Selasa, 30 Julai 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Tragedi bola sepak negara

Posted: 28 Jul 2013 05:20 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan menyifatkan kekalahan memalukan Harimau Malaya 0-5 kepada kelab kedua tercorot J-League 1, Shonan Bellmare dalam aksi persahabatan kelmarin, sebagai satu tragedi bola sepak tanah air.

Mereka berkata, maruah Harimau Malaya dicarik-carik kerana kekalahan besar tersebut.

Lantaran itu, kata mereka tiada sebarang alasan yang boleh diberikan jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal untuk menutup kepincangan Harimau Malaya sebaliknya satu formula drastik perlu dicari untuk memperbaiki prestasi yang semakin merudum.



Antara orang lama yang lantang bersuara adalah bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, yang menggesa supaya rombakan perlu dilakukan bagi pasukan kebangsaan sebelum terlambat dan menyifatkan kekalahan itu sebagai memalukan.

"Apa lagi saya boleh cakap? Kalau saya cakap nanti orang marah. Namun memang kualiti pemain dan jurulatih kita masih di takuk rendah dan kekalahan besar sebuah pasukan berstatus kelab, memang memalukan sebagai pasukan negara.

"Kita kena sedar Liga Jepun yang berada di kelas A dan apabila kita kalah, apa lagi hendak ditunjukkan oleh Rajagobal. Saya fikir sudah sampainya satu rombakan drastik perlu dilakukan, kekalahan 0-5 sukar untuk diterima oleh semua peminat bola sepak Malaysia, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Tidak menafikan bahawa kekalahan terbaru itu pasti menjatuhkan moral dan keyakinan pemain dalam tempoh terdekat, Khalid mengingatkan pemain supaya ada perasaan malu apabila tewas sedemikian rupa.

"Jika mereka ada berasa malu, sudah tentu mereka takut untuk menghadapi peminat kerana sering kali mencatatkan kekalahan namun andai sebaliknya iaitu tiada lagi perasaan malu, saya fikir mereka ini bukan lagi pemain tulen dan jangan terlalu banyak lagi memberi alasan, " katanya.

Sebelum ini, Harimau Malaya tewas 0-2 kepada satu lagi kelab J-League 1, Shimizu S-Pulse dan akan melengkapkan siri perlawanan persahabatan di Tokyo dengan berdepan kelab J-League 2, Tokyo Verdy pada 31 Julai ini.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasan pula mempersoalkan sama ada Rajagobal mendengar atau tidak kritikan yang dilemparkan oleh pemerhati bola sepak atau sekadar menganggap itu satu perkara yang tidak perlu diendahkan.

"Saya tahu ada kalanya pandangan yang diberikan oleh mereka di luar padang tidak sama dengan mereka yang melatih. Namun terimalah sekurang-kurangnya teguran itu sebagai sesuatu yang positif, janganlah hanya pandang sinis sahaja dengan apa orang lain perkatakan dengan mengatakan benda-benda yang tidak sepatutnya seperti ranking tidak perlu.

"Mungkin tidak semua apa yang diperkatakan oleh saya atau bekas-bekas pemain lain itu betul tetapi pandangan kami semua adalah berdasarkan pengamalan kami sepanjang bergelar pemain dan sayangkan bola sepak negara.

"Satu lagi, janganlah kita terlalu asyik mengimbas kejayaan lalu seperti memenangi pingat emas Sukan SEA atau Piala AFF. Sudah sampainya kita fokus untuk memperbaiki prestasi dari masa ke semasa, kekalahan ini satu tamparan hebat kepada, sudah tentu JFA (Persatuan Bola Sepak Jepun) mentertawakan kita boleh kalah kepada sebuah pasukan kelab, " katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines