Sumber: Harian Metro
Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mula berlatih namun hanya dibenarkan menjalani latihan ringan sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia bulan depan.
Tinjauan Arena Sukan ketika sesi latihan The Red Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) kelmarin mendapati Mohd Badhri, 31, atau lebih dikenali sebagai Piya menjalani latihan berasingan daripada rakan sepasukan selain dipantau rapi pegawai fisioterapi selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menentang LionsXII dalam saingan Liga Super, 6 Julai lalu.
Akibat kecederaan itu, Badhri terlepas aksi persahabatan antarabangsa menentang kelab gergasi England, Chelsea meskipun pada awalnya berada dalam senarai pemain ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal.
Mohd Badri berkata, kecederaan dialaminya itu beransur pulih namun ketua jurulatih Bojan Hodak hanya membenarkannya menjalani latihan ringan hingga pulih sepenuhnya.
Katanya, dia bakal terlepas beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang Selangor pada 3 Ogos sebagai aksi pemanas badan sebelum kempen Piala Malaysia bermula.
"Alhamdulillah, saya sudah pulih 70 peratus dan mula dapat berlari namun jurulatih hanya membenarkan saya menjalani latihan ringan berasingan. Ini bagi memastikan kecederaan saya pulih sepenuhnya.
"Sayang saya terlepas aksi persahabatan namun percaya kecederaan ini akan pulih sepenuhnya sebelum kempen Piala Malaysia bermula," katanya.
Sementara itu, Hodak berkata, pasukannya kini menjalani latihan pada waktu malam berikutan menghormati Ramadan, namun mengharapkan pemain mengekalkan kecergasan.
Katanya, selepas kehilangan enam tonggak yang bersama skuad kebangsaan, beliau memanggil enam pemain skuad Piala Presiden bagi menjalani latihan bersama pemain senior.
"Ini kali kedua saya melatih pemain dalam bulan puasa dan ia tidak mendatangkan masalah.
"Saya juga memanggil beberapa pemain Piala Presiden untuk menjalani latihan untuk mengenal pasti mereka yang boleh diketengahkan," katanya.