Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Halim Othman Enggan Komen Isu Peminat Mengaku Kekasih
- 'The Undercover' & 'The Game 2' Tarikan Utama Penonton ntv7
- Suria FM Sediakan RM50 Ribu Bantu Pendengar Bayar Hutang
- Tumpas lepas 9 jam dikepung
- Tanda aras Rusdi-Faezah
- P. Ramlee the Musical berubah wajah
- KL Gangster 2 tayang 3 Oktober
- Dakwah solo Hanim Ahmad
- Jurang 750 kilometer ditemui di Greenland
- Dari pekan koboi ke bandar satelit
- Nurfarini minat kerja kebajikan
- Jamu selera sambil tunggu pakaian dicuci
- Kepayahan hidup sebelum merdeka
Halim Othman Enggan Komen Isu Peminat Mengaku Kekasih Posted: 31 Aug 2013 04:06 PM PDT Jelas Halim, isu tersebut juga tidak memberi kepentingan kepada masyarakat malah menurutnya adalah lebih baik jika ia tidak diceritakan secara umum. "Saya tidak mahu komen lagi tentang perkara ini. Benda ini adalah satu perkara yang buang masa. "Ia langsung tidak memberi manfaat kepada masyarakat dan negara lebih-lebih lagi kita baharu saja menyambut Hari Kemerdekaan," katanya kepada mStar Online. Minggu lalu, sebuah laman blog mencetuskan kontroversi apabila menyebarkan beberapa keping foto Halim bersama seorang gadis yang dikatakan kekasihnya. Kenyataan itu membuatkan Dania berang kerana seolah-olah dia dilihat beria-ia mahu menempa nama menerusi gosip tersebut. "Jangan dengar cerita sebelah pihak sahaja. Sudah beberapa kali kami keluar berdua malah dia pernah mengajak saya bercuti, adakah saya masih dianggap peminat? "Dia juga pernah berkata mahu melamar saya tetapi lamaran itu ditolak kerana usianya tidak sesuai dengan saya yang jauh lebih muda daripadanya. Jangan kerana nak lepas diri, dia (Halim) menipu," kata Dania menerusi status Facebook yang dimuat naik pada minggu lalu. Tidak lama kemudian, Halim masih menegaskan dia belum mempunyai teman wanita dan menyifatkan wanita berkenaan sengaja ingin mencari publisiti. Mengulas lanjut Halim berharap pihak media tidak memberi publisiti mengenai perkara ini. "Bila orang tanya, ia ibaratkan seperti menepis nyamuk yang banyak. Saya harap soalan ini tidak ditanya lagi," tegasnya. | ||||||
'The Undercover' & 'The Game 2' Tarikan Utama Penonton ntv7 Posted: 31 Aug 2013 04:05 PM PDT Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul, The Undercover berjaya mengutip rating tertinggi buat saluran itu menerusi slot waktu perdananya pada pukul 9.30 malam dengan peratusan perkongsian penonton berbangsa Cina sebanyak 42 peratus (%) sepanjang 30 episod siarannya. "Siri itu mendapat sambutan bermula episod ke-16 dengan hampir 700,000 penonton di mana ia mewakili peratusan 48% bagi perkongsian penonton Cina. "Drama bersiri itu disiarkan sempena ulang tahun ke-15 ntv7 serta membariskan nama besar pelakon Cina tempatan seperti Adrian Tan, Aenie Wong, Karena Teo dan Ernest Chong. The Game 2 pula disiarkan sempena Festival Hantu Lapar pada 20 Ogos dan berjaya menarik seramai hampir 600,000 penonton iaitu 45% perkongsian peratusan penonton Cina. Manakala platform di atas talian (online) turut menerima sambutan baik seperti drama The Game (siri pertama) iaitu sebanyak 7,000 pengunjung dalam masa hanya beberapa hari. "The Game 2 membuktikan bahawa ia merupakan sebuah drama revolusi kerana popularitinya menerusi sosial media memberikan impak yang kuat kerana konsepnya yang berbeza. "Perbincangan menerusi Facebook mengenai konsep dan isu siapakah yang menjadi pembunuh sebenar juga meningkat sebanyak 800% sepanjang dua minggu. Berdasarkan statistik yang ditunjukkan di laman rasmi Facebook The Game 2, peminat yang menekan butang "Like" juga meningkat 200%," ujar Airin. Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang rasmi Saluran Ceria Anda di www.ntv7.com.my, serta ikuti laman Facebook ntv7Chinese, ntv7localdrama, laman rasmi FacebookThe Game 2 dan laman Weibo ntv7. Rancangan ntv7 juga boleh ditonton di www.tonton.com.my. | ||||||
Suria FM Sediakan RM50 Ribu Bantu Pendengar Bayar Hutang Posted: 31 Aug 2013 04:04 PM PDT Ketua Bahagian Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, bantuan hutang yang dibuat termasuklah bil utiliti, telefon, kad kredit termasuklah bil membeli belah. "Idea ini sengaja dicetuskan selepas mendapat keluhan pedengar mengenai hutang bil yang perlu dijelaskan. "Jadi bagi menghargai para pendengar, kami sengaja mengeluarkan sejumlah bajet untuk membantu sesiapa yang bertuah dengan nilai pelaburan kami sebanyak RM50,000," katanya yang ditemui pada acara Hari ABC (A Bit Charity) di The Square, Publika pada Sabtu. Tambah Adiwati, kempen tersebut akan bermula 2 September ini dan berakhir pada 29 September 2013 dimana para pendengar perlu mengisi borang dan memuat naik gambar bil-bil yang mahu kami jelaskan di laman web Suria FM iaitu www.suriafm.com.my. Sementara itu, mengenai Hari ABC, ia merupakan sebuah acara kebajikan mengutip dana bagi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak yatim Al-Nasuha dan Angels Childrens Home di bawah Kumpulan Radio The Star iaitu Suria FM, Red FM, 988 dan Capital FM. "Pada mulanya kami menyasarkan sebanyak RM23,000 kutipan menerusi pembelian kupon oleh pengunjung dan Alhamdulillah kami berjaya mengumbul lebih daripada sasaran iaitu RM27,000. Dalam pada itu, penyampai-penyampai empat radio berkenaan turut menghiburkan pengunjung dengan persembahan khas masing-masing. Pelbagai aktiviti menatik turut berlangsung seperti jualan amal dan acara permainan. Selain itu, barisan artis seperti Prema Yin, ferhad, Nadhira, Reshmoun, Shawn Lee dan Chelsia Ng turut memeriahkan acara dengan persembahan mantap mereka. | ||||||
Posted: 31 Aug 2013 04:00 PM PDT ALOR KELADI - Usaha dua lelaki meloloskan diri daripada kepungan orang ramai selepas dipercayai mencuri kabel telekom di Kampung Bukit Rambutan, dekat Telaga Nibong tidak berhasil, apabila berjaya ditangkap kira-kira sembilan jam kemudian. Sebelum itu, beberapa penduduk Kampung Kayu Kelat yang berkawal di kawasan tersebut, terserempak dengan kedua-dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kereta jenis Mazda, kira-kira jam 5 pagi kelmarin. Penduduk percaya mereka adalah pencuri kabel telefon sebelum cuba menahan suspek, bagaimanapun selepas menyedari kehadiran orang ramai mereka melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Menurut sumber, penduduk bertindak mengejar suspek, bagaimanapun selepas sampai di Kampung Kayu Kelat, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian, suspek keluar dari kereta kerana dipercayai kenderaan itu tidak dapat bergerak laju akibat berat muatan kabel yang dicuri. "Kedua-dua suspek meninggalkan kereta mereka lalu melarikan diri ke kawasan semak di tengah sawah berhampiran. "Penduduk yang keluar beramai-ramai telah mengepung kawasan belukar tersebut, namun pada jam 7 pagi, dimaklumkan ada orang terserempak dengan suspek berkenaan berjalan kaki di Kampung Gong Duek, Hulu Besut beberapa kilometer dari situ," katanya. Katanya lagi, menyedari mereka dikesan penduduk, suspek menyembunyikan diri dalam semak berhampiran kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Gong Duek, sebelum dilihat penduduk kampung pada jam 12.30 tengahari melalui sawah menghala ke arah Kampung Alor Keladi. Sejurus selepas itu, penduduk bertindak mengepung kawasan berkenaan dan berjaya memberkas suspek pada jam 1.30 petang di Kampung Alor Keladi sebelum diserahkan kepada polis pada jam 2 petang. Dalam kejadian itu, salah seorang penduduk cedera ringan akibat bergesel dengan kereta suspek ketika cuba menangkap mereka. Menurut sumber lagi, sebelum ini, suspek berkenaan dipercayai telah empat kali menjalankan aktiviti mencuri kabel telefon di lokasi sama dan kali terakhir pada Ramadan lalu. Malah, mereka juga dikatakan pernah mengugut seorang warga emas dengan parang kerana menegur perbuatan mereka ketika terserempak semasa pulang solat Subuh, pada malam sama. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut. Menurutnya, dua suspek tersebut berusia 24 dan 35 tahun dari Kampung Batu 13, Hulu Besut dan kedua-dua positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. "Polis turut menemui kabel telefon dianggarkan sepanjang 250 meter di dalam kereta suspek dipercayai dicuri di tempat kejadian," katanya. | ||||||
Posted: 31 Aug 2013 03:56 PM PDT
SELEPAS memikul tanggungjawab sebagai pemegang watak penting dalam filem Tanda Putera, Rusdi Ramli dan Faezah Elai ternyata masih bugar dan tidak dicela. Tiada sedikit pun kelopak keyakinan mereka gugur ekoran taufan kontroversi yang hampir-hampir membenamkan karya Datin Paduka Shuhaimi Baba itu. Tanda Putera merupakan sebuah filem yang selama ini ditunggu-tunggu telah terhidang untuk diratah dengan amarah mahupun dihadam dalam santun. Ibarat sebuah makanan buat pencinta karya yang idealis, Tanda Putera hadir dalam wacana bukan sekadar sebuah filem yang biasa. Jika tidak, mengapa sejak pembikinannya seleasi dilakukan, filem berlatarkan era pasca merdeka itu ditunda selama beberapa kali untuk dijadikan tontonan umum. Hari ini, debar Tanda Putera belum berpenghujung. Masuk hari keempat menerjah panggung seluruh tanah air, filem yang pernah digeruni kerana dianggap berisiko menggugat kesejahteraan kaum itu mampu menerbitkan rasa bangga jika ditonton tanpa curiga. Tiada api sengketa yang hendak dikipas. Namun sesuatu yang nyata, pengisahan dua negarawan ulung, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr. Ismail yang menjadi intipati penceritaan dikecam bahkan ada juga tempias rasis terpercik ke muka pengarah dan pelakon terlibat. Namun bagi Rusdi dan Faezah, mereka positif walaupun banyak kekangan yang berlaku. Dikecam rasis "Dua kali ditunda dan sekarang barulah khalayak dapat menonton sendiri apa yang kontroversi sangatnya dengan filem Tanda Putera. Rasanya, sebelum ini pun ada filem yang ditunda tayangannya tapi statusnya tidak sama dengan Tanda Putera. Filem Tanda Putera ditunda tapi tiada janji atau tarikh bila ia boleh masuk panggung. Saya tidaklah tertekan sebagaimana yang dirasai oleh penerbit dan pengarah. Tapi, sebagai pelakon ada juga terfikir, kalaulah filem ini tidak dapat ditayangkan, bila lagi tawaran sebegini akan datang," luah Rusdi. Bicaranya mengalir tenang, setenang keperibadiannya. Dia tersenyum sambil mengajak rakyat Malaysia untuk menilai sendiri secara rasional dengan menonton filem berkenaan. "Bab dikecam atau digelar rasis, saya tahu. Tapi, tak layan sangat kerana saya bukan jenis yang suka melayari internet. Kalau ada yang masih dakwa kami ini buat filem rasis, itu salah. Isteri saya sendiri berketurunan Cina. Dia (Sharon Paul) juga terlibat sebagai komposer lagu tema filem berkenaan. Kami sama-sama faham dan tahu niat filem ini dibikin," jelas Rusdi yang memikul tugas besar dalam filem patriotik kedua lakonannya itu di bawah arahan Shuhaimi Baba selepas 1957: Hati Malaya. Tidak merasa bijak atau menjadi arif mengenai sejarah, Faezah yang buat pertama kalinya muncul dalam filem Shuhaimi Baba itu pula merasakan apa yang disensasikan mengenai Tanda Putera mungkin ada hikmahnya.
"Saya tak pernah putus harap untuk berkongsi filem ini dengan rakyat Malaysia. Rasanya, ia karya terbaik Shumi (panggilan untuk Shuhaimi Baba) setakat ini. Saya kata begitu bukan kerana saya salah seorang pelakon yang terbabit, tapi kerana filem itu sendiri yang bagus. Rugi jika ia tidak ditayangkan. Dalam masa yang sama, saya tahu Shumi tidak akan berhenti berjuang untuk filemnya. "Saya sendiri tidak kesal dengan kontroversi yang timbul. Tapi, sedih dengan pemikiran segelintir pihak. Mungkin ada hikmahnya juga, apabila tiba waktu tayangan seperti sekarang, semua orang rasa mahu lihat apa yang sensasi sangat sebelum ini. Dalam Tanda Putera, kisah 13 Mei itu hanyalah latar masa dan fakta dalam sejarah. Ia dimasukkan untuk menggambarkan betapa sukarnya Tun Razak dan Tun Dr. Ismail bertindak memperbaiki situasi terburuk negara ketika itu," getus Faezah yang melakonkan watak Tun Rahah, isteri kepada Tun Razak. Lebih mendebarkan Faezah, wanita bernama Tun Rahah bukan sekadar tokoh dalam sejarah bahkan ibu kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tuah suara Merakamkan kisah kehidupan peribadi Tun Razak sehingga beliau digelar Bapa Pembangunan Malaysia ke dalam sebuah filem, kejayaan atau kegagalan filem itu bukannya kerja pengarah semata-mata. "Dari segi pembikinan dan skrip, itu memang kerja pengarah tapi hasilnya, kerja lakonan yang akan difokuskan. Saya berbangga kerana diberi kepercayaan. Tapi, terbeban dengan amanah yang diberi.
"Sebagai pengarah, Shumi tidak akan jawab secara konkrit kenapa saya yang dipilih. Namun, sejak dahulu, dia selalu kata salah satu pemilihan pelakon diputuskan kerana nada suara. Saya letak seluruh kepercayaan kepada Shumi dan memberikan apa sahaja yang dia mahu termasuklah isu 13 Mei yang hangat diperkatakan. "Saya yakin, ramai yang mahu lihat kisah itu dengan mata dan kepala sendiri. Jika tidak didedahkan, lama-kelamaan 13 Mei hanya akan jadi mitos dek bermacam-macam versi cerita yang didengar, sedangkan ia fakta. Secara peribadi, saya lebih tertarik kepada situasi negara yang sedang sakit dan dalam masa yang sama dipimpin oleh pemimpin yang sedang berjuang melawan penyakit. Tun Razak sakit leukimia manakala Tun Dr. Ismail pula sakit jantung. "Jadi, sentimen perkauman tidak harus wujud kerana generasi sekarang sudah boleh berfikir. Semua orang bebas memilih ideologi politik tapi, berparang bukan cara yang sepatutnya," kata Rusdi yang kini berjinak-jinak dengan kerja pengarahan drama. Enam bulan selepas melahirkan puteri sulung, Dealova Heyrinna, Faezah memanaskan enjin kariernya dengan penampilan pertama usai berpantang menerusi sebuah telemovie raya, Abah Tak Balik Malam Raya. Lebih matang bersulam semangat hidup yang sedang bugar dalam dakapan, pelakon yang dikenali menerusi drama Asmara itu berganda debarannya. Bukan satu tetapi, dua filem termasuk naskhah pertama lakonannya masuk panggung secara serentak. "Sekarang dua filem saya yang sama-sama memulakan tayangan bermula pada 29 Ogos, Tanda Putera dan KL Zombi. Ia dua buah filem yang berbeza genre," katanya yang tidak terjangka lakonannya akan disaksikan dalam dua judul filem sekali gus. Bernostalgik kisah isteri yang tidak tahu penderitaan suami yang mengidap penyakit leukimia, wanita yang menjadi ibu tunggal pada umur 30-an dan mampu membesarkan anak-anak sehingga salah seorang daripadanya bergelar Perdana Menteri, tiada kata-kata yang dapat Faezah gambarkan untuk mendefinisikan wanita unggul itu. "Ketika itu, saya belum berkahwin, masih tercari-cari bagaimana emosi isteri dan ibu. Apa yang terpapar dalam Tanda Putera adalah kerja terbaik yang pernah saya lakukan," katanya bercampur-campur antara terharu dan bangga. Diletakkan di kerusi berdarjat, duduk, berjalan, ketawa dan menangis, semuanya harus terkawal dan dikawal, Tun Rahah serta Tanda Putera juga merupakan tanda aras yang sedang dicipta Faezah dan Rusdi bersama pelakon-pelakon lain dalam filem itu. | ||||||
P. Ramlee the Musical berubah wajah Posted: 31 Aug 2013 03:55 PM PDT
KEHEBATAN produksi dan pembawa watak teater P. Ramlee The Musical yang dpentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur masih utuh dalam ingatan. Ia merupakan sebuah teater yang membawa ingatan khalayak kepada kisah hidup suka dan duka seorang insan seni yang martabatnya diangkat tinggi oleh masyarakat. Mata penonton melihat dan menyelusuri jalan hidup Tan Sri P. Ramlee, sewaktu dia bangun dan pernah rebah. Kali ini, orang Sarawak berpeluang menyaksikan pementasan ketiga teater itu yang bakal berlangsung selama dua hari bermula pada 9 September ini bertempat di Pusat Persidangan Borneo, Kuching, Sarawak. Teater yang berlangsung selama dua jam ini diadakan sempena sambutan Kemerdekaan ke-50 tahun Sarawak dalam Malaysia dan dianjurkan oleh pihak Enfiniti Events Sdn. Bhd. Menariknya, semua para pelakon yang terlibat dalam teater ini merupakan 'wajah baharu' untuk karakter P. Ramlee, Saloma, Norizan dan Junaidah. Jika sebelum ini tugas pembawa karakter P. Ramlee diberikan kepada Musly Ramlee dan Sean Ghazi, kepercayaan kali ini diberikan kepada aktor Tony Eusoff.
"Saya mencari rakaman belakang pentas P. Ramlee untuk mencari pesona dan cuma bertemu dengan satu video di laman YouTube. Saya terima watak ini kerana sukakan cabaran. Buat saya, P. Ramlee merupakan seorang artis dengan minda yang terbuka. Seorang seniman yang tulen dan mempunyai kasih sayang terhadap seni yang sangat tinggi," ujar Tony yang meminati filem Seniman Bujang Lapuk. Buat Datin Seri Tiara Jacquelina, kali ini dia turun padang. Selain bertindak sebagai Penerbit Eksekutif untuk pementas di Pusat Konvensyen Borneo, dia turut membawakan watak Norizan, isteri kedua seniman P. Ramlee. "Allahyarham Norizan merupakan isteri P. Ramlee yang paling saya minati. Saya menganggap wataknya mencabar kerana saya tidak pernah membawakan watak yang agresif. Jadi, saya tidak akan melepaskan peluang ini. Saya melihat ada persamaan antara saya dengan Norizan iaitu sikap mengawal," ujar Tiara yang pernah terlibat dalam satu drama bersama Norizan pada tahun 1992. "Saya lupa tajuknya (drama itu) tetapi waktu itu, saya melihat Norizan mempunyai aura yang sangat besar. Walaupun hidup tidaklah senang tetapi dia tetap membawakan sisi elegan dalam dirinya," tambahnya yang melakukan kajian tentang Norizan.
Merujuk kepada pertukaran wajah-wajah baharu dalam setiap karakter dalam teater ini, Tiara dengan senang hati melihat situasi itu sebagai satu yang segar untuk teater tersebut yang telah dipentaskan pada tahun 2007 dan 2008 dan ini. Meminati Tony sebagai pelakon yang bagus, Tiara juga memberitahu tentang kesukaran untuk mereka mendapatkan seseorang yang bersuara lunak untuk membawakan watak Saloma. "Akhirnya, Melissa Saila yang merupakan pengarah bersama teater ini mencadangkan Elly Mazlien. Sesuatu yang baru untuk para penonton," ujarnya yang berharap teater percuma ini akan mendapat sambutan daripada seluruh warga Borneo. Selain teater yang dipentaskan pada 9 dan 10 September ini, sebuah konsert tribute P. Ramlee oleh pemain violin, Idris Sardi akan turut diadakan pada 12 dan 13 September di lokasi yang sama. | ||||||
KL Gangster 2 tayang 3 Oktober Posted: 31 Aug 2013 03:54 PM PDT
DUA tahun mengambil masa untuk proses suntingan dan belum pun sempat menemui penonton dengan penuh besar jiwa, filem KL Gangster 2 disambar dalang siber. Pada Rabu lalu, kekecohan mula menular. Filem yang dijangka mengulangi sejarah kejayaan KL Gangster 1 yang mencatat kutipan hampir RM12 juta itu boleh ditonton hampir keseluruhan daripada durasi sebenar tanpa sebarang bayaran menerusi internet. Selaku pengarah, Syamsul Yusof sudah pun membuat laporan polis. Perkara itu sendiri mendapat perhatian Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mengusulkan kepada pihak Skop Production Sdn. Bhd. dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. selaku produser untuk menayangkan KL Gangster 2 lebih awal. "Saya telah diberikan kebenaran oleh Datuk Seri Shabeery Cheek untuk menayangkan KL Gangster 2 lebih awal, namun saya tidak sanggup berlaku tidak adil kepada rakan-rakan produser lain yang telah sekian menunggu tarikh lama tayangan filem mereka. Ia seolah-olah saya memijak kepala mereka demi kepentingan filem ini. "Buat masa ini, beberapa petunjuk dan bukti sedang dikumpulkan dan kami menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan kepada pihak yang mensabotaj filem KL Gangster 2," tegas Datuk Yusof Haslam pada satu sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, pada Jumaat lalu. Filem itu dijadualkan ditayangkan pada 3 Oktober depan. Ekoran tekanan teruk yang dihadapi Syamsul, dia yang sepatutnya hadir pada sidang media itu gagal menampilkan dirinya.
Sebelum ini, Syamsul meluahkan kemarahannya terhadap perompak siber yang telah membocorkan filem arahannya yang berbaki sebulan lagi sebelum ia ditayangkan kepada umum. Selaku penerbit sementelah pelakon yang turut terlibat dalam filem berkenaan, Rosyam Nor juga meluahkan kekesalannya berhubung perkara itu. Menyifatkan pihak yang tidak bertanggungjawab membocorkan filem KL Gangster 2 ke laman YouTube sebagai penjenayah siber, Rosyam tidak sabar untuk melihat penjenayah itu ditangkap dan diheret ke muka pengadilan. "Ini pertama kali dalam sejarah penerbitan filem, Malaysia berdepan jenayah seperti ini. Bukan sekadar footage, tetapi saya dimaklumkan seluruh filem berkenaan boleh ditonton secara haram sejak penyebarannya mula dikesan pada Rabu lepas. "Saya merayu kepada seluruh pencinta filem tanah air, peminat yang menyayangi hasil kerja Syamsul begitu juga khalayak yang menghormati karya Yusof, inilah masanya kita semua memberikan sokongan kepada KL Gangster 2 dengan menolak cetak rompak. "Saya juga percaya, peminat filem yang tegar tidak akan puas hanya sekadar menonton filem di YouTube, mereka sudah boleh berfikir dan tetap akan menggegarkan panggung apabila filem itu ditayangkan pada Oktober ini," katanya dengan bersungguh-sungguh ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Mendakwa penyebaran filem KL Gangster 2 itu sebagai tindakan paling tidak bermaruah yang berlaku ke atas karyawan filem, ia juga seolah-olah dianggap satu penghinaan dan zalim yang dilakukan terhadap pembikinan filem di Malaysia. "Khalayak kena faham dan lihat bagaimana kami sebagai karyawan sedang berusaha untuk memantapkan dan membangunkan kualiti filem tempatan. Saya cukup yakin, dalam situasi kemerosotan jumlah kutipan filem ketika ini, kehadiran KL Gangster 2 mampu mengubah lanskap pasaran lembap yang dilalui oleh filem tempatan," katanya yang turut hadir pada sidang media khas itu. Sengaja menjentik emosi Rosyam, adakah berita penyebaran filem itu satu daripada strategi Skop Production untuk membiakkan bahang penayangan KL Gangster 2 yang bakal masuk panggung dalam tempoh lebih sebulan dari sekarang, Rosyam menolak dakwaan itu keras. "Itu kerja gila. Kalaulah saya penerbitnya pun, mati hidup semula pun saya tak akan buat begitu. Yusof, Syamsul dan seluruh karyawan tidak akan sanggup berbuat begitu. Itu gila, bukan itu strateginya," tutup Rosyam yang berjanji akan bersatu hati bersama penerbit KL Gangster 2 untuk mempromosi filem itu secara agresif. | ||||||
Posted: 31 Aug 2013 03:53 PM PDT
HANIM AHMAD membuka langkah bersendirian untuk mengejar impiannya sebagai penyanyi nasyid. Biarpun dalam masa yang sama, dia aktif bersama sebuah grup nasyid D'soul, Hanim tetap mengatur strateginya yang tersendiri. Mendapat restu daripada ahli D'Soul yang lain, Hanim mula menempuh liku secara berseorangan. Akhirnya, dia tampil menjenamakan diri sebagai penyanyi nasyid solo sejak setahun lalu. "Ya, saya penyanyi nasyid solo kerana tampil dalam lapangan muzik komersial secara berseorangan. Tetapi, saya masih bersama D'soul," ujar Hanim ketika hadir dalam sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ada alasan mengapa Hanim mahu mengorak langka ke hadapan sebagai penyanyi solo. Baginya, grup nasyid sudah banyak, cuma penyanyi solo dalam genre yang sama masih kurang. "Mujurlah, mereka memahami bahawa saya menyimpan impian itu. Tiada halangan daripada mereka, bahkan mendapat restu semuanya. Lagipun, tidak ramai penyanyi nasyid solo di Malaysia dan saya mahu mengisi kekosongan itu," kata Hanim, 36. Sejak tahun lepas, Hanim tampil bersama buah tangan pertamanya yang berupa sebuah album mini berjudul Syurga Cinta. Album terbitan sendiri itu menampilkan lagu ketuhanan Syurga Cinta yang dicipta oleh komposer Dakmie dan Maha Sempurna oleh Ito Lara. Memilih memperjuangkan nasyid moden, Hanim menerapkan elemen muzik pop dalam kedua-dua naskhah lagu tersebut. Ia merupakan cara yang difikirkan relevan bagi menarik perhatian golongan muda untuk menggemari lagu bercirikan ketuhanan.
"Hampir dua tahun saya merancang mengeluarkan album itu. Pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui termasuklah terpaksa membuat pinjaman kewangan dan menggunakan pendapatan sendiri agar ia dapat direalisasikan mengikut perancangan. "Saya juga menerbitkan sendiri album tersebut di samping Ustaz Azadan Rabbani (Azadan Abdul Aziz) yang memberikan tunjuk ajar. "Syukur, kerana sehingga kini kira-kira 30 peratus album sudah dijual sepanjang saya mengadakan persembahan. Album itu tiada di pasaran kerana saya mengedarkannya sendiri termasuklah di Facebook," kata anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu. Menurut adik kepada pemain dram kumpulan Fotograf iaitu Ringgo, perjalanan sebagai seorang penggiat seni bukanlah sesuatu yang mudah buatnya. "Sebenarnya, begitu sukar untuk saya tampil ke hadapan (untuk dikenali) apatah lagi apabila bergerak sendiri. Segala-galanya saya lakukan sendiri. Namun, saya harus yakin dan tidak boleh mengalah agar saya dapat meneruskan dakwah menerusi lagu. "Sebelum ini, saya banyak mempersiapkan diri untuk meneruskan impian. Bukan sahaja menyertai kumpulan nasyid ketika di sekolah, bahkan penah mencuba dalam beberapa uji bakat rancangan realiti televisyen," katanya yang meminati genre tersebut sejak kecil. | ||||||
Jurang 750 kilometer ditemui di Greenland Posted: 31 Aug 2013 03:49 PM PDT WASHINGTON - Sebuah jurang dua kali ganda lebih besar daripada sungai terpanjang di Britain dan sedalam lembah Grand Canyon ditemui di bawah lapisan ais di Greenland, kata sepasukan saintis kelmarin. Sebelum Pulau Greenland dilitupi ais sekitar 4 juta tahun dahulu, jurang itu dipercayai menjadi laluan utama air sungai dari pedalaman ke kawasan pantai. Malah, pada hari ini, terusan sungai yang dalam itu masih mengalirkan air cairan glasier ke hujung lapisan ais menuju ke ke dalam laut. Jurang tersebut berasal dari tengah Greenland dan berakhir di pantai utara pulau berkenaan. "Penemuan jurang seluas 750 kilometer berusia berjuta-juta tahun di bawah timbunan salji itu sangat menakjubkan," kata saintis Kaji Selidik Antartika Britain, David Vaughan. "Lapisan ais itu turut menyumbang kepada paras turun naik air laut, dengan penemuan ini dapat membantu kami memahami perubahan iklim yang berlaku," katanya lagi. Pasukan saintis berkenaan menemui jurang tersebut menggunakan radar milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melalui Operasi IceBridge. Operasi itu menggunakan gelombang radio yang boleh menembusi lapisan ais untuk mengukur kedalaman dasar laut. | ||||||
Dari pekan koboi ke bandar satelit Posted: 31 Aug 2013 03:44 PM PDT
PAPAN tanda 'Air Jando Pulang' yang dipasang di sepanjang jalan dari Ulu Bendul ke pekan Kuala Pilah bagaikan memanggil-manggil orang ramai untuk mencuba minuman signatur Negeri Sembilan itu. Ia merupakan campuran air dan isi kelapa muda halus yang ditambah gula enau. Air jando pulang laris dijual khususnya pada bulan puasa di kebanyakan tempat di negeri Adat Perpatih itu. Menurut pengkaji sejarah Negeri Sembilan yang juga pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin, air jando pulang disediakan dengan bahagian bawah sebiji kelapa muda ditebuk besar dan dikeruk isinya menggunakan sudu dan dipindahkan ke bekas lain. Airnya juga dipindahkan dan dicampur nira enau cair secukup rasa. Air yang sudah dikacau sebati itu dimasukkan semula ke dalam buah kelapa yang asal berserta isinya. Kemudian, buah beluluk dalam bentuk halwa ataupun yang sudah diproses turut dimasukkan. Setelah dikacau di dalam buah kelapa tadi, barulah ia dinikmati seenaknya. "Proses keluar masuk tadi diibaratkan perpisahan suami isteri hingga isteri bergelar janda tetapi rujuk semula. "Buah beluluk berperanan sebagai pengimbang rasa bagi mengelakkan air jando pulang terlalu manis atau meloyakan," katanya. Kuala Pilah bukan sahaja tempat kelahiran Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman, malah daerah itu terkenal dengan warisan budayanya baik dari segi makanan, seni bina mahupun adatnya. Seorang peniaga, Mohd. Shafie Jalaludin, 33, berkata, laluan di antara Kuala Pilah dan Seremban popular dalam kalangan pengunjung yang mahu mendapatkan hasil kampung seperti daging salai, belacan, petai, gula enau dan telur masin. Produk salai "Daging, itik dan ayam salai merupakan makanan paling dicari di sini. Ada pelanggan yang mesti singgah di gerai saya setiap kali dia melalui jalan ini untuk pulang ke Pantai Timur. Dia tidak dapat tinggalkan daging salai," ujarnya. Seorang kakitangan swasta di Kuala Lumpur, Abdul Rahim Ujang, 53, memberitahu, dia sanggup pergi ke Kuala Pilah hanya untuk membeli produk salainya. Katanya, keistimewan hidangan itu kerana ayam atau itik di situ disalai menggunakan kayu sekali gus membangkitkan aromanya. Di sebalik deretan gerai tradisional tepi jalannya, gerai Coconut Shake Eden Cowboy boleh dikatakan telah mengubah landskap gastronomi di sepanjang laluan sejauh 15 kilometer dari Ulu Bendul ke pekan Kuala Pilah. Gerai itu didirikan bersebelahan rimbunan buluh di Tanjung Ipoh. Coconut shake ialah minuman generasi baharu yang dihasilkan daripada air dan isi kelapa yang selalunya ditambah aiskrim. Kemunculan beberapa gerai coconut shake itu seolah-olah membayangkan bahawa Kuala Pilah kini sudah mengalami transformasi gaya hidup di samping kemajuan insfrastruktur. Transformasi pekan Kuala Pilah boleh dilihat menerusi penyediaan kemudahan awam meliputi jalan raya, hospital dan institusi pendidikan. Pembinaan Hospital Tuanku Ampuan Najihah pada tahun 1995 yang serba moden bagi menggantikan Hospital Kuala Pilah yang berusia lebih 100 tahun adalah antara projek yang bertujuan mensejahterakan rakyat. Pembangunan Daripada sebuah pekan koboi, Kuala Pilah sudah pun menjadi bandar satelit yang membangun dengan begitu pantas terutamanya setelah jalan baharu Seremban-Kuala Pilah siap dibina beberapa tahun lalu. Bandar Kuala Pilah boleh dikatakan lengkap dengan infrastruktur moden, apatah lagi kedudukannya begitu strategik dan menjadi tumpuan ramai kerana terletak di antara Bahau dan Seremban. Ia merupakan laluan pengguna jalan raya yang ingin ke negeri Pantai Timur. Sebuah Klinik 1Malaysia turut dibina di kawasan Melang bagi membolehkan penduduk mendapatkan bantuan perubatan dan rawatan dengan bayaran yang minimum. Pembinaan pasar raya seperti Giant dan Econsave serta penubuhan institusi pendidikan di situ juga telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan penduduk. Antara institusi pendidikan itu ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kuala Pilah, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah dan Kolej Matrikulasi Kuala Pilah. Seorang penduduk, Ali Abd. Rahman, 63, berkata, kewujudan pusat pendidikan itu telah membuka ruang pekerjaan kepada penduduk setempat selain peluang perniagaan. Katanya, dengan adanya kemudahan seperti itu, anak tempatan dapat memohon pekerjaan manakala peniaga boleh menjual produk tempatan kepada orang luar yang berkunjung ke situ.
"Kalau dahulu sebuah hotel sahaja yang ada di Kuala Pilah, namun sekarang ia telah berubah kerana semakin ramai pengusaha hotel, inap desa dan gerai wujud khususnya apabila UiTM dan kolej matrikulasi dibina di sini," kata Ali. Warisan budaya, jalan lama Bukit Putus yang bengkang-bengkok serta air terjun dan hutan tebal yang dimilikinya sering membuatkan jalan raya di Kuala Pilah sesak khususnya pada hujung minggu dan cuti umum. Dengan perkembangannya sekarang, lagu Apo Nak Dikato nyanyian Blues Gang pada tahun 1980-an yang menggambarkan pekan Kuala Pilah sebagai sunyi sepi kerana tidak ramai orang mungkin tidak lagi relevan. Kuala Pilah terus membangun tanpa meninggalkan warisan budaya kebanggaannya. | ||||||
Nurfarini minat kerja kebajikan Posted: 31 Aug 2013 03:42 PM PDT PENGALAMAN ketika menyertai projek kemanusiaan di Yala, Selatan Thailand telah membuka hati Nurfarini Daing untuk terlibat dengan lebih aktif dalam kerja-kerja kebajikan. Wanita berumur 36 tahun itu kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif myHarapan yang merupakan sebuah pertubuhan kebajikan bukan kerajaan yang bukan berasaskan keuntungan. Sejak remaja lagi, dia yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini sudah melakukan kerja-kerja kebajikan. Ketika itu, dia mengikuti ibunya, Norraesah Mohamad mengedarkan pek berisi makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik. "Ibu dan ayah sering mengagih-agihkan pek-pek berisi makanan kepada golongan merempat dan miskin di sekitar Petaling Jaya. "Saya pernah cuba untuk mengelak melakukan perkara itu kerana berpendapat, perbuatan itu harus dilakukan individu lain dan bukannya saya. "Malaysia memiliki 20 juta penduduk. Justeru, mengapakah pula saya yang menjadi mangsa," cerita Nurfarini. Bagaimanapun, sikap negatif itu bertukar menjadi positif sebaik sahaja dia melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. "Ada satu projek yang masih segar dalam ingatan saya iaitu terlibat dalam projek kemanusiaan di Yala, Selatan Thailand. Keinsafan "Melihat kesukaran kehidupan masyarakat di kawasan perkampungan daerah itu, terus membekaskan titik keinsafan kepada diri saya. "Persepsi saya terhadap kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan kemudiannya berubah," ujar Nurfarini. Ironinya, dia mengambil masa selama beberapa tahun sebelum dapat dapat menjadikan myHarapan sebagai sebuah pertubuhan kebajikan tiga tahun lalu. "Saya menyambung pelajaran, bekerja dan mempunyai perniagaan sendiri tetapi tidak puas kerana pengalaman di Yala itu masih segar bermain-main dalam ingatan sebelum saya bertekad terlibat sepenuh masa dengan pertubuhan bukan kerajaan. Wanita ini mengaku sepanjang terlibat dengan myHarapan, ada masanya dia perlu berjauhan dengan suami dan dua orang anaknya. Dua watak Menurutnya, dia pernah bertugas di New York, Amerika Syarikat selama 10 hari. Namun, Nurfarini bersyukur kerana suaminya, Hamdi Mokhtar mampu menjaga anak-anaknya semasa ketiadaannya di rumah. Dia turut menceritakan perkenalannya dengan Hamdi. "Saya hanya mengenalinya melalui laman sosial ICQ. Setelah enam bulan berkenalan, kami mengambil keputusan untuk berkahwin. "Suami saya juga menetap di Petaling Jaya sekali gus memudahkan kami untuk berjumpa dan mengenali hati budi masing-masing sebelum berkahwin," katanya. Menyentuh tentang myHarapan, Nurfarini berkata, pertubuhan itu memberikan bantuan kepada golongan belia. "Kami bukan sekadar menyediakan dana yang berbentuk wang kepada belia semata-mata. Kami juga mendidik mereka menjadi usahawan atau belia yang aktif membantu masyarakat. "Sebagai contoh, sebagai usahawan, mereka mencipta produk atau perkhidmatan yang bermanfaat untuk masyarakat terutamanya belia. "Mereka juga dapat menggaji pekerja dalam kalangan belia dan membantu masyarakat sekeliling melalui bantuan derma atau aktiviti kemasyarakatan lain. Ia akan membantu negara dalam aspek ekonomi dan sosial," ujarnya. Dana yang disediakan myHarapan bagi membantu belia adalah sebanyak RM500 sehingga RM50,000 untuk belia yang berumur 16 hingga 30 tahun. Dana untuk usahawan pula adalah sehingga RM250,000. Menurut Nurafarini, pihaknya turut memberikan dana untuk projek-projek pelik tetapi kreatif. "Sebagai contoh, ada pemuda di Sabah yang memperkenalkan projek satu rumah satu lembu. "Sisa buangan haiwan itu boleh menjadi sumber biogas yang boleh digunakan untuk memasak air dan makanan di rumah. "Sekiranya berhasil, penduduk kampung tidak perlu menggunakan tong gas untuk memasak manakala lembu itu boleh menjadi sumber makanan," ujarnya. Dia menjelaskan, terdapat juga seorang belia yang memperoleh dana untuk projek menanam sayur-sayuran di kampungnya. "Belia itu turut membawa kanak-kanak dan remaja bandar untuk mempelajari cara-cara menanam sayur-sayuran, menjaga serta mengutip hasilnya. "Kanak-kanak malah individu dewasa dari bandar dewasa sekarang tidak mengenali sayur-sayuran dan ulam seperti pucuk pegaga, petai dan pucuk ubi. "Mereka hanya melihatnya di pasar raya tanpa mengetahui tentang kesukaran petani untuk menanamnya "Selain itu, jika berbudi pada tanah banyak juga hasilnya," jelas Nurfarini sambil berfalsafah. | ||||||
Jamu selera sambil tunggu pakaian dicuci Posted: 31 Aug 2013 03:39 PM PDT SEORANG usahawan memperkenalkan konsep unik kepada para pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan kedai dobinya di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. Konsep unik yang diperkenalkan oleh usahawan itu, Danny Hamdan adalah menyediakan perkhidmatan dobi di dalam kafenya. Para pelanggannya boleh menjamu selera, membaca majalah dan melayari internet dalam satu masa di kafe dobi Wash Ur Gossips miliknya itu. Menurut Danny, 56, idea untuk membuka kedai dobi di dalam kafe tersebut tercetus selepas dia melihat rutin harian isterinya. Isterinya itu sibuk dengan urusan mencuci pakaian, memasak dan sempat pula mencuri masa dengan membaca majalah. "Sebenarnya, idea itu datang melalui rutin harian kita yang kadangkala tiada masa untuk melakukan semua kerja harian tersebut dalam satu masa," katanya. Dia menjelaskan, perniagaan di kedai itu mula dibuka pada Jun tahun lalu. "Ia merupakan perniagaan pertama keluarga saya," katanya. Menurut Danny, perkhidmatan dobi di dalam kafe itu juga turut ditawarkan di negara-negara Eropah. "Pelanggan-pelanggan boleh melakukan semua kerja dalam satu masa. "Selain itu, kita turut menawarkan kemudahan sambungan Wi-Fi dan surau bagi keselesaan pelanggan," ujarnya yang berasal dari Kuala Kangsar. Danny memberitahu, dia turut mewujudkan dinding kaca bagi memisahkan kafe dan dobi supaya pelanggannya dapat menjamu selera dengan selesa. Usahawan tersebut berkata, pada zaman kini, seseorang itu perlu bergerak pantas menyebabkan dia menawarkan perkhidmatan seperti itu bagi memudahkan para pelanggannya yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pekerja. "Walaupun ditempatkan di dalam satu premis, mesin basuh yang digunakan itu tidak berbunyi bising atau boleh mengganggu ketenteraman pelanggan," katanya. Danny juga menjelaskan kenapa dia memilih nama Wash Ur Gossips sebagai nama kafe dobinya. "Nama itu dipilih bagi melambang kepelbagaian cabang perniagaan yang ada di dalam kafe dobi itu seperti perniagaan menjual makanan dan minuman, perkhidmatan dobi. Kita turut cuba menjual pakaian di kafe ini. Dia memberitahu, bagi setiap cucian yang menggunakan mesin basuh bermuatan 9 kilogram (kg), harga yang ditetapkan hanya RM6. "Harga sebanyak RM4 dikenakan jika menggunakan mesin basuh muatan 7kg untuk satu cucian," jelas Danny yang dibantu oleh anaknya, Ranie Hamdan, 31 untuk menguruskan kafe dobi itu. Dobi tradisional Tambahnya, bayaran untuk satu cucian dengan menggunakan mesin pengering bermuatan 14kg ialah RM4. "Para pelanggan boleh memilih sama ada bahan pencuci yang kita sediakan atau menggunakan bahan pencuci yang dibawa sendiri. "Harga bagi bahan pencuci berbentuk serbuk ialah RM1 untuk satu cucian manakala bagi bahan pencuci berbentuk cecair dan pelembut pakaian pula, pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak RM1.20 untuk satu cucian. "Namun, terdapat juga pelanggan yang lebih selesa menggunakan kaedah dobi tradisional dengan meninggalkan pakaian mereka dan mengambilnya semula pada keesokan harinya. "Kaedah seperti itu sering dilakukan oleh para pelanggan yang bekerja dan mereka yang sudah biasa dengan cara tradisional walaupun mengetahui kita menyediakan konsep perkhidmatan layan diri," katanya. Menurut usahawan gigih ini, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan dobi secara tradisional akan dikenakan bayaran sebanyak RM1 untuk setiap 1kg pakaian. "Kita menyasarkan pelanggan-pelanggan yang bekerja, pelajar dan keluarga yang tinggal berdekatan dengan kafe dobi ini. "Kami juga menyediakan perkhidmatan seterika pakaian, perkhidmatan membasuh permaidani dan ruang untuk pelanggan membaca manakala bahan bacaan terbaharu juga disediakan. "Ketika menunggu pakaian siap dicuci yang melibatkan masa 30 hingga 40 minit bergantung kepada jenis pakaian, para pelanggan boleh bersantai di ruang membaca itu," ujarnya. Kafe dobinya itu juga menyediakan perkhidmatan membersihkan permaidani. Bapa kepada dua orang anak ini memberitahu, bayaran untuk perkhidmatan mencuci permaidani itu adalah antara RM15 hingga RM115. Mengulas lanjut, Danny memberitahu, sejak mula dibuka, sambutan yang diterimahnya daripada penduduk adalah menggalakkan. Pelanggan cadang menu Ujar Danny, apa yang membuatkan kafe dobi itu menjadi bertambah unik adalah apabila dia mengambil berat tentang komunikasi dengan para pelanggannya. Dia menjelaskan, komunikasi seperti itu juga menyebabkan terdapat beberapa menu yang ditawarkan di kafenya itu datang daripada pelanggannya sendiri. "Ada sebahagian menu yang dicadangkan oleh para pelanggan antaranya sandwic daging pekasam, ayam panggang dan spageti carbonara yang didatangkan dengan pilihan kuah yang berbeza iaitu klasik, sosej dan ayam," tambahnya. Selain menu popular, Danny berkata, kafenya itu turut menawarkan makanan mi yee Shanghai, mi daging masak halia, salad caesar dan pasta. Dia berkata, pihaknya turut menawarkan pelbagai jenis masakan Barat, Asia dan pencuci mulut kepada pelanggan. "Terdapat lebih 50 jenis makanan dan minuman yang ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan pada harga dari RM1.50 sehingga RM24.50. "Kita juga akan menukar menu promosi setiap tiga bulan sekali," jelasnya. Dia berkata, tujuannya berbuat demikian adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan. "Menu utama yang disediakan oleh tukang masak akan diperbaharui setiap enam bulan sekali," tambahnya sambil memberitahu, kafenya itu boleh memuatkan seramai 50 orang pelanggan pada satu-satu masa. Danny yang mempunyai pengalaman di dalam bidang perhotelan selama 25 tahun itu berkata, pihaknya turut menyediakan pakej perkhidmatan untuk acara seperti majlis pertunangan hari jadi. Majlis itu, kata Danny, boleh diadakan di premisnya itu dengan kadar bayaran sebanyak RM15 hingga RM60 bagi setiap seorang bergantung kepada menu yang dipilih oleh pelanggan. "Perkhidmatan yang turut disediakannya itu termasuklah dekorasi untuk majlis-majlis tertentu," tambahnya. Selain itu, Danny turut menawarkan perkhidmatan penyediaan makanan untuk majlis-majlis yang diadakah di luar kedainya itu. "Kita juga menawarkan perkhidmatan penyediaan makanan untuk majlis yang mempunyai jumlah tetamu sebanyak 20 hingga 2,000 orang," ujarnya. Sesuai dengan perkembangan teknologi internet, dia turut menggunakan laman sosial Facebook dan pengedaran risalah sebagai medium untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkannya kepada orang ramai. Mengulas lanjut, Danny berkata, dia sedia memberikan bantuan dan peluang kepada para peniaga yang berminat untuk menjalankan perniagaan sepertinya. Bagaimanapun, katanya, dia menetapkan syarat bahawa para peniaga itu perlu mengekalkan 50 peratus daripada menu makanan dan minuman yang ditawarkan di Wash Ur Gossips. Dalam pada itu, seorang pelanggan, Shahrizal Zambahari, 48, memberitahu, dia amat menggemari konsep unik yang diperkenalkan di Wash Ur Gossips. Menurutnya, konsep yang diperkenalkan itu berlainan daripada kedai-kedai dobi lain. "Konsep yang dipilih itu memberikan kelainan kepada para pelanggan kerana ketika menunggu pakaian yang dicuci itu siap, mereka boleh menjamu selera. "Setakat ini, saya tidak pernah lagi menemui kafe dobi seperti itu di sekitar Shah Alam," tambahnya. Shahrizal juga mengaku tentang kelazatan makanan yang ditawarkan di kafe milik Danny itu. | ||||||
Kepayahan hidup sebelum merdeka Posted: 31 Aug 2013 03:36 PM PDT
MASIH segar lagi memori datuk kepada lapan orang cucu itu apabila diminta bercerita keadaan penduduk di Tanah Melayu sebelum ia mencapai kemerdekaan pertama pada 31 Ogos 1957. Dibesarkan di sebuah kampung di Rompin Bahau, Gemas, Negeri Sembilan, Mejar bersara Lee Ah Pow, 76, begitu teruja menceritakan zaman kanak-kanaknya. Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, kampung tersebut dihuni kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India. "Masa itu saya masih kecil, kami hidup bermasyarakat. "Saya sendiri ada lima hingga enam kawan Melayu dan India dan tiga hingga empat orang sahaja kawan Cina. Tiada kawan lain lagi kerana semua orang sibuk bertani dan menoreh," katanya yang lahir pada tahun 1937. Namun, hubungan erat yang terjalin antara kaum pada zamannya dahulu sukar dilihat pada masa kini. Generasi kini pada pandangan Ah Pow suka melakukan hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain. "Dahulu hidup susah. Bapa saya datang ke Tanah Melayu dengan beberapa saudaranya pada tahun 1910 dan menjadi ketua persatuan orang Cina di Rompin. "Ketika kecil, saya melihat komunis minta wang daripada petani. Kami orang kampung mana ada apa-apa. Jika tiada wang, mereka minta makanan," ujarnya sambil memberitahu, siapa yang enggan membantu komunis akan dibunuh. Masih terbayang-bayang di minda Ah Pow apabila melihat saudara-saudaranya semua habis dibunuh komunis dengan kejam sekali kerana mereka dituduh antikomunis. Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan olehnya dalam usia yang masih mentah iaitu dalam lingkungan usia tujuh hingga sembilan tahun. "Sangat sedih apabila melihat penoreh getah diikat pada pokok getah, dirobek perutnya hingga terkeluar isi perut gara-gara tidak memberi bantuan makanan kepada komunis. "Kejadian itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar mahu menjadi tentera untuk membalas dendam di atas perbuatan kejam mereka," ceritanya penuh bersemangat. Menurut Ah Pow, dia bernasib baik kerana ketika itu, Maktab Tentera Diraja (RMC) membuka tawaran kepada budak-budak sekolah sekali gus dapat menunaikan hasratnya untuk menjadi tentera. Mula diterima masuk RMC pada tahun 1953, Ah Pow bertekad tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan hingga berjaya menamatkan pengajian dan latihan pada tahun 1958. Ketika Tunku Abdul Rahman mengumumkan kemerdekaan buat Tanah Melayu, Ah Pow memberitahu, hatinya gembira bukan kepalang walaupun pada ketika itu dia sibuk menguruskan tetamu kenamaan dari luar negara sempena hari bersejarah tersebut. Terima penghargaan "Saya bertugas sebagai pegawai protokol ketika itu di bawah Muhammad Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) yang bertanggungjawab merangka program keselamatan buat tetamu kenamaan. "Siapa yang tidak gembira apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Kita bebas daripada penjajah dan anasir luar yang menghuru-harakan negara," katanya yang pernah berkhidmat di Congo dan membantu pasukan pertahanan negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963. Ah Pow dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1964. Momen itu memberikan kepuasan dalam dirinya sepanjang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mejar bersara ini juga menerima penghargaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan jasanya sebagai ketua pasukan pengaman selain menerima Pingat Khidmat Bakti, Pingat Peringatan Malaysia dan Pingat Perkhidmatan Awam. Dia yang bersara pada usia 38 tahun bersyukur dengan elaun yang diterima selepas mendapat pingat PGB bagi menyara sisa-sisa usianya bersama isteri tercinta, Alice Tan. Ditanya mengenai pendapatnya terhadap anak-anak muda kini yang lebih suka menyuarakan ketidakpuasan hati melalui protes jalanan, Ah Pow memberitahu bahawa semua itu berlaku kerana mereka terlalu bebas, tidak tahu menilai sesuatu perkara dan emosional apabila bertindak. "Apa yang mereka mahukan lagi? Saya sudah pergi banyak tempat di luar negeri dan yang paling aman ialah negara kita, Malaysia. Lihat sahaja negara Asia seperti India dan China rakyatnya susah, malah kerja pun susah. "Generasi kini, kurang menghargai nilai kemerdekaan seperti kami dahulu kerana mereka tidak lalui kepayahan pada zaman komunis, konfrontasi dan sebagainya. Mereka tidak melalui kesusahan dan penderitaan generasi terdahulu," luahnya sedikit terkilan tetapi pada masa yang sama memuji usaha kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Berkongsi kepayahan hidup pada zaman Jepun dan komunis, Mohamad Nor Mahmud, 75, berasal dari Kampung Penajis, Rembau, Negeri Sembilan memberitahu, makanan ruji pada ketika itu adalah ubi kayu. Memandangkan keluarga Mohamad Nor boleh dikatakan senang pada ketika itu, beras sentiasa dalam simpanan. Namun begitu, bahan mentah tersebut tidak boleh disimpan di dalam rumah. "Beras dan padi disimpan di dalam hutan, seperti dalam filem Sarjan Hassan kerana khuatir diketahui oleh barua-barua tentera Jepun. "Zaman itu memang susah. Masa zaman Jepun, orang-orang Cina ramai dipancung. Kemudian selepas Jepun kalah dan British mahu ambil semula Tanah Melayu, komunis ambil kesempatan mahu memerintah selama 14 hari," katanya sambil menyifatkan tempoh 14 hari yang dahsyat. Baginya antara komunis dengan Jepun, komunis lebih kejam. Ketika komunis berkuasa, setiap hari ada sahaja berita polis dibunuh. Wayang pacak Walaupun yang diseksa tidak melibatkan saudara terdekat, Mohamad Nor tekad masuk askar pada 7 Julai 1958 kerana dendam kesumatnya terhadap komunis. Mohamad Nor yang bersara daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 6 Julai 1979 memberitahu, ketika Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan, dia bersama penduduk kampung menonton wayang pacak menyaksikan detik-detik bersejarah itu. "Bagi saya, kemerdekaan sangat berharga. Keamanan yang ada kini tidak harus dipersiakan semata-mata kerana kepentingan pihak-pihak tertentu. "Semangat watan, jati diri, sayangkan negara dan bangsa sudah luntur dalam diri generasi kini kerana tiada pengalaman melalui saat-saat genting, semuanya telah tersedia buat mereka," ujarnya. Menurutnya, tidak mustahil suatu hari nanti, negara ini kembali dijajah oleh kuasa luar jika perpaduan tidak diperkukuhkan. "Kuatkan perpaduan, hormati budaya dan agama masing-masing. Jangan sesekali sentuh perkara-perkara yang mendatangkan sensiviti hingga menggugat keharmonian kaum," pesan bapa kepada 14 cahaya mata ini. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |