi ini merupakan antara cabaran yang harus ditempuhi oleh setiap anggota ketika berada di lapangan. "Saya tidak akan mengeluarkan kompaun sewenang-wenangnya. Sebaliknya, saya menggunakan pendekatan menegur secara berhemah," jelasnya. Antara fungsi utama jabatan penguat kuasa DBKL ialah mengawal dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan lalu lintas, tempat letak kereta elektronik, ingkar menggunakan jejantas dan halangan serta pelanggaran isyarat lalu lintas. Selain itu, PDRM juga telah menyerahkan kuasa mengeluarkan kompaun kepada jabatan tersebut untuk melaksanakan empat tindakan kepada pesalah trafik yang meletakkan kenderaan di garisan kuning, memotong barisan kenderaan, melanggar isyarat lampu merah dan papan tanda sejak Oktober 2010. Kekuatan mental Inspektor Mustafa Yusof, 58, memberitahu, beliau sentiasa berdepan dengan cabaran dalam melaksanakan tugasan menyedarkan warga kota agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Mustafa kini menjawat jawatan pembantu penguat kuasa DBKL. Bidang tugasnya mengawal penjaja dan kewujudan premis-premis tanpa lesen di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan warga kota membeli-belah. Bidang tugas itu menuntut kekuatan mental anggota beruniform itu setiap kali melaksanakan operasi. "Ugutan dan tohmahan daripada warga kota terutama pendatang tanpa izin sudah menjadi cabaran harian saya. Namun, saya tidak perlu layan semua itu,'' luahnya ketika ditemui. Kejadian disimbah dengan sos cili stimbot di wajahnya oleh penjaja baru-baru ini merupakan antara pahit manis dalam menunaikan amanah itu. Walaupun muka dipenuhi dengan sos cili, beliau dan empat orang petugas lain tetap mengejar penjaja tersebut untuk dikenakan tindakan undang-undang. Menurutnya, sebelum melaksanakan operasi, perancangan rapi perlu disusun terutama dalam usaha membanteras penjaja yang berniaga tanpa lesen. Premis mereka akan disita dan kelengkapan perniagaan akan dibawa ke stor sitaan direktorat penguatkuasaan DBKL di Jalan Lombong, Kuala Lumpur. Mustafa yang akan bersara dalam tempoh dua tahun lagi memberitahu, kebanyakan penjaja jalanan yang menjual buah-buahan, makanan ringan seperti stimbot, keropok dan minuman tidak tahu mengenai peraturan perniagaan berlesen. "Kebanyakan penjaja terdiri daripada pendatang asing, manakala ketua mereka terdiri rakyat tempatan. Walaupun sudah banyak kali premis mereka disita, namun mereka tetap berdegil," ujarnya yang pernah dilantik sebagai Koperal Skuad Berbudi Bahasa dan Berkhemah Tinggi penguat kuasa DBKL sekitar tahun 1990-an. Setiap anggota baharu yang menjawat jawatan dalam jabatan penguatkuasaan akan menjalani latihan selama tiga bulan bagi memahirkan mereka dengan tugas penguat kuasa. Lain pula kisah yang dikongsi oleh Awang Jusoh, 54. Pembantu Penguat kuasa dalam unit Task Force penguat kuasa DBKL itu memberitahu, tidak semua warga kota membenci tugas dijalankan oleh anggota penguat kuasa. Tugas-tugas anggota Task Force antaranya ialah mengadakan rondaan di tiga zon Kuala Lumpur iaitu zon tengah, utara dan selatan. Unit itu juga menyelesaikan aduan mengenai penjaja tanpa lesen, perniagaan warga asing dan halangan di jalan raya. Sambil menyifatkan ada dalam kalangan warga kota yang tidak tahu mengenai undang-undang mempertikaikan bidang tugas anggota penguat kuasa DBKL, namun beliau tidak menafikan masih ramai warga kota yang menghargai tugas mereka. Awang juga berharap mereka yang menerima kompaun sepatutnya melihat kesalahan yang dilakukan sebagai pengajaran. Bagi anggota yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu dia amat gembira jika warga kota mengikut garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan. "Apa yang penting ialah warga kota perlu celik undang-undang dan mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. | |||
Posted: 30 Sep 2013 02:10 AM PDT
ALAT solek yang sering disapu pada bibir wanita ini boleh dianggap sebagai item wajib ada di dalam beg tangan mereka. Baik gadis remaja mahupun wanita dewasa, sekurang-kurangnya sebatang gincu pasti disimpan dalam beg tangan yang berfungsi meningkatkan keyakinan diri dalam berpenampilan. Bahkan, ramai yang tidak kisah jika tidak memakai maskara, pemerah pipi atau pembayang mata, tetapi ada yang enggan keluar rumah tanpa gincu. Bergantung kepada cita rasa masing-masing, ada yang menggemari warna lembut, warna gelap dan tidak kurang yang memilih warna terang. Gincu merupakan produk kosmetik yang mengandungi pigmen, minyak, lilin dan emolien memberikan warna, tekstur serta perlindungan pada bibir. Pemakaiannya bermula sejak zaman purba. Wanita purba pada zaman Mesopotamia dipercayai merupakan wanita pertama yang mencipta dan memakai gincu dengan menghancurkan batu permata untuk dioles pada bibir. Sepanjang awal abad ke-20, gincu hadir dalam bilangan warna yang terhad. Warna merah gelap merupakan salah satu warna yang popular sepanjang abad ke-19 dan abad ke-20. Warna tersebut juga pernah popular pada tahun 1920-an dan golongan Flappers iaitu wanita muda generasi baharu di Barat memakainya sebagai simbol kebebasan. Pada awal tahun 1930-an, Elizabeth Arden mula memperkenalkan warna-warna gincu berbeza sekali gus memberikan inspirasi kepada syarikat-syarikat lain mengikut jejak langkahnya. Sekitar tahun 1930-an, gincu dilihat sebagai simbol seks dewasa dan remaja perempuan ketika itu percaya bahawa gincu merupakan simbol kewanitaan. Kini, kepelbagaian warna yang ditawarkan membuatkan golongan Hawa rambang mata untuk membuat pilihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ada dalam kalangan mereka masih khilaf mengenai warna yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing. "Biasanya dalam dunia perniagaan, kebanyakan syarikat mahu melihat stafnya kelihatan kemas dan cantik, namun warna gincu yang dipakai tidak perlu keterlaluan hingga menenggelamkan personaliti, imej dan bidang tugasan yang dibawa. "Sebagai contoh, bagi mereka yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, mereka seharusnya nampak natural dan mesra. Pada waktu pagi biasanya orang Asia khususnya di Malaysia, mengenakan warna merah jambu atau nude," kata Penasihat Kecantikan Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Ili Ruzanna Ismail. Tambahnya, warna nude yang digunakan tetap akan ada warna asas merah jambu. Gincu berasaskan warna pic dan oren lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit tidak terlalu gelap. Jika seseorang yang berkulit cerah memakai gincu berwarna oren, dia akan kelihatan pucat dan bagi mengelakkan ia berlaku warna oren boleh dicampurkan dengan warna merah jambu. "Jika mahu nampak manis dan segar pada waktu pagi, oleskan gincu berasaskan warna merah jambu tetapi bukan rona yang terang. Pilihan warna gincu "Warna-warna gincu berasaskan warna natural, merah jambu dan coklat lebih elok dipakai pada siang hari berbanding warna-warna yang terang memandangkan kita aktif dan banyak berkomunikasi," ujarnya sambil memberitahu pemakaian gincu berwarna terang pada siang hari menyebabkan seseorang nampak comot berikutan warna gincu yang pudar. Pada waktu petang dan malam, tiada masalah jika seseorang itu memakai gincu berwarna gelap dan lebih terang kerana cahaya pada ketika itu tidak sekuat cahaya pada waktu pagi. Ramai yang menggunakan kesempatan untuk lebih berani mengenakan warna-warna terang pada waktu malam dan kebiasaannya warna merah terang dan burgundy menjadi pilihan. "Bagi mereka yang mahu mencuba warna-warna terang, dinasihatkan mencuba sampel terlebih dahulu kerana warna pada katalog dan produk sebenar tidak sama. "Seperkara lagi, tiada syarat jika seseorang itu memakai baju merah, harus mengenakan gincu merah dan jangan pernah menyamakan warna baju dengan warna gincu kerana ia dua perkara yang berbeza," Ujar Ili, seseorang itu perlu memilih apa yang mahu ditonjolkan, sama ada baju atau wajahnya. Jika memilih untuk menonjolkan wajah, bahagian mata yang mahu difokuskan, mata, bibir atau pun pipi. Kebiasaannya, seseorang itu cuma memakai warna senada bagi pipi dan bibir supaya nampak lebih berseri serta natural. Bagi mereka yang mahu berpenampilan ceria dan segar, boleh memakai gincu berasaskan warna merah jambu seperti warna natural bibir tetapi lebih terang sedikit iaitu warnanya lebih cair daripada bibir. Mengikut personaliti "Warna kulit juga mempengaruhi gincu yang dipakai. Orang yang berkulit gelap boleh memakai warna terang tetapi bibirnya akan kelihatan lebih besar kerana asasnya gelap. "Andai dia mahu memakai warna merah, gincu merah yang dipakai perlu berasaskan warna biru dan bukannya warna coklat. Warna merah yang terang menunjukkan ia mempunyai warna merah jambu atau biru dalam campurannya," jelasnya. Jika tidak mahu bibir kelihatan besar, pakai gincu berasaskan warna coklat dan bagi mereka yang berkulit cerah, pemakaian gincu warna cerah akan menyebabkan garisan bibir tidak kelihatan.
Warna yang sesuai ialah warna merah yang lebih gelap supaya nampak lebih natural. Ditanya sama ada warna gincu dipengaruhi faktor umur, Ili memberitahu, tiada panduan sedemikian dan sesiapa sahaja bebas memilih warna gincu yang sesuai buat mereka. Warna-warna terang membuatkan si pemakai berasa lebih muda, namun demikian ia terpulang kepada majlis. Jika menghadiri majlis agama, agak kurang manis apabila memakai warna-warna terang. "Pemakaian pengilat bibir tidak wajib dan ia boleh dipakai pada waktu siang dan malam. Penggunaannya membuatkan bibir kelihatan sentiasa basah dan tidak kurang pula yang mahu membuatkan bibir nampak lebih besar. "Cara yang terbaik untuk menentukan gincu yang sesuai adalah terpulang kepada diri sendiri. Jika anda yakin dengan warna gincu yang dipakai menarik, maka teruskan," katanya. | |||
1,000 jenis pokok di Anjung Rimbun Posted: 30 Sep 2013 02:09 AM PDT
MENAWARKAN lebih 1,000 jenis pokok pelbagai spesies, nurseri Anjung Rimbun, Shah Alam mampu membuatkan para pengunjung rambang mata untuk memilih tumbuhan yang dihajati. Kepelbagaian tumbuhan yang segar menghijau membuktikan ia dijaga rapi oleh para pekerja. Pemiliknya, Wan Azlan Shah Eddie Shah, 29, mengakui pokok-pokok di nurseri itu akan disiram dua kali sehari serta dibaja setiap minggu bagi memastikan ia tumbuh segar. Ditubuhkan pada tahun 2006 dengan modal sebanyak RM1,000, graduan Diploma Seni Bina Landskap dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu kini sudah boleh berbangga dengan perniagaan yang diusahakan. "Alhamdulillah, nurseri Anjung Rimbun semakin berkembang dengan tiga cawangan dan mendapat tempat di hati pelanggan terutama di sekitar Shah Alam. Biasanya hujung minggu paling ramai selain pada musim-musim perayaan. "Daripada 1,000 jenis pokok, spesies yang sering mendapat permintaan tinggi ialah pokok kemboja, bucida dan foxtail," jelas Wan Azlan sambil memberitahu jualan pokok berkenaan mampu mencecah 100 batang setiap bulan.
Berkeluasan 0.80 hektar, nurseri yang terletak di Seksyen 18, Shah Alam itu menawarkan harga berpatutan. Malah, harga setiap pokok boleh dirunding sehingga pelanggan berpuas hati. Bersaing "Di sini, kami menjual pokok pada harga serendah RM1.50 untuk tumbuhan renek yang ditanam dalam beg poli. "Mungkin faktor harga ini turut menjadi tarikan kepada pengunjung untuk datang ke Anjung Rimbun," ungkap Wan Azlan ketika dihubungi. Meskipun terpaksa bersaing dengan beberapa nurseri di sekitarnya, usahawan muda itu sentiasa optimis dengan rezeki Allah. Bagi Wan Azlan, untuk mengatasi masalah tersebut, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan rekaan landskap bagi tumbuhan hiasan kepada para pelanggan dengan bayaran RM200 hingga RM500. "Alhamdulillah, pengalaman yang dipelajari ketika belajar dapat dipraktikkan. Sebenarnya, projek landskap pertama saya bermula sewaktu masih menuntut di UiTM. Ketika itu, ibu bapa seorang rakan meminta saya membuat rekaan landskap untuk kawasan rumah mereka.
"Paling seronok apabila rekaan tersebut diterima sekali gus memberi idea pada saya untuk menubuhkan perniagaan nurseri ini," imbas Wan Azlan. Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebelum sesuatu rekaan dihasilkan, perbincangan turut dibuat dengan pelanggan kerana kebanyakan pelanggan datang dengan idea tersendiri. Tetapi, jika pemilihan pokok kurang sesuai, pihaknya akan memberi pandangan atau cadangan. Mempunyai 12 orang pekerja, Wan Azlan berharap dalam tempoh lima tahun, jenama Anjung Rimbun akan terus memahat nama dalam industri nurseri di Malaysia. "Dalam apa jua perniagaan, sudah pasti pemiliknya mahu ia berkembang dan maju. Begitu juga saya. Kalau boleh saya mahu Anjung Rimbun dikenali sebagai nurseri yang berkualiti dan menjadi pilihan ramai," tuturnya. | |||
Posted: 30 Sep 2013 02:08 AM PDT
PEMINAT paranormal pasti teruja untuk menyaksikan siri dokumentari I Wouldn't Go In There (Saya tidak akan masuk ke dalam sana) yang memaparkan pengembaraan ke beberapa negara bagi menjejaki fenomena tersebut. Menariknya, Malaysia tidak terkecuali apabila turut terpilih sebagai lokasi penggambaran bagi produksi dokumentari antarabangsa, National Geographic Channel. Program tersebut memaparkan keadaan mistik di salah satu destinasi menyeramkan di negara ini iaitu Muzium Perang Pulau Pinang. Pengacara I Wouldn't Go In There, Robert Joe (R.J) bersama personaliti tempatan, Nazrudin Rahman, membongkar kisah sebenar muzium yang terkenal itu. Betulkah ia berhantu, pernahkah ada individu ternampak hantu di sana atau ia sekadar satu mainan minda? Muzium Perang Pulau Pinang yang terletak di Bukit Maung, Pulau Pinang merupakan lokasi menyeramkan bagi kebanyakan rakyat tempatan telah 'hilang' ditelan hutan selama 60 tahun. Ia telah ditemui semula baru-baru ini dan ditukar menjadi sebuah muzium perang. Ramai yang mempercayai muzium berkenaan dihuni makhluk halus. Masyarakat tempatan menyatakan muzium tersebut merupakan bekas kubu perang yang dibina oleh tentera British sekitar tahun 1938 sebelum ditawan oleh tentera Jepun. Ia berperanan melindungi Pulau Pinang daripada ancaman musuh, kem banduan perang dan tapak menjatuhkan hukuman mati. Membongkar kebenaran
Sehubungan itu, R.J dan Nazrudin telah membongkar kebenaran di sebalik khabar itu. "Sebagai rakyat Malaysia, memang sudah banyak yang saya dengar tentang Muzium Perang Pulau Pinang. Saya rasa gembira kerana berpeluang menemani R.J dalam pengembaraannya. "Ia memberi saya pandangan mengapa sesuatu perkara dilihat dalam perspektif tertentu," ujar Nazrudin ketika ditemui pada majlis pratonton dokumentari tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kebiasaannya, masyarakat tempatan pasti menjauhkan diri daripada elemen-elemen menyeramkan seperti hantu, lembaga, kematian dan pembunuhan. Walaupun dianggap menakutkan, R.J yang merupakan seorang pengembara dan penulis blog, mempercayai bahawa muzium itu tidak berhantu, sebaliknya satu destinasi yang kaya dengan sejarah. Ikuti pengembaraan R.J dan Nazrudin di bekas tapak kubu perang berkenaan sambil membongkar kisah gelap penaklukan Jepun di Pulau Pinang. Perjalanan di seluruh pulau itu menceritakan kisah-kisah tersembunyi tentang mangsa-mangsa penderaan yang dihukum. Semua petunjuk yang diperoleh membawa kepada pelaksana hukuman legenda bernama Suzuki yang pernah menyembelih ratusan tahanan di kubu tersebut. Mereka berdua mengembara bagaikan penyiasat, lengkap dengan sesi temu bual saksi, pandangan pakar dan membongkar rahsia sebab mengapa segelintir masyarakat enggan mengunjungi muzium tersebut. Apa yang mereka temui pasti lebih menggemparkan daripada yang disangka. Jadi, luangkan masa anda untuk menonton tayangan perdana I Wouldn't Go In There: Muzium Berhantu Malaysia yang akan disiarkan secara eksklusif di saluran National Geographic (Astro 553) pada 4 Oktober 2013, pukul 11 malam. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |