Selasa, 3 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Johan As'ari Bertegas Hubungan Dengan Shila Amzah Sekadar Teman Biasa

Posted: 01 Sep 2013 11:01 PM PDT

Shila dan Johan menegaskan hubungan mereka hanya sekadar rakan biasa sahaja.
SUBANG JAYA: Pelakon Johan As'ari menegaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan penyanyi yang sedang mencipta nama di Shanghai, China iaitu Shila Amzah seperti mana digembar-gemburkan sebelum ini.
Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As'ari, 27, berkata, kemesraan itu hanya sekadar teman biasa tambahan pula ibu-bapa mereka saling mengenali di antara satu sama lain.
"Tiada apa yang istimewa di antara kami kerana saya dan Shila hanya sekadar teman biasa dan tidak lebih daripada itu.
"Saya ada bertemu dengannya di beberapa buah majlis selain saya bertandang ke rumahnya untuk beraya dan dia pula membalas lawatan itu ke rumah saya dan ditemani oleh ibu kami.
"Keluarga kami saling mengenali antara satu sama lain sudah lama dan sering berjumpa tanpa kehadiran kami," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka WireFame Entertainment Sdn Bhd di sini pada malam Ahad.
Tambah Johan, berita itu mendapat perhatian disebabkan mereka tidak mempunyai sebarang komitmen dalam perhubungan selain status sebagai artis menyebabkan ramai membuat spekulasi.
Tentang perkhabaran dia bakal bertunang dengan seorang petugas stesen televisyen pada penghujung tahun ini, Johan berkata, ia cuma perancangannya dan hubungan dengan wanita dimaksudkan sekadar teman biasa.
Shila dan Johan bergambar kenang-kenangan bersama ibu masing-masing yang juga rapat sebagai kawan.
Jelas Johan, dia masih solo dan tidak mempunyai kekasih namun masih berharap dapat merealisasikan hasrat untuk bertunang.
"Saya memang merancang untuk bertunang pada akhir tahun ini tetapi siapakah wanita tersebut saya sendiri belum tahu. Ia cuma perancangan dan saya berharap ia akan terlaksana," katanya.
Johan menambah, isu kononnya Shila menjadi perampas dalam hubungannya dengan wanita berkenaan adalah tidak benar sama sekali dan berharap soal itu tidak dibangkitkan lagi.
"Saya faham orang cuba menyalahkan Shila dengan mengatakan dia perampas hanya kerana kami rapat sebagai kawan tetapi isu itu tidak timbul kerana saya dan wanita berkenaan juga hanya rakan biasa.
"Kenyataan saya ingin bertunang hujung tahun ini bukan bermakna saya akan bertunang dengan wanita berkenaan kerana saya sendiri belum tahu siapa jodoh saya," katanya.
Sementara itu, Shila yang turut ditemui pada majlis sama turut senada dengan Johan dan menegaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan biasa.
Jelas Shila, buat masa ini dia langsung tidak memikirkan soal cinta kerana ingin menumpukan perhatian penuh kepada kerjayanya yang sedang berkembang di China.
"Seperti mana saya pernah beritahu sebelum ini, saya serahkan jodoh kepada Allah. Jika jodoh saya sudah sampai dan orang itu pula masuk meminang saya terima.
"Tetapi biarlah orang yang merisik itu di kalangan orang yang saya kenali dan direstui oleh ibu bapa saya," katanya.

Ana Dahlia Nafi Ada Kekasih Baharu

Posted: 01 Sep 2013 11:00 PM PDT

Ana mengakui masih belum menemui pengganti selepas bercerai hampir setahun lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia menyangkal dakwaan kononnya dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki selepas hampir setahun bercerai dengan Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz.
Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 30, berkata, semenjak bercerai dia masih belum menemui sebarang pengganti dan tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu buat masa ini.
"Saya belum ada pengganti dan cerita yang keluar mengenai saya itu semuanya tidak benar," katanya kepada mStar Online.
Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz yang juga anak kepada tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan pada 11 Disember 2011 sebelum bercerai hanya selepas 11 bulan berkahwin.
Dalam pada itu, Ana berkata, dia merasakan sekarang bukan masa yang sesuai untuknya kembali menjalinkan hubungan cinta sebaliknya mahu memberikan fokus kepada karier lakonan yang semakin berkembang.
Jelas Ana, dia bukan serik untuk bercinta dan berkahwin lagi tetapi meletakkan soal itu kepada jodoh dan ketentuan Allah buat masa ini.
"Serik itu tidak tetapi ada benda lain yang menjadi keutamaan saya buat masa sekarang dan soal jodoh itu biarlah Allah yang menentukan," jelasnya.
Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Ana berkata dia kini sedang sibuk menyiapkan beberapa projek drama dan mengakui jadualnya semakin sibuk.

Sharifah Amani Anggap Bront Palarae Seperti Abang

Posted: 01 Sep 2013 10:58 PM PDT

Sharifah Amani memberitahu hubungan akrabnya dengan Bront Palarae seperti adik beradik.
PETALING JAYA: Aktres Sharifah Amani hanya menganggap pelakon Bront Palarae sebagai seorang abang ekoran hubungan baik yang terjalin di antara mereka sejak sekian lama.
Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 27, berkata, keserasian dan keakraban mereka dalam bersahabat bagaimanapun telah disalah ertikan oleh sesetengah pihak yang mengatakan mereka bercinta.
"Kami serasi sebagai kawan dan gosip mengatakan kami bercinta sebelum ini tidak benar kerana hubungan yang wujud di antara kami sudah seperti abang dengan adik.
"Saya begitu menghormatinya yang saya sifatkan sebagai seorang yang cukup 'sporting' dan jujur. Kami mempunyai pelbagai persamaan yang menyebabkan hubungan kawan itu kekal terjalin sehingga ke hari ini," ujarnya kepada mStar Online.
Amani dan Bront bakal muncul dalam filem arahan Nam Ron bertajuk Psiko Pencuri Hati bermula 5 September ini.
Bront Palarae.
Dalam perkembangan sama, Amani berkata, dia tidak berasa kekok apabila terpaksa melakonkan babak romantik bersama Bront dalam filem berkenaan walaupun aktor itu mengakui berasa janggal.
Jelas Amani, sebagai seorang pelakon dia perlu bersikap profesional dan menjayakan watak diberikan walaupun pasangannya itu adalah rakan baiknya sendiri.
"Saya faham kenapa Bront rasa janggal kerana kami sangat rapat sebagai sahabat tetapi akhirnya kami berjaya melakukannya kerana itu adalah tanggungjawab kami sebagai," katanya.
Sementara itu, Amani berkata, dia sangat bertuah dapat berlakon dibawah arahan Nam Ron kerana sentiasa mengagumi semangat lelaki itu yang tidak pernah berputus asa dalam setiap perkara dilakukannya.
Malah kata Amani, Nam Ron juga adalah seorang pengarah yang sentiasa mengambil pandangan selain memberi kebebasan kepada para pelakon untuk menghidupkan watak diberikan.
"Kami tidak menerima skrip ketika bersetuju untuk berlakon dalam filem ini dan proses itu adalah daripada sumbangan idea dan kreativiti para pelakon.
"Dari situ juga kita dapat mempelajari sesuatu yang baharu dalam menjadikan kita pelakon yang baik," katanya.

Hans Isaac Fokus Terbit Teater

Posted: 01 Sep 2013 10:57 PM PDT

Hans mahu memberikan fokus kepada penerbitan teater selepas ini.
PETALING JAYA: Penerbit dan pelakon Hans Isaac akan memberi fokus kepada penerbitan teater selepas filem arahannya iaitu Lemak Kampung Santan (LKS) gagal mendapat sambutan penonton ketika ia ditayangkan di pawagam pada 1 Syawal lalu.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, bidang teater adalah lebih selamat selain tidak merugikan namun tidak menolak akan menerbitkan filem pada masa akan datang.
"Selepas LKS gagal mendapat sambutan daripada penonton saya merasakan sudah tiba masanya saya memberi fokus kepada penerbitan teater sahaja selepas ini kerana ia lebih selamat dan tidak merugikan.
"Bagaimanapun itu tidak bererti saya tidak akan langsung membuat filem cuma ia bukan lagi keutamaan saya buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Filem lakonan Neelofa, Natasha Hudson, Nadia Mustapha, Nadia Heng, Adlin Aman Ramli, Mat Over, Ridzuan Hashim, Datuk Jalaludin Hassan dan Harith Iskandar itu hanya berjaya mengutip RM100,000 sepanjang dua minggu ia ditayangkan.
Dalam pada itu, Hans berkata, dia tidak kecewa apabila filem itu gagal mendapat sambutan kerana mengakui industri perfileman semakin berubah sejak kebelakangan ini selain kutipan merosot.
Malah kata Hans, perkara itu terjadi bukan sahaja kepada filemnya tetapi penggiat lain turut menerima tempias sama namun sebagai penerbit dia harus mengambil risiko tersebut.
"Sepanjang tahun ini tidak banyak filem mendapat kutipan memberangsangkan dan bidang ini sudah menjadi semakin risiko kerana landskapnya sudah berubah selain budaya menonton semakin hilang dikalangan penonton.
"Sebelum ini ada yang menasihati saya supaya tidak buat filem LKS tetapi saya tetap ambil risiko dan ternyata perjuangan saya tidak mendapat sokongan penonton yang sukar diduga selera mereka," ujarnya.
Hans sebelum ini pernah memberitahu telah mengeluarkan kos tinggi iaitu sebanyak RM750,000 bagi mempromosikan filem itu yang diterbitkan syarikat miliknya, Tall Order Production.

Kembara seni Shila Amzah

Posted: 01 Sep 2013 10:56 PM PDT


  • Shila Amzah Shila Amzah
BUKAN baru semalam dia menyelusuri langkah sebagai anak seni. Bukan sekali dia terjatuh, namun gadis berusia 23 tahun ini tetap bangun dan melangkah, sama seperti 12 tahun yang lalu.

Ternyata kesabaran anak kelahiran Kuala Lumpur ini dengan pimpinan bapanya, Amir Amzah atau ND Lala dalam membuktikan bakatnya, berbaloi.

Kini Shila Amzah boleh tersenyum. Karier nyanyiannya bukan sahaja berkembang di Malaysia, bahkan dia cukup dikenali di negara Tembok Besar ini.

Justeru demi kerjaya yang baru berkembang, Shila sanggup mengetepikan masa bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menetap Shanghai, China bersama pembantu peribadinya.

Biarpun sukar pada mulanya apatah lagi kerana  perbezaan bahasa pertuturan, namun Shila tidak melatah.

"Saya akui memang penat apatah lagi kadangkala saya akan berulang alik dari Kuala Lumpur ke Shanghai dan sebaliknya untuk tempoh yang pendek.

"Tapi inilah rezeki saya, jadi kepenatan itu saya tolak ke tepi dan saya memang komited dengan kerja saya.

"Saya rasa cukup bertuah kerana dapat membina karier di China. Ini kerana di sini bukan sahaja muziknya yang menjadi perhatian bahkan dari segi ekonomi, China antara negara yang berada di depan," ujarnya ketika dihubungi Zass.

Di tebak mengenai stigma sesetengah pihak bahawa 'penghijrahannya' ke Shanghai kerana membawa hati yang luka, Shila berkata dia tidak ambil pusing dengan perkara itu.
"Saya tidak kisah dengan apa yang orang nak cakap mengenai saya, pokok pangkal saya tahu apa yang saya buat.

"Ini termasuklah dengan kata-kata mereka yang mengatakan saya menghafal skrip ketika ditemubual dalam rancangan China Idol baru-baru ini. Pihak-pihak tersebut sepatutnya berfikiran positif dan bukannya menganggap segalanya negatif.

"Saya akui saya bukan terlalu fasih bercakap bahasa Mandarin. Jadi mana-mana perkataan yang saya tak reti sebut, saya akan ganti dengan perkataan Inggeris. Saya juga beruntung kerana kawan-kawan saya di sana banyak membantu," katanya.

Jadual padat

Shila yang kini berada di Kuala Lumpur sehingga 7 September ini bagi menyiapkan muzik video terbarunya mengakui jadualnya di Shanghai cukup padat dan ada sahaja aktiviti yang sudah diaturkan buatnya.

"Setiap hari saya akan terlibat dengan kelas nyanyian dan komunikasi jika tidak terlibat dengan persembahan," katanya.

Mengakui mengimpikan untuk mengadakan konsert solo, Shila berkata segala perbincangan masih dilakukan dan kini dia perlu fokus dengan pelancaran album terbarunya yang akan dilancarkan bulan ini.

"Album ini mengandungi lima lagu baru antaranya Masih Aku Cinta, Cinta Hati dan lagu Patah Seribu dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Mandarin.

"Namun buat masa ini tarikh dan lokasi pelancaran masih dalam perbincangan lagi," jelasnya.

Cinta hati Shila

Dalam pada menghadapi kesibukan kerja di Shanghai, Shila tetap tidak terlepas daripada menghadapi gosip cinta di Malaysia apabila ada sahaja lelaki yang dikaitkan dengannya.

Apatah lagi, Shila kini sudah kembali sendiri selepas episod pilu yang dilaluinya dengan aktor, Sharnaaz Ahmad akhir tahun lalu.

Terbaru, Shila dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan aktor Johan Asa'ari ekoran daripada sekeping gambar mereka duduk bersebelahan.

"Mereka tahu saya dengan Johan saja, tapi dengan naib johan dan tempat ketiga mereka tak tahu (ketawa). Hubungan kami sebenarnya tidak lebih daripada seorang kawan.

"Tapi bagi saya sendiri fokus utama saya adalah karier dan tidak terfikir untuk mencari kekasih. Selagi saya belum berkahwin, maknanya saya tiada hubungan serius dengan mana-mana lelaki," jelasnya yang bersyukur tidak menghadapi sebarang gosip di Shanghai.

Sasaran pengkritik

Bukan sahaja kisah cinta yang menjadi perhatian, Shila juga kerap menjadi sasaran 'pengkritik' pengikut laman Instagramnya mengenai caranya berpakaian dan bergambar.

Tidak mahu cepat melatah dengan segala kritikan pihak yang mengikuti perkembangannya, Shila berkata, dia hanya mengambil pendekatan untuk berdiam diri.
"Tentang berpakaian saya hanya mahu jadi diri  saya sendiri. Saya mahu berpakaian mengikut umur saya sendiri.

"Sebelum ini saya rasa berpakaian seperti lebih tua dari usia. Bukan tidak ambil kisah dengan apa orang kata, tapi orang lain tidak kenal saya dan saya hanya mahu jadi diri sendiri," akhirinya.

Dua kali gagal dalam AF, Fida enggan kecewa lagi

Posted: 01 Sep 2013 10:55 PM PDT

FIDA berharap pada kali ini percubaannya untuk menjadi salah seorang peserta AF berjaya.


PERCUBAAN pelakon dan penyanyi Rafidah Ibrahim atau Fida yang telah menyertai ujibakat program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) serta layak ke peringkat seterusnya menimbulkan persepsi ramai pihak.
Ada yang menyokong usahanya itu untuk menyertai program berkenaan. Tidak kurang juga yang memandang sinis dan beranggapan artis yang sudah ada nama sepertinya tidak wajar terlibat.
Ketika bertemunya dalam majlis rumah terbuka anjuran KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini, Fida menyatakan beliau mempunyai alasan tersendiri untuk kembali menguji bakat menyertai AF dan meletakkan harapan yang tinggi supaya namanya terpilih untuk konsert Prelude Top 24 pada 6 September ini.
Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Apo Kono Eh Jang itu, keinginannya untuk menyertai AF 2013 bukan semata-mata kerana populariti program berkenaan.
Kosmo! : Rasanya masih ramai yang tertanya-tanya tentang penyertaan Fida dalam AF 2013. Apakah alasan utama anda untuk menyertainya?
Fida: Bagi saya, AF bukanlah sekadar sebuah rancangan hiburan semata-mata kerana ia boleh dijadikan platform menimba lebih banyak lagi ilmu untuk menjadi seorang anak seni yang bagus.
Biarpun sudah ada nama dan semakin dikenali ramai dalam industri hiburan, saya rasa ilmu yang ada masih belum mencukupi. Jadi, saya akan gunakan pentas AF 2013 ini dengan sebaik mungkin sekiranya terpilih.
Adakah anda pernah menyertai uji bakat dalam mana-mana program realiti hiburan?
Ya. Sebelum ini saya pernah mencuba nasib melalui program realiti One In A Million dan kalau ada yang terlupa, saya telah dua kali menyertai AF iaitu menerusi AF 6 dan AF 7. Namun begitu, saya telah tersingkir pada peringkat awal lagi. Dan, secara jujurnya, saya mengaku pernah merasai kekecewaan apabila tidak layak menyertai AF dahulu. Ini kerana, sebelum menyertai AF 6, saya telah membuat persiapan selama dua bulan iaitu belajar vokal, namun saya tersingkir awal.
FIDA mengaku menyarung pakaian ketat ketika menjadi duta sebuah produk kecantikan.


Keputusan peserta yang layak ke peringkat prelude masih lagi belum diumumkan oleh pihak Astro. Adakah anda mempunyai keyakinan yang tinggi untuk terpilih?
Saya tidak mahu terlalu yakin untuk terpilih, tetapi secara jujurnya saya memang meletakkan harapan yang tinggi. Saya enggan dikecewakan lagi setelah gagal sebanyak dua kali dahulu. Kalau saya terpilih, peluang yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin dan komitmen 100 peratus akan diberikan. Lagipun sudah lama saya menantikan peluang sebegini dan rasa rugi pula kalau saya tidak fokus.
Bagaimanakah pula dengan persediaan ketika menjalani uji bakat AF 2013?
Tidak banyak persediaan yang dilakukan, cuma saya lebih banyak bertanya kepada ibu untuk meminta pandangannya. Saya gembira kerana ibu merupakan individu yang paling banyak memberikan sokongan.
Apakah harapan anda sekiranya dipilih sebagai salah seorang peserta?
Sudah tentu saya berharap supaya segala kelemahan yang ada dalam diri dapat diperbaiki lagi menerusi ilmu yang dicurahkan oleh tenaga-tenaga pengajar yang telah dilantik.
Selama ini saya sudah mendapat pelbagai komen sehingga ada yang melabelkan saya sebagai seorang pelakon 'kayu'. Selain mencungkil bakat-bakat baharu, AF juga mampu menjadi medan terbaik buat artis seperti saya untuk pergi lebih jauh.
Sejak kebelakangan ini Fida dilihat semakin berani dalam berpenampilan sehingga mengundang kritikan ramai. Bagaimanakah hala tuju fesyen Fida sekarang?
Tidak dinafikan sekarang saya memang suka mencuba sesuatu fesyen yang baharu. Mungkin ada fesyen yang ditampilkan itu kurang sesuai dengan imej saya yang bertudung.
Berkenaan dengan gambar yang tersebar menampilkan saya berpakaian ketat pula, ia sebenarnya dilakukan untuk satu sesi fotografi sebuah produk pelangsingan badan jenama Emorra dan saya dilantik sebagai duta produk berkenaan.
Saya mengaku pakaian saya itu agak ketat, namun berharap agar tidak ada pihak yang salah sangka atau memberikan persepsi negatif.

Agnes Monica Lebar Karier Di Amerika Syarikat

Posted: 01 Sep 2013 10:54 PM PDT


Agnes bakal melancarkan album sulungnya yang diterbitkan di Amerika Syarikat.
PENYANYI dan pelakon terkenal Indonesia iaitu Agnes Monica bakal melebarkan karier muziknya di Amerika Syarikat dan dilaporkan akan bekerjasama dengan penerbit terkenal Russell Simmons untuk albumnya nanti.
Agnes, 28, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkhabaran terbaharu itu dan meminta supaya peminat bersabar tentang tarikh sebenar pelancaran album sulung antarabangsanya.
"Bukan saya tidak mahu memberitahu tentang album tersebut tetapi biarlah pihak pengurusan di Amerika yang membuat pengumuman itu," katanya.
Tambah Agnes, pihak pengurusannya di sana juga telah merangka pelbagai aktiviti promosi dan bertemu media bagi memperkenalkannya dikalangan peminat di sana sebelum melancarkan album tersebut.
Dalam perkembangan sama, selain dikhabarkan telah merakamkan lagu bersama beberapa penerbit terkenal termasuk Timberland, Agnes juga dilaporkan akan bekerjasama dengan bekas koreografer Lady Gaga untuk persembahan di sana nanti.
Dalam pada itu, Agnes telah pun melancarkan sebuah album berbahasa Inggeris secara digital untuk para peminatnya di Indonesia berjudul Agnes MO.
Jelas Agnes, album tersebut dilancarkan bagi membiasakan peminatnya dengan lagu-lagu bahasa tersebut sebelum dia muncul dengan album antarabangsanya.
"Saya bukan lupa diri dan tidak bangga dengan bahasa Indonesia tetapi ia untuk membiasakan peminat untuk mendengar saya menyanyi dalam bahasa Inggeris," katanya.

Ikon wanita moden Ratu Rania

Posted: 01 Sep 2013 10:53 PM PDT


  • Ikon wanita moden Ratu Rania Barisan finalis bersama barisan juri, Rizalman Ibrahim dan Ziana Zain serta pengacara, Dynas Mokhtar
SEIRING dengan perkembangan industri seni yang semakin rancak membangun, stesen televisyen swasta, Astro, sentiasa komited dalam menyusun rancangan istimewa untuk tontonan masyarakat.

Sentiasa tampil dengan idea yang segar dan moden, kini Astro dengan kerjasama produk kecantikan, Safi Rania membawakan program realiti terbaru dalam mencari ikon wanita moden masa kini, Ratu Rania.

Terbuka kepada semua wanita Malaysia berusia 30 hingga 45 tahun, Ratu Rania ialah program realiti terbaru untuk mencari wajah baru Safi Rania.

Setelah menjelajah ke empat lokasi terpilih termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan dan Shah Alam, akhirnya 10 peserta disenaraikan untuk menyertai musim pertama ini.

Mereka adalah, Aida dari negeri Kelantan, Bee (Kelantan), Eza (Sarawak), Lilly (Johor), Nasyiha (Kedah), Nurul (Pahang), Qurnia (Selangor), Sally (Johor), Siti (Kuala Lumpur) dan Watie (Johor).

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris, program realiti ini merupakan satu percaturan baru di Astro untuk terus menarik minat penonton.

"Atas usaha mengukuhkan lagi kedudukan Astro Prima sebagai saluran keluarga yang menghiburkan, kami membawa program ini sebagai testimoni baru.

"Umum mengetahui, setipa penonton berhak menikmati hiburan yang diminati dan kini sudah tiba masanya pula kita menyediakan platform kepada golongan penonton yang menggemari genre program pencarian bakat berkonsep realiti.

"Menerusi program ini, mereka bukan sahaja berpeluang memperlihatkan bakat yang ada, malah platform ini pasti meningkatkan daya keyakinan, kesungguhan serta keazaman sambil berhibur.

"Walaupun ianya masih awal, namun saya yakin program ini mampu mencuri perhatian ramai sekali gus mendapat sambutan yang menggalakkan," katanya.

Program realiti ini bakal bersiaran pada 4 September ini, setiap Rabu, jam 9 malam untuk dua episod pertama dan jam 9.30 malam untuk episod yang seterusnya di saluran Astro Prima.

Bersiaran selama 10 minggu, peserta harus memperlihatkan pesona ratu ideal menerusi cabaran yang bakal menguji kekuatan fizikal dan mental serta keazaman untuk menjadi sumber inspirasi bersama.

Nasib peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan oleh pihak juri mengikut tiga kriteria utama termasuk keyakinan diri, pengetahuan dan personaliti.

Juara Ratu Rania bakal membawa pulang hadiah utama yang bernilai sehingga RM50,000.

Program yang julung kali diadakan ini turut melantik tiga juri tetap iaitu Ziana Zain, Rozita Che Wan dan Rizalman Ibrahim. Sementara itu, Dynas Mokhtar pula diberi tanggungjawab sebagai pengacara.

Platform memperkasa wanita

Menurut Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman, Ratu Rania merupakan platform terbaik Safi untuk memperkasakan wanita mengenai pentingnya penjagaan kulit wajah.

Katanya, penjagaan wajah bagi golongan wanita berusia juga perlu dititikberatkan kerana ia merupakan nadi dan kunci keyakinan setiap wanita.

"Sebagai peneraju inovasi kecantikan, program ini membawa kesedaran tentang antipenuaan dalam platform hiburan.

"Ia juga sekali gus membuatkan ia lebih dekat dengan wanita dan lebih mudah untuk difahami.

"Program ini juga umpama hadiah untuk wanita untuk membawa diri ke dimensi personaliti baru, berkeyakinan tinggi, semangat berkumpulan dan lebih dekat dengan pesona keayuan timur," katanya.

Utama penampilan

Sering dilantik sebagai juri tetap untuk program realiti nyanyian, selebriti cantik, Ziana Zain, amat menitik beratkan soal penampilan.

Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah ini, penampilan luaran memainkan peranan penting untuk membentuk keyakinan dan kecantikan dalaman.

"Perkara pertama yang akan saya nilai dahulu ialah penampilan. Kita mahukan wanita yang boleh diangkat sebagai gelaran ratu. Berpengetahuan dan berkeyakinan sahaja tidak cukup kalau tak bijak dalam penampilan.

"Buat masa ini, penampilan mereka masih tidak konsisten. Ada ketika, mereka bijak mengayakan pakaian, ada kalanya tak kena.

"Namun, saya sendiri tak boleh nak putuskan siapa yang hebat dan siapa yang bakal bertahan lama. Semuanya terletak pada nasib dan rezeki kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri," katanya yang juga duta kepada produk, Safi Rania Diamond.

Lori muatan durian bertembung treler

Posted: 01 Sep 2013 10:15 PM PDT


  • Lori melekat pada treler Keadaan lori muatan durian dipandu Sukiman selepas bertembung dengan treler.
SETIU - Seorang pemandu lori satu tan membawa muatan durian maut setelah kenderaan dipandunya bertembung sebuah treler pengangkut kenderaan di Kilometer 37.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Sungai Tong), di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Sukiman Abdullah, 40, berasal dari Paka, Dungun, bukan sahaja cedera parah di bahagian kepala tetapi turut tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler pengangkut kenderaan dipandu Zulkeflly Abd Latib, 44, berasal dari Pulau Pinang, hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Treler tersebut dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu dan sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu hilang kawalan akibat jalan licin. Kenderaan ini kemudiannya merempuh pengadang jalan di sebelah kiri sebelum masuk ke laluan
bertentangan.

"Akibatnya treler ini bertembung lori dipandu mangsa. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala serta tersepit di tempat duduknya," katanya.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd Izani Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.27 petang dan bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bersama kekuatan enam anggota.

"Tiba di lokasi, didapati treler terbabit seolah-olah melekat dengan bahagian hadapan lori satu tan dinaiki mangsa serta melintang jalan hingga tidak boleh dilalui kenderaan. Masa diambil untuk keluarkan mangsa dari kenderaan dipandunya yang remuk ialah kira-kira 20 minit," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lalu lintas turut sesak sejauh beberapa kilometer di kedua-dua arah hingga menyebabkan pemandu keluar dari kenderaan untuk berehat di kaki lima jalan susulan perjalanan tidak dapat diteruskan.

Selain itu ratusan durian juga bertaburan.

Gembira bersalin anak ke-13 pada hari merdeka

Posted: 01 Sep 2013 10:13 PM PDT


  • Gembira bersalin anak ke-13 pada hari merdeka Rohana (tiga kiri) dan Noor Aini (kiri) bersama bayi mereka diraikan Dewanita yang diketuai Khazumi (dua kiri) dalam sambutan bayi merdeka semalam
KOTA BHARU - Seorang suri rumah gembira dengan kelahiran anaknya yang ke-13 awal pagi semalam pada sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56.

Rohana Abdullah, 44, dari Pasir Tumboh, melahirkan bayi perempuan bernama Siti Aisyah Mohd Saudi seberat 3.1 Kilogram, pada jam 6.11 pagi semalam, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) secara normal.

Sebelum ini, dia mempunyai lapan anak lelaki dan empat perempuan dengan yang paling tua berumur 25 tahun. Pada masa sama, Rohana juga mempunyai dua cucu masing-masing berusia dua tahun dan lapan bulan.

Rohana berkata, dia sememangnya mengetahui anak bongsunya itu akan dilahirkan pada tarikh keramat rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan apabila dimaklumkan oleh doktor sebelum ini.

"Saya bersyukur dan cukup gembira apabila melahirkan Aisyah pada 31 Ogos, tarikh ini cukup istimewa dan cukup bersejarah bukan saja untuk kami, tetapi juga negara.

"Nombor 13 juga cukup unik apabila Aisyah dilahirkan pada 2013 dan pada masa sama dia juga adalah anak ke-13 kami hasil perkahwinan bersama suami, Mohd Saudi Abdul Ghani, 49," katanya selepas menerima sumbangan daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kelantan (Dewanita) di Wad Bersalin, HRPZ II, semalam.

Sumbangan Dewanita Kelantan itu disampaikan pengerusinya iaitu Datin Khazuni Othman. Sebanyak 80 hamper barangan bayi diserahkan kepada bayi yang terdapat di HRPZ II.

Mengulas mengenai cabaran melahirkan dan membela anak yang ramai, Rohana berkata, tanggungjawab berkenaan dikongsi bersama suaminya yang bekerja sendiri.

Sementara itu, Noor Aini Mohd Nor, 26, dari Kampung Telok Kitang, Sabak, tidak menyangka bayinya yang masih belum diberikan nama dilahirkan pada jam 2.29 pagi, ketika rakyat Malaysia meraikan ambang merdeka.

Ibu kepada anak dua itu berkata, berdasarkan jangkaan awal, anak perempuannya itu sepatutnya dilahirkan pada Ahad lalu.

"Apa pun Alhamdulillah saya selamat melahirkannya dengan berat 3.3 Kilogram, ini adalah anak kedua selepas yang sulung berusia lima tahun," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII, Zaid Ahmad berkata, bermula tengah malam kelmarin sehingga jam 11 pati semalam, seramai 11 bayi merdeka dilahirkan di hospital tersebut.

Darussyifa’ Kelantan akui ramai kena sihir

Posted: 01 Sep 2013 10:12 PM PDT


  • Ramai kena sihir Sebahagian perawat Darussyifa' Kelantan hadir semasa sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri diadakan di Pasir Tumboh, semalam.
KOTA BHARU - Darussyifa' Kelantan mengakui ramai kalangan masyarakat di negeri ini mengalami sihir dan saka berdasarkan rekod perubatan dan perawatan yang dijalankan sejak penubuhannya pada 2009 lalu.

Pengerusinya, Zaki Ya berkata, selain itu, ramai pesakitnya juga didapati menghadapi penyakit-penyakit lain termasuk barah, migrain, gaut, darah tinggi, kencing manis dan jantung.

"Sekarang kesedaran mendapatkan rawatan alternatif iaitu perubatan secara Islam sudah ada dalam kalangan masyarakyat kita.

"Berbanding dahulu, ramai yang mengalami kesakitan ini, namun mereka menahannya kerana tidak tahu cara untuk merawatnya dan hanya bergantung kepada perubatan tradisional (bomoh) semata-mata, namun dengan adanya Darussyifa', pelbagai penyakit Insya-ALLAH dapat disembuhkan," katanya kepada Sinar Harian semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kali Ketiga di Pasir Tumboh, semalam.

Beliau berkata, perkara tersebut dikenal pasti apabila boleh dikatakan setiap hari ada pesakit baru yang menghubunginya untuk mengetahui lokasi klinik-kilnik Darussyifa' di negeri ini.

Kata Zaki lagi, atas permintaan tersebut, pihaknya kini merancang untuk menambah masa rawatan yang mana sebelum ini beroperasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, 5 petang hingga 7 petang dan akan ditambah kepada masa 2 petang hingga 4 petang, selain pada sebelah waktu malam.

"Perancangan ini akan dilaksanakan selepas 160 perawat baru mendapatkan sijil (konvokesyen) pada Disember ini dan sekarang ini, kita mempunyai 75 perawat aktif daripada jumlah 282 perawat di seluruh Kelantan,"katanya.

Kantoi khalwat malam merdeka

Posted: 01 Sep 2013 10:09 PM PDT


  • Kantoi khalwat malam merdeka Haslinda bersama pasangan bukan Islam diperiksa oleh penguatkuasa agama.
SUNGAI PETANI - Seorang pelajar berusia 14 tahun antara yang ditahan bersama pasangan masing-masing ketika serbuan dijalankan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam Ops Merdeka kelmarin.

Pelajar tersebut yang dikenali Shahirah (bukan nama sebenar) berpakaian baju kurung merah ditahan pada jam 1 pagi bersama pasangannya yang memakai pakaian sedondon dalam sebuah bilik di hotel sekitar bandar ini.

Lebih berani, perbuatan terkutuk itu dilakukan pasangan terbabit yang hanya berjarak kira-kira tiga kilometer dari rumah Shahirah.

Pegawai Penguatkuasa Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, ketika pintu diketuk, pasangan itu mengambil masa 20 minit sebelum membuka pintu.
"Pintu hanya dibuka setelah anggota penguatkuasa beri amaran untuk pecahkan pintu," katanya.

Menurutnya, setelah disoal siasat mendapati, remaja perempuan masih di bawah umur dan bersekolah di tingkatan dua manakala remaja lelaki berusia 21 tahun.

Zaiferi berkata, hasil pemeriksaan turut menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ibu Shahirah meminta remaja itu pulang ke rumah, bagaimanapun permintaan itu tidak diendahkan sebaliknya anak perempuan itu bertindak mematikan talian telefon.

Anggota penguatkuasa kemudian menghubungi kedua-dua ahli keluarga terbabit untuk tindakan selanjutnya.

Beri pelbagai alasan

Sementara itu, pemeriksaan seterusnya menemui sepasang remaja yang bersekedudukan dalam bilik berasingan di mana operasi dilakukan secara serentak.

Walaupun pasangan kekasih berusia 22 dan 20 tahun dari Padang Serai itu mengakui berhasrat mahu menamatkan zaman bujang tahun depan, alasan berkenaan bagaimanapun tidak menghalang anggota penguatkuasa menahan mereka atas alasan bersekedudukan tanpa ikatan yang sah.

Menurut Zaiferi, pihaknya turut menahan sepasang kekasih masing-masing merupakan penjawat awam berusia 24 tahun yang turut menjadikan hotel bajet sebagai lokasi melakukan maksiat.

Amran (bukan nama sebenar) dimaklumkan menetap di Pengkalan Hulu, Perak memberi alasan mahu pulang ke kampung tetapi kenderaannya mengalami kerosakan sebelum mahu membuat pemeriksaan di sebuah bengkel di bandar ini.

"Saya memang nak balik tetapi kereta saya rosak terpaksa baiki di Sungai Petani," katanya.

Sementara, pasangannya, Riani (bukan nama sebenar) yang menutup kepala menggunakan tuala dikatakan tinggal bersama nenek di Kuala Nerang sebelum mahu pulang ke kampung halaman berdekatan rumah Amran di Pengkalan Hulu.

Difahamkan, pasangan kekasih tersebut sudah lapan tahun menjalinkan hubungan cinta sejak di  bangku sekolah selain mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan intim.

Lebih memalukan, hasil soal selidik pada hari kejadian mendapati, Amran sudah bersedia mahu menghantar rombongan ahli keluarganya ke rumah Riani kerana berhasrat mahu bertunang pada hari yang sama.

Serbuan turut menemui seorang pekerja kilang berusia 22 tahun bersama pemandu van kilangnya yang bukan beragama Islam.

Apabila ditanya, pemandu van berusia 32 tahun itu memberitahu, kedatangannya ke bilik yang disewa Haslinda (bukan nama sebenar) adalah untuk menghantar makanan walaupun jam sudah menunjukkan jam 1.20 pagi.

Rumah sewa turut diserbu

Operasi turut dijalankan di sebuah rumah sewa milik pasangan kekasih di mana masing-masing bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat swasta dan kerani di sebuah kedai motosikal di Sungai Lalang.

Menurut Zaiferi, hasil dari maklumat awam, sepasang kekasih berusia 21 dan 26 tahun dicekup berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Berdasarkan pemeriksaan, Zaimi dan Nadia (bukan nama sebenar) dipercayai baru pulang dari makan malam.

Zaimi berkata, mereka merancang mahu ke rumah keluarga angkat tetapi setelah beberapa kali menghubungi tiada jawapan diterima.

Zaimi dengan alasan letih tidak menghantar Nadia pulang sebaliknya menghabiskan masa di rumah sewanya bersama kekasihnya itu.

Difahamkan, kedua-dua pasangan ini mengakui mahu berkahwin tetapi hasrat mereka ditentang keluarga.

Zaiferi berkata, seramai 10 individu disiasat termasuk seorang lelaki bukan Islam yang berada bersama pasangan beragama Islam dalam pemeriksaan yang dijalankan sekitar daerah termasuk di Taman Jubli Perak, Pantai Merdeka, Titi Semeling dan beberapa buah hotel bajet yang menjadi tumpuan.

Seramai 10 anggota bertugas dalam operasi yang bermula jam 6 petang sebelum berakhir jam 5 pagi.

Katanya, sembilan individu ditahan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya meminta masyarakat prihatin terhadap aktiviti maksiat yang berlaku dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak jawatankuasa masjid, pejabat agama atau agensi berkaitan bagi membanteras gejala itu.

Berbaju kurung ke pesta arak merdeka

Posted: 01 Sep 2013 10:07 PM PDT


  • Berbaju kurung ke pesta arak merdeka Penguat kuasa Jawi menyita minuman keras sebagai bukti kes.
KUALA LUMPUR - Sambutan ambang merdeka yang sepatutnya berlangsung dengan penuh kesyukuran dicemari pesta minuman keras oleh pengunjung beragama Islam di sebuah kelab hiburan di Jalan Sultan Sulaiman, di sini.

Lebih memalukan apabila ia berlangsung dalam keadaan pengunjung wanita berpakaian baju kurung dan kebaya dipercayai sempena tema 'rumah terbuka Aidilfitri' anjuran kelab berkenaan.

Ketika serbuan dijalankan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), kira-kira jam 2 pagi itu, rata-rata pengunjung sedang asyik berhibur bersama 'bintang-bintang' ternama dalam kalangan pengunjung tetap kelab berkenaan, yang menyertai pertandingan karaoke di situ.

Pada awalnya, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu berlangsung aman, bagaimanapun beberapa pengunjung gagal memberi kerjasama membuatkan pihak penguat kuasa Jawi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum dapat menyelesaikan ketegangan yang berlaku.

Beberapa petugas media juga menjadi 'mangsa' sasaran pengawal kelab yang bertindak mengarahkan semua rakaman dipadamkan sambil mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Operasi Jawi, Mohamad Rais Rasid berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 30 pengunjung yang disyaki meminum minuman keras, ditahan untuk siasatan lanjut manakala 20 lagi diberi notis perintah hadir kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

"Setiap tahun kita laksanakannya tetapi kali ini agak mencabar kerana membabitkan pengunjung yang terlalu ramai dalam kalangan Melayu Islam dan itu amat menyedihkan kerana tempat ini tidak sesuai untuk sambut merdeka. Ada hidang arak serta pencampuran lelaki dan perempuan," katanya selepas operasi berkenaan.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu berakhir kira-kira jam 4 pagi melibatkan 71 anggota penguat kuasa Jawi dan juga polis.

Mohamad Rais berkata, siasatan turut dijalankan ke atas penjual arak yang mana jika sabit salah boleh membawa didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, dua remaja berusia 20 tahun ditahan kerana berkhalwat hasil serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.

Pihak penguat kuasa Jawi terpaksa menunggu kira-kira empat minit sebelum pintu dibuka dan mendapati remaja perempuan itu cuba menyembunyikan diri dalam tandas bilik hotel dalam keadaan separuh bogel.

Kedua-duanya dibawa ke Jawi sebelum diikat jamin dan kes disiasat mengikut seksyen 27 kerana berkhalwat dan jika sabit salah denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Pasangan khalwat rayu gambar tidak diambil

Posted: 01 Sep 2013 10:06 PM PDT



  • Pasangan khalwat rayu gambar tidak diambil Penguatkuasa Jaij Batu Pahat sedang memeriksa pasangan berkenaan.
BATU PAHAT - Seorang wanita berusia lingkungan 30an merayu supaya gambarnya bersama pasangan tidak dirakam dalam serbuan di sebuah hotel bajet, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat terpaksa menunggu lama kerana pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, selepas pintu bilik dibuka, pemeriksaan awal mendapati wanita terbabit bersama seorang lelaki dalam keadaan berpakaian lengkap.

Menurutnya, lelaki tersebut yang bekerja di sekitar bandar ini terdiam apabila ditanya mengenai status hubungan mereka, manakala pasangannya merayu berkali-kali supaya tidak dikenakan tindakan.

"Pasangan berusia lingkungan 30-an ini enggan membuka pintu pada mulanya, tetapi selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk selain beberapa pegawai penguat kuasa mendesak untuk memecah pintu, barulah ia dibuka.

"Hasil pemeriksaan yang kami lakukan mendapati lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam bilik itu tidak mempunyai ikatan yang sah dan berada dalam keadaan yang mencurigakan," katanya.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses dokumentasi.

Jelasnya, mereka ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 27(1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

Tambahnya, pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan itu.

Bertahan tanpa album baharu

Posted: 01 Sep 2013 10:05 PM PDT




JIKA dihitung pembabitan Ziana Zain dalam bidang seni, tempoh selama 22 tahun mungkin sesuatu yang agak sukar untuk dicapai oleh kebanyakan artis di negara ini.
Begitu juga dengan rentetan kejayaan yang diraih sehingga ke peringkat antarabangsa. Maka, sudah sewajarnya penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Madah Berhelah itu contoh kepada penyanyi generasi sekarang.
Meskipun dengan kemunculan lebih ramai penyanyi-penyanyi baharu, ia langsung tidak menenggelamkan populariti yang telah diraihnya selama ini.
"Saya bersyukur apabila masih lagi diterima ramai dan bukan mudah untuk terus bertahan memandangkan semakin ramai penyanyi hebat yang muncul di persada hiburan tanah air.
"Tawaran yang diterima seperti membuat persembahan nyanyian masih lagi tidak putus-putus. Ini semua berkat sokongan peminat yang tidak henti-henti kepada saya," ujarnya semasa ditemui dalam sidang akhbar program realiti pencarian Ratu Rania baru-baru ini.
Memandangkan dirinya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian, Ziana turut ditanya tentang album baharu. Ini kerana kali terakhir dia menghasilkan album adalah pada tahun 2008 berjudul Dingin.
Menurutnya, bukan tidak pernah timbul keinginan untuk menghasilkan album baharu buat para peminatnya, namun dia menyatakan bukan mudah untuk mendapatkan lagu-lagu yang sesuai.
"Sebagai seorang penyanyi yang sudah senior, pastinya saya perlu lebih selektif untuk pemilihan lagu. Cuma, buat masa ini untuk mendapatkan lagu yang mampu menyentuh jiwa pendengar agak sukar.
"Kalau setakat saya hasilkan album semata-mata ingin memenuhi permintaan orang, rasanya itu tidak perlu dilakukan. Tanpa album baharu pun saya masih lagi terus bertahan sebagai seorang penyanyi," jelasnya.
ZIANA bersikap terbuka sekiranya ada di antara empat anaknya mahu berkecimpung di dalam bidang seni.


Akui Ziana, antara punca utama kekuatannya sehingga mampu kekal bertahan sebagai penyanyi sehingga sekarang adalah kekuatan kepada lagu-lagu lamanya.
Ujarnya, apabila diundang membuat persembahan dalam sesebuah acara, para tetamu lebih suka sekiranya dia menyanyikan lagu-lagu popularnya sekitar 90-an seperti Puncak Kasih dan Madah Berhelah.
"Apabila sudah lama tidak muncul dengan album baharu, mungkin ramai yang beranggapan saya sudah tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian.
"Sebenarnya saya tetap terus aktif seperti biasa dengan pelbagai tawaran membuat persembahan di merata-rata tempat, cuma belum tiba masa yang sesuai lagi untuk saya tampil dengan album baharu," ungkapnya.
Jelas Ziana, tidak semestinya kalau dia muncul dengan album baharu, lagu-lagu yang terkandung di dalamnya mampu memenuhi citarasa yang diinginkan pendengar.
Lakonan
Selain bergelar penyanyi, Ziana juga cukup dikenali sebagai seorang pelakon yang seangkatan dengan seorang lagi artis yang dikagumi ramai iaitu Erra Fazira.
Beberapa filem lakonannya seperti Sembilu, Sembilu 2, Maria Marianna, Merah dan Qabil Khushry Qabil Igam pastinya terus diingati sehingga ke hari ini.
Bercerita tentang karier lakonannya, Ziana mengakui tawaran yang diterima agak banyak, tetapi dia terpaksa menolaknya lantaran komitmen terhadap keluarga.
"Ketika ini anak-anak pun sedang membesar dan sudah tentu mereka memerlukan perhatian daripada seorang ibu. Kalau saya berlakon, risau pula tidak dapat membahagikan masa kepada mereka.
"Lagipun suami juga seperti agak keberatan untuk mengizinkan saya aktif dalam dunia lakonan. Dengan jadual yang sudah padat sekarang ini, pastinya kehidupan saya akan bertambah sibuk lagi kalau saya berlakon," ujarnya yang kali terakhir berlakon dalam filem Magika pada tahun 2010.
ZIANA ZAIN tidak mahu melahirkan album atas dasar sekadar mahu memenuhi permintaan peminat. Sebaliknya dia mahu sebuah produk yang berkualiti.


Ikut jejak
Sepanjang 15 tahun bergelar seorang isteri dan ibu, ternyata Ziana melalui kehidupan yang cukup indah dan bahagia bersama suami, Armin Zaharin serta empat orang anaknya iaitu Muhammad Aiman, 13, Muhammad Amar, 10, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 4.
Apabila ditanya sekiranya ada di antara keempat-empat anaknya itu yang dilihat menunjukkan minat untuk mengikut jejaknya sebagai anak seni, penyanyi popular tersebut lantas tertawa.
"Daripada keempat-empat anak saya itu, rasanya cuma Nour Kaseh yang dilihat lebih menjurus kepada minatnya dalam seni kerana terlalu gemar menyanyi.
"Namun begitu, ia cuma persepsi awal saya sahaja kerana usianya pun masih lagi terlalu kecil. Kalau dia suka menyanyi, tidak semestinya kalau dah besar nanti dia betul-betul jadi penyanyi," ujarnya.
Bagaimanapun, Ziana menyatakan bahawa dia sendiri tidak kisah sekiranya ada di antara anak-anaknya itu yang ingin terjun ke dalam bidang lakonan atau nyanyian.
"Kalau ikutkan kepada zaman semasa mula-mula bergelar penyanyi dahulu, ayah saya sendiri tidak galakkan saya menyanyi. Sehinggakan saya terpaksa menyanyi tanpa pengetahuannya.
"Sekiranya itu sudah menjadi minat mereka, saya mungkin tidak mampu untuk menghalangnya. Cuma, sebagai ibu tanggungjawab saya adalah dengan memberikan garis panduan supaya mengikut langkah yang betul.

Konsert irama tradisional sulung Siti Nurhaliza

Posted: 01 Sep 2013 10:03 PM PDT

SITI NURHALIZA teruja untuk mengadakan konsert irama tradisional pertamanya, Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Panggung Sari Istana Budaya pada 20 hingga 22 September ini.


SELAMA ini orang lebih mengenali Datuk Siti Nurhaliza sebagai seorang penyanyi pop. Namun beliau juga terkenal sebagai penyanyi yang berjuang mempertahankan irama tradisional.
Buktinya, sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara, Siti pernah melahirkan empat buah album tradisional iaitu Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.
Baru-baru ini, penyanyi tersohor negara itu mengumumkan bahawa beliau akan menjayakan sebuah konsert irama tradisional, Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Panggung Sari Istana Budaya pada 20 hingga 22 September ini.
Ujar Siti, keinginan untuk mengadakan konsert dengan persembahan lagu-lagu tradisional memang sudah lama dirancang. Akhirnya kini ia dapat direalisasikan.
"Apabila selesai menjayakan sesuatu acara hiburan seperti konsert, saya selalu ditanya oleh rakan-rakan wartawan tentang jenis konsert yang ingin dilakukan selepas itu.
"Saya cuma memberitahu tentang impian untuk mengadakan sebuah konsert irama tradisional memandangkan saya belum pernah melakukannya lagi. Akhirnya peluang ini telah hadir dengan kerjasama Istana Budaya dan OTM," ujarnya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut mengenai konsertnya itu, Siti memberitahu penonton akan dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu irama tradisional selama dua jam.
Ujarnya, sebanyak 35 buah lagu yang akan dipersembahkan termasuk medley dan ia merangkumi pelbagai irama tradisional Melayu seperti joget, zapin dan keroncong.
"Sejak beberapa minggu lalu saya sudah kembali mendengar lagu-lagu irama tradisional dalam proses pemilihan lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan nanti.
"Selain itu, saya gembira kerana konsert ini turut mendapat sentuhan dua individu hebat seperti Lokman Ghani selaku pengarah serta Aubrey Suwito yang memberikan sentuhan terbaik dalam gubahan dan susunan lagu," jelasnya.
Meskipun ia konsert sulung irama tradisional yang dijayakannya, Siti menyatakan tentang beberapa kelainan yang akan ditampilkan dalam persembahan itu nanti.
Antaranya segmen khas iaitu Mak Yong dan Dikir Barat yang akan menampilkan kelainan dalam corak persembahan yang belum pernah dilakukan dalam mana-mana persembahan sebelum ini.

SITI bersama Mohamed Juhari (tiga dari kiri) dan tenaga kerja konsertnya.


"Ketika ini saya sudah mula mempelajari tarian Mak Yong dan dilatih oleh Rosnan Rahman. Bagaimanapun, untuk mendalaminya bukanlah mudah seperti yang disangkakan," ujarnya.
Menurut Siti, ketika konsert itu berlangsung nanti dia tidak akan keseorangan kerana dua orang individu lain akan turut diundang untuk sama-sama menjayakannya.
Jelasnya, salah seorang individu tersebut ialah penggiat irama tradisional terkenal, Pak Ngah atau Suhaimi Mohd. Zain, manakala seorang lagi masih dirahsiakan sebagai elemen kejutan buat penonton.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai konsert tersebut dengan Siti sejak beberapa tahun lalu.
Ujarnya, penyanyi berkenaan pernah meluahkan hasratnya untuk tampil dalam sebuah konsert yang agak berbeza dan gembira kerana Istana Budaya menjadi pilihan Siti.
"Sudah tentu ia merupakan konsert yang begitu dinantikan para peminat. Jadi, janganlah lepaskan peluang untuk menonton konsert ini kerana ia akan memberikan kenangan tersendiri kepada penonton," ujarnya.
Mengenai jualan tiket pula, Juhari menyatakan tiket-tiket berharga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518 sudah mula dijual dan mendapat sambutan yang baik.
Bukan jaminan
Memandangkan Lantera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) merupakan sebuah konsert yang besar, Siti menyatakan pihaknya berusaha untuk mendapatkan penaja.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular menerusi lagu Cindai, Balqis dan Ya Maulai itu mengakui usaha mencari penaja merupakan satu cabaran yang agak sukar.
"Sama ada seseorang itu mempunyai nama besar atau tidak, bukan mudah sebenarnya untuk dapat penaja. Saya juga akan turun padang untuk menarik lebih ramai penaja.
"Bagi saya perjalanan menjayakan konsert ini pastinya menjadi lebih mudah kalau ada penaja. Sekiranya tiada yang berminat saya terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk menganjurkannya," jelasnya.

Suntikan inspirasi George Benson

Posted: 01 Sep 2013 10:00 PM PDT


GEORGE memukau peminatnya dengan kredibiliti sebagai pemuzik dan penyanyi.


ADA sebab mengapa perlu ke Konsert Jelajah Inspirasi George Benson yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Rabu minggu lepas.
Pertama, kerana mahu mendengar petikan gitar yang pasti automatik menikam terus ke jantung dan keduanya untuk mendengar alunan merdu vokalnya terutama lagu hit Nothing's Gonna Change My Love For You.
Sesiapa saja peminat setia penyanyi jazz itu pasti memberikan jawapan yang sama. Beliau seorang penyanyi hebat, gitaris luar biasa dan penghibur yang dinamik.
Sebanyak 36 buah album studio, lima buah album live dan tujuh buah album kompilasi sudah cukup menterjemahkan hasil persembahannya selain album keempat di bawah label Condord Records, Inspiration: A Tribute to Nat King Cole yang baru dilancarkan Jun lalu.
Bagai sudah menjangkakan bentuk kejutan yang bakal dijamu George sebelum melangkah masuk ke dewan berprestij itu. Tapi penyanyi itu memberikan lebih daripada yang dijangkakan!
George membuka rendisi rentak perlahan dengan lagu Weekend in LA kemudian disusuli Breezin, Love x Love dan Kisses The Moonlight.
Beberapa lagu lain yang mengikat penonton untuk terus setia melekat bersamanya adalah Feel Like Making Love, Give Me The Night, This Masquerade, hit sepanjang zaman Nothing's Gonna Change My Life For You dan persembahan ditutup dengan lagu On Broadway.
Keupayaan vokal George menerusi lagu In Your Eyes, Give Me The Night dan Turn The World Around memang tidak disangkal namun, seandainya lagu-lagu tersebut dibikin secara instrumental pastinya malam itu lebih membuai jiwa.

PEMINAT setia George cukup berpuas hati dengan persembahan yang diberikan penyanyi hebat itu.


George bagaimanapun menyeimbangkan persembahannya dengan beberapa segmen yang diselang-seli dengan pengalaman dan jenakanya bersahaja.
"Sudah lama tidak berkunjung ke Malaysia dan akhirnya saya kembali untuk menghiburkan peminat saya di sini. Mereka (peminat) telah membuktikan kepada saya bahawa mereka suka apa yang saya lakukan," ujarnya serba ringkas.
Salah sebuah lagu yang disampaikan George pada malam tersebut merupakan nyanyian asal Nat King Cole yang dirakamkan lima tahun lalu berjudul All In The Game.
Sementara, This Masquerade pula merupakan nyanyian asal Leon Russell dan berjaya disampaikan George seperti sebuah lagu versi dirinya sendiri.
Begitu juga lagu On Broadway yang menutup tirai persembahan pertamanya di Malaysia Rabu lalu yang asalnya telah dipopularkan oleh The Drifters.
Beliau telah melakukan keajaiban yang sering gagal dilakukan oleh artis lain iaitu mencipta putaran baharu tanpa merosakkan semangat asal lagu.
Menyerikan acara, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tunku Munawir dan isteri, Tuanku Ampuan Durah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin hadir sama mencemar duli.
Turut serta Tunku Bendahara Kedah, YTM Datuk Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Selain itu, Lisa Surihani, Amanda Imani, Datuk Mahadzir Lokman. Noryn Aziz, Adibah Noor, Anuar Zain dan Datuk Sheila Majid antara selebriti yang hadir menyaksikan persembahan memukau George Benson.
Sepanjang 100 minit beraksi di pentas Plenary Hall KLCC, George yang diiringi lima ensembel berhasil menghiburkan. Penonton pula tidak lekang senyum. George Benson semestinya bakal dirindui!

Terima kasih daun keladi, artis

Posted: 01 Sep 2013 08:15 PM PDT



WARGA kerja Kosmo! bergambar kenangan bersama para artis usai tamat majlis ulang tahun kesembilan Kosmo! pada Jumaat lalu.


BAGAI tidak terlihat dek mata, tanpa sedar akhbar kompak Kosmo! yang lahir pada tahun 2004 kini telah genap berusia sembilan tahun pada tanggal 30 Ogos 2013.
Meraikan ulang tahun tersebut dengan penuh gemilang, pemilihan tema merah menjadi perlambangan akhbar tersebut dalam kalangan pekerja Kosmo! yang bersemangat dan teruja meraikan peningkatan usia Kosmo! selaras dengan pengisian yang lebih komprehensif.
Bertempat di ruang legar pejabat Kosmo! yang terletak di aras tiga bangunan baharu Utusan, Kosmo! meraikan kedatangan usia sembilan tahun dengan majlis makan-makan yang diperhangatkan oleh persembahan empat orang penyanyi.
Bergemuruh bangunan apabila menyaksikan Amy Search, Nomad, RJ serta kumpulan GLP menghiburkan seisi warga kerja Utusan dengan untaian lagu hit mereka.
GLP yang dianggotai oleh lima anak muda berbakat besar memulakan persembahan sebelum pentas diambil alih oleh Nomad yang 'tidak berkira' untuk mendendangkan lagu hitnya, Tetap Menantimu sebanyak dua kali atas permintaan peminatnya.
Majlis menjadi bertambah riuh sebaik rapper RJ menguasai pentas bersama rakan duet bidang terjunnya yang juga wartawan Sukan Kosmo!, Nan Hidayat Nan Azmie untuk lagu hit Teman Pengganti.
Paling mengujakan lebih 500 kakitangan dan tetamu apabila Amy Search menawan pentas dengan dua lagu malar segar, Rozana dan Isabella.
Bercakap mengenai Kosmo!, Amy Search melahirkan rasa kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu yang mampu bersaing dengan akhbar-akhbar sedia ada.
"Pertama sekali saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Kosmo! kerana pada usia yang masih muda, akhbar ini terus berkembang dengan baik dan mempunyai pengisian yang boleh dibanggakan.
"Selamat ulang tahun yang kesembilan kepada seluruh warga Kosmo! yang telah berusaha keras. Ternyata semangat kental yang ditunjukkan berbaloi dan membuahkan hasil," ujarnya.
STAF Unit Jurufoto, Wan Mazlan Wan Harun tidak mahu melepaskan peluang 'berduet' dengan Amy yang cukup sporting pada majlis ulang tahun kesembilan Kosmo! pada 30 Ogos lalu.


Sementara itu, RJ atau nama sebenarnya Mohd. Helmy Hamdan berpendapat bahawa Kosmo! sudah banyak memainkan peranan mempromosikan artis tanah air.
Jelasnya, sepanjang enam tahun bergelar pegawai perhubungan awam bersama syarikat Monkey Bone dan menguruskan kerjaya beberapa penyanyi seperti Faizal Tahir, Tomok dan Shiha, pihaknya memang mempunyai hubungan yang baik dengan Kosmo!.
"Dari segi pengisian untuk ruangan hiburan, ia memang cukup padat dengan pelbagai cerita yang menarik. Disebabkan itu akhbar ini sentiasa menjadi pilihan para pembaca," jelasnya yang popular menerusi lagu Teman Pengganti.
Bagi penyanyi Nomad yang popular menerusi lagu Tetap Menantimu dia melihat akhbar Kosmo! padat dengan berita tentang isu-isu terkini tanah air dan antarabangsa.
Ujarnya, Kosmo! juga sememangnya menjadi bahan bacaan yang paling sesuai terutamanya kepada generasi muda kerana penggunaan ayat yang ringkas dan mudah difahami.
"Selain itu, akhbar ini telah banyak memberi ruang kepada artis-artis baharu seperti saya sendiri untuk mempromosikan diri. Ia merupakan satu penghargaan yang tidak terhingga sebagai artis baharu," ujarnya.
Wakil kumpulan GLP, Nazif yang ditemui mengakui semakin banyak peningkatan yang dilihat sepanjang menjadi pembaca setia akhbar Kosmo!.
"Semakin banyak perubahan yang telah berlaku terhadap akhbar ini. Selain penulisan yang mudah dan ringkas, saya turut tertarik dengan reka letaknya yang ringkas dan cantik," jelasnya.

Bekalan air semakin pulih

Posted: 01 Sep 2013 08:12 PM PDT


PENDUDUK terpaksa beratur untuk mendapatkan bekalan air bersih di Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra, Ampang semalam.


KUALA LUMPUR – Kawasan bekalan air yang terjejas ekoran masalah pencemaran diesel di Sungai Selangor pada Jumaat lalu kini hanya melibatkan empat kawasan iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam dan Gombak.
Kawasan-kawasan lain yang sebelum ini turut terjejas iaitu di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya semalam.
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, empat kawasan yang terjejas itu hanya melibatkan 13 peratus daripada keseluruhan akaun pengguna yang terjejas berbanding 60 peratus kelmarin.
Beliau percaya krisis bekalan itu dijangka dapat diselesaikan dalam minggu ini.

Tiga pelajar kolej maut selepas kereta rempuh pokok

Posted: 01 Sep 2013 08:11 PM PDT



KEADAAN kereta Proton Wira yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Bukit Jalil-Puchong, Kuala Lumpur semalam


KUALA LUMPUR - Tiga pelajar Kolej New Era maut manakala seorang tenaga pengajar cedera parah selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua batang pokok di Lebuh Raya Bukit Jalil-Puchong berhampiran Taman Teknologi Malaysia di sini semalam.
Mangsa yang maut ialah Hafizuddin Nazri, 18, Zul Zyrean Zaharuddin, 18, dan seorang lagi yang dikenali sebagai Mohd. Nasaruddin, 20, manakala mangsa yang cedera parah ialah pemandu kereta tersebut, Mohamad Hairee Mohd. Ali, 20.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika mereka menaiki kereta Proton Wira yang dalam perjalanan ke Kolej New Era di Bandar Sunway dekat sini.

Mati ditembak depan kedai bapa

Posted: 01 Sep 2013 08:10 PM PDT


ANGGOTA polis menenangkan ahli keluarga yang terkejut dengan kematian Jambu Keshan di Ipoh semalam.


IPOH - Ketika polis memperhebatkan usaha memburu ahli kumpulan samseng menerusi Ops Cantas Khas sejak 23 Ogos lalu, seorang pembunuh upahan seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila bertindak menembak mati seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam.
Kejadian di Jalan Raja Perempuan Mazwin, Taman Rishah di sini pada pukul 7.15 pagi itu mengakibatkan S. Jambu Keshan, 39, mati selepas terkena tiga das tembakan di kepala dan belakang badan.
Tragedi berdarah yang mengejutkan ahli keluarga mangsa itu berlaku di hadapan restoran milik bapanya. Ketika itu, mangsa yang berkhidmat selama 19 tahun dalam TUDM sedang mengeluarkan bahan-bahan mentah untuk kegunaan perniagaan dari kereta jenis Perodua Kancil miliknya.

Ops 6P bermula

Posted: 01 Sep 2013 08:09 PM PDT


ANTARA PATI wanita yang ditahan dalam operasi di Klang.


PUTRAJAYA - Jika polis melancarkan Ops Cantas Khas untuk memerangi gengster, pihak imigresen pula melancarkan Ops 6P Bersepadu bagi mengesan dan mengusir kira-kira 400,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.
Dalam operasi pertama selama lima jam bermula pukul 1 pagi semalam, Imigresen Putrajaya berjaya menahan 71 daripada 160 PATI yang diperiksa kerana tidak memiliki dokumen, tinggal lebih masa dan menggunakan pas lawatan palsu dalam serbuan di kawasan penempatan haram di sekitar Sepang dan Bukit Raja, Klang.
Operasi berterusan sehingga 31 Disemberitu diperkuatkan dengan 150 anggota daripada imigresen, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), tentera, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Serbuan tersebut menjadi amaran keras buat majikan supaya berhenti mengupah PATI untuk bekerja atau berdepan dengan hukuman.

257 penunggang ditahan dalam Ops Rempit

Posted: 01 Sep 2013 08:08 PM PDT


SEBAHAGIAN penunggang membawa motosikal masing-masing untuk pemeriksaan dalam Ops Rempit di Jalan Kuantan-Gambang dekat Sungai Isap, Kuantan semalam.


KUANTAN – Sebanyak 257 penunggang ditahan dalam operasi membanteras lumba haram yang selama ini berleluasa di Jalan Kuantan-Gambang dekat Sungai Isap di sini awal pagi semalam.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 30 tahun itu dikatakan sering melepak beramai-ramai sebelum menyertai lumba haram pada setiap malam minggu.
Turut ditahan seorang penunggang yang juga orang kurang upaya (OKU).
Dalam Ops Rempit tersebut, ada kalangan remaja terbabit cuba lari meninggalkan motosikal masing-masing bagi mengelak ditahan.
Ada pula nekad melarikan diri dengan menunggang secara berbahaya dari arah bertentangan, namun gagal apabila kawasan itu telah dikepung polis.

Radiasi tinggi dikesan pada tangki loji nuklear Fukushima

Posted: 01 Sep 2013 08:05 PM PDT



FOTO yang disediakan oleh Tokyo Electric Power Co (TEPCO) menunjukkan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Toshimitsu Motegi (topi merah) melawat loji nuklear Fukushima Dai-ichi di bandar Okuma pada 26 Ogos lalu.


TOKYO - Pengendali loji nuklear Fukushima Dai-ichi, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) kelmarin menyatakan pihaknya mengesan lokasi beradiasi tinggi pada tangki-tangki yang menempatkan air bertoksik.
Salah satu lokasi menunjukkan bacaan mencecah 1,800 millisievert bagi setiap jam, tahap radiasi yang boleh membawa maut.
TEPCO mengesan radiasi tinggi tersebut di empat lokasi berhampiran tangki. Tangki-tangki itu bagaimanapun tidak menunjukkan kadar airnya surut dengan ketara.
Situasi itu diketahui ketika pemeriksaan harian dilakukan ke atas tiga buah tangki dan satu paip yang menyambungkan bekas-bekas berisi air di loji terbabit, lapor agensi berita Kyodo.
Minggu lalu, TEPCO mengaku sebanyak 300 tan air bertoksik bocor daripada tangki-tangki tanpa disedari.
Kebocoran itu mencetuskan kebimbangan bahawa air tercemar telah masuk ke dalam laut berhampiran.
Walaupun masih belum jelas sama ada insiden itu membuktikan wujud kebocoran baharu, namun air dengan bacaan 230 millisievert pada setiap jam dikesan di bawah paip tersebut.

Harga murah, produk berkualiti

Posted: 01 Sep 2013 08:02 PM PDT




ROSLI ABDUL WAHAB sanggup menjelajah dari sebuah kedai ke kedai lain semata-mata mencari peralatan muzik terpakai.
Walaupun agak memenatkan, lelaki berusia 48 tahun itu tidak kisah asalkan barangan tersebut berkualiti dan harganya lebih murah.
"Sebelum membeli barangan terpakai, saya kaji secara mendalam tentang sesuatu produk itu dahulu. Sekiranya ia berbaloi dengan wang yang dibelanjakan barulah saya membelinya.
"Misalnya, jika satu set sistem bunyi terpakai dan baharu harganya sama, kita perlu lihat dari segi jenama dan buatannya. Barangan terpakai itu buatan Amerika dan barangan baharu pula buatan China, pasti anda boleh menilai sendiri kualiti barangan yang patut dibeli," katanya yang mula meminati barangan terpakai sejak tujuh tahun lalu.
Rosli yang menetap di Bandar Baru Ampang, Selangor mempunyai kumpulan muzik sendiri. Malah, dia sering mengunjungi kedai barangan terpakai bagi mencari peralatan muzik seperti sistem bunyi dan gitar.
Tidak dinafikan golongan seperti Rosli cukup peka dengan kualiti sesuatu barangan sebelum berbelanja. Justeru, membeli barangan terpakai merupakan salah satu langkah terbaik.
Tinjauan Kosmo! ke beberapa buah kedai barangan terpakai di sekitar Kuala Lumpur mendapati sambutan orang ramai terhadap produk tersebut amat baik.
Antara barangan yang paling diminati pengguna ialah perabot, gajet, kenderaan dan barangan elektronik.
Terdapat juga pelanggan yang mempunyai minat mengunjungi kedai-kedai barangan terpakai untuk mendapatkan barangan seperti alat-alat muzik, jam tangan berjenama, permainan video, buku dan barangan kulit.
Bagaimanapun, barangan seperti pakaian, perkakas dapur, telefon bimbit dan barangan yang sangat peribadi kurang diminati.
Faktor harga pastinya kriteria utama yang dinilai sebelum membeli barangan terpakai, apatah lagi bukan semua orang berminat memiliki barangan yang pernah digunakan oleh orang lain.
Namun, jika ia masih dalam keadaan baik dan harganya jauh lebih murah berbanding barang baharu, mengapa tidak?
Bagi Khairul Ahsan, 38, dia tidak menghadapi masalah menggunakan barangan terpakai kerana apa yang penting ialah barangan tersebut masih elok dan harganya murah.
Dia yang tinggal di Ampang pernah membeli satu set permainan alat pembinaan terpakai untuk anaknya yang berharga RM45.
"Saya biasanya akan melihat harga sebelum membeli, kecuali benar-benar meminati barangan tersebut. Lazimnya, harga barangan terpakai jauh lebih murah berbanding yang baharu.
"Sesetengah barangan terpakai turut disertai sijil jaminan. Jadi, saya tidak bimbang jika ia rosak dalam tempoh jaminan kerana kita boleh menghantarnya semula kepada penjual untuk dibaiki atau ditukar," katanya yang turut mengunjungi kedai barangan terpakai bagi membeli barangan seperti jam tangan dan permainan video.

SEORANG pelanggan memeriksa barangan terpakai sebelum membelinya.


Sejarah
Norziati Mohd. Rosman, 34, pula selain menimbangkan faktor harga, dia membeli barangan terpakai yang mempunyai nilai sentimental dan sejarah.
Bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Bandar Baru Bangi, Norziati yang juga seorang penulis memberitahu, dia biasanya membeli buku-buku seperti sastera, novel dan fiksyen berbahasa Melayu terutama bagi cetakan terawal.
Selain itu, dia turut meminati novel Inggeris lama dan majalah terpakai.
"Saya dapat melihat perubahan tulisan dan cara bahasa yang digunakan pada waktu itu berbanding hari ini. Contohnya, saya memiliki cetakan pertama novel Pertentangan karya Sasterawan negara S. Othman Kelantan pada tahun 1967. Memiliki buku lama bukan kerana ia murah tetapi nilainya," kata Norziati.
Menurut Norziati, selepas membaca buku-buku tersebut, dia akan menyimpannya sebagai koleksi peribadi. Antara novel dalam koleksinya ialah Saga karya Abd. Talib Hassan dalam dua edisi, novel Perempuan Politikus Melayu (Faisal Tehrani) juga dalam dua edisi serta tiga edisi Salina karya Datuk A. Samad Said.
"Sebagai penulis, buku-buku lama ini membantu memperkembangkan perbendaharaan kata sambil mempelajari cara penyampaian penulisan yang lebih halus dan menyentuh perasaan.
"Memandangkan saya terlibat dalam transliterasi manuskrip, mendalami bahan-bahan lama merupakan satu keperluan kerana terdapat banyak perkataan yang tidak lagi digunakan hari ini, sehingga tidak wujud dalam kamus. Ini jelas berlaku pada manuskrip perubatan atau hikayat yang berkisar kepada keadaan setempat kerana ia menggunakan loghat tempatan," tambah Norziati.
Pulangan berganda
Selain buku, Norziati turut menyimpan mesin taip, seterika, lampu gasolin, televisyen lama, radio, jam tangan, jam dinding yang merupakan koleksi dan simpanan bapa beliau di kampung halamannya.
Bagi seorang penjual barangan terpakai, Farid Hidayat Fadzil, 32, dari Seberang Perai, Pulau Pinang, barangan terpakai bukan sahaja menguntungkan pengguna, malah membawa pulangan berganda kepada penjual.
Bagaimanapun, hanya beberapa barangan sahaja yang memberikan pulangan lumayan kepada penjual manakala selebihnya berdasarkan komisen.
Farid memberitahu, pada mulanya dia hanya melakukan kerja pelupusan komputer. Pada masa itu, Farid yang mengendalikan bisnes pelupusan komputer secara berlesen mula menerima banyak permintaan terhadap barangan tersebut. Ia sekali gus menimbulkan minat untuk berjual beli secara kecil-kecilan.

BUKU-BUKU terpakai milik Norziati yang sukar didapati di pasaran.


"Rupa-rupanya, barangan lama ini ada nilainya. Sejak itu, saya mula menceburi bidang ini termasuk mendapat kenalan dalam kalangan penjual dan pembeli barangan terpakai lain," kata Farid yang memulakan perniagaannya pada hujung tahun 2011.
"Permintaan sangat tinggi, khususnya perabot hotel. Pihak hotel biasanya menjual perabot terpakai yang kualitinya masih baik terutama hotel berstatus tiga bintang ke atas," katanya.
Perabot terpakai itu kemudian dijual secara pakej dan mempunyai permintaan yang baik dalam kalangan pembeli yang percaya ia mampu tahan lama serta berbaloi dimiliki.
Pada masa yang sama, sebagai penjual, hotel akan memberi komisen yang tinggi bagi memastikan urusan jual beli diselesaikan pada waktu yang ditetapkan.
Bercakap mengenai perbandingan harga, Farid memberitahu permintaan pelanggan yang banyak berpunca daripada harga yang jauh lebih rendah berbanding barang baharu. Farid memberitahu pada harga RM1,000 hingga RM1,200, seseorang boleh membeli set katil, meja solek, meja tepi dan almari.
"Harga itu sangat berbaloi kerana kualiti produk tersebut setaraf dengan barangan baharu yang dijual beberapa kali ganda lebih mahal," kata Farid.
Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pasangan baru berkahwin, mereka yang berpindah ke rumah baharu dan pengusaha resort atau hotel bajet.
"Saya beroperasi dalam talian kerana tidak mahu menyewa ruang menyimpan barang. Kalau terpaksa, baru saya sewa secara sementara," ujar Farid.
Ditanya tentang jaminan yang ditawarkan kepada pembeli, Farid akui barangan terpakai biasanya tiada jaminan. Malah, dia tidak menafikan pelanggan terpaksa menanggung risiko khususnya sewaktu penghantaran.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines