Khamis, 26 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini

Posted: 24 Sep 2013 11:41 PM PDT

ADAM mengaku, pada awal perhubungannya dengan Fiza, ibunya kurang merestui hubungan mereka kerana status Fiza yang merupakan seorang ibu tunggal dua anak.


TIADA ANGIN, tiada ribut, tiba-tiba sahaja keluar berita di sebuah akhbar semalam, penyanyi dan pengamal perubatan, Adam dan Fiza Elite akan bernikah pada 26 September ini pada pukul 10 pagi di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Shah Alam dan sebuah majlis persandingan yang akan diadakan di kampung halaman Adam di Sabah.
Khabar gembira itu benar-benar mengejutkan banyak pihak kerana tidak pernah keluar cerita tentang percintaan mereka berdua sebelum ini.
Sebaliknya Fiza atau nama sebenarnya, Siti Saidatul Fiza Abdul Halim, 32, ibu tunggal kepada dua puteri, Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, sebelum ini dikatakan kecewa kerana perkahwinan yang dirancang pada Jun lalu dengan seorang lelaki yang enggan didedahkan identitinya telah dibatalkan.
Adam atau nama penuhnya, Mohd Aizam Mat Saman, 30, pula juga sebelum ini dilihat berkawan dengan ramai wanita tetapi tidak pernah dikaitkan dengan Fiza. Sedar ramai yang terkejut dengan berita pernikahannya itu, Adam dengan tenang mengaku, Fiza adalah wanita pilihannya walaupun hubungan mereka hanya mula rapat sejak bulan Ramadan lalu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adam semalam.
Kosmo!: Benarkah Adam akan berkahwin dengan Fiza pada 26 September ini?
ADAM: Memang benar. Jika diizinkan insya-Allah saya akan bernikah dengan Fiza pada tarikh tersebut di bilik pelamin Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) cawangan Shah Alam.
Mengapa tiba-tiba ingin bernikah kerana sebelum ini tidak ada cerita kalian bercinta?
Dalam minda orang ramai kalau artis bercinta mesti keluar gosip terlebih dahulu. Ramai yang tidak terhidu hubungan kami dan kami tidak dedahkan ketika itu kerana belum ada apa yang ingin disahkan. Sekarang memang sah kami akan berkahwin, saya pun tidak mahu sorok-sorok kerana orang akan tahu juga.
ADAM melihat Fiza sebagai seorang wanita yang lemah lembut. Dia juga bersedia untuk menjadi bapa tiri kepada dua anak penyanyi dan pelakon tersebut.


Bagaimana hubungan kalian boleh terjalin?
Semuanya bermula pada bulan Ramadan lalu menerusi Blackberry Messenger (BBM). Waktu pertama kali saya berjumpa dengannya dia belum berhijab, kemudian saya lihat dia ubah gambar profil dengan memakai hijab, ingatkan watak dia bertudung dalam lakonan. Saya tegur dalam BBM dan dia kata, itu memang imejnya sekarang, sejak itulah kami mula rapat.
Adakah pernikahan ini tergesa-gesa kerana baru beberapa bulan sahaja kalian rapat dan terus ambil keputusan untuk bernikah?
Sebenarnya, sebelum ini saya sasarkan untuk berkahwin pada usia 28 tahun, sekarang umur saya sudah 30 tahun. Memang saya berdoa pada Allah untuk mendapat jodoh dengan segera, Alhamdulillah Allah bukakan hati saya untuk menerimanya. Hari kedua kami berjumpa, terus kami berbincang soal pernikahan. Saya sendiri hairan dengan keterbukaan hati saya, mungkin ini sudah jodoh saya.
Apakah yang membuatkan anda tertarik kepada Fiza?
Dia seorang wanita yang lemah lembut dan memahami diri saya. Sejujurnya, sebelum ini saya pernah bercinta dengan beberapa orang wanita tetapi dengan Fiza perasaannya berbeza. Saya tidak pernah rasa perasaan ini dengan wanita lain, ketika itu saya tahu dialah wanita pilihan saya.
Sudahkah anda bersedia menerima Fiza yang berstatus ibu tunggal kepada dua orang anak?
Pada mulanya ketika saya suarakan hasrat untuk berkahwin dengannya, ibu saya membantah kerana statusnya.
Mampukah saya menjaga wanita dengan dua orang anak?
Selepas Fiza melawat keluarga saya pada hari raya lalu, mereka semua sukakan dia dan terus merestui hubungan kami.
Saya sendiri tidak kisah dengan statusnya kerana saya menerima diri dia seadanya.
Adam AF nikah Fiza Elite 26 September ini.


Kekasih Pernah Tinggalkan Haliza Misbun Kerana Status

Posted: 24 Sep 2013 11:40 PM PDT


Haliza mengakui sedang bahagia dengan kehidupannya.
KUALA LUMPUR: Hubungan pelakon Haliza Misbun dengan teman lelakinya pernah putus selama beberapa bulan selepas pemuda itu mengetahui dia seorang pelakon.
Haliza, 40, berkata, tindakan lelaki tersebut berbuat demikian kerana bimbang percintaan mereka tidak dapat berjalan dengan baik kerana status selebriti yang dipegang olehnya.
"Sebelum ini dia tidak mengetahui saya seorang pelakon dan saya pula tidak pernah memberitahunya. Bagaimanapun dia mula hairan apabila setiap kali kami keluar akan ada orang yang menegur atau pun senyum kepada saya.
"Sejak mengetahui status saya sebagai seorang selebriti dia mula menjauhkan diri dan memutuskan hubungan kami," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran novel tulisannya berjudul Cinta Rimau di Publika Solaris Dutamas di sini, Selasa.
Haliza baru-baru ini mendedahkan dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan dan lelaki tersebut telah menghadiahkan sebuah kondominium bernilai RM2 juta bersempena hari jadinya yang ke 40 tahun pada 14 Mei lalu.
Tambah Haliza, mereka bagaimanapun kembali berbaik selepas lelaki berkenaan menyedari mereka tidak patut memutuskan hubungan hanya kerana status berkenaan.
"Saya faham mengapa dia bertindak demikian kerana teman lelaki saya seorang yang sangat merendah diri dan tidak gemar cerita peribadinya menjadi perhatian umum.
"Bagaimanapun masalah itu telah dapat diselesaikan dengan baik dan kami masih bercinta seperti biasa," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Haliza berkata, dia tidak pasti bila dia akan menamatkan zaman bujangnya namun berharap hubungan itu akan berakhir dengan perkahwinan.
Jelas Haliza, dia bukan takut dengan perkahwinan tetapi cuba membiasakan diri dengan kehidupan berdua kerana telah terbiasa hidup bersendirian sebelum ini.
"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kehidupan selepas berkahwin kerana sudah terbiasa hidup sendiri tanpa mengharapkan sesiapa.
"Bagaimanapun teman lelaki telah berjaya menembusi tembok yang paling saya takuti itu dan berharap hubungan ini akan berakhir dengan ikatan suami isteri," jelasnya.
Mengulas mengenai hadiah mewah yang diterimanya, Haliza berkata, pemberian lelaki tersebut adalah ikhlas dan ia sebagai bukti cinta teman lelaki terhadapnya.
Kata Haliza, ia bukan bererti dia boleh mengambil kesempatan atas kebaikan lelaki itu sebaliknya benar-benar ikhlas mencintai kekasihnya itu.
"Cinta dia kepada saya sangat tulus dan ikhlas yang tidak ternilai harganya jika dibandingkan dengan harta benda dan wang. Dia orang yang paling rapat dengan Liza sejak dua tahun kebelakangan ini," tuturnya.
Sementara itu, bercakap mengenai novel pertama hasil tulisannya, Haliza berkata, dia sudah memulakan projek berkenaan sejak tiga tahun lalu dan keretakan hubungan dengan kekasihnya sebelum ini telah memberikan lebih sumber inspirasi untuk menyiapkan novel berkenaan.
Jelas Haliza, hampir 60 peratus isi novel berkenaan adalah tentang kisah sebenar yang pernah terjadi dalam hidupnya selain memasukkan elemen-elemen fiksyen.
"Novel ini bukan sekadar mengangkat kisah percintaan tetapi juga tentang isu anak tidak sah taraf dan agama yang menjadi tunjang kepada plot penceritaan," jelasnya.
Tambah Haliza, dia juga bertuah apabila pihak penerbit iaitu Merpati Jingga memberikan kebebasan kepadanya untuk menentukan arah buku tersebut tanpa terikat dengan sebarang peraturan daripada pihak penerbit.
"Sebelum memilih Merpati Jingga sebagai penerbit saya pernah berbincang dengan sebuah syarikat penerbitan yang terkenal namun terlalu banyak peraturan yang perlu saya ikut dan ia sekali gus mengehadkan kreativiti saya sebagai penulis," ujarnya.

Awie Minta 'Pertemuannya' Dengan Erra Fazira Tidak Disensasikan

Posted: 24 Sep 2013 11:37 PM PDT


Awie menegaskan kerjasama bersama Erra Fazira adalah atas dasar profesional.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Awie berharap gandingan terbaharunya bersama Erra Fazira dalam konsert Suara Kita di Istana Budaya pada Mac 2014 tidak disensasikan hanya kerana mereka pernah bertunang suatu ketika dahulu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 45, menegaskan kerjasama yang turut menggandingkan Ziana Zain itu adalah atas dasar profesional.
"Apabila mengambil keputusan untuk mengadakan konsert ini sejarah lama antara saya dan Erra pasti akan menjadi perhatian namun saya berharap ia tidak disensasikan.
"Kerjasama ini hanya semata-mata atas dasar profesional. Saya dan dia sudah mempunyai kehidupan masing-masing, sejarah lama tidak perlu diungkit lagi," katanya kepada mStar Online.
Tambah Awie, isterinya, Ruzana Misbun juga tidak mempunyai sebarang masalah tentang kerjasama tersebut dan memberi keizinan untuk berbuat demikian.
Malah kata Awie, Ruzana juga teruja dengan gabungan itu kerana turut mengagumi bakat lakonan dan nyanyian Erra.
Erra bersetuju untuk bersama-sama menjayakan konsert Suara Kita di Istana Budaya pada Mac 2014.
"Sebelum saya buat sesuatu, saya akan bincang dengan isteri termasuk mengenai konsert ini. Dia sangat profesional dan tidak melarang kami bergandingan," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Awie berkata, dia berbincang dengan Erra mengenai konsert tersebut ketika pelakon itu muncul dalam program kendaliannya iaitu Tunggu Sekejapterbitan TV3 awal tahun ini.
Jelas Awie, walaupun pada mulanya rasa bimbang Erra akan menolak tawaran tersebut namun dia lega apabila wanita itu bersetuju dengan cadangan tersebut.
"Saya sudah lama ingin merancang projek ini namun tidak tahu bagaimana ingin menghubungi Erra dan mengambil kesempatan ketika bertemu dengannya dalam program Tunggu Sekejap dan Alhamdulillah dia bersetuju untuk terlibat dalam konsert itu," jelasnya.
Bercakap lanjut mengenai konsert berkenaan, Awie berkata, dia ingin mengadakan konsert tersebut untuk mengembalikan nostalgia peminat dengan membariskan lagu popular daripada filem lakonan ketiga-tiga mereka.
Selain Awie dan Erra, Ziana bakal memeriahkan konsert berkenaan.
Selain persembahan nyanyian, dia juga merancang untuk mengadakan slot teater muzikal pada konsert itu bagi memberikan kelainan.
"Banyak perkara yang ingin dibuat untuk konsert itu dan ia masih dalam penelitian lagi malah satu pengumuman khas akan dibuat selepas ini," jelasnya.
Sementara itu sibuk merancang konsert berkenaan Awie kini sedang giat menjalani latihan untuk pementasan teater Supermokh yang bakal mengangkat kisah kehidupan legenda bola sepak Asia, Datuk Mokhtar Dahari yang bakal dipentaskan di Istana Budaya November depan.
Jelas Awie, dia sangat berbesar hati apabila dipelawa oleh pihak penerbit iaitu Hans Isaac bagi menggalas tanggungjawab itu dan menganggap kepercayaan yang diberikan sebagai penghargaan buatnya.
"Allahyarham adalah seorang bintang yang cukup besar dan dihormati oleh peminatnya dan amanah ini cukup berat untuk saya tetapi ia satu cabaran dan penghargaan buat saya," jelasnya.
Tambah Awie, bagi menjayakan watak itu juga dia berusaha mengurangkan berat badan selain menyimpan misai.

Isu Iklan Merdeka RM450 Ribu: Afdlin Shauki Sedia Akaun Diaudit

Posted: 24 Sep 2013 11:36 PM PDT


Afdlin Shauki
HULU LANGAT: Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki bersedia memberi kerjasama terhadap mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan isu penerimaan projek iklan pendek hari kemerdekaan terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang mencecah RM450 ribu.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 42, berkata, dia juga sedia menunjukkan akaun bajet yang dikeluarkan bagi pembikinan iklan tersebut untuk diaudit kerana menganggap tiada apa yang perlu diselindungi.
"Saya tahu ramai yang tidak berpuas hati dengan perkara ini tetapi sebenarnya saya dihubungi pada saat-saat akhir oleh Finas meminta saya menghasilkan iklan Merdeka dalam masa singkat dan penggambaran dibuat untuk tiga hari sahaja.
"Dan perlu diingat, menghasilkan iklan berkualiti di televisyen dan pawagam memerlukan kos yang sangat besar. Jadi, jika masih lagi ada yang tidak berpuas hati, saya sedia menunjukkan bukti-bukti bajet untuk diaudit," katanya.
Afdlin ditemui pada rakaman program Liga Lawak SuperStar di Nur Lembah Pangsun Eco Resort di Hulu Langat pada Selasa.
Pada 27 Ogos lalu, Ahmad Idham menerusi Twitter miliknya mempersoalkan langkah Finas melaburkan RM450 ribu untuk menghasilkan treler berjudul Tanah Tumpahnya Darahku sempena hari kemerdekaan untuk ditayangkan di pawagam yang panjangnya hanya 2 minit 40 saat.
Ahmad Idham meminta badan itu memberi penjelasan berhubung kos berkenaan yang dianggap tinggi untuk sebuah iklan pendek. Malah Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) turut mempersoalkan agensi itu dalam pemberian tender.
Beritahu Afdlin, walaupun dimata kasar orang ramai melihat jumlah RM450 ribu terlalu besar nilainya untuk penghasilan iklan, namun sebenarnya, kos yang disediakan tidak cukup kerana ia telah melebihi kos jangkaan.
"Orang ingat saya dapat untung besar menerusi projek itu sebaliknya tidak. Saya rugi kerana berlaku beberapa masalah seperti faktor cuaca dan masa yang tidak dapat dielakkan.
"Dan pada masa sama, saya perlu siapkan projek itu secepat mungkin. Bajet pun dah lari, tetapi demi menghasilkan iklan negara, saya tidak kisah," tuturnya.
Bagaimanapun, tambah Afdlin, dia menyifatkan gesaan beberapa penggiat seni yang juga merupakan rakan seangkatan dunia seni tempatan mengenai pemilihannya oleh Finas bukan kerana cemburu tetapi mereka ingin mengetahui ketulusan dalam sesebuah projek yang diberikan.
"Saya tak rasa mereka nak hentam saya. Mereka cuma mahu tahu bagaimana Finas menjelaskan bagaimana sesebuah tender iklan yang mempunyai bajet besar diberi kepada sesebuah syarikat produksi. Itu saja," tuturnya.

Hafiz AF, Najwa Latif dan Fauziah Latif Bakal Jayakan Konsert Amal YA1M

Posted: 24 Sep 2013 11:35 PM PDT


Antara barisan artis yang akan membuat persembahan.
HULU KLANG: Lebih sepuluh orang artis popular bakal melakukan persembahan pada konsert amal YA1M 2013 yang dianjurkan oleh Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M ) pada 3 November depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pengerusinya, Datuk DJ Dave, berkata, artis popular yang terlibat pada konsert ini dipilih daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur bagi memperjuangkan konsep 1 Malaysia.
"Jika dilihat secara terperinci pemilihan artis dibuat daripada pelbagai kaum Melayu, India, Cina termasuk Sabah dan Sarawak.
"Berkemungkinan juga ada penambahan nama artis yang akan diumumkan lagi kerana buat masa ini ada beberapa senarai nama yang masih belum buat keputusan untuk sertai atau tidak, " katanya pada sidang media Konsert Amal YA1M 2013- Satu Suara Satu Matlamat, di sini, Selasa.
Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Datuk David Arumugam, Fredo, Hafiz AF, Fauziah Latif, Najwa Latif, Marsha, Jimmy Palikat, Lockup dan So Winci.
DJ Dave.
Tambah DJ Dave konsert ini merupakan projek pertama mereka dalam mencapai objektif penubuhannya iaitu menjaga kebajikan semua artis tanah air.
Katanya, sebelum ini YA1M menerima dana RM2 juta daripada kerajaan yang diberikan kepada hampir 400 artis veteran daripada pelbagai bangsa dan agama.
"Inilah kali pertama YA1M mengadakan projek untuk menambah tabung pertubuhan, dengan menjual meja konsert.
"Sebanyak 100 meja akan dijual pada harga serendah RM2,000 hingga RM20,000. Semua kutipan akan disalurkan kepada tabung YA1M," katanya.
Sementara itu bagi pihak yang berminat untuk menyaksikan konsert ini boleh menghubungi YA1M di talian 03-22763327.

800 Pendengar Serbu Program 'Zon Ceri Suria FM' Di Terengganu

Posted: 24 Sep 2013 11:34 PM PDT


Penyampai radio Suria FM iaitu JJ, Halim Othman, Bob Ringgo dan Seri menghidangkan Nasi Dagang kepada peminat.
PETALING JAYA: Seramai 800 pendengar stesen radio Suria FM telah menyerbu Restoran Nasi Dagang Kak Pah di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu bersempena dengan program Zon Ceria Suria FM yang diadakan di negeri tersebut minggu lalu.
Ketua Bahagian Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan daripada pendengar di Terengganu cukup hebat bersempena dengan kempen Suria Bayarkan.
"Seawal pukul 8 pagi peminat Suria FM telah beratur di restoran berkenaan bagi bertemu dengan penyampai radio selain menikmati nasi dagang kak Pah dan semua bil pada hari tersebut telah dibayar oleh Suria FM.
"Kami amat berterima kasih kepada semua warga Terengganu yang sudi datang memeriahkan Zon Ceria. Dengan sambutan yang amat menggalakkan, kami gembira dapat buat pendengar di sini ceria dengan menikmati makanan bersama penyampai kami," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online.
Pendengar beratur seawal 7.30 pagi.
Antara penyampai radio yang turut hadir adalah Halim Othman, Seri Nazira, Bob Ringgo dan JJ.
Dalam pada itu, Adi berkata, Suria FM akan meneruskan program tersebut di Sungai Petani, Kedah pada 28 September ini di Mee Udang Banjir D'King Sungai Petani bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.
Tambah Adi, penyampai radio seperti Halim Othman, Reza Mohamed, Seri Nazira, Linda Onn, DJ Lin, dan JJ akan memeriahkan acara tersebut selain beramah mesra dengan peminat mereka di sana.
"Di Sungai Petani minggu ini, kami mengharapkan pendengar kami di Kedah akan datang beramai-ramai dan silalah datang awal untuk meluangkan lebih masa dengan para penyampai Suria FM," katanya.

Kahwin: Fizo ingin rai penduduk Pasir Puteh

Posted: 24 Sep 2013 11:32 PM PDT

  • Fizo OmarFizo Omar

PELAKON dan pengacara, Fizo Omar mengimpikan perkahwinan dalam suasana di padang bola bagi menjemput peminat dan masyarakat sekitar di negeri kelahirannya di Pasir Puteh, Kota Bharu, Kelantan memeriahkan majlis bersejarahnya itu.

Fizo berkata, majlis perkahwinan perlu dihebahkan kepada orang ramai, jadi untuk tidak menghampakan peminat, dia mengharapkan impian perkahwinannya itu nanti dapat memberi peluang kepada masyarakat sekitar supaya dapat memeriahkan majlis terbabit di kampung halaman.

"Buat masa ini saya sudah dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan hubungan saya dan dia (Mawar Abdul Karim) yang merupakan model dan anak pengusaha tudung berjenama Fareeda mendapat persetujuan ibu bapa kedua belah pihak.

"Memang sebelum ini kami dipertemukan atas urusan perniagaan dan pada mulanya hanyalah sebagai rakan niaga, namun di atas keserasian hubungan ini akhirnya wujud perasaan suka dan Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan langsungkan majlis pertunangan November ini dan kahwin pada tahun ini juga," katanya.

Fizo berkata, pertemuan dengan si 'dia' bukan merupakan rancangan keluarga seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini dan diharapkan dengan penjelasan terbabit terjawablah segala spekulasi.

Menurutnya, dia juga tidak menolak kemungkinan salah seorang ahli keluarganya juga bakal melangsungkan perkahwinan pada masa dan waktu yang sama dengan tarikh perkahwinannya.

"Insya-Allah saya akan taja perkahwinannya jika majlisnya sama dengan tarikh perkahwinan saya, apa pun setakat ini kesemuanya masih dalam perbincangan dan jika tiba masanya nanti saya akan umumkan," katanya.

Scha: Sedia bergelar 'mummy'!

Posted: 24 Sep 2013 11:30 PM PDT

  • Scha Al YahyaScha Al Yahya

BARU saja dikejutkan dengan berita menjalani pembedahan membuang ketumbuhan Endometriosis dalam rahimnya pada awal September lalu, pelakon dan pengacara, Scha Al Yahya, kini giat merencanakan karier seninya.

Menyifatkan ia sebahagian dari dugaan dalam hidupnya, isteri kepada hos terkenal, Awal Ashaari, ini bagaimanapun, memanjatkan rasa syukur kerana penyakit itu tidak menjejaskan rahimnya. 

Sebagai wanita, tipulah sekiranya dia tidak berasa risau dengan penyakit itu, sementelah ia melibatkan sistem reproduksi yang menghasilkan zuriat. Malah akui Scha, suamilah yang paling risau dengan situasi yang dialaminya.

"Doktor maklumkan ketumbuhan itu belum sampai tahap serius, tetapi jika tidak dibuang, ia boleh membesar dan membahayakan nyawa. Atas nasihat doktor, saya setuju dibedah dan tidak mahu berlengah lagi.

"Saya juga bersyukur kerana semuanya berjalan dengan selamat," ujar Scha yang turut memuji sikap Awal yang sentiasa bersamanya di saat susah dan senang.

Menyentuh mengenai cahaya mata, Scha berkata, seperti pasangan lain, dia dan Awal juga sudah bersedia sekiranya dikurniakan rezeki dari ALLAH SWT. Namun kesibukan karier, membuatkan mereka tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Memang saya sudah bersedia untuk bergelar 'mummy', Tapi buat masa ini, kami masih sibuk dengan kerjaya masing-masing," katanya ringkas.


Masih laris

Beralih mengenai karier, ternyata status isteri yang dipegangnya juga tidak menghalang tawaran seni yang datang. Buktinya sehingga kini pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 30, ini masih punya aura dan tuah tersendiri apabila menerima banyak tawaran untuk iklan komersial.

Selain Oral-B, Watson dan SNE Beutskin Essence, Scha juga masih diberi kepercayaan untuk menyambung kontraknya bersama Bio Essence dan Avon Perfume.

Malah turut dipilih untuk menjalani kempen bersama beberapa jenama terkenal seperti Johnsons, Listerine dan Kopiko kopi.

"Alhamdulillah sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan untuk menjadi duta produk, model iklan dan  kempen.

"Saya juga dalam proses menyiapkan cawangan butik kedua Schapoholic di Wangsa Walk," ujarnya yang kini sedang mengasah bakat pengacaraan dan tawaran untuk mengendalikan majlis-majlis keramaian.

Menyangkal dedas-desus yang mengatakan dia menumpang populariti Awal,  Scha berkata, dia sendiri berusaha keras untuk memastikan kariernya di tahap yang membanggakan.

"Saya rasa pandangan ini salah. Saya pasti, mereka yang cakap tu tak buat 'research' mengenai saya. Saya bermula dari modeling dan iklan kemudian ke dunia lakonan. Namun, untuk bidang pengacaraan, saya tak nafikan Awal yang banyak membuka jalan.

"Tapi bakat dan kerja keras juga perlu seiringan. Jika saya tidak berbakat dan bekerja keras dengan tawaran yang saya terima, ia tidak akan ke mana. Dan saya yakin, rezeki saya semakin bertambah selepas saya berkahwin. Alhamdulillah rezeki Allah kepada saya dan suami," ujarnya yang masih lagi belajar untuk mengembangkan bakatnya sebagai pengacaraan.

Permohonan Wan Nor Azlin ditolak

Posted: 24 Sep 2013 11:16 PM PDT

  • Permohonan Wan Nor Azlin ditolakPelakon, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin memberi kenyataan berhubung isu melibatkan penjualan rumah. 

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah semalam meluluskan bantahan awal bapa aktres terhadap permohonan harta sepencarian yang dikemukakan oleh Wan Nor Azlin bagi pihak ibunya yang telah meninggal dunia.

Hakim, Mohamed Fouzi Mokhtar dalam keputusannya berkata, tuntutan Wan Norazlin Wan Mohd Hussin tidak munasabah dan wanita itu tiada hak di sisi undang-undang. Mahkamah juga memerintahkan kes yang difailkan sebelum ini dibatalkan serta kos guaman ditanggung oleh Wan Norazlin.

Wan Nor Azlin, 45, diwakili peguamnya, Mahyuddin Md Zahari, sebelum ini memfailkan injunksi terhadap bapanya, Wan Mohd Husin Wan Ibrahim, 76, daripada menjual sebuah rumah di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Wan Mohd Husin, yang ditemani peguamnya, Roshdan Sujak Rafie, ditemui selepas prosiding berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah.

"Saya tiada duit. Sejak jual rumah saya hidup merata-rata," katanya ringkas.

Sementara itu, di lobi mahkamah, Wan Nor Azlin akan mempertimbangkan untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu.

"Saya mahu duit saya kembali. Itu sahaja," katanya.

KL Gangster disabotaj, Syamsul merana!

Posted: 24 Sep 2013 11:16 PM PDT

  • Syamsul YusofSyamsul Yusof

JIKA sebelum ini, pengarah muda ini dilihat lebih agresif dalam melahirkan karya-karya yang mampu meraih sambutan penonton, kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Menurut bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul berhasrat untuk bersara lebih awal ekoran filem arahannya, KL Gangster 2 disabotaj dan disebarkan di internet sebelum tarikh tayangan.

Episod malang ini merupakan insiden pertama yang berlaku dalam sejarah perfileman tempatan.

Selepas mengetahui filem terbarunya yang bakal ditayangkan pada 3 Oktober ini, sudah menjadi tatapan penonton di dunia maya dua bulan lebih awal, Syamsul bertindak menyepikan diri tanpa memberi apa-apa kenyataan dan penjelasan kepada media.

Menurut Yusof, anaknya itu sangat tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Malah, dia juga membuat keputusan untuk tidak muncul dalam mana-mana majlis berkaitan filem terbarunya itu, termasuk majlis pra tonton.

"Dia (Syamsul) sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya faham perasaan dia dan pastinya sukar berhadapan dengan situasi sebegini.

"Satu kehilangan besar buat industri sekiranya dia bersara. Sebagai penerbit filem, saya merasakan tidak munasabah untuk berhenti gara-gara kontroversi ini.

"Namun sebagai ayah, saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH untuk pertolongan. Saya tidak akan berdiam diri selagi dalang kejadian ini tidak ditangkap," katanya yang turut memberitahu beberapa pengedar filem antarabangsa dilaporkan berminat untuk mengedarkan filem itu di luar negara.

Wan Nor Azlin: Merana 'dibuang' bapa

Posted: 24 Sep 2013 11:14 PM PDT

  •  Wan Nor AzlinWan Nor Azlin

NAMA dramatis terkenal Wan Nor Azlin, bagaikan tidak terlepas dari kisah kontroversi. Selepas tenggelam seketika dari industri hiburan, pelakon berusia 45 tahun ini sekali lagi kembali menjadi perhatian setelah memfailkan saman dan meminta mahkamah agar ayah kandungnya, Wan Mohd Husain, 76, dipenjarakan.

Permintaan tersebut tentu sekali mengejutkan dan banyak pihak mula menyalahkan Azlin serta menuduhnya sebagai anak derhaka. Tidak mahu terus berdiam diri, Azlin akhirnya tampil menjelaskan perkara sebenar di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam.

"Ayah saya yang terlebih dahulu memfailkan saman terhadap saya kerana enggan keluar dari rumah tersebut. Padahal belum pun setahun dia tinggal di situ, saya sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM64,000 untuk memperbaiki kerosakan dan menambah baik peralatan di rumah tersebut "Malah, dia juga ada ajak saya tinggal bersama lima tahun lalu selepas kematian ibu, sementelah lagi saya pula berhadapan masalah rumah tangga.

"Namun, tanpa sebarang alasan kukuh ayah menyuruh saya keluar dari rumah sehingga sanggup memotong bekalan air dan elektrik. Bayangkan selama lapan bulan hidup saya ibarat dalam buangan akibat perbuatan bapa sendiri," katanya yang ditemui selepas kes itu dibatalkan mahkamah.

Jelasnya lagi, sikap ayahnya itu mula berubah selepas berkahwin baru sehingga adik nberadiknya yang lain turut terkejut dengan perubahan itu.

"Saya terkilan dan sedih dengan perbuatan ayah dan mohon dia jangan menganiaya saya kerana saya darah dagingnya sendiri. "Lagipun rumah tersebut sudah dijual dan saya cuma mahu hak saya kembali. Saya berharap ayah dapat pulangkan balik wang saya kerana mahu mulakan hidup baru bersama anak-anak," katanya.

Tegas Azlin, dia banyak berdiam diri walaupun masyarakat memandang serong terhadap perbuatannya menyaman bapa sendiri.

"Orang luar tidak tahu bahawasanya ayah saya yang memulakannya namun, mereka terus menuding jari bahawa sayalah punca segala-galanya," ujarnya.


Nafi pukul bapa

Ditebak mengenai tindakannya yang mengasari bapa akibat pergaduhan itu sehingga disaksikan jiran, Azlin menegaskan dia tidak tergamak untuk berbuat sedemikian.

"Kami hanya bertikam lidah tetapi tidaklah sampai pukul memukul. Apatah lagi ayah saya sudah uzur, takkan saya sanggup memukul bapa sendiri sematamata mahu menuntut wang.

"Apa pun yang berlaku dia tetap ayah saya dan tidak tergamak untuk saya mengasarinya," jelasnya. Azlin berkata, dia berharap masyarakat dapat memberi ruang kepada mereka berdua dan tidak membuat sebarang penilaian berdasarkan khabar angin atau laporan pihak luar.

"Pada mulanya saya mahu mendiamkan diri namun ayah mengumumkan perkara ini kepada media. "Hari ini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak mencederakan ayah atau mahu dia dipenjarakan seperti yang diuar-uarkan masyarakat!

"Malah, saya tidak akan berdendam dengannya sekalipun hati ini terguris dengan perbuatannya," katanya.


Periuk nasi terjejas

Azlin mengakui sejak perseteruan dengan ayahnya diperkatakan, periuk nasinya mula terjejas apabila tawaran lakonan semakin kurang dan ada kalanya tiada langsung.

"Saya akui perkara ini menyebabkan periuk nasi saya terjejas. Buat masa ini saya hanya bergantung kepada tawaran berlakon.

"Apatah lagi saya baru sahaja bercerai Mac lalu dan kini bergelar ibu tunggal," jelasnya. Ujar ibu kepada tiga anak ini, dia kini membesarkan anak-anaknya sendirian dan mahu memulakan hidup baru dengan wang yang dituntut daripada ayahnya itu.

Remaja mampu nyanyi dalam lapan bahasa

Posted: 24 Sep 2013 11:12 PM PDT

  • Remaja mampu nyanyi dalam lapan bahasaIqbal ketika melakukan persembahan dalam sebuah majlis perasmian.

ALOR SETAR - Seawal usia enam tahun, Ahmad Iqbal Baqi Omar Baqi, 14, mula menunjukkan minat mendalam terhadap bidang seni sehingga dia tidak pernah melepaskan peluang menyertai sebarang pertandingan nyanyian.

Berbekalkan keazaman dan bakatnya dalam bidang nyanyian, anak muda ini pernah menyertai sebuah pertandingan realiti nyanyian kanak-kanak dikenali Idola Kecil 4 beberapa tahun lalu.

Bapanya, Omar Baqi Ahmad berkata, mereka sekeluarga tidak menghalang minat anaknya dalam dunia muzik, sebaliknya sentiasa menyokong dan menggalakkan usaha Iqbal kerana sekurang-kurangnya ia membantu meringankan kesulitannya.

"Jadi, kami menghantarnya ke kelas muzik demi memberi peluang kepada Iqbal menambahkan pengalaman dan memantapkan diri melalui teknik menyanyi, mengubah, mencipta mahupun menulis lirik lagu.

"Lebih membanggakan, minat mendalam terhadap dunia muzik telah membolehkan dirinya mampu menyanyi lagu asing dalam lapan bahasa seperti Inggeris, Thailand, Hokieen, Mandarin, Kantonis, Jepun mahupun Hindi," katanya.

Katanya, walaupun usia anaknya masih muda, namun perjalanan seninya dilihat semakin berkembang melalui permintaan menggalakkan untuk melakukan persembahan  di Kedah.

Menurutnya, dia juga sering menggunakan kelengkapan alat muzik dimiliki untuk membantu anaknya mencipta mahupun mengubah lagu, yang mana setakat ini sebuah lagu bertajuk 'Teman Setia' dihasilkan.

Rezeki besarkan 18 anak

Posted: 24 Sep 2013 11:10 PM PDT

  • Rezeki besarkan 18 anakTok Mat Janggut bersama Hamzah memeriksa dan mengeringkan akar kayu yang baru dibasuh dan dijemur untuk beberapa hari.

PADANG SANAI - Dilahirkan di kawasan pedalaman tidak pernah disesalinya kerana setiap inci  tanah di muka bumi ini pasti ada rezeki.  

Bagi Awang Hamad Kamis, 77, dari Kampung Kubang Palas, dekat sini, dia sudah biasa dengan kehidupan dalam hutan.

Dia dilahirkan di Kampung Sura dan sehingga hari ini, hutanlah menjadi sumber rezeki bagi membesarkan 18 anaknya.

Menurut Awang Hamad atau lebih dikenali dengan nama Tok Mat Janggut, dia mula mencari akar kayu sejak tinggal bersama bapanya, Kamis Dolah.

Katanya, semasa muda dia selalu mengikut bapanya mencari akar kayu hingga kadang kalanya terpaksa bermalam di dalam hutan.

"Selepas bapa meninggal dunia, saya dan anak lelaki mengambil alih tugas ini bagi mencari akar kayu hingga di Empangan Pedu dan Empangan Ah Ning, malah kadang kalanya hingga ke sempadan Thailand," katanya.

Mulut kena jaga

Tok Mat Janggut berkata, pekerjaan itu memberi banyak cabaran dan ia memerlukan keberanian.

"Apa yang penting bila masuk hutan, mesti menjaga mulut dan niat turun dari rumah kita ialah hendak mencari rezeki yang halal untuk membesarkan anak-anak," katanya.

Bagaimanapun, dia juga tidak terlepas dari cubaan terutamanya ketika bermalam di hutan bagi mencari khazanah perubatan Melayu asli itu.

"Pernah saya dan seorang kawan terpaksa bermalam kerana letih berjalan kira-kira enam jam dalam hutan selepas turun dan naik bukit. Sebelum tertidur, kami terdengar seperti bunyi perempuan  mengilai.

"Kemudian terdengar pula seperti perempuan membaca al-Quran yang sungguh sedap didengari dan langsung tidak menimbulkan rasa seram apabila mendengarnya," katanya.

Tok Mat Janggut berkata, pernah semasa mencari akar kayu itu dia dan rakan berjalan kaki  hingga terjumpa perkampungan komunis di sempadan pada 1970-an dahulu.

Bagaimanapun mereka tidak melakukan sebarang tindakan, malah turut memberi tunjuk ajar akar kayu yang boleh digunakan untuk perubatan.

Peranan diambil alih anak

Oleh kerana usianya semakin tua, peranan mencari akar kayu diambil alih oleh anaknya, Hamzah.

Terdapat beratus-ratus akar kayu di dalam hutan ini yang menjadi buruan pengamal perubatan Melayu asli dan di antaranya ialah letup kelambu, akar pembadan minyak, akar kencing gajah, akar gajah beranak dan akar tuba limau.

Tok Mat Janggut berkata, segala akar kayu yang diambilnya itu tidak akan dijual dan hanya untuk kegunaannya sendiri, bagi menghasilkan pelbagai jenis ubat untuk orang ramai.

"Saya belajar buat ubat ini dari emak kerana dahulunya dia seorang bidan kampung yang tahu tentang khasiat akar kayu untuk perubatan.

"Di samping itu juga, saya juga mampu mengurut terutamanya kepada golongan lelaki yang menghadapi masalah rumah tangga dan membekalkan pelbagai ubat berasaskan akar kayu," katanya.

Lentera Timur cukup hebat

Posted: 24 Sep 2013 11:07 PM PDT



DIALAH mustika hati rakyat Malaysia, pencinta sejati irama tradisional dan dialah Datuk Siti Nurhaliza. Hadir mempersembahkan rendisi irama nusa bangsa berpaksi tradisional dalam olahan segar, Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) suatu kejayaan besar!
Overture Sedayung Pak Yong dan Ala Donde membuka tirai persembahan Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza kali ini. Mungkin bagi peminat tegarnya yang mengikuti perkembangan Siti menjelang konsert di laman sosial Instagram dapat melihat beberapa siri latihan bersama kumpulan Makyung yang dipimpin oleh Rosnan Rahman.
Ya, benar bagai ditelah, penonton dapat menyaksikan aksi Siti ber'Makyung' pula menyarung persalinan lengkap persembahan teater tradisional itu.
Ironi membuka alunan sulung lagu yang pernah menjulang namanya dalam dunia irama tradisional pada tahun 2003, Siti menyusun langkah dari puncak pura lentera seperti mana judul konsert yang dipilihnya kali ini.
Sesuai dengan makna Nirmala itu sendiri yang bermakna suci bersih dan tidak ternoda, lagu pertama yang dipetik daripada album Sanggar Mustika itu membawa penonton kali ini melalui fasa demi fasa bersama warna gemilang sehingga penghujung konsert dua jam itu.
Sentuhan kenangan
Buat penonton yang pernah menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza In Concert At Royal Albert Hall London tahun 2005, persembahan lagu Kurik Kundi, Mahligai Permata dan seleksi Joget Kasih Tak Sudah serta Joget Pahang mampu mengimbau kembali momen indah itu.
Cuma kali ini Siti menghadiahkan lebih lagi kepada peminatnya di Malaysia dalam erti kata dinamik vokal dan kemeriahan persembahan yang diiringi Artistana Istana Budaya dan Badan Seni Budaya PDRM.

GANDINGAN Datuk Siti Nurhaliza bersama Datuk M. Daud Kilau dalam sebuah duet, cukup memberi makna yang besar buat portfolio Siti kerana beliau cukup mengagumi Raja Gelek tersebut.


Menerusi lagu Bunga Melur yang dijadikan paduan medley, kata Siti itu lagu bidalan dirinya oleh arwah bapanya, Tarudin Ismail: "Ini lagu kegemaran arwah ayah Siti. Katanya, Bunga Melur adalah diri Siti dan setiap kali menyanyikan lagu ini Siti akan terkenangkan arwah."
Melankolika malam Konsert Lentera Timur ditusuk pilu dengan medley Orang Merajuk disusun indah dalam rona lagu Patah Hati, Janji dan Kau Pergi Tanpa Pesan yang menurut Siti merupakan kegemaran ibunya sendiri, Siti Salmah Bachik.
Konsert kali ini jujur, hadiah daripada hati Siti Nurhaliza kepada peminat yang bersifat peribadi. Lantas kata Siti, pilihan lagu yang dibuat menyemai kenangan yang ingin dikongsikan kepada pendukung karier seninya selama ini.
"Siti menyampaikan lagu yang lebih ada kenangan dalam hidup Siti, biarpun banyak lagi rangkaian lagu Melayu asli dan tradisional yang serasi dengan nama saya seperti Seri Mersing tapi inilah 35 buah lagu hadiah Siti kepada peminat," ujarnya.
Buluh Perindu
Siti selesa berinteraksi dengan peminat. Usai konsertnya beberapa bulan lalu di Dewan Filharmonik Petronas ada mungkin peminat sama yang hadir ketagih dengan pesona dan aura yang dibawa isteri kepada usahawan Datuk Khalid Jiwa itu.
Jika ditanya bagaimanakah suara buluh perindu, barangkali Sitilah rujukan paling ideal. Ia tersemat magis serta notasi indah yang bisa meruntun hati pendengar, tambahan pula dialun dalam puitis lirik lagu-lagu irama tradisional yang serba indah.
Menarik mengenai konsert ini, Siti menyampaikan tiga buah medley dalam konsep muzikal hasil kreativiti Pengarah Persembahan, Lokman Ghani. Dimulakan dengan medley Masri Manis, Kaparinyo dan Sulam Sembilan, kemudian diiringi medley Jangan Ditanya, Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Pahang.

SITI, kepakarannya tidak sekadar memukau khalayak dengan lemak merdu bak buluh perindu vokalnya tetapi juga membuat khalayak teruja dengan kebolehannya bermain instrumen tradisional.


Akhir sekali medley Bulan Yang Mesra, Empat Dara dan Hati Kama. Mencuri tumpuan juga kemunculan empat wanita berkebaya nyonya yang tampil dalam rangkaian lagu-lagu medley itu serta lagu yang dipetik daripada album Seri Balas bersama Noraniza Idris, Ketawalah Lagi.
Klimaks persembahan barangkali boleh diberikan kepada kemunculan Datuk M. Daud Kilau sekembalinya penonton di tempat duduk usai rehat seketika. Menerusi lagu Cek Mek Molek, penyanyi berusia 74 tahun itu memukau penonton dengan gimik persalinan baju demi baju selang setiap rangkap.
Mungkin ada antara penonton yang mahukan Datuk M. Daud Kilau berduet bersama Siti menerusi lagu Anak Seni tapi pemilihan lagu Laksamana Raja Di Laut pun tidak asing dalam kalangan pencinta lagu-lagu Melayu asli.
Rendisi baharu
Siti terus mengulit penonton. Selain kata-katanya, ada sebuah kejutan yang Siti sajikan kali ini. Biarlah Rahsia, ditulis sendiri liriknya digubah iramanya bersama Melly Goeslow dan dimuatkan dalam salah satu album terbaiknya sepanjang hayat, Transkripsi, Siti menjadikan lagu itu dalam rendisi baharu iaitu tradisional!
Satu langkah bijak untuk Siti menangkap deria pendengar yang terlebih lewat mengenalinya dalam muzik pop untuk lebih menghayati petikan dan paluan alat-alat muzik tradisional. Malah, Siti dalam pada itu turut menyanyikan balada patriotisme, Bahtera Merdeka dengan cara tersendiri.
Cuma mungkin penonton mahukan penyanyi nombor satu negara itu menyarung persalinan tradisional atau paling tidak pun busana yang diadun sedikit elemen klasik seperti yang dipersembahkan di buku cenderamata. Tidak perlu dress meleret tapi berikan peminat keanggunan dan seri Melayu itu sendiri.
Menutup tirai persembahan konsert, medley Balqis dan Ya Maulai antara suntikan puncak terbaik dalam konsert ini. Mengingatkan kembali keunggulan Siti dalam siri Anugerah Juara Lagu tahun 2000 dan 2001 biar dipetik daripada album sama, Sahmura.
Sudah pasti Cindai, lagu yang memperkenalkan Siti Nurhaliza secara total kepada seisi Malaysia 16 tahun lalu menjadi juadah manis pencuci mulut terakhir Siti lantaran masih malar segar dan 'berhantu' hingga kini.
Popaleh Weh, single terbaharu Siti yang membawa makna terhebat dalam slanga negeri Pahang akhirnya menutup kisah sang lentera timur yang masih berkerdipan kilaunya dalam konsert terbesarnya tahun ini. Tiada kata yang mampu diungkapkan dengan kata-kata, namun bias cinta Siti Nurhaliza akan selamanya kekal menginap ruang hati pemuja muzikaliti beliau.


Penembak upahan professional tanpa empati

Posted: 24 Sep 2013 10:45 PM PDT



LAPORAN-laporan muka hadapan akhbar tempatan yang mendedahkan kes mati ditembak mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini khususnya apabila kes-kes tembak ini melibatkan individu berprofil tinggi dan kakitangan awam berjawatan tinggi, misalnya kes Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke pejabat beliau di Putrajaya pada 26 April lalu.
Seolah-olah satu musim yang berterusan, kejadian-kejadian tembak secara dekat ini umpama tiada berkesudahan. Pelbagai spekulasi timbul setiap kali kes-kes tersebut mewarnai dada-dada akhbar.
Kekerapan kejadian yang dilakukan secara terbuka tanpa mengira persekitaran secara tidak langsung menunjukkan beberapa kelemahan. Antaranya, keupayaan memiliki senjata api yang mudah di negara ini dan penularan sindiket yang dipercayai menjadi pembunuh upahan.

KEJADIAN tembak di tempat-tempat terbuka mewujudkan kegusaran dalam kalangan masyarakat negara ini. – Gambar hiasan


Faktor mempengaruhi
Menurut Pensyarah Kanan, Bahagian Psikologi, Fakulti Sains Tingkah Laku, Universiti HELP, Dr. J. Anasuya, dari segi kesan sosiologi, mereka yang terlibat dalam jenayah tembak terkesan dengan persekitaran, mahu diberi perhatian, rasa tercabar dengan rakan yang turut terlibat dalam jenayah yang sama dan kemahuan untuk memenuhi sesuatu melalui jenayah.
"Kegiatan tembak ini juga dipercayai banyak mempengaruhi generasi masa kini apabila mereka secara mendadak terdedah dengan realiti dunia luar, mudah mengakses kegiatan jenayah sama ada secara langsung atau tidak menerusi internet, filem-filem dan permainan video dengan elemen keganasan, mahupun dan pengaruh rakan sebaya. Kesan pendedahan ini meningkatkan nafsu mereka untuk mencuba," katanya.
Walaupun tidak pernah mengendalikan atau membuat penyelidikan berkaitan penembak, Anasuya akui, kumpulan penjenayah ini secara umum mempunyai psikologi yang hampir serupa dengan seorang pembunuh.
"Mereka yang terlibat dalam kes tembak ini boleh dibahagi kepada dua kategori. Pertama, penembak upahan yang melakukannya sebagai satu kerjaya. Kedua, ialah penembak berperasaan membunuh mengikut emosi," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

PENEMBAK yang diupah membunuh lazimnya terdiri daripada mereka yang mahir menggunakan senjata dan bijak merancang.


Tambah beliau, apabila seseorang itu memilih membunuh seseorang sebagai satu pekerjaan, dia tidak akan terikat dengan sikap empati atau kesan emosi. Ini kerana bagi mereka, sasaran itu hanya untuk wang.
"Mereka juga mungkin seorang penembak yang mahir dan teliti dalam merancang agar mudah terlepas daripada pihak berkuasa. Lagipun, mereka sukar dikaitkan dengan jenayah terlibat kerana merupakan orang yang tiada kaitan dengan mangsa," ujar Anasuya lagi.
Bagi kategori kedua, iaitu penembak yang mengikut emosi, kumpulan ini melakukannya atas dasar perasaan peribadi, balas dendam atau cemburu. Tindakan mereka lebih mudah dikesan kerana jenayah yang dilakukan tidak dirancang dengan baik dan tanpa memikirkan jalan keluar.
"Secara umum, penembak atau pembunuh, mempunyai personaliti seorang yang suka menyendiri, antisosial dan tidak empati kepada sesiapa. Namun demikian, ia berbeza dengan pembunuh upahan yang boleh terdiri daripada seorang yang berpelajaran, berstatus, suka bersosial dan mempunyai kemahiran misalnya dalam mengendalikan senjata," jelasnya.

PERASAAN marah dan berdendam juga dilihat sebagai salah satu faktor jenayah tembak.


Apabila ditanya tentang rasa bersalah atau kesal, Anusuya berkata, penembak upahan melihat sasaran mereka sebagai satu tuntutan tugas dan tidak lebih daripada itu.
Tiada kekesalan
Seorang lagi pensyarah, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail, 53, dari Pusat Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyokong kenyataan bahawa pembunuh upahan tidak mempunyai sifat kekesalan kerana minda mereka seolah-olah sudah diaturcara sedemikian.
"Daripada penyelidikan saya terhadap banduan-banduan yang melakukan keganasan membunuh, kumpulan ini bersikap tidak kisah akan tindakan mereka. Bagi mereka, sungguhpun mengetahui terdapat kesan mendalam terhadap perlakuan itu, namun ia dianggap sebagai suatu perkara yang telah berlaku dan tidak boleh diubah," katanya.
Ujar beliau, sekiranya ada yang sesal, ia mungkin melibatkan banduan yang telah lama dipenjarakan, mendapat bimbingan agama dan dalam proses keinsafan.
Khaidzir bagaimanapun tidak menafikan masyarakat umum turut terkesan daripada pembunuh menggunakan senjata api ini. Masyarakat berasa tidak selamat dan takut apabila senjata api diperoleh atau digunakan secara mudah tanpa pengawasan atau kawalan.
"Namun, jika diteliti, membunuh menggunakan pisau, parang dan ilmu hitam merupakan antara kaedah membunuh yang digunakan sejak sekian lama. Tetapi pembunuhan menggunakan senjata api seperti pistol dilihat sebagai satu cara baharu dan semakin menonjol.
"Ia mungkin kesan daripada keterbukaan untuk mendapatkan senjata itu di pasaran termasuk melalui laman-laman web. Tidak cukup dengan itu, kaedah membuat senjata api juga banyak dikongsi di internet," katanya.
Kenal pasti masalah
Dalam pada itu, Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. P. Sundramoorthy berkata, kekerapan paparan jenayah menembak di akhbar tidak bermakna angka tersebut meningkat, sebaliknya lebih menonjol berbanding dahulu.
"Kekerapan media melapor kes seumpama itu telah menarik perhatian umum secara besar-besaran. Ia turut menyedarkan orang ramai untuk bekerjasama dengan polis dalam menawarkan maklumat," katanya.
Bercakap dari sudut krimonologi, katanya, pihak penguat kuasa dan perundangan perlu mengena lpasti masalah akar umbi termasuk penularan kemasukan haram senjata api di Malaysia.
"Pengumpulan maklumat dan analisis memainkan peranan penting dalam perancangan jangka panjang untuk mengurang dan mengelakkan senjata diseludup ke dalam negara pada masa hadapan," katanya sebagai salah satu cara menangani masalah ini.
Meneliti motif pembunuhan bersenjata terutamanya yang menggunakan pistol, Sundramoorthy memberitahu, ia boleh berlaku di atas pelbagai sebab dan faktor misalnya persaingan dalam perniagaan, sifat cemburu, tamak, penipuan, korupsi, konflik geng dan kebencian.
Walaupun demikian, ujarnya, kejadian seperti tembak mati bukan merupakan suatu perkara baharu di arena global dengan kebanyakan kejadian disebabkan faktor-faktor yang hampir serupa.
Kajian secara global menunjukkan beberapa negara memegang rekod kes tembak tertinggi. Menurut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Amerika Syarikat mempunyai rekod kes pembunuhan tembak sebanyak 9,146 kes pada tahun 2009. Tahun yang sama, Colombia dan Venezuela masing-masing merekodkan 12,808 dan 11,115 kes.
Tiga negara lain dengan kes bunuh tembak tertinggi adalah Brazil dengan 34,678 (tahun 2008), Mexico (11,309 kes pada tahun 2010) dan Thailand (20,032 kes pada tahun 2000).


Motif alam tema Mass Yusof

Posted: 24 Sep 2013 10:43 PM PDT


TERATAK Mass Yusof di Ampang dipenuhi dengan lukisannya yang bertema alam semulajadi.


DINDING rumahnya dihiasi penuh dengan lukisan bermotifkan tumbuh-tumbuhan dalam belukar, ayam, burung dan pemandangan di jeti sungai.
Sekali imbas, semua lukisan tersebut persis gambar yang dirakam menggunakan kamera digital. Terbit rasa ingin mengetahui makna di sebalik lukisan-lukisan yang bercirikan alam tersebut.
Pemilik lukisan yang dimaksudkan ialah Mohd. Yusof Abdul Wahid, 57, atau lebih dikenali dengan nama Mass Yusof dalam kalangan penggiat seni lukisan tanah air.
Suasana desa
Rupa-rupanya, setiap lukisan yang dihasilkannya merupakan imbasan nostalgia kepada corat-coret yang dilalui pada zaman kanak-kanaknya.
Beliau dibesarkan di Kampung Mentaram, Klang, Selangor dan tinggal jauh dari bandar telah membuatkan persekitaran hutan menjadi medan permainannya dengan kawan-kawan sekampung.
"Semasa kecil, saya terjun dalam kawasan paya dan menyorok di sebalik daun keladi ketika bermain dengan kawan-kawan. Kadang-kadang teringat juga zaman nakal melastik burung bersama mereka.
"Semua itu membuatkan saya rindu dengan kenangan manis yang ditempuhi semasa alam kanak-kanak," katanya ketika ditemui di rumah beliau di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Ternyata perasaan yang membuai kenangan terhadap nostalgia lama itu tidak dialami Mass Yusof seorang. Beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya di laman sosial Facebook turut gembira melihat gambar-gambar lukisan yang dimuat naik olehnya.
Lukisan-lukisan tersebut turut membuatkan mereka mengimbau kenangan lama. Barangkali, rakan-rakannya juga merindukan suasana hidup di desa.

MASS YUSOF menjadikan ruang anjung yang kecil di tingkat dua rumahnya sebagai studio mini lukisan.


Muzik keroncong
Lain orang lain caranya. Bagi Mass Yusof untuk mendapatkan mood sewaktu hendak mula memegang berus lukisan cukup unik.
Dengan elemen kampung dan tradisi yang sentiasa dekat di hatinya, pelukis itu sering memainkan alunan muzik keroncong tatkala menyiapkan naskhah lukisannya.
Kata Mass Yusof, muzik keroncong boleh membuatkan beliau masuk ke alam khayalan bagi mengimbas memori silam yang penuh dengan pemandangan indah alam semulajadi.
Figura tersebut mendapat pendidikan formal dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara pada lewat tahun 1970-an. Bagaimanapun, Mass Yusof terpaksa menamatkan pengajian sebelum tiba masanya atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Biarpun begitu, bakat yang ada tidak pernah disia-siakan. Beliau diterima bekerja di Utusan pada tahun 1980 sebagai pembantu pelukis grafik.
"Saya melukis pada masa lapang selepas tamat waktu bekerja. Lama-kelamaan, ada orang yang berminat membeli lukisan saya.
"Selepas bersara, saya banyak menghabiskan masa melukis di studio mini di rumah ini," ujarnya yang gemar menggunakan teknik pengadunan bahan akrilik dalam lukisan.


Melancong lebih mudah dengan Google Street View

Posted: 24 Sep 2013 10:42 PM PDT


SETAKAT ini sebanyak 18 lokasi pelancongan di negara ini telah dimuat naik ke peta Google sejak dilancarkan di ibu negara baru-baru ini.


SELEPAS melakukan pemetaan dan merakamkan ratusan imej ikonik di lebih 50 buah negara di seluruh dunia, syarikat enjin carian internet terkemuka, Google Inc. (Google) akhirnya membawa aplikasi Street View ke Malaysia.
Bermula dengan 18 lokasi pelancongan utama di seluruh negara, aplikasi itu dijangka memberi dimensi baharu kepada pelancong untuk melihat kepelbagaian dan keunikan Malaysia dengan lebih dekat.
Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, Street View merupakan aplikasi popular di peta Google yang membolehkan orang ramai meneroka secara maya bahagian peta melalui imej panorama 360 darjah pada paras jalanan.
Bagi tujuan itu, katanya, Google turut memperkenalkan Street View Trekker, sistem kamera terbaharu dalam barisan Street View dan Street View Trolley, sistem kamera kenderaan beroda tiga ke Malaysia.
"Buat permulaan terdapat 18 lokasi pelancongan utama di negara ini yang telah dimuat naik ke peta Google dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa.
"Aplikasi ini bukan sahaja mampu mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan di negara ini tetapi juga memberi impak ekonomi untuk jangka masa yang panjang," katanya ketika pelancaran aplikasi itu di ibu negara baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab.
Tambah Sajith, Google berusaha sedaya upaya melindungi privasi pengguna dalam peta Google melalui ciri-ciri khas Street View.
Antaranya, teknologi canggih yang dapat mengaburkan wajah manusia dan plat lesen kenderaan pada imej yang dirakam agar ia tidak dapat dikenal pasti.
"Google juga sangat responsif terhadap sebarang aduan yang diterima daripada orang ramai pada masa hadapan demi memastikan privasi mereka sentiasa terpelihara," jelasnya.
Sementara itu, Mirza berkata, aplikasi terbaharu itu memberi nilai tambah kepada pelancong yang mahu melancong ke negara ini pada masa hadapan.
"Melalui imej panorama 360 darjah mereka berupaya gambaran lebih jelas mengenai sesebuah lokasi pelancongan.
"Misalnya, mungkin di sekitar imej itu terdapat restoran, kedai runcit dan perhentian teksi dan sebagainya yang memudahkan pelancong merancang perjalanan mereka," katanya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines