Sabtu, 7 September 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Suami disorok orang bunian?

Posted: 06 Sep 2013 05:05 PM PDT


  • Suami disorok orang bunian? Jejak kaki dipercayai milik mangsa dikesan sebelum hilang di kawasan berair.
KUALA SELANGOR - Misteri kehilangan seorang nelayan pantai sejak Khamis lalu masih belum terjawab dan gerakan mencari masih aktif dijalankan di sekitar kawasan hutan paya bakau di Jeti Sungai Yu, di sini.

Malah, banyak andaian dan ramalan pawang yang memaklumkan kehilangan Jamaludin Abd Ghani, 50, mungkin disorok bunian memandangkan kawasan yang dilalui untuk mencari ketam dikatakan keras dan merupakan perkampungan bunian.

Isteri mangsa, Chek Tom Shaari, 40, berkata, dia bimbang selepas suaminya tidak pulang ke rumah sebelum gerakan mencari pada jam 7 petang bermula dengan penemuan motosikal di jeti terbabit.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar menuju ke jeti dalam keadaan hujan renyai tanpa disedari isterinya sedangkan pada awalnya dia memaklumkan tidak mahu turun ke laut disebabkan cuaca yang kurang elok.

"Perangai suami memang berbeza. Selama ini sebelum keluar dia akan beritahu saya jika mahu ke mana-mana," katanya.

Apabila suami tidak pulang, dia segera memaklumkan jiran dan bersama-sama mencari di jeti, malangnya tiada sebarang petunjuk ditemui sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Balai Polis Tanjong Karang.

Katanya, gerakan mencari diteruskan melibatkan pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), rakan nelayan sehingga jam 2 pagi manakala penduduk kampung membuat solat hajat di Surau At Taqwa Taman Desa Mawar dan Surau Jeti Sungai Yu.

"Semua mencari suami saya sampai jam 7 pagi dan berhenti kerana solat Jumaat," katanya.


Pernah lihat perkampungan cantik

Chek Tom tidak menolak andaian suaminya itu disorok bunian memandangkan kawasan itu memang keras dan pernah berlaku kejadian seumpama itu sebelum ini.

Menurutnya, suaminya juga pernah bercerita dia ada terlihat perkampungan yang sangat cantik dalam hutan paya bakau itu, namun dia tidak pergi dekat.

"Mungkin kali ini suami saya diduga sampai tidak boleh keluar dari kawasan itu. Ada yang kata suami termakan buah limau yang ranum di dalam hutan itu menyebabkan penunggu kawasan itu tidak mahu melepaskannya.

"Yang penting sekarang ini saya mahu suami selamat sahaja. Apa cara sekali pun yang terpaksa digunakan saya akan usahakan demi suami," katanya.

Tapak kaki mangsa ditemui

Sementara itu, Ketua Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Sahrul Hafizan Daud berkata, meskipun tapak kaki mangsa ditemui, namun kelibatnya masih belum dikesan menyebabkan mereka terpaksa menghentikan operasi pada jam 8 malam sebelum disambung hari ini.
Menurutnya, seramai 10 anggota menyertai gerakan mencari mangsa bermula 10 malam kelmarin bersama penduduk setempat dengan keadaan hutan paya bakau yang dipenuhi selut.
"Cuaca gelap agak menyukarkan pergerakan lebih-lebih lagi anggota kerap menemui ular dan haiwan berbisa lain. Namun usaha mencari tetap diteruskan pada hari ini (semalam) bermula jam 9 pagi tadi," katanya.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Utara, Mohd Zulhilmi Mohd Ridzuan pula berkata, seramai 11 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor serta Tanjong Karang dikerahkan dalam usaha mencari mangsa bermula jam 3 petang sehingga 8 malam.

"Meskipun mangsa sudah dilaporkan hilang lebih 24 jam, namun pihak bomba hanya dimaklumkan selepas solat Jumaat dan bergegas menyelusuri sungai dengan bot untuk mencari mangsa.

"Usaha mencari akan diteruskan esok (hari ini) dengan bantuan anjing pengesan K9," katanya.


Simpati nasib penduduk

Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak turut bersimpati dengan musibah yang menimpa Ketua Persatuan Nelayan Jeti Sungai Yu itu dan turut membantu mencari mangsa menerusi bantuan orang kampung.

"Saya juga memaklumkan kepada pihak Syabas supaya menyediakan tangki statik untuk kemudahan penduduk yang datang ke jeti itu terutamanya keluarga mangsa yang datang dari Pontian, Johor.

"Saya berharap mangsa dapat ditemui dalam keadaan baik dan turut meminta kariah di Masjid Sungai Terap dan Masjid Sungai Yu supaya mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Jamaludin," katanya.

Generasi terakhir si penarik beca

Posted: 06 Sep 2013 05:02 PM PDT


  • Generasi terakhir si penarik beca Jaafar setia menanti pelanggannya di Pasar Awam Maharani, di sini.
MUAR – Keupayaan seorang warga emas mencari punca rezeki sebagai penarik beca pada usia senja amat mengagumkan, meskipun pernah melalui liku kehidupan mencabar akibat terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya lima tahun lalu.

Kelibat Jaafar Abu, 72, dari Lorong Mat Tab Abu, Jalan Sungai Abong, bukanlah asing terutamanya kepada pengunjung di sekitar Pasar Awam Maharani kerana dia akan bekerja bermula dari jam 7 pagi sehingga 11 pagi.

Mengimbau kembali insiden itu, Jaafar menceritakan dia dilanggar sebuah motosikal ketika mengayuh beca di Jalan Maharani sehingga menyebabkan dia terlantar koma di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selama dua minggu akibat kecederaan parah di kepala.

"Saya sekali lagi diuji tiga bulan hilang ingatan sehingga saya tidak kenal seluruh ahli keluarga termasuk isteri sendiri.

"Dalam tempoh itu juga, emosi selalu terganggu dan mula jadi seorang yang sensitif serta pemarah.

Kasihan isteri, dia sering menahan sabar dengan karenah saya ketika itu," katanya sambil tersenyum.

Jaafar berkata, akibat pelanggaran itu dirinya mengalami kecacatan kekal iaitu masalah kurang pendengaran.

Biarpun  begitu, dia tidak pernah berasa serik  dan kembali mengayuh beca setelah hampir setahun berehat kerana tidak betah meninggalkan pekerjaan itu yang sudah sebati dalam dirinya sejak 53 tahun lalu.

Jaafar berkata, aktiviti itu sudah dikurangkan berikutan permintaan terhadap perkhidmatan beca di daerah ini semakin berkurangan bermula sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sehari nak dapat RM10 pun susah.  Tak macam dulu (sekitar 1970 hingga 1980an), beca menjadi pengangkutan utama di sini.

"Dulu  daerah ini ada lebih 300 penarik beca.  Tapi sekarang tinggal empat penarik beca saja. Kami semakin dilupakan," katanya.

Kata Jaafar lagi, kini tumpuannya lebih kepada beca yang membawa bahan basah peniaga kedai makan sekitar bandar ini. Barangan itu dihantar ke setiap kedai yang menjadi pelanggan tetapnya sejak beberapa tahun lalu.

"Seawal 7 pagi saya sudah berada di pasar ini untuk ambil dan hantar barang. Upah yang diterima bergantung kepada jumlah barangan dan jarak kedai yang dituju.

"Selepas hantar barang, saya akan bawa penumpang pula sementara menunggu jam 11 pagi untuk pulang ke rumah," katanya.

Katanya, selain itu dia turut mengambil upah memotong rumput untuk menampung perbelanjaan keluarga. Dalam pada itu, Jaafar bangga kerana  dapat membesarkan tujuh anaknya daripada hasil pendapatan sebagai penarik beca.

Erra tunggu masa jelas masalah rumah tangga

Posted: 06 Sep 2013 04:58 PM PDT


ERRA FAZIRA mengaku dia berhutang penjelasan dengan masyarakat terhadap keadaan rumah tangganya.


PADA saat suhu industri seni tempatan sedang dilanda kisah kontroversi kes penceraian pelakon Rita Rudaini dan pemain bola sepak Aidil Zafuan, kemelut rumah tangga pelakon jelita Erra Fazira tidak terlepas menjadi buruan.
Seringkali menolak untuk memberikan jawapan konkrit mahu pun menyimpulkan status rumah tangganya bersama Engku Emran Zainal Abidin, Erra sebelum ini sekadar memberikan kenyataan secara umum dan menyifatkan rumah tangga mereka masih stabil.
Kesempatan bertemu dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu ketika pelancaran wangian terbaharu Estee Lauder di Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur, Kosmo! mendapatkan kenyataan lanjut mengenai status terkini mahligai Erra.
Ini kerana, sehingga kini, kestabilan rumah tangga mereka terus menjadi tanda-tanya. Erra, saat ditemui tenang menjawab soalan daripada pihak media, namun pintanya, jangan terlalu dikorek kisah rumah tangganya kerana saat tiba masanya, dia sendiri yang akan memberitahu kepada umum.
Ikuti temu bual tersebut.
Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan peribadi Erra sekarang?
Erra Fazira: Saya sentiasa menyibukkan diri dengan bekerja, tapi tanggungjawab terhadap anak dan sebagai ibu masih berjalan seperti biasa. Saya juga akan pastikan jadual sebagai artis dan kepada keluarga seimbang sebaik mungkin.
Umum sudah tahu kisah rumah tangga anda dan Engku Emran yang didakwa sedang bergolak masih belum diperjelaskan dengan lebih mendalam. Sekuat manakah ikatan perkahwinan kalian hingga hari ini?
Kuat tidak kuat, kita sudah ada anak bersama-sama dan ikatan itu tetap ada disebabkan dia merupakan bapa kepada anak saya. Dia juga seorang bapa yang baik.
Komen anda mengenai status rumah tangga anda terkini?
Sudah beberapa tahun saya mendengar gosip rumah tangga saya yang goyah dan saya melalui perkara ini dengan tenang dan normal. Sama ada betul atau tidak, saya ketepikan cerita-cerita buruk mengenai saya sebab sudah terlalu penat. Saya mahu lalui kehidupan dengan tenang dan aman.

PERSOALAN tentang rumah tangga Erra dengan Emran bukan isu baharu, namun kini ia semakin dibangkitkan apabila Erra hanya banyak memuat naik gambarnya bersama anak sulungnya, Engku Aleesya berbanding gambar mereka sekeluarga.


Tidakkah semakin lama dipendam, semakin banyak asakan daripada orang sekeliling yang mahu mengetahui mengenai kesahihan cerita itu. Sampai bilakah anda akan simpan penjelasan itu?
Saya rasa saya berhutang penjelasan, tapi saya ada sebab kenapa saya berbuat demikian.
Sehingga hari ini saya masih bertahan walaupun suatu masa nanti saya terpaksa leraikan juga. Tidak baik juga untuk saya menggantung orang (masyarakat) tidak bertali dan saya pun ada sebab kenapa tidak bersuara.
Jadi, bagaimana boleh anda simpulkan tentang rumah tangga anda? Suatu hari nanti apabila sudah sampai masa yang sesuai saya akan jelaskan.
Baiklah, difahamkan baru-baru ini anda baru pulang daripada menjalani penggambaran di sekitar Eropah. Sudikah dikongsikan pengalaman menarik sepanjang di sana?
Penggambaran itu dilakukan di sekitar Jerman, Itali dan Belanda selama dua minggu. Menariknya, sepanjang di sana kami mengembara menaiki motorhome caravan dan ini adalah pengalaman baharu saya serta benar-benar mencabar.

Apabila menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama pada satu-satu masa, tidakkah sukar untuk membeza-bezakan karakter sepanjang tempoh singkat itu?
Memang sukar kerana kita bimbang watak-watak itu mungkin terjejas dan senang terkeliru, tapi pengarah ada untuk memperbetulkan watak kalau sedikit tersasar.

Disebalik skandal Adi Putra

Posted: 06 Sep 2013 04:57 PM PDT


  • Disebalik skandal Adi Putra Isteri Amiruddin.
SIAPA pun tidak menyangka kisah seorang pelakon lelaki kacak didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang. Menerusi laporan media, pelakon berusia 32 tahun itu dikhabarkan sedang
dalam siasatan polis apabila seorang ahli perniagaan dari Johor mendakwa pelakon itu mempunyai skandal dengan isterinya.

Adi Putra turut didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan isteri ahli perniagaan terbabit. Skandal ini dipercayai dikesan oleh suami wanita terbabit di Johor sekitar awal Ogos lalu.

Adi Putra juga membuat laporan polis kerana menerima ugutan dari ahli perniagaan tersebut. Melalui salinan laporan polis itu, Adi Putra mengadu bahawa lelaki tersebut telah menghina dan menjatuhkan
maruahnya serta menyuruh dia menceraikan isterinya.

Lelaki berkenaan turut mengatakan bahawa dia akan memastikan kerjaya Adi Putra hancur. Pelakon KL Gangster ini dalam kenyataannya mengaku ketika dihubungi lelaki tersebut pada 7 Ogos lalu, dia telah memasang loudspeaker sambil perbualan mereka didengari isterinya, Aida.

Sinar Harian cuba mendapatkan pelakon kelahiran Singapura itu namun beliau mengelak untuk ditemui media. Bagaimanapun Sinar Harian berjaya mendapatkan penjelasan daripada ahli perniagaan tersebut yang dikenali sebagai Amiruddin Osman.

Kami juga berjaya mendapatkan isteri Adi Putra, Aida Yusof. Ikuti temubual eksklusif ini.

'Saya mahu dia keluar Malaysia!'

Boleh anda jelaskan situasi yang berlaku?
AMIRUDDIN: Sebenarnya, isteri saya merupakan peminat fanatik pelakon itu. Malah, isteri saya turut memaklumkan kepada saya bahawa mereka turut berhubung melalui aplikasi sosial, WhatsApp dan Instagram.

Pada 1 Ramadan ketika sedang bersahur ketika pelakon itu berada di Kota Suci, saya terbaca kandungan perbualan di WhatsApp yang berbaur lucah yang disertakan gambar. Saya sangat terkejut melihat tindakan keterlaluan mereka dan terus bertanya kepada isteri mengenai perkara itu. Isteri saya memberitahu bahawa pelakon itu yang memulakan terlebih dahulu dan mereka saling berkongsi gambar.


Adakah anda pasti, gambar itu dihantar pelakon terbabit?
AMIRUDDIN: Sudah pasti, kerana perkara ini turut diakui oleh isteri saya. Malah, gambar yang dihantar pelakon itu kepada isteri saya adalah di lokasi penginapannya di Kota Suci ketika mengerjakan umrah.

Lokasi gambar itu turut disahkan rakannya yang turut berada di sana. Walaupun mereka tidak pernah berjumpa, namun selepas kes itu, hubungan saya dan isteri mula renggang dan sering bergaduh.

Kenapa baru sekarang anda mahu ambil tindakan?
AMIRUDDIN: Saya cuba mendapatkan kerjasama daripada pelakon itu untuk berbincang mengenai perkara ini, namun dia tidak mahu. Saya tidak pasti, adakah dia ego ataupun malu untuk berjumpa. Apabila niat saya untuk berbincang secara baik tidak dihiraukan, saya tampil membuat laporan polis kerana tertekan dengan perkara ini.

Anda seperti menyalahkan pelakon itu sahaja....
AMIRUDDIN: Tidak, dua-dua salah. Saya tak kata dia saja yang salah, orang rumah saya pun salah juga. Namun, dalam hal ini, dia perlu bertanggungjawab dan sebagai selebriti, dia tidak sepatutnya berbuat demikian apatah lagi kepada isteri orang.

Tetapi, melihat kepada kandungan perbualan mereka, pelakon itu yang memulakannya dahulu. Sebagai peminat fanatik, isteri saya terus termakan pujukan dan kata-katanya sehingga bertindak 'melayan' permintaan pelakon itu.

Saya sendiri tidak sangka dia sanggup berkelakuan seperti itu apatah lagi ketika itu dia sedang mengerjakan umrah. Sebelum perkara ini diketahui umum, saya sudah memberi peringatan kepadanya menerusi gambar yang dimuat naik isterinya di Instagram ketika dia dimasukkan ke wad. Namun, ketika itu saya dihambur kata-kata kesat oleh peminat fanatiknya di laman sosial.

Menerusi laporan polis yang dibuat, pelakon itu mendakwa anda mengugut untuk menghancurkan karier dan memastikannya keluar dari Malaysia. Benarkah?
AMIRUDDIN:  Memang saya mahu dia keluar dari Malaysia kerana dia tidak menghormati undang-undang negara kita.

Sebagai rakyat Singapura, dia perlu peka mengenai perkara ini dan tidak membuat masalah yang boleh mencabar undang-undang. Saya minta agar masyarakat dan peminat yang terlalu obses dengannya 'celik mata'.

Setelah dua bulan perkara ini berlaku, bagaimana pula hubungan anda dengan isteri?
AMIRUDDIN: Kami masih tidak seperti dulu. Namun, hubungan ini diharapkan dapat dipulihkan walaupun mengambil sedikit masa. Saya tahu, setiap orang pasti melakukan kesilapan. Lagipun, dia sudah menginsafi kesalahan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.


Saya ada semua bukti: Aida

Isteri mana yang tidak melatah sekiranya suami dikaitkan mempunyai skandal dengan wanita lain, apatah lagi wanita yang dimaksudkan adalah isteri orang. Namun, sikap profesional yang ada pada isteri Adi Putra, Aida Yusof, wajar diberi pujian.

Bukan sahaja menasihati suaminya untuk tidak membuat sebarang kenyataan, malah Aida juga tenang menghadapi dugaan yang mampu menduga kesabarannya itu.

"Tak apa, biar dia (pengadu) tampil memberikan segala bukti yang ada. Memang media ada menghubungi saya dan Adi, namun saya nasihatkan Adi untuk tidak memberikan sebarang penjelasan yang boleh mengganggu siasatan polis.

"Beri kami sedikit masa dan kami juga akan tampil dengan bukti yang kami ada. Saya tidak berniat untuk menyebelahi Adi kerana yang salah tetap salah. Namun, sebagai suami dia tidak sepatutnya mendedahkan aib isteri," katanya.

Menurut Aida, dia tetap berpegang kepada pendiriannya untuk berfikir secara rasional tanpa terburu-buru.

"Kenapa saya tidak melenting? Kerana saya tahu perkara sebenar yang berlaku. Saya ada kesemua bukti. Jadi, kenapa pula dia terlalu menyalahkan Adi dalam hal ini sedangkan isterinya sendiri tidak tahu menjaga adab seorang isteri.

"Sebenarnya, ini bukanlah isu besar pun sehingga membabitkan media. Dia tak ubah seperti menegakkan benang yang basah. Saya takut, selepas saya kemukakan semua bukti, dia yang akan malu kerana dia fikir saya tak tahu apa yang terjadi," kata Aida yang mengakui akan mengadakan sidang media secepat mungkin untuk membersihkan nama suaminya.

Tambah Aida lagi, walaupun isu ini lebih kepada serangan peribadi, namun dia berharap agar peminat dan masyarakat tidak terus menghukum sebelum menilai.

"Saya tak rasa, perkara ini boleh menjejaskan karier Adi kerana peminat lebih mengenalinya. Peminat dan masyarakat tidak perlu membuat sebarang spekulasi kerana kami belum mengeluarkan kenyataan lagi.

"Kalau Adi salah, sebagai isteri, saya yang sepatutnya melenting. Namun, saya tidak nampak kesalahan itu pada Adi kerana sebagai lelaki, dia ada tiga kuota untuk diisi sekiranya saya izinkan.

"Saya percaya, usaha lelaki itu untuk 'menghalau' Adi dari Malaysia tidak akan berhasil malah pendedahan kami akan membuktikan siapa isterinya dan apa yang pasti, ini bukanlah kali pertama isterinya bertindak seberani itu," katanya.

Rogol: Bekas ahli kumpulan R&B dipenjara, disebat

Posted: 06 Sep 2013 04:56 PM PDT


  • kes rogol
KAJANG - [Dikemaskini] Seorang bekas ahli kumpulan R&B terkenal tanah air dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, tahun lalu.

Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas lelaki yang berusia 38 tahun itu setelah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes  tanpa keraguan munasabah.

Bapa kepada dua anak itu yang kini merupakan guru vokal di beberapa kementerian dan agensi kerajaan kelihatan tenang dan hanya menundukkan wajah ketika hakim membuat keputusan tersebut.

Dalam penghakimannya, Norhazani berkata, keterangan mangsa telah disokong saksi-saksi lain yang tampil memberi keterangan termasuk guru kaunselingnya.

"Saya percaya pada keterangan saksi pendakwaan kerana semua saksi bebas, ditambah kenyataan pegawai perubatan yang mengesahkan koyakan pada alat sulit mangsa," katanya.

Bagaimanapun menurut hakim, keterangan salah seorang saksi pembelaan mengukuhkan lagi pendakwaan, tetapi tertuduh tidak membuat sebarang laporan polis.

"Keterangan yang diberikan semasa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, tertuduh disabitkan dengan kesalahan," katanya.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Azmi Talib dan Mohamad Burok memohon hukuman minimum kerana dia kini menanggung dua orang anaknya yang masing-masing berusia 9 dan 7 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fazlin Abd Zawawi pula memohon mahkamah memberikan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana tertuduh merupakan bapa tiri kepada mangsa.

Noor Fazlin menambah, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan memberikan kasih sayang kepada anak tirinya yang sedang membesar.

Hakim seterusnya mengarahkan agar mangsa dipanggil ke mahkamah untuk memberikan kenyataan berkaitan kesan kejadian tersebut terhadap dirinya.

Semasa dipanggil memberi kenyataan, sambil menangis mangsa berkata,  dia kini berasa tidak selamat, fobia, dan jijik pada diri sendiri selepas kejadian tersebut.

"Saya rasakan masa depan begitu gelap. Saya takut untuk ke sekolah dan merasai tekanan setiap hari.

"Malah saya jadi takut pada ayah kepada rakan-rakan saya dan guru lelaki," katanya yang kini ditempatkan di rumah perlindungan.

Mangsa turut menyatakan dia kini hilang kepercayaan pada orang lain meskipun pada ahli keluarga sendiri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas ahli kumpulan R&B itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah, di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Azmi Talib memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara tersebut kerana tertuduh mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, bagaimanapun, jaminan ditingkatkan kepada RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sepanjang perbicaraan, seramai lapan saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Farid, Diana dedah nama anak di TV

Posted: 06 Sep 2013 04:52 PM PDT


FARID hanya memberitahu nama anak lelakinya bermula dengan pangkal Muhammad.


SETELAH bergelar bapa selama dua bulan, pengarah dan pelakon terkenal Farid Kamil masih berteka-teki berhubung nama anak lelakinya yang masih lagi dirahsiakan sehingga sekarang.
Ketika bertemu dengan Farid semasa majlis pratonton filem Dampak baru-baru ini, suami kepada pelakon Diana Danielle itu hanya tersenyum apabila diajukan pertanyaan mengenai nama anaknya.
Meskipun masih lagi terus berahsia dan sekadar memberitahu Muhammad sebagai pangkal nama cahaya mata sulungnya itu, Farid menyatakan ia hanya akan diumumkan dalam satu majlis khatam Al-Quran dan akikah yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, ketika ini isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat dan kedua-duanya berada di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bersama kedua-dua ibu bapanya.
Kosmo!: Sehingga kini ramai yang masih tertanya-tanya tentang nama anak Farid setelah dua bulan bergelar bapa. Adakah Farid masih lagi mahu berahsia mengenainya?
FARID: Buat masa ini saya masih belum bersedia untuk mendedahkan nama sebenar anak saya. Apa yang boleh dijelaskan sekarang, namanya akan didedahkan dalam sebuah majlis nanti.
Mengikut perancangan saya dan isteri serta ahli keluarga yang lain, kami akan mengadakan majlis khatam Al-Quran dan akikah. Namun begitu, kami masih belum memilih tarikh yang sesuai lagi.

FARID bersama anak sulungnya yang kini berada di Kedah.


Mengapakah Farid memilih majlis tersebut untuk mengumumkan nama anak?
Sebenarnya majlis itu nanti akan diberi hak eksklusif kepada Astro untuk menyiarkannya di kaca televisyen. Bagi kami, ia merupakan masa yang paling sesuai untuk umumkan nama sebenar anak saya.
Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dalam peringkat perbincangan antara Astro dan Metrowealth. Jadi, kami menyerahkan segala urusan kepada Metrowealth dan kami bersetuju dengan segala perancangan yang dibuat.
Sudah tentu Farid dan Diana mendapat tawaran yang lumayan daripada pihak Astro untuk hak eksklusif berkenaan. Adakah Farid boleh dedahkan jumlah bayaran yang akan diterima?
Tentang bayaran itu saya dan isteri memang tidak tahu-menahu mengenainya. Semuanya bergantung kepada Metrowealth apabila melakukan rundingan dengan pihak Astro.
Bagaimanakah dengan keadaan Diana dan anak?
Beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, isteri dan anak sudah pulang ke Malaysia dan kini mereka berada di kampung halaman saya di Alor Setar. Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat dan anak saya kini semakin aktif, manakala Diana pula masih lagi dalam berpantang dan dijaga sepenuhnya oleh ibu saya.
Adakah Diana sudah menamatkan pengajiannya di Australia?
Kalau diikutkan masih lagi ada enam bulan untuk Diana menamatkan keseluruhan pengajiannya dalam bidang penerbitan di National Institute of Dramatic Art (NIDA) di Sydney.
Namun, keputusan masih belum dibuat sama ada dia sambung atau tidak.
Bagaimanakah kehidupan Farid sekarang setelah bergelar seorang ayah?
Sekarang ini saya perlu menjadi seorang individu yang lebih bertanggungjawab.
Kalau dahulu saya bebas untuk melakukan apa sahaja perkara yang diinginkan, sekarang semuanya lebih kepada tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

3 beradik, rakan hadapi 67 tuduhan curi

Posted: 06 Sep 2013 04:50 PM PDT



DARI kiri remaja bawah umur, Mohammad Firdaus, Yaser dan Fairuz dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Tiga beradik dan seorang rakan mereka, yang berdepan 67 pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan serta memiliki barang curi, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen dan dua Mahkamah Majistret di sini semalam.
Di Mahkamah Sesyen 1, Mohammad Fairuz Samsuri, 27, bersama-sama dua adiknya, Mohammad Firdaus, 25, dan seorang lagi yang masih di bawah umur serta rakan mereka Mohamed Yaser Yacobpu Ghani, 21, didakwa merompak seorang warga emas berusia 69 tahun serta dua warga asing di Lorong Sungai Dua Gelugor pada pukul 2 pagi hingga 3 pagi 4 Ogos lepas.
Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan berkenaan.

Treler pasir gilis kereta, rempuh rumah

Posted: 06 Sep 2013 04:46 PM PDT



KERETA yang remuk teruk digilis treler di bandar Bountiful, dalam negeri Utah kelmarin.


UTAH - Sebuah kereta merah menjadi besi sekerap selepas kenderaan itu digilis sebuah treler yang membawa pasir seberat 45 tan metrik di bandar Bountiful, dalam negeri Utah, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Ketika kejadian, kenderaan tersebut diletakkan di hadapan sebuah rumah di bandar berkenaan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu yang berlaku menjelang pukul 7 pagi (waktu AS) tetapi kediaman berkenaan mengalami kerosakan.
Seorang anggota polis berpangkat sarjan, Andrew Bryson berkata, pemandu treler sedang mengangkut pasir menuju ke padang golf berdekatan apabila brek kenderaan itu rosak.
"Kenderaan berat itu yang sedang mendaki bukit mengundur lalu merempuh sebuah tembok penghadang dan menggilis kereta itu sebelum berhenti selepas melanggar rumah tersebut," kata Bryson.
"Treler itu mengalami kegagalan mekanikal," tambahnya.
Bryson berkata, penghuni rumah sedang menikmati sarapan di ruang lain di kediaman itu ketika kemalangan berlaku.
Mereka tidak cedera, katanya.
Menurut Bryson, pemandu treler tidak ditahan kerana dia mempunyai permit untuk membawa muatan berat. Punca kemalangan masih disiasat.

Lelaki lakar 50 pagar sesat

Posted: 06 Sep 2013 04:45 PM PDT



GAMBAR pada 2013 yang disiarkan oleh Ladang Idle-Hour menunjukkan pagar sesat bertemakan Safari Afrika yang dihasilkan oleh Day di Troy, Ohio.


CAROLINA UTARA - Sejak beberapa bulan lalu, seorang lelaki, Timothy Day telah menghasilkan lebih 50 pagar sesat di ladang-ladang jagung di seluruh negeri Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS).
"Saya membina pagar sesat ini dengan membuat laluan-laluan di ladang jagung menggunakan jentera pembajak," kata Day.
Pagar sesat itu dihasilkan sempena sambutan perayaan Halloween di AS pada bulan depan.
Namun, musim membina pagar sesat tersebut telah bermula sejak Jun lalu.
Dia dan beberapa krunya diupah untuk menghasilkan pagar sesat dari Kanada hingga ke negeri Florida di AS.
Bagi mengelakkan dia sendiri tersesat, Day menggunakan sebuah komputer yang dilengkapi sistem pengesanan global dan pelan pagar sesat berkenaan.
Kebanyakan pagar sesat yang dibinanya berkeluasan antara 2 hingga 3 hektar tetapi Day pernah membina beberapa pagar sesat seluas 5 hektar.

MRT alternatif kesesakan lalu lintas

Posted: 06 Sep 2013 04:43 PM PDT



LAMPU merah pantulan brek kenderaan rancak menyala di atas permukaan jalan-jalan utama di sekitar ibu negara. Keadaan lalu lintas di Lembah Klang dijangkakan menjadi semakin sesak menjelang tahun 2020.
Populasi penduduk di Lembah Klang dianggarkan meningkat 40 peratus iaitu seramai 10 juta orang pada tahun 2020 berbanding 6 juta pada tahun 2010. Justeru, membina lebih banyak lebuh raya bukanlah penyelesaian yang bijak.
Sementara itu, kira-kira 1,500 pekerja terowong melibatkan pasukan pakar dalam pelbagai bidang kejuruteraan, juruteknik dan ahli geologi sedang melakukan kerja-kerja mengorek terowong.
Kedudukan terowong tersebut berada pada kedalaman 30 hingga 45 meter di bawah tanah bagi melaksanakan pem binaan Aliran Transit Massa (MRT). Bayangkan kedalaman kerja-kerja pengorekan tersebut menyamai ketinggian bangunan komersil 10 tingkat.
Status negara maju
Rakyat Malaysia yang kerap menaiki MRT di Singapura, Tan Peng Koon, 26, berkata, beliau teruja ketika mendapat tahu MRT sedang dalam pembinaan di negara ini dan beranggapan ia boleh menjadi lambang status negara maju.
"Malaysia memang sepatutnya membina MRT sejak awal lagi memandangkan kepadatan penduduk yang menjadi faktor utama kesesakan jalan raya.

PERKHIDMATAN MRT di negara jiran, Singapura pertama kali digunakan pada tahun 1987 bagi laluan antara Yio Chu Kang dan Toa Payoh.


"Pasti lebih banyak kawasan yang akan dibangunkan di Kuala Lumpur dalam jangka masa empat tahun ini. Dengan adanya MRT itu nanti, saya harap ia dapat menghubungkan penduduk lebih dekat dengan pusat bandar," katanya arkitek landskap di firma swasta di Singapura.
Tambahnya, Singapura yang hanya berkeluasan 710 kilometer persegi itu banyak bergantung kepada MRT bagi memudahkan seramai 5 juta penduduk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
Tanpa MRT, urusan harian mereka tergendala. Pada waktu puncak, MRT di Kota Singa mengadakan kekerapan perjalanan sebanyak lapan kali dalam tempoh setengah jam.
"Alasan lambat ke tempat kerja kerana masalah pengangkutan awam sudah tidak boleh diguna pakai di Singapura," ujarnya.
Di beberapa negara maju lain, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi seperti bullet train sudah lama digunakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Kepantasan bullet train itu mampu memecut pada kadar halaju antara 160 hingga 320 kilometer sejam (km/j).
Kadar halaju itu sebenarnya hampir menyamai kelajuan haiwan terpantas di dunia iaitu sejenis burung helang pemangsa daripada spesies peregrine yang pernah direkodkan terbang pada kelajuan 389 km/j.
Meskipun kelajuan perkhidmatan MRT pertama di Malaysia itu tidak menyamai teknologi bullet train, negara ini dilihat sudah bersedia menyediakan sistem pengangkutan yang seiring dengan status negara maju yang ingin dicapai menjelang tahun 2020.
Jurutera Terowong daripada MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Mohd. Hafizi Asmuni, 25, berkata, skop kerjanya meliputi kawalan tekanan daripada terowong kepada tanah hendaklah setara dengan tekanan yang di berikan tanah kepada terowong.
MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. adalah kontraktor pakej bawah tanah dan terowong untuk projek MRT Lembah Klang.
Pastikan jajaran

BEGINILAH bentuk segmen yang digunakan untuk membina dinding terowong MRT.


"Jika tekanan yang diberi dan diterima tidak setara, kemungkinan besar tanah runtuh akan berlaku. Saya juga perlu memastikan jajaran pada setiap segmen terowong sentiasa selari supaya terowong di setiap stesen bersambung dengan tepat.
"Penentuan kedudukan key segmen juga amat penting bagi memandu arah laluan terowong yang hendak dibina. Setiap satu lingkaran terowong ialah selebar 1.4 meter dan terdiri daripada satu key segmen (saiz lebih kecil) dan tujuh segmen bersaiz biasa," jelasnya.
Selain itu, beliau turut bertanggungjawab memastikan bekalan segmen dan kren yang membawa segmen tersebut dari luar tapak ke dalam terowong berjalan lancar. Bagi mencapai sasaran pengorekan terowong sejauh 14 meter sehari.
Sementara itu, Penolong Pengurus Terowong, Mazuki Mohamad Saleh, 37, bertugas menguruskan dua daripada empat Mesin Pengorek Terowong (tunnel boring machine) yang terlibat dengan kerja pengorekan di portal selatan (dari Cochrane ke Maluri).
Beliau bertindak mengurus dan merancang tugasan bagi setiap pekerja operasi yang diperlukan untuk mengendalikan setiap mesin berkenaan.
"Cabaran utama yang dilalui sepanjang mengorek terowong ini adalah berhadapan dengan keadaan geologi tanah jenis batu kapur karstik.

MAZUKI berada pada ketinggian kira-kira 30 meter dari dasar pembinaan terowong MRT di Stesen Cochrane Kuala Lumpur.


"Batu kapur karstik mempunyai profil tanah yang berubah-ubah seperti endapan sedimen yang lompong, berlekuk dan permukaan batu yang sukar dipecahkan," ujarnya ketika ditemui di tapak pembinaan terowong MRT di Cochrane.
Kerja-kerja pembinaan terowong bawah tanah yang di lakukan hendaklah dipastikan tidak mengganggu struktur bangunan sedia ada.
Sebelum kerja pengorekan itu dilakukan, pasukan pakar di MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. telah mengenal pasti kaedah untuk menjalankan pemetaan geologi tanah secara terperinci sebelum kerja-kerja pembinaan utama bermula.
Memandangkan kerja-kerja membina terowong dan pembinaan landasan atas tanah dijalankan secara serentak, teknologi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) Herrenknecht yang diimport dari Jerman digunakan untuk memastikan jajaran di setiap stesen bersambung dengan tepat.

Warna-warni Karnival Flora Haiti

Posted: 06 Sep 2013 04:43 PM PDT



SAMBIL berarak, setiap peserta yang lengkap memakai kostum berwarna-warni turut menari dan membuat persembahan bagi menghiburkan penonton.


IBU negara Haiti, Port-au-Prince, dibanjiri ribuan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang meraikan sambutan Carnaval des Fleurs atau Karnival Flora yang diadakan baru-baru ini.
Acara bermula di padang awam berhampiran Istana Presiden itu turut dihadiri Presiden Haiti, Michel Martelly. Beliau turut mengambil peluang bergambar dan beramah-mesra dengan orang ramai yang hadir pada hari itu.
"Ia merupakan satu karnival yang hebat dan semakin popular di seluruh dunia, sekali gus mempromosikan industri pelancongan Haiti. Ini pasti akan memberikan kesan positif terhadap ekonomi negara," kata Martelly semasa upacara perasmian karnival tersebut.
Terdapat pelbagai acara yang disediakan penganjur antaranya, pertandingan fesyen dan Ratu Flora, persembahan muzik dan kebudayaan serta pertandingan kereta berhias.

KEHADIRAN penghibur-penghibur jalanan dengan pelbagai aksi menarik menambah kemeriahan karnival ini.


Kemuncak karnival itu adalah perarakan peserta-peserta yang memakai kostum berwarna-warni dalam melambangkan kepelbagaian flora di negara kepulauan Caribbean itu.
Sambil berarak mereka juga turut menari dan mempamerkan pelbagai aksi serta persembahan menarik bagi menghiburkan penonton.
Menurut Menteri Pelancongan Haiti, Stephanie Balmir Villedrouin, tema A Haitian, A Tree (Seorang Rakyat Haiti, Sebatang Pokok) dipilih bagi penganjuran karnival yang memasuki edisi kedua ini.
Katanya, tema itu sejajar dengan objektif utamanya iaitu mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara dan memelihara alam sekitar.
"Pada masa yang sama, ia juga dapat mempromosikan budaya dan tradisi masyarakat, khususnya bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan negara ini.

SEORANG peserta pertandingan Ratu Flora sedaya upaya meraih sokongan hadirin yang membanjiri laluan-laluan utama di Port-au-Prince.


"Kami juga mahu menarik semula pelancong asing ke sini selepas tragedi gempa bumi yang meragut lebih 250,000 nyawa kira-kira tiga tahun lalu," katanya.
Tidak seperti tahun lalu, tiada sebarang insiden buruk dilaporkan sepanjang karnival yang berlangsung selama tiga hari itu.
Ia berikutan langkah kerajaan dalam mengetatkan aspek keselamatan termasuk mengerah kira-kira 5,000 anggota polis bertugas sepanjang karnival itu.

Ciri keselamatan ditingkatkan

Posted: 06 Sep 2013 04:41 PM PDT



SETIAP pengeluar kenderaan pasti memiliki kekuatan tersendiri. Ada yang terkenal dengan aspek pengendalian. Banyak juga yang unggul dalam dunia perlumbaan.
Namun, cabaran sebenar bagi entiti-entiti itu bukan sekadar untuk mengekalkan kelebihan yang dimiliki, tetapi memberi nafas baharu kepada barisan model sedia ada.
Apa yang pasti, apa jua pembaharuannya, ia perlu dilakukan dengan segera. Andai tidak, apa nilainya jika ada pihak lain berjaya memintas barisan anda?
Volvo Car Corporation (Volvo Car) tidak terkecuali dalam berdepan dengan senario itu. Dikenali dengan jolokan peneraju dalam aspek keselamatan, sudah pasti itu bukan satu kerja mudah untuk terus mendahului industri.
Tahun lalu, Volvo Car telah memperkenalkan dua ahli keluarga terbaharunya iaitu V40 dan V40 Cross Country menerusi dua pameran berkelas dunia iaitu Geneva Motor Show dan Paris Motor Show.
Volvo V40 mengaplikasi bentuk huruf V pada bahagian bonet hadapan. Garis badan dan bumbung jentera itu mengambil inspirasi sebuah kereta coupe.

BUTANG pada bahagian konsol tengah kelihatan kemas dan bersih.


Reka bentuk V40 turut mengadun beberapa ciri klasik kenderaan Volvo sebelum ini. Antaranya adalah corak pintu belakang seperti model Volvo P1800 dan Volvo 1800 ES.
Bahagian belakang memaparkan reka bentuk moden dan kontemporari. Set lampu belakangnya memiliki rekaan unik, manakala garis badan pula menyerlahkan lagi keseluruhan wajah V40.
Bahagian kabin tampil kemas. Tarikan utama sudah pastinya panel instrumen meter. Tema skrin TFT meter V40 boleh ditukar mengikut selera pemandu.
Pilihan tema yang disediakan adalah Elegance, Performance dan Eco. Skrin akan bertukar warna dan paparan mengikut tema grafik yang dipilih. Untuk mengubah tetapan, anda perlu menggunakan tombol yang ditempatkan di belakang stereng.
Ruang dalaman menawarkan suasana lapang dan santai. Kejuruteraan ergonomik diberi penekanan agar pemandu dan penumpang menikmati suasana pemanduan yang mengasyikkan.
Material yang digunakan pada ruang kabin menyerlahkan keunikan V40. Papan pemuka dan konsol tengah diatur untuk memudahkan capaian oleh pemandu.
Pesaing segmen C
Kedua-dua model hatchback itu tergolong dalam segmen C. Pesaing utama sudah pasti BMW dan Audi. Tidak lupa juga kemunculan Mercedes-Benz A Class.
Namun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Car, Stefan Jacoby tetap optimis model V40 akan memberi saingan sengit kepada pesaing sedia ada dalam segmen itu.
V40 adalah kenderaan pertama di dunia yang didatangkan bersama beg udara untuk pejalan kaki. Ciri keselamatan terbaharu itu dipasang di bawah hud enjin. Sistem akan diaktifkan sejurus sahaja sensor pada bampar mengesan pelanggaran.
Beg udara itu menggalas dua tugas utama. Pertama, menolak hud ke atas untuk mengurangkan impak pejalan kaki ke bahagian keras seperti enjin. Kedua, melindungi bahagian bawah cermin hadapan dan tiang A.
Bagaimanapun, beg udara pejalan kaki itu hanya didatangkan bersama model V40 keluaran kilang Volvo Car di Belgium.
Untuk pasaran Malaysia, sistem keselamatan beg udara pejalan kaki itu tidak ditawarkan. Agak menghampakan kerana Volvo adalah jenama yang sinonim dengan aspek keselamatan.
Model V40 dan V40 Cross Country yang ditawarkan di negara ini adalah produk pemasangan tempatan (CKD) di kilang Volvo Car Malaysia Sdn. Bhd. (Volvo Malaysia) di Shah Alam, Selangor.
Langkah memasang beg udara pejalan kaki itu dikhuatiri menaikkan lagi harga V40.
Situasi itu mungkin berubah jika ada permintaan kukuh daripada pelanggan tempatan untuk ciri berkenaan. Apa pun, keputusan itu terletak di tangan Volvo Malaysia.
Sungguhpun begitu, pelanggan tempatan akan menikmati beberapa sistem keselamatan yang ditingkatkan. Ciri yang dimaksudkan ialah Sistem Maklumat Bintik Buta (BLIS), Sistem Amaran Lalu Lintas Silang, City Safety dan beg udara pada bahagian lutut.
BLIS berperanan seperti sistem radar. Ia memantau kehadiran kenderaan lain di tepi dan belakang V40. Jika ada kenderaan menghampiri pada jarak kurang daripada 70 meter, bunyi amaran akan dihasilkan sebagai peringatan kepada pemandu.

DARI kiri: Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Keith Schafer dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Malaysia, Lee Ming Tiong pada majlis perasmian Volvo V40 dan V40 Cross Country di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Untuk keluar daripada tempat letak kereta, Sistem Amaran Lalu Lintas Silang akan memberi peringatan jika ada aktiviti lalu lintas atau kehadiran pemandu lain di bahagian belakang anda.
Sistem City Safety pula berfungsi memberhentikan kenderaan secara automatik jika jarak kereta berada terlalu dekat dengan kenderaan di hadapan.
Sebelum ini, had kelajuan maksimum untuk sistem ini berfungsi ialah 30 kilometer sejam (km/j). Untuk model V40, had laju ditingkatkan kepada 50km/j.
Perbezaan kosmetik antara kedua-dua model V40 tidak begitu signifikan. Secara ringkas, ia hanya melibatkan penggunaan beberapa komponen tambahan pada V40 Cross Country.
Berhubung saiz fizikal, V40 Cross Country 40 milimeter lebih tinggi berbanding model V40.
Pengguna tempatan diberi tawaran dua varian Volvo V40 iaitu T4 dan T5. Untuk jentera Cross Country pula, hanya varian T5 disediakan.
Bagi menarik perhatian bakal pembeli, Volvo Malaysia kini menawarkan servis dan jaminan percuma selama lima tahun.
Apa yang pasti, pengeluar kenderaan itu menunjukkan komitmen serius bagi menjayakan Wawasan Keselamatan Volvo.
Wawasannya ialah tiada sesiapa yang cedera parah atau terbunuh ketika menaiki kereta Volvo baharu menjelang tahun 2020. Semoga berjaya!

Tempahan Mitsubishi Attrage dibuka

Posted: 06 Sep 2013 04:41 PM PDT





MITSUBISHI Motors Malaysia Sdn. Bhd. (MMM) kini telah membuka tempahan untuk model terbaharunya iaitu Mitsubishi Attrage. Ia akan dilancarkan pada bulan November depan.
Bagi 1,000 tempahan pertama, pelanggan akan menerima sebuah peranti sistem penentu kedudukan global (GPS) berjenama Garmin.
Attrage dihasilkan di kilang Mitsubishi di Thailand. Kereta segmen B itu menggunakan enjin 1.2 liter. Ia boleh menjana kuasa sehingga 80PS dan tork setinggi 106Nm.
Sebanyak empat varian ditawarkan dengan tiga daripadanya bertransmisi automatik (varian GL, GS dan SE). Satu lagi varian ialah GL dengan kotak gear manual lima kelajuan. Semua varian didatangkan bersama dua beg udara, ABS dan EBD.
Bagi model GS, pelanggan akan menerima sistem kemasukan tanpa kunci, butang push stop, stereng dan tombol gear dibalut material kulit dan sistem pendingin hawa digital.
Model tertinggi iaitu SE pula dipasang kit badan, lampu DRL LED, filem pelindung cermin, kerusi kulit, sistem audio skrin sentuh Double DIN dan banyak lagi.
Harga pengenalan atas jalan tanpa insurans bermula serendah RM59,000. Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).
Mitsubishi Attrage akan dipamerkan secara eksklusif di tingkat bawah Paradigm Mall mulai 6 hingga 8 September ini.
Maklumat lanjut, sila layari laman www.mitsubishi-motors.com.my.

Motard pertama Boon Siew Honda

Posted: 06 Sep 2013 04:40 PM PDT



MOTOSIKAL ini menjanjikan keseronokan tunggangan kepada pemiliknya.


BOON Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan motosikal motard pertama ke pasaran Malaysia. Model yang dimaksudkan ialah CRF250M dan tergolong dalam keluarga CRF.
CRF250M tidak jauh berbeza dengan jentera dwikegunaan Honda CRF250L yang diperkenalkan pada tahun lalu. Perbezaannya hanya melibatkan penggunaan komponen bagi menawarkan keseronokan tunggangan.
Motard tersebut dipasang rim berukuran 17 inci yang juga selesa untuk ditunggang di atas jalan tar.
Keupayaan cengkaman tayar ditingkatkan menerusi aplikasi tayar berprofail lebih lebar. Tongkat sisi yang digunakan juga lebih pendek berbanding model CRF250L.
Suspensi asal hadapan jenis Showa 43 milimeter (mm) diberikan talaan baru. Pegas gegelung jenis berat diadun bersama sistem suspensi untuk meningkatkan prestasi sewaktu tunggangan di atas jalan biasa.
CRF250M memperoleh kuasa daripada enjin jenis empat lejang DOHC silinder tunggal. Kotak gear enam kelajuan diberikan sebagai padanan. Haba yang terhasil daripada enjin dikawal dengan adanya sistem penyejukan cecair.
Penyampaian bahan api ke kebuk pembakaran dibuat menerusi sistem suntikan bahan api terancang Honda (PGM-FI). Rangkaian kuasa itu berupaya menjana kuasa maksimum sebanyak 17kW @ 8,500rpm, manakala kuasa torknya pula setinggi 22Nm pada 7,000rpm.
CRF250M menggunakan casis besi jenis buaian separuh kembar dan dipadankan dengan lengan ayun (swingarm) aluminium. Seperti mana-mana model terkini Boon Siew Honda, jentera itu turut mengaplikasi sistem Pro-Link pada penyerap hentak tunggal belakang.
Tugas membrek dan kawalan diserahkan kepada dua set brek cakera pada kedua-dua roda. Cakera roda hadapan yang berukuran 296mm diapit oleh angkup dwiomboh. Roda belakang pula menggunakan khidmat cakera bersaiz 220mm dengan omboh tunggal.
Harga rasmi bagi model Honda CRF250M akan diumumkan tidak lama lagi. Apa yang pasti, jaminan diberikan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web: www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi nombor talian bebas Boon Siew Honda: 1800-88-3993.

Nilai sebuah Mitsubishi Lancer Evo

Posted: 06 Sep 2013 04:40 PM PDT


MASIH ramai yang mengubah suai model ini secara serius.


RAMAI sedia maklum bahawa perbezaan utama sebuah Proton Wira dengan Mitsubishi Lancer/Evo I hingga III ialah lampu belakangnya.
Komponen itulah yang menjadi penghalang utama buat peminat kereta tempatan yang ingin menukar Wira mereka kepada sebuah Evo.
Tahukah anda bahawa lampu belakang itu juga yang membezakan harga pasaran Proton dengan Mitsubishi seperti langit dengan bumi?
Kalau anda sudah biasa mengubah suai kereta Proton, memang ramai yang akan berebut kalau terjumpa dalam laman web mudah.com.my ada orang hendak menjual Lancer Evo. Asal geran tulis Mitsubishi sahaja, terus harga jadi kacau-bilau.
Susah hendak percaya, pada tahun 2013 masih ramai peminat Proton/Mitsubishi di luar sana yang 'main' kereta itu secara serius.
Kereta yang didaftarkan pada 1996 di Malaysia Timur itu dipasang dengan enjin 4G93 GSR RS. Anda tahu berapa harga half-cut GSR sekarang? Kalau manual lebih RM10,000.
Versi automatik pula, kalau nasib baik boleh dapat sekitar RM10,000. Harga itu untuk enjin dengan papan pemuka sahaja. Kalau hendak bodypart, lain kira!
Tidak logik? Mengarut? Jangan bimbang, kalau anda tidak jadi beli, berbaris orang di belakang yang berebut enjin tersebut.
Maka tidak hairanlah jika waktu kontena sampai, runner sudah berbaris panjang berebut half-cut itu. Tahun demi tahun, GSR semakin sukar diperolehi Memang tidak pelik kalau harganya naik macam emas 916.
Enjin itu diubah suai dengan menempatkan turbin TD05 16G Evo III yang terkenal itu. Sekarang, jangan tak percaya dah banyak versi klon yang datang dari China. Kalau berkilat semacam sahaja, baik jaga-jaga.
Menurut pemiliknya, pam Walbro yang digunakan adalah yang asli. Walbro pun dah tenat sekarang, sembilan daripada sepuluh yang dijual berkemungkinan besar palsu. Sebab tu saya beli jenama Aisan!
Tiada aksesori yang bersepah-sepah. Ruang enjin nampak lebih kemas dengan hanya beberapa sentuhan ringkas. Sebenarnya, enjin itu sudah dipasang dengan pendawaian lengkap 4G63 Evo III dan ECU Mine.
Pilihan rim

JENTERA ini dilengkapi bumbung suria Evo II.


Kotak gear yang dipilih ialah daripada Evo III dan dikunci dengan pacuan dua roda (2WD). LSD jenis semi lock dan klacnya ialah Ogura super single jenis karbon. Apabila memecut, kereta dikawal oleh suspensi TEIN FLEX boleh laras di mana semua linkage bawah crossmember, lower arm dan anti roll bar diambil daripada model Evo III.
Sistem brek pula ditingkatkan dengan brek FTO dua pot depan dan satu pot di belakang, sekali gus menukar Pitch Centre Diameter (PCD) daripada 100mm X 4 kepada 114.3 X 5.
Lima hub bermakna terbentang luaslah pilihan rim yang boleh digunakan. Rim 17 inci Racing Hart CPO35 itu ukuran tepatnya ialah 17X8.5 depan ET35 dan 17X8.5 ET32 (belakang). Tayarnya pula ialah Kumho 215/45 di depan dan 225/45 di belakang.
Setiap bahagian kereta mendapat perhatian khusus oleh pemiliknya. Ruang kabin kereta dimodenkan menerusi penggunaan papan pemuka Evo 4. Kalau ikutkan teori, papan pemuka Evo 4 memang tak kena dengan generasi Evo I hingga III.
Tetapi zaman itu sudah berlalu dan papan pemuka Lancer CE sudah bosan digunakan. Jadi mereka beralih kepada papan pemuka yang lebih berorientasikan kepada pemandu.

LAMPU belakang inilah yang membezakan Mitsubishi Lancer Evo dengan Proton Wira.


Bahagian luar, tidak payah berselindung lagi. Ia menggunakan komponen Evo III bersama bumbung suria Evo II. Warna hitam mungkin warna rasmi Evo III yang tak perlu dipertikaikan lagi.
Saya rasa Evo memang sesuai dengan warna hitam tidak kira apa pun versinya. Sebabnya, warna merah yang menjadi warna signatur Ralliart masih tidak boleh menjadi identiti Mitsubishi untuk melawan warna biru Subaru.
Kalau anda seorang yang berpandangan jauh dan masih berpegang pada konsep Japan Domestic Model (JDM), memulakan dengan platform murah seperti Wira, main Evo masih menyeronokkan.
Berdasarkan kepada pemerhatian saya, halangan paling besar adalah harga enjinnya yang melampau sedangkan harga aksesori bodypart masih tidak banyak berubah.

Honda Civic Tourer: Civic untuk Eropah

Posted: 06 Sep 2013 04:39 PM PDT


PENAMPILAN Civic Tourer nyata menawan.


CIVIC merupakan antara model paling laris Honda sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Model itu dijual di serata dunia sama ada di Amerika Syarikat, Asia Barat, Afrika, Eropah dan Asia.
Civic ialah model global. Lazimnya model-model lain seperti Accord, CR-V dan Jazz, semua pasaran akan menerima model yang sama tetapi dengan aksesori yang berbeza.
Walau bagaimanapun strategi produk untuk Civic tidak sama apabila model Eropah langsung berbeza dengan pasaran lain.
Pengguna di Eropah menerima model hatchback dengan rekaan yang jauh berbeza berbanding Civic sedan di pasaran lain. Melebarkan lagi jurang pasaran Eropah dengan benua lain ialah varian Civic terbaharu iaitu Civic Tourer yang dikongsi kepada umum pada September lepas.
Dijangka mula dijual pada awal tahun depan, model itu dibangun dan direka bentuk di Eropah oleh tenaga kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda Eropah. Ia akan diproduksi di kilang Honda di Swindon, United Kingdom yang turut memasang CR-V dan Jazz.
"Saya begitu bangga dengan reka bentuk luaran Civic Tourer yang sporty, kemas dan dinamik. Ia tidak menampakkan sifat dalamannya yang pelbagai fungsi dan versatil.
"Untuk mengeluarkan sesuatu keistimewaan daripada kereta kompak, pereka bentuk akan menggunakan ruang kabin yang ada dengan sebaik mungkin. Proses ini biasanya akan menjejaskan reka bentuk.
"Oleh kerana platform Civic yang pintar, para pereka bentuk mempunyai kebebasan untuk mengoptimumkan pakej yang diberi. Hasilnya ialah sebuah kereta yang mempunyai pengaruh kereta sport. Bagi saya, kekuatan kereta ini terletak pada sinergi di antara kebolehgunaan dan versatilitinya," kata Ketua Projek Civic Tourer, Adrian Killham.
Reka bentuk luaran Civic Tourer nampak kemas dan sporty. Gayaannya dipengaruhi oleh garisan yang bersambung dari tiang A hinggalah ke tiang D, seolah-olah seperti garisan bumbung yang terapung.
Cermin belakang menutupi tiang D, manakala bingkai bonet belakang pula dinaikkan kepada 17 milimeter (mm) berbanding Civic hatchback bagi menampakkan garisan yang menonjol.
Civic Tourer menggunakan teknik sama dengan Civic hatchback yang mempunyai tangki minyak di bahagian tengah kereta.
Tangki tersebut dipasang di bawah kerusi hadapan yang membolehkan saiz ruang kabin menjadi luas dan kerusi boleh lipat ke atas yang dipanggil Magic Seats.

DIPASARKAN ke Eropah, jentera ini dilengkapi enjin daripada keluarga Earth Dreams Technology ciptaan Honda.


Keluasan ruang kargo dikatakan boleh memuatkan dua basikal bukit bersaiz penuh atau tiga buah beg Samsonite besar. Kapasitinya dari lantai ke bumbung adalah 624 liter dan meningkat kepada 1,668 liter jika kerusi belakang direbahkan.
Earth Dreams Technology
Menyentuh tentang janaan kuasa pula, Civic Tourer dibekalkan dengan dua opsyen enjin iaitu 1.6 i-DTEC daripada famili Earth Dreams Technology atau 1.8 i-VTEC yang dipadankan sama ada dengan transmisi manual atau automatik.
Enjin i-DTEC diesel buat pertama kalinya dipasang pada Civic hatchback dan C-RV. Enjin tersebut merupakan siri pertama enjin Earth Dreams Technology yang diperkenalkan di Eropah.
Falsafah di sebalik teknologi tersebut adalah untuk mengimbangi aspek kuasa dan penjimatan bahan api yang nyata sesuai dengan imej Civic Tourer.
Komponen enjin 1.6 i-DTEC terdiri daripada penutup silinder dan blok aluminium. Ia merupakan enjin diesel paling ringan dalam kelasnya.

RUANG kargo menjadi seluas 1,668 liter jika tempat duduk belakang dilipat.


Geseran mekanikal dikurangkan, sekali gus menjadikannya setara dengan enjin petrol. Kesemua peralatan yang berputar telah dioptimumkan untuk mengurangkan geseran bagi membolehkan penggunaan bahan api dijimatkan. Pada masa yang sama seronok untuk dipandu. Harus tahu bahawa enjin 1.6 i-DTEC sebenarnya direka khusus untuk pasaran Eropah.
Civic Tourer menggunakan Adaptive Damper System (ADS) yang inovatif. Penggunaan rear adaptive system adalah yang pertama kali diperkenalkan pada kereta produksi. Ia mempunyai tiga talaan iaitu Comfort, Normal dan Dynamic. Ketiga-tiga talaan tersebut dibangunkan untuk memberikan lebih kestabilan dan keselesaan dalam pelbagai muatan dan keadaan pemanduan.
Hasilnya Civic Tourer tetap selesa sewaktu meluncur di lebuh raya selain tegar dan lincah apabila dipandu dalam keadaan pengendalian yang berprestasi.
Jika diikutkan, pasaran di Eropah lebih bertuah dengan model secantik ini, ditambah pula dengan enjin diesel yang menjimatkan.
Sebenarnya, pengguna tempatan tidaklah asing sangat dengan Civic Eropah kerana banyak pengimport kenderaan terpakai membawa masuk Accord Euro R dan Civic Type-R Euro.
Tidak salah rasanya jika saya kata Malaysia adalah syurga Type-R memandangkan Honda Malaysia turut mengimport masuk Civic Type-R dari Jepun dan Malaysia adalah pengimport rasmi pertama model itu di dunia.
Dengan sikap rakyat negara kita yang terbuka, tiada masalah rasanya untuk Civic Tourer dijual di Malaysia. Lihat sahaja begitu banyak Toyota Caldina terjual sejak beberapa tahun lalu.

Jaguar Land Rover umum R&D Evoque_e

Posted: 06 Sep 2013 04:38 PM PDT


R&D model Evoque_e menelan belanja sebanyak RM84.3 juta.


JAGUAR Land Rover baru-baru ini mengumumkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi rangkaian kuasa hibrid serta bateri elektrik generasi akan datang yang berasaskan kepada model Range Rover Evoque.
Model yang dikenali sebagai Evoque_e itu merupakan projek Lembaga Teknologi Strategi kerajaan United Kingdom dan menelan belanja sebanyak £16.3 juta (RM84.3 juta).
Jaguar Land Rover akan menyumbang sebanyak £4 juta (RM20.7 juta) ke dalam projek tersebut. Ia juga mengetuai satu konsortium yang terdiri daripada 13 rakan kerjasama (lapan dari industri dan tiga buah universiti).
Mereka ialah Zytek Automotive, GKN Driveline, Motor Design Limited, AVL, Drive System Design, Williams Advanced Engineering, Delta Motorsport, Tata Steel, Universiti Bristol, Universiti Cranfield dan Universiti Newcastle.
Bermula Oktober 2013, kolaborasi unik itu akan membangunkan tiga buah kenderaan canggih iaitu Mild Hybrid Electric Vehicle (MHEV), Plug-In Hybrid (PHEV) dan Battery Electric Vehicle (BEV).

Satu enjin untuk tiga segmen

Posted: 06 Sep 2013 04:37 PM PDT



BOON Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) mula mengorak langkah agresif dalam industri motosikal tempatan sejak awal tahun lalu.
Strategi pertama melibatkan pengenalan model-model naik taraf ke pasaran motosikal underbone. Ia bertujuan mengukuhkan kedudukan sedia ada.
Pengeluar dan pengedar motosikal jenama tersohor dari Jepun itu turut meneroka beberapa segmen motosikal baharu.
Antaranya termasuk kelas superbike, grand tourer, skuter berkuasa tinggi dan dwikegunaan.
Momentum sama dilaksanakan pada tahun ini. Sepanjang tempoh tujuh bulan pertama 2013, sudah ada enam produk baharu dan naik taraf memasuki pasaran domestik.
Antara model dimaksudkan adalah siri Honda NC700, Wave 110, CBR600RR, Spacy Dark Knight, Air Blade dan EX5 Dream 110.
Tidak cukup dengan itu, Boon Siew Honda sekali lagi tampil mengejutkan pasaran. Kali ini, ia membabitkan siri Honda CB500.
Keluarga motosikal itu terdiri daripada tiga varian iaitu CBR500R, CB500F dan CB500X. Kesemua jentera beroda dua itu tergolong dalam kelas 500cc.
Pengenalan Honda CB500 di peringkat antarabangsa mengambil tempat di Pameran Motosikal Milan (EICMA) di Itali pada November 2012.
Kemunculan rangkaian CB500 menandakan pengembalian jenama Honda dalam segmen 500cc.
Sebelum ini, Honda Motor Co. di Jepun ada menawarkan rangkaian CB500 pada tahun 1994. Aktiviti penjualan tamat pada 2004.

PANEL meter digital memaparkan maklumat tunggangan dan beberapa petunjuk isyarat keadaan semasa motosikal.


Di pasaran tempatan, tindakan Boon Siew Honda membawa masuk siri CB500 adalah langkah tepat.
Jika diamati landskap segmen motosikal 400cc hingga 500cc, vakum pasaran itu masih belum diterokai sepenuhnya oleh pemain-pemain dalam industri.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada berkata, siri CB500 dibangunkan sebagai jentera mampu milik untuk pengguna di Asia.
Katanya, siri motosikal itu mencerminkan reputasi jenama Honda berhubung aspek rekaan, inovasi, prestasi, kebolehpercayaan dan ketahanan.
Ketiga-tiga motosikal itu menggunakan rangkaian kuasa sama iaitu enjin silinder kembar selari bersesaran 471cc. Kotak gear enam kelajuan diberikan sebagai padanan.
CBR500R dan CB500F
Setiap varian dalam keluarga CB500 ada sasaran pelanggan berbeza. Bagi mereka yang mahu sebuah model supersport, CBR500R adalah jawapannya.
Produk keluaran kilang di Thailand itu menggunakan casis besi ringan. Kerangka itu ditutupi dengan fairing penuh.
Fairing tersebut direka untuk membantu menyalurkan aliran udara ke kawasan enjin, meningkatkan aspek keselesaan tunggangan dan mengurangkan kesan seretan angin.
Bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang gemar sebuah jentera berkuasa untuk kegunaan dalam bandar, Boon Siew Honda tampil dengan varian CB500F.
Naked bike itu mempersembahkan paras rupa bersih dan gaya tersendiri dengan beberapa sentuhan klasik.
Solekan itu jelas kelihatan pada bahagian hendal lebar dan lampu utama bahagian hadapan motosikal.
CBR500R dan CB500F memiliki ketinggian pelana 790 milimeter (mm). Paras ketinggian itu memudahkan para penunggang melabuhkan kaki ke bumi sewaktu memberhentikan jentera.

BOON Siew Honda turut menawarkan koleksi motosikal CB500 dengan sistem brek antikekunci.


CB500X
Aktiviti kembara motosikal kian mendapat tempat di hati penunggang tempatan. Maka tidak hairan jika perkara itu disedari Boon Siew Honda.
Taruhan untuk segmen kembara adalah Honda CB500X. Inspirasi binaan model itu datangnya daripada Honda V4 Crosstourer 1,200cc.
Untuk menepati sifat lasak, casis motosikal ini dicipta lebih tinggi berbanding CBR500R dan CB500F. Sistem suspensi hadapan juga lebih panjang daripada ahli keluarga CB500 yang lain.
Sebagai pelengkap kejuruteraan binaan, posisi tempat duduk dicipta agar kedudukan badan penunggang adalah tegak. Ia disokong dengan aplikasi hendal lebar.
Plak pelindung (kowl) yang dipasang pada bahagian bawah enjin membantu melindungi enjin dan paip ekzos daripada tempias batu-batu kecil sewaktu tunggangan.
Rangkaian motosikal CB500 ditawarkan dengan versi standard dan versi sistem brek antikekunci (ABS). Ia memiliki potensi besar untuk menarik pembeli tempatan jika dilihat pada aspek harga dan kualiti produk.
Sudah pasti ia mendatangkan saingan sengit kepada pengeluar motosikal lain. Mungkin selepas ini, lebih ramai pemain lain akan memperkenalkan jentera pada harga yang lebih menarik.

Trend sorok wayar Honda Civic EG

Posted: 06 Sep 2013 04:37 PM PDT


BAHAGIAN belakang dikekalkan imej kemas tanpa pemasangan kit badan berlebihan.


SAYA tidak boleh nafikan bahawa trend ini semakin menular dalam dunia modifikasi di Malaysia. Dikenali sebagai wire tuck atau sorok wayar, ia dibuat supaya ruang enjin kereta nampak bersih dan kemas.
Honda EG itu merupakan salah satu contoh bagaimana wire tuck boleh membuatkan sesebuah kereta menyerlah. Saya yakin, ramai yang cemburu dan makan sakit hati apabila melihat ruang enjin boleh jadi secantik ini.
Kemudian, mungkin ramai yang kata, "Ah... enjin VTEC, bolehlah buat, wayar tak banyak."
Itu kenyataan yang salah. Sebenarnya kaedah wire tuck boleh dibuat ke atas apa jua jenis enjin. Cuma enjin VTEC lebih senang kerana kit wire tuck untuknya banyak dijual di pasaran.
Apabila guna kit, separuh daripada kerja sudah pun siap. Kit itu memudahkan kerja menyatukan wayar-wayar lama kepada satu atau dua soket sahaja. Tetapi harus tahu bahawa kit tersebut bukanlah murah. Saya kurang pasti sama ada ia sudah dijual secara rasmi atau tidak di Malaysia.
Selain menggunakan kit, kaedah kedua adalah dengan melakukannya sendiri secara manual. Namun, ia memerlukan kepakaran yang tinggi. Sebabnya, kalau tersilap buat masalah lain pula yang timbul nanti.
Kaedah ini apabila sudah sampai tahap ekstrem, jadilah seperti Honda Civic EG itu. Tidak perlu penyaman udara dan stereng kuasa. Cuma enjin semata-mata, malah crossmember pun dibuang.
Ini adalah antara kelompok terawal yang main wire tuck di Pulau Pinang. Mereka bergerak dalam kumpulan kecil. Tetapi apa yang pasti, semua kereta memang sangat kemas dan bersih. Sekali tengok rasa macam kereta di Amerika Syarikat.
Nama kumpulan mereka juga unik iaitu Kopi Tatt. Pengasasnya ialah Lee Eng Tatt yang juga pemilik Civic EG ini.

SET roll cage enam poin Cusco dipasang pada Civic EG.


Dari luar, Civic tersebut kelihatan seperti tidak mengalami banyak perubahan. Sepasang fender depan yang dibuat lubang untuk aliran udara, spoiler Spoon di belakang, cermin sisi Spoon jenis karbon dan lips Mugen.
Pada awalnya, jentera itu tidaklah terlalu menarik perhatian. Namun, persepsi saya berubah apabila Tatt membuka bonet enjinnya. Sungguh tidak sangka ruang dalaman dan enjinnya boleh jadi cantik sampai begitu sekali.
Trend Civic EG sebegini sudah jadi perkara biasa di Amerika Syarikat.
Melihat kepada ruang dalamannya, set roll cage enam poin jenama Cusco telah dipasang. Stereng Mugen FG360 yang sangat sukar ditemui pula akan membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum.
Mungkin ada yang perasan bahawa rimnya tidak terkeluar. Itulah perkara yang saya hendak cerita. Geng Kopi Tatt lebih dipengaruhi gaya Jepun pada rimnya. Rim Spoon SW388 15 inci dipadankan dengan tayar Advan Neova AD08 195/55/15.
Suspensinya digantikan dengan set boleh laras Cusco bersama brek Mugen dan cakera bersaiz 282mm Project U. Sangatlah sakit jiwa tengok kereta yang nampak sempoi tapi breknya sama harga dengan kos hendak pergi umrah. Brek belakangnya, DC5 dengan cakera Spoon. Sistem brek itu kemudian diperkuatkan dengan silinder utama Wilwood.
Adakah enjin kereta itu laju macam roket? Dimodifikasi sampai tahap kalis peluru? Tidak. Kereta itu masih dipandu sebagai pengangkutan harian, tanpa penyaman udara dan stereng kuasa.
Ini bukanlah benda kelakar. Memang realiti sebab kelompok begini tidak kisah pun panas dan penat tangan memulas stereng. Setiap kali panas, berenti tepi jalan, bukak enjin tengok radiator Koyo dengan enjin berkilat-kilat boleh buat hati jadi sejuk.

KTM 690 Duke R

Posted: 06 Sep 2013 04:36 PM PDT



SISTEM perendam bunyi Akrapovic membantu meningkatkan kuasa enjin sebanyak 2hp.


MOTONATION Manufacturer Sdn. Bhd. (KTM Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan satu lagi produk pemasangan tempatan (CKD) iaitu KTM 690 Duke R ke pasaran Malaysia. Model itu dihasilkan menerusi kilang pemasangan yang terletak di Jitra, Kedah.
KTM 690 Duke R tergolong dalam kategori naked bike. Lencana R pada nama model itu mendokong maksud Racing. Ini adalah sebuah jentera baharu dan bukannya versi naik taraf KTM 690 Duke.
Jentera itu menggunakan khidmat enjin silinder tunggal bersesaran 690cc. Sebagai padanan, transmisi enam kelajuan diadun pada rangkaian kuasa motosikal itu.
Hasilnya, 690 Duke R berupaya menghamburkan kuasa output maksimum sebanyak 70hp. Kuasa kilas puncak adalah sebanyak 70Nm. Inilah motosikal dengan enjin silinder tunggal paling berkuasa di dunia.
Sistem penyampaian bahan api menggunakan kaedah pancitan terus dan dikawal secara elektronik.
Fokus kejuruteraan model baharu itu melibatkan beberapa aspek penting termasuk tahap ketegaran, kestabilan, prestasi membrek dan keselesaan.
Elemen ketegaran membabitkan pengenaan casis tiub ringan dan profail lengan ayun tuangan terap. Berat casis dan lengan ayun masing-masing adalah sebanyak 9 kilogram (kg) dan 4kg.
Bagi menikmati keseimbangan antara kawalan dan pengendalian, suspensi jenama WP dipasang pada bahagian hadapan dan belakang. Kedua-dua komponen itu boleh diselaras mengikut kesesuaian penunggang.
Tugas memberhentikan jentera diserahkan kepada sistem brek cakera dengan angkup Brembo M50. Ciri sistem brek antikekunci (ABS) telah diadun pada kedua-dua roda hadapan dan belakang.
Jika ada yang mahu keseronokan tambahan, ciri ABS pada roda belakang boleh dipadam untuk membolehkan mode supermoto dinikmati ketika tunggangan.
Soal keselesaan membabitkan pemasangan tempat duduk ergonomik dan posisi perehat kaki bersesuaian. Pelana yang digunakan datangnya daripada koleksi Powerparts KTM.
Sistem ekzos digunakan adalah jenis titanium Akrapovic (slip-on). Perendam bunyi itu membantu meningkatkan kuasa kuda KTM 690 Duke R sebanyak 2hp.
Harga jualan asas tidak termasuk insurans dan cukai jalan adalah sebanyak RM52,500 seunit. Jaminan diberikan adalah selama 24 bulan tanpa had jarak perbatuan.

Ford Malaysia meneruskan kempen Merdeka Raya

Posted: 06 Sep 2013 04:35 PM PDT



JANGAN lepaskan peluang mendapatkan pemeriksaan percuma di Ford Malaysia.



FORD Malaysia meneruskan promosi selepas jualan menerusi kempen Merdeka Raya yang membabitkan pemeriksaan dan tawaran diskaun untuk produk-produk terpilih.
Kempen yang berlangsung sehingga 20 September ini membolehkan para pemilik kenderaan jenama itu menikmati pemeriksaan 27 poin secara percuma. Tindakan itu dibuat bagi membantu para pelanggan meneruskan perjalanan sepanjang musim perayaan ini dengan lebih selamat.
Selain itu, Ford Malaysia juga memberikan diskaun sehingga 15 peratus untuk minyak pelincir terpilih. Tawaran itu dibuat hanya untuk semua kenderaan yang tidak berada di bawah Pelan Penyelenggaraan Tambahan Ford.
Para pelanggan juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak 15 peratus jika membeli tali pemasaan, sistem klac dan pakej-pakej brek bagi model-model Ford terpilih sahaja.
"Promosi servis seperti Merdeka Raya membuktikan komitmen Ford terhadap keselamatan kenderaan dan ketenangan pemilik kenderaan kami terutama sewaktu musim cuti perayaan," kata Pengurus Serantau Alat Ganti dan Servis Ford Eksport dan Perkembangan Operasi Asia Pasifik, Patrick O'Neill dalam satu kenyataan di ibu negara baru-baru ini.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Ford: 1800 38 3181 atau menerusi laman web: www.ford.net.my.

28 minit ke KLIA

Posted: 06 Sep 2013 04:33 PM PDT



DUDUK di kokpit tren selama 28 minit tanpa henti kedengaran seperti satu tugas mudah yang digalas oleh pemandu tren berkelajuan tinggi, KLIA Ekspres.
Namun, gangguan kecil seperti keadaan perut yang memulas secara tiba-tiba sewaktu bertugas antara pengalaman lucu bagi seorang pemandu Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL), Denny Putra, 40.
"Hendak buat macam mana, tren tidak boleh dihentikan dan kami perlu bertahan sehingga sampai di destinasi.
"Tetapi, ia bukanlah suatu yang kerap berlaku kerana sebagai pemandu kami semua memang menjaga pemakanan dan tidak makan secara sembarangan sebelum memulakan tugas," ujarnya yang sudah berkhidmat selama 11 tahun bersama ERL.
Perkhidmatan KLIA Ekspres sudah banyak menjimatkan masa perjalanan penumpang yang ingin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dari KL Sentral di Kuala Lumpur. Tempoh bagi perjalanan sejauh 57 kilometer itu hanya mengambil masa 28 minit berbanding lebih sejam jika menggunakan perkhidmatan bas atau teksi.
Harga tiket yang ditawarkan masih kekal seperti ia mula-mula beroperasi pada April 2002 iaitu RM35 bagi perjalanan sehala.

TREN milik ERL menyediakan perkhidmatan yang cekap dan ruang dalaman yang luas serta selesa.


Faktor keselamatan
Menurut Denny, pemandu mengawal halaju tren tersebut berpandukan sistem Perlindungan Keretapi Automatik (ATP).
ATP merujuk kepada satu daripada dua pelaksanaan sistem perlindungan yang dipasang di sesetengah tren. Sistem tersebut membantu mengelakkan pertembungan disebabkan kegagalan pemandu untuk melihat isyarat atau sekatan kelajuan.
Kelajuan maksimum tren berkelajuan tinggi milik ERL adalah 160 kilometer sejam (km/j) dan bergerak pada kelajuan 100 km/j di kawasan-kawasan koridor berkongsi.
Jelasnya, koridor berkongsi bermaksud stesen yang berkongsi perkhidmatan dengan KTM Komuter atau sistem Transit Aliran Ringan.
Difahamkan, jumlah pemandu ERL ialah seramai 60 orang, di mana 20 hingga 30 orang daripadanya akan bertugas secara bergilir-gilir setiap hari.
Selain daripada memastikan perjalanan penumpang menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres berjalan lancar, pemandu kereta api bertanggungjawab memastikan segala barangan penumpang dibawa bersama sewaktu meninggalkannya.
"Memang banyak kejadian penumpang tertinggal barang di dalam kereta api berlaku sungguhpun pengumuman peringatan telah dibuat berulang kali. Rakan setugas saya pernah menjumpai sebatang tongkat penumpang sewaktu melakukan pemeriksaan.
"Jika difikirkan kembali, kejadian itu adalah suatu yang melucukan kerana bagaimana penumpang berkenaan masuk ke dalam kereta api dengan bertongkat tetapi keluar tanpa menggunakannya," kata Denny tersenyum.
Antara barangan lain yang biasa ditinggalkan di gerabak tren milik ERL ialah beg tangan, dompet, gitar, kamera digital, telefon bimbit dan komputer riba.

PENUMPANG KLIA Ekspres dan KLIA Transit boleh membeli tiket perjalanan ke destinasi pilihan menggunakan kios tiket yang disediakan dengan menggunakan kad kredit atau debit sahaja.


Pengalaman penumpang
Dalam pada itu, seorang penumpang, Raja Muhammad Raja Omar, 32, mengakui dia selesa menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres sebagai laluan terpantas ke KLIA.
Beliau yang merupakan pekerja sektor awam di Sabah menggunakan perkhidmatan itu selang dua bulan sekali apabila ke Kuala Lumpur untuk melawat keluarganya.
"Naik KLIA Ekspres lebih menjimatkan masa terutamanya ketika sedang mengejar masa pelepasan penerbangan. Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan kerana ia amat selesa dan mudah," katanya ketika ditemui di KL Sentral pada cuti Syawal baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi penumpang, Adilah Ahmad, 35, pernah beberapa kali menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres ke KLIA.
Baginya, perkhidmatan yang diberikan amat efisien dan berbaloi dengan harga yang dibayar iaitu RM35.
"ERL berjaya mengekalkan keselesaan kepada penumpang dan perjalanan menepati masa seperti pada jadual yang dipaparkan.
"Pada mulanya, saya agak berkira untuk membayar tambang yang ditetapkan dan menaiki bas untuk ke lapangan terbang kerana ia lebih murah. Tetapi tempoh perjalanan menggunakan bas agak lama dan membuatkan saya beralih kepada perkhidmatan KLIA Ekspres," jelasnya.

Penginapan eksklusif di Fraser Place

Posted: 06 Sep 2013 04:32 PM PDT

FRASER PLACE menawarkan 316 unit kediaman pelbagai variasi kepada pengunjung.


BAGI kebanyakan warga kota, mereka gemar bercuti di kawasan peranginan desa yang jauh daripada hiruk-pikuk hutan batu sambil menikmati pemandangan alam yang mendamaikan jiwa.
Namun, sesekali jika mahu bertukar angin, apa kata anda menikmati percutian serba mewah dengan gaya hidup metropolitan di Fraser Place Kuala Lumpur (Fraser Place).
Terletak di Jalan Perak, bangunan setinggi 30 tingkat itu tersergam megah dan menjadi salah satu aset kebanggaan Frasers Hospitality Pte. Ltd. (Frasers Hospitality).
Pengurus Besar Fraser Place, Shirley Lai berkata, terdapat 316 unit kediaman pelbagai variasi yang disediakan bagi pilihan pengunjung. Antaranya unit studio moden dan emper (penthouse) dengan dua hingga empat bilik.
Setiap unit kediaman mempunyai keistimewaan tersendiri dengan perabot di ruang tamu, bilik tidur dan dapur yang berbeza.
Ia juga turut dilengkapi peralatan elektrik bermutu tinggi untuk menjalani kehidupan harian seperti periuk nasi, mesin basuh, pengering rambut, televi- syen paparan hablur cecair (LCD), peti sejuk dan sistem hiburan yang komprehensif.
Selain itu, semua lokasi di Fraser Place disediakan perkhidmatan WiFi percuma.
"Unit-unit kediaman ini boleh disewa sama ada untuk semalam, sebulan, enam bulan atau lebih dari setahun. Ia sesuai sebagai destinasi percutian seisi keluarga.

KOLAM renang dengan panorama ibu kota memberikan pengalaman yang santai dan mendamaikan jiwa.


"Malah, kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada golongan ekspatriat yang menetap dalam satu tempoh masa yang lama," ujar Lai kepada Kosmo!.
Beliau memaklumkan, Frasers Hospitality terkenal sebagai salah satu pemain utama pasaran hartanah dengan memiliki 44 rangkaian hartanah di seluruh dunia.
"Apa yang pasti, keunggulan perkhidmatan dalam industri hospitaliti bertaraf antarabangsa di semua pusat penginapan kami membuatkan pelanggan yakin dengan syarikat ini," jelas Lai yang mengakui pihaknya sentiasa komited untuk menawarkan perkhidmatan dan keselesaan yang optimum kepada para pelanggan.
Tidak ketinggalan, pelbagai kemudahan lain disediakan untuk kemudahan pelanggan seperti sebuah gimnasium, bilik dobi, kolam renang, sauna dan bilik permainan video yang terletak di aras 18 bangunan tersebut.
Jika bosan berada di bilik, anda boleh berehat di ruang lobi yang dihias indah yang turut menempatkan beberapa unit komputer untuk kegunaan pengunjung.
Fraser Place juga menyediakan kemudahan bilik mesyuarat untuk mereka yang mahukan satu lokasi perbincangan dalam suasana dan eksklusif.

Senyum Malaysia sasar si cilik

Posted: 06 Sep 2013 04:30 PM PDT


NOR Aziah (belakang enam dari kiri) dan Amiruddin (belakang enam dari kanan) bergambar bersama sekumpulan kanak-kanak Tabika Kemas Taman Wilayah ketika pelancaran kempen 'Senyum Malaysia' yang dilancarkan baru-baru ini.


TIDAK ramai yang menyedari kesihatan mulut dan gigi adalah kunci kepada kesihatan anggota tubuh secara keseluruhan.
Oleh itu, penjagaannya perlu dimulakan di peringkat awal iaitu sejak bayi mulai tumbuh gigi.
Ia diikuti usaha mendisiplinkan mereka untuk menggosok gigi sebanyak tiga kali sehari menggunakan kaedah yang betul.
Menyedari hakikat itu, jenama penjagaan gigi terkemuka, Colgate-Palmolive Marketing Sdn. Bhd. (Colgate) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) baru-baru ini telah melancarkan kempen Senyum Malaysia.
Pengarah Kanan Pemasaran Ubat Gigi Colgate, Nor Aziah Mohd. Said, kempen selama sebulan itu bertujuan mendidik ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mulut dan gigi.
Katanya, ia sejajar dengan usaha syarikat itu untuk menyokong Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyasarkan pengurangan pelbagai penyakit gigi dalam kalangan kanak-kanak yang berumur enam tahun dan ke bawah sehingga 50 peratus menjelang tahun 2020.
"Kempen ini menekankan kepentingan amalan penjagaan kesihatan gigi susu dalam kalangan kanak-kanak prasekolah di seluruh negara.
"Ini kerana penjagaan gigi susu penting bagi membantu golongan ini mempelajari kepentingan pemakanan dan pengambilan nutrisi yang betul,"katanya pada pelancaran kempen itu di Tabika Kemas, Taman Wilayah, Selayang baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kemas, Amiruddin Ariffin.
Nor Aziah menambah, pada masa yang sama, penganjuran kempen juga dilihat dapat membantu pembentukan gigi kekal yang cantik dan teratur pada masa hadapan.
Pada majlis pelancaran itu, seramai 70 kanak-kanak prasekolah tersebut telah mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan seperti bengkel penjagaan mulut dan demonstrasi memberus gigi oleh kakitangan Klinik Pergigian Selayang Baru.
Sokongan umum
Dalam menjayakan kempen itu, Nor Aziah berkata, pihaknya turut menggesa orang ramai untuk menyatakan sokongan terhadap kempen itu dengan menonton dan berkongsi video Senyum Malaysia yang disiarkan di laman sosial Facebook Colgate (www.facebook.com/ColgateMy).
Katanya, orang ramai boleh menyatakan sokongan mereka melalui tiga kaedah iaitu dengan menekan butang 'suka' yang diterjemah sebagai satu sokongan; menekan butang 'suka' dan 'kongsi' (dua sokongan); memuat naik gambar senyuman (lima sokongan) atau membeli produk ubat gigi Colgate Total (satu sokongan) di kedai-kedai di seluruh negara.
"Kita menyasarkan sebanyak 500,000 sokongan akan dikumpul sepanjang kempen ini.
"Sebaik sahaja sasaran ini dicapai, kami akan menukarnya kepada sumbangan berupa set ubat gigi dan berus gigi kepada 14,700 kanak-kanak di 545 buah Tabika Kemas di seluruh negara,"ujarnya.
Sejajar dengan kempen itu, Nor Aziah berkata, pihaknya turut melancarkan Skuad Senyum Malaysia, sebuah skuad yang terdiri daripada para sukarelawan Colgate.
"Skuad ini akan melakukan kunjungan ke 20 buah Tabika Kemas terpilih di sekitar Lembah Klang mulai minggu hadapan dan menunjukkan kaedah penjagaan dan memberus gigi yang betul.
"Ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat Colgate bersama Kemas dalam mengutamakan keperluan penjagaan kesihatan mulut dan gigi melalui pendidikan kepada kanak-kanak," jelasnya.
Manfaat
Sementara itu, seorang penjaga, Norlizawati Nordin, 31, berkata, kempen terbaharu Colgate itu mampu membendung masalah penyakit atau kerosakan gigi yang sering dialami dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
"Kanak-kanak dan makanan manis sukar dipisahkan, justeru adalah penting mereka didedahkan dengan kaedah penjagaan gigi yang betul di peringkat awal," katanya.
Bagi Mohd. Fairus Yahya, 30, kempen itu mampu menanam tabiat menggosok gigi sebagai satu amalan harian dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
"Mungkin amalan memberus gigi sebanyak tiga kali sehari sukar dilaksanakan kanak-kanak, tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mengalakkan tabiat ini," katanya.

Intan Ladyana Sedia Dikritik Lakonkan Adegan Panas Dengan Farid Kamil

Posted: 05 Sep 2013 11:31 PM PDT

Walaupun sukar melakonkan adegan berahi namun Intan menganggap ia sebagai satu cabaran buatnya.
PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana bersedia untuk berhadapan dengan kritikan daripada penonton selepas tampil berani dalam sebuah babak berahi bersama aktor Farid Kamil dalam filem terbaharu lakonannya berjudul Dampak.
Intan, 32, berkata, sebagai pelakon dia menganggap babak tersebut sebagai satu cabaran namun mengakui bukan mudah untuk melakukan aksi tersebut semasa penggambaran berlangsung.
"Saya tiada masalah jika babak tersebut menjadi bualan dan mendapat kritikan daripada peminat kerana itu sebahagian daripada jalan cerita filem dan ia hanya lakonan.
"Walaupun tidak mudah untuk saya lakukan aksi tersebut tetapi sebagai pelakon itu adalah cabaran untuk saya," katanya kepada mStar Online.
Filem arahan Lai Yuk Long itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Aaron Aziz, Juliana Evans, Michael Chin dan Cat Farish.
Farid Kamil.
Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 19 September ini.
Aksi panas itu dapat dilihat apabila Intan yang memegang watak Qyra telah digoda dan dirogol oleh Giran lakonan Farid yang tercedera akibat bergaduh dengan samseng.
Dalam perkembangan sama, Intan berkata, ketika babak itu dirakam hanya dia dan Farid berada di dalam bilik bersama empat buah kamera yang dipasang dalam bilik berkenaan.
"Kami mengambil masa selama 20 minit untuk menyiapkan babak berkenaan dan ketika ia dirakamkan hanya kami berada dalam bilik bersama empat buah kamera yang dipasang di empat sudut bilik.
"Bagaimanapun hasil terakhir babak tersebut adalah daripada suntingan dan teknik kamera yang dilakukan oleh pihak produksi," tuturnya.
Tambah Intan, selain melakukan babak intim dalam filem tersebut, dia juga terpaksa merokok bagi menggambarkan watak jahat Qyra yang dipegangnya.
"Terpaksa merokok dalam filem itu lebih sukar kerana saya tidak suka kepada bau dan asap rokok dan ia cukup mencabar," jelasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines