Sabtu, 28 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Isteri Mat Yo mohon maaf

Posted: 27 Sep 2013 03:16 AM PDT

  • Norsharul Idlan TalahaNorsharul Idlan Talaha

KUALA LUMPUR - Ekoran tersebarnya video kontroversi membabitkan dirinya, suami dan seorang pengawal keselamatan yang menimbulkan kemarahan awam, isteri Mat Yo akhirnya tampil memohon maaf.

"Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.

"Saya percaya, kebenaran kes ini akan terbongkar. Tolong jangan hukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku," kata Siti Aisya Adam, 24, isteri kepada pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo, ketika mengulas mengenai video dia bergaduh dengan pengawal keselamatan kini tersebar luas.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia tidak tahu apa motif sebenar individu yang menyiarkan video berkenaan, sedangkan kejadian perselisihan faham berlaku pada 12 September lalu, namun video berkenaan baru tersebar sejak Selasa lalu.

"Saya tidak mengetahui mengenai penyebaran video ini sehingga dimaklumkan keluarga yang turut terkejut melihat insiden berkenaan. Apa motif individu itu menyiarkan video berkenaan. Adakah disebabkan suami saya pemain bola sepak negara?

Dua individu miliki video

"Ramai menyangka saya yang menyebarkan video berkenaan, namun di sini saya tegaskan, penyebaran video itu tiada kaitan langsung dengan saya. Apa yang saya boleh cakap, hanya dua orang yang memiliki video berkenaan, namun saya enggan dedahkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis," katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Siti Aisya yang tertekan susulan kejadian itu berkata, selepas tersebarnya video berkenaan, ramai yang marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya, namun mereka tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.

"Malah, masyarakat menuduh tindakan saya memalukan suami. Saya bukan seorang biadap, kejadian ini berlaku apabila individu lain mencabar saya sehingga menimbulkan kemarahan.

"Jujur saya katakan, saya hormat orang tua kerana kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun. Tatkala masyarakat mencemuh saya selepas melihat video berkenaan, saya tidak mampu mempertahankan diri sebaliknya hanya mampu berdoa supaya kebenaran sebenar akan timbul," katanya sambil menangis.

Insiden kekecohan membabitkan isteri kepada pemain bola sepak negara dengan pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mula tersebar secara meluas sejak Selasa lalu.

Rakaman selama 54 saat itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.

Tak terlintas saman

Siti Aisya turut meminta masyarakat tidak mencemuh suaminya disebabkan insiden membabitkan dirinya, sebaliknya Nor Shahrul tiada kena mengena dalam kes terbabit.

Ditanya sama ada beliau bertindak menyaman pengawal keselamatan itu, Siti Aisya menjelaskan tidak pernah terlintas untuk bertindak sejauh itu, sebaliknya peguam dilantik selepas video berkenaan mula tersebar.

'Bang...saya takut mak marah'

Posted: 27 Sep 2013 03:15 AM PDT

  • 'Bang...saya takut mak marah'Pasangan berkenaan diambil keterangan oleh penguat kuasa Jaij

BATU PAHAT - "Jangan macam ni bang, nanti mak saya marah," itu rayuan seorang pemuda awal 20-an setelah ditahan berdua-duaan bersama pasangannya di sebuah hotel di Ayer Hitam, malam semalam.

Pemuda berkenaan yang memberi banyak alasan turut merungut serta menyatakan dia tidak melakukan kesalahan, cuma menemani kekasihnya di bilik hotel sementara menunggu hari siang.

Timbalan Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, semasa serbuan, pemuda berkenaan dan pasangannya mengambil masa untuk membuka pintu hotel.

Katanya, sebaik membuka pintu berkenaan pemuda itu memberi pelbagai alasan termasuk menemani 'anak saudaranya' yang takut tinggal di hotel itu seorang diri.

"Pemuda berkenaan turut memberi pelbagai alasan lain seperti membeli makanan, menemani pasangannya serta hanya singgah sebentar dan akan pulang selepas itu.

"Pemuda berkenaan turut mengaku menipu ibunya, di mana dia menyatakan akan ke Segamat tetapi sebenarnya singgah di hotel di Ayer Hitam ini untuk bersama kekasih.

"Operasi ini turut disertai beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya selepas rutin operasi mencegah maksiat di daerah ini, semalam.

Menurut Saiful, walau apa juga alasan diberikan, pemuda dan pasangannya tetap melakukan kesalahan kerana berdua-duaan secara berkurung sehingga menimbulkan syak.

Katanya, pasangan berkenaan kini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997,

"Pasangan ini akan dihadap ke mahkamah selepas siasatan kes kesalahan yang mereka lakukan ini selesai.

"Operasi ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang makin menular di kalangan anak muda yang semakin membimbangkan semenjak akhir-akhir ini.

"Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan berpotensi kelakuan seperti ini," katanya.

70 pelajar diserang histeria

Posted: 27 Sep 2013 03:13 AM PDT

  • 70 pelajar diserang histeriaSebahagian pelajar lelaki SMK Tok Sera kelihatan letih dan lesu selepas mereka diserang histeria di sekolah itu, petang semalam.

KUANTAN - [Dikemaskini] Sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sera gempar apabila sekurang-kurangnya 70 pelajar diserang histeria, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, pelajar lelaki dan perempuan yang terkena gangguan itu, meracau-racau dan lari bertempiaran di sekeliling bangunan sekolah sehingga menyukarkan para guru menenteramkan mereka.

Seorang bapa, Saifullizan Abdullah, 38, memberitahu, kejadian histeria itu sudah berlarutan agak lama dan lebih merisaukan dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah,  13, turut mengalaminya.

Menurutnya, kejadian histeria itu juga sudah berlaku berulang kali malah mengganggu pelajaran dua anaknya itu.

"Sejak kejadian tersebut, sikap kedua-dua anak saya berubah apabila menjadi kuat tidur dan lemah.

"Ketika dirasuk di sekolah, ada sesetengah pelajar didapati  tidak sedarkan diri dan ada mendakwa mendengar bisikan  yang menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah," katanya.

Saifullizan berkata, paling membimbangkan apabila kejadian pelajar terjun dari bangunan sekolah pernah berlaku dua kali di lokasi yang  sama dan salah seorang daripada mangsa maut  pada Mei lalu manakala kejadian terbaru pada bulan lalu.

"Saya risau kejadian buruk ini akan mengganggu dua anak saya atau pelajar lain.

"Justeru, saya amat berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Seorang pelajar yang enggan dikenali pula berkata, semasa kejadian, pihak sekolah mengambil inisiatif melaungkan azan bagi meredakan keadaan. Bagaimanapun, situasi menjadi lebih buruk  apabila para pelajar terbabit dikatakan semakin agresif dan marah apabila mendengarnya.

"Sekolah ini menjadi huru-hara apabila pelajar yang  diserang histeria berlari bertempiaran di sekitar sekolah.

"Keadaan menjadi kecoh apabila guru sukar untuk mengawal dan menangkap mereka untuk dibawa ke makmal komputer bagi diberikan rawatan," katanya.

Katanya lagi, situasi itu bagaimanapun kembali tenang  apabila pihak sekolah memanggil seorang ustaz untuk memulihkan pelajar terlibat.

"Saya tengok kakak saya yang turut terkena histeria  terbaring dan kemudiannya sedar kembali selepas ustaz  memulihkan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail  ketika dihubungi berkata, beliau masih menunggu laporan  mengenai kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.

"Kita akan siasat kejadian ini selepas menerima laporan daripada pihak sekolah," katanya.

Transformasi hidup Tegar

Posted: 27 Sep 2013 03:10 AM PDT



KEHIDUPAN penyanyi Tegar Septian tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang berada di alam persekolahan. Sebaliknya, jadual hariannya lebih banyak dihabiskan di jalanan.
Sudah mula menjadi penyanyi jalanan sejak berusia tujuh tahun, semuanya itu terpaksa dilakukan lantaran kehidupan keluarganya yang cukup miskin.
Itulah pengorbanan yang cukup besar buat kanak-kanak sepertinya demi mencari sesuap nasi tetapi itu semua tinggal sejarah dan Tegar sekarang bukan seperti yang dahulu lagi.
Hari ini namanya sudah meledak gara-gara lagu nyanyiannya iaitu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang semakin popular, bahkan salah sebuah klip video lagu berkenaan sudah ditonton sebanyak 4.9 juta kali di YouTube.
Berbekalkan sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ukulele yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja, Tegar menjelajah ke seluruh Indonesia untuk membuat persembahan serta pernah berduet dengan beberapa penyanyi popular termasuk dengan kumpulan Noah, Setia Band dan Delima.
Berkesempatan bertemu dengan penyanyi cilik itu dalam rangka promosi albumnya, Tegar Dan Sahabat di Malaysia minggu lalu, tidak dinafikan banyak kisah menarik tentang anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu.
"Kalau mendengar lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang, itulah kisah diri saya sepanjang enam tahun menjadi penyanyi jalanan. Semuanya itu terpaksa dilakukan kerana kesempitan hidup.
"Sekarang saya amat bersyukur kerana semuanya berubah dan tidak menyangka tindakan seseorang yang telah memuat naik video saya di YouTube ketika menyanyi di jalanan mengubah keseluruhan kehidupan saya," ujar penyanyi kelahiran daerah Indramayu, Indonesia itu.

BERBEKALKAN ukulele, Tegar yang dahulu menjaja muziknya di jalanan kini tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian.


Cerita Tegar berkenaan kebolehannya dalam nyanyian, dia menyatakan bakat sebagai seorang penyanyi yang dimilikinya itu diwarisi daripada ibunya yang turut bergelar seorang penyanyi jalanan.
Ujarnya, pendapatan harian yang diraihnya pula sekitar RM30 sehari dan ia sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya di sebuah kota yang besar.
"Biasanya kalau ada duit lebih saya dan rakan-rakan lain gemar ke kafe siber dan sering membuka laman YouTube untuk mendengar lagu. Dengan cara sedemikian ia membantu saya mempelajari lebih banyak lagu untuk dipraktikkan semasa menyanyi di jalanan," ungkapnya.
Merasakan hidup sebagai penyanyi jalanan sangat bebas dan menyenangkan, Tegar menyatakan, dia tidak terlepas daripada melakukan perkara negatif akibat kehidupan yang tidak terkawal.
Tanpa berselindung menceritakan tentang cara hidup lampaunya, penyanyi berkenaan memberitahu, dia selalu menghisap rokok dan menghidu gam akibat terpengaruh dengan cara kebanyakan penyanyi jalanan di tempatnya itu.
"Alhamdulillah, kehidupan saya sekarang ini sudah jauh berubah dan tidak lagi melakukan perbuatan sebegitu. Namun begitu, saya tetap merindui pekerjaan lama, meskipun sudah popular," jelasnya.
Bantu keluarga
Jika dahulu pendapatannya tidaklah terlalu lumayan kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi jalanan lain, kini Tegar boleh berbangga kerana pada usia yang masih muda hidupnya jauh lebih mewah.
Ujar Tegar, dia berasa gembira kerana segala yang dilakukannya sekarang telah membantu kewangan keluarga untuk mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna.
"Perkara yang paling membanggakan saya sudah tentunya dapat membeli sebuah rumah dan motosikal. Ia memberikan suatu kepuasan tidak terhingga kepada diri saya.
"Tidak dinafikan kehidupan saya cukup sibuk memenuhi undangan nyanyian di merata-rata tempat dan adakalanya berasa terlalu penat tetapi demi keluarga saya ketepikan semuanya," ujarnya.
Memandangkan dahulu dia terpaksa menjadi penyanyi jalanan sehingga tidak ke sekolah, ia menyebabkan penyanyi cilik itu tidak dapat membaca dan menulis.
"Kini pihak pengurusan saya telah mengupah seorang guru untuk mengajar saya di rumah. Disebabkan jadual saya yang padat, sudah tentu langkah sedemikian lebih berkesan berbanding masuk ke sekolah biasa," jelasnya.
PERNAH terjebak sebagai penghidu gam, Tegar kini perlahan-lahan meninggalkan tabiat buruknya.


Berbakat
Kehadiran Tegar ke Malaysia untuk mempromosikan albumnya itu tidak berseorangan, sebaliknya ia turut ditemani pengurus yang merangkap bapa angkatnya iaitu Alfaas Hermansyah.
Alfaas berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab mengesan bakat dan membawanya ke studio rakaman Harpa Records, dia melihat Tegar seorang penyanyi berbakat besar serta memiliki tarikan sendiri.
"Ternyata agak sukar untuk menjaganya dan harus bijak melayan kerenahnya. Semua ini berpunca kerana kehidupannya jalanan yang banyak mempengaruhi dirinya.
"Pada usia yang masih kecil dia sudah menghisap rokok dan menghidu gam tetapi tidaklah sampai terjebak dalam najis dadah. Bagaimanapun, semuanya itu sudah ditinggalkannya, malah saya sendiri kurang merokok kerana mahu menunjukkan teladan yang baik," jelasnya.
Sepanjang mengenali diri penyanyi cilik itu, Alfaas menerangkan bahawa Tegar seorang kanak-kanak yang mudah dibentuk dan berkeinginan tinggi untuk mengubah dirinya.
Ujarnya, kegiatan yang kerap dilakukan iaitu pergi ke kafe siber semasa menjadi penyanyi jalanan dahulu turut membantu kerana dia selalu belajar menyanyi dengan melayari YouTube.
"Kalau menyelusuri kehidupan Tegar ini cukup menarik dan disebabkan itu dia bakal terbabit dalam sebuah filem yang menceritakan tentang kehidupannya yang lalu sehingga bergelar penyanyi popular.
"Mengikut perancangan dia akan mula menjalani penggambaran pada bulan hadapan, namun semuanya bergantung kepada jadualnya. Berkenaan tajuk pula kami masih belum menetapkannya lagi," jelasnya.


Gabungan mantap Atilia, Dina dan Elvira

Posted: 27 Sep 2013 03:08 AM PDT

ATILIA mempersona penonton dengan alunan vokal merdu dan persembahan bersahaja.


MUNGKIN sebelum ini peminat muzik jazz sering mendengar suara lunak penyanyi yang terkenal dengan genre itu seperti Datuk Shiela Majid atau Noryn Aziz.
Namun, kali ini, Festival Seni DFP 2013 memberi kelainan kepada dunia muzik jazz dengan menampilkan tiga penyanyi yang mempunyai julat vokal yang berbeza.
Alunan vokal mantap Dina Nadzir, Atilia Haron dan Elvira Arul telah memukau penonton dan peminat muzik jazz. Ternyata mereka berpuas hati dengan konsert terakhir Festival Seni DFP yang diberi nama MPO and All That Jazz yang berlangsung pada 22 September lepas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Ironi, rata-rata lagu yang dipilih secara asalnya bukan bergenre jazz, namun alunan muziknya telah digubah semula oleh pemuzik orkestra jazz seperti David Ling, Marques Young, Ahmad Muriz Che Rose serta Tiew Kok Khon.
Walaupun ia merupakan pengalaman sulung ketiga-tiga penyanyi wanita tersebut mengadakan persembahan di DFP, namun mereka dilihat berjaya memberi persembahan terbaik.
Ia juga kelihatan seolah seperti tiada cacat celanya sepanjang persembahan berlangsung. Malah, kelunakan dan alunan vokal yang diluahkan oleh Dina, Atilia dan Elvira sememangnya sangat mengagumkan.
Persembahan dimulakan dengan Dina Nadzir yang menyampaikan sebanyak lima buah lagu yang disusun semula mengikut kesesuaian muzik jazz seperti Tudung Periuk, Tak Rela, Itulah Sayang, When I Fall In Love serta medley dua lagu yang berjudul Obsesiku dan Pergi Untuk Kembali.

MANTAP... Gandingan tiga penyanyi iaitu Dina Nadzir, Atilia Haron dan Elvira Arul (tengah) pada Konsert MPO and All That Jazz mempunyai tarikan tersendiri.


Selesai Dina, disambung pula dengan penyanyi bersuara manja, Atilia Haron. Sekali lagi peminat dibuai dengan lagu-lagu pilihan Atilia sendiri iaitu Sangkar, Harus Bagaimana, Old Love, Imagine, Breathless dan Indah. Kebanyakan lagu-lagu yang dipilih Atilia merupakan single-single daripada albumnya yang terdahulu.
Elvira Arul juga tidak ketinggalan memberikan persembahan hebat serta kemantapan vokalnya tidak dapat dinafikan lagi. Sepanjang persembahan, dia berjaya menarik minat dan jiwa penonton terhadap muzik jazz serta pengisian lagu-lagu yang disampaikan.
Antara lagu yang dinyanyikan oleh Elvira sepanjang persembahannya ialah Simple Love, Your Voice, I'd Rather Go Blind, medley Diggin' On James Brown and Georgy Porgy serta Getaran Jiwa yang kesemuanya diberi nafas jazz.
Pada akhir konsert, ketiga-tiga wanita ini berkolaborasi dalam satu persembahan dengan menyampaikan gabungan medley tiga buah lagu, Asmara, Buka Pintu dan Bunyi Gitar.
Mungkin selama ini orang ramai menganggap pentas DFP hanya mampu dihadiri oleh golongan elit sahaja. Dengan mengadakan Festival Seni DFP 2013 ini, pihak DFP telah mengambil inisiatif untuk menarik golongan muda serta menghapuskan persepsi sesetengah masyarakat tentang perkara tersebut.
Kali ini juga, DFP telah memberi kelainan yang mana kesemua lagu yang dipersembahkan pada malam tersebut diigubah baharu mengikut genre jazz dan berbeza daripada konsert jazz lain.
Selain itu, MPO juga berjaya menunjukkan versatiliti mereka sebagai kumpulan muzik orkestra dengan bekerjasama dalam semua genre termasuk rock, muzik asli dan sebagainya.
Kesimpulannya, boleh dikatakan Konsert MPO and All That Jazz berjaya memberi kepuasan kepada 800 penonton yang hadir pada malam terakhir Festival Seni DFP 2013 itu.


Mat Yo pasang pengawal, enggan respons isu isteri

Posted: 27 Sep 2013 03:05 AM PDT


MAT YO (dalam bulatan) memasuki keretanya sambil diiringi pengawal keselamatan selepas menjalani latihan di Padang Seri Gelam, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Kontroversi isu pengawal keselamatan, Azman Mohd. Nayan yang dikatakan dimaki hamun dan ditendang isteri pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim, Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo, bertindak di luar jangkaan semalam apabila memasang pengawal keselamatan semata- mata untuk mengelak dirinya daripada ditemu bual pihak media.
Tindakan terdesak itu dilakukan sebaik sahaja penyerang sensasi itu tamat sesi latihan bagi persediaan menjelang perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Padang Seri Gelam di sini pukul 6.50 petang.
Media yang datang seawal pukul 4.30 petang terlebih dahulu dikecewakan oleh Mat Yo apabila beliau enggan melayan wartawan dan hanya berkata: "Saya dah lambat ni, nak pergi training (latihan)."


IPhone warna emas dilelong RM32,534

Posted: 27 Sep 2013 02:59 AM PDT


IPHONE 5S berwarna emas ini dilelong pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga runcit.


LONDON - Versi terbaharu telefon pintar iPhones 5S berwarna emas dijual di laman web lelongan eBay pada harga AS$10,100 (RM32,534), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Telefon pintar keluaran firma Apple Inc. itu dijual pada harga lebih tinggi berbanding telefon pintar bersalut emas lain yang berada di pasaran.
Selain itu, Apple turut menghasilkan telefon pintar iPhones 5S dalam versi warna perak dan kelabu.
Gajet kesukaan ramai itu menjadi rebutan peminatnya sejurus ia memasuki pasaran pada Jumaat lalu.
Sejumlah pengguna eBay sedaya upaya cuba memiliki telefon pintar berwarna emas berkapasiti 16GB itu dengan membida 12 kali ganda lebih tinggi daripada harga runcit.
Pada saat-saat akhir bidaan, harga tawaran yang bermula pada AS$2,500 (RM8,053) meningkat kepada AS$10,100(RM32,534).
Walaupun iPhone berwarna emas sudah beberapa kali dijual di eBay, lelongan tersebut mencatat harga paling tinggi setakat ini.
Dalam pada itu, Apple mendedahkan, ia telah menjual sebanyak sembilan juta unit iPhone 5S dan iPhone 5C dalam tempoh tiga hari selepas gajet berkenaan dilancarkan.


Pemuda di China tanam hidung di dahi

Posted: 27 Sep 2013 02:58 AM PDT


SEORANG doktor melakukan pemeriksaan ke atas hidung baharu Xiaolian di sebuah hospital di China.


FUZHOU, China - Seorang pemuda di China memiliki satu anggota hidung baharu yang tumbuh di dahinya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun lalu.
Xiaolian, 22, terpaksa melalui satu prosedur pembedahan luar biasa apabila dia gagal menjalani rawatan susulan trauma hidung akibat kemalangan yang berlaku pada Ogos 2012.
Ekoran itu, para doktor terpaksa mengambil tindakan luar biasa selepas satu jangkitan kuman mula merosakkan tulang rawan hidungnya yang asli.
Keadaan tersebut telah menyukarkan para doktor melakukan pembedahan untuk memperbetulkan hidungnya kembali.
Justeru, satu prosedur pembedahan terpaksa dilakukan di sebuah hospital di Fuzhou, Fujian, China.
Satu anggota hidung baharu terpaksa ditanam dengan meletakkan tisu pengembang kulit ke dahi Xiaolian.
Tisu itu kemudian dipotong menjadi bentuk hidung, manakala sejenis tulang rawan yang diambil dari tulang rusuknya telah ditanam ke dalam tisu berkenaan.
Pakar bedah berkata, hidung baharu itu berada dalam keadaan baik dan pembedahan pemindahan boleh dilakukan dalam waktu terdekat.


Malaysia jejak final

Posted: 27 Sep 2013 02:57 AM PDT

PEMAIN-PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Pakistan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.


MALAYSIA mengesahkan slot ke final pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2013 selepas menewaskan Pakistan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas liga selepas mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan dan akan melengkapkan aksi terakhir menentang India, Sabtu ini.
Pada aksi malam tadi, Pakistan terlebih dahulu mengejutkan Malaysia apabila Muhammad Dilber menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 sebelum Mohd. Zulhairi Hashim mengikat kedudukan selepas bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.
Malaysia bermula garang pada babak kedua dan pemain berbisa, Muhd. Shahril Saabah menambah jaringan hasil satu lagi pukulan sudut penalti untuk Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke 40.
Muhammad Tousiq sekali lagi mengikat kedudukan hasil satu pukulan penalti pada minit ke-48.
Bagaimanapun, anak-anak buah Muhammad Dhaarma Raj kembali menguasai permainan, hasilnya kapten pasukan, Mohd. Fitri Saari menambah jaringan ketiga pada minit ke-52.
Mohd. Syamim Mohd. Yusof menambah derita Pakistan apabila mencipta jaringan keempat menerusi pukulan padang pada minit ke-63.
Dhaarma Raj mengakui berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain-pemain sepanjang empat perlawanan yang diharungi berbanding prestasi tahun lalu.
"Justeru, saya mahu pemain saya memberi tumpuan pada baki perlawanan kerana kami perlu mencapai kemenangan pada edisi kali ini," katanya.
Beliau turut berharap agar pemain-pemain dapat mengurangkan risiko kecederaan pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
"Kami harap, pemain-pemain bebas daripada kecederaan supaya dapat beraksi dengan baik pada final nanti," katanya.
Pada perlawanan lain, India membelasah Korea 6-1, manakala Argentina mencatat kemenangan pertama selepas menundukkan England 3-0.


Pilih belajar atau bekerja

Posted: 27 Sep 2013 02:56 AM PDT



BEKERJA sambil belajar bukanlah sesuatu yang cukup asing dilakukan oleh masyarakat. Ironinya, ia kini menjadi pilihan sebahagian golongan muda pada hari ini.
Tidak dinafikan sudah banyak institut pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian secara separuh masa, khusus kepada mereka yang sedang bekerja.
Ada yang berbuat demikian kerana inginkan peningkatan dalam kerjaya atau sekadar mengisi masa lapang, semuanya terpulang kepada tujuan dan matlamat masing-masing.
Dalam industri hiburan pula, perkara sebegini turut menjadi pilihan segelintir artis yang kini menuntut di institut pengajian tinggi dan pada masa sama masih meneruskan karier dalam bidang seni.
Salah seorang artis yang berbuat demikian ialah pelakon Rashidi Ishak yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mula menuntut di universiti berkenaan pada tahun 2004, suami kepada pelakon Vanida Imran itu mengakui ia bukanlah satu langkah yang mudah buat dirinya.
Matlamat utamanya untuk menjadi antara artis yang berpelajaran tinggi, Rashidi menyatakan pelbagai cabaran terpaksa dilalui semata-mata ingin menggenggam segulung ijazah.
"Sudah tentu saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran sepanjang pengajian, meskipun saya cuma mengambil pengajian secara separuh masa dan kelas pula dilangsungkan pada hujung minggu.
"Kalau rakan-rakan yang lain menamatkan pengajian mereka selama empat tahun, saya pula berbeza kerana memerlukan masa sehingga tujuh tahun dan sudah tentu ia satu tempoh yang cukup lama," ujarnya yang akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2011.
Ketika ditanya faktor yang menyebabkan dia tidak mampu menamatkan pengajiannya lebih awal, pelakon itu memberitahu jadual kerjaya sebagai pelakon yang tidak tentu masa menjadi penghalang utama.
NELYDIA SENROSE kini sedang berusaha keras untuk menyeimbangi antara pelajaran dan kariernya yang semakin meningkat naik.


Jelasnya, dengan lakonan sebagai punca rezeki utama, biasanya ada tawaran berlakon yang diterima memerlukan dia berada di lokasi dalam tempoh lama sehingga dia tidak dapat hadir ke kelas.
"Selalunya jadual lakonan pasti akan bertembung dengan waktu kelas pengajian. Memandangkan berlakon itu periuk nasi saya, pastinya ia lebih menjadi keutamaan.
"Akibatnya, saya beberapa kali terpaksa menangguhkan semester pengajian. Selain itu, saya pernah gagal dalam beberapa mata pelajaran sehingga terpaksa mendudukinya semula," ujarnya.
Akuinya, dia juga pernah berasa sangat tertekan sehingga tidak mahu menamatkan pengajian, namun sokongan daripada ahli keluarga menjadi kekuatan buat dirinya.
"Untuk melakukan perkara sebegini bukanlah mudah kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi. Paling penting, seseorang itu perlu bijak dalam pembahagian masa supaya tidak tercicir dalam pelajaran dan kerjaya," ujarnya.
Ternyata kejayaan yang diraih olehnya itu telah menjadi pemangkin buat isterinya untuk mengikut jejak langkahnya. Ketika ini, Vanida juga sedang menyambung pelajaran, namun Rashidi enggan memberitahu tentang universti dan bidang pengajian yang dipilih oleh isterinya itu.
Kata dua
Pada saat karier lakonan yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang mencurah-curah, ternyata ia memberi tekanan kepada pelakon Nelydia Senrose yang kini sedang mengikuti pengajian Diploma Psikologi di Kolej SeGi.
Menurut Nelydia, melakukan dua perkara dalam satu masa yang serentak dirasakan sebagai satu bebanan yang agak besar sehingga dia berbelah bahagi sama ada mahu mengutamakan pelajaran atau lakonan.
"Sudah tentu pelajaran itu amat penting buat saya, tetapi tidak sangka pula rezeki saya semakin murah dengan tawaran yang mencurah-curah. Apa yang sedang dilakukan ini iaitu belajar dan berlakon adalah minat saya.
"Begitu juga dengan jadual kehidupan harian saya yang selalu tidak menentu. Adakalanya penggambaran tamat pukul 6 pagi, kemudian saya cuma dapat berehat selama dua jam sebelum pergi ke kelas pula," jelasnya.
RASHIDI ISHAK mengambil masa selama tujuh tahun untuk menamatkan pengajiannya, sekali gus menjadi pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).


Menyedari ia merupakan satu tugas yang berat dan sukar demi mengecap kejayaan dalam kedua-dua bidang, Nelydia akui dia masih lagi mampu untuk berhadapan dengan segala cabaran.
Ungkapnya, dia bersyukur kerana meskipun sibuk dengan lakonan sekarang ini, pelajaran tetap tidak dilupakan serta keputusan peperiksaan yang diterima agak memuaskan setiap semester.
"Dalam perkara ini, pensyarah begitu memahami keadaan saya dan memberikan sedikit kelonggaran, malah rakan-rakan turut memainkan peranan penting membantu saya.
"Biasanya kalau ada kelapangan kami akan mengulangkaji bersama-sama dan mereka membantu menerangkan lebih lanjut tentang topik-topik pelajaran yang saya ketinggalan," ujarnya yang kini sudah berada di tahun kedua.
Hujung minggu
Berbanding pelakon, ternyata kerjaya sebagai penyanyi dilihat lebih mudah kerana biasanya sesuatu persembahan akan berlangsung pada waktu malam atau hujung minggu.
Penyanyi Najwa Latif yang sudah aktif dalam nyanyian sejak di bangku sekolah lagi berkata, ketika mula-mula bergelar penyanyi dahulu dia sudah meletakkan beberapa syarat agar sesi persekolahannya tidak terganggu.
"Saya memberitahu kepada pihak pengurusan yang saya akan menyanyi pada hujung minggu sahaja. Selain itu, mereka turut mengatur segala jadual saya dengan baik.
"Kalau ada persembahan saya akan datang ke Kuala Lumpur pada hari Jumaat dan pulang ke Batu Pahat, Johor pada hari Ahad. Itulah rutin saya setiap minggu sewaktu bergelar penyanyi dahulu," ujarnya.
Menurut Najwa, semasa mula menyanyi ketika berada di tingkatan empat, dia mengakui pembelajarannya sedikit terganggu dan kerap tidak dapat hadir ke sekolah.
NAJWA LATIF kini merupakan penuntut dalam jurusan Asasi Pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya, Selangor.


Ternyata ia merupakan cabaran besar yang ditempuhi kerana ia boleh mengakibat dirinya ketinggalan dalam pelajaran.
Namun begitu, lama-kelamaan permasalahan tersebut telah dapat diatasi dengan susunan jadual yang fleksibel dilakukan oleh pihak pengurusannya.
"Kalau menceritakan pengalaman menarik ketika aktif menyanyi zaman sekolah, saya pernah menyiapkan kerja sekolah di dalam bas ketika perjalanan ke Kuala Lumpur.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan kerana selalunya saya akan membuat kerja sekolah apabila mempunyai masa terluang sebelum persembahan atau ketika berada di rumah kakak," jelasnya yang kini merupakan penuntut Asasi Pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya sejak Jun lalu.
Biarpun meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, penyanyi berkenaan menyatakan, karier nyanyian masih lagi tetap diteruskan seperti biasa.
Ujar Najwa, pihak universiti telah memberi kelonggaran kepada dirinya jika tidak dapat hadir ke kelas, asalkan memberi surat kepada pensyarah.
"Sistem pembelajarannya sekarang ini lebih mudah, sekiranya saya tidak dapat hadir ke kelas, pensyarah akan memasukkan semua nota dalam portal pelajar. Ternyata cara tersebut memudahkan saya membuat ulang kaji pelajaran," ujarnya yang akan menuntut selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah pula.


Angkut 10 juta penumpang sehari

Posted: 27 Sep 2013 02:55 AM PDT



BERCUTI selama tujuh hari di Jepun pada akhir bulan Mac tahun lalu memberi peluang kepada Muhammad Akhbar Kamal merasai gaya hidup penduduk di negara itu.
Akuinya, sesiapa pun pasti teruja apabila melihat rakyat negara itu berlari-lari mengejar waktu tiba kereta api di stesen, terutama pada waktu puncak.
"Saya turut sama berlari lantaran semangat keghairahan mereka mengejar tiba-tiba terasa dalam diri," kata Muhammad Akhbar ketika dihubungi. Menurutnya, dia membeli pas pelancong Japan Rail (JR) untuk tujuh hari berharga 28,300 Yen (RM1,075) yang boleh digunakan oleh semua jajaran sama ada perkhidmatan dalam bandar ataupun kereta api peluru (Shinkansen) selain bas ekspres.
Dengan tiket tersebut dia mengembara antara bandar-bandar seperti Tokyo, Osaka, Kyoto dan Hiroshima menaiki Shinkansen kecuali perkhidmatan Nozomi serta Mizuho.
Berada dalam Shinkansen tidak begitu terasa kelajuannya yang boleh mencapai 300 kilometer sejam, tetapi apabila berselisih dengan Shinkansen dari arah bertentangan pasti terasa daya yang terhasil.
Meskipun harganya agak mahal, tetapi ia sangat berbaloi kerana perjalanan sehala menaiki Shinkasen berharga sekitar RM500.
Ceritanya, perkhidmatan kereta api di negara Matahari Terbit itu sangat efisien terutamanya ketepatan waktu tiba, manakala indikator dipaparkan pada skrin Paparan Hablur Cecair (LCD). Bagaimanapun, kesulitan berlaku apabila sebatang pokok tumbang dan jatuh di landasan pada hari keempat Muhammad Akhbar di sana.

SYARIKAT subway mengambil masa setahun untuk menjalankan pemeriksaan di seluruh terowong kereta api.


Jadi, dia perlu mengambil perkhidmatan kereta api bawah tanah (subway) yang mempunyai laluan yang sama.
Tokyo mempunyai dua operator subway awam iaitu Tokyo Subway dan Toei Subway yang kedua-duanya membawa hampir 10 juta penumpang sehari.
Sistem-sistem kedua-dua operator itu mempunyai koordinasi yang bersambung dengan beratus-ratus stesen kereta api dalam bandar yang lain dan membawa 26 juta orang ke segenap metropolitan Tokyo.
Lapisan sistem rel yang bersambung-sambung memastikan ketepatan masa dipatuhi, kelewatan yang sedikit pada sebuah kereta api boleh memberi kesan terhadap perkhidmatan seterusnya.
Edar kad
Namun, apabila berlaku kelewatan walaupun seminit, pihak operator akan membuat pengumuman berserta ucapan maaf sehingga perkhidmatan kembali normal.
Syarikat kereta api akan mengedarkan kad-kad kepada penumpang supaya mereka dapat menyerahkan kepada majikan masing-masing akibat lewat ke tempat kerja.
"Jika berlaku kelewatan, kamu mesti mengejar masa yang lambat tadi. Aplikasikan kemahiran yang ada supaya anda dapat pulih daripada kelewatan," kata seorang pemandu kereta api, Shunsaku Hagita, 27.
Kereta api bawah tanah dikawal operasinya menggunakan komputer dan dipantau oleh pusat kawalan berpusat bagi meminimum risiko kesalahan manusia, ujar Hagita.
Pemandu-pemandu duduk di kokpit untuk memantau manusia pada dok komputer dan mengambil tindakan serta-merta jika berlaku kecemasan, kata Hagita.
Jika terdapat amaran gempa bumi, semua kereta api diberhentikan serta-merta.
Sekiranya ada jajaran kereta api bawah tanah yang tergendala, kereta api yang berada di laluan terlibat akan menurunkan kelajuan bagi memastikan gerabak berada pada jarak yang sama dan mengekalkan pergerakan penumpang dari satu stesen ke stesen lain.
Kaedah itu bagi mengelakkan para penumpang yang menunggu menjadi terlalu sesak di platform di stesen.
Rangkaian kereta api yang silang-menyilang di seluruh Tokyo boleh mengelirukan dan boleh menjadi tempat yang menakutkan kepada mereka yang tidak biasa.

TOKYO yang dihuni berjuta-juta penduduk mempunyai sistem pengangkutan awam yang sangat efisien.


Di bandar yang menyaksikan pergerakan berjuta-juta manusia dengan kereta api setiap hari, kejituannya harus sama dengan jam buatan Swiss supaya Tokyo dapat bergerak.
Sistem perkomputeran yang digunakan menyambung 13 jajaran. Ia mempunyai hampir 300 stesen yang meliputi trak sepanjang 195 kilometer.
Dalam erti kata lain, satu kereta api bagi tiap-tiap jajaran setiap dua hingga tiga minit ketika masa puncak.
Tepati waktu
Jurucakap rasmi subway berkata, budaya perniagaan Jepun dan nilai orang ramai terhadap ketepatan waktu menjadikan sistem subway di Jepun tidak mampu meniru negara luar.
"Subway merupakan bahagian terpenting dalam kehidupan seharian di Tokyo. Tahap keselamatan dan ketepatan masa merupakan harapan penumpang kami," kata jurucakap Tokyo Metro, Shogo Kuwamura.
Budaya menepati waktu yang ekstrem di Jepun barangkali susah untuk dieksport keluar, tetapi Tokyo Metro tetap melakukan perkongsian teknologi dengan negara luar yang mahu meningkatkan sistem mereka.
Delegasi China datang untuk mempelajari cara-cara meminimum kebisingan yang terhasil daripada kereta api supaya kerja penyelenggaraan lebih baik.
Firma Mesir pula berminat mengenai kaedah-kaedah meningkatkan efisiensi bagi penyimpanan bahagian-bahagian untuk dibaiki.
Tokyo Metro yang pernah menjadi salah satu kereta api bawah tanah juga membantu Vietnam dalam melancarkan sistem subway baharu di Hanoi.
Biarpun terkenal dengan ketepatan dan efisiensi, kereta api Tokyo tetap berdepan fakta bahawa ia begitu berhimpit-himpit umpama periuk tekanan.
Bagi Tokyo Metro, gerabak yang direka untuk membawa 150 penumpang perlu disumbat sehingga dua kali ganda ketika waktu puncak.
Gerabak wanita
Gerabak untuk wanita bagi mengelakkan lelaki miang disediakan selain papan tanda meminta telefon diletakkan dalam mod senyap ditampal bagi mengadakan persekitaran yang selesa.
Biar apa pun masalah atau kemajuan yang dicapai pada sistem pengangkutan awam Jepun, perkara menarik mengenai masyarakat di sana ialah kanak-kanak lelaki bercita-cita mahu menjadi pemandu kereta api.
Pada perspektif mereka, pekerjaan tersebut setaraf dengan pemain bola sepak, doktor dan anggota polis yang sering menjadi karier idaman.

PEMANDU duduk di kokpit untuk memantau manusia pada dok komputer dan mengambil tindakan serta-merta jika berlaku kecemasan.


"Saya membesar dengan melihat pemandu kereta api melakukan tugasnya, tiada yang pelik apabila saya mula bekerja sebagai pemandu.
"Apabila saya berkahwin dan memulakan keluarga nanti, saya mahu mereka menaiki kereta api yang saya pandu," kata Hagita.
Sementara itu, Bahari Pandak, 30, dari Kuala Lumpur berkongsi pengalamannya menaiki jajaran kereta api di Nagoya Jepun pada tahun 2006.
Biarpun memiliki pengalaman yang sedikit berbeza dengan Muhammad Akhbar, dia juga bercita-cita mahu menjadi pemandu kereta api ditakdirkan bekerja dalam bidang tersebut.
Dia yang sukakan teknologi dan sering melihat video berkenaan kereta api laju di laman YouTube berkata, dengan menjadi pemandu kereta api laju membolehkan dia memandu pada kelajuan yang tinggi yang tidak mungkin boleh dicapai di jalan raya biasa.
"Tetapi, perkara paling penting ialah rasa yang terbit apabila membawa penumpang yang ramai ke tempat yang ditujui.
"Sudah pasti mereka yang menaiki kereta api tidak mempunyai kenderaan sendiri. Ia lebih kepada rasa kemanusiaan," ungkap Bahari.


Polemik kemalangan di taman trampolin

Posted: 27 Sep 2013 02:54 AM PDT


PENGUSAHA-PENGUSAHA gimnasium trampolin percaya ia merupakan tempat yang selamat dan menawarkan ruang bagi golongan dewasa dan kanak-kanak berlatih.


SETELAH tamat pengajian di sebuah kolej tahun lalu, Stephen Merrill dan rakan-rakannya berkunjung ke sebuah taman trampolin tertutup di Utah, Amerika Syarikat.
Trampolin ialah alat berupa helaian kanvas yang direntangkan dan diikat pada pemidang dengan menggunakan spring, terutamanya digunakan oleh ahli gimnastik dan akrobatik untuk melakukan lompatan, lonjakan atau balik kuang.
Mereka menghabiskan masa sehari suntuk dengan melompat dan melantun di taman tersebut.
Merrill cuba melompat dari sebuah platform ke arah lubang yang dipenuhi blok gabus. Namun, aksi terjunan tersebut bertukar tragedi apabila kepalanya mendarat terlebih dulu. Akibatnya, Merrill mengalami kecederaan di leher sekali gus menyebabkan dia lumpuh dari leher hingga bahagian bawah badan.
Tragedi tersebut memberi amaran kepada para doktor dan pegawai-pegawai kerajaan mengenai bahaya melompat di atas trampolin dari jarak tinggi. Sehubungan itu, mereka meminta pihak berkaitan mengawal selia taman trampolin tertutup itu.
"Kemalangan seperti itu boleh berlaku termasuk kecederaan yang dahsyat. Seolah-olah aspek keselamatan diabaikan," kata Merrill, 22, tentang kejadian yang menimpanya di Provo, Utah.
Merujuk kepada pelbagai kejadian yang membabitkan patah leher, tulang kaki hancur dan kematian, sesetengah doktor berpendapat, taman seumpama itu berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan serius.
Sehubungan itu, pihak berkuasa mula memberi perhatian dengan mencadangkan beberapa peraturan baharu dan ia dimulakan di Utah dan California. Peraturan-peraturan itu bagi menangani kebimbangan terhadap tahap keselamatan di taman tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pengusaha gimnasium trampolin mendakwa kecederaan teruk sebenarnya jarang berlaku dan kebimbangan terhadap tahap keselamatan sering memuncak tanpa sebab.
Gudang gergasi
Mereka mendakwa, kadar kecederaan aktiviti trampolin masih rendah berbanding sukan-sukan popular lain seperti besbol atau bola sepak. Gimnasium pada pandangan mereka merupakan ruang untuk orang dewasa dan kanak-kanak menjalani latihan.
Taman itu seperti sebuah gudang gergasi yang dipenuhi dengan siri trampolin yangi membolehkan pengguna melompat sesuka hati. Sesetengah taman trampolin mempunyai sudut cerun sehingga bahagian sisi dan lubang dipenuhi blok gabus bersaiz batu-bata.
Industri itu telah berkembang dengan pesat di Amerika Syarikat. Kini terdapat sebanyak 160 gimnasium trampolin di seluruh dunia, ujar ASTM International, sebuah organisasi piawaian pembangunan antarabangsa.
Bagi memastikan keselamatan pengguna, ramai kakitangan gimnasium direkrut untuk menjaga kawasan sekitar trampolin seperti pegawai keselamatan. Selain itu, peraturan-peraturan tertentu turut dikuatkuasakan. Kepada pelompat pertama kali mereka dimestikan menandatangani perjanjian pengecualian.

MERRILL kini lumpuh dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak.


Bagaimanapun, para pengamal perubatan jabatan kecemasan di salah satu daerah di Utah memberitahu, tindakan tersebut masih tidak memadai. "Anda akan lihat akibatnya, luka terbuka akibat kecederaan berhalaju tinggi," kata Pengarah Trauma Pusat Perubatan Daerah Utah Valley, Dr. Craig Cook.
Luka tersebut ibarat luka akibat peperangan atau kemalangan kenderaan. Kakitangan jabatan trauma hospital itu berkata, berdasarkan rekod, mereka menyaksikan 52 kecederaan yang memerlukan rawatan pelbagai pakar dari Mei 2011 sehingga November 2012.
Kebanyakan pesakit terdiri daripada lelaki muda yang berusia 19 tahun. Mereka mengalami kecederaan seperti terkehel kaki, pendarahan otak dan lumpuh.
Misty Uribe, yang menguruskan Sukan Udara Lowes Extreme berhampiran Provo berkata, pusatnya hanya berdepan beberapa kes kecederaan berbanding bilangan peserta iaitu satu kecederaan utama bagi setiap 20,000 peserta.
Uribe memberitahu, Merrill mengalami kecederaan kerana lompatannya tidak mengikut peraturan. Namun, pihaknya tetap mengambil langkah-langkah keselamatan bagi memastikan lubang itu lebih selamat.
Lembaga Kesihatan Daerah Utah sedang menimbangkan cadangan menetapkan gimnasium mesti menyelia aktiviti-aktiviti yang dijalankan, melaporkan kadar kecederaan dan memberi amaran kepada pelompatmengenai risiko aktiviti tersebut.
"Kami mempunyai kewajipan untuk memberitahu orang ramai tentang risiko keselamatan apabila ia terbuka kepada orang awam," kata Pengarah Eksekutif Jabatan Kesihatan Daerah Utah, Dr. Joseph Miner.
Faham risiko
Cadangan Utah dimodelkan daripada undang-undang yang belum selesai di California. Ia akan menyelitkan satu program pengawasan dengan peraturan yang sama seperti taman hiburan, ditambah dengan syarat-syarat mengenai insurans, latihan pekerja dan laporan kecederaan.
Rang undang-undang itu disarankan oleh seorang wanita yang kehilangan anak berumur 30 tahun selepas lehernya terlanggar tiang trampolin di taman Arizona pada tahun 2012.
Di Orem, gimnasium Get Air Hang Time telah meletakkan papan tanda amaran tentang risiko yang terlibat. Pada masa sama, peserta perlu menandatangani surat pengecualian dan menonton video keselamatan yang disediakan sebelum melakukan aktiviti.
"Kami berusaha memastikan pengguna memahami risiko yang wujud dalam aktiviti ini sama seperti aktiviti rekreasi yang lain," kata Harun Cobabe.
Katanya, gimnasium itu dikunjungi lebih 150,000 pelawat sejak Julai 2012 hingga Julai 2013. Dalam tempoh itu, hanya 11 kes kecederaan teruk yang memerlukan rawatan doktor.

Seni klasik perspektif baharu

Posted: 27 Sep 2013 02:51 AM PDT



MUNGKIN ada sesuatu yang menarik dan mengujakan tentang porselin. Bentuk menarik, kaedah pembuatan yang unik, rekaan terperinci, permukaan yang licin dan harga yang tinggi adalah antara faktor yang menjadikan porselin sebagai bahan koleksi kegemaran golongan khusus.
Ramai yang sanggup menjelajah ke luar negara semata-mata untuk meluaskan koleksi perhiasan seramik mereka. Antara negara yang terkenal dengan pembuatan porselin adalah China, Itali, Denmark dan Perancis.
Pencarian porselin biasanya melibatkan perbelanjaan yang besar. Namun demikian, pencinta seni dan pengumpul porselin tempatan kini berpeluang menjamu mata menyaksikan porselin terbaik dunia yang dipamerkan penuh bergaya di butik baharu Franz di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur.
Butik yang dilancarkan pada awal bulan ini itu menawarkan koleksi dengan rekaan indah berinspirasikan alam semula jadi yang merangkumi pinggan mangkuk sehingga ke barang kemas.
Juara dalam setiap pertandingan dan pameran antarabangsa selain menjadi pilihan utama untuk cenderahati dalam kalangan pemimpin dunia, Franz ditubuhkan di San Francisco, Amerika Syarikat dengan nama Franz Collection Inc. pada Jun 2001.

BUTIK mewah Franz di Pavilion Kuala Lumpur mampu membuatkan pelanggan rambang mata dengan kepelbagaian pilihan yang ditawarkan.


Syarikat itu diasaskan oleh usahawan artistik yang menempa banyak kejayaan, Francis Chen.
Kata Chen, Franz diwujudkan untuk membangkitkan penghargaan orang ramai terhadap alam semula jadi dan memahami falsafah kebijaksanaan Timur menerusi seni porselin.
Palitan warna
Menggabungkan seni pembuatan porselin tradisional China bersama pengaruh artistik Eropah, ia hasil imaginatif dengan palitan warna bertenaga porselin Franz yang diinspirasi daripada gaya Art Nouveau dan lukisan dinding Flying Fairies yang terdapat di Dunhuang, China.
Ia disempurnakan dengan teknik tuangan acuan potongan bawah, satu teknologi yang telah dipatenkan. Ini menjadikan Franz istimewa berbanding jenama-jenama lain terutamanya dari segi perincian rumit yang dipaparkan.
Franz menggunakan lukisan tangan dalam kaca dan dibakar pada suhu 1,200 hingga 1,350 darjah Celsius bagi mencapai kualiti tertinggi sama ada dalam elemen memutih, kekerasan dan kepelbagaian warna.
Mengeluarkan variasi pinggan mangkuk, aksesori dekorasi rumah dan barisan barang kemas, Franz turut menggabungkan aspek bentuk dan fungsi melalui penekanan keperluan harian. Ia sekali gus memimpin individu untuk mengintegrasikan seni dalam kehidupan seharian.
"Saya amat teruja dan gembira untuk berkongsi seni Franz di Malaysia," ujar Chen.
Katanya, sebagai sebuah bandar raya berbilang kaum dan terbuka kepada banyak pengaruh, Malaysia merupakan padanan sempurna aspirasi Franz yang menyatukan gaya Timur dan Barat.
"Saya berharap Franz dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang mencintai keindahan alam semula jadi dan menghargai seni klasik dari perspektif baharu.

SENTUHAN alam semula jadi dalam setiap rekaan porselin Franz menyuntik elemen segar dan elegan.


"Franz memperkenalkan era baharu dunia porselin. Rekaan tiga dimensinya yang unik menawarkan orang ramai cara baharu bagi menghayati seni perhiasan seramik," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Reflections Enterprise, pengedar eksklusif rangkaian Franz di Singapura dan Malaysia, Desmond Teo berkata, pihaknya percaya jenama itu akan diterima baik dalam kalangan pengumpul tempatan.
Kisah Franz
Menghasil dan memasarkan pelbagai aksesori dan dekorasi kediaman, Franz yang kini berpangkalan di Taipei, Taiwan mengeluarkan koleksi yang terdiri daripada pinggan mangkuk dan barang kemas.
Jenama itu memainkan peranan sebagai penghubung antara budaya Timur dan Barat. Rekaan dengan kaedah pertukangan tradisional menyerlahkan karakter ketimuran Franz, manakala seni hiasan Art Nouveau memaparkan aspek Baratnya.
Porselin Franz mula menjadi tumpuan selepas ia memenangi anugerah persembahan terbaik bagi koleksi rama-rama Papillion pada Pameran Hadiah Antarabangsa New York 2002.
Koleksi porselin Franz dihasilkan menggunakan tanah liat dan kaca terpilih di China dengan melibatkan lebih 12 proses pengasingan bahan. Sepanjang proses pengeluaran, setiap produk diukir teliti tanpa mengabaikan tumpuan pada perincian rekaan.
KOLEKSI porselin Franz tidak akan menghampakan pembelinya.


Artisan-artisan Franz mahir dalam teknik tradisional penghasilan porselin termasuk mewarna, menghablur dan menindih kaca bagi menghasilkan produk-produk rumit dan unik.
Rata-rata semua motif koleksi jenama ini berinspirasikan alam semula jadi dengan rekaan flora dan fauna seperti rama-rama, bunga-bungaan, haiwan dan motif lain.
Pelaburan syarikat ini dalam teknik pengeluaran dan artisan berkemahiran tinggi telah memahat nama Franz sebagai satu jenama unik dengan inovasi berterusan dan rekaan berkualiti tinggi. Kini porselin Franz diedarkan di lebih 5,000 butik porselin di seluruh dunia dengan pejabat perwakilan di Asia, Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan New Zealand.


Beg kertas simpan memori indah

Posted: 27 Sep 2013 02:42 AM PDT

JANY menunjukkan sebahagian koleksi beg kertas yang dimilikinya.


MINATNYA terhadap seni reka beg kertas membuatkan Jany Tan Poo Choo mengumpul lebih 500 produk tersebut dari dalam dan luar negara.
Menurut Jany, hobinya itu bermula selepas dia membeli beg berjenama United Colors of Benetton dari sebuah butik di Singapura.
Beliau yang tertarik dengan beg yang berwarna terang, hanya menyimpan sekeping beg kertas untuk setiap corak sejak 16 tahun lalu. Paling penting ia perlu kelihatan seperti baharu tanpa kesan lipatan.
"Sebahagian daripada koleksi eksklusif ini amat berharga dan sukar diganti," jelas beliau. Mengenai perkongsian hobi ini dengan orang luar, Jany mengakui bahawa sukar mencari rakan daripada kumpulan sosial beliau yang memiliki hobi yang sama.
Ada seorang yang mempunyai minat yang sama dengannya iaitu Muhammad Norazlin Mansur, yang dikenali semasa bekerja di Universiti Malaya (UM) tahun lalu, menghadiahkan kira-kira 50 keping beg kertas bertemakan universiti tertua itu.
Sebahagian lagi koleksi Jany dihadiahkan oleh keluarga, saudara-mara dan sahabat handai termasuk empat abangnya yang menetap di luar negara.
Antara beg kertas yang masih disimpan ialah beg kertas dari Beijing iaitu semasa Sukan Olimpik 2008, Jerman dan Maldives, salun rambut Sothy's dan SK II, pelbagai jabatan dan agensi serta butik aiskrim dan coklat seperti Royce, Baskin Robbins dan Haagen Dazs.
Sekeping beg kertas dari Menara Eiffel Paris yang dihadiahkan oleh abangnya di London dan sekeping beg hadiah ketika Tahun Baru Cina daripada sahabat merupakan antara koleksi yang paling disukai, kata Pegawai Perhubungan Korporat, Pejabat Keselamatan UM itu.
Beliau juga menyimpan beg kertas yang menanda peristiwa bersejarah dalam hidupnya seperti beg yang membawa anjing pertama beliau, Trust Tan pada Hari Valentine 13 tahun lalu, beg konvokesyen yang memuatkan jubah konvo untuk hari penganugerahan ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik yang diterima 18 tahun lalu.
Beg konvokesyen itu amat bernilai kerana ia mengingatkan zaman belajar di universiti apatah lagi beliau bergraduasi pada tahun yang sama dengan ulang tahun satu abad universiti itu.
Penyimpanan
Pada tahun-tahun awal hobinya, Jany menyimpan koleksi beg kertas itu di dalam kotak kadbod yang disusun dalam sebuah bilik kecil di rumahnya.
"Apabila koleksi bertambah banyak, saya merasa agak bimbang jika ia rosak akibat kelembapan atau serangga, jadi saya pindahkannya ke dalam kotak plastik yang diletakkan dalam bilik khas yang sentiasa dipastikan kering dan bersih," jelas beliau.
Menjaga beg kertas sebagai hobi pada masa lapang lebih mudah kerana ia tidak mengumpul debu, tidak perlu kerap dikesat dan tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding mengumpul koleksi barangan lain seperti cawan atau botol mini minyak wangi.

10 fakta menarik tentang Malaysia

Posted: 27 Sep 2013 02:39 AM PDT

EZRA (kiri) tekun mendengar penerangan mengenai kehidupan kelawar di Rezab Hidupan Liar Krau, Raub, Pahang daripada seorang penyelidik.


TAHUKAH anda, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dibina untuk menahan salji sekiranya ia melanda ibu kota? Bagaimana pula Menara Berkembar Petronas menjadi konduktor pemancar kilat tertinggi di Malaysia? Tahukah anda, terdapat 140 bahasa yang ditutur oleh seluruh rakyat Malaysia dan hanya satu bahasa sahaja yang langsung tidak merujuk kepada keganasan?
Fakta tersebut telah dirungkai oleh pengacara dan penyampai radio, Ezra Zaid dalam rancangan 10 Things You Don't Know About Malaysia di saluran Astro 555 bermula sejak 17 September lalu.
Menerusi rancangan itu, Ezra bersama pengarah, penerbit dan editor Novista Sdn. Bhd., Harun Rahman telah mengembara ke seluruh negara untuk mendapat 10 fakta menarik mengenai Malaysia yang jarang diketahui oleh rakyat negara ini.
Rancangan televisyen itu bertujuan memberi maklumat mengenai sejarah Malaysia secara santai dan menghiburkan penonton.
Menurut Harun, pada asalnya, rancangan itu mahu mendedahkan 100 fakta tentang Malaysia tetapi ia dipendekkan kepada 10 fakta. Ia lebih sesuai dalam slot rancangan televisyen selama 30 minit.
"Setiap 10 fakta dipilih secara rawak dan kami menanyakan soalan-soalan tersebut kepada responden. Kebanyakan mereka hanya tahu dua daripada 10 fakta. Ia merupakan kaedah untuk menguji pengetahuan rakyat Malaysia melalui pertanyaan itu.

RANCANGAN itu juga memapaparkan keberanian Ezra merentasi jambatan gantung Gunung Kinabalu setinggi 3600 meter dari paras laut.


"Ezra mempunyai personaliti yang agak santai sepanjang mengacara program itu. Ezra diberi tugasan untuk memberi maklumat mengenai fakta dan dia berjaya menyampaikan dengan cara yang menghiburkan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Bagi pengacara rancangan itu, peluang mengendalikan rancangan itu merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana dia berdepan dengan pelbagai cabaran yang menyeronokkan.
"Sewaktu mengacarakan episod serangan lipas dan kelawar di rezab Hidupan liar Krau, Raub, Pahang, saya tidak menyangka bahawa serangga dan haiwan tersebut sememangnya hidup bebas terutamanya di gua-gua," jelasnya.
Antara fakta lain yang didedahkan dalam rancangan itu ialah jambatan gantung Gunung Kinabalu, serangga terpanjang iaitu Chan's Megastick, perkuburan haiwan peliharaan dan bulatan besar di Putrajaya.
Menurut Pengarah Penerbitan A+E Network Asia, Chris Humprey, pihaknya juga ada merujuk kepada pakar-pakar sejarah untuk mengesahkan kebenaran 10 fakta itu sebelum sesi penggambaran.
"Rakyat Malaysia pasti terkejut dengan fakta-fakta yang dipertontonkan. Rancangan ini juga mampu memupuk perasaan rakyat Malaysia agar lebih menghargai khazanah yang terdapat di negara ini," ujarnya yang menyelia kandungan asal tiga saluran televisyen Network iaitu History, Bio dan Crime & Investigation.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines