Selasa, 10 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Awas! Penyegar Udara Berbahaya

Posted: 08 Sep 2013 11:24 PM PDT

Penyegar udara yang diletakkan di dalam kereta boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan tanpa kita sedari.
PETALING JAYA: Penyegar udara yang sering diletakkan di dalam kereta kita ataupun di rumah mungkin berbau nyaman tetapi ia boleh mendatangkan kemudaratan tanpa kita sedari.
Enam produk penyegar udara yang biasa digunakan yang ditemui di pasar raya dan kedai di seluruh negara telah diuji oleh sekumpulan pengguna, mengandungi empat bahan kimia berbahaya iaitu - toluena, benzena, formaldehid dan phthalates.
Kesemua produk didapati mengandungi salah satu daripada bahan kimia terbabit pada paras tertinggi dengan phthalates - bahan mengganggu sistem endokrin (EDS) - terkandung dalam empat daripada enam produk tersebut.
Pendedahan dalam tempoh yang lama kepada EDS boleh menjejaskan sistem imun dan otak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi Nadarajan yang menjalan ujian itu, EDS boleh menyebabkan lelaki berkelakuan lebih feminin dan sebaliknya.
"Ia juga boleh membantutkan perkembangan organ-organ penting dan menyebabkan keguguran. Tahap kerosakan, bagaimanapun, bergantung kepada kesihatan individu, dengan wanita hamil dan kanak-kanak berdepan risiko tinggi," katanya.
Ratna berkata sesetengah penyegar udara ditemui mengandungi campuran beberapa jenis phthalates yang jauh lebih berbahaya.
Dua daripada penyegar udara ditemui mengandungi toluena yang boleh merosakkan hati, buah pinggang dan otak jika terdedah terlalu lama kepada produk itu.
Persatuan itu turut menemui penyegar udara buatan tempatan mengandungi bahan kimia yang tinggi iaitu toluena dan tiga jenis phthalates.
Ratna menjelaskan kebanyakan orang di luar sana terutama di kawasan bandar menghabiskan beberapa jam dalam kereta setiap hari, menghidu bahan kimia dari penyegar udara itu.
"Sekurang-kurangnya, bahan kimia ini boleh menyebabkan sakit kepala, loya dan kemurungan," katanya.
Apabila berada dalam persekitaran yang terhad seperti di dalam kereta dengan udara segar yang amat sedikit, beliau berkata bahan kimia itu lebih berbahaya.
Ratna berkata mereka masih menunggu data mengenai had dan praturan penyegar udara dari pengawal selia tempatan serta negara-negara lain untuk melakukan perbandingan.
Beliau menasihatkan para pengguna untuk mengelakkan penggunaan penyegar udara terlalu kerap dan memilih pengudaraan secara semula jadi dan mementingkan kebersihan di rumah. Ratna mencadangkan alternatif semula jadi seperti daun pandan, serai dan arang.

Tangan Anak Nabila Huda Retak, Syazwan Zulkifly Mohon Maaf

Posted: 08 Sep 2013 10:06 PM PDT

Nabila mengalami kemalangan bersama anaknya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) petang Ahad.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy menjelaskan cucunya iaitu Keisha Laila yang juga anak kepada Nabila Huda hanya mengalami retak pada bahagian tangan kirinya dan bukan patah seperti laporan yang tersiar di Internet.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman turut memberitahu Nabila hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong, Pahang.
"Alhamdulillah keadaan cucu saya tidak membimbangkan cuma mengalami retak pada tangan dan bukannya patah. Nabila juga hanya mengalami kecederaan ringan pada kakinya akibat terkena kaca yang pecah," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Ahad, kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki Nabila Huda bersama anaknya, Keisha Laila, 4 tahun serta seorang lelaki yang dipercayai pelakon Syazwan Zulkifly terbabas di kilometer 71 Lebuh raya Pantai Timur arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
Keadaan kereta pacuan empat roda milik Nabila yang terbalik akibat kemalangan.
Kenderaan terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas. Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menjayakan sebuah program anjuran Astro di Kuantan, Pahang.
Tambah Amy, Keisha kini ditempatkan di Pusat Perubatan KPJ Damansara di sini untuk pemeriksaan lanjut selepas ditahan di Hospital Bentong petang Ahad.
Dalam pada itu, Amy berkata, dia terkejut apabila mengetahui kejadian itu daripada kenalan Nabila yang juga seorang pelakon dipercayai pemandu kereta berkenaan.
Bekas suami nabila Huda, Zaidy Zailani mencium anaknya, Keisya Laila.
Amy berkata, dia bagaimanapun lega apabila diberitahu kejadian yang menimpa mereka tidak serius dan semua dalam keadaan selamat.
"Sudah tentu saya terkejut kerana mendapat panggilan itu daripada orang lain dan bukan Nabila sendiri. Syukur mereka semua selamat," tuturnya.
Sementara itu, bekas suami Nabila iaitu Zaidy Zailani menerusi laman Twitter pada pagi Isnin berkata, keadaan anak kesayangannya itu tidak serius dan dakwaan mengatakan tangan dan kaki kanak-kanak itu patah adalah tidak benar.
Antara kiriman Twitter Syazwan kepada Zaidy.
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan imbasan otak yang dilakukan terhadap Keisha menunjukkan tiada sebarang masalah dan berkemungkinan dibenarkan keluar pusat perubatan itu petang Isnin.
Dalam pada itu Zaidy turut menegur sikap Syazwan Zulkifly kerana tidak menyapa dan bersalaman dengannya ketika di pusat perubatan KPJ Damansara.
Bagaimanapun Syazwan menerusi Twitter yang dikirimkan terhadap Zaidy memohon maaf terhadap peristiwa itu dan berjanji untuk bertemu bagi membincangkan hal berkenaan.
"Saya pun rasa kesal dengan apa yang jadi. Maafkan saya sebab tak tahu awak yang mana tadi. Kalau tahu 'for sure' saya akan 'approach' awak..maafkan saya," kata Syazwan dalam Twitter miliknya pada Ahad.

Percaturan empat pelakon berkaliber

Posted: 08 Sep 2013 06:05 PM PDT




JAUH di perkampungan Batu 18, Ulu Langat, Selangor, sebuah produksi sedang berkampung melunaskan projek filem terkini. Di kawasan kolam ikan, bersebelahannya terdapat sebuah rumah kampung. Di kediaman tersebut, banyak orang yang semuanya terlibat dalam pembikinan filem dengan judul Tembus.
Tembus belum ditayangkan di pawagam, namun sutradaranya, Ahmad Idham sudah bijak menyu- sun strategi. Tiga pemain utama filemnya bukan nama kecil dalam industri seni tempatan.
Mereka - Khir Rahman yang sudah cukup gah kredibilitinya, Aaron Aziz dengan popularitinya bukan picisan dan Fazura, si manis kesayangan peminat juga telah terbukti keberkesanan lakonannya.
Bergabung dengan kehebatan tiga anak seni ini, Idham memancing aktres sensasi dan terkenal Indonesia, Luna Maya untuk pertama kali mencuba nasib dalam pasaran Malaysia.
Secara tidak langsung filem tersebut diwakili oleh pelakon dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Antagonis Luna
Mememang watak Marylia, Luna mengakui ini bukan pertama kali dia menerima tawaran untuk berlakon di dalam produk Malaysia. Bagaimanapun katanya, dia akhir- nya memberi kata setuju untuk terbabit dengan Tembus selepas diyakinkan oleh pengurusnya, Iman Tang.
"Sebelum ini memang ada banyak tawaran ber- lakon yang datang kepada saya. Bagaimanapun, saya tolak kerana saya tidak tahu 'corak' sebenar industri hiburan Malaysia. Namun, selepas mempunyai pengurus di sini dan kebetulan tawaran ini datang, saya bersetuju untuk mencuba nasib," ujar Luna.
Selain itu jelas Luna, pokok utama yang menggerakkan hatinya untuk bersetuju terbabit dalam Tembus adalah kerana karakter Marylia yang dianggap menarik.
Marylia merupakan watak antagonis, satu watak yang jarang dimainkan oleh Luna sepanjang berkecimpung sebagai pelakon di republiknya.
"Apa yang saya gemar tentang watak Marylia ini kerana ia satu watak psiko yang terjadi kerana cinta," katanya yang enggan mendedahkan lebih banyak tentang karakter tersebut.
Ditanya apa kepentingan buatnya untuk terjun masuk di dalam industri seni Malaysia, mantan ke- kasih Ariel Noah itu memberitahu, dia hanya mahu mencuri pengalaman berlakon di dalam rumpun yang sama.
Ujarnya: "Saya sedar, banyak drama saya ditayangkan di sini tetapi saya tidak pernah beker- jasama dengan produksi di sini.
"Jujurnya, ya saya tidak punya sebarang kepen- tingan untuk berlakon di sini tetapi saya mahu mencuri pengalaman bekerja di sini. Belajar tentang cara kerja dan saya juga tahu bahawa Aaron, Fazura dan Khir misalnya merupakan pelakon yang hebat."
Ditebak dengan persoalan tentang kebarangkalian jika filem tersebut gagal di pasaran adakah dia akan tetap menerima tawaran lain, Luna menegaskan, setiap filem yang di- hasilkan tidak punya rumus matematik yang boleh menjelaskan sama ada ia bakal gagal atau sukses.
Sebaliknya, ia bergantung kepada selera setiap individu. "Saya sebagai pelakon akan cuba memberi yang terbaik, namun pada penghujungnya ia bergantung kepada selera masing-masing."
KHIR dan Aaron bakal menyuntik aura dan kredibiliti lakonan masing-masing dalam filem Tembus.


Tak langgar prinsip Fazura
Seperti Luna, Fazura yang kini kembali aktif berlakon memberitahu, dia menerima lamaran Idham kerana tertarik dengan karakter Izza, seorang ibu yang kehilangan anak.
Sebagai seorang wanita yang belum berumah tangga, jauh sekali memiliki anak, ia merupakan cabaran utama buat aktres tersebut melunaskan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
"Saya rasa watak Izza satu cabaran yang menarik untuk saya realisasikan. Sebagai seorang yang belum berkahwin saya perlu membawa watak isteri dan ibu yang kehilangan anak. Itu sesuatu yang sukar buat saya," ujarnya.
Namun, faktor utama yang membuat dia bersetuju memainkan watak isteri kepada Hadi, lakonan Aaron adalah ia tidak melanggar prinsipnya yang perlu bersentuhan secara berlebihan dengan lelaki.
Katanya: "Ini bukan paparan tipikal suami isteri yang perlu ada adegan di atas katil atau berpelukan berlebihan dan sebagainya. Sebab itu, saya terima tawaran ini kerana ia lebih tentang konflik yang mahu dipaparkan."
Sementara itu, bercakap tentang dirinya yang sentiasa menjadi buruan penerbit biar dia sendiri mengehadkan setiap penglibatannya untuk mengelak khalayak muak, Fazura bersyukur kerana kepercayaan yang masih tebal buat dirinya.
Bagaimanapun kata Fazura, dia akan terus selektif demi prinsip yang dipegang selain sibuk dengan bisnes House of Doll miliknya.
"Insya-Allah, untuk filem dan tele- movie, saya masih boleh terima tetapi untuk terbabit dengan drama rantaian, ia sedikit berat kerana saya punya komitmen lain iaitu bisnes untuk selalu diberi perhatian," katanya.
Rezeki Aaron
Aaron Aziz yang begitu 'panas' sebagai pelakon menjelaskan, dia mene- rima tawaran Idham kerana melihat Tembus bukan sekadar sebuah naskhah thriller yang tipikal. Sebaliknya, kata Aaron ia penuh dengan kejutan.
"Ini bukan filem yang senang untuk orang tebak kesudahannya. Sementelah, saya juga senang membina keserasian dengan semua pelakon," jelas Aaron.
Tembus menjadi filem ke-11 Aaron. Ditanya bagaimana dia mengasingkan dirinya dari dunia lakonan filem dengan drama, Aaron memberitahu, dia tidak pernah mengkelaskan jenis pelakon apa dia berada. Sebaliknya, dia senang meletak dirinya sebagai seorang pelakon yang bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Ujarnya: "Saya seorang yang realis- tik. Saya bermain untuk filem dan drama kerana saya seorang pelakon. Melalui kedua-dua cabang ini, saya dapat mengaut pengalaman yang berbeza dan inilah rezeki saya."
LUNA dan Fazura melakonkan watak yang saling berbeza antara satu sama lain.


Khir tidak mendabik dada
Menjadi pelakon paling senior di dalam filem ini, Khir Rahman ironinya seorang yang cukup merendah diri. Dia tidak mendabik dada hanya kerana dia seorang senior, jauh sekali memperlekehkan tiga rakan mainnya.
"Mereka semua pelakon yang hebat dan telah terbukti kehebatan mereka. Saya senang bekerja dengan mereka dan keserasian kami mudah wujud," katanya yang memegang watak Mazri.
Ditanya apakah kelebihan filem tersebut, Khir memberitahu, penonton tidak akan dapat menebak konflik yang berlaku pada separuh cerita dan hanya akan mengetahui kebe- narannya pada penghujung cerita.
Sengaja menjolok Khir dengan persoalan tentang banyak pihak takut untuk mendekatinya kerana dilihat sebagai seorang anak seni yang serius, Khir tersenyum.
Pantas dia membetulkan persepsi tentang dirinya yang banyak disalah tafsir.
Dia mengaku seorang pembikin seni yang serius dan suka melaku- kan impak terhadap setiap pembabitan atau karya, ironi, dia seorang yang mudah didekati.
"Kelemahan saya, saya memang seorang yang tidak pandai bercakap. Ditambah pula dengan raut wajah yang garang.
Namun, itu tidak bermakna saya sukar didekati, jujurnya saya okay untuk didekati," ujarnya bersungguh- sungguh.
Ditanya tentang kariernya di luar lingkup seorang pelakon, Khir memaklumkan selain menunggu tayangan filem miliknya, Balada Pencinta berada di pawagam pada 24 Oktober depan, dia juga bakal menerbitkan filem yang diusaha sama dengan produksi Camwerk Studios milik Aqasha, Zain Ruffedge dan Syed Hussein berjudul Garang.

Fouziah Gous akui makin teruja

Posted: 08 Sep 2013 06:04 PM PDT


  • Fouziah Gous Fouziah Gous
SEJAK mengikat tali pertunangan pada 1 Jun lalu, tiada apa yang lebih mengujakan aktres berbakat besar, Fouziah Ghous selain menghitung hari menuju hari bahagianya.

Memilih hujung tahun ini untuk disatukan, jelas Fouziah, dia sudah mula memperlahankan karier seninya bagi memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinannya.

"Jumaat lalu saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Alam Maya untuk TV9. Ia juga merupakan projek akhir saya buat masa ini.

"Saya sudah mula mengambil cuti bagi memberi tumpuan kepada persiapan perkahwinan saya dan saya juga sudah mula membeli beberapa barang yang kecil untuk majlis nanti," ujarnya yang ditemui pada majlis perkahwinan Datuk Ida Suraya Mustapha dan Kapten Johari Jumadi di Hotel Royale Chulan, kelmarin.

Mengakui amat teruja menanti hari bahagianya, Fouziah berkata, dia akan mula duduk berbincang dengan perancang perkahwinan pilihannya, Nas Great Idea beberapa hari lagi.

"Sebelum ini Nas Great Idea juga yang bertanggungjawab menguruskan majlis pertunangan saya, jadi saya mengambil keputusan mengekalkan abang Nas dan dia akan bertanggungjawab menguruskan hari perkahwinan saya pula.

"Buat masa ini tidak banyak yang boleh saya ceritakan lagi kerana perbincangan masih belum dilakukan. Saya khuatir jika maklumkan lebih awal dan perancangan berubah, nanti ada percanggahan pula.

"Biarlah segalanya pasti dahulu, sebab sebelum ini abang Nas sibuk menguruskan perkahwinan Datuk Ida dan selepas ini barulah boleh kami berbincang mengenai perkahwinan saya pula," katanya yang hadir bersama tunang, Zhafran Yusof atau lebih mesra di sapa Zhaf.


Belum tetap tarikh

Menyentuh mengenai tarikh perkahwinannya, ujar Fouziah atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd Gous, 31, sehingga kini dia masih belum menetapkan sebarang tarikh.

Secara berseloroh, Fouziah berkata dia bersedia untuk berkahwin esok andai segala persiapan telah siapa dilakukan.

"Sebaik sahaja persiapan sudah lengkap, barulah saya akan menetapkan bila saya akan berkahwin. Buat masa ini tidak ada sebarang tarikh lagi yang ditetapkan.
"Apa yang pasti ia akan berlangsung pada tahun ini juga," ujarnya.

Di tebak adakah dia akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan majlis perkahwinannya kelak, Fouziah berkata : "Saya ada juga terfikir untuk mengadakan sidang media kerana mahu adil kepada semua pihak.

"Saya tidak mahu nanti maklumkan kepada wartawan A, wartawan B pula merajuk kerana lambat diberitahu. Jadi lebih baik buat sekali gus," katanya.


Bercinta selepas kahwin

Sedia maklum akan rasa tidak sabar peminat dan masyarakat untuk melihat dia ke jinjang pelamin, Fouziah berkata, dia dan tunangnya juga mengharapkan perkara yang sama.

Namun jelas Fouziah, biarpun peminat sering melihat dia bersama tunangnya setiap masa, namun hakikatnya mereka tidak pernah keluar bersama untuk temu janji.

"Biasanya jika kami keluar makan pun, ia adalah kerana urusan kerja dan sejak awal kami bersama, tidak pernah lagi kami mengaturkan sesi temu janji, di mana saya akan berpakaian cantik dan dia ambil saya di rumah.

"Jadi perkara itulah yang saya dan dia rancang untuk lakukan bersama selepas kahwin nanti. Ibarat bercinta selepas berkahwin," katanya.

Jelas Fouziah, biarpun sering dilihat bersama, mereka berdua masih menjaga batasan dalam perhubungan.

"Walaupun sering dilihat keluar bersama, saya dan Zhaf masih menitikberatkan pelbagai perkara agar tidak melanggar batas-batas agama kerana ikatan ini tidak semestinya kami bebas melakukan aktiviti bersama.

"Malah selalunya pun, pengurus saya akan menemani kami berdua, termasuklah ketika menghadiri majlis-majlis tertentu," katanya.


Kesal diserang


Kecanggihan teknologi masa kini memberi banyak pilihan kepada pengguna siber untuk mengambil gambar atau video dan seterusnya berkongsi kepada umum.

Begitu jugalah yang dilakukan oleh Fouziah baru-baru ini yang mengambil gambar menggunakan aplikasi kamera kesan cermin.

Hasilnya, mata, hidung dan mulut Fouziah kelihatan bercantum antara satu sama lain, sehingga mengundang komen negatif yang menyamakan wajahnya dengan Dajal.
Kesal dengan tuduhan melulu sesetengah pihak, bagi Fouziah, ia hanya sekadar gambar seperti kartun dan tidak sampai ke tahap menyamai wajah Dajal.

"Apa yang kita dimaklumkan Dajal wajahnya berbentuk segi tiga dan bermata satu, tetapi dalam gambar tersebut jelas nampak dua biji mata saya.

"Saya agak kesal kerana ada sesetengah pihak terus menyamakan gambar itu dengan dajal, walhal kita sendiri tidak pernah melihat dajal seperti apa rupanya dan dajal hanya bermata satu.

"Lagipun jika anda buat sendiri (mengambil gambar menggunakan aplikasi sama), anda juga akan mendapat hasil yang sama. Jadi tidak adil menyerang saya dengan tuduhan sedemikian," ujarnya penuh kesal.

Tidak berakhir di situ, Fouziah turut di tebak dengan kenyataan nakal sesetengah pihak yang merasakan dia semakin 'daring' semenjak bertunang.

"Jika anda kata saya 'daring' kerana baju yang saya pakaikan malam ini, saya harap anda jangan salah faham. Saya masih sama seperti sebelum ini dan tidak ada istilah 'daring' pun sebenarnya. Saya harap ia tidak akan diperbesarkan," jelasnya.

Kuza berhijab kerana Allah

Posted: 08 Sep 2013 06:00 PM PDT


KUZA diapit Johan dan isterinya, Ozlyn Watie.


KINI ramai artis wanita yang mula menyarung hijab selepas mendapat hidayah. Terbaharu, pelakon drama, Tengku Sariza Tengku Muzani atau Kuza tampil manis dengan hijab ketika ditemui pada majlis Mesra Raya Aidilfitri Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kali terakhir, penampilan kakak kepada pelakon Kuna itu menerusi drama seram popular, Waris dia belum mengenakan hijab.
Justeru, adakah Kuza bakal bersara dari dunia lakonan? Ikuti sedutan temu bual Kuza bersama Kosmo!.
Kosmo!: Sejak bila Kuza mengenakan hijab?
KUZA: Sebenarnya sudah lama saya memasang niat untuk berhijab. Alhamdulillah, saya mula berhijab pada bulan Ramadan lalu. Lagipun, umur saya sudah memasuki 40 tahun. Lebih elok saya mendekatkan diri kepada Allah.
Bagaimanakah reaksi rakan-rakan mengenai perubahan Kuza ini?
Saya tidak mahu ada yang beranggapan saya berhijab kerana fesyen dan trend. Niat saya adalah untuk melaksanakan tuntutan Allah. Pada mulanya, saya menyampaikan niat untuk berhijab kepada keluarga. Alhamdulillah, keluarga menyokong niat saya.
Apakah perasaan Kuza selepas mengenakan hijab?
Alhamdulillah, sampai saat ini Allah mempermudahkan urusan dan saya tenang menjalani kehidupan dalam imej baharu ini. Saya sangat selesa selepas memakai tudung.

FIGURA ini mengakui dia tidak cemburu melihat wanita lain yang tampil dengan pelbagai fesyen rambut.


Ada perasan cemburu apabila melihat penampilan wanita yang tidak berhijab?
Syukur, saya tiada rasa cemburu melihat penampilan orang lain dengan pelbagai fesyen rambut.
Adakah selepas berhijab Kuza akan meneruskan karier lakonan?
Ya, saya akan terus berlakon, namun saya meletakkan syarat agar aurat saya sentiasa terpelihara.
Bagaimana pula dengan watak yang akan dipilih Kuza selepas ini?
Saya tidak kisah watak yang ditawarkan, asalkan aurat saya sentiasa terjaga dan watak tersebut juga bersesuaian dengan umur saya.
Ada sebarang tawaran berlakon selepas Kuza mengenakan hijab?
Memang ada tawaran yang datang tetapi saya beritahu mengenai penampilan terbaharu saya ini. Selepas itu, mereka kata akan hubungi kembali.
Adakah Kuza terkilan dengan perkara itu?
Saya tidak terkilan dan tiada masalah jika tidak mendapat tawaran tersebut. Allah yang mengurniaklan rezeki buat saya. Kalau saya berada dalam kesusahan, kepada Dia jugalah tempat untuk saya mengadu.

60 vespa menanti pelanggan bertuah

Posted: 08 Sep 2013 05:56 PM PDT


  • 60 vespa menanti pelanggan bertuah Praveen (kanan) menunjukkan Vespa LX150 yang menanti 60 pemenang peraduan Digi Internet.
SYARIKAT telekomunikasi Digi Telekomunikasi Sdn Bhd melancarkan peraduan prabayar Digi Internet mudah alih dengan menawarkan hadiah Vespa LX150 bernilai RM8,800 setiap satu bagi 60 pemenang bertuah.
Melalui peraduan bermula dari 2 September hingga 31 Oktober 2013 itu, pelanggan Digi Internet boleh menyertainya dengan mendaftar untuk pelan internat mudah alih.
Ketua Pegawai Produk Internet dan Perkhidmatan Digi, Praveen Rajan berkata, pertandingan itu adalah peluang besar untuk pelanggan menikmati perkhidmatan internet lebih pantas serta menyeluruh dengan harga yang lebih berbaloi.
"Pelanggan boleh memilih langganan RM7 seminggu untuk 100MB atau bulanan sebanyak RM68 untuk 5GB data.
"Bagi langganan RM7 mingguan, pelanggan layak menghantar satu penyertaan manakala pakej bulanan RM68 melayakkan mereka untuk penyertaan atas talian. Semakin tinggi nilai dilanggan, lebih besar peluang untuk menang," katanya pada majlis pelancaran peraduan itu.
Menurutnya, pelanggan akan dipilih setiap hari dan dihubungi oleh pegawai Digi untuk menjawab soalan trivia dengan betul untuk memenangi motosikal itu.

Hazama Akui Rapat Dengan Pemuzik Wanita

Posted: 08 Sep 2013 05:54 PM PDT

Hazama mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang pemuzik wanita.
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama mengakui sedang mengenali hati budi seorang pemuzik wanita yang dikenali sebagai Genervie Kam sejak empat bulan lalu.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 29, berkata, persahabatan yang terjalin diantara mereka itu sedang menuju ke arah percintaan dan enggan menyorokkan perkara itu daripada pengetahuan peminat walaupun tidak selesa berbuat demikian.
"Benar saya sedang berkawan rapat dan mengenali hati budi Genervie sejak empat bulan lalu dan sedang ke arah percintaan namun masih diperingkat awal.
"Ia masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana hubungan ini masih lagi baru walaupun kami sudah lama mengenali antara satu sama lain," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Hazama mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mingguan pada Ahad yang mengatakan dia dan Genervie sentiasa menghabiskan masa bersama dan keluar bersama.
Tambah Hazama, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengembar-gemburkan cerita peribadinya untuk tatapan umum namun menyedari dirinya milik masyarakat dia perlu berterus terang.
Jelasnya, dia tidak mahu menipu tentang statusnya yang pada kemudian hari akan merosakkan karier seninya.
"Saya seorang yang berterus terang dan tidak suka menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan peminat jika ia benar kerana saya sedar kedudukan sebagai seorang selebriti.
"Tetapi pada masa sama saya tidak mahu ia terlalu mendapat perhatian sehingga kerjaya saya tenggelam dengan kisah-kisah peribadi," tuturnya.
Sementara itu, Hazama berkata, dia selesa berkawan dengan Genervie kerana sifat wanita itu yang matang dan berkongsi minat sama terutama muzik.
Jelas Hazama, wanita itu juga tidak lokek ilmu tentang pengetahuannya dalam bidang muzik menyebabkan mereka menjadi rapat sejak empat bulan lalu.
"Muzik merapatkan kami kerana dia sering berkongsi ilmu tentang bidang tersebut selain sikapnya yang matang membuatkan saya selesa," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hazama berkata, dia baru sahaja melancarkan album terbaharunya berjudul Penglipur Lara dan sedang sibuk mengadakan aktiviti promosi album berkenaan di seluruh negara.
Selain itu katanya, dia juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem arahan Ahmad Idham berjudul Hantu Nan Sempit.

Bermadu kasih di pentas

Posted: 08 Sep 2013 05:52 PM PDT


  • Bermadu kasih di pentas Aksi pasangan kekasih ketika diserbu anggota polis yang dirakamkan penduduk.
KUALA PILAH – Sebuah pentas tersorok bersebelahan Dewan Datuk Bahaman Shamsudin, di sini, dijadikan 'port' pasangan remaja melakukan aktiviti kurang sopan.

Lokasi yang terletak berhampiran gelanggang bola keranjang itu didakwa penduduk sering menjadi tumpuan remaja melepak yang boleh mengundang gejala tidak sihat.

Malah, dalam kes terbaru, sepasang kasih tidak segan silu bermadu kasih sebelum sepasukan anggota polis tiba dan membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, polis melakukan pemeriksaan berkenaan selepas menerima aduan orang ramai berhubung pasangan yang menjadikan pentas berkenaan untuk kegiatan tidak bermoral.

"Pasangan itu diperiksa dan diberikan nasihat sebelum anggota bertugas meminta mereka beredar dari tempat berkenaan," katanya di sini, semalam.

Azmi berkata, berdasarkan aduan orang ramai itu, polis juga akan mengadakan operasi bersama Pejabat Agama Islam Kuala Pilah bagi memantau kawasan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan pentas berkenaan memang lokasi melepak golongan remaja.

Peniaga sebuah kedai runcit, Maisuri Abd Rashid, 45, tindakan remaja melakukan maksiat di kawasan itu perlu dibendung, lebih-lebih lagi ia bersebelahan dengan perumahan Taman Pilah Perdana.

"Saya harap selepas ini pihak berkenaan dapat membuat rondaan di kawasan ini bagi mengelakkan perkara sebegini berterusan," katanya.

Bagi Mohd Qayyum Abdul Jalil, 23, pula berkata, pentas berkenaan sememangnya terlindung daripada rimbunan pokok dan agak sunyi memudahkan remaja melakukan maksiat.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Zulkifli Baharan berkata, kawasan pentas berkenaan di bawah penguasaan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).

"Bagi mengelakkan masalah ini, MDKP akan memasang lampu di kawasan itu di mana sebelum ini ia agak gelap.

"Selain itu, kami juga akan berbincang dengan pihak penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung masalah tersebut," katanya.

Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kuala Pilah/Jempol, Khalid Ujang pula meminta jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan aktiviti berfaedah terutama untuk belia di sini supaya kawasan ini menjadi tumpuan ramai serta tidak lagi sunyi.

Ibu, anak kena cekup edar dadah

Posted: 08 Sep 2013 05:47 PM PDT


  • Ibu, anak kena cekup edar dadah Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan.
KOTA BHARU - Seorang suri rumah bersama anak lelakinya ditahan polis selepas dipercayai mengedar 993 pil disyaki dadah di sebuah rumah di Jalan RPT Sungai Terah, Gua Musang, kelmarin.

Wanita berusia 39 tahun dan anaknya, yang juga pelajar tingkatan tiga itu ditahan dalam serbuan Ops Cantas Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Gua Musang pada jam 7.50 malam, 7 September lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, anggota serbuan masuk ke rumah selepas pintu dibuka suspek utama dan menjumpai dadah itu di bahagian dapur rumah berkenaan.

"Lima paket berisi pil dadah disorokkan dalam sebuah kotak plastik biru bertutup yang ditempatkan di bawah rak simen bahagian kanan dapur rumah.

"Ketika pemeriksaan, suspek utama cuba menghalang pasukan polis menjalankan tugas menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran lisan mengikut Seksyen 37A(1)(b) terhadapnya," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, dadah itu disimpan suspek utama dan berda di bawah pengetahuan serta kawalannya.

Risikan juga menunjukkan aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu dipercayai melibatkan sindiket Lani Botak.

"Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, pada operasi sama di Bachok, polis menahan seorang penganggur di sebuah rumah tanpa nombor di belakang TNB Bachok, semalam, kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di daerah itu sejak Mei lalu.

Lelaki berusia 23 tahun dan masih bujang itu pernah menjalani hukuman penjara dan bebas pada Mei lalu.

"Turut dirampas pelbagai barang berharga antaranya jam tangan berjenama, wang tunai RM600, seutas rantai, dua gelang dan tiga cincin emas serta pelbagai gajet yang dijumpai dalam bilik tidur suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam satu kes pecah rumah di daerah itu.

Dia kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk siasatan," katanya.

Shila Amzah Tidak Melatah Dihentam Peminat

Posted: 08 Sep 2013 05:43 PM PDT

Shila lebih selesa mendiamkan diri apabila dihentam oleh pengikutnya di laman sosial.
PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui lebih selesa mendiamkan diri apabila dihentam oleh para pengikut di laman sosial seperti Instagram atau Twitter yang tidak berpuas hati tentang imej dan caranya bergambar.
Shila, 23, berkata, dia tidak mahu memperbesar-besarkan isu tersebut dengan bertikam lidah dengan mereka yang mengkritiknya kerana beranggapan perkara itu sia-sia.
"Saya juga seorang manusia biasa yang masih jauh perjalanan hidup dan akan melakukan kesalahan. Apabila orang mengkritik saya tidak boleh cepat melatah dan mendiamkan diri adalah lebih baik dan dapat mengelakkan perkara yang lebih buruk.
"Bagaimanapun jika komen yang membina dan boleh merubah ke arah yang lebih baik saya terima dengan hati terbuka," jelasnya kepada mStar Online.
Sebelum ini, Shila sering menjadi sasaran para pengikutnya tentang cara dia berpakaian yang dikatakan mengikut susuk tubuhnya dan tidak sesuai sebagai seorang yang mengenakan tudung.
Mengulas lanjut mengenai caranya berpakaian, Shila berkata, dia hanya menjadi dirinya sendiri dan mengenakan pakaian yang selesa namun masih menutup auratnya sebagai seorang muslimah.
Malah kata Shila, dia juga melakukan beberapa perubahan dari segi pemilihan pakaian dan mengakui imejnya sebelum ini kelihatan seperti wanita berusia.
"Saya masih muda dan rasanya tidak salah memakai pakaian yang sesuai dengan usia saya yang baru sahaja 23 tahun. Bila saya tengok balik imej saya sebelum pakai tudung seperti orang tua," jelasnya.
Sementara itu, Shila yang bakal melancarkan album berbahasa Malaysia pada penghujung bulan ini berkata, selapas ini dia bakal sibuk dengan pelbagai aktiviti di Shanghai, China.
Jelasnya, besar kemungkinan dia akan menetap di sana buat satu jangka masa lama dan akan jarang kembali ke tanah air.
"Sebenarnya pihak pengurusan di sana sudah merangka pelbagai program untuk saya dan semakin susah untuk balik ke Malaysia. Bagaimanapun nasib baik saya dilepaskan untuk pelancaran album pada penghujung bulan ini," jelasnya.

Peserta, peminat boleh berinteraksi

Posted: 08 Sep 2013 05:42 PM PDT


MASUK GELANGGANG... Barisan peserta AF 2013 yang bakal bersaing sesama sendiri.


SERAMAI 12 peserta telah terpilih untuk bersaing dalam program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) setelah berakhirnya konsert Prelude Top 12 yang berlangsung di Padang Kemunting, Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu.
Sehari sebelum itu, seramai 10 peserta dipilih menerusi pilihan juri dalam konsert Prelude Top 24 manakala dua lagi peserta terpilih menerusi undian 100 peratus daripada peminat.
Selepas tamatnya konsert Prelude Top 12, ternyata tuah memihak kepada Mohd. Faizul Sany (Pijul) dan Nadia Amira Othman (Amira) iaitu dua peserta terakhir yang menjadi pilihan peminat untuk bersaing dalam AF 2013 yang memulakan saingan pada hari ini.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, sepanjang AF diadakan ia kali pertama konsert prelude diadakan di luar Kuala Lumpur dan sambutan yang diterima daripada penduduk Kuantan cukup menggalakkan.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua 12 peserta yang akan bersaing dalam AF 2013 dan mereka yang bertanding dilihat mempunyai kelebihan tersendiri untuk bergelar juara.
"Pihak Astro percaya dengan kembalinya AF 2013, ia bakal mencetuskan kembali fenomena yang pernah dialami serta mampu mencungkil lebih ramai bakat dalam bidang nyanyian," ujarnya ketika ditemui selepas konsert berakhir.
Ketika ditanya tentang pembaharuan untuk AF 2013 kali ini, Raqim menyatakan, selain konsep yang berbeza seperti pembabitan peserta duo, para peserta juga akan dapat berinteraksi dengan peminat menerusi laman sosial Twitter dan Instagram sepanjang berada di akademi.
Ujarnya, para peserta boleh membaca setiap komen yang diberikan oleh para peminat menerusi kedua-dua laman sosial berkenaan dan mereka boleh membalasnya serta ia boleh digunakan untuk memancing lebih banyak undi kepada mereka.
"Kalau kita lihat sekarang ini penggunaan laman sosial semakin meluas oleh para artis untuk memberikan perkembangan terbaharu kepada kerjaya masing-masing.
NUR AISHAH AZIZ atau Aishah merupakan adik kepada penyanyi terkenal Singapura, Aliff Aziz.


"Jadi, dalam akademi nanti mereka akan turut dilatih untuk menggunakan laman sosial ini dan berhadapan dengan setiap komen-komen yang diberikan peminat sama ada positif atau negatif," jelasnya.
Sementara itu, semasa konsert berkenaan turut diperkenalkan tiga orang barisan pengkritik tetap yang akan menilai persembahan para peserta setiap minggu iaitu Roslan Aziz, Sharifah Amani dan Edry KRU.
Mengenai pemilihan ketiga-tiga pengkritik tetap tersebut, Raqim memberitahu bahawa pihak Astro merasakan Roslan, Amani dan Edry merupakan individu yang sesuai kerana pengalaman yang luas dalam bidang yang diceburi.
"Kalau kita sedia maklum, pembabitan Edry dalam muzik sudah cukup lama bersama KRU manakala Amani pula merupakan antara pelakon yang berbakat dan mampu menarik golongan muda.
Roslan pula pernah bertindak sebagai pengetua AF5 sebelum ini.
"Dengan kombinasi ketiga-tiga pengkritik ini, kami yakin para peserta akan memperoleh lebih banyak ilmu serta dapat memperbaiki lagi mutu persembahan semasa konsert yang berlangsung setiap minggu," jelasnya.
Peluang
Selain pengenalan 12 peserta serta pengkritik tetap, konsert prelude pada malam kelmarin turut memperkenalkan Zizan Razak sebagai pengacara baharu AF 2013 yang sebelum ini pernah disandang oleh Datuk Aznil Nawawi dan Datuk AC Mizal.
Zizan yang ditemui berkata, dipilih sebagai pengacara AF 2013 sebagai satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan, meskipun mengakui ia merupakan suatu cabaran buat dirinya.
"Pada mulanya saya terpaksa memikirkan terlebih dahulu sama ada mahu menggalas tanggungjawab ini. Lagipun semua tahu bahawa AF 2013 ini merupakan sebuah program yang besar dan diminati ramai.
"Bagaimanapun, ramai rakan-rakan yang menyokong dan menyuruh saya supaya menerima sahaja tawaran yang diberikan dan ia merupakan antara sebab utama saya bersetuju," ujarnya.
Mengakui masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dalam kemunculan sulungnya sebagai pengacara ketika konsert Prelude Top 12, Zizan berharap agar tiada pihak yang membandingkannya dengan pengacara terdahulu.

Zizan Razak Beri Nafas Baharu AF 2013

Posted: 08 Sep 2013 05:41 PM PDT

Raqim berkata Zizan mempunyai kriteria yang berbeza dengan pengacara sebelum ini dan mampu memberi nafas baru pada AF 2013.
KUANTAN: Pemilihan Pelawak Zizan Razak sebagai pengacara musim baharu program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) adalah bagi memberi nafas baru kepada program tersebut.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, Zizan mempunyai kriteria yang berbeza dengan pengacara sebelum ini dan mampu memberi nafas baru pada AF 2013.
"Zizan merupakan pilihan yang paling tepat kerana dia mempunyai karakter yang berlainan daripada pengacara Akademi Fantasia (AF) sebelum ini yang mana kita tahu masing-masing mempunyai cara tersendiri.
"Dengan cara penyampaian yang santai dan jenakanya dapat membantu mengurangkan tahap tekanan peserta," katanya yang ditemui mStar Online selepas Konsert Prelude AF 2013, di sini, Sabtu.
Tambah Raqim, pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada penonton yang menganggap pemilihan tersebut bertepatan dengan konsep baharu program ini.
"Kita dapat komen yang banyak daripada penonton di laman sosial tentang pemilihan Zizan dan Alhamdulillah kebanyakannya memberi maklum balas positif.
"Kita buat kajian dan survey terlebih dahulu dengan penerimaan penonton terutamanya peminat rancangan ini yang telah mengikuti perkembangan AF daripada awal," katanya.
Zizan Razak.
Dalam pada itu, mengulas tentang pemilihan pelajar, Raqim berkata, ia dibuat mengikut kriteria yang ditetapkan dengan mengutamakan kelebihan vokal.
"Kita pilih 10 peserta terbaik dan mempunyai suara yang unik dan tiada persamaan dengan mana-mana artis yang telah ada.
"Tentang pakej lain serta nilai kormersial bagi saya ia akan datang kemudian dan ia boleh dibentuk oleh tenaga pengajar untuk membantu mereka mencari imej tersendiri," katanya.
Sementara itu, di tanya tentang penglibatan penyanyi Fida dan pelakon Arja Lee, katanya, katanya kedua-dua artis ini tidak mencapai tahap yang dikehendaki panel penilaian.
"Arja Lee sampai ke peringkat Top 24 namun kekurangan undian menyebabkan dia tidak terpilih untuk menyertai 10 peserta awal pada Konsert Prelude.
"Manakala Fida tidak melepasi top 24, bukan kerana suara dia tidak sedap namun ada calon yang lebih layak dan mempunyai suara yang belum ada lagi di negara ini," katanya.
Dalam pada itu, jelas Raqim cabaran utama pelajar kali ini adalah didedahkan dengan media sosial bagi berinteraksi dengan peminat mereka di luar.
"Kalau dulu kita tidak benarkan mereka berhubung dengan dunia luar namun kali ini berbeza, kita mahu mereka belajar untuk berhadapan dengan media sosial seperti Twitter dan Instagram serta Facebook.
"Ia penting dalam memberi pendedahan bagaimana mereka berhadapan dengan dunia realiti selepas keluar daripada akademi nanti," katanya.
Program AF 2013 akan bersiaran secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam bermula 14 September depan di Astro Ria (saluran 104).

Kotak mahu berkolaborasi dengan Shila Amzah, Yuna

Posted: 08 Sep 2013 05:40 PM PDT

SHILA merupakan antara penyanyi Malaysia yang diingini oleh Tantri untuk berduet dalam lagu.


INI bukan kunjungan kali pertama kumpulan Kotak ke Malaysia. Kumpulan dari Jakarta, Indonesia itu sudah lima kali hadir ke Malaysia memperkenalkan muzik genre pop rock mereka.
Kumpulan Kotak terdiri daripada tiga anak muda yang mempunyai semangat luar biasa iaitu Tantri, Cella dan Chua.
Begitupun, kumpulan Kotak sedar akan hakikat bahawa populariti mereka tidak setanding kumpulan Indonesia lain seperti Noah, Sheila On 7 dan Ungu yang berjaya menarik ramai peminat Malaysia.
Perkara itu disedari oleh vokalis Kotak sendiri iaitu Tiantri atau nama sebenarnya Tantri Syalindiri Ichlasari, 24. Ungkap penyanyi yang mempunyai vokal yang sangat lantang itu, ketika Kotak mengadakan persembahan di showcase Achilles Formula Dirft Malaysia 2013 di Speed City, Kuala Lumpur baru-baru ini, masih ramai yang tidak tahu menyanyikan lagu mereka.
"Peminat kumpulan Kotak di Malaysia pelbagai. Ada yang sudah lama mengenali Kotak dan mengikuti perkembangan kami serta ada juga yang baru mengenali Kotak.
"Saya sedar biarpun sudah lima kali datang ke Malaysia, kami tidak punyai peminat yang ramai. Baru-baru ini ketika mengadakan persembahan di Formula Drift, Kuala Lumpur, ada yang tidak tahu menyanyikan lagu Kotak.
"Jadi, saya juga tidak berani menyuruh peminat menyanyi bersama atau menyambung nyanyian saya kerana sedar mereka tidak mengetahui lagu-lagu kumpulan Kotak," ulas Tantri jujur ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi berjudul Terbaik di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Bicara lanjut, penyanyi yang pernah berduet dengan kumpulan terkenal Kanada, Simple Plan menerusi lagu Jeglag itu lagi, bagaimanapun dia bersyukur kerana ada segelintir peminat Malaysia yang benar-benar menyokong muzik mereka.
Tidak berputus asa dengan penerimaan peminat di Malaysia, Tiantri berharap dengan pelancaran album kompilasi Terbaik Kotak, peminat Malaysia akan lebih mengenali mereka seterusnya menyukai muzik yang diperjuangkan oleh kumpulan yang ditubuhkan pada 2004 itu.
ANGGOTA kumpulan Kotak terdiri daripada (dari kiri) Cella, Tantri dan Chua.


Berduet dengan Judika
Jelas Tantri, album itu memuatkan 17 buah lagu hit dari empat album terdahulu termasuk tiga buah lagu baharu.
Tiga lagu baharu tersebut terdiri daripada I Love You, Kecuali Kamu dan juga lagu ciptaan bersama Tantri dan Chua, iaitu Hijaukan Bumi.
Buat pertama kali menghasilkan lagu sendiri, Kotak juga masih menggunakan khidmat komposer Dewiq yang sering menghasilkan lagu-lagu mereka daripada album pertama lagi.
Disoal kenapa memilih untuk menghasilkan album kompilasi, ujar Tantri, ia merupakan inspirasi mereka untuk memberi peluang kepada peminat baharu mengenali muzik mereka.
"Mungkin dengan album kompilasi terbaik ini peminat di Malaysia akan lebih mengenali dan menyukai Kotak," luahnya.
Album kompilasi Terbaik Kotak terdiri daripada lagu-lagu hit mereka seperti Jetlag, Pelan-Pelan Saja, Lupa Ingatan, Selalu Cinta dan Energi.
Sementara itu, salah seorang anggota Kotak iaitu Chua mengulas mengenai kolaborasi mereka dengan penyanyi popular Indonesia, Judika menerusi lagu Aku Yang Tersakiti.
Bukan berniat untuk menumpang populariti lagu Aku Yang Tersakiti yang popular di Indonesia dan Malaysia, ulas Chua, projek kolaborasi itu berlangsung secara kebetulan.
Begitupun, akui Chua lagi, kolaborasi tersebut juga merupakan platform untuk Kotak lebih dikenali di Malaysia.
"Judika sangat dikenali di Malaysia menerusi lagu Aku Yang Tersakiti dan versi duet itu memberi peluang untuk kami dikenali di Malaysia," ujarnya yang berharap pula dapat berduet dengan penyanyi Shila Amzah dan Yuna selepas ini.
Kenapa Shila dan Yuna memandangkan aliran muzik mereka begitu berbeza dengan Kotak?
"Jika muzik yang dibawa oleh Shila dan Yuna bergabung dengan muzik Kotak, pastinya ia begitu menarik," tutur Cella pula.
Dalam pada itu, terlanjur bertemu Tantri sempena kedatangannya ke Malaysia itu, dia turut disoal mengenai hubungannya dengan vokalis kumpulan Naff iaitu Arda.
Meskipun sering mengelak apabila ditanya tentang hubungannya dengan Naff termasuk media di Indonesia, Tiantri bagaimanapun mengakui hubungannya itu dan meminta peminat mendoakan yang terbaik.

80 peratus artis tiada rumah sendiri

Posted: 08 Sep 2013 05:34 PM PDT


ROZAIDI ( tiga dari kiri ) bersalaman dengan Norsham pada majlis Pelancaran Rumah Contoh Projek Perumahan Kumpulan Alfafa di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mendakwa, lebih 80 peratus artis termasuk penyanyi, pemuzik, pelawak dan pelakon masih menyewa kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Presidennya, Rozaidi Abd. Jamil berkata, hal itu berlaku kerana artis sukar memenuhi prosedur pinjaman perumahan yang ditetapkan oleh pihak bank seperti perlu memiliki penyata gaji bulanan.
"Sehubungan itu, Seniman memohon kepada setiap kerajaan negeri menganugerahkan tanah kepada Seniman supaya kami dapat bina rumah di atas tanah tersebut untuk dijual kepada golongan artis pada harga mampu milik.
"Rumah ini akan dibina oleh syarikat perumahan Kumpulan Alfafa," katanya pada sidang akhbar majlis Pelancaran Rumah Contoh Projek Perumahan Kumpulan Alfafa di sini semalam.

Guru redah sungai 12 kilometer ke sekolah

Posted: 08 Sep 2013 05:32 PM PDT



SEMUA kelengkapan harian ke sekolah diisi di dalam beg plastik dan dijulang dengan sebelah tangan sehingga ke seberang sungai.


KERALA, India - Seorang guru di India sanggup berenang meredah sungai sejauh 12 kilometer (km) setiap hari seawal pukul 9 pagi untuk ke sekolah di perkampungan Malappuram di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Abdul Mallik yang telah menjadi guru sejak 20 tahun lalu itu akan meredah air sungai yang mencecah paras leher dengan bantuan sebuah tiub tayar di pinggangnya.
Ketika berenang merentasi sungai, semua kelengkapan seperti pakaian, kasut dan bekalan makanan Mallik akan disimpan di dalam satu beg plastik dan dijulang dengan sebelah tangan hingga dia tiba ke seberang.
Walaupun sukar, ini adalah tanggungjawab yang menjadi rutin harian dan perlu dilakukan guru berusia 40 tahun itu untuk ke sekolah setiap hari.
"Jika saya ke sekolah dengan menaiki bas ia mengambil masa selama tiga jam untuk perjalanan sejauh 12 kilometer.
"Jadi, berenang merentasi sungai adalah lebih mudah, cepat dan saya boleh tiba ke sekolah tepat pada masanya," kata Mallik.
Menurut laporan media tempatan, Mallik akan menukar pakaian basahnya di belukar di tebing sungai dan meneruskan perjalanan menaiki bukit selama 10 minit untuk tiba ke sekolah.
Guru kerajaan seperti Mallik biasanya menerima gaji sebanyak Rs.25,000 (RM1,281).

Bruno Mars bakal buat persembahan di Super Bowl

Posted: 08 Sep 2013 05:32 PM PDT


BRUNO MARS memegang trofi yang dimenanginya pada Anugerah Muzik MTV di New York, 25 Ogos lalu.


NEW YORK - Pemenang anugerah Gram- my, Bruno Mars akan membuat persembahan dalam separuh masa kejohanan tahunan bola sepak Super Bowl pada Februari tahun depan, lapor sumber dalaman.
Bagaimanapun, berita tersebut masih belum diumumkan oleh pihak NLF. Pengumuman rasmi dikatakan dibuat semalam di Times Square , di sini.
Musim liga bola sepak itu telah bermula pada Khamis lalu manakala Super Bowl akan berlangsung pada 2 Februari 2014 di Stadium MetLife di East Rutherford, New Jersey.
Penyanyi terkenal, Beyonce yang membuat persembahan pada Februari lalu di New Orleans diumumkan sebagai bintang Super Bowl tahun ini.
Mars, 27, sebelum ini turut memenangi Anugerah Video dan Koreografi Terbaik Penyanyi Lelaki untuk klip Treasure di Augerah Muzik MTV pada bulan lalu.
Antara barisan artis yang pernah membuat persembahan dalam separuh masa perlawanan NFL termasuklah Madonna, Black Eyed Peas bersama Usher dan Slash.

Tokyo jadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020

Posted: 08 Sep 2013 05:31 PM PDT


PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe (tiga dari kanan) melompat kegembiraan bersama delegasi Tokyo 2020 selepas Presiden IOC mengumumkan Tokyo sebagai hos Sukan Olimpik 2020.


TOKYO, Jepun - Bandar raya Tokyo mengungguli hak penganjuran Sukan Olimpik 2020 selepas dipilih oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Ibu negara Jepun itu mengetepikan Istanbul, Turki dengan undi 60-36 pada pusingan akhir undian oleh IOC di Buenos Aires, Argentina kelmarin.
Madrid, Sepanyol pula tersingkir pada pusingan awal undian.
Keputusan undian itu hadir selepas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memberi jaminan berhubung keselamatan krisis nuklear Fukushima kepada anggota-anggota IOC.
Krisis nuklear Fukushima berlaku ekoran bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara matahari terbit itu pada Mac 2011.
Kejayaan dipilih sebagai tuan rumah sukan itu disambut gembira oleh beribu-ribu orang yang berkumpul sejak awal pagi di pusat bandar di sini yang menonton siaran langsung pengumuman dari Buenos Aires.
Jepun sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1964.

Kitar semula susu tamat tempoh

Posted: 08 Sep 2013 05:28 PM PDT




SETIAP kali menyebut tentang susu ibu, pasti ramai membayangkan bayi dalam dakapan ibunya untuk menyusu. Namun demikian, bagi ibu-ibu berkerjaya, alat atau pam perahan merupakan sandaran di tempat kerja untuk mengumpul stok susu untuk diberikan kepada bayi ketika berjauhan.
Susu yang disimpan di dalam bekas steril dan bertutup boleh bertahan sehingga enam jam pada suhu 26 darjah Celsius ke bawah. Ia boleh juga disimpan di dalam peti sejuk tidak melebihi 72 jam, peti sejuk beku satu pintu (dua minggu), peti sejuk beku dua pintu (tiga bulan) dan peti sejuk beku (enam bulan).
Namun, apabila susu yang disimpan melepasi tempoh, ia mengalami susut nilai kandungan nutrisi dan tidak sesuai diminum dan terpaksa dibuang. Bagi sesetengah pihak, tindakan itu dianggap sebagai satu kerugian.
Namun di sebuah kediaman dua tingkat yang terletak di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor susu-susu ibu yang tamat tempoh ini diberi peluang kedua. Ia menjadi bahan penting dalam pembuatan sabun.
Langkah pembuatan
Bahan-bahan lain yang digunakan ialah ramuan semula jadi seperti susu kambing, kunyit, serai, minyak sayur-sayuran seperti minyak zaitun, kelapa dan kelapa sawit serta minyak pati.
Seramai tujuh orang wanita yang terdiri daripada golongan ibu dan bakal ibu, berkumpul di kediaman yang dikenali sebagai Bonda Villa bagi mengikuti satu kelas khas membuat sabun daripada susu ibu itu.
Berpakaian lengkap dengan apron dan penutup mulut, guru kelas itu, Sany Woo, telah menyediakan bahan-bahan yang akan digunakan untuk menghasilkan sabun unik itu.
Beliau dan konsultan penyusuan badan, Gina Yong, 40, merupakan ahli kumpulan sokongan penyusuan ibu yang dikenali sebagai The Breastfeeding Advocates Network (TBAN).
"Susu ibu yang digunakan untuk pembuatan sabun ini diperoleh daripada ibu-ibu yang menderma susu mereka yang telah melebihi enam bulan penyimpanan," jelas Woo ketika ditemui baru-baru ini.
Dengan para peserta mengelilingi meja makan, beliau memulakan kelas dengan menyukat semua ramuan yang diperlukan dengan teliti menggunakan sebuah mesin penimbang elektronik.

SETIAP bahan disukat bagi memastikan kuantiti yang dicampur tepat.


Terangnya, setiap bahan yang digunakan mempunyai peranan penting dalam sabun berkenaan. Contohnya, minyak zaitun berfungsi memberikan kelembapan, minyak kelapa sawit yang kaya dengan kandungan vitamin E bermanfaat untuk kulit dan dapat mengekalkan bentuk sabun, manakala minyak kelapa menghasilkan buih ketika sabun digunakan.
"Setiap kandungan mempunyai nilai perkadaran tersendiri. Jika mahu banyak buih, maka minyak kelapa ditambah. Namun, jika terlalu banyak, ia boleh menyebabkan kulit kekeringan," jelas Woo kepada peserta.
Langkah pertama jelasnya, ialah memproses susu ibu beku dengan bahan bukan organik, lai atau natrium hidroksida (NaOH) dan digaul sebati. Semasa mencampur kedua-dua bahan tersebut, bekas diletakkan dalam ketulan ais agar menstabilkan suhu susu di bawah 25 darjah Celsius bagi mencegahnya daripada rosak.
"Jika campuran bahan ini tidak bertukar warna begitu kekuningan, jadi ia dalam keadaan baik," ungkapnya sambil memasukkan kepingan NaOH sedikit demi sedikit sambil mengaul dengan susu.
Setelah itu, campuran minyak dan susu badan yang telah ditapis dimasukkan ke dalam satu bekas yang sama dan dipukul perlahan selama 45 minit sebelum dituang ke dalam acuan dan dibiarkan keras.
Setelah keras, sabun tersebut dipotong dan bersedia untuk digunakan sekurang-kurangnya selepas 24 jam.
Campuran bahan yang telah mengeras pada suhu bilik dipotong bergantung kepada saiz yang dikehendaki. Kemudian, buku-buku sabun itu dibiarkan lagi sebelum boleh digunakan dengan paling singkat selama 24 jam.
Lebih lama dibiarkan lebih baik bergantung kepada penggunanya nanti, menurut Woo. Selama enam minggu untuk kegunaan bayi, manakala empat minggu bagi orang dewasa.
Kelas itu menurut Woo, diadakan antara dua hingga tiga kali setahun.
Pengaruh
Sementara menunggu sabun yang dibuat siap, Yong memaklumkan penganjuran kelas, bengkel penyusuan bayi dan pertemuan kumpulan sokongan TBAN merupakan antara langkah yang diambil dalam meningkatkan kesedaran serta amalan penyusuan badan dalam kalangan wanita.
Katanya, kadar penyusuan bayi dengan susu ibu di Malaysia masih lagi pada tahap rendah iaitu sebanyak 14.5 peratus.
Jelas beliau, antara faktor yang mempengaruhi kadar itu ialah penggunaan susu tumbesaran atau formula yang mula mendapat tempat sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an.
Pengiklanan agresif susu tersebut meyakinkan umum bahawa susu tersebut mempunyai khasiat yang tinggi dan menjadi pilihan bayi, seterusnya mempengaruhi kaum ibu untuk memilih susu tersebut.
Selain itu, penggunaan susu ibu yang mudah berbanding susu formula menambah keyakinan orang ramai.
Yong menambah, status masyarakat yang dikaitkan dengan amalan menyusu badan pada waktu itu juga merupakan satu pengaruh penting.
"Tanggapan bahawa menyusukan anak dengan susu badan adalah amalan orang miskin dan malu untuk melakukannya di tempat-tempat umum meningkatkan penggunaan susu formula," ujarnya.
Justeru, kumpulan-kumpulan sokongan seperti TBAN diwujudkan bagi memberi kesedaran dan panduan kepada orang ramai betapa pentingnya penyusuan badan.
Yong berkata, walaupun masih rendah, kesedaran umum terhadap kepentingan penyusuan badan semakin meningkat.
"Malah, penganjuran Kempen Penyusuan Susu Ibu, pengenalan Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia dan Hospital Rakan Bayi oleh pihak berkuasa memberi kesan terhadap amalan ini.
"Ia juga mewujudkan inovasi teknologi, kemudahan dan trend-trend fesyen baharu dalam amalan penyusuan susu ibu ini dan terus menggalakkan lebih ramai ibu menyusukan anak mereka," ujar beliau.

SUSU ibu yang disimpan boleh melepasi tamat tempoh tidak sesuai untuk bayi minum.


Manfaat
Dalam pada itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Kuala Lumpur, Dr. Noor Haliza Yussoff berkata, susu ibu mengandungi nutrisi unik yang paling lengkap berbanding susu formula.
Jelasnya, susu badan mempunyai kandungan protein yang tinggi, kaya vitamin, karbohidrat dan lemak yang memainkan peranan dalam perkembangan otak, retina dan sistem saraf bayi. Selain itu ia juga mengandungi imunoglobulin iaitu antibodi yang penting terhadap imun badan bayi.
"Kandungan susu ibu sentiasa berubah mengikut keperluan bayi. Contohnya, kandungan protein dalam susu akan lebih banyak jika bayi yang lahir tidak cukup bulan.
"Ini tidak sama dengan kandungan susu formula. Walaupun nutrisi boleh ditambah, tetapi ia tetap dan tidak boleh mengikut keperluan bayi," jelasnya.
Mengulas mengenai pembuatan sabun susu badan yang diadakan oleh kumpulan-kumpulan sokongan penyusuan ibu, Dr. Noor Haliza mengakui tidak pernah mendengar perkara itu sebelum ini.
Ujarnya, sememangnya tidak pelik bahan-bahan tenusu dijadikan sabun kerana ia mempunyai sifat melembap yang baik untuk kulit.
"Wujud persepsi negatif dalam kalangan orang ramai mengenai sabun itu. Pasti ramai yang berasa geli mahu menggunakan. Ia kerana kebanyakan individu hanya menerima susu ibu untuk anaknya," katanya sambil menambah tiada masalah jika bahan tersebut dijadikan sabun.
Namun, tidak menolak kemungkinan ada stigma terhadap produk tersebut.
Sementara itu, penceramah agama, Ustaz Haslin Baharim ketika dihubungi memberi pandangan bahawa sabun yang diperbuat daripada susu ibu perlu diteliti.
Menurutnya, susu ibu yang dibiarkan lama sehingga rosak boleh bertukar menjadi darah. Justeru, ia memerlukan banyak perbincangan.
"Seperti juga pembuatan gincu daripada uri yang tidak dibenarkan," katanya.
Maka, perkara tersebut perlu dibincangkan dan diperhalusi pada peringkat jabatan agama atau majlis fatwa.
Mengulas mengenai susu lain yang dijadikan sabun seperti susu kambing, Haslin berkata, itu dibolehkan dan memang untuk kegunaan manusia.

Makanan eksotik etnik Newar

Posted: 08 Sep 2013 05:27 PM PDT



BERKUMPUL di bhatti merupakan sebahagian daripada amalan sosial silam masyarakat Newar.


MENYUSURI lorong sempit berturap yang hanya beberapa minit dari hab pelancongan yang sibuk di Kathmandu, Durbar Square, seorang peniaga makanan, Uttam Manandhar giat menyediakan pelbagai hidangan seperti otak, tulang belakang dan buah zakar kerbau.
Hidangan itu mungkin kelihatan tidak menyelerakan bagi masyarakat Barat, namun bagi masyarakat etnik Newar, berkumpul di bhatti seperti itu merupakan sebahagian daripada amalan sosial silam yang telah tidak diketahui ribuan pelancong yang datang ke Nepal untuk mendekati budaya negara itu.
Kedai makan yang terletak di lorong-lorong sempit itu merupakan sebahagian daripada ratusan tempat makan dalam lubang dinding yang menyajikan minuman keras buatan sendiri dan pelbagai snek berasaskan daging kerbau.
"Ini merupakan makanan ruji masyarakat Newar. Saya rasa penduduk tempatan datang ke sini kerana makanannya murah, berkhasiat dan sedap," katanya sambil sibuk menyediakan hidangan saraf tunjang dan usus goreng.
Hidangan
Kedua-dua bahagian lorong itu dipenuhi lubang-lubang yang meletakkan kedai makan yang hanya boleh dikenali melalui tirai dipenuhi kesan minyak yang menutupinya.
Di bahagian dalam kedai, sedozen hidangan Newar, yang terdiri daripada nasi tumbuk dan bahagian-bahagian seekor kerbau, disajikan kepada masyarakat tempatan lapar yang menikmatinya bersama arak beras yang dipanggil raksi.
Pelanggan membayar 100 rupee (RM5.10) untuk satu hidangan yang mengenyangkan, sementara dua gelas raksi berharga 40 rupee (RM2).
Hidangan-hidangan yang ditawarkan termasuk otak kerbau, phokso (paru-paru disumbat dengan daging cincang), kachila (daging mentah), kulit kerbau bakar, sup saraf tunjang dan usus goreng.
Menurut Uttam, walaupun pelancong berduyun-duyun mengunjungi kuil-kuil abad ke-17 dan tarikan-tarikan lain demi menikmati pengalaman sebenar Kathmandu, mereka jarang mengunjungi tempat makan ini.
"Tempat ini mungkin gelap dan tidak sebaik jika dibandingkan dengan kedai-kedai makanan lain di Kathmandu. Tetapi setelah mereka merasai keenakan sajian ini, mereka pasti akan tergoda," ujarnya.
Sebuah bhatti biasa mungkin dikunjungi 60 orang pelanggan dengan meraih pendapatan bersih sebanyak 4,000 rupee (RM204) sehari.
Walaupun kos tenaga kerja rendah, pemilik kedai biasanya berperanan sebagai pelayan dan tukang masak.

ANTARA hidangan yang ditawarkan ialah otak kerbau, paru-paru disumbat dengan daging cincang, kulit kerbau bakar, sup saraf tunjang dan usus goreng.


"Kami amat sibuk pada lewat tengah hari dan petang kerana pelanggan kami, terutamanya masyarakat Newar, akan datang ke sini untuk makan dan bersosial," jelasnya.
Sementara itu, di bawah sinaran sebiji mentol dalam sebuah bilik panjang yang dipenuhi meja dan kerusi kayu, seorang pelanggan, Narendra Gopal Shrestha, sedang menikmati sepinggan stu kentang dan jeruk kacang soya serta timun bersama cuka dan cili.
"Saya membesar dengan makanan Newar di rumah dan menikmatinya setiap hari. Sajian enak ini murah dan tidak terdapat di mana-mana kecuali di Kathmandu.
"Anak-anak saya lebih gemar mengunjungi restoran-restoran mahal yang menawarkan makanan segera seperti piza dan burger. Saya rasa hanya generasi lama sahaja menghargai hidangan ini," ujarnya.
Beliau memaklumkan makanan-makanan tersebut mencerminkan kekayaan budaya yang diperoleh daripada gabungan unik agama Buddha dan Hindu masyarakatnya.
Tambahnya, ia juga mengimbau sejarah pertanian masyarakat Newar ketika mereka membekalkan makanan itu kepada pekerja-pekerja ladang mereka.
Modenisasi
Menurut pakar-pakar makanan, walaupun terdapat beberapa bhatti di setiap lorong sedekad lalu, jumlah tersebut kian berkurangan.
Menurut penulis makanan, Shekhar Kharel, kedai-kedai makan ini wujud sebelum kedatangan restoran makanan segera dan budaya makan di luar.
"Sekitar tahun 1970-an, golongan-golongan kreatif akan meluangkan masa di kedai makan itu," ujarnya.
Shekhar percaya pelanggan kini semakin berpengetahuan dan maju, seiring dengan sikap terbuka Kathmandu sejak beberapa dekad lalu.
Ia sekali gus menjadikan restoran-restoran yang menawarkan hanya sejenis hidangan semakin lapuk.
"Bhatti merupakan sepupu miskin kafe-kafe mewah suatu kawasan kejiranan.
"Sungguhpun mereka diancam dengan kehadiran pendatang baharu, namun ia mempunyai pelanggan setia. Kedai-kedai makan ini mungkin dapat mengekalkan kegemilangan mereka jika memodenkan sedikit tawaran yang disediakan kerana anda tidak dapat merasai keaslian hidangan di tempat-tempat lain," katanya.

Novel peperangan zaman Rasulullah

Posted: 08 Sep 2013 05:24 PM PDT

HIZAMNUDDIN setakat ini telah menghasilkan lima buah buku perniagaan, motivasi dan novel sejarah yang sesuai dengan cita rasa dan adat masyarakat Timur.


MENGHASILKAN novel berbentuk sejarah Islam dengan harapan ia dapat menjadi panduan generasi muda merupakan matlamat penulis, Hizamnuddin Awang, 44, yang berasal dari Jerteh, Terengganu.
Dunia penulisan sememangnya tidak pernah jauh bagi bapa kepada lima orang cahaya mata yang pernah bertugas sebagai penyelidik dan pegawai pemasaran di MIMOS Berhad dan Jaring Communication Sdn. Bhd. (Jaring) itu.
"Saya bergiat aktif dalam bidang penulisan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, sains, teknologi dan peradaban manusia bermula tahun 1995 di Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi, Dewan Masyarakat, Usahawan Sukses dan Majalah PC.
"Ketika bertugas di Jaring, saya telah melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, penyunting bersekutu dan pengarang bagi majalah Jaring Internet Magazine. Oleh itu, menulis sememangnya menjadi minat saya dari dahulu lagi," katanya yang turut menjalankan sebuah perniagaan katering.
Setelah lebih 10 tahun bersama Jaring, Hizamnuddin yang terkenal dengan nama penanya, Web Sutera, telah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang penulisan sekitar tahun 2006.
Katanya, keinginan untuk memberi tumpuan pada bidang penulisan tercetus apabila beliau sendiri mendapati kekurangan buku-buku motivasi keluaran anak tempatan di pasaran.
"Oleh itu, saya mula menghasilkan buku-buku berkaitan dengan motivasi yang berbeza daripada yang dihasilkan penulis asing. Saya memastikan buku itu sesuai dibaca oleh rakyat tempatan.
"Buku motivasi Barat dilihat sarat dengan elemen-elemen kebaratan dan tidak sesuai dengan adat ketimuran," katanya sambil memaklumkan buku motivasi pertamanya berjudul Buat Duit dengan Katering.
Selain buku motivasi, beliau juga gemar gaya penulisan berkaitan perniagaan dan sejarah.
"Saya bukan seorang yang mahir menggunakan bahasa retorik dalam penulisan. Oleh itu, saya lebih gemar menulis mengenai sejarah," ujarnya.

HIZAMNUDDIN meminati novel yang bergenre seram dan ngeri serta karya-karya cerpen dan novel sasterawan negara.


Mesej penulisan
Sejak tahun 2007 sehingga hari ini, beliau berjaya menghasilkan dua novel sejarah, dua buku motivasi dan sebuah buku perniagaan.
Novel terbaharunya adalah genre sejarah yang berjudul Konstantinopel: Kibaran Panji Al Fateh yang menyasarkan pembaca yang meminati sejarah Islam.
"Ia adalah novel kedua selepas Macedonia : Alexander Agung Hijab Raja Zulqarnain yang menceritakan mengenai ketokohan Raja Zulqarnain. Ia mula didapati di pasaran sejak Mei lalu.
"Walaupun sibuk dengan perniagaan katering bersama isteri, saya berjaya menghasilkan novel ini dalam tempoh enam bulan sahaja," ujarnya.
Ditanya mengenai novel yang setebal 885 muka surat yang dijual pada harga RM29 itu, lelaki yang tidak lekang dengan senyuman ini berkata, ia berkisar Kota Konstantinopel yang kemudiannya dikenali sebagai Istanbul, Turki.
Menurutnya, Konstantinopel merupakan sebuah kota yang menjadi rebutan pelbagai pihak termasuk kerajaan Rom.
"Betapa pentingnya Konstantinopel dalam sejarah Islam dan Kristian sehinggakan ia disebut oleh Rasulullah semasa Perang Khandak.
"Ia juga memperlihatkan tanda-tanda kenabian Rasulullah yang sering menceritakan kejadian yang akan terjadi pada masa akan datang, selain peranan Muawiyah Abu Sufiyan dengan seorang lagi sahabat Rasulullah iaitu Abu Ayub Al-Ansari," kata Hizamnuddin.
Katanya, novel tersebut banyak menyentuh perjuangan tentera Islam, khususnya Sultan Muhammad al-Fateh.
Beliau menjelaskan, inspirasi novel itu datang daripada kisah tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah itu dan banyak melakukan penyelidikan dan pemahaman berkaitan kisah tersebut.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia itu kini sedang menulis sebuah lagi novel dan buku motivasi.
"Ia berjudul Kombat Armagedon dan buku motivasi yang berjudul Hijrah Champion Gaya Rasulullah yang akan diterbitkan pada tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya ringkas.
Beliau tidak menafikan akan mencuba pelbagai genre penulisan pada masa akan datang.

Lalat mudarat kesihatan dan perniagaan

Posted: 08 Sep 2013 05:24 PM PDT



LALAT senang membiak di tong sampah, himpunan kompos, sangkar atau tempat tidur haiwan peliharaan.


MANUSIA sememangnya benci pada lalat kerana diketahui umum ia adalah sejenis serangga yang boleh membawa pelbagai penyakit berjangkit seperti demam kepialu, kolera (taun) dan penyakit disentri.
Lalat gemar menghurung kawasan kotor dan berbau busuk seperti tapak pelupusan dan pembuangan sampah, longkang yang kotor, bangkai binatang, timbunan sampah sarap dan najis.
Ia kemudian membawa bersama kuman dari tempat-tempat kotor berkenaan dan menghinggap pula di atas benda-benda lain termasuk hidangan makanan yang terdedah.
Begitulah caranya kuman disebarkan oleh lalat hingga membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh berubah kepada wabak.
Kehadiran serangga ini hanya memerlukan sedikit kecuaian manusia dalam menjaga kebersihan sekitar. Ia senang membiak di tong-tong sampah, himpunan kompos serta dalam kotak, sangkar atau tempat tidur haiwan peliharaan.
Sikap
Oleh itu, wujud satu tanggapan negatif sekiranya lalat kelihatan berterbangan dalam rumah, terutamanya di dapur dan bilik makan.
Apatah lagi jika lalat dilihat di premis-premis restoran dan kedai makan. Ia pastinya membuatkan sesetengah orang, terutamanya pelanggan ke premis tersebut, merasa loya.
Tetapi itulah yang dialami oleh penulis baru-baru ini apabila mengunjungi Johor. Ketika memandu ke selatan, penulis berhenti sebentar untuk makan di sebuah restoran makanan segera di sini.
Dan alangkah terkejutnya sebaik melangkah masuk ke premis berkenaan, kelihatan lalat berterbangan di merata sudut restoran itu. Ini termasuk di kawasan kaunter dan pada cawan kertas yang disusun berhampiran dengan mesin minuman ringan.
"Kenapa banyak sangat lalat dalam restoran ini?" kedengaran seorang pelanggan merungut dan menanyakan kakitangan yang bertugas di kaunter.
Namun tiada jawapan kedengaran daripada petugas berkenaan yang juga merupakan seorang gadis berusia lewat belasan tahun.
Petugas itu hanya membiarkan lalat-lalat tersebut berterbangan sewenang-wenangnya dan dia sendiri mengambil sikap tidak endah mengenai lalat yang menghurung dan singgah di mesin tunai yang dikendalikannya.
MASYARAKAT dan pihak berkuasa memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan sekitar sentiasa bersih.


Setibanya di Johor, penulis berhenti di sebuah kedai aiskrim yang terletak di sebelah Lebuh Raya Utara-Selatan. Didapati terdapat juga lalat di situ, namun jumlahnya tidak sebanyak yang terdapat di kedai makanan segera sebelum ini.
"Di sini memang ada lalat, sebab wujud banyak ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran," jelas seorang petugas di kaunter bila ditanya penulis tentang beberapa ekor lalat yang kelihatan berterbangan.
Lalat-lalat itu kelihatan terus berterbangan apabila berjaya melepaskan diri daripada perangkap cahaya ultralembayung yang dipasang dalam premis aiskrim itu.
Langkah proaktif
Bagi tuan rumah dan tuan punya syarikat perniagaan, lalat sememangnya terkenal sebagai ejen pembawa penyakit. Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, mereka perlu memastikan premis masing-masing sentiasa bersih selain kerap membuang sampah dan menutup rapi semua bekas sampah.
Restoran yang mempunyai lalat berisiko kehilangan pelanggan kerana mereka khuatir akan dijangkiti penyakit. Kehadiran serangga ini di dalam rumah memberi gambaran negatif kepada tetamu tentang tahap kebersihan rumah berkenaan.
Menurut Adenan Ariffin dari NADZ Pest Control yang beroperasi di Lembah Klang sejak tahun 2005, kebanyakan warga tempatan seperti pemilik kediaman dan entiti perniagaan, lebih mementingkan kawalan terhadap makhluk perosak seperti anai-anai.
"Ada juga yang mahukan kami bertindak terhadap haiwan pembawa penyakit seperti lipas dan tikus tetapi hanya segelintir yang mahukan kami menjalankan tugas terhadap penghapusan lalat," jelasnya ketika ditanya mengenai usaha kawalan terhadap makhluk perosak dan pembawa penyakit yang dijalankan.
Katanya, hanya segelintir pihak yang mengadakan majlis-majlis di kawasan terbuka, seperti kenduri perkahwinan, mendapatkan perkhidmatan syarikat tersebut.
"Prosedur kawalan serangga untuk majlis seumpama itu perlu dijalankan sebelum dan selepas majlis.
"Ia haruslah sekurang-kurangnya dua hari sebelum majlis dan selewat-lewatnya seminggu selepas majlis," jelasnya.
Yang jelas, satu langkah proaktif perlu dilaksanakan bagi mengawal makhluk ini. Walaupun bukan melalui khidmat kawalan serangga, sekurang-kurangnya kita hendaklah peka untuk menghalau lalat sebelum ia memudaratkan kesihatan kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines