Khamis, 16 Januari 2014
Gaji Minimum Swasta
PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang masih gagal melaksanakan perintah gaji minimum 2012, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib.
Katanya kerajaan telah memberi penangguhan pelaksanaan itu kepada majikan selama setahun bagi memberi mereka masa untuk menstruktur semula operasi.
"Sehingga akhir tahun lepas sebanyak 1,044 majikan memohon penangguhan gaji minimum terbabit supaya mereka dapat lihat balik struktur perniagaan mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu, hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Tenaga Kerja akan memantu dan mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal mematuhi perintah gaji minimum swasta iaitu sebanyak RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 sebulan bagi Sabah dan Sarawak.
"Setakat dua minggu pertama tahun ini sahaja sebanyak tiga kes siasatan disediakan bagi tujuan pendakwaan terhadap majikan di Selangor yang didapati gagal mematuhi perintah gaji minimum itu," katanya.
Mengikut Seksyen 43 Akta Majlis Perundangan Gaji Negara 2011, mana-mana majikan yang disabit kesalahan dalam tindakan pendakwaan akan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 ataua dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.
"Adalah diingatkan kepada semua majikan supaya memastikan pelaksanaan gaji minimum dipatuhi bagi mengelak sebarang tindakan diambil memandangkan bermula 1 Jan gerakan penguatkuasaan akan diadakan secara intensif dan menyeluruh di seluruh Malaysia, "katanya.
Katanya semakan semula kadar gaji minimum itu akan dilakukan oleh kerajaan pada 2015. - Bernama