Isnin, 16 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Fouziah penuhi permintaan keluarga

Posted: 15 Sep 2013 02:31 AM PDT


ZHAFRAN bersetuju memilih tema perkahwinan bercirikan budaya Pakistan.


MENJELANG hari bahagia yang bakal tiba tidak lama lagi, dramatis jelita, Fouziah Gous mengikut tradisi yang pernah dirintis selebriti popular sebelum ini. Tidak sah jika majlis yang bakal membawanya ke fasa kehidupan serba baharu itu tidak dikongsi bersama khalayak. Apatah lagi, majlis pertunangannya yang berlangsung tiga bulan lalu sudah pun diberi liputan besar-besaran.
Fouziah, 31, dan tunangannya, Zhafran Yusof, 30, memilih Sabtu ini untuk disatukan sebagai suami isteri.
"Kami memang merancang hendak berkahwin pada tahun ini, selewat-lewatnya pada hujung tahun. Namun, selama ini belum ada tarikh yang pasti memandangkan adik Zhafran yang menuntut di luar negara ada kesulitan untuk pulang begitu juga abang saya yang ada urusan di luar negara. Setelah berbincang, tarikh 21 September menjadi tarikh rasmi. Pada tarikh itu kami dapat mengumpulkan adik-beradik untuk majlis ini," ujar Fouziah pada satu sidang media khas berhubung pernikahannya yang berlangsung di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Sebelum ini, majlis pertunangannya persis seperti majlis persandingan mewah. Fouziah mengumumkan bahawa majlis pernikahannya itu nanti akan disempurnakan dalam tiga acara yang mengandungi tema yang berbeza.
Acara itu ialah majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Tengku Ampuan Jemaah, Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada 21 September depan manakala akad nikah pada sebelah malam itu diserikan dengan tema Pakistan.

FOUZIAH dan Zhafran bertunang pada 1 Jun lalu.


Majlis resepsi sebelah perempuan pula akan diadakan pada malam Ahad, 29 September bertempat di Hotel Marriot, Putrajaya dengan tema musim bunga manakala resepsi bagi pihak lelaki akan diadakan di kediaman Zhafran di Bukit Jelutong pada 5 Oktober yang memilih tema tradisional.
"Sengaja tema Pakistan itu dipilih memandangkan saya sendiri mewarisi darah Pakistan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Saudara-mara saya juga ramai yang masih mengamalkan budaya Pakistan dalam kehidupan bahkan mereka menjadikan bahasa Urdu sebagai pertuturan harian.
"Soal berkahwin secara besar-besaran pula, saya bukannya sengaja mahu berlebih-lebih untuk majlis perkahwinan. Tapi, inilah rezeki yang harus saya terima. Sebagai anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, ibu saya memang mahu melakukan yang terbaik untuk anak perempuan.
"Sebelum ini pun, macam-macam respons orang berhubung majlis pertunangan saya yang dianggap cukup meriah. Itu juga kehendak keluarga. Kalau boleh, mereka mahukan majlis yang lebih meriah," ujar Fouziah sambil menafikan perkahwinannya itu ditaja pihak lain.
Tambah Fouziah: "Memang ada pihak yang menawarkan tajaan, tapi saya dan Zhafran harus buat membuat pilihan. Kami juga mahu merasa sebuah majlis hasil duit sendiri."
Fouziah dan Zhafran bertunang pada 1 Jun lalu dalam satu majlis pertunangan yang diadakan di Bora Asmara, Kuala Lumpur. Mereka mula berkenalan pada Mac lalu.

Ana Syuhada Bertuah Dapat Bimbingan Ajai

Posted: 15 Sep 2013 02:31 AM PDT

Ana memberitahu dirinya bertuah dapat bimbingan daripada komposer terkenal seperti Ajai.
PETALING JAYA: Penyanyi Ana Syuhada mengakui hampir berputus asa untuk mengejar impiannya dalam bidang nyanyian selepas menjadi peserta pertama disingkirkan menerusi program Mentor musim keenam tahun lalu.
Ana atau nama sebenarnya Ana Syuhada Noor Asram, 22, bagaimanapun berkata, dia tidak menyangka komposer terkenal iaitu Ajai mempercayai bakat nyanyiannya dan telah melamarnya untuk menghasilkan album dengan syarikat rakaman Wake The Baby.
"Saya cukup bertuah kerana seorang komposer terkenal seperti Ajai mempercayai bakat saya dan ingin bekerjasama dengan saya.
"Pelawaannya itu saya ambil dengan tangan terbuka walaupun pada masa itu saya menganggap kerjaya nyanyian sudah berakhir ekoran disingkirkan pada minggu pertama program Mentor," katanya kepada mStar Online.
Ana memberitahu dia juga baharu sahaja tampil dengan single solo pertamanya yang berjudul Ada Cerita ciptaan Ajai dan pernah tampil dengan lagu duet bersama mentornya Ramlah Ram menerusi Takdir Cinta.
Penyanyi berasal dari Shah Alam, Selangor ini pernah menjadi protoge kepada Ramlah Ram semasa menyertai program Mentor pada tahun 2012.
Dalam pada itu, Ana berkata, Ramlah juga menyokong keputusannya untuk bergerak sendiri dalam mencorakkan hala tuju karier seninya.
Malah kata Ana, hubungan dengan mentornya itu masih kekal baik dan Ramlah sentiasa memberi nasihat kepadanya setiap kali bertemu.
"Kak Ramlah sentiasa menyokong apa juga keputusan saya dan sepanjang menjadi protoge dia saya banyak menimba ilmu dan semakin yakin untuk bergerak sendiri," jelasnya.
Sementara itu, Ana berkata, dia bersyukur apabila single solo pertamanya itu semakin mendapat sambutan hebat daripada pendengar dan menyimpan hasrat untuk tampil dengan album penuh pada masa hadapan.

Lisa Surihani Minta Syamsul Yusof Jangan Berhenti Mengarah

Posted: 15 Sep 2013 02:30 AM PDT

Lisa berharap Syamsul akan meneruskan perjuangan dalam bidang seni.
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani berharap pengarah filem KL Gangster 2 iaitu Syamsul Yusof tidak cepat berputus asa dan mengalah akibat terlalu kecewa apabila karya tersebut tersebar di internet sebelum ditayangkan pada Oktober depan.
Lisa, 27, berkata, dia berharap Syamsul akan meneruskan perjuangan dalam bidang seni dan bukannya mengalah kepada situasi yang menimpa kepada filem itu.
"Sayang jika Syamsul ingin meninggalkan dunia pengarahan kerana hasil kerjanya adalah hebat dan dia adalah pengarah berbakat besar dan sebagai rakan artis saya minta di jangan berputus asa dan teruskan perjuangan.
"Syamsul juga pewaris Skop Production dan tidak sepatutnya dia bersara dan perlu bangkit dengan karya-karya yang lebih hebat pada masa hadapan," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Lisa berkata, dia bagaimanapun bersimpati dengan kejadian yang menimpa kepada filem KL Gangster 2 dan mengakui terkejut apabila mendapat tahu karya berkenaan bocor di internet sebelum ia ditayangkan.
Syamsul kecewa apabila filem KL Gangster 2 telah dimuat naik di internet sebelum filem itu ditayangkan.
Malah Lisa menyifatkan kejadian itu sebagai tidak patut berlaku dan berharap jenayah ini akan dapat dibanteras supaya dapat melindungi pengkarya filem di negara ini.
"Isu cetak rompak dan memuat naik filem secara haram di internet sangat menyedihkan dan ia boleh berlaku kepada sesiapa juga dalam industri ini.
"Saya berharap dalang disebalik penyebaran KL Gangster 2 akan dicekup oleh polis dan tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada yang lain," tuturnya.
Lisa juga menyeru supaya masyarakat memberi sokongan penuh kepada industri filem tempatan kerana dengan cara tersebut ia dapat mempertahankan industri tersebut.
"Apabila suami saya menyertai kempen anti cempak rompak saya mahu turut serta kerana untuk memberi sokongan kepada industri perfileman dan masyarakat juga boleh berbuat demikian," tuturnya.
Minggu lalu, bapa pelakon itu Datuk Yusof Haslam dan Syamsul melahirkan perasaan marah apabila lebih 70 peratus hasil filem berkenaan telah disebarkan di laman Internet sebelum tayangan.
Langkah itu boleh menyebabkan kerugian besar kepada penerbit filem jika orang ramai tidak menonton kerana ia telah disebarkan lebih awal secara haram.
Kos pembikinan filem itu menelan belanja kira-kira RM4.5 juta.
Insiden itu membuatkan Syamsul membuat keputusan untuk berhenti mengarah filem sehingga menimbulkan perasaan risau Yusof.
Malah dia turut tidak hadir ke previu filem itu di TGV One Utama di sini, Isnin lalu.

Sani Tersingkir Minggu Pertama AF 2013

Posted: 15 Sep 2013 02:29 AM PDT

Kamsani Jumahat
PUTRAJAYA: Tirai minggu pertama program realiti Akademi Fantasia dikejutkan apabila peserta daripada Singapura iaitu Kamsani Jumahat atau Sani tersingkir pada program yang berlangsung pada malam Sabtu di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, di sini.
Sani, 23, mendapat undian terendah sebanyak dua peratus selepas menyampaikan lagu nyanyian asal Jaclyn Victor berjudul Gemilang.
Pengumuman itu dibuat oleh 'Inspirer' minggu ini iaitu Faizal Tahir.
Dalam padaa itu, duo lelaki iaitu Mohd Azhar Osman, 25, dan Hal Husaini Razmi, 25, (Azhael) mengungguli persembahan pada malam itu dengan undian sebanyak 26 peratus.
Sani ketika ditemui memberitahu terkejut dengan keputusan itu namun menganggap rezeki tidak memihak kepadanya.
"Ini bukan pengakhiran buat saya tetapi permulaan dan jika mempunyai rezeki saya akan teruskan karier nyanyian di Malaysia," ujarnya kepada mStar Online.
Selain Azhael, sebelas lagi peserta yang mara ke minggu seterusnya adalah Nur Nabila Razali (Nabila), 21, Nur Aisyah Aziz (Aisyah), 19, Siti Ruhailah Hussein (Indah), 23, Rasmawatie Mohd Thamrin (Nona), 18, dan Nadia Amira Othman, 20.
Manakala turut mara adalah Chin Teik Meng (Darren), 21, Muhammad Ikhtiman Che Ismail (Iman), 23, Abdul Suhadah Unding (Suhada), 21, dan Mohd Faizul Sani, 28 dan peserta duo perempuan iaitu Irsa Sahabuddin, 26, dan Irmiza Sahabuddin, 23, (Irmisa).
Tiga pengkritik tetap terdiri daripada komposer Roslan Aziz, Pelakon Sharifah Amani dan Penyanyi dan komposer Edry KRU.
Sementara itu, Faizal berkata, secara keseluruhannya kesemua peserta telah menunjukkan potensi cemerlang pada minggu ini selain ada di antara mereka telah menunjukkan hala tuju dalam bidang nyanyian.
"Paling menyerlah adalah Indah, Nona dan Faizul yang menunjukkan prestasi cemerlang dan peserta-peserta lain nampak yakin dan selesa ketika berada di pentas," jelasnya.
Pada minggu pengenalan ini, konsert bertemakan 'Meraikan 15 Ikon Malaysia' dan para peserta dibawah bimbingan Faizal dengan susunan muzik terbaharu menerusi lagu pilihan peserta.
Konsert yang berlangsung selama dua jam ini turut dihadiri tenaga pengajar AF 2013 seperti Fizz Fairuz, Shafi Sharif, Alam Wakaka dan Suhaili.
Selain Faizal AF 2013 turut menampilkan dua lagi tenaga pengajar utama yang dikenali sebagai 'Inspirer' iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Melly Goeslow.
AF 2013 bersiaran secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Maya (135) dan ia dihoskan oleh Zizan Razak.

Bront Palarae batalkan majlis resepsi di ibu kota

Posted: 15 Sep 2013 02:28 AM PDT


  • Bront Palarae batalkan majlis resepsi di ibu kota Bront dan Liyana Jasmay dalam 'New York Cinta'
"KENAPA nak rahsia? Siapa wanita itu dan mengapalah berita baik seperti ini tidak mahu dikongsi bersama masyarakat, terutamanya peminat yang selama ini menyokongnya?"

Itulah soalan demi soalan yang sentiasa bermain di fikiran kebanyakan pihak setelah aktor berbakat besar, Bront Palarae, membuat keputusan untuk merahsiakan perkahwinannya yang berlangsung pada 31 Ogos lalu.

Meskipun pada awalnya dia berdolak-dalik mengenai berita baik itu, aktor KL Gangster ini akhirnya terpaksa akur setelah perkahwinannya itu berjaya dihidu pihak media.

Akui tidak berniat untuk merahsiakan perkara itu, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, sehingga kini bagaimanapun tetap dengan pendiriannya untuk tidak berkongsi mengenai perihal perkahwinannya.

"Saya mahu tegaskan, ini ialah hal peribadi dan saya tidak perlu berkongsi cerita dengan peminat melainkan kerja  (lakonan) sahaja.

"Pernikahan saya itu hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dari kedua-dua belah pihak tanpa diketahui kawan-kawan saya sendiri dan rakan media.

"Lagipun, saya ada kawan dan rakan media yang ramai. Jadi, tidak mungkin saya boleh penuhi kemahuan mereka semua kerana ini ialah hal keluarga saya," jelasnya ketika ditemui selepas pelancaran supertelefilem New York Cinta, di Subang Jaya, Khamis lalu.

Tidak mahu isu perkahwinannya terus menjadi perhatian, Bront turut mengambil keputusan untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya di kampung ibunya, Hatyai, Thailand,

"Pada awalnya saya merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur dan mahu menjemput kawan-kawan lain. Malah, ada kawan-kawan yang merajuk dan kecil hati bila hanya dapat tahu saya kahwin daripada media.

"Tetapi, apabila hal ini telah menjadi kecoh, tidak mungkin saya akan buat resepsi di Kuala Lumpur sebaliknya hanya di Hatyai hujung tahun ini.

"Jika ada yang masih ingin mencari berita tentang saya, jemputlah datang ke majlis saya di sana," katanya.

Memandangkan dia terlalu berahsia mengenai kehidupan peribadinya, Bront turut diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan dia pernah berkahwin sebelum ini.

"Saya hanya pernah berkahwin di dalam filem. Kalau ada yang cakap saya pernah kahwin sebelum ni, bolehlah semak di pejabat agama. Tapi, ini adalah kali pertama saya bernikah," tegasnya.

Tertarik sikap sederhana isteri

Melangsungkan pernikahan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Bront juga tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan identiti sebenar isterinya itu.

"Isteri saya orang biasa saja. Dia bukanlah selebriti tetapi bekerja dalam bidang periklanan. Saya kenal dia sejak zaman sekolah lagi. Dia berasal dari Kuala Lumpur. Itu saja yang saya boleh beritahu," katanya.

Di usik pertanyaan mengenai keistimewaan isterinya itu, Bront berkata, sikap sederhana serta mampu menjadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anaknya, membuatkan dia tidak teragak-agak memperisteri wanita itu.

Ketika ditanya mengenai reaksi isterinya terhadap kontroversi perkahwinan mereka yang kian menjadi perhatian, Bront berkata, isterinya sangat memahami situasi itu.

"Sejujurnya, apabila membaca pelbagai berita tentang perkahwinan kami, ia membuatkan kami tergelak tetapi dalam keadaan yang serius," katanya yang tidak menyangka berita mengenai perkahwinan itu mendapat perhatian ramai.

Sedia bergelar bapa

Berkongsi kehidupannya selepas bergelar suami, Bront berkata, dia masih dalam proses pembelajaran untuk mendalami  selok-belok rumah tangga

"Menjalani kehidupan berumah tangga sama sahaja. Cuma sedikit janggal kerana sebelum ini berkahwin dengan hati, tetapi sekarang sudah tinggal bersama.

"Sebelum ini saya dan isteri sudah lama berkawan dan apabila bergelar suami isteri, perasaan pelik itu sedikit timbul.

"Mungkin rasa tanggungjawab sebagai suami itu sudah ada selain perkahwinan ini sekali gus membuatkan saya rasa lebih matang," katanya.

Lumrah bagi pasangan yang berkahwin, pastinya mengidamkan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga. Malah Bront juga akur dengan situasi itu.

"Saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ayah pula. Jadi, doa-doakanlah kami agar cepat dapat cahaya mata," katanya yang masih belum mempunyai perancangan berbulan madu kerana terikat dengan komitmen kerja.

Dalam perkembangan lain, mulai 12 September lalu, lakonan Bront menerusi supertelefilem 'New York Cinta' bersama Liyana Jasmay,  dapat disaksikan secara eksklusif di Astro First.

Milgo sasar pasar raya besar

Posted: 15 Sep 2013 02:26 AM PDT


  • Milgo sasar pasar raya besar Aremy bersama produk pertama syarikatnya, Milgo yang dihasilkan menggunakan susu kambing khusus untuk kanakkanak berusia satu hingga tiga tahun.
SYARIKAT pengeluar susu kanak-kanak milik Bumiputera berasaskan susu kambing, Aranutrition Enterprise menerusi jenama Milgo menyasarkan untuk memasuki pasaran pasar raya besar akhir Januari tahun hadapan.

Pengarah Urusan Aranutrition, Aremy Riza Aizan berkata, bagi peringkat permulaan, syarikatnya berhasrat ke pasar raya besar seperti Giant dan Mydin.

"Sejak beroperasi awal tahun ini, kami memulakan operasi dengan memberikan penumpuan kepada pemasaran dalam talian dan pada masa sama mempunyai agen, stokis dan dropship di seluruh semenanjung Malaysia dan bakal ke Sabah dan Sarawak.

"Buat masa ini, kami mempunyai 10 stokis dan 25 agen serta menyasarkan untuk menambah 56 stokis dan 140 agen menjelang akhir tahun ini," katanya yang turut membelanjakan RM30,000 bagi menghasilkan produk itu.

Menurutnya, Aranutrition menyasarkan untuk mencapai perolehan jualan RM450,000 sehingga akhir tahun ini.

Bagi perancangan masa depan syarikatnya, Aremy berkata, Aranutrition berhasrat membuka kilang sendiri dan menghasilkan produk khas untuk ibu mengandung.

"Kami juga berharap dapat membawa produk kami memasuki pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan China," katanya.

Aremy berkata, setakat ini, kilang sedia ada terletak di Negeri Sembilan itu mampu mengeluarkan kapasiti 60,000 hingga 80,000 kotak sebulan.

Model tunggal pondan, tarik perhatian ramai

Posted: 15 Sep 2013 02:20 AM PDT


  • Model tunggal pondan, tarik perhatian ramai Rani cuba memberi aksi terbaik walaupun gugup.
ALOR SETAR - Tiada siapa mampu menyangka model berkulit sawo matang yang sedang mengenakan sepasang busana pengantin berwarna biru rekaan pereka tempatan ini akan tampak cantik dan bergaya yakin di pentas fesyen hingga menjadi perhatian.

Malah, gerak gayanya berjalan di pentas peragaan tidak kalah dengan kesemua peserta perempuan lain, walaupun dikatakan baru pertama kali menjadi model pentas peragaan hingga setiap langkah peserta unik ini seakan-akan memukau dan menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun, dia yang hanya dikenali sebagai Rani, 30, ini merupakan peserta tunggal daripada golongan pondan daripada keseluruhan 11 peserta yang menyertai sebuah pertandingan dalam Festival Kerja Kahwin Utara 2013 di Ukir Mall, dekat sini, semalam.

Katanya, dia tidak pernah berjalan di pentas fesyen bagi memperagakan sebarang jenis fesyen, malah tindakannya menyertai pertandingan terbabit adalah di saat-saat akhir bagi membantu rakannya semata-mata.

"Memang, saya pernah menjadi model 'photoshop' sekali-sekala demi membantu kawan. Jadi, kalau buat salah, ada orang tolong betulkan. Namun, ini kali pertama perlu berjalan di hadapan ramai orang.

"Memang, pada mulanya rasa kekok kerana tidak pernah buat. Lepas itu, lain daripada yang lain pula. Saya juga jangkakan, mungkin ada orang yang akan pandang pelik. Namun, kawan-kawan banyak bagi sokongan," katanya.

Malah, katanya, banyak pihak termasuklah juri baik hati dengan memberi kata semangat kepadanya dan sedia memberi nasihat kepada dirinya supaya tidak berasa gugup semasa berjalan di pentas peragaan terbabit hingga membuatkannya cuba melakukan yang terbaik.

Dalam pada itu, katanya, walaupun, sudah lebih lima tahun membantu rakannya, namun dia tidak terlalu mengharapkan kemenangan semasa menjadi model pengantin bagi menyertai pertandingan berkenaan berikutan ia adalah percubaan kali pertamanya berbanding yang lain.

Lelaki separuh bogel mengganas cari anak dara

Posted: 15 Sep 2013 02:19 AM PDT


  • Lelaki separuh bogel mengganas cari anak dara Gambar seorang lelaki tanpa seluar dipercayai suspek diedarkan kepada orang ramai di sekitar Bukit Payung dan Alor Limbat melalui pelbagai media baru termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di Marang.
MARANG - "Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki separuh bogel memakai topeng 'Zorro' berada atas badan. Saya cuba menjerit namun mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan ditutup," kata mangsa, seorang pelajar berumur 17 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pelajar terbabit mendakwa lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair seperti minyak dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia tidak sedarkan diri. 

Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga tersedar daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum menyergah lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri.

Menurut mangsa, lelaki terbabit hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya.

"Nasib baik lelaki itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur kerana kejadian disedari bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu sampai bila-bila, malah masih berasa takut seolah-olah dia akan datang semula.

"Keluarga juga risau kejadian berulang dan mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di Marang dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan segera" katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, difahamkan lelaki separuh bogel dipercayai mengalami masalah mental itu juga digelar sebagai 'orang minyak' oleh penduduk kampung kerana sering berkeliaran di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Malah, kelibat lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam penduduk di kawasan berkenaan dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook, whatsApp dan media baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di kawasan Bukit Payung, di sini.

Kejadian itu juga menyebabkan JKKK Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.

Menurut Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di kawasan kampung bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan disertai ahli jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.

"Rondaan ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan dengan lebih giat selepas beberapa siri kejadian membabitkan lelaki dipercayai kurang siuman yang digelar sebagai orang minyak itu dikatakan mula berkeliaran termasuk di Tok Renek.

"Tok Renek masih di bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung ini terletak di sempadan kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas lelaki terbabit," katanya.

Kalau jadi apa-apa, saya gila - Nabila Huda

Posted: 15 Sep 2013 02:16 AM PDT




TATKALA mengenang insiden kemalangan jalan raya pada Ahad lalu, kelopak mata Nabila Huda Suhaimi pantas digenangi air mata. Ingatannya segera menerpa pada pukul 3.30 petang bertarikh 8 September lalu. Ditahan-tahan suaranya. Namun, dia tidak lokek berkongsi keadaan sebenar.
Seingatnya, dia terlelap dalam perjalanan pulang tatkala kenderaannya melintasi Kilometer 71 Lebuh Raya Pantai Timur arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur. Sewaktu matanya terbuka, dia nampak buah hatinya, Keisha Laila sedang lelap di belakang. Dia menoleh ke depan semula, selepas melihat aktor Syazwan Zulkifly memandu tenang di sebelahnya dalam keadaan hujan lebat sehingga pandangan menjadi kabur.
Tidak sampai beberapa saat, kenderaan jenis Mitsubishi Triton milik Syazwan melelong lantaran jalan licin sebelum terbalik beberapa kali dan berhenti. Dalam keadaan pening, Nabila menoleh ke belakang, mencari Keisha yang hilang daripada pandangan. Dia menjerit-jerit nama puterinya itu seraya menyuruh Syazwan keluar dari tingkap kereta yang sudah mengiring. Kaca bertaburan di sana sini.
Syazwan menyelinap dari tingkap dan gagal mengesan Keisha, Nabila bergegas naik tanpa selipar. Kakinya seakan-akan tidak terasa bahawa dia sebenarnya sudah memijak kaca yang bertaburan. Matanya terpandang ke arah tubuh Keisha di atas jalan, beberapa meter di belakangnya. Keisha sedang cuba bangun daripada pembaringan dalam hujan yang masih lebat.
Berlarilah ibu ke arah anaknya. Memeluk Keisha yang basah kuyup lantas bertanya "Keisha OK?" Anak kecil yang ternyata masih bingung itu merengek menyatakan dia OK namun anak kecil itu masih terasa sakit.
Itu momen yang jelas di mata Nabila ketika dia merangkul Keisha dalam kebasahan dan anaknya masih tabah untuk cuba bangun ketika dia terbaring selepas tercampak keluar dari kereta.
Dia kemudian dibawa ke Hospital Bentong, Pahang atas jasa baik sebuah famili yang kebetulan melalui lebuh raya yang sama.
"Semasa di hospital, saya tenangkan Keisha. Dia seperti dalam kebingungan. Saya pujuk dia supaya tidak menangis kerana dia anak yang tabah. Dia menurut kata saya. Namun ketika dia mendengar jeritan saya semasa luka di kaki saya sedang dicuci, dia berteriak. Dia tahu saya berada dalam kesakitan. Dia seperti turut merasainya. Itulah Keisha, permata hati saya," air mata Nabila Huda bergenang mengingatkan anak yang ketika ini berada dalam jagaan bekas suaminya.
ANAK- BERANAK stylo ini sering mengucapkan ayat-ayat cinta antara satu sama lain.


Dihukum masyarakat
"Sebagai ibu, saya bersyukur kami selamat. Kalau terjadi apa-apa pada Keisha, saya sanggup mati. Saya tidak boleh bayangkan dan pasti saya gila. Syukur, umur kami panjang. Dia adalah kekuatan saya dan dia juga dapat kekuatan daripada saya," ujarnya tidak putus-putus bersyukur.
Kisah kemalangan Nabila dan anaknya itu mendapat sorotan ramai. Ramai yang sentiasa mahu tahu keadaan terkininya. Tak kurang juga yang meninjau akaun-akaun Twitter orang yang ada dan yang pernah hadir dalam hidup Nabila Huda.
Ada yang mempersoalkan kenapa Nabila membawa anaknya ke tempat kerja. Jawapan Nabila atau mesra dipanggil Abil mudah dan tepat. Dia mahu menghabiskan masa bersama anaknya dan kebetulan semasa Keisha di bawah jagaannya, dia perlu ke Kuatan, Pahang atas tugasan.
"Pertanyaan itu timbul kerana berlakunya kemalangan itu. Selama ini, memang Abil bawa Keisha ke mana-mana, itu masa berkualiti Abil dengannya. Bagi Abil, bawa anak ke tempat kerja tidak salah," luahnya yang menghadapi sedikit komplikasi di bahagian belakang tubuhnya.
Bukan sekali Abil membawa Keisha ke daerah tugasannya. Semua peristiwa itu dapat disaksikan melalui akaun Instagram Abil yang penuh dengan gambar permata hatinya. Bagi Abil, Keisha memahami kerjayanya sebagai pelakon dan tidak pernah membuat kerenah sewaktu di set penggambaran. Lagipun 99 peratus masa Abil habis di lokasi.
"Keisha gemar melihat saya berlakon. Kalau dia melihat saya melakonkan watak sedih, dibuatnya muka sedih. Kalau cemas, dia turut cemas. Dia sentiasa bertanyakan keadaan saya selepas setiap adegan. Dia mahu pastikan mummy OK," senyum Abil mengingatkan keletah Keisha yang persis dirinya.
"Buat Keisha, saya inilah idola dirinya. Mahu bersolek, berpakaian, gaya rambut semuanya persis saya. Saya adalah segalanya-galanya buat dia. Keisha juga pemerhati kerja-kerja saya sebagai pelakon," tambah Abil.
BERSYUKUR kerana dikurniakan umur panjang, Abil berharap khalayak dan keluarga juga merasakan perkara yang sama.


Mahu difikirkan sedih akan cakap-cakap umum terhadap dirinya sebagai anak seni, dia seperti sudah kebas. Kata Abil, dia tahu ada manusia yang hanya sudi melihat keburukan orang. Itu sudah menjadi lumrah. Kredibiliti dirinya sebagai ibu juga jadi tanda tanya umum.
"Saya membawa diri saya sebagai seorang ibu sewaktu bersama Keisha. Saya tidak perlu menunjuk-nunjuk depan orang. Pada waktu lapang, kami memang menghabiskan masa bersama-sama. Saya dan Keisha sangat loving. Kami selalu berpelukan dan memberikan ayat-ayat cinta. Makan, minum, tidur dan mandi bersama. Perlukah saya tunjuk semua itu kerana itu memang normal sebagai ibu?" tanyanya yang berasa kehairanan.
"Orang biasa (di luar industri) mungkin tidak faham. Mereka pertikai pelbagai perkara. Sebaliknya, mereka tidak nampak susah senang saya. Banyak yang saya simpan sendiri. Malah, saya melayari hidup saya secara sendirian," keluhnya berbau kesal.
Mahu bahagia
Abil mengaku, dia seorang yang degil dan banyak mendengar kata hatinya sendiri. Namun, dia juga mengaku bukanlah semua perkara yang dilakukannya terlihat jahat.
"Umur saya 29 tahun dan saya bukannya tidak berjaya. Saya berusaha sendiri atas keringat dan bakat saya. Tanggungjawab saya terhadap diri dan anak, saya laksanakan dengan baik. Umum juga boleh lihat perjalanan saya sebagai pelakon. Semuanya saya lakukan dengan bakat dan kudrat sendiri. Saya berjaya dengan lakonan saya. Justeru, bila ada pertikaian tentang diri saya, apa lagi yang mereka lihat dan mahukan?" tanya Abil lagi tanpa saya jawab.
Jauh di benak hatinya dia mahukan kebahagiaan. Katanya dia mahu menjalani kehidupan bersama-sama anak dengan aura gembira dan sederhana. Hidupnya seperti ibu lain, normal dan penuh tanggungjawab.
Ketika ditanya topik umum tentang Abil masih tidak berubah, dia menjawab dengan tenang. Dia tahu perubahan yang dipersoalkan itu berdasarkan pandangan terhadap gaya hidupnya yang tidak pernah disorokkan melalui gambar-gambarnya di Instagram. Dia mungkin dilihat bebas atau liar pada pandangan mata sesetengah orang.
"Perubahan saya tidak perlu saya uar-uar atau tunjukkan. Saya lakukannya dengan hati saya sendiri. Saya mengaku saya sudah agak perlahan dengan gaya hidup di luar kerana saya banyak bekerja," senyumnya manis tetapi nipis.
Buat Abil, hidup sendiri tidaklah sesuatu yang sukar kerana dia terbiasa dengan situasi itu.
Termenung jauh dia seketika sebelum temu ramah yang ditemani Niesa Khalil, sang pengurusnya berakhir. Menarik nafas, dia kemudian mengangguk dan bercakap dalam nada separuh berbisik: "Ada hikmah di sebalik semua kejadian."
Sebelum dia pulang, penulis bertanyakan traumanya. Dia mengangguk, air matanya mengalir: "Bila saya bersendirian, ingatkan balik momen di mana Keisha tiada di tempat duduk kereta selepas kemalangan, saya jadi trauma. Momen itu menakutkan saya."

Teater kecil masuk Istana Budaya

Posted: 15 Sep 2013 02:15 AM PDT




RUANG berkarya untuk karyawan teater muda digelar Mask Team membuka lembaran baharu apabila buat pertama kalinya mereka diberi kepercayaan untuk membuat pementasan di Istana Budaya.
Tidak terus naik ke Panggung Sari yang selalunya menjadi pentas berskala mega, kecintaan Mask Team sudah cukup berbalas apabila tarikh 27 hingga 30 September ini menjadi detik bermulanya episod Maduku Kalut dipertontonkan kepada umum.
Seimbang dengan skala produksi dan konsep yang minimalis, naskhah komedi adaptasi daripada karya asal Ray Cooney berjudul Run For Your Wife itu akan dipentaskan di Lambang Sari. Melihat kepada barisan pelakon serta tenaga produksi yang masih muda, kehadiran Maduku Kalut barangkali merupakan sebuah komedi yang bakal menghiburkan.
Diarahkan oleh Azhar Zainal, Maduku Kalut membawa masuk seorang lagi muka baharu, Izzue Islam yang selama ini bergelar penyanyi dan pelakon. Namun, dia tidak pernah berlakon teater sebagai salah seorang pelakon utama. Bersama Izzue, turut dihimpunkan ialah Karl Shafek, Jihan Muse dan Nad Zainal untuk sama-sama membentuk sebuah persembahan yang buat julung-julung kalinya mereka disatukan.
SENSASI BINTANG: Bagaimana kalian melihat kelestarian dan penerimaan khalayak terhadap produksi teater berskala kecil.
NAD ZAINAL (NZ): Banyak perkara positif sedang berlaku. Para lepasan universiti dan institusi seni sendiri menunjukkan inisiatif mereka untuk terus berkarya mengikut kemampuan mereka. Sekarang, Istana Budaya sendiri mengalu-alukan golongan muda. Dahulu sukar, tapi Maduku Kalut tiba pada waktu yang tepat. Sekarang, nama yang sudah masuk ke hiburan perdana pun terlibat dalam produksi kecil, itu bagusnya.
KARL SHAFEK (KS): Saya pun nampak benda yang sama. Rasanya, pada setiap bulan, ada sahaja produksi teater di mana-mana. Ruang dan peluang itu adalah inisiatif daripada penggiat teater itu sendiri. Saya kira dalam lima atau 10 tahun lagi, situasi itu akan terus berkembang.
IZZUE ISLAM (II): Saya tidak pernah tengok teater dan tidak tahu bagaimana rasanya berlakon di pentas teater. Bagi saya, ini cabang dan cabaran baharu. Harap saya diterima seadanya.
JIHAN MUSE (JM): Ada progres dan kemajuan sebab produksi teater kecil sudah tumbuh macam cendawan selepas hujan. Khalayak pula makin ramai yang suka dan datang menonton. Mereka ada pilihan dan genre teater yang dipersembahkan juga sudah pelbagai.
Masalah produksi kecil yang utama ialah bajet, sambutan khalayak dan ruang publisiti yang terhad, komen kalian?
MUDA, berbakat serta masing-masing mempunyai pengaruh untuk tarikan penonton menjadi faktor pemilihan Izzue Islam, Jihan Muse, Nad Zainal dan Karl Shafek yang digabungkan bersama beberapa lagi pelakon teater lain demi kelestarian teater Maduku Kalut.


NZ: Pemilihan pelakon penting agar khalayak melihat persembahan itu lebih gah. Tapi, biasanya produksi teater kecil lebih fokus kepada kepuasan berkarya. Kalau nak komersial, lebih baik tengok drama televisyen. Kalau peminat merupakan peminat teater tegar, mereka tiada masalah dengan konsep minimalis.
KS: Penggiat teater faham kekangan itu. Saya sendiri bermain teater kerana minat dan platform untuk belajar lakonan. Sudah tiga tahun melibatkan diri dengan teater, pengalaman yang dikutip ini saya boleh bawa ke ruang lakonan yang lebih luas. Teater kecil memang fokus kepada pengisian tetapi rasanya Maduku Kalut sangat seimbang. Saya sangat seronok dapat terlibat kali ini.
II: Dari segi bajet, saya memang tiada masalah. Penerbit Shawn Amer yang tawarkan tempat untuk saya. Kebetulan saya sudah lama berhajat mahu berlakon teater. Jadi, penglibatan saya lebih kepada aspek mencari ilmu baharu.
JM: Syukurlah untuk Maduku Kalut, kami tidak berdepan masalah yang kritikal sebab kami ada pengurusan yang bagus. Lagipun, ini pertama kali Mask Team dan saya dapat berlakon di Lambang Sari, Istana Budaya.
Barisan pelakon Maduku Kalut boleh dikatakan seimbang, ada nama yang memang hanya dikenali oleh pengikut teater dan wajah komersial dan pelakon popular macam Izzue Islam pun ada, adakah selesa dengan gabungan begini?
NZ: Rasanya, gandingan sebegini dapat menjadi daya tarikan untuk penonton. Kami masih berfikiran positif. Maduku Kalut kena cari satu formula agar kandungannya ditonton ramai.
KS: Barisan pelakon berwajah komersial dan pelakon teater sejati, masing-masing ada pro dan kontra. Kalau pilih hanya kerana semata-mata memiliki wajah komersial tetapi tidak boleh memberikan lakonan pentas yang baik, ia tidak akan memberi makna. Terdapat ramai pelakon teater di luar sana. Saya harap formula memasukkan wajah komersial macam Izzue Islam ini akan berjaya dan pada suatu hari nanti, orang datang tengok teater bukan hanya kerana pelakon sahaja tapi kerana pengisian keseluruhannya.

(DARI KIRI) Jihan Muse, Karl Shafek, Nad Zainal dan Izzue Islam masing-masing berbangga kerana berpeluang memijak pentas Istana Budaya dengan sebuah teater.


II: Saya cuma mampu bersyukur kerana dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon yang banyak pengalaman berteater. Di sinilah saya belajar banyak perkara seperti bagaimana hendak melontarkan dialog dan karakter.
JM: Saya tak rasa barisan Maduku Kalut berasaskan nilai komersial dan populariti sahaja. Kami diambil sebab masing-masing ada asas lakonan dan teater. Izzue Islam sendiri sudah banyak berlakon.
Jadi apa yang kalian akan persembahkan kepada penonton? Ceritakan sedikit tentang permainan karakter masing-masing.
NZ: Saya sebagai Mimi, isteri kedua kepada Selamat (Izzue Islam). Watak saya agak manja, gedik, keanak-anakan dan pentingkan kecantikan. Walaupun saya isteri kedua, tapi saya bukan perampas.
KS: Sebagai Amy Amino, saya kena menjadi lelaki yang lembut dan dalam masa yang sama jiran dan sahabat baik kepada keluarga Selamat. Amy sebenarnya yang menjadi punca kekalutan dalam teater ini.
IZ: Selamat sebenarnya seorang yang romantik, dia tidak gatal tapi licik mengatur strategi berumah tangga.
JM: Saya pula sebagai Bibi, isteri pertama kepada Selamat. Bibi seorang yang garang tapi selalu kelam-kabut. Boleh dikatakan, apa sahaja karakter yang selalu didengar mengenai isteri tua ada pada watak Bibi.

KL Zombi tidak seram

Posted: 15 Sep 2013 02:14 AM PDT



JIKA mengharapkan sebuah hiburan komedi, anda wajar menonton KL Zombi.


RAMAI yang mengeluh sejurus menonton filem KL Zombi di panggung wayang. Walaupun kisah tentang zombi menjadi subjek yang dinanti-nantikan para peminat filem tempatan, namun idea itu tidak dilaksanakan dengan sempurna apabila ia disajikan dengan aksi komedi semata-mata.
Biarpun diangkat daripada sebuah novel berjudul Zombiejaya, hanya 50 peratus daripada isi novel itu diperturunkan dalam KL Zombi.
Filem KL Zombi mengisahkan penularan sejenis virus yang membuatkan manusia bertukar menjadi zombi di sekitar Lembah Klang.
Ia mula dijangkiti oleh Aliff dan Ana yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah. Wabak itu mula merebak di sebuah sekolah apabila ramai murid bertukar menjadi zombi.
Beberapa orang terselamat daripada dijangkiti wabak itu termasuklah Nipis, dua orang budak sekolah, Afiq, Lisa serta Nora. Mereka telah berusaha melepaskan diri daripada digigit makhluk itu bagi mengelak menjadi zombi. Disebabkan kekuatan dan kebijaksanaan, mereka menjadi hero apabila menyelamatkan ibu kota daripada terus diserang virus itu.

FILEM ini harus mendapat pujian kerana kualiti solekan para pelakonnya. Namun, kualiti solekan itu tidak digunakan sepenuhnya untuk digarap bersama elemen yang lebih suspens.


Filem KL Zombi dibintangi oleh Zizan Razak sebagai Nipis, Siti Saleha (Nora), Zain Hamid (Aliff), Izara Aishah (Ana), Iedil Putra (Kamarul), Faezah Elai (Sofea) dan Azhan Rani (Azman). Turut terlibat adalah pelakon kanak-kanak Afiq Izuddin (Afiq) dan Nur Shafiqah (Lisa).
Kak Ogy (Fauziah Datuk Ahmad Daud) dan Khir Rahman turut berlakon dalam filem itu.
Pujian harus diberikan kepada pereka solekan kesan khas apabila wajah zombi disolek dengan sempurna. Solekan berkualiti itu bukan hanya terdapat pada wajah pelakon utama. Pelakon-pelakon tambahan turut diberikan solekan yang berkualiti itu.
Malangnya, solekan hebat itu tidak digunakan sebaik mungkin apabila hampir tiada langsung plot seram dan suspens yang dipersembahkan.
Biarpun terdapat adegan yang dikejar zombi melatari sepanjang tayangan filem itu, namun kisahnya tetap mendatar. Banyak adegan komedi yang ditampilkan pengarah ketika mangsa-mangsa dikejar makhluk itu.



Mungkin pengarahnya ada alasan sendiri mengapa aksi seram diminimumkan, namun agak merugikan apabila solekan khas yang berkualiti itu tidak dimanipulasi sepenuhnya.
Watak dan aksi lawak yang dipersembahkan Zizan dalam filem tersebut tidak banyak beza berbanding dalam filem-filem lain lakonannya sebelum ini.
Namun, Faezah menjadi penyelamat dengan lakonan bersahajanya. Dia yang menyamar sebagai zombi ketika berada dalam kelompok makhluk itu berjaya mencuit hati penonton.
Boleh dikatakan bahawa pengaruh Zizan menjadi penyelamat KL Zombi. Jika tidak diletakkan pelakon itu sebagai teraju utama, saya percaya bahawa naskhah arahan Woo Ming Jin tersebut sukar untuk mengutip pulangan RM2.83 juta selepas beberapa hari ditayangkan.
Filem ini berbaloi ditonton jika anda sekadar mahu bergelak ketawa.
Komen Syalmizi: Pasti lebih menarik kalau Kak Ogy juga bertukar menjadi zombi.

Polis bertempur dengan guru di ibu kota Mexico

Posted: 15 Sep 2013 02:07 AM PDT



PENUNJUK perasaan yang terdiri daripada guru dan orang ramai berundur dari Dataran Zocalo di Bandar Raya Mexico kelmarin. - REUTERS


MEXICO CITY - Beratus-ratus anggota polis pencegah rusuhan menguasai semula sebuah pusat bersejarah di ibu kota Mexico di sini selepas mereka menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk mengusir sekumpulan guru yang menunjuk perasaan di lokasi berkenaan.
Kumpulan tersebut bertindak balas dengan membaling bom-bom api ke arah pasukan keselamatan.
Sekurang-kurangnya 40 orang cedera dalam pertempuran kelmarin di Dataran Zocalo selepas ratusan penunjuk perasaan melanggar tarikh akhir untuk meninggalkan kawasan tersebut bagi membolehkan sambutan Hari Kemerdekaan Mexico diadakan hujung minggu ini.
Protes yang melibatkan beribu-ribu guru di dataran ini berlangsung sejak beberapa minggu lalu kerana membantah pembaharuan dalam sistem pendidikan Mexico.
Kumpulan pendidik berkenaan yang sebahagian besarnya bertopeng dan bersenjatakan kayu bertindak membakar sampah dan meletakkan penghadang besi bagi menghalang laluan masuk ke Dataran Zocalo.
Dataran berkenaan menempatkan Istana Negara, sebuah gereja utama dan beberapa tinggalan bersejarah tamadun Aztec.
Polis mengosongkan dataran itu dalam tempoh setengah jam. Sejam kemudian, sejumlah pekerja tiba untuk merobohkan khemah-khemah penunjuk perasaan dan membersihkan lokasi tersebut
Beberapa minit sebelum polis menyerbu Dataran Zocalo, kerajaan pimpinan Presiden Enrique Pena Nieto mengundang rakyat Mexico untuk menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan negara itu di lokasi berkenaan hari ini dan esok.
Dalam perkembangan berkaitan, Palang Merah Mexico menyatakan, sekurang-kurangnya 29 penunjuk perasaan dan 11 anggota polis cedera dalam konfrontasi itu.
Ketua Polis Persekutuan, Manuel Mondragon Kalb berkata, seramai 31 orang ditahan dalam protes tersebut.
"Mereka ditahan kerana memiliki pelbagai senjata termasuk tangki gas yang digunakan sebagai senapang api," katanya.
Pena Nieto menandatangani rang undang-undang pembaharuan pada minggu ini yang memerlukan guru menjalani penilaian prestasi mandatori.
Guru-guru di Mexico menentang peraturan baharu itu yang dianggap melanggar hak bekerja mereka.

Pakej pemindahan mampu milik Myrelo

Posted: 15 Sep 2013 02:05 AM PDT




PENGALAMAN ketika berpindah rumah dari USJ Subang Jaya ke Bukit Jelutong, Shah Alam pada tahun 2005 bukanlah pengalaman yang menyeronokkan buat Noor Isma Ismail-Dasiuk.
Mendapatkan perkhidmatan lori sewa yang diiklankan di tepi jalan bukanlah pilihan yang bijak ketika itu kerana terdapat barangan dan perabot miliknya menjadi rosak dan calar disebabkan kelalaian para pekerja.
"Ada rakan yang mencadangkan kami untuk mengupah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemindahan bagi memudahkan proses perpindahan ke rumah baharu.
"Namun, disebabkan bayaran terlalu mahal yang dikenakan, kami mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan lori sewa. Tetapi, hasilnya sangat mengecewakan apabila kebanyakan barangan dan perabot kami rosak.
"Kami pula terpaksa menanggung kos kerugian kerana tiada insurans yang ditawarkan. Bermula dari situlah, tercetusnya idea untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan pemindahan pada harga yang berpatutan," ujar ibu kepada tiga orang anak ini yang kini menjadi Pengarah Urusan Myrelo.
Menurutnya, Myrelo yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu menawarkan perkhidmatan sama seperti yang dilakukan oleh syarikat pemindahan lain dan selepas membuat penyelidikan, Isma mendapati bukan dia sahaja yang mempunyai pengalaman untuk memindahkan barang-barang.
"Bukan kami sahaja yang berdepan dengan situasi barang hilang dan rosak ketika proses pemindahan dilakukan tetapi, ada juga rakan dan saudara-mara yang berdepan masalah yang sama.
"Sebenarnya, cabang perniagaan itu mempunyai pasarannya yang tersendiri. Namun, disebabkan kos yang dikenakan adalah mahal menyebabkan sesetengah individu tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan pemindahan barang.

NOOR ISMA dan suami sangat tegas dalam hal berkaitan disiplin dan kejujuran para kakitangannya.


"Harga yang dikenakan kami berdasarkan kepada kapasiti barangan dan kita menawarkan pakej mampu milik serendah RM950," tambahnya yang pernah menjawat jawatan sebagai pengurus di sebuah institusi perbankan sebelum membuka syarikat Myrelo.
Skop kerja
Noor Isma berkata, pada permulaan penubuhan syarikatnya itu, dia dan suami, Craig Dasiuk, 41, sanggup menjual rumah bagi mendapatkan modal perniagaan.
Katanya, perkhidmatan pemindahan barang mempunyai musim-musim tertentu.
Pada kebiasaannya, kata Isma, ramai orang yang berpindah pada musim cuti persekolahan.
Persaingan daripada syarikat pemindahan antarabangsa yang sudah mempunyai nama dan lama bertapak di dalam industri ini merupakan cabaran yang dihadapi wanita itu.
"Saya juga pernah berdepan dengan masalah para pelanggan tidak membayar hutang selepas menggunakan gudang kami untuk menyimpan barangannya yang kebanyakannya perabot.
"Hampir dua tahun pelanggan tersebut menyimpan barang-barangnya di gudang kami. Pelanggan itu kerap lewat membayar kos penyimpanan. Adakalanya menjangkau sehingga tujuh bulan," ujarnya yang turut menyediakan Unit Pengendalian Aduan bagi memudahkan para pelanggannya membuat aduan sekiranya barangan mereka rosak ketika proses pemindahan dilakukan.

IDEA menubuhkan Myrelo diperoleh Noor Isma dan suaminya, Craig Dasiuk ketika berdepan masalah untuk berpindah rumah.


Justeru, dia dan suaminya kini lebih berhati-hati semasa meneliti latar belakang para pelanggan yang mahu menggunakan gudangnya.
Noor Isma memberitahu, situasi pelanggan cerewet menjadi lumrah dalam bidang perniagaan.
"Berdepan dengan para pelanggan yang cerewet sememangnya menjadi lumrah di dalam perniagaan. Tetapi, jika dilayan dengan baik, mereka boleh bertukar menjadi pelanggan tetap," katanya.
Menurut wanita tersebut, para pelanggan itu juga akan mempromosikan perkhidmatan pemindahan kepada kenalan mereka yang ingin berpindah.
"Kita menyasarkan pelanggan daripada golongan yang berpendapatan sederhana ke atas bagi menyediakan perkhidmatan pemindahan profesional ini," jelasnya yang dalam proses untuk membeli gudang di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor dengan bantuan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad.
Katanya, skop kerja yang ditawarkan Myrelo termasuklah memasukkan buku, baju dan pinggan mangkuk ke dalam kotak, melabel, membuka katil, almari baju serta memasangkannya kembali.
Noor Isma berkata, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan pemindahan penyaman udara, piano, Astro, peti besi, lukisan dan pembersihan rumah.
"Perkhidmatan yang ditawarkan itu adalah bagi memberi kemudahan kepada para pelanggan apabila mereka mahu berpindah.
"Stres ketika berpindah amatlah tinggi. Justeru, kakitangan kita dilatih untuk menjadi lebih prihatin dan sentiasa tenang apabila berdepan dengan pelanggan.
"Bermacam-macam perkara boleh berlaku ketika proses pemindahan. Kadangkala apa yang dirancang, tidak semestinya berlaku seperti yang dikehendaki.
"Saya mengamalkan sikap terbuka tetapi sangat tegas berkenaan disiplin dan kejujuran kerana berada di dalam industri ini, kepercayaan pelanggan merupakan tonggak perniagaan," katanya yang mempunyai seramai 20 orang kakitangan.
MYRELO pernah menerima Anugerah Inovatif pada tahun 2009.


Noor Isma berkata, dia kerap turun padang bagi memantau operasi pemindahan dan penempatan yang dilaksanakan oleh para kakitangannya.
Perkhidmatan luar negara
Menurutnya, pemantauan terhadap operasi yang dilakukannya itu perlu bagi mengekalkan mutu dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pelanggan.
"Myrelo pernah menerima Anugerah Inovatif pada tahun 2009 disebabkan pendekatan dan cara pemikiran saya dan suami yang berbeza dengan orang lain.
"Ia adalah disebabkan saya sendiri mempunyai latar belakang dalam bidang perbankan dan ia banyak mempengaruhi hala tuju syarikat saya.
"Kemudahan pembayaran perkhidmatan melalui kad kredit di Myrelo ditawarkan ekoran hasil pengalaman saya ketika berada dalam industri perbankan," ujarnya yang menyediakan perkhidmatan pemindahan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, selain menyediakan perkhidmatan di peringkat nasional, Myrelo juga mempunyai pelanggan dari luar negara seperti Australia, Singapura, Dubai dan Bhutan.
"Kita turut menawarkan perkhidmatan di peringkat antarabangsa sama ada individu tersebut mahu berpindah ke luar negara atau pun berpindah dari luar negara ke sini.
"Kita akan menguruskan semuanya termasuklah mencari rumah, penempatan sementara, permit kerja dan visa serta proses perpindahan," tambahnya.
Ujarnya, sebagai perancangan masa depan, dia mahu membuka sebuah cawangan di Johor Bahru.
"Kita sudah mempunyai cawangan di Pulau Pinang dan kita juga bercita-cita mahu membuka sebuah cawangan antarabangsa di Australia.
"Selain itu, saya juga mahu membeli lori 10 tan bagi memudahkan pemindahan barang berkapasiti besar dilakukan," kata wanita kelahiran Pulau Pinang ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines