Jumaat, 12 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Qi Razali Sahkan Nelydia Senrose Kekasihnya

Posted: 11 Jul 2013 04:10 PM PDT

Qi mengakui hubungan kawannya dengan pelakon Nelydia Senrose kini sudah bertukar kepada cinta.
PETALING JAYA: Pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM), Qi Razali akhirnya membuat pengakuan secara sah iaitu sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Nelydia Senrose walaupun sebelum ini menepis gosip tersebut.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali, 35, berkata, kematangan dan sikap kelakar Nelydia, 19, membuatkan persahabatan mereka bertukar menjadi serius iaitu sebagai pasangan kekasih selain mereka berkongsi banyak minat sama.
"Sebelum ini hubungan kami memang hanya kawan tetapi sekarang ia telah menjadi cinta. Saya mengakui, Nelydia adalah kekasih saya.
"Bagaimanapun biarlah percintaan ini berjalan dengan perlahan-lahan kerana saya tidak mahu kegagalan dahulu berulang," katanya kepada mStar Online.
Qi sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna sebelum berpisah secara baik untuk membawa haluan masing-masing.
Yuna kini berada di Amerika Syarikat untuk mengembangkan kerjaya dan akan melancarkan album terbaharunya pada Oktober depan.
Nelydia Senrose.
Dalam perkembangan sama, Qi berkata, dia berhasrat untuk tidak bercinta terlalu lama dan meletakkan tempoh masa selama dua tahun untuk mereka mengenali hati budi masing-masing.
Jelas Qi, pada usianya sekarang keinginan untuk mempunyai keluarga sendiri semakin menebal sehinggalah dia membuat keputusan menjadikan Nelydia sebagai kekasih sebelum diangkat menjadi isteri.
"Bagaimanapun saya tidak mahu terburu-buru kerana kerjaya Nelydia pun sedang meningkat dan biar dia tumpu kepada kerjayanya dahulu.
"Cuma perancangan saya tidak mahu bercinta terlalu lama kerana usia saya pun bukannya muda lagi," jelasnya.
Tambah Qi, dia juga ada beberapa kali berjumpa dengan keluarga kekasihnya itu dan selesa dengan kematangan wanita berkenaan walaupun dia masih muda.
Dalam perkembangan lain, Qi berkata, dia kini sibuk dengan penggambaran JJCM untuk edisi bulan Ramadan sebelum terbang ke Argentina bagi penggambaran musim terbaharu program Art Attack pada 18 Julai depan.

Rezeki Daus (AF8) Melimpah Selepas Kahwin

Posted: 11 Jul 2013 04:09 PM PDT

Wajah terbaharu Daus bersama isterinya Syaza.
PETALING JAYA: Penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus, tidak menyangka rezekinya semakin melimpah sejak mendirikan rumah tangga dengan Syaza Syamimi, pada 7 Jun lalu.
Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 25, berkata, perbezaan sebelum dan selepas dia berkahwin cukup ketara lebih-lebih lagi apabila dia telah menandatangani perjanjian sebagai penerbit lagu dan artis di bawah syarikat KRU Music baru-baru ini.
"Alhamdulillah, jika dahulu saya melihat perjalanan karier nyanyian sudah hampir sepi, tiba-tiba selepas kahwin, lain pula jadinya.
"Saya turut melibatkan diri dalam pembikinan lagu bagi artis-artis di bawah KRU sendiri. Malah undangan mengadakan persembahan juga semakin bertambah.
"Tak sangka memang betul kata orang rezeki selepas berkahwin sememangnya wujud. Nikmat hidup berpasangan juga menyeronokkan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Daus kini lebih bahagia di samping isterinya Syaza.
Tambah Daus, dia menyifatkan kehidupan alam berumah tangga turut membuka ruang buatnya untuk kembali aktif di bidang muzik.
Dalam pada itu, Daus juga bakal muncul dengan single lagu terbaharu iaitu Seribu Rasa Cinta dengan menampilkan Taiko, nama baharu Norman KRU sebagai penyanyi rap dalam lagu berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan untuk mendapatkan anak pula, Daus berkata dia dan isterinya sudah pun bersedia untuk itu dan hanya menunggu rezeki anak itu tiba.
"Kami sudah pun bersedia untuk melalui tanggungjawab seterusnya sebagai ibu dan ayah.
"Apalagi selepas bergelar suami, saya rasa diri sendiri lebih matang berbanding dahulu. Maka sudah pasti saya bersedia untuk mempunyai anak. Cuma kami tidak merancang, hanya menunggu rezeki daripada Allah sahaja," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Daus bakal muncul dalam program Salam Perwira yang akan ditayangkan pada sambutan Aidilfitri nanti di TV1.
Selain itu, Daus dan isterinya turut sibuk menjalani perniagaan menjual pakaian wanita dan kek menerusi label Dania Wardrobe & cake House.

'Saya Bukan Artis Majlis Ramadan' - Fazli Zainal

Posted: 11 Jul 2013 04:06 PM PDT

Fazli Zainal.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Fazli Zainal menolak cakap-cakap orang kononnya dia hanya dapat dilihat pada acara-acara majlis berbuka berbuka puasa sahaja sebaliknya memberitahu masih aktif sebagai penyanyi.
Fazli, 36, berkata, namanya kurang menyerlah disebabkan cerita tentangnya jarang dipaparkan di akhbar selain persembahan yang melibatkannya dibuat secara tertutup.
"Saya bukan artis 'bulan Ramadan' sahaja seperti yang orang kata. Tidak benar saya hanya muncul pada bulan Ramadan. Ia satu kebetulan sebenarnya. Rezeki saya dalam bidang nyanyian masih ada cuma orang sahaja yang tidak tahu," katanya kepada mStar Online.
Fazli ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Anak Yatim Sri Kundang di Restoran Intai-Intai, Ampang di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Fazli berkata, dia juga tidak berasa tergugat dengan kehadiran penyanyi baru yang lebih mendapat perhatian kerana ia adalah rezeki masing-masing.
Anak-anak dari Pusat Jagaan Anak Yatim Sri Kundang diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Restoran Intai-Intai. Selain Fazli, antara artis yang turut hadir adalah Syed Ali, Daus (AF), Dior dan Maulana.
Jelas Fazli, sebagai seorang yang telah lama bertapak dalam bidang nyanyian dia mempunyai pengikutnya tersendiri yang banyak memberi semangat kepadanya.
"Jika seseorang artis itu benar-benar berbakat dan tidak hanya bersandarkan kepada rupa Insya-Allah mereka akan kekal lama dalam industri walaupun populariti tidak begitu gah.
"Saya juga bersyukur kerana masih ramai peminat yang masih menyokong perjalanan karier saya dan akan terus menyanyi," katanya.
Sementara itu, Fazli berkata, dia baru sahaja pulang dari Sydney, Australia kerana menjalani penggambaran muzik video terbaharunya berjudul Sejuta Nafas Cinta.
Jelas Fazli, walaupun lagu tersebut telah lama dirakamkan iaitu pada tahun 2008 namun atas permintaan peminat dia sanggup melaburkan wangnya sendiri sebanyak RM8,000 untuk menghasilkan muzik video tersebut.
"Peminat mahu muzik video lagu itu dihasilkan di samping versi karaoke bagi memudahkan mereka untuk menyanyi lagu tersebut di pusat karaoke.
"Kebetulan saya ke Sydney untuk bercuti jadi ambil peluang itu juga untuk merakamkan muzik video berkenaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fazli berkata, dia akan muncul dengan single terbaharunya berjudul Bukan Yang Terakhir pada September depan dan ia dicipta oleh penyanyi dan komposer, Hazami.

Maher Zain tak henti berkarya

Posted: 11 Jul 2013 04:05 PM PDT


Mahez Zain
Mahez Zain
SIAPA tidak mengenali penyanyi antarabangsa, Maher Zain, yang cukup popular dengan lagu-lagu ketuhanannya? Sehingga kini kelunakan suaranya masih menambat hati pendengar apatah lagi lirik lagu dipenuhi dengan puji-pujian kepada sang pencipta.

Pernah ke negara ini bagi mempromosikan albumnya, Thank You Allah, beberapa tahun lalu, penyanyi kelahiran Lubnan ini  kembali dengan single terbarunya berjudul Ramadan. Turut dihasilkan menerusi empat bahasa seperti Inggeris, Arab, Melayu dan Turkish, Maher Zain berharap lagu tersebut dapat memberi pengisian rohani terhadap peminatnya di bulan suci ini.

"Lagu ini saya cipta khas sempena Ramadan yang sangat dinantikan umat Islam saban tahun.

"Saya juga berharap lagu ini dapat mengubati kerinduan peminat terhadap karya saya, selain menjadi semangat untuk mereka menunaikan ibadah puasa," ujarnya.

Pelantun yang popular dengan lagu Insya-Allah dan Thank You Allah, ini turut memuatkan muzik video lagunya itu di di laman Youtube lagu. Lebih membanggakan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan apabila jumlah tontonan mencapai hampir 1 juta hingga semalam, meskipun baru seminggu dimuat naik.

Bersyukur di atas sambutan itu, Maher menyifatkan ia satu pencapaian yang menakjubkan dan ternyata lagu-lagunya masih mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.

Turut teruja dengan kehadiran Ramadan tahun ini, Maher berkata, saban tahun dia tidak sabar menantikan bulan Ramadan. Malah kesempatannya bertemu dengan bulan suci ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan segala amalan untuk ALLAH SWT.

Maher berkata, dia masih menerima tawaran nyanyian. Namun di masa lapangnya akan digunakan sebaik mungkin untuk menyempurnakan ibadah puasa.

"Saya berazam untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadan. Insya-ALLAH...dan sesiapa pun boleh turut serta dengan saya membaca al-Quran," katanya.

InsyaALLAH... Ada Jalan

Selain sibuk memenuhi tawaran nyanyian, Maher turut meluaskan kariernya sebagai pelakon di Indonesia. Sinetron InsyaALLAH... Ada Jalan bersama vokalis kumpulan Padi, Fadli, menjadi titik permulaannya dalam dunia lakonan.

Menampilkan Maher sebagai pelakon utama dan Fadli sebagai penterjemah, sinetron ini sarat dengan mesej yang berguna. Ditayangkan serentak di Indonesia-Malaysia, sinetron ini akan mula ke udara mulai jam 5.30 petang di Astro Oasis setiap hari sepanjang Ramadan.

Lebih menarik, ia mengetengahkan kesemua lagu-lagu nyanyian, Maher, seperti One Big Family, Muhammad,  Forgive Me dan banyak lagi.

Menurut pengarah sinetron ini, Eddy Prass, sinetron ini digarap khas untuk tatapan penonton sempena Ramadan.

"Terdapat ciri-ciri keislaman menerusi lagu dan karakter Maher digandingkan dengan lakonan Fadly dalam setiap episod.

"Kami sendiri belum pernah melakukan penggambaran seperti ini dengan menggabungkan penyanyi luar dengan vokalis dari Indonesia," katanya yang turut memuji sikap Maher yang amat disenangi seluruh kru produksi.

Tinggal dunia jurutera

Mengimbau penglibatan seninya, jejaka berusia 32 tahun ini, terlebih dahului berkecimpung sebagai penyanyi R&B, penulis lagu dan penerbit.

Jika dilihat dari latar belakang pendidikannya, dia sebenarnya pernah menuntut dalam bidang ijazah kejuruteraan Aeronautikal.

"Demi minat saya terpaksa melupakan hasrat keluarga melihat saya bergelar sebagai jurutera.

"Bagaimanapun, keluarga memahami dan dapat menerima obsesi saya dalam bidang muzik," katanya yang berhijrah ke Sweeden seawal usia 8 tahun.

Setelah tamat pelajaran, Maher nekad menyertai dunia seni dan bernaung di bawah syarikat rakaman RedOne di negara itu. Tuah mula menyebelahinya apabila album pertamanya, Thank You Allah, mendapat sambutan di seluruh dunia.

Berjaya mencipta fenomena tersendiri, album tersebut turut menerima pelbagai anugerah termasuk anugerah platinum dari Warner Music Malaysia dan Sony Music Indonesia ekoran jualan yang sangat memberangsangkan.

Malah dia turut berkolaborasi dengan komposer tempatan, Mohd Fizarahman Zainal menerusi lagu Insha ALLAH dan Ramadan dalam versi bahasa Melayu.

Selain itu, lagu Insha Allah pernah tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 sebagai Top 5 bagi kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang dinyanyikan artis luar negara.

Ramadan

Lagu: Maher Zain
Lirik: Frizdan

Ku menantimu
Saban waktu
Bangkit jiwaku

Kau suluh hatiku
Dengan sinar
Kudus kasihmu

Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Rahmat melimpah
Damainya ku rasakan

Ramadan bulan al-Quran
Mendidik jiwaku
Menyuburkan iman

Ku harap kan terus
Bersamamu selamanya

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Sememangnya kau ku nantikan
Hadirmu hidupkan suram di jiwaku
Dan ku berjanji
Akan ku teruskan
Semangatmu itu
Sepanjang hidupku
Oh Ramadan

Ramadan, Ramadan
Ramadan di hati
Ramadan, Ramadan
Ku mohon usah pergi

Harga rumah mungkin RM1 juta

Posted: 11 Jul 2013 03:58 PM PDT


Harga rumah mungkin RM1 juta
TIADA keretaku bawa kau jalan-jalan,
Rumahku pun tiada adapun bapa punya,
Apa lagi belanja mau bayar berian,
Kahwin sama kamu...

Mungkin situasi yang disampaikan di dalam bait lirik lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat itu turut dialami sendiri oleh kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya generasi muda dan golongan  kelas pertengahan yang menghadapi kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan harga rumah yang melambung tinggi.

Memiliki kediaman sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan apatah lagi sudah mempunyai keluarga sendiri. Namun, hakikatnya harga rumah terutamanya di negeri Selangor dianggap menakutkan dan 'tidak masuk akal' jika dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia.

Malangnya, tidak kira apa jenis sekalipun sama ada flat, teres, apartmen dan kondominium melambung tinggi bukan hanya di kawasan bandar yang pesat membangun bahkan di pinggir-pinggir bandar di Selangor seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.

Tidak kira samada rumah tersebut adalah rumah baru atau penjualan rumah 'second hand' atau rumah sekunder,  harga keperluan asas tersebut semakin naik kira-kira 20-30 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Melihat pasaran sekarang, rata-rata harga rumah yang dijual melalui projek perumahan baru dengan reka bentuk "high –end" dengan keluasan 24 x 70 kaki persegi dijual pada harga RM400,000 ke atas, harga yang ditawarkan tidak banyak beza antara satu pemaju dengan pemaju yang lain.

Di kawasan pinggir bandar, Klang contohnya rumah teres dua tingkat baru yang kebanyakan pemaju lebih gemar menjual rumah dengan reka bentuk moden terkini boleh mencecah RM600,000 ke atas.

Jika ada rumah teres dua tingkat sekunder pun kini harganya dalam lingkungan RM300,000 ke atas, itu pun mengambil kira faktor lokasi, keadaan rumah dan keadaan persekitaran.

Pilihan untuk keselesaan golongan pertengahan terletak pada jenis rumah teres setingkat, bagaimanapun tidak banyak pemaju yang membina rumah jenis tersebut. Mungkin pada pandangan mereka adalah lebih berbaloi pada tanah yang sama dibina rumah teres dua tingkat pada harga pasaran sekarang.

Persoalannya, tawaran harga rumah yang semakin  melambung tinggi dari hari ke hari sekarang ini adakah ia memenuhi keperluan majoriti rakyat di negeri Selangor ini iaitu golongan pertengahan?.

Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga rakyat yang berpendapatan sederhana iaitu purata jumlah isi rumah RM6,000 sebulan.

Rumah jenis apartmen atau kondominium juga tidak kurang hebatnya dan boleh dikatakan agak serupa sahaja harga melambung tinggi walhal ianya tidak melibatkan tanah yang banyak.

Golongan pertengahan terutama golongan muda yang baru berumah tangga menyasarkan memiliki rumah yang berharga dalam lingkungan RM200,000 ke bawah. Namun, masih adakah rumah dengan harga pasaran RM200,000 kini terutamanya di pinggir bandar di Selangor?.

Dengan keadaan peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat ditambah pula nilai wang semakin mencengkam, adakah layak rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga pasaran sekarang yang ditambah dengan komitmen lain seperti bayaran bulanan kenderaan dan lain-lain?.

Cecah harga RM1 juta

Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan  rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 seunit menjelang tahun 2020 berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn Bhd (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaru rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.

Media tersebut turut melaporkan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.

Katanya, untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.

Jika perkara itu benar, Selangor sebagai yang berada dalam lingkungan Lembah Klang pastinya menerima kesan kenaikan mendadak harga rumah.

Dalam isu ini, nampaknya golongan yang semakin tersepit dan terhimpit adalah golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan. Ini kerana, bagi golongan berpendapatan rendah, mereka dibela dengan penyediaan rumah mampu milik kerajaan negeri dan PPR/PPA.

Dilemanya kini ditanggung oleh golongan pertengahan, golongan  berpendapatan RM6,000 ke bawah jika harga rumah semakin naik mendadak saban hari.

Kerajaan Pusat turut merancang strategi holistik untuk menangani isu harga rumah tinggi dengan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Persoalannya, apakah punca peningkatan harga rumah yang semakin mendadak di Selangor sehingga ia membebankan sekali gus menguburkan impian majoriti rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah.

Apakah langkah yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini agar harga rumah yang ditawarkan selari dengan pendapatan majoriti rakyat?. Adakah skim rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri mencapai matlamat?.

Jika kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan seperti pasir yang meningkat, apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu. Adakah rumah mampu milik yang disediakan Kerajaan Negeri mampu menampung kira-kira 5.2 juta penduduk Selangor yang mana kira-kira 1. 56 juta penduduk adalah miskin dan 1.36 juta penduduk adalah miskin bandar sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Paras Garis Kemiskinan Selangor terdahulu.

Apakah strategi holistik pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengawal kenaikan harga rumah?. Wajarkah menjadikan harga barangan binaan sebagai harga kawalan? Bagaimana pula dengan kawalan harga tanah oleh pihak kerajaan negeri agar ia tidak dimanipulasi menyebabkan kenaikan tidak masuk akal rumah yang dibina?. Semua ini perlu diselesaikan oleh pemimpin yang dipilih rakyat agar majoriti rakyat di negeri ini khasnya dapat menikmati kehidupan selesa, bukannya menumpang di negeri sendiri.

Tegangkan kulit muka

Posted: 11 Jul 2013 03:55 PM PDT




RAMADAN tahun ini sedikit berbeza buat empunya nama Raja Ema Raja Ibrahim, sementelah kembalinya dirinya ke dunia seni sejak awal 2013.
Berbanding tahun 2012, Ramadan Raja Ema tahun ini dipenuhi dengan aktiviti rakaman program puasa dan raya untuk stesen-stesen televisyen.
Bukan itu sahaja, Raja Ema, 45, juga akan sibuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Pertemuan Seribu Kenangan yang kini sudah berada di pasaran.
Itu rezeki bergolek yang diperoleh penyanyi yang popular dengan lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan itu selepas menjadi penghias wajah muka depan majalah Nona pada bulan November 2012.
Dirinya meraih publisiti yang bukan sedikit, termasuk juga tawaran berlakon yang tidak putus-putus sehingga kini.
"Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai rezeki anak-anak," ungkapnya merendah diri tatkala disoal mengenai aktiviti Ramadan dirinya tahun ini.
Raja Ema yang kelihatan semakin muda dan jelita itu memberitahu, dia mendapat empat tawaran menjalani program rakaman untuk Ramadan dan Aidilfitri oleh stesen-stesen televisyen.
Ulasnya, empat tawaran tersebut adalah rakaman Raya Muzik-Muzik, program masakan Ramadan untuk RTM, artis jemputan untuk program Bella di ntv7 dan juga Malaysia Hari Ini di TV3.
Biarpun sibuk, Raja Ema mengakui akan memperuntukkan masa untuk berbuka bersama anak-anak. Bukan sebab takut anak-anak merajuk kerana sejak kecil lagi mereka sering berbuka bersama, tetapi dia sendiri yang tidak sanggup meninggalkan anak-anaknya berbuka tanpa dirinya.
"Walaupun sudah kembali ke dunia hiburan dan sibuk, saya tetap akan luangkan masa berbuka bersama anak-anak.

RAJA EMA berkolaborasi dengan RJ untuk single pertamanya, Warna Hati.


Raya sederhana
"Saya sudah biasa berbuka bersama mreka sejak dulu lagi," ujarnya mengenai dua orang anaknya iaitu Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17.
Anak kepada arwah Yusni Jaafar itu turut berkongsi mengenai persediaan sambutan Aidilfitrinya.
Ulas Raja Ema, sejak bapanya meninggal dua tahun lalu menyusuli ibunya yang pergi terlebih dahulu lima tahun lepas, sambutan raya figura bersuara manja adalah secara sederhana sahaja.
"Raya saya tahun ini sederhana sahaja. Sejak ibu meninggal lima tahun lalu, ayah pula meninggal dua tahun lalu dan kini saya juga sudah sendirian, jadi raya hanya untuk menggembirakan anak-anak," jelasnya yang bakal menyambut Aidilfitri kali ini di Subang Jaya, Selangor bersama adik-beradiknya.
Ditanya mengenai menu wajib sambutan Aidilfitri, ujar Raja Ema, setiap tahun dia akan memasak nasi lobak, lontong dan juga mi kari.
Mengulas mengenai penampilan terkini dengan potongan rambut pendek, jelas Raja Ema, dia memotong rambutnya itu kerana ingin tampil berbeza bersempena kemunculan album terbaharunya.
"Saya sengaja memotong pendek rambut sempena kelahiran album baharu yang memuatkan single terkini di samping lagu-lagu saya yang pernah popular dahulu," ujarnya ceria ketika ditemui pada majlis pelancaran album baharunya itu di pejabat Warner Music, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Benang naikkan wajah
Tidak hanya memotong pendek rambutnya, Raja Ema turut mendedahkan dia ada membuat rawatan menegangkan kulit muka iaitu rawatan thread lift.
"Sejujurnya, apabila sudah memasuki peringkat umur seperti saya, kulit kita, lebih-lebih lagi pada bahagian muka sudah tidak tegang seperti zaman muda dahulu.
"Kulit-kulit pada bahagian wajah akan jatuh, jadi saya fikir tidak salah sekiranya saya membuat rawatan menegangkan kulit muka," tuturnya yang mengakui menjalani rawatan tersebut di sebuah pusat yang sama dia mengambil suntikan vitamin C dan produk berkaitan untuk mengekalkan kecantikan wajah dan tubuh.
Yakin dengan rawatan tersebut, ulas Raja Ema, dia nekad menjalani proses menegangkan kulit wajahnya itu kerana ia tidak melibatkan pembedahan mengubah bentuk muka atau sebarang penggunaan kaedah botoks.
"Ia sekadar rawatan penegangan kulit yang dipanggil thread lift. Tiada sebarang pembedahan. Saya yakin apabila diberitahu mengenai rawatan ini dan mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada doktor.
"Kaedah rawatannya hanya pada kedua-dua bahagian pipi dan terdapat benang yang menaikkan semula wajah saya," dedahnya.
Raja Ema juga mengakui dia berani menjalani kaedah rawatan tersebut kerana rasa sakit yang dialaminya tidak lama. Selepas rawatan tersebut selesai, dia tidak lagi berasa sakit.
Cuma gurau Raja Ema, dia kini tidak lagi berani memakan kacang kerana bimbang implikasi yang bakal diperoleh daripada memakan makanan yang keras.

RAJA EMA memilih untuk muncul dengan penampilan baharu yang lebih muda dengan memotong rambut pendek serta melakukan teknik tarik wajah sempena kembali aktif menyanyi.


Lebih selesa solo
Ramai yang masih samar mengenai status Raja Ema. Adakah dia sudah berkahwin semula selepas bercerai atau masih kekal solo selepas perkahwinan keduanya dengan seorang yang dirahsiakan identitinya tidak bertahan lama?
Jika sebelum ini Raja Ema enggan mendedahkan mengenai kehidupan peribadinya, tetapi selepas dia kembali menyanyi semula, kini dia lebih terbuka.
Ujarnya, dia masih lagi solo setelah perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Sheqal dan perkahwinan keduanya itu musnah.
Begitupun, dia enggan mengulas lanjut mengenai bekas suami keduanya dan bilakah status dia kembali menjalani kehidupan solo.
"Ya, sekarang saya masih solo. Perkahwinan sebelum ini sudah berakhir, tetapi cukup sekadar itu sahaja yang boleh saya kongsikan. Siapa, bila dan mengapa biarlah perkara itu saya sahaja yang tahu. Kini, saya mahu fokus pada bidang lakonan dan juga promosi album baharu ini," ujarnya.
Sengaja melontarkan persoalan adakah dia serik untuk berkahwin setelah kedua-dua perkahwinannya itu gagal, ungkap Raja Ema, dia tidak pernah berasa serik namun dia juga tidak kisah jika tidak bertemu jodoh dengan sesiapa.
"Walaupun dua kali gagal dalam perkahwinan, saya tidak pernah berasa serik. Mungkin kerana saya sudah rasa pahit dan manis berkahwin.
"Lagipun, pada usia saya yang sudah menjangkau 45 tahun, saya tidak kisah sama ada berkahwin semula ataupun tidak. Saya selesa bersendirian, namun jika ada jodoh saya juga tidak akan menolak," tuturnya yang mengakui bukan mudah mencari pasangan.
Kongsinya lanjut, jika perkahwinan baharu nanti akan mendatangkan masalah, lebih baik dia hidup solo.
Sementelah, anak-anaknya juga mengatakan dia kelihatan semakin gembira sejak kembali ke dunia seni.

Sheeda serbu rumah bekas suami

Posted: 11 Jul 2013 03:54 PM PDT


Sheeda dan Fazlinda menunjukkan dua surat daripada pihak sekolah yang mengesahkan ketidakhadiran Fazlinda ke sekolah masing-masing pada tarikh dari 13 Jun hingga 1 Julai dan dari 4 hingga 10 Julai lalu.


TANGGAL 1 Ramadan ternyata memberi kelegaan buat penyanyi dangdut Sayyida Beevi M. Shahul Hameed, 50, atau lebih popular dengan panggilan Sheeda apabila anak bongsunya, Nur Fazlinda Ahmad Fazli, 13, kembali ke pangkuannya.
Sebelum ini, Sheeda terpaksa berpisah buat sementara dengan anak daripada perkahwinan keduanya bersama Ahmad Fazli Mohammad, 38, apabila bekas suaminya itu menghalangnya untuk berjumpa dengan Fazlinda.
Sehinggakan penyanyi yang dikenali menerusi lagu Angkat Kaki itu mengambil keputusan nekad untuk menyerbu rumah bekas suaminya yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur dengan bantuan beberapa orang anggota polis.
Selepas serbuan tersebut berakhir, Kosmo! sempat menemu bual Sheeda yang ternyata kelihatan gembira di samping anaknya itu setelah tiga bulan berpisah.
Kosmo!: Bolehkah ceritakan tentang situasi sebenar mengenai kejadian yang menimpa anak Sheeda?
SHEEDA: Pada 4 Mei lalu saya dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan bersama anak bongsu saya. Kemudian bekas suami saya, Fazli mahu berjumpa untuk berbincang mengenai sesuatu mengenai Fazlinda dan kami bertemu di sebuah restoran di Sri Gombak, Selangor. Dalam pertemuan itu berlaku sedikit pertengkaran kecil sehingga saya terpaksa menyerahkan anak saya kepada Fazli. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, saya menangis tidak henti-henti kerana hasrat untuk bercuti bersama anak tidak tercapai.
Apakah yang berlaku selepas pertemuan tersebut?
Saya amat sedih dan terkilan apabila bekas suami tidak lagi mengizinkan saya untuk bertemu dengan Fazlinda. Sepanjang tempoh tiga bulan kami ada berbincang supaya anak saya dikembalikan semula, tetapi Fazli berkeras tidak membenarkannya. Ibu mana yang tidak sedih apabila tidak dibenarkan untuk bertemu dengan anak sendiri. Lagipun, saya yang telah membesarkannya selama 13 tahun tanpa meminta sebarang bantuan daripada bekas suami.

SHEEDA bersyukur Fazlinda kini kembali ke pangkuannya.


Apakah tindakan Sheeda selanjutnya?
Kecewa dengan situasi yang berlaku saya mengambil keputusan untuk membuat aduan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan berharap mereka mendapat bantuan yang sewajarnya. Setelah saya mengemukakan aduan kepada Karyawan menerusi Datuk Freddie Fernandez, mereka mencadangkan supaya perkara ini dibawa ke mahkamah dan telah memperkenalkan saya dengan seorang peguam syarie iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan.
Apa yang saya tahu kos untuk mendapatkan khidmat peguam seperti Fakrul Azman ini bukanlah murah, tetapi saya amat terharu dan berterima kasih kerana tidak perlu mengeluarkan satu sen pun kerana semuanya ditanggung oleh Karyawan.
Bagaimanakah perasaan Sheeda setelah anak kembali ke pangkuan?
Pada 28 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan bagi mendapatkan semula hak penjagaan anak. Sebenarnya saya terpaksa mengambil tindakan selanjutnya kerana mendapat tahu sepanjang tiga bulan Fazlinda tidak bersama saya, sudah banyak kali dia tidak hadir ke sekolah tanpa sebab. Pihak sekolah telah memberitahu bahawa anak saya tidak hadir dari 13 Jun sehingga 1 Julai lalu. Kemudian dia cuma bersekolah selama dua hari dan pada 4 Julai dia tidak hadir ke sekolah semula sehingga 10 Julai.
Apakah alasan yang diberikan oleh bekas suami mengenai perkara tersebut?
Dia sekadar memberi alasan dengan mengatakan membawa Fazlinda pergi bercuti ke Pulau Langkawi. Kalau difikirkan secara logik, kenapa pula dia membiarkan Fazlinda ponteng sekolah semata-mata mahu pergi bercuti. Sebagai ibu sudah tentu saya mahukan Fazlinda berjaya dalam pelajaran memandangkan dia seorang pelajar yang pandai dan pernah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu. Jadi saya sangat kecewa apabila mendapat tahu dia tidak ke sekolah dan bimbang apabila dia dibuang sekolah.
Setelah Fazlinda kembali ke pangkuan Sheeda, apakah pesanan yang ingin disampaikan kepada bekas suami?
Saya cuma mahu berpesan bahawa saya tidak akan memutuskan hubungan silaturahim antara seorang ayah dan anak. Kalau dia hendak berjumpa dengan Fazlinda pada bila-bila masa saya izinkan. Selama ini pun saya langsung tidak kisah kalau dia berjumpa dengan anak kami secara senyap-senyap. Kini, saya berharap supaya Fazlinda dapat menjalani kehidupan dan persekolahan seperti biasa.

Gantung lembu mohon kekayaan

Posted: 11 Jul 2013 03:48 PM PDT



PENDUDUK kampung beramai-ramai menggantung seekor lembu jantan sehingga ia mati.


BEIJING - Pada setiap bulan keenam menurut kalendar Cina, etnik minoriti Miao, Yao dan Dong menyambut festival tempatan yang dikenali sebagai Naoyu.
Perayaan tersebut disambut oleh penduduk kampung di daerah Rongshui dalam Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi, selatan China.
Pada perayaan tersebut, orang ramai menangkap ikan dan berdoa untuk memohon kekayaan, hasil pertanian yang banyak dan kehidupan tenteram.
Mereka turut melakukan acara korban dengan menggantung seekor lembu pada dahan pokok sehingga haiwan itu mati.
Penduduk kampung kemudian akan mengagihkan daging haiwan tersebut sesama mereka.

2,300 pelancong dipindahkandi Taiwan akibat taufan Soulik

Posted: 11 Jul 2013 03:45 PM PDT



IMEJ satelit yang dikeluarkan semalam menunjukkan taufan Soulik semakin kuat dan dijangka melanda kawasan utara Taiwan dalam tempoh 72 jam lagi.



TAIPEI - Pihak berkuasa Taiwan memindahkan kira-kira 2,300 orang pelancong semalam dari Pulau Hijau, dekat bandar Taitung berikutan kawasan utara negara itu diramal dilanda oleh ribut taufan Soulik.
Taiwan turut mengeluarkan amaran kepada kapal-kapal yang belayar di kawasan utara dan timur Taiwan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Taufan Soulik dengan kelajuan angin mencecah 227 kilometer sejam (km/j) dikatakan berada pada jarak 960 kilometer di timur pulau tersebut, jelas Biro Pusat Cuaca Taiwan.
Ia bergerak menuju ke arah selatan Taiwan pada kelajuan 22km/j dan dijangka melanda bahagian utara negara berkenaan pada lewat malam ini atau pagi Sabtu.
"Orang ramai perlu lebih berhati-hati kerana taufan ini membawa angin kencang dan hujan lebat," kata seorang kakitangan ramalan kaji cuaca.
Badan pemantau Hong Kong mengklasifikasikan Soulik sebagai 'taufan super'. Sementara biro cuaca Taiwan menyifatkannya sebagai 'taufan yang kuat.'
Pihak berkuasa China pula mengekalkan amaran tahap oren. Selepas melanda atau melewati Taiwan, taufan Soulik akan menuju ke arah kawasan pantai Zhejiang dan Fujian, China.
Pada tahun 2009, taufan Morakot membunuh kira-kira 600 orang di Taiwan, kebanyakannya tertimbus akibat tanah runtuh.

Paus enam tan terdampar

Posted: 11 Jul 2013 03:43 PM PDT



SEORANG lelaki bergambar di sisi bangkai paus yang terdampar di pantai bandar Santa Rosa, Peru kelmarin.


SANTA ROSA - Seekor paus kelasa ditemui terdampar di tepi pantai di sini kelmarin.
Bandar ini terletak sekitar 17.6 kilometer ke barat wilayah Chiclayo di Peru.
Beberapa saintis kerajaan tiba di sini untuk mengambil sampel bangkai paus berkenaan semalam.
Haiwan tersebut mempunyai berat sekitar enam tan dan panjang 15 meter.
Media tempatan melaporkan, sampel itu diperlukan untuk pasukan saintis berkenaan mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Tragedi penggulingan Presiden Morsi

Posted: 11 Jul 2013 03:41 PM PDT




KETIBAAN bulan Ramadan yang sepatutnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran bertukar tragedi berdarah di Mesir apabila sekumpulan penyokong Presiden Dr. Mohammed Morsi yang digulingkan daripada jawatannya terkorban.
Seramai 51 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang dikatakan cuba menceroboh Kompleks Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan pada awal pagi 8 Julai lalu.
Lebih menyedihkan 35 daripada jumlah mangsa yang terbunuh ketika itu sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di satu kawasan terbuka berdekatan Masjid Rabiatul Adawiyah yang menjadi tempat perhimpunan para penyokong Morsi.
Selain itu, lebih 400 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara peserta demonstrasi jalanan dan pihak tentera sekali gus menjadikan krisis pergolakan di Mesir semakin membimbangkan.
Kejadian itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat para penyokong untuk terus menegakkan keadilan terhadap Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihan raya presiden pada Jun 2012.
Mereka bertegas untuk terus mengadakan demonstrasi di jalanan sehingga Morsi yang kini ditahan oleh pihak tentera dikembalikan semula jawatannya sebagai Presiden.
Sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi, Morsi telah dikritik sebagai diktator dan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin negara tersebut. Namun, di mata penyokongnya, beliau dianggap sebagai seorang wira.
"Saya sanggup menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Beliau adalah presiden yang telah diundi secara sah," ujar Essam al-Hawany, seorang guru sekolah tinggi yang menyertai demonstrasi tersebut.

PEMERINTAHAN Morsi hanya bertahan selama setahun.


Tambah Essam, pihak tentera telah melakukan penghinaan terhadap demokrasi di Mesir. Justeru, dia tidak akan gentar untuk terus memperjuangkan keadilan buat Morsi.
"Biarlah darah kami tumpah kerana kami sanggup mati dalam perjuangan menentang kebatilan. Jika tidak, kami tidak akan datang ke sini," tegasnya.
Sementara itu, jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad melalui laman sosial Twitter, menggesa rakyat Mesir yang patriotik dan berani agar keluar beramai-ramai untuk mempertahankan negara daripada pengkhianat konspirasi rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Demonstrasi jalanan
"Setiap wilayah akan mengadakan majlis pengkebumian dan demonstrasi. Kami tidak akan mengalah," ujarnya.
Apa yang pasti, pergolakan terus berlaku di Mesir bermula pada 30 Jun lalu iaitu antara puak yang menyokong dan menolak kepimpinan Morsi. Ia menyaksikan beberapa buah bandar utama menjadi lokasi perhimpunan penganjuran demonstrasi jalanan untuk meluahkan pendapat masing-masing.
Bagi ribuan penyokong Morsi, mereka berhimpun di Rabiatul Adawiyah, Nasr City manakala Dataran Tahrir di Kaherah menjadi tempat perhimpunan rakyat yang menolak kepimpinan Morsi.
Menurut pemerhati politik tanah air, Dr. Maszlee Malik, penggulingan Morsi merupakan satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Mesir pascarevolusi 25 Januari 2011 yang telah menjatuhkan diktator Hosni Mubarak.
"Apa yang jelas, pihak tentera telah mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran undang-undang di bumi Mesir. Keadaan ini boleh dianggap satu tindakan melangkah semula ke belakang iaitu ke tahun 1952.
"Ketika itu, Mesir telah diperintah oleh pihak tentera akibat rampasan kuasa sambil membelakangkan pilihan rakyat melalui kerangka demokrasi. Malangnya, apabila perkara sebegini berlaku, negara-negara Barat yang selama ini melaungkan dan memperjuangkan demokrasi terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bersikap hipokrit.
"Mereka yang sepatutnya mengecam dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa itu, sebaliknya hanya mendiamkan diri dan cuba menyalahkan Morsi," jelas Maszlee sambil memuji sikap Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani mengutuk rampasan kuasa tersebut.

ANTARA reaksi rakyat Mesir selepas berlakunya tragedi serangan di Kompleks Pengawal Republikan di Kaherah.


Tambah beliau, apa yang merisaukan adalah mengenai masa depan rakyat Gaza di Palestin memandangkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza serta antara Gaza dengan dunia luar telah ditutup sejak tentera mengambil alih pemerintahan Mesir.
Mengakui Morsi mempunyai kelemahan terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya.
"Morsi bekerja dalam keadaan kedua tangannya 'digari'. Saki-baki rejim telah menyukarkan pentadbiran beliau yang baru berusia setahun. Beliau juga tidak mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan dan media yang sentiasa memfitnahnya.
"Malah, pihak yang memonopoli perniagaan dan bekalan bahan api sengaja melakukan sabotaj terhadap rakyat. Tetapi, dalam keadaan serba terikat itu, Morsi masih dapat melakukan banyak perubahan walaupun tidak secara menyeluruh. Jadi, mengapa menghukum beliau terlalu awal?
"Hakikatnya, tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pascarevolusi dalam tempoh sekelip mata," ungkap beliau yang merupakan Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Selain itu, Maszlee juga berharap rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar berhubung isu yang berlaku di Mesir. Ujarnya, sistem demokrasi yang bertujuan menjadi mekanisme untuk menguruskan perbezaan pandangan dan perbezaan ideologi politik perlu dihormati.
"Demokrasi bukan semata-mata keputusan rakyat yang menentukan kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya, bahkan lebih daripada itu.
"Mekanisme untuk semak dan imbang melalui kebebasan media, kebebasan bersuara serta ruang-ruang untuk rakyat melalui masyarakat sivil berpartisipasi dalam proses politik juga adalah sebahagian daripada demokrasi," kata Ma szlee.
Rakyat Malaysia perlu berusaha mempertingkatkan tahap pemikiran dan pendidikan mereka.

PENYOKONG Morsi berdoa sebelum mereka berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di Kaherah.


Pilihan raya
"Kadar keciciran pelajaran dan buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir merupakan antara penyumbang kepada tidak stabilnya negara berkenaan," tegasnya.
Dalam pada itu, Presiden Mesir sementara, Adly Mansour berikrar akan mengadakan pilihan raya menjelang awal tahun hadapan sebagai respons terhadap situasi di negara itu.
Mansour telah mengeluarkan dekri yang menetapkan jadual untuk satu referendum terhadap perlembagaan yang telah digubal, sebelum pilihan raya presiden dilaksanakan.
Keseluruhan proses tersebut dikatakan tidak akan mengambil masa melebihi 210 hari. Menurut dekri itu, satu panel yang mewakili parti politik, agama dan perkhidmatan keselamatan akan bersetuju dengan penggubalan akhir perlembagaan dan menjadikan ia sebagai satu referendum dalam tempoh lima bulan.
Di samping itu, Mansour turut menamakan mantan Menteri Kewangan, Hazem el-Bablawi sebagai Perdana Menteri sementara dan melantik bekas Ketua Agensi Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed El-Baradei sebagai timbalan presiden yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negara.
Apa yang pasti, di sebalik kekacauan yang berlaku, para penyokong Morsi tidak melepaskan peluang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di Dataran Rabiatul Adawiyah.
Foto yang memaparkan ribuan umat Islam pro-Morsi menunaikan solat tarawih dan solat tahajud pada malam pertama Ramadan itu telah dimuat naik oleh laman sosial Facebook Mesir Kini.

Kawal hipoglisemia semasa berpuasa

Posted: 11 Jul 2013 03:40 PM PDT



BAGI Rohimah Chewik, 57, dari Shah Alam, Selangor kedatangan bulan Ramadan dan Syawal setiap tahun antara detik-detik paling sibuk dalam rutinnya sebagai suri rumah.
Pada waktu itu, selain memperbanyakkan ibadah, dia juga perlu mengemas, memasak juadah berbuka dan menyediakan persiapan lebaran.
Sungguhpun dibantu suami dan anak-anak, Rohimah tetap membuat kerja-kerja rumah dengan tekun bagi memastikan bulan Ramadan berjalan lancar dan Syawal disambut meriah.
Namun, sejak lima tahun yang lalu, selepas dia dikesan dengan penyakit diabetes Jenis 2, wanita yang sudah bergelar nenek itu terpaksa banyak berehat dan membuat kerja secara konsisten.
Diabetes boleh dibahagikan kepada dua, iaitu Jenis 1 dan 2. Diabetes Jenis 1 berlaku apabila seseorang terpaksa bergantung kepada insulin, manakala diabetes Jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) biasanya membabitkan individu yang mengalami masalah obesiti.
Bagi diabetes Jenis 2, apabila badan tidak mampu mengawal paras glukos dalam darah ia akan dipanggil hiperglisemia. Bagaimanapun disebabkan oleh agen antihiperglisemia seseorang pesakit boleh berdepan dengan masalah hipoglisemia iaitu gula rendah.
"Disebabkan kandungan glukos yang rendah, saya menghadapi hipoglisemia. Walaupun bukan teruk, saya masih boleh merasa situasi tersebut apabila tiba-tiba berasa letih, berpeluh dan rasa tidak senang," katanya yang menghadapi hipoglisemia tahap minimum.
Perubatan yang diambil Rohimah mungkin membantu beliau mengelak daripada terkena hipoglisemia teruk, namun, pada waktu pagi Rohimah mengakui tetap berdepan dengan fenomena tersebut.
"Waktu seperti itu, saya akan mengambil makanan bergula dalam kuantiti kecil. Gula-gula, biskut manis atau minuman. Kemudian saya mesti berehat. Kadangkala sekejap, adakalanya tidur lama," katanya yang tidak dapat menentukan jangka masa tertentu untuk berehat.

ROHIMAH tidak pernah ketinggalan mengambil ubat-ubatan bagi penyakit diabetes.


Bersahur elak hipoglisemia
Ditanya tentang masalah yang sama menjelang bulan Ramadan, Rohimah memberitahu, amalan bersahur mengelak dirinya letih pada waktu pagi namun, menjelang petang dia kepenatan.
"Bacaan gula saya tidak pernah turun kurang daripada enam, biasanya tujuh tetapi ditambah dengan faktor usia menyebabkan saya cepat penat dan terdesak untuk berehat," ujar Rohimah lagi.
Pesakit diabetes dikesan mengalami masalah hipoglisemia (kurang gula) atau hiperglisemia (kandungan glukosa tinggi) lazimnya pada bulan puasa disebabkan pola pengambilan makanan dan waktu makan yang berbeza.
Apabila pesakit diabetes tidak bangun untuk bersahur, tempoh berpuasa mereka direkod lebih lama iaitu melebihi 14 jam.
Pesakit tersebut meningkatkan risiko hipoglisemia yang mengundang kemerosotan kandungan glukosa dalam darah.
Periksa kandungan gula
Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Zanariah Hussein berkata, masalah hipoglisemia juga selalunya dikaitkan dengan jenis perubatan yang diambil. Terdapat dua jenis perubatan untuk diabetes iaitu metformin dan sulfonylurea.
Metformin tidak mengurangkan kandungan glukosa, namun ubatan seperti sulfonylurea pula mengalakkan peningkatan insulin menyebabkan pesakit berhadapan dengan masalah.
"Disebabkan itu, pesakit perlu dididik lebih awal untuk mengawal kandungan gula sebelum menjelang bulan puasa. Dengan itu, kadar turun naik kandungan glukosa dapat dielakkan," katanya.
Malah, beliau juga memberitahu, jika pesakit berhadapan dengan masalah hipoglisemia semasa sedang berpuasa, mereka boleh mendapatkan nasihat doktor. Doktor akan mengubah waktu atau dos ubat mengikut masa berbuka serta selepas bersahur.
"Jangan lupa membaca tahap gula semasa berpuasa. Jika bacaan glukosa berada pada tahap rendah, pesakit disarankan berbuka kerana takut akan berhadapan risiko hipoglisemia yang teruk seperti pengsan, tidak sedar diri, pitam, keliru, resah, palpitasi, loya dan pucat," katanya merujuk kepada kajian yang pernah dibuat terhadap fenomena hipoglisemia ketika bulan berpuasa.

PESAKIT diabetes dinasihat mengawasi pola pemakanan dan kadar glukosa dalam darah walaupun pada bulan Ramadan.


Malah, pesakit yang mengalami hipoglisemia teruk juga dilapor memberi tekanan pada jantung.
Berita baik mengenai kemampuan pesakit diabetes di Malaysia menurut Jurnal Diabetes Care Vol. 2 No. 10 2004, menunjukkan peratusan pesakit diabetes jenis dua yang berpuasa lebih daripada 15 hari di Malaysia adalah 95 peratus.
Ia antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara-negara Islam yang lain.
Menurut seorang lagi Perunding Kanan Endokrinologi, Dr. Chan Siew Pheng, Kajian Epidiar daripada Jurnal Diabetes Care Vol. 27 No. 10 2004, purata kekerapan episod hipoglisemia sebelum berpuasa adalah pada 0.4, tetapi menjelang Ramadan, ia meningkat 7.5 kali ganda.
"Rawatan antidiabetes yang mengurangkan risiko hipoglisemia, mengurangkan kebimbangan tentang hipoglisemia dan mampu meningkatkan kadar kepatuhan serta membantu pesakit mencapai sasaran jangka panjang iaitu aras gula darah yang lebih terkawal," kata Siew Pheng.

Sabar didik si kecil berpuasa

Posted: 11 Jul 2013 03:37 PM PDT


PADA bulan Ramadan, anak-anak patut digalakkan membaca al-Quran untuk menambahkan lagi pahala.


KEHADIRAN Ramadan ini memberikan kita manfaat yang banyak. Bukan sekadar berpuasa untuk melaksanakan kewajipan sebagai orang Islam, tetapi juga memberikan peluang kepada kita mendidik anak-anak dengan beberapa pengetahuan baharu.
Banyak daripada kita mula melatih anak-anak kecil untuk belajar berpuasa yang sebenarnya secara tidak langsung menahan mereka daripada lapar.
Ia juga membantu kita melatih diri sendiri dengan ketahanan psikologi apabila mendengar anak-anak mengadu lapar.
Andai orang dewasa sekalipun, ada yang perlu mengubah daya tahan psikologi mereka setiap kali tibanya bulan puasa, apatah lagi anak-anak kecil, khususnya mereka yang berusia antara enam hingga sembilan tahun.
Sebagai orang dewasa juga, kita akan memastikan bahawa anak-anak ini tidak berasa lapar walaupun seminit.
Bagaimanapun, apabila mula berpuasa, anak-anak akan mengadu lapar. Mereka yang selama ini boleh makan apa sahaja, terpaksa mengubah tabiat mereka dengan tidak boleh makan pada siang hari.
Sebagai orang dewasa, kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membiarkan mereka berbuka puasa.
Jika tidak, mereka akan mengadu hal yang sama setiap kali menjelangnya Ramadan. Inilah waktunya kita melatih mereka.
Sebenarnya usia anak-anak pada peringkat awal persekolahan ini lebih kepada usia penerokaan. Mereka mungkin sudah mengetahui banyak perkara yang bersifat fizikal, khususnya perkara-perkara yang sering dilihat mereka.
Didik dengan berhemah
Mereka tidak mempunyai masalah untuk mengetahui apakah yang dikatakan kereta atau bangunan.
Bagaimanapun, mereka akan bermasalah untuk memahami dengan banyak perkara 'konsep' yang tidak kelihatan.
Nafsu sebagai salah satu contohnya. Ia hanyalah konsep yang tidak mungkin dapat dilihat, malah kita sebagai orang dewasa pun adakalanya bertanya apakah yang dikatakan sebagai nafsu dan keperluan?
Apabila anak-anak merungut tidak mampu bertahan dengan puasa, ada baiknya kita mengajarkan mereka bahawa itulah 'nafsu'.
Mereka adakalanya memberitahu mereka lapar bukan kerana kelaparan yang dihadapi, tetapi tidak mampu untuk mengubah tabiat harian mereka. Mereka juga akan cuba membeli bermacam-macam makanan di bazar Ramadan.
Apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka, semuanya dianggap sebagai menyedapkan.
Selepas anak-anak ini berbuka puasa dengan menikmati beberapa suap makanan, biasanya mereka akan berhenti makan dengan mula bermain pula.
Pada waktu itulah, kita patut bertanya mereka adakah mereka masih lapar? Biasanya mereka akan menjawab tidak.

SI kecil mungkin menunjukkan pelbagai ragam ketika berpuasa, tetapi ibu bapa haruslah bersabar dan berhemah dalam mendidik mereka.


Saat itu merupakan waktu terbaik memberitahu mereka, itulah nafsu. Ia satu keinginan untuk mendapatkan sesuatu, tetapi apabila kita mendapatkannya, kita mula meninggalkannya.
Mengajar mereka dengan konsep nafsu boleh membantu kita bagi hal yang lain juga. Adakalanya, apabila mereka melihat permainan di kedai, mereka akan meronta-ronta untuk mendapatkan permainan tadi.
Pada waktu inilah, kita boleh sekali lagi bertanya apakah yang telah mereka fahami dengan konsep nafsu ketika mereka berpuasa.
Mereka mungkin hanya terdetik untuk membeli mainan tadi sahaja. Sebaliknya, apabila mereka memilikinya, mereka mungkin tidak akan berminat dengannya lagi.
Banyak lagi konsep lain yang boleh kita ajarkan kepada anak-anak sepanjang berpuasa. Kita mungkin boleh memperkenalkan mereka dengan konsep pahala dan dosa. Ia hal yang tidak kelihatan.
Setiap kali anak-anak berpuasa penuh selama sebulan, kita biasanya akan menjanjikan mereka dengan hadiah tertentu.
Bersikap positif
Sebaliknya dalam konsep pahala dan dosa, kita boleh memberitahu mereka bahawa sekiranya mereka berpuasa sebaik mungkin, mereka akan mendapatkan hadiah yang istimewa di akhirat kelak.
Perumpamaan hadiah dan pahala itu lebih memudahkan mereka memahami sesuatu yang sangat sukar dijelaskan dengan perkataan.
Pada beberapa hari pertama berpuasa, anak-anak biasanya akan menanggung keletihan yang sangat teruk.
Pada waktu inilah, ibu bapa memainkan peranan. Sekiranya anak-anak ini tidak dapat bertahan, kita mungkin patut membenarkan mereka berbuka puasa.
Bagaimanapun, mereka mesti berjanji bahawa mereka akan berpuasa pada esok hari atau sekurang-sekurangnya mereka akan berbuka lebih lambat lagi.
Ada ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka berpuasa seperti orang dewasa. Apabila anak-anak tidak berpuasa atau berbuka dengan lebih awal, ada ibu bapa yang tidak membenarkan mereka berbuka bersama-sama orang dewasa ketika Maghrib.
Hakikatnya, ia hanyalah latihan. Kita semua patut memberikan pujian kepada anak-anak, sekalipun mereka hanya mampu berpuasa selama beberapa jam.
Sekurang-kurangnya dengan cara ini, mereka akan terus bersemangat untuk berpuasa lebih lama lagi pada keesokan hari.
Puasa merupakan ujian psikologikal. Ia juga menguji sejauh mana kita mampu bermain psikologi dengan anak-anak kecil yang baru melatih diri berpuasa.
Selamat berpuasa kepada semua pembaca.

Iftar berlatar nostalgia 1950-an

Posted: 11 Jul 2013 03:36 PM PDT



DARI kiri: Raja Rosly bersama isteri Datin Ramziah Samah menunjukkan seleksi lauk-pauk tradisi di Restoran Warisan Pak Engku.


MUZIK 1950-an berkumandang di dalam restoran tersebut. Bagi tetamu muda, lagu-lagu yang diputarkan di Restoran Warisan Pak Engku mungkin asing pada pendengaran mereka. Namun pengunjung warga emas pasti terhibur dengan seleksi muzik klasik yang didendang.
Pinggan mangkuk motif flora turut mengimbau kenangan kehidupan desa. Konsep tradisional Melayu asli yang dibawa restoran itu ternyata memberi pengalaman indah kepada pengunjung sepanjang bulan Ramadan ini.
"Hampir 80 peratus makanan yang kami sajikan berunsurkan hidangan tradisi termasuk petai, jering dan keladi. Selebihnya kami tawarkan makanan gabungan moden dan lama bagi memenuhi selera pelancong asing," kata Pengarah Urusan Restoran Warisan Pak Engku, Datuk Raja Rosly Raja Mazlan.
Restoran ini menyajikan 120 masakan membabitkan pelbagai menu tradisi. Hidangan popular seperti daging dendeng dan udang masak cendawan sering menjadi permintaan.
Variasi pencuci mulut yang terdiri daripada kuih-muih Melayu tradisional seperti apam balik, putu bambu, lepat, lopes, getas, keria dan dangai menunjukkan betapa kayanya masyarakat kita dengan makanan yang lazat.
Sejajar dengan bulan Ramadan, Warisan Pak Engku yang terletak di Dataran Merdeka itu turut membuka gerai barbeku di bahagian luar restoran. Demonstrasi masakan juga dijangka dijalankan sepanjang bulan puasa ini sebelum masuk waktu berbuka.

Sajian terbaik Malaysia

Posted: 11 Jul 2013 03:36 PM PDT



HIDANGAN kambing panggang menjadi pilihan popular pengunjung.


CINNAMON Coffee House di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor mengajak orang ramai merasai sajian terbaik Malaysia bertemakan Aneka Selera Kayanganku sempena bulan Ramadan ini.
Lebih daripada 100 menu tradisional Melayu, Cina dan India disediakan kepada pengunjung. Air tebu, sirap bandung, cincau, soya dan asam boi pasti melegakan tekak selepas seharian menahan lapar dan dahaga.
Penuhi selera kampung anda bersama hidangan utama berupa ayam percik, daging bakar asam, rendang tok, ikan patin masak lemak dan kupang masak balado.
Tidak dilupakan sajian tradisi Melayu seperti nasi kerabu berlauk, nasi ulam dan nasi dagang.
Anda juga akan tertarik dengan aroma sambal tempoyak, budu, belacan dan cencalok yang enak digaul bersama nasi putih.

Bintang YouTube, Hafiz Mahu Sokongan Rakyat Malaysia

Posted: 10 Jul 2013 11:07 PM PDT

PETALING JAYA: Seorang pelajar Malaysia di Mesir, Muhammad Hafiz meminta rakyat Malaysia menyokongnya dalam pertandingan pencarian bakat YouTube, Awakening Talent Contest.
Bakat Hafiz, 21, yang merupakan pelajar pergigian di Universiti Alexandria, itu telah menarik perhatian dunia serta pihak juri termasuklah penyanyi Maher Zain sehingga membolehkannya berjaya ke peringkat akhir.
"Sebanyak 100 video dari 66 buah negara telah turut serta dan saya merupakan salah satu daripada 32 peserta yang berjaya dipilih.
"Dan apabila kawan-kawan mendapat tahu tentang perkara itu, mereka telah membantu saya membuat klip video nyanyian persembahan saya dengan kualiti yang lebih baik.
"Kini saya adalah di antara tiga finalis akhir. Saya harap rakan-rakan di Malaysia dapat membantu menyokong saya untuk memenangi pertandingan ini," katanya.
Hafiz memerlukan undian ramai menerusi video terbaharunya di laman YouTube iaitu www.youtube.com/watch?v=hS_wOdcun-g.
Sehingga kini Hafiz telah berjaya mendapat sebanyak 27,844 tontonan dan 1,512 'like' sejak memuat naik videonya pada 4 Julai lalu.
Juara pertama pertandingan tersebut bakal membolehkan mereka menjadi artis naungan Awakening Records manakala tempat kedua akan diberi peluang membuat persembahan secara 'live' bersama artis-artis naungan syarikat tersebut.
Sementara itu, anak kelahiran Johor Bahru itu berkata, dia cukup menggemari dunia muzik dan menyifatkan muzik sebagai luahan telus tanpa diskriminasi.
"Apabila saya menyanyi rasa seperti ia memberikan banyak kekuatan terutamanya ketika saya berada dalam keadaan yang lemah.
"Saya mula meminati bidang nyanyian ketika usia masih empat tahun lebih-lebih lagi selepas diberi galakan oleh guru tadika saya," katanya.
Hafiz yang kini berada di Johor Bahru bagi menghabiskan cuti semesternya menambah, dia pernah berasa malu untuk menyanyi di depan khalayak namun keyakinan diri mula muncul ketika memasuki belasan tahun.

Aktres 80-an Putri Salbiah Dituduh Menipu

Posted: 10 Jul 2013 11:06 PM PDT

Putri Salbiah ketika dibawah keluar dari Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan kad pengenalan.
KUALA LUMPUR: Seorang pelakon popular 80-an didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan menipu dengan menyamar selain dua tuduhan memalsukan kad pengenalan, tiga tahun lalu.
Putri Salbiah Megat Razalli, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menipu Ng Miow Hia, 48, dalam satu urus niaga pembelian tanah dengan memperkenalkan dua individu sebagai pemilik tanah di Mukim Rim di Jasin, Melaka.
Dia didakwa telah memperkenalkan Ng kepada Majid Senan dengan nama Ahmad SK Duis dan Yang Azizah Mohamed Yaccob dengan nama Sipah Duis @ Sipak Duez semasa bertemu di sebuah restoran di KLCC pada 1 April 2010.
Putri Salbiah juga dituduh mengulangi perbuatan itu di lokasi sama pada 23 Jun 2010.
Empat kesalahan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekalinya jika disabitkan kesalahan.
Putri Salbiah juga didakwa memalsukan kad pengenalan untuk kegunaan Majid dan Yang Azizah dengan nama palsu mereka di antara Januari dan April 2010.
Salah satu adegan lakonan Putri Salbiah dan Salih Yaacob pada era 80-an.
Kesalahan di bawah Peraturan (25)(1)(j) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) itu jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan tertuduh enggan bekerjasama dalam siasatan kes tersebut.
Tambah Anthony, tertuduh juga sebelum ini pernah melarikan diri ke Brunei yang kemudiannya di tangkap oleh pihak berkuasa negara itu pada 9 Julai lalu sebelum di reman di Mahkamah Majistret di Miri sebelum didakwa.
Peguam Mohd Shahrullah Khan pula berkata, Putri Salbiah telah kembali ke Brunei untuk menjaga bapanya yang sakit dan meminta ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain bagaimanapun menetapkan ikat jamin sebanyak RM24,000 dikenakan terhadap Putri Salbiah bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasportnya ditahan.
Beliau menetapkan 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan memerintahkan pihak pendakwa membatalkan perintah tahanan yang dibuat di Miri dan mahkamah akan mengeluarkan surat kepada Mahkamah Majistret di Miri bagi tujuan tersebut.
Putri Salbiah sebelum ini dikenali dalam filem 80-an iaitu Ranjau Sepanjang Jalan di samping pelakon Sarimah dan Ahmad Mahmud.
Dia juga pernah menjadi pelakon utama dalam filem Keluarga 99 pada tahun 1987 bersama Salih Yaacob, Mr. Os dan Din Glamour.

Pelihara hati antara rahsia kecantikan Heliza

Posted: 10 Jul 2013 05:50 PM PDT

Pelihara hati
Nur Heliza Helmi
MELIHAT raut wajahnya yang manis dan tenang sudah cukup membuatkan insan di sekelilingnya tertarik.

Malah, personalitinya yang lembut dan terkawal juga menjadikan dia selebriti yang sangat dihormati.

Berusia 27 tahun, gadis kelahiran Terengganu ini bukanlah asing dalam industri seni tempatan.

Bahkan, bakatnya tidak tertumpu dalam bidang seni suara sahaja, tetapi juga lakonan dan pengacara.

Pun begitu, penyanyi yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia ini agak suram sejak kebelakangan ini.

Mengakui agak sibuk dengan komitmen terhadap bidang perniagaan dan sebagai penceramah bebas, empunya nama Heliza Helmi ini bagaimanapun tidak pernah melupakan bidang seni.

Malah, dia kini dalam proses menyiapkan album terbarunya.

Dalam kesibukan bekerja juga, dia tidak lupa untuk menjaga kesihatan dan kecantikan yang dikurniakan kepadanya.

Pun begitu, bagi Heliza, dia hanya bersederhana, tidak terlalu obses terhadap kecantikan dimiliki.

Pengertian cantik bagi anda?

Ada satu hadis mengatakan ALLAH itu cantik dan sukakan kecantikan, bagi saya, sebagai hambanya, kecantikan yang dianugerahkan perlu dipelihara, namun paling utama ia haruslah dibina dari dalam hati. Ini kerana, kita akan kelihatan cantik jika hati kita cantik.

Boleh kongsi rahsia anda kekal langsing seperti hari ini?

Sebenarnya, tiada rahsia, bentuk badan saya kecil dan kurus ini rasanya kerana faktor genetik. Dari dulupun, badan saya memang tidak pernah naik sedangkan saya sudah makan bermacam-macam untuk menambahkan berat badan.

Adakah kerana kesibukan kerja membuatkan berat badan anda sukar bertambah?

Mungkin juga, tetapi saya bukanlah seorang yang meninggalkan makanan jika sibuk terhadap kerja, saya akan makan walau sesibuk mana pun.

Bagaimana pula dengan rutin pemakanan anda, adakah anda mengawalnya?

Seperti yang saya katakan, saya memang kuat makan dan ingin menambah berat badan, jadi setiap pagi ibu akan bekalkan makanan untuk saya, tengah hari pula jika sibuk, saya akan makan sebelah petang, manakala malam, saya akan mengambil makanan berat seperti nasi atau roti.

Ada petua yang anda amalkan untuk kesihatan tubuh?

Saya tidak amalkan sebarang petua, tapi saya ada tip untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan. Misalnya, apabila hendak makan, digalakkan makan lebih kerap dalam sehari, tetapi dalam kuantiti sedikit.

Apakah anda rajin bersenam?

Saya memang jarang bersenam, biasanya saya hanya bersenam apabila ke kuliah sahaja, iaitu dengan turun dan naik tangga, jika dahulu adalah juga saya main badminton dengan rakan-rakan, tetapi sekarang kerana kesibukan kerja, kami jarang berkesempatan melakukannya lagi. Apa pun, saya tetap melakukan senaman ringan untuk mengeluarkan peluh di rumah.

Adakah anda mengamalkan suplemen atau multivitamin?

Memang saya ada cari suplemen dan vitamin yang bertujuan menambah berat badan, tetapi sehingga hari ini masih belum ditemui yang sesuai dengan saya. Pun begitu, saya pernah makan suplemen tambahan, tetapi hanya bertahan sehari sahaja.

Bagaimana pula dengan penjagaan wajah?

Kita sudah mencuci muka lima kali sehari menerusi wuduk, tetapi jika mengenakan solekan tebal, saya akan cuci dengan pembersih sehingga benar-benar hilang kesan solekan tersebut. Namun, untuk memberi seri wajah, wuduk adalah yang terbaik. Selain itu, kulit saya sensitif, jadi saya akan memakai pelembap dengan banyak selain krim malam.

Gemar ke SPA atau melakukan facial?

Saya memang tidak pernah melakukan facial sebenarnya.

Anda seorang yang bertudung, bagaimana anda menjaga kesihatan rambut?

Setiap hari saya akan mencuci rambut supaya ia bersih, tetapi sebagai model Sunsilk, saya juga menggunakan syampu yang mempunyai ekstrak limau purut. Bukan apa, limau purut membuatkan kulit kepala saya lebih segar.
Sedikit perkembangan terbaru anda?

Sekarang saya sedang menyiapkan album baru yang memuatkan empat lagu seperti Latahzan dan Jom Zikir. Selain itu album ini akan dimuatkan doa dan zikir. Jika tiada aral melintang, saya mahu siapkan tahun ini. Dalam masa yang sama, saya juga sudah mempunyai butik bersama tiga lagi rakan kongsi iaitu, Falah Abiyana yang terletak di Plaza Masalam.

5 perkara tentang Heliza

Seorang yang 'happening'

Mudah menjadi tempat seseorang mengadu dan cuba membantu mereka jika mampu

Seorang yang akan buat sesuatu sebaik mungkin jika menerima sebarang tugasan

Sukakan aktiviti lasak dan ekstrem seperti bermain go kart

Hanya meluangkan masa dengan keluarga jika punya waktu lapang

Profil
Nama: Nur Heliza Helmi
Tarikh Lahir: 3 Februari 1986
Asal: Kuala Terengganu, Terengganu
Usia: 27 Tahun
Karier: Ahli Perniagaan, Penyanyi, Pengacara, Pelakon & Model
Syarikat: Heliza Helmi Production Sdn Bhd (Hhp)
Single: Antaranya Cinta Di Lautan Lalang, Doa Dalam Lagu (Duet Dengan Mawi), Warna Sendu Tarian Jiwaku, Selalu Ada, Panggil Namaku
Filem: Syurga Cinta (2009)
Drama: Doa Ibu (2009)

Chomel Fana Keluar Dari KRU Music

Posted: 10 Jul 2013 05:49 PM PDT

Chomel Fana
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Chomel Fana mengesahkan dia tidak lagi menjadi artis di bawah naungan KRU Music Group, selepas menamatkan kontraknya dengan syarikat tersebut pada hujung tahun lalu.
Chomel atau nama sebenarnya Noorhanis Farhana Shaharuddin, 27, berkata, kontrak itu ditamatkan selepas kedua-dua pihak melihat tiada sebarang perkembangan yang boleh mengetengahkannya sebagai seorang penyanyi.
"Dua tahun lalu saya sertai KRU Music kerana mahu mengembangkan karier nyanyian. sehingga kini saya sudah mempunyai sebuah single berjudul BFF.
"Tapi saya melihat tiada sebarang perkembangan di situ dan seperti semua sedia maklum pihak KRU lebih memberi keutamaan di bidang perfileman. Jadi lebih baik saya tidak menyambung kontrak dan saya boleh membawa haluan sendiri," katanya.
Bagaimanapun tambah Chomel, dia berharap tiada pihak yang memandang serong dengan keputusan itu kerana ia dibuat tanpa sebarang perbalahan antara satu sama lain.
"Kami profesional dan tidak pernah berbalah berkaitan isu seperti ini. Tidak dinafikan pihak KRU juga telah mengembangkan bakat lakonan saya. Cuma bidang nyanyian sahaja agak perlahan dan rasanya itu adalah perkara yang normal," tuturnya.
Dalam pada itu, Chomel berkata, sejak menguruskan kerjaya sendiri, dia lebih senang dan selesa untuk bergerak ke mana-mana tanpa perlu memberitahu kepada pihak syarikat naungannya.
Malah, Chomel tidak menyesal dengan keputusan itu selepas melihat dia lebih banyak mendapat undangan nyanyian selepas meninggalkan syarikat rakaman itu.
Dalam perkembangan lain, Chomel kini sibuk menjalani penggambaran drama Menjinak Ombak bergandingan dengan Talha Harith untuk siaran TV3.
Lakonan Chomel turut dapat ditonton menerusi drama Balqis yang bersiaran bermula 3 Jun lalu setiap Selasa pada pukul 1.30 tengah hari di TV2.

Program Tempatan Di YouTube Sempena Ramadan

Posted: 10 Jul 2013 05:48 PM PDT


Pengurus Google Malaysia, Sajith Sivanandan (kiri), Pengurus Digital dan Perhubungan, Nestle Malaysia, Jamy Ling (kanan) dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi ketika bersama-sama melancarkan Saluran baru Ramadhan di YouTube.
PETALING JAYA: Laman popular iaitu YouTube buat pertama kalinya akan bekerjasama dengan pelbagai penerbitan daripada Malaysia untuk pengisian program tempatan bersempena bulan Ramadan menerusi YouTube Malaysia.
Pengurus Besar Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, kolaborasi itu wujud bagi memudahkan penonton mengakses kandungan bermusim yang sesuai bersempena bulan Ramadan dan Hari Raya yang akan menjelang Ogos depan.
"Berjuta-juta rakyat Malaysia melayari YouTube melalui pelbagai paparan setiap bulan untuk mendapatkan berita, informasi dan hiburan dan saluran Ramadan itu dilihat bertepatan dengan kehendak mereka bersempena musim perayaan bagi memudahkan mereka," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada Rabu.
Program yang mendapat tajaan daripada Nestle itu telah pun dilancarkan dan penonton boleh melayari pautan youtube.com.my/ramadanraya untuk kandungan program yang menarik.
Antara program yang telah disiarkan di laman YouTube saluran Ramadan.
Dalam perkembangan sama, Sajith berkata, pembekal kandungan program seperti Animonsta Studios, Astro, Homegrown Productions, Trymasak dan Suria Records telah menyediakan pelbagai kandungan tempatan yang pastinya bermanfaat dan menghiburkan.
Tambahnya, lima rakan kongsi menyumbangkan kandungan melalui lapan saluran YouTube yang terdiri daripada hiburan, masakan, animasi, muzik dan drama dengan 280 buah video unik yang secara keseluruhannya menampilkan lebih 130 jam kandungan program untuk dinikmati oleh pelayar YouTube Malaysia.
"Kami berharap saluran Ramadan YouTube bakal menjadi wadah kepada kandungan tempatan berkualiti yang bermanfaat dalam menggambarkan keindahan dan kepelbagaian Malaysia di bulan Ramadan," tambahnya.
YouTube Malaysia dilancarkan pada Mac 2012 diikuti dengan Program Rakan Kongsi YouTube pada Disember lalu untuk membantu pencipta-pencipta kandungan di Malaysia menjana pendapatan dengan karya mereka.

Jom Durian Acara 'Lazat' Untuk Kumpul Dana

Posted: 10 Jul 2013 05:47 PM PDT


ACARA Jom Durian, "Eat All You Can for Charity" bagi mengumpul dana untuk Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia kembali lagi untuk tahun keenam berturut-turut.
Sebanyak tujuh tan durian dari kaki bukit di Negeri Sembilan akan dibawa ke The Summit Subang USJ, memberi peluang kepada orang ramai menikmati 'Raja Buah' sambil mengumpul dana yang amat diperlukan untuk masyarakat.
Durian untuk acara ini akan dibawa dari Negeri Sembilan
"Orang ramai boleh membeli tiket berharga RM20 yang membolehkan mereka makan sebanyak yang mampu dalam masa satu jam. Terdapat sehingga 1,500 tiket untuk diperolehi dari sekarang di The Summit Subang USJ.
"Terdapat lima sesi tanpa henti untuk dipilih, bermula dari pukul 2 petang hingga 8 malam pada 18 Ogos," kata naib presiden persatuan Teoh Teik Hoong.
Beliau berkata, semua hasil kutipan dari acara itu akan disalurkan kepada masyarakat untuk membantu memenuhi hasrat kanak-kanak yang sakit di seluruh negara.
"Durian ditaja oleh The Summit, USJ Subang.
"Kami juga menawarkan kepada syarikat meja korporat berharga RM5,000. Setiap meja mempunyai tempat duduk untuk 10 orang dan tiada had masa untuk meja ini. "
"Banyak meja telah ditempah dan kami berharap lebih banyak syarikat tampil ke hadapan untuk menyokong perjuangan kami," kata Teoh, sambil menambah acara itu memberi peluang yang sempurna untuk syarikat-syarikat menjalankan tanggungjawab sosial korporat mereka.
Mereka yang menghadiri acara itu juga akan berpeluang membeli T-shirt edisi khas yang memaparkan hasil kerja karikatur tempatan, Mie.
Baju-T edisi khas dengan lakaran oleh karikatur tempatan
Tiket kini dijual di Kaunter Informasi, The Summit USJ Subang.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-8023 3493 (Wivien/Debbie).
Lawati halaman Facebook Jom Durian VI di www.facebook.com/CWSMalaysia

Masa jana pendapatan!

Posted: 10 Jul 2013 05:42 PM PDT


Secukup Rasa
Ifa Raziah
Ifa Raziah
RAMADAN tiba lagi! Di bulan penuh keberkatan ini, ramai umat Islam berlumba-lumba mengejarkan ibadah yang dijanjikan pahala berlipat ganda oleh ALLAH SWT.

Selain menjalani ibadah, ada juga di antara kita yang mengambil peluang untuk menjana lebih pendapatan.

Tidak terkecuali selebriti tanah air dengan pelbagai aktiviti jualan di bulan puasa.

Ifa Raziah & biskut raya

Setiap kali Ramadan menjelma, pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah pasti tidak ketinggalan untuk menjual pelbagai biskut raya untuk menambah pendapatan.

Setelah lapan tahun melaksanakan projek tersebut Ifa, 38, terus bersemangat untuk menjalankan promosi bagi jualan kuih raya itu.

"Saya menjual kuih dan biskut raya menggunakan label nama Serifa Cookies by Ifa Raziah.

"Ternyata sambutan agak menggalakkan setiap tahun, saya telah mengupah lima pekerja untuk membantu jualan," ujar Ifa.

Tambahnya, terdapat tujuh jenis biskut yang dijual iaitu almond london, apple crunchy, golden coconut, cappucino dan  tart Gulung.

Manakala dua jenis lagi kuih raya eksklusif iaitu tart buah-buahan, tart bunga, semuanya berharga serendah RM30 ke atas.

Menurut Ifa, segala aktiviti promosi jualan kuih rayanya telah dimulakan sejak sebulan lepas melalui pelbagai media sosial termasuk Instagram dan Facebook dengan carian @Ifa_Raziah.

Malah biskut jualannya turut menjadi pilihan selebriti dan mendapat permintaan tinggi daripada peminat.

"Alhamdulillah... semuanya berjalan dengan lancar apatah lagi tempahan yang diterima tidak putus-putus.

"InsyaALLAH, jika tiada aral melintang ia bakal dieksport ke Dubai dalam masa terdekat," katanya.

Pun begitu, Ifa berkata walaupun sesibuk mana jadual hariannya, dia mahu menjalankan ibadah puasa sebaik mungkin.

"Walau sibuk menguruskan promosi kuih raya, namun ibadah puasa tetap menjadi keutamaan.

"Saya akan membawa keluarga untuk mengerjakan solat terawih berdekatan dengan rumah di Masjid Jalan Duta," tegasnya.

Selain itu, bulan Ramadan tidak menghalangnya untuk meneruskan aktiviti seni, dia tetap meneruskan persembahan dan berlakon seperti biasa.

Nora tambah resipi baru

Sementara itu, penyanyi bersuara lunak Nora berkata, dia mahu mengurangkan aktiviti seninya demi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Namun ia bukan bermakna Nora meninggalkan terus bidang nyanyian, tetapi dia terpaksa menolak beberapa tawaran nyanyian kerana anak bongsunya masih kecil.

"Sebaliknya jika program keagamaan seperti jemputan berbuka puasa bersama anak yatim, terawih atau ceramah, saya tidak akan menolak.

"Saya ingin menghabiskan masa bersama keluarga dan meminimumkan aktiviti seni," tegas Nora.

Dalam masa sama, penyanyi Di Persimpangan Dilema ini turut mahu memberi tumpuan terhadap perniagaan biskut raya, Secukup Rasa yang dijalankan sejak 10 tahun lalu.

Malah, segala aktiviti jualan produk tersebut dilakukan menerusi blog Nora, norasecukuprasa.blogspot.com yang menyediakan pelbagai jenis biskut raya.

"Ia sudah menjadi rutin dan saya sangat sibuk mempromosikan produk Secukup Rasa.

"Kebanyakan biskut yang dijual merupakan kegemaran masyarakat Malaysia pada harga berpatutan," katanya.

Malah, Nora juga bercadang untuk menambah beberapa resipi baru untuk koleksi biskut rayanya.

Antara jualannya seperti biskut arab, cornflakes, tat nenas, biskut cip coklat, almond London, biskut mentega kacang, biskut kurma, semperit dan chocolate almond shortbread.

Menurut Nora, tempahan biskut raya dibuka sehingga minggu kedua Ramadan sahaja.

"Selain itu, saya juga menyediakan hamper raya untuk dijadikan buah tangan.

"Hamper-hamper ini berharga RM40 hingga RM500, ia bergantung kepada jenis biskut, saiz dan bekas yang digunakan," katanya.

Alif Satar jual kuih tradisional

Jika kebanyakan selebriti tempatan memilih untuk menjual pelbagai jenis kuih dan biskut raya, berlainan pula dengan jejaka tampan, Alif Satar.

Walaupun sekadar membantu ibu saudaranya, Alif mempromosikan pelbagai jenis kuih tradisional kepada rakan dan peminatnya.

Selain bahulu, kuih bakar dan semprit, banyak lagi kuih-kuih tradisional yang boleh ditempah.

Menurut pelantun Lelaki Seperti Aku, ia secara tidak langsung dapat memupuk minat dalam bidang perniagaan suatu hari nanti.

Bercakap mengenai kerjayanya pula, sepanjang bulan Ramadan Alif masih aktif memenuhi pelbagai jemputan nyanyian walaupun jarang muncul di hadapan kamera.

"Bukan menyepi tetapi sibuk bekerja di belakang tabir dan terlibat dengan pelbagai program korporat.

"Walau jadual agak penuh, tetapi aktiviti seni berjalan lebih santai kerana tidak perlu melakukan aksi lasak," ujarnya.

Tambahnya, selepas Aidilfitri ini dia bakal muncul dengan album ketiga kerjasama dengan Sony Music.

Dalam masa yang sama, Alif turut terlibat dengan rakaman program Senandung Kasih : Kenangan Mengusik Jiwa dan travelog mengelilingi dunia bersama Astro dalam 13 episod.

Ana Raffali rindu Ramadan

Posted: 10 Jul 2013 05:41 PM PDT


 Ana Raffali,
Ana Raffali
Ahmad Aznaim Abdullah, Ana Raffali
Ahmad Aznaim Abdullah, Ana Raffali
HAMPIR dua tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, Ahmad Aznaim Abdullah (Naim), penyanyi yang kenal menerusi lagu Kalau Berpacaran, Ana Raffali, meluahkan rasa teruja dengan kehadiran Ramadan yang mulia ini.

Menurut Ana, status sebagai isteri melengkapkan lagi kehidupannya bersama insan tersayang dalam menyambut bulan yang penuh keberkatan.

"Bagi saya tempoh menjalani kehidupan bersama suami sangat begitu bermakna. Sementelah lagi dengan kehadiran Ramadan.

"Bulan suci ini sememangnya sangat dinanti-nantikan kami. Inilah masanya untuk kami beribadah serta mengerjakan solat terawih bersama-sama," katanya.

Tidak lokek berkongsi kegembiraan, Ana berkata, mencium tangan suami selepas solat adalah saat yang paling bermakna buatnya. Malah itulah detik yang paling bahagia sepanjangnya bergelar isteri.

"Hubungan suami isteri akan lebih kuat apabila kita dapat mengerjakan solat bersama-sama. Malah itulah kunci kebahagiaan rumah tangga. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini," kata Ana.

Berkongsi sambutan Ramadan kali ini, Ana memberitahu, dia sangat bertuah kerana dapat tinggal berdekatan bersama ahli keluarganya di Lembah Keramat.

"Seperti tahun lalu, tahun ini mungkin saya tidak berkesempatan memasak sepanjang bulan Ramadan. Namun ia tidak akan  menjadi masalah buat saya dan suami, memandangkan kami bergilir-gilir berbuka sama di rumah keluarga saya atau dia," katanya.

Tambah Ana lagi, dengan cara tersebut ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara mereka.

Punya menu pilihan sendiri untuk berbuka puasa, Ana berkata, gulai masak lemak udang pasti menjadi hidangan.

"Itu memang lauk kegemaran saya dan suami. Jika berkesempatan saya sendiri akan menyediakannya buat kami sekeluarga," kata Ana.

Tunggu cahaya mata

Lumrah bagi pasangan yang berkahwin, pastinya mengimpikan cahaya mata bagi menyerikan lagi rumah tangga yang dibina. Begitu juga dengan pasangan ini. Menurut Ana, dia dan suami masih menanti kehadiran zuriat sendiri.

"Kami tak pernah merancang. Semua ini kami serahkan pada ALLAH. Sebagai wanita saya memang berharap untuk memiliki cahaya mata.

"Mungkin belum ada rezeki buat kami, tapi kami tak pernah putus asa," kata Ana yang pernah dikhabarkan hamil sebelum ini.

Ana dan Naim melangsungkan pernikahan pada Februari tahun lalu dalam sebuah majlis ringkas di Masjid Al-Hidayah, Gombak.

Tolak tawaran seni  

Berkongsi karier seninya, Ana memberitahu, dia masih menerima banyak tawaran nyanyian sepanjang Ramadan. Namun dia terpaksa menolaknya secara baik.

Menurut Ana, dia bukannya sengaja menolak tawaran yang diberikan sebaliknya ingin meluangkan masa bersama suami dan keluarga dalam menjalankan ibadah puasa di bulan yang penuh keberkatan ini.

"Saya tidak menolak tawaran kerana itu adalah rezeki dari Allah SWT, sebaliknya saya akan memilih tawaran yang berbentuk ketuhanan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ana turut mempromosikan single terbarunya, Jauh Ke Syurga, sebelum tampil dengan album penuh tahun depan.

Anjing liar ancam penduduk

Posted: 10 Jul 2013 05:34 PM PDT


Anjing liar ancam penduduk
Penduduk terpaksa memasang pagar dan mengarahkan ahli keluarga berkurung untuk mengelak daripada diserang anjing liar.
Anjing liar ancam penduduk
Kehadiran sekumpulan anjing liar berdekatan kawasan kediaman mengganggu keselamatan penduduk di Kampung Sungai Buaya.
SUNGAI BUAYA – Penduduk di perkampungan tradisional dekat sini, diselubungi kebimbangan disebabkan kehadiran sekumpulan anjing liar yang mengancam keselamatan mereka.

Masalah itu ketara sejak beberapa bulan lalu berikutan kehadiran lebih 20 anjing liar yang menjadikan kawasan tanah lapang berhampiran kediaman penduduk sebagai habitat.

Seorang penduduk, Rosliza Abdullah, 35, berkata, kehadiran anjing dalam jumlah yang banyak itu menyebabkan penduduk risau untuk keluar rumah.

Menurutnya, kehadiran kumpulan anjing liar itu ketara pada waktu tengah malam, selain pagi ketika penduduk hendak keluar bekerja.

Katanya, lebih membimbangkan, ia turut mengancam keselamatan kanak-kanak yang sering berulang-alik ke sekolah.

Menurut Rosliza, masalah berkenaan telah diajukan kepada pihak berkaitan, namun masing-masing menuding jari dan memberi pelbagai alasan untuk mengambil tindakan.

Katanya, dia tidak mahu tindakan hanya diambil selepas berlaku kejadian tidak diingini.

"Masalah ini membabitkan keselamatan. Janganlah hanya bertindak selepas berlaku sesuatu.

"Kini anak-anak takut untuk keluar bermain di luar rumah kerana bimbang diserang anjing, malah kami juga terpaksa berkurung kerana takut menjadi mangsa serangan anjing," katanya.

Ancam haiwan ternakan

Sementara itu, Ruzila Abdullah, 24, pula berkata, kehadiran kumpulan anjing liar itu bukan setakat mengancam keselamatan, malah turut mengganggu ketenteraman penduduk.

Katanya, pada waktu tengah malam, anjing berkenaan sering bergaduh dan ia membuatkan penduduk tidak dapat tidur lena kerana bising.

"Kadang-kadang anjing bergaduh sampai tepi rumah, kita mahu tidur pun tak boleh sebab bising. Selain menyalak pada waktu tengah malam, anjing ini juga mengancam haiwan ternakan seperti ayam," katanya.

Takut kena gigit

Ancaman anjing liar itu juga turut membimbangkan seorang warga emas, Habsah Mat, 57, yang kini buntu memikirkan jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang turut menghantui jiran tetangganya itu.

Habsah berkata, kemunculan anjing tersebut begitu ketara sejak adanya projek meratakan tanah berdekatan rumahnya yang dahulunya kawasan semak yang menjadi tempat perlindungan kumpulan anjing liar terbabit.

Katanya, akibat projek tersebut, anjing liar itu difahamkan tidak mempunyai habitat sesuai dan sering menjadikan kawasan persekitaran kediaman penduduk sebagai tempat berkumpul.

"Kadang-kadang anjing ini masuk sehingga kawasan halaman rumah, selepas itu meninggalkan najis dan kotoran lain.

"Najis anjing ni najis berat, jadi kotorlah rumah kita. Selain itu, kita hendak keluar rumah waktu malam pun tak boleh, takut digigit anjing," katanya.

Artis dicekup tidak puasa

Posted: 10 Jul 2013 05:28 PM PDT


Artis dicekup tidak puasa
Pelakon wanita yang dicekup bermain mahjung di sebuah bilik VIP di pusat siber di Bandar Puteri, petang semalam.
PUCHONG – Kesucian 1 Ramadan yang sepatutnya dihormati, dicemari dua wanita Islam termasuk seorang pelakon drama apabila dicekup bermain mahjung di sebuah pusat siber di Bandar Puteri di sini, semalam.

Pelakon yang pernah diberi jolokan nama seorang artis seksi luar negara itu kelihatan resah dan berjalan mundar-mandir dalam bilik berkenaan apabila wajahnya dirakam.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu dipercayai tidak berpuasa, menghisap rokok serta menikmati minuman yang terhidang dan memberi alasan sakit perut ketika dicekup di bilik VIP di tingkat tiga premis terbabit.

Ketika serbuan, wanita berusia lingkungan 30-an itu leka bermain mahjung bersama dua lelaki bukan Islam di dalam sebuah bilik kecil yang terletak di sebalik ruang permainan snuker.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan dan pemantauan, pihaknya melakukan serbuan ke pusat siber yang turut menjalankan aktiviti permainan snuker itu, petang semalam.

Hasil pemeriksaan mendapati perniagaan pusat siber yang turut menawarkan aktiviti perjudian itu tidak mempunyai lesen sah daripada MPSJ.

Dalam serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, R Ravinthran bersama 23 anggota, premis itu dikenakan tindakan sitaan manakala peralatan dirampas.

Mohd Rasip berkata, premis terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menawarkan pelbagai aktiviti hiburan kepada pengunjung.

"Kami bertindak merampas 42 set komputer mengandungi perisian perjudian atas talian dan dua televisyen.

"Tindakan diambil di bawah UUK 3 Undang-undang kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen daripada MPSJ," katanya.

Beliau berkata, pelakon berkenaan bersama tiga rakannya kemudian dibebaskan selepas butir keterangan diri diambil.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines