Selasa, 16 Julai 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Kelantan hilang 6 tonggak hadapi Tampines Rovers

Posted: 14 Jul 2013 05:50 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Juara Piala FA, Kelantan yang bakal membawa cabaran negara pada Kejohanan Kelab FAM-FAS terpaksa menelan kepahitan apabila tidak dapat menggunakan enam tonggak yang kini bersama Harimau Malaya apabila melayani juara Liga Singapura 2012, Tampines Rovers pada 12 Ogos ini.

Semuanya gara-gara jarak masa perlawanan yang terlalu rapat dengan perlawanan persahabatan skuad kebangsaan dengan Barcelona pada 10 Ogos, iaitu hanya dibezakan dua hari.

Ini mungkin membuatkan jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak sanggup mengambil risiko menurunkan mana-mana daripada enam pemain terbabit.



Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, tarikh 12 Ogos iaitu hari kelima Aidilfitri adalah pilihannya memandangkan Piala Malaysia bermula 17 Ogos dan tarikh yang dicadangkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bersesuaian.

"Tarikh 12 Ogos ini kami sendiri yang minta kepada FAM setelah tidak bersetuju dengan tarikh asal iaitu selepas 6 Julai kerana Liga Super baru sahaja berakhir pada waktu itu.

"Malahan, semua pemain pun sudah diberi kelepasan, jadi agak sukar kalau mahu memanggil semua pemain semula, jadi kami fikir tarikh ini paling sesuai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Walaupun akur kemungkinan besar tidak dapat menggunakan enam pemain kebangsaan yang baru sahaja menghadapi Barcelona F.C pada 10 Ogos, Azman berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan pemain yang ada bagi berdepan Tampines.

"Ditolak dengan enam pemain yang mengikuti skuad kebangsaan dan jika Mohd. Badhri Mohd. Radzi serta Zairul Fitree tidak sempat pulih daripada kecederaan, hanya 16 pemain sahaja yang tinggal.

Enam pemain Kelantan yang sedang bersama pasukan kebangsaan adalah Azizi Mat Rose, Nik Shahrul Azim Mohd. Halim, Mohd. Nor Farhan Muhammad, Mohd. Shakir Shaari dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat manakala Badhri yang sebelum ini ada disenaraikan terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan.

Kelantan selaku juara Piala FA 2012 akan melayani Tampines Rovers di Stadium Sultan Muhammad ke-IV sementara satu lagi perlawanan di Stadium Jalan Besar pada 13 Ogos melibatkan juara Piala Singapura, Warriors F.C dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jang harap sentuhan Nazrin pulih reputasi

Posted: 14 Jul 2013 05:47 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Seremban: Negeri Sembilan mengharapkan sentuhan pemain muda Mohd Nazrin Mohd Nawi untuk memulihkan reputasi pasukan yang tercalar sepanjang saingan Piala Malaysia bermula 17 Ogos ini.

Pemain berusia 24 tahun itu dianggap permata dalam skuad Hoben Jang Hoben apabila memberikan sumbangan paling berkesan dalam menggerakkan jentera serangan pada sebahagian perlawanan terakhir saingan Liga Super.


Ini diakui jurulatih Ridzuan Abu Shah yang menyifatkan prestasi Mohd Nazrin amat membanggakan apabila menghidupkan barisan depan pasukan itu.

Katanya, biarpun tidak dapat mengubah pasukan di kedudukan tercorot carta liga, sumbangannya tidak boleh dinafikan dalam setiap perlawanan termasuk berdepan Sabah pada aksi play-off.



"Saya lihat prestasi Mohd Nazrin meningkat sejak mengambil alih tugas jurulatih dan dia mempunyai potensi besar untuk maju namun perlu berusaha lebih keras dan bersungguh-sungguh.

"Sehingga kini saya amat berpuas hati dengan sumbangannya dalam memantapkan lagi kekuatan pasukan terutama barisan depan dan sememangnya kita amat mengharapkan sentuhannya menghadapi saingan Piala Malaysia nanti," katanya semalam.

Menurut Ridzuan, penyertaan Mohd Nazrin dalam skuad kebangsaan sesuatu yang membanggakan kerana dia satu-satunya pemain Negeri Sembilan yang mendapat perhatian pengendali kebangsaan Datuk K Rajagobal.

Beliau berkata, pemain kelahiran Kelantan yang sudah menjaringkan enam gol itu diharap dapat meningkatkan prestasi dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan digunakan dalam membantu pasukan ketika berdepan cabaran getir nanti.

"Saya menaruh harapan tinggi kepada kemampuannya apatah lagi pasukan berdepan masalah ketumpulan barisan depan walaupun memiliki penyerang import dari Brazil, Leandro Barbosa Fabio," katanya.

Tiada tindakan buat Badhri: Rajagobal

Posted: 14 Jul 2013 05:45 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal membayangkan untuk tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap perancang tengah Kelantan Mohd Badhri Radzi yang boleh menarik nafas lega selepas gagal melaporkan diri di kem latihan pusat Harimau Malaya beberapa hari lalu.

Pengendali berusia 57 tahun itu ketika ditanya mengenai tindakan disiplin yang mungkin dikenakan terhadap Badhri berkata: "Tidak, dia sudah melaporkan diri... sekarang kita akan tengok (pemeriksaan kecederaannya)".



"Sekarang kita tunggu doktor dan ahli fisioterapi membuat pemeriksaan terhadap Badhri, lepas itu baru kita akan membuat keputusan berdasarkan tahap kecederaannya. Jika sempat pulih dia akan kekal di sini dan sebaliknya," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.

Badhri yang dikenali sebagai Piya mencetuskan kontroversi apabila tidak melaporkan diri untuk kem latihan skuad kebangsaan yang dijadualkan mengadakan beberapa aksi persahabatan dan kunjungan ke Jepun dalam masa terdekat.

Situasi itu mengundang reaksi keras pengurus skuad negara Datuk Seri Subahan Kamal yang dilaporkan berkata, tindakan tegas menanti pemain itu kerana gagal melaporkan diri di Wisma FAM, Khamis lalu dan bertindak mengeluarkan surat tunjuk sebab.

Pemain berusia 31 tahun itu dikatakan mengalami kecederaan hamstring dan diarahkan datang untuk melaporkan diri kepada Rajagobal bagi menjalani ujian perubatan dengan pegawai perubatan Jumaat lalu, namun gagal dengan memberikan alasan masalah penerbangan.

"Saya fikir semua pihak perlu faham polisi FAM. Semua pemain yang dipanggil perlu melaporkan diri walaupun mengalami kecederaan, hanya kecederaan teruk seperti tidak boleh berjalan kita boleh terima, (tidak hadir ke FAM) namun mestilah disertakan dengan laporan doktor.

"Seperti yang dilakukan Azamuddin Mohd Akil sebelum ini. Kita periksa dulu keadaan dia dan ternyata memerlukan tempoh lima minggu untuk pulih (patah jari)," katanya.

Badhri sebelum ini diangkat sebagai perancang tengah terbaik negara selepas menjulang Kelantan meraih tiga piala musim lalu. Malah kehebatannya berterusan tidak terhenti di situ apabila membantu Kelantan mempertahankan Piala FA musim ini serta menjadikan The Red Warriors empat pasukan terbaik Liga Super.

Kejohanan kelab FAM-FAS diperkenal

Posted: 14 Jul 2013 05:52 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

PETALING JAYA - Mulai tahun ini, juara Piala FA bukan sahaja merasai ganjaran beraksi di Piala AFC, namun bakal diberikan ruang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk berdepan juara dari Liga Singapura dalam pertandingan yang dipanggil kejohanan Kelab FAM-FAS.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Afandi Hamzah berkata, pertandingan ini adalah antara persefahaman yang telah dicapai dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam usaha peningkatan mutu bola sepak bagi kedua-dua negara bagi tempoh empat tahun akan datang.



Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mewakili Malaysia sementara cabaran Singapura didokong dua kelab, Tampines Rovers dan Warriors FC.

''Pada tahun ini, melalui jalinan kerjasama antara FAM dan FAS, satu pertandingan dinamakan kejohanan kelab FAM-FAS akan diperkenalkan dengan dua perlawanan melibatkan juara Liga Malaysia dan juara Liga Singapura iaitu antara juara Piala FA dan Piala Malaysia/Piala Singapura.

''Bagi tahun ini, juara akan diambil dari kejohanan tahun 2012 dengan Kelantan selaku juara Piala FA akan bertemu juara Liga Singapura iaitu Tampines Rovers, sementara satu lagi perlawanan melibatkan juara Piala Singapura, Warriors F.C dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengambil tempat Kelantan kerana merupakan juara.

''Perlawanan antara Kelantan dan Tampines akan berlangsung di Kota Bharu (Stadium Sultan Muhammad ke-IV) pada 12 Ogos manakala aksi ATM serta Warriors F.C akan diadakan di Singapura pada 13 Ogos," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, semalam.

Jadual perlawanan terbaharu itu pasti memberikan sedikit bebanan kepada pasukan Kelantan yang mempunyai enam pemain sedang menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan dan pada tarikh tersebut, mereka baru sahaja melalui pertemuan dengan Barcelona FC pada 10 Ogos ini yang hanya berselang dua hari.

Dalam perkembangan lain, aksi perlawanan akhir Piala Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 26 Oktober terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada Sukan Paralimpik yang telah menempah penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil.

''Setelah berbincang dengan mendalam, tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia telah ditetapkan pada 3 November iaitu pada hari Ahad kerana pada Sabtu, 2 November jatuh pada hari perayaan Deepavali.

''Manakala tarikh bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia adalah pada 18 serta 19 Oktober dan 25/26 Oktober bagi memberikan laluan kepada siaran langsung," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines