Selasa, 30 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Anzalna Nasir Cuti Panjang Untuk Sambut Raya

Posted: 29 Jul 2013 04:09 AM PDT

Anzalna bakal bercuti panjang bersempena Aidilfitri nanti.
PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir memberitahu akan bercuti selama dua minggu daripada sebarang aktiviti seni bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada Ogos nanti.
Anzalna, 24, berkata, dia mengambil cuti panjang itu kerana ingin menghabiskan masa bersama keluarganya kerana sebelum ini sibuk dengan kerjaya lakonannya.
"Tahun ini saya nak bercuti raya puas-puas kerana terlalu sibuk dengan kerja sebelum ini sehingga tiada masa bersama keluarga. Jadi kesempatan yang ada ini ingin saya gunakan berehat dan berkunjung ke rumah saudara mara yang sudah lama tidak berjumpa.
"Malah semenjak awal Ramadan lalu saya sudah memperlahankan aktiviti seni dan akan bercuti sehingga 23 Ogos depan," katanya kepada mStar Online.
Anzalna berkata, dia dan keluarganya akan menyambut perayaan itu di Muar, Johor terlebih dahulu sebelum berangkat ke Pulau Pinang.
"Tidak sabar untuk balik ke kampung ayah di Johor dan ibu di Pulau Pinang kerana kemeriahan yang berbeza-beza di dua tempat itu dan saya memang sukakan suasana desa," ujarnya.
Anzalna memberitahu dia turut menghabiskan masa pada bulan Ramadan dengan aktiviti bersama anak yatim dan pesakit kanser.
Dalam pada itu, Anzalna berkata, kedatangan bulan Ramadan ini juga dia mengambil peluang untuk lebih banyak melakukan kerja-kerja amal dan mengakui insaf apabila melihat penderitaan orang lain.
Katanya, selain menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dia juga turut bekerjasama dengan pihak Hospital Kuala Lumpur untuk meluangkan masa dengan 47 orang penghidap penyakit kanser.
"Saya banyak menghabiskan masa dan cuba menceriakan mereka kerana itu sahaja sumbangan yang mampu saya berikan agar mereka berasa sedikit terhibur di sebalik penderitaan yang dialami.
"Menerusi pengalaman itu juga saya banyak mengambil iktibar dan peringatan supaya dapat menjalani kehidupan lebih baik," katanya.
Sementara itu, Anzalna berkata, dia akan kembali ke set penggambaran drama Lady Gagah selepas bercuti nanti selain beberapa projek lain dan duta produk.

Liyana Jasmay Dedah Sikap Cemburu Suami

Posted: 29 Jul 2013 04:08 AM PDT


Liyana Jasmay
PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay menjelaskan suaminya, Fathuddin Mazlan masih mempunyai sifat cemburu yang menebal jika melihat dia berlakon dalam adegan-adegan cinta walaupun sudah hampir enam bulan mereka mendirikan rumah tangga.
Liyana, 25, berkata, Fathuddin, 29, juga mengambil pendekatan untuk tidak menonton adegan-adegan romantik lakonannya semata-mata mahu menepis perasaan itu.
"Sudah hampir enam bulan kami kahwin, suami saya masih tidak dapat menerima sepenuhnya perjalanan dunia seni saya malah dia sering kali meluahkan perasaan cemburunya jika melihat saya melakonkan adegan romantik.
"Tetapi saya faham, perasan itu wujud kerana dia mahu menjaga isterinya dan saya harus menjaga hatinya pula," kata Liyana kepada mStar Online.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan pada 2 Februari 2013 dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Hotel Seri Pasific, dekat sini.
Gambar fail majlis pernikahan Liyana dengan suaminya.
Jelas Liyana lagi, suaminya juga memberi syarat agar dia tidak melakonkan adegan keterlaluan selain perlu membatasi babak-babak bersentuhan dengan pelakon lelaki lain.
"Setakat ini jika ada mana-mana tawaran yang memerlukan saya bersentuhan dengan mana-mana lelaki, saya akan maklumkan kepada suami terlebih dahulu dan dia meminta saya agar tidak keterlaluan melakonkan adegan berkenaan," katanya.
Menurut Liyana, dia menggemari sikap cemburu itu kerana ia adalah petanda betapa si suami benar-benar mengambil berat dan sayangkan seseorang isteri.
Katanya, adalah satu masalah besar kalau seseorang suami tidak ada perasaan itu apatah lagi bagi seseorang pelakon yang perlu melakonkan watak-watak romantik, bersentuhan dan juga sesetengahnya di ranjang.
Bagaimanapun Liyana telah membuat keputusan untuk tidak menerima watak-watak romantik yang memerlukan dia berpelukan selepas berumah tangga.

Amar Asyraf Kurangkan Aktiviti Seni Untuk Sambung Belajar

Posted: 29 Jul 2013 04:07 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Asyraf terpaksa membatasi aktiviti seninya selepas mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Seni, Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) pada September ini.
Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 27, berkata, dia mengambil keputusan tersebut atas kesedarannya untuk mendalami lagi ilmu seni dari perspektif akademi.
"Saya sangat meminati bidang seni, harapan saya adalah untuk meramaikan lagi anak-anak seni tempatan yang mempunyai ilmu tentang seni.
"Kalau boleh juga saya mahu mengangkat seni teater dalam negara ini ke peringkat lebih tinggi kerana saya benar-benar mencintai dunia teater," katanya kepada mStar Online.
Tambah Amar, biarpun masih baru dalam bidang lakonan dia tidak pernah berasa rugi kerana terpaksa menolak tawaran-tawaran yang datang.
"Saya terpaksa mengambil tawaran yang saya rasa saya mampu untuk buat dan perlu bijak membahagikan masa lebih-lebih lagi antara keluarga, kerjaya dan pelajaran.
"Namun saya percaya jika saya tolak tawaran kerana belajar ia bukan sesuatu yang merugikan kerana masa depan saya mungkin lebih cerah," katanya.
Jelasnya, keputusan itu turut disokong oleh keluarganya yang lebih mementingkan pendidikan.
"Saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan, ibu saya dulu seorang guru, jadi mereka banyak beri galakkan untuk saya terus belajar terutama dalam bidang yang saya minati," katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Jun lalu ini berkata, rezeki selepas hidup berkeluarga lebih murah.
"Alhamdulillah selepas menjadi ahli keluarga saya rasa hidup saya lebih teratur dan ada arah tujuan berbanding hidup bujang.
"Saya percaya pada rezeki yang Allah beri dan bagi peminat yang meminati saya biarlah kerana lakonan saya," katanya yang turut dilantik sebagai duta Anugerah Syawal TV3.
Amar mendirikan rumah tangga dengan Arna Salleh pada 7 Jun lalu di rumah pengantin perempuan di Bidor, Perak.

Gosip Putus Cinta Tidak Benar, Roslan Shah Tetap Kahwin

Posted: 29 Jul 2013 04:06 AM PDT

Roslan bertegas akan tetap berkahwin pada hujung tahun ini seperti mana yang pernah dihebohkan.
PETALING JAYA: Berita kononnya Roslan Shah sudah putus cinta adalah tidak benar sebaliknya pengacara itu bertegas akan tetap berkahwin pada hujung tahun ini seperti mana yang pernah dihebohkan.
Roslan, 41, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia tetap dengan keputusannya untuk merahsiakan identiti wanita yang berasal dari Kelantan itu sehinggalah tiba waktunya.
"Sebelum ini memang saya ada uar-uarkan akan berkahwin dan akhirnya cerita itu sudah senyap. Sebenarnya saya masih bercinta dengan wanita berkenaan dan Insya-Allah akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini juga," katanya kepada mStar Online.
Roslan diminta mengulas desas-desus mengatakan percintaannya dengan seorang wanita dari Kelantan hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam dan hubungan itu dikatakan sudah pun putus.
Dalam perkembangan sama, Roslan berkata, bakal isterinya itu mengetahui tentang sifat dirinya yang lembut dan dapat menerima kekurangan tersebut.
"Bakal isteri tahu saya lembut dan itu bukan masalah kerana apa yang penting nawaitu kita terhadap sesuatu perkara.
Roslan bersama pengasas produk Vida Beauty, Datuk Dr Hasmiza Othman, Rozita Che Wan dan Siti Nordiana ketika rakaman program Diva De Vida.
"Saya sukakannya kerana dia sangat sporting dan memahami diri saya di sebalik kata-kata negatif yang sering dilemparkan oleh masyarakat terhadap saya," jelasnya.
Sementara itu, Roslan berkata, dia menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan rakan artis apabila mengetahui dia akan menamatkan zaman bujangnya.
Jelas Roslan, dia bersyukur apabila ramai yang gembira dan mendoakan perkara yang baik dengan keputusan itu namun turut mengakui terkilan apabila ada yang melemparkan kata-kata negatif.
"Ada yang mempertikaikan 'kemampuan' saya untuk berumah tangga hanya kerana sifat saya yang lembut dan pelbagai kata-kata negatif dilemparkan.
"Bukan kata-kata negatif yang saya harapkan daripada peminat dan masyarakat sebaliknya doa supaya rumah tangga itu nanti akan berkekalan sehingga akhir hayat," ujarnya.
Bagaimanapun kata Roslan, kata-kata tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya kerana dia sedar keputusannya untuk berkahwin adalah sesuatu yang baik dan murni.
Roslan memberitahu dia sangat bersyukur kerana akhirnya diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program televisyen.
Dalam perkembangan lain, Roslan berkata, dia kini sedang sibuk dengan rakaman program bual bicara kendaliannya berjudul Diva De Vida yang memfokuskan kepada topik kecantikan, kesihatan dan hiburan.
Jelas Roslan, dia sangat terharu diberikan peluang sebagai pengacara oleh penerbit eksekutif program berkenaan iaitu Datuk Dr Hasmiza Othman yang juga pengasas produk Vida Beauty.
"Ini adalah kali pertama saya menggalas tugas sebagai pengacara program televisyen dan sangat berbesar hati diberikan peluang oleh Astro dan Datuk Hasmiza untuk mengendalikan program berkenaan.
"Walaupun sudah biasa dengan pengacaraan di pentas namun saya tetap rasa gementar kerana ini adalah pengalaman pertama saya," jelasnya.
Diva De Vida akan mula bersiaran pada minggu ketiga Aidilfitri setiap hari Isnin pukul 9 malam di Astro Prima.

Serina tak menang tangan

Posted: 29 Jul 2013 04:00 AM PDT




KETIKA bertemu dengan pelakon Serina Redzuawan pada majlis berbuka puasa anjuran Aquilla Emas dan Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini, ternyata dia kelihatan sedikit kurus berbanding beberapa bulan lalu.
Berkesempatan menemuinya selepas majlis berakhir, Serina mengakui yang berat badannya kini sudah menyusut sebanyak 12 kilogram sejak tiga bulan lalu berbanding 80 kilogram sebelum ini.
"Secara jujurnya saya tidak melakukan sebarang diet memandangkan saya seorang yang kuat makan. Namun begitu, saya cuma mengamalkan pengambilan makanan tambahan daripada produk kecantikan keluaran sendiri iaitu Anggun Serina.
"Sebagai seorang selebriti pastinya penampilan perlu dijaga dan diutamakan dan sudah tentu saya risau apabila berat badan naik. Kini saya berasa lega kerana mampu menurunkan semula berat badan yang ideal," ujarnya.
Bagaimanapun, anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu mendedahkan, faktor lain yang menyebabkan berat badannya susut disebabkan jadualnya yang terlalu sibuk sebagai pelakon, penerbit drama dan ahli perniagaan.
Ujarnya, kini dia sedang sibuk menguruskan syarikat produksi miliknya iaitu YKS Film Makers Sdn. Bhd. yang memang aktif menerbitkan drama bersiri dan telemovie.
"Sebelum ini saya cuma sekadar bergelar seorang pelakon sahaja tetapi kini saya turut bertindak sebagai seorang penerbit. Sekarang ini barulah saya dapat merasai sendiri pengalaman untuk menghasilkan sesebuah program.
"Kalau boleh saya memang tidak mahu mengharapkan sesebuah projek itu datang sendiri. Sebaliknya, saya sendiri yang akan menghasilkan kertas kerja dan turun padang berjumpa dengan pihak stesen televisyen," jelasnya.
Selektif pilih tawaran
Selain sibuk sebagai seorang penerbit, Serina turut memberi fokus kepada perniagaannya setelah membuka sebuah farmasi Cosway yang terletak di Kota Damansara.
Ujarnya, setelah hampir setahun membuka farmasi berkenaan, sambutan daripada para pelanggan sangat memuaskan. Namun begitu, dia bernasib baik kerana perniagaan tersebut dikongsi bersama rakannya yang bertindak sebagai pengurus.
"Dalam masa terdekat ini juga saya bakal membuka sebuah restoran khusus untuk makanan char kuetiau. Restoran yang diberi nama Char Kueh Teow Simply Delicious Penang Mai dibuka berhampiran dengan farmasi saya," ujarnya.
Melihat kepada kesibukannya dalam menjalankan pelbagai bentuk perniagaan, Serina turut ditanya sama ada dia masih lagi aktif berlakon atau sebaliknya memandangkan kelibatnya di kaca televisyen semakin berkurangan.
Tidak menafikan dia kini memang semakin kurang bergiat aktif dalam bidang lakonan, Serina menjelaskan bahawa sekarang dia terpaksa lebih selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima.
"Kalau melihat kepada jadual harian saya, memang tak menang tangan dibuatnya. Jadi, itu yang menyebabkan aktiviti lakonan saya menjadi terhad dan saya akan menerima skrip dan watak yang sesuai sahaja," jelasnya.
Tidak abai
Memandangkan jadual hariannya yang begitu padat, timbul persoalan tentang bagaimana dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tristen Tareef, 3, dan Isabella Saffiya, 2.
Tegas Serina, meskipun mengakui mempunyai masa yang terhad dalam menjalani kehidupan seharian tetapi dia tidak mengabaikan peranannya sebagai ibu dan isteri kepada Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.
"Tidak dinafikan dengan kesibukan saya sepanjang hari pastinya akan membuatkan diri berasa letih. Namun begitu, keletihan itu akan hilang sekiranya berada di samping anak-anak tercinta.
"Biasanya dalam seminggu saya akan mengambil masa dua hari untuk bercuti. Waktu tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk meluangkan masa bersama suami dan anak di rumah atau keluar berjalan-jalan bersama mereka," jelasnya.
Menurutnya, dia juga agak beruntung kerana mempunyai seorang suami yang cukup memahami kerjayanya sekarang dan memberi kebebasan buat dirinya untuk bekerja kuat.
"Suami memang mengizinkan saya untuk melakukan apa sahaja yang digemari. Cuma, dia ada berpesan supaya saya tidak sesekali melupakan peranan dalam kehidupan berumah tangga," ujarnya mengakhiri perbualan.

Dugaan penuh kenikmatan

Posted: 29 Jul 2013 03:59 AM PDT



TANGGAL 13 Disember 2012 pasti tidak akan dilupakan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kerana pada tarikh itu suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa terlibat dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi di New Zealand.
Kini selepas tujuh bulan kemalangan berlaku, Siti mampu tersenyum melihat kesihatan suaminya yang semakin pulih dan bersyukur dengan dugaan yang diberi Allah kepadanya sekeluarga.
"Sepanjang kami berkahwin, kehidupan sentiasa gembira dan tahun lalu kami diberi dugaan oleh Allah dengan kamala- ngan Datuk K. Memang tidak sangka perkara sebegitu akan berlaku.
"Kini selepas tujuh bulan, saya rasa sungguh cepat masa berlalu. Empat bulan pertama selepas kemalangan saya memberi perhatian dengan menjaga suami sahaja.
"Sedihlah tetapi bila saya kenang semula saat saya menjaganya, bagi saya itu satu nikmat kerana saya dapat berbakti pada suami. Bila suami sihat saya pula rasa pelik.
"Sebelum ini saya lakukan semua untuknya seperti suapkan makan, mencukur janggut dan memandikannya kerana selepas pembedahan, Datuk K hanya mampu terbaring sahaja," kata Siti.
Bercerita tentang Ramadan kali ini, saban tahun Siti pasti menjalani ibadah puasa di Mekah.
Namun tahun ini, Siti hanya menyambut Ramadan di tanah air sahaja disebabkan faktor kesihatan suaminya.
"Terkilan juga kerana setiap tahun saya dan suami pasti akan menunaikan umrah dan merasai nikmat puasa di Mekah. Tahun ini berbeza kerana kesihatan suami tidak mengizinkan.
"Sungguhpun begitu, saya tetap rasa seronok sebab dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga," katanya yang akan beraya di Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang.
Siti juga sempat menceritakan pengalaman kali pertamanya ke bazar Ramadan bersama anak-anak tirinya.
"Memang sudah lama sangat tidak ke bazar Ramadan dan tahun ini, kali pertama kami bersama-sama ke situ. Cukup seronok sebab berpeluang berkumpul bersama semua keluarga dan membeli makanan di bazar.
"Selama ini kami hanya akan berbuka di rumah atau saya akan sibuk menghadiri majlis berbuka puasa, langsung tidak berkesempatan ke bazar Ramadan.
"Sekali-sekala dapat peluang seperti itu, bagi saya itu satu pengalaman yang bermakna," ujarnya.
Nikmat hidup semula
- Datuk K
Selepas mempunyai pengalaman hampir dengan maut dan kini semakin sihat, Datuk K memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana membenarkan dirinya kekal bernafas di muka bumi ini.
Ceritanya yang ditemui dikediamannya baru-baru ini, ketika terbaring di katil hospital, pelbagai perkara berlegar dalam mindanya seperti kematian, lumpuh mahupun kecacatan kekal.
"Waktu saya tidak berdaya, saya terfikir adakah saya akan mati? Ketika itu saya banyak berdoa kepada Allah supaya panjangkan nyawa saya kerana saya belum bersedia untuk mengadap-Nya, amalan juga belum cukup.
"Saya katakan, kiralah segala amalan kebaikan yang pernah dilakukan dan panjangkan umur saya. Apa yang membuatkan saya kuat pada waktu itu, saya fikir tiga orang anak saya dan Siti yang memerlukan saya," ucapnya.
Sambung Datuk K, melihat keadaannya yang semakin pulih dan mampu menjalani tugas harian seperti biasa, membuatkannya lebih menghargai kehidupannya hari ini.
"Ramai rakan saya yang mengalami kecederaan seperti saya, mereka akan meninggal dunia atau lumpuh. Saya bersyukur kerana masih berpeluang menjalani ibadah puasa bersama keluarga. Sebelum ini saya tidak sedar betapa cepat masa berlalu dan betapa cepat nyawa kita boleh diambil
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan ujian Allah kepada saya. Kemalangan itu juga menyedarkan saya betapa saya mempunyai seorang isteri yang cukup baik, dia tinggalkan kerjanya demi menjaga saya sahaja," ujarnya jujur.
Beritahu Datuk K lagi, dia cukup terharu dengan cara Siti menjaganya sepanjang ter- lantar di atas katil tanpa mampu melakukan sebarang kerja termasuk menguruskan dirinya sendiri.
"Sebenarnya saya tersentuh dengan cara Siti menjaga saya sepanjang saya terbaring di atas katil. Dia menjaga saya dengan penuh kasih sayang sedangkan waktu itu saya seperti orang kurang upaya.
"Dalam kehidupan ini, susah untuk saya berjumpa dengan orang yang baik seperti- nya. Sebagai suami, saya doakan syurga yang teratas buat Siti," balas Datuk K.
Cuti bersama Siti
Datuk K yang masih menjalani rawatan fisioterapi setiap hari dan bersenam di gim lima hari seminggu mengatakan, doktor memberi masa selama tiga bulan untuk dia pulih sepenuhnya.
"Walaupun saya diberi ubat tetapi kata Tun Mahathir yang datang melawat saya di hospital, terapi dan senaman lagi penting. Ubat hanya membantu kesihatan kita hanya 30 peratus sahaja.
"Sebab itu saya merawat diri sendiri de- ngan bersenam untuk membina semula otot selain berurut secara tradisional. Sekarang mungkin orang lihat saya sihat tetapi tangan kanan saya masih bengkak dan leher saya masih belum pulih sepenuhnya," turut Datuk K.
Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, katanya, selain beraya di rumah keluarga, dia merancang untuk memberi keju- tan buat isteri tercinta.
Menurutnya, Aidilfitri yang tiba jatuh dalam bulan ulang tahun perkahwinan yang ketujuh bersama Siti.
"Kebetulan bulan raya tahun ini bersaaman dengan dengan ulang tahun perkahwinan kami iaitu 21 Ogos. Saya ingin membawanya pergi bercuti dan berehat kerana saya lihat dia pun penat bekerja.
"Mungkin selepas sambutan raya baru kami pergi bercuti. Lokasinya masih belum tahu, jika saya beritahu bukan kejutanlah namanya tetapi Siti ada menyebut dua tiga tempat yang dia ingin pergi, saya lihat dahulu mana yang sesuai," katanya tentang kejutan ulang tahun perkahwinan buat Siti.

Buat dosa dalam kereta peronda

Posted: 29 Jul 2013 03:58 AM PDT


ISHAK diiring keluar dari Mahkamah Sesyen semalam.


KOTA BHARU – Perbuatan keji seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor yang mencabul kehormatan seorang gadis berusia 15 tahun dan memaksanya melakukan seks oral di dalam kereta peronda berbalas apabila dia dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati Ishak Mahmud, 49, dari Kampung Kelubi, Pasir Puteh bersalah di atas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dilakukannya kira-kira empat tahun lalu.
"Saya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dengan itu tertuduh didapati bersalah untuk kedua-dua pertuduhan," kata Azman.

Ibu tiga anak sindrom Down rayu bantuan

Posted: 29 Jul 2013 03:55 AM PDT



SANG SETIA (tiga dari kanan) bersama cucu dan tiga anaknya yang menghidap sindrom Down di hadapan rumah mereka di Kampung Dendong, Batu Melintang, Jeli semalam.


JELI – Bukan satu tetapi tiga anaknya menghidap sindrom Down, sekali gus membayangkan kesukaran hidup yang terpaksa ditanggung seorang ibu tunggal kematian suami yang tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Dendong, Batu Melintang di sini.
Bekerja mengambil upah mencuci pinggan mangkuk di kedai makan dengan pendapatan RM20 sehari, Sang Setia Ismail, 52, tetap tabah menyara tiga daripada lima anaknya yang menghidap sindrom Down itu walaupun mereka sudah dewasa.
Tiga anaknya yang menghidap penyakit itu ialah Mohd. Sukri, 31, (anak sulung), Che Amran, 21, dan Che Zakaria, 19, manakala dua anak perempuannya, Noraini, 28, dan Che Noriah, 25, sudah berumah tangga.

Kaunter tiket bas masih lengang

Posted: 29 Jul 2013 03:53 AM PDT


SUASANA lengang di kaunter tiket di UTC Kuala Lumpur semalam walaupun Hari Raya Aidilfitri hanya tinggal dua minggu sahaja lagi .


KUALA LUMPUR – Bagaikan tidak mahu pulang beraya.
Beberapa perhentian bas di sekitar ibu kota kelihatan masih lengang tanpa orang ramai bersesak-sesak membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Bukan itu sahaja, tiket bas juga masih lagi banyak belum dijual ekoran orang ramai yang masih belum 'tergerak' untuk membelinya walaupun hanya tinggal dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba.
Tinjauan Kosmo! di Pusat Trasformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur, Hentian Bas Jalan Duta dan Hentian Putra di sini semalam mendapati, kebanyakan kaunter tiket bas tidak dikunjungi oleh orang ramai yang kebiasaannya akan berpusu-pusu membeli tiket bas, terutamanya pada hujung minggu.

Mia Sara ajak minum susu

Posted: 29 Jul 2013 03:50 AM PDT


MILK Mug pelbagai reka bentuk ditawarkan oleh Dutch Lady bagi menggalakkan kanak-kanak minum susu untuk tumbesaran dan kesihatan mereka.


DUTCH Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) bersama duta baharu bagi Susu Untuk Membesar Dutch Lady, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 8, telah melancarkan kempen Susu dan Sahur di MegaKidz, pusat beli-belah MidValley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kempen tersebut bertujuan menggalakkan kanak-kanak meminum susu sewaktu bersahur kerana ia mampu memberi tenaga ketika berpuasa.
Dalam usaha untuk memberi inspirasi dan galakan kepada kanak-kanak di seluruh negara, Mia Sara berazam untuk berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan ini.
Sambutan Ramadan kali ini juga dimeriahkan dengan azam Dutch Lady untuk mendermakan segelas susu kepada rumah anak yatim terpilih berdasarkan jumlah hari kanak-kanak yang berpuasa.
Mia Sara yang berpuasa sebulan penuh pada usia tujuh tahun membuat azam bersama-sama 20 kanak-kanak daripada Rumah Amal Siraman Kasih, Rawang, Selangor yang merupakan salah sebuah rumah anak yatim terpilih untuk kempen tersebut.
Pengaruh positif
"Kempen ini bukan sahaja menggalakkan kanak-kanak berpuasa dan meminum susu, tetapi memberikan mereka peluang untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.
"Sebagai selebriti kanak-kanak, kami yakin Mia Sara dapat memberikan pengaruh positif kepada kanak-kanak lain dengan menyemai gaya hidup sihat seperti meminum susu, berpuasa sepanjang bulan Ramadan serta mengambil berat terhadap golongan yang kurang bernasib baik," kata Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Anja Henze.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen tersebut boleh mendapatkan kalendar Susu dan Sahur secara percuma di kedai-kedai terpilih mulai 1 Julai lalu.
Kalendar berkenaan mengandungi tip dan petikan inspirasi daripada Mia Sara bagi menggalakkan kanak-kanak berpuasa.
Tandakan pada kotak di dalam kalendar bagi menunjukkan hari kanak-kanak berpuasa dan hantarkan kembali kepada Dutch Lady Malaysia sebelum 17 Ogos depan.
Selain membantu kanak-kanak kurang bernasib baik, lima pemenang bertuah berpeluang menyambut hari raya bersama Mia Sara pada bulan September ini.
Pada majlis sama, Dutch Lady Malaysia turut melancarkan Milk Mug baharu yang boleh didapati bermula dari 1 Julai sehingga 31 Ogos ini.
Milk Mug diperkenalkan agar kanak-kanak berasa seronok ketika menikmati susu.
"Di Dutch Lady, kami ingin menjadikan pengalaman meminum susu untuk membesar sebagai pengalaman yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.
"Jadi, kami telah menghasilkan pelbagai siri Milk Mug menarik yang sesuai mengikut peringkat umur kanak-kanak bagi menggalakkan mereka meminum lebih banyak susu," kata Anja.
Promosi berkembar
Dutch Lady Milk Mug juga boleh didapati dengan setiap pembelian pek promosi berkembar (2 Pek Susu 1 kilogram) bagi Susu Untuk Membesar Dutch Lady 123, Susu Untuk Membesar Dutch Lady 456 atau Susu Untuk Membesar Dutch Lady 6+.
Milk Mug ditawarkan dalam lima reka bentuk berbeza, The Bee (kuning), The Elephant (ungu) dan The Crab (merah) untuk kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun, sementara reka bentuk yang lebih terkini bersama tali ditawarkan dalam warna biru (untuk kanak-kanak lelaki) dan merah jambu (untuk kanak-kanak perempuan), buat kanak-kanak berusia empat tahun ke atas.
Bersempena pelancaran Dutch Lady Milk Mug, permainan video Facebook berjudul Moo-It, Moo-It yang dimulakan pada 15 Jun lalu turut diperkenalkan.
Peserta boleh menggunakan lima watak Milk Mug untuk merebut peluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM6,000.
Untuk keterangan lanjut tentang kempen Susu dan Sahur, Dutch Lady Milk Mug dan permainan video Facebook Moo-It, Moo-It, sila layari www.smartmoments.com atau www.facebook.com/DutchLady. SmartMoments.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines