Jumaat, 20 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Tasha Shilla Kecewa Terpalit Isu Tangkap Khalwat Pemain Bola

Posted: 19 Sep 2013 12:16 AM PDT

Tasha Shilla
KUALA LUMPUR: Pelakon Tasha Shilla kecewa apabila dituduh sebagai pasangan yang ditangkap khalwat dengan seorang pemain bola sepak baru-baru ini.
Tasha, 26, berkata, perkara tersebut adalah tidak benar dan sangat memalukan dirinya dan keluarga.
"Saya sedih dan kecewa bila orang mengaitkan saya dengan isu pemain bola sepak yang ditangkap khalwat hanya kerana saya berkawan dengan Mahali Jasuli.
"Ketika mendengar tentang khabar angin itu saya sangat terkejut dan nasib baik ibu bapa saya tahu saya berada dimana ketika itu dan faham dengan situasi tersebut," katanya kepada mStar Online.
Tasha ditemui pada majlis peragaan busana ceongsam The Weld Oriental Rhapsody melibatkan pereka fesyen terkenal seperti Bill Keith, Keith See, Shanghai Sin, Ms Chinese Cosmos dan penaja barang kemas Raflessia di The Weld, pada Selasa lalu.
Mahali Jasuli
Tambah Tasha, dia tidak mahu dikaitkan dengan apa-apa kontroversi termasuk prestasi pemain bola sepak Harimau Malaya itu yang dikatakan semakin merudum sejak bercinta dengannya.
"Dari awal lagi saya dah nyatakan yang saya hanya berkawan dengan Mahali. Saya sokong dia sebagai kawan, bukan teman istimewa.
"Kenapa mahu libatkan saya kalau dia tak beraksi cemerlang? Kenapa bila dia tunjukkan prestasi cemerlang, tidak pula orang sebut nama saya, itu kena tanyalah pada jurulatih dia, Rajagobal," katanya.
Tambah Tasha, dia kini lebih selesa menganggap hubungannya dengan pemain bola sepak itu sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu.

Kekasih baru Nabila?

Posted: 18 Sep 2013 08:45 PM PDT


  • Nabila Huda
SEJAK kebelakangan ini, aktres popular, Nabila Huda, muncul dengan pelbagai kisah sensasi.
Selain kisah cinta, kemalangan, serta hubungan dingin dengan bekas suami serta bapanya sendiri, pelakon Julia dan Teduhan Kasih ini kembali memanaskan atmosfera seni apabila gambar mesranya bersama seorang jejaka tersebar.
Pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Nas T dan dia juga dikaitkan dengan beberapa pelakon lain seperti Johan Ashari dan Syazwan Zulkifli, anak kepada penyanyi rock terkenal Amy Search ini, dilihat mudah mencari penggantinya.

Jika dihitung, hubungannya dengan Nas T baru saja berakhir tiga bulan lalu. Tetapi sudah muncul gambar mesranya bersama jejaka yang didakwa berasal dari Singapura. Ini  pastinya mengejutkan ramai peminat.

Nabila yang dihubungi Zass, mengaku dirinya sudah penat untuk melayani setiap kontroversi yang datang.

"Saya tak nak komen apa-apa lagi. Cukuplah saya dah penat. Lagipun sekarang saya nak tumpu pada penggambaran," ujar Nabila yang kini sedang menjalani penggambaran Dia Suamiku.

Sementara itu, Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) ini turut memberi respons menerusi Twiterr mengenai laporan sebuah blog bahawa kawan rapatnya sudah menjauhkan diri daripadanya lantaran perubahannya itu.

"Siapa pula kawan baik yang kini menjauhkan diri setelah Nabila berubah? Kawan baik saya hanya @niesakhalil dan masa kecil @farakidal. Saya tidak mempunyai kawan yang kini menjauh itu. Niesa masih bersama saya dan Fara sudah berkahwin.

"Jadi, tolong berhenti bercakap benda salah itu. Kalau boleh tanya saya secara peribadi dan baru tulis. Bukan tulis baru tanya.

"Saya bukannya marah, kamu boleh tanya saya bila-bila masa sebelum menulis kerana ini bukan cara yang betul, biasakan diri untuk bertanya dan tulis," kata Nabila dalam laman Twitter miliknya.

Artis muflis, Seniman sedia hulur bantuan

Posted: 18 Sep 2013 08:44 PM PDT


  •  Zed Zaidi Zed Zaidi
TIGA artis telah dikhabarkan muflis. Namun sehingga kini hanya Aweera tampil mengakui perkara itu manakala Farah AF masih berdiam diri sementara penyanyi rock,  Amy Search pula menafikannya.
Mengakui isu muflis suatu perkara berat, Presiden Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, dia akan cuba membantu tiga artis terbabit dengan bekerjasama dengan badan tertentu bagi mengatasi masalah ini.

"Ia bukan satu jaminan, sebaliknya pihak Seniman akan cuba bekerjasama dengan mana-mana badan tertentu dan bertemu dengan tiga artis  bermasalah ini.

"Kemudian kita akan lihat bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Tapi ingin saya tegaskan, ini bukan jaminan dari Seniman, saya tidak mahu akhirnya kelak, pihak Seniman pula dipersalahkan," ujarnya kepada Zass.

Menurut Zed, demi perancangan jangka panjang, dia kini sudah merancang untuk membuat satu seminar bersama ahli-ahli Seniman mengenai cara menjaga kewangan yang betul.

Katanya, dia akan memanggil pakar dengan situasi sebegini yang akan mengajar mereka mengenai tindakan sewajarnya yang perlu mereka lakukan jika berhutang.
"Apa yang kita sedia maklum, golongan karyawan atau artis tidak mempunyai gaji tetap apatah lagi potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk jaminan masa depan.

"Gaji mereka hanya bergantung kepada apa projek yang mereka perolehi. Jadi amatlah penting bagi mereka mengetahui cara menguruskan kewangan yang betul.

"Mereka juga perlu sentiasa diingatkan bahaya muflis dan kita perlu tahu biasanya ada tiga jenis muflis iaitu melalui pinjaman, akibat saman dan juga menjadi penjamin. Jadi semua ini kita akan beritahu dalam seminar kelak," jelasnya.

Kad diskaun buat Seniman

Dalam pada itu, Zed turut menyampaikan berita gembira buat 5,000 ahli Seniman yang berdaftar untuk mendapatkan kad Skuan 1Pengguna atau ringkasannya kad diskaun.
Jelas Zed, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah bersetuju dengan usul Zed untuk memberikan kad diskaun kepada selebriti bagi kegunaan mereka.
"5,000 ahli Seniman sudah boleh mengambil kad ini di pejabat Seniman pada bila-bila masa dan satu taklimat akan diberikan mengenai penggunaan kad itu.

"Kad ini telah diperoleh dan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kemudahan karyawan," katanya.


APA KATA ARTIS?
Ahmad Idham
"Bagi mengelakkan perkara sebegini individu tersebut perlulah mempunyai ilmu tentang pengawasan kewangan yang lebih arif mengenai pengurusan kewangan. Punca utama muflis biasanya dikaitkan dengan perniagaan dan setiap perniagaan pastinya mempunyai risiko tersendiri. Selain dari membuat pinjaman, cuba dapatkan rakan niaga untuk bersama-sama memulakan  perniagaan. Ia dapat mengelakkan kita dari meminjam wang terlalu tinggi, '

Kamal Adli
"Walaupun kita meminjam dengan jumlah sedikit sekalipun kita perlu mempunyai penasihat kewangan agar dapat mengelakkan nama dari disenarai hitam. Saya sendiri, tak berani membuat pinjaman wang yang banyak. Lagipun saya tidak mahu ambil risiko. Kalau untuk memulakan perniagaan saya akan mencari rakan kongsi bagi mengelakkan pinjaman yang terlalu tinggi,"

Darling Ngasri
"Perkara sebegini perlu dipandang serius. Sebagai persiapan, kita seharusnya banyak membaca buku cara pengurusan wang yang betul. Setiap individu boleh berbelanja tapi harus mengawal wang tersebut. Harus berhati-hati, komitmen dan ikut pada kemampuan. Dari segi kos produksi, saya akan membuat kiraan wang masuk dan keluar bagi memudahkan ia dilakukan dengan baik,"


Faizal Ismail
"Apa jua pinjaman kita perlu selidik dahulu kemampuan, sama ada ianya mampu atau tidak. Hal ini sangat penting kerana ia dapat mengelakkan kita dari buat pinjaman terlalu tinggi. Kita juga perlu tahu jumlah pendapatan kita setiap bulan. Bagi golongan selebriti yang tidak mempunyai pendapatan tetap, harus lebih berhati-hati,"


Lan Kristal
"Saya cuba elak dari berhutang. Untuk menubuhkan studio misalnya, saya guna wang simpanan dan berkongsi dengan rakan niaga. Tetapi sekiranya, kita sudah tahu nama akan di senarai hitamkan, kita harus segera merujuk kepada badan yang boleh membantu. Jangan lari!"

Anuar Zain fobia

Posted: 18 Sep 2013 08:43 PM PDT


  • Anuar Zain Anuar Zain 
KINI,  ramai artis berlumba-lumba memuat naik status terbaru mereka melalui media sosial seperti Twitter, Instagram, Keek atau Facebook, tetapi berbeza dengan penyanyi lelaki versatil, Anuar Zain atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 43.
Bagi Anuar, disebabkan banyak keburukan dari kebaikan, dia tidak berminat menjadikan media sosial sebagai medium untuk bersosial.

Mengakui dirinya sering dilihat di tempat awam, Anuar merasakan perkara itu sudah memadai kerana tiada perkara yang diselindung daripada peminat yang rata-ratanya sudah mengetahui rutin kehidupannya.

"Saya rasa, tidak perlulah mempunyai laman sosial kerana saya sudah terlebih berkongsi bersama peminat.

"Dari dulu, saya tidak menyembunyikan aktiviti saya. Malah, peminat juga tahu di mana saya selalu ada, di kedai mana saya selalu habiskan masa lapang saya dan bagi saya, semua aktiviti saya mereka dah tahu.

"Saya rasa sudah terlalu menonjolkan rutin harian saya. Peminat sudah terlalu dekat dengan saya," katanya yang juga bimbang aspek keselamatan sekiranya terlalu menonjolkan diri.

Dia yang popular dengan lagu Lelaki Ini, turut meluahkan rasa terkilan dengan perbuatan individu yang sengaja mencuri dan merakam gambarnya sewaktu keluar di tempat awam dan mengutuknya di Twitter.

"Memandangkan saya tiada laman sosial, saya mendapat tahu beberapa individu yang tidak puas hati (mengambil foto tanpa izin) dan mengutuk saya di Twitter.

"Kutukan itu sedikit sebanyak mengganggu emosi saya. Sedangkan saya tidak pernah melukai hati sesiapapun, mengapa ada saja pihak mempunyai persepsi negatif terhadap saya.

"Saya merasakan laman sosial itu tiada kepentingan dan kebaikan selain hanya menimbulkan perkara tidak baik," katanya yang mengaku fobia dengan perkara sedemikian.

Malah disebabkan perkara itu, dia memutuskan tidak memiliki akaun laman sosial sendiri sebaliknya hanya memiliki  akaun Facebook Anuar Zain Network yang diselia pihak pengurusannya.


Bantu rumah kebajikan

Anuar yang hadir pada majlis sidang media Eksklusif sempena Malam Jalinan Mesra 2013 Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia di Restoran Rebung itu turut menjelaskan mengenai acara Malam Jalinan Mesra 2013.

Majlis berkenaan bakal berlangsung pada 19 Oktober depan di Dewan Kristal 1 & 2, Pusat Konvensyen TM (TMCC), Jalan Pantai Baru.
Katanya, majlis dengan kerjasama Sutera Qaseh Resources itu diadakan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada beberapa rumah kebajikan melalui tabung Kelab Sukan dan Kebajikan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia (KESPERB).

"Hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada rumah kebajikan.

"Pada hari itu nanti saya akan nyanyikan lima buah lagu dengan diselangi acara santai, " katanya yang turut memaklumkan tiket bagi majlis itu dijual dari harga RM3,000 hingga RM 30,000 semeja.

Beralih mengenai albumnya, Anuar berkata, pemilihan lagu amat susah dibuat memandangkan ia dipilih mengikut 'range' suaranya yang sukar dipadankan dengan sebarang lagu.

"Setakat ini, saya telah merakamkan hampir tiga  dan masih buat pemilihan lagu yang sesuai dengan suara saya.

"Kemungkinan saya akan bekerjasama dengan pemuzik Indonesia dan setengah daripada lagu saya juga mungkin dirakam di negara seberang itu," akhirinya.

Usia 40 tahun, Jasmin Hamid awet muda

Posted: 18 Sep 2013 08:42 PM PDT


  • Jasmin Hamid Jasmin Hamid
BILA sebut nama Jasmiah Abdul Hamid barangkali ada tertanya-tanya siapakah pemilik nama tersebut. Namun jika menyebut Jasmin Hamid pasti anda akan teringat pada susuk badan gebu yang boleh membawa apa sahaja watak.

Bakat Jasmin mula menyinar selepas membintangi filem Boss biarpun usianya baru menginjak  17 tahun ketika itu. Seterusnya Jasmin terus menyerlah dengan filem dan drama antaranya Minah Senget pada awal 90an, diikuti watak Maria Mercedes yang dipegangnya dalam siri TV Seri Pengantin pada awal 2000.

Malah Jasmin juga berjaya menghiburkan penonton dengan watak Datin Wan Abe menerusi siri komedi tajuk serupa.

Istimewanya Jasmin, biarpun sudah menginjak ke usia 40 tahun, namun dia masih lagi mengekalkan kecantikan sama seperti ketika dia menyertai pertandingan Dewi Remaja 1990/91.

Malah tidak keterlaluan mengatakan, ibu kepada Rohana, 25, Luqman Hakim, 19, dan Ian Haziq, 12, ini mampu menandingi wanita berusia lewat 20-an sehingga menarik perhatian Zass untuk mencungkil rahsia awet mudanya.


Apakah pengertian cantik bagi anda?

Bagi saya kecantikan itu datangnya dari peribadi, kalau peribadi kita cantik secara tidak langsung akan kelihatan pada wajah kita. Tapi jika muka kita cantik, peribadi tak cantik, tatasusila tak cantik, lama kelamaan kecantikan pada wajah kita akan pudar.


Dalam usia 40 tahun, anda masih kelihatan cantik seperti dulu, apa rahsianya?

Alhamdulillah, bagi saya ia satu pujian untuk saya tetapi saya tidak amalkan apa-apa rahsia cuma menjaga pemakanan dan kerap melakukan senaman untuk mengekalkan kelangsingan tubuh badan. Apatah lagi bila usia semakin meningkat, metabolisme kita semakin menurun.


Pernahkah anda mengalami masalah berat badan?

Tentu sekali, selepas bersalin anak ketiga pada 2001, saya ambil masa setahun untuk mendapatkan kembali berat badan ideal saya.


Bagaimana cara anda mengatasi masalah tersebut?

Saya bukan hanya mengamalkan diet, tetapi saya juga mengamalkan senaman seiring dengan diet. Apatah lagi, bila kita bersalin, metabolisme kita tidak sama ketika kita masih anak dara. Jadi perlukan usaha yang berganda untuk mendapatkan kembali berat ideal.


Boleh anda kongsikan rutin pemakanan kini?

Jika sesetengah wanita tidak mengambil nasi untuk kekal langsing, berbeza pula dengan saya yang perlu makan nasi. Tapi saya ambil dalam kuantiti yang sedikit dan saya hanya makan nasi sekali sehari. Pernah saya tidak makan nasi, akhirnya badan saya menggigil.


Dalam seminggu berapa kali anda akan bersenam?

Biasanya saya akan bersenam tiga kali seminggu dan akan memperuntukkan dua jam untuk bersenam. Jika saya ada masa, saya biasanya akan ke gimnasium untuk bersenam. Jika tidak saya akan bersenam di rumah sahaja, lagipun jika kita bersenam di rumah, kita tahu apa kelemahan atau bahagian mana yang perlu kita turunkan.


Ada sesetengah artis gemar melakukan suntikan untuk kekal cantik, anda bagaimana?

Hal-hal suntikan agak peribadi untuk saya kongsikan tetapi saya amat menitik beratkan penggunaan produk pada muka. Selain itu saya akan makan vitamin, jamu dan herba untuk memastikan kulit saya kekal cantik dan halus.


Adakah anda gemar melakukan facial?

Saya jarang melakukan facial apatah lagi saya memiliki kulit yang sensitif. Jadi bila betul-betul perlu baru saya buat.


Bagaimana pula dengan spa dan salun?

Saya memang gemar ke spa kerana saya suka lakukan lulur badan akupunktur tapi ia juga bergantung kepada masa saya. Jika ada masa barulah saya ke spa. Salun pula, pasti tiga kali seminggu. Ini kerana bila saya ada penggambaran, rambut selalu di 'blow' dan ada ketikanya perlu mewarnakan rambut. Jadi saya akan selalu ke salun untuk memastikan rambut saya terhindar daripada sebarang masalah.

Dalam sebulan, berapa kos yang anda peruntukan untuk penjagaan wajah dan badan?

Kos tersebut bergantung kepada keadaan dan seberapa kerap saya ke spa, salun dalam bulan itu. Tapi selalunya saya akan belanjakan RM1,000 untuk membeli produk penjagaan wajah, vitamin dan suplemen.


Setiap orang pasti mengalami tekanan, bagaimana cara anda mengatasi tekanan?

Biasanya saya akan cari sahabat untuk saya luahkan segalanya. Kemudian saya akan ke gimnasium, bila kita banyak bersenam dan angkat alatan yang berat, secara automatik tekanan itu atau rasa marah itu akan reda dengan sendirinya. Selain terapi yang sihat, ia juga akan membuatkan tubuh kita lebih sihat.


Pada masa lapang, apa yang anda gemar lakukan?

Memandangkan waktu kerja saya tidak menentu, jadi jika ada masa terluang, saya gemar meluangkan masa bersama anak-anak, masak untuk mereka, bawa mereka berjalan-jalan dan makan.

Apa perkembangan terkini anda?

Saya kini sedang menjalani penggambaran Mr. Perfect 10 bersama Global Station. Itu sahaja.


PROFIL
NAMA SEBENAR : Jasmiah Abdul Hamid
LAHIR : 8 Disember 1972
ASAL : Kuala Lumpur
STATUS : Ibu tunggal
ANAK : Rohana, 25, Luqman Hakim, 19, dan Ian Haziq, 12. (Rohana dan Luqman adalah anak angkat yang dibela sejak Jasmin berusia 20 tahun. Manakala Ian Haziq merupakan anak kandung hasil perkongsian hidup bersama Ian Rashid.)
DRAMA : Antaranya - Wardah (1993), Egois (1996), Cameleon (1997), Cinderella (1998), Maksimum (1999), Harlina (2002), Dilema Wanita (2006), Mya Zara (2006), Simbiosis (2006), Bicara Aur dan Tebing (2007), Datin Diaries (2007), Marikas (2007), Spa Q 2 (2008-2009), Aliff Firdaus (2009), Na O Mei (2010), Dia Atilia (2011), Ameera (2012).
FILEM : Antaranya - Boss (1990), Kanta Serigala (1991), Sama Tak Serupa (1995), Amelia (1996), Anaknya Sazali (2000), Cinta Tiada Restu (2001), Cinta Luar Biasa (2004), Budak Lapok (2007).
PENCAPAIAN : 2013-Anugerah Lawak Warna : Pelakon Wanita Komedi (TV), Anugerah Skrin 1997 : Pelakon Drama Terbaik.

Hans Isaac Mudah Menitiskan Air Mata

Posted: 18 Sep 2013 08:41 PM PDT

Hans Isaac
KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon Hans Isaac mengakui dia seorang yang senang beremosi sehinggakan perkara itu boleh membuatkan dia menitiskan air mata.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, keadaan itu akan berlaku terutamanya ketika dia gagal dalam melakukan sesuatu perkara atau terpaksa berdepan dengan dugaan dalam kerja mahupun berkaitan hal peribadi.
"Saya memang seorang yang sangat beremosi terutamanya dalam hal kerja kerana saya mementingkan kesempurnaan.
"Yalah, saya tak mahu melihat peminat buang duit terhadap karya saya yang tidak dihasilkan tanpa kesungguhan. Dan apabila berlakunya dugaan, saya kecewa dan boleh menangis. Tapi tak adalah sampai merengek.
"Dalam pada itu saya juga ada masanya menangis disebabkan kegembiraan," katanya.
Tambah Hans, gangguan emosinya itu juga membuatkan dia perlu menghilangkan tekanan dengan berjumpa teman rapat untuk meluahkan perasaan.
Sementara itu, ditanya mengenai status perhubungannya dengan Neelofa, pengarah filem Lemak Kampung Santan ini menjelaskan kedua-dua mereka berkawan rapat.
Hans bagaimanapun mengakui dia dan aktres berkenaan saling menghubungi antara satu sama lain setiap hari untuk berbual mengenai hal peribadi.
"Kami memang rapat dan setiap hari kami sering menelefon. Apa yang saya boleh katakan, biarlah kami memutuskan ke mana arah tuju hubungan ini.
"Saya mahu peminat sentiasa menyokong kerja kami," kata Hans.

Fazlina, Adik Ogy Elak Publisiti Kerana Nama Keluarga

Posted: 18 Sep 2013 08:39 PM PDT

Fazlina selesa tidak terlalu terdedah kepada publisiti kerana ingin menjaga nama baik keluarganya.
PETALING JAYA: Pelakon Fazlina Ahmad Daud mengakui selesa tidak terlalu terdedah kepada publisiti kerana ingin menjaga nama baik keluarganya yang cukup dipandang tinggi.
Fazlina, 38, berkata, ia disebabkan ibu dan bapanya iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah serta kakaknya, Ogy terlebih dahulu dikenali dalam bidang seni selain dihormati oleh banyak pihak.
"Saya sangat memandang tinggi kepada keluarga terutama arwah bapa dan ibu serta Kak Ogy (Fauziah) yang sangat dihormati oleh ramai orang.
"Atas sebab itu saya selesa tidak diberi terlalu banyak publisiti dan cuba mengelak daripada terlibat dalam sebarang kontroversi," katanya kepada mStar Online.
Tambah Fazlina lagi, dia kembali aktif sebagai pelakon bukan untuk mengecap populariti sebaliknya cabang seni itu dilakukan kerana kepuasan selain ingin meneruskan legasi keluarganya.
Kenangan... Fazlina (kiri) bersama bapanya, Datuk Ahmad Daud dan kakaknya, Fauziah Ahmad Daud semasa menghadiri Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1995.
"Saya sangat selesa dengan keadaan sekarang kerana saya percaya jika kita lakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh orang akan menghargai kerja kita dan populariti itu akan datang dengan sendiri.
"Pun begitu saya tidak nafikan publisiti itu penting untuk kerjaya seseorang artis namun biarlah ia mengenai perkara yang bukan menghancurkan," jelasnya.
Dalam pada itu, Fazlina berkata, dia kembali aktif berlakon sejak tahun 2010 selepas mendapat sokongan suaminya, Nahar Ludhfi Johari dan empat anaknya selain ingin mengisi masa terluang.
"Rindu nak kembali berlakon tetapi komitmen terhadap keluarga adalah keutamaan saya dan sekarang anak-anak pun sudah besar jadi banyak masa terluang.
"Tambahan pula suami dan anak-anak izinkan saya kembali aktif dan merekalah sokongan terbesar saya sekarang," jelasnya.
Fazlina kini bahagia disamping suami dan empat cahaya mata.
Hasil perkongsian hidup pasangan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Fatihah, 19, Mohd Hamzah, 18 dan pasangan kembar Mohd Nazmi dan Mohd Fahad, 15.
Sementara itu, Fazlina berkata, Ogy adalah inspirasi terbesarnya dalam dunia lakonan dan mengakui kakaknya itu banyak memberi tunjuk ajar dalam membentuknya sebagai seorang pelakon yang baik.
Bagaimanapun kata Fazlina, dia masih belum mempunyai keberanian untuk bergandingan dengan Ogy dalam drama yang sama kerana merasakan tidak layak untuk berlakon di samping seorang pelakon hebat itu.
"Saya mula berlakon sejak berusia 15 tahun dan latar belakang keluarga langsung tidak memberikan jalan mudah untuk mendapat peluang besar dalam dunia lakonan.
"Saya pernah menjadi pembantu produksi dan pelakon pembantu sebelum diberi peluang untuk memainkan peranan lebih besar dan Kak Ogy benar-benar mengajar saya untuk menjadi seorang aktres yang baik," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fazlina berkata, dia kini sibuk memenuhi undangan lakonan dan tidak menyangka kemunculan semulanya dalam bidang lakonan diterima baik.
Malah kata Fazlina, banyak tawaran terpaksa ditolak kerana tidak mampu untuk memenuhi permintaan produksi terhadapnya.

Penundaan 'Lawak Ke Der 3' Ada Hikmah

Posted: 18 Sep 2013 08:38 PM PDT

Barisan pelakon Lawak Ke Der 3 dari kiri Yus, Nabil Ahmad, Douglas Lim, Harith Iskander dan Taukey
KUALA LUMPUR: Penundaan Lawak Ke Der 3 kepada 5 hingga 8 Disember depan mempunyai hikmahnya kerana ia akan berlangsung pada musim cuti persekolahan yang mungkin dapat mempengaruhi penjualan tiket.
Penerbitnya Hans Isaac berkata, dalam masa yang sama ia sekali gus dapat mengumpulkan pelbagai golongan penonton untuk persembahan tersebut.
"Saya percaya tiket masih laris walaupun ditunda kerana ia bakal berlangsung pada musim cuti sekolah. Tambahan pula produk yang kita bawakan sangat bagus dengan harga tiket yang berbaloi," katanya pada sidang media khas penundaan pementasan itu di Istana Budaya (IB) di sini pada Rabu.
Teater itu sepatutnya dipentaskan pada 3 hingga 6 Oktober ini di Istana Budaya. Ia akan dilakonkan pelawak Yus, Nabil Ahmad, Douglas Lim, Harith Iskander dan Taukey.
Sementara itu Hans berkata, penundaan itu terpaksa dilakukan bagi memberi laluan kepada acara rasmi negara bersempena lawatan Presiden China ke Malaysia pada 4 Oktober ini yang antara lain akan turut melawat Istana Budaya.
"Pada mulanya apabila menerima panggilan daripada pihak IB mengatakan Lawak Ke Der 3 perlu ditunda, saya terduduk dan kecewa.
"Tetapi apabila difikirkan balik, apa salahnya saya beri laluan kepada acara rasmi itu yang jarang-jarang diadakan," katanya.
Dalam pada itu, disebabkan penundaan itu pihaknya di bawah NRG Enterprise memberi diskaun tiket istimewa iaitu sebanyak 20 peratus bagi mereka yang ingin menonton pada pementasan 6 Disember depan.
Tiket Lawak Ke Der 3 dijual pada harga RM46, RM96, RM176, RM196 dan RM356. Ia boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.ticket2u.biz atau boleh didapati di kaunter Box Office, Istana Budaya.

Ali Tetap Menyanyi Walaupun Sakit Akibat Kemalangan

Posted: 18 Sep 2013 08:36 PM PDT

Ali mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang dan terseliuh tangan kanan selepas terlibat dalam kemalangan di kawasan perumahannya pada 11 September lalu.
PETALING JAYA: Bekas vokalis kumpulan Terra Rossa dan XPDC iaitu Ali tetap meneruskan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya (IB) pada malam Sabtu lalu walaupun tercedera akibat ditimpa kemalangan pada 11 September lalu.
Ali, atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail ,44, berkata, walaupun telah dinasihatkan untuk berehat selama tiga minggu di rumah tetapi dia tetap bersemangat untuk meneruskan persembahan bersama beberapa lagi rakan artis seperti Aris Ariwatan, Zamani (Slam) dan Rahmat (Mega) kerana memenuhi janji.
"Alhamdulillah kemalangan itu bukannya serius dan tidak perlu rasanya untuk membatalkan persembahan tersebut kerana saya tidak mahu mengecewakan peminat.
"Tambahan pula acara itu telah dirancang sejak awal bersama rakan-rakan artis lain," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menceritakan mengenai kejadian itu, Ali berkata, dia terlanggar sebuah bonggol yang baru dibina di kawasan perumahannya ketika menunggang motosikal sehingga menyebabkannya terjatuh.
Ali terpaksa menggunakan kerusi semasa mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya pada malam Sabtu lalu kerana tidak mampu berdiri lama kesan daripada kemalangan itu.
Kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan pada tulang belakang selain tangan kanannya terseliuh sehingga menyukarkan dia bergerak.
"Atas sebab itu juga saya terpaksa menggunakan kerusi semasa mengadakan persembahan kerana tidak boleh berdiri lama akibat rasa sakit pada bahagian belakang badan. Bagaimanapun kecederaan itu tidak serius," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ali berkata, dia akan terus menerima undangan nyanyian walaupun diberi tempoh berehat kerana ingin mempromosikan album terbaharunya berjudul Maghfirah Mu yang kini sudah berada di pasaran.
Album yang memuatkan enam buah lagu itu menampilkan tema ketuhanan. Dia juga sudah lama mengidamkan untuk tampil dengan konsep sedemikian khas buat para peminatnya.
"Saya sudah puas menyanyi lagu-lagu rock dan ingin membuat sesuatu yang lain dan lebih bermakna dalam karier muzik saya. Bagaimanapun itu tidak bererti saya tidak lagi mahu mendendangkan lagu-lagu rock untuk peminat," jelasnya.
Ali berkata, peminat yang ingin mendapatkan album berkenaan boleh melayari laman Facebook miliknya ALI Maghfirah Mu Original untuk tempahan.

Ella gembira rock gegar DFP

Posted: 18 Sep 2013 08:14 PM PDT




SEPANJANG bergelar penyanyi rock wanita selama 30 tahun, sudah pelbagai konsert dijayakan oleh Ella sejak mula dikenali ketika bersama-sama dengan kumpulan Ella & The Boys dahulu.
Sudah berpengalaman menghiburkan peminat dalam konsert-konsert yang berskala besar, namun untuk konsert terbaharu ini pastinya memberikan kelainan buat penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu.
Tanggal 21 September ini (Sabtu) para peminat akan berpeluang menyaksikan persembahan istimewa Ella sempena Konsert MPO Rocks bersama Mus May dan Man Kidal yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Ditemui semasa acara makan malam eksklusif bersamanya di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, Ella meluahkan rasa terujanya kerana beraksi di pentas DFP merupakan satu peluang yang tidak harus dlepaskan sama sekali.
"Saya rasa begitu berbangga dengan konsert yang bakal berlangsung ini, apatah lagi persembahan saya nanti akan diiringi oleh pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
"Ia merupakan suatu kelainan yang akan ditampil- kan berbanding konsert sebelum ini. Tambahan pula bergabung dengan pemuzik hebat seperti MPO, pastinya ia memberi kenangan tersendiri kepada penonton," jelasnya tentang konsert sulungnya di DFP.
Menyedari tentang kesukaran untuk menembusi pentas DFP, terutamanya buat penyanyi rock seperti dirinya, pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin itu meluahkan kegembiraannya kerana pihak DFP telah membuka pintu buat muzik rock.
Ujarnya, peluang yang diraihnya itu juga dianggap sebagai suatu cabaran yang cukup besar kerana membuat persembahan diiringi oleh orkestra sesuatu yang cukup asing buat dirinya sepanjang bergelar penyanyi.
"Kita semua sedia maklum DFP merupakan sebuah pentas yang cukup berprestij dan mereka cukup selektif untuk memilih artis-artis yang membuat persembahan di situ.
"Jadi, konsert ini dilihat sebagai suatu penghargaan buat muzik rock. Lagipun saya diberitahu pemuzik di MPO begitu teruja dan tercabar memandangkan mereka belum pernah memainkan muzik rock sebelum ini," luahnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai Konsert MPO Rocks yang bakal dijayakannya itu, penyanyi tersebut menyatakan, semuanya bermula dengan tawaran yang diterima kira-kira tiga bulan lalu.
FIGURA ini sedang meniti kebahagiaan dalam alam rumah tangganya.


Setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan dengan pihak MPO, akhir- nya Ella telah memberikan persetujuan pada bulan lalu untuk membuat persembahan di DFP.
"Perbincangan berlangsung dengan cukup lancar dan mereka telah memberikan kebebasan kepada saya. Misalnya, menggunakan pemuzik tambahan yang akan mengiringi konsert saya nanti.
"Mereka telah bersetuju untuk saya menggunakan khidmat pemuzik seperti Man Kidal, Rody Kristal Acis dan Ahamd Muriz manakala lagu-lagu nyanyian saya pula merupakan pilihan MPO," jelasnya.
Bakal membuat persembahan selama 45 minit, Ella akan mempersembahkan lagu- lagu malar segarnya seperti Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Standing In The Eyes Of The World, Dua Insan dan Sembilu.
Pembedahan
Di sebalik keterujaannya bercerita tentang konsert yang akan dijayakannya itu, terdapat cerita tersendiri yang belum diketahui umum mengenai tahap kesihatannya.
Tutur Ella, kira-kira tiga minggu lalu dia telah menjalani pembedahan akibat apendiks setelah mengalami kesakitan yang agak teruk di bahagian perut selepas menjayakan sebuah persembahan.
"Sehari sebelum saya menjalani pembedahan keadaan saya agak teruk kerana menahan kesakitan yang agak luar biasa sehinggalah pemeriksaan di buat di hospital.
"Kemudian saya didapati mengalami masalah apendiks yang cukup serius dan doktor menyatakan saya perlu dibedah segera. Saya bersyukur kerana pembedahan berjalan dengan lancar," jelasnya.
Luah Ella, biarpun keadaannya sudah semakin pulih sekarang ini, namun kerisauan tetap dirasainya kerana bimbang tidak dapat memberikan yang terbaik semasa konsertnya itu.
JARANG bertemu suami, Ella mengakui dirinya dirundung perasaan rindu.


Ujarnya, selepas melakukan pembedahan dia telah dinasihatkan oleh doktor supaya tidak terlalu aktif dan bergerak. Bagaimanapun, dia berharap keadaannya itu bukanlah suatu penghalang besar buat dirinya untuk menghiburkan peminat.
"Saya yakin dapat membuat persembahan dengan baik dan tidak mahu keadaan yang dialami ini mengganggu fokus saya. Lebih penting saya mahu para peminat tidak melepaskan peluang untuk hadir pada konsert MPO Rocks nanti," ujarnya.
Jarang bertemu
Selain asyik bercerita tentang konsert yang bakal dijayakannya itu, Ella tidak terlepas daripada diajukan persoalan berkenaan dengan kehidupan rumah tangganya setelah lebih setahun bergelar isteri kepada Azhar Husaini Ghazali.
Menurut Ella, melayari kehidupan sebagai seorang isteri sesuatu yang cukup menggembirakan, meskipun jarang bertemu dengan suami tercinta yang bertugas sebagai juruterbang bersama syarikat penerbangan Firefly.
"Adakalanya perasaan rindu itu pastinya menjelma dalam diri apabila jarang bertemu, namun sebagai isteri saya perlu memahami kerjaya Azhar selaku juruterbang.
"Kalau ada masa terluang kami akan gunakan sebaik-baik mungkin untuk bersama.
"Sekiranya masing-masing tidak sibuk, kami akan pergi bercuti bersama-sama yang akan turut disertai ahli keluarga yang lain," jelasnya.
Akuinya, sepanjang bergelar isteri kehidupannya kini sudah jauh berbeza.
Sebagai contohnya, Ella tidak boleh terlalu bebas melakukan apa sahaja seperti sebelum berkahwin tetapi dia menganggapnya sebagai perubahan yang positif.
"Saya dan suami selalu berbincang dan akan memberikan pandangan masing-masing sekiranya timbul sesuatu perkara. Setakat ini tidak berlaku sebarang perselisihan faham yang besar, setakat gaduh-gaduh manja itu biasalah," ujarnya.

Mitos Viking bikinan Yusry

Posted: 18 Sep 2013 08:12 PM PDT


PENGGUNAAN kostum amat bersesuaian bagi setiap watak yang ditampilkan dalam Vikingdom.


JIKA tidak mengetahui fakta bahawa Vikingdom merupakan buah tangan daripada pengarah Malaysia iaitu Yusry Abdul Halim, pastinya ramai yang menganggap filem yang menelan bajet sebanyak RM20 juta itu adalah filem luar negara yang ditayangkan di Malaysia.
Ini kerana kesemua pelakon yang membintangi Vikingdom merupakan pelakon luar negara, malah filem itu juga seolah-olah dirakamkan di luar negara sedangkan semua babak dilaku- kan di Malaysia.
Itu kelebihan Yusry yang bijak menggunakan kesan khas visual (CGI) untuk filem terbaharu arahannya itu biarpun ada beberapa babak yang dianggap tidak realistik.
Babak tidak realistik itu, terutamanya ketika tunjang utamanya iaitu Irick Bloodletter (Dominic Purcell) berdepan dengan cabaran sekumpulan kuda untuk berenang ke dasar laut bagi mendapatkan tanduk yang mampu menghapuskan musuh ketatnya, Thor (Conan Stevens).
Lebih realistik jika Yusry menggunakan makhluk-makhluk berwajah hodoh berbanding kuda-kuda normal yang kita sedia maklum habitatnya adalah di darat! Babak itu sedikit sebanyak menggelikan hati.
Begitu juga cabaran akhir yang perlu diharungi Irick iaitu bertembung dengan anjing gergasi. Anjing tersebut juga tidak kelihatan realistik, malah langsung tidak menggerunkan apabila ia cuba mengejar dan memakan Irick. Timbul juga rasa geli hati di situ.
Bagaimanapun, sejujurnya apa yang amat membanggakan adalah Yusry berani menghasilkan filem berkisarkan tentang Thor (Dewa Petir) yang dianggap antagonis dalam kepercayaan orang-orang Viking.

FANTASI... Siapa sangka filem Vikingdom ini merupakan hasil arahan seorang anak jati Malaysia.


Suami kepada pelakon jelita, Lisa Surihani itu juga kreatif kerana mengolah jalan cerita tersebut supaya tidak menyamai cerita-cerita tentang Viking yang sedia ada khususnya yang pernah dihasilkan Hollywood.
Vikingdom mengisahkan seorang raja bernama Irick Bloodletter yang mati tetapi dihidupkan semula oleh dewa. Dia dihidupkan atas amanah yang perlu dilaksanakan iaitu membunuh Thor dan konco-konconya yang merancang untuk memusnahkan dunia.
Misinya itu tidak dapat dilaksanakan seorang diri apabila dia perlu mengumpulkan tenteranya bagi menghapuskan Thor dan konco-konconya. Irick bersama teman baiknya iaitu Sven (Craig Fairbrass), akhirnya disertai oleh Yang (Jon Foo), Brynna (Natassia Malthe) dan lain-lain lagi.
Taruhan Yusry memilih Dominic Purcell sebagai tunjang utama pada dasar- nya agak menarik dan ia juga mampu menarik penonton kerana ramai mengenali hero tersebut menerusi siri TV popular, Prison Break.
Malangnya, lakonan Dominic ibarat seperti kata pepatah 'melepaskan batuk di tangga'. Lontaran dialog, memek muka dan aksi lawan yang ditonjolkan kaku dan tiada jiwa!
Begitupun, pujian harus diberikan kepada watak Thor lakonan Conan Stevens, heroinnya Natassia Malthe dan juga watak hamba abdi dari China, Jon Foo yang cukup menghidupkan watak dalam filem tersebut.

VIKINGDOM banyak dibantu dengan penggunaan CGI.


Secara keseluruhannya, Vikingdom tidak rugi ditonton kerana ia membukti- kan kemampuan rakyat Malaysia dalam menghasilkan filem yang hampir menyamai standard produksi antarabangsa, malah tenaga kerjanya juga adalah 100 peratus dari Malaysia.
Biarpun jalan ceritanya agak membosankan kerana tegang dan tidak diselitkan dengan sebarang humor, selain beberapa babak tidak realistik yang begitu ketara, namun ada juga babak- babak menarik dalam Vikingdom.
Antaranya, babak pertarungan yang membabitkan Brynna dan Jon Foo bersama dengan konco-konco Thor. Aksi pergaduhan dan wajah dua pelakon itu mampu menarik penonton melekat lama di kerusi pawagam.
Begitu juga, penggunaan kostum- kostum yang bersesuaian dengan setiap watak. Buat Yusry, Vikingdom merupakan satu percubaan yang bagus untuk meniti anak tangga keja- yaan dalam menghasilkan filem bertaraf global pada masa hadapan.

Ika anggap perbuatan minta gambar bogel biadab

Posted: 18 Sep 2013 08:12 PM PDT

BEKAS peserta Akademi Fantasia musim keenam ini bakal muncul dengan single terbaharu berjudul, Tiada Rasa.


PADA bulan lalu, pelakon Ika Nabila telah dikritik ramai kerana tindakannya yang menghamburkan kata-kata yang agak kesat di laman sosial Instagram miliknya.
Perkara tersebut berlaku gara-gara ada individu yang tidak bertanggungjawab telah meminta gambar bogelnya sewaktu dia pergi bercuti ke Krabi, Thailand baru-baru ini.
Bertemu dengan bintang Akademi Fantasia musim keenam itu dalam sebuah pertunjukan fesyen Oriental Rhapsody yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ika lantas memberikan penjelasan.
Ujarnya, tindakan yang dilakukannya itu bukanlah disengajakan, namun ia lebih kepada luahan kekecewaan sehingga telah mengganggu mood percutiannya itu.
Kosmo!: Boleh jelaskan lebih lanjut tentang isu gambar bogel yang melanda diri Ika?
IKA NABILA: Sebenarnya saya sangat hairan apabila ada individu yang menjadi pengikut saya di Instagram telah melakukan tindakan di luar batasan yang mahu meminta gambar bogel saya.
Ia sesuatu yang mengejutkan kerana sepanjang percutian saya tidak pernah memakai yang menjolok mata, seksi atau berbikini. Itu yang telah membuatkan saya sangat marah.
Ayat-ayat yang diluahkan oleh anda itu nampak agak keterlaluan. Kenapa anda sanggup meluahkan ayat yang sedemikian?
Saya sedar perbuatan tersebut memang nampak biadap sehingga mendapat kritikan ramai, namun saya rasa perbuatan yang biadab harus dibalas dengan cara sama.
Lagipun saya menjadi mangsa keadaan atas perbuatan tidak bermoral oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tidak dinafikan saya terlalu beremosi ketika menulisnya.
IKA NABILA berpendapat perbuatan biadab individu yang meminta gambar bogelnya harus dibalas dengan cara yang sama.


Adakah Ika ingin mengambil sebarang tindakan terhadap individu berkenaan?
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memanjangkan isu yang timbul dan menganggap apa yang dilakukan oleh individu itu sebagai perbuatan yang hanya membuang masa.
Selain itu, saya ingin mengambil kesempatan untuk meminta maaf kepada semua pihak, terutamanya para peminat atas ketelanjuran menulis kata-kata yang kurang baik di Instagram.
Adakah isu yang timbul ini telah memberikan tekanan kepada diri Ika?
Setakat ini saya tidaklah berhadapan dengan sebarang tekanan, malah ada juga yang menyokong tindakan tersebut kerana mereka faham dengan situasi yang saya lalui.
Selain itu, saya sangat bersyukur apabila masih ramai orang di sekeliling yang mengambil berat terhadap diri saya. Namun begitu, saya berharap supaya isu sebegini tidak lagi timbul.
Ceritakan tentang perkembangan terbaharu kerjaya Ika sekarang?
Filem lakonan saya iaitu Tanda Putera baru sahaja ditayangkan dan bulan lalu saya selesai menjalani penggambaran filem Gangster Superstar arahan Khabir Bhatia.
Tidak lama lagi saya akan muncul dengan single terbaharu setelah kali terakhir merakamkan lagu berjudul Tiada Rasa yang menjadi lagu tema untuk drama bersiri Julia pada tahun lalu.

1,000 nikah di Thailand sebulan

Posted: 18 Sep 2013 08:10 PM PDT

MASIH ramai rakyat Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand.


SONGKHLA – Secara purata 1,000 rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur 30-an melangsungkan perkahwinan di selatan Thailand pada setiap bulan.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Faizal Razali berkata, angka tersebut tidak termasuk pernikahan membabitkan rakyat negara ini melalui orang tengah atau sindiket.
"Jumlah yang direkod membabitkan mereka yang melangsungkan pernikahan melalui saluran sah dan mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah berkenaan dan mendapat pengesahan pejabat Konsulat Malaysia di sini.
"Ada dalam kalangan pasangan tersebut berkahwin dengan pasangan warganegara lain seperti Thailand, India dan Pakistan," dedah beliau selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Persatuan 12 buah sekolah di Songkhla, Thailand di Kompleks Sukan di sini semalam.
MoU tersebut akan menyaksikan kerjasama KPTM dan 12 buah sekolah di Songkhla dalam menjayakan pusat bahasa yang ditubuhkan KPTM di wilayah itu untuk membantu pelajar-pelajar di negara jiran menguasai bahasa Melayu dan Inggeris.

Pemberontak Syria guna iPad lancar serangan

Posted: 18 Sep 2013 08:04 PM PDT



Sekumpulan tentera pembebasan Syria menggunakan komputer tablet iPad untuk melancar serangan mortar ke arah tentera rejim Bashar di Damsyik.



DAMSYIK - Kumpulan penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad dilihat menggunakan komputer tablet iPad untuk membuat sasaran serangan ke atas pasukan tentera rejim di sini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
iPad digunakan oleh tentera tersebut kerana terdapat satu aplikasi yang sesuai digunakan untuk membuat sasaran sebelum melancarkan serangan.
Sekumpulan tentera penentang di Jobar dilihat menggunakan sebuah iPad untuk melakukan sasaran ke atas beberapa buah kubu tentera rejim di Damsyik.
Kumpulan penentang itu berkata, keadaan perang menjadikan mereka semakin kreatif.
Jadi, penggunaan iPad menjelaskan tentang kaedah luar biasa digunakan oleh tentera pembebasan Syria untuk melakukan sasaran serangan mortar ke atas kubu tentera rejim.
Beberapa anggota pasukan tentera penentang, Ansar Dimachk, pada 15 September lalu dilihat menggunakan iPad untuk melancarkan mortar buatan sendiri.
Spekulasi mula tersebar di laman sosial Twitter yang mendakwa bahawa tentera penentang itu mungkin menggunakan aplikasi pengimbangan untuk menentukan sudut tembakan.

Pereka grafik hasilkan Lamborghini guna kadbod

Posted: 18 Sep 2013 08:03 PM PDT



Lesko menghasilkan model kereta berprestasi tinggi itu menggunakan beratus-ratus kertas dan kadbod di Amerika Syarikat.


SEATTLE - Sekiranya anda tidak mampu untuk membeli sebuah kereta berkuasa tinggi Lamborghini sebenar, mungkin idea menghasilkan model kereta mewah itu daripada kadbod dan kertas sudah memadai buat masa sekarang.
Kereta antara paling mahal di dunia itu merupakan hasil kerja terbaharu seorang pereka grafik, Taras Lesko. Dia sebelum ini pernah menghasilkan sebuah model robot kartun siri popular Gundam Wing setinggi 213 sentimeter daripada kadbod.
Proses pembuatan kereta tersebut dirakamkan Lesko, sebelum dimuat naik ke laman perkongsian video YouTube.
Pereka muda dari Seattle itu menghasilkan komponen-komponen kereta Lamborghini Aventador menggunakan aplikasi perisian komputer seperti AfterEffects dan Adobe Photoshop.
Selepas mereka bentuk elemen kereta itu, dia kemudian mencetak dan memotong satu persatu bahagian kereta menggunakan pisau X-Acto.
Bagi mengelak model kereta seberat 11.3 kilogram tersebut daripada terjatuh, Lesko menggunakan bahagian asas yang kukuh dari papan cip.
Kereta mewah tiruan yang mengambil masa selama beberapa bulan untuk disiapkan itu mendapat pujian daripada penonton di laman YouTube dan mencatat jumlah tontonan yang tinggi.

Koleksi kasut terbesar dunia dilelong di eBay

Posted: 18 Sep 2013 08:01 PM PDT




SEBAHAGIAN besar kasut yang menjadi koleksi Jordy Geller adalah berjenama Nike.



LOS ANGELES - Seorang lelaki yang memiliki koleksi kasut sukan terbesar di dunia dan tersenarai dalam Guinness World Records telah melelong sebahagian besar koleksinya di laman web lelong eBay, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Jordy Geller, 36, merupakan seorang yang fanatik dengan kasut dikatakan telah melelong 2,500 pasang kasut yang dimilikinya sejak 14 tahun lalu, dengan nilai £1 juta (RM5.1 juta).
Geller berbuat demikian kerana ketagihan untuk memakai kasut yang dimilikinya itu semakin menipis sejak kebelakangan ini.
Justeru, Geller mengambil masa beberapa minggu untuk menyenaraikan hampir kesemua koleksi kasutnya di laman web lelong eBay dan ia telah menarik ramai pembeli dari seluruh dunia.
Pemuda itu berharap dapat memperoleh beberapa ribu pound wang apabila dia berjaya menjual kasut itu kelak.
"Nama hadapan saya ialah Jordan Michael. Oleh itu telah tertulis dalam bintang bahawa saya menyukai kasut. Saya suka kasut jenama Nike, saya sentiasa menyukainya.
"Cinta saya terhadap kasut datangnya daripada bapa. Dia suka menyertai marathon ketika saya masih kecil dan akan membawa saya ke kedai kasut, selain mengajar saya tentang kasut-kasut Nike," katanya.

Tiga tahun tidak naik bertelur

Posted: 18 Sep 2013 07:59 PM PDT




LANGKAHNYA diatur perlahan saat dia berpijak di atas deraian pasir pantai yang sesekali membenam kakinya. Bayu petang menerpa wajah tuanya. Ya, lelaki itu sudah berumur 74 tahun. Fizikalnya tidak lagi gagah, namun tenaga dan semangatnya mungkin mengatasi orang yang jauh lebih muda.
Kedua-dua anak matanya dihamparkan ke arah ombak yang berlumba-lumba menghempas pantai. Apa yang bermain dalam minda Mohd. Nor Hamid ketika itu, tiada siapa pun mengerti. Apa yang pasti, gelora resahnya bukan bersifat peribadi, malah lebih kepada igauan nostalgia terhadap keagungan fauna yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
"Dahulu, waktu petang macam ini sudah boleh nampak ia berenang menghampiri pantai. Bila malam, ia naik mendarat dan mencari tempat terbaik untuk bertelur," dialek Terengganu mengisi setiap butir kata Mohd. Nor tatkala bercerita tentang spesies penyu kesayangannya itu.
Tambah imam Masjid al-Huda, Rantau Abang itu: "Sejak saya kecil, Rantau Abang sudah popular dengan penyu belimbing. Dahulu bilangannya penyu yang naik untuk bertelur boleh mencecah 100 ekor tetapi selepas tahun 1984, jumlahnya merosot sampai sekarang."
Keluhan Mohd. Nor itu bukan baru ini disuarakan. Namun, ancaman kepupusan penyu belimbing terus dipandang sepi.
Kali terakhir spesies penyu terbesar di dunia itu naik mendarat di pantai Malaysia adalah pada tahun 2010. Tiga ekor penyu itu menghasilkan sebanyak 385 biji telur melibatkan lapan buah sarang.
Seekor daripada penyu betina itu dikenal pasti sebagai Puteri Rantau Abang iaitu antara penyu belimbing yang dilepaskan di pantai yang sama pada program penetasan pada tahun 1978 anjuran Jabatan Perikanan Malaysia.
Ketika kepulangan bersejarah Puteri Rantau Abang ke tempat kelahirannya itu, Mohd. Nor dipanggil bagi memastikan kesahihan identiti penyu tersebut. Selepas melihat ekor penyu itu, Mohd. Nor yakin ia penyu yang sama ditanda olehnya 35 tahun lalu.
"Ketika itu, saya mengambil tender memungut telur penyu di pantai Rantau Abang daripada Jabatan Perikanan," singkap Mohd. Nor yang sanggup bersusah payah menjadi pemungut telur penyu demi kecintaannya yang mendalam terhadap hidupan marin prasejarah itu.
Telur tidak menetas

KESEMUA telur penyu diambil dan diserahkan kepada pusat santuari penyu bagi tujuan perlindungan dan penetasan.


Berdasarkan sumber yang diperoleh daripada Pusat Penyelidikan Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, pendaratan penyu belimbing mengalami kemerosotan sebanyak 90 peratus sejak tahun 1991.
"Bagaimanapun, kita belum boleh mengisytiharkan penyu belimbing sebagai spesies yang telah pupus. Beberapa tahun lepas, ia masih mendarat dalam bilangan kecil untuk bertelur.
"Mengikut jangkaan, penyu belimbing sepatutnya naik bertelur pada tahun lalu. Ramalan itu dibuat berdasarkan pola pendaratan spesies itu sejak tahun 2000 yang naik bertelur setiap dua tahun.
"Namun sehingga kini tidak ada seekor pun penyu belimbing naik bertelur," jelas Ketua Tumec, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir.
Tambah kritikal apabila Syed Abdullah memberitahu, sejak tahun 2004, tidak ada sebiji pun telur penyu belimbing yang menetas bagi membolehkan usaha pemuliharaan spesies itu diteruskan.
Kajian awal ke atas embrio, darah dan telur penyu itu mendapati, ia mungkin disebabkan ketiadaan persenyawaan yang berlaku antara penyu jantan dan betina. Sebelum penyu-penyu betina bertelur di daratan, mereka perlu melakukan persenyawaan terlebih dahulu dengan penyu jantan bagi membolehkan telur-telur yang mereka hasilkan dapat menetas
Sebab yang sama turut didedahkan oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia yang menyatakan bahawa kemungkinan kekurangan penyu belimbing jantan sebagai antara faktor telur-telur tersebut tidak disenyawakan.

PENYELIDIK memasang alat pengesan radio pada seekor penyu di Rantau Abang bagi mengesan pergerakan reptilia itu.


Pengurus Program Marin Semenanjung Malaysia, WWF-Malaysia, Gangaram Pursumal berkata, nisbah penyu jantan kepada betina dipengaruhi oleh suhu sarang penyu yang menjadi penentu kepada jantina anak penyu yang menetas.
"Secara amnya, sarang yang panas (lebih daripada 29 darjah Celsius) menghasilkan lebih banyak anak penyu betina manakala suhu sarang kurang daripada 29 darjah Celsius mempunyai kemungkinan tinggi menetaskan anak penyu jantan.
"Usaha pemuliharaan yang dijalankan sekitar tahun 1960 dan 1970-an itu tidak mengambil kira faktor suhu yang menentukan jantina haiwan ketika proses pengeraman. Kesemua telur didedahkan kepada suhu panas dan tidak diteduhkan menyebabkan penyu yang menetas adalah betina.
"Faktor suhu itu hanya diketahui pada tahun 1990-an dan ia mungkin sedikit terlewat memandangkan penyu betina yang dilepaskan ke laut tidak boleh melalui proses persenyawaan akibat kekurangan penyu belimbing jantan," ujar Gangaram.
Obor-obor kurang
Dalam tempoh 50 tahun lepas, pada musim penyu belimbing bertelur, kira-kira 10,000 sarang boleh ditemui. Namun situasi itu kini tinggal memori yang mungkin hanya menjadi rujukan sejarah untuk generasi akan datang.
Aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda atau jaring pukat pari sering mengakibatkan penyu (tanpa mengira spesies) terperangkap dan menyebabkan kecederaan dan kematian.
Syed Abdullah menjelaskan: "Kes penyu tersangkut dalam pukat memang menjadi masalah di peringkat antarabangsa.
"Namun dalam konteks penyu belimbing, ia boleh dilihat dari skop yang luas termasuk kemusnahan habitat akibat pembangunan. Ada juga penyu yang berhijrah ke negara lain sehingga ke Jepun dan Amerika Syarikat bagi mencari habitat yang lebih sesuai.
"Apabila ia berada di perairan negara asing, ancaman buruan ke atas spesies ini sangat tinggi. Ada pihak yang menangkap penyu belimbing bagi tujuan komersial dan dijadikan hidangan eksotik.
"Tidak lupa pencemaran laut seperti tumpahan minyak yang memberi kesan langsung kepada makanan utama penyu belimbing iaitu obor-obor.
"Di Terengganu sendiri, nelayan memberitahu sejak 10 tahun kebelakangan ini, obor-obor kian sukar ditemui walaupun menjelang musimnya pada bulan Mei sehingga Ogos."
Sementara itu, Gangaram menambah bahawa sebelum penjualan telur penyu belimbing diharamkan oleh kerajaan negeri Terengganu, pemakanan dan penjualan telur tersebut begitu berleluasa sekali gus menyumbang kepada ancaman kepupusan reptilia itu.

TED elak penyu tersangkut pada pukat

Posted: 18 Sep 2013 07:58 PM PDT



TED mampu meningkatkan hasil tangkapan nelayan.- Gambar hiasan


BERMULA pada tahun 1984, Peranti Penyisih Penyu (TED) yang dipasang pada pukat tunda diperkenalkan di Malaysia buat pertama kalinya di Pantai Remis, Perak. Alat itu kemudian diadaptasi Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (Seafdec) pada tahun 1997 di lokasi sama selain di Sandakan, Sabah.
Yayasan Penyelidikan Marin (MRF) meneruskan keberkesanan TED di Sandakan selama dua tahun iaitu pada tahun 2007 dan 2008. Selang tiga tahun kemudian, Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Rantau Abang, Terengganu memulakan kajian penggunaan TED ke atas pukat tunda udang musim tengkujuh di Kemaman.
Ironinya, peralatan itu mula diperkenalkan pada tahun 1970-an oleh nelayan dari Amerika Syarikat (AS) sebelum digunakan kebanyakan negara maju lain.
Objektif utama TED adalah bagi menjamin keselamatan semua spesies penyu di laut yang sering terperangkap pada pukat hanyut, pari, tunda, pancing dan bubu.
"Pengenalan TED yang kami jalankan di Kemaman menjadi antara usaha pihak Jabatan Perikanan dan Tumec dalam mengekang ancaman kepupusan penyu di negara ini. Program ini dijalankan selama tiga tahun bermula 2011 sehingga sekarang.
"Kami memilih Kemaman memandangkan ia merupakan pantai yang mencatat pendaratan penyu agar tertinggi di Semenanjung Malaysia. Pendaratan itu berlaku sepanjang tahun dengan purata 900 sehingga 1,200 sarang setahun," jelas Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabkhi Mahmood ketika ditemui Kosmo!.

AHAMAD SABKHI (duduk dua dari kiri) melepaskan penyu yang dipasang peranti satelit ke laut pada program Kenali Penyu, Sayangi Penyu 2013.


TED yang berdiameter 0.5 meter mempunyai beberapa bentuk seperti bulat, separa bulat dan segi empat. Bentuk ini bergantung pada jenis pukat tunda yang digunakan. Biasanya bentuk TED yang digunakan di Malaysia berbentuk separa bulat. TED diperbuat daripada besi galvanis yang tahan karat dan mempunyai empat bahagian utama, iaitu kerangka luar, jeriji tegak, penyambung pukat dan injap bagi keluar masuk penyu.
Hasil meningkat
AS telah memperkenalkan beberapa jenis TED seperti Georgia Jumper, Super Shooter, Matargorda TED dan Weedless TED. Kebanyakan negara termasuk Malaysia lebih gemar menggunakan TED daripada jenis Super Shooter kerana keberkesanannya melepaskan penyu dan material lain seperti sampah yang besar dan tongkol kayu.
Sebagai permulaan, seramai 20 nelayan dipilih bagi menjalani latihan menggunakan TED.
"Nelayan kita sudah biasa menggunakan pukat sedia ada. Jadi bila ada benda baharu begini, kami terangkan secara terperinci agar mereka faham fungsinya. Proses pemindahan teknologi memang memakan masa tapi kami harap nelayan dapat melihat keberkesanan TED dalam membantu meningkatkan hasil tangkapan mereka, dan dalam masa yang sama menyelamatkan nyawa penyu.
"Kalau program ini berjaya, kami akan laksanakan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat," jelas Ahamad Sabkhi.
Berdasarkan kajian selama program itu berlangsung, pukat tunda udang yang dipasang TED mencatatkan hasil tangkapan sebanyak 48 kilogram (kg) untuk enam kali tundaan dengan purata tangkapan sebanyak 8kg setiap tundaan.
Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding pukat tunda tanpa TED yang menyaksikan hasil tangkapan sebanyak 42.5kg untuk jumlah tundaan sama dengan purata 7.1kg setiap tundaan.

EKSPLOITASI dan kekejaman nelayan asing ke atas penyu juga menjadi punca kepada penurunan populasi penyu di seluruh dunia.


"Pasaran udang pada musim tengkujuh adalah pada harga antara RM30 sehingga RM60 setiap kg. Justeru, nelayan yang memasang TED memperoleh pendapatan tambahan antara RM60 sehingga RM180 sehari.
"Kami juga mendapati TED berjaya mengurangkan tangkapan ubur-ubur sebanyak 34 peratus. Pengurangan hidupan ini juga membantu meningkatkan hasil tangkapan komersial sekali gus memudahkan kerja pengasingan ikan dijalankan.
"Sebanyak 10 peratus sampah yang tersangkut pada pukat dapat dikurangkan menerusi TED dan penjimatan bahan api diesel turut berkurangan sebanyak 1.4 liter bagi setiap tundaan," demikian maklumat yang disampaikan Ahamad Sabkhi.
Sementara itu, pelaksanaan pukat TED itu juga diharapkan dapat membuka kembali pasaran pengeksportan udang negara yang kini disekat oleh AS. Sekatan yang telah berkuat kuasa selama lebih 10 tahun itu adalah atas faktor kegagalan Malaysia mencapai status negara yang memulihara spesies penyu secara menyeluruh.

Beli produk istimewa dengan satu sentuhan

Posted: 18 Sep 2013 07:56 PM PDT




KETIKA diberitahu seorang rakan mengenai kewujudan portal The Cresent baru-baru ini, Saidatul Amira Ghazali, 26, bersikap skeptikal. Baginya portal itu tidak lebih daripada portal biasa yang menjual pelbagai produk dan busana Muslimah seperti yang pernah dilayarinya di internet sebelum ini.
Bagaimanapun, sebaik sahaja melayari portal berkenaan buat kali pertama, gadis yang mesra dengan panggilan Amira itu agak teruja.
Ia bukan sekadar portal perniagaan biasa sebaliknya turut memaparkan beberapa panduan mengenai fesyen dan gaya hidup seorang Muslimah.
Mengakui seorang yang menggemari dunia fesyen, Amira berkata, dia berpuas hati melayari The Crescent kerana ia menawarkan pelbagai produk dan busana Muslimah terkini di pasaran.
"Kesedaran masyarakat terhadap pemakaian yang mematuhi syarak semakin meningkat. Justeru, kewujudan portal ini dilihat tepat pada masanya.
"Selain menawarkan pelbagai produk fesyen Muslimah dengan rekaan terkini, harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah berbanding di pasaran," katanya yang menetap di Skudai, Johor Bahru.
Sebagai seorang ahli fisioterapi, Amira mengakui jadual kerjanya sentiasa padat dan tidak menentu menyebabkan masa untuk membeli-belah agak terhad.
Disebabkan itu, tidak hairanlah anak kedua daripada empat beradik itu lebih gemar mendapatkan pelbagai barangan termasuk busana Muslimah kegemarannya seperti tudung dan selendang di laman-laman web atau laman sosial.
Bagaimanapun, katanya, risiko berurus niaga di internet amat tinggi kerana dia sendiri pernah menjadi mangsa penipuan beberapa peniaga tidak bertanggungjawab.
"Pernah barangan yang saya ditempah tidak sampai biarpun telah membuat pembayaran. Lebih menyakitkan hati apabila produk yang ditempah tidak sama seperti yang dipamerkan di laman web," ceritanya.
Bagaimanapun, sebaik sahaja melayari portal The Crescent, kebimbangan itu tidak lagi wujud apatah lagi selepas dia mengetahui portal itu diuruskan oleh salah sebuah syarikat telekomunikasi gergasi di negara ini, Celcom Axiata Bhd. (Celcom).

PORTAL The Crescent memberi pelbagai maklumat mengenai fesyen terkini dan gaya hidup Muslimah.


"Melalui portal ini pelanggan perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Ia juga menggunakan pembayaran melalui kad kredit atau sistem pembayaran elektronik yang mana mempunyai prosedur keselamatan yang lebih ketat.
"Lebih menggembirakan, barangan saya dihantar mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu tiga hari," katanya yang telah membuat pembelian melalui portal tersebut baru-baru ini.
Amira berkata, satu lagi perkara menarik yang menyebabkan dia menyukai portal itu adalah pengisian lain yang ditawarkan seperti panduan mengenai pelbagai aspek kehidupan yang meliputi bidang sosial, kesihatan dan agama. Ini baginya secara tidak langsung memberi nilai tambah yang boleh dimanfaatkan pengguna.
The Cresent yang menyediakan ruang perniagaan kepada produk berkaitan Islam seperti fesyen dan gaya hidup merupakan salah satu daripada tiga portal terbaharu yang dilancarkan Celcom dalam usaha meneroka pasaran ekonomi digital yang dilihat pesat berkembang di negara ini.
Selain The Cresent, syarikat itu turut melancarkan portal Bachabooku dan Buzzaar yang telah beroperasi sejak 1 September lalu.
Ketua Perkhidmatan Digital Celcom, Afizulazha Abdullah berkata, kehadiran ketiga-tiga portal merupakan usaha syarikat itu untuk meluaskan sumber pendapatan menerusi penyediaan perkhidmatan digital atau aplikasi, berbanding hanya tertumpu kepada khidmat suara dan data .
Katanya, internet tidak lagi dilihat sebagai cabang komunikasi yang memudahkan urusan kerja dan satu medan pencarian maklumat. Sebaliknya ia turut memainkan peranan penting dalam menggerakkan dunia perniagaan.
"Hari ini penggunaan jalur lebar semakin meluas termasuk di luar bandar. Masyarakat tanpa mengira peringkat usia sentiasa berhubung melalui pelbagai peranti pintar seperti tablet dan telefon pada setiap masa dan lokasi.
"Jadi, kami merasakan sudah tiba masanya untuk meluaskan skop perniagaan sedia ada kepada perkhidmatan portal seperti ini yang mana bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih 13 juta pelanggan Celcom tetapi juga rakyat secara keseluruhan," katanya kepada Kosmo! semasa majlis pelancaran ketiga-tiga portal berkenaan di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Afizulazha, portal-portal itu dibangunkan untuk memberi peluang kepada pengguna internet menikmati pengalaman membeli-belah dengan dalam suasana lebih selesa dan menjimatkan masa.
Selain hanya menjual produk buatan Malaysia, katanya, ia juga menawarkan variasi produk berkualiti dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
Portal Bachabooku misalnya, menawarkan lebih 700 penerbitan elektronik, termasuk buku dan majalah daripada pengarang dan penerbit tempatan manakala Buzzaar menawarkan pelbagai produk istimewa seperti makanan dan kraftangan dari setiap negeri.

AFIZULAZHA (empat dari kanan) melancarkan tiga portal terbaharu Celcom yang beroperasi sepenuhnya pada 1 September lalu.


"Sebagai contoh, jika seseorang itu mahu membeli telur ikan terubuk Sarawak, mereka hanya perlu melayari portal Buzzaar dan membuat tempahan. Pembelian boleh disempurnakan melalui pembayaran menggunakan kad kredit ataupun sistem pembayaran elektronik sebelum ia dihantar mengikut tempoh yang ditetapkan.
"Apa yang penting, pengguna tidak perlu bimbang melakukan urus niaga kerana portal ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini bagi menghindari sebarang penipuan," ujarnya yang memberitahu portal itu terbuka bagi semua pengguna dan tidak terhad kepada pelanggan Celcom sahaja.
Jelas Afizulazha, pihaknya sedang giat melakukan pelbagai promosi untuk menarik pengguna termasuk dalam kalangan usahawan tempatan yang berminat untuk mempromosikan produk mereka pada platform yang disediakan.
Ujarnya, ketika ini terdapat lebih 50 usahawan tempatan yang menawarkan lebih 100 barangan dalam Buzzaar dan menjangka bilangan itu akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Kami sentiasa mencari usahawan yang mampu memberi perkhidmatan dan produk terbaik kepada pelanggan untuk dipaparkan di portal-portal ini," kata beliau yang menyasarkan sehingga satu juta pelanggan berdaftar yang akan menggunakan portal tersebut menjelang hujung tahun hadapan.
Salim Abdullah, 52, pula tertarik dengan kandungan portal Buzzaar yang menawarkan pelbagai jenis makanan, produk kraftangan dan aksesori tempatan.
Berasal dari Kapar, Klang, dia berkata, melalui portal itu orang ramai boleh membeli pelbagai produk tempatan tanpa perlu bersesak-sesak di luar rumah.
"Lagipun harga petrol sudah meningkat, melalui portal ini kita berpeluang mendapat apa yang diinginkan hanya melalui satu sentuhan," ujarnya.
Salim berharap lebih banyak produk tempatan dapat diketengahkan melalui portal berkenaan pada masa hadapan.
"Ketika ini terdapat dua produk dari dua negeri iaitu Sarawak dan Lembah Klang, mungkin selepas ini ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain yang turut mempunyai keistimewaan tersendiri," katanya.

Gotong-royong bersihkan Seberang Takir

Posted: 18 Sep 2013 07:55 PM PDT


Sukarelawan TM dan penduduk kampung menyertai aktiviti gotong-royong di Kampung Seberang Takir.


SEAWAL pukul 7 pagi, penduduk Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu sudah bersiap sedia untuk menyertai Program Gotong-Royong 1TM anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM).
Tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak, riak wajah mereka menunjukkan semangat jati diri yang tinggi dalam mencurah tenaga membersihkan kawasan kampung tersebut.
Program Gotong-Royong 1TM merupakan salah satu cabang program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TM yang diberi nama Kempen TM Bumiku.
Ia diadakan di seluruh negara dengan warga Kampung Seberang Takir berbesar hati menjadi tuan rumah dalam perasmian Program Gotong-Royong 1TM yang bermula tahun lalu.
Pengerusi TM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie berkata, program berkenaan diadakan secara serentak di seluruh negara untuk bekerjasama bersama masyarakat memulihara alam sekitar.
"Sebanyak 1,600 pekerja TM telah mengambil bahagian dalam program kali ini di seluruh negara.
"Di Kampung Seberang Takir pula, kita berjaya mengumpul 100 pekerja TM dan 200 penduduk menjayakan program ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam program berkenaan, pelbagai acara diatur termasuk senamrobik, pertandingan lukisan, sukaneka, memasak dan lain-lain lagi.
Hadir sama merasmikan program berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman. Turut bersama ialah Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail.
Halim turut membersihkan pantai, mengecat bot, membaiki jeti malah menjemur dan mengasingkan ikan bilis bersama penduduk setempat.
Beliau menambah, sumbangan kecil yang diberikan TM itu diharap mampu mengurangkan beban penduduk setempat dalam menjalankan aktiviti seharian mereka.
Pengalaman baharu
Katanya, pemilihan Kampung Seberang Takir agak istimewa kerana ia bukan sahaja terletak berhampiran pantai tetapi dapat menjalankan aktiviti seperti mengecat bot, membaiki jeti, mengecat masjid malah menjemur serta mengasingkan ikan bilis.
"Ia tentu sekali akan memberi pengalaman baharu kepada para sukarelawan TM yang menjayakan program di kampung ini," ujarnya.

PESERTA bersama penduduk membaiki jeti nelayan.


TM turut melancarkan pasukan sukarelawan TM yang dikenali dengan nama TM ROVers yang membawa singkatan TM Reaching Out Volunteers.
Halim memberitahu, penubuhan pasukan itu bertepatan dengan usaha TM menyemarakkan amalan kesukarelawan dalam kalangan pekerja.
Bahkan, beliau memberitahu, setakat ini, TM mempunyai kira-kira 12,000 sukarelawan di bawah kelab-kelab dan persatuan di dalam TM.
"Justeru, dengan penubuhan TM ROVers, kita berharap dapat menyeragamkan segala aktiviti sukarelawan di bawah satu bumbung dan nama," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Razif yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seberang Takir berbangga kerana TM telah memilih Kampung Seberang Takir untuk mengadakan program CSR mereka.
"Ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam mendekatkan masyarakat dengan teknologi. TM merupakan sebuah syarikat besar malah melalui program ini penduduk dapat mengetahui teknologi terkini yang ditawarkan TM.
"Dengan kerjasama tersebut, ia memberi pendedahan mengenai kes kecurian kabel yang kerap berlaku kebelakangan ini," katanya.
Beliau menambah, internet memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat hari ini termasuk penduduk di Terengganu.
Justeru katanya, kepentingan menjaga kabel amat penting bagi memastikan capaian internet sentiasa dapat dinikmati penduduk.
Dalam pada itu, seorang peserta, M. Hafizudin Mazlan berasa terharu dapat bersama rakan-rakannya membersihkan kawasan pantai.
"Ini kali pertama saya menyertai program gotong-royong. Saya seronok kerana dapat bersama-sama menjaga alam sekitar terutama kawasan pantai yang menjadi tarikan pelancong di negeri ini.
"Saya berharap dapat mencurahkan lagi tenaga dalam program sebegini pada masa hadapan," ujarnya.
Masyitah Yunus pula berbesar hati kerana TM memilih Kampung Seberang Takir sebagai tuan rumah program gotong-royong berkenaan.
"Ia memberi peluang kepada penduduk setempat seperti saya untuk mengenali kakitangan TM dengan lebih dekat lagi selain bersama-sama menjaga alam sekitar," katanya.

Apple perkenal iPhone 5S dan iPhone 5C

Posted: 18 Sep 2013 07:54 PM PDT


APPLE mengambil strategi pemasaran berbeza apabila melancarkan model telefon pintar iPhone 5S dan iPhone 5C secara serentak.


SETELAH hampir setahun iPhone 5 diperkenalkan kepada dunia gajet digital, Apple Inc.. (Apple) kembali dengan menampilkan dua model telefon pintar terbaharu secara serentak iaitu iPhone 5S dan iPhone 5C.
Syarikat legasi Steve Jobs itu melancarkan strategi pemasaran yang agak berbeza berbanding sebelumnya. Jika sebelum ini Apple hanya memperkenalkan satu model telefon pada satu-satu masa, kali ini ia memasarkan model dengan dua spesifikasi berbeza serentak.
Secara perbandingannya, kedua-dua model ini memasarkan sistem operasi terkini iOS 7, berbanding iOS 6 yang terdapat pada iPhone 5.
Namun begitu, Apple mengekalkan paparan LCD IPS berukuran 4-inci (10 sentimeter) dengan 1,136 x 640 piksel berserta dengan 326 piksel per inci (ppi) iaitu paparan yang sama digunakan pada iPhone 5.
Dari sudut sokongan rangkaian 4G LTE pula, kedua-dua model ini menyokong teknologi terkini rangkaian mudah alih yang turut ditawarkan pada model iPhone 5.
Jika kamera menjadi kayu pengukur spesifikasi, iPhone 5S mendahului model-model sebelum ini dengan sedikit peningkatan pada kamera bahagian hadapannya. Ia dilengkapi kamera 8 megapiksel pada bahagian belakang dan kamera hadapan dengan 1080p membolehkan video berdefinisi tinggi (HD) dirakamkan.
iPhone 5C masih berkongsi kamera yang sama dengan iPhone 5 tetapi mempunyai keupayaan rakaman video HD. Ia turut menggunakan unit pemproses yang sama dengan iPhone 5 iaitu A6 32 bit, manakala iPhone 5S menggunakan unit pemproses terkini A7 dengan keupayaan pemprosesan 64 bit.
iPhone 5S dibekalkan dengan kuasa yang lebih berbanding iPhone 5 dan iPhone 5C. Ia menawarkan masa bercakap tambahan dua jam, menjadikan jumlah masa bercakap dengan capaian 3G sehingga 10 jam menggunakan bateri dengan kapasiti 1570 miliampere-jam (mAh), berbanding hanya lapan jam masa bercakap pada iPhone 5 dan iPhone 5C.
Ini mungkin agak mengecewakan bagi mereka yang mengharapkan masa bercakap yang lebih panjang pada iPhone 5C memandangkan ia dibekalkan dengan bateri berkapasiti 1507mAh berbanding hanya 1440mAh untuk model iPhone 5.

KEPUTUSAN Apple memperkenalkan model dengan spesifikasi yang lebih rendah mewujudkan dua kategori pengguna iPhone yang selama ini dianggap sebagai golongan yang agak 'istimewa'.


Keputusan Apple untuk tidak menawarkan teknologi NFC pada kedua-dua model iPhone ini agak mengecewakan sesetengah peminat iPhone yang mengharapkan teknologi yang ditawarkan pada sesetengah model keluaran pesaing terdekatnya, Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung).
Sebagai ganti, Apple menawarkan ciri imbasan cap jari pada model iPhone 5S yang bertindak sebagai satu sekuriti tambahan. Namun begitu, teknologi imbasan cap jari pada peranti digital bukanlah sesuatu yang baharu di pasaran.
Kira-kira dua tahun lalu, Motorola telah memperkenalkan ciri itu pada model telefon pintar Atrix 4G keluaran mereka. Teknologi ini juga telah terdapat pada beberapa model komputer riba yang dikeluarkan pada sekitar tahun 2006.
Ciri-ciri lain yang terdapat pada iPhone 5S dan iPhone 5C adalah sistem kedudukan global (GPS), kompas digital dan sambungan WiFi.
Apa yang dapat disimpulkan menerusi perbandingan-perbandingan ini adalah Apple seolah-olah hilang sentuhannya dalam memperkenalkan inovasi terkini dalam produk berbanding ketika era pengasasnya, Jobs.
Ramai penganalisis teknologi berpendapat keputusan memperkenalkan model dengan spesifikasi yang lebih rendah seolah-olah mewujudkan dua kategori baharu pengguna iPhone yang selama ini dianggap sebagai golongan yang agak istimewa.
Selain itu, langkah memperkenalkan teknologi yang agak terkebelakang berbanding pesaingnya mungkin menyebabkan sesetengah peminat iPhone mengambil keputusan beralih kepada pesaingnya ataupun menunggu sehingga model seterusnya (mungkin iPhone 6?) dilancarkan sebelum membuat keputusan menggantikan model iPhone milik mereka.

Menjimatkan masa memasak

Posted: 18 Sep 2013 07:53 PM PDT


PERIUK MY-SS50B boleh memasak lapan jenis hidangan berbeza.


MIDEA Scott & English Electronics Sdn. Bhd. (Midea) baru-baru ini melancarkan periuk bertekanan tinggi, MY-SS50B khusus untuk pengguna yang mahu menjimatkan masa memasak tanpa berkompromi tentang keenakan dan kualiti hidangan yang disediakan.
Menggunakan teknologi pemprosesan mikro terkini, MY-SS50B diprogramkan untuk memasak lapan jenis hidangan berbeza seperti sup, nasi, bubur, stim, panggang dan sebagainya.
Keunikan periuk itu terletak kepada teknologi I-EAT Solid Preesure Controlling yang digunakan. Ia mempunyai sensor tekanan dan kawalan suhu pintar bagi mengawal masa, suhu dan tekanan periuk secara automatik mengikut jenis makanan yang dimasak melalui lima gelombang berbeza.
Aspek keselamatan tidak dilupakan. MY-SS50B dilengkapi 10 ciri keselamatan utama seperti penutup periuk keselamatan, perlindungan antikebocoran, kawalan suhu dan haba serta kawalan tekanan.
Tidak cukup dengan itu, teknologi TST yang digunakan memastikan tekanan dalam periuk dilepaskan secara selamat dan pintar tanpa membahayakan pengguna.
Periuk MY-SS50B juga didatangkan dengan fungsi melodi, pemanas automatik dan pemasa digital sekali gus memberi nilai tambah kepada pengguna.

Jam tangan, kasut dan baju tingkat kualiti sukan

Posted: 18 Sep 2013 07:52 PM PDT



JOGING dan aerobik merupakan antara cabang sukan yang paling mudah dan kerap dilakukan bagi mengekalkan tahap kesihatan individu. Ia dilakukan secara berkala dengan tempoh minimum 30 minit sehari. Justeru, boleh dikatakan bahawa aktiviti riadah bukanlah sesuatu yang membebankan untuk dilaksanakan.
Bagaimanapun, sesetengah individu tidak bersenam untuk menjaga kesihatan semata-mata, malah ada yang menjadikan ia sebagai satu gaya hidup. Kelompok ini sanggup melabur modal yang agak tinggi bagi mendapatkan kualiti optimum ketika bersukan menerusi pembelian gajet dan aksesori tambahan termasuk jam tangan, kasut dan baju.
Setiap pembelian produk tersebut adalah berdasarkan fungsi dan faedah untuk penggunaan secara kerap. Ia dilengkapi teknologi terkini bagi membantu seorang atlet bergerak pantas dan aktif ketika melakukan senaman pada tahap maksimum seperti maraton, mendaki dan berbasikal.
"Tidak dinafikan harga barangan berkualiti sebegini agak mahal, tetapi bagi seseorang yang bergiat secara serius, ia adalah pembelian yang berbaloi.
"Sebagai contoh, jam tangan Garmin Forerunner 610 (FR610) yang saya beli empat bulan lepas ini. Ia boleh dipakai ketika berenang, maraton dan mendaki," ujar Mohd. Ridwan Mustafa, 26, ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.
FR610 merupakan inovasi baharu keluaran Garmin dengan beberapa fungsi terkini. Ia merupakan jam tangan pertama syarikat sistem penentu kedudukan global itu yang mempunyai fungsi paparan sesentuh. Salah satu peningkatan teknologi FR610 ialah Virtual Racer yang membolehkan pengguna mengatasi catatan masa terdahulu.
Contohnya, jika larian 10 kilometer anda sebelum ini mencatatkan masa 1 jam 10 minit, dengan jam tangan tersebut, tempoh itu akan disingkatkan menjadi 55 minit kerana ia berfungsi sebagai pacer. Dalam acara maraton, pacer merujuk kepada seorang individu yang membantu pelari menamatkan larian dalam tempoh yang spesifik. Justeru, jam tangan itu meminjam tujuan yang sama agar larian pemakai lebih konsisten dan menepati tempoh yang ditetapkan.

VARIASI kasut sukan di pasaran mempunyai fungsi dan teknologi yang berbeza-beza.


Fungsi
Berbeza pula dengan Tengku Fariz Tengku Roslan, 26, yang memilih jam tangan model Suunto Ambit. Mungkin ramai yang kurang mengenali gajet itu, namun dalam kalangan atlet professional, ia antara jam tangan sukan yang mempunyai fungsi dan teknologi yang terbaik.
"Dulu saya hanya menggunakan jam tangan sukan biasa dengan fungsi-fungsi yang terhad. Sebelum membeli, saya buat kajian selama beberapa bulan dengan merujuk laman YouTube dan blog-blog khusus untuk sukan.
"Harganya yang mencecah ribuan ringgit membuatkan saya berfikir dua kali untuk memilikinya. Namun selepas berpuas hati dengan ulasan dan respons daripada para pengguna, saya terus membeli jam ini," ujarnya yang telah membeli jam tangan berkenaan pada Julai 2012 pada harga RM2,199.
Kepuasan menjadi ukuran utama kepada Tengku Fariz kerana setiap barangan yang dibeli adalah mengikut kesesuaian aktiviti sukannya. Seperti Ridwan, Tengku Fariz juga aktif dalam maraton, mendaki gunung dan aktiviti meredah hutan. Kesemua aktiviti tersebut terdapat dalam fungsi-fungsi jam tangannya.
"Mendaki gunung misalnya, jam tangan ini dapat memberi maklumat mengenai tahap ketinggian dan tekanan sekeliling. Ia juga boleh berfungsi sebagai kompas bagi menentukan arah ketika berada dalam hutan," kongsi beliau.
Peranan kasut
Selain daripada jam tangan, kasut juga memainkan peranan penting kepada individu yang aktif bersukan. Kasut sukan amat berbeza berbanding kasut harian kerana ia dicipta dengan teknologi yang mampu menyokong bahagian kaki, memandangkan ia menerima tekanan dan haba yang tinggi.
Ridwan memberitahu, kasut sukan seharusnya dapat menampung kaki dan berat badan dengan stabil serta mengurangkan rasa sakit daripada tekanan ketika berlari. Namun, pelaburan yang tinggi dengan membeli kasut berjenama bukanlah jaminan bagi memberi keselesaan kepada si pemakai.
"Bagaimanapun, kebanyakan jenama kasut sukan terkenal sentiasa mengorak langkah ke hadapan dalam kajian dan pembangunan mengenai teknologi agar dapat memenuhi kehendak pengguna," ujar Ridwan yang baru menubuhkan kumpulan Gorgeous Runner yang bertujuan mengumpul pelari tegar maraton bagi mengikuti kejohanan larian di dalam dan luar negara.
Memilih kasut jenis Asics Gel-DS Trainer 17, Tengku Fariz pula mengutamakan fungsi dan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam kasut yang dibelinya. Jenama kasut yang dimilikinya sekarang mempunyai kelebihan teknologi yang dipanggil gel cushioning.
"Ia membolehkan kaki menyerap hentakan dengan lebih baik dan membantu fokus penstabilan kaki ketika berlari. Pengguna akan berasa lebih selamat kerana ia membantu mengelak daripada kecederaan," tambahnya.
"Biasanya teknologi yang ada pada kasut bergantung kepada pengeluar. Setiap jenama tersebut mempunyai kelebihan yang berbeza. Jadi pemilihan kasut hendaklah bersesuaian dengan kegunaan dan keselesaan," kata jurutera muda itu.
RIDWAN (kiri) mendengar penerangan daripada Tengku Faris mengenai fungsi jam tangannya.


Pakaian
Gajet dan aksesori sukan pastinya tidak lengkap jika tidak mengambil kira baju khas yang dipakai oleh kebanyakan atlet. Baju yang betul mesti mempunyai saiz dan tahap penyerapan peluh yang baik. Sejenis baju yang sering diguna pakai ialah pelapis asas (base layer) atau lebih dikenali sebagai pakaian mampatan yang melekap pada tubuh (compression wear).
Tengku Fariz berkata, ia dipakai sebagai lapisan dalam baju dan diperbuat daripada material yang cepat kering, ringan dan mampu membebaskan haba badan dengan cepat. Ia menjadikan badan lebih nyaman ketika beraktiviti.
"Selain itu, ia sebenarnya membantu 'memegang' otot kita ketika melakukan aktiviti. Maksudnya, badan kita terasa lebih kemas dan mapan ketika beraksi dalam pakaian itu," kongsinya.
"Compression wear juga membantu pengedaran darah ketika beraktiviti dengan mempercepatkan kadar pengaliran darah. Ia penting untuk penghantaran oksigen ke seluruh badan. Ini membantu dalam proses penyembuhan dengan mengurangkan jangka masa pemulihan tisu otot yang rosak," ujar Tengku Fariz.
Bagi Ridwan, dia lebih selesa menggunakan baju daripada material spandeks kerana menyejukkan badan ketika bersukan.
Motivasi
Kedua-dua mereka bersependapat, pelaburan terhadap gajet perlu mengikut kemampuan dan kepentingan. Pembelian perlu disertakan dengan beberapa kajian dengan merujuk kepada pakar atau pengguna terdahulu.
"Selain itu, kelengkapan ini banyak membantu memotivasikan diri kita supaya bersukan dan mengamalkan cara hidup sihat. Ia turut meningkatkan keyakinan kita ketika melakukan sesuatu aktiviti," kongsi Tengku Fariz.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines