Rabu, 18 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Fizo Anggap Shila Amzah Seperti Adik, Tidak Tumpang Populariti

Posted: 17 Sep 2013 03:38 AM PDT

Fizo Omar
PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar menganggap hubungan baik antara dia dan keluarga penyanyi Shila Amzah sebagai hubungan kekeluargaan dan mereka seperti adik beradik.
Fizo, 28, berkata, penyanyi wanita itu sering meminta pendapat dan pandangan dari kaca mata seorang abang.
"Keluarga saya dan keluarga Shila memang sudah lama rapat dan kami sudah seperti bersaudara, ibu saya sangat rapat dengan ibu Shila.
"Saya juga anggap Shila seperti adik kerana jika dia ada masalah, dia akan minta nasihat saya dan pandangan daripada seorang abang," katanya kepada mStar Online.
Shila Amzah
Tambah Fizo, dia sangat bangga dengan kecekalan wanita itu menempuh ujian dalam percintaannya dan berjaya dalam kerjaya nyanyiannya sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Saya kenal Shila dari zaman remaja, saya bangga dia dapat menghadapi ujian percintaannya yang bagi saya sangat sukar untuk berhadapan dengan cinta terhalang dan tidak direstui.
"Bagaimanapun dia bukan sahaja berjaya bangkit dari masalah itu, malah Allah membalasnya dengan kejayaan lebih besar dalam kerjayanya, jika berlaku pada orang lain mungkin sudah lama berputus asa," katanya.
Sementara itu, Fizo juga menolak tanggapan merapati Shila demi menumpang populariti yang dikecap wanita tersebut.
Jelas Fizo, dia tidak pernah terlintas atau menyimpan perasaan cinta terhadap Shila yang telah dianggap sebagai adiknya itu.

Nad Zainal Tidak Selesa Dilabel Pelawak

Posted: 17 Sep 2013 03:37 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon Nad Zainal tidak berasa selesa jika dilabelkan sebagai pelawak selepas membintangi beberapa drama dan telefilem komedi.
Nad, 23, berkata, dia mahu dikenali sebagai pelakon yang boleh diberi pelbagai watak termasuklah watak-watak berat.
"Saya sebenarnya tidak selesa bawa watak komedi, kalau boleh saya mahu dikenali dengan watak-watak berat tapi apakan daya industri kita kecil dan kita perlu ikut arus itu.
"Kadang kala ada juga rasa takut bila ada yang sudah melabelkan saya sebagai pelawak dan pengarah pula beri saya watak yang lebih kurang sama," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nad, bagi mengelakkan perkara itu juga, dia mengambil peluang terlibat dalam teater Mak Yong yang akan dipentaskan Istana Budaya tidak lama lagi.
"Lepas teater Maduku Kalut, saya akan terlibat dengan teater Mak Yong pula, dengan teater Mak Yong itu saya harap dapat lari daripada watak komedi," katanya.
Tambah Nad, biarpun sebagai pelakon baru dia tidak terlalu cerewet dalam pemilihan watak, namun berharap bakatnya dapat digilap dengan pelbagai watak yang lebih mencabar.

Suami Ubah Liyana Jasmay Jadi Lebih Matang

Posted: 17 Sep 2013 03:36 AM PDT

Liyana Jasmay
PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay mengakui suaminya, Fathuddin Mazlan, 28, banyak mengajar dia menjadi seorang wanita yang lebih matang.
Liyana, 25, berkata, teguran suaminya itu membuatkan dia banyak berubah memandangkan sebelum ini pelakon filem Papadom itu seorang yang tidak boleh ditegur.
"Kalau nak tahu sebelum ini saya rasa nak marah kalau orang tegur saya melakukan sesuatu tetapi tidak pula dengan suami. Dia segera memberitahu perkara yang dirasakannya tidak patut saya lakukan.
"Sebagai contoh, jika saya memuatkan foto di laman sosial yang boleh mengecilkan hati pihak lain, dia segera menegur saya dengan baik. Itu yang membuatkan saya senang menerima teguran dia," katanya.
Tambah Liyana, teguran suaminya juga sekali gus membuatkan dia lebih memahami erti sesebuah perkahwinan yang masih dalam proses memahami antara satu sama lain.
Malah, pergaduhan kecil yang timbul di antara mereka membuatkan ikatan cinta pasangan itu lebih kukuh.
Sementara itu, Liyana bakal muncul menerusi super telefilem berjudul NY Cinta yang disiarkan di saluran Astro First Eksklusif bermula 12 September 2013.
Super telefilem terbitan syarikat produksi Liyana dan kakaknya, Adriana Jasmay iaitu Mermaid Studios itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Juliana Evans dan Tom Ward.
"Ini merupakan produk terbitan Mermaid Studios yang keempat dan saya harap ia menerima respons yang positif daripada penonton.
"Sebenarnya saya pun tidak sangka apabila pihak Astro memberi ruang pada kami menayangkan NY Cinta di Astro First Eksklusif kerana banyak kriteria penting yang perlu ada untuk menayangkan sesebuah karya di saluran berkenaan.
"Ia perlu menyerupai karya berbentuk filem. Kami pun tidak meletakkan sebarang harapan ketika itu," tuturnya.
Selain itu, antara telefilem lain yang pernah diterbitkan Mermaid Studios adalah Tudung Tweet, Cik Paris Masuk Kampung dan Basikal Pixie.

Arja Lee Tetap Menyanyi Walaupun Gagal Di AF 2013

Posted: 17 Sep 2013 03:35 AM PDT

Arja Lee
PETALING JAYA: Kegagalan Arja Lee yang tidak berjaya menjadi pelajar Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) tidak melemahkan semangat pelakon itu untuk meneruskan cita-citanya sebagai penyanyi.
Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, walaupun orang melihat dia sekadar suka-suka ingin mencuba nasib di bidang nyanyian, namun sebaliknya dia benar-benar serius untuk menceburi dunia muzik.
"Dulu saya sering menyanyi di pentas teater dan kerana itu saya mencuba nasib di AF 2013 namun rezeki tidak berpihak pada saya.
"Tidak mengapa, semua itu hanyalah salah satu dugaan yang harus ditempuh. Saya tidak akan berhenti menyanyi kerana ingin berjaya di bidang nyanyian juga," katanya kepada mStar Online.
Tambah Arja, dia juga bersyukur walaupun dirinya bukanlah seorang penyanyi, namun dia sering mendapat undangan nyanyian menerusi beberapa majlis-majlis korporat.
Dan kerana itu, dia juga sedang membuat perancangan untuk menghasilkan single lagu terbaharu tetapi bukan dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Arja memberitahu, sejak menyertai AF 2013 di peringkat awal, peminatnya juga bertambah menerusi laman Instagram, Twitter dan Facebook.
"Alhamdulillah, dengan publisiti yang diraih, peminat saya makin bertambah. Dalam erti kata lain, peminat kini lebih mempercayai saya. Justeru itu saya harus tampil dengan hasil kerja yang terbaik dalam lakonan dan juga nyanyian, Insya-Allah," ujarnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan karier lakonannya, Arja ingin berehat selama beberapa minggu sebelum kembali sibuk di lokasi penggambaran.
Lakonan Arja sebelum ini popular menerusi drama Misiku Kuza yang ditayangkan di Astro Ria dan Ramadhan Yang Hilang di TV3 pada Ramadan lalu.

'Seekers' Gabung Penyiasat Tempatan dan Luar Negara

Posted: 17 Sep 2013 03:35 AM PDT


Robb Demarest, Jackie M, Jufri Rayyan, dan Syai antara pengantara baru Seekers.
PETALING JAYA: Program Seekers musim kesembilan bakal menggunakan kepakaran penyiasat paranormal antarabangsa terkenal iaitu Robb Demarest dari Amerika, selebriti masakan Jackie M dan pelakon Jufri Rayyan Williams.
Penerbitnya, Aeizul Reeza Ismail, berkata, gabungan penyiasat tempatan dan antarabangsa untuk musim ini menarik kerana masing-masing mempunyai perspektif berbeza.
"Seekers musim ini juga dilengkapi dengan pelbagai alat-alat teknologi bagi mendapatkan lebih banyak barang bukti hasil kerjasama bersama Robb Demarest. Antara teknologi yang digunakan adalah mesin mengesan pergerakan, kertas sensitif haba, penjana ion, penjana EMF, pistol haba, cermin mata berkamera dan pelbagai lagi.
"Menerusi teknologi yang kami gunakan nanti, kami berharap pelbagai bukti saintifik dapat kami peroleh dan seterusnya menyangkal dakwaan negatif terhadap rancangan ini," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, para penyiasat Seekers akan ke serata Malaysia seperti Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor bagi membongkar beberapa lagi aktiviti paranormal sepanjang 13 episod disiarkan.
"Kami amat teruja kerana Seekers musim 9 menampilkan personaliti antarabangsa – Robb Demarest & Jackie M – yang sudi bekerjasama dalam menjayakan siri kali ini.
"Saya percaya peminat Seekers akan lebih berpuas hati dengan konsep musim terbaru ini kerana lebih banyak pendekatan saintifik yang akan digunakan.
"Kami juga ingin berterima kasih kepada para penonton kerana banyak memberikan maklum balas yang membina terhadap Seekers yang merupakan antara rancangan yang paling lama ke udara di ntv7," katanya.
Saksikan rancangan Seekers musim ke-9 yang akan menemui para penonton setiap hari Rabu bermula 11 Sepetember, pukul 8.30 malam di ntv7.
Maklumat lanjut, layari www.ntv7.com.my atau ikuti perkembangan terbaru kami di Facebook dan Twitter ntv7.
Seekers musim 9 juga boleh ditonton semula di www.tonton.com.my.

Mahu segera timang anak

Posted: 16 Sep 2013 07:34 PM PDT




TERKENA buatan orang, gosip putus tunang dan ditipu perancang perkahwinan adalah antara cerita panas yang mengisi perjalanan cinta penyanyi Black Hanifah dan pasangannya, Cira atau Naquia Yasirah Mohamad Khairi, 28, sebelum mereka sah bergelar suami isteri pada pukul 12.06 tengah hari Jumaat lalu.
Usai majlis pernikahan selesai dengan sekali lafaz di Zebra Square, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, terpancar kelegaan pada wajah Black kerana akhirnya, wanita berasal dari Pulau Pinang itu menjadi suri hidupnya.
"Alhamdulillah, saya gembira tidak terkata kerana majlis pernikahan berjalan lancar. Sekarang, saya masih menyesuaikan diri dengan panggilan suami dan memanggil Cira dengan panggilan isteri," katanya yang tersasul menyebut perkataan tunang ketika ditemu bual pihak media selepas majlis pernikahan selesai.
Walaupun detik perkenalan mereka cukup singkat, hanya dua bulan sebelum mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin, Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah, 26, yakin dia tidak tersalah pilih.
"Saya memang mencari wanita yang tidak mengenali saya sebagai penyanyi sebaliknya sebagai lelaki biasa. Ketika pertama kali bertemu dengannya, dia langsung tidak tahu saya penyanyi, reaksinya itu yang menambat hati saya.
"Sejak pertemuan yang diaturkan oleh rakan saya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu, saya berusaha menambat hatinya kerana bagi saya sukar untuk bertemu dengan wanita yang tidak kisah tentang glamor dan status saya sebagai penyanyi," ujarnya.
Isterinya yang duduk di sebelah mengakui cerita Black itu kerana ketika Black menyertai program realiti Mentor, dia terbang ke Melbourne, Australia untuk menyambung pelajaran dan menguruskan restoran milik ibu saudaranya di sana.
"Memang saya tidak kenal siapa Black, saya tahu lagu-lagunya tetapi saya tidak sangka dialah penyanyi tersebut.
"Dia seorang yang kelakar, manis, penyayang dan sangat menjaga keluarganya, sebab itu saya tertarik kepadanya dan rasa dia mampu menjaga saya dengan baik," ucapnya sambil tersipu malu.

PASANGAN mempelai cukup berseri-seri ketika melangkah masuk ke dalam dewan persandingan.


Tidak sorok isteri
Meskipun majlis pertunangan mereka berlangsung senyap-senyap dan tidak dihebohkan kepada pihak media, Black menjelaskan dia tidak pernah mahu menyorokkan identiti isterinya itu.
Majlis pertunangan mereka tidak dihebahkan atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak, selain Black bimbang andai perhubungan mereka tidak kekal lama.
"Keluarga minta pertunangan tidak dihebahkan dan saya juga kalau boleh tidak mahu kecoh-kecoh. Kalau tidak jadi kahwin nanti apa orang akan kata, akhirnya saya juga yang malu.
"Saya langsung tidak berniat untuk sorok identiti isteri saya, cuma ketika itu waktunya belum tepat. Saya minta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak. Saya tunaikan janji dengan kongsi berita perkahwinan kerana ketika itu sah kami akan berkahwin," ceritanya.
Cira yang merupakan anak saudara kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, suami aktres Datin Paduka Umie Aida pula memberitahu, dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan identitinya kerana tidak mahu menganggu kerjaya Black.
"Saya bukannya menyorok dan saya juga bukannya selebriti, jadi buat apa saya mendedahkan diri kepada peminat suami dan media.
"Ketika itu memang saya tidak mahu masuk campur langsung dengan urusan kerjayanya. Saya tidak mahu dengan kehadiran saya nanti menyebabkan wujudnya halangan antara dia dengan peminat," balasnya tegas.
Disoal sudah bersedia untuk menghadapi segala dugaan selepas bergelar isteri kepada penyanyi popular, Cira hanya tertawa dan berkata, dia tidak akan berkahwin dengan Black andai dia tidak bersedia.
"Sebelum kami berkahwin pun sudah dengar macam-macam cerita. Selagi kami percaya antara satu sama lain dan saya sokong kerjayanya bagi saya tidak ada masalah," katanya.
Anak
Bercakap tentang perancangan keluarga, terus-terang Black memberitahu dia inginkan sebuah keluarga yang besar kerana mereka berdua lahir daripada keluarga yang kecil.
"Kalau boleh saya inginkan anak segera dan tidak mahu tangguh. Bagi saya anak adalah rezeki daripada Allah. Saya anak bongsu daripada tiga adik-beradik dan Cira anak kedua juga daripada tiga adik-beradik, jika boleh saya mahu anak yang ramai (ketawa)," tuturnya.
Justeru, Black sedar dia harus memantapkan ekonomi keluarga selepas berkahwin.
"Perancangan saya tentang kerjaya pula adalah bekerja dengan lebih keras. Saya akan bekerja seperti biasa selepas majlis perkahwinan ini kerana sekarang sudah ada keluarga sendiri yang ingin ditanggung.

KEPERCAYAAN terhadap satu sama lain menjadi tiang seri dalam mengukuhkan hubungan suami isteri yang baru dibina oleh Black dan Cira.


"Bagaimanapun, saya bukanlah cari duit sebab ingin terlalu kaya. Cukuplah bersederhana, asal cukup makan, pakai itu sudah memadai buat kami," katanya jujur.
Black merancang membawa isterinya berbulan madu sambil menunaikan umrah di Mekah bersama ahli keluarganya awal tahun depan.
"Jika tiada aral melintang kami mahu tunai umrah dahulu sebelum bercuti. Cara itu lebih baik pada pandangan saya," ucapnya mengakhiri bicara.
Penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti itu memberi mas kahwin sebanyak RM80 serta wang hantaran berjumlah RM12,000 kepada pengantin perempuan.
Rombongan pengantin lelaki memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan. Barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju.
Barangan hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, al-Quran, songkok, tali pinggang dan dompet, cincin serta minyak wangi.

Hanez enggan dedah identiti lelaki misteri

Posted: 16 Sep 2013 07:33 PM PDT

HANEZ mengakui mahu serius dalam bercinta dan mencari lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami.


DIAM tak diam ketika Hanez Suraya menegaskan untuk lari seketika daripada terikat dengan komitmen cinta mana-mana lelaki, terkini timbul pula khabar angin menyatakan pelakon itu sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang tidak diketahui identiti.
Gosip itu mula tersebar apabila sebuah portal hiburan memaparkan beberapa keping gambar Hanez bersama jejaka tersebut ketika bercuti di Pulau Tioman baru-baru ini.
Timbul tanda tanya akan pendirian Hanez yang terlalu cepat bertemu cinta baharu selepas putus kasih dengan penyanyi Awi Rafael beberapa bulan lalu.
Kosmo! lantas menghubungi pelakon drama Autum Di Hatiku itu untuk mendapatkan komen lanjut mengenai spekulasi yang timbul.
Kosmo!: Bagaikan tidak menjangka tiba-tiba muncul gosip mengenai Hanez sedang bercinta dengan seorang jejaka misteri. Siapakah lelaki itu dan apa komen Hanez mengenai gosip yang telah tersebar?
HANEZ: Mana ada apa-apa. Dia kawan saya dan saya enggan mendedahkan lebih lanjut identitinya. Dia bukan orang dalam industri dan kami berkenalan melalui kawan. Bukan mahu berahsia tapi akibat keterbukaan saya sebelum ini telah memakan diri sendiri, jadi saya memilih untuk tidak berkongsi atau memperbesar-besarkan perkara ini. Cukup orang tahu kami sedang mengenali hati budi masing-masing.
Kenapa mahu berahsia lagi sedangkan gambar antara Hanez dan jejaka itu telah pun tersebar di internet?
Bukan nak berahsia tapi saya tidak mahu terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi sebab boleh menjejaskan fokus saya. Lagipun, kami baru berkawan tidak sampai sebulan dan saya harap peminat faham. Takut nanti hubungan jadi separuh jalan lagi.
Kalau bukan serius tidak mungkin dapat meluangkan masa bercuti bersama-sama ke Pulau Tioman?
Itu bukan bercuti tapi saya sedang terbabit dengan penggambaran rancangan sukan ekstrem, Cool untuk siaran RTM. Saya bertindak sebagai hos dan dia datang ke sana pada hari terakhir penggambaran. Saya pun terkejut!
MESRA. Hanez kelihatan intim bersama seorang lelaki ketika bercuti di Pulau Tioman baru-baru ini.


Cepat betul Hanez bertemu pengganti Awi Rafael padahal baru beberapa bulan berpisah?
Hati saya masih terluka dan jujur saya akui saya belum bersedia. Tapi apa salahnya kalau dia betul-betul mahukan saya. Saya cuba membuka peluang untuk menerima orang lain dalam hidup saya.
Bagaimanakah persediaan dia untuk menerima Hanez sebagai seorang artis yang pasti kisah cinta kalian akan menjadi perhatian suatu masa nanti?
Saya sudah nasihatkan dia agar bersedia malah saya akui kami tidak sorok hubungan kami. Kami tetap keluar bersama-sama ke mana-mana dan dia tiada masalah. Dia tahu saya seorang selebriti.
Sampai bilakah Hanez akan menyimpan penjelasan ini?
Saya tidak mahu orang fikir saya seorang 'player' (gemar bertukar pasangan), lelaki boleh datang sekali petik jari. Saya bagi peluang untuk dia kenal diri saya dulu tapi saya tidak tahu adakah hubungan kami ke arah yang lebih serius.
Ada sekeping gambar memaparkan Hanez dan lelaki itu berpelukan di tepi pantai dalam keadaan sangat mesra. Jika tidak serius mana mungkin sanggup bergambar sedemikian?
Gambar itu dirakamkan secara kandid (tanpa sedar), saya tidak boleh tutup mulut orang untuk membuat spekulasi bukan-bukan. Apa yang boleh saya cakap, saya kenal dan tahu dia bagaimana.
Tapi sampai bila Hanez mahu menyimpan rahsia hubungan itu?
Apabila saya benar-benar sudah bersedia saya akan berkongsi dengan peminat saya. Lagipun, ini perkara baik tapi hubungan kami masih baru, malah ada yang tidak tahu saya telah putus cinta dengan Awi. Buat masa sekarang, kami sering keluar bersama-sama dan doakan yang terbaik untuk kami. Saya tidak mahu main-main lagi dalam perhubungan dan saya mencari lelaki untuk menjadi suami saya.
Apakah kriteria yang dia ada sehingga membuatkan Hanez mahu meneruskan hubungan bersamanya?
Kami kenal tiba-tiba dan dia tidak berputus asa untuk terus mencuba mengenali saya. Saya pernah menetapkan pendirian untuk tidak mahu mengenali mana-mana lelaki dalam masa terdekat dan karakter saya pun bertukar kasar. Saya takut juga apabila terlalu baik dia rasa ada peluang. Tapi jujur saya katakan dia seorang lelaki romantik!

Muzik rock masuk DFP

Posted: 16 Sep 2013 07:32 PM PDT

ELLA pasti akan menggegarkan konsert MPO Rocks.


MEWAKILI legasi rock tanah air, Ella, Mus May dan Man Kidal bakal berpadu tenaga untuk sebuah konsert sulung MPO Rocks di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur sempena Festival Seni DFP pada 21 September depan.
Pemilihan ketiga-tiga otai rock Malaysia itu dibuat berdasarkan pengalaman, pencapaian dan warna muzik yang dipersembahkan sepanjang pembabitan dalam dunia seni.
Lebih menarik, konsert itu bakal dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose dan Datuk Ramli MS bertindak sebagai pengarah artistik.
Kata Muriz, beberapa lagu popular Ella dan Mus digubah semula dan disusun bersama 75 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk memberikan kelainan daripada konsert-konsert rock sebelum ini.
"Kita tidak akan mengulangi konsert-konsert rock sebelum ini dan pemilihan dibuat berdasarkan faktor luar biasa yang dilihat sepanjang karier mereka.
"Ella, Mus dan Man Kidal mewakili putera, puteri dan pemuzik generasi rock," ujarnya pada sidang akhbar MPO Rocks di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-baru ini.
Etika
Ketiga-tiga legenda rock tanah air itu bakal menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu malar segar mereka. Antaranya Standing In The Eyes Of The World, Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Pelayaran, Hakikat Perjuangan, Sinar, Sentuhan Kidal dan sebuah lagu cover Srikandi Cintaku.
Sepanjang proses perbincangan sejak awal tahun ini, pemilihan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan telah dipersetujui oleh ketiga-tiga pihak iaitu DFP, pengarah muzik dan artis.
Tambah Muriz, dia berdepan cabaran besar untuk memilih beberapa lagu terbaik daripada koleksi diskografi Ella, Mus dan Man Kidal memandangkan ketiga-tiga artis itu memiliki terlalu banyak lagu hits.
Sementara itu, kata Ramli MS, pihaknya telah berbincang bersama DFP untuk memberikan kelonggaran kepada penonton yang akan hadir ke konsert MPO Rocks pada hari Sabtu depan.
DARI kiri: Man Kidal, Ramli MS dan Mus May bakal menyuntik aura masing-masing untuk konsert MPO Rocks yang julung-julung kali diadakan di DFP, Kuala Lumpur.


"Seperti mana kita tahu DFP sangat mementingkan etika pemakaian tapi kami telah mengutarakan kepada pihak DFP agar melonggarkan syarat berpakaian nanti.
"Sudah pasti penonton yang datang mahu meraikan muzik rock yang pertama kali bakal bergema di dewan berprestij ini tapi penonton juga harus mematuhi etika asas di dalam DFP serta tidak memakai pakaian selekeh," tambahnya.
Gementar
Vokalis kumpulan terkenal May iaitu Mus menyandarkan harapan tinggi untuk menjayakan konsert pertamanya di DFP. Kata Mus, persiapan stamina dan mental telah mula dibikin demi memastikan kelancaran persembahannya nanti.
"Walaupun saya sudah biasa membuat persembahan atau konsert, kali ini suasananya amat berbeza. Sukar untuk seorang artis rock mendapat peluang beraksi di pentas DFP jadi persiapan saya lebih daripada kebiasaan.
"Walaupun saya akan menyanyikan beberapa buah lagu rakaman semula, saya mesti memberikan persembahan terbaik untuk konsert itu," ujarnya yang telah dimaklumkan tiga bulan lalu.
Berkongsi perasaan gemuruh, Man Kidal berkata, dia akan beraksi bersama-sama Ella dan Mus.
Namun Man Kidal juga akan diberikan slot solo untuk menampilkan bakat petikan gitarnya.
"Persembahan di DFP ini sudah pasti sangat istimewa dan untuk konsert kali ini, saya akan mengiringi kedua-dua penyanyi itu selain mungkin nanti akan ada segmen solo untuk saya," katanya.
Tiket berharga RM150 hingga RM300 boleh didapati di kaunter Box Office DFP atau hubungi 03-2051 7007. Maklumat lanjut di laman sesawang www.mpo.com.my.

Konsert pertama Akademi Fantasia 2013 bercelaru

Posted: 16 Sep 2013 07:31 PM PDT



Nombor satu. Persembahan duo, Azhael meraih undian terbanyak daripada penonton.


PENYINGKIRAN pertama peserta dari Singapura, Sani pada konsert pertama Akademi Fantasia 2013 malam Sabtu lalu memang di luar jangka.
Ini memandangkan peratusan undian penonton selepas konsert prelude tidak meletakkan peserta itu di tangga tercorot.
Sebaliknya, telahan ramai bahawa peserta yang diundi masuk secara wildcard ketika konsert prelude di Kuantan, Pahang dua minggu lalu, Amira akan tersingkir meleset sama sekali.
Pada konsert pertama Akademi Fantasia 2013 yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya itu, Amira dengan gaya bersahaja menyampaikan lagu Ratuku (nyanyian asal Awie) dalam gubahan muzik baharu ala marching.
Memetik komen juri tetap Edry Abd. Halim selepas melihat persembahan peserta dari Johor itu sebagai aksi yang kurang penghayatan dan tidak mencapai standard vokal yang dikehendaki, kedudukan Amira pada waktu itu sudah di ambang penyingkiran.
"Persembahan Amira mendatar dan jauh daripada penyanyi asal. Dia kurang mendalami makna lagu itu, penyampaian vokal di tahap biasa serta telah ditenggelami oleh muzik yang gah," katanya.
Begitupun, Sani terpaksa akur apabila menjadi peserta yang mendapat jumlah undi paling rendah dalam konsert pertama minggu lalu dengan cuma dua peratus.
"Saya bersyukur dapat sampai ke peringkat 12 peserta terbaik tahun ini dan pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang. Banyak yang telah saya pelajari sepanjang berada di Akademi Fantasia 2013," tutur Sani yang akan meneruskan perjuangan dalam dunia seni suara selepas ini.

TIGA juri tetap Akademi Fantasia 2013 (dari kiri) Amani, Edry dan Roslan.


Salah pilih lagu
Pada konsert minggu pertama, peserta diberikan peluang untuk memilih sendiri lagu yang akan dinyanyikan daripada senarai 12 buah lagu berdasarkan tema Meraikan 15 Ikon Malaysia.
Amira, Nabila, Sani dan Suhada antara peserta yang mendapat kritikan negatif daripada juri-juri tetap Edry, Sharifah Amani dan Roslan Aziz berdasarkan persembahan minggu lalu.
Melihatkan perubahan susunan lagu yang berbeza dan lebih terarah kepada cita rasa Inspirer yang terbabit pada minggu tersebut iaitu Faizal Tahir, tidak mustahil kesalahan itu diletakkan atas kesesuaian vokal peserta dan pemilihan lagu.
Ada antara peserta gagal memilih lagu yang 'masuk' dengan suara masing-masing termasuk Nabila yang terlebih dulu memberikan persembahan menarik menerusi vokal dalam lagu Mercy pada konsert prelude.
Sama ada perubahan susunan muzik yang terlalu ekstrem yang sukar untuk 'ditelan' oleh peserta-peserta yang masih baharu dalam arena ini atau mungkin kesalahan besar pemilihan lagu oleh peserta itu sendiri.
Sekali lagi pasangan duo, Azhael (Aja & Hael) mendahului kesebelas peserta lain menerusi pungutan akhir mata undian penonton menerusi konsert pertama minggu lalu iaitu sebanyak 26 peratus.
Kedudukan itu sekali gus mengiakan komen daripada Sharifah Amani pada minggu itu bahawa rupa mampu membeli undi daripada peminat.
Pujian harus diberikan kepada peserta-peserta yang telah mempersembahkan berkualiti dengan nyanyian yang membanggakan antaranya Aishah (menyanyikan lagu Coba), Indah (Ku Akui), Nona (Tiada Kepastian) dan Iman (Kejoraku Bersatu).

PERSEMBAHAN lagu tema, Menuju Puncak oleh para peserta Akademi Fantasia 2013 tidak sistematik.


Gaya & koreografi
Seperkara yang menjejaskan tumpuan penonton menerusi konsert pertama minggu lalu adalah pemilihan pakaian peserta yang kurang kemas dan tidak bergaya.
Seperti kritikan yang diberikan oleh Roslan Aziz mengenai gaya Iman ketika menyampaikan lagu Kejoraku Bersatu: "Saya tidak suka penampilan awak walaupun pada keseluruhannya anda menyanyi dengan baik."
Begitu juga persembahan lagu tema, Menuju Puncak yang menjadi tradisi setiap musim sebelum proses penyingkiran peserta.
Kali ini koreografi dilihat tidak sistematik, bercelaru dan kurang lancar berbanding musim-musim lain. Peserta nampak kaku dan pergerakan sedikit terbatas.
Mungkin faktor rekaan pentas yang membataskan pergerakan peserta untuk bergerak. Bagaimanapun, penonton masih menantikan langkah-langkah tari yang lebih mengujakan berbanding statik atau ulang gerak.
Sukar untuk penonton atau pengkritik menilai dan membuat hipotesis awal daripada konsert sulung Akademi Fantasia musim ini.
Berikan peluang untuk peserta dan produksi berkembang!

Parineeta mengaku gemuk

Posted: 16 Sep 2013 07:30 PM PDT



PARINEETA CHOPRA belum terfikir untuk memakai bikini di layar perak.


JIKA aktres lain di Bollywood berlumba-lumba mahu muncul dengan memakai bikini di layar perak, namun tidak bagi pelakon muda, Parineeta Chopra.
Katanya kepada IANS, dia tidak sesuai memakai bikini kerana tubuhnya gemuk.
"Jika saya mempunyai bentuk tubuh yang hebat, saya pasti akan memakai bikini di layar perak. Tapi sekarang ini, tubuh saya tidak sesuai untuk memakai bikini. Saya masih gemuk, jadi mana mungkin saya akan memakai bikini di layar perak," tegasnya yang kini muncul dengan filem, Shuddh Desi Romance.

Padah menyamar polis

Posted: 16 Sep 2013 07:23 PM PDT


DUA lelaki disyaki menyamar polis diberkas awal pagi semalam bagi membantu siasatan kes samun dan rogol pelajar kolej di Rawang kelmarin.


GOMBAK - Keseronokan dua penyangak yang menyamar polis untuk menyamun dan merogol seorang pelajar kolej swasta tidak berpanjangan apabila mereka diberkas ketika beristirahat di rumah masing-masing di Taman Kenanga, Rawang dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 6 petang itu berlaku apabila mangsa dan rakan lelakinya menyewa sebuah bilik di sebuah hotel bajet di sekitar Rawang sebelum 'diserbu' oleh dua suspek berusia 25 dan 37 tahun. Salah seorang suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Seorang suspek kemudian membawa rakan lelaki mangsa keluar dari bilik sebelum mengugut untuk membawa rakan wanitanya ke balai polis atas kesalahan maksiat.

Dua lelaki aktif laku peras ugut diburu

Posted: 16 Sep 2013 07:22 PM PDT




KOTA BHARU - Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tetak dan simbah asid yang berlaku di Kampung Padang Purut, Beta Hulu, Nilam Puri di sini pada 13 Februari 2012 terus diburu selepas mereka dipercayai terus aktif dalam kegiatan jenayah.
Dua lelaki tersebut ialah Mohd. Norfino Omar, 30, dan Mohd. Al Badawi Ab. Kadi, 26.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, Mohd. Norfino dan Mohd. Al Badawi sudah menjadi buruan sejak tahun 2012 tetapi sehingga sekarang mereka masih bebas.

Duit syiling peringatan sempena Hari Malaysia ke-50

Posted: 16 Sep 2013 07:20 PM PDT



INILAH duit syiling peringatan sempena ulang tahun penubuhan Malaysia ke-50 yang dikeluarkan Bank Negara.



KUALA LUMPUR - Orang ramai kini boleh mendapatkan duit syiling peringatan sempena ulang tahun penubuhan Malaysia ke-50 keluaran Bank Negara Malaysia (Bank Negara) bermula hari ini.
Menurut kenyataan Bank Negara, terdapat tiga jenis duit syiling yang dikeluarkan iaitu duit syiling peringatan emas, duit syiling perak berwarna dan duit syiling emas nordic.
Jelasnya, duit syiling peringatan emas diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram dengan nilai mukanya ialah RM100.
"Ia dijual pada harga RM1,800 sekeping dan sebanyak 750 keping telah ditempa," kata kenyataan itu di sini semalam.
Bagi duit syiling peringatan perak berwarna pula, ia merupakan duit syiling berwarna pertama yang dikeluarkan Bank Negara dengan Jalur Gemilang terpapar di bahagian hadapannya.

300,000 isi rumah diminta berpindah

Posted: 16 Sep 2013 06:25 PM PDT


SEBUAH kawasan penduduk di Fukuchiyama, dalam wilayah Kyoto dilanda banjir akibat Taufan Man-yi semalam.- AP


TOKYO - Taufan Man-yi membadai bahagian tengah Jepun semalam dengan hampir 300,000 isi rumah telah diminta untuk berpindah.
Pihak berkuasa juga bimbang ribut berkenaan akan melanda loji nuklear Fukushima yang lumpuh.
Taufan itu melanda daratan di bandar Toyohashi, dalam wilayah Aichi menjelang pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam.
Agensi Meteorologi Jepun menyatakan, Man-yi membawa angin selaju 162 kilometer sejam (km/j).
Badan penyiaran awam, NHK melaporkan empat orang hilang dalam tanah runtuh atau banjir dan lebih 65 orang cedera manakala 860 buah rumah pula ditenggelami air.
Susulan ketibaan Man-yi, agensi berkenaan mengeluarkan amaran hujan lebat di Kyoto dan beberapa wilayah lain di sekitarnya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa di Kyoto meminta lebih 291,000 isi rumah supaya berpindah.
Di wilayah Saitama, utara bandar raya ini, angin kencang menerbangkan bumbung rumah dan menterbalikkan kereta.
Taufan itu dijangka menuju ke timur laut pada tengah hari dengan membawa hujan lebat di kawasan loji nuklear yang lumpuh di Fukushima.
Pihak berkuasa bimbang hujan lebat itu akan mengalirkan lebih banyak air tercemar ke dalam laut.
"Kami berjaga-jaga tentang impak Taufan Man-yi ke atas loji nuklear ini," kata jurucakap Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), Shogo Fukuda.
"Setakat ini, tiada masalah besar berlaku di loji ini," tambahnya.
Menurut Fukuda, sekitar 300 tan metrik air dalam tanah yang dicemari radio aktif dari loji nuklear itu mengalir ke laut setiap hari.
Dalam perkembangan berkaitan, NHK melaporkan kira-kira 500 penerbangan domestik terpaksa dibatalkan semalam akibat Man-yi.

Muzium Rancho Obi-Wan simpan koleksi Star Wars terbesar dunia

Posted: 16 Sep 2013 06:24 PM PDT



MUZIUM ini telah dibina di atas tapak ladang ayam dan menempatkan kira-kira 330,000 koleksi Star Wars milik Sansweet.- Agensi


PETALUMA, California - Seorang peminat fanatik Star Wars di California telah mengumpul sebanyak 330,000 unit memorabilia di dalam sebuah muzium yang dibina sendiri, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Peminat itu, Steve Sansweet, menjadikan tapak ladang ternakan ayam miliknya seluas 836 meter persegi kepada sebuah muzium yang menempatkan semua koleksi memorabilia Star Wars dan dinamakan Rancho Obi-Wan.
Sansweet yang merupakan seorang Pengarah Pengurusan Kandungan dan Ketua Perhubungan Peminat di syarikat Lucasfilm itu telah diiktiraf Guinness World Records atas pembinaan muzium tersebut.
Rancho Obi-Wan diiktiraf sebagai muzium yang menempatkan koleksi terbesar memorabilia Star Wars di dunia.
"Saya mula berminat dengan Star Wars kerana sukakan kisah sains fiksyennya yang lebih hidup.
"Saya baca semua novel klasik sains fiksyen, lihat semua rancangan televisyen dan filem sains yang masih kekurangan unsur sains di dalamnya. Kemudian muncul Star Wars dan saya terus meminatinya sejak dari mula," kata Sansweet.
Koleksinya melibatkan sebuah bilik arked pinball, model lego patung Darth Vader, R2D2 dan Boba Fett. Selain itu, dia juga memiliki satu batalion askar droid dan sebuah band patung cantina.

Budak perempuan 13 tahun jadi pelajar ijazah sarjana

Posted: 16 Sep 2013 05:36 PM PDT



TEJ BAHADUR VERMA membawa Sushma Verma pulang dari pusat pengajiannya di Lucknow, India semalam.



LUCKNOW - Seorang budak perempuan memecahkan benteng norma pendidikan di India apabila dia memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana pada usia 13 tahun.
Budak perempuan berkenaan, Sushma Verma mengambil jurusan mikrobiologi.
Sushma berkata, dia menamatkan pengajian sekolah menengah pada usia tujuh tahun dan memperoleh ijazah sarjana muda ketika berumur 13 tahun.
"Kejayaan tersebut adalah hasil titik peluh dan pengorbanan ibu bapa saya," katanya.
Ibu bapa Sushma tidak berpelajaran tinggi. Mereka tinggal bersama tiga adik Suhsma di sebuah bilik kecil di ibu negeri Uttar Pradesh di sini.
Bapa kanak-kanak pintar itu, Tej Bahadur Verma, 50, bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan 200 rupee (RM10) sehari.
Lelaki tersebut menjual tanah miliknya seluas 930 meter persegi untuk membayar yuran pengajian Sushma. Baki pembiayaan pengajian tersebut diperoleh daripada derma orang ramai.

Sajian tradisi merentasi budaya

Posted: 16 Sep 2013 05:34 PM PDT




KELINCAHAN Suhaiza Mohd. Hussaini, 43, memasukkan segala ramuan tanpa mengikut sukatan jelas mempamerkan dirinya yang cukup meminati seni masakan.
Mesra membahasakan dirinya sebagai Su, dia menyatakan mula minat memasak pada usia 10 tahun dan lebih gemar menghabiskan masa di dapur mengasah kemahirannya dalam menyediakan masakan Melayu.
Selepas mendirikan rumah tangga bersama lelaki berketurunan Cina, Mohamad Hadi Lim Abdullah, 53, pada tahun 1991, kemahiran Su semakin bertambah dengan mempelajari masakan kaum Cina, termasuk kuih bulan.
"Pada mulanya, saya tidak tahu suami suka kuih bulan dan memakannya untuk sarapan. Namun, selepas dia mengadu bosan kerana dihidangkan dengan hidangan sarapan pagi yang sama setiap hari, saya mengambil inisiatif untuk mempelajari cara-cara membuat kuih itu," katanya.
Bertitik tolak dari situ, wanita tersebut sanggup mengikuti kursus penyediaan kuih bulan bersama dua orang chef berketurunan Cina di Puchong dan Petaling Jaya. Kelas-kelas yang dihadiri itu hanya berlangsung selama satu hari dan diajar menerusi demonstrasi chef sahaja.
"Cara-cara membuat kuih ini sukar kerana peserta tidak diberi peluang menyediakannya ketika di kelas. Jadi apabila mencuba resipi yang dipelajari di rumah, hasilnya tidak menjadi," kata Su ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Balakong, Selangor baru-baru ini.
Kuih bulan merupakan kuih tradisi Cina yang dinikmati pada Festival Kuih Bulan yang jatuh pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar lunar Cina. Berdasarkan mitos dan legenda zaman purba, komuniti Cina menyambut festival ini sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai. Kuih-kuih bulan akan disediakan kepada kenalan atau pada majlis-majlis himpunan keluarga sebagai simbol tanda kasih sayang dan harapan kehidupan yang harmoni.
Penyediaan rumit
Kuih bulan yang berbentuk bulat mempunyai ukuran diameter kira-kira 10 sentimeter dengan ketebalan di antara empat sehingga lima sentimeter. Kebanyakan kuih bulan terdiri daripada lapisan kulit nipis yang dibakar dengan inti pelbagai perasa seperti pes kacang hijau, biji bunga teratai, kurma merah dan kuning telur masin.
SUHAIZA mengkomersialkan kuih bulan kerana melihat potensi pasaran.


Namun, pada hari ini turut disediakan versi kuih bulan yang tidak dibakar atau dipanggil berkulit salju dan pelbagai inovasi perasa bagi memikat cita rasa pelanggan.
Ibu kepada enam orang anak itu memberitahu, sungguhpun tidak dapat membuat sendiri kuih bulan di kelas, beliau menganggap ia sebagai satu cabaran yang perlu diatasi dengan berlatih sendiri di rumah.
"Ada kala ia menjadi keras dan sebaliknya. Hakikatnya, untuk mendapatkan hasil yang sempurna bukanlah mudah. Ia perlu dilakukan berkali-kali supaya berhasil.
"Hampir setahun mencuba, Alhamdulillah, kini saya boleh membuat kuih bulan yang saya percaya setanding dengan yang dihasilkan orang Cina," katanya sambil tersenyum.
Ditanya mengenai cara-cara menyediakan 10 biji kuih bulan berintikan kacang merah, Su berkata, dia menggunakan satu kilogram kacang merah, minyak dan gula.
Pada mulanya, kacang merah tersebut akan direbus sehingga menjadi lembut dan kemudian dikisar.
"Kacang merah yang telah dikisar itu akan dimasukkan bersama minyak untuk dimasak di atas api sederhana selama tiga jam bagi mendapatkan inti yang lembut. Jika terlalu lama ia akan menjadi keras," jelasnya.
Inti yang telah dimasak kemudiannya disejukkan pada suhu bilik dan bersedia untuk proses pembentukan kuih bulan.
Kulit kuih bulan disediakan melalui adunan tepung gandum, sirap kencana, minyak kacang, soda bikarbonat dan tepung kek.
"Inti tersebut akan disalutkan dengan doh lalu ditekap dengan menggunakan acuan bagi mendapatkan bentuk sempurna.
"Sebaik selesai, kesemua kuih bulan itu akan dimasukkan ke dalam ketuhar selama 15 minit pada suhu 180 darjah Celsius," ujarnya sambil memberitahu, sebaik masak ia akan disapukan dengan kuning telur lalu dibakar semula sehingga 10 minit agar kuih bulan kelihatan kilat kekuningan.
Melihat proses penyediaan yang rumit dan mengambil masa yang lama, tidak hairanlah mengapa kuih tradisi itu boleh dijual sehingga mencecah RM30 sebiji.
Menyedari tidak ramai masyarakat Melayu menjual kuih bulan, Su memutuskan untuk mengkomersialkan kuih berkenaan kepada orang ramai terutamanya umat Islam.
"Jarang sekali orang Melayu mahu menyediakan kuih bulan apatah lagi ia merupakan makanan tradisi masyarakat Cina. Jadi, tanpa berfikir panjang, saya cuba menjual kuih itu secara kecil-kecilan melalui laman sosial Facebook, Annis Suhaiza.
"Sejak tiga tahun mengusahakan perniagaan ini, sambutan yang diterima amat memberangsangkan," jelasnya.
Pada kebiasaan, dia menjual dua sehingga empat biji kuih bulan pada harga RM18 dan RM35 sebiji, bergantung kepada jenis inti yang dikehendaki pelanggan.
Ilmu yang dimiliki Su turut dikongsi melalui penyediaan kelas membuat kuih bulan, agar-agar dan kek di rumahnya dengan bayaran RM350 seorang.

SYARIKAT-syarikat besar seperti Leong Yin Pastry menghasilkan sehingga 15,000 biji kuih bulan setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.


Sedap
Bagi Wardah Hani Rosli, 24, dia mula merasai keenakan kuih bulan sejak awal tahun ini, khususnya apabila pelbagai jenama di pasaran telah mendapat status halal.
"Saya lebih suka inti biji teratai dengan telur masin berbanding inti-inti lain. Kelazatannya berbeza memandangkan ia bersifat lembap dengan rasa manis dan masin yang menyebabkan kita tidak jemu menikmati kuih itu," ujarnya yang sering memperoleh kuih bulan di pasar raya utama.
Begitupun, lain pula bagi kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Azura. Dia lebih gemar membeli kuih bulan buatan pengusaha Muslim kerana khuatir terbeli yang tidak halal di pasaran.
"Saya yakin pengusaha beragama Islam akan menggunakan ramuan yang diterima syarak," jelasnya.
Tambah anak jati Negeri Sembilan itu, menikmati kuih bulan halal yang dijual pada harga berpatutan bukan mudah didapati lebih-lebih lagi di luar Lembah Klang.
Sehubungan itu, dia berharap lebih ramai pengusaha Islam di luar Lembah Klang tampil menjual kuih bulan memandangkan ramai masyarakat Muslim yang mahu mencuba hidangan tersebut jika statusnya halal.
Bagi Tai Kim, 35, yang juga merupakan pelanggan Su, dia tidak menyangka jirannya itu mempunyai kemahiran menyediakan kuih bulan.
"Rasa kuih bulan yang dihasilkan Su sama seperti yang disediakan masyarakat Cina. Tidak ramai orang Melayu yang mampu melakukan perkara ini," katanya yang mendapat tahu mengenai kebolehan Su daripada jiran-jiran yang lain.

Elit China belajar etika kelas atasan

Posted: 16 Sep 2013 05:33 PM PDT


SARAH menunjukkan cara menuang teh dengan cara yang betul.


BAGAIMANAKAH mengupas kulit oren dengan betul, memegang garpu tiram dan menyebut nama-nama jenama mewah?
Golongan kaya di China sanggup membayar sejumlah wang yang banyak untuk mempelajari pelbagai kemahiran sesuai dengan gaya hidup mereka yang mewah.
Yuran kursus selama dua minggu di Institut Sarita di Beijing, China yang baru sahaja dibuka itu adalah sebanyak 100,000 yuan (RM53,558.34).
Namun, jumlah yang tinggi itu tidak membantutkan hasrat berdozen-dozen pelajar dari seluruh negara untuk mengikuti etika kelas atasan.
Pengasasnya, Sarah Jane Ho memberitahu, beberapa dekad kebelakangan ini ramai dalam kalangan wanita kaya yang berusia dalam lingkungan umur 40-an menyertai kelas tersebut.
Menurutnya, ibu bapa mereka terselamat daripada trauma kesusahan di bawah pemimpin mendiang Mao Zedong, sementara anak-anak mereka menikmati kehidupan yang terdedah dengan konsep Barat dan terperangkap dalam kejutan budaya yang berpanjangan.
"Kini, orang kaya baharu di China mengambil alih semua peranan isteri, ibu, anak perempuan, ahli perniagaan dalam dunia yang berubah secara mendadak.
"Apa yang pelanggan saya mahu ialah satu panduan iaitu Confucius Baharu. Apa yang mereka perlukan ialah rujukan dan itulah yang saya berikan," katanya.
Bagi kebanyakan peserta, harga yuran yang mahal untuk memperoleh ilmu tersebut bukan masalah nesar kepada mereka. Bahkan, menurut Sarah, para pelajarnya boleh menghabiskan wang tiga kali ganda berbanding harga yuran tersebut semata-mata mahu mendapatkan bulu haiwan atau barang kemas yang diperkenalkan di dalam kelas.
Selain belajar etika penampilan diri, mereka perlu membiasakan diri dengan wain, sukan elit seperti golf dan menunggang kuda, cara penyediaan teh Inggeris, seni menggubah bunga dan menghias meja.
Kata Sarah, seorang pelajar yang menjalani ujian menjadi tuan rumah telah melakukan kesilapan apabila dia meletakkan pisau menghadap ke luar dan bukannya ke dalam.
Mereka juga belajar cara-cara membantu suami dan etika berbual bersama rakan-rakan perniagaan lelaki dengan topik perbualan yang boleh diterima. Mereka tidak boleh melontarkan soalan seperti, "Berapa banyak pendapatan anda?" atau "Mengapa anda menceraikan isteri?". Begitu juga dengan jarak ketika berdiri seseorang dengan individu lain.
"Jarak peribadi merupakan sesuatu yang baharu di China," kata Sarah yang memberitahu pelajarnya supaya sentiasa meletakkan siku rapat ke badan.
Institut tersebut yang menjadi tuan rumah kepada pelajar di hotel mewah dibuka secara rasmi sejak bulan Mac lalu. Ia diwujudkan khusus untuk wanita muda daripada keluarga yang disegani di Barat mempelajari kursus penampilan diri di sekolah-sekolah tradisional tetapi sebahagian besarnya sudah tiada.

PARA pelajar diajar cara menyediakan meja makan mengikut etika susunan yang ditetapkan.


Sarah, graduan Harvard yang boleh bertutur dalam lima bahasa pernah mengikuti kursus di Institut Villa Pierrefeu, Montreux, Switzerland yang juga dikenali sebagai sekolah keterampilan Swiss terakhir.
Ramai pelajarnya mengambil keputusan untuk mengikuti kelas etika selepas mendapati mereka berasa kekok ketika berada di majlis mewah lebih-lebih lagi yang menghidangkan makanan Barat.
"Mereka tidak berani untuk menjamu selera kerana takut dipersendakan khususnya apabila dihidangkan menu siput escargot yang merupakan siput babi," kata ketua chef institut tersebut yang direkrut daripada Kedutaan Perancis.
Jocelyn Wang, 24, menjelaskan mempelajari selok-belok protokol gaya makan Barat adalah antara pelajaran yang paling berharga bagi dirinya selama menjalani kursus 10 hari di Institut Sarita.
"Cara seseorang makan, memegang pisau dan garpu melambangkan tingkah laku mereka. Topik ini tidak diajar secara meluas di China.
"Ibu bapa saya mungkin telah belajar melalui pengalaman atau daripada televisyen mahupun internet," ujarnya yang mahu mempelajarinya dengan lebih mendalam.
Pada sesi 9 hingga 6, dia menggunakan pembaris untuk mengukur kedudukan yang tepat bagi garpu dan pisau. Dia juga melawat galeri-galeri seni dan mengambil nota untuk digunakan di dalam kelas.
Di sebalik arahan terperinci yang perlu diikutinya, dia mendapati ada nilai-nilai lain yang tiada dalam sesi pembelajaran boleh diterapkan dalam kehidupan iaitu sikap tenang, rasa dan keyakinan.
Jocelyn yang membuat kajian tentang globalisasi untuk ijazah sarjananya di London memberitahu, terdapat perbezaan antara bangsawan dan orang kaya baharu.
"Kita memiliki kehidupan yang benar-benar baik, sekurang-kurangnya material. Jadi, takkan kita mahu bersikap kasar dan kekampungan," katanya.
Ahli Sosiologi dari Harvard, Martin Whyte berkata, minat orang China dalam etika ini sudah dijangkakan kerana mereka sedang menikmati kekayaan yang diperoleh, namun tetapi masih ada kekurangan iaitu tradisi bangsawan.
"Sebagai orang kaya baharu, keadaan itu mendedahkan mereka kepada kritikan.
"Mereka merasakan ada keperluan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bukan sahaja mata duitan, tetapi turut mempunyai kehalusan budaya dan kesopanan agar dilihat sebagai orang kaya yang dihormati dan bukannya dibenci," ujarnya sambil menyamakan orang kaya di China hari ini seperti rakyat Amerika pada abad ke-19.

Tempias populariti di luar padang

Posted: 16 Sep 2013 05:30 PM PDT



IBU lelaki itu pernah berkata: "Rugilah tolak tawaran fotografi. Kalau selalu keluar majalah, nanti popular." Kenyataan seloroh itu diungkapkan ibu kepada seorang pemain bola sepak Selangor yang sedang meningkat naik, Muhammad Afiq Azmi.
"Ibu saya memang suka kalau anak dia masuk majalah," loghat utara jelas kedengaran dalam butir kata Afiq yang berasal dari Kangar, Perlis.
Daripada raut wajah Afiq, tergambar kesenangannya yang memilih untuk hidup sederhana, bebas daripada tempias populariti seperti yang dikecapi bintang-bintang bola sepak tempatan lain.
Tidak dinafikan, dengan rupa paras yang dimiliki lelaki berumur 24 tahun itu, bila-bila masa dia mampu menghiasi muka depan majalah hiburan atau fesyen serta menjadi buruan pereka tempatan.
Tubuh tinggi lampai mencecah 185 sentimeter juga sudah melayakkan Afiq untuk bergelar model pentas peragaan. Namun keengganan anak sulung daripada lima adik-beradik itu menjerumuskan diri dalam cabang glamor, membuatkan dia selesa melalui kehidupan normalnya kini.
"Populariti boleh memudaratkan diri jika kita tidak bijak membahagikan masa. Setakat ini saya tidak pernah menerima tawaran berlakon tetapi undangan sesi fotografi agak banyak. Semuanya saya tolak kerana saya ini pemalu orangnya," jujur Afiq yang berhajat menamatkan zaman bujang kira-kira dua tahun lagi.
Mula menjinakkan diri dalam arena bola sepak usai sekolah menengah, beliau menyertai Liga Perlis bersama Kelab Sentua FC selama setahun. Sejurus kelabnya menjuarai liga negeri itu, jurulatih Perlis bagi kumpulan bawah 21 tahun membawa nya masuk ke dalam skuad negeri.
Bakat semula jadi Afiq dalam sukan itu kemudiannya menarik perhatian pasukan Kuala Lumpur dan dia bernaung di bawah pasukan itu selama dua tahun. Barangkali peminjaman beliau ke pasukan Kelantan selama tiga bulan bagi kempen Piala Malaysia pada tahun lalu telah meledakkan namanya secara komersial.
"Saya menyumbangkan empat gol ketika bersama Kelantan dan selepas itu saya berhijrah ke pasukan Selangor sehingga sekarang," kongsi Afiq yang bertindak sebagai penyerang.
PELEMBAP wajah menjadi teman rapat Bunyamin yang diaplikasikan sebelum tidur.


Tutup aurat
Tidak banyak beza daripada rakan sepasukannya, Mohd. Bunyamin Umar juga menanam pandangan peribadi yang sama terhadap konsep populariti atlet. Baginya, dia tidak pernah berasa popular dan merasakan dirinya sama seperti orang lain apabila di luar padang.
Malah sejak kecil, anak kedua daripada lapan adik-beradik yang kini berumur 25 tahun itu mengimpikan kerjaya sebagai pemain bola sepak. Cukup bagi dirinya menjejaki kepuasan yang diidamkan selama ini tanpa perlu bonus daripada dunia glamor yang banyak ranjaunya.
Bagaimanapun, sebelum bergelar pemain bola sepak, Bunyamin pernah berdepan tentangan daripada keluarganya. Singkap lelaki dari Sik, Kedah itu, aurat menjadi isu dalam kalangan ahli keluarganya dan memahami hukum tersebut, Bunyamin memakai seluar ketat (tight) agar ia benar-benar menutup aurat lelaki yang bermula dari atas pusat sehingga bawah lutut.
"Alhamdulillah sekarang mereka merestui kerjaya tetap saya ini dan saya bercadang untuk terus aktif bermain sehingga umur 35," rancang Bunyamin yang ingin terjun ke dalam bidang kejurulatihan selepas usia tersebut.
Bakat bola sepak Bunyamin bermula sedikit awal berbanding Afiq. Mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur, kerjaya profesional Bunyamin bermula bersama pasukan Kedah pada tahun 2008.
"Selepas tamat pengajian peringkat matrikulasi di SSBJ selama dua tahun, saya menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia dalam Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia untuk tiga tahun.
"Dalam tempoh pengajian, saya menyertai pasukan UPB-MyTeam dan setelah ia ditutup, saya dipanggil Selangor pada tahun 2010 sehinggalah sekarang," jelas Bunyamin yang mempunyai sebuah restoran di Cyberjaya bernama Umar Yusoff yang diusahakan bersama rakannya sejak lima bulan lalu.
MENGUTAMAKAN keaslian setiap pakaian dan aksesori yang dibeli, cita rasa Afiq terhadap fesyen boleh dipuji.


Jenama asli
Menyorot pandangan pada penampilan luaran dua lelaki yang dilantik sebagai personaliti sukan bagi Cabaran Dashing 2 Futsal Neon musim kedua itu sudah cukup untuk menggambarkan cita rasa fesyen mereka.
Afiq tampil santai dengan baju-T sukan yang dipadankan bersama jean ranggi sambil menggalas beg tali bercerut rona merah jambu. Ringkas dan sememangnya gaya seorang lelaki biasa. Namun apabila menjeling ke arah kasutnya, persepsi 'lelaki biasa' itu harus ditarik balik.
Ini disebabkan sneaker hijau jenama Armani Jeans (AJ) itu merupakan koleksi daripada musim bunga/panas 2013 yang masih hangat di pasaran. Ia membuktikan bahawa atlet lelaki negara ini juga mengambil tahu serba sedikit gaya baharu yang relevan untuk dicuba.
Ujar Afiq: "Saya tidak cerewet dalam soal pemakaian. Baju-T sudah cukup untuk saya keluar rumah. Saya orang yang paling susah untuk memakai kemeja dan dalam koleksi peribadi hanya ada sehelai dua.
"Jadi bila ada majlis yang memerlukan pemakaian kemeja, barulah kelam-kabut beli. Namun apa pun pakaian atau barangan yang saya beli, saya utamakan keaslian jenama."
Dari segi penggayaan rambut pula, pada mata kasar, Afiq memang lelaki yang menitikberatkan kekemasan rambut. Ada sahaja gaya menarik yang ditampilkan meskipun ketika beraksi di atas padang.
"Saya tidak meniru mana-mana personaliti sukan atau selebriti. Selalunya bila saya teringin tampil dengan sesuatu potongan rambut, saya akan cuba dan tengok sama ada ia sesuai atau tidak.
"Untuk rambut memang saya guna dua produk iaitu wax dan penyembur. Kebiasaannya, penyembur saya pakai sewaktu bermain sebab tak mahu rambut berserabut dan mengganggu konsentrasi permainan.
"Memang kadang-kadang bila kita tampil kemas atas padang tetapi tidak mempamerkan aksi cemerlang, ada komen-komen negatif yang dilemparkan daripada peminat.
"Namun saya tak ambil pusing sebab adat bila kalah, mereka akan cari apa jua alasan untuk mengkritik. Semua teguran itu saya terima dan jadikan sebagai pemangkin semangat," jelasnya yang sangat berhati-hati dalam memilih pencuci muka.

DARI kiri: Afiq, Remy, Henry dan Bunyamin pada majlis pelancaran Cabaran Dashing 2, Futsal Neon untuk musim kedua.


Pelembap
Jika Afiq lebih selektif dalam soal penjagaan rambut, Bunyamin pula agak teliti dalam rejim penjagaan wajah. Lelaki berwajah manis dengan lesung pipit itu tidak malu mendedahkan bahawa dia memakai pelembap untuk wajah sebelum tidur.
Selain pencuci muka, produk sebegitu disifatkan Bunyamin sebagai pembantu dalam mengekalkan kesihatan kulit wajah.
Katanya: "Menjaga penampilan diri penting bagi lelaki tidak kiralah apa pekerjaan anda. Bagi saya, setiap lelaki perlu menjaga imej dengan berpenampilan kemas agar kita dapat menghentikan persepsi wanita yang sering menganggap golongan lelaki sebagai kelompok yang selekeh."
Mengutamakan pakaian kemas, Bunyamin juga kini mula bereksperimen dengan gaya rambut baharu. Imej botaknya dulu dibuang selepas merasai penampilan itu membuatkannya tampak bengis.
"Selepas itu, saya simpan rambut yang agak panjang dan kemudiannya memotong mengikut gaya baharu. Itu pun saya lakukan di salon milik Asaruddin Putra Omar yang juga pemain bagi pasukan Selangor di Shah Alam," cerita Bunyamin yang bermain di posisi pertahanan dalam pasukannya.

Pesona gaya kasual

Posted: 16 Sep 2013 05:29 PM PDT


BERSIFAT versatil, busana ini bukan sahaja sesuai digayakan di majlis kasual, malah boleh dipakai ke pejabat.


KASUAL, bergaya dan berani. Itu perkataan yang tepat bagi menggambarkan 30 koleksi pertama dari Butik Bianco Mimosa dalam satu pertunjukan fesyen sempena pelancaran butik itu di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Koleksi tersebut dizahirkan oleh para perekanya yang mendapat inspirasi dari jenama terkemuka, Versace dan Roberto Cavalli.
Bianco Mimosa dikendalikan oleh jurusolek popular Deq Sha atau nama sebenarnya Mohamad Shahrul Azlan Abdul Rauf bersama Mohd. Faizal Abdullah dan Jasmi Rejab, selaku pereka fesyen.
Menurut Deq Sha, Bianco Mimosa cuba menonjolkan aspek material pada koleksi sulungnya itu dengan salah satu daripadanya ialah penggunaan batik digital.
Material dari China
"Menggunakan kain-kain eksklusif yang ditempah khas dari China, warna-warna yang digunakan dalam koleksi pertama ini lebih kepada warna oren, merah manggis, hitam, coklat dan warna wajib Bianco Mimosa iaitu kuning diraja.
"Ia menampilkan koleksi sedia pakai dengan suntikan rekaan kasual, futuristik dan tidak ketinggalan fesyen muslimah," katanya sambil memberitahu material yang digunakan terdiri daripada kain sifon, likra dan kulit.
Tambah Deq Sha, kepelbagaian dalam koleksi menunjukkan bahawa Bianco Mimosa mampu menghasilkan atau memenuhi apa sahaja fesyen yang menjadi idaman pelanggan.
"Koleksi sedia pakai menggunakan potongan ringkas yang menjamin keselesaan pemakai.
"Kami tidak meletakkan sasaran umur untuk koleksi ini kerana ia bebas dipakai oleh individu-individu yang berani bereksperimen dengan fesyen," ujarnya.
Secara keseluruhannya, terdapat 30 koleksi yang ditampilkan dengan tiada sebarang perincian manik mahupun renda memandangkan jenama tersebut ingin menonjolkan aspek material yang digunakan.
Rekaan koleksi sedia pakai Bianco Mimosa yang ringkas tetapi elegan ini dijual antara RM200 hingga RM500 sehelai.
Bianco Mimosa yang dinaungi usahawan, Datuk Ida Suraya Mustapha, bakal bekerjasama dengan jenama terkenal Versace dalam melahirkan koleksi fesyen busana Muslimah.

Teknologi penawar masalah kulit

Posted: 16 Sep 2013 05:28 PM PDT



EUCERIN dihasilkan untuk menyelesaikan masalah dalaman dan luaran kulit.


SETIAP orang mahukan kulit yang sihat dan cantik, namun masih ada yang tidak tahu cara-caranya.
Prihatin dengan masalah tersebut, Eucerin telah melancarkan kempen Let's Talk Skin Science di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya yang berakhir pada 1 September lalu.
Kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai penjagaan kulit secara perubatan agar mereka dapat memahami dengan lebih dekat tentang kulit dari segi sains.
Pakar dermatologi, Dr. Mohamed Abu Bakar Siddique berkata, masalah jerawat dan parut mampu 'meragut' rasa keyakinan diri seseorang.
Berdasarkan pengalamannya, rawatan penjagaan kulit klinikal telah membantu beliau mengatasi isu-isu tersebut sekali gus mengembalikan keyakinannya.
Beliau telah berkongsi pengalaman dan pengetahuannya tentang penjagaan kulit pada Bengkel Media Blogger Eucerin yang diadakan di House+Co pada 29 Julai lalu.
Mohamed juga terlibat pada majlis pelancaran kempen Let's Talk Skin Science bagi memberi pandangannya mengenai kesihatan kulit dari perspektif perubatan.
Eucerin yang telah menjadi pelopor dalam sains perubatan kulit dan inovasi selama lebih 100 tahun, menawarkan penyelesaian masalah kulit secara keseluruhan.
"Mengetahui bagaimana kulit anda berfungsi adalah penting kerana tidak semua produk penjagaan kulit akan memberikan anda kulit yang diingini.
"Namun , masih ramai pengguna yang memahami kepentingan itu dan kempen ini bertujuan mengubah perspektif tersebut," kata Pengurus Negara bagi Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Ng Hock Guan.
Bagi membuktikan bahawa kempen Let's Talk Skin Science bukan sekadar kempen untuk kepentingan produk, Eucerin berkolaborasi bersama rangkaian penjagaan dan kesihatan diri, Watson's, dalam memberi sokongan terhadap penjagaan kulit secara perubatan.
PENGUNJUNG berpeluang menjalani pemeriksaan kulit sempena siri jelajah Eucerin.


Penjagaan klinikal
Pengarah Dagangan dan Perancangan Ruang Watson's, Caryn Loh memberitahu, Watson's amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Beiersdorf Malaysia dalam menyediakan penjagaan klinikal kulit kepada orang ramai.
"Sebagai gedung peneraju kesihatan dan kecantikan di Asia, Watson's komited dalam menawaran produk kecantikan dan penjagaan diri kepada pengguna," ujarnya.
Eucerin kini menyediakan platform kepada pengguna untuk berkomunikasi dengan pakar-pakar kulit, pada masa yang sama menyediakan kaedah penyelesaian yang terbukti berkesan.
Menggunakan teknologi paten Eucerin baharu, mesin kulit terkini berupaya mengenal pasti masalah kulit pelanggan menerusi analisis terperinci.
Teknologi baharu tersebut telah diuji selama empat minggu dalam cabaran transformasi kulit yang disertai oleh beberapa orang blogger dan selebriti yang menggunakan rangkaian produk Eucerin DermoPurifyer.
Antara selebriti yang terlibat ialah DJ Red FM, Linora Low, pelumba kereta, Natasha Seatter dan pengacara program Football Overload, Michelle Lee.
Kesemuanya hadir pada majlis pelancaran untuk berkongsi pengalaman masing-masing berhubung transformasi kulit mereka.
Siri jelajah Eucerin yang berlangsung selama lima hari itu dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Orang ramai berpeluang melakukan analisis kulit menggunakan teknologi baharu dengan rundingan pakar.
Rawatan wajah percuma menggunakan teknologi terkini dari Amerika Syarikat dan sesi merias kecantikan secara semula jadi itu memberi peluang kepada para pengunjung memanjakan diri mereka.
Selain itu, produk-produk penjagaan kulit Eucerin juga dijual kepada orang ramai sepanjang kempen tersebut berlangsung.
Rangkaian produk Eucerin boleh didapati di rangkaian farmasi, penjagaan diri dan kecantikan utama di seluruh negara termasuk Guardian, Watson's serta Caring.

Spesies arnab paling popular di Malaysia

Posted: 16 Sep 2013 05:27 PM PDT


HARGA arnab seperti baka Holland Lop ini adalah berdasarkan panjang bulu, saiz dan kecomelan mukanya.


HOLLAND Lop, Netherland Dwarf dan Mini Rex adalah antara kumpulan baka arnab yang paling menjadi rebutan masyarakat negara ini untuk dijadikan sebagai haiwan kesayangan.
Menurut seorang anggota Kelab Arnab Malaysia (MRC) yang juga pengkaji arnab, Shirrly Teo, 28, baka-baka itu banyak dipelihara di rumah dan ada yang menjadikannya sebagai satu perniagaan yang menguntungkan.
"Tiga baka ini paling laris di pasaran berbanding spesies Jersey Wooly, Dwarf Hotot, Dutch, English Anggora, English Lop dan American Fuzzy Lop. Harganya berbeza kerana semakin cantik bulunya, maka lagi tinggi nilai arnab itu,," katanya yang ditemui di pertandingan UM ARBA Open All Breed Double Rabbit Show 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kos
Ketiga-tiga baka itu diimport dari Amerika Syarikat melalui orang tengah dan kebanyakannya dibeli secara dalam talian.
"Biasanya kos penghantaran melebihi RM6,000 untuk enam ekor arnab yang bermutu tinggi. Selain itu, mereka yang membelinya perlu mendapatkan Sijil Sah Kesihatan dari negara itu dan permit untuk urusan import-eksport," katanya.
Teo berkata, penjual haiwan ini biasanya menawarkan harga antara RM350 hingga RM3,000 seekor bagi baka Holland Lop dan antara RM200 hingga RM5,000 seekor bagi baka Netherland Dwarf.
"Pembeli akan menilai arnab dari segi bulunya iaitu sama ada tebal atau nipis, saiz badan dan bentuk mukanya yang comel. Namun begitu setiap baka ada keistimewaannya yang tersendiri," kata beliau lagi.
Makanan arnab seperti rumput kering Timothy dan pelet yang dimport dari Amerika Syarikat dianggap yang terbaik bagi pembesaran dan kesihatan haiwan itu. Ini kerana ia mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan.
"Kita tidak digalak memberi makanan seperti sayuran dan air yang tidak bersih kerana boleh mendatangkan penyakit seperti cirit-birit dan kurap. Haiwan ini juga sensitif kepada cuaca yang panas dan memerlukan pengudaraan yang baik dalam sangkarnya," maklumnya.

JEYANTHI sanggup membelanjakan RM200 sebulan bagi memelihara Opapa yang juga merupakan baka induk perniagaan arnabnya.


Minat
Kini Teo mempunyai lebih 150 ekor arnab yang dijual sebagai perniagaan sampingannya.
"Jika dihitung, memang perniagaan ini tidak mendatangkan untung yang besar. Namun, apa yang penting adalah minat untuk membela haiwan ini," kata wanita yang juga anggota Persatuan Pencinta Arnab Selangor (Pecinta) ini.
Sementara itu, bagi penggemar arnab, N. Jeyanthi, 33, dia mempunyai seekor arnab seberat lapan kilogram bernama Opapa dari baka English Lop yang dibeli pada harga ribuan ringgit.
"Kos untuk menjaga Opapa adalah RM200 sebulan. Saya tidak kisah menghabiskan wang kerana Opapa adalah baka induk untuk semua arnab yang saya jual di Kota Damansara," katanya.
Jeyanthi berkata, walaupun Opapa bersaiz besar, namun binatang peliharaannya itu amat manja dan tidak pernah menggigitnya walaupun ketika lapar.
Zubaidi Hasyim, 45, yang menamakan arnabnya Kak Tun, akan membersihkan sangkar empat hari sekali bagi memastikan ia hidup selesa dan bebas penyakit.
"Anak saya yang menamakannya Kak Tun kerana gemar dengan kecomelan Kak Tun melalui iklan di televisyen. Saya juga mempunyai hampir 150 ekor arnab yang mempunyai nama seperti Melur, Dara, Aduka dan Taruna," katanya.
Pertandingan yang menarik penyertaan lebih 206 ekor arnab oleh pemilik-pemilik dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand itu bertujuan mencari arnab yang paling cantik.
Juaranya ialah seekor arnab bernama Monster dari spesies Holland Lop, yang dimiliki Sally Koh, 25, dari Malaysia. Kemenangan itu membolehkan ia menerima hadiah berupa makanan dan keperluan arnab bernilai RM3,000.

Revolusi pakaian dalam

Posted: 16 Sep 2013 05:26 PM PDT


FUNGSI pakaian dalam AIRism yang pantas menyerap peluh membuatkan si pemakai selesa sepanjang hari.


TIADA siapa memberi perhatian kepada kepentingan pakaian dalam (innerwear) yang kebiasaannya dipakai secara harian terutamanya ketika ke pejabat.
Kaum Adam khususnya, amat bergantung kepada pakaian jenis itu atau singlet apabila berpakaian formal. Fungsinya sebagai lapisan bawah kemeja sangat penting bagi menyerap peluh dan mengelakkan kemeja basah pada cuaca panas.
Atas tujuan itu, jenama pakaian dari Jepun, Uniqlo memperkenalkan koleksi pakaian dalam AIRism. Seperti namanya, AIRism ringan pada kulit dan sejuk apabila disentuh.
Mungkin ada segelintir individu kurang gemar mengenakan pakaian dalam kerana berasa terganggu. Namun AIRism mampu mengubah perasaan itu kerana teksturnya yang ringan membuatkan anda selesa sepanjang hari.
Pilih sama ada anda mahu baju-T tanpa lengan berleher V atau baju-T berleher V untuk dijadikan pakaian dalam ataupun digunakan ketika melakukan aktiviti riadah seperti berjoging.
AIRism juga menawarkan variasi seluar dalam kepada golongan lelaki dari jenis boxer brief.
Kepada wanita, seleksi baju-T leher jatuh (scoop) dan baju tanpa lengan pasti memberikan gaya santai ketika di rumah atau ke pasar raya. Terdapat juga kamisol atau anak baju dengan keperincian renda atau sulaman.
Kunci kepada kesempurnaan AIRism terletak pada material istimewa yang digunakan yang berfungsi sebagai pencegah bakteria dan bau. Ia juga mampu mengehadkan perpeluhan.
Fabrik khusus itu turut menyerap peluh dan meneutralkannya bagi mengelakkan pembentukan bau badan. Peluh yang diserap kemudiannya dikeringkan dengan pantas menerusi gentian fabrik baju tersebut. Ia juga berupaya membebaskan kepanasan dari badan bagi membantu anda kekal sejuk dan selesa.
Penggunaan material bagi koleksi musim bunga/panas 2013 itu mudah regang yang membantu individu bergerak bebas tanpa sekatan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines