Sabtu, 21 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Kejam: Rumah kebajikan aniaya anak yatim

Posted: 20 Sep 2013 12:46 AM PDT


  • Penghuni rumah anak yatim dianiaya Nur mendedahkan penyelewengan berlaku di rumah amal berselindung di sebalik nama pertubuhan anak yatim kepada wartawan Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan.
PUCHONG – "Anak yatim tidak dibenarkan sama sekali membancuh milo yang penderma sumbang, kalau hendak minum kena beli di kafe kepunyaan rumah kebajikan itu,"demikian dakwa Nur, bekas sukarelawan sebuah rumah kebajikan yang berselindung disebalik nama pertubuhan anak yatim di sini.

Katanya, anak yatim ditempatkan di rumah berkenaan boleh diibaratkan seperti pengemis kerana meskipun sumbangan, diberi orang ramai melimpah ruah namun ia tidak dapat dinikmati mereka.

Lebih mengejutkan sumbangan wang tunai mencecah ribuan ringgit yang disumbangkan individu atau syarikat korporat, lenyap begitu sahaja dipercayai disalurkan kepada sebuah tabung lain dengan tujuan perniagaan.

Nur yang membongkarkan perkara terbabit berkata, segala-galanya bermula apabila dia mula menjadi sukarelawan di rumah kebajikan berkenaan pada 2007.

Pada awalnya kata Nur, dia tidak dapat menghidu penyelewengan itu sehinggalah anak-anak yatim berkenaan mendakwa mereka dipinggirkan.

Wang sumbangan termasuk duit raya yang didermakan orang ramai kepada penghuni rumah akan 'diambil' pengurusan dan anak-anak tidak diberi wang walau sesen pun dengan alasan mereka sudah menghuni rumah itu secara percuma.

Lebih menyedihkan anak-anak kecil yang melakukan persembahan di luar dari jam 7.30 pagi hingga kadang kala jam 10 malam dan diberi bayaran antara RM300 hingga RM400 oleh pihak tertentu juga tidak pernah dapat merasa wang itu.

"Apabila anak-anak berkenaan bertanyakan bahagian mereka, pihak pengurusan akan mengatakan wang berkenaan perlu disumbang ke dalam sebuah tabung.

"Pihak itu akan beritahu, duit disimpan dalam tabung adalah sebagai saham untuk pejuangan Islam," katanya.

Kepada anak-anak kecil pula kata Nur, pihak pengurusan akan memberitahu lebih banyak wang disimpan dalam tabung itu, lebih besar peluang mereka menunaikan haji dalam mimpi bersama seorang pemimpin pertubuhan itu yang sudah meninggal dunia.

"Bagi penghuni dewasa, pengurusan sering mengungkit isu mereka diberi peluang tinggal di situ secara percuma," ujarnya.

Nur berkata, dia pernah memegang duit mencecah RM1,000 hasil sumbangan orang ramai namun wang itu kemudian dijadikan modal untuk pertubuhan berkenaan membuka sebuah butik.

"Wang itu sepatutnya diagihkan untuk keperluan anak-anak, sayangnya mereka tergamak menggunakannya untuk tujuan lain dan tidak menggantikannya semula,"katanya.

Apabila ditanya mana wang itu, pihak pengurusan akan mendakwa mereka sudah bayar kepada anak-anak yatim sedangkan ia tidak berlaku.

Sekiranya didesak dan perkara itu dipertikaikan, pihak pengurusan sekali lagi minta supaya penghuni tidak berkira.

Kata Nur, pertubuhan kebajikan itu menerima pelbagai sumbangan setiap hari untuk keperluan penghuni, namun barang makanan diperoleh akan dijadikan modal perniagaan untuk kafe yang dibuka pihak pengurusan.

"Sakit hati apabila melihat mereka bertindak sedemikian, makanan sumbangan orang ramai, mereka jadikan barang jualan, kalau penghuni hendak minum kena bayar, siapa tiada duit kena hutang, bila dapat duit sumbangan kena bayar balik,"katanya.

Bukan sahaja makanan, pakaian hasil sumbangan orang ramai juga perlu dibayar penghuni kepada pihak pengurusan menggunakan wang bantuan diterima.

Paling dikesali Nur, barang makanan sumbangan orang ramai juga kadang kala dikumpul dan dihantar untuk kegunaan perniagaan restoran yang dijalankan pertubuhan itu di luar negara sedangkan penghuni sendiri langsung tidak diberi peluang menikmatinya.

Pernah menurut Nur, penyumbang menghantar ikan segar ke rumah pertubuhan berkenaan, namun tidak lama selepas itu akan datang sebuah van dan membawa semua bekalan lauk pergi.

"Anak-anak hanya dihidangkan sardin dan ikan masin sahaja sedangkan ada pelbagai jenis hidangan lazat dihantar mereka yang bersimpati dengan nasib anak yatim. Hanya ikan murah, sudah pecah perut dan kurang segar ditinggalkan untuk dimakan anak-anak yatim," katanya.

"Bila pihak atau syarikat luar buat program di situ sahaja anak-anak yatim boleh makan sedap," ujarnya lagi.

Jelas Nur, hakikatnya pertubuhan itu dianggap paling kaya dengan limpahan sumbangan pihak-pihak yang bermurah hati.

Setiap kali menjelang perayaan, pelbagai pihak akan datang memberi bantuan dan menjemput anak-anak membeli keperluan raya di luar.

Namun katanya, anak-anak yatim sebenar hanya meminjamkan tubuh badan mereka sahaja untuk pengukuran saiz sedangkan pakaian itu tidak sampai ke tangan mereka.

Sekiranya, dijemput membeli pakaian raya lebih 10 kali pun, sehelai baju pun anak-anak yatim tidak dibenarkan ambil.

"Pada malam raya apabila penghuni pulang ke rumah saudara-mara atau ibu yang masih ada, anak-anak jemaah sebuah pertubuhan akan datang  ambil pakaian milik anak yatim itu," katanya.

Bagi anak-anak yatim peringkat sekolah menengah, mereka akan dapat peluang mengikut agensi atau syarikat penyumbang membeli pakaian raya tetapi sekali sahaja.

Yang lainnya akan diberi giliran kepada anak-anak jemaah sedangkan mereka mempunyai ibu dan bapa.

"Puluhan tong biskut raya yang diterima pusat kebajikan itu juga tidak diberi kepada anak-anak yatim untuk dibawa pulang ke rumah mereka," katanya.

Menyentuh hal beriadah di luar, Nur berkata pihak pengurusan pertubuhan kebajikan itu akan buat surat minta tajaan pihak luar.

Meskipun tajaan sudah diperoleh, anak-anak yatim tetap kena bayar menggunakan duit yang ada pada mereka termasuk bantuan kewangan diberikan oleh sekolah.

Orang luar ada juga yang mengambil anak-anak yatim sebagai anak angkat, mereka perlu masukkan duit ke dalam tabung pengurusan bukan terus ke dalam akaun bank anak-anak sendiri.

Duit bulanan sebanyak RM300 juga tidak sampai kepada anak-anak menyebabkan baju sekolah tidak dibeli baru dan mereka dalam keadaan selekeh ke sekolah.

Bila ditanya ke mana duit anakanak yatim pemberian ibu bapa angkat mereka, pihak pengurusan kata tidak perlu bazir keluar duit beli baju sekolah anak-anak kerana boleh minta sumbangan daripada orang lain pula.

Apabila sudah dicarikan tajaan untuk keperluan anak-anak, duit itu diambil dan dibuat perkara lain.

Pernah satu ketika, Nur berkata, dia dimarahi kerana menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk mendaftarkan anak-anak tidak bersekolah ke tadika.

"Pihak pengurusan kata tidak boleh gunakan wang sumbangan hantar anak-anak ke sekolah sedangkan pada saya itu memang hak anak-anak tetapi saya dimarahi dan mereka katakan biar orang ramai lain bayarkan, jangan bayar nanti rugi," katanya.

Guna anak yatim raih simpati

Anak yatim diletakkan di hampir 100 pertubuhan kebajikan rumah amal di seluruh negara dikatakan hanya sebagai strategi pihak tidak bertanggungjawab bagi meraih simpati orang ramai.

Kewujudan pendaftaran untuk warga emas, ibu tunggal dan orang kampung yang miskin juga dikatakan menjadi salah satu taktik pusat kebajikan dinaungi pertubuhan di negara ini bagi mendapatkan lebih banyak sumbangan.

Nur mendakwa, bantuan yang diberikan kepada golongan itu hanya diberi sekali sekala untuk menutup mata awam mengenai aktiviti dilakukan pihak terbabit.

Pengurusan pertubuhan biasanya tidak memberi bantuan berterusan dan kadang kala mereka yang berdaftar dengan pertubuhan akan dilayan secara kasar sekiranya mahu meminta sumbangan walau sekampit beras.

"Ada warga emas atau orang miskin yang kadang-kadang terpaksa tunggu dari pagi sampai petang hanya untuk dapat sekampit beras sedangkan beras banyak di stor, kadangkadang mereka disuruh balik."Apabila saya tanya mengapa tidak beri beras sedangkan bekalan ada, jawab pihak pengurusan tidak perlu tolong orang miskin selalu dan perlu lebih mementingkan mereka yang berada di sekeliling pemimpin pertubuhan itu," katanya.

Sumbangan diberi orang ramai kepada pertubuhan adalah milik pemimpin dan hanya boleh diedar untuk rumah pemimpin sahaja. "Akibatnya, anak-anak yatim kecil dan dewasa hidup bagaikan pengemis duduk  situ, ramai antara mereka yang sudah besar keluar, yang tinggal hanya anak jemaah," katanya.

Anak-anak kecil yang menghuni pertubuhan kebajikan di situ jelas Nur akan didoktrinkan untuk taksub kepada pemimpin dan mengamalkan ajarannya. Untuk mengetahui lebih terperinci 'ajaran' di rumah kebajikan itu, Nur mendakwa dia meletakkan anaknya sebagai penghuni untuk menyiasat perkara berkenaan.

Selepas media melaporkan mengenai kegiatan di rumah pertubuhan itu baru-baru ini, ramai anak yatim yang sudah keluar, yang tinggal hanya beberapa orang sahaja,yang lain semua anak jemaah.

"Tidak tahu ke mana hala tuju anak-anak yatim ini bila mereka keluar dari rumah berkenaan kerana majoriti mereka tidak dipantau semasa di pertubuhan dan apabila keluar  dari rumah.

"Bila polis hendak buat program, mereka akan pesan anak-anak sorok gambar pemimpin pertubuhan itu, jangan sebut namanya, kalau orang tanya kenal atau tidak, kata tidak kenal," katanya.

Amalan pelik selepas solat

Menurut Nur penghuni pertubuhan kebajikan akan solat mengikut waktu namun yang menghairankan wujud pertambahan bacaan. Jika ada tetamu datang berkunjung, penghuninya akan  solat seperti biasa namun jika sebaliknya kesemua mereka wajib membaca zikir memuja pemimpin pertubuhan itu yang sudah meninggal dunia.

Apabila Hari Raya pula, mereka tidak solat di surau atau masjid tetapi di surau sendiri dan akan membaca khutbah mengenai pemimpin mereka yang kononnya memiliki seribu satu keajaiban. Kanak-kanak kecil  dipesan supaya tidak melakukan amalan pelik itu di depan orang dan tidak menceritakannya kepada sesiapa sahaja.

Katanya, sesiapa yang tidak mahu mengamalkan 'pencak' dan zikir berkenaan akan dimarahi. Amalan ini turut disedari penjaga sehingga ada yang mengambil keputusan membawa anak-anak yatim keluar dari rumah itu.

"Bila ada orang meninggal, golongan jemaah akan kata mudahmudahan ditempatkan bersama pemimpin yang sudah meninggal itu," katanya. Bagi mereka beruntunglah sesiapa yang dapat duduk dengannya. Lepas Maghrib, kesemua jemaah dan anak-anak akan buat 'pencak tarik power' hingga Isyak.

Ketika aktiviti itu dilakukan, mereka tidak dibenarkan sama sekali membawa telefon bimbit dan tidak boleh merakam gambar.

Pengakuan anak yatim perempuan 10 tahun

'' Abah (bukan sebutan sebenar tetapi ganti panggilan kepada pemimpin pertubuhan itu yang sudah meninggal dunia) tolong selamatkan kami dari sihir... tolong beri kami program banyak... dapat makanan banyak...' itu antara zikir yang perlu dibaca anakanak yatim pertubuhan berkenaan. Menurut bekas penghuni rumah anak yatim itu, setiap hari selepas solat Subuh, mereka akan buat pencak kemudian berzikir menyebut nama pemimpin itu supaya menolong mereka... Abah tolong kami... sebanyak 50 hingga 100 kali.

Menyentuh soal makanan, meski sumbangan banyak, mereka tidak boleh tambah nasi dan lauk, sekiranya berdegil akan dipanggil 'anak setan'. "Orang sumbang macam-macam tetapi kami tidak dapat rasa, ayam  seketul pun kena berkongsi," katanya.

Pengakuan anak yatim lelaki 10 tahun

Bagi bekas penghuni yang mahu dikenali sebagai Muhammad, dia sedar amalan-amalan diajar di rumah berkenaan pelik dan  tidak masuk akal, namun setelah lama menghuni rumah tersebut, perkara itu menjadi kebiasaannya.

Biasanya penghuni akan disuruh menolak syaitan dengan kaedah berdiri sambil menolak dan menarik tangan ke depan ke belakang. "Benda ini kena buat secara bersembunyi, kalau ada tetamu datang kena solat  biasa, belakang-belakang kena baca zikir itu," katanya. Kalau tidak buat, akan dipukul dengan batang bendera dan dicubit sehingga rasa macam nak terkencing.

"Mak yang keluarkan saya dari rumah itu bila nampak ada yang pelik," katanya. Sejak menghuni rumah itu Muhammad berkata, dia hanya memperoleh duit belanja sekolah 50 sen sehari, kadang-kadang tidak  diberi meski pun tahu banyak sumbangan diperoleh rumah berkenaan.

Pengakuan anak yatim perempuan 17 tahun

"Langsung tiada baca doa memohon kepada ALLAH, kalau nak minta sesuatu mesti mohon  daripada 'Abah'," kata bekas penghuni rumah berkenaan yang melarikan diri kerana tidak sanggup mengamalkan ajaran pelik di rumah anak yatim itu. Katanya, jemaah yang dewasa ada tasbih sendiri berbentuk seperti gelang dan dipakai di tangan.

"Bila orang tiada mereka akan berzikir menyebut 'Abah', saya tidak tahan duduk sana, duit sumbangan orang ramai diberi kepada kami diambil selepas itu kena pula amal ajaran bukan-bukan," katanya.

Eja Azam Tidak Tinggalkan Solat Selepas Bertudung

Posted: 20 Sep 2013 12:45 AM PDT

Eja lebih berjaga-jaga dalam perlakuan serta pertuturan kata
PETALING JAYA: Selepas membuat keputusan bertudung sekembalinya dari menunaikan umrah pada Mac lalu, pelakon Eja mempraktikkan diri untuk tidak meninggalkan solat.
Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 41, berkata, selama ini dia jarang melengkapkan sembahyang lima waktu yang diwajibkan untuk umat Islam kerana kesibukan tetapi selepas mendapat hidayah Allah, dia akan pastikan kewajipan itu dapat dilaksanakan walaupun di lokasi penggambaran.
"Sebagai manusia, banyak kekurangan yang saya miliki kerana sibuk dengan hal-hal dunia dan sepanjang 17 tahun berada dalam industri seni, kadang-kadang saya lupa terhadap kewajipan saya.
"Tetapi sejak pulang daripada mengerjakan Umrah buat kali keempat, hati dan fikiran saya sudah mula berubah.
"Saya memastikan diri ini tidak tinggalkan solat dan seandainya terlepas dengan tidak sengaja, saya akan qada semula. Selebihnya saya serah kepada Allah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Tambah pelakon yang popular dengan filem Sepi dan Janin ini, perubahan imej bertudung juga membuatkan dia lebih berjaga-jaga daripada segi tingkah laku serta pertuturan agar tidak dipandang serong.
Watak bertudung Eja dalam drama lakonannya turut mempengaruhi dia menutup aurat.
Malah Eja juga berazam untuk melakukan kebaikan sesama manusia agar dapat menggembirakan mereka selain berusaha tidak melukakan hati sesiapa.
Sementara itu, Eja juga bersyukur imej baharu itu tidak menyekat rezekinya sebagai pelakon sebaliknya tawaran yang diterima tidak pernah putus termasuklah turut dilantik menjadi duta buat produk Cosry Skin Therapy.
"Kalau nak tahu, saya menandatangani kontrak dengan pihak Cosry sebelum bertudung dan Alhamdulillah apabila bertudung, mereka tetap menerima imej baru saya ini.
"Dan saya berpendapat, apabila kita melakukan perubahan kerana Allah, sudah pasti rezeki kita sentiasa ada dalam apa-apa situasi sekalipun asalkan kita rajin berusaha," ujarnya.
Dalam pada itu Eja turut menasihati artis-artis bertudung lain agar tidak risau untuk meneruskan karier kerana industri hiburan tempatan sekarang ini lebih terbuka.
Mengenai perkembangannya Eja baharu selesai menjalani penggambaran filem Tembus, arahan Ahmad Idham dan Manisnya Cinta (Bernard Chauly).
Malah Eja juga bakal mengacarakan sebuah program televisyen mengenai isu wanita dan berhajat mengarah sebuah filem pendek tidak lama lagi.

Wanita ditahan bersama 129 paket kondom

Posted: 20 Sep 2013 12:39 AM PDT


  • Wanita ditahan bersama 129 paket kondom  Wanita yang ditahan dalam serbuan malam kelmarin, yang disyaki terlibat dalam perlakuan tidak bermoral.
KOTA BHARU- Seorang wanita berusia 20 tahun ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Sri Cemerlang di sini malam kelmarin kerana disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral, bersama 129 paket kondom yang belum digunakan.

Dia yang berasal dari sebuah kampung di Bachok itu ditahan pada jam 11.10 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dalam satu serbuan diketuai Pegawai D7 IPD Kota Bharu, Cif Inspektor Rostam Ayob.
Turut ditahan bersamanya, dua lelaki berusia 27 tahun dan 22 tahun dengan seorang daripadanya dipercayai teman lelaki wanita itu.  Semasa ditahan, dua lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
Menceritakan detik hitam yang dilalui, wanita terbabit ketika ditemui berkata, dia mula terlibat dalam aktiviti tidak bermoral pada usia 18 tahun selepas mengadakan hubungan seks dengan rakan sekampung.
Katanya, selepas itu dia mula berkenalan dengan seorang lelaki yang kemudiannya menjadi teman lelakinya sebelum dijual kepada seorang bapa ayam di bandar ini.

"Sejak dijual kepada bapa ayam saya mula terlibat dalam aktiviti terbabit, dengan diawasi bapa ayam itu. Teman lelaki yang menjual saya itu kemudiannya menghilangkan diri.

"Setahun kemudian, bapa ayam itu ditangkap dan saya bebas, tetapi saya tetap memilih jalan ini, lagipun mereka tidak tahu tentang pekerjaan saya dan tidak pernah ambil tahu. Keluarga saya juga orang susah dan saya hanya bersekolah setakat darjah enam," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan mengenai penahanan wanita dan dua lelaki itu.

Katanya, serbuan di hotel bajet berkenaan adalah sempena Op Cantas Khas (Op Cantas) di daerah ini.

"Serbuan dibuat, selepas menerima maklumat daripada orang awam. Kita masih lagi menjalankan siasatan mencari jika terdapat lagi wanita muda menjadi pelacur di daerah ini serta kemungkinan wujud sindiket pelacuran," katanya.

Azham berkata, dalam perkembangan ops terbabit di Kota Bharu, seramai 5,125 orang dan 2,234 kenderaan diperiksa, manakala 108 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah sejak ops terbabit dijalankan di daerah ini pada 18 Ogos lalu sehingga kelmarin.

Hanyut dibelai kekasih gelap

Posted: 20 Sep 2013 12:37 AM PDT


  • Hanyut dibelai kekasih gelap Penguat kuasa Jaij Batu Pahat mengambil keterangan pasangan yang didapati berdua-dua dalam bilik sebuah hotel bajet.
BATU PAHAT – "Isteri saya yang mulakan dulu...dia ada lelaki lain, lebih teruk lagi lelaki itu kawan saya sendiri," kata seorang lelaki yang berusia 25 tahun yang ditahan bersama kekasih gelapnya.
Lelaki berkenaan yang sudah mempunyai seorang anak itu didapati berkurung bersama dengan pasangannya di sebuah hotel bajet di sini, semasa Operasi Khalwat dilakukan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, semalam.
Timbalan Penguat kuasa, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pada awalnya lelaki itu mendakwa tinggal berseorangan di bilik hotel itu.

Katanya, bagaimanapun hasil pemeriksaan menyeluruh, pihaknya menemui seorang wanita yang berusia 20an yang berada dalam keadaan ketakutan menyorok dalam tandas.

"Hasil soal siasat serta pemeriksaan yang kami lakukan, pasangan berkenaan tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah dan mengaku telah melakukan perbuatan salah.

"Mereka juga mengaku baru mengenali antara satu sama lain...dan perkenalan mereka tidak sampai sebulan selain dalam proses untuk menjalin hubungan yang lebih serius.

"Semasa serbuan ini dilakukan lelaki berkenaan turut mengadu dia mempunyai masalah dengan isterinya dan kini dalam proses perceraian ," katanya kepada Sinar Harian

Saiful berkata, walau apa juga alasan yang diberikan, pasangan berkenaan telah melakukan kesalahan kerana berdua-duaan dalam bilik tertutup dan boleh mendatangkan fitnah.

Katanya, pasangan berkenaan kini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997,

"Pasangan ini akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan kes kesalahan yang mereka lakukan ini selesai.

"Operasi yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk membendung kegiatan sumbang yang semakin menular di kalangan anak-anak muda yang semakin membimbangkan semenjak akhir-akhir ini.

"Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap lagi, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet dan juga kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini," katanya.

Difitnah kena tangkap khalwat

Posted: 20 Sep 2013 12:33 AM PDT




MEMANG menarik apabila menceritakan detik perkenalan membabitkan pelakon Tasha Shilla dengan Mahali Jasuli yang terkenal sebagai pemain bola sepak kebangsaan.
Semuanya bermula dengan luahan Mahali yang menyatakan dirinya sebagai peminat tegar Tasha, sehinggalah pertemuan kedua-duanya dalam satu majlis hari jadi pelakon itu yang diaturkan oleh peminat pada bulan April lalu.
Sejak itu, hubungan kedua-duanya dilihat semakin erat apabila masing-masing berbalas pesanan di laman sosial Twitter, malah sudah beberapa kali Tasha dilihat berada di stadium ketika perlawanan yang membabitkan pasukan bola sepak Malaysia.
Melihat kepada kemesraan yang wujud antara dua orang figura yang menjadi pujaan dalam lapangan kerjaya masing-masing, timbul persoalan tentang sejauh mana hubungan mereka sekarang ini.
Apatah lagi, pemilik nama sebenar Natashasheila Abd. Razak pernah membuat kenyataan bahawa Mahali merupakan lelaki yang paling rapat dan mereka dalam proses mengenali hati budi sebelum ini.
Berkesempatan bertemu dengan pelakon tersebut dalam majlis pertunjukan fesyen Oriental Rhapsody di The Weld, Kuala Lumpur pada Selasa lalu, Tasha hanya tersenyum apabila diajukan pertanyaan tentang hubungannya itu.

TASHA SHILLA hairan kenapa dirinya dikaitkan sebagai punca kemerosotan prestasi Mahali dalam karier bola sepaknya.


"Setakat ini kami masih lagi berkawan seperti biasa, cuma sekarang agak jarang bertemu kerana komitmen masing-masing. Lagipun sekarang ini tawaran lakonan yang diterima agak banyak.
"Berkenaan dengan hubungan pula, saya dan Mahali tidak lebih daripada sekadar teman biasa. Tentang jodoh pula, saya hanya berserah kepada Allah," jelasnya.
Tegas Shila, dia menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan mereka bercinta dan tidak mahu hubungan rapat yang terjalin menimbulkan salah faham peminat.
Selain itu, pelakon berkenaan turut meluahkan kekecewaan kerana dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi Mahali dalam beberapa aksinya di padang.
"Kadang-kadang agak hairan pula apabila ada yang mengaitkan prestasi Mahali merosot berpunca daripada saya. Sudah tentu ia suatu perkara yang agak mustahil dan melucukan.
"Kalau hendak tahu tentang punca yang berlaku, rasanya lebih baik tanya sahaja terus dengan jurulatih Datuk K. Rajagobal kerana beliau yang lebih tahu tentang situasi sebenar," jelasnya.
Mengakui bahawa tiadanya sebarang hubungan cinta yang terjalin, namun sebagai seorang teman, Tasha tetap menyatakan sepenuh sokongannya agar kerjaya Mahali semakin berkembang dan prestasinya kembali memuncak.
"Saya tidak kisah kalau orang hendak memperkatakan tentang hubungan saya dengan Mahali tetapi apabila dikaitkan dengan dengan cerita yang negatif sebegini, ia memang sesuatu yang agak mengecewakan," luanya.
LAMAN perkongsian Twitter pernah menjadi saksi kemesraan antara Tasha Shilla dan Mahali.


Terkejut
Pada minggu lalu, peminat bola sepak Malaysia dikejutkan dengan berita tentang dua pemain bola sepak yang telah ditangkap khalwat di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.
Menariknya, ada pula segelintir pihak yang telah mengaitkan bahawa salah seorang pemain tersebut merupakan Mahali yang telah ditangkap bersama Tasha.
"Sudah tentu saya berasa sangat terkejut apabila ada rakan-rakan yang bertanya mengenainya tetapi ia tidak benar kerana yang ditangkap adalah pemain pasukan Pahang, sedangkan Mahali pula bermain untuk Selangor.
"Jadi, saya meminta supaya mereka yang telah mengaitkan kami supaya selidik terlebih dahulu dan tidak elok sekiranya membuat tuduhan melulu dan mereka-reka cerita yang tidak benar," tegasnya.
Menyatakan dirinya tidak mahu ambil pusing tentang dakwaan yang dibuat, namun Tasha mengakui perkara yang timbul itu sesuatu yang memalukan dirinya apabila namanya tiba-tiba dikaitkan.
"Saya tidak tertekan sangat tentang perkara ini kerana sudah nyata saya memang tidak bersalah. Yang lebih penting, ahli keluarga tahu yang saya di pihak yang benar," tegasnya.
FIGURA genit ini mengakui tidak tertekan dengan fitnah yang melanda dirinya.


Solo
Setelah menyatakan tentang status hubungannya dengan Mahali sekadar teman biasa, Tasha turut ditebak dengan persoalan tentang jejaka yang bertakhta di hatinya sekarang ini.
Jelasnya, sehingga kini dia masih lagi solo dan belum berjumpa dengan mana-mana lelaki yang sesuai untuk dijadikan sebagai teman hidup.
"Selain berkawan rapat dengan Mahali, saya juga mempunyai ramai lagi rakan-rakan lelaki. Cuma, kesibukan sebagai seorang pelakon membuatkan saya tidak terlalu fokus sangat tentang mencari teman istimewa.
"Bagaimanapun, saya akui dalam berkawan itu ada beberapa lelaki yang saya cuba mengenali dengan lebih rapat. Kalau boleh, saya kenal lebih rapat dahulu sebelum mengambil keputusan untuk hubungan yang serius," ujarnya.
Biarpun pernah membuat kenyataan yang dia sudah sedia bergelar seorang isteri, Tasha memberitahu, pada usianya sekarang yang sudah mencecah 26 tahun, persediaan untuk ke alam rumah tangga perlu ada.
"Dengan usia yang semakin meningkat pastinya menuju ke alam perkahwinan merupakan salah satu impian tetapi saya perlu berhati-hati membuat pilihan yang terbaik untuk mencari teman hidup," ungkapnya.

Yasmin Hani teringin buat fotografi dalam air

Posted: 20 Sep 2013 12:32 AM PDT


YASMIN HANI bakal terlibat dalam dokumentari khas terbitan Blublack Production milik suaminya, Sha'arin.


BEBERAPA hari lalu di blog-blog dan laman sosial tersebar beberapa keping gambar pelakon berdarah kacukan Melayu dan Inggeris, Yasmin Hani yang mendedahkan lukisan pokok pada perutnya.
Akibat daripada penyebaran gambar tersebut, pelakon berusia 34 tahun yang kini sedang mengandung 32 minggu itu dikritik hebat oleh orang ramai.
Ada yang memberi komen geli melihat perut Hani dilukis sedemikian rupa.
Ada juga komen mengatakan dunia di akhir zaman apabila Hani berani bergambar dalam keadaan seperti itu dan yang paling teruk, ada yang menyifatkan perbuatan bakal ibu itu sebagai sesuatu yang menjijikkan.
Kesan daripada penyebaran dan komen-komen negatif itu, pelakon dan juga pengacara itu berasa sedih. Perasaan sedih dan terkilannya itu dikongsikannya bersama Kosmo!.
Kosmo!: Boleh Hani komen mengenai penyebaran gambar perut anda yang tertera lukisan pokok?
HANI: Sebenarnya ia adalah gambar fotografi mengandung yang sepatutnya menjadi simpanan peribadi saya. Sejujurnya, bukan saya yang memuat naik gambar tersebut di Instagram.
Jadi, bagaimana gambar tersebut boleh tersebar?
Kalau boleh, saya tidak mahu soal ini diperbesar-besarkan lagi. Sebenarnya, anak saudara saya yang muat naik gambar itu di Instagramnya tetapi dia tidak berniat menyebarnya. Dia seorang pelukis yang telah melukis gambar tersebut di perut saya. Selepas menyedari gambar tersebut, saya telah menegurnya dan dia sudah memadamkan kesemua gambar-gambar itu. Namun, ada pihak yang mengambil kesempatan mencuri gambar tersebut di Instagramnya lalu menyebarkannya di alam maya.
Apakah perasaan Hani selepas mendapat tahu mengenai penyebaran gambar tersebut?
Saya berasa sangat sedih dengan sikap orang yang cuba membuka aib orang lain. Barang siapa yang membuka aib orang lain nescaya Allah akan membalasnya. Orang yang tiada akal sahaja yang melakukan perbuatan tersebut.

PASANGAN romantis ini dijangka menimang cahaya mata sulung hasil perkongsian cinta mereka bulan November depan.


Ada yang beranggapan untuk apa Hani melakukan fotografi seperti itu?
Sebagai seorang yang bakal menjadi ibu buat pertama kalinya, saya sangat gembira dan teruja untuk melakukan fotografi seperti itu. Ia adalah hak saya dan tiada kena-mengena dengan hidup orang lain. Kalau boleh, saya teringin hendak buat fotografi dalam air atau letakkan tanah liat di atas perut. Namun, saya tidak mahu terlalu teruja dan akhirnya cuma melakukan lukisan pokok di atas perut sahaja.
Apakah kata-kata yang boleh Hani sampaikan kepada pihak yang dapat akses gambar-gambar anda itu?
Sesiapa yang sudah berkongsi atau menyebarkan gambar tersebut tindakan mereka adalah salah. Saya akan mengambil tindakan. Bagi mereka yang dapat gambar tersebut, saya mohon agar tidak menyebarkannya lagi di laman sosial masing-masing. Begitu juga pihak media, saya berharap sangat supaya tidak memperbesar-besarkan isu ini.
Bagaimanakah penerimaan keluarga mengenai gambar tersebut?
Keluarga saya tiada masalah kerana ia adalah untuk simpanan peribadi sahaja.
Beralih pada soalan lain, bilakah Hani dijangka bersalin?
Sekarang kandungan saya sudah mencecah 32 minggu. Saya dijangka bersalin pada bulan November nanti.
Sudah tahu apakah jantina bayi tersebut dan sudah buat sebarang persiapan?
Kalau boleh, saya tidak mahu beritahu lebih lanjut mengenai kandungan saya. Mengenai persiapan, adalah sikit-sikit buat masa ini.
Apakah projek anda buat masa ini?
Buat masa ini saya berhenti berlakon seketika. Siapa mahu ambil ibu mengandung berlakon? Bagaimanapun, dalam masa terdekat ini saya akan terlibat dalam satu dokumentari khas tentang kehamilan. Ia adalah terbitan syarikat Blublack Production milik suami saya, Sha'arin Razali.

Anuar tolak media sosial

Posted: 20 Sep 2013 12:31 AM PDT


ANUAR belum terfikir soal mengambil anak angkat.


TIDAK sepertimana kebanyakan artis sekarang yang rata-ratanya menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram untuk berinteraksi dengan peminat, Anuar Zain beranggapan medium itu sebenarnya boleh menjatuhkan karier dan peribadi seseorang.
Bukan sahaja artis tetapi kata Anuar, dia pernah berdepan pengalaman rakan- rakan baiknya bercerai-berai gara-gara laman sosial.
"Saya suka keupayaan medium sosial terutama dalam aspek berinteraksi dengan peminat tapi saya fikir hidup saya sudah sempurna dan saya tidak berani untuk berkongsi lebih lanjut.
"Orang sudah tahu hidup peribadi saya, keluarga saya dan di mana saya selalu melepak," tegasnya yang hanya memiliki akaun Facebook Anuar Zain Network yang diuruskan oleh pasukannya.
Bukan gusar hilang nilai eksklusif tetapi pelantun lagu Sedetik Lebih itu khuatir dari segi keselamatan diri sendiri seandainya terlalu terbuka di laman sosial.
"Sudah terlalu banyak orang tahu mengenai dunia saya dan interaksi itu kadang-kadang bertimpa-timpa. Saya bimbangkan keselamatan saya sebab pernah ada pengalaman peminat fanatik yang tahu kedudukan saya, datang serbu.
"Perkara begini adakalanya merimaskan saya. Itu tidak termasuk kes kutuk- mengutuk di Twitter dan menyebarkan perkara yang negatif.
"Secara tidak langsung perkara begini mengganggu emosi saya. Kalau mahu menggunakan medium ini, jangan menjatuhkan maruah orang dan fikir perasaan orang lain," katanya yang pernah gambarnya dirakam secara candid sebelum disebarkan secara negatif.
Rumah orang tua
Lali diasak pertanyaan mengenai kisah peribadi dan soal jodoh, Anuar menegaskan yang dia tidak risau sekiranya membujang sampai ke tua.
FIGURA popular ini meniti masa depan dengan penuh sikap keterbukaan.


"Jodoh itu kerja Allah dan saya tiada hak untuk bertanyakan bilakah saya akan berkahwin? Saya tidak bimbang kerana itu urusan Tuhan," ujarnya.
Anuar memberitahu, dia bersedia memasuki pusat penjagaan orang tua suatu masa nanti seandainya tidak berdaya.
"Kenapa perlu sedih untuk tinggal di pusat penjagaan orang tua? Saya tidak bimbang dan saya sanggup kerana kita akan dijaga rapi di sana.
"Kalau saya ada anak pun kenapa saya perlu mengharapkan mereka menjaga saya sampai tua melainkan saya sendiri perlu menabung untuk diri sendiri buat bekalan masa akan datang," ujarnya.
Ditanya mengenai kesanggupan Anuar mengambil anak angkat, dia masih belum terfikir ke arah itu. Kata Anuar, dia sendiri sudah memiliki kehidupan bahagia bersama keluarganya.
"Alhamdulillah, saya ada keluarga yang sangat prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang diri saya setiap hari. Malah, saya seronok melayan kerenah 12 orang anak buah saya yang sudah seperti anak sendiri," tegas adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.
Jalinan kasih
Sementara itu, Anuar berkongsi keterujaan untuk menjayakan Malam Jalinan Mesra Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia di Pusat Konvensyen Telekom, Kuala Lumpur pada 19 Oktober depan.
"Ramai yang telah mempelawa saya untuk mengadakan persembahan tetapi memandangkan saya pun usai mengadakan konsert besar awal tahun ini, lebih elok saya memberikan ruang sedikit kepada diri sendiri," katanya yang dipelawa bulan lalu.
Anuar bakal mempersembahkan lima buah lagu popular dan akan meluangkan waktu untuk berinteraksi serta beramah mesra dengan peminat sempena majlis itu.
Harga meja yang bermula RM3,000 hingga RM30,000 telah dibuka untuk tempahan. Maklumat lanjut boleh hubu- ngi 03-6206 4756 atau 017-3577 537.

Agensi tawar pakej pernikahan dalam talian

Posted: 20 Sep 2013 12:30 AM PDT

AGENSI pernikahan kini menawarkan pakej perkhidmatan secara online.


KUALA LUMPUR – Kewujudan agensi yang menawarkan pakej pernikahan secara terbuka di laman-laman web dipercayai menjadi punca banyak pasangan dari Malaysia bernikah di negara Thailand.
Tinjauan mendapati dengan hanya menaip 'nikah Thailand' di enjin carian Google, wartawan Kosmo! mendapati lebih 10 agensi menawarkan perkhidmatan tersebut.
Laman web tersebut turut memberi panduan kepada mereka yang berminat mengenai proses pernikahan, dokumen yang diperlukan serta nombor telefon untuk dihubungi sebelum mereka ke Thailand.
Harga pakej bagi semua proses itu bermula serendah RM1,000.
Agensi terbabit turut menguruskan pengangkutan, penginapan, makanan dan urusan surat-menyurat dengan konsulat Malaysia di negara itu.

Deejay radio parah ditikam penyamun

Posted: 20 Sep 2013 12:26 AM PDT



SAMEI diberi rawatan selepas parah akibat ditikam penyamun yang memecah masuk rumahnya di Sri Aman, Sarawak kelmarin.


SRI AMAN – Seorang deejay sambilan sebuah stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang beroperasi di daerah ini cedera parah selepas ditikam seorang lelaki dalam kejadian samun dekat Sri Jaya Park di sini kelmarin.
Kejadian pukul 8.45 malam itu mengakibatkan DJ Sam atau nama sebenarnya, Samei anak Epat, 31, yang bertugas di RaSA FM cedera di rusuk kanan dan perut akibat ditikam dengan pisau di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, dalam kejadian itu seorang suspek yang bersenjata pisau telah memecah masuk kediaman mangsa yang terletak di tingkat satu rumah flat tersebut.

Kafe kucing pertama dibuka di Perancis

Posted: 20 Sep 2013 12:23 AM PDT



Seorang pelanggan mengusap seekor kucing sambil menikmati minuman yang dihidangkan di kafe kucing di Paris, Perancis.


PARIS - Sebuah kafe kucing pertama telah mula beroperasi di Perancis di sini pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kafe itu dipenuhi dengan sembilan ekor kucing yang bersedia menunggu untuk menghiburkan para pelanggan dengan kerenah masing-masing.
Kafe seumpama ini yang popular di Tokyo, memiliki berbelas-belas ekor kucing. Ia membenarkan para pelanggan yang tidak berpeluang untuk memiliki kucing di rumah menikmati secawan air panas dengan seekor kucing berdengkur sambil menggeselkan badan di lulut.
Margaux Gandelon merupakan wanita yang bertanggungjawab di sebalik pembukaan kafe itu di daerah Marais.
Menurutnya, kucing-kucing tersebut telah dipilih dengan teliti berdasarkan kemahiran sosial mereka.
Tegasnya lagi, kebersihan dan kebajikan kucing-kucing itu sentiasa menjadi keutamaannya.
"Kucing saya bebas bergerak sepanjang hari dan malam," katanya.
Seorang pelanggan, Cindy Engel yang berasal dari Strasbourg telah melawat kafe itu lebih awal daripada hari pelancarannya untuk melakukan pratonton.
Dia yang berusia 31 tahun dan sangat mengalu-alukan konsep kafe tersebut berkata, ia menggalakkan dirinya untuk berinteraksi dengan orang lain berbanding peralatan elektronik.

Tuah jadi tuan rumah

Posted: 20 Sep 2013 12:22 AM PDT




PADA 7 September lalu, rakyat Turki bagaikan terpaku sewaktu menantikan keputusan yang bakal mencipta sejarah di negara tersebut. Semua rakyat negara itu berharap giliran menjadi bandar tuan rumah Sukan Olimpik ke-32 pada tahun 2020 berpihak kepada Istanbul, Turki.
Pada hari tersebut, syarikat penerbangan Turkish Airlines memecahkan rekod penerbangan tanpa henti paling lama syarikat itu iaitu selama 16 jam bagi menerbangkan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan.
Penerbangan tersebut dilakukan semata-mata untuk membawa Erdogan, isteri dan anaknya yang pada ketika itu sedang menghadiri Sidang Kemuncak G20 di St. Petersburg, Rusia menuju ke Buenos Aires, Argentina bagi mengikuti pengumuman Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Turki seakan-akan yakin hak tuan rumah itu akan menjadi milik mereka. Lokasi bersejarah di Dataran Sultanahmet, Instanbul dibanjiri dengan lautan manusia yang tidak sabar mengetahui keputusan berkenaan menerusi layar gergasi yang dipancarkan secara langsung sekitar pukul 11 malam dari Argentina.
Perebutan untuk menjadi negara tuan rumah Sukan Olimpik 2020 berlangsung antara Jepun, Turki, Sepanyol, Azerbaijan, Qatar dan Itali.

ORANG awam berjalan di hadapan papan iklan yang memaparkan pemenang pingat emas tiga kali Olimpik bagi acara gusti, Kaori Icho di laluan pejalan kaki di Tokyo, Jepun.


"Bagaimanapun, setelah lima kali Turki bertanding menjadi calon negara tuan rumah bagi sukan paling berprestij itu, tuah masih belum memihak kepadanya," menurut laporan portal berita Turki, Al-Monitor baru-baru ini.
Sebaliknya, Tokyo telah diangkat sekali lagi untuk menjadi bandar Sukan Olimpik buat kali kedua selepas diberikan mandat yang sama pada tahun 1964. Jepun pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1972 di Sapporo dan 1998 di Nagano.
Melihat kepada persaingan yang sengit setiap kali pemilihan tuan rumah Sukan Olimpik, pelbagai persoalan dan spekulasi timbul selepas keputusan muktamad dibuat oleh IOC.
Misalnya, mengapa Istanbul kalah kepada Tokyo dan apa pula kesan pertumbuhan ekonomi kepada negara penganjur?
Laporan oleh The New York Times menafsirkan kekalahan Istanbul kepada Tokyo itu disebabkan oleh sikap kasar dan autokratik Erdogan terhadap penunjuk perasaan dalam peristiwa Taksim Gezi sehingga mempengaruhi keputusan IOC.
KIRI: Penduduk Jepun meraikan keputusan pemilihan Tokyo sebagai bandar tuan rumah Sukan Olimpik 2020 di dewan bandar raya Tokyo pada 10 September lalu.


Taksim Gezi merupakan insiden demonstrasi jalanan yang dimulakan oleh 50 pencinta alam sekitar yang membantah pembinaan pusat beli-belah di atas tapak Taman Taksim Gezi. Peristiwa tersebut mengorbankan lima orang awam.
Namun, pemilihan Tokyo dianggap lebih kepada satu percaturan selamat kerana penganjuran sukan tersebut bukan medan untuk bermain dengan risiko atas ketidakstabilan politik dan ekonomi sesebuah negara.
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, beliau berasa sangat tersentuh dan teruja tatkala mendengar nama Tokyo diumumkan sebagai tuan rumah Olimpik 2020.
"Perasaan gembira ini lebih besar berbanding ketika saya memenangi pilihan raya," katanya sebaik sahaja mendapat khabar gembira tersebut.
Dipilih menjadi tuan rumah bermaksud Tokyo bakal bergelar magnet pelaburan dari dalam dan luar negara. Banyak manfaat ke atas ekonomi Jepun dijangka berlaku.

ILUSTRASI rekaan dalaman Stadium Negara Jepun yang bakal dibina untuk Sukan Olimpik 2020.


Sebagai contoh, England berjaya merangsang perniagaan dan pelaburannya sehingga mencecah angka 9.9 bilion pound (RM50 bilion) berbanding kos keseluruhan yang dikeluarkan iaitu 8.9 bilion pound (RM45 bilion) untuk menganjurkan Olimpik London 2012.
Menurut Laporan Kesan Ekonomi Sukan Olimpik dan Paralimpik London 2012 yang disediakan oleh Oxford Economics pada Julai tahun lalu, penganjuran acara sukan tersebut berjaya menyumbang kepada industri pelancongan sebanyak 2 bilion pound (RM10.32 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Britain.
Menteri Sukan Britain, Hugh Robertson menyatakan, Sukan Olimpik berkait dengan kenangan masyarakat dunia terhadap negara tersebut dan berharap mereka akan datang lagi ke Britain bagi menjalankan perniagaan dan melancong.
Jepun tidak menunggu lama untuk mengorak langkah pertama dengan melakukan persediaan rapi bagi menghadapi Olimpik. Sebanyak 22 daripada 37 lokasi baharu akan dibina di Tokyo bagi tujuan tersebut.
Kerajaan Jepun mengunjurkan kos keseluruhan yang terlibat untuk acara sukan tersebut adalah sebanyak 409 bilion yen (RM13.3 bilion) tetapi bakal mencatat pulangan sebanyak tujuh kali ganda atau 3 trilion yen (RM97.9 bilion).

Hilang kediaman dua kali demi Olimpik

Posted: 20 Sep 2013 12:20 AM PDT



JINNO menunjukkan gambarnya (dua dari kiri) bersama keluarga di hadapan rumah mereka yang diambil pada 2 Januari 1957.


KOHEI JINNO, 79, menunjukkan sekeping gambar hitam putih anggota keluarganya. Gambar tersebut dirakamkan di hadapan rumah lamanya di tengah-tengah bandar Tokyo.
Mereka sekeluarga pernah dipaksa berpindah kerana rumah tersebut perlu diruntuhkan bagi mendirikan stadium sempena Sukan Olimpik pada tahun 1964.
Nampaknya, Jinno perlu berpindah lagi apabila Jepun dipilih buat kali kedua sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020.
Rumah awam tempat beliau dan isterinya tinggal terletak berhampiran stadium dan tapak rumah lamanya. Kawasan tersebut akan dirobohkan bagi membina stadium baharu di Tokyo.
"Takdir tidak menyebelahi saya. Berita ini mungkin berita baik kepada Jepun, tetapi saya terpaksa meninggalkan kediaman dengan perasaan sedih.
"Saya rasa kalau bukan kerana Olimpik, hidup saya pasti berbeza," katanya.
Stadium Olimpik Negara yang disifatkan sebagai tempat paling ikonik di Jepun kerana ia menjadi lokasi bagi acara pembukaan dan penutupan Olimpik pada tahun 1964. Ia akan dirobohkan pada tahun depan bagi kerja-kerja menaik taraf stadium.
Jepun menjadi negara Asia pertama di dunia yang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.
Sentuhan arkitek
Pembinaan reka bentuk baharu yang berkonsep kapal angkasa futuristik bagi stadium negara tersebut mendapat sentuhan arkitek prolifik dunia iaitu Zaha Hadid. Beliau merupakan arkitek pusat akuatik Sukan Olimpik di London tahun lalu.

KANAK-KANAK perempuan bermain di taman permainandi hadapan kompleks kediaman Kasumigaoka, Tokyo.


Stadium baharu itu bakal mempunyai 80,000 tempat duduk berbanding 50,000 tempat duduk di dalam stadium sedia ada. Pembinaan tersebut mendatangkan manfaat kepada Jepun yang turut menjadi hos bagi Ragbi Piala Dunia pada tahun 2019.
Jinno yang membesar dengan sembilan abangnya dilahirkan di rumah yang kini menjadi tapak tempat meletak kenderaan stadium negara. Selepas rumah tersebut terbakar pada Perang Dunia Kedua, mereka sekeluarga berpindah ke rumah baharu yang jaraknya kira-kira 20 meter dari tapak rumah lama.
Menjelang Sukan Olimpik 1964, rumah mereka dan pemilik 100 buah rumah yang lain dipaksa berpindah ke lokasi lain. Tapak rumah mereka dijadikan dataran tempat letak kenderaan. Tumbuh-tumbuhan di sekitarnya juga telah ditebang dan sungai berhampiran terpaksa dikambus di bawah binaan konkrit.
Jinno juga hilang pekerjaan sehingga memaksa beliau bekerja sebagai pencuci kereta untuk meneruskan kehidupan. Beliau akhirnya tinggal di sebuah bilik kecil bersama isteri dan dua orang anak mereka.
Pada tahun 1965, mereka berpindah ke sebuah kompleks perumahan bandar dan Jinno berupaya membuka kedai menjual tembakau yang beroperasi sehingga kini.
Malangnya, Jinno sekeluarga diarahkan berpindah sekali lagi selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun ini.
"Kerajaan seolah-olah telah mengambil sesuatu yang paling berharga daripada saya (selain keluarganya). Demi Olimpik, saya akan kehilangan jiran tetangga dan kawan-kawan yang paling disayangi," katanya.

JINNO melihat ke luar tingkap rumah yang didiaminya kini di kompleks kediaman Kasumigaoka, Tokyo.


Peluang pekerjaan
Dalam pada itu, Tokyo menganggarkan bakal membuka sebanyak 150,000 peluang pekerjaan. Saham negara Matahari Terbit itu melonjak selepas Tokyo mengenepikan Madrid dan Istanbul pada pemilihan negara tuan rumah Sukan Olimpik 2020 pada 7 September lalu.
Jinno akan menginjak umur 80 tahun pada bulan depan, namun beliau tidak mengetahui lokasi dan tarikh untuk berpindah.
"Saya harap tiada lagi acara Olimpik diadakan di Tokyo pada masa depan. Saya boleh terima ketika diusir buat kali pertama dari rumah kami, tetapi untuk kali kedua ia sangat mengarut," keluhnya.
Sementara itu, atlet wanita angkat berat, Hiromi Miyake, 26, membawa pulang pingat Jepun pertama dalam acara tersebut pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Walaupun sekadar berpuas hati dengan pingat perak pada acara angkat berat, Hiromi berjaya memecahkan rekod kebangsaan negaranya dengan kejayaan mengangkat bebanan 197 kilogram (kg) bagi kategori 48kg.
Hiromi yang juga anak kepada atlet lelaki angkat berat iaitu Yoshiyuki Miyake sekali gus berjaya mengatasi rekod bapanya yang pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Mexico pada tahun 1968.
Kejayaan Hiromi itu merupakan penyertaannya kali ketiga dalam Olimpik. Beliau berjaya menggapai impiannya untuk memenangi pingat pada sukan berkenaan.
Segala kerja keras semasa membuat latihan dan kecederaan yang pernah dialaminya terbayar dengan kemenangan tersebut.

Jimat masa, wang dan tenaga

Posted: 20 Sep 2013 12:19 AM PDT



SEPULUH minit sebelum pukul 12 tengah hari, Razak Omar, 54, sudah berada di dalam biliknya. Tanpa berlengah, lelaki itu terus membersihkan tangannya dengan sabun pencuci khas dan dikeringkan.
Kemudian, dia mengambil satu bungkusan yang mengandungi cecair jernih dan disangkutkan di sebatang tiang. Di bahagian bawah tiang itu pula, terdapat bekas lut sinar yang kosong.
Sambil duduk di kerusi, Razak terus mencapai tiub lembut atau kateter yang telah dimasukkan secara pembedahan melalui dinding abdomen ke dalam rongga peritoneum di perutnya. Ia disambungkan dengan bungkusan cecair dan bekas lut sinar tersebut.
Beberapa saat kemudian, cecair berwarna sedikit kekuningan mula memenuhi bekas lut sinar tersebut. Dalam tempoh antara lapan hingga 10 minit, air yang disedut melalui kateter itu habis dikeluarkan. Malah, dia turut menggoyang-goyangkan badan untuk memastikan tiada lagi air yang tersimpan di dalam perutnya.
Selepas itu, Razak menekan punat sambungan saluran cecair baharu untuk dimasukkan kembali ke dalam rongga peritoneum melalui lubang yang sama.
"Inilah rutin harian saya sejak menggunakan rawatan dialisis peritoneum (PD) untuk merawat penyakit buah pinggang sejak bulan Mei tahun lalu. Proses ini perlu dilakukan empat kali sehari dan setiap rawatan memakan masa kira-kira 30 minit," katanya ketika ditemui di rumah beliau di Kampung Sungai Udang, Klang, Selangor baru-baru ini. Dialisis peritoneum merupakan satu rawatan untuk pe sakit yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik yang teruk.

MENJALANI rawatan dialisis peritoneum di rumah menyebabkan Razak bebas melakukan rutin hariannya seperti biasa.


Rawatan ini dilakukan di dalam badan pesakit melalui membran peritoneum yang terdapat di bahagian abdomen manusia. Membran ini juga meliputi kesemua organ dalam abdomen. Ia separa telap, justeru hanya bahan tertentu boleh melalui selaput itu.
Apabila larutan dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneum, hasil buangan akan ditapis daripada aliran darah menerusi membran peritoneum ke dalam larutan dialisis.
Dari situ, bahan buangan akan dikeluarkan dari badan pesakit dan digantikan dengan larutan dialisis baharu.
Kos perbelanjaan
Tambah Razak, rawatan PD memberi peluang kepadanya dari aspek kebebasan masa, menjimatkan wang dan tenaga berbanding rawatan hemodialisis yang dilakukan sebelum ini.
Sebaik didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang, beliau telah menjalani rawatan di Pusat Dialisis Mukmin, Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Setiap rawatan memakan masa empat jam dan ia perlu dilakukan tiga kali seminggu.
Jumlah perbelanjaan keseluruhannya mencecah RM3,000 sebulan. Kini, selepas menggunakan PD, kos perbelanjaan rawatan tersebut sekitar RM2,600 sebulan.
"Lebih penting, saya tidak terikat dengan masa dan badan rasa segar. Malah, saya juga boleh terus membuat kerja-kerja rumah sejurus rawatan selesai," ujarnya sambil tersenyum.
Bapa kepada empat cahaya mata itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) pada tahun 2010. Ia mula disedari apabila pada satu malam, Razak terpaksa tidur menggunakan tiga biji bantal kerana dadanya terasa sesak apabila hanya memakai satu biji bantal. Keesokan harinya, beliau berasa amat lemah hingga hendak berjalan ke luar rumah pun nafasnya termengah-mengah.

PESAKIT buah pinggang kronik perlu menjalani rawatan dialisis tiga hingga empat kali seminggu.


"Saya hampir pengsan ketika itu. Mujurlah jiran sebelah ternampak keadaan saya lantas memapah saya yang kemudian dihantar terus ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
"Di hospital, doktor bertindak menebuk perut saya untuk melakukan rawatan dialisis. Pada masa itulah, saya tahu bahawa buah pinggang saya sudah rosak. Selepas doktor mengesahkan saya menghidap CKD, dunia saya terasa gelap," katanya.
Tambah Razak, ketika itu, bermacam-macam perasaan bermain di fikiran. Apa yang hendak dimakan selepas ini, duit untuk menjalani rawatan dan tidak terkecuali ingatan terhadap kematian.
Ujarnya, dia sebenarnya telah lama menghidap diabetes yang hanya disedari 13 tahun lalu. Semua itu disebabkan dia tidak pernah ambil peduli mengenai kesihatan diri.
Maklumlah, ketika itu badannya sihat dan kuat. Malah, jarang sekali diserang demam atau sakit. Namun, insiden luka di kaki yang tidak sembuh-sembuh mendedahkan rahsia sebenar penyakit yang dihidapi. Lima tahun kemudian, dia disahkan menghidap hipertensi.
Mencegah
"Nasihat saya, jalanilah pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali. Tidak kira sama ada anda sakit mahupun tidak, mencegah lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.
"Walau bagaimanapun, saya sangat bersyukur kerana penyakit ini merupakan notis daripada Allah SWT agar saya beringat dalam kehidupan yang berbaki. Apa yang telah ditakdirkan, saya terima dengan reda. Melalui penyakit ini, saya dapat memperbaiki diri dan membuat resolusi hidup," ungkapnya penuh makna.
Sejak tiga tahun lalu, Razak sudah menjalani enam pembedahan di leher, paha, tangan dan perut bagi tujuan dialisis.
Pada majlis pelancaran kempen kebebasan bersama PD, Razak dijemput untuk berkongsi pengalaman sebagai pesakit CKD yang menggunakan rawatan tersebut.

PELANCARAN kempen Kebebasan dengan PD telah berlangsung di ibu negara baru-baru ini untuk menggalakkan pesakit buah pinggang menggunakan rawatan dialisis peritoneum.


Kempen ini merupakan satu inisiatif anjuran Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare (M) Sdn. Bhd. (Baxter Healthcare) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai PD sebagai pilihan rawatan untuk penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) melalui penganjuran pelbagai aktiviti pendidikan dan penglibatan awam.
Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat Malaysia terutama pesakit mengenai penyakit buah pinggang dan ketersediaan PD sebagai pilihan rawatan yang menawarkan lebih banyak kebebasan, fleksibiliti dan mobiliti kepada pesakit. Pada masa yang sama, kempen ini juga ingin mengenengahkan bahawa CKD dan ESRD boleh ditangani dengan mengamalkan pengurusan dan kawalan penyakit yang sewajarnya agar pesakit dapat terus menjalani kehidupan yang normal dan aktif.
"MSN percaya bahawa pendidikan adalah elemen penting dalam memahami penyakit buah pinggang. Rawatan yang sesuai penting dalam membantu pesakit menguruskan keadaan mereka," ujar Presiden MSN, Dr. Wan Jazilah Wan Ismail.
CKD ialah keadaan yang dicirikan sebagai pengurangan fungsi buah pinggang secara berterusan, kehadiran struktur atau jumlah protein abnormal dalam air kencing selama tiga bulan atau lebih.
Apabila buah pinggang gagal berfungsi secara kekal, ia dikenali sebagai ESRD, satu keadaan yang tidak boleh diterbalikkan.
"ESRD ialah salah satu potensi akibat CKD yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang yang menelan belanja besar. Kekerapan ESRD di Malaysia meningkat setiap tahun dan pada tahun 2012, dianggarkan 28,590 pesakit yang menjalani dialisis.
"Pesakit buah pinggang perlu tahu tentang faktor-faktor risiko dan pengurusan penyakit bagi memperlahankan progres CKD," jelas Ketua Jabatan dan Penasihat Nasional, Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.
Rawatan terbaik
Di Malaysia, kurang daripada satu peratus pesakit ESRD yang menerima pemindahan buah pinggang. Kaedah itu dianggap sebagai rawatan terbaik manakala selebihnya dirawat dengan dialisis.
Daripada jumlah pesakit itu, hanya lapan peratus pesakit dirawat dengan PD ambulatori berterusan (CAPD). Berbanding jenis dialisis lain, PD memberikan keputusan klinikal yang sama atau lebih baik di samping kebebasan yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan kepuasan pesakit.
"Pengambilan PD di negara ini tidak begitu tinggi kerana orang ramai dan kebanyakan pesakit tidak menyedari mengenainya.
"Kajian menunjukkan bahawa PD bukan sahaja menjimatkan kos, malah ia juga mampu memberikan impak positif kepada kehidupan pesakit, meningkatkan mobiliti lantas membolehkan mereka bekerja atau meneruskan rutin harian masing-masing," tambah Ghazali.

Ketenangan hidup di Kota Nabi

Posted: 20 Sep 2013 12:18 AM PDT


MAKAM Rasulullah SAW di Masjid Nabawi menjadi lokasi yang sering dilawati jemaah haji dan umrah.


SALAM dari Madinah al-Munawarrah. Hampir tiga tahun kami sekeluarga bermukim di sini. Ia nikmat Allah SWT yang tidak terduga untuk berada hampir dengan salah satu masjid yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat.
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidak disyariatkan mengadakan perjalanan (untuk tujuan beribadat) kecuali kepada tiga masjid: Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Peluang berada di Madinah ini dianugerah Allah melalui tawaran berkhidmat sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah, Madinah. Tentu sekali saya tidak pernah menduga untuk berkhidmat di universiti ini setelah hampir 24 tahun bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ia kehidupan yang sangat berbeza. Pertama, di hadapan saya terdiri daripada anak-anak muda berketurunan Arab yang 100 peratus merupakan rakyat Arab Saudi. Kesemuanya lelaki. Pelajar wanita diasingkan di bangunan mereka sendiri.
Pensyarah lelaki dibenarkan memberi kuliah kepada pelajar wanita tetapi hanya menggunakan kaedah telesidang. Ia adalah kemudahan video yang memaparkan wajah pensyarah dan persembahan nota atau catatan yang saya lakukan ketika memberi penerangan tambahan.
Mereka boleh melihat wajah pensyarah dan tidak sebaliknya. Namun demikian, kami masih boleh berinteraksi secara langsung tanpa mengetahui bahasa tubuh pelajar.
Masya Allah .... Subhanallah ... Allahu Akbar. Hubungan fizikal saya dengan siswi-siswi ini hanyalah melalui pembantu pensyarah wanita yang menguruskan soal kedatangan pelajar, ujian dan peperiksaan serta mengendalikan tutorial.
Saya teruja dan menghargai pengalaman berbeza ini. Ia merupakan satu tugas mudah tanpa perlu memikirkan sama ada mereka mengantuk atau tidak, sibuk melayan mesej pesanan ringkas atau bergurau senda sesama sendiri.
Kedua, tingkah laku pelajar-pelajar siswa sangat berbeza berbanding dengan pelajar-pelajar saya semasa berada di UiTM. Mereka sangat aktif. Jika berbincang sesama mereka seolah-olah sedang berlaku peperangan besar.
Mereka sangat berterus-terang sehingga ada masanya melangkaui logik akal. Saya ketawa apabila ada yang meminta markah 100 atau 90 peratus walaupun ada soalan yang tidak berjawab.

MASJID Nabawi menjadi salah satu lambang syiar Islam yang terkenal di seluruh dunia.


Sebagai pensyarah, saya juga belajar untuk tidak perlu berlapik-lapik dalam menyampaikan sesuatu. Itulah sedikit kisah saya, universiti dan siswa-siswi yang membolehkan saya berada di Madinah.
Rutin harian
Namun, hati kami sangat damai kerana hampir setiap hari dibenarkan berada di Masjid Nabawi (Haram).
Rutin saya sangat mudah. Pagi-pagi lagi saya sudah berada di Haram untuk menunaikan solat subuh. Kemudian beredar ke pejabat untuk menyampaikan kuliah yang kebiasaannya berakhir sebelum pukul 12 tengah hari. Setiap pensyarah hanya perlu mengajar lebih kurang enam jam seminggu.
Saya memastikan agar dapat menunaikan solat zuhur di Haram ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Kemudian, seisi keluarga akan berada di Masjid Nabawi sebelum solat asar sehingga berakhirnya solat isyak.
Selepas solat asar, anak-anak saya akan mempelajari dan menghafal al-Quran yang dikendalikan oleh pihak pengurusan Masjid Nabawi.
Kami juga menghadiri kelas-kelas yang sama pada sebelah malam selepas solat maghrib bersama sheikh atau abla (guru) yang bertugas sepenuh masa. Hakikatnya, hampir 25 peratus masa dihabiskan dalam Masjid Nabawi. Ia berlalu tanpa kami sedari.
Hampir setiap hari juga saya menyampaikan tazkirah, kuliah atau ceramah kepada jemaah haji dan umrah yang melaksanakan ibadat ziarah di sini. Jemputan ini kebiasaannya dipanjangkan oleh petugas-petugas Lembaga Tabung Haji, pengendali pakej umrah dan individu yang mengetahui kewujudan saya di Madinah.
Jemputan menyampaikan tazkirah ini sangat mudah. Pertama, saya mengenakan syarat yang perlu dipatuhi penganjur iaitu tidak melibatkan sebarang bayaran atau memberi upah kepada saya. Tazkirah ini percuma dan dilakukan semata-mata kerana Allah.
Kedua, mereka yang mendengar ceramah ini juga tidak boleh dikenakan sebarang bayaran. Hanya kelapangan masa yang menentukan sama ada permohonan berceramah ini dapat saya patuhi ataupun tidak. Sungguh, saya terasa damai di hati.

UNIVERSITI Taibah di Madinah tempat Muhd. Kamil berkhidmat sebagai pensyarah perakaunan.


Kemudahan umrah
Allah sentiasa memberi pelbagai peluang kepada hamba-hambanya. Ia berbeza-beza mengikut individu. Pada ketika ini, peluang berada di Madinah turut dipakejkan dengan kemudahan untuk menunaikan umrah. Kami tidak memerlukan visa umrah. Malah ia boleh dilakukan sepanjang masa kecuali pada musim haji. Itu pun untuk beberapa hari sahaja.
Peluang yang diberikan tidak akan menjadi milik sendiri jika ia dibiarkan berlalu tanpa diambil tindakan. Anugerah berada di Madinah pastinya akan berakhir.
Lalu kami memastikan agar berada di Mekah (Masjidil Haram) secara purata dua kali sebulan. Perjalanan hampir 900 kilometer ulang-alik Madinah dan Mekah adalah singkat berbanding dengan perjalanan lebih 7,000 kilometer dari Kuala Lumpur ke Mekah.
Benar, kami terasa damai kerana mampu berada di dua Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. InsyaAllah, jika kami pulang ke Malaysia dan menoleh ke belakang, pengalaman berada di sini akan terpahat dengan rasa puas yang tidak terhingga.
Hakikatnya, kita mempunyai pelbagai peluang yang perlu direbut. Allah memberi kita kesihatan, maka rebutlah peluang untuk solat berjemaah di masjid tidak kira sama ada kita berada di Mekah, Madinah atau Malaysia. Malah pada usia muda hendaklah diperbanyakkan amal ibadat lain seperti bangun malam, bertahajud dan bermunajat agar kita tidak akan menyesali dengan tempoh perjalanan kehidupan terdahulu.
Terima kasih Kosmo! kerana memberi peluang untuk saya berinteraksi dengan khalayak pembaca. Sambutlah salam perkenalan daripada saya di Madinah. Jumpa lagi pada minggu hadapan. Kami mohon keampunanMu Ya Allah.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines