Selasa, 11 Februari 2014

Zizan Emma beri penjelasan isu bersekedudukan


BAHARU sahaja reda dengan isu bercumbuan di dalam kapal terbang, kini nama Zizan Razak dan Emma Maembong kembali menjadi perhatian selepas dikatakan bersekedudukan sejak enam bulan lalu.

Mengakui terkejut dengan tindakan jirannya yang melaporkan perkara itu kepada pihak media, Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 30, bagaimanapun tidak menafikan Emma ada beberapa kali mengunjungi rumahnya.

"Memang Emma ada datang, tapi itu pun ketika ibu dan ayah saya ada di rumah. Dia datang pun untuk bertemu ibu saya. Lagipun mustahillah kami bersekedudukan kerana saya bukan tinggal seorang di rumah, sebaliknya abang dan pengurus peribadi saya turut tinggal bersama.

"Saya juga tidak ada sebarang masalah dengan jiran saya. Saya mesra dengan jiran-jiran saya dan saya akui agak terkejut bila mendapat tahu ada jiran saya yang melaporkan perkara ini kepada media," katanya kepada media ketika ditemui sebaik tamat Anugerah MeleTOP Era, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tindakan individu yang mendakwa sebagai jirannya itu, Zizan berkata, individu tersebut sepatutnya berjumpa dengannya sendiri untuk mendapatkan penjelasan tentang dakwaan tidak berasas itu kerana ia memberikan impak negatif kepada kerjaya seninya.

"Saya sedar, saya dikenali ramai dan kenapa saya mesti buat perkara tidak elok (bersekedudukan)?

"Daripada surat tersebut, saya nampak caranya sangat Islamik. Kalau betul saya ada melakukan sebarang kesalahan, lebih baik individu tersebut datang berjumpa saya untuk dapatkan penjelasan daripada dia menyebarkan fitnah.

"Kalau ya pun nak suruh kami cepat-cepat (berkahwin), bukan cara macam ini. Tapi doakanlah yang terbaik untuk kami," ujarnya sambil tersenyum.

Sementara itu, dalam temu bual berasingan, Emma berkata dia ada membaca artikel tersebut dan mengakui agak sedih kerana difitnah sedemikian.

"Saya akui ada ke rumah dia, itu pun kalau ibu dan bapanya ada di rumah. Selain itu, saya akan ke rumahnya sekiranya saya perlu bergerak sekali dengan dia ke sesuatu acara. Kalau tiada apa-apa, saya tak akan ke rumah dia.

"Bagaimanapun saya tak salahkan dan tak marah pada individu yang menyebarkan cerita terbabit. Mungkin cerita ini timbul kerana orang asyik bercakap mengenai hubungan kami.

Mungkin juga individu terbabit hanya nampak saya seorang yang masuk, padahal dalam rumah dia ramai," katanya.

Emma berkata, walaupun dihimpit dengan kontroversi, dia bersyukur kerana keluarganya sentiasa ada di sisi, terutama bapanya, Ismail Embong.

"Kalau saya tidak ada apa-apa aktiviti hiburan, saya akan duduk di rumah sahaja. Jadi ayah saya bila di baca gosip sebegini, dia akan ketawa kerana dia tahu saya selalu ada di rumah," katanya.



Akui rapat

Dalam pada itu, ditebak mengenai status sebenar hubungan mereka, Zizan dan Emma, mengakui hubungan mereka rapat.

Zizan berkata, dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk membawa hubungan mereka ke peringkat yang lebih serius dalam masa terdekat ini.

"Saya belum terfikir untuk bertunang. Lagipun jadual kami padat. Tapi saya pernah tanya dia, “awak rasa nak kahwin tak?”, kata Zizan sambil berseloroh.

Bagi Emma pula, dia enggan bercakap lebih-lebih mengenai hubungannya dengan Zizan kerana tidak mahu mendapat malu sekiranya hubungan mereka tidak berakhir dengan baik.

“Apa yang boleh saya katakan, Zizan adalah kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang. Saya bukan nak rahsia atau nak sorok apa-apa tentang status kami. Tapi saya tak mahu kecoh-kecoh.

"Nanti kalau tak jadi, malu pula. Jadi buat masa ini kami berkawan saja," jelasnya.


Keluar Wire Fame?

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai isu yang mendakwa dia bakal meninggalkan syarikat pengurusannya yang juga syarikat milik Zizan iaitu Wire Fame Entertainment, Emma berkata, ia hanya ura-ura sahaja.

"Buat masa ini saya masih lagi di bawah pengurusan Wire Fame. Tapi saya pernah menyuarakan hasrat untuk bergerak sendiri dan mereka tidak menghalang saya berbuat demikian.

"Tapi itu bukan bermakna saya sah keluar. Apatah lagi, mereka yang ada di dalam Wire Fame sudah saya anggap seperti keluarga saya sendiri," jelasnya yang bakal muncul menerusi drama bersiri Yes Bos, di TV3 mulai 15 Februari ini. - SH


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines