Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Zizan Razak Minta Hubungan Dengan Emma Maembong Tidak Disalahertikan
- Diana Danielle Selamat Bersalin Anak Lelaki
- Benjy Mengaku Tidak Bersalah Miliki Syabu
- Hanez Suraya Gagal Lupakan Awi Rafael
- Umie Aida Mahu Anak-Anak Faham Hidup Susah
- Deejay Suria FM, Lotter (AF4) Masih Ingin Menyanyi
- 'Autumn Di Hatiku' Tidak Cedok Drama Korea
- 8 Peserta Bakal Ke 'Konsert Boom Muzik Ekstra'
- Dunia baharu Izreen
- Susan Manen aktif selepas anak membesar
- Syura mahu tunaikan nazar ibu
- Umie Aida jadi pertaruhan Ummi
- 652 laman sesawang disekat
- Kerajaan kaji pindah guru kahwin
- Koperasi bantu ahli mengurus hidup
- Konflik lombong Conga
- Teh tarik blog Coolblog
- Gedung graduan automotif
Zizan Razak Minta Hubungan Dengan Emma Maembong Tidak Disalahertikan Posted: 02 Jul 2013 05:41 AM PDT Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, 29, berkata, tindakan itu tidak mempunyai sebarang maksud sebaliknya dia berbuat demikian kerana Emma pernah memberitahunya dia sukakan keindahan kota Paris. "Saya tagged kepada dia gambar-gambar saya di Paris kerana dia pernah memberitahu sukakan Paris dan bukannya saya mempunyai dengan niat lain ataupun kami sedang bercinta. "Orang cuma memperbesar-besarkan perkara itu yang sebenarnya hanya perkara kecil," katanya ketika ditemui selepas rakaman program Kecoh Pengacara Beraya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada malam Isnin. Tambah Zizan, sebelum ini juga dia banyak menghantar gambar-gambarnya di laman tersebut kepada artis wanita lain namun ia tidak pernah dijadikan isu. Dalam perkembangan sama, Zizan turut menafikan dia bimbang popularitinya sebagai pelawak popular akan terjejas sekiranya dia mendedahkan hubungan cintanya dengan Emma. Zizan menegaskan hubungan mereka hanya sekadar kawan biasa dan dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk menafikan kepada umum sekiranya benar mereka bercinta. "Soal takut hilang populariti itu bukan soalnya kerana kerjaya dan peribadi adalah perkara berbeza. Malah ramai artis lain yang bercinta dan berkeluarga berjaya dan masih diminati peminat. "Cuma hubungan kami memang sekadar kawan buat masa ini. Pun begitu saya tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan," katanya. Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia baru sahaja dilantik sebagai duta produk Sony selama setahun selain akan terlibat dalam beberapa program rakaman untuk Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada Ogos depan. | ||
Diana Danielle Selamat Bersalin Anak Lelaki Posted: 02 Jul 2013 05:39 AM PDT Berita itu turut disahkan oleh penerbit filem David Teo yang juga Pengarah Urusan syarikat produksi Metrowealth Interational Group (MIG) kepada mStar Online pada Selasa. "Farid menghantar mesej dari Australia dengan memberitahu sayalah orang pertama yang mendapat berita isterinya iaitu Diana Danielle selamat bersalin anak lelaki," katanya kepada mStar Online David berkata, Farid telah memaklumkan Diana sepatutnya bersalin pada 15 Julai ini tetapi proses kelahiran berlaku lebih awal. Bayi berkenaan lahir kira-kira pukul 4.30 petang waktu Malaysia. "Apa-apa pun proses kelahiran berjalan dengan baik. Bayi selamat, ibu pun selamat dan sihat," katanya. Dalam Instagram itu juga Farid turut menulis berat bayi tersebut ialah 9.7 paun (4.3 kilogram) Sebelum ini industri hiburan dikejutkan apabila Farid memuat naik gambar dia mengucup seorang bayi sehingga menimbulkan salah faham kanonnya Diana Danielle telah melahirkan anak sebelum genap sembilan bulan usia perkahwinan mereka. Bagaimanapun gambar itu telah dinafikan oleh adik Farid iaitu Fadzil Zahari yang mendakwa bayi itu adalah anak saudara mereka yang lahir pada 11 Mei lalu. Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012 dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Flamingo by the Lake dekat sini. Selepas beberapa bulan berumah tangga, Diana berhijrah sementara ke Sydney, Australia untuk melanjutkan pelajaran di negara itu. | ||
Benjy Mengaku Tidak Bersalah Miliki Syabu Posted: 02 Jul 2013 05:38 AM PDT Selain Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, lima rakannya termasuk dua orang wanita turut dihadapkan ke mahkamah yang sama atas tuduhan berkenaan iaitu Zain Amir Zainal Khairi, 37, Imran Radzi Ibrahim, 32, Asmanizam Mohamed Akhir, 32, Norazila Arzami, 27 dan Afifi Hamidi, 27. Bagaimanapun hanya Zain Amir sahaja mengaku bersalah atas tuduhan itu. Majistret Ayuni Izzati Sulaiman menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes tersebut selain mengarahkan setiap tertuduh masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin. Akhbar sebelum ini melaporkan Benjy bersama lima rakannya ditahan polis atas kesalahan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa di sini pada pukul 11.30 pagi, 26 Jun lalu. Benjy juga dilaporkan bertidak kasar dengan menghalang jurugambar daripada merakamkan gambarnya ketika dia dibawa ke mahkamah majistret di sini sehari selepas kejadian untuk mendapatkan perintah tahanan reman. Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta sama. Pada Mac 2010, Benjy telah didakwa atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut tetapi awal tahun lalu, mahkamah mendapati pelakon itu tidak bersalah dan dibebaskan tanpa syarat. | ||
Hanez Suraya Gagal Lupakan Awi Rafael Posted: 01 Jul 2013 09:30 PM PDT Hanez, 28, berkata, dia kini dalam proses memulihkan kembali semangatnya selain berusaha untuk menyesuaikan hidup bersendirian. "Susah untuk melupakan dia kerana saya benar-benar sayangkan dia, namun saya perlu terima keputusan ini. "Sebelum buat keputusan untuk putus hubungan, kami sudah berpisah lama dan dalam tempoh sebulan itu kami cuba untuk perbaiki hubungan tersebut tetapi gagal," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Drama Autumn Di Hatiku, di sini, Isnin. Dia turut menafikan sebarang campur tangan pihak ketiga dalam perpisahan tersebut. "Apa sahaja perkara, kami sudah tidak sehaluan dan akhirnya kami ambil keputusan untuk berpisah," ujarnya. Bagaimanapun, jelas Hanez, buat masa ini, dia belum mampu untuk menerima mana-mana cinta lain sebagai pengganti. "Saya tidak mahu lukakan hati sesiapa kerana jika saya berkawan dengan lelaki, ia pasti hanya untuk melepaskan rasa sedih ini. Biarlah buat masa ini saya sendiri dan fokus kepada kerjaya saya sepenuhnya," ujar Hanez. Hanez bakal muncul dengan drama bersiri pertama terbitan laman Tonton iaitu Autumn Di Hatiku yang mula bersiaran Rabu ini, pada pukul 12 tengah hari. | ||
Umie Aida Mahu Anak-Anak Faham Hidup Susah Posted: 01 Jul 2013 09:29 PM PDT Umie atau nama sebenarnya Umi Kalsum Rahmad Ali, 40, berkata, kerana itu dia mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anaknya iaitu Mohd Daniel Firdaus, 20, dan Mohd Dzulhelmy, 19, agar mengenali cara kehidupan golongan yang tidak bernasib baik. "Sebagai pelakon saya sering membawa pelbagai watak terutamanya sebagai orang susah dan pengalaman itu banyak mengajar saya erti bersyukur. "Dan bagi mendidik anak-anak mengenal erti kesyukuran, saya sering berkongsi cerita mengenai apa yang saya lihat dan rasai. "Malah ada kalanya jika mempunyai masa terluang, saya akan membawa mereka ke rumah-rumah kebajikan bagi merasai sendiri suasana kehidupan bersederhana. Saya tak mahu mereka hanya tahu hidup senang sahaja," katanya. Bagaimanapun, tambah Umie, dia bersyukur dan gembira kerana anak-anaknya itu cukup faham erti hidup dalam kesederhanaan dan tidak membangga diri dengan kemewahan yang dimiliki. Sementara itu, pengalaman menjalani kehidupan sebagai individu yang kurang bernasib baik juga turut dirasai Umie menerusi lakonannya dalam drama berjudul Ummi yang kini sudah pun bermula siarannya di TV3, setiap Ahad, pukul 9 malam. Umie berkata, drama arahan Faisal Ishak itu benar-benar sukar untuk dia lakonkan terutama dalam usaha menjiwai watak seorang wanita yang ditinggalkan suami dan terpaksa menjaga tiga kanak-kanak yang tiada pertalian darah dengannya. "Sebenarnya sudah menjadi kebiasaan saya melakonkan watak-watak seorang wanita yang susah dan selalu menangis. Cuma cabarannya di sini adalah saya perlu memberi fokus pada emosi lakonan itu. "Dalam drama itu, saya perlu mengutip sampah dan berpanas di bawah cahaya matahari. Apabila melakukan kerja-kerja itu, terdetik di hati saya, bagaimana kuatnya seseorang wanita yang melakukan kerja sebegini. Saya kagum dengan mereka. Alhamdulillah, saya dapat melakonkannya dengan baik," ujarnya. Drama Ummi turut membariskan pelakon Khyreena Kemal (Chonel), Danish Adam (Amir) dan Ahmad Fadzli Masri (Danish). | ||
Deejay Suria FM, Lotter (AF4) Masih Ingin Menyanyi Posted: 01 Jul 2013 09:28 PM PDT Lotter, 31, yang kini lebih dikenali dengan nama Dudu di kalangan pendengar radio itu di Sabah berkata, dia sentiasa rindu untuk kembali menyanyi dan bertemu dengan peminatnya di Semenanjung Malaysia. "Saya masih seorang penyanyi cuma kini tumpuan banyak diberikan kepada kerjaya sebagai deejay radio. "Saya akui sentiasa rindu untuk kembali ke Semenanjung Malaysia untuk mengadakan persembahan dan bertemu peminat," jelasnya yang ditemui di studio Suria FM Sabah di KK Times Square baru-baru ini. Dalam perkembangan sama, Lotter yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4) memberitahu, dia kini sedang menyiapkan single terbaharunya bersama kumpulan The Divine Masters. "Sudah lama saya terlibat dalam proses rakaman lagu terbaharu ini tetapi tidak mahu terburu-buru menyiapkannya kerana ingin memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai tugasnya sebagai deejay, Lotter berkata, dia semakin selesa dengan tugas itu dan mengakui telah mempelajari banyak perkara sepanjang berkhidmat dengan Suria FM Sabah. Tambahnya, walaupun sebelum ini tidak menyedari mempunyai bakat sebagai seorang penyampai radio namun dia bersyukur kerana mengambil keputusan untuk mencuba kerjaya dalam bidang tersebut. "Saya sendiri tidak menyangka boleh menjadi seorang penyampai radio kerana tiada bakat namun saya berjaya mengatasi kelemahan diri dan semakin selesa dan menyukai kerjaya ini," jelasnya. Lotter mengendalikan segmen Sampaikan Sabah setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari. Suria FM Sabah bersiaran bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dari hari Isnin sehingga Jumaat dan turut mempunyai dua lagi deejay iaitu Obie dan Ray. Siaran untuk segmen negeri Sabah boleh didengari menerusi frekuensi 105.9 FM dan pendengar di Semenanjung Malaysia boleh melayari laman web www.suriafm.com.my untuk mengikutinya. Pada waktu lain, siaran itu dikendalikan di studio Suria FM, Petaling Jaya, di sini. | ||
'Autumn Di Hatiku' Tidak Cedok Drama Korea Posted: 01 Jul 2013 09:27 PM PDT Pengarahnya, MJ Woo berkata, drama komedi romantik ini mempunyai jalan cerita yang direka khas untuk masyarakat Malaysia yang meminati industri hiburan di negara Korea Selatan itu. "Autumn Di Hatiku tiada kena mengena atau diambil daripada mana-mana drama Korea popular. "Walaupun tajuk sahaja sama tapi jalan cerita lain, ini drama komedi bukan sedih seperti drama Korea itu. "Kita pilih nama Autumn kerana ia sinonim dengan Korea," katanya pada sidang media pelancaran drama berkenaan di sini, Isnin. Drama 28 episod ini akan disiarkan di portal Tonton bermula Rabu ini, pada pukul 12 tengah hari. Tambah MJ Woo, lebih istimewa drama ini bakal memperkenalkan pelakon Korea Selatan iaitu Kim Jin Sung sebagai pelakon utama di samping Hanez Suraya dan Aiman Hakim. "Dia merupakan model dan pelakon di sana dan pernah mengambil kursus bahasa Malaysia di universiti tempat dia belajar," katanya. Ditanya tentang perbelanjaan drama web pertama ini, katanya ia melibatkan sejumlah kos yang berpatutan dan sesuai dengan kualiti video yang setanding dengan filem. "Perbelanjaan pembikinan drama ini berpatutan dengan hasilnya yang setanding dengan kualiti sesebuah filem," ujarnya. Drama ini mengisahkan seorang wanita bernama Nina lakonan Hanez Suraya yang meminati dunia K-Pop sehingga bertemu dengan seorang lelaki Korea bernama Park Au Tum. Nina berusaha keras untuk mendapatkan cinta Au Tum dan terpaksa melalui pelbagai cabaran. Autumn Di Hatiku akan bersiaran selama tiga hingga lima minit setiap hari, menerusi laman berkenaan. | ||
8 Peserta Bakal Ke 'Konsert Boom Muzik Ekstra' Posted: 01 Jul 2013 09:26 PM PDT Konsert terbitan RTM itu akan diadakan secara langsung di Auditorium Perdana Angkasapuri menerusi saluran TVi, pukul 8.30 malam. Menurut Timbalan Pengarah Seksyen Produksi Bahagian Program TV, Norliza Mohd Ali, lapan peserta akhir yang dipilih itu berdasarkan 100 peratus pemilihan penonton menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook. "Bakat-bakat yang digilap dalam Muzik Ekstra adalah merupakan bekas peserta rancangan-rancangan terbitan RTM terdahulu yang gagal tetapi diberi peluang kedua dalam program ini. "Memandangkan kebanyakan mereka sudah pun dikenali penonton, maka konsep undian di Facebook dan SMS lebih mudah selain ia juga mengikut trend generasi muda zaman kini. "Tambahan pula penonton sudah bijak menilai peserta-peserta terbaik. "Dan lapan barisan peserta masing-masing mempunyai kekuatan persembahan yang tersendiri," katanya pada sidang media konsert berkenaan di Restoran Istana Bambu di sini, Isnin. Barisan peserta yang bakal beraksi pada peringkat akhir Muzik Ekstra ialah Sam Saiful, 4 Stars, Dila Suhaizat dan Mohd Faiz bagi kategori bawah vokal manakala Stop Reverse Crew dan Return Crew (tarian berkumpulan), Fariz Hilmi (silap mata) sementara Azrul Affandi akan menampilkan bakat bermain seruling bambu. Dalam pada itu, tambah Norliza, bagi persembahan peringkat akhir nanti, para peserta akan diadili juri sebanyak 50 peratus manakala 50 peratus lagi adalah undian penonton di Facebook dan SMS. "Walaupun program ini memberikan kuasa undian kepada penonton, namun pada hujung pertandingan pihak kami tetap akan masuk campur dalam pemilihan peserta yang terbaik," ujarnya. Juara program tersebut bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, naib juara (RM15,000), ketiga (RM8,000) manakala lima peserta lain akan menerima wang sagu hati RM2,000. Selain persembahan peserta, turut dijemput penyanyi Tomok, Azlan & The Typewriter, Erni, Aisha Sofea, Rehana dan DJ Fuzz bagi memeriahkan konsert tersebut. Program ini akan dikendalikan oleh pengacara Hanis Zalikha yang akan ditemani oleh beberapa pengacara jemputan dan juga ikon-ikon TVi. | ||
Posted: 01 Jul 2013 09:25 PM PDT
PERUTNYA sudah memboyot ke depan, hanya menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak sulung. Namun, pelakon Izreen Azminda masih ceria dan kekal aktif seperti selalu. Dia tidak kelihatan lelah seperti ibu hamil yang lain. Walaupun perutnya sudah besar, Izreen hadir ke sesi fotografi dengan memandu kereta sendirian. Malah, pada saat pertemuan kami berlangsung, kandungan pelakon itu telah mencecah usia sembilan bulan. Pendek bicara, dia kini menghitung hari untuk bersalin. "Alhamdulilah, sepanjang hamil saya tidak mempunyai sebarang alahan dan tidak pula mengidam makanan yang pelik-pelik. Saya masih bekerja seperti biasa kerana sudah tandatangani kontrak dan hanya berehat daripada lakonan apabila kandungan sudah mencecah empat bulan," ujarnya. Berehat di rumah dalam jangka waktu yang lama memberi peluang kepadanya untuk memantapkan lagi ilmu masakan. Jelasnya, sebelum ini, dia hanya tahu memasak makanan yang ringkas sahaja. "Bila duduk di rumah, saya jadi bosan jadi banyaklah masa untuk membelek resipi baru. Seronok juga sebab saya dapat luangkan lebih banyak masa bersama suami dan mencuba masakan yang langsung tidak pernah saya masak sebelum ini. "Mungkin ada yang ketawakan saya jika saya mendedahkan bahawa sebelum ini saya langsung tidak pandai masak pajeri nanas, tetapi sekarang bolehlah masak jika dipinta suami. Kira ini waktu cuti panjang saya sebelum siapkan diri untuk kembali aktif selepas bersalin kelak," balasnya. Selain daripada berehat, Izreen juga banyak diperturunkan petua daripada ibunya dan saudara-maranya yang lain sepanjang kehamilan. Bagaimanapun sebagai wanita moden, Izreen hanya mengikut sesetangah daripada petua yang diberi. "Sejak hamil, macam-macam petua yang saya tidak pernah dengar diberi oleh keluarga saya. Misalnya, kalau mengidam mesti dipenuhi, nanti air liur anak meleleh, tidak boleh koyakkan plastik makanan, sebaliknya kena pakai gunting nanti takut anak sumbing. "Jujurnya, saya sangat terkejut dengan segala petua itu, tetapi saya tidak ikut semua. Saya hanya ikut mana yang saya rasa logik sahaja sebab kalau nak ikut semua, saya yang penat," katanya dalam tawa. Rahsiakan jantina bayi Mungkin sudah minat dalam bidang lakonan, meskipun dalam tempoh istirehat, Izreen tetap menerima tawaran lakonan ketika kandungannya enam bulan. Katanya, dia menerima tawaran dalam telefilem Barakah yang akan ditayangkan pada hari raya kedua di RTM itu kerana wataknya sebagai ibu hamil. "Saya curi-curi bekerja. Tambahan pula, wataknya sangat sesuai iaitu sebagai ibu hamil. Saya tidak perlu bergerak banyak dan penggambaran hanya mengambil masa lebih kurang seminggu sahaja. Jadi, apa salahnya asalkan saya utamakan kesihatan saya dan bayi dalam kandungan," balasnya. Disoal tentang jantina bayi yang bakal dilahirkan, Izreen hanya tersenyum dan memberitahu dia enggan mendedahkan jantina bayi yang bakal lahir. "Rahsialah, tunggu sampai saya lepas bersalin nanti (ketawa). Saya dan suami memang sudah tahu, tetapi kami ingin menjadikan saat kelahiran itu istimewa buat kami berdua. Jadi lebih baik rahsia dahulu daripada orang lain. "Saya percaya petua orang dahulu kata, jangan terlampau teruja dan seronok menyambut kelahiran anak pertama. Jadi, biarlah saya simpan semuanya sehingga saat akhir, nanti lambat laun orang akan tahu juga," tuturnya. Berbicara tentang perubahan berat badannya, Izreen memberitahu berat badannya kini mencecah 75 kilogram daripada berat asal iaitu 53 kilogram.
Dia bagaimanapun tidak bimbang dengan berat badan naik mendadak kerana menurutnya kenaikan berat badan adalah sesuatu yang normal. Selagi tidak menganggu kesihatannya, dia bebas makan apa sahaja. "Saya jenis yang makan apa sahaja yang ada depan mata. Tidak pernah mengidam, tetapi kalau sudah nampak memang saya akan makan banyak. Orang kata waktu hamil saya boleh makan sepuasnya, sebab semasa berpantang, saya akan berusaha untuk mendapatkan berat badan asal semula," katanya. Akui Izreen yang berdebar menanti kelahiran anaknya, dia merancang untuk melahirkan anak di Hospital Ampang Puteri, Selangor dan berpantang di Kuala Lumpur sahaja. "Memang mulanya saya merancang ingin berpantang di kampung halaman di Perlis, tetapi jauh sangat perjalanannya selepas bersalin. Suami pula kerjanya sebagai jurukamera tidak tentu masa dan lokasi, jadi lebih baik saya berpantang di Kuala Lumpur, mudah untuk suami melihat saya dan anak. "Saya tetap minta ibu saya datang ke Kuala Lumpur untuk menjaga saya ketika berpantang kerana ibu lebih memahami saya daripada orang lain," ujarnya yang akan kembali bekerja selepas hari raya Aidilfitri. Disoal apakah persiapan yang telah dilakukan untuk menyambut kelahiran anaknya, Izreen menjelaskan segalanya telah disiapkan memandangkan tempoh waktu untuknya bersalin cukup dekat. "Semua sudah siap, baju, kelengkapan bayi dan keperluan saya sendiri sebagai bakal ibu. Bila lihat barang-barang bayi, saya rasa tidak sabar untuk pegang anak sendiri, tetapi dalam masa yang sama bila dengar cerita rakan-rakan kesakitan waktu bersalin, saya jadi takut pula," katanya yang dijangka bersalin secara normal. Sama seperti ibu bapa yang lain, pastinya Izreen dan suami ingin yang terbaik untuk anak mereka. Namun, sebolehnya, Izreen enggan anaknya mengikut jejak langkahnya terlibat dalam bidang seni kerana tahu kesukaran sebagai penggiat seni. "Kalau boleh saya mahu dia berjaya dalam bidang akademik dan memilih kerjaya yang menjamin masa depan seperti peguam atau doktor. Jika, dia mahu terlibat juga dalam bidang seni, dia harus berjaya mendapat segulung ijazah terlebih dahulu," ceritanya tentang perancangan masa hadapannya. | ||
Susan Manen aktif selepas anak membesar Posted: 01 Jul 2013 09:23 PM PDT
NAMA pelakon cantik Susan Manen mungkin agak asing buat generasi baharu, tetapi dia pernah bergiat aktif dalam bidang lakonan sekitar pertengahan tahun 90-an. Setelah muncul juara pertandingan Ratu Cantik Malaysia 1993, dia kemudiannya telah dilamar untuk membintangi filem berjudul Penyu arahan Z. Lokman dua tahun kemudian sehingga mula melonjakkan namanya sebagai seorang pelakon. Bagaimanapun, pelakon yang kini berusia 39 tahun itu seperti tenggelam dalam dunia lakonan apabila dia mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Mustapha Kamal dan bergelar mualaf pada tahun 1998. Berpeluang menemuinya semasa penggambaran telemovie Abang Long vs Kak Yong di Damansara, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu, ibu kepada empat orang anak itu menyatakan dia tidak pernah meninggalkan bidang lakonan. Kosmo!: Sudah agak lama Susan tidak muncul di kaca televisyen atau layar perak. Adakah sekarang ini anda sudah melupakan dunia lakonan? Susan: Semenjak berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1998, saya sudah jarang mendapat tawaran berlakon dan seolah-olah peluang dalam dunia lakonan sudah tertutup rapat. Pada masa yang sama perkahwinan juga antara punca yang membuatkan saya mengurangkan aktiviti lakonan, tetapi saya tidak pernah melupakan bidang ini kerana ia merupakan suatu kerjaya yang menyeronokkan. Sepanjang tidak bergerak aktif sebagai pelakon, apakah aktiviti yang anda lakukan? Pada mulanya saya memberikan sepenuh tumpuan kepada rumah tangga kerana semasa berkahwin dengan Abang Mus (Mustapha Kamal) dahulu, saya perlu membesarkan enam orang anak tiri saya. Kemudian sepanjang perkahwinan dengan Abang Mus, kami telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sabella Qawiema, 14, Aulia Qayyiem, 12, Salsabil Qurani, 10 dan Naqli Qaddiem, 7. Biarpun sudah mendirikan rumah tangga dan membesarkan anak-anak, saya tidaklah meninggalkan bidang seni sepenuhnya memandangkan saya selalu mendapat tawaran berlakon iklan. Adakah anda tidak mendapat sebarang tawaran berlakon dalam drama atau filem? Tawaran itu memang ada dan saya pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam beberapa buah drama dan filem, tetapi ada juga tawaran yang terpaksa saya tolak. Sebenarnya saya ini bukanlah terlalu jenis yang memilih watak dan tidak kisah sekiranya diberikan peranan cameo. Cuma, kebanyakan tawaran yang diterima itu bayarannya langsung tidak berpatutan kerana terlalu rendah. Apakah yang membuatkan anda ingin kembali aktif berlakon sekarang? Memandangkan kesemua anak-anak saya sudah semakin membesar, sudah tiba masanya untuk saya aktif semula. Sebelum ini agak sukar untuk selalu berlakon kerana perlu menjaga anak-anak memandangkan kami tidak menggunakan khidmat pembantu rumah. Adakah suami tidak menghalang keputusan yang dibuat ini? Sudah tentu suami menyokong keinginan saya yang ingin aktif berlakon kerana dia juga merupakan seorang pelakon, asalkan saya perlu menjaga batas-batas sebagai seorang isteri dan ibu. Kini, kami hanya perlu mengaturkan jadual supaya tumpuan terhadap anak-anak tidak terabai. Misalnya, kami akan pastikan jadual lakonan tidak bertembung sesama sendiri supaya ada yang menjaga rumah dan anak-anak sekiranya salah seorang daripada kami menjalani penggambaran. | ||
Posted: 01 Jul 2013 09:22 PM PDT BAGAI mengiakan spekulasi yang tercetus seminggu sebelum episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia 2, penyanyi Syura akhirnya ditabalkan sebagai juara rancangan realiti masakan itu. Syura mengalahkan Celina Khor dalam final MasterChef Selebriti Malaysia 2 menerusi cabaran mencipta menu bertemakan Sajian Sehangat Bintang untuk sembilan orang penumpang kelas pertama dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS). Menerusi cabaran itu, masing-masing dikehendaki menyediakan hidangan pembuka selera, sajian utama dan pencuci mulut. Syura yang popular dengan lagu Nazam Berkasih telah menyediakan hidangan Avocado Ketam Berkasih, Sesuci Cinta Syura dan Salju Hati Merindu yang telah menambat hati juri utama pertandingan itu iaitu Chef Jo, Chef Zubir dan Chef Adu Amran. Bocor Memberikan reaksi terhadap keputusan akhir yang didakwa telah bocor terlebih awal daripada episod akhir yang disiarkan pada malam Selasa lalu, Syura mengaku sedikit terkilan. "Hidangan saya bukanlah teruk sampai hangit hinggakan ada segelintir pihak yang mengeluarkan komen negatif dan menyifatkan saya tidak layak untuk bergelar juara. "Ya, saya akui ada terbaca komen-komen peminat di laman sosial Facebook MasterChef Selebriti Malaysia 2, tapi saya menganggap itu sebagai pencetus semangat untuk terus berjaya. "Melalui program masakan ini saya sebenarnya mencabar diri dan kemampuan saya di dapur. Rancangan ini telah banyak mengubah landskap hidup saya, kalau dulu saya jarang ke dapur tapi sekarang pelbagai juadah dapat saya hasilkan hari demi hari," katanya yang ditemui selepas majlis tayangan episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia 2 di Restoran Delicious Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 29, mengakui rancangan itu merupakan batu loncatan untuk kembali bergiat aktif dalam dunia seni suara. "Saya masih sayang bidang nyanyian dan untuk menjadi seorang chef tidak mudah kerana gelaran itu bukan sembarangan diberikan kepada seseorang. "Insya-Allah saya akan kembali merakamkan single bersama sebuah syarikat rakaman tidak lama lagi," tambahnya yang merancang untuk membuka restoran sebagai hadiah kepada peminat merasai air tangannya. Selaku pemenang, Syura sekali gus menyumbangkan RM60,500 kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Breast Cancer Welfare Association of Federal Territory, manakala Celina menyumbangkan RM10,000 kepada Furry Friends Farm. Drama Syura dalam pada itu menjelaskan dia tidak menyembunyikan sifat sebenarnya di dapur MasterChef Selebriti dan menegaskan kata-kata serta perbuatannya adalah dirinya sebenar. "Saya menjadi diri saya sendiri, kalau saya tidak berpuas hati saya akan cakap. Apa yang penonton nampak di kaca televisyen adalah saya. "Kadang-kadang saya rasa diri saya terlalu jujur dan orang selalu nampak saya gelisah tapi itulah warna sebenar Syura," katanya yang mendapat tawaran menyertai rancangan itu selepas berpindah dari Johor Bahru, ke Kuala Lumpur bersama keluarga hujung tahun lalu. Syura turut menerima hadiah dua tiket penerbangan kelas perniagaan pergi dan balik ke Paris, Perancis menaiki pesawat Airbus A380 MAS dan lebih manis apabila sajian Syura akan dihidangkan di kelas pertama pesawat berkenaan. Penyanyi itu turut meluahkan isi hati untuk menghantar ibunya, Samsiah Mohammad, 62, mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum dia dan suaminya terbang ke Perancis. "Saya mahu lunaskan nazar terhadap ibu saya terlebih dahulu sebelum pergi bercuti. Ini impian saya apabila menyertai rancangan ini dah syukur Alhamdulillah hajat saya dimakbulkan," ujarnya. MasterChef Selebriti Malaysia 2 disertai oleh 19 selebriti antaranya Rozita Che Wan, Enot, Kenchana Devi, Norish Karman, Syanie, Lydiawati, Datuk Aznil Nawawi dan Zain Saidin. Sementara itu, ulas Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkenaan spekulasi kemenangan Syura yang telah bocor terlebih awal, pihaknya akan memastikan rahsia rancangan MasterChef selepas ini diperketatkan. "Sebenarnya spekulasi itu timbul kerana rancangan ini telah dirakamkan terlebih awal, namun tidak dinafikan sehingga malam episod akhir masih ada sokongan terhadap Celina. "Spekulasi sukar dikawal dan orang akan tetap memperkatakan tapi kebenarannya muncul pada malam episod akhir," katanya. | ||
Umie Aida jadi pertaruhan Ummi Posted: 01 Jul 2013 09:21 PM PDT
TERLALU awal untuk menyifatkan drama Ummi yang menggantikan program realiti Bintang Mencari Bintang tidak menarik semata-mata kerana teraju utama drama bersiri 13 episod itu adalah kanak-kanak. Hanya mempertaruhkan Datin Paduka Umie Aida sebagai watak dominan, ujar pengarah drama itu, Faisal Ishak, mesej kesedaran sosial sebenarnya menjadi fokus utama untuk disampaikan kepada penonton. "Penghujung jalan cerita ini penonton tidak akan menyaksikan Umie Aida sebagai fokus utama, tapi watak kanak-kanak yang mendominasi cerita ini. "Kisah ini adalah dekat dengan masyarakat dan kehidupan seharian kita. Tujuannya untuk membuka mata individu sekeliling dan membuktikan bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan untuk dimainkan," jelas Faisal. Selain Umie Aida, drama Ummi dibintangi oleh tiga orang pelakon kanak-kanak iaitu Khyreena Kemal, Danish Adam dan Ahmad Fadzli Masri. Kata Faisal, tidak sukar untuk mengarahkan ketiga-tiga pelakon cilik itu memandangkan mereka sendiri telah faham jalan cerita yang ingin disampaikan kepada penonton. "Seramai 60 orang pelakon kanak-kanak hadir untuk sesi uji bakat dan hanya tiga saja yang terpilih. Ahmad Fadzli sebelum ini pernah bekerja bawah saya menerusi drama Nur Kasih. "Tidak susah untuk mengarahkan mereka, kerana mereka sendiri sudah faham jalan cerita. Sukarnya apabila melibatkan penggambaran waktu persekolahan kerana produksi perlu menunggu waktu mereka pulang dari sekolah. "Lagipun, penggambaran tidak boleh dilakukan sampai lewat malam kerana kanak-kanak itu perlu ke sekolah keesokan paginya," katanya yang telah menjalankan penggambaran selama tiga bulan awal tahun ini. Tegas Faisal, drama Ummi berperanan untuk memberitahu masyarakat mengenai kehidupan sebenar golongan setinggan dan anak-anak terbiar yang sering terlepas pandang selain itu cuba menyuntik inspirasi kepada masyarakat untuk bertindak. Sementara itu, tambah Umie Aida, sebab utama dia menerima watak Ummi yang ditawarkan kepadanya adalah kerana kekuatan watak itu yang bukan hanya berendam air mata semata-mata. "Drama ini dekat dengan kita dan saya percaya setiap manusia ada sifat kemanusiaan. Watak Ummi cukup kuat tapi perjalanan cerita ini dicorakkan oleh watak kanak-kanak. "Ummi menampilkan emosi seorang isteri yang ditinggalkan oleh suaminya, memiliki sifat keibuan yang tinggi. Walaupun daif dia tetap berkongsi sedaya termampu demi menyelamatkan anak-anak yang tidak mempunyai talian persaudaraan dengannya," ujar Umie. Drama Ummi mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita bernama Ummi yang ditinggalkan suaminya dan hidup dalam susah serta buta huruf, namun prihatin terhadap tiga orang kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang iaitu Comel, Amir dan Danish. Dalam proses mengenali hati budi dan menyesuaikan diri antara Ummi, Comel, Danish dan Amir, tiba-tiba suami Ummi, Bahar muncul kembali dan mula berdepan dengan pelbagai masalah. Turut membintangi drama itu, Sharul Kamaludin, Fikhree Bakar, Sharissa Chong, Zhafri Suhaimi, Riki Rikando Idris dan Marup Mustapah. Drama itu telah mula bersiaran 30 Jun lalu membabitkan 13 episod pada setiap hari Ahad pukul 9 malam. Penonton yang terlepas siaran boleh menontonnya di laman sesawang www.tonton.com.my. | ||
Posted: 01 Jul 2013 09:19 PM PDT CYBERJAYA - Sebanyak 652 laman sesawang yang melakukan phishing bagi mendapatkan maklumat rahsia pengguna internet lain untuk tujuan salah disekat dari Januari hingga Mei pada tahun ini berbanding 835 bagi tempoh sama tahun lepas. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, jumlah laman web yang dikesan dan disekat itu bagaimanapun menurun sebanyak 22 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. "Pusat Keselamatan Rangkaian SKMM iaitu jabatan bertanggungjawab menangani masalah phishing, berfungsi 24 jam sehari dan mengambil masa tidak lebih dari empat jam untuk menutup sesebuah laman phishing yang dikesan," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. Turut serta pada sidang akhbar itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Wong Wai Leong serta Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik Bank Negara Malaysia (BNM), Shariffuddin Khalid. | ||
Kerajaan kaji pindah guru kahwin Posted: 01 Jul 2013 09:18 PM PDT KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan bersedia untuk mengkaji semula pertukaran guru-guru yang sudah berkahwin atas faktor kemanusiaan. Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching (gambar kecil) memberitahu, adalah tidak sesuai bagi pasangan suami isteri terutama yang baru berkahwin dipisahkan atas kekangan tugas. "Bagi saya sebagai pendidik yang ada pengalaman sebagai seorang pengetua, sekiranya ada guru yang minta tukar atas sebab mereka berkahwin, saya beri sokongan," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang bertanya mengenai permohonan pertukaran guru yang telah berkahwin. "Ini atas dasar kemanusiaan, tidak sesuai atau tidak baik untuk suami isteri dipisahkan," katanya. | ||
Koperasi bantu ahli mengurus hidup Posted: 01 Jul 2013 09:03 PM PDT
SELAMA 33 tahun terlibat secara aktif bersama Koperasi Koguma Berhad (Koguma), nama Zulkifli Jamaludin cukup sinonim dengan pertubuhan tersebut. Sejak ditubuhkan pada 4 Januari 1980, Zulkifli merupakan antara individu terawal yang mencorak kejayaan Koguma. Bermula sebagai ahli biasa, setahun kemudian Zulkifli atau lebih mesra dipanggil Cikgu Zul dilantik sebagai Anggota Lembaga Koperasi manakala pada tahun 1983, beliau menerima tanggungjawab untuk bergelar Setiausaha. Hingga kini, pada usia mencecah 70 tahun, beliau masih setia dengan Koguma. Seperti tuturnya: "Saya tua bersama Koguma." Menurut anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu, sejak tiga dekad lalu, Koguma telah memainkan peranan penting dalam membantu ahli-ahli menguruskan kehidupan mereka terutama dalam aspek pinjaman kewangan. "Penubuhan Koguma sebenarnya bertujuan untuk membeli sebuah bangunan sebagai aset di Kompleks Uda Rama, Kuala Lumpur yang bernilai antara RM60,000 hingga RM70,000. "Di samping itu, ia juga bermatlamat mewujudkan koperasi serbaguna seperti memberi pinjaman kewangan pada ahli, membantu urusan jual beli tanah dan sebagainya. Setakat ini, Koguma mempunyai kira-kira 4,000 ahli," jelasnya dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini. Penyertaan ahli terbuka Menurut beliau, pada asalnya keahlian Koguma hanya dibuka pada kakitangan di bawah Kementerian Pelajaran, namun sejajar peredaran masa polisi itu telah dimansuhkan. Kini, keahlian Koguma terbuka kepada semua kakitangan kerajaan dan bukan terhad pada guru semata-mata. Bekas Penolong Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan itu memberitahu, Koguma juga semakin mengorak langkah mengukuhkan kewujudan mereka dalam bidang perniagaan. Di atas saranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Koguma mula meneroka bidang baharu iaitu jual beli atau perniagaan. "Kami berjaya mewujudkan pajak gadai Islam Ar-Rahnu yang beroperasi sejak April 2012. Ia bersifat dua dalam satu. Justeru, semua kakitangan Koguma tahu mengenai Ar-Rahnu. "Mereka diberi bimbingan dan kursus insentif dalam mengendalikan operasi pajak gadai Islam ini. Contohnya mengenal pasti emas tulen atau palsu, menimbang emas, keselamatan di bilik kebal dan sebagainya," terang Zulkifli. Ironinya, semua pekerja walaupun sekadar kerani tetap diberi tunjuk ajar tentang Ar-Rahnu dalam usaha meningkatkan kemampuan diri masing-masing. Sejak November 2012 lalu, Koguma turut menjalin kerjasama dengan syarikat N-Hance Beauty & Health Sdn. Bhd. (N-Hance) untuk memasarkan produk berupa barangan keperluan pengguna. Pengasas N-Hance, Datuk Zainah @ Ayu Darus, 49, memberitahu, pihaknya sangat berbesar hati apabila berpeluang berkolaborasi dengan
Koguma yang dianggap sebagai salah sebuah badan koperasi yang berjaya di Malaysia. "Secara peribadi, saya nampak Koguma mempunyai wawasan yang tinggi untuk menjana ekonomi setiap ahlinya. Saya juga gembira berkongsi pengalaman perniagaan dan bertukar-tukar pendapat dengan mereka," ujar beliau. Sementara itu, Pengarah Pemasaran N-Hance, Ahmad Nurbi Mohamad Nor, 47, berkata syarikatnya mempunyai pengalaman selama dua dekad dalam dunia perniagaan. "Justeru, kerjasama ini satu perkara yang amat baik dan mampu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak," tuturnya. Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Koguma, Zainal Ahmad, 52, turut berkongsi pengalaman sepanjang 26 tahun menjadi ahli koperasi tersebut. Jasa Koguma Guru Besar Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, Kuala Lumpur itu mengakui banyak jasa Koguma kepadanya. Beliau membuat pinjaman ketika hendak berkahwin dan membeli perabot. "Malah, apabila mahu membeli rumah, bayaran deposit sepuluh peratus juga saya gunakan bantuan Koguma. Bagi saya, dalam bab duit, untuk meminjam daripada saudara atau rakan-rakan memang susah. "Jadi, ia merupakan satu faedah yang amat besar kepada ahli terutama apabila berlakunya kecemasan dalam aspek kewangan," cerita Zainal. Menyedari hakikat itu, Zainal sentiasa menggalakkan guru-guru di sekolahnya mendaftar sebagai ahli Koguma sebagai persediaan kewangan masa hadapan. Tambahnya, terdapat pelbagai bantuan disalurkan Koguma kepada setiap anggotanya. Ini termasuklah tabung kebajikan am, khairat kematian, bencana alam, pendidikan, pelancongan dan banyak lagi. Perkara ini diakui oleh Anggota Lembaga Koguma, Md. Nasir Omar, 47, yang mula menyertai koperasi ini sejak tahun 1990 akibat kesempitan wang sewaktu menetap di Johor. "Dahulu, gaji guru kecil dan saya sering dilanda masalah kewangan. Hendak beli kereta pun tak mampu. Akhirnya, saya mendaftar sebagai ahli dan berjaya mendapatkan pinjaman untuk membayar wang pendahuluan membeli kereta pertama dalam tempoh yang singkat," imbau Md. Nasir. Ujarnya, jika membuat pinjaman dengan bank, kadar faedahnya tinggi, tetapi melalui pinjaman koperasi, kita dapat meningkatkan tabungan dan akan dipulangkan kembali kepada ahlinya kelak. Menurut beliau, jaminan Koguma sebagai koperasi cukup kukuh. Jika seseorang ahli ingin berhenti, mereka boleh mengeluarkan simpanan atau tabungan dalam koperasi. "Bagi ahli yang aktif, selepas bersara, mereka mampu mendapatkan pulangan sekurang-kurangnya RM30,000. Jadi, keputusan di tangan ahli sama ada ingin menjadi ahli yang aktif atau sebaliknya," tutur Md. Nasir. Pengurusan cemerlang Guru Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Jeram, Selangor, Tuhaimi Zamzam, 54, menceritakan faedah yang diperoleh dengan menyertai Koguma sejak lebih tiga dekad lalu. Beliau mengakui pengurusan dan pentadbiran Koguma sangat cemerlang sehingga dapat membantu dan memberi manfaat pada ramai ahli. "Pajak gadai Islam Ar-Rahnu contohnya, satu inisiatif yang baik. Dahulu, saya sering membuat skim pinjaman pembelian barang-barang elektrik, sekarang pakej melancong dan menunaikan umrah serta ubah suai rumah juga disediakan. Senang cerita, serba-serbi ada," ungkap Tuhaimi yang datang untuk bertanya tentang nilai emas yang ingin digadai. Sementara itu, Prof. Dr. Laily Paim dari Universiti Putra Malaysia berkata, setiap koperasi yang ditubuhkan biasanya bertujuan untuk memberi kebaikan dan manfaat kepada setiap ahlinya. Sebagai contoh, harga jualan barangan di koperasi tertentu yang menyediakan kedai runcit sudah tentu akan menawarkan harga yang lebih murah kepada ahlinya berbanding harga pasaran. "Situasi sedemikian dapat membantu ahli-ahli berjimat sewaktu berbelanja. Ini merupakan salah satu keperluan asas yang biasa dilakukan oleh mana-mana koperasi yang baru ditubuhkan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!. Menurut beliau, kewujudan pelbagai koperasi di Malaysia menunjukkan bahawa industri ini telah berkembang pesat sekali gus mampu menjana ekonomi negara jika ia bersifat aktif. "Keaktifan sesebuah koperasi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan penubuhannya. Selain itu, pihak pengurusan koperasi perlu memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan pencapaian mereka. "Jika koperasi itu berjaya, sudah pasti ahli-ahlinya akan turut mendapat manfaat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan masing-masing," tegas beliau yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea). Dalam pada itu, Laily menegaskan bahawa setiap ahli juga seharusnya memainkan peranan dalam menyuarakan pendapat mereka jika pihak pengurusan sesebuah koperasi tidak menjalankan tugas dengan baik. "Setiap ahli perlu sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk bersuara jika berlakunya penyelewengan atau penipuan dalam pengurusan sesebuah koperasi. Malah, mereka juga boleh memberi pendapat atau cadangan bagi memajukan koperasi tersebut," tuturnya. | ||
Posted: 01 Jul 2013 08:58 PM PDT EMPAT dekad lalu, para petani di pedalaman Peru bersatu membentuk kumpulan ronderos bagi mengawasi kes-kes kecurian lembu. Kini, tugas skuad ronderos itu berganti misi. Mereka dalam usaha menghalang pelan projek perlombongan emas bernilai AS$5 bilion (RM15.79 bilion) milik syarikat perlombongan Amerika Syarikat (AS). Rancangan itu dikhuatiri menjejaskan tasik-tasik yang menjadi sumber terpenting penduduk di sekitar Pergunungan Andes. Berdasarkan polisi Andes, skuad berkenaan bertindak sebagai sistem kehakiman de facto di kawasan-kawasan yang mengalami kelemahan institusi awam dan kurang pengawasan pihak polis. Mereka telah menjadi penggerak politik terpenting di wilayah-wilayah terpencil yang memperjuangkan pemeliharaan sumber-sumber alam semula jadi, sekali gus memberi tekanan kepada pemerintahan pusat. Tahun lalu di utara daerah Cajamarca, ronderos berjaya melengahkan permohonan perlombongan emas Conga milik syarikat berpangkalan di AS, Newmont Mining Corp. dengan bantuan protes besar-besaran penduduk kampung di sekitar Andes. Lombong termahal Hari ini, kumpulan itu kembali memberi tekanan kepada Presiden Peru, Ollanta Humala bagi membatalkan projek yang telah mendapat permit sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Sejak berkhidmat dua tahun lalu, Humala menyokong penuh projek Conga yang berpotensi menjadi lombong termahal dalam sejarah Peru. Pergolakan itu telah memporak-perandakan pemerintahan beliau. Humala merombak barisan kabinetnya sebanyak dua kali selepas beberapa bantahan keganasan berlaku. Rombakan pertama bertujuan memecah-belahkan penentang Conga dan kali kedua untuk menganjurkan dialog selepas lima orang awam mati. "Pemerintah tidak akan mewakili rakyat lagi. Namun kami sangat kuat dan akan menentang sehingga ke hujung nyawa," luah Cesar Angel, ahli skuad ronderos ketika ditemui pada perhimpunan bantahan yang diadakan berhampiran Tasik Perol iaitu salah satu tasik Andes yang akan ditukar menjadi lombong. Perhimpunan tersebut merupakan yang terbesar sejak Newmont dan sekutu Peru mereka, Buenaventura menangguhkan pembinaan lombong itu hampir setahun yang lalu. Ketika itu, kedua-dua syarikat itu cuba meredakan tekanan dengan memulakan kerja-kerja di kawasan takungan besar bagi meyakinkan kelangsungan bekalan air kepada penduduk setempat. Syarikat-syarikat itu merancang untuk memindahkan air dari tasik-tasik yang terlibat ke empat takungan yang dikatakan mampu menghentikan masalah kekurangan bekalan air pada musim tertentu. Pada masa yang sama, meyakinkan bekalan berterusan sepanjang tahun kepada para penduduk dan petani. Khazanah emas Bagaimanapun kebanyakan petani yang memiliki ladang dan ternakan berhampiran lombong itu masih bimbang projek itu akan mengurangkan bekalan air dan mencemarkan tasik serta sungai meskipun ia didatangkan dengan pelan pemulihan alam sekitar jangka panjang. Conga yang menyimpan khazanah emas berjumlah 184.27 juta gram dan 771 bilion gram tembaga secara tidak langsung akan memanjangkan hayat dua syarikat yang terletak di lombong emas Yanacocha itu. Ronderos menggelarkan diri mereka sebagai penjaga tasik-tasik di sekitar Andes. Mereka berkhemah di luar Tasik Perol bagi mengelakkan Newmont memindahkan air tasik ke takungan baharu dan mematahkan cubaan baharu pembinaan lombong tersebut. "Skuad yang terdiri daripada petani itu dahulunya bimbang tentang jenayah remeh seperti kecurian lembu tetapi kini mereka mempertahankan tanah dan sumber air kami daripada syarikat multinasional," ujar Milton Sanchez, seorang aktivis yang sering berurusan dengan ronderos. | ||
Posted: 01 Jul 2013 08:54 PM PDT
MINUMAN kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik kini boleh dinikmati dalam bentuk ice blended. Syarikat pengeluar ice blended tempatan, Coolblog menjadi perintis kepada minuman tersebut. Selepas kejayaan Coolblog memperkenalkan minuman ice blended berkonsepkan ais batu campur, cendol dan lai chi kang, teh tarik blog dilihat bakal menjadi pilihan utama peminat mereka. "Sekitar 80 peratus pelanggan kami terdiri daripada orang Melayu dan kami yakin pengenalan minuman teh tarik blog ini dapat mengukuhkan lagi kepercayaan mereka terhadap Coolblog. "Bagi menambah keenakan kepada teh tarik blog, pelanggan digalakkan menambah topping khas minuman ini iaitu jeli kopi. "Kami mempunyai seleksi topping yang berbeza tetapi untuk minuman baharu ini, jeli kopi adalah paduan yang terbaik," ujar Pengurus Pengiklanan dan Operasi Coolblog Dessert Sdn. Bhd., Winson Keh ketika majlis pelancaran teh tarik blog di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, tambah Winson, pelanggan juga boleh cuba menggabungkan teh tarik blog bersama topping lain seperti black pearl dan jeli rainbow. Pada pelancaran itu juga, Coolblog memperkenalkan topping baharu iaitu jeli kranberi. Topping tersebut melengkapi variasi topping sedia ada seperti mangga, rainbow, epal hijau, laici dan kopi. Sejajar dengan pelancaran teh tarik blog, Coolblog turut melancarkan barangan eksklusif mereka berupa baju T bertemakan Fly My Dream. Sebahagian hasil jualan item berharga RM30 itu telah pun disalurkan kepada Kiwanis Down Syndrome Foundation. Selamat diminum Sementara itu, kontroversi berkenaan penggunaan tapioca balls atau tapioca pearls dalam rangkaian minuman bubble tea di Malaysia turut menempiasi Coolblog. Sebagai antara pengeluar minuman bubble tea dan ice blended tempatan, Coolblog juga tidak terlepas daripada dibadai masalah tersebut. "Masyarakat perlu tahu bahawa minuman bubble tea berasal dari Taiwan. Bahan-bahan minuman jenis ini juga diperoleh dari Taiwan tetapi pembekal Coolblog tidak tersenarai dalam pembekal yang terlarang. "Kami melakukan ujian makmal setiap tiga bulan ke atas bahan-bahan gunaan Coolblog. Setakat ini semua minuman kami selamat diminum dan bebas daripada kandungan asid maleik," jelas Winson. Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari syarikat Wang Tai di Taiwan menarik balik produk makanan tersebut daripada pasaran Malaysia kerana mengandungi asid maleik yang boleh merosakkan buah pinggang. Namun beberapa syarikat lain seperti Each-A-Cup Sdn. Bhd., telah dibenarkan menjual semula produk makanan round balls each a cup yang digunakan dalam penyediaan minuman bubble tea selepas disahkan bebas daripada asid maleik. Turut hadir pada acara pelancaran teh tarik blog tersebut ialah duta Coolblog, Heliza Helmi yang merupakan pelakon, penyanyi dan pengacara tempatan. Minuman teh tarik blog kini boleh diperoleh di hampir 300 cawangan Coolblog di seluruh Malaysia pada harga RM2.80 dan RM3.40 (bersama topping). | ||
Posted: 01 Jul 2013 08:53 PM PDT SEBUT sahaja institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), antara perkara pertama yang akan berlegar dalam kotak fikiran kebanyakan daripada kita adalah yuran pengajian yang tinggi. Lebih memburukkan keadaan apabila ada sesetengah bidang pengajian yang ditawarkan IPTS tidak diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia menyebabkan pengajian yang diikuti menjadi sia-sia. Disebabkan stereotaip seperti itu jugalah, tempiasnya turut tercalit kepada Universiti Kuala Lumpur-Institut Malaysia Sepanyol (UniKL-MSI) yang bertapak di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah sejak 10 tahun lalu. Sedangkan pada hakikatnya UniKL-MSI sangat berbeza dengan IPTS lain di negara ini kerana ia dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebuah agensi yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. UniKL-MSI juga merupakan sebuah IPTS yang wujud hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Sepanyol dalam bidang pendidikan berkaitan teknologi automotif. Atas dasar kerjasama yang terjalin itu jugalah hampir semua peralatan dan mesin yang dipasang di bengkel dan makmal di institusi pengajian itu didatangkan khas dari negara berkenaan. Ia sebagai sebahagian daripada program perpindahan teknologi ke negara ini. Menurut Dekan UniKL-MSI, Profesor Rusli Othman, kerajaan Sepanyol telah menyediakan geran sebanyak AS$8.5 juta (RM26 juta) menerusi kerjasama tersebut untuk membangunkan sebuah institusi pengajian teknikal. "Daripada peruntukan yang disediakan itu, sebanyak AS$5.9 juta (RM18 juta) telah dibelanjakan untuk membeli mesin dan peralatan buatan negara itu untuk dipasang di bengkel dan makmal UniKL-MSI. "Sepanyol sebenarnya merupakan negara kedua terbesar di negara ini yang mengeluarkan mesin dan peralatan teknikal selepas Jerman," katanya. Justeru tidak hairanlah saban tahun para pelajar yang lahir dari UniKL-MSI sentiasa menjadi rebutan pemain industri di negara ini. Perkara itu juga turut diakui oleh para pelajar UniKL-MSI sendiri yang beranggapan mereka telah membuat satu keputusan tepat memilih IPTS berkenaan sebagai pusat pengajian untuk mereka menimba ilmu dalam bidang teknikal. Menurut Mohd. Fazri Shaari, 28, yang kini mengikuti pengajian tahun akhir di peringkat Ijazah dalam bidang Mekanikal Automotif, dia memilih UniKL-MSI kerana IPTS berkenaan menawarkan pengajian dalam bidang pengkhususan automotif. "Sebelum ini semasa di peringkat diploma, saya banyak belajar tentang teori sahaja dan selepas itu saya memulakan kerjaya saya di sebuah kilang elektronik. "Selama setahun saya bekerja, saya cuba mencari institusi pengajian untuk melanjutkan pengajian dan akhirnya saya mendapati UniKL-MSI menawarkan pengajian yang saya inginkan," katanya. Lanjut pelajaran di UK Menurut anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu, sepanjang tiga tahun pengajian di UniKL-MSI, dia banyak belajar tentang kaedah pembuatan produk menggunakan mesin dan peralatan berteknologi tinggi yang ada di makmal dan bengkel institusi pengajian itu. Malah katanya, menerusi bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh pensyarah, dia berpeluang untuk memasuki pertandingan Eco-Challenge dan Electric Vehicle (EV) anjuran Proton dan Perodua dalam kategori reka bentuk kenderaan. Dalam pertandingan yang diadakan pada tahun 2011 itu katanya, pasukannya memperoleh tempat ketiga. Selain itu katanya, dia juga diberi peluang untuk mengikuti pengajian di University of Trento, Itali menerusi program International Student Exchange Networking selama enam bulan. Malah, apa yang lebih menggembirakan dirinya adalah dia sudah diberi tawaran untuk menyambung pengajian di United Kingdom (UK) dalam bidang mekanikal. Malah, menariknya pensyarah UniKL-MSI, Zulkarnain Abdul Latiff, 38, menambah, kebanyakan lulusan IPTS itu berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Ini kerana jelasnya sepanjang pelajar di situ, para pelajar diberi peluang untuk melakukan praktikal terhadap sesuatu perkara yang dipelajari berbanding sesetengah IPTS yang lebih mengutamakan teori. "Pembelajaran di UniKL-MSI lebih kepada secara hands-on menggunakan kaedah 60 peratus praktikal dan 40 peratus teori," katanya yang merupakan lulusan Universiti Birmingham, UK. Pengambilan pelajar baharu Mengulas mengenai bidang pengajian yang ditawarkan oleh UniKL-MSI, beliau berkata, terdapat sembilan bidang pengajian bagi kedua-dua tahap ijazah dan diploma. Bagi peringkat ijazah katanya, bidang pengajian yang ditawarkan ialah kejuruteraan teknologi automotif mekatronik, pembuatan dan mekanikal selain automotif am. Bagi peringkat diploma pula katanya, bidang pengajian yang ditawarkan ialah pembangunan dan rekaan mekanikal, pembuatan mol, penyelenggaraan dan pemasangan elektromekanikal, kawalan dan pengaturan automasi serta bidang pengeluaran. Tambahnya, setiap tahun UniKL-MSI membuat pengambilan pelajar sebanyak tiga kali iaitu pada bulan Januari (pengambilan pelajar diploma dan ijazah), Jun (pengambilan pelajar diploma dan A Level) dan September (pengambilan pelajar ijazah). Mereka yang berminat untuk mengikuti pengajian di UniKL-MSI boleh melayari laman web www.unikl.edu.my atau menghubungi talian 03-2175 4000 atau terus hubungi UniKL-MSI Kulim di talian 04-4035 199/ 04-4035 200 untuk sebarang pertanyaan. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |