Sumber: Harian Metro
Kuantan: Tiada masa buat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) untuk terus berpesta meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka kelmarin kerana mereka perlu kembali fokus bahawa misi sebenar mereka adalah mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar Disember ini.
Biarpun kejuaraan edisi ke-41 dengan menewaskan Myanmar 2-0 di final itu cukup manis untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia hakikatnya, ia tidak akan bermakna jika mereka gagal di Sukan SEA.
"Kita akan menempuh jalan lebih berliku daripada apa yang kita dilalui di Jakarta. Selepas kalah dua kali di sini, Myanmar pasti mahu menebus kekalahan ini jadi kita perlu bersiap sedia dalam dan di luar padang.
"Pemain perlu memiliki kekuatan mental dan saya percaya pemain faham apa yang bakal mereka hadapi selepas ini," kata jurulatih Ong Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.
Malaysia meraih kejuaraan ke-10 Pestabola Merdeka sejak 1957 dan pertama sejak 2007 apabila menewaskan Myanmar 2-0 menerusi jaringan Rozaimi Abd Rahman dan Junior Eldstal pada setiap babak pada final di Stadium Darul Makmur kelmarin.
Kemenangan itu melengkapkan rekod bersih skuad muda negara ke atas Singapura 1-0, Myanmar 2-1 dan Thailand 3-0.
Ternyata Kim Swee bijak membuat percaturan dengan menggabungkan lapan pemain luar dengan Harimau Muda A iaitu Junior, Wan Zack Haikal, Zubir Azmi, Mohamad Nazmi Faiz Mansor, Mohd Nasir Basharuddin, Nik Shahrul Azim Abd Halim, Nazirul Naim Che Hasim, S Sivanesan yang beraksi cemerlang meskipun ada di antaranya tampil buat kali pertama.
"Kemenangan ini hanya permulaan sebelum ke Sukan SEA, kita tidak boleh leka kerana masih banyak yang perlu diperbaiki," katanya. Skuad B-23 negara akan terus membuat persiapan rapi dan akan menyertai kejohanan jemputan di Bandung pada Rabu ini sebelum mengadakan latihan serta perlawanan persahabatan di Oman atau Jepun.