Rabu, 25 September 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Marshall Soper pengendali sementara

Posted: 23 Sep 2013 06:55 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) semalam mengumumkan pelantikan bekas pemain antarabangsa Australia, Marshall Soper sebagai pengendali sementara pasukan itu setelah jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah digantung tugas.

Soper, 53, yang mempunyai 43 cap antarabangsa bersama skuad Socceroos, pernah mewakili skuad Perak pada tahun 90-an.



Dia yang juga ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Pafa sejak April lalu, akan dibantu oleh pengurus pasukan Yayasan Bina Upaya (YBU) yang beraksi dalam Liga FAM, Sayuddin Mat Isa.

Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, memandangkan semua pegawai pasukan Perak termasuk Azraai kini digantung tugas, para pemain diminta melaporkan diri kepada Soper dan Sayuddin untuk menjalani latihan mulai Rabu ini.

"Pemain diminta menghormati kontrak dengan menjalankan latihan seperti biasa mulai Rabu ini walaupun Perak sudah menamatkan saingan musim ini," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Khairul Azwan semalam mengumumkan Pafa telah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan kerana mengesyaki berlaku rasuah dalam pasukan itu.

Laporan itu dibuat ekoran kekalahan memalukan 1-6 kepada Sarawak dalam perlawanan Piala Malaysia di Kuching, Sabtu lalu.

‘Kami diaib begitu teruk’

Posted: 23 Sep 2013 06:53 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Ipoh: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta menggantung pasukan Liga Super negeri itu selama dua minggu kerana mengesyaki berlaku elemen sabotaj dan rasuah dalam kalangan pemain pada kempen PIala Malaysia 2013.

Laporan polis itu dibuat Naib Presiden 2 PAFA Ishsam Shahruddin yang juga penolong pengurus pasukan di Balai Polis Sungai Senam dan Pejabat SPRM di Meru Raya, tengah hari semalam.



Ketika mengesahkan tindakan itu, Ishsam berkata laporan itu dibuat selepas perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Darurat yang dipengerusikan Timbalan Presiden Khairul Azwan Harun di pejabat PAFA, pagi semalam.

"PAFA begitu kecewa dengan kemerosotan mendadak Perak dalam empat perlawanan terakhir Piala Malaysia lalu. Selepas permulaan cemerlang dalam tiga perlawanan awal, kami yakin mara ke suku akhir tapi malangnya cabaran Perak tiba-tiba malap . "Malah kami diaib dengan begitu teruk sekali oleh Sarawak pada perlawanan terakhir. Mustahil tiba-tiba saja persembahan pasukan menjunam," kata Ishsam.


Terdahulu PAFA mengumumkan tindakan menggantung kesemua tugas pegawai skuad Liga Super 2013 termasuk ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah selama dua minggu berkuat kuasa serta merta.


Malah sebuah jawatankuasa khas dipengerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAFA Datuk Ismail Sapian ditubuhkan bagi menyiasat secara mendalam dan terperinci gejala yang berlaku dalam tempoh dua minggu.

"Kita beri tempoh dua minggu untuk jawatankuasa ini membuat penyiasatan rapi. Tempohnya mungkin lebih pendek jika isu ini berjaya diselesaikan lebih awal," katanya. "Tindakan ini hanya sementara untuk dua minggu saja. Selepas ini kita akan putuskan apa tindakan selanjutnya.


"Jika hasil siasatan positif saya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas. PAFA serius menangani isu disiplin dan rasuah dalam pasukan," katanya.

Pahang mungkin hilang tujuh tonggak

Posted: 23 Sep 2013 06:52 PM PDT

Sumber: Harian Metro
Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bakal kehilangan sekurang-kurangnya tujuh tonggak utama bertaraf bintang musim depan selepas menerima tawaran lumayan daripada tiga pasukan negeri dan kelab.
Tawaran gaji antara RM40,000 hingga RM60,000 sebulan dikatakan menjadi tarikan utama pemain terbabit untuk 'angkat kaki' meninggalkan skuad Tok Gajah yang kini bersaing di suku akhir saingan Piala Malaysia.

Sumber mendedahkan persetujuan secara lisan sudah dibuat dengan pasukan terbabit untuk digandingkan dengan barisan sedia ada.

Disebabkan kontrak dengan PBNP hanya akan tamat Disember, pemain berkenaan terpaksa mendiamkan diri bagi mengelak sebarang masalah selain membisu dengan tawaran lanjutan kontrak yang dihulurkan oleh pegawai PBNP sebelum ini.
Sekiranya episod penghijrahan beramai-ramai ini menjadi kenyataan, Pahang pasti tempang musim depan berdepan pasukan berstatus jutawan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Mereka hanya bergantung kepada beberapa muka lama dan kepincangan ini seharusnya dipandang serius PBNP sekiranya ingin mencatat kejayaan manis musim depan.

Gaji di bawah RM10,000 kini tidak mungkin dapat menarik minat pemain bertaraf bintang untuk terus menyarung jersi pasukan kerana dengan imej sebagai pemain utama pasti mereka memilih tawaran lebih lumayan.

Prestasi Tok Gajah yang terumbang-ambing sejak beberapa musim lalu turut menjadi penyumbang kepada pemain berhijrah apatah lagi di era bola sepak profesional pemain lebih mengutamakan imbuhan lumayan, tidak lagi semangat kenegerian seperti era 60 hingga 70an dulu.

Sementara itu, bekas pemain negara Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pasukan negeri dan kelab yang bercita-cita melakar kejayaan dalam Liga M perlu menyediakan peruntukan kewangan besar untuk menarik perhatian pemain.
Katanya, walaupun tiada jaminan dengan adanya pemain bertaraf bintang, kejuaraan mudah diraih tetapi imej pasukan yang melonjak mampu menarik perhatian penonton datang ke stadium.

"Tempoh seseorang pemain boleh beraksi cemerlang antara lima hingga lapan tahun saja, jadi mereka perlu bijak merebut tawaran lumayan sebagai bekalan selepas bersara nanti.

"Saya tidak menyalahkan pemain sekiranya mereka menerima tawaran lumayan kerana dalam era profesional ini pendapatan lebih diutamakan," katanya lagi. Beliau berkata, bola sepak hari ini sudah menjadi suatu perniagaan, persatuan bola sepak negeri dan kelab yang ingin meraih keuntungan berganda perlu bijak membuat pelaburan dengan mendapatkan pemain bertaraf bintang.

Penyu rombak besar-besaran

Posted: 23 Sep 2013 06:50 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Terengganu: Kecewa selepas gagal mendakap sebarang piala musim ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bakal melakukan rombakan besar-besaran membabitkan pemain dan jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Selain itu, perubahan itu juga disebabkan pasukan yang digelar Penyu itu terperosok di tangga kesembilan liga daripada 12 pasukan berbanding kedudukan kelima musim lalu.



"Selepas pucuk pimpinan tertinggi Terengganu berubah, barisan pemain dan jurulatih skuad juga akan berubah wajah dengan pengguguran beberapa pemain yang gagal mempamerkan aksi terbaik selain pertukaran pengendali pasukan.

"Ini proses biasa dalam sesebuah pasukan menjelang musim baru dan kami mengharapkan perubahan ini memberi manfaat kepada Terengganu musim depan," kata sumber persatuan.

Justeru hari ini, semua pemain dan jurulatih akan menghadiri mesyuarat dalaman bersama PBSNT bagi mengetahui nasib mereka, termasuk E Elavarasan yang mempunyai kontrak sehingga November ini, sama ada bakal dikekalkan atau sebaliknya. Arena difahamkan sembilan pemain bakal digugurkan manakala beberapa pemain utama juga dikatakan meminta pelepasan untuk beraksi dengan pasukan lain. Bagaimanapun, nama besar seperti Mohd Ashari Shamsuddin yang kini diintai Johor Darul Takzim (DT) dengan tawaran lumayan, Abdu Manaf Mamat, Hasmizan Kamarodin, Ismail Faruqi Ashari, Mohd Zubir Mohd Azmi, Ahmad Nordin Alias dan penjaga gol Shamirza Yusof dijangka kekal bersama skuad itu musim depan.

Namun, apa yang menarik jurulatih PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim dikatakan bakal pulang membimbing semula pasukan Penyu.

Malah difahamkan, jurulatih kelahiran Terengganu itu pada dasarnya sudah bersetuju membimbing skuad musim depan walaupun dikatakan masih dalam peringkat perbincangan.

"Sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, kepulangan Abdul Rahman bagaikan sirih pulang ke gagang dan tepat pada masanya selepas Terengganu gagal membawa pulang sebarang piala musim ini," kata sumber.

Abdul Rahman pernah membimbing Terengganu pada 1998 dan Perlis 2006 sehingga membawa pasukan itu muncul juara Piala Malaysia selain mengendalikan kelab Indonesia, Deltras Sidoarjo.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines