Sabtu, 14 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Black Hanafiah Selamat Bernikah Dengan Sekali Lafaz

Posted: 13 Sep 2013 03:57 AM PDT

Black dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Mohd Khairi Abu Hassan.
KUALA LUMPUR: Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Black Hanafiah akhirnya bergelar suami kepada Naquia Yasirah Mohd. Khairi, 28, dalam satu majlis yang diadakan di Zebra Square, Kampung Pandan, di sini pada Jumaat.
Akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan Mohamad Khairi Abu Hassan, 55, kira-kira pukul 12.06 tengah hari.
Ia turut disaksikan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al-Khatab, Bukit Damansara di sini iaitu Mohammad Syukri Yaacob.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 26, memberikan mas kahwin sebanyak RM80 manakala wang hantaran RM12,000.
Rombongan lelaki turut membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.
Black bersama isterinya, Naquia Yasirah Mohd. Khairi.
Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju.
Manakala, barang hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, Al-Quran, songkok, tali pinggang dan dompet, cincin serta minyak wangi.
Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada malam Jumaat (malam ini) di Dewan Komuniti Bangsar di sini untuk keluarga perempuan manakala Sabtu (esok) di Zebra Square untuk keluarga lelaki dan rakan-rakan artis.
Bagi peminat pula, Black memilih untuk berkongsi hari bahagianya pada Ahad ini di Padang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi di sini.
Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu.

Nama Anak Diana Danialle, Muhammad

Posted: 13 Sep 2013 03:57 AM PDT

Diana dan Farid telah bernikah pada 3 November tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danialle, 22, mendedahkan nama anak lelakinya yang kini berusia dua bulan sebagai Muhammad Farid Kamil.
Isteri kepada pengarah dan pelakon Farid Kamil ini berkata, pemilihan nama tersebut dibuat oleh ibu mertuanya selepas dia pulang ke Malaysia beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Nama anak saya Muhammad, mudah dan senang tapi kami panggil dia Sayang sahaja.
"Sebenarnya nama itu dipilih oleh nenek dia dan kami juga bersetuju dengan nama itu," katanya yang ditemui ketika menemani Farid pada Malam Gala Filem Dampak, di sini, Khamis.
Diana bersama anaknya yang diberi nama Muhammmad
Diana berkata demikian ketika ditanya mengenai anaknya yang dikatakan masih menjadi rahsia dan hanya akan disiarkan melalui program eksklusif sebuah stesen televisyen swasta.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang hubungan dia dan ibunya Norsiah Ramli yang dilaporkan dingin, Diana enggan mengulas perkara tersebut.
"Maaf ya, saya tidak mahu komen tentang itu, terima kasih," katanya.
Sementara itu, Diana yang masih lagi berpantang itu mengakui belum bersedia untuk kembali berlakon.
"Buat masa ini saya belum bersedia untuk kembali berlakon kerana kondisi saya yang lemah dan masih menyusukan Muhammad," katanya.
Tambahnya lagi, dia kurang mempercayai orang luar untuk menjaga anaknya itu ketika dia bekerja.
Sementara itu, Diana kini menetap di kampung halaman suaminya di Kedah bagi menghabiskan tempoh berpantang.
"Saya selesa tinggal di kampung kerana lebih aman seperti ketika saya berada di Australia.
"Insya-Allah kalau ada rezeki anak kedua nanti saya ingin pergi ke tempat seperti itu lagi," katanya.
Farid Kamil dan Diana Danielle selamat diijab kabul pada 3 November 2012 di Hotel Flamingo By The Lake, Ampang.
Bercakap tentang pengajiannya, Diana yang sedang menuntut di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia, berkata, dia bakal menjalani latihan praktikal di Malaysia selepas selesai proses berpantang.

Finas Rampas DVD & Peralatan Cetak Rompak KL Gangster 2

Posted: 13 Sep 2013 03:56 AM PDT


Mohd Fazli Abdul Aziz
PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berjaya merampas lebih 5,000 cakera video digital (DVD) cetak rompak termasuk filem kontroversi KL Gangster 2 serta peralatan audio visual bernilai lebih RM40,000 dalam Operasi (Ops) Banteras yang dilancarkan di beberapa lokasi seluruh negara sepanjang minggu lalu.
Pengarah Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan agensi itu, Mohd Fazli Abdul Aziz berkata, pihaknya juga berjaya merampas sebanyak 200 keping DVD cetak rompak KL Gangster 2 di Pulau Pinang dan Johor.
"Ops Banteras ini diketuai oleh Penolong Pegawai Penguat Kuasa Tinggi, Hairudin Tumiran yang bertindak hasil risikan dan maklumat awam meliputi beberapa lokasi antaranya Ampang dan Seri Petaling di Lembah Kelang," katanya kepada mStar Online di sini pada Jumaat.
Mohd Fazli berkata, operasi seumpama itu sebenarnya dilakukan sepanjang masa tetapi dipergiatkan lagi selepas mendapat laporan daripada penerbit filem Skop Productions iaitu Datuk Yusof Haslam yang kecewa apabila filem KL Gangster 2 telah dicetak rompak dan dimuat naik di Internet.
Operasi yang melibatkan kira-kira 20 anggota penguat kuasa itu antara lain untuk memastikan semua premis yang menjual cekera padat video agar mematuhi Akta Finas 1981 iaitu tidak menjalankan aktiviti pengedaran dan pameran filem tanpa lesen.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,.
Sementara itu Ketua Pengarah Finas, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah meminta orang ramai tidak membeli DVD cetak rompak kerana ia boleh memberi kesan kepada penerbit-penerbit filem tempatan.
Ujarnya, agensi itu akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti berkenaan dalam usaha memastikan kegiatan berkenaan dapat dibanteras .
"Amalan memberi produk cetak rompak akan memberi kesan kepada industri seni dan pihak kami akan sentiasa meningkatkan kawalan berhubung perkara itu," katanya.

Julfekar Minta Farawahida Tidak Burukkan Namanya

Posted: 13 Sep 2013 03:55 AM PDT

Julfekar
PETALING JAYA: Komposer Julfekar Ahmad Shah meminta penyanyi Farawahida agar tidak memburukkan namanya memandangkan kedua-dua mereka tidak lagi bekerjasama dalam industri muzik tempatan.
Julfekar, 49, yang merupakan bekas majikan wanita itu berkata, dia pelik apabila Farawahida menuduhnya melemparkan kata-kata kurang manis menerusi status di Facebook sedangkan ia tidak ditujukan kepada sesiapa pun.
"Selama ini setiap kenyataan saya di media mahupun status Facebook yang dimuat naik tidak pernah menyebut namanya mahupun individu lain.
"Ikut suka sayalah nak tulis apa sekalipun! Kenapa dia nak terasa? Sekarang ini saya tak cakap apa-apa pun berkaitan dengannya. Dia saja yang selalu menyebut nama saya di media," katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Status Julfekar di Facebook yang menjadi kontroversi itu antara lain meminta seseorang agar tidak berlagak baik selain tidak bersikap hipokrit.
Farawahida
Rabu lalu sebuah akhbar melaporkan Farawahida reda dengan tohmahan yang dibuat oleh komposer terbabit dan berharap nama mereka tidak dikaitkan lagi memandangkan dia bakal mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, Julfekar turut berasa pelik apabila Farawahida membuat kenyataan dia telah memaafkan perbuatannya itu.
"Siapa yang minta maaf kepada siapa sebenarnya? Sebelum ini, saya telah menarik kes saman saya terhadapnya selepas dia telah meminta maaf kepada saya di depan hakim.
"Dan sekarang ini dia bangkitkan cerita lama kononnya dia sudah maafkan saya. Jangan sampai saya mengambil tindakan sekali lagi terhadapnya," tegas Julfekar.
Hubungan kedua-dua pasangan itu menjadi keruh apabila Julfekar mendakwa Farawahida telah melanggar kontrak dengan syarikatnya, Millenium Art Sdn Bhd (MASB).
Kemelut yang melanda mereka berterusan apabila Farawahida membuat laporan polis atas dakwaan komposer itu mengugut mahu menyebarkan video serta gambar lucahnya.
Julfekar turut memfailkan saman ganti rugi sebanyak RM436,700 terhadap Farawahida pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam namun Julfekar telah menarik balik kes itu.

Sanding Di Hatyai, Bront Enggan Isu Nikah Terus Kecoh

Posted: 13 Sep 2013 03:54 AM PDT

Gambar terbaharu Bront Palarea
PETALING JAYA: Pelakon Bront Palarae membuat keputusan untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya di Hatyai, Thailand hujung tahun ini kerana tidak mahu isu berkenaan terus menjadi kecoh.
Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, berkata, dia juga enggan majlis itu nanti menjadi bualan ramai.
"Kalau pernikahan kecil ini pun dah kecoh, apalagi kalau saya buat majlis resepsi di Kuala Lumpur.
"Jadi adalah lebih baik saya adakan majlis di kampung ibu saya, Hatyai pada hujung tahun ini. Jika ada yang masih ingin mencari berita tentang saya, jemput datanglah," katanya kepada mStar Online.
Bront ditemui pada majlis pratonton super telefilem NY Cinta di TGV Cinema, Sunway Piramid di sini pada Khamis.
Pernikahan Bront dengan kenalan lamanya yang berlangsung di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dekat sini pada 31 Ogos lalu menjadi kontroversi apabila pelakon itu berhajat menyembunyikan majlis itu.
Bagaimanapun tindakan Bront itu gagal apabila wartawan sebuah akhbar dapat menghidunya tetapi malang sekali pelakon tersebut meminta jurugambar memadam gambar-gambar pernikahan yang dirakamkan.
Majlis pernikahan tersebut hanya dihadiri oleh saudara terdekat pasangan itu. Kedua-dua mempelai telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kawasan Masjid At-Taqwa iaitu Muda Ali dengan mas kahwin sebanyak RM30.
Dalam pada itu Bront berkata dia dan isterinya ketawa membaca laporan mengenai pernikahan mereka yang menjadi sensasi.
"Sejujurnya, apabila membaca pelbagai berita tentang kami, kami tergelak tetapi dalam keadaan yang serius," ujarnya yang enggan mendedahkan identiti isterinya itu.
Dalam pada itu, Bront turut berkongsi rasa gembira selepas seminggu bergelar suami dan mengakui bersedia untuk bergelar bapa.
"Sebelum ini saya dan isteri sudah lama berkawan dan apabila bergelar suami isteri perasaan pelik itu ada. Mungkin rasa tanggungjawab sebagai suami itu dah ada selain perkahwinan ini sekali gus buatkan saya rasa lebih matang.
"Malah saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah pula," tuturnya.

Izzue Islam Rasa Bersalah Abaikan Forteen

Posted: 13 Sep 2013 03:53 AM PDT

Izzue Islam
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Izzue Islam meluahkan rasa bersalah terhadap kumpulannya iaitu Forteen kerana tidak memberi komitmen sepenuhnya terhadap grup itu.
Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzue Islam Mazlan, 23, berkata, dia tidak dapat menyertai aktiviti kumpulan tersebut jika jadual kerjanya bertindan dengan penggambaran.
"Kadang-kala memang terdetik rasa bersalah pada diri saya kerana tidak dapat menyertai persembahan Forteen kerana sibuk dengan penggambaran.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana pihak produksi dan ahli-ahli Forteen yang lain memahami kerja saya dan tidak pernah mempertikaikan perkara tersebut," katanya kepada mStar Online.
Tambah Izzue, perkara berkaitan komitmen telah dibincangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menyertai kumpulan tersebut.
Katanya, dia masih tetap membawa nama kumpulan itu biarpun berada dalam bidang lakonan.
"Pada saya dengan berlakon juga dapat membantu memperkenalkan kumpulan Forteen secara tidak langsung.
"Saya faham kadang-kala peminat yang datang untuk menonton persembahan Forteen agak kecewa jika saya tiada, namun mereka boleh melihat saya di televisyen," katanya.
Ketika ditanya, sama ada pernah terlintas atau tidak untuk dia meninggalkan kumpulan tersebut, Izzue berkata, dia tidak pernah terfikir ke arah itu.
Jelas Izzue, dia selesa dengan kedua-dua kerjaya berkenaan dan masih mampu mengurusnya dengan baik.
"Rezeki terhadap bidang lakonan memang agak banyak, begitu juga dengan nyanyian, di mana kami akan melancarkan album pertama Forteen dalam masa terdekat ini," katanya.

Penerbit Terkilan 'Maduku Kalut' Tidak Dapat Sokongan KBS

Posted: 13 Sep 2013 03:52 AM PDT

Pelakon teater Maduku Kalut dari kiri; Nad Zainal, Izzue Islam dan Jihan.
KUALA LUMPUR: Penerbit teater Maduku Kalut, Mohd Amer Syafiq Khalip berasa terkilan apabila pementasan itu tidak mendapat sokongan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Amer, 27, berkata, biarpun aktiviti itu tidak berkaitan dengan program kesukanan namun ia mengangkat perjuangan golongan belia dalam bidang teater.
"Saya kesal kerana tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak KBS biarpun surat sudah diberi sejak dua bulan lalu.
"Kami tidak mahu apa-apa hanya tanda sokongan mereka sahaja sebagai pemberi semangat kepada kami golongan belia dalam mementaskan teater," katanya ketika ditemui pada sidang media teater Maduku Kalut, di sini, Khamis.
Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.
Tambah Amer, industri teater seharusnya mendapat sokongan daripada pihak kerajaan terutamanya apabila ia melibatkan golongan belia.
Barisan pelakon dan kru Maduku Kalut. Turut kelihatan Mohamed Juhari Shaarani (belakang; empat dari kanan)
"Saya faham masalah industri teater adalah kerana kekurangan penaja yang sanggup untuk menaja. Kalau pihak kerajaan tidak membantu golongan belia seperti kami siapa lagi," katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangat pihak produksi untuk terus berjuang memartabatkan industri teater ini.
Teater Maduku Kalut ini dibintangi pelakon popular Izzue Islam, Nad Zainal, Jihan Musa, Karl Shafek, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nasz Sally.
Teater arahan Muhammad Azhar Zainal ini akan dipentaskan buat pertama kalinya di Lambang Sari, Istana Budaya pada 27 hingga 30 September ini pada pukul 8.30 malam.
Maduku Kalut mengisahkan tentang seorang pemandu teksi, Selamat (Izzue Islam) yang berkahwin dua, namun isteri-isterinya tidak mengetahui bahawa mereka telah dimadukan.
Keadaan menjadi kecoh apabila Selamat terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan rahsianya terbongkar.
Tiket masuk berharga RM35, RM55 dan RM85 untuk menyaksikan pementasan ini boleh didapati di AirAsiaRedTic.com atau di kaunter BoxOffice, Istana Budaya.

Konsert MPO Rock sedia gegar Dewan Filharmonik

Posted: 13 Sep 2013 03:51 AM PDT


  • MPO Rock
BUAT julung kalinya, tiga nama besar dalam arena Rockers Malaysia iaitu Ella, Mus dan Man Kidal bakal bergabung bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bagi konsert Malaysian Philharmonic Orchestra Rocks (MPO Rock).

Bakal berlangsung pada 21 September, jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas, konsert ini pastinya memberikan pengalaman dan kepuasan kepada peminat muzik rock tanah air.

Idea yang dicetuskan oleh pemuzik yang disegani, Datuk Ramli MS itu bakal mengimbau detik bersejarah kerana ia akan menjadi sebuah persembahan yang cukup hebat.

Ramli yang juga bertindak sebagai Pengarah Artistik ini berkata, pemilihan ketiga-tiga artis tersebut adalah berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian mereka selain menggabungkan MPO pasti akan memberikan satu pembaharuan dan kelainan dalam konsert itu nanti.

Menurut Ramli, tiga rockers itu biasa bekerjasama dengannya memandangkan mereka juga artis yang berpengalaman.

"Sebelum keputusan dibuat, saya dan MPO berbincang untuk menggandingkan mereka bertiga. Pemilihan ini juga bertepatan dengan standard dan kredibiliti mereka. 

"Ia pastinya lebih memudahkan untuk saya bekerja dengan mereka dan saya pasti gandingan ini juga adalah yang terbaik memandangkan kesemua daripada mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ini," katanya.

Menjelaskan mengenai kejutan yang bakal dilakukan pada hari konsert itu, Ramli MS yang cukup terkenal dengan sentuhan magisnya itu, menjelaskan, beliau akan mengekalkan keaslian melodi walaupun bakal membuat kejutan melalui gubahan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan oleh Ella dan Mus.

"Saya akan lakukan perubahan untuk muzik yang bakal dinyanyikan namun tidak terlalu pelik sehingga membuatkan orang tidak dapat menerimanya,"

"Sebanyak 15 buah lagu akan disampaikan dalam persembahan itu nanti. Ia menjadi cabaran kepada kami membuat pilihan dari senarai lagu yang bersesuaian, kerana kebanyakan lagu daripada ketiga-tiga mereka banyak yang terbaik," katanya.

Beliau yang yakin dengan penerimaan peminat, mengharapkan agar idea segar itu menjadi buah tangan kepada peminat sekali gus menjadikan peminat berpuas hati dengan konsert tersebut.

Bekas pengetua Akademi Fantasia musim ke-2 dan ke-6 ini juga berharap agar tiada sebarang halangan untuk melunaskan kerja keras mereka.

Ramli juga memberitahu kelonggaran etika pemakaian pada konsert MPO Rock dilakukan bersesuaian dengan genre muzik itu.


Mus kerja keras

Bakat nyanyian Mus yang cukup terkenal di era 90, menerusi kumpulan May berjaya membawanya ke pentas berprestij ini. Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, bakal mempersembahkan lagu-lagu hits seperti Srikandi Cintaku, Pelayaran dan Hakikat Perjuangan.

Akui begitu  teruja dan berbangga kerana dipilih untuk berkongsi pentas dengan bintang-bintang ternama tanah air, Mus mengharapkan agar konsert itu dapat memberi kepuasan kepada peminat muzik rock.

Mus berkata, dia banyak menghabiskan masa hujung minggunya untuk berlatih sebagai persiapannya untuk menjayakan konsert kolaborasi pertama muzik rock dengan MPO.

"Sepanjang tiga bulan ini, saya bekerja keras untuk menjayakan konsert ini. Saya pasti, ia dapat memberi kepuasan kepada peminat saya.

"Apatah lagi ia merupakan pengalaman berharga apabila konsert yang kebiasaannya dilakukan di luar negara ini, dapat kita jayakan di sini," kata Mus yang pernah memenangi vokal terbaik, Juara Rock Malaysia 1986.


Man Kidal janji kepuasan

Man Kidal yang cukup dikenali dengan kemahiran bermain gitar, juga bakal memanaskan pentas DFP menerusi aksi bertenaganya.

Teruja diberikan peluang berkolaborasi bersama MPO, Man Kidal, merasakan ia bukanlah suatu tugas yang mudah.

"Kebiasaannya, saya bermain di konsert biasa dan hanya memainkan dengan pemuzik rock, tetapi apabila digabungkan bersama orkestra ia tentulah lebih sukar berbanding konsert yang pernah saya jayakan sebelum ini.

"Dengan usaha yang berterusan dan gandingan yang padu, saya harap ia memberikan kepuasan buat peminat," katanya.

Jue Aziz kahwin rahsia?

Posted: 13 Sep 2013 03:43 AM PDT


  • Jue Aziz
'KEMUNCULAN' seorang bayi lelaki di laman Instagram milik pelakon Jue Aziz menarik perhatian ramai untuk mengetahui siapakah gerangan bayi tersebut kepada Jue.

Apatah lagi, 'kehilangan' Jue dari persada seni sejak kebelakangan ini menimbulkan spekulasi liar bahawa Jue sudah berkahwin dan bayi lelaki tersebut adalah anaknya.

"Sudah hampir setahun saya menjaganya, nama dia Darwisy Naufal, 26 September ini genaplah setahun usianya. Dia adalah anak kenalan saya, ibu bapanya orang susah, jadi saya ambil dia sebagai anak angkat saya," jelas aktres berusia 30 tahun ini.

Mengulas mengenai dakwaan dia merahsiakan perkahwinan dengan seorang pelakon baru di Turki tahun lalu, Jue bagaimanapun pantas menafikan perkara itu.

"Saya masih belum berkahwin sehingga kini. Memang saya ada ke Turki tetapi ketika itu saya terlibat dengan penggambaran bersama produksi Erma Fatima. Tunjukkan bukti jika benar saya sudah berkahwin.

"Malah, jika benar Darwisy itu anak saya, tidak tergamak untuk saya menidakkan kehadirannya dalam hidup saya. Saya bukan sekejam itu," ujarnya kesal.

Menurut Jue, dia memahami kenapa isu sebegini ditimbulkan apatah lagi, dia sudah lama tidak muncul dalam ruangan gosip atau hadir dengan kisah kontroversi.

"Biarpun saya sudah lama tidak muncul di dada akhbar, tidak bermakna saya tidak lagi aktif dengan karier lakonan. Karier saya berjalan seperti biasa, cuma saya tidak gemar dengan publisiti, cukup-cukuplah apa yang saya lalui sebelum ini.

"Sekarang orang cuba timbulkan kontroversi dengan kata Darwisy adalah anak saya dan saya faham kenapa mereka bertindak sebegitu. Saya sudah jangka pasti akan ada pihak yang akan cuba mencipta isu sebegini," katanya.


Impian terlaksana

Berkongsi pengalaman menjaga bayi, Jue berkata, dia sememangnya tidak mempunyai masalah menjaga anak kecil kerana pernah menjaga anak buahnya sebelum ini.

Namun, pengalaman menjaga Darwisy memberikan kenangan yang cukup bermakna buatnya apatah lagi banyak masa dihabiskan melayan kerenah anak kecil ini.

"Sebenarnya sudah lama saya teringin untuk mendapat anak. Sejak enam, tujuh tahun lalu lagi dan Alhamdulillah, ALLAH makbulkan permintaan saya.

"Dulu pergi mana-mana saya seorang, kini ke mana-mana saya pergi, saya akan bawa dia. Apatah lagi saya lebih gemar duduk di rumah dan dialah yang akan menemani saya.

"Jika saya terlibat dengan penggambaran, kakak saya akan membantu menjaga Darwisy," katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Suami Aku Ustaz. Jue berkata, dia sanggup mengambil pil bagi memastikan dapat menyusukan Darwisy dalam tempoh beberapa bulan.

"Alhamdulillah, saya dapat menyusukan dia sehingga kenyang untuk beberapa kali bagi memenuhi syarak. Selain itu saya turut berurut bagi memastikan saya ada susu badan yang cukup.

"Namun kini saya sudah berhenti memberikan susu badan dan Darwisy kini hanya meminum susu formula sahaja," jelasnya.

Tangkap biawak guna tangan

Posted: 13 Sep 2013 03:38 AM PDT


  • Tangkap biawak guna tangan Tan memegang biawak yang berjaya ditangkapnya.
PARIT BUNTAR - Hanya menggunakan tangan kosong, anggota Pasukan Keselamatan Sukarelawan Kerian (PKSK), Tan, 62, berupaya menjinakkan seekor biawak agresif yang tersesat masuk ke dalam rumah seorang penduduk di Taman Wawasan, di sini, kelmarin.

Tan berkata, tanpa rasa takut, dia yang menerima panggilan memaklumkan insiden itu pada jam 4.30 petang bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pemilik rumah yang dimasuki reptilia itu sebenarnya adalah ibu saudaranya sendiri.

"Biawak sebesar anak buaya itu menyelongkar makanan di dalam rumah dan bertindak agresif ketika didekati.

"Saya tidak membawa apa-apa kelengkapan dan menangkap biawak itu menggunakan tangan sahaja," katanya ketika ditemui di rumah pengadu.

Tan berkata, dia hanya mengambil masa 10 minit untuk menangkap reptilia yang cuba menggigit tangannya itu.

"Biasanya kita menggunakan kelengkapan untuk menangkap reptilia ini, tetapi saya nekad menangkapnya menggunakan tangan.

"Saya memasukkan biawak yang ditangkap ke dalam guni dan melepaskannya kembali di sebuah hutan bakau berhampiran," katanya.

Tesco bakal dibina di Jempol

Posted: 13 Sep 2013 03:36 AM PDT


  • Tesco bakal dibina di Jempol Pasar raya Tesco bakal dibina dekat tapak Bandar I0I @ Jempol , dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
JEMPOL - Ekonomi di daerah ini dijangka berkembang lebih pesat apabila sebuah pasar raya Tesco dibina berdekatan tapak Bandar IOI @ Jempol.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Wan Razali Wan Awang berkata, pihaknya menerima surat kelulusan bagi membina pasar raya tersebut akhir Ogos lalu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya pada 0gos 2015.

"Tapak Bandar I0I ini mempunyai anggaran keluasan 202.35 hektar dan 200 hektar daripada keluasan tanah itu akan dibina dengan pelbagai bangunan perniagaan.

"Manakala pembinaan jalan pintas pula dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pekan Bahau kerana pengguna jalan raya tidak perlu lagi melalui Pekan Bahau untuk ke Pekan Rompin, Gemas, Tampin ataupun Johor," katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam perkembangan lain, Wan Razali berkata, pihaknya kesal apabila 30 anak pokok gaharu ditanam berdekatan Dataran Seri Jempol Mei lepas, hilang dipercayai dicuri.

"Pokok gaharu itu adalah sumbangan daripada Tesco Malaysia menerusi Program Penghijauan Bumi dan ia disedari hilang selepas dua hari di tanam," katanya lagi.

Pekerja lombong gempar temui artifak sejarah

Posted: 13 Sep 2013 03:32 AM PDT


  • Pekerja lombong gempar temui artifak sejarah Hisham menunjukkan rim kereta api yang ditemui di tapak lombong Wahaba Wangin.
BUKIT BESI – Sekumpulan pekerja yang sedang menjalankan kerja melombong bijih, dekat sini, gempar berikutan penemuan beberapa objek pelik.

Objek tersebut dipercayai sebahagian peralatan yang pernah digunakan untuk aktiviti melombong pada tahun 40-an hingga awal 70-an dahulu.

Penyelia tapak lombong, Hisham Abdullah berkata, batang besi berbentuk leper dan bulat itu ditemui ketika kerja mengorek tanah dilakukan di kawasan tapak lombong bijih besi milik Wahaba Wangin Sdn Bhd.

Menurutnya, pada awalnya, pekerjanya beranggapan ia adalah serpihan besi biasa, namun apabila dilihat dengan lebih dekat ia menyerupai rel dan rim tayar kereta api.

"Saya syak ia merupakan sebahagian peninggalan bekas lombong dahulu. Jadi besi ini kita simpan di tapak lombong dan mungkin akan diserahkan kepada pihak muzium sebagai bahan sejarah," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Sejarah Terengganu Cawangan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, rel kereta api dan takungan besi yang dipanggil opal itu merupakan peralatan yang digunakan syarikat Eastern Mining and Metal Company (EMCO) iaitu sebuah syarikat lombong milik British untuk kerja-kerja melombong bijih besi.

Menurutnya, ketika itu, syarikat EMCO yang beroperasi dari 1948-1971 menggunakan kereta api wagon untuk mengangkut hasil bijih dari kawasan lombong ke pelabuhan Sura Jetty.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan banyak lagi peninggalan sejarah yang tertimbus di kawasan berkenaan.

"Walaupun ia sekadar rel kereta api, namun penting sebagai bahan bersejarah.

"Penemuan rel berkenaan membuktikan kewujudan jalinan jalan kereta api di lokasi tersebut yang telah meletakkan Bukit Besi dalam peta perlombongan dunia pada ketika itu," katanya.

Diam-diam berisi Aeril Zafrel

Posted: 13 Sep 2013 03:27 AM PDT




SUDAH lama tidak mendengar sebarang berita mengenai aktor Aeril Zafrel. Kali terakhir berita tentangnya hangat diperkatakan selepas dia secara terbuka memberitahu dirinya sedang mendalami ilmu agama.
Sejak itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari bagai hilang seketika daripada direktori dunia hiburan.
Namun dalam diam, Aeril telah terlibat dengan sebuah filem Hollywood lakonan bersama aktres Christina Ricci. Tahun depan dia bakal mengembangkan sayap seni ke Indonesia menerusi filem Islamik berjudul Sabda Kekasih.
Terbaharu, peminat boleh menatap wajahnya saban hari menerusi drama bersiri Cinta Jannah di TV3.
"Saya akui, sejak keluar daripada pengurusan MIG, saya agak senyap tetapi bukan bermakna saya sudah tidak berminat dengan lakonan.
"Sebaliknya, saya masih sibuk dengan lakonan. Cuma, jadual saya tidak sepadat dahulu kerana kini saya lebih selektif memilih karya," ujarnya.
Tegas anak muda berusia 25 tahun itu, kini matlamatnya terhadap dunia lakonan agak berbeza sejak mendalami agama kerana karya yang dipilih haruslah memberi kesan positif pada penonton dan dirinya sendiri.
"Kalau dahulu saya pernah mengambil dua tawaran dalam satu masa, kononnya untuk meraih pendapatan yang lebih akhirnya memakan diri kerana tidak mampu membahagikan masa.
"Saya belajar daripada kesilapan dan sekarang saya hanya mengambil satu tawaran dalam satu masa supaya saya ada masa untuk mengkaji watak yang diberikan.
"Bukan itu sahaja, tawaran yang dipilih harus memberi kesan yang bermanfaat kepada penonton serta diri saya sendiri," katanya.
Tambahnya, setiap karya yang datang diteliti terlebih dahulu dan andai pihak produksi boleh mengikut peraturannya barulah dia akan bersetuju dengan tawaran tersebut.
AERIL bakal membintangi sebuah filem Indonesia berjudul Sabda Kekasih di samping barisan pelakon yang pernah membintangi filem Ayat-Ayat Cinta dan Cinta Bertasbih.


"Saya bukan diva. Sebaliknya, saya tidak mahu adegan-adegan yang keterlaluan dengan pelakon wanita.
"Selepas menyatakan perubahannya kepada pihak media, pihak produksi tidak teragak-agak memberi tawaran kerana mereka sudah tahu pantang larangnya.
"Setakat hari ini, semua tawaran yang datang tidak ada sebarang masalah. Walaupun saya sudah berubah tetapi tidaklah terlalu ekstrem.
"Saya tidak meletakkan sebarang had dalam pemilihan watak kerana saya masih melakonkan karakter yang pelbagai," jawabnya.
Masih Aeril yang sama
Walaupun setiap hari Jumaat dia akan berjumpa guru agamanya di Masjid Muadz Bin Jabal di Setiawangsa, Kuala Lumpur, Aeril menjelaskan, perubahan dirinya tidak menjejaskan kehidupan sosialnya.
"Saya masih Aeril yang sama, saya memang suka bersendiri dan tidak ramai rakan daripada kalangan artis. Saya juga jarang-jarang hadiri majlis hiburan. Cuma saya cukup rapat dengan Ellie Suriati dan suaminya, Azri Iskandar. Mereka ibarat mentor saya dalam dunia lakonan.
"Selebihnya, selesai sahaja penggambaran, saya akan pulang ke rumah. Rakan-rakan lama saya masih berhubung tetapi kami hanya jumpa jika ada hal yang penting. Bukan tidak mahu tetapi sekarang masing-masing sudah mempunyai komitmen kerjaya," tuturnya.
Katanya, tidak semestinya dirinya semakin dekat dengan agama dia harus meninggalkan bidang seni walhal ia merupakan periuk nasi utamanya sehingga hari ini.
"Saya tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan kerana saya cukup minat dengan seni lakonan. Bagi saya, pendapatan berlakon agak lumayan berbanding pengalaman saya bekerja di bidang yang lain sebelum ini.
"Pada masa akan datang saya tidak tahulah bagaimana perjalanan yang diaturkan Allah untuk saya tetapi sampai hari ini fokus saya hanya pada lakonan kerana saya tidak mempunyai pekerjaan yang lain," terang anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Bahkan, bakat Aeril sudah pun diperakui sehingga ke Hollywood dan dia bakal ke Indonesia pada tahun hadapan bersama produksi dari seberang.
"Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki. Selepas filem Hollywood, pada awal tahun depan saya akan terlibat dengan sebuah filem islamik Indonesia berjudul Sabda Kekasih.
"Saya difahamkan, semua pelakon yang terlibat merupakan tenaga lakonan daripada filem Ayat-Ayat Cinta dan Cinta Bertasbih.
"Mungkin filem ini merupakan batu loncatan untuk melebarkan kerjaya lakonan saya di sana. Doakan yang terbaik untuk saya," ucapnya.

LEBIH MATANG... Aeril kini belajar daripada kesilapan lalu.


Paksa diri
Mungkin ramai yang beranggapan Aeril lebih mendekatkan diri dengan agama selepas mendapat hidayah. Bagaimanapun, tegas Aeril, dia yang memaksa dirinya untuk berubah ke arah yang lebih baik.
"Saya tidak tahu apa pandangan orang terhadap saya tetapi saya cuba dan paksa diri saya berubah untuk menjadi Aeril hari ini dan lebih baik pada masa akan datang.
"Jika hendak tunggu diri saya memperoleh hidayah Allah tidak tahu bila atau mungkin tidak akan dapat sampai bila-bila. Jadi, saya harus jentik hati saya sendiri untuk berubah," akuinya.
Jelasnya, mungkin ada orang yang tidak senang dengan perubahannya yang masih kekal berlakon walaupun sudah semakin dekat dengan agama tetapi sebagai anak seni, Aeril mempunyai pendiriannya tersendiri.
"Lain orang, lain caranya. Bagi saya, sebagai artis saya cuba untuk memberi contoh yang terbaik buat penonton dan peminat saya.
"Kalau ada yang tidak suka, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana lain orang lain pendapatnya.
"Sukar untuk saya memuaskan hati semua orang. Selagi niat saya ke arah yang positif, saya akan terus terlibat dalam lakonan sehingga saya bertemu dengan suatu bidang lain yang lebih sesuai," bicaranya panjang lebar.

Hazama, Genervie sedang kenal hati budi

Posted: 13 Sep 2013 03:26 AM PDT


HAZAMA mengakui sedang akrab dengan Genervie sejak empat bulan lalu.


SEPANJANG bergelar artis setelah muncul juara Akademi Fantasia 9, agak jarang kedengaran cerita sensasi yang membabitkan penyanyi Hazama. Bagaimanapun, Kosmo! Ahad hujung minggu lalu melaporkan yang pelantun lagu Cinta Teragung itu dilaporkan sedang akrab dengan seorang pemuzik Cina dikenali sebagai Genervie Kam.
Ketika dihubungi baru-baru ini, Hazama, 29, tidak menafikan tentang perkara tersebut dan mengakui bahawa Genervie merupakan gadis yang paling rapat dengannya sekarang.
Sudah mengenali pemuzik yang berkebolehan bermain violin dan piano itu sejak tiga tahun lalu, hubungan mereka mula rapat sejak empat bulan lalu.
Kosmo!: Hujung minggu lalu akhbar Kosmo! Ahad mendedahkan tentang hubungan Hazama dengan seorang pemuzik Cina yang dikenali sebagai Genervie Kam. Boleh anda komen mengenai perkara tersebut?
HAZAMA: Saya dan Genervie sudah lama kenal dan hubungan kami bermula atas dasar kerja selepas saya menjuarai Akademi Fantasia 9 dahulu.
Pada mulanya, saya anggap dia tidak lebih daripada sekadar teman biasa. Namun begitu, lama-kelamaan saya rasa selesa berkawan dengan dia.
Bagaimanakah hubungan kamu berdua menjadi rapat?
Ia berlaku ketika kami menjayakan sebuah persembahan hiburan kira-kira empat bulan lalu. Selepas acara berakhir saya ajak dia pergi minum di sebuah restoran.
Ketika itu banyak perkara yang telah saya dan Genervie bualkan. Ia merupakan detik awal yang membuatkan hubungan kami menjadi rapat dan sejak itu kami selalu keluar berdua.
Sekarang ini apakah status hubungan kalian?
Apa yang boleh saya cakap, kami sedang dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing dan sedang ke arah hubungan yang lebih serius.
Kalau ditakdirkan kami memang bercinta sudah tentu saya tidak akan sembunyikannya daripada pengetahuan peminat. Lagipun, saya ini bukan jenis individu yang suka berahsia sangat.

GENERVIE dan Hazama mula berkenalan kira-kira empat bulan lalu.


Apakah kelebihan yang ada pada Genervie?
Dia seorang wanita yang banyak memberikan sokongan kepada saya dalam kerjaya dan kehidupan. Memandangkan usianya yang tua empat tahun, setiap kata-kata semangat yang diberikan membuatkan saya lebih bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan lagi diri agar menjadi seorang insan yang lebih baik.
Umum mengetahui Hazama dan Genervie berlainan kaum dan agama. Adakah anda tidak risau sekiranya hubungan cinta yang terjalin nanti mendapat tentangan keluarga?
Mengenai perkara ini, saya sukar untuk jelaskan kerana ia merupakan isu yang agak sensitif. Namun, dalam soal jodoh saya tidak kisah kalau ditakdirkan berkahwin dengan gadis yang berlainan kaum atau agama.
Berhubung dengan soal keluarga pula, setakat ini kedua-dua keluarga kami mengetahui tentang hubungan yang terjalin dan mereka tidak menghalang.
Sebelum ini anda sudah mempunyai kekasih yang dikenali sebagai 'Nor'. Bagaimanakah hubungan anda dengan gadis berkenaan?
Sebenarnya kami sudah berpisah sejak lima bulan yang lalu, cuma saya tidaklah beritahu kepada umum mengenainya. Kalau ada yang bertanya, barulah saya akan memberitahu perkara sebenar.
Perpisahan saya dan Nor dilakukan secara baik setelah berbincang dan saya anggap tiada jodoh antara kami. Kalau berjumpa di mana-mana tempat kami masih lagi bertegur sapa.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda?
Kini saya sedang sibuk mempromosikan single terbaharu saya berjudul Penglipur Lara. Maklum balas yang diterima daripada peminat sangat positif dan mereka suka dengan lagu tersebut.
Untuk lakonan pula saya sedang berehat setelah selesai membintangi filem Hantu Nan Sempit dua bulan lalu. Mungkin tahun depan saya akan kembali berlakon.

Sahabat kisah tujuh remaja

Posted: 13 Sep 2013 03:25 AM PDT


ROSYAM (tiga dari kiri) bersama barisan karyawan drama Sahabat.


BUAT pertama kalinya, syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. milik aktor Rosyam Nor menerbitkan sebuah drama remaja ringan berjudul Sahabat.
Sebelum ini, produksinya lebih cenderung menerbitkan drama berat. Rosyam yang ditemui pada sesi sidang media baru-baru ini mengatakan, ini adalah langkah pertamanya untuk memikat golongan remaja belasan tahun.
"Sebelum ini Suhan Movies pernah menerbitkan drama remaja Jangan Ambil Padang Kami. Drama itu mendapat sambutan hangat walaupun isinya agak berat.
"Jadi, timbul idea untuk terbitkan sebuah drama remaja yang lebih ringan dan berkisar tentang persahabatan sahaja. Bukan itu sahaja, menerusi drama Sahabat, buat pertama kalinya produksi menampilkan laman komuniti interaktif untuk lebih dekat dengan penonton," katanya.
Bercakap tentang pemilihan pelakon drama Sahabat yang dibarisi Liyana Jasmay, Izzue Islam, Syukri Yahaya, Iezah Diyana, Sara Ali, Aedy Ashraf dan Syarif daripada kumpulan Sleeq, kata Rosyam, mereka dipilih berdasarkan kesesuaian watak.
"Semua pelakon yang dipilih mempunyai kekuatan tersendiri yang kita tahu cukup popular dalam kalangan remaja terutama golongan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang merupakan penonton sasaran drama ini.
"Mereka juga memang pelakon yang bagus dan mampu menarik minat penonton untuk mengikuti drama ini," balasnya.
Disoal mengapakah beliau mengambil Syarif daripada kumpulan Sleeq yang tidak pernah berlakon dalam mana-mana drama di Malaysia, Rosyam mempunyai jawapannya.
"Dia seorang pelakon di Singapura dan selepas menjalani uji bakat, kami dapati dia memang boleh berlakon. Lagipun, kami memerlukan Syarif untuk menarik peminat di Singapura menonton drama ini," ujarnya.
Liyana Jasmay dan Izzue Islam yang sering bergandingan dalam beberapa buah telefilem sebelum ini seperti Tudung Tweet dan Cik Paris Diva Kampung tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan sekali lagi dalam drama Sahabat.
"Bila saya ditawarkan drama ini, mulanya agak risau kerana mempunyai 36 episod. Saya terpaksa berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur tetapi melihat barisan pelakonnya seperti Izzue Islam, saya terus bersetuju kerana kami pernah bergandingan dan cukup serasi.
"Pihak produksi juga cukup memahami, membenarkan saya cuti selama beberapa hari dalam seminggu kerana jadual penggambaran yang agak panjang.
"Jika produksi boleh mengikuti jadual saya, memang saya tidak ada masalah untuk menerima mana-mana tawaran," terang Liyana.
Izzue yang berusia 23 tahun dan telah berkahwin menjelaskan, dia tidak ada sebarang masalah untuk membawa watak Toi, pelajar lepasan SPM dari Kelantan yang memburu impian sebagai pemuzik di kota Kuala Lumpur.
"Permulaan cerita untuk watak Toi sama dengan kisah realiti hidup saya ketika saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Memang saya tidak ada masalah untuk melontarkan dialog dalam dialek Kelantan kerana saya memang anak jati Kelantan.
"Watak pelajar lepasan SPM bukan satu masalah besar walaupun ada cabarannya kerana saya masih muda (ketawa). Saya tidak kisah sering diberi watak remaja, asalkan saya mampu bawa watak itu dengan baik, saya akan terima tawaran tersebut," ujarnya.
Drama Sahabat yang akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 5.30 petang bermula 16 September ini di Astro Ria mengisahkan perjalanan hidup tujuh remaja lepasan SPM berlainan latar belakang yang memburu impian hidup masing-masing.
Peminat yang ingin menyertai laman komuniti interaktif Sahabat yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik boleh melayari laman web www.mysahabat.com.

Roslan Shah bertanding dalam Muzik-Muzik 2013

Posted: 13 Sep 2013 03:24 AM PDT



DAPHNE (tengah) diapit Dr. Vida dan Roslan merupakan antara selebriti terkenal yang muncul sebagai panel undangan dalam program Diva De Vida.


NAMANYA lebih dikenali sebagai hos serba boleh, namun itu tidak menghalang Roslan Shah daripada mengembangkan kariernya ke bidang lain.
Pernah berlakon dalam filem pendek arahan Shuhaimi Lua, Chukang, dan beberapa buah drama termasuk Mabuk Estrogen, terkini Roslan membuat kejutan di bidang muzik pula.
Dia muncul dengan single berjudul, Propaganda yang turut bertanding dalam program Muzik Muzik 2013 yang disiarkan di TV3 pada 14 September ini (esok).
"Single saya, Propaganda yang merupakan ciptaan bekas anggota kumpulan May, Wan Oney dan lirik oleh Yankee bakal bertanding menerusi program Muzik Muzik 2013 di TV3 yang disiarkan pada Sabtu, 14 September ini," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya: "Saya sungguh teruja untuk bertanding pada Muzik Muzik 2013 menerusi lagu berentak rancak dan catchy ini, dan berharap para peminat saya mengundi lagu Propaganda kerana liriknya sungguh bermakna."
Raih kritikan
Sementara itu, bercakap mengenai program kelolaannya, Diva De Vida, kata Roslan: "Alhamdulillah, setakat ini Diva De Vida sedang bersiaran di Astro Prima.
"Antara respons yang diterima ada peminat yang tidak puas hati kerana mereka kata, saya buat lawak bukan seperti yang biasa saya lakukan di atas pentas.

ROSLAN SHAH muncul buat pertama kali sebagai hos program bual bicara Diva De Vida.


"Di sini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak buat lawak yang keterlaluan di TV dan di pentas lain. Namun, ada dalam beberapa episod Diva De Vida saya buat lawak secara spontan.
"Ini adalah percubaan pertama kali saya sebagai hos program bual bicara.
"Semua manusia ada buat kesilapan dan insya-Allah saya akan buat yang terbaik pada masa depan," ujarnya yang kini muncul melakonkan watak pensyarah menerusi drama bersiri Inspirasi Varsiti di TV2 setiap Isnin hingga Rabu, pukul 3 petang.
Diva de Vida yang disiarkan di Astro Prima (saluran 105) pada setiap hari Isnin pukul 9.30 malam, merupakan sebuah program tentang kesihatan dan kecantikan luar dan dalaman.
Pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida yang bertindak sebagai penerbit turut muncul sebagai panel tetap dalam program yang menampilkan barisan artis terkenal sebagai panel undangan termasuklah Tasha Shilla, Anzalna, Daphne Iking, Izzue Islam dan Didie Alias.

19 kedai ubat warga asing di Lebuh Pudu diserbu

Posted: 13 Sep 2013 03:18 AM PDT

ROSNAINI menunjukkan pelbagai jenis ubat yang dipercayai boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna dalam serbuan penguat kuasa di Lebuh Pudu semalam.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 19 buah premis berkonsep 'farmasi mini' yang dikuasai warga asing di sekitar kawasan Lebuh Pudu, di sini diserbu pasukan penguat kuasa dengan anggaran nilai rampasan lebih RM600,000 semalam.
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Rosnaini Kamaruddin, serbuan dilakukan serentak dari pukul 11.30 pagi hingga pukul 4 petang bersama Jabatan Imigresen seramai 90 anggota.
Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penjualan ubat-ubatan dan produk kesihatan yang tidak berdaftar serta mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan pengguna.

Kereta hiasan besi tempa

Posted: 13 Sep 2013 03:15 AM PDT



KERETA dengan dekorasi awan larat dipamerkan sempena Festival Hartanah Kemboja 2013 yang berakhir semalam.


PHNOM PENH – Sebuah syarikat di Kemboja menggunakan besi tempa untuk menghias sebuah kereta miliknya.
Dekorasi unik itu ditampilkan kepada orang ramai sempena Ekspo Hartanah Kemboja 2013 yang berlangsung di sini selama tiga hari bermula Selasa lalu.
Keseluruhan rangka kereta tersebut termasuk bumbung dan pintu digantikan dengan besi tempa bercorak awan larat.
Festival berkenaan diadakan untuk mempromosi besi tempa yang diimport dari China, Thailand, Singapura dan Taiwan.

Vila atas bumbung kilang

Posted: 13 Sep 2013 03:14 AM PDT



"VILA KAYANGAN" yang dibina di atas bangunan kilang di Dongguan, Guangdong, di tengah China.


DONGGUAN - Pengguna internet tempatan kecoh berhubung dua buah vila yang dibina di atas bumbung sebuah bangunan kilang di China.
Mereka menggelarkan kediaman itu "vila kayangan" kerana kedua-dua banglo tersebut cuma disokong oleh 10 buah tiang konkrit.
Kediaman dua tingkat itu dibina di atas bumbung bangunan kilang tiga tingkat di sini, dalam wilayah Guangdong, di tengah China.
Media tempatan melaporkan "vila kayangan" itu wujud sejak beberapa tahun lalu tetapi tiada dalam pelan asal pembinaan bangunan kilang tersebut.
Seorang pegawai tempatan memberitahu, kediaman megah itu adalah menyalahi undang-undang tempatan.
"Kami akan menangani isu ini berlandaskan undang-undang," katanya tanpa mengulas lanjut.
Masyarakat China sebelum ini digemparkan dengan kewujudan empat vila di atas bumbung yang dibina di bandar raya Zhuzhou dalam wilayah Hunan.
Sebuah banglo berbentuk bongkah batu yng dibina di atas bumbung bangunan apartmen setinggi 26 tingkat di Beijing turut mendapat perhatian orang ramai dan media asing.

Diskriminasi Islam pasca 11 September 2001

Posted: 12 Sep 2013 07:35 PM PDT




JIKA anda ke Chicago, Amerika Syarikat (AS), nasib anda untuk bertemu pemandu teksi beragama Islam sangat tinggi. Berdasarkan pengalaman peribadi menaiki pengangkutan awam itu sebanyak dua kali pada tahun 2010, kedua-duanya menemukan penulis dengan pemandu berketurunan Arab beragama Islam.
"Assalammualaikum rakan muslimku, gembira bertemu anda di sini," ramah menyapa, ikhlas berbicara, itu ungkapan pertama lelaki berusia lingkungan 30-an itu saat penulis duduk di dalam teksinya.
Paling menyenangkan apabila dia menolak bayaran tambang. Katanya: "Awak ibarat adik saya sendiri dan kita sesama saudara Islam mesti menolong satu sama lain."
Pekerti seluhur itu dialami sendiri penulis. Takjub dan terkesan bertambah apabila melintasi sekumpulan lelaki muslim yang sedang solat berjemaah di satu sudut terpencil di stesen kereta api utama Chicago, Union Station.
Tanpa sejadah, dahi mereka mencium lantai sejuk. Tiada juga surau atau ruang khas untuk mereka beribadat. Tempat itu diwujudkan mereka sendiri demi melunaskan tuntutan agama.
Melihatkan situasi-situasi sebegitu, terdetik di fikiran, benarkah orang Islam di AS mengalami penindasan dahsyat terutamanya selepas peristiwa hitam, 11 September 2001 yang meranapkan bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York?
Paling menghairankan, biarpun AS kerap meletakkan Islam dalam konteks negatif, populasi rakyat mereka yang memeluk Islam semakin meningkat.

AHLI keluarga mangsa tragedi 11 September 2001 masih meratapi kehilangan keluarga masing-masing.


Ekstremis
Berdasarkan statistik Bancian Agama AS, selepas tragedi 11 September, angka umat Islam di negara itu melonjak kepada 6.1 juta pada tahun 2010 berbanding 2 juta pada tahun 2000. Jumlah itu kini dijangka hampir mencecah 7 juta.
Benar, pengganas daripada kumpulan Al-Qaeda di bawah pimpinan Osama bin Laden dipertanggungjawabkan atas serangan 12 tahun lalu. Fakta juga mendedahkan, kesemua ahli kumpulan itu merupakan muslim ekstremis yang cuba menggoyah keamanan sejagat lantas mengorbankan hampir 3,000 nyawa yang tidak bersalah.
Itu pengumuman rasmi AS kepada dunia. Malah media arus perdana mereka rancak mencanang kekejaman pengganas Islam. Secara halus, mereka telah menanam kebencian warga AS terhadap umat Islam di negara itu.
Selepas lebih sedekad bencana itu, diskriminasi ke atas umat Islam di AS masih berlarutan. Seorang gadis yang ditemui di San Francisco berkongsi cerita bersama sebuah portal berita, The Daily Beast tentang kepahitannya dibesarkan sebagai wanita Muslim di Amerika.
Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Fatima kini berusia 17 tahun, seorang warganegara AS, namun sering ditafsir sebagai imigran di negara sendiri.
"Saya berusia 5 tahun ketika tragedi 11 September, jadi banyak perkara saya tidak ingat. Namun saya mula mengalami diskriminasi agama seawal umur lapan tahun. Waktu itu saya pergi ke taman tema bersama keluarga. Tiba-tiba seorang lelaki menjerit ke arah kami menyuruh kami pulang ke negara asal," kongsi Fatima.
Kejadian sebegitu kemudiannya berulang sepanjang Fatima membesar. Kulitnya yang gelap, tudung yang membaluti kepala ibunya dan nama Islamnya dijadikan bahan jenaka dalam kalangan rakan-rakan di sekolah. Setiap cercaan ditelan Fatima penuh sabar.
"Ibu bapa saya lebih sakit hati apabila mendapat tahu saya dipanggil dengan pelbagai gelaran hina termasuk pengganas ketika di bangku sekolah menengah rendah dan ia bertambah teruk selepas serangan bom di maraton Boston pada bulan April lalu," ujarnya tenang.
Seorang lagi mangsa diskriminasi agama di AS, Salma, 25, merupakan graduan Universiti California yang kini bekerja di sebuah firma pemasaran di Los Angeles (LA). Baginya, peranan media dalam tempoh lebih sedekad lalu merupakan penyumbang utama kepada penciptaan watak antagonis dirinya pada pandangan masyarakat.
Kehidupan seorang muslim
"Sebagai seorang muslimah, saya wajib memakai tudung dan hal ini menarik perhatian umum. Ketika membeli-belah, orang sekeliling merenung saya dan kadangkala mereka bertanya, mengapa saya menyokong penindasan Islam ke atas wanita?
"Kami (wanita muslim) bergelut melawan kebencian Amerika terhadap Islam dan individu yang bertudung. Kami dilihat sebagai golongan anti-Amerika hanya kerana kami beragama Islam.
"Terlalu banyak tuduhan yang mengatakan saya salah seorang daripada ahli Al-Qaeda dan pengganas ketika di bangku sekolah dulu. Dua kali saya ditolak oleh pelajar lelaki di dalam kelas dan tanpa rasa bersalah mereka katakan bukankah itu (kezaliman) yang dipraktikkan dalam Islam?
"Situasi sebegini sangat menekan saya dan sehingga kini saya masih cuba memahami dan menerima erti hidup sebagai Muslim di AS," luah Salma kecewa.

SEJAK tahun 2003, Jabatan Polis New York mengintip masjid yang diasaskan pengasas Yayasan Persatuan Islam Bay Ridge di New York, Zein Rimawi, 59, (tengah) untuk memastikan sama ada ia mempunyai hubungan dengan pengganas Islam.


Kecewa dengan prejudis masyarakat terhadap komuniti muslim, ada segelintir umat Islam di AS mengambil langkah drastik menukar agama gara-gara mahu diterima secara sama rata.
Selepas lebih sedekad tragedi 11 September menyaksikan muslim Amerika ditindas dalam sistem perundangan, polisi dan keutamaan. Seluruh komuniti itu hidup terbuang di negara sendiri. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kesan daripada tragedi itu telah meletakkan umat Islam sebagai mangsa prejudis baharu seperti yang dialami Amerika Latin, orang asli dan Afrika Amerika pada masa dulu.
Paranoid AS
Tambah mengejutkan apabila Jabatan Polis New York (NYPD) secara rahsia melabelkan seluruh masjid sebagai organisasi keganasan. Berita yang disiarkan agensi berita Associated Press pada 28 Ogos lalu itu mendedahkan, di bawah sistem tersebut, polis boleh memasang mata-mata bagi merakam ceramah dan mengintip golongan imam tanpa memerlukan bukti jenayah.
Ia sekali gus memberi erti bahawa sesiapa sahaja yang hadir untuk beribadat di mana-mana masjid berpotensi menjadi subjek siasatan dan diawasi secara menyeluruh.
Paranoid AS terhadap umat Islam di negara mereka juga terbukti apabila Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) mendedahkan laporan bertajuk Muslims Need Not Apply, dua minggu sebelum pembongkaran program rahsia NYPD dihebohkan.
Berdasarkan laporan itu, program keselamatan kebangsaan yang digerakkan secara rahsia itu diwujudkan bagi memberi kuasa mutlak kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan imigresen AS untuk menangguhkan setiap permohonan kerakyatan orang Islam dan kemasukan mereka yang datang dari negara Islam.
Program yang bermula pada tahun 2008 di bawah pimpinan bekas presiden, George W Bush itu juga berfungsi bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai hubungan dengan pengganas. Ia terus diaplikasikan di bawah teraju Presiden Barack Obama bagi menyenarai hitam pemohon beragama Islam dan mengklasifikasikan orang Muslim di bawah perhatian keselamatan negara.
Laporan ACLU yang dikeluarkan pada 21 Ogos lalu itu turut disokong beberapa contoh kes. Misalnya, permohonan kerakyatan seorang warga Mesir, Tarek Hamdi ditolak hanya kerana dia membayar zakat secara tahunan kepada pertubuhan bantuan Islamik, Yayasan Antarabangsa Benevolence.

KEHIDUPAN sebagai seorang Muslim selepas tragedi 11 September 2001 amat mencabar dengan pelbagai stigma. - Gambar hiasan


Pihak pemerintah AS kemudiannya menutup pertubuhan tersebut atas tuduhan ia menyokong pergerakan pengganas dan mendakwa pemimpinnya menipu penderma seperti Tarek. Bagaimanapun, Khidmat Kewarganegaraan dan Imigresen AS (USCIS) tetap menolak permohonan Tarek.
Hal itu berlarutan sehingga 11 tahun meskipun proses asal hanya memakan masa selama enam bulan. Ia berakhir selepas arahan dikeluarkan oleh hakim bagi pihak Tarek agar USCIS meluluskan permohonan kerakyatan lelaki itu.
Tragedi 11 September telah melahirkan penyakit Islamofobia dalam kalangan masyarakat khususnya di AS. Selain menyemarakkan kebencian masyarakat dunia terhadap muslim, ia turut menjadi alat politik terpenting bagi mengeksploitasi ketakutan dalam meraih kuasa di peringkat antarabangsa.
Seramai suku juta muslim di San Francisco Bay Area mengakui mereka pernah berdepan insiden berkait Islamofobia selepas tragedi 11 September.
Berdasarkan kajian bertajuk The Bay Area Muslim Study: Establishing Community and Identity yang didedahkan pada bulan Mei lalu, 40 peratus Muslim di kawasan itu pernah mengalami diskriminasi peribadi manakala 23 peratus lagi menjadi mangsa jenayah kebencian.

Kemahiran buat kek golongan asnaf

Posted: 12 Sep 2013 07:34 PM PDT



DARI kejauhan sebelum melangkah masuk ke sebuah bilik kedengaran canda tawa berselang-seli dengan suara persis seorang guru sedang mengajar sesuatu di dalam bilik darjah.
Saat melangkah masuk ke bilik tersebut kelihatan seorang wanita dalam lingkungan usia 40-an sedang tekun membacakan bahan-bahan resipi. Pada masa yang sama, beliau turut menerangkan sedikit tip pantang larang bagi membuat hidangan pencuci mulut pavlova yang menjadi trend masa kini.
Kesemua 20 anak muridnya yang terdiri daripada kaum ibu golongan asnaf tekun mencatat pesanan yang dititipkan sambil memerhatikan demonstrasi pembuatan pavlova dan biskut hiasan. Mereka mengangguk faham.
Beberapa minit kemudian, masing-masing yang dipecahkan kepada empat kumpulan mula mempraktikkan teori yang dipelajari sebentar tadi.
Sekali pandang suasananya persis sebuah rancangan realiti masakan popular, MasterChef. Tetapi hakikatnya, ia adalah Kursus Bakeri Asnaf Siri Kedua anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama D Flowers Cake yang diadakan di Perangsang Templer Golf Club, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Kursus selama tiga hari itu memberi peluang kepada golongan asnaf mendalami bidang keusahawanan bakeri di samping memberi nilai tambah terhadap kemahiran kulinari yang sedia ada.
Kekok melukis
Para peserta kelihatan sungguh tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengikuti setiap modul sepanjang tiga hari berkursus.
Walaupun ada segelintir yang kekok ketika kali pertama melukis dan menghias biskut hiasan menggunakan aising royal sebagai dakwat, namun selepas beberapa kali mencuba mudah sahaja mereka menguasai kemahiran tersebut.

PARA peserta tekun melihat demonstrasi membuat pavlova oleh Zanifah (empat dari kanan).


Seorang ibu tunggal, Suzana Ariffin, 43, dari Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor datang ke lokasi kursus itu semata-mata mahu mengikuti kursus bakeri yang dianjurkan.
"Ia merupakan satu peluang yang baik bagi kami yang tidak mampu untuk mengikuti kelas-kelas sebegini yang mahal yurannya.
"Saya memang ternanti-nanti kursus sebegini kerana kecenderungan saya dalam bidang membuat kek dan kuih," katanya yang mengambil tempahan kuih dan kek bagi menyara kehidupan bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.
Menerima tempahan seperti roti jala, kek, kuih-muih tradisional, apam bintik polka, kek coklat, kek lobak dan kek red velvet, Suzana hanya menggunakan cara konvensional memasarkan produknya iaitu promosi daripada mulut ke mulut.
Antara resipi yang dipelajari sepanjang kursus tersebut ialah pembuatan pelbagai ban manis dan pedas, kek coklat kukus, biskut hiasan dan kek cawan serta cara menghiasnya.
Timba pengalaman
Dalam pada itu, Norazah Mat Nazir, 35, begitu teruja apabila diberitahu mengenai kursus tersebut. Wanita yang berasal dari Manjung, Perak dan menetap di Puchong, Selangor itu sememangnya suka memasak dan membuat kek sejak zaman sekolah lagi.
"Tamat sekolah sahaja saya sudah bekerja di kedai kek. Sedikit sebanyak ia membantu saya mengutip pengalaman dan memulakan perniagaan sendiri selepas berkahwin.
"Pihak Pusat Zakat Selangor ada memberikan bantuan berupa lori bergerak bagi memudahkan saya berniaga," katanya yang menjual kek coklat kukus, kek marmar, kek puding, mi Jawa, laksa dan mi udang.
Kebetulan, suaminya yang bekerja sebagai kerani juga berminat berniaga dan sentiasa memberikan sokongan.
"Saya berharap kursus-kursus sebegini diperbanyakkan dan bukan diadakan setahun sekali sahaja kerana ia dapat membantu golongan asnaf seperti kami menambah kemahiran.

ANTARA hasil kreativiti para peserta menghias biskut hiasan buat pertama kali.


"Ia secara tidak langsung dapat mempelbagaikan produk jualan kami sekali gus menambah pendapatan keluarga tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan," ujarnya yang mempunyai empat orang cahaya mata berusia antara tiga hingga 13 tahun.
Menyandang status sebagai ibu tunggal bukan mudah buat Zaida Md. Amin, 42, yang berasal dari Banting, Selangor kerana dia terpaksa bekerja sambil berniaga bagi membesarkan lima orang anaknya yang masing-masing berusia tujuh hingga 20 tahun.
Zaida yang bekerja sebagai koordinator jualan di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya kadangkala berkesempatan melelapkan mata selama satu hingga dua jam sahaja kerana bersengkang mata membuat biskut raya yang ditempah pelanggan.
"Berbekalkan dengan sedikit kemahiran yang ada dan bantuan zakat memberikan saya modal untuk berniaga.
"Dengan penganjuran kursus sebegini oleh MAIS, dapatlah saya memberi nilai tambah kepada kemahiran sedia ada," katanya yang baru belajar membuat kek dalam kursus tersebut.
Zaida berharap dirinya akan memanfaatkan sepenuhnya apa yang dipelajari dengan mempraktikkan hasil tunjuk ajar tenaga pengajar daripada D Flowers Cake, Zanifah Md. Nor.

Sudoku latih otak berfikir

Posted: 12 Sep 2013 07:30 PM PDT


PERMAINAN Sudoku membuatkan individu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.


PERMAINAN minda seperti Sudoku memberi manfaat yang baik kepada fikiran sehingga boleh dijadikan sebagai satu senaman bagi menguatkan otak pemain.
Ia membantu individu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Pada masa yang sama, permainan Sudoku merupakan salah satu cara untuk menggalakkan perkembangan minda kanak-kanak.
Menurut Pakar Kanak-Kanak dan Remaja, Pusat Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Khaidzir Ismail, Sudoku diibaratkan sebagai makanan minda kepada kanak-kanak kerana pada tahap ini, otak mereka sedang berkembang 80 peratus untuk menjadi matang.
"Justeru, pada tahap ini, otak mereka perlu dilatih bagi menguatkan pemikiran.
"Namun, usah hanya tertumpu pada permainan Sudoku. Sewajarnya ibu bapa perlu membuka minda anak-anak dengan aktiviti sosial yang lain seperti perbualan dan pengalaman daripada persekitaran. Ini termasuklah memberi keseimbangan kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) untuk proses tumbesaran diri kanak-kanak," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Sementara itu, Pakar Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor berkata, permainan berkaitan logik seperti Sudoku menggunakan otak kiri. Dari segi psikologi, ia dapat membantu menguatkan pemikiran seseorang.
"Namun begitu, ia tidak boleh dilakukan secara berterusan atau terlalu lama. Cukup sekadar mengisi masa lapang antara 30 minit hingga satu jam sahaja," kata Dr. Syed Mohamed Shafeq.
Permainan minda Sudoku dicipta oleh ahli matematik, Leonhard Euler pada tahun 1783. Namun, sejak tahun 1984, Presiden Nikoli Co. Ltd., Maki Kaji telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan pembangunan dan pemasaran Sudoku melalui syarikat pengeluar teka-teki itu.
Sudoku kini dimainkan di lebih 100 buah negara seluruh dunia. Popularitinya dapat dilihat melalui penganjuran pertandingan Sudoku untuk pelbagai peringkat umur di dalam dan luar negara.
Tahun ini, Peraduan Sudoku Kosmo! Midea akan dianjurkan bermula 16 hingga 21 September 2013. Ia mendapat kerjasama pengedar rangkaian produk elektronik dan perkakasan rumah, Midea Scott & English Electronics Sdn. Bhd. (Midea), yang merupakan penaja utama peraduan tersebut.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines