Ahad, 21 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Abby Abadi Temui Jodoh, Kenal Pemuda Di Pasar Raya

Posted: 19 Jul 2013 08:16 PM PDT

Abby Abadi
PETALING JAYA: Setelah lima tahun menjanda, bekas anggota kumpulan Elite iaitu Abby Abadi akhirnya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang 12 tahun lebih muda daripadanya.
Mereka bernikah pada 9 Julai lalu iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 36, berkata, dia menyifatkan perkahwinannya dengan Farhan, 24, adalah jodoh yang tidak disangka selepas hanya dua minggu berkenalan.
"Pertemuan bermula di sebuah pasar raya di mana kami tiba-tiba sahaja bertentang mata.
"Selepas dua minggu berkenalan, dia melamar saya dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
Abby menyifatkan perkahwinannya dengan Farhan adalah jodoh yang tidak disangka selepas hanya dua minggu berkenalan.
"Apa yang kami lakukan semua ini adalah kerana Allah. Saya tak tahu nak kata apa kerana ini adalah jodoh daripada-Nya. Saya berharap agar semua pihak mendoakan kebahagiaan kami sehingga akhir hayat," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat di sini.
Abby bagaimanapun enggan mendedahkan pekerjaan pemuda tersebut, lokasi pertemuan mereka dan di manakah mereka diijabkabulkan sehinggalah beberapa perkara selesai.
Tambah Abby, dia tahu ada yang akan memberi respons positif dan negatif mengenai perkahwinannya itu, namun dia percaya apa yang dilakukan mereka adalah perkara yang baik dan ia adalah jodoh.
Dalam pada itu, beritahu Abby lagi, Farhan merupakan anak kelahiran Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan dan dia bakal berjumpa dengan keluarga suaminya itu selepas berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Besut, Terengganu.
"Alhamdulillah, kedua-dua keluarga kami merestui perkahwinan ini walaupun mereka terkejut pada mulanya. Ini pun saya baharu nak berkenalan dengan keluarga suami di Kelantan selepas PRK nanti.
"Saya dapat rasakan perkahwinan ini juga adalah sesuatu yang menenangkan lebih-lebih lagi melihat wajah suami yang sentiasa tenang dalam apa-apa jua situasi," ujarnya.
Pasangan tersebut bercadang akan mengadakan resepsi perkahwinan mereka pada 31 Ogos depan dan majlis di pihak lelaki pula akan diadakan seminggu selepas itu.
Bagaimanapun, lokasi masih belum ditetapkan lagi.
Abby sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5.

Sasha Saidin Mahu Punca Perceraiannya Tidak Dipersoalkan

Posted: 19 Jul 2013 08:14 PM PDT

Sasha Saidin
PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Elite iaitu Sasha Saidin berharap tiada pihak yang akan terus mempersoalkan punca dia bercerai dengan bekas suami, Salyo Priyanto pada 10 Julai tahun lalu.
Sasha atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin, 37, berkata, adalah lebih baik dia tidak mendedahkan punca penceraian itu kerana menghormati bekas suaminya yang juga ayah kepada Adam Aryasenna Notosoemarsono, 4.
"Bagi yang mengenali rapat dengan saya, mereka tahu (punca penceraian). Jadi saya tak nak besarkan perkara ini kerana dia juga ayah kepada anak saya. Saya perlu hormati dia.
"Memang Salyo mempunyai sedikit masalah dan Insya-Allah dia boleh atasinya dengan baik. Walau bagaimanapun dia tidak pernah melupakan anaknya, itu yang paling penting," katanya.
Ditanya adakah dia akan menerima Salyo semula selepas ini, Sasha berkata, dia tidak mahu kembali ke pangkuannya lagi.
Tambah Sasha, dia bercadang untuk membawa anaknya berjumpa dengan bekas suaminya itu yang kini tinggal di Jakarta dalam masa terdekat.
"Sejak kami bercerai Salyo tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Walaupun nafkah anak tidaklah banyak mana, tetapi dia tetap berusaha untuk menunaikan tanggungjawabnya," katanya.
Sasha dan Salyo yang merupakan warganegara Indonesia telah berkahwin pada tahun 2007.
Sebelum perkahwinan itu, Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.
Dalam perkembangan lain, Sasha yang membintangi drama Cinta Adam dan Hawa serta Natrah di RTM bakal muncul menerusi drama Mimpi Fara yang akan disiarkan pada Hari Raya ketiga ini di TV9.

Sheila Majid Sukar Dapat Lagu Berkualiti Punca Tidak Rakam Album

Posted: 19 Jul 2013 08:13 PM PDT

Sheila Majid dan suaminya Acis
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Datuk Sheila Majid mengakui agak sukar mendapatkan lagu yang sesuai dengan cita rasanya untuk dimuatkan dalam album terbaharu beliau.
Sheila, 48, berkata, kebanyakan lagu yang diterima tidak bertepatan dengan konsep dan genre yang dibawakannya selama ini.
"Saya masih lagi dalam proses memilih lagu untuk album terbaru, agak sukar kerana susah untuk cari yang sesuai dengan suara saya.
"Saya ada menerima lebih 100 lagu, Insya-Allah setakat ini mencukupi untuk pilih 10 yang terbaik dan sesuai dengan saya," katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa Karyawan, di Saloma Bistro, di sini, Khamis.
Tambah Sheila, dia lebih mementingkan kualiti sesebuah lagu bagi memastikan album yang dihasilkan bukan sekadar seperti melepaskan batuk di tangga.
"Saya tidak kata ciptaan lagu yang saya terima itu tidak bagus cuma kurang sesuai dengan saya. Jika mereka bagi lagu berbentuk lagu asli atau dangdut memang saya tidak pandai untuk nyanyikannya.
"Saya mahu sesebuah lagu itu mengikut cita rasa dan mempunyai kualiti bagus agar album saya menjadi sebuah album yang betul-betul berkualiti," katanya.
Dalam pada itu, Sheila mengakui lagu-lagu lama nyanyiannya yang menjadi lagu-lagu malar segar membuatkan beliau meletakkan satu tahap terhadap kualiti sesebuah lagu.
"Kalau boleh kita mahu mencari yang lebih baik daripada lagu yang pernah kita bawakan. Tapi mungkin juga kerana saya telah meletakkan satu tahap yang agak tinggi pada lagu-lagu saya sehingga ia menjadi sukar untuk dicapai," katanya.
Bagaimanapun, Sheila bakal keluar dengan single terbaru akhir tahun ini.
Sementara itu bercerita tentang konsert amal yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Oktober depan bersama penyanyi jaz Indonesia, Harvey Malaiholo, Sheila berkata dia teruja dengan gandingan tersebut.
"Saya sangat teruja ketika ditawarkan untuk bergandingan dengan Harvey dan kami belum lagi berbincang untuk memilih lagu.
"Sebelum ini saya pernah dijemput ke Indonesia oleh Harvey untuk menyanyi dalam konsertnya," kata Sheila.

Ikhwan (Hot FM) Berniaga Bersama Tunang

Posted: 19 Jul 2013 08:12 PM PDT

Ikhwan
PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM, Ikhwan sibuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan di bazar Uptown Damansara bersama tunangnya Natasha Nadia.
Ikhwan atau nama sebenarnya atau nama sebenar Mohd Khairul Ikhwan, 30, berkata, dia mula membuka bisnes tersebut sejak enam bulan lalu selepas tunangnya berhenti daripada bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan MAS.
"Kami menjual barang-barang wanita seperti beg tangan, baju, aksesori dan kasut yang mana barangan tersebut diambil daripada luar negara.
"Alhamdulillah sambutan baik dan perniagaan ini pada asalnya dibuat secara dalam talian sahaja oleh tunang saya tetapi selepas dia berhenti kerja saya bantu dia untuk kembangkan lagi perniagaan itu," katanya.
Tambah Ikhwan, biarpun perniagaan tersebut dikendalikan oleh tunangnya, namun dia turut memastikan sentiasa berada di kedai tersebut selepas tamat tugas di studio.
"Saya sentiasa ada di kedai, selepas tamat tugas di radio saya akan terus ke Uptown buka kedai kira-kira pukul 9 malam sehingga ke pukul 2 pagi.
"Tengoklah dulu sambutan bagaimana, kalau baik kami juga merancang untuk cari sebuah butik yang boleh beroperasi pada waktu siang hingga malam," katanya.
Bercerita tentang hubungan dengan tunangnya yang diikat pada April lalu, Ikhwan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada akhir tahun hadapan.
"Kami 'ikat' setahun lebih dan mungkin juga selepas Hari Raya tahun depan kami akan nikah. Buat masa sekarang masa untuk cari duit.
"Setakat ini belum ada apa-apa persiapan untuk majlis tersebut," katanya.
Tambah Ikhwan, pertunangan kali kedua ini membuatkannya lebih berhati-hati dalam menjaga hubungan tersebut.
"Saya pernah putus tunang ketika umur saya 23 tahun ketika itu terlalu muda dan banyak membuat keputusan mengikut perasaan.
"Oleh itu kali ini saya lebih matang terutama jika ada masa-masa yang kami berselisih faham," katanya.

Nyaris terperdaya janji ‘doktor’

Posted: 19 Jul 2013 08:08 PM PDT


Nyaris terperdaya janji 'doktor'
Lina membuat pendedahan aktiviti lelaki yang dipercayai menyamar sebagai doktor memberi tawaran kerja dengan gaji lumayan.
RAUB - Tawaran gaji lumayan dengan pelbagai kemudahan bekerja di ibu kota nyaris menjerat dua wanita menjadi mangsa lelaki yang mendakwa dirinya sebagai 'doktor'.

Hanya mahu dikenal sebagai Cik Lina, wanita berusia 22 tahun ini hampir mengikut kata hati untuk terima pelbagai tawaran lelaki berkenaan.

Menurutnya, lelaki itu mendekatinya dan rakan dengan memperkenalkan diri sebagai Dr Haris Fernandez yang mempunyai empat cawangan klinik di Kuala Lumpur.

"Dia berperwatakan sederhana dalam usia lewat 40an atau awal 50an dan memakai cermin mata serta mempunyai raut wajah seperti kacukan atau Nasrani.

"Mendakwa ada kereta BMW tetapi ditinggalkan di Kuala Lumpur dan hanya datang ke Raub dengan menaiki Perodua Viva berwarna perak atau Proton Saga model lama," katanya.

Cik Lina berkata, lelaki itu menawarkannya bekerja di sebuah klinik miliknya tetapi perlu menghadiri kursus terlebih dahulu selama tiga bulan.

Katanya, dia dan rakan ditawarkan elaun sebanyak RM900 sepanjang berkursus dan gaji RM1,200 sebaik memulakan kerja.

"Bagi mengukuhkan lagi kepercayaan kami kepadanya, lelaki ini mendakwa pernah bekerja sebagai Timbalan Pengarah Hospital Raub dan berhasrat untuk membina Hospital Bersalin dekat Jalan Tan Tiong di sini.

"Pada awalnya kami percaya tetapi selepas mendapatkan pandangan keluarga dan rakan lain, terus kami batalkan hasrat kerana apabila difikirkan lebih teliti kelihatan banyak perkara meragukan," katanya.

Dia berkata, berdasarkan cerita yang didengarinya, sudah ramai wanita atau anak gadis yang pernah didekati lelaki ini dengan cara yang sama sejak Mac hingga akhir bulan lalu.

Menurutnya, terdapat juga dakwaan mengatakan lelaki ini mengeluarkan kata-kata tidak sopan berunsur lucah dalam usaha memancing mangsa.

"Lelaki yang fasih berbahasa Melayu ini mengaku duda dan mempunyai seorang anak yang kini berada di London.

"Ketika menawarkan kami kerja, dia juga berkata bahawa kami berpeluang menjadi isterinya," katanya.

Cik Lina berkata, berdasarkan cerita orang sahaja sudah membuatkan dia ketakutan dan terus tidak jadi bekerja dengannya.

"Syukur kami selamat. Saya dan rakan kini tidak lagi bekerja dan tinggal bersama keluarga di sini," katanya yang sebelum itu bekerja di sebuah salon ketika didatangi lelaki berkenaan.

Sinar Harian difahamkan mereka masih belum membuat laporan polis tetapi berharap agar gadis dan wanita di daerah ini supaya lebih berhati-hati dan elakkan daripada menjadi mangsa.

Puisi Noor Dayana dibuat atas dasar naluri wanita

Posted: 19 Jul 2013 08:00 PM PDT


Akaun Facebook milik Ana Hawana.
SEHARI selepas aktor Ashraf Muslim, 32, bikin gempar dengan pengakuan berpoligami di Thailand tanpa pengetahuan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26, sebuah puisi lapan rangkap yang tiba-tiba muncul di internet menghangatkan lagi kontroversi rumah tangga tiga segi itu.

Ini berikutan puisi tersebut yang dianggap suara hati Noor Dayana setelah dia disahkan bermadu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, 17 Julai lalu.

Tambahan pula sejak hari itu, Noor Dayana belum lagi tampil bersuara dengan media melainkan bapanya, Lokman Abdul Hamid, 52, yang mengatakan anaknya tidak pernah setuju untuk dimadukan malah berasa terkilan dan amat kecewa dengan tindakan Ashraf.

Sejak itu, kalangan peminat dan pemerhati tertunggu-tunggu reaksi Noor Dayana dan ketika itulah, muncul puisi berkenaan yang langsung dianggap nukilannya. Dalam masa beberapa jam sahaja, puisi tersebut disebarkan dan dikongsi oleh ramai pengguna Facebook.

Rata-rata mereka melahirkan rasa empati dan simpati atas takdir yang menimpa wanita itu malah tidak kurang juga yang seakan-akan menyalahkan Ashraf seolah-olah apa yang dilakukannya itu suatu dosa.

Pada masa sama, ada pula yang menitipkan rasa musykil bahawa puisi itu ditulis sendiri oleh Noor Dayana. Ketika itulah muncul nama Ana Hawana yang dikatakan penulis sebenar puisi berkenaan.

Susulan itu, Sinar Harian cuba menjejak pemuisi yang menggunakan nama wanita itu dan mujur usaha itu tidak lama. Dalam masa tidak lebih dua jam semalam, kami berjaya menghubungi orangnya.

Tetapi malang, Ana Hawana menolak ketika kami meminta untuk menemuinya. Katanya, dia tidak sedia untuk mendedahkan diri, apa lagi untuk gambar dan nama sebenarnya disiarkan. Apa yang paling jauh boleh dilakukan hanya memberi kenyataan menerusi kotak pesanan, tidak lebih daripada itu.

Siapa Ana Hawana? Dan bagaimana dia boleh menulis puisi yang cukup sarat dengan empati seperti itu seolah-olah dia sendiri Noor Dayana?

Dayana masih sugul?

"Jangan ganggu dia. Berilah dia masa untuk bertenang!'

Demikian kenyataan dari seorang doktor pelatih yang sedang menjalani latihan bersama Dayana di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Enggan nama dan gambarnya didedahkan, beliau memberitahu, Dayana kelihatan agak sugul sejak kebelakangan ini.

"Kita semua tahu dia sedang berdepan masalah rumah tangga. Jadi berilah dia masa," katanya yang enggan mengulas lanjut. Hasil tinjauan Sinar Harian di kediaman keluarga Dayana yang terletak di Sg Pusu, Gombak, turut menemui jalan buntu apabila tiada respons dari penghuninya meskipun loceng dibunyikan beberapa kali. Dari pemerhatian, terdapat dua kereta di pekarangan rumah dan wartawan bertugas yakin ada penghuni di dalamnya.

Bagaimanapun, Sinar Harian berjaya mendapatkan kenyataan dari jiran terdekat.

"Sebelum kes mahkamah kelmarin, kami masih nampak Haji Lokman di masjid. Tapi sejak itu, kami dah tak nampak dia dan keluarga yang lain.

"Ashraf dan Dayana pula memang dah lama tak nampak. Mungkin mereka dah jarang balik," kata individu itu yang enggan identitinya didedahkan.

Sementara itu, Pusat Perubatan Al-Hidayah, milik bapa Dayana, masih beroperasi seperti biasa meskipun Ashraf sudah meletakan jawatannya sebagai pengamal perubatan di situ. Bagaimanapun, kelibat orang tuanya tidak kelihatan melainkan beberapa staf yang bertugas.

Hasil pertemuan, rata-ratanya staf di situ enggan mengulas lanjut dan memohon agar memberi ruang terhadap keluarga Dayana.

'Jangan caci Sakinah!'

Isu poligami Ashraf Muslim turut mendapat respons dari sahabat baik Wan Sakinah. Menerusi laman sosial Facebook, Rahman (bukan nama sebenar), memohon agar masyarakat jangan terus menghukum serta mencaci Sakinah hanya kerana dia menjadi isteri kedua Ashraf.

"Saya tidak berniat untuk membela, namun hakikatnya, Keena (Sakinah) seorang wanita yang baik, pandai bawa diri dan bijak bergaul dengan batasan.

"Malah dia juga tidak mempunyai sebarang masalah sikap yang melayakkannya menerima segala cacian.

"Tidak adil bagi Keena yang terpaksa menerima cacian dari mereka yang tidak mengenalinya," kata Rahman.

Menurut Rahman dia sudah mengenali Sakinah sejak sembilan tahun lalu dan sikapnya amat disenangi rakan-rakan.

"Saya kenal dia sejak dari kolej lagi. Hubungan kami memang baik sehinggalah kami bekerja di syarikat penerbitan TV yang sama.

"Setahu saya, dia dah lama berkawan dengan Ashraf. Mereka boleh rapat sejak bekerjasama dalam program Nasi Lemak Kopi O," jelas Rahman yang tidak menolak Sakinah turut berdepan masalah keluarga sehingga memaksanya bernikah dengan Ashraf di Thailand.

Rahman berkata, nombor telefon dan akaun Facebook milik Sakinah sudah tidak aktif.

Judika hadiahkan bakal isteri kereta sport

Posted: 19 Jul 2013 07:54 PM PDT

JUDIKA sudah lama menabung wang khusus untuk perbelanjaan perkahwinannya.


DI SEBALIK jadualnya yang cukup padat demi memenuhi undangan nyanyian dan mempromosikan album terbaharunya, Judika Mencari Cinta, penyanyi yang dikenali dengan nama Judika ini tetap memberi tumpuan kepada persiapan menjelang pernikahannya.
Selepas enam tahun menyulam cinta, Judika mengumumkan bakal mengahwini kekasihnya, Duma Riris Silalahi pada 31 Ogos ini.
Namun, belum pun tarikh itu tiba, Judika telah mengejutkan Duma dengan menghadiahkannya sebuah kereta sport mewah.
Seperti yang dilaporkan Kapanlagi.com, bagi membuktikan lagi cintanya, Judika telah membelikan bakal isterinya itu sebuah kereta sport jenis Maserati yang mencecah harga RM117,000 sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Menurut Judika, keputusan untuk membeli kereta berkenaan dibuat kerana dia dan Duma sama-sama meminati kereta sport.
Justeru, dia merasakan pembelian kereta itu merupakan hadiah yang paling sesuai buat Duma.
"Sudah lama kami merancang mencari kereta yang akan digunakan semasa majlis perkahwinan nanti.
"Secara kebetulan saya ada rakan yang bekerja di kedai menjual kereta jenama Maserati buatan Itali, jadi kami terus memilih kereta yang sesuai.
"Sebenarnya, kereta yang baru dibeli ini tidak termasuk sebahagian daripada hantaran kahwin untuk Duma.
"Saya membelinya kerana kereta ini akan digunakan semasa sesi fotografi untuk acara praperkahwinan kami nanti," jelasnya.
Bagaimanapun, Judika menegaskan, pembelian kereta tersebut langsung tidak mengganggu perbelanjaan untuk persiapan perkahwinan mereka yang akan diadakan secara besar-besaran di Medan dan Jakarta.
"Tentang duit, saya tidak kisah kerana saya sudah lama membuat simpanan untuk perkahwinan.
"Dengan menghadiahkan kereta ini pastinya ia akan menjadi salah satu kenangan paling indah semasa majlis perkahwinan kami serta menjadi bukti cinta saya kepada Duma," ujarnya.

BUKTI cinta. Judika membelikan sebuah kereta sport mewah pada harga mencecah RM117,000 khusus buat Duma.


Lagu untuk bakal mertua
Bertemu Judika yang hadir di Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena rakaman program Judika & Friends dan Akustik Judika, pelantun lagu Aku Yang Tersakiti itu mengakui agak berdebar menjelang hari perkahwinannya.
"Setakat ini, persiapan perkahwinan kami berjalan lancar, cuma jadual harian saya agak padat kerana sibuk mempromosikan album Judika Mencari Cinta.
"Segala urusan persiapan saya serah kepada Duma yang dibantu oleh perancang perkahwinan kami.
"Kalau ada masa terluang saya akan turut membantu," jelasnya yang akan melangsungkan perkahwinan di Danau Toba, Medan, Indonesia.
Bercerita lebih lanjut mengenai album terbaharunya yang dilancarkan pada 22 Mei lalu, Judika memberitahu, ia lebih istimewa berbanding dua albumnya yang terdahulu.
Ujarnya, kali ini dia diberi sepenuh kepercayaan oleh Sony Music Entertainment Indonesia untuk menjadi penerbit albumnya sendiri di samping menghasilkan beberapa buah lagu.
"Untuk album Judika Mencari Cinta ini ada beberapa buah lagu yang saya hasilkan sendiri serta tiga buah lagu yang dinyanyikan secara duet iaitu Aku Yang Tersakiti (Kotak), Ku Tak Mampu (Janet Glow) dan Sampai Akhir (Duma).
"Menerusi lagu Ku Tak Mampu, saya berduet dengan Janet yang merupakan pemenang sebuah pertandingan yang dianjurkan khusus untuk mencari pasangan duet saya untuk lagu ini," jelasnya.
Selain ketiga-tiga lagu tersebut, terdapat 12 lagu lain yang terkandung dalam album berkenaan.
Menurut Judika, untuk lagu Sampai Akhir yang dinyanyikan secara duet dengan bakal isterinya itu, mereka berdua akan menyanyikan lagu tersebut semasa berlangsungnya majlis perkahwinan nanti.
Menariknya, penyanyi yang pernah muncul sebagai naib juara program realiti Indonesian Idol 2 itu mendedahkan bahawa salah sebuah lagu iaitu Mama Papa Larang dihasilkan khusus buat bakal ibu dan bapa mertuanya.
"Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kisah percintaan saya dan Duma yang penuh ranjau dan berliku apabila mendapat tentangan daripada keluarga Duma yang pada mulanya tidak suka anak mereka bercinta dengan penyanyi.
"Bagaimanapun, sepanjang kami bercinta saya telah berusaha untuk membuktikan bahawa nyanyian merupakan satu pekerjaan yang hebat. Segala suka dan duka yang dilalui itu saya luahkan menerusi lagu tersebut," jelasnya.
Kini, pasangan itu bakal mendirikan rumah tangga setelah mendapat restu keluarga masing-masing.
Program Judika & Friends yang turut menampilkan dua penyanyi Malaysia iaitu Klangit dan Alif Satar akan disiarkan pada 10 Ogos manakala Akustik Judika pada 17 Ogos. Kedua-dua rancangan tersebut disiarkan pukul 12 tengah hari menerusi saluran Bintang 141 Astro Indopek.

Suratan takdir Cory Monteith

Posted: 19 Jul 2013 07:53 PM PDT




SEJAK insan yang dikenali di seluruh dunia sebagai Finn Hudson iaitu karakter lakonannya dalam Glee meninggal dunia pada Ahad, 13 Julai lepas, rakan-rakan artis dan para peminat aktor Cory Monteith meluahkan kesedihan masing-masing menerusi Twitter.
Namun, tiada insan yang paling terkesan dengan kematian Monteith seperti yang dialami Lea Michele.
Sebagai tonggak utama Glee, Monteith, 31, dan Lea, 26, cukup sukses dalam merealisasikan karakter pasangan kekasih Finn dan Rachel menerusi drama muzikal bersiri popular itu.
Meskipun mula berkenalan di set penggambaran Glee sejak tahun 2009, Monteith dan Lea ditakdirkan benar-benar bercinta di alam realiti pada November 2011.
Percintaan agung mereka itu sebenarnya mahu diakhiri dengan sebuah perkahwinan dan seterusnya membina sebuah keluarga.
Itu pengakuan sumber rapat Lea secara eksklusif kepada Hollywoodlife.com baru-baru ini. Malangnya, kematian Monteith telah menghancurkan impian Lea.
"Sekarang Lea seperti berada di dalam neraka. Dia sudah merancang masa depannya dengan hidup bersama Cory (Monteith).
"Walaupun Cory belum melamarnya, Lea positif mereka akan berkahwin dan membina keluarga suatu hari nanti," ujar sumber tersebut.
Tambahnya: "Ketika Cory memasuki pusat pemulihan (dadah), Lea dihimpit dilema sama ada mahu meneruskan atau menamatkan hubungan mereka.
"Namun, tekad hati Lea mengatakan dia tidak akan meninggalkan Cory. Lea malah tidak mampu membayangkan bagaimana dia boleh hidup tanpa Cory.
"Sejak Cory keluar dari pusat pemulihan dia kelihatan sihat. Lea fikir Cory sudah pulih. Saya tidak tahu bagaimana Lea menghadapi perkara (kematian) ini."
Di sebalik wajah naif Monteith, dia sebenarnya sudah berdepan dengan dilema ketagihan dadah sejak usia 13 tahun dan enam tahun kemudian dia dimasukkan ke pusat pemulihan.
Pada tahun ini, dia secara sukarela memasuki pusat pemulihan dari 31 Mac hingga 26 April lalu.
Sebuah majalah antarabangsa, Parade, pernah menyifatkan kehidupan Monteith bagaikan diberi peluang kedua dengan kejayaan yang diraihnya dalam Glee.

CINTA sejati. Kematian Cory Monteith menghancurkan harapan dan impian Lea Michele untuk melangkah ke gerbang perkahwinan bersama lelaki itu.


Namun, peluang itu jelas sekali telah disia-siakannya.
Takdir yang tersurat kini menempatkan Monteith sebaris dengan nama-nama popular dalam dunia hiburan seperti mendiang Amy Winehouse, Whitney Houston, Heath Ledger dan Michael Jackson - kesemuanya meninggal dunia dengan cara yang sama iaitu akibat pengambilan dadah dan alkohol secara berlebihan.
Bagi peminat Glee, kematian Monteith itu cukup mendukacitakan kerana bedah siasat pihak berkuasa Kanada menunjukkan kandungan dadah jenis heroin dan alkohol yang tinggi dalam tubuh pelakon itu.
"Hasil bedah siasat yang membabitkan autopsi dan analisis toksikologi mendapati Cory Monteith mati disebabkan keracunan campuran dadah jenis heroin dan alkohol.
"Harus dinyatakan juga, kematiannya tiada hubung kait atau bukti membabitkan kemalangan tragik," lapor badan penyiasatan terkemuka dunia, Perkhidmatan Koroner British Columbia pada Selasa lalu.
Monteith atau nama sebenarnya Cory Allan Michael Monteith dijumpai telah meninggal dunia oleh kakitangan Hotel Fairmont Pacific Rim selepas dia gagal mendaftar keluar dari hotel itu.
Pihak polis Vancouver, Kanada memberitahu, disebabkan kematiannya secara bersendirian di dalam bilik hotel penginapannya itu, tidak akan ada siasatan lanjut untuk mengenal pasti atau memburu pengedar dadah yang membekalkan dadah kepada Monteith.
"Risiko penyalahgunaan dadah secara haram adalah tinggi dan tiada asas yang kukuh untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.
"Malangnya campuran alkohol dan heroin boleh menyebabkan organ dalaman gagal berfungsi. Siasatan ini secara rasminya sudah mendapat kata putus," ujar wakil polis, Konstabel Brian Montague.
Monteith dilahirkan di Calgary, dibesarkan di Victoria sebelum berpindah ke Nanaimo dan kemudiannya Vancouver bersama ibunya, Ann McGregor.
Sebelum bergelar pelakon, Monteith pernah menlakukan pelbagai pekerjaan antaranya pemandu teksi, pemandu bas sekolah dan penyambut tetamu.
Selain Glee, Monteith pernah mencuri tumpuan menerusi beberapa watak sampingan dalam filem Deck the Halls, Final Destination 3 dan Urban Legend: Bloody Mary selain membintangi drama bersiri The Cleveland Show, Kyle XY, Smallville, Supernatural, Stargate Atlantis dan Kraken: Tentacles of the Deep.
Mayat Monteith telah dibakar dan disemadikan di Vancouver Selasa lalu. Takziah buat Monteith.

Artis edar juadah buka puasa

Posted: 19 Jul 2013 07:51 PM PDT



PROFESIONAL. Emma Maembong tidak kekok mengedarkan juadah raya kepada pemandu kereta.


SEMPENA bulan Ramadan yang mulia ini, golongan artis buat kali kedua turun padang mengedarkan 300 bungkus juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya di hadapan bangunan PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
Antara artis popular yang terlibat ialah Fahrin Ahmad, Julia Ziegler, Irma Hasmie, Bob AF, Amran Ismail dan Emma Maembong.
Menurut Pemangku Penolong Pengurus Eksekutif PNB Darby Park, Yatie Omar, program amal itu diadakan bagi menyemai semangat saling membantu antara sesama insan.
"Usaha ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pemandu yang tidak sempat sampai ke destinasi mereka untuk berbuka puasa akibat kesesakan lalu lintas.
"Ia adalah sumbangan kecil daripada keluarga PNB Darby Park untuk orang ramai. Kami berharap dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat pada masa akan datang," ujarnya.
Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pemasaran PNB Darby Park, Farizan Farees.
Sementara itu, menurut pelakon cantik Emma Maembong, dia yang pertama kali terlibat dalam program amal itu berasa teruja dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
"Ini pengalaman baharu buat saya apabila berpeluang mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya. Terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila menerima juadah tersebut," jelasnya.

YATIE (tiga dari kiri) dan Farizan (tengah) pada program pengedaran juadah berbuka puasa di hadapan bangunan PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Dalam pada itu, jelas Yatie, sempena Ramadan tahun ini, PNB Darby Park menerusi dua restorannya, iaitu The 39 Restaurant dan 10Binjai sekali lagi menghidangkan 100 jenis juadah terbaik untuk dinikmati pengunjung.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 100 juadah berkonsepkan tradisional dan moden disajikan di The 39 Restaurant.
"Antara juadah yang sentiasa dinantikan ialah kari kepala ikan, nasi minyak, siakap tiga rasa, beriani kambing dan ketam tiga rasa yang boleh dinikmati pada harga RM99++ untuk dewasa sementara kanak-kanak RM49++. Anda boleh menghubungi nombor 03-7490 3838 untuk tempahan.
"Selain itu, sekiranya anda menggemari suasana restoran yang lebih kasual dan kontemporari, boleh ke restoran 10Binjai.
"Antara juadah yang disediakan di situ adalah shawarma, nasi arab, sup gear box, roti john dan lain-lain.
"Juadah tersebut boleh dinikmati pada harga RM79++ untuk dewasa manakala RM39++ untuk kanak-kanak. Sebarang tempahan boleh dibuat menerusi 03-7490 3838," ujarnya lagi.

Sleeq mahu terus menetap di Malaysia

Posted: 19 Jul 2013 07:50 PM PDT

SYARIF mengumumkan Sleeq bakal muncul dengan album baharu tidak lama lagi.


SETELAH dikenali dengan lagu Sesaat Kau Datang menerusi gandingannya bersama Ramlah Ram pada tahun lalu, kumpulan Sleeq yang dianggotai Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) dan Muhammad Alif Abdullah (Alyph) mula mendapat tempat di hati peminat.
Kumpulan yang berasal dari Singapura itu kemudian berkolaborasi dengan Najwa Latif menerusi lagu Untuk Dia sehingga menempa populariti dalam sekelip mata.
Syarif yang ditemui pada penggambaran drama bersiri Sahabat di Rawang, Selangor baru-baru ini meluahkan rasa syukurnya ekoran sambutan peminat di Malaysia yang sangat positif.
Memandangkan karier yang semakin berkembang, Syarif menyatakan dia dan Alyph sudah nekad untuk berhijrah dan terus menetap di negara ini.
Kosmo!: Apakah yang membuatkan Sleeq mahu mengikut jejak langkah beberapa rakan artis Singapura lain yang berhijrah ke Malaysia?
SYARIF: Sepanjang empat tahun berkecimpung dalam industri muzik di Malaysia, kami melihat peminat di Malaysia menerima Sleeq dengan baik dan kami cukup gembira selama berada di negara ini.
Lagipun peluang kami untuk terus mengembangkan karier nyanyian lebih terbuka di Malaysia, meskipun terpaksa bersaing dengan ramai lagi penyanyi tempatan.
Kenapa baru sekarang Sleeq mengambil keputusan ini?
Sebenarnya, saya dan Alyph sudah lama merancang untuk terus menetap di Malaysia, tetapi masing-masing ada komitmen lain memandangkan kami perlu menjalani program Khidmat Negara di Singapura selama dua tahun.
Buat masa ini, cuma saya seorang yang sudah selesai menjalaninya pada tahun lepas, manakala Alyph akan tamat menjalani program berkenaan dalam tempoh terdekat. Jadi, kami merancang untuk terus tinggal di Malaysia selepas Aidilfitri nanti.
Apakah harapan Sleeq setelah tinggal di Malaysia nanti?
Sudah tentu kami berharap supaya terus diterima peminat dan kami bertekad untuk menghasilkan lagu-lagu yang menarik dan bermutu.
Kami sedar bukan mudah untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada, tetapi dengan muzik yang Sleeq bawakan, ia mampu memikat peminat di negara ini.
Biarpun sudah berhijrah dan menetap terus di Malaysia, kami tidak akan menolak sekiranya mendapat peluang membuat persembahan di Singapura.
Tujuan kami berhijrah adalah supaya lebih mudah kami meluaskan karier nyanyian.
Bagaimana dengan perkembangan terbaharu Sleeq?
Selepas raya juga, Sleeq bakal muncul dengan sebuah album baharu yang mengandungi enam buah lagu.
Selain dua buah lagu yang kami nyanyikan secara solo iaitu Tiba Masa dan Nobody Get To You, empat lagi merupakan lagu kolaborasi bersama penyanyi lain.
Sleeq berkolaborasi dengan Najwa Latiff menerusi Untuk Dia dan dengan Aaron Aziz untuk lagu Salam Semua.
Bagi dua buah lagi lagu kolaborasi yang masing-masing berjudul Tepi Sikit dan Perjalanan, kami berkolaborasi dengan dua penyanyi popular Malaysia, cuma tidak mahu mendedahkan siapakah mereka buat masa ini.
Ceritakan tentang pembabitan anda dalam drama bersiri Sahabat?
Sebelum ini saya pernah berlakon drama bersiri di Singapura, tetapi Sahabat merupakan drama Malaysia pertama lakonan saya.
Saya memegang watak sebagai Shaq, seorang pemuzik dari Singapura yang datang ke Malaysia untuk bergabung dalam sebuah kumpulan muzik.
Sebelum menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri ini, saya ada meminta pandangan daripada Aaron Aziz. Apabila perbincangan dilakukan, Aaron menyatakan tidak salah kalau saya mahu cuba berlakon dan akhirnya saya berjaya diterima berlakon.

Cadang harga rokok RM16 sekotak

Posted: 19 Jul 2013 07:46 PM PDT


KERAJAAN disaran meningkatkan lagi cukai rokok bagi mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menyarankan kerajaan menaikkan cukai eksais rokok sekurang-kurangnya 50 peratus bagi mencapai sasaran pengurangan sebanyak 20 peratus jumlah penggunaan rokok di negara ini.
Kenaikan sebanyak 50 peratus itu akan meningkatkan harga sekotak rokok premium berjumlah 20 batang rokok kepada RM16 berbanding harga pasaran kini iaitu RM10.50.
Ahli Majlis MCTC, Dr. Norashidah Mohamed Nor berkata, berdasarkan kajian dijalankan olehnya tahun lalu, kenaikan sebanyak 10 peratus hanya mampu mengurangkan sebanyak empat peratus penggunaan rokok.
"Saya percaya sekiranya harga bagi sekotak rokok berjumlah 20 batang dinaikkan kepada RM16, sasaran kerajaan itu dapat dicapai selain menaikkan hasil cukai negara kepada 45 peratus," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Lemas ditinggal dalam Myvi ibu

Posted: 19 Jul 2013 07:46 PM PDT


NAWAL IRIS menemui ajal selepas lemas dalam kereta ibunya di Subang Jaya kelmarin.


SUBANG JAYA - Luluh hati seorang ibu apabila mendapati anak bongsu kesayangannya ditemui mati dalam keadaan muka kebiru-biruan dan bajunya dibasahi peluh selepas lemas akibat ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan di bawah panas terik.
Kejadian menyayat hati di sebuah sekolah menengah di USJ4 di sini itu menyebabkan anak bongsu daripada dua beradik, Nawal Iris Samsudin, 3, mati di tempat kejadian akibat lemas selepas ditinggalkan selama enam jam bermula pukul 11.30 pagi kelmarin.
Mayat kanak-kanak tersebut ditemui oleh ibunya, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, selepas selesai mengajar sesi petang di sekolah tersebut pada pukul 5.30 petang. Wanita itu merupakan guru di sekolah berkenaan.
Menurut kakitangan sekolah yang enggan dikenali, guru wanita yang baru selesai mengajar pada sesi petang itu terus meraung apabila menemui anaknya yang sudah kebiru-biruan, tidak lagi bergerak dan pakaiannya dibasahi peluh sebaik membuka pintu kereta Myvi yang berwarna kuning.
"Sebelum itu tiada siapa tahu yang anaknya berada di tempat duduk belakang kereta. Guru wanita itu meraung kuat hingga mengejutkan kami dan apabila dilihat, kami dapati anaknya sudah kaku dalam keadaan basah kuyup dipercayai berpeluh akibat cuaca yang panas terik," ceritanya.

Ratusan bakal jemaah sertai umrah maya

Posted: 19 Jul 2013 07:38 PM PDT



ORANG RAMAI menyaksikan umrah maya yang dipaparkan pada beberapa skrin besar di Istanbul, Turki kelmarin.


ISTANBUL - Beratus-ratus bakal jemaah haji yang ditolak permohonan untuk ke Mekah membuat perjalanan maya melawat kota suci Islam itu selepas mereka berbuka puasa di sebuah dataran hadapan Masjid Uthmaniyyah, di pantai Bosphorus di sini.
Pihak berkuasa agama Arab Saudi telah meluluskan permintaan kerajaan negara itu untuk mengurangkan bilangan jemaah termasuk dari luar negara pada bulan lalu.
Langkah itu berikutan kerja-kerja menaik taraf Masjidil Haram di Mekah.
Seorang mutawir bersama tujuh pelakon cuba melakonkan kembali umrah di Kota Mekah dengan bayang mereka dipaparkan di tiga skrin besar di dataran itu.
"Ini merupakan umrah maya pertama yang dipentaskan di dunia sehingga kini," kata seorang pegawai tempatan, Ismail Kavuncu.
"Kami berharap paparan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada umat Islam yang tidak tersenarai untuk melawat tempat-tempat suci di kota Mekah," tambahnya.
Walaupun lawatan maya tidak dapat memenuhi kewajipan menunaikan ibadat haji, gambaran itu mampu memberikan ketenangan kepada mereka yang tidak dapat membuat perjalanan ke kota suci tersebut.
"Walaupun tidak sama seperti berada di sana (Mekah), sebagai seorang insan saya akui paparan ini sangat indah," kata seorang suri rumah, Suheyla Yildirim.
Ketua Direktorat Turki bagi Hal Ehwal Agama, Mehmet Gormez berkata, sebahagian daripada 14,800 bakal jemaah haji negara itu tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini ekoran pengurangan kuota haji asing sebanyak 20 peratus oleh kerajaan Arab Saudi.

Noor Aishah terharu Yusof masih dihargai

Posted: 19 Jul 2013 07:34 PM PDT


NOOR AISHAH utuh menyimpan setiap pahit manis kehidupan yang dikongsi bersama Yusof.


SENYUMANNYA terukir manis dan menawan. Lembut tutur kata dan sopan santun terangkum dalam diri wanita Melayu Singapura ini.
Bagi yang tidak mengenali Noor Aishah Md. Salim, mereka mungkin tidak percaya wanita itu sebenarnya isteri bekas Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak.
Kekal merendah diri tanpa dilimpahi sebarang publisiti media, Noor Aishah, 80, utuh menyimpan setiap kenangan pahit manis kehidupan yang dikongsi bersama Yusof sejak mendirikan rumah tangga kira-kira 64 tahun lalu.
Bersama Noor Aishah, Yusof sering berkongsi cerita mengenai apa yang berlaku termasuk semasa mengendalikan akhbar Utusan Melayu yang menjadi suara perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu daripada genggaman penjajah British.
Kini, Noor Aishah menikmati kehidupan bersama keluarga tersayang selepas dikurniakan tiga cahaya mata dan 10 cucu hasil perkongsian hidup bersama Yusof.
Kehadiran Noor Aishah di Taman Warisan Melayu, Istana Kampung Gelam, Sultan Gate, Singapura sempena Kembara Queen Street (KQS) bagi meraikan ulang tahun Utusan Melayu yang ke-75 baru-baru ini cukup sederhana.
Tanpa diiringi pihak berkuasa di sana, ia sesuatu yang cukup asing bagi mana-mana bekas Wanita Pertama.
Kecintaan Yusof
Menurut beliau, arwah suaminya seorang yang gemar bercerita biarpun terkenal dengan sikap yang tegas dalam kalangan pekerja Utusan Melayu ketika itu.
"Saya terharu dan bangga kerana walaupun Yusof sudah lebih empat dekad meninggal dunia, masih ada insan mengenang jasanya.
"Saya merakamkan jutaan terima kasih, apa yang hendak saya katakan di sini usaha yang dilakukan oleh insan-insan (warga Utusan Melayu) mulia ini amat saya sanjung.

ZAINUDDIN (depan dua dari kiri) menyampaikan buku yang ditulis beliau kepada Noor Aishah sambil diperhatikan Zaini (kiri) pada Konvoi Kembara Queen Street.


"Ditambah dengan sejarah perjuangan Allahyarham terhadap Utusan Melayu memberi erti cukup besar bagi saya," kata Noor Aishah yang membahasakan diri beliau dengan panggilan mami.
Malah, beliau turut berkongsi rasa kecintaan mendalam Yusof terhadap Utusan Melayu yang tetap mengikuti perkembangan akhbar itu meskipun menjadi Presiden Singapura.
"Yusof memang kuat bekerja. Dia sanggup tidur di pejabat semata-mata kerana teruja dengan mesin percetakan baharu yang boleh mencetak akhbar lebih pantas berbanding sebelum itu," cerita Noor Aishah.
Mungkin ramai dalam kalangan pembaca tidak tahu bahawa Yusof juga merupakan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British sebelum mengasaskan akhbar Utusan Melayu yang mula diterbitkan di Queen Street, Singapura pada 29 Mei 1939.
Yusof yang dilahirkan di Taiping, Perak pada 12 Ogos 1910 merupakan Yang di-Pertuan Negara ketika Singapura bersama Malaysia dari tahun 1959 hingga 1965. Beliau kemudian menjadi presiden pertama republik itu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 23 November 1970 ketika berusia 60 tahun.
Wajah beliau juga masih boleh dilihat pada kepingan kertas dolar Singapura sekarang.
"Tanpa Yusof, tidak akan wujud akhbar Utusan Melayu," demikian kata ringkas namun cukup bermakna yang diungkapkan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin semasa ditemui pada majlis yang sama.
Dalam pertemuan singkat itu, Zainuddin turut berkesempatan menghadiahkan buku bertajuk Di Depan Api, Di Belakang Duri kepada Noor Aishah.
Menurut beliau, peluang menyampaikan buku karyanya yang menceritakan pengalaman pada zaman awal penubuhan Utusan Melayu di Singapura kepada bekas Wanita Pertama Singapura itu merupakan detik amat bermakna buatnya.
Malah, beliau mengakui terharu kerana Noor Aishah sanggup datang ke majlis tersebut meskipun tidak sihat dan diketahui jarang muncul dalam mana-mana majlis di negara itu.

UTUSAN Melayu diperbadankan di Singapura pada 18 Jun 1938 sebagai Utusan Melayu Press Limited.


"Ini merupakan hari yang cukup bermakna dan besar ertinya dalam hidup saya kerana sempat berkhidmat sebagai wartawan semasa era Allahyarham Yusof menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu.
"Apa yang saya dapat belajar, beliau merupakan seorang yang garang, tegas dan kuat bekerja kerana bagi Allahyarham dengan cara itu sahaja dapat memajukan Utusan Melayu bagi membolehkan para pekerja bertugas bersungguh-sungguh," katanya.
Buku Di Depan Api, Di Belakang Duri setebal 512 muka surat nukilan Zainuddin kini berada di pasaran dan dijual pada harga RM62.
Mengulas lanjut, Zainuddin yang mesra dikenali dengan panggilan Zam turut berkongsi cerita mengenai cinta Yusof terhadap bidang kewartawanan biarpun telah bergelar Presiden Singapura.
Cabaran konvoi
"Pernah suatu ketika Yusof terserempak dengan wartawan (Ahmad Idris) dan jurugambar (Junid Juani) di tepi jalan. Biarpun sudah bergelar presiden, Yusof sebaliknya yang mengambil gambar mereka berdua dari dalam kereta.
"Yusof juga cukup pantang jika mengetahui ada wartawan tidak pergi ke kawasan liputan dan hanya mengambil berita daripada wartawan lain," cerita Zainuddin.
Terdahulu, konvoi yang diketuai oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Zaini Hassan menziarahi pusara Yusof yang terletak di Keranji, Woodlands sambil menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah diikuti doa yang dipimpin oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM), Kamsari Nor.
Konvoi KQS merupakan projek sulung anjuran Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) bermula 6 Julai lalu sambil diiringi lapan pegawai dan anggota Bahagian Pengangkutan Jabatan Logistik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut serta dalam konvoi itu ialah Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Syed Agil Syed Jaafar; Ketua Editor Foto Utusan Melayu, Abdul Kadir Bachok; Pengarah Program Konvoi KQS, Asmaruddin Jamaluddin dan Presiden KKBUM, Mohd. Hazli Hassan.
WALAUPUN diuji dengan pelbagai cabaran, peserta konvoi Kembara Queen Street berjaya menyudahkan misi mereka.


Sepanjang tiga hari berkonvoi, para peserta yang terdiri daripada kakitangan Utusan Malaysia, Kosmo!, Unit Jurufoto dan beberapa jabatan lain dilihat cekal menempuh perjalanan keseluruhan merangkumi jarak lebih 800 kilometer (km).
Stamina peserta jelas diuji dengan cuaca tidak menentu, namun segala-galanya dapat diatasi apabila peserta dilengkapi dengan beg dehidrasi tajaan Deuter.
Peserta konvoi yang terpaksa meneruskan perjalanan dalam hujan lebat ketika di Rembau, Negeri Sembilan juga tidak terjejas apabila penglihatan mereka terjamin selepas menggunakan topi keledar keluaran khas M50.0 Malaysia Boleh yang ditaja Givi Malaysia.
Lebih menarik, kesemua peserta sempat merakamkan gambar kenangan menarik sepanjang perjalanan dengan kamera canggih tajaan pengedar kamera terkemuka, Canon Marketing (M) Sdn. Bhd.
Selain itu, peserta konvoi juga diiringi tiga buah motosikal Moto Guzzi tajaan SMS Autoworld Sdn. Bhd. serta tiga buah kenderaan Chevrolet model Colorado, Orlando dan Sonic yang ditaja Naza Quest Sdn. Bhd. bagi membantu melicinkan perjalanan konvoi.
Antara pihak lain yang turut berbesar hati bertindak sebagai penaja bagi merealisasikan kembara berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Rakyat, Felda, Kolej Poly-tech Mara, Syarikat Bekalan Air Selangor, Perbadanan Nasional Berhad, Yayasan Pendidikan Cheras, Kerajaan Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak serta syarikat kosmetik, Jamu Mak Dara.

Kemeriahan Fiesta de San Fermin

Posted: 19 Jul 2013 07:33 PM PDT



SELAMA sembilan hari, bandar Pamplona berubah wajah dengan pelbagai aktiviti dan persembahan hiburan tanpa henti.


SETIAP tahun bermula dari 6 hingga 14 Julai, bandar raya lama Pamplona yang terletak di utara Sepanyol akan berubah wajah. Selama sembilan hari, seluruh bandar raya itu sesak dengan kehadiran ribuan manusia bagi meraikan sambutan Fiesta de San Fermin.
Menjelang tengah hari 6 Julai, puluhan mercun roket dilepaskan di hadapan Dewan Perbandaran Ayuntamiento.
Dikenali sebagai chupinazo, ia merupakan simbolik kepada pembukaan festival itu yang dimulakan sejak tahun 1591.
Terdapat pelbagai aktiviti disajikan kepada pengunjung, antaranya gerai jualan, persembahan hiburan dan kebudayaan yang berlangsung tanpa henti, 24 jam sehari.
Namun yang paling ditunggu-tunggu ialah acara larian lembu yang diadakan di Santo Domingo.
Pada acara itu, ratusan peserta berpakaian merah dan putih membanjiri kawasan lapang di situ sambil menunggu isyarat pintu pagar kandang lembu dibuka.
Sebaik sahaja isyarat dibunyikan, mereka akan berlari di hadapan sekawan lembu melalui lorong-lorong kecil di sekitar bandar raya itu membabitkan jarak sejauh 825 meter.
Biarpun tampak menyeronokkan, ia sebenarnya berisiko tinggi. Lebih-lebih lagi jika dirempuh lembu jantan yang besar dan ganas, pasti mengundang kecederaan parah malah kematian.
Selain larian lembu, pengunjung juga bakal terhibur menyaksikan persembahan laga lembu. Saksikan pertembungan satu lawan satu antara lelaki matador dengan lembu-lembu yang sedang naik minyak.
Biarpun sering dikritik oleh para pencinta haiwan di seluruh dunia, tradisi itu sukar dihentikan kerana ia sudah sebati dalam budaya masyarakat Sepanyol.
Festival itu mencapai kemuncak menjelang tengah malam 14 Julai apabila pengunjung berarak ke Dataran Dewan Perbandaran sambil membawa lilin dan menyanyikan lagu Pobre de mi.

Tiada lagi gaya MPV mini

Posted: 19 Jul 2013 07:31 PM PDT



PEMBABITAN Mercedes-Benz dalam segmen kenderaan saiz kecil bermula dengan pengenalan siri W201 (190E) sekitar tahun 1980-an.
Model 190E menarik perhatian pengguna sehingga ia berjaya mencatat jualan terbaik bagi Mercedes-Benz di bawah konglomerat Daimler AG.
Peredaran zaman telah mengubah trend pembelian kenderaan. Pengguna lebih cenderung memiliki sebuah kenderaan bersaiz kecil.
Fenomena yang berlaku di pasaran Eropah dan Asia itu disedari Mercedes-Benz. Syarikat itu kemudiannya tampil memperkenalkan satu kategori kenderaan baharu iaitu A-Class.
A-Class merangkumi model kenderaan subkompak. Bertempat di Pameran Motor Frankfurt, Jerman pada tahun 1997, Mercedes-Benz memperkenalkan dua varian A-Class iaitu A 140 dan A 160.
A-Class memiliki rekaan yang agak unik pada ketika itu. Ia kompak tetapi tinggi. Ada iras-iras seperti sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mini.
Sungguhpun begitu, Mercedes-Benz tetap mengaplikasi kekuatan yang dimiliki iaitu kualiti dan keselamatan rangkaian produk keluarannya.
Tahap keselamatan A-Class dikatakan sama seperti mana-mana model sedan Mercedes-Benz. Namun, insiden pada 22 Oktober 1997 mendatangkan tamparan hebat kepada pengeluar itu.
Salah sebuah A-Class dilaporkan terbalik ketika ujian Moose dilakukan di Sweden. Pemandu kereta itu ialah Timbalan Editor majalah Teknikens Vaerld (World of Technique), Robert Collin.
Ujian Moose adalah satu corak pemanduan spontan untuk mengelakkan kenderaan bertembung dengan objek yang muncul secara tiba-tiba di hadapan jentera.
Pemandu perlu membelok ke sebelah kiri untuk mengelak pelanggaran, sebelum mengemudi semula jentera ke bahagian kanan jalan sebaik sahaja melepasi halangan itu.
Insiden itu mendorong Daimler AG untuk memanggil semula produk A-Class bagi program naik taraf.
Biarpun begitu, A-Class tetap meraih sambutan memberangsangkan. Statistik jualan bagi generasi pertama (dari tahun 1997 hingga 2004) mencecah paras 1.7 juta unit.
Selepas itu, generasi kedua diperkenalkan sehingga tahun 2012. Reka bentuknya tidak jauh berbeza dengan model terdahulu. Cuma lebih banyak menerima sentuhan teknologi keselamatan baharu.

DARI kiri: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Roland S.Folger (kiri) dan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Kai Schlickum pada majlis pelancaran dua varian Mercedes-Benz A-Class terbaharu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Jika diamati beberapa tahun kebelakangan ini, para pemain dalam segmen kereta subkompak telah menampilkan produk-produk yang agak menawan.
Antara contoh mudah ialah BMW 1 Series, Audi A3, Volvo V40 dan Volkswagen Golf.
Bagi memacu momentum persaingan, Mercedes-Benz baru-baru ini tampil dengan generasi ketiga A-Class. Apa yang pasti, tiada lagi warisan rekaan ala-ala MPV mini.
Generasi ketiga A-Class dipertontonkan pada Pameran Motor Geneva di Switzerland baru-baru ini.
A-Class memiliki susuk tubuh sebuah hatchback dengan garisan badan yang meningkatkan lagi sifat maskulin.
Untuk pasaran tempatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) membawa masuk dua varian iaitu A 200 Blue EFFICIENCY dan A 250 Sport.
A 200 BlueEFFICIENCY
A 200 BlueEFFICIENCY memiliki adunan tona gelap dan sifat sport pada keseluruhan kenderaan.
Pandangan hadapan menampilkan pemasangan gril radiator hitam dengan dua buah ram. Perumah cermin pandang sisi pula disalut cat hitam. Saiz rim aloinya berukuran 18 inci.
Buka pintu varian ini, didapati kerusi sport dibalut material fabrik ARTICO. Kedua-dua kerusi bahagian hadapan ada fungsi memori dan boleh dilaras secara elektrik.
Panel instrumen membabitkan dua set meter yang mana jarum petunjuk akan menunjuk arah pukul 6 jika berada dalam kedudukan pegun.
A 250 Sport
Jika mahu A-Class yang lebih sporty, A 250 Sport adalah jawapannya. Jentera itu memiliki sentuhan talaan jurutera AMG untuk pemanduan dinamik bersama beberapa komponen berprestasi khas.
Komponen dimaksudkan ialah sistem suspensi AMG. Selain itu, gandar hadapan pula dibangunkan khas oleh tenaga pakar Mercedes-AMG.
Tambahan lain membabitkan gayaan AMG Sport pada bahagian luaran jentera.
Ini termasuk gril radiator berbentuk berlian pada bahagian hadapan. Trim warna merah dicalit dapra hadapan dan belakang kereta.
Lampu utama ditambah seri menerusi penggunaan gegelung warna merah. Rim aloi AMG berukuran 18 inci turut dipadankan pada jentera itu.

RUANG kabin varian A 200 BlueEFFICIENCY didominasi dengan tona warna putih.


Ruang kabin dilengkapi kerusi sport pada bahagian hadapan dengan fungsi memori. Material digunakan adalah jenis mikro fiber ARTICO/DINAMICA dengan jahitan benang merah.
Stereng tiga jejari, perehat tangan dan konsol tengah disalut material kulit nappa bersama sulaman benang merah.
Instrumen meter dilengkapi butang dail warna perak dengan jarum petunjuk merah. Trim kemasan gentian karbon juga diberikan pada kawasan papan pemuka.
Inovasi ciri keselamatan
Kedua-dua varian itu mempunyai butang ECO start/stop sebagai usaha mengurangkan pembebasan emisi karbon.
Generasi baharu ini dilengkapi beberapa inovasi termaju seperti Sistem Amaran Radar Pelanggaran dan Bantuan Mengelakkan Pelanggaran dengan Bantuan Brek.
Kedua-dua teknologi itu mengurangkan risiko pelanggaran di bahagian belakang kenderaan.
Ciri keselamatan lain adalah adaptive high beam assist (untuk model A 250 Sport sahaja), ATTENTION ASSIST, Brake Hold, Hill-Start Assist, Active Parking Assist, kamera pandang belakang dan PRE-SAFE.
Pengenalan A-Class di Malaysia baru sahaja bermula. MBM ada rancangan untuk menambah satu lagi varian lebih bertenaga tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan.

Honda Jazz petrol RM74,800

Posted: 19 Jul 2013 07:30 PM PDT



JAZZ didatangkan dengan empat pilihan warna.



JIKA sebelum ini, model Honda Jazz yang ditawarkan kepada pembeli tempatan boleh dikategorikan sebagai mahal. Kini persepsi itu dilihat tidak lagi relevan.
Honda Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model kenderaan CKD kompak itu pada harga di bawah paras RM75,000.
Lebih tepat, harga atas jalan bagi model Honda Jazz varian petrol dijual pada harga RM74,800 seunit atas jalan termasuk insurans.
Tindakan itu sekali gus menjadikan produk CKD Honda Jazz keluaran kilang di Pegoh, Melaka sebagai kereta pertama jenama Honda paling murah dalam rangkaian kenderaan jenama Jepun itu.
Produk yang disasarkan kepada golongan muda profesional dan keluarga kecil urban masih mengekalkan sifat pemanduan menyeronokkan untuk gaya hidup masa kini.
Rangkaian kuasa digunakan tetap sama seperti model yang diimport iaitu enjin 1.5 liter i-VTEC beserta transmisi lima kelajuan automatik. Untuk mengelakkan penukaran gear yang tidak perlu, kotak gear itu dilengkapi ciri Shift Hold Control.
Enjin SOHC itu berupaya menjana kuasa output maksimum sebanyak 120PS, manakala torknya setinggi 146Nm.
Pakej keselamatan yang didatangkan bersama Jazz ialah dua beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Antikunci (ABS), Sistem Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) serta Teknologi Kawalan G-Force (G-CON).

RUANGAN dalam tidak jauh berbeza dengan model yang diimport sebelum ini.


Ruang kabin dilengkapi kerusi Ultra Seat berwarna biru hitam, sistem kemasukan tanpa kunci, sepuluh ruang pemegang minuman dan sistem audio dengan ketersambungan AUX/USB.
Bahagian luaran melibatkan penggunaan rim 15 inci dengan tayar bersaiz 175/65. Tambahan lain ialah cermin tutup automatik, lampu LED belakang dan lampu kabus.
Bagi yang mahukan kelainan, anda boleh mendapatkan kit badan Modulo pada harga RM3,950. Komponen yang diberikan ialah gril hadapan, spoiler hadapan, spoiler belakang, skirt sisi dan spoiler bahagian bawah pada bampar belakang.
Selain Modulo, "Urban Package" dijual pada harga RM2,550. Anda diberikan gril baharu, bekas simpanan barang di bahagian belakang, pencahayaan di kawasan pintu hadapan, pedal aloi dan spoiler belakang.
Honda Jazz varian petrol itu didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu putih, perak, coklat dan hitam. Jaminan diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer.

Berbuka puasa bersama pelancong

Posted: 19 Jul 2013 07:28 PM PDT



MENJELANG Ramadan saban tahun, Rizwan Namaji, 33, bersama isterinya, Shabana Namaji, 32, pasti menjadikan bulan yang penuh keberkatan itu sebagai masa untuk mereka bercuti.
Pasangan dari England, United Kingdom itu ke luar negara pada setiap bulan Ramadan sebagai cara mereka untuk merasai pengalaman berpuasa di negara orang.
Mereka juga amat teruja melihat perbezaan budaya di setiap negara yang dikunjungi dan pada masa yang sama cuba menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat.
Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Mesir merupakan negara yang pernah dikunjungi pasangan itu ketika bulan Ramadan pada tahun-tahun yang lalu.
Pada tahun ini, mereka memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian dan merasai pengalaman berpuasa selama 11 hari di ibu negara.
Pada hari kedua percutian mereka, 14 Julai lalu, mereka ternyata teruja kerana berpeluang berbuka puasa di tengah-tengah jalan raya iaitu di Jalan Raja, berhadapan dengan Dataran Merdeka bersama-sama dengan ratusan rakyat Malaysia yang lain sempena Festival Ramadan.
Menurut Shabana, risalah mengenai Festival Ramadan yang dibacanya di hotel penginapan telah memberi idea kepada mereka untuk hadir ke Dataran Merdeka bagi merasai pengalaman berbuka puasa buat kali pertama di bumi Malaysia.
"Walaupun berbuka puasa di atas jalan raya, saya rasakan ia satu pengalaman yang unik. Idea ini berbeza dengan kebanyakan negara yang pernah kami lawati. Makanan yang disediakan juga ringkas tetapi cukup untuk juadah iftar kami," ujar Shabana.
Ceritanya, suasana berbuka puasa secara beramai-ramai di Dataran Merdeka itu ternyata berbeza dengan keadaan sewaktu menikmati iftar secara beramai-ramai di negara Asia Barat.
"Suasana berbuka puasa di Arab Saudi amat sibuk dan sesak. Majlis iftar di sana disertai oleh beribu-ribu umat Islam. Keadaan itu membuatkan majlis itu sedikit kelam-kabut. Tetapi saya tidak melihat keadaan itu pada festival ini.

ORANG ramai mula memenuhi setiap ruang di tengah Jalan Raja pada pukul 7 malam.


"Penganjuran majlis iftar di sini teratur. Selain itu, saya juga melihat pelancong bukan Islam turut dialu-alukan menyertai majlis ini," ujar pengurus di sebuah syarikat swasta itu.
Melalui Festival Ramadan, Shabana dan suaminya dapat mengetahui serba sedikit tentang budaya masyarakat Islam di Malaysia.
Festival kali kedua
Shabana merupakan antara ratusan pelancong yang hadir ke program Jom Buka Puasa sempena Festival Ramadan.
Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu mempunyai pengisian berbeza pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan. Ia juga salah satu daya tarikan kepada pelancong untuk menikmati juadah iftar secara percuma.
Tampil dengan tema Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Yang Menerima, festival itu bertujuan menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk kegiatan kerohanian dan kesenian Islam agar dapat dihayati oleh generasi muda.
Pengarah Bahagian Pengembangan Budaya JKKN, Rosnan Nordin, 48, memberitahu, penganjuran festival itu merupakan salah satu cara untuk menjadikan ibu kota sebagai destinasi pelancong pada bulan Ramadan.
Menurutnya, budaya seperti itu sering disaksikan di bandar-bandar di negara Arab.
"Festival Ramadan tahun ini merupakan penganjuran edisi kedua selepas kejayaan festival tersebut pada tahun lalu yang telah menarik kira-kira satu juta pengunjung dalam kesemua aktiviti. Di ibu kota, festival ini adalah acara pertama yang mengajak orang awam berbuka di atas jalan raya secara beramai-ramai.
"Pendekatan dengan memberi juadah berbuka secara percuma kepada orang ramai merupakan cara untuk mempromosikan budaya bersedekah di negara kita," katanya ketika ditemui Kosmo! pada program Jom Buka Puasa baru-baru ini.
Tambahnya, selain Jom Buka Puasa, pengisian lain festival itu ialah pertandingan nasyid dan marhaban, tadarus al-Quran, ziarah sahur, peragaan busana Muslimah, kem remaja Ramadan serta pertandingan mencipta lagu nasyid dan lagu hari raya.
Festival tersebut ternyata menarik minat penduduk ibu kota untuk bersantai-santai sementara menunggu waktu berbuka. Menariknya, penganjuran Festival Ramadan pada tahun lalu telah berjaya mengumpul pengikut tersendiri.
Arifin Saad, 62, merupakan antara insan yang menunggu ketibaan festival tersebut pada tahun ini kerana telah menghadiri program Jom Buka Puasa pada tahun lalu.

JUADAH iftar yang disediakan oleh pihak JKKN mencukupi untuk semua pengunjung yang hadir ke program Jom Buka Puasa pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan.


Menurutnya, pada Ramadan tahun lalu, dia bersama isteri dan anaknya pasti ke Dataran Merdeka untuk berbuka puasa pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu.
"Selain daripada menikmati juadah bubur lambuk Kampung Baru, kurma dan kuih-muih, saya juga membawa bekalan yang dimasak di rumah. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, saya menyukai suasana berbuka puasa di sini.
"Pihak penganjur juga menyediakan kelengkapan yang sempurna terutamanya khemah untuk pengunjung menunaikan solat," ujarnya yang berasal dari Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Sebelum berbuka puasa, tazkirah oleh penceramah dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran merupakan acara wajib sepanjang festival tersebut.
Sementara itu, seorang pelancong dari Washington, Amerika Syarikat, Alexander Miller, 22, memberitahu, kunjungannya ke festival itu adalah untuk menikmati iftar secara tidak sengaja apabila ada individu menjemput mereka sewaktu bersiar-siar di sekitar Dataran Merdeka.
"Saya mengetahui sedikit asas mengenai Ramadan. Ketika berada di sini, saya sering bertanya kepada seorang rakan rakyat Malaysia mengenai apa yang ada dalam festival ini. Ia secara tidak langsung memberi satu pengalaman baharu kepada saya.
"Sepanjang seminggu kami berada di sini, saya melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai juadah makanan.
"Pada majlis berbuka puasa di atas jalan raya ini, saya melihat hanya makanan asas yang disediakan.
"Saya dapat merasakan bahawa ini merupakan budaya sebenar umat Islam," ujarnya yang datang melancong di ibu negara bersama tiga orang rakannya dan seorang sahabat yang dikenalinya di Malaysia.

Dana pendidikan untuk kanak-kanak Gaza

Posted: 19 Jul 2013 07:27 PM PDT


AHMED (dua dari kiri) menceritakan pengalamannya menghadapi serangan tentera Israel pada peperangan al-Furqan kira-kira lima tahun lalu.


SUASANA majlis pelancaran Program Pengumpulan Dana Sekolah Anak-Anak Yatim as-Solah di Gaza, Palestin bertukar sayu tatkala seorang pelajarnya, Ahmed Hamad, 17, menceritakan kisah dirinya sewaktu perang al-Furqan yang dicetuskan oleh Israel ke atas Palestin pada 27 Disember 2008.
Semasa kejadian, Ahmad masih seorang kanak-kanak. Dia hanya mampu menangis melihat kesengsaraan dan kematian rakyat kota Gaza akibat dibom serta diroket tentera Yahudi. Selepas perang itu berakhir, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan masih hidup hingga hari ini.
Baru-baru ini, Ahmed berkunjung ke Malaysia untuk menyertai pertandingan debat antarabangsa peringkat sekolah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur bersama dua rakan sebayanya, Musbah Almadhoun dan Ahmed Darwish. Rombongan tiga pelajar itu diketuai oleh Pengetua as-Solah, Ismail Alsarraj, 40.
Mereka juga merupakan tetamu khas yang dibawa oleh Al-I'tisam Relief Programme (ARP) ke Malaysia untuk mengumpul dana bagi pembinaan dan penambahbaikan kemudahan di sekolah mereka.
Tiada punca pendapatan
Menurut Ismail, pihaknya memerlukan dana untuk menambah baik makmal teknologi sains dan matematik, perpustakaan serta peralatan gimnasium.
"Makmal tersebut adalah bagi kegunaan 673 pelajar. Kemudahan dan peralatan di sekolah itu dibiayai 100 peratus oleh sumber daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar Gaza dan salah satunya ialah Malaysia," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.

KANAK-KANAK Gaza ini mendapat pelajaran formal secara percuma di Sekolah as-Solah.


Dana itu juga digunakan untuk keperluan Sekolah as-Sayida Khadija yang menempatkan pelajar perempuan. Kedua-dua sekolah itu mempunyai pelajar daripada darjah tiga hingga 12.
ARP merupakan wakil rakan kerjasama sebuah NGO dari Gaza iaitu Persatuan Rumah Anak-Anak Yatim Palestin (Poha) yang membantu mengutip dana untuk sekolah itu di Malaysia.
Menurut Penyelaras Projek ARP, Mohd. Shah Sapiei, 56, pengumpulan dana untuk sekolah tersebut merupakan salah satu program kempen Stand Up For Gaza.
"Dana itu bertujuan membantu pelajaran kanak-kanak di sana. Sukatan pelajaran dan kelengkapan sekolah disediakan secara percuma.
"Usaha ini mampu memberi harapan kepada kanak-kanak Gaza sekali gus mengembalikan semangat mereka untuk meneruskan pengajian," ujarnya.

Keunikan air terjun dalam gua

Posted: 19 Jul 2013 07:25 PM PDT



PEMANDANGAN di Tannourine sungguh menakjubkan terutama pada musim salji cair pada bulan Mac dan April.



BERIADAH bersama rakan atau ahli keluarga ke kawasan air terjun pasti meninggalkan kenangan indah. Kesejukan dan deruan air terjun membuatkan percutian tersebut terasa amat menenangkan.
Selain mandi-manda, aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan adalah membuat barbeku. Selepas puas berendam, perut yang kosong pasti 'gembira' apabila diisi dengan ikan, udang atau sotong bakar.
Bagaimanapun, jika berkunjung ke Air Terjun Bataara Gorge yang terletak di Kampung Balaa iaitu di antara bandar Laqlouq dan Tannourine di Lebanon, anda pasti terpesona dengan keunikannya.
Air terjun setinggi 255 meter itu sangat cantik, malah ia mengalir memasuki gaung gua batu kapur yang berusia lebih 160 juta tahun.
Gua yang dimaksudkan ialah Gua Baatara yang menjadi destinasi utama pengembara yang mendaki Gunung Lebanon. Ia ditemui ahli speleologi Perancis, Henri Coiffait pada tahun 1952 dan dipetakan sepenuhnya pada tahun 1980-an oleh Kelab Speleo du Liban.
Masa terbaik untuk mendaki Hutan Simpan Tannourine Cedar untuk ke air terjun itu ialah pada musim bunga dan awal musim panas. Terdapat banyak bunga liar berkembang mekar memenuhi kawasan tersebut sepanjang tempoh berkenaan.
Pendakian di hutan simpan tersebut merupakan sebahagian daripada laluan Gunung Lebanon yang digunakan oleh pengembara lasak bagi menuju ke kawasan Air
Terjun Baatara Gorge.

TIADA peralatan keselamatan dipasang di Baatara Gorge kerana dikhuatiri merosakkan landskap kawasan tersebut.


Malangnya, air terjun tersebut hanya boleh dilihat sewaktu salji melebur dan cair pada bulan Mac dan April.
Namun, pengunjung boleh melihat kelainan pada jambatan semula jadi yang terbentuk di air terjun tersebut. Jambatan itu kelihatan seperti tiga tingkat iaitu ia berada di atas satu jambatan lain. Ia kelihatan seperti sebuah jurang tergantung di pergunungan Lebanon.
Perkhidmatan kereta sewa
Walaupun tanda amaran yang melarang pengunjung memanjat di kawasan curam dan licin diletakkan, pengunjung pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat secara dekat air terjun di dalam gua tersebut.
Pemasangan peralatan keselamatan untuk aktiviti mendaki di situ pernah dipertimbangkan tetapi tidak diluluskan oleh pihak berkuasa kerana dikhuatiri akan mengganggu keindahan semula jadi kawasan berkenaan.
Ekoran keajaiban itu, ia turut dikenali dengan tiga nama lain iaitu Gua Tiga Jambatan, Jurang Tiga Jambatan dan Lubang Dalam Dinding.
Prihatin dengan kehendak pelancong dalam negara dan antarabangsa yang gemar memandu ketika mengembara, perkhidmatan kereta sewa disediakan.
Jika anda ingin menyewa sebuah kereta jenama Mercedes di Beirut, anda hanya perlu membuat satu panggilan dan kereta tersebut akan dihantar terus ke lokasi anda berada.
Harga penginapan di hotel-hotel di bandar Tannourine bernilai sekitar RM127 hingga RM383 semalam. Kedudukan hotel-hotel tersebut kira-kira 35 kilometer dari Air Terjun Baatara Gorge.
Antara hotel tersebut ialah Hotel Chbat, Bauhaus, Hostel Palace Bsharry, L'Auberge Des Cedres, L'Aiglon Bcharre dan La Grande Ourse.

Dekatkan remaja dengan masjid

Posted: 19 Jul 2013 07:23 PM PDT


NOR FIRDAUS mengalu-alukan individu atau syarikat korporat yang ingin menaja anak-anak yatim ke Kem Remaja Kembara Ramadan.


KEBERKATAN bulan Ramadan harus direbut oleh setiap umat Islam. Kelebihan yang terdapat sepanjang bulan itu merupakan kurniaan Allah bagi memantapkan jati diri dan ketaqwaan seorang Muslim.
Sebagai ibu bapa, anak-anak perlu dilatih menjalani ibadah puasa sejak kecil supaya mereka terbiasa dengan amalan tersebut.
Salah satu budaya yang harus diterapkan pada anak-anak sempena Ramadan ialah berkunjung ke rumah Allah sebagai tempat beribadah dan menuntut ilmu.
Sehubungan itu, Masjid Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya menganjurkan Kem Remaja Kembara Ramadan yang dikhususkan kepada golongan muda berumur antara 12 hingga 17 tahun.
Menurut sekretariat program, Nor Firdaus Norzaini, aktiviti tersebut membawa remaja dan ibu bapa mendekatkan diri dengan aktiviti masjid.
"Melalui program ini, peserta dapat mengimarahkan masjid sempena bulan Ramadan dengan pengisian yang berlandaskan pengajian Islam.
"Kami berharap aktiviti riadah sebegini dapat menjadikan masjid sebagai pusat ilmu kepada masyarakat setempat, terutamanya kepada golongan remaja," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

REMAJA perlu didedahkan bahawa masjid bukan sekadar lokasi untuk beribadah bahkan boleh diisi dengan majlis-majlis ilmu.


Program selama dua hari satu malam itu akan diadakan pada 27 hingga 28 Julai 2013. Peserta akan ditempatkan di TH Hotel, Kelana Jaya dengan bayaran sebanyak RM100 seorang.
"Kami menyasarkan seramai 200 orang peserta dengan sebahagiannya dikhususkan kepada anak-anak yatim dari rumah kebajikan terpilih," tambah Nor Firdaus.
Justeru, pihak penganjur mengalu-alukan penglibatan individu atau syarikat korporat untuk menaja anak-anak yatim yang berhajat mengikuti program tersebut.
"Sumbangan boleh disalurkan kepada pihak penganjur dan akan digunakan bagi menampung perbelanjaan anak yatim yang mengikuti program kami," jelas Nor Firdaus.
Program ini merupakan anjuran Masjid Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya sempena sambutan Nuzul Quran.
Antara pengisiannya ialah eksplorasi al-Quran, sinaran dhuha, qiamulail, solat tarawih dan tadabur al- Quran yang diadakan pada sebelah pagi.
Acara kemuncak pula ialah Forum Ramadan bersama Ustazah Noor Laila dan Prof. Madya Mohd. Nor Mamat serta moderator oleh Ahmad Fedtri Yahya. Ia terbuka kepada orang ramai untuk bersama-sama mendengar perbincangan mengenai keistimewaan Nuzul Quran.

Menu Johor-Jawa sajian Dapur Jendela

Posted: 19 Jul 2013 07:21 PM PDT


MENU kerang sos tiram yang harus dicuba pelanggan Dapur Jendela.


BUAT pertama kalinya, mengambil berkat Ramadan al-Mubarak, Restoran Dapur Jendela yang terletak di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru, Johor menawarkan hidangan bufet untuk khalayak yang mahu berbuka puasa.
Berbuka dalam suasana seperti di rumah sendiri, Dapur Jendela menyediakan pelbagai masakan kampung dengan identiti kulinari Johor-Jawa untuk memikat selera pengunjung. Hidangan yang berciri tradisional itu sememangnya menjadi pilihan popular setiap kali sesi berbuka puasa.
Ayam masak hijau, sotong masak hitam, kerang sos tiram, kari nangka, ikan bakar dan lemak labu serta ulam-ulaman adalah antara menu utama yang dihidangkan restoran tersebut. Tidak ketinggalan aneka manisan dan kuih-muih tradisional.
Namun, tarikan utama Dapur Jendela adalah hidangan ala carte mereka yang menjadi tanda aras restoran tersebut sejak ia dibuka lebih tujuh bulan lalu.
Lempeng dengan sambal tumis bilis, ubi rebus, roti jala, soto dan nasi lemak kukus ayam berempah merupakan hidangan wajib rasa yang menjadi keunikan dan membuatkan Dapur Jendela terkenal dalam kalangan pengunjung mereka.
Menurut pemilik Dapur Jendela, Nurshila Surip, 23, hidangan yang disediakan untuk menu berbuka puasa di restoran itu pasti mengingatkan pengunjung kepada masakan air tangan ibu di rumah.
"Bagi mereka yang mencari kelazatan masakan mengikut selera masyarakat Johor dan Jawa, Dapur Jendela adalah tempatnya," ujar Nurshila.
Menariknya, Dapur Jendela bukan sahaja menyediakan hidangan untuk berbuka puasa, bahkan hidangan untuk bersahur.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines