Khamis, 11 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Pupuk keluarga bersolat tarawih

Posted: 10 Jul 2013 05:12 PM PDT




SEJAK sedekad lalu, Ridzuan Yang, 55, mendidik ahli keluarganya menunaikan solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan. Paling mengagumkan, Ridzuan bersama isteri dan tiga anaknya tidak pernah gagal bertarawih di masjid yang berbeza di sekitar Lembah Klang.
Menetap di Ampang, Selangor, giliran masjid dimulakan di kawasan berhampiran rumahnya. Masjid di Kampung Melayu Ampang menjadi persinggahan pertama keluarga tersebut sebelum tradisi tarawih bertukar masjid diteruskan ke rumah Allah yang lain.
"Saya tidak mempunyai giliran tetap. Mana yang saya rasa praktikal untuk pergi, saya dahulukan dan pada penghujung Ramadan, saya sekeluarga pergi ke masjid yang jauh," ujar Ridzuan ketika ditemui Kosmo! di Masjid Asy-Syakirin, KLCC baru-baru ini.
Masjid kegemaran
Setakat ini, hampir semua masjid utama di Kuala Lumpur menjadi persinggahan keluarga Ridzuan seperti Masjid Negara, Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid Jamek. Masjid paling jauh yang pernah mereka kunjungi ialah Masjid Putra di Putrajaya.
Apabila bertukar-tukar masjid, sudah tentu ada sebuah masjid yang menjadi kegemaran keluarga Ridzuan. Katanya: "Masjid Darul Ehsan di Taman TAR, Ampang merupakan masjid kegemaran kami sekeluarga. Setiap tahun kami pasti bertarawih di situ. Kelunakan suara imam di masjid itu menambat hati kami. Tambahan, imamnya masih muda dan merupakan lulusan tahfiz dari Mekah."
Ziarah masjid yang dilakukan keluarga Ridzuan banyak manfaatnya. Bukan sahaja perbezaan suasana dan jemaah pelbagai latar belakang yang ditemui bahkan budaya sesebuah masjid itu dapat dipelajari Ridzuan sekeluarga.
Ketika inilah, Ridzuan menilai keberkesanan tugas-tugas ahli jawatankuasa masjid di sesuatu tempat. Penyediaan infrastruktur, kebersihan dan keselesaan yang disediakan dapat diperhatikan secara terperinci.
"Saya pernah berkunjung ke masjid yang masih menggunakan kipas. Kalau jemaah tidak ramai dan ruangnya besar tidak mengapa, tetapi jika pada masa itu masjid padat, ia boleh mengganggu jemaah ketika beribadat," kata ahli perniagaan tersebut.
Beliau juga menyarankan supaya pihak masjid menyediakan rak kasut sebagai kemudahan kepada para jemaah.
Selain kepuasan mempelajari budaya sesebuah masjid, tarawih di tempat yang berbeza memberi peluang kepada Ridzuan mengenal pasti bacaan pilihan imam di masjid-masjid yang dikunjungi.

TADARUS al-Quran beramai-ramai juga menjadi ibadah sampingan yang mulia selepas tarawih.


Kelunakan suara mengalunkan kalimah-kalimah Allah dalam bersolat menyentuh hati jemaah. Apatah lagi, apabila bacaan dilantunkan dengan jelas dan teratur.
"Sekarang saya boleh tahu bentuk bacaan di masjid-masjid yang saya kunjungi. Ada sesetengah masjid menggunakan surah panjang dan ada yang pendek. Selalunya kalau tarawih lapan rakaat, penggunaan surah itu sedikit panjang sebab jangka masa tarawih itu boleh dilanjutkan.
"Namun bagi saya kepantasan bacaan itu perlu diberi perhatian. Kadang-kadang ada imam di beberapa buah masjid baca terlalu pantas sehingga jemaah ketinggalan," ujarnya.
Bercakap tentang keistimewaan sesebuah masjid, Ridzuan menjelaskan ada yang menganjurkan sesi tazkirah selepas selesai empat rakaat tarawih.
"Sebagai orang luar yang datang ke masjid di mukim berlainan, saya rasa perkara seperti ini satu kelebihan yang sukar ditemui di tempat lain.
"Ia menunjukkan betapa ibadat tarawih itu tidak terikat pada solat sahaja malah boleh diselitkan dengan aktiviti keagamaan lain seperti tazkirah dan tadarus. Menerusi tazkirah ini, jemaah dapat berehat seketika sebelum sambung bersolat," jelasan Ridzuan.
Buka puasa
Menurut Ridzuan, proses pemilihan masjid kebiasaannya dilakukan sehari sebelum masjid dikunjungi. Sekiranya masjid yang hendak dituju terletak jauh dari rumah, Ridzuan sekeluarga bertolak lebih awal dan berbuka puasa di masjid.
Sekiranya orang lain sibuk mencari juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadan, Ridzuan sekeluarga tidak ralat menjamah kurma dan air kosong sebelum memulakan tarawih.
Isteri Ridzuan, Zubidah Omar, 53, pula tidak berdepan masalah menyediakan hidangan berbuka sepanjang bulan Ramadan. Suami dan ketiga-tiga anaknya tidak cerewet soal pemakanan malah tiada paksaan baginya untuk memasak.
"Jarang saya masak untuk berbuka puasa. Selalunya saya beli dan tinggalkan di rumah. Selepas pulang menunaikan solat tarawih barulah kami menikmati hidangan tersebut.
"Kalau pergi ke masjid yang jauh, selalunya saya bawa telekung siap-siap dan terus makan di luar selepas solat," cerita Zubidah yang menambah sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, keluarganya pulang ke kampung di Kampung Permatang Pasir, Banting, Selangor.

MASJID-MASJID di sekitar bandar raya Kuala Lumpur menjadi destinasi Ridzuan sekeluarga setiap kali menjelang bulan Ramadan.


Didik anak
Dalam tempoh lebih 10 tahun amalan bergilir masjid itu dilaksanakan, Ridzuan bersyukur kerana kesemua anaknya menunjukkan semangat tinggi untuk bertarawih. Mungkin agak skeptikal untuk melabelkan anak-anak muda sebagai golongan paling liat berjemaah di masjid terutamanya ketika bulan Ramadan.
Bagaimanapun, pendedahan awal yang dilakukan Ridzuan membuatkan anak-anaknya mudah menerima amalan itu. Baginya, mendidik anak kecil lebih mudah berbanding yang telah dewasa.
"Kalau dahulu, dua anak perempuan saya boleh dikecualikan ketika mereka haid. Namun anak bongsu lelaki saya memang wajib ikut. Dia pula tidak berasa terpaksa sebab rakan-rakan sebayanya pun ramai bertarawih.
"Cuma sekarang mereka sudah dewasa. Anak sulung saya sudah berkahwin, yang kedua pula telah bekerja dan anak bongsu pula menyambung pelajaran di universiti. Sukar untuk mengumpulkan mereka seperti dahulu tetapi apabila ada kesempatan, kami teruskan amalan bertarawih itu," ujar Ridzuan.
Sementara itu, anak kedua Ridzuan, Narita Ridzuan, 26, melihat tradisi bergilir masjid itu sebagai satu kepuasan yang hanya boleh diperoleh pada bulan Ramadan. Pada awalnya, dia mengakui terbit rasa malas dan bosan kerana terpaksa mengikut ibu bapa bertarawih setiap malam di masjid yang berlainan.
"Lama-lama saya rasa seronok. Selalu kalau hari biasa kami buat tarawih lapan rakaat namun bila hujung minggu, ayah galakkan kami bersolat penuh 20 rakaat termasuk tiga rakaat solat sunat witir," cerita Narita.

Isu jumlah rakaat tarawih

Posted: 10 Jul 2013 05:11 PM PDT



SOLAT tarawih mula dilakukan secara berjemaah pada zaman Saidina Umar al-Khattab. - Gambar hiasan


SEPERTI yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu kepada sunah aku dan sunah Khulafa ar-Rasyidin yang diberi petunjuk selepas aku. Peganglah ia (sunah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa menggigitnya dengan gigi geraham kamu."
Berdasarkan sabda yang dipetik daripada hadis sahih di atas, jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada umatnya agar mengikuti sunah baginda dan sahabat-sahabatnya.
Persoalan sunah tersebut turut merangkumi amalan solat sunat tarawih yang kini dilaksanakan umat Islam di seluruh dunia pada bulan Ramadan. Rasulullah sendiri mengerjakan solat tarawih ketika hidupnya.
Hukum tarawih
"Bagaimanapun pada zaman Rasulullah, ia tidak disebut tarawih. Ketika itu, dalam bulan Ramadan, Rasulullah dilihat bersolat pada waktu malam di masjid dan para sahabat yang berada di situ sepakat untuk bersembahyang bersama baginda.
"Pada malam kedua, jemaah baginda kian ramai membuatkan mereka berniat untuk meneruskan pada malam keesokannya. Namun pada malam ketiga atau keempat itu, baginda tidak hadir ke masjid dan solat tersebut diteruskan tanpa Rasulullah.
"Keesokan harinya, Rasulullah bertemu para sahabat dan memberitahu bahawa baginda tahu apa yang dikerjakan mereka pada malam sebelumnya. Baginda mengatakan bahawa tiada yang menghalangnya untuk keluar dari rumah melainkan kebimbangan solat itu bertukar menjadi kewajipan," jelas Ketua Penerangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Minda Pondok, Harun Yahya, 51.
Kesannya, hukum solat tarawih pada hari ini adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Mengimbau pelaksanaan tarawih, ujar Harun, solat sunat tersebut sering dihubungkan kepada seorang khalifah iaitu Saidina Umar al-Khattab. Seperti yang diriwayatkan seorang sahabat Umar, Abdul Rahman Abdul Qari yang bermaksud: "Aku keluar bersama Umar pada suatu malam pada bulan Ramadan ke masjid.
"Ternyata jemaah masjid bersolat secara berasingan. Ada yang solat bersendirian dan ada yang bersolat dalam jemaah yang kecil. Kata Umar, "Demi Allah, aku melihat kalau mereka dikumpulkan di belakang seorang imam itu lebih baik."

HARUN menerangkan bahawa keempat-empat mazhab dalam Islam mempersetujui bahawa solat sunat tarawih perlu dikerjakan sebanyak 20 rakaat.


Akhirnya, pada keesokan harinya semua jemaah bersolat tarawih mengikut seorang imam yang ketika itu dipimpin oleh Ubai bin Kaab.
Menyentuh isu bilangan rakaat tarawih, Harun berkata, berpandukan empat mazhab dalam Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, semua- nya sepakat mempersetujui tarawih perlu dilaksanakan sebanyak 20 rakaat.
"Cuma mazhab Maliki yang tampil dengan dua pendapat iaitu 20 dan 36 rakaat. Ia timbul atas alasan perbezaan ahli Mekah dan ahli Madinah. Di Mekah, selepas empat rakaat tarawih, jemaah melakukan tawaf, jadi solat itu ditetapkan pada 20 rakaat.
"Jemaah Madinah pula tidak bertawaf dan ibadah tersebut digantikan dengan penambahan rakaat kepada 36. Bagaimanapun, ia bukanlah pendapat muktamad dan ia masih diberatkan kepada 20 rakaat," tambah Harun.
Ketetapan ulama
Ibadah tarawih yang dikerjakan sebanyak lapan rakaat pula dikatakan terbentuk berdasarkan hadis Aisyah menerusi riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Rasulullah sama ada pada bulan Ramadan atau di luar bulan Ramadan tidak pernah solat melebihi 11 rakaat."
Begitupun menurut Harun, hadis Aisyah adalah berdasarkan apa yang disaksikan sendiri Saidatina Aisyah dan tidak semestinya diaanggap sebagai hukum.
"Tidak ada satu pun hadis dalam empat mazhab pegangan umat Islam mengatakan bahawa tarawih perlu dilaksanakan sebanyak lapan rakaat bahkan semuanya menyatakan 20 rakaat.
"Sejak dulu, para ulamak telah menetapkan hal ini dan ia tidak sewajarnya menjadi pertikaian berpanjangan.
"Jika kita mempertikaikannya, ia ibarat mempersoalkan pesanan Rasulullah yang meminta umatnya mengikuti sunahnya dan para khalifah.
"Dalam konteks tarawih, kita perlu bersandarkan amalan yang digariskan Saidina Umar. Beliau sendiri diberi gelaran al-Faruq oleh baginda yang bermaksud orang yang dapat membezakan antara yang haq dan batil.
"Apa yang dilakukan Umar dijadikan dalil dan di dalam fiqah, sunah-sunah yang dilaksanakan para sahabat nabi dijadikan hukum. Rasulullah juga pernah bersabda bahawa barang siapa yang mengikut sunah para sahabat, nescaya mereka akan mendapat petunjuk," ulas Harun.

Xperia Tablet Z kalis air

Posted: 10 Jul 2013 05:09 PM PDT



XPERIA Tablet Z selamat digunakan walaupun selepas terkena titisan air hujan.


SEMPENA pelancaran Xperia Z baru-baru ini, Sony Mobile Communication juga memperkenalkan satu lagi varian Xperia iaitu Xperia Tablet Z yang telah berada di pasaran Malaysia.
Berukuran 10.1 inci LTE dengan sistem operasi Android itu turut memaparkan reka bentuk keseimbangan Omni (OmniBalance) selain nipis (6.9 milimeter) dan ringan (495 gram).
Boleh didapati dalam dua warna iaitu hitam dan putih sama ada versi LTE atau WiFi. Ia merupakan tablet pertama yang menggunakan pemprosesan tidak segerak Qualcomm Snapdragon S4 Pro dan Quad Core.
Xperia Tablet Z juga merupakan yang pertama mempunyai tahap kalis air (IP55 dan IP57) iaitu yang paling tinggi pada peringkatnya. Ia menjadikan tablet itu kalis terhadap sebarang percikan atau tumpahan air.

Akses internet ketika melancong

Posted: 10 Jul 2013 05:08 PM PDT



SETIAP kali Hafiz Khalib, 32, mempunyai tugasan luar atau bercuti ke luar negara, pasti dia umpama hilang daripada dunia maya seiring dengan jasadnya yang tiada di Malaysia. Tidak ada sebarang kemas kini di Facebook atau Twitter, manakala akaun Instagram miliknya sepi daripada sebarang foto baharu yang dirakam walaupun sepatutnya lebih banyak dimuat naik.
Kadangkala, dalam satu-satu masa, baru semua akaun laman sosial miliknya dilihat dikemas kini, barangkali baru berjumpa dengan restoran atau premis yang memiliki sambungan WiFi.
Mungkin di beberapa negara yang mempunyai tukaran wang asing yang murah seperti Indonesia, Hafiz mampu membeli kad sim pascabayar negara itu.
Bagaimanapun, apabila berada di negara-negara yang mempunyai tukaran wang besar, maka langkah terbaik adalah dengan menghidupkan sistem perantauan (roaming).
"Tetapi, kosnya sangat mahal iaitu sekitar RM30 hingga RM40 sehari bergantung pada syarikat telekomunikasi," katanya ketika ditemui di Cheras, Selangor.
Ujarnya, talian internet sekarang amat penting terutamanya apabila setiap perkara seperti tempahan hotel dan pencarian tempat menarik boleh dibuat menggunakan peranti telefon pintar.
"Jika difikirkan dan membuat perkiraan secara teliti terhadap kos mencari hotel secara manual berbanding membuat tempahan dalam aplikasi dan terus ke hotel, sudah pasti ia menjimatkan.
"Namun, kos sehari kadar perantauan amat membebankan. Lagipun, sistem perantauan hanya boleh digunakan pada satu peranti," keluh Hafiz lagi.
Jika diteliti, situasi itu bukan sahaja dialami oleh Hafiz, bahkan ramai lagi yang berdepan kesukaran serupa saat mengembara di luar negara.

EDVARD (kiri) menerangkan cara penggunaan WiFi poket kepada pengguna yang terlebih dahulu perlu membuat tempahan.


Bagaimanapun, lelaki yang bekerja di salah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) itu kini mempunyai satu lagi opsyen baharu yang boleh melenyapkan masalah 'kehilangan' dalam laman sosial ketika ke luar negara.
Boleh diakses pelbagai peranti
Bagi para pengembara atau pelancong yang kerap bercuti ke luar negara kini boleh membuat persediaan dari segi talian internet dengan menempah WiFi poket untuk kegunaan di luar negara.
Berbanding dengan router (penghala) biasa yang terdapat di kebanyakan restoran yang memberi perkhidmatan percuma, saiz WiFi poket kecil dan boleh disimpan di dalam poket seluar.
Fungsinya sama, boleh menerima jaluran internet seterusnya disambung ke peranti-peranti lain seperti komputer riba, telefon pintar ataupun tablet.
Walaupun bilangan gajet yang diterima dalam satu-satu masa tidak sebanyak router biasa, tetapi lima hingga enam buah sudah memadai untuk kegunaan individu atau kumpulan kecil.
Dengan menggunakan kuasa bateri, ia boleh bertahan sehingga lapan jam dan boleh dicas dengan pengecas mudah alih.
WiFi poket merupakan sebuah alat mudah alih yang boleh menukar isyarat telefon bimbit seperti generasi ketiga (3G) menjadi isyarat WiFi.
Ia boleh dikatakan sebagai sebuah peranti mampu milik untuk perkhidmatan WiFi sesuai dengan penggunaan bilangan gajet yang minimum.
Peranti kecil yang boleh dimasukkan ke dalam poket itu juga mempunyai enkripsi dan kata kunci sebagai langkah keselamatan.
Benda yang ringkas dan kecil, tetapi sebenarnya amat sesuai untuk pengembara seperti Hafiz yang sering ke luar negara dalam kumpulan kecil.
Konsep sewa
Visondata merupakan sebuah syarikat baharu di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan WiFi poket.
Baru dibuka pada bulan Februari lalu dan mempunyai sebuah pusat sehenti di aras P1, pusat beli-belah The Garden, Kuala Lumpur, ia memberikan servis sewa WiFi poket.
TERDAPAT pelbagai jenis WiFi poket bergantung kepada tahap teknologi sesebuah negara.


WiFi poket yang disewa khusus untuk mereka yang sering ke luar negara tanpa mengira tujuan sama ada untuk berlibur mahupun bekerja.
Jadi, anda boleh terus berhubung dengan kenalan di tanah air sebaik sahaja menjejakkan kaki di lapangan terbang luar negara.
Visondata menawarkan sewaan WiFi poket bergantung kepada sistem wayarles sesebuah negara sama ada generasi keempat (4G) atau 3G.
Perbezaan yang terdapat antara 3G dan 4G terletak pada lebar jalur, kelajuan dan kemudahan router.
Peningkatan perkhidmatan wayarles tersebut dapat meningkatkan kebolehgunaan mod telefon bimbit seperti pelayaran laman web, penerimaan e-mel, sidang video dan banyak lagi.
Perkhidmatan yang disediakan oleh Visondata sangat mudah iaitu WiFi poket yang ingin disewa ditempah terlebih dahulu.
Peranti diambil pada tarikh yang dipersetujui di pusat sehenti mereka dan dipulangkan sebaik sahaja percutian tamat. Sebanyak RM200 perlu diberikan sebagai wang deposit dan dikembalikan setelah modem dipulang semula.
Bayaran sewa sehari serendah RM25 untuk kegunaan di Singapura sehingga RM50 untuk liputan di negara-negara benua Eropah.
Perbezaan harga disebabkan kebolehsediaan teknologi wayarles di sesebuah negara dan jenis moden yang digunakan.
"Setakat ini, kami menyediakan perkhidmatan WiFi poket di 13 buah negara. Jadi, kami mempunyai 13 jenis modem yang berbeza," terang ketua pemasarannya, Edvard Lee yang ditemui pada sesi pengenalan perkhidmatan tersebut di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.
Negara-negara yang mempunyai perkhidmatan yang disediakan oleh Visondata pula terdiri daripada tempat yang kerap dilawati oleh rakyat Malaysia seperti Thailand, Hong Kong dan Korea Selatan.
Sebenarnya, perkhidmatan sewaan WiFi poket sebegitu masih baharu waima di peringkat antarabangsa.
Visondata yang juga syarikat beribu pejabat di Hong Kong itu baru sahaja memulakan perniagaan pada akhir tahun 2012.
"Penerimaan penduduk di sana terhadap perkhidmatan ini amat menakjubkan terutamanya yang mahu ke Jepun. Penduduk Hong Kong amat gemar ke negara itu pada musim cuti kerana jarak yang dekat dan kadar tambang yang rendah," cerita Edvard.

Iftar lengkap Timur Barat di Harrods Cafe

Posted: 10 Jul 2013 05:06 PM PDT


SAJIAN tempatan menjadi menu istimewa sempena Ramadan di Harrods Cafe.


SEKALI-SEKALA berbuka puasa dengan juadah ala Barat pasti meninggalkan momen indah terutamanya apabila bersama teman istimewa.
Kunjungi Harrods Cafe yang terletak di pusat beli-belah Suria KLCC untuk merasai variasi produk minuman berasaskan teh selain hidangan menu signatur jenama terkenal dari England itu.
Tahun ini merupakan julung kali Harrods Cafe membuka pakej Ramadan dengan menawarkan dua konsep hidangan iaitu cita rasa tempatan dan Barat.
Seleksi cita rasa tempatan mempunyai tiga hidangan yang dipilih mengikut kegemaran masyarakat setempat.
Istimewanya, setiap menu yang direka khas oleh chef utama, Subramaniam Krishnan itu hanya terdapat di cawangan Malaysia.
Tiga hidangan utama cita rasa tempatan ialah ayam percik, kari asam jawa filet ikan kerakap dan rendang filet daging.
"Kami sengaja memilih dua konsep kerana setiap orang mempunyai selera yang berbeza. Hidangan Barat yang terdapat dalam pakej Ramadan ini sama seperti dalam senarai hidangan yang terdapat di Harrods Cafe," ujarnya ketika sesi previu bersama Kosmo! baru-baru ini.
Dengan hanya RM52++ untuk seorang, pengunjung bakal turut dihidangkan minuman signatur tempatan iaitu teh tarik. Namun uniknya, ia menggunakan teh terkenal Harrods, English Breakfast Tea.
Selain tiga hidangan utama, pengunjung akan dihidangkan sup pilihan harian, buah-buahan tempatan, kek, kuih-muih.

Dua konsep berbuka

Posted: 10 Jul 2013 05:05 PM PDT



MAKANAN laut menjadi antara seleksi menarik di sini.


SUNWAY Resort Hotel & Spa yang terletak di Petaling Jaya, Selangor menghidangkan 300 juadah sempena iftar Ramadan. Bagi memberikan kelainan hidangan, terdapat lima menu baharu yang ditukar setiap hari.
Selain itu, hotel tersebut memberi pilihan sama ada hidangan tempatan atau antarabangsa menerusi dua restoran berbeza. Fuzion Cafe menghidangkan makanan antarabangsa manakala Atrium Cafe menawarkan juadah tempatan.
Pengunjung boleh memilih makanan di 20 'gerai' yang menghidangkan variasi makanan laut segar, panggang, berbakar dan banyak lagi.
Jika memilih ke Atrium Cafe, pengunjung pasti tertarik dengan juadah istimewa seperti nasi lemak kukus, nasi minyak, nasi beriani gam, lemang bakar, ketupat daun palas, gulai kawah, serunding ayam dan serunding daging kuah kacang.
Terdapat juga kuih-muih tradisional antaranya tapai ubi, tapai pulut, kuih wajik, apam kelapa, pulut inti kelapa, kuih baulu, kuih tiram dan dodol.
Berada di Fuzion Cafe, hadirin boleh mengisi perut dengan makanan Barat seperti daging kambing gril dengan jus rosemary serta kentang kukus dengan bawang dan herba.
Inginkan makanan ala Asia Barat, hidangan seperti kumpir dan istanbul pilavi pasti menarik selera pengunjung.

Seleksi 70 juadah kampung

Posted: 10 Jul 2013 05:04 PM PDT


ANTARA juadah yang ditawarkan di Retro Cafe Vivatel Kuala Lumpur sempena bulan Ramadan ini.


SEMPENA bulan Ramadan ini, penuhi selera anda dengan berkunjung ke Retro Cafe di Vivatel Kuala Lumpur. Promosi bufet berteraskan masakan kampung menjadi taruhan Vivatel pada tahun ini.
Menu pilihan akan berganti secara harian bermula 16 Julai sehingga 4 Ogos depan. Sebanyak 70 juadah kampung termasuk sajian utama, pencuci mulut, minuman dan sup akan dihidangkan sepanjang waktu berbuka puasa di Vivatel.
Mulakan detik iftar anda dengan menjamah seleksi 30 pembuka selera seperti ulam, jeruk dan kerabu yang terdiri daripada ulam raja, kerabu nangka, acar jelatah dan jeruk cermai.
Di gerai sup pula, apa kata anda basahkan tekak bersama ikan pindang, kambing berempah, ayam rasa utara atau tomyam yang menggunakan resipi kampung terbaik.
Bagi sajian utama, pengunjung boleh memilih gulai ayam limau purut, ikan keli cili hijau, ketam lemak manis, gulai udang nanas, kambing hitam manis, daging gulai kawah kentang dan daging kurma bawang.
Mereka yang tidak memilih nasi untuk berbuka bolehlah mencuba menu seperti mi hailam, laksa kari, kuetiau sup utara dan yong tau fu.
Sajian istimewa lain yang boleh diperoleh di Vivatel ialah bubur lambuk, sushi dan pasta. Sempurnakan momen berbuka anda bersama pencuci mulut tempatan seperti bubur cha cha, kuih talam berlauk, ais kacang dan tidak dilupa, minuman wajib iaitu teh tarik Abang Ali.
Sambil menjamu selera, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan ghazal setiap hari.

Sajian Warisan Malaysia KDE

Posted: 10 Jul 2013 05:04 PM PDT



KIRA-KIRA 100 hidangan ditawarkan kepada pengunjung Restoran Duyong di Kelab Darul Ehsan, Ampang.


BULAN Ramadan ini, Restoran Duyong di Kelab Darul Ehsan (KDE), Ampang, Selangor menyajikan hidangan bufet Ramadan untuk para pengunjung bertemakan Sajian Warisan Malaysia.
Kira-kira 100 hidangan ditawarkan termasuk menu istimewa keladi masak asam, ikan patin masak tempoyak bersama keladi, ayam golek kuah percik, udang sambal petai dan pisang muda masak pucuk kaduk.
Selain lauk-pauk kampung yang menjadi cita rasa tradisi masyarakat Melayu, Restoran Duyong turut menyediakan masakan ala Cina seperti loh hon chai, udang har loh dan ketam sze chuan. Tidak lupa hidangan barbeku setiap hujung minggu.
Menu seperti kuetiau goreng, sate, lidah bakar dan soto turut disediakan. Selain itu, pencuci mulut dengan pelbagai pilihan pastri seperti agar-agar campur, tart buah-buahan, pulut durian dan air batu campur juga boleh dinikmati di restoran itu.
Sambil menikmati juadah berbuka, pengunjung juga berpeluang mengunjungi bazar Ramadan yang terletak di laluan pintu masuk Restoran Duyong. Pelbagai barangan dapat dibeli seperti aksesori wanita, kerongsang, beg tangan, telekung, tudung dan kuih-kuih raya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines