Sumber: SInar Harian
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) semakin hampir mendapatkan khidmat bekas bintang Valencia, Pablo Aimar.
Perkara itu dinyatakan sendiri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden PBNJ.
"Dalam pada itu, kita juga sedang dalam proses rundingan dengan beberapa pemain untuk beraksi dengan pasukan Johor DT.
"Selari dengan prinsip PBNJ yang sentiasa akan membawa nama-nama besar dalam industri bola sepak untuk berkhidmat dengan pasukan Johor, kami semakin hampir mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak bersama Pablo Aimar," katanya.
Aimar pernah beraksi di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin ketika mewakili Argentina pada Piala Remaja Dunia Fifa 1997 dan pasukannya muncul juara.
Beliau juga pernah beraksi pada Piala Dunia FIFA pada tahun 2002 dan 2006.
Pemain ini juga pernah muncul di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru, bulan lalu dan disambut sekumpulan penyokong skuad Harimau Selatan selain pekerja hotel berkenaan.
Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, pihak pengurusan juga telah mendapat persetujuan daripada lima pemain baru untuk menyarung jersi Johor DT bagi musim akan datang.
Pada masa sama, Tunku Ismail mengesahkan, PBNJ dalam usaha untuk mendapatkan khidmat pengurus pasukan yang baru dari Sepanyol.
Menurutnya, pengurus berkenaan adalah seseorang yang berpengalaman, selain pernah menerajui pasukan Valencia dan Atletico Madrid.
"Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada penyokong Johor, bahawa langkah-langkah positif telah diambil oleh PBNJ bagi memperkukuhkan lagi pasukan kita untuk musim depan.
"Fandi Ahmad akan terus bersama pasukan Johor DT sebagai penolong jurulatih," katanya dalam satu kenyataan dipetik dalam laman sosial.
Tunku Ismail turut menegaskan bahawa sumber kewangan PBNJ adalah daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dirinya sendiri dan juga rangkaian penaja yang melabur dalam negeri Johor, dan tidak melibatkan wang rakyat.
"Oleh itu, kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas, adalah lebih baik berdiam diri daripada menjatuhkan maruah diri sendiri," katanya.
Difahamkan, individu yang dikaitkan untuk menerajui Johor DT adalah Cesar Ferrando Jimenez yang pernah mengurus pasukan Athelico Madrid dan Valencia.
Selain itu PBNJ dikatakan juga dalam rundingan dengan Juan Manuel Lillo Diez yang merupakan pereka formasi 4-2-3-1 dan mentor kepada Pep Guardiola.