Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal tidak sewenang-sewenangnya mengubah aksi persahabatan berstatus A kepada perlawanan ujian seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Langkah tegas badan induk bola sepak negara itu diambil selepas kedudukan ranking dunia yang masih tidak berubah selepas sekian lama hingga menimbulkan kegusaran beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Selepas gagal mempertahankan Piala AFF pada 2012, Rajagobal kini dalam misi melayakkan skuad negara buat kali pertama ke pusingan akhir Piala Asia 2015 hingga mengorbankan beberapa perlawanan persahabatan menentang skuad yang menawarkan pungutan mata tinggi seperti Iraq (tewas 0-2 pada Februari), Arab Saudi (tewas 1-4 pada Mac) dan Palestin (tewas 0-2 pada Mac) yang sepatutnya menjadi aksi persahabatan berstatus A dan mampu membaiki kedudukan ranking negara yang kini berada di tangga ke-159 dunia.
"Kami akan pastikan perkara ini tidak terjadi lagi," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya mengenai tindakan Rajagobal yang sering bertindak sedemikian.
Memburukkan keadaan apabila dua aksi persahabatan berstatus A menentang Singapura tidak dapat dilangsungkan hingga skuad negara membuat keputusan memilih tiga kelab Australia untuk menggantikannya.
Perkhabaran terbaru turut tidak menyenangkan apabila aksi berstatus A menentang India pada 10 September (terbabit dengan Piala SAFF dan kelab terikat dengan suku akhir Piala AFC) dan Uzbekistan (terbabit dalam play-off Piala Dunia menentang Jordan) pada 6 September tidak dapat diadakan seperti dirancang walaupun sudah mendapat persetujuan kedua-dua pasukan.
Perlawanan berstatus A paling hampir adalah menentang Emiriah Arab Bersatu pada 10 Oktober.
"Kita bukannya mahu berterusan menentang kelab namun kerana berlakunya kekangan tertentu, aksi menentang kelab terpaksa dilakukan walaupun perlawanan itu tidak menyumbang mata memperbaiki ranking dunia meskipun mereka lawan yang bagus.
"Saya menyusun perlawanan untuk tahun depan dengan semua sembilan tarikh perlawanan kategori A berlangsung seperti sepatutnya selain aksi persahabatan pada tarikh yang bukan membabitkan kalendar FIFA. Sejak dua minggu lalu kami sudah menghantar surat tawaran kepada banyak negara dengan kebanyakannya dari Asia selain Afrika serta Eropah dan berharap mendapat jawapan positif hujung tahun ini," kata Hamidin.
Sementara itu, pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata, aksi persahabatan menentang kelab akan dihentikan seketika selepas kunjungan menentang tiga kelab Jepun bermula hari ini dengan tumpuan lebih banyak diberikan kepada lawan berstatus negara seperti disarankan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.
"Segala perancangan hala tuju skuad kebangsaan membabitkan aksi persahabatan selepas ini akan dibincangkan Jawatankuasa Teknikal pada 1 Ogos," katanya.