Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Mu'adz Mahu Perluaskan Nasyid Menerusi Muzik Moden
- Dugaan Arja Lee, Ibu Sedang Kritikal
- Ella Jual Biskut Kesihatan Sempena Hari Raya
- Pasangan Amah Larikan Wang Pelakon 80-an, Nora Shamsuddin
- Judika Dipaksa Turun Berat Badan Sebelum Kahwin
- Ashraf nafi punca Wan Sakinah putus tunang
- Kaka tampil solo
- Duta LINE
- Putus tunang gara-gara Ashraf Muslim
- Dia pembohong - Ashraf
- Urus anak bersama suami
- Haida tolak cinta lelaki muda
- Menanti bunga bangkai mekar
- Bermain lumpur di Boryeong
- Baiki mesin jahit dalam masa satu jam
- Hamper raya inspirasi Quince KL
- 30 kerabu tradisional KLIH
- Subsidi yuran hantar anak ke Taska
Mu'adz Mahu Perluaskan Nasyid Menerusi Muzik Moden Posted: 22 Jul 2013 12:50 AM PDT Mu'adz, 34, berkata, dengan cara tersebut mesej kebaikan dan dakwah dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan meluas kepada masyarakat. "Konsep album berkenaan disusun dengan muzik yang moden supaya dapat memperluaskan dan menarik minat pendengar bukan sahaja yang sukakan kepada muzik nasyid tetapi secara keseluruhan. "Dengan cara ini Insya-Allah ia akan dapat memecahkan jurang yang terdapat kepada lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian dengan yang lain apabila muzik moden digunakan," katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini. Dalam perkembangan sama, Mu'adz yang bakal tampil dengan album keduanya berjudul Rindukan Cahaya dalam masa terdekat ini memberitahu bertuah mendapat kerjasama Noe daripada kumpulan Letto untuk menerbitkan album terbaharunya itu. Jelas Mu'adz, muzik yang dihasilkan oleh Noe berbeza tanpa meninggalkan trend semasa dalam memberikan kesegaran kepada muzik nasyid yang dibawanya. Tambah Mu'adz, dia mengambil masa selama hampir dua bulan merakamkan album tersebut di Yogyakarta yang bakal memuatkan lima buah lagu. Pernah melahirkan sebuah album berbentuk pendidikan pada tahun 2006, Mu'adz bagaimanapun berkata ia tidak begitu berjaya mengangkat namanya sebaris dengan artis lain dan mengakui hampir berputus asa dengan kerjaya nyanyiannya. Graduan bidang Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, sepanjang tujuh tahun menyepikan diri, dia banyak mengintai peluang bagi merialisasikan impiannya dalam bidang muzik. "Ada penerbit yang ingin bantu menerbitkan album terbaharu tetapi saya tidak yakin tambahan pula keadaan industri muzik dan penjualan album yang lembab ketika itu. "Bagaimanapun rezeki bertemu dengan Alibi Music telah meyakinkan saya untuk menerbitkan album kedua," jelasnya. Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut adalah Rindukan Cahaya, Sambutlah, Keampunan dan Ketika Mencinta. | |||
Dugaan Arja Lee, Ibu Sedang Kritikal Posted: 22 Jul 2013 12:48 AM PDT Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, dia dan adik beradiknya yang lain bagiamanapun sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku terhadap ibunya. "Siapa yang ingin kehilangan ibu tetapi kami adik beradik sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana ibu sudah bertahan selama 13 tahun menentang penyakit berkenaan. Kondisinya kali ini paling teruk," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad. Arja berkata, ibunya dipindahkan daripada Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Hospital Selayang sejak Disember tahun lalu selepas kanser berkenaan telah merebak ke bahagian lain. Jelas Arja, ibunya ditempatkan di Palliative Care Unit (PCU) hospital berkenaan namun keadaannya bertambah tenat sejak dua minggu lalu. "Kami mengharapkan keberkatan bulan Ramadan ini akan memberi kekuatan kepada ibu untuk sembuh bagaimanapun jika sudah tertulis ajalnya sampai pada bulan mulia ini, saya reda," ujarnya. Dalam perkembangan sama, Arja berkata, dia sangat bertuah apabila pihak penerbit sangat memahami situasinya sekarang dan memberi kelonggaran kepadanya untuk menyusun jadual supaya memudahkannya berulang alik untuk menjaga ibunya. Bagaimanapun kata Arja, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan pihak lain. "Di saat rezeki saya dalam bidang lakonan sedang mencurah-curah, saya turut diuji dengan dugaan namun sebagai seorang anak sudah tentu saya mahu sentiasa berada di sisi ibu yang sedang sakit tenat. "Pada masa sama juga saya kalau boleh tidak mahu menyusahkan pihak lain tetapi saya bersyukur kerana pihak produksi sangat memahami situasi saya," katanya. | |||
Ella Jual Biskut Kesihatan Sempena Hari Raya Posted: 22 Jul 2013 12:46 AM PDT Ella, 47, berkata, dia memilih untuk menjual biskut kesihatan kerana ia jarang dilakukan oleh orang lain selain sikapnya yang memang sentiasa mementingkan pemakanan sihat. "Sebelum berani menjual biskut berkenaan Ella cuba terlebih dahulu selain menkaji bahan-bahan digunakan sebelum mengambil keputusan untuk berniaga. "Alhamdulillah suami pun turut menyokong malah dia juga turut menyukai biskut berkenaan," jelasnya kepada mStar Online. Biskut yang diberi nama Ella Cookies itu tampil dengan empat perisa iaitu kismis, kelapa, kurma dan badam. Ia menggunakan oat sebagai bahan utama pembuatannya. Dalam perkembangan sama, Ella berkata, dia juga berhasrat untuk meneruskan perniagaan Ella Cookies selepas musim perayaan dengan mempelbagaikan produk yang berasaskan oat. Jelas Ella, dia mahu mengeluarkan snek berkhasiat dan pada masa sama mendidik masyarakat tentang pemakanan sihat. "Ella sangat optimis dengan projek ini dan berharap ia akan menjadi kenyataan," katanya. Dalam perkembangan lain, Ella berkata, dia kini sedang berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga dan suami dan akan kembali sibuk selepas Hari Raya kelak. Kata Ella, dia bakal muncul dengan beberapa siri konsert solo dan akustik dan memberitahu tidak sabar untuk bertemu dan menghiburkan para peminatnya. Sementara itu, Ella berkata, Aidil Fitri tahun ini dia akan menyambutnya di kampung halaman suaminya di Muar, Johor. | |||
Pasangan Amah Larikan Wang Pelakon 80-an, Nora Shamsuddin Posted: 22 Jul 2013 12:40 AM PDT Laporan Harian Metro, beliau hanya mengetahui kehilangan wang itu pada Rabu lalu sebelum pasangan pembantu rumahnya yang dikenali sebagai Heri dan Viji melarikan diri. Wang tersebut disimpan didalam bilik tidurnya selepas diambil dari bank seminggu lalu untuk kegunaan Ramadan dan meraikan anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan. "Selepas mendapati wang itu hilang, saya maklumkan kepada ibu dan pasangan pembantu rumah ituyang berada di ruang tamu dan riaksi mereka seperti kurang senang. "Sebaik megetahu perbuatan mereka terbongkar, mereka melarikan diri," katanya. Menurutnya, sebelum itu, dia bercadang memanggil polis untuk membuat siasatan berhubung kehilangan wang itu, namun pasangan itu terlebih dahulu melarikan diri. Beliau yang pernah membintangi beberapa filem termasuk Sikit Punya Gila, Dendam Dari Pusara, Darah Satria dan Aku Yang Berhormat berkata, kejadian ini merupakan pertama kali terjadi selepas beberapa bulan pasangan itu bekerja dengannya. Tambahnya, laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya pada Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Kominsioner Yahaya Ramli mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan. | |||
Judika Dipaksa Turun Berat Badan Sebelum Kahwin Posted: 22 Jul 2013 12:39 AM PDT Judika berkata, dia dan bakal isterinya akan lebih kerap melakukan senaman bagi memastikan mereka kelihatan segak dan bergaya pada hari bahagia itu nanti. "Semua ini gara-gara baju kahwin kami tidak muat ketika mencubanya baru-baru ini dan sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan kami kelihatan hebat pada majlis itu nanti. "Saya dan Duma akan bersenam lebih giat dan akan lebih banyak bermain bola selepas ini bagi mengurangkan berat badan," katanya. Dalam pada itu, Judika berkata, persiapan perkahwinannya sudah 90 peratus siap dan seperti lelaki lain dia mengakui berdebar menunggu hari bahagia tersebut. | |||
Ashraf nafi punca Wan Sakinah putus tunang Posted: 22 Jul 2013 12:38 AM PDT Semalam, seorang lelaki yang mengaku bekas tunang Sakinah tampil dalam rancangan Melodi memberitahu tentang Ashraf menjadi penyebab putusnya pertunangan mereka. Ashraf menegaskan dia tidak pernah menjalin hubungan sulit bersama Sakinah sewaktu wanita itu sedang dalam tempoh bertunang. "Pembohong lelaki itu. Mereka putus tunang tiada kena mengena dengan saya. Itu (putus tunang) cerita lama mereka dan tak ada kena mengena dengan saya. "Saya sedih apabila perkara sebegini timbul," katanya dipetik dari Kosmo. Ashraf juga meminta agar tidak diungkit cerita-cerita lama memandangkan dirinya sudah berkahwin dengan Sakinah. "Apa yang boleh saya katakan di sini, saya sudah pun berkahwin, jadi tak perlulah ungkit cerita lama seperti ini. Jangan juga cari jalan atau ambil kesempatan untuk jatuhkan maruah kami semua. "Apabila terlalu ramai yang cuba ambil 'bahagian' dalam hal rumah tangga saya, saya jadi sedih. Ini hal rumah tangga saya. Dengan rendah hati, saya harap semua pihak dapat menghormati saya dan tidak masuk campur dalam hal ini," katanya. Sebelum ini, Ashraf dan Sakinah menggemparkan industri hiburan tanah air apabila berkahwin di Thailand pada 7 Julai lalu. Bapa mertuanya, Lokman Abdul Hamid, 54, tampil memberikan kenyataan bahawa Dayana tidak pernah reda dengan pernikahan kedua Ashraf. Ashraf dan Dayana bernikah di Makkah pada 30 Ogos 2011. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:36 AM PDT Kaka atau nama penuhnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 24, berkata, single yang bakal keluar itu adalah merupakan lagu pertama yang dibawa secara solo. "Untuk single baru ini Zizan tidak lagi terlibat seperti lagu-lagu kolaborasi kami sebelum ini. Boleh dikatakan ini adalah single solo pertama saya. "Lebih kepada rentak Balada dan R&B dan ia bakal menguji vokal saya sepenuhnya. Saya harap dengan kehadiran lagu ini peminat akan lebih tahu saya juga berkemampuan membawa nyanyian solo dan bukannya duet saja," katanya. Dalam pada itu, Kaka memberitahu single pertamanya yang akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri itu adalah merupakan ciptaan komposer baru, Q.Z. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:34 AM PDT Difahamkan, pelantikan itu adalah kali pertama yang melibatkan selebriti tempatan di mana sebelum ini, aktor dan penyanyi bertaraf antarabangsa, Choi Siwon (Siwon) dipilih sebagai dutanya. Bagaimanapun, majlis pelantikan ini dikhabarkan akan diadakan dalam masa terdekat dan pada masa yang sama iklan komersial yang menampilkan Neelofa untuk LINE akan disiarkan di televisyen, Billboard dan sebagainya. Bagi perkembangan lain, Neelofa juga bakal muncul menerusi Kecoh Pengacara Beraya di mana ia turut menampilkan beberapa pengacara lain seperti Fara Fauzana, Scha Al-Yahya, Amyza Adnan, Zizan Razak, Awal Ashaari, Faizal Ismail serta Kamal Adli. | |||
Putus tunang gara-gara Ashraf Muslim Posted: 22 Jul 2013 12:31 AM PDT Ini kerana, Ashraf bukan sahaja dikatakan kahwin kali kedua tanpa keizinan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26, malah turut didakwa punca berlakunya putus tunang antara Sakinah dengan bekas tunangnya. Melalui rancangan Melodi di TV3, bekas tunang Sakinah, 29, yang tidak mahu dinamakan telah muncul memberitahu tentang pertunangannya dengan wanita itu yang sebelum ini terputus gara-gara Ashraf, 32, menjalinkan hubungan dengannya. Beliau turut mendakwa yang hubungan Ashraf dengan Sakinah terjalin sewaktu pelakon itu masih bergelar tunang kepada isteri pertamanya, Dayana. "Rasanya hubungan antara Sakinah dengan Ashraf bermula bukan sembilan bulan selepas Ashraf berkahwin, malah sebelum dan semasa Ashraf dalam pertunangan dengan tunangnya (Dayana) dan saya dan Sakinah masih bertunang. "Pada masa itu saya memang frust (kecewa), kerana saya sudah hampir berkahwin. Memang takdir telah menentukannya tapi macam mana takdir pun mesti ada sebab dan alasannya dan salah satu sebab pertunangan kami terputus kerana dia (Sakinah) ada hubungan dengan Ashraf "Dan pertunangan saya dan Sakinah terputus 25 hari sebelum mereka melangsungkan perkahwinan," katanya. Bagaimanapun, bekas tunang Sakinah itu tetap menarik nafas lega apabila apa yang diperkatakannya sebelum ini bukanlah fitnah sebaliknya kenyataan. "Alhamdulillah, apa yang Ashraf nafikan sebelum ini akhirnya terbongkar. Apa yang pernah saya suarakan sebelum ini dipersoalkan oleh orang luar sama ada saya memfitnah, tapi sekarang sudah terbukti. "Sebelum ini apa yang saya cakap tidak dipercayai orang lain kerana mereka menganggap Ashraf seperti ustaz, tapi Alhamdulillah, akhirnya terbongkar," ujarnya yang turut bersimpati dengan apa yang terjadi kepada Dayana. Tidak berdendam dengan Sakinah meskipun hubungan yang terjalin tidak ke jinjang pelamin, beliau tetap mendoakan kebahagiaan Ashraf dan Sakinah sehingga ke akhir hayat. Namun, apa yang diharapkan oleh beliau agar Ashraf tidak lari dengan apa yang berlaku sebaliknya bersikap seperti lelaki budiman kerana apa yang dilakukan (berpoligami) tidak salah. "Ashraf patut berterus terang dan sedia menghadapi pihak media dan orang ramai," jelas beliau. Sebelum ini, Ashraf dan Sakinah mengemparkan industri hiburan tanah air apabila dikatakan kahwin lari di Thailand pada 7 Julai lalu. Bapa mertuanya, Lokman Abdul Hamid, 54, tampil memberikan kenyataan bahawa Dayana tidak pernah reda dengan pernikahan kedua Ashraf. Ashraf dan Dayana bernikah di Makkah pada 30 Ogos 2011, namun sehingga kini mereka masih belum dikurniakan zuriat. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:28 AM PDT
RAMADAN tahun ini barangkali Ramadan paling banyak onak yang harus ditelan oleh pelakon Ashraf Muslim, 32. Semuanya gara-gara kisah sensasi perkahwinan keduanya yang terbongkar selepas isteri pertamanya, Dayana Lokman, 26, menemui butiran dan dokumen perkahwinannya bersama Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, di Bangkok, Thailand di dalam beg pakaiannya minggu lalu. Sekadar rekod, Ashraf dan isteri pertamanya, Dayana telah berkahwin pada tahun 2011 di Mekah manakala dia kemudian berkahwin secara senyap di Thailand dengan Wan Sakinah pada 7 Julai lalu, sehari sebelum Ramadan. Terus-menerus menerima tohmahan dan persepsi yang pelbagai daripada masyarakat, Ashraf bagaimanapun sedikit pun tidak lari daripada dunia realiti. Namun, akuinya, sesekali dia mengelak untuk memberi kenyataan kepada pihak media kerana bimbang disalah tafsir. Bagaimanapun, untuk isu seperti yang ditimbulkan oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bekas tunang isteri keduanya, Wan Sakinah, dia perlu menjawab hal tersebut.
Bukan untuk menegakkan benang yang basah, sebaliknya Ashraf tampil menafikan tohmahan dia sebagai penyebab lelaki itu dan Wan Sakinah putus tunang. Malah, Ashraf meminta agar masyarakat tidak terlalu ikut campur dalam urusan rumah tangganya. Sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berani untuk berpoligami, dia mahu meledani segala kemungkinan dalam kehidupan dan rumah tangganya sendiri. Ashraf menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh Kosmo! kepadanya sambil menegaskan, dia tidak pernah menjalin hubungan sulit bersama Wan Sakinah sewaktu wanita itu sedang dalam tempoh bertunang. Kosmo!: Bagaimanakah dengan keadaan Ashraf sekarang? ASHRAF: Alhamdulillah, walaupun masih ada yang berterusan bercakap tentang saya, kehidupan saya sangat tenang dan jujurnya juga, dalam situasi sekarang, saya perlu lebih banyak bersabar.
Belum pun reda isu anda berkahwin dua, kini timbul pula isu baharu. Ahad lalu, seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai bekas tunang kepada isteri kedua anda, Wan Sakinah. Dia memberitahu pertunangan mereka putus 25 hari sebelum mereka berkahwin kerana Wan Sakinah menjalinkan hubungan sulit bersama anda. Boleh anda jelaskan tentang pertuduhan tersebut? Pembohong lelaki itu! Mereka putus tunang tiada kena mengena dengan saya! Itu (putus tunang) cerita lama mereka dan tak ada kena mengena dengan saya. Saya sedih apabila perkara sebegini timbul. Bagaimana boleh anda simpulkan tentang terlalu banyak spekulasi yang melanda anda sekarang terutama apabila ada individu seperti lelaki tersebut yang muncul mengaku sebagai bekas tunang isteri kedua anda? Apa yang boleh saya katakan di sini, saya sudah pun berkahwin, jadi tak perlulah ungkit cerita lama seperti ini. Jangan juga cari jalan atau ambil kesempatan untuk jatuhkan maruah kami semua. Apabila terlalu ramai yang cuba ambil 'bahagian' dalam hal rumah tangga saya, saya jadi sedih. Apa yang ingin anda sampaikan kepada masyarakat, terutama kepada segelintir pihak yang suka mereka-reka cerita tentang perkahwinan kedua anda? Ini hal rumah tangga saya. Dengan rendah hati, saya harap semua pihak dapat menghormati saya dan tidak masuk campur dalam hal ini. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:27 AM PDT
MEMORI Ramadan ketika berada di kota Madinah dan Mekah pada tahun 2011 membuatkan hati pelakon dan pengacara cantik, Irma Hasmie, dijentik perasaan sayu dan rindu yang mendalam. Bagi figura berusia 31 tahun itu, perasaan syukur dan nikmat tatkala mengerjakan umrah pada dua minggu terakhir Ramadan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Luahnya, segala memori ketika berada di kota Mekah dan Madinah masih utuh di dalam kotak fikirannya sehingga kini. "Mengerjakan umrah pada dua minggu terakhir Ramadan bersama sahabat baik, Eenaz Mokhtar pada tahun 2011 membuatkan saya berasa sangat rindu. "Itulah kali pertama saya menikmati suasana Ramadan di Mekah dan Madinah bersama saudara Islam dari pelbagai negara menjalankan ibadah seperti tarawih dan qiam," ulas pelakon yang mempunyai diploma dalam jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu. Walau bagaimanapun, lain pula suasana Ramadan Irma pada tahun ini apabila dia tidak lagi menyambutnya berdua bersama suami, Redza Syah Irfhan seperti tahun lalu. Sebaliknya, kali ini Ramadan dinikmati bertiga dengan kehadiran zuriat sulung mereka, Reza Syah Irfhan. Di samping perlu menjaga Irfhan dan juga melakukan kerja sebagai anak seni, pelakon drama Awan Dania itu mengakui, perlu menguruskan masa dengan baik bagi melaksanakan tanggungjawabnya terhadap penciptanya. "Bulan Ramadan tahun ini saya tetap bekerja seperti biasa tetapi akan banyak luangkan masa di rumah bersama keluarga dan keluarga mertua. "Begitupun, fokus saya lebih kepada mengerjakan ibadah pada bulan Ramadan yang penuh barakah," jelasnya. Rezeki bangun sahur Mengulas lanjut mengenai Ramadannya tahun ini, ujar Irma, dia menganggap bangun sahur setiap hari memberikan banyak keuntungan kepada dirinya, juga kepada umat Islam yang melaksanakannya. Baginya, sahur yang dinikmati bersama suami bukan sahaja memberinya kekenyangan, sebaliknya memberinya kekuatan untuk mengerjakan ibadah di bulan Ramadan. "Nabi SAW pernah berkata, sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur," tuturnya yang sudah menerbitkan sebuah buku hasil nukilan dirinya sendiri.
Berbicara lanjut mengenai buku hasil tulisannya itu, ujar Irma, dia bersyukur kerana buku berjudul Smile, nukilannya bersama penulis Zambri Mohd. itu sudah diulang cetak sebanyak dua kali. Selain itu, jelas Irma, dia juga baru menceburi dunia perniagaan busana Muslimah, Debumas sejak awal Jun lalu. "Idea untuk membuka perniagaan busana Muslimah ini timbul atas permintaan ramai. "Ini kerana sebelum ini ramai yang datang kepada saya dan beritahu mereka suka jubah yang saya pakai. Mereka tanya beli di mana dan saya kata ia adalah hasil rekaan sendiri. "Jadi, sejak itu saya mula terdetik untuk membuka perniagaan busana Muslimah. Saya reka dan kemudian hantar pada tukang jahit. Setiap rekaan adalah eksklusif dan hanya ada tiga warna. "Setakat ini Alhamdulillah, rekaan jubah saya mendapat sambutan yang mengalakkan. Harganya sekitar RM100 hingga RM200. Kini kami masih dalam proses untuk mengeluarkan stok baharu," katanya. Tiada pengasuh Walaupun tiada pembantu rumah juga pengasuh, namun tidak menjadi masalah besar buat Irma dan suami untuk menjaga anak sulung mereka itu yang kini mencecah usia tiga bulan.
Sebaliknya, mereka bergilir-gilir menjaga bayi mereka. Semuanya berkat permintaan suami Irma yang mahu anak mereka dijaga sendiri tanpa bantuan pengasuh. "Alhamdulillah, saya belajar uruskan anak sendiri. Kami tidak ambil pembantu. "Saya bersyukur kerana memperoleh anak yang baik dan tidak kuat meragam. "Waktu berjaga dia, sebelah pagi selepas subuh sampai waktu tengah hari. Kemudian dia akan mula berehat. "Sebelah malam pula selalunya Irfhan akan bangun untuk menyusu dua atau tiga kali. Selebihnya dia akan tidur. "Jika pada waktu saya mengendalikan program Assalamualaikum, suami akan jaga anak. Tamat program pada pukul 10 pagi saya akan pulang menjaga Irfhan pula," jelasnya. Mengulas lanjut, menurut Irma, Irfhan menyusu badan, jadi dia tidak boleh meninggalkan anaknya dalam tempoh waktu yang panjang. Disebabkan itu juga, dia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan kepada anaknya yang masih menyusu badan. Ditebak mengenai perkembangan anaknya, ulas Irma, anaknya itu sudah pandai meniarap dan ketawa apabila diagah. Bekerja di Aidilfitri Keinginan untuk menyambut Syawal bersama anak dan suami tidak tercapai apabila Irma diminta bertugas secara langsung untuk TV Al Hijrah. "Pada pagi 1 dan 2 Syawal saya kena bekerja, bersiaran langsung untuk TV Al Hijrah. "Pada 3 Syawal nanti baru saya dapat pulang ke kampung," ujarnya yang mengakui sangat menggemari hidangan rendang ayam ketika raya. Menyingkap mengenai kehidupan seninya sejak bergelar ibu, Irma kini dilihat semakin kurang berlakon. Ditebak sama ada sudah mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan, ujar Irma, dia masih lagi berlakon dan bakal aktif semula berlakon selepas Ramadan nanti. "Saya masih berlakon, cuma saya baru sahaja habis berpantang 100 hari. Insya-Allah, saya akan mula menerima balik tawaran selepas Ramadan nanti. "Memang saya rindu sangat mahu berlakon tetapi saya harus mengutamakan keluarga dan ibadah di bulan Ramadan dulu," ulasnya yang turut mengendalikan program khas bertemakan Ramadan berjudul Satu Perjuangan. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:26 AM PDT
SEBELUM ini nama Haida Hafiz pernah dikenali ramai menerusi Dikir Rambong dan Zapin Usik Mengusik bersama kumpulan Senario pada akhir 90-an tetapi namanya tenggelam setelah mendirikan rumah tangga. Setelah hampir 12 tahun menyepikan diri daripada dunia hiburan tempatan, Haida atau nama sebenarnya, Noor Haida Mohd. Idris kini muncul dengan buah tangan terbaharu dengan single berjudul, 5 Tahun Saja. Haida yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! berkata, dia tidak menyangka sama sekali bahawa kemunculannya semula dengan lagu baharu mendapat maklum balas positif daripada peminat. Ujarnya, sejak lagu berkenaan mula diputarkan di stesen-stesen radio dan laman YouTube empat bulan lalu, semakin ramai pendengar yang menggemari lagu hasil ciptaan Panji Sakti itu. "Saya sudah meninggalkan dunia hiburan ini dalam tempoh yang agak lama. Jadi, saya terpaksa bermula dari bawah semula dan perlu berusaha keras agar peminat lebih mengenali saya. "Walaupun sudah lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu tetapi untuk lagu 5 Tahun Saja ini sudah mula mendapat tempat dan yakin lagu ini mampu menaikkan nama saya semula," jelas ibu kepada seorang cahaya mata bernama Muhammad Al Hafiz Aminuddin, 7. Bercerita lanjut mengenai lagu berkenaan, Haida menjelaskan, dia memilih Panji Sakti sebagai pencipta lagu kerana tertarik dengan lagu-lagu yang dihasilkan komposer tersebut untuk beberapa orang penyanyi seperti Aliff Aziz dan Alif Satar sebelum ini. Kemudian pada tahun lalu, dia dapat berjumpa sendiri dengan Panji dan akhirnya komposer itu bersetuju menghasilkan lagu buat dirinya dan proses rakaman pula dilakukan di Bandung, Indonesia. "Pertama kali mendengar lirik lagu ini saya sudah tertarik dengan melodinya. Lirik pula saya meminta Panji untuk membuat sedikit rombakan agar lebih mudah difahami pendengar.
"Lagu ini berkisarkan tentang seorang wanita yang jatuh cinta dengan lelaki yang lima tahun lebih muda manakala muziknya pula lebih kepada rentak rock moden," ujar penyanyi berusia 32 tahun itu. Ketika ditanya sama ada lagu tersebut mempunyai kaitan dengan dirinya, memandangkan statusnya kini sebagai seorang ibu tunggal, Haida sekadar mengukir senyuman sehingga menimbulkan sedikit tanda tanya. Penyanyi tersebut mendedahkan selama tiga tahun hidup secara solo, tidak dinafikan memang ada beberapa lelaki muda yang cuba mendekatinya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius. "Memang ada lelaki muda yang cuba ingin rapat tetapi saya menolaknya dengan cara baik. Bukannya terlalu memilih tentang pasangan hidup, cuma saya memang tidak berminat untuk bercinta dengan lelaki yang lebih muda daripada saya," jelasnya. Ujarnya lagi, memandangkan lagu berkenaan semakin mendapat sambutan yang menggalakkan, sebuah klip video telah siap dihasilkan dan bakal ditayangkan kepada umum selepas Aidilfitri nanti. Fokus kerjaya Ketika ini ramai yang sudah mengetahui bahawa Haida pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas penerbit rancangan televi- syen, Aminudin Yahya pada tahun 2004 tetapi bercerai tujuh tahun kemudian. Apabila ditanya sama ada dia bersedia untuk mencari pengganti setelah tiga tahun menjanda, penyanyi itu menyatakan pertemuan dan jodoh merupakan ketentuan Allah. "Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran tertentu untuk berkahwin semula. Kalau ditakdirkan bertemu dengan lelaki yang sesuai, mungkin saya tidak menolaknya. "Namun begitu, buat masa ini saya lebih suka sekiranya dapat menumpukan kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu memandangkan saya baru sahaja membuat kemunculan semula," jelasnya. Ujarnya, dia meletakkan harapan yang tinggi agar dengan kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian ini akan terus diterima ramai serta mampu menarik minat pendengar dengan lagu-lagu yang dihasilkannya nanti. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:18 AM PDT WASHINGTON - Taman Botani Amerika Syarikat (USBG) kini menunggu untuk bunga bangkainya berkembang buat kali pertama. Bunga bangkai atau Titan Arum menjadi tarikan ramai pengunjung apabila tumbuhan itu mekar dan mengeluarkan bau busuk seperti bangkai haiwan atau mayat. Tumbuhan yang berasal dari Indonesia itu memiliki ketinggian beberapa meter dan amat jarang mekar. Bunga bangkai yang ditanam di USBC itu sudah berusia 10 tahun dan menunjukkan tanda-tanda ia akan mekar. "Titan Arum tidak mempunyai kitaran mekar tahunan. Agak sukar untuk meramal bila bunga bangkai akan mekar kerana bunga ini mengambil masa antara beberapa tahun hingga dekad sebelum mengembang," kata USBG dalam satu kenyataan. Bunga bangkai pertama kali ditemui di hutan hujan Sumatera pada 1878. Bunga bangkai mekar selama 24 hingga 48 jam sebelum tumbuhan tersebut mati. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:17 AM PDT BORYEONG, Korea Selatan - Terkenal sebagai antara lokasi lumpur terbaik di dunia, Festival Lumpur Boryeong bermula di Pantai Daecheon di sini pada Jumaat lalu. Bandar ini terletak kira-kira 190 kilometer ke barat daya ibu kota Korea Selatan, Seoul. Acara 10 hari itu yang menampilkan hampir 60 program menjadi antara daya tarikan utama kepada pelancong untuk melawat Korea Selatan. Festival itu menampilkan pelbagai aktiviti unik seperti urut lumpur, pertandingan foto lumpur, pameran kosmetik lumpur dan parti irama hip-hop. Konsert pembukaan festival itu pada Jumaat lalu pula menampilkan barisan penyanyi terkenal Korea Selatan seperti Ulala Session dan Dal Shabet. Tiket untuk festival tersebut pula dijual pada harga 10,000 won (RM28.45) untuk pengunjung dewasa dan 8000 won (RM22.75) bagi remaja. | |||
Baiki mesin jahit dalam masa satu jam Posted: 22 Jul 2013 12:15 AM PDT
DUA puluh tujuh tahun lalu, seorang anak muda dari pekan kecil Taiping, Perak sanggup memperjudikan nasib merantau ke bumi Singapura. Dengan hanya berbekalkan pendidikan Tingkatan Dua, anak muda itu, Eddie Liew tidak mempunyai banyak pilihan, melainkan bekerja sebagai operator di sebuah kilang pembuatan mesin jahit. Empat tahun bergelar perantau, Eddie mula merasai tekanan hidup, ekoran kos sara hidup yang tinggi di negara bekas persekutuan Tanah Melayu itu. Akhirnya, dia memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai penjaga stor. Selang beberapa bulan, semangat Eddie diuji sekali lagi. Menyedari kerjaya yang dipilihnya tidak menjamin masa depan, dia memutuskan untuk mencuba nasib di Negeri Bawah Bayu, Sabah. Bermula sebagai seorang jurujual yang menuntutnya berjalan di setiap ceruk bandar mahupun desa, Eddie mula merasai keunikkan masyarakat Sabah yang begitu cintakan seni menjahit. "Setiap rumah yang saya jejaki, saya akan lihat sebuah mesin jahit. Firasat awal saya merasakan yang masyarakat Sabah khususnya kaum ibu yang mendiami kawasan kampung memang sukakan aktiviti menjahit," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. Eddie kemudian mengambil keputusan untuk mempraktikkan kembali segala ilmu yang diperoleh ketika berkerja sebagai operator di sebuah kilang mesin jahit di Singapura lalu. Bermula saat itu, Eddie tidak pernah menoleh ke belakang, malah terus menggunakan kemahiran yang ada untuk menguasai pasaran mesin jahit sekitar Kota Kinabalu. Hakikatnya, kemahiran luar biasa yang dimiliki Eddie dalam kerja-kerja membaiki mesin jahit telah memberikan rezeki lumayan kepadanya. Malah, dia dianggap pakar kerana mampu membaiki sebuah mesin jahit rosak hanya dalam masa 60 minit. Naik motor 100 kilometer Bercerita lanjut, Eddie yang juga pemilik kedai Tukang Mesin Jahit Hong Meng di Kota Kinabalu mengakui perjuangannya untuk sampai ke tahap hari ini bukanlah semudah yang disangka. "Sebaik menyedari peluang yang ada, saya memulakan perkhidmatan membaiki mesin jahit dengan berkunjung dari rumah ke rumah pada sekitar tahun 1993 memandangkan ketika itu saya tidak mempunyai premis. "Saya akan menunggang motosikal setiap hari dan bertanyakan kepada orang kampung. Jika ada sebarang kerosakan, saya akan cuba membaikinya pada hari itu juga dengan kos perkhidmatan sebanyak RM25," ujarnya yang kini berusia 47 tahun. Bagaimanapun, ayah kepada empat cahaya mata itu tetap sedar kerjaya yang dipilihnya menuntut kesabaran dan kemahiran tinggi. "Paling jauh, saya pernah menerima panggilan adalah daripada seorang pelanggan di Beaufort yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu. Saya terpaksa menempuh cuaca hujan kira-kira tiga jam sebelum sampai ke sana. "Semua yang saya lakukan adalah untuk memberi kepuasan kepada pelanggan kerana mereka adalah sumber rezeki saya," tambahnya. Menurut Eddie, perkhidmatan dengan cara dari rumah ke rumah itu dilakukannya hampir enam tahun sebelum memutuskan untuk menyewa sebuah kedai kecil yang terletak di Jalan Gaya pada tahun 1999. Kedai itu diberi nama kedai Tukang Mesin Jahit Hong Meng. Baiki mesin berusia 120 tahun Dibantu oleh isteri tercinta, Wong Lew Fong, 33, kemahiran Eddie dalam kerja-kerja membaiki mesin jahit berjaya menarik minat ramai pelanggan sekali gus menjadikan premis perniagaaannya sebagai pilihan. Jelas Eddie, kebanyakan kerosakan yang dikesan pada mesin jahit adalah pada bahagian timing (pemasaan) yang menyebabkan mesin tersebut gagal berfungsi dengan baik. "Sama ada menggunakan mesin jahit jenis mudah alih atau mesin industri, masalah timing memang biasa berlaku. Biasanya masalah timing hanya boleh diselaraskan oleh mereka yang berpengalaman. "Ada juga pelanggan yang mengadu berkaitan masalah jarum, selain alat komponen elektrik dalam mesin telah rosak. Semuanya boleh dilakukan dan dibaiki di kedai kami," tambahnya. Bagi kes tertentu, Eddie yang dibantu 13 pekerja teknikal di kedainya mengakui pernah membaiki mesin jenama Singer yang telah berusia 120 tahun. "Fungsi bagi setiap komponen dalam mesin jahit tetap sama. Apa yang membezakannya adalah model dan pengeluarnya. Saya banyak membaiki mesin jahit lama termasuklah yang berusia 120 tahun. "Selepas boleh digunakan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk membeli mesin itu untuk diletakkan di ruang pameran. "Setakat ini, saya mempunyai lebih daripada 10 koleksi mesin jahit lama berusia lebih 50 tahun termasuk yang digunakan untuk menjahit guni," katanya. Dalam pada itu, rata-rata pelanggan di kedai Tukang Mesin Jahit Hong Meng melahirkan rasa kagum dengan kemahiran yang dimiliki Eddie dalam membaiki mesin jahit. Seorang pelanggan, Noranita Awang, 32, menyifatkan perkhidmatan yang diberikan Eddie dan pekerjanya sangat profesional. "Untuk mencari kedai yang menjual mesin jahit memang senang, tetapi untuk mencari individu mahir dalam membaiki mesin jahit bukanlah satu kerja yang mudah. "Tambahan pula kos serta perkhidmatan yang disediakan di kedai ini sangat berpatutan," katanya.
Paling penting kata beliau, segala komponen mahupun peralatan berkaitan mesin jahit tidak kira mesin lama ataupun baharu ada dijual di kedai Eddie. Seorang pekerja Eddie, Ajit Vincent, 33, menjelaskan, majikannya itu merupakan seorang 'tenaga pengajar' yang serba boleh. "Untuk menjadi seorang yang mahir dalam kerja-kerja membaiki mesin jahit, ia memerlukan banyak latihan. Kami terlebih dahulu diajar untuk mengenal komponen yang ada pada mesin jahit dan fungsinya. "Daripada itu, barulah kami diajar bagaimana untuk membaiki kerosakan pada mesin terutamanya dalam menentukan timing," katanya. Buka cawangan di Indonesia Sementara itu, Lew Fong yang berasal dari Kuching, Sarawak merupakan tulang belakang dalam kerjaya Eddie sebagai tukang mesin jahit. Menurut Lew Fong, dia mula mengenali suaminya itu ketika mereka sama-sama menguruskan kedai mesin jahit sekitar tahun 1990-an. "Tugas saya ketika itu adalah menjaga kedai sementara Eddie pula akan membaiki mesin jahit. Kami bermula dari kosong sehinggalah dapat membuka satu lagi cawangan di daerah Keningau," ujarnya. Bercerita lanjut, Lew Fong mengakui dia dan suaminya kini dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan di Indonesia berdasarkan permintaan tinggi terhadap mesin jahit di negara itu. "Lagipun, pelanggan kami bukan sahaja datang dari sekitar Kota Kinabalu, tetapi ada juga pelanggan dari Brunei dan Sarawak yang datang ke kedai kami sama ada mahu membeli atau membaiki mesin jahit," kongsinya. | |||
Hamper raya inspirasi Quince KL Posted: 22 Jul 2013 12:14 AM PDT
MEMILIKI Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pemasaran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional, Fuza Umar, 29, berusaha menggunakan ilmu yang diperoleh untuk menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya. Selepas tamat pengajian, Fuza mencari pengalaman dengan bekerja sebagai pegawai pemasaran yang menganjurkan pelbagai acara sebelum akhirnya membuat keputusan untuk terjun dalam dunia perniagaan. Wanita kecil molek itu kemudian memulakan bisnes kedai bunga yang menyediakan perkhidmatan penghantaran lantaran minatnya terhadap bunga sejak kecil. Kini, selepas tiga tahun beroperasi dengan modal permulaan sebanyak RM70,000, butik yang dinamakan Quince KL itu semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemarnya. "Biasanya untuk servis mingguan, kami akan menggubah bunga di pejabat-pejabat korporat dan syarikat swasta. Bekalan bunga pula diperoleh setiap hari melalui pembekal yang diimport dari luar negara," ujar Fuza ketika ditemui Kosmo! di kedainya yang terletak di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Servis penghantaran bunga bermula pada harga RM100, manakala bagi pelanggan yang datang tanpa membuat tempahan boleh membeli bunga yang digemari. Antaranya bunga mawar, tulip dan hydrangea yang berharga RM3.50 sebatang. Menurut Fuza lagi, sempena musim perayaan terutamanya Aidilfitri yang akan menjelang, Quince KL juga tidak ketinggalan menyediakan pelbagai jenis hamper sebagai cenderamata kepada handai taulan. "Pelanggan boleh memilih pakej hamper mengikut kemampuan masing-masing sama ada mahu kombinasi hamper dan bunga-bungaan segar atau sebaliknya. "Sepanjang Ramadan ini, setiap hamper terdiri daripada produk kurma dan beberapa jenis kuih serta biskut raya. Bagi hamper biasa tanpa dekorasi bunga segar, ia dijual pada harga RM50 ke atas. Jika ada bunga pula, harganya bermula daripada RM100," jelas Fuza yang baru sahaja mendirikan rumah tangga Februari lalu. Perniagaan itu kini dikongsi bersama suami dan kakak iparnya yang sentiasa memberi dorongan untuknya terus berjaya.
Tambah Fuza, setiap perniagaan sudah pasti berdepan cabaran tersendiri. Sebagai wanita, Fuza mengakui perlu kuat dalam aspek mental dan fizikal jika mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya. "Apa yang penting, kita perlu yakin dengan kekuasaan Allah. Jangan takut untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan yang memang banyak risikonya. "Percaya dengan kekuatan diri selain sentiasa berusaha untuk memajukan perniagaan. Selebihnya, bertawakal kepada Allah kerana pada akhirnya, Dia yang menentukan banyak atau sedikitnya rezeki kita," jelas Fuza penuh makna. | |||
Posted: 22 Jul 2013 12:13 AM PDT
SEKALI setahun iaitu sepanjang Ramadan, anda berpeluang menikmati 30 jenis kerabu tradisional Melayu di Tappot Cafe yang terletak di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH). Hidangan kerabu yang laris bak pisang goreng panas itu sentiasa menjadi rebutan pengunjung kerana ia sukar didapati pada bulan lain. Antara hidangan kerabu itu ialah kerabu kaki ayam, jantung pisang, pucuk paku, daun pegaga, kerang, ikan kembung, mangga, pucuk paku dan daging panggang. Sebanyak 135 menu ala kampung lain melengkapkan lagi juadah berbuka puasa anda. Hidangan iftar di Tappot Cafe berkonsepkan gerai yang menyajikan lauk-pauk tradisional Melayu seperti ayam kampung padang berkentang, ketam kari bersama nanas, ikan cencaru sumbat, gulai tulang masak rebung dan jantung pisang lemak ikan bilis.
Pengunjung juga berpeluang menikmati masakan ubi rebus yang disajikan bersama kelapa. Juadah berbuka puasa tidak lengkap sekiranya anda tidak mencuba hidangan bubur lambuk istimewa. Sambil menjamu selera, anda berpeluang menyaksikan chef-chef beraksi secara langsung menyediakan murtabak ayam dan daging, keladi goreng, sukun goreng serta popia basah. Bagi warga emas terdapat tawaran diskaun sebanyak 50 peratus. Tawaran tersebut juga terbuka kepada pelanggan hotel, rakan Facebook KL Internationalhotel, DiGi dan pemegang kad kredit Public Bank serta Maybank (pada tiga hari pertama dan terakhir). Usai menjamu selera, pengunjung boleh menunaikan solat Maghrib dan tarawih di surau yang disediakan dan juadah moreh turut disediakan. | |||
Subsidi yuran hantar anak ke Taska Posted: 22 Jul 2013 12:12 AM PDT BARU-BARU ini, ramai yang terkejut dengan pengumuman kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dinaikkan sehingga RM8,000 daripada caj RM4,511 yang dikenakan sebelum ini. Dalam hal ini golongan yang pening kepala ialah pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai anak kecil. Ini kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada golongan amah untuk menjaga anak mereka di samping melakukan kerja rumah lain seperti menjaga kebersihan, mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian sepanjang ketiadaan mereka di rumah. Ada cakap-cakap mengatakan disebabkan perkara itu, ramai golongan isteri yang berstatus ibu terutamanya yang mempunyai anak kecil mahu berhenti kerja untuk menjaga anak-anak sambil menguruskan rumah tangga. Tetapi bagi pasangan yang berpendapatan rendah, sekiranya si isteri berhenti kerja, ia akan mendatangkan masalah lain kepada pasangan tersebut kerana mereka memerlukan antara satu sama lain untuk menampung keluarga. Inilah dilema yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang hidup bergantung dengan amah apabila kos pengambilan pembantu rumah dinaikkan. Walau bagaimanapun, golongan tersebut disarankan supaya tidak memeningkan kepala dan mengambil keputusan terburu-buru seperti berhenti kerja. Kenapa? Sebab ada jalan alternatif yang boleh difikirkan untuk mengatasi masalah tersebut. Caranya adalah dengan menghantar anak ke Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska). Ia bukanlah satu cadangan yang baharu, tetapi boleh dipertimbangkan dalam keadaan sebegini. Subsidi sejak April Menariknya, mana-mana pasangan ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan isi rumah perkapita RM500 dan ke bawah boleh memohon subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak Taska untuk anak yang berusia di bawah empat tahun sebanyak RM150 hingga RM250 sebulan. Pendapatan perkapita bermaksud jumlah pendapatan isi rumah (gaji pokok ibu bapa/penjaga) dibahagikan dengan bilangan tanggungan. Sementara itu, bagi kanak-kanak OKU kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui permohonan untuk mendapatkan subsidi yuran itu telah dibuka sejak April tahun ini untuk membantu golongan berpendapatan rendah bagi membiayai kos pengasuhan anak-anak di Taska swasta.
Bukan itu sahaja, bagi mengurangkan beban penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah pula, mereka berpeluang menikmati subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak yang di hantar ke Taska tempat kerja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, pemberian subsidi oleh kerajaan melalui kementerian yang diterajuinya itu secara tidak langsung membantu rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos pengambilan amah. "Dengan adanya subsidi ini, diharap beban rakyat akan berkurangan dan mereka mengambil peluang ini untuk menghantar anak-anak ke Taska tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan pembantu rumah untuk menjaga anak-anak yang memerlukan kos yang tinggi," kata beliau. Tambah Rohani, bagi mendapatkan subsidi ini pengusaha Taska dan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak boleh mengemukakan permohonan dengan mudah melalui cara memuat turun borang YP1 yang terdapat di laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my. Pada masa yang sama, Rohani berkata, menjelang hujung tahun ini kerajaan menyasarkan sebanyak 1,000 buah lagi Taska baharu didaftarkan dengan JKM bagi menampung bilangan kemasukan kanak-kanak ke Taska yang semakin meningkat. Jelas beliau, ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Dasar Bajet 2013 dan Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0). "Melalui inisiatif ini, pengusaha Taska baharu yang berdaftar dengan JKM akan diberikan geran permulaan sebanyak RM3,000 bagi Taska di rumah dan RM10,000 hingga RM20,000 bagi Taska institusi yang dikendalikan oleh swasta sebagai insentif untuk membiayai kos operasi Taska berkenaan," ujar beliau. Selain itu, Rohani juga memberitahu, cara yang paling penting untuk mengatasi masalah kenaikan kos pengambilan pembantu rumah adalah dengan menukar cara pemikiran ketua keluarga. "Kita selalu menganggap bahawa khidmat amah amat penting bagi menguruskan rumah tangga kita. Ini menunjukkan kita terlalu bergantung kepada mereka sehingga mereka boleh menuntut harga jika kita ingin mengambil mereka bekerja. "Apa kata ubah cara pemikiran kita dengan menganggap bahawa amah tidak penting dan banyak lagi cara lain untuk bantu kita menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. "Dengan cara ini, kita boleh mengelakkan beban daripada membayar kos pengambilan amah yang tinggi," jelas beliau. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |