Sumber: Berita Harian
Kuala Lumpur: Pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM musim depan perlu menyelesaikan segala tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum atau pada 31 Ogos ini.
Andai lulus syarat wajib itu, barulah pasukan terbabit boleh mendaftarkan penyertaan mereka untuk Liga Malaysia (Liga-M) 2014 menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak (SPMB) yang akan dibuka dari 2 September hingga jam 12 tengah hari, 30 September ini.
Ketua Jabatan Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Daud berkata, selain perlu mengisi lima borang yang ditetapkan dalam proses pendaftaran pasukan itu, setiap pasukan perlu menyertakan sekali antara lain wang deposit, surat penajaan, yuran liga serta borang pengisytiharan harta.
Polis, SPRM simpan
"FAM sudah memberitahu agensi terbabit supaya memberi senarai terbaru jumlah tunggakan KWSP, PERKESO dan LHDN semua pasukan supaya mereka dapat menyelesaikannya mengikut tarikh ditetapkan.
"Selain itu, proses pendaftaran turut perlu disertakan sekali deposit RM150,000 untuk pasukan Liga Super, RM100,000 Liga Perdana dan RM50,000 Liga FAM serta surat penajaan setiap pasukan iaitu RM3 juta untuk Liga Super, RM2 juta Liga Perdana dan RM500,000 Liga FAM.
"Mulai musim 2014 juga, setiap pemain dan pegawai pasukan perlu menghantar borang pengisytiharan harta kecuali Lions XII. Borang ini adalah sulit dan ia bukan akan disimpan oleh FAM tetapi pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," kata Ahmad Fuad pada Taklimat Pendaftaran Pasukan Liga-M 2014 di Pusat Konvensyen TM, semalam.
Ahmad Fuad yang juga Penolong Setiausaha Agung FAM menambah, satu lagi sesi taklimat akan diadakan selama tiga hari di Shah Alam selepas senarai lengkap pasukan yang akan bertanding dalam Liga-M 2014 disahkan.
"Selepas selesai pendaftaran pasukan ini, kita akan buka pula pendaftaran pemain yang akan ditutup pada 4 Disember depan," tambah Ahmad Fuad yang turut mengesahkan pasukan Tentera Darat akan menarik diri untuk Liga FAM 2014 dan digantikan pasukan lain.