Khamis, 18 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Ashraf Muslim Mengaku Nikah Kali Kedua Di Thailand

Posted: 17 Jul 2013 12:36 AM PDT


Ashraf Muslim.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu diberitahu pelakon dan pengamal perubatan Islam, Mohd. Ashraf Muslim, 32, sudah bernikah kali kedua dengan wanita yang digosipkan dengannya iaitu Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, di Thailand pada Ahad lalu.
Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab membenarkan Ashraf menarik balik permohonannya untuk berpoligami yang difailkan pada pagi Rabu selepas dia mengaku telah bernikah dengan wanita tersebut.
Pengesahan itu membuktikan khabar angin mengenai hubungan Ashraf dengan individu tersebut adalah benar walaupun pelakon itu pernah menafikan hubungan mereka sebelum ini.
Ashraf turut memiliki isteri pertama iaitu Noor Dayana Lokman, 26, yang juga anak kepada pengasas Pusat Perubatan Islam Al Hidayah di Setiawangsa di sini.
Mereka bernikah di Mekah pada 30 Ogos 2011 dan tidak memiliki zuriat.
Berikutan pengakuan Ashraf itu, mahkamah memerintahkannya membayar kos mahkamah sebanyak RM8,000 kepada Noor Dayana.

Suara Artis Popular Dalam ' Madagascar 3’ Versi Melayu

Posted: 17 Jul 2013 12:34 AM PDT

Barisan artis yang terlibat dalam proses pinjam suara untuk filem Madagarcar 3 versi bahasa Melayu
KUALA LUMPUR: Gabungan suara selebriti terkenal daripada tiga buah negara dapat didengar dan ditonton dalam filem popular Madagascar 3: Europe's Most Wanted versi bahasa Malaysia yang akan ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitri menerusi saluran HBO.
Penolong Kanan Naib Presiden, Kumpulan Pelanggan Bahasa Inggeris Astro, Junaidah Said Khan berkata, pemilihan selebriti adalah mengikut kesesuaian mereka melalui karakter peribadi dengan watak filem animasi tersebut.
"Kita telah menyenaraikan nama-nama artis yang difikirkan sesuai dengan watak-watak dalam filem itu.
"Selepas itu kita adakan uji bakat dan pemilihan terakhir, hasilnya sangat memuaskan kerana kebanyakan mereka yang dipilih mempunyai pengalaman alih suara sebelum ini," katanya pada sidang media Madagascar 3:Europe's Most Wanted versi Bahasa Malaysia di sini, Selasa.
Hafiz Suip, Taufiq Batisah dan Najib Ali meminjamkan suara dalam filem animasi Madagascar 3 versi Melayu.
Antara selebriti yang menjayakan filem animasi ini ialah Hafiz Suip, Lisa Surihani, Fahrin Ahmad, Nabila Huda, Didie Alias dan Hazama Azmi.
Sementara artis dari Singapura pula terdiri daripada Najib Ali dan Taufiq Batisah manakala penyanyi dari Brunei, Jazz Hassan.
Jelas Junaidah, projek ini merupakan kerjasama antara Astro dan HBO Asia sebagai usaha untuk mempelbagaikan rancangan menarik sempena musim perayaan.
"Saya yakin ramai pelanggan Astro yang menantikan program menarik bakal kami sajikan pada setiap kali musim perayaan dan kita tidak mahu menghampakan mereka dengan memberi rancangan-rancangan terbaik," katanya.
Sementara itu, Fahrin Ahmad yang meminjamkan suara sebagai Melmen the Giraffe mengakui cabaran utama adalah untuk mengekalkan suara sebenarnya dalam watak tersebut.
"Saya agak terkejut ketika ditawarkan watak ini, pada jangkaan saya untuk watak haiwan berbadan besar seperti watak Alex the Lion atau Gloria the Hippo memandangkan saya seorang yang berbadan besar tetapi sebaliknya watak Melman the Giraffe iaitu zirafah.
"Apa yang sukar adalah untuk mengayakan suara mengikut suara asal watak tersebut tetapi pada masa yang sama saya perlu mengekalkan suara sebenar agar penonton dapat mengenalinya," katanya.
Filem animasi Madagascar 23: Europe's Most Wanted ini akan disiarkan pada Hari Raya iaitu 8 Ogos depan bermula pukul 8 malam menerusi saluran Astro 411 dan 431.

Syakirin utama ilmu, pengalaman

Posted: 16 Jul 2013 06:56 PM PDT


Syakirin
SIAPA sangka tuah menyebelahi perjalanan pengacara muda, Nur Syakirin Husnal Az', 24, yang lebih selesa dengan panggilan Syakirin kini semakin bersinar dalam dunia seni hiburan.

Bakat yang ada dalam dirinya mula terserlah apabila menyertai rancangan realiti TV, On Air di bawah kelolaan Datuk Aznil Haji Nawawi.

Sejak itu jugalah bakat yang ada dalam dirinya mula dinilai dan kini dilamar menjadi pengacara.

Menurut Syakirin, minat yang mendalam terhadap bidang pengacara membuatkan dia semakin aktif dalam mengacarakan beberapa program seperti K-Popnya Raya, Fashion dan Lifestyle Hijabista.

"Selain daripada itu, saya juga pernah menerbitkan beberapa laporan khas untuk Buletin Awani, Trending dan Gala TV.

"Selepas tersingkir daripada On Air, saya diberi tawaran sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran di Astro Awani," katanya yang amat meminati bidang ini sejak kecil.

Anak sulung daripada lima beradik ini juga mempunyai bakat tersendiri. Dia bukan sahaja boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, malah mempunyai kebolehan dalam menguasai bahasa Korea dengan fasih.

Tambah bekas graduan bidang Kejuruteraan Biokimia pengajian di Korea ini, dia tidak menyangka pengalaman belajar di Korea membuatkan dirinya mampu mengorak langkah dalam bidang ini.

"Atas semangat dan galakkan teman rapat dan keluarga juga saya memberanikan diri untuk terus menceburi bidang pengacaraan ini.

Tolak dunia kejuruteraan

Dalam menceburi bidang yang diminati pastinya anak kelahiran Kuantan, Pahang ini tiada halangan untuknya terus maju ke hadapan walaupun ada kalanya kenangan pahit manis mengusai diri.

Bagi Syakirin, pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan, walaupun belajar dalam bidang Kejuruteraan, ia bukan halangan untuknya menceburi bidang yang diminatinya sejak kecil.

"Walaupun penglibatan saya masih baru dalam bidang ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu saya untuk terus mara dengan karier yang diceburi.

"Kenangan pahit yang paling sedih dalam hidup saya ketika tersingkir rancangan On Air, tapi saya tidak putus harapan bila dapat tawaran dari pihak Astro.

"Saya akui, sesungguhnya industri ini tidak mudah walaupun sudah setahun tapi belum sampai apa yang diimpikan kerana banyak lagi yang perlu saya pelajari," katanya.

Tambah Syakirin, mungkin segelintir masyarakat menganggap bidang pengacara ini glamor, tapi bagi gadis manis ini ia bukan apa yang disangka kerana persaingan dalam bidang ini semakin sengit.

"Bagi pendapat saya sendiri dalam bidang ini kita bukan hanya perlu cantik dan pandai bercakap, malah yang lebih penting adalah pengalaman dan banyakkan belajar untuk terus berjaya.

"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana minat dan impian saya telah termakbul. Selain daripada itu juga, tujuan saya menceburi bidang ini agar saya dapat berkhidmat dengan masyarakat," katanya.

Ingin program sendiri

Menyentuh mengenai perancangan dan impian pada masa akan datang, Syakirin memberitahu dia mempunyai sasaran untuk lima tahun akan datang.

Bagi Syakirin, jika diberi peluang dia ingin  mengacarakan program sendiri sama ada berbentuk bual bicara, majalah, dan travelog.

"Saya ingin menerbitkan dan menjadi pengacara dengan program yang padat dengan pengetahuan dan info isu semasa yang disampaikan dengan penuh santai.

"Bagi saya sendiri dengan cara ini juga ia mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat dan ingin melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan," katanya yang bercita-cita ingin menjadi ahli motivasi khususnya untuk remaja dan wanita.

Dalam perkembangan yang lain, Syakirin berkata, dia ingin mencuba pelbagai bidang dan jika diberi peluang untuk menjinakkan diri dalam bidang lakonan, dia akan terima.

"Saya ingin menceburi pelbagai bidang, dengan cara ini juga kita dapat menimba pengalaman dengan lebih banyak tambahan usia kita yang masih muda banyak lagi yang perlu dipelajari," katanya.

Syura bakal buka restoran

Posted: 16 Jul 2013 06:55 PM PDT


Syura
MESKIPUN dinobatkan menjadi juara MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, Syura atau nama sebenar Zuraidah Badron, 27, terkilan dengan segelintir peminat yang sehingga kini masih mempertikaikan kemenangannya dalam program tersebut.

Bagi membuktikan bakatnya dalam bidang masakan, penyanyi yang terkenal dengan irama pop tradisional ini berusaha untuk membuka sebuah restoran.

"Memang agak sedih bila orang terus mempertikaikan kemenangan saya dalam MasterChef Selebriti.

"Namun, saya tidak akan berkecil hati. Setiap kritikan yang diterima, akan saya jadikan sebagai penguat semangat untuk terus berjaya," katanya yang berjaya mengalahkan 19 finalis, termasuk Celina dan Rozita Che Wan yang pernah disebut-sebut sebagai juara program realiti masakan itu.

Jelas Syura, dunia masakan sememangnya sudah sebati dengan dirinya. Malah impian untuk memiliki restoran sendiri juga sudah lama terbit di hati.

"Saya akui, untuk membuka sebuah restoran ianya bukan perkara yang mudah kerana memerlukan permulaan modal yang banyak.

"Insya-ALLAH saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi," katanya.

Utama keluarga

Sempat berkongsi mengenai sambutan Ramadan tahun ini, Syura berkata, tidak seperti tahun lalu, dia banyak menerima jemputan untuk pelbagai program seni. Akui Syura, kemenangannya dalam MasterChef Selebriti 2 banyak memberi kesan positif terhadap karier seninya.

"Sebelum ini saya sibuk menguruskan butik perkahwinan di Johor, tapi kali ini saya sibuk dengan pelbagai program jemputan seni sepanjang Ramadan.

"Alhamdulillah... saya gembira kerana ramai yang mula mengenali saya sejak menyertai program MasterChef. Insya-ALLAH, saya akan cuba buat yang terbaik demi karier saya," kata penyanyi yang berasal dari Johor Bahru.

Walaupun sibuk dengan dengan pelbagai aktiviti seni, Syura berkata, keluarga tetap menjadi keutamaan. Tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata, Nurul Dania Irdani, 6, Nurul Qaisara Sofea,4 dan Muhammad Irfan Aryan, 2, tidak sesekali diabaikan sementelah lagi dengan kehadiran bulan suci ini.

"Sebelum menghadiri mana-mana program, saya akan menyediakan dulu juadah berbuka untuk mereka.

"Mujurlah mereka sentiasa memahami saya. Malah saya sangat bersyukur kerana mereka sentiasa menyokong saya untuk terus berjaya," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Mohd Fadhly Md Yasin, sejak 2006.

Ditanya mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, Syura berkata, sebelum Ramadan lagi dia sudah membuat persiapan, terutama untuk anak-anaknya.

"Tahun ini kami sekeluarga akan beraya di Kempas Johor, segala persiapan beraya hampir siap.

"Untuk kuih tahun ini saya akan buat biskut raya dan juga tart nenas yang sering menjadi kuih utama keluarga saya," katanya.

Kembali menyanyi
Kali terakhir muncul dengan single Dejavu bersama sifu M Nasir, pemilik suara irama tradisional ini dilihat terus menyepi dari industri seni.

Setelah lima tahun tanpa sebarang karya, Syura sedia untuk kembali dengan single terbaru.

"Saya tidak pernah menyepi sebaliknya ingin memberi tumpuan sepenuh kepada rumah tangga yang dibina bersama suami dan  anak-anak yang kian membesar," katanya.

Mengulas lanjut mengenai single terbarunya itu, kata Syura, dia masih dalam perbincangan dengan seorang komposer untuk menghasilkan lagu yang sesuai dengan vokalnya.

"Tentang tajuk lagu dan nama komposer, ia tidak dapat dedahkan lagi buat masa ini.

"Insya-ALLAH, bila segalanya dah siap, saya akan umumkan kepada semua," katanya yang turut berminat untuk berkecimpung dalam dunia lakonan.

Hayati bacaan al-Quran menerusi Qari junior

Posted: 16 Jul 2013 06:54 PM PDT


Hayati bacaan al-Quran menerusi Qari Junior
SEMPENA menghayati bulan Ramadan yang istimewa ini, Qari Junior: Evolusi Huffaz kembali untuk musim kedua.

Program 30 minit yang berlangsung setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6.30 petang di TV3 ini, menampilkan finalis Da'i, Mohammad Tajdid Hadhari Romli sebagai pengacara.

Bertujuan untuk mencungkil dan mengembangkan bakat kemahiran kanak-kanak dari usia 7 hingga 12 tahun dalam menghafaz ayat suci al-Quran, program 19 episod ini, turut mengajak penonton mendekatkan diri dengan al-Quran.

Menurut Penerbitnya, Shukri Haji Ibrahim, kejayaan musim lalu memberi peluang kepada pihak produksi kembali dengan musim baru.

"Konsep dan pengisian lama masih dipraktikkan untuk musim ini dan segala kekurangan pada musim lepas akan diperbaiki pada tahun ini. Malah  peserta diberi pendedahan baru dengan mengikuti kelas tajwid selama lima hari sebelum bertanding.

"Selain dapat memberi peluang kepada peserta untuk menjadi Qari yang terunggul, kami yakin bakat yang ditonjolkan oleh peserta dan konsep program yang dibawa menerusi Qari Junior Evolusi Huffaz mampu melahirkan generasi baru sebagai pelapis Qari kelak", kata Shukri.

Qari Junior Evolusi Huffaz menyaksikan persaingan antara peserta Muhammad Amnan Muhammad Sani (10 Tahun), Muhammad Danish Iman Mohamad Azizi (11 Tahun), Mohd Aribfuddin Mohd Ali Ridza (11 Tahun), Nadiyya Muhammad Lukman (12 Tahun), Muhammad Hafiz Muhammad Lukman (10 Tahun), Mohd Yusof Johari (12 Tahun), Saiful Hadi Baharin (11 Tahun), Durrani Afiqah Kamarazaman (10 Tahun), Tuan Muaz Uzair Tuan Mazlan (7 Tahun) dan Nasrin Afrina Nizam Amiza (12 Tahun).

Kesemua peserta akan dinilai juri yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan iaitu Ustaz Mohd Nazri Abdullah dan Ustazah Hajah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman.

Juara akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 berserta trofi, sijil dan baucar penginapan di Sibu Island Resort Johor selama tiga hari dua malam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines