Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Skandal Dengan Isteri Orang, Adi Putra Disiasat
- Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip
- Ina Naim Berpurdah Atas Nasihat Suami
- Atilia Rasa Sedih Muzik Jaz Diketepikan
- Jep (Sepahtu) Terpaksa Tolak Tawaran Jadi Deejay Radio
- Punya agenda tersendiri
- Teka-teki pernikahan Bront
- Berkahwin dengan puntianak
- Ifa Raziah suntik plasenta & rawatan ozon
- Pelakon Tergamak Mohon Mahkamah Penjarakan Bapa Kandung Sendiri
Skandal Dengan Isteri Orang, Adi Putra Disiasat Posted: 04 Sep 2013 09:48 PM PDT Menurut laporan akhbar Berita Harian, pelakon KL Gangster itu didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan wanita terbabit yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan. Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi Whatsapp sejak 29 Julai lalu. "Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu. "Mereka juga saling menghantar gambar lucah masing-masing dan keadaan itu membuatkan suami wanita tu mengalami tekanan perasaan," kata sumber. Tambah sumber tersebut, ahli perniagaan yang berusia 56 tahun itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Skudai, Johor Bahru. Difahamkan pihak polis telah merampas telefon bimbit milik mereka untuk dihantar ke makmal bagi dianalisa untuk tindakan selanjutnya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan menerima laporan suami wanita berkenaan tetapi enggan mendedahkan nama aktor tersebut. "Pelakon itu juga telah memberikan kerjasama dengan memberikan keterangan selepas diminta berbuat demikian susulan laporan polis yang diterima," katanya. Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan Adi gagal apabila aktor terbabit gagal dihubungi. | ||
Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip Posted: 04 Sep 2013 09:47 PM PDT
BARU-BARU ini muncul artikel yang mendakwa Sherry merupakan seorang aktres yang sombong dan tidak mahu menghadiri uji bakat yang telah dijalankan oleh sebuah produksi drama. Sebagai seorang pelakon yang komited dan profesional dengan kariernya, Sherry ternyata seorang yang tidak mudah melatah. Ikuti temu bual Sherry bersama Kosmo! tentang isu tersebut. Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terkini Sherry? SHERRY: Setakat ini saya tiada tawaran berlakon drama atau telefilem. Bukan saya tidak mahu ambil tawaran, namun ada beberapa tawaran yang bertindih dengan perkara lain yang saya ingin lakukan. Jadi, saya terpaksa tolak. Namun, kelak saya akan tampil dengan sebuah projek baharu bersama LOL Entertainment iaitu syarikat pengurusan saya kini. Bercerita tentang tawaran berlakon, ada yang mengatakan anda kini semakin sombong. Boleh komen? Saya bukan begitu. Sebenarnya ia merupakan perkara lama. Bagi saya, ia perkara remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan sebenarnya kerana ia tidak benar sama sekali. Tanyalah sesiapa yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan begitu. Sejujurnya, ini pertama kali ada orang mendakwa saya berperangai sedemikian. Ia merupakan perkara yang tidak profesional dan tidak sangka sampai keluar artikel tentangnya.
Bagaimanakah Sherry tahu tentang perkara ini? Saya juga tidak perasan tentang hal itu. Namun, setelah disampaikan kepada saya, terus saya baca artikel tersebut dan terkejut dengan apa yang didakwa. Pada hari tersebut, bukannya saya tidak menegur penerbit itu, namun saya tidak perasan akan kehadirannya. Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sesi uji bakat dan saya isi borang serta ambil skrip untuk dibaca. Saya pelik kenapa mahu diperbesar-besarkan isu ini dan jujurnya, saya kecewa sebab sampai nak masuk akhbar. Sherry juga telah didakwa tidak mahu menghadiri uji bakat dan ingin terus mendapatkan watak tersebut? Tidak benar. Saya memang telah ambil skrip dan isi borang untuk menghadiri uji bakat. Saya pergi ke sana, dan tanya dengan penerbit tentang watak saya. Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sana? Biarlah jadi seorang yang profesional. Saya boleh menjawab semula, namun apa gunanya berbuat demikian. Saya rasa ia perkara mudah yang boleh diselesaikan. Adakah perkara ini akan mengganggu periuk nasi Sherry sebagai seorang pelakon? Tidak sama sekali. Bukan saya mahu bercakap besar, namun sebelum ini ada pengarah dan penerbit yang memuji cara kerja saya. Saya memang sangat komited terhadap karier saya dan tidak pernah ada yang membuat aduan. Mungkin ada apa-apa yang Sherry ingin sampaikan kepada individu yang menyampaikan cerita ini? Tiada apa-apa. Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Cuma apa yang saya ingin katakan, jangan dengar sebelah pihak sahaja. Biarkan sahaja, saya tidak mahu memperoleh publisiti murahan melalui perkara sebegini. | ||
Ina Naim Berpurdah Atas Nasihat Suami Posted: 04 Sep 2013 09:46 PM PDT Ina atau nama sebenarnya Nordiana Md. Naim, 29, berkata, pada mulanya dia kurang selesa dengan imej itu tetapi selepas hampir empat bulan memakainya, dia sudah mula serasi dan tidak bermasalah dalam melakukan segala aktiviti harian. "Alhamdulillah saya sudah pun melalui fasa baharu dalam hidup sebagai umat Islam. "Lagipun hukum berpurdah itu sunat dan apabila suami meminta saya untuk berubah imej, saya akur. Kiranya saya lakukan ini semua kerana Allah dan suami," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Tambah Ina, keputusannya untuk berpurdah juga bagi mengelak daripada difitnah individu yang tidak bertanggungjawab. Mengenai perkembangan terbaharu, bekas tunang penyanyi Mawi ini menjadi suri rumah sepenuh masa dan bahagia dalam menjaga ketiga-tiga anaknya iaitu Ehmad Hadie Elfardi, 5, Sallman Elkhoyri, 3, dan Thyrosh Elfadwah yang berusia setahun. "Buat masa ini saya hanya menjaga anak-anak dan menguruskan suami. Maklumlah mereka masih kecil, maka perlu diberi perhatian lebih "Bagaimanapun agak mengejutkan juga kerana saya masih menerima undangan membuat persembahan. Walaupun tidak seaktif dahulu, sekali sekala ada yang memanggil," tuturnya. Kata Ina undangan persembahan yang masih ditawarkan kepadanya membuatkan dia menyimpan hajat untuk kembali aktif menyanyi apabila anak-anaknya sudah dewasa kelak. "Kalau nak tahu, suami telah menyediakan beberapa lagu buat saya. Tinggal nak rakamkan sahaja. "Insya-Allah jika tiada aral, saya akan muncul dengan lagu-lagu berunsur dakwah. Tak tahu bila, tetapi biarlah anak-anak besar sikit," katanya. Ina pernah merakamkan sebuah album mini tidak lama dahulu yang turut memuatkan lagu Rebah, kisah mengenai kehancuran cintanya dengan Mawi. Ina dan Suhaimi diijabkabulkan sebagai pasangan suami-isteri pada 12 Ogos 2007. | ||
Atilia Rasa Sedih Muzik Jaz Diketepikan Posted: 04 Sep 2013 09:46 PM PDT Atilia, 39, berkata, biarpun lagunya kurang dimainkan di radio atau televisyen namun dia banyak mendapat undangan nyanyian di kelab malam dan majlis korporat. "Saya sedih juga melihat muzik jaz di Malaysia seperti terpinggir dan kurang diberi perhatian dan tidak berapa dimainkan di radio dan TV, tidak seperti genre lagu lain. "Sebab itu juga saya cuba untuk mencari pasaran luar seperti Indonesia yang lebih menerima muzik aliran ini," katanya ketika ditemui pada sidang media MPO And All That Jazz di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di sini, Rabu. Dia juga lebih mendapat kepuasan dengan menyanyi di kelab malam berbanding di mana-mana persembahan pentas atau di majlis-majlis anugerah. "Bagi saya ada dua jenis penyanyi iaitu yang mengejar populariti dan mencari kepuasan. "Saya seorang yang tidak kisah dibayar sedikit namun dapat menyanyi dengan puas atau saya boleh menyanyi sehingga 20 buah lagu dalam satu malam," katanya. Sementara itu, Atilia akan melakukan kolaborasi dengan penyanyi Elvira Arul dan Dina Nadzir dalam konsert All That Jazz diiringi Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada 22 September depan pada pukul 8.30 malam. Kata Atilia, tawaran menyanyi di DFP merupakan penghargaan terbesar buat dirinya sebagai seorang penyanyi yang memperjuangkan muzik tersebut. "Saya memang menantikan peluang ini dan sekarang baru ada rezeki, saya akan buat yang terbaik dan tidak mensia-siakan peluang ini," katanya. Tambah Atilia, gandingan bersama dua penyanyi berbakat besar seperti Dina dan Elvira juga merupakan sesuatu gabungan yang sangat ditunggu-tunggu. "Konsert nanti akan ada tiga segmen yang kami bertiga ada lagu masing -masing dan segmen terakhir kami akan bawakan lagu Melayu klasik secara rantaian. "Apa yang menarik konsert ini adalah kami akan bawakan lagu lagu kami sendiri termasuk lagu lama ciptaan Tan Sri P.Ramlee dalam versi jazz," katanya. Sementara itu, Elvira yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pemilihan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan adalah mengikut perbincangan mereka bertiga. "Kami telah berbincang tentang apa lagu-lagu terbaik untuk dinyanyikan malam konsert tersebut. "Sudah tentu kami akan berikan persembahan terbaik dan menjadikan malam tersebut tidak dapat dilupakan," katanya yang pernah menjayakan teater Dreamgirls. Konsert All That Jazz diadakan sempena DFP Seni Festival yang berlangsung selama seminggu bermula 16 September depan. Selain konsert tersebut festival ini turut menampilkan konsert pelbagai genre disamping aktiviti menarik di perkarangan lobi DFP bagi menyemarakkan sambutan festival tahunan itu. | ||
Jep (Sepahtu) Terpaksa Tolak Tawaran Jadi Deejay Radio Posted: 04 Sep 2013 09:45 PM PDT Jep, 28, berkata, ini kerana dia mempunyai jadual kerja yang padat selain mahu memberi komitmen dalam bidang lakonan terlebih dahulu. "Saya memang berminat menjadi seorang deejay radio, tapi saya tidak boleh beri komitmen seratus peratus kerana takut akan mengganggu masa penggambaran saya. "Saya bimbang jika jadual kerja yang tidak dapat diaturkan dengan baik, ia akan menjejaskan juga masa artis lain," katanya kepada mStar Online. Tambah Jep, dia menerima tawaran tersebut beberapa kali namun terpaksa ditolak. "Saya segan juga, mereka bagi tawaran beberapa kali tapi saya tolak dengan cara baik kerana saya betul-betul takut tidak mampu untuk lakukan. "Dulu saya pernah jadi penyampai di radio Era FM selama enam bulan dan ia memang agak sukar untuk bahagikan masa," katanya. Dalam pada itu, kata Jep, dia juga mengakui perlu memikirkan keputusan tersebut sama ada dapat membantu kerjayanya atau sebaliknya. "Untuk buat banyak benda dalam satu-satu masa ia merupakan risiko. Saya jenis yang fokus satu kerja. "Selain itu, saya juga fikir adakah ia akan membantu meningkatkan kerjaya saya atau menjatuhkannya," kata Jep. | ||
Posted: 04 Sep 2013 09:44 PM PDT
SOPAN dia bersalaman dan memperkenalkan diri. Senyum bertaut sebelum bicara kami meleret berjam-jam. Dari satu topik kepada topik lain bicara kami melompat. Pada saat rancak berbicara, banyak mata memerhati, cuba meneka siapa lelaki kurus dengan rambut lurus halus di hadapan saya yang pada masa sama, hampir rokok tidak terlepas dari tangannya sepanjang sesi temu bual berlangsung. Dia, Amerul Affendi Mohd. Mawardi. Ironi, memang tidak terkenal langsung tuan punya diri. Mencari berita berkaitan dirinya menerusi Google hampir tiada. Hanya khalayak yang pernah menonton hasil 'permainannya' dalam bidang teater sahaja barangkali tahu betapa hebat lelaki berusia 28 tahun ini memukau hadirin untuk terkesima dengan kemampuannya. Sementelah, dia sendiri bukan jenis tersua- sua kepada media untuk mencari secebis publisiti. Memang, dia sendiri mengakui bahawa tidak banyak orang yang mengenali dirinya. Tak, padahal dia bukan pucuk muda dalam bidang lakonan. Juga, bukan terlalu lama dalam lapangan ini. Malah, portfolio kerjanya juga belum masuk dalam kategori puluhan. Namun, dalam hitungan jari naskhah yang dimainkannya, ia bukan naskhah biasa-biasa. Sebaliknya, Amerul sempat bermain dalam beberapa filem seperti Tolong Awek Aku Pontianak, Bikers Kental dan Bunohan. Lawan mainnya dalam sesebuah naskhah juga selalu bersama aktor Bront Palarae atau Zahiril Adzim yang merupakan teman-teman baiknya. Terbaharu, Psiko, Pencuri Hati menjadi naskhah terkini yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon. Bagaimanapun, mengapa selalu khalayak terlepas pandang tentang dirinya? Saat soalan itu diajukan kepada anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, dia hanya tersenyum. Ringkas dia menjawab: "Tidak pasti," dan menyambung senyum semula. Jujurnya, luah Amerul juga dia tidak melakukan kerja lakonan untuk menjadi popular dan dijulang tinggi. Ujarnya: "Saya sedar, dikenali orang itu perlu tapi itu bukan matlamat saya. Saya berlakon kerana saya sukakan proses kerja itu sendiri."
Jelas Amerul, kerja lakonan dijalaninya kerana ia bagai meresap sebati di dalam diri secara semula jadi dan tiba-tiba. Dia mengakui bahawa tidak pernah terfikir dirinya mempunyai bakat dalam bidang seni. "Di sekolah, saya selalu kena buli dan bersendirian. Saya tak ada kawan, sehingga sewaktu berada di tingkatan enam, saya tiba-tiba terjebak dalam pementasan teater di sekolah sehingga masuk ke peringkat negeri. "Saya bawa watak lelaki India untuk teater berdasarkan karya sastera, Jalan Sempit dan saya menang sebagai pelakon pembantu lelaki terbaik. Sejak itu, saya kira saya mungkin ada bakat dalam bidang ini," cerita Amerul sambil ketawa mengingati semula kronologi bagaimana dia pertama kali terjebak dalam dunia seni. Terdorong daripada langkah tersebut, dia kemudian memilih jalan yang lebih serius dengan mendaftar diri di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Kuala Lumpur. Katanya, tidak sangka dia diterima menjadi pelajar di akademi tersebut dan menuntut dengan individu-individu hebat seperti Ahmad Yatim, Namron, Zakaria Afirin dan Marlia Musa. Hari ini, selepas meninggalkan akademi tersebut pada 2008, Amerul melebarkan kariernya perlahan-lahan. Dari dunia teater yang kecil, dia ikut masuk menyertai 'padang' yang lebih besar melalui skrin televisyen dan filem. Alter ego Naskhah terkininya, Psiko, Pencuri Hati sekali lagi menjadi kayu ukur kepada kredibilitinya. Menerusi pemerhatian media yang telah menonton filem tersebut pada tayangan perdana yang diadakan minggu lalu, lakonan Amerul sebagai Man dan O Sidi, begitu menonjol. Bermula hari ini, kemampuannya akan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia yang bakal keluar menyaksikan filem tersebut di pawagam. Hanya mengangguk tanda faham dan terima kasih terhadap pujian yang diberikan kepadanya, Amerul menjelaskan, Man yang dilabelkan sebagai karakter hitam merupakan watak paling 'senang' untuk dilakon- kannya. "Man ialah alter ego (peribadi kedua) O Sidi. Man boleh dijelaskan sebagai nafsu apabila O Sidi tidak mampu membuat keputusan sendiri. Mengajak orang membuat jahat, sangat mudah. Sangat!" katanya yang tidak suka menonton lakonan pelakon lain terlebih dahulu untuk belajar kerana melihat ia lebih kepada satu peniruan. Dia membetulkan sedikit kedudukannya, mengetuk punggung rokok supaya mampat sebelum menyambung bicara. Ujarnya: "Bagaimanapun, sejujurnya saya rasa belum cukup puas dengan watak tersebut. Saya merasakan kelompongan pada asas 'persahabatan' Man dan O Sidi." Diajak bercerita tentang pembikinan naskhah milik Namron itu, Amerul pantas memberitahu sutradara tersebut sebagai seorang psiko. Katanya, sepanjang 18 hari penggambaran, setiap pelakon diberi kebebasan untuk membentuk karakter tersendiri. "Kami tak punya skrip. Sehari sebelum penggambaran, dia (Namron) cakap esok kita shooting dan kami mula berimaginasi membentuk karakter sendiri berasaskan jalan cerita yang diberikan," ujarnya tentang proses mengenal watak yang dilakukannya bersama rakan pelakon lain seperti Sharifah Amani, Syed Hussein dan Bront Palarae. Sekolah seni Diasak terus tentang kehidupannya dan populariti, Amerul memberitahu. kelangsungan hidupnya bukan sekadar dalam bidang lakonan, sebaliknya dia mempunyai rumah penerbitan Seni Suri Jawi yang muncul dengan karya pertama tulisan Wanji Aswandi, Mahar Ke Syurga. Amerul juga menjelaskan, bukan dia menentang untuk menjadi orang popular. Sebaliknya, sejak dulu dia selesa dengan kehidupan yang dijalaninya. Punya makan dan pakai yang cukup dan kehidupan yang sederhana sudah memadai buatnya. "Saya tidak menentang popular. Saya tahu benda itu (popular) penting untuk artis tapi setakat hari ini saya selesa dengan kehidupan saya. Saya juga tidak rasa terbeban tidak cukup duit atau sebagainya. Semuanya serba sederhana dan cukup makan pakai. "Saya pun tak pernah terfikir macam mana kalau saya jadi orang popular sebab seperti yang saya jelaskan, saya masuk dalam dunia ini kerana saya sukakan proses mencari karakter dalam diri saya sendiri untuk dimuntahkan pada saat saya berlakon," jelasnya perlahan-lahan. Disogok dengan kesederhanaannya bagai tidak realistik dengan kehidupan sebagai anak seni yang barangkali akan terus berada dalam industri untuk tempoh 30 tahun akan datang, Amerul tersenyum. Ternyata, dia punya jawapan tersendiri tentang perkara yang dijolok kepadanya. Anak keempat daripada enam beradik ini memberitahu, selain mempunyai bakat seni, dia sebenarnya mahu menjadi pendidik dengan kelulusan yang diperoleh. Menimba ilmu di Aswara dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Seni Persembahan di Universiti Malaya (UM), Amerul menyasarkan tempoh 15 tahun akan datang dia mungkin kembali ke kampungnya di Temerloh dan membina sebuah pondok seni untuk remaja di kampungnya. "Saya punya impian untuk buka sekolah seni atau mungkin sebuah pondok pendidikan untuk budak-budak kampung belajar tentang seni. Sebab itu saya tidak risau sangat tentang masa depan saya dalam bidang ini. "Saya kira, cukup kalau saya masih mampu bermain teater dan terbabit dalam naskhah yang berkualiti, berbanding saya terlalu banyak berlakon tetapi ia tidak memberi sebarang impak," jelasnya yang teruja untuk kembali bermain teater dengan Zahiril dalam masa terdekat ini. | ||
Posted: 04 Sep 2013 09:43 PM PDT
BRONT PALARAE, nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada peminat filem tempatan. Lelaki tinggi lampai ini memang dikenali dengan bakat lakonannya yang luar biasa dan terlibat dengan banyak filem hebat serta produksi teater. Bagi yang mengikuti perkembangan Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, memang jarang dirinya dikaitkan dengan kontroversi yang membidas tentang isu peribadi mahupun kisah cinta. Mungkin wujud sekali dua isu yang memanaskan namanya dalam industri, namun ia tentang lakonan adegan babak ranjang yang dilakonkan bersama Nadiya Nissa dalam filem Jiwa Taiko. Bagaimanapun pada tahun lalu, Bront pernah digosipkan bercinta dengan pasangan pelakon wanita yang bergandingan dengannya dalam filem Juwanita. Pelakon yang dimaksudkan ialah wanita tinggi lampai, Cristina Suzanne Stockstill dan ketika itu mereka mengakui sedang berkawan. Kembali sunyi dan hanya memberi fokus terhadap lakonan, secara tiba-tiba pada hari Selasa lepas, nama Bront kembali panas yang mana keluar sebuah artikel dalam sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Bront telah pun bernikah. Bront dikatakan telah melangsungkan majlis tersebut secara senyap-senyap dan ramai antara rakan rapat yang mengenalinya juga tidak tahu menahu tentang berita pernikahan tersebut. "Saya minta maaf, majlis ini secara tertutup dan hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat. "Kalau boleh, saya tidak mahu menghebahkan perkara ini kerana banyak hati yang perlu saya jaga, terutamanya rakanrakan artis dan media. "Sebab itu saya lakukan pernikahan ini secara tertutup," jelas Bront enggan memberi komen lanjut seperti mana yang dipetik daripada sebuah akhbar tempatan pada 2 September lepas. Artikel tersebut juga telah mendedahkan bahawa Bront telah menjalani akad nikah dengan wanita yang merupakan kenalan lama hanya dengan sekali lafaz pada 31 Ogos di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail. Walau bagaimanapun pada hari yang sama artikel itu tersiar, Kosmo! cuba menghubungi aktor tersebut untuk meminta komen mengenai isu berkenaan, namun dia sekadar memberi jawapan ringkas. "Saya mengaku saya sudah berkahwin. Majlis pernikahan tersebut dihadiri oleh keluarga terdekat seramai 30 orang. Namun, kakak dan ibu saya tidak dapat menghadirkan diri di majlis tersebut. Saya akan mengadakan majlis resepsi di Hatyai, Thailand kelak," ujar Bront. Namun, keesokan harinya keluar pula artikel Bront menafikan kepada sebuah portal di internet bahawa dia sudah berkahwin. Katanya: "Bagi saya, 31 Ogos (tarikh dikatakan berkahwin) merupakan Hari Kemerdekaan dan saya sekarang ini sedang mempromosikan filem terbaharu saya, Psiko Pencuri Hati. "Saya tidak mahu sebarang isu yang boleh menganggu promosi filem terbaharu saya ini," ujarnya. Katanya lagi, ini merupakan kali kedua dirinya didakwa telah berkahwin. Malah tegas Bront, pada tarikh dia dikatakan berkahwin itu, dia berada di sebuah konti radio atas urusan kerja. "Pada tarikh tersebut saya turut berada di sebuah konti radio tetapi jari saya tidak berinai pun. Saya rasa lebih baik jika bertanya sendiri pada sumber yang mengeluarkan berita tersebut (akhbar terbabit)," ujarnya. Sehubungan itu, Kosmo! turut menemu ramah beberapa rakan baik Bront yang ternyata terkejut dengan berita pernikahan tersebut. "Saya memang sangat terkejut dengan berita yang disampaikan ini. Memang saya juga tidak tahu-menahu tentang pernikahannya. "Namun bagi saya, dia berbuat demikian mungkin kerana punya sebab tersendiri atau mungkin juga untuk menjaga hati keluarga. "Apa pun, saya berharap mereka bahagia," tutur Remy yang ditemui di majlis Cabaran Dashing 2 di Vertigo, The Gardens pada Selasa lepas. Selain itu, Cristina pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut tentang berita pernikahan rakannya itu. "Saya tidak mahu cakap apa-apa tentang ini. Bagai manapun sebagai rakan, saya akan mendoakan kebahagiaan mereka," bicara Cristina ringkas. Sementara itu, ujar aktor berwibawa Khir Rahman: "Saya baik dengan Bront sebagai rakan industri tetapi tidak dari segi peribadi. Jadi, saya tak tahu dia sudah berkahwin atau tidak. "Jika benar (sudah kahwin), saya kira molek kalau Bront jangan lari (daripada cerita sebenar), tetapi hadapinya supaya tak timbul fitnah di kemudian hari." | ||
Posted: 04 Sep 2013 09:42 PM PDT
APAKAH yang akan anda lakukan jika tanpa sedar telah berkahwin dengan puntianak? Kedengaran seperti tidak logik tetapi di layar perak, ia suatu realiti – dilema yang perlu digalas watak Adam lakonan berkesan Pekin Ibrahim menerusi filem Paku Pontianak. Mungkin bagi penggemar karya Hollywood, siri filem Twilight merupakan contoh terbaik bagi menerangkan konsep cerita yang sama iaitu percintaan dan kasih sayang luar biasa antara manusia biasa dengan puntianak. Paku Pontianak membawa penonton menyelami kehidupan Melati (lakonan Uqasha Senrose), seorang gadis yang hilang ingatan selepas dilanggar oleh Adam dan akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan jejaka kampung itu. Kehidupan Adam sekeluarga mula berubah apabila sering didampingi peristiwa aneh yang membabitkan Melati sehingga menimbulkan syak wasangka antara satu sama lain. Turut terbabit dalam konflik tersebut ialah Seri (lakonan Hidayah Samsudin), bekas kekasih Adam yang rakus menggunakan ilmu hitam untuk meraih kembali cintanya yang telah dirampas Melati. Wajah redup Sepanjang perjalanan filem berdurasi 92 minit itu, penonton disajikan dengan plot yang cukup kompleks dan hubung kait beberapa watak yang dijalin kemas dan sempurna. Muncul perkaitan sebab tentang kenapa Melati muncul dalam keluarga Adam – antara misteri yang diselak seperti menyelak helaian buku. Beberapa babak yang disunting menjadi mimpi dalam mimpi pula telah berjaya memberikan nilai tambah dalam pengisian Paku Pontianak. Filem ke-80 terbitan Metro- wealth itu diarahkan oleh Ismail Bob Hasim, pengarah yang pernah memenangi trofi Filem Takut Terhebat Anugerah Blokbuster 2012 menerusi karya arahannya, Sumpahan Kum Kum. Pemilihan Uqasha sebagai tonggak utama Paku Puntianak bukan satu kesilapan. Biarpun secara visual, lakonannya tampak kaku tapi benarlah begitu sifat seorang gadis kampung yang penuh misteri. Uqasha pula memiliki wajah redup yang turut mencerminkan sisi misteri dan menyembunyikan banyak rahsia termasuk isi hatinya. Merupakan filem pertama lakonan Uqasha, pelakon muda itu bagaimanapun dilihat sukses dalam menyampaikan karakter Melati yang pendiam dan misteri itu. Pekin pula tampak bersahaja, tidak terlalu mencuba dan karakter jejaka kampung tipikal itu kena dengan pembawakan dan penyampaian dirinya. Memilih Ruminah Sidek dan Sidek Hussain yang serasi dengan beberapa naskhah filem seram sebelum ini menambah mood dan kekuatan Paku Pontianak. Tanpa terduga Buat julung-julung kali filem arahan Ismail Bob Hasim berjaya membuatkan penonton terpegun dengan hasil mainan sudut kamera, lokasi menarik, sinematografi dan pencahayaan suram yang setanding filem-filem berkualiti luar negara. Paling tidak pun, andai penonton luar melihat hasil akhir Paku Pontianak, tidak mustahil ada yang akan membandingkan dengan beberapa naskhah filem seram Thailand. Paling tepat Nang Nak. Paku Pontianak sebenarnya lari daripada tipikal penceritaan dan kesan kejutan filem seram tempatan. Ada beberapa babak yang memberikan kejutan kepada penonton tanpa terduga. Contoh paling baik sudah tentu pada babak akhir. Apakah ia? Sila alaminya sendiri! Paku Pontianak telah memulakan tayangan pada 22 Ogos lalu di pawagam seluruh negara dan bagi yang dahagakan kisah seram klasik puntianak, filem ini pilihan yang tepat. | ||
Ifa Raziah suntik plasenta & rawatan ozon Posted: 04 Sep 2013 09:40 PM PDT SIAPA yang tidak kenal dengan pelakon, penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah. Biarpun tidak sepopular beberapa artis terkenal Malaysia, namun kehadiran Ifa masih disedari peminat industri tempatan. Tolak ke tepi beberapa kontroversi yang pernah melanda Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 38, sebelum ini, kerana Ifa telah membuktikan dia bukannya artis yang hanya berbekalkan kisah-kisah kontroversi buat peminat. Justeru tidak hairanlah jika Ifa menjadi antara artis yang bertahan hampir 20 tahun lamanya dalam industri. Tidak hanya bakat yang menjadi taruhan, Ifa juga turut membuktikan dia antara selebriti yang masih mempunyai tubuh menarik dan rupa yang cantik biarpun telah menjadi ibu kepada dua anak iaitu Sharifah Putri Umairah, 14 dan Muhammad Shakir Aqili Mohd. Yani, 8 tahun. Ifa turut mengakui sanggup membelanjakan sejumlah wang setiap bulan demi kesihatan dan kecantikan. Ikuti cerita Ifa. Apa pengertian cantik bagi anda? IFA : Bagi saya kecantikan adalah satu perkara yang subjektif kerana ia bukan melibatkan para rupa tetapi perangai, tutur kata, cara berpakaian juga kena cantik. Kalau muka cantik tetapi perangai tidak, itu bukan cantik namanya. Pada usia hampir mencecah 40 tahun, anda kelihatan masih hebat... IFA : Alhamdulillah dengan kesihatan yang Allah berikan. Namun sebagai selebriti, saya amat menitikberatkan penjagaan tubuh dan wajah. Apatah lagi, bila menjadi selebriti, badan kita tidak boleh gemuk kerana tidak cantik apabila di lihat dalam televisyen. Saya pula badan seperti belon, senang kembang, apatah lagi bila sudah berumur, metabolisme badan mula berkurangan. Jadi apa yang anda lakukan untuk menjaga kelangsingan? IFA : Saya kini mengambil kelas Zumba dari Isnin hingga Jumaat selama satu jam untuk mengurangkan berat badan dan menjaga stamina. Selain itu juga, saya tidak amalkan memakan nasi dan hanya makan makanan seperti ayam, ikan atau daging yang dipanggang, kukus atau rebus. Saya juga gemar memakan salad dan buah seperti jambu batu dan epal hijau serta minum air kosong yang banyak bagi memastikan berat badan saya tidak naik. Sebelum ini anda tidak pernah berahsia mengenai suntikan untuk kekal cantik, adakah anda masih meneruskannya? IFA : Ya, tetapi bukan suntikan seperti botox dan saya tidak pernah mengambil botox. Sebaliknya saya mengambil suntikan plasenta biri-biri untuk kecantikan kulit setiap tiga bulan sekali dan turut melakukan rawatan ozon bagi membersihkan darah kotor. Boleh jelaskan dengan lebih lanjut mengenai rawatan tersebut? IFA : Boleh dikatakan sebulan atau dua bulan sekali saya akan membuat rawatan Ozon bagi membersihkan darah kotor dalam badan. Badan kita ini juga diibaratkan seperti kereta yang perlu di selenggara, apabila kita makan bermacam-macam, jadi banyak toksik dalam badan. Justeru saya buat rawatan ini lima atau enam kali setahun bagi memastikan badan kita mempunyai darah baru yang sihat. Selain suntikan dan rawatan ozon, adakah anda mengamalkan petua lain? IFA : Ya, setiap pagi, saya akan mengambil beberapa suplemen terutamanya vitamin bagi memastikan badan sentiasa segar. Selain itu ia juga membantu saya menjaga kesihatan rambut, kuku. Suplemen ini bukan baru saya ambil, sebaliknya dari muda lagi. Anda sangat menitik berat tentang kecantikan dan kesihatan, boleh kongsikan berapa kos keseluruhan kecantikan dan kesihatan? IFA : Saya akan menghabiskan kira-kira RM2,000 sebulan untuk kecantikan, manakala kos untuk suntikan sheep placenta pula adalah RM2,000 dan untuk rawatan ozon kira-kira RM1,500. Apa aktiviti yang gemar anda lakukan? IFA : Saya suka bercuti atau beriadah bersama keluarga. Selain dapat merapatkan hubungan kekeluargaan, aktiviti tersebut dapat juga menjadikan badan kita lebih sihat kerana kita banyak bergerak dan melakukan aktiviti. Boleh kongsikan perkembangan terkini? IFA : Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Suami Muda untuk siaran RTM. Saya memegang watak utama di samping, aktor Dazrin Kamarudin. | ||
Pelakon Tergamak Mohon Mahkamah Penjarakan Bapa Kandung Sendiri Posted: 04 Sep 2013 09:38 PM PDT Kerana kabinet dapur dan almari pakaian seorang artis tergamak hatinya mohon pada mahkamah agar penjarakan bapa kandungnya sendiri!!! Dulu artis wanita ini pernah mengemparkan dunia perfileman apabila video lucahnya tersebar luas diseluruh negara... pernah didesak agar segala filem lakunannya diharamkan oleh semua stesen telivisyen namun beliau mendapat pembelaan dari Menteri Penerangan ketika itu Tun Khalil Yaakub. Kini perangai jijik sebenarnya telah terserlah.. sanggup mohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah agar penjarakan bapa kandungnya sendiri. Lebih teruk dari anak tanggang!!!! Pelakon fail notis terhadap bapa SHAH ALAM - Pelakon terkenal, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin memfailkan notis tunjuk sebab terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, supaya memberi alasan mengapa tidak boleh dipenjarakan berhubung isu penjualan rumah di Taman Keramat. Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohamed Fouzi Mokhtar, peguam, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Wan Nor Azlin, 45, memaklumkan pihaknya telah menyerahkan notis kepada defendan, Wan Mohd Hussin Wan Ibrahim pada Ahad lalu. Peguam Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Wan Mohd Hussin, 76, kemudian mengesahkan kata-kata Mahyuddin. Beliau bagaimanapun memohon satu tempoh masa untuk meneliti kes tersebut kerana baru dilantik. Sehubungan itu, Mohamed Fouzi berkata, bagi melancarkan perjalanan kes, beliau mengarahkan defendan untuk membuat afidavit pembelaan sebelum kes disebut semula pada 11 September depan. Wan Nor Azlin ketika ditemui media sejurus prosiding enggan melayani pertanyaan lanjut berhubung notis yang difailkan. Sementara itu Roshdan pula berkata, perintah komital yang difailkan plaintif adalah berhubung isu penjualan rumah milik defendan di Taman Keramat. Pada 31 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan permohonan Wan Nor Azlin untuk mengetepikan saman bapanya yang mahu mendapatkan perintah supaya pelakon itu keluar dari rumah berkenaan. Wan Mohd Hussin dalam writ saman yang difailkan pada 5 Februari lalu mendakwa, dia ingin menjual rumah yang mereka duduki bersama di Taman Keramat dan mahu defendan keluar dari rumah. Namun defendan enggan berbuat demikian kerana ada kepentingan selepas memasang kabinet dapur dan almari pakaian walaupun ia dibuat atas kehendak defendan sendiri. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |