Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Juara Idola Kecil, Danial Lanjut Pelajaran Di Sekolah Seni
- Nabila Huda Akui Sukar Lakonkan Watak Saloma
- 'Tiada Istilah Ambil Kesempatan Kerana Saya Menyanyi' - Lisa Surihani
- Udang galah bersepit empat
- Pengusaha mengeluh terbeban kos operasi meningkat
- Pelajar berang cederakan guru dengan kerambit
- 1,058 calon dipilih misi hidup di Marikh
- Imej kuda gergasi di bandar Jepun
- Ringan, kecil dan mudah lipat
- Kisah bunga api seluruh dunia
- Streetfighter Jepun setanding model Eropah
- Uji ketahanan fizikal dan mental
Juara Idola Kecil, Danial Lanjut Pelajaran Di Sekolah Seni Posted: 04 Jan 2014 01:13 AM PST PETALING JAYA: Juara program Idola Kecil musim keenam Danial mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya ke tingkatan satu di Sekolah Seni Malaysia di Shah Alam, dekat sini bermula Khamis lalu. Danial atau nama sebenarnya Danial Cheur Hamasiah, 13, berkata, dia memilih sekolah tersebut kerana mahu mendalami bidang seni secara menyeluruh sebagai persediaannya untuk bergelar penyanyi pada masa hadapan. "Sejak masuk Idola Kecil lagi saya sudah berhasrat untuk memasuki sekolah itu semata-mata mahu mendalami bidang seni yang cukup saya minati sejak kecil. "Saya cukup teruja apabila diberitahu diterima masuk ke sekolah berkenaan," katanya kepadamStar Online. Danial yang menyanyikan lagu When I Was Your Man dan sebuah lagu baharu, Bangkit pada pertandingan akhir yang di adakan di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam pada Sabtu lalu berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM15,000 dan trofi. Sekolah Seni Malaysia merupakan sebuah sekolah menengah kelolaan Kementerian Pelajaran bagi mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang seni seperti seni visual, lakonan dan juga muzik Dalam pada itu, Danial berkata, kemasukannya ke sekolah berasrama penuh itu adalah menyebabkan dia terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang menetap di Tawau, Sabah. Bagaimanapun kata Danial, dia sudah bersedia untuk berdikari walaupun mengakui berasa sedih terpaksa berpisah dengan ibu-bapanya. "Saya anak bongsu dalam keluarga dan cukup rapat dengan ibu dan bapa jadi pasti akan sedih terpaksa berjauhan dengan mereka. "Tetapi ini adalah peluang untuk saya berdikari dan mempelajari bidang seni untuk masa depan saya," jelasnya. Sementara itu, Danial berkata, dia akan mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang ingin mengundangnya mengadakan persembahan atau pun merakamkan album selepas ini. Jelas Daniel, dia yakin dapat membahagikan masa dengan baik dan akan mengutamakan pelajaran. "Ini adalah impian saya sejak kecil dan peluang mengadakan persembahan atau merakamkan album akan saya pertimbangkan namun pelajaran akan menjadi keutamaan saya," katanya. | |||
Nabila Huda Akui Sukar Lakonkan Watak Saloma Posted: 04 Jan 2014 01:12 AM PST PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda memberitahu drama lakonannya mengenai biduanita, Puan Sri Saloma antara kerja lakonan yang paling sukar untuk dilakukan. Nabila yang menggalas tanggungjawab sebagai Saloma itu berkata, walaupun dilihat mudah, namun watak tersebut agak sukar untuk diserasikan dalam diri pada awal penggambaran sekitar hujung tahun lalu. "Apabila diberi watak sebagai Saloma, saya cukup teruja dan mula menonton klip-klip video temu bual serta beberapa filem sebagai rujukan sebelum ke set penggambaran. "Agak susah juga pada mulanya, sebab banyak perkara yang perlu dijaga terutamanya lenggok badan bagi setiap pergerakan yang dilakukan selain percakapan. Rasanya, drama ini antara yang paling susah pernah saya lakukan," katanya kepada mStar Online. Drama berkenaan bakal disiarkan menerusi saluran Astro. Tambah Nabila, kesukaran yang dirasai mula berkurangan apabila dia mula menjiwai watak berkenaan dengan bantuan pengarahnya, yang juga anak saudara kepada Saloma iaitu Melissa Saila. "Dalam drama tersebut, saya juga banyak menyanyi dengan cara 'ajuk semula' di mana lagu-lagu Saloma itu dinyanyikan semula oleh Liza Hanim. Nampak mudah tetapi sebenarnya susah. "Kamu semua perlu dengar suara kak Liza, gaya nyanyiannya seperti Saloma," ujarnya. Selain Nabila, pelakon Sazzy Falak turut terlibat dalam drama tersebut. Penggambaran drama itu telah dijalankan di Pulau Pinang di mana kesemua pelakon diubah imej seperti pada zaman 1950-an. Dalam perkembangan lain, lakonan Nabila turut dapat disaksikan menerusi drama Ariana Rose yang disiarkan di TV3 bermula 30 Disember 2013 setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam. | |||
'Tiada Istilah Ambil Kesempatan Kerana Saya Menyanyi' - Lisa Surihani Posted: 04 Jan 2014 01:11 AM PST PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani menepis tanggapan, lagu duetnya bersama Yusry Abdul Halim berjudul Kekasih Abadi dihasilkan atas dasar mahu menumpang popularitinya sebagai pelakon popular. Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 28, berkata, tiada istilah mengambil kesempatan oleh keluarga sendiri kerana ia dihasilkan atas permintaan Yusry yang ingin mengabadikan lagu tersebut sebagai memori buat mereka berdua. "Saya rasa perkara ini (ambil kesempatan) perlu ditanya sendiri kepada pihak KRU. Tetapi saya percaya, sesebuah keluarga tidak mungkin akan mengambil kesempatan terhadap keluarganya sendiri. "Saya menyanyi kerana Yusry. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat indah apabila menyanyi lagu tersebut bersama-sama. "Tak kisahlah sama ada ia akan menjadi hit atau tidak, yang penting lagu tersebut dapat menjadi kenangan apabila kami sudah tua nanti. Bayangkan apabila dah tua nanti, bolehlah kami cakap dekat cucu haa...ni haaa lagu atok dan opah dulu..." katanya menerusi mesej aplikasi WhatsApp di sini pada Jumaat. Pelakon itu ketika ini berada di Florida, Amerika Syarikat bersama suami dan keluarganya untuk bercuti. Pasangan suami isteri itu telah merakamkan lagu Kekasih Abadi, ciptaan Edry Abdul Halim sekitar bulan September lalu dan kini ia sudah pun boleh didapati menerusi aplikasi iTunes. Kekasih Abadi juga akan digunakan sebagai lagu tema bagi program pengembaraanPaspot Cinta Yusry Lisa yang bakal ditayangkan bermula Mac depan menerusi saluran RTM2. Sementara itu, Lisa berkata, pada mulanya agak sukar untuk dia menerima permintaan Yusry kerana berasakan dirinya tidak berbakat di bidang nyanyian. Namun selepas berbulan-bulan dipujuk suami dan keluarga mertuanya, baharulah dia terbuka hati untuk menyanyi lagu tersebut. "Saya sebenarnya segan dan tidak rasa mempunyai bakat menyanyi seperti penyanyi profesional lain. Malah saya tidak pernah terfikir bidang nyanyian akan menjadi cabang baru dalam kerjaya saya. "Macam-macam cara sebenarnya Yusry pujuk, dan mummy mertua saya juga tahu tentang perkara ini, dia pun minta saya untuk cuba. Kemudian apabila Yusry kata 'jom kita buat benda ini untuk suka-suka, kita buat sama-sama', kemudian saya pun terima," ujarnya. Tambah Lisa, dia juga agak gementar menantikan respons daripada peminat-peminatnya, namun bersyukur apabila ramai yang menyukai lagu tersebut berdasarkan komen-komen yang dibaca di Twitter. Dalam pada itu, Lisa berkata, rakaman Kekasih Abadi telah mengambil masa kira-kira dua hingga tiga hari. Ditanya, adakah selepas ini dia akan mengembangkan bakat nyanyian pula, kata Lisa: " Entahlah, saya menyanyi lagu ini kerana cinta dan sekadar suka-suka. Tengoklah macam mana, mungkin ya mungkin tidak. Apa-apa pun, setiap perkara baru yang saya buat adalah satu pelajaran buat diri." | |||
Posted: 04 Jan 2014 01:06 AM PST
Abdul Rahim A Wahab, 54, yang juga pengusaha bot sewa berkata, sejak menjadi peraih udang, penemuan itu merupakan pengalaman pertama dalam hidupnya. Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, udang seberat kira-kira 150 gram itu diperolehi dari seorang pemancing di Sungai Seluyut, dekat sini. "Saya terkejut apabila mendapati seekor udang galah yang diraih dari seorang pemancing mempunyai empat sepit, selalunya udang hanya mempunyai dua sepit sahaja. "Berdasarkan pengalaman dan seumur hidup saya, memang tidak pernah bertemu atau melihat udang yang mempunyai empat sepit," katanya, semalam. Abdul Rahim yang juga bekas Tentera Rejimen Semboyan Diraja mengambil keputusan untuk membelanya meskipun ada tawaran untuk membeli daripada orang ramai. "Ia amat berbeza kerana udang tersebut mempunyai tiga sepit berwarna biru di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri berbanding udang normal. "Kerana keunikannya, ada juga di antara rakan-rakan berminat dan menawarkan duit untuk memiliki udang tersebut, namun saya lebih memilih untuk menyimpannya. Katanya, orang ramai yang ingin melihat sendiri udang berkenaan boleh berkunjung di kediamannya di Pangkalan Batu Besi, Kampung Makam, dekat sini. | |||
Pengusaha mengeluh terbeban kos operasi meningkat Posted: 04 Jan 2014 12:59 AM PST KUALA LUMPUR - Rata-rata pengusaha kantin sekolah di seluruh negara mengeluh kerana terpaksa menanggung kos operasi yang meningkat terutamanya membabitkan pembelian bahan mentah tetapi terpaksa menjual dengan harga yang rendah. Menurut mereka, walaupun kos operasi meningkat, namun mereka tidak boleh menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati kerana terikat dengan perjanjian tender pengurusan kantin bersama pihak sekolah. Seorang pengusaha kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn 2 di sini, Norraidah Idris, 55, dia terpaksa mengimbangi kenaikan kos operasi dengan mengecilkan saiz hidangan bagi membolehkan harga yang dijual tidak dinaikkan. | |||
Pelajar berang cederakan guru dengan kerambit Posted: 04 Jan 2014 12:56 AM PST KANGAR - Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis dekat sini telah ditahan polis gara-gara tindakannya mencederakan seorang guru lelaki yang menegurnya kerana menggayakan rambut ala punk pada hari pertama persekolahan Rabu lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa berkata, remaja lelaki berusia 17 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi kelmarin di rumahnya di Kuala Perlis. "Turut dirampas bersama suspek ialah gunting kecil yang diubah suai menjadi senjata kerambit untuk mencederakan guru terbabit," katanya pada sidang akhbar semalam. | |||
1,058 calon dipilih misi hidup di Marikh Posted: 04 Jan 2014 12:53 AM PST THE HAGUE - Sebanyak 1,058 calon telah dipilih daripada 200,000 orang yang memohon untuk dilatih dalam misi untuk hidup di planet Marikh, menurut pihak penganjur, Mars One kelmarin. Kesemua mereka yang berumur di bawah 24 tahun dari 140 buah negara akan berlepas ke planet tersebut pada tahun 2024. Sebanyak enam pelancaran roket akan membawa mereka ke planet tersebut. Sebahagian dana yang digunakan untuk membawa mereka ke Marikh adalah dibiayai sebuah program realiti televisyen. Kesemua mereka akan mengharungi penerbangan sejauh 55 juta kilometer selama enam bulan sebelum tiba di Marikh. Para peserta itu tidak lagi akan pulang ke Bumi kerana kos untuk penghantaran pulang terlalu tinggi. Menurut Mars One yang beribu pejabat di Belanda, semua calon itu telah diberitahu tentang pemilihan mereka ke Marikh pada 30 Disember lalu. Pihak Mars One itu menyatakan, calon itu dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang terdapat pada diri mereka. Antara kriteria itu ialah bijak membuat keputusan, bebas dadah dan boleh berbahasa Inggeris. "Malah, terdapat permohonan satu pasangan yang dibuat menerusi rakaman video yang menunjukkan mereka berada dalam keadaan bogel," kata pengasas bersama Mars One, Bas Landsdorp. Menurut ketua perubatan Mars One, Norbert Kraft, calon-calon itu akan menjalani ujian fisikal dan emosi dalam tempoh lebih dua tahun. | |||
Imej kuda gergasi di bandar Jepun Posted: 04 Jan 2014 12:52 AM PST HITACHINAKA, Jepun - Kira-kira 30,000 kon pain digunakan untuk menghasilkan imej kuda setinggi 20 meter (m) dan selebar 30m di sini semalam. Kon pain itu merupakan organ yang mengeluarkan debunga pokok pain. Imej itu dihasilkan bagi meraikan kedatangan Tahun Kuda. Orang ramai boleh menyaksikan imej tersebut dengan menaiki roda Ferris setinggi 65m. | |||
Posted: 04 Jan 2014 12:50 AM PST BERMULA dengan menonton video seorang individu sedang menunggang sebuah basikal elektrik selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Elizuan Rafys, 35, ternyata kagum dengan rekaan inovasi tersebut. Dia tertanya-tanya, apakah basikal itu merupakan salah satu inovasi terbaharu yang dibikin oleh rakyat tempatan? Ketika dalam perjalanan menaiki kereta ke pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia sekali lagi melihat seorang ekspatriat menunggang basikal tersebut di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Dia melihat individu tersebut memakai sut dan membawa beg bimbit seperti gaya seorang korporat. Ketika itu, dia begitu teruja kerana berpeluang melihat rekaan basikal elektrik itu dengan lebih jelas. "Rekaan basikal Yike Bike seolah-olah kenderaan makhluk asing dalam filem Hollywood yang memukau mata untuk memandangnya. Saya beranggapan harga basikal elektrik itu pasti mahal," ujarnya yang mengetahui jenis basikal tersebut melalui carian di internet. Kunjungan Elizuan ke Festival Antarabangsa Petaling Jaya, Disember lalu memberi peluang kepadanya untuk bertemu dengan komuniti pengguna Yike Bike di Malaysia iaitu Wow Yike Bike. Gerai Wow Yike Bike merupakan antara tumpuan pengunjung sepanjang festival itu. Elizuan juga tidak melepaskan peluang untuk bertanya soalan tentang basikal elektrik itu. Basikal elektrik Yike Bike merupakan inovasi teknologi dari New Zealand pada tahun 2009 di bawah kendalian YikeBike Ltd. Pengiktirafan Jika dilihat secara fizikal, Yike Bike tidak ubah seperti sebuah basikal klasik Penny Farthing yang dicipta oleh jurutera British, James Starley pada tahun 1871. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai inovasi telah dilakukan dengan reka bentuknya. Yike Bike memperoleh pengiktirafan Guinness Book of World Records sebagai basikal elektrik paling ringan kecil dan mudah lipat di dunia pada tahun 2011. Walaupun hendalnya dicipta dibahagian belakang tempat duduk, ia tetap selesa untuk ditunggang dalam jangka masa lama. Rekaan itu juga memberi imbangan yang sempurna kepada penunggang agar tidak mudah tumbang. Hanya 20 saat diambil untuk melipat sebuah Yike Bike, sebelum memasukannya ke dalam beg. Ia memudahkan pengguna meletakkannya di dalam but kereta mahupun ketika menaiki pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) dan komuter. Menurut seorang pengguna Yike Bike dan ahli Wow Yike Bike sejak setahun lalu, Mohd. Fadzil Muda, 35, dia mula tertarik dengan basikal elektrik itu apabila melihat jirannya menunggang Yike Bike. Menurutnya, ketika dia menunggang basikal itu di sekitar ibu kota, ramai yang tertarik untuk bertanyakan pelbagai soalan mengenai spesifikasi Yike Bike. "Yike Bike merupakan satu inovasi teknologi terkini yang sesuai bagi mereka yang menghargai masa. Saya sering menggunakan LRT terutamanya untuk ke tempat kerja. Saya menunggang Yike Bike untuk ke destinasi-destinasi terdekat. Ia ternyata menjimatkan masa dan tenaga terutamanya ketika berjumpa klien. "Melalui Facebook Wow Yike Bike, kami memperoleh banyak respons positif mengenai basikal ini. Ramai yang berminat dengan Yike Bike. Ia merupakan platform utama untuk kumpulan kami memberi maklumat mengenai basikal ini kepada orang ramai," ujar pengedar Yike Bike di sekitar Lembah Klang dan wilayah Pantai Timur itu. Kategori Kategori Yike Bike bergantung kepada berat sesebuah basikal. Ia terbahagi kepada tiga jenis iaitu 10 kilogram (kg), 11 kg dan 14 kg. Setiap kategori basikal mempunyai spesifikasi yang sama. Ia juga direka untuk aktiviti tahan lasak. Hanya berat yang membezakan harga dan kemudahan untuk pengguna. Bahagian bingkai badan Yike Bike 10 kg diperbuat sepenuhnya daripada karbon manakala bahan separuh karbon dan fiber untuk basikal seberat 11 kg. Bagi Yike Bike 14 kg pula, ia dibina sepenuhnya daripada aloi atau logam. Menurut Mohd. Fadzil, Wow Yike Bike kini mempunyai seramai 21 orang ahli, kebanyakannya golongan eksekutif berusia 35 tahun keatas. Pengangkutan utama Di New Zealand, Yike Bike merupakan antara pengangkutan utama penduduk yang tinggal di kawasan bandar. Sebagai contoh, penduduk Pulau Waiheke di Auckland menggunakan Yike Bike untuk ke tempat kerja dan melakukan aktiviti harian. Kelajuan Yike Bike boleh mencecah 23 kilometer sejam. Dua pek bateri litium ion 450 watt yang diletakkan pada kompartmen di bahagian tayar basikal berupaya menggerakkan Yike Bike sejauh 10 kilometer. Yike Bike juga dilengkapi lampu diod pemancar cahaya dan signal di bahagian belakang untuk tujuan keselamatan. Pengarah Urusan YikeBike Ltd. Malaysia dan Indonesia, William Shaw, 32, memberitahu, bateri akan dicaj secara automatik apabila penunggang menekan picu brek pada hendal. "Apabila menuruni bukit, bateri juga akan dicaj secara automatik. Bateri litium ion 450 watt keluaran syarikat Jepun, Sony Corporation itu juga boleh dicaj sehingga 1,000 kali sebelum dilupuskan. Yike Bike merupakan sebuah pengangkutan mesra alam. "Basikal elektrik ini merupakan jalan penyelesaian terbaik kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warga kota. Mereka dapat menggabungkan dua cara dalam satu masa iaitu pengangkutan awam dan persendirian tanpa menggunakan sebarang bahan api," ujarnya yang sudah menunggang basikal elektrik itu sejak dua tahun lalu. Jangka hayat sebiji tayar dianggarkan bertahan selama setahun. Kos sebanyak RM110 untuk menukar tayar hadapan Yike Bike. | |||
Posted: 04 Jan 2014 12:48 AM PST KEDATANGAN Tahun Baru 2014 tentunya tidak lengkap tanpa pertunjukan bunga api pelbagai corak dan warna yang mengagumkan. Antara yang menjadi tumpuan ialah pertunjukan bunga api di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang memecahkan rekod dunia apabila lebih 500,000 bunga api digunakan pada persembahan yang berlangsung selama enam minit. Meliputi kawasan seluas melebihi 100 kilometer di bandar raya pinggir laut itu, paparan tersebut melibatkan beberapa mercu tanda terkemuka Dubai termasuk gugusan kepulauan buatan manusia, Palm Jumeirah; pencakar langit tertinggi dunia, Burj Khalifa dan hotel mewah, Burj Al Arab. Pertunjukan bunga api yang direka oleh firma dari Amerika Syarikat, Fireworks by Grucci itu menggunakan 100 buah komputer untuk menyelaraskan bunga api bersama runut bunyi yang telah direka khas. Sementara itu, pertunjukan bunga api juga berjaya menarik perhatian pelancong mengunjungi Las Vegas, Amerika Syarikat yang telah berjaya menarik lebih 335,000 pelancong pada malam perayaan tahun baharu. Berbeza pula kisah pertunjukan bunga api di Abidjan, Ivory Coast. Kerajaan negara tersebut terpaksa melaksanakan langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya rempuhan seperti yang berlaku pada sambutan tahun 2013 yang mengakibatkan 60 orang maut dan 48 orang lain cedera. Rakyat Jerman menyambut lembaran baharu dengan paparan bunga api mempesonakan di ibu negaranya, Berlin. Dengan Gerbang Brandenburg sebagai latar belakang, sambutan itu berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung. Tarikan Pertunjukan bunga api di Pelabuhan Vieux di Marseille, selatan Perancis, pada malam 31 Disember 2013, merupakan sebahagian daripada sambutan hari terakhir Pertunjukan Budaya Eropah Marseille-Provence 2013. Sementara itu, lebih dua juta pengunjung berhimpun di Sydney Harbour pada malam musim panas untuk menyaksikan persembahan bunga api tahunan terkemuka dan paling mewah di Sydney, Australia. Persembahan penuh warna-warni itu berlangsung selama 11 minit dengan mercun dilancarkan daripada keempat-empat bumbung Sydney Opera House buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad. Mencuri perhatian juga paparan bak air terjun api dari Jambatan Harbour. Di ibu negara Brazil, Rio de Janeiro, lebih dua juta pengunjung telah berkumpulan di sepanjang Pantai Copacabana bagi menyaksikan pertunjukan bunga api yang berlangsung selama 20 minit. Walaupun pertunjukan bunga api pada kebiasaannya menyempurnakan lagi sambutan tahun baru, namun terdapat insiden-insiden yang menyebabkan kecederaan, contohnya di Manila, Filipina apabila seorang disahkan mati dan kira-kira 600 orang lagi cedera akibat terkena bunga api dan mercun sesat. | |||
Streetfighter Jepun setanding model Eropah Posted: 04 Jan 2014 12:47 AM PST UMUM diketahui, rata-rata pengeluar motosikal di Eropah bijak memberi sentuhan magis ketika mencipta sebuah jentera streetfighter. Bukan suatu perkara mudah untuk merealisasikan idea rekaan tanpa mengambil kira faktor kejuruteraan binaan sesebuah motosikal. Itu cabaran utamanya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peneraju motosikal di Jepun, Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) berjaya mencuri perhatian global apabila membuktikan kemampuan pasukan perekanya untuk meneroka segmen streetfighter. Streetfighter merujuk kepada sebuah model kategori motosikal sport yang tidak didatangkan bersama komponen fairing. Ada yang mendakwa istilah itu lahir daripada tindakan penunggang muda di Eropah yang melucutkan komponen fairing untuk mengelakkan kerosakan dan meminimumkan kos baik pulih motosikal jika terjatuh. Falsafah Sugomi Trend itu kemudiannya dikatakan menambat hati sebilangan besar pengeluar motosikal khususnya di Eropah dan Jepun sekitar tahun 1980-an untuk mencipta jentera streetfighter bagi mengisi segmen baharu itu. Keluarga streetfighter KHI diwakili oleh siri Z. Bagi mengekalkan momentum persaingan, KHI tampil dengan model Kawasaki Z1000 baharu. Model yang dibangunkan berasaskan falsafah sugomi itu pernah dipamerkan sewaktu Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali, November lalu. Secara ringkas, falsafah sugomi menyentuh keseluruhan aspek gayaan dan pendekatan terperinci kejuruteraan motosikal untuk dinikmati sepenuhnya oleh seseorang penunggang. Sebenarnya, pendekatan itu mula diaplikasi pada model Z800 sebelum ini. Bagi Z1000 2014, penampilannya nyata radikal hasil pengenaan garis badan tanpa menghilangkan warisan seni bina siri Z. Rupa paras Z1000 kelihatan seperti sebuah motosikal anime Jepun. Dalam laman motorcyclenews.com, Ketua Pereka Motosikal Kawasaki, Keishi Fukumoto berkata, pihaknya mengambil pendekatan gayaan baharu Z1000 untuk menjadikan sebuah jentera yang mempamerkan elemen ghairah dan emosi sugomi yang menarik perhatian para penunggang. "Dari perspektif gayaan, kami mengetengahkan paras rupa dan perasaan pemangsa yang menanti masa untuk menerkam pada masa sama mengadun kejuruteraan semula berprestasi bagi mengukuhkan posisi Z1000 sebagai peneraju dalam kelas tersendiri," katanya. Jentera satu liter itu nyata memberi tamparan hebat kepada beberapa pesaing streetfighter terkemuka termasuk Ducati Streetfighter, KTM 1290 Super Duke R, Aprilia Tuono V4 dan MV Agusta Rivale. Kawasaki Z1000 2014 masih menggunakan khidmat enjin empat silinder sebaris tetapi telah menerima beberapa modifikasi baharu. Antaranya perubahan komponen aci sesondol untuk melonjakkan hamburan tork pada pusingan enjin (RPM) peringkat rendah hingga sederhana. Talaan Semulan Sistem penyaluran udara ke dalam kotak angin ditingkatkan dengan adanya bolong kemasukan bersama penapis udara baharu yang dipasang pada bahagian hadapan jentera. Ia bertujuan memastikan saluran udara kekal stabil pada RPM tinggi. Jurutera Kawasaki memasang empat unit pendikit badan Keihin 38 milimeter untuk menyuntik bahan api ke dalam setiap kebuk pembakaran. Pembaharuan lain dilakukan ialah penalaan semula tetapan unit kawalan enjin (ECU) dan sistem gear Z1000. Keseluruhan rangkaian kuasa Z1000 dilindungi oleh kerangka aluminium yang kelihatan hampir sama seperti yang terdapat pada model Ninja ZX-10R. Kerangka itu telah ditambah dengan alas getah (mounting) untuk mengurangkan kesan getaran enjin sewaktu tunggangan. Keupayaan memberhentikan motosikal juga diperbaharui dengan aplikasi angkup monoblok Tokico yang diperbuat daripada aluminium. Ia menawarkan respons mencengkam piring brek cakera yang lebih baik sewaktu tunggangan agresif. Edisi Z1000 2014 juga didatangkan dengan unit fork baharu iaitu Showa SFF-BP (Separate Function Fork - Big Piston). Batang fork sebelah kiri adalah untuk menyelaras kadar prabeban manakala kadar redaman omboh boleh diubah menerusi fork bahagian kanan. Lengan ayun pula bersambung dengan sistem penyerap hentak tunggal gas/ minyak yang di posisi sedikit mendatar untuk membantu meningkatkan keseimbangan dan kestabilan jentera. Buat julung kalinya, KHI menggunakan rekaan set lampu utama jenis LED tanpa pemantul bagi model Z1000. Perumah lampu belakang juga mengaplikasi lampu LED untuk pencahayaan lebih terang. Model Z1000 2014 yang diimport dari Jepun bakal diperkenalkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. ke pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat. Bukan itu sahaja, syarikat yang bertanggungjawab untuk pengedaran dan pemasangan produk jenama Jepun itu juga akan memperkenalkan satu lagi model dalam siri Z iaitu Z1000 SX. Nantikan sahaja. | |||
Uji ketahanan fizikal dan mental Posted: 04 Jan 2014 12:45 AM PST DUA bulan sebelum menyertai perlumbaan BFM-The Intermark Race To The Top 2013, Muhammad Amir Firdaus Abdul Rahim, 24, telah mula membuat persiapan rapi. Dua kali seminggu, dia akan ke gimnasium berdekatan kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk melakukan senaman kardiovaskular seperti berlari yang mampu meningkatkan stamina dan ketahanan tubuh badan. Walaupun tidak memasang impian untuk memenangi perlumbaan itu, dia tetap teruja kerana berpeluang menyertai perlumbaan larian menaiki tangga yang merupakan pengalaman baharu kepadanya. "Setiap peserta perlu melakukan persediaan rapi sebelum menyertai pertandingan ini. Jika tidak, mereka pasti terkandas di tengah jalan dan terlepas peluang menyaksikan panorama ibu kota dari aras 63 Menara Vista ini," ujar kakitangan swasta itu. Muhammad Amir menyertai kategori terbuka berkumpulan bersama kakaknya, Nur Raihana, 31, dan abang iparnya, Khairul Rahimi Abdul Rahim, 31. Menerusi kategori tersebut, setiap kumpulan yang mengandungi tiga orang ahli perlu menjelajah sekitar bangunan The Intermark dan menyelesaikan teka-teki serta cabaran fizikal sebelum menuju puncak Menara Vista. Walaupun kelihatan mudah, peserta perlu berfikir untuk menyelesaikan teka-teki dan pada masa sama menggunakan tenaga untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Menurut Muhammad Amir, setiap peserta perlu menyelesaikan teka-teki di setiap deretan premis perniagaan di tingkat bawah The Intermark. "Walaupun sukar untuk mencari jawapan, namun halangan itu kami berjaya selesaikan. Bagi saya, cabaran utama sepanjang pertandingan ini ialah ketika menaiki tangga. "Kami perlu berhenti di titik semak (checkpoint) di beberapa tingkat untuk melakukan cabaran salingan sebelum meneruskan perlumbaan," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas menamatkan perlumbaan. Kerjasama Mengulas lanjut, katanya, peserta dikehendaki menaiki tangga ke tingkat 21 dan melakukan cabaran memasukkan bulu tangkis ke dalam bekas dengan menggunakan papan dan memakan buah-buahan tanpa memegangnya. "Kami telah menggunakan banyak tenaga untuk menaiki tangga dan melakukan cabaran. Ia amat memenatkan," ujar Muhammad Amir. Beliau berkata, peserta dalam kategori terbuka berkumpulan juga boleh memilih cabaran lain ketika di checkpoint tingkat 21. "Peserta perlu meniup daun terup keluar daripada garisan dan meninggalkan empat kad yang sama dalam petak bagi tugasan pertama. "Bagi tugasan kedua pula, mereka perlu menyusun daun terup setelah diberi peluang untuk mengingatkan kedudukan asalnya selama seminit," ujarnya. Bagi Muhammad Amir, kerjasama merupakan kunci utama kepada setiap pasukan untuk melakukan tugasan sebelum sampai ke puncak Menara Vista. Walaupun tidak memenangi kategori yang disertai, baginya, pertandingan itu juga merupakan peluang untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli keluarga. BFM-The Intermark Race To The Top 2013 merupakan perlumbaan kali kedua yang dianjurkan oleh syarikat The Intermark Sdn. Bhd. selepas kejayaan pertandingan itu dua tahun lalu. Edisi kali ini juga merupakan kolaborasi julung-julung kalinya bersama stesen radio perniagaan, BFM89.9. Pertandingan yang dianjurkan pada 7 Disember lalu itu menarik penyertaan seramai 465 peserta dalam empat kategori iaitu terbuka korporat, berkumpulan terbuka, lelaki dan wanita. Kutip dana Selain menguji ketahanan mental dan fizikal peserta, pertandingan itu juga merupakan satu acara amal. Hasil kutipan bernilai RM131,636.50 daripada pihak penaja dan yuran penyertaan peserta diagihkan kepada lima buah rumah amal untuk kanak-kanak sekitar ibu kota iaitu Persatuan Kebajikan Rumah Jaireh, Rumah Juara, Shelter Home, Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang dan Yayasan Chow Kit. Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit, Tunku Abidin Tuanku Muhriz bertitah, dana yang disalurkan melalui perlumbaan itu sudah memadai untuk membantu operasi pertubuhan tersebut bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Titahnya, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat menambah dana untuk kegunaan operasi dan aktiviti pada masa hadapan. "Pihak kami amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak penganjur kepada rumah amal ini. "Yayasan Chow Kit memerlukan dana sebanyak RM1.2 juta setahun untuk program, aktiviti dan operasi," katanya. Para peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM89.90 untuk kategori individu lelaki dan wanita, sementara kategori terbuka berkumpulan dikenakan bayaran RM300 dan kumpulan korporat (RM1,500) bagi setiap kumpulan. Bagi kategori individu lelaki dan wanita, konsep pertandingan berbeza dengan berkumpulan. Bagi kategori tersebut, peserta tidak perlu menyelesaikan tugasan dan hanya fokus kepada perlumbaan menaiki tangga sehingga ke puncak Menara Vista. Bagi kategori ini, peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas dikira sebagai pemenang. Peserta dari Kenya, Collins Kipkorir Kimosop dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dengan catatan masa 9.09 minit, sementara kategori individu wanita dimenangi oleh Michele Tan Bee Kiang dalam masa 10.17 minit. Beri inspirasi Sementara itu, seorang peserta veteran yang menyertai kategori lelaki, Jesmail Singh, 75, berkongsi pengalaman, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan cara terbaik untuknya bertemu dan berkenalan dengan pelari-pelari muda dalam dan luar negara. Dia yang merupakan pelari maraton sejak 32 tahun lalu berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu merupakan salah satu cara untuk mengajak golongan muda menjalani gaya hidup sihat. "Saya juga telah menyertai pertandingan ini pada edisi pertama ia dianjurkan. Bukan niat saya untuk mencabar golongan muda yang menyertai pertandingan ini. "Sekiranya saya berupaya menaiki tangga sehingga ke puncak, mereka juga boleh melakukannya. Saya mahu memberi inspirasi kepada mereka," katanya. Sehubungan itu, beliau menasihati peserta agar membuat persediaan rapi terutama aspek stamina sebelum menyertai pertandingan itu. "Tanpa latihan yang cukup, peserta pasti tidak berjaya menamatkan perlumbaan. "Saya membahagikan dua teknik larian dalam rutin senaman harian. Pada sebelah pagi, akan berlari selama 30 minit, manakala sebelah petang pula, saya lebih tumpukan kepada kelajuan larian," jelas beliau. Bapa kepada lapan orang anak ini menegaskan, rutin larian itu merupakan teknik asas bagi peserta untuk menyertai perlumbaan menaiki tangga. Berasal dari Taman Tun Teja, Rawang, Selangor itu, Jesmail berjaya menamatkan perlumbaan BFM-The Intermark Race To The Top 2013 dengan catatan masa 20 minit. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |