Isnin, 15 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Asyraf, Khasif, Hafiz saling beringat

Posted: 13 Jul 2013 07:40 PM PDT




SUDAH lima hari Ramadan diraikan penuh istiqamah dengan pelbagai cara terutama solat sunat tarawih. Ganjaran puasa tidak hanya pada juadah lazat sebagai nikmat setelah seharian menahan lapar dan dahaga, namun bulan penuh berkat ini juga berlabuh dengan segala mukjizat pahala menerusi amal ibadah dan kegembiraan untuk dihadam oleh umatnya.
Mengajak tiga selebriti agama, Imam Muda Asyraf, Sharifah Khasif dan Hafiz Hamidun berkongsi keindahan serta definisi hiburan sepanjang Ramadan yang ditempuhi, tiga nama yang sengaja diberi gelaran ejen kerohanian itu melenturkan bicara seperti mutiara.
Perihal kenangan, amalan yang sudah dilupakan, kecenderungan serta tidak kurang juga peringatan untuk diri sendiri meruntun mekar daripada bibir mereka. Semuanya mengalir bagai wacana yang cukup mengesankan.
Ditanyakan kepada mereka sebagai mukadimah tentang perkara-perkara asas yang dilupakan pada bulan Ramadan atas keghairahan untuk menimbang pahala.
Seperti kata pendakwah yang dilahirkan dari pentas Imam Muda yang pertama, Asyraf berpesan agar persiapan sambutan hari raya khususnya baju raya hendaklah awal-awal lagi disiapkan. Kelihatan santai tetapi itu antara perkara yang kadang-kadang terlepas daripada ingatan.
"Dalam mana-mana ceramah sebelum ini, saya selalu berpesan supaya beli baju raya pada bulan Syaaban atau setidak-tidaknya pada minggu pertama bulan Ramadan.
"Sunat pakai cantik-cantik pada hari raya. Bila buat persiapan beli baju raya pada akhir Ramadan, ramai orang berbuka puasa tapi tak pergi solat Maghrib.
Ramai juga tidak akan berhenti membeli-belah walaupun sudah masuk waktu berbuka. Situasi itu akan menjadi pemandangan biasa," katanya sambil mengingatkan diri sendiri juga.
Ungkap Asyraf lagi: "Di negara-negara Arab, umat Islam di sana melakukan iktikaf di masjid ataupun bermalam di masjid. Nabi Muhammad SAW sendiri bermalam di masjid selama 10 malam terakhir Ramadan tanpa balik ke rumah. Namun, rasanya perkara itu susah untuk dilakukan oleh orang kita sekarang."
Melihat secara mudah, penasyid yang terkenal menerusi album Zikir Terapi, Hafiz pula menyahut.
"Dalam bulan puasa, ramai yang fokus terhadap amalan puasa sahaja sedangkan kita terlupa bahawa banyak perkara besar berlaku pada bulan Ramadan. Al-Quran juga diturunkan pada bulan puasa.
"Amalan tadarus sepatutnya lebih mudah. Semua pengguna telefon pintar ada aplikasi memuat naik al-Quran secara percuma. Sebenarnya, tiada alasan untuk tidak bertadarus.
"Kini, kita boleh khatam al-Quran dengan menggunakan telefon. Saya sendiri pun begitu, aplikasi itu ada di telefon tetapi aplikasi lain pula yang kerap dibelek."
Bulan rezeki
Masuk ke dalam regu yang julung-julung kalinya disatukan dalam sebuah fotografi biasa, qariah terkenal, Sharifah Khasif tidak kekok berada di tengah-tengah antara Asyraf dan Hafiz.
Pengalaman merantau ke pelosok dunia sejak berusia 18 tahun menampakkan wanita bersuara emas itu cukup matang mengatasi usia.
Katanya, memandangkan Ramadan ialah bulan yang ditunggu-tunggu, sebagai orang Islam inilah masa yang tepat untuk berlumba-lumba beramal sebagai bekalan hari akhirat.
"Antara yang mudah tetapi kerap terlupa oleh kita semua ialah melakukan solat rawatib, iaitu solat sunat sebelum dan selepas solat fardu.
"Budaya memberi juadah kepada jiran sebelah-menyebelah juga kian terhakis. Kalau dulu, waktu di rumah ibu di kampung, amalan bertukar-tukar juadah dengan jiran merupakan suatu kebiasaan.
"Perkara itu juga dituntut dalam agama kerana ia pasti mendatangkan sifat kasih sesama jiran dan memupuk sifat tanggungjawab dan ambil tahu," kata Sharifah Khasif, 32, yang melebarkan sayap selebritinya dengan melancarkan album berjudul Al Husna.
Berbanding Asyraf dan Sharifah Khasif, Hafiz mungkin terlebih arif berhubung dunia hiburan atau muzik islamik yang diceburi. Masuk sahaja Ramadan, permintaan terhadap muzik islamik dan persembahan nasyid meningkat dua kali ganda berbanding pada hari-hari biasa.
Tidak hanya nyanyian lagu-lagu kerohanian, jemputan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta ceramah keagamaan juga melimpah-ruah.
"Ada yang panggil Ramadan sebagai bulan ibadah dan ada juga yang memanggilnya sebagai bulan rezeki. Hiburan juga tidak terlepas sepanjang bulan ini tapi carilah hiburan yang diredai.
"Sebagai orang dalam industri, terfikir juga bagaimana kita mahu mengimarahkan Ramadan dan jarang kita dengar tentang lagu Ramadan, yang banyaknya ialah lagu raya.
"Rasanya macam tak kena kalau kita sibuk dengan lagu raya pada bulan Ramadan. Jadi, salah satu caranya adalah dengan memperbanyakkan lagu-lagu bercorak islamik," ungkap Hafiz yang bakal melancarkan album Zikir Terapi 2 tidak lama lagi.
Menariknya, kata Hafiz, sepanjang bulan Ramadan ini lagu-lagu islamik seperti nasyid akan mendapat waktu siaran yang lebih banyak berbanding bulan-bulan biasa.
"Asalkan hiburan seperti persembahan selepas waktu berbuka dan tidak mencemarkan identiti dan sensitiviti bulan Ramadan, itu okey. Sebenarnya, Ramadan merupakan satu bulan yang harus menjadi tanggungjawab bersama," katanya.
Hiburan ikut syarak
Senyum sambil melepaskan satu kenyataan, bapa kepada seorang anak, penglibatan Asyraf dalam dunia hiburan sebenarnya sudah bermula sejak dia menjejakkan kaki ke dalam program Imam Muda beberapa tahun lalu.
Sementelah sudah mempunyai sebuah album berjudul Rahmatan Lil Alamin, Asyraf tetap bersifat fleksibel.
"Cakap pasal hiburan dan agama, ada ustaz yang hanya tumpu kepada ibadah, solat, zikir, baca al-Quran. Ada juga yang suka hiburan seperti dengar lagu-lagu islamik. Asalkan hiburan itu masih ikut syarak, ia okey.
"Namun, kalau hiburan itu dilihat dalam definisi yang lebih meluas, pesta berbuka, tarawih, moreh serta menjamu orang berbuka juga satu bentuk hiburan. Itu satu budaya yang bagus. Berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman juga satu hiburan dan keseronokan pada bulan Ramadan ini," ujarnya.
Mengkategorikan hiburan ke dalam beberapa bentuk dan tidak bertumpu hanya pada satu jurus sahaja, Sharifah Khasif setuju bahawa aktiviti mengimarahkan Ramadan juga merupakan satu bentuk hiburan.
"Al-Farabi satu nama yang sinonim dengan kesenian Islam pernah mengatakan bahawa seni itu indah, ia tidak dapat dipegang tetapi mampu dirasai dalam jiwa.
"Justeru, salah satu cara kita nak mengimarahkan Ramadan adalah dengan memperbanyakkan zikir selepas solat. Bukan setakat solat fardu malah solat sunat sebelum dan selepasnya.
"Amalan bertadarus, mengimarahkan masjid dan mengadakan majlis-majlis ilmu serta taklim seperti tazkirah, tilawah al-Quran termasuk hafazan itu juga boleh disifatkan sebagai hiburan," jelas qariah kelahiran Ipoh itu.
Mencondongkan pandangan terhadap kemeriahan penyiaran rancangan-rancangan bersifat kerohanian dan islamik di stesen-stesen televisyen serta permintaan persembahan oleh selebriti nasyid yang berlipat ganda, senario hiburan islamik bermusim pada bulan puasa itu sebenarnya masih merupakan situasi yang terpuji.
"Saya puji kerana masyarakat kini banyak yang berminat ke arah mencari ilmu bukan sahaja duniawi tetapi ukhrawi. Cuma pada bulan Ramadan, ia lebih sesuai andai diperbanyakkan," jelas Sharifah Khasif pula.
Berbuka dan sahur pada waktu yang ditetapkan manakala malam diperuntukkan untuk ibadah tarawih dan bacaan al-Quran, tuntutan sepanjang Ramadan ini dilihat Asyraf sebagai satu proses pendidikan yang terancang.
"Ini namanya pengurusan masa. Pengurusan masa ini yang dituntut dan diteruskan selepas bulan Ramadan nanti," kata Asyraf sebelum berakhirnya sesi bersama tiga ejen kerohanian yang sempat dipertemukan itu.

Qi-Nelydia sah bercinta

Posted: 13 Jul 2013 07:39 PM PDT


Qi-Nelydia sah bercinta
JIKA sebelum ini, Qi Razali dan Nelydia Senrose sering kali menepis dakwaan bahawa mereka bercinta, akhirnya Qi sendiri membuka mulut mengenai perkara itu.

Terbaru, Qi mengakui hubungan mereka berdua bukan lagi sekadar teman rapat tetapi telah bertukar menjadi pasangan kekasih.

Menerusi portal online, Qi berkata, dia tidak mahu terlalu tergesa-gesa dalam percintaan kerana tidak mahu peristiwa lama berulang lagi.

Qi berkata, pada mulanya hubungan mereka memang hanya sebagai rakan, namun sifat matang dan kelakar Nelydia berjaya menambat hatinya.

Bagaimanapun, masih awal untuk mereka memikirkan hal perkahwinan buat masa ini kerana mahu berjaya dalam karier terlebih dahulu.

Anzalna lebih berhati-hati

Posted: 13 Jul 2013 07:38 PM PDT


Anzalna lebih berhati-hati
Anzalna
HANYA kerana sekeping gambar bersama Fasha Sandha, Anzalna dikritik teruk oleh peminatnya. Menurut Anzalna, dia tidak menyangka gambar tersebut bakal mengundang reaksi negatif dari peminatnya.

"Semasa kami mengambil gambar ini, angin memang bertiup kencang.

"Namun setelah melihatkan perkara tersebut menjadi kontroversi, saya akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

Sejak insiden tersebut, aktres jelita itu mula mengambil langkah berhati-hati bagi menjaga hati peminatnya.

Sedikit mengenai gambar itu, ia memanglah gambar biasa. Namun jika diperhatikan, ia memperlihatkan anggota badan yang tidak sepatutnya menjadi tatapan umum.

Namun kenapa pula Fasha Sandha sanggup memuat naik gambar tersebut di laman instagramnya?

'Kampung Girl' Gandingkan Nad Zainal & Akim Ahmad

Posted: 13 Jul 2013 07:36 PM PDT


Nad Zainal dan Akim Ahmad.
PETALING JAYA: Selepas 'Sebenarnya Saya Isteri Dia' berjaya mencipta fenomena luar biasa saban minggu dan telah melabuhkan tirai pada minggu lalu, tumpuan beralih ke sebuah lagi drama siri romantik komedi 13 episod berjudul 'Kampung Girl' yang menampilkan Akim Ahmad sebagai Ashraf Khairi dan Nad Zainal sebagai Ainnur Azmi.
Diadaptasi dari novel popular oleh penulis Umi Kalsom (Karya Seni), Kampung Girl turut menampilkan pelakon Emma Maembong, Syafiq Kyle, Hilal Azman, Emma Akma, Fikhree Bakar, Ramona Zam Zam, Anne Abdullah, Reen Rahim dan Ramli Salleh.
Ia diarahkan oleh Heykal Hanifah manakala garapan skrip oleh Heykal sendiri bersama Eja Lorena dan Zakinah Ab. Zarith.
Kisah bermula apabila Ashraf Khairi, 28 tahun, anak bongsu pasangan ahli perniagaan, Tuan Shahir dan Puan Mazlin cuba dijodohkan dengan sepupunya sendiri, Ainnur Azmi, 25 tahun, seorang gadis kampung yang pada anggapannya tidak bekerja dan hanya menghabiskan masa dengan ayam itik di kampung.
Jiwa Ashraf mula memberontak. Dia mula mengatur strategi dengan menyibukkan diri di pejabat untuk memprotes dan menangguhkan hasrat ibubapanya.
Sejak kecil lagi Ashraf memang tidak menyukai Ainnur. Hanya kata cacian dan kutukan sahaja yang keluar dari mulut Ashraf bila bersama Ainnur.
Ainnur yang berasa tercabar dengan ejekan Ashraf telah menerima pinangan dari Puan Mazlin. Dia ingin mengajar Ashraf yang sombong dan bongkak itu.
Kampung Girl disiarkan menerusi slot Zehra, setiap Jumaat pukul 9.00 malam. Penonton yang terlepas menyaksikan drama siri ini di televisyen, boleh mengikutinya dengan melayari portal www.tonton.com.my.

Lana Nordin: Itu bukan saya

Posted: 13 Jul 2013 07:36 PM PDT


Lana Nordin
Lana Nordin
NAMA Lana Nordin tiba-tiba menjadi sebutan apabila dia dikaitkan dengan serbuan pihak penguat kuasa MPSJ di Pusat Siber Bandar Puteri, pada pertama Ramadan lalu.

Selain premis itu dipercayai tidak mempunyai lesen yang sah, pihak berkuasa turut mengesan seorang pelakon wanita dan rakan-rakannya di sebuah bilik VIP.

Paling memeranjatkan apabila pelakon itu dicekup ketika sedang leka bermain mahjung dan tidak berpuasa bersama seorang rakan perempuan dan dua lelaki bukan Islam.

Bagaimanapun, menerusi portal online, Lana menafikan dia terlibat dengan serbuan tersebut. Menurut Lana, dia bukanlah wanita yang dimaksudkan meskipun dia memang tidak berpuasa pada hari tersebut.

"Saya dah tiga hari demam dan saya akui ada berjumpa doktor untuk mendapatkan suntikan. Tetapi saya tidak berada di premis tersebut. Lagipun tak ada bukti mengatakan itu saya," katanya.

Raja Ema Tidak Fikir Cari Pengganti

Posted: 13 Jul 2013 07:34 PM PDT

Raja Ema enggan terlalu memikirkan soal perkahwinan.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi terkenal era 80-an, Raja Ema tidak serik untuk kembali berumah tangga walaupun telah dua kali gagal dalam perkahwinan.
Pemilik nama penuh Raja Ema Raja Ibrahim, 45, ini bagaimanapun berkata, pada usianya sekarang dia tidak terlalu memikirkan tentang soal perkahwinan dan menyerahkan soal itu kepada jodoh.
"Nak kata serik tu tidak kerana sudah tahu pahit manis berumah tangga dan pada usia sekarang ia bukan lagi tumpuan kerana jika ada jodoh, Alhamdulillah. Jika tiada bukan satu masalah," jelasnya kepada mStar Online.
Raja Ema sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Sheqal dan dikurniakan dua cahaya mata Putra Ammar, 18, dan Putra Ehsan, 16.
Dalam perkembangan sama, Raja Ema berkata, bukan mudah untuk mendapatkan pasangan yang benar-benar ikhlas dan jujur dan kerana itu juga dia selesa bersendirian.
Malah katanya, tumpuannya diberikan lebih kepada anak-anaknya dan mengakui mereka cukup rapat dengannya.
"Anak-anak adalah keutamaan saya dan mereka cukup rapat dengan saya terutama yang bongsu dan saya akan pastikan sebelum keluar ke lokasi penggambaran keperluan mereka disiapkan terlebih dahulu," jelasnya.
Sementara itu, Raja Ema berkata, dia juga bersyukur apabila hasratnya untuk kembali menyanyi tercapai dengan kemunculan single terbaharunya berjudul Warna Hatiku.
Turut tampil dengan album kompilasi Pertemuan Seribu Kenangan, Raja Ema berkata dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Jangan Biarkan Aku Menangis dan Kalau Dah Perempuan.

Sherry Ibrahim ‘rujuk’ kerana wang?

Posted: 13 Jul 2013 07:33 PM PDT


Sherry Ibrahim
Sherry Ibrahim
SEKITAR dua setengah tahun yang lalu, wanita yang kini berusia 30 tahun ini mengambil keputusan untuk meninggalkan lapangan seni demi cintanya terhadap tugasan di awan biru bersama Qatar Airways.

Biarpun ketika itu namanya sedang mekar di lapangan seni, Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim nekad untuk kembali bergelar pramugari.

Namun seandainya sudah tertulis jodoh dan rezekinya di lapangan seni, Sherry akhirnya akur untuk kembali biarpun sebenarnya dia hanya sekadar 'singgah' untuk mengisi masa terluang dan bukan juga kembali kerana wang semata-mata.

"Kontrak saya dengan Qatar Airways tamat pada Mei tahun lalu. Dek kerana cuti yang terlalu panjang, kena pula orang seperti saya yang tidak boleh duduk diam, jadi sahabat saya, Rizal Jaafar membantu saya mendapatkan peluang berlakon drama.

"Saya pun fikir daripada tidak buat apa-apa, apa salahnya berlakon sementara menantikan sesuatu yang lebih baik dan besar dalam hidup saya. Dengan bantuan Rizal, saya dapat peluang membintangi siri Setia Hujung Nyawa arahan pengarah berkaliber, Amie Maziah," katanya kepada Zass.

Akuinya, biarpun agak kekok pada mulanya, namun dia kembali menemui rentak dan menerima banyak tawaran lakonan.

"Saya pernah menyimpan hasrat untuk kembali menjadi aktres sebelum usia masuk ke angka 30 tahun.

"Alhamdulillah impian saya menjadi kenyataan dan selepas drama Setia Hujung Nyawa, saya mula terima banyak tawaran dan ada antaranya terpaksa saya tolak kerana kekangan waktu.

"Tidak lama selepas itu saya menerima tawaran untuk Teduhan Kasih. Pada mulanya saya tidak rasa apa-apa, tetapi selepas memasuki set, barulah saya terasa gentar untuk berganding dengan nama-nama besar seperti Adi, Nabila dan ke semua yang terlibat.

"Mujur mereka sangat membantu saya dan mengurangkan rasa debaran itu untuk menjayakan watak Iffa dengan baik," ujarnya.


Penangan Teduhan Kasih

Menyentuh mengenai lakonannya dalam drama Teduhan Kasih yang sudah menemui titik noktahnya minggu lalu, Sherry mengakui dia amat terkejut kerana drama ini menjadi satu fenomena.

Malah, dia turut menerima tempias daripada populariti drama terbabit apabila sering menerima teguran apabila berada di luar.

"Saya rasa agak terkejut dan teruja apabila keluar orang menjerit memanggil nama Iffa dan beritahu saya mereka tidak pernah terlepas menonton drama terbabit.

"Ada juga yang kata dah lama tak lihat saya berlakon dan banyak pujian positif diberikan. Dari sisi lain pula, ia dapat membuang sisi lakonan saya sebelum ini yang banyak membawakan watak antagonis dan komedi," jelasnya.

Sherry berkata, dia kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama terbaru terbitan Suhan Movies, Dia Tetap Ayah dan sebuah telefilem untuk RTM, Cinta Kapcai.

Selain itu, Sherry bakal terlibat untuk sebuah telefilem yang akan disiarkan Astro Prima pada bulan Ramadan ini.

Jangan kaitkan Ashraf Muslim

Baru sahaja kembali bertapak dalam bidang seni, Sherry terus diajukan kisah rumah tangga bekas kekasihnya, Ashraf Muslim.

Mengakui perkara itu sedikit mencalarkan reputasinya, akui Sherry, dia tidak gemar dikaitkan dengan kisah orang lain sementelah lagi Ashraf juga sudah mempunyai kehidupannya sendiri.

"Saya bukanlah ambil tahu sangat hal gosip-gosip. Apabila pertemuan pertama saya kembali ke lapangan seni bersama media dan saya ditanya mengenai perihal rumah tangga orang, ia agak 'spoil'.

"Mana tahu mungkin ada salah faham yang timbul dan mungkin ada yang terfikir saya juga antara artis yang gilakan kontroversi," katanya yang kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka dari Mauritius.

Bagaimanapun Sherry enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai identiti kekasihnya itu, tetapi terbuka berkongsi,

"Ya, saya sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang. Kami dah kawan lebih kurang setahun. Apa yang boleh saya katakan, dia hanya lelaki biasa," katanya yang masih belum merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Cakra Khan Tidak Abai Ibadah Puasa

Posted: 13 Jul 2013 07:32 PM PDT


Cakra Khan.
PENYANYI Cakra Khan memberitahu tidak mengabaikan ibadah puasanya walaupun sentiasa sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian dan aktiviti lain.
Cakra yang popular menerusi lagu Harus Terpisah itu berkata, sepanjang bulan Ramadan ini dia akan cuba menunaikan Rukan Islam ketiga itu sebaik-baiknya.
"Walaupun sibuk tetapi itu bukan alasan untuk tidak pergi solat Terawih dan perkara-perkara lain yang sepatutnya dilakukan semasa bulan Ramadan," jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman ini turut memberitahu gemar menghabiskan masa dengan bermain permainan video sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Cakra berkata dengan cara itu masa akan berlalu dengan lebih pantas kerana leka bermain permainan video.
"Selalunya saya main permainan video sementara menunggu berbuka puasa dan lebih senang memilih permainan yang ringkas," katanya.

Saluran Youtube Psy Capai Tiga Bilion Tontonan

Posted: 13 Jul 2013 07:31 PM PDT


Psy.
BINTANG pop Korea yang terkenal dengan lagu Gangnam Style iaitu Psy telah mencipta rekod baharu apabila saluran Youtube miliknya telah mencapai tiga bilion penonton berakhir pada 14 Julai lalu.
Billboard melaporkan, kejayaan penyanyi tersebut telah menjadikan Psy individu ketiga selepas Rihanna dan Justin Bieber yang melepasi angka tersebut.
Malah single terbaharunya berjudul Gentelman menjadi video paling banyak ditonton dalam masa 24 jam iaitu 38.4 juta pada hari ia dilancarkan pada 14 April lalu.
Ia turut mencapai 100 juta tontonan dalam masa empat hari mengatasi Gangnam Style yang mengambil masa selama dua bulan untuk mencapai angka sama.
Terkini, Gentelman telah ditonton sebanyak 475 juta di laman Youtube.

Akim, Nad tak pernah putus asa

Posted: 13 Jul 2013 07:29 PM PDT


cipta nama
LAMA atau baru, itu bukanlah kayu pengukur bagi individu yang bergelar anak seni untuk berjaya dalam karier yang mereka ceburi.

Kesungguhan dan minat yang mendalam seseorang artis dalam menjalani karier mereka merupakan perkara penting dalam memastikan ianya terus berkembang dengan baik.

Bagi bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh, Akim Ahmad biarpun bakatnya mula diasah menerusi bidang nyanyian namun itu bukan penghalang buat dirinya mencuba nasib dalam bidang lain dalam industri hiburan tanah air.

Turut memiliki bakat dalam bidang lakonan, Akim juga memberitahu dirinya kini mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan.

Berlainan pula dengan pelakon genit, Nad Zainal yang akui penantiannya selama lima tahun dalam industri lakonan kini amat berbaloi setelah lakonannya mula diterima ramai.

Malah gandingannya bersama Akim menerusi drama terbaru Kampung Girl di slot Zehra, TV3, bakal mencuri tumpuan ramai sempena Ramadan ini.

Berada dalam zon selesa: Nad

Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Akim menerusi drama tersebut, Nad memberitahu kerjasama sebelum ini membuatkan mereka mudah mencapai keserasian.

"Akim seorang yang senang untuk bekerjasama. Walaupun pada awal-awal penggambaran dia agak pemalu, tapi semuanya berubah setelah kami mendapat keserasian mendalami karakter masing-masing.

"Memandangkan drama ini mengetengahkan elemen romantik komedi, banyak momen kelakar yang kami lalui bersama dan bagi saya drama ini tidak banyak cabarannya," katanya.

Bertanyakan mengenai tawaran lakonan, aktres yang mula dikenali menerusi drama 'Memberku Hawa' bersyukur kerana semakin rancak menerima tawaran.

Menurut Nad, lima tahun berada dalam industri pelbagai cabaran telah dilaluinya sebelum dia berada di zon selesa sekarang.

"Kalau mahu cakap pasal tawaran yang tidak putus, ianya berlaku baru-baru ini sahaja. Sebelum ini saya memang berusaha keras untuk sampai ke tahap ini.

"Saya bersyukur kerana penantian saya amat berbaloi dan selagi termampu saya akan lakukan yang terbaik supaya tidak mengecewakan peminat yang selama ini menyokong kerjaya saya," ujarnya.

Akim mahu lebih versatil

Melihat perjalanan seninya, boleh dikatakan Akim kini semakin rancak menceburi bidang lakonan.

Selain terlibat dalam Kampung Girl, dia juga bakal tampil dengan sebuah drama, Abang Long Vs Kak Yong lakonan bersama Yana Samsudin pada sambutan Aidilfitri ini.

"Alhamdulillah, bila rezeki datang pada saya, kenapa tidak saya ambilnya. Lagi pun secara tidak langsung bidang lakonan turut bantu mempromosikan bakat saya untuk kebaikan saya dan juga peminat.

"Saya mahu menjadi lebih versatil dengan bakat yang ada. Sebagai seorang penggiat seni, kalau boleh saya mahu mengembangkan karier dengan pelbagai bidang," katanya yang kini bergelar pengacara untuk program Mencari Ramli, TV3.

Menyentuh mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Akim gembira kerana percubaan pertamanya dalam menghasilkan lagu tulisan sendiri berjaya mencuri tumpuan pendengar tempatan.

"Lagu kembali duet antara saya dan Stacy setakat ini sambutannya amat menggalakkan. Ia juga berjaya mendapat tempat di beberapa carta lagu tempatan.

"Boleh dikatakan ini satu platform baru buat saya untuk terus kembangkan karier nyanyian saya selepas ini," katanya.

Barang terpakai serendah RM1

Posted: 13 Jul 2013 07:24 PM PDT


Barang terpakai serendah RM1
Salah sebuah kedai yang menjual barangan terpakai di simpang empat Benut.
PONTIAN - Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan terpakai dengan harga  serendah RM1 jika berkunjung ke kawasan Simpang Empat Benut, dekat sini.

Antara barangan yang ditawarkan seperti pakaian, barangan elektrik, perkakasan rumah sehinggalah barangan kulit dan berjenama dijual sepanjang deretan kedai yang beroperasi bermula dari jam 9 malam sehingga lewat pagi.

Peniaga, Samsudin C Ani, 54, berkata, tiada harga tetap yang diletakkan oleh peniaga dan pembeli perlu membuat tawar menawar.

"Saya sudah berniaga di sini sejak tujuh tahun lalu, orang ramai yang datang ke sini untuk membeli dan  melihat barang yang dijual  semakin bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

"Sehingga kini terdapat limapeniaga yang menjalankan perniagaan barangan terpakai yang diambil dari Singapura," katanya.

Menurutnya, permintaan barangan berjenama atau kulit menjadi pilihan utama pembeli yang sentiasa menantikan barangan tersebut pada harga yang cukup murah.

"Selain itu, barangan antik turut dijual di sini, di mana peminat barangan antik  sanggup datang dari jauh bagi mendapatkan barangan yang  mereka cari," katanya.

Manakala, bagi peniaga Abd Latif Rostam, 64, dia gembira perniagaan barangan  terpakainya mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, pusat perniagaan tersebut mudah untuk ditemui memandangkan ia terletak di persimpangan empat  yang menjadi laluan dari Simpang Renggam dan Batu Pahat ke Pontian seterusnya ke  Johor Bahru.

"Pembangunan di kawasan simpang empat initerus berjalan rancak dengan pembukaan pusat perdagangan baru di Benut," katanya.

Bagi pengunjung, Jumat Jaafar, 56, dia akan berkunjung ke kedai barangan terpakai di sini untuk mencari barangan terpakai yang masih elok untuk digunakan.

"Siapa kata barangan terpakai tidak elok, saya pernah membeli kipas angin di sini. Sudah tiga tahun saya guna dan masih elok sehingga  sekarang," katanya.

Air kelapa bakar Sofiyyuddin tarikan ramai

Posted: 13 Jul 2013 07:19 PM PDT


Air kelapa bakar Sofiyyuddin tarikan ramai
Sofiyyuddin menyusun kelapa yang telah siap dibakar di gerainya di Permatang Badak, Kuantan.
KUANTAN - Percubaan kali pertama Sofiyyuddin Sarani, 28, memperkenalkan resipi baru dalam air kelapa bakar sempena Ramadan kali ini ternyata mampu membuatkannya tersenyum lebar melihat hasil yang diperoleh setiap petang.

Gabungan madu dan gula melaka dalam air kelapa bakar yang dijual membuatkan minuman itu lebih digemari dan berkhasiat.

"Saya mula jual air kelapa bakar lima bulan lalu tetapi sambutan sebelum ini agak hambar, satu hari dua atau tiga biji saja boleh jual.

"Alhamdulillah, Ramadan ini rezeki saya berlipat kali ganda, ramai pula yang gemar berbuka dengan air kelapa bakar," katanya.

Kata Sofiyyuddin, pada awalnya pelanggan berkunjung ke gerainya untuk membeli air kelapa biasa, tetapi apabila diperkenalkan dengan kelapa bakar mereka mula membelinya untuk mencuba.

"Air dan isinya lebih sedap daripada kelapa biasa, bahkan mempunyai pelbagai khasiat termasuk mampu mengurangkan kadar kolesterol, menambah tenaga, melegakan sakit pinggang dan badan," katanya ketika ditemui di gerai kelapa bakarnya di Permatang Badak, di sini.

Katanya, dia mengetahui keistimewaan kelapa bakar daripada rakannya dan selepas beberapa kali mencuba akhirnya berjaya menghasilkan kelapa bakar dengan baik dan enak.

"Saya buka gerai jam 4 petang setiap hari kerana untuk membakar kelapa sehingga masak memerlukan masa agak lama," katanya.

Segelas air kelapa bakar dijual dengan harga RM2.

Larikan lembu ketika solat Jumaat

Posted: 13 Jul 2013 07:10 PM PDT


Tidak tahu malu!
Mohd Hariri (dua kanan) melihat lembunya yang hampir dilarikan empat lelaki dalam kejadian di Kampung Pedah, Jerantut, kelmarin.
JERANTUT - 'Tidak tahu malu.' Itulah ungkapan sesuai untuk empat lelaki kerana cuba melarikan seekor lembu ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat, pada bulan Ramadan pula.

Namun cubaan empat lelaki itu tidak berjaya apabila perbuatan mereka berjaya dihidu penduduk Kampung Pedah, di sini, kelmarin.

Pemilik lembu, Mohd Hariri Muhammad, 47, berkata, dia menyedari lembunya dicuri apabila dihubungi seorang rakannya, Mohd Lotfi Sidek, 47.

"Ketika pulang dari Masjid Kampung Jerantut Feri, kawan saya lihat seekor lembu terbaring di tepi jalan dan terdapat sebuah Proton Iswara Aeroback warna kelabu yang mencurigakan.

"Dia terus hubungi saya maklumkan perkara itu dan saya bergegas ke tempat kejadian sebelum terserempak dengan kereta yang dinaiki lelaki berkenaan berhampiran simpang ke laluan utama Jalan Jerantut-Maran," katanya.

Mohd Hariri kemudiannya terus mengejar kereta itu dan sebaik menghampiri simpang ke Kampung Paya Gunung, kereta terbabit terbabas, manakala empat lelaki tersebut melarikan diri.

Tidak sempat kejar

Katanya, dia yang berseorangan ketika itu tidak sempat mengejar keempat-empat lelaki berkenaan dan bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

"Saya percaya lelaki itu penduduk kampung ini," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah sekolah menengah, di sini, berkata, sebanyak 28 ekor lembu miliknya hilang sebelum ini dengan kerugian lebih RM40,000 dan kelmarin dia hampir kehilangan seekor lagi.

"Saya memiliki 88 ekor lembu sejak bergiat aktif sebagai penternak pada 1988.

"Sebelum ini kes curi lembu berlaku pada tengah malam, waktu Subuh dan berbuka puasa, namun mereka mungkin terpaksa ubah taktik kerana menyedari penduduk kampung sentiasa meronda pada waktu malam berikutan kes pecah rumah yang semakin berleluasa," katanya.

Ubah suai kereta

Dalam kejadian kelmarin, pencuri terbabit disyaki menggunakan kaedah sumpitan ubat pelali untuk melemahkan lembu berdasarkan alat menyumpit yang ditemui dalam kereta yang terbabas dan turut ditemui sebilah pisau dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri itu.

Malah kereta berkenaan juga telah diubah suai untuk mengisi lembu di ruang tempat duduk penumpang bahagian belakang.

Difahamkan, dua daripada suspek telah melarikan sebuah motosikal jenis Honda EX5 warna biru milik penduduk kampung sebelum meninggalkannya di tepi jalan kira-kira 200 meter dari simpang Kampung Paya Gunung.
Polis buru suspek

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, gerakan memburu semua suspek sedang giat dilakukan.

"Semua barang kes termasuk kereta dan alat yang digunakan untuk mencuri lembu telah dibawa ke balai bagi membantu siasatan.

"Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan kerana mengkhianati haiwan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil di balai polis berhampiran," katanya.

'Pulanglah segera, nak'

Posted: 13 Jul 2013 07:07 PM PDT


'Pulanglah segera, nak'
Darmawati mencium baju kegemaran Hani bagi melepaskan rindu.
Hani Syamira Alias
Hani Syamira Alias
REMBAU – "Tolonglah pulang segera, nak," rayu Darmawati Idris, 53, kepada anak ketiganya, Hani Syamira Alias, 17, yang menghilangkan diri sejak 3 Julai lalu.

Darmawati yang bekerja sebagai penyelia asrama salah sebuah sekolah menengah di daerah ini terpaksa bercuti sejak Selasa lalu akibat mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, dia bimbang dan gusar apabila Hani gagal dihubungi apabila kali terakhir anaknya itu menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada anak bongsunya, Amirul Hakim, 16, Ahad lalu menyatakan dia tidak dapat pulang kerana kereta milik ibu rakannya rosak.

Bagaimanapun, katanya, SMS berkenaan tidak berbalas, manakala panggilan tidak berjawab sebaik saja Amirul membalas SMS bertanya bila kakaknya mahu pulang.

"Puas sudah kami sekeluarga mencari Hani melalui rakan-rakannya, namun mereka tidak mengetahui di mana dia berada.

"Sejak Hani hilang, saya sering menunggunya pulang ke rumah dan setiap kali itu saya akan duduk berhampiran pintu rumah," katanya.

Darmawati berkata, dia pasti punca kehilangan anaknya itu kerana Hani tidak mempunyai masalah dengannya, malah sehari sebelum menghilangkan diri, Hani sempat membantu memandikannya kerana dia kurang sihat.

"Anak saya sememangnya sering menjaga saya semasa sakit dan sanggup menemani saya semasa ditahan susulan penyakit kencing manis selama berminggu-minggu di wad Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan Hospital Tampin tahun lalu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota Indah, dekat sini, semalam.

Berikutan kehilangan itu, Darmawati membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Kepada sesiapa yang mengetahui atau melihat Hani, boleh menghubungi talian 019-6137877 atau memaklumkan ke mana-mana balai polis terdekat.

Saya mohon maaf - Alyah

Posted: 13 Jul 2013 07:02 PM PDT





CERITA pergaduhan antara Alyah serta pengurusnya Syuib dengan pengarang hiburan sebuah organisasi media sudah tidak dapat ditutup lagi.
Semakin memburukkan keadaan, Alyah dikatakan mengambil tindakan untuk memboikot pihak media terbabit. Seperti yang semua sedia maklum, media dan artis saling memerlukan antara satu sama lain. Hubungan baik yang bertahun-tahun terbina akhirnya lebur oleh sebab yang remeh.
Perbalahan yang dikatakan berpunca daripada salah faham itu menjadi berapi-api apabila kedua-dua pihak mula berkira-kira untuk memboikot antara satu sama lain.
Penyanyi Kisah Hati tersebut dikatakan menyalahkan media berkenaan gara-gara artikel yang berjudul Alyah Tunggu Pinangan Ramli MS.
Tidak berpuas hati terhadap fakta dan cara penulisan artikel terbabit, pihak pengurusan Alyah mengugut untuk memboikot media terbabit.
Isu yang berlaku antara Alyah bersama pengarang dan akhbar itu muncul semula apabila sebuah lagi artikel yang bertajuk Alyah Mahu 'Gam' Media? turut disiarkan.
Sejurus artikel berkenaan tersebar, penyanyi yang kini sudah berhijab menjadi terpinga-pinga. Dia terkesima dan tidak menyangka perkara itu menjadi satu isu yang besar.
Hatinya rusuh dan fikirannya ditimpa pelbagai persoalan. Hasil temu bual menerusi telefon, Alyah mendakwa jadualnya sangat padat untuk dia bertemu para petugas media bagi menjernihkan situasi.
Ketika sedang melakukan latihan nyanyian, dia meminta kebenaran untuk memberi mesej berupa teks untuk diterbitkan.
Dengan harapan agar situasi itu tidak berlarutan atau menjadi bertambah keruh, Alyah mengaku dia bersedia meminta maaf jika kesalahan itu dilihat datang daripada pihaknya.
Berikut merupakan isi teks mesej yang disampaikan oleh penyanyi itu berkaitan selisih fahamnya dengan media itu dengan pengurusnya, Syuib yang membawa kepada kekeruhan antara dirinya serta pihak media.
"Saya tidak tahu apakah perbincangan antara Syuib, pengurus saya dan wartawan tersebut. Saya cuma rasa kecewa kenapa cara penulisannya seolah-olah seperti dia memang bercakap dengan saya. Kalau daripada pihak saya yang bersalah, saya mohon maaf."
Petikan WhatApps daripada Alyah juga berbunyi begini:
"Daripada tajuk berita yang telah keluar yang menyatakan Alyah gam media, itu membuatkan hati wartawan lain terguris. Saya rasa kecewa sebab itu bukan keluar daripada mulut saya.
"Saya tidak kisah untuk meminta maaf. Cuma sampai sekarang saya masih terpinga-pinga kerana saya tidak pernah berkata begitu (gam media).
"Saya dan Syuib masih okey dan memang terbuka tentang kerja. Saya tidak rasa semua ini adalah penamat kerjaya saya. Hubungan Alyah dan Syuib sebagai pengurus juga masih okey."
Akhir kata daripada Alyah, dia menyedari hakikat kehidupan bahawa dirinya tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.
"Hidup memang begini, saya tidak boleh buat semua orang suka saya. Apa pun saya reda. Dan jika salah dan silap daripada pihak saya, saya mohon maaf," katanya.

Lagu raya cara Iamneeta

Posted: 13 Jul 2013 07:01 PM PDT



GRUP Iamneeta dianggotai oleh Anas (kiri), Neeta (tengah) dan Patrick.


GRUP Iamneeta memulakan langkah seni menerusi laman sosial YouTube. Bermula dengan menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi lain tetapi kumpulan yang dianggotai dua jejaka dan seorang wanita itu kini mengorak langkah ke dalam seni hiburan komersial.
Iamneeta yang digerakkan oleh Neeta Manishaa selaku penyanyi solo, Patrick Anohada (gitar utama) dan Anas Zakwan Azhar (bass) boleh berbangga setelah disunting menjadi artis rakaman dalam masa yang singkat.
"Asalnya, kami tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya berkenalan menerusi laman sosial Myspace. Setelah berkongsi minat yang sama, kami pun bersatu dalam kumpulan dan menyanyikan semula lagu-lagu popular dengan cara kami.
"Lagu-lagu tersebut seperti One More Night (Maroon Five), Rolling in the Deep (Adele) dan Wish You Were Here (Avril Lavigne) telah dimuat naik ke YouTube. Tidak sangka pula diterima sebegitu rupa.
"Setelah kira-kira setahun memuat naik beberapa klip video di YouTube dengan menggunakan nama Iamneeta, kami mendapat perhatian syarikat rakaman NAR Records yang menawarkan untuk dijadikan artis rakaman," kata Patrick mewakili rakan-rakannya.
Grup itu hanya mempunyai nama Neeta dan tidak mengandungi dua lagi nama jejaka yang turut menganggotainya iaitu Anas dan Patrick.
Sampuk Neeta, grup itu pernah berhasrat untuk dikenali dengan nama lain. Namun, dia terpaksa akur untuk terus menggunakan Iamneeta kerana peminat telah mula mengenali mereka dengan nama itu.
"Saya membuka akaun di YouTube atas nama Iamneeta kerana suka-suka. Ketika itu, saya masih belum mengenali mereka. Setelah bersama, kami kekal menggunakan nama akaun di YouTube itu untuk memuat naik lagu-lagu versi 'cover' kami itu.
"Sebenarnya, saya sendiri sedikit kekok apabila hanya nama saya seorang tertera pada nama grup ini. Namun, nama itu terpaksa dikekalkan kerana kami sudah dikenali sebagai Iamneeta," kata Neeta.
Mereka yang telah muncul dengan dua buah single berjudul Tuhan Tolong Aku dan Terima Kasih mendapat hit yang tinggi di YouTube. Lagu single Tuhan Tolong Aku telah ditonton lebih 520,000 kali manakala Terima Kasih sudah dilihat lebih 710,000 kali.
Selain itu, Iamneeta bersama-sama artis NAR Records bakal menjayakan sebuah lagu hari raya bagi memeriahkan sambutan perayaan itu tidak lama lagi.
"Menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, Iamneeta bersama-sama Najwa Latif, Mimie Haris dan Deanna Hussin akan bergabung dalam sebuah lagu berjudul Hari Raya.
"Lagu itu merupakan ciptaan Patrick dan ia sebenarnya buat pertama kalinya sudah dirakamkan pada tahun lalu. Namun, ia diberi nafas baharu dan lebih meriah apabila dinyanyikan secara beramai-ramai. Ia menampilkan rentak dan lirik ringkas yang dijangka mudah diterima oleh golongan pendengar muda," kata Neeta.
Iamneeta juga kini dalam proses akhir menyiapkan sebuah album penuh yang dijangka berada di pasaran pada hujung tahun ini. Album yang kesemua lagunya dicipta oleh Patrick itu akan mengandungi enam buah lagu.

Pak Pung 2013 versi Altimet, Saiful, Isma

Posted: 13 Jul 2013 07:01 PM PDT


TRIO tiga penyanyi daripada tiga latar berbeza ini mencetuskan kesegaran untuk seiring dengan suasana muzik sekarang.


TREND merakamkan semula lagu-lagu lama seakan-akan jalan selamat buat seorang penyanyi untuk mudah diterima oleh pendengar. Sekurang- kurangnya, sebahagian daripada mereka yang pernah mendengar lagu asal tersebut akan tertarik dengan versi yang diberi nafas baharu itu.
Beberapa naskhah nyanyian semula telah membuktikan bahawa nama seseorang penyanyi mampu melonjak menerusi pengaruh lagu lama yang digarap semula.
Antaranya Fida Ibrahim yang namanya tiba-tiba menjadi sebutan apabila lagu Apo Kono Eh Jang dinyanyikan dalam versi baharu selain lagu Adikku Pandai Menari oleh Alif Satar, Namun Ku Punya Hati (Azmir Ariff), Kau Pelitaku (Zur Edar, DJ Fuzz, Ash-T dan Bigi), Seiring Sejalan (Nurul dan Ajai) dan Tak Mengapa (kumpulan VE dan Datuk A. Rahman Hassan).
Trend itu turut mencetus idea kepada syarikat rakaman Rusa Music Marketing bagi mengumpulkan penyanyi Saiful Apek, Isma dan Altimet untuk menjayakan sebuah projek saduran lagu lama berjudul Pak Pung Pak Mustafe.
Naskhah yang pernah dirakamkan oleh penyanyi Indonesia, Emilia Contessa dan kumpulan 2By2 itu dikenali sebagai Pak Pung 2013 hasil simbiosis trio tersebut.
Selain dipersembahkan dalam tempo yang lebih rancak oleh Saiful Apek dan Isma, Altimet berperanan besar menarik minat pendengar muda dengan persembahan rap bersahajanya.
Apakah pandangan anda tentang trend lagu saduran?
ALTIMET (A): Selagi ia tidak dikatakan 'merosakkan' lagu asalnya, bagi saya tidak salah untuk menyanyikan semula dengan sedikit pembaharuan. Lagipun penggiat hip hop memang menghargai karya-karya orang lain. Dari situ, saya belajar bahawa kita perlu menghormati karya orang lain.
SAIFUL APEK (SA): Mungkin itu merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan lagu lama kepada generasi baharu.
ISMA (I): Tidak dinafikan ia menjadi trend kini. Bagi saya, ia satu perkembangan yang bagus kerana selain boleh memberi nafas baharu terutamanya untuk generasi yang belum kenal lagu Pak Pung Pak Mustafe, ia juga mengembalikan nostalgia kepada mereka yang membesar dengan lagu itu.
Apa istimewanya lagu Pak Pung Pak Mustafe hingga membuatkan anda berminat untuk menyanyikannya semula menjadi lagu Pak Pung 2013?
A: Sebenarnya sejak kebelakangan ini saya mula tertarik dengan lagu-lagu lama, lagu rakyat dan tradisional. Lagu ini mempunyai kehalusan sendiri apatah lagi ia pernah menjadi siulan sebelum ini.
SA: Saya membesar dengan lagu ini. Lagipun lagu ini memang menjadi siulan saya.
I: Rentak dan liriknya begitu catchy terutamanya pada bahagian korus. Ia mudah untuk diterima dan saya sendiri begitu meminati lagu asalnya.
Bagaimana tentang kesukaran dan cabaran menyanyikan semula lagu itu?
A: Sebenarnya, menyanyikan lagu saduran lebih sukar terutamanya kepada seorang penyanyi rap. Ruang untuk berkarya menjadi lebih sempit kerana perlu mengikut konsep asal. Ia berbeza berbanding lagu baharu yang mempunyai ruang kebebasan. Begitu juga lagu saduran mempunyai risiko apabila kita perlu berhati-hati kerana pendengar sudah tahu dan boleh menerima lagu asal. Sebenarnya, 'kerja' untuk menghasilkan lagu ini adalah kurang, cuma ia perlu digarap dengan lebih menarik.
SA: Ini adalah lagu featuring saya yang keempat. Jadi saya sebenarnya tiada masalah untuk terlibat dengan mana-mana penyanyi lain. Menyanyikan lagu ini tidak terlalu sukar, lagipun ia bukanlah lagu baharu yang perlu didalami melodinya terlebih dahulu. Sejujurnya menyanyikan lagu berunsur komedi adalah lebih mudah. Namun, tidaklah terlalu sukar untuk menyanyi lagu ini kerana melodinya sudah lama melekap.
I: Tidak sesukar mana pun untuk merakamkan lagu ini kerana tidak banyak yang diubah daripada versi asal. Saya memang kerap menyanyikan lagu Pak Pung Pak Mustafe ketika mengadakan persembahan bersama grup tradisional, Kumpulan Asli Seri Mawar sejak dahulu lagi. Dalam bulan puasa pun saya dan grup ini mempersembahkan lagu Pak Pung ketika waktu berbuka puasa di Restoran Riverside, PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur) pada setiap hari.
Bekerja bertiga menuntut komitmen yang besar. Bagaimana mengumpulkan ketiga-tiga anda?
A: Proses rakaman berlangsung mudah kerana ia dirakamkan secara berasingan dalam masa sehari. Memang tiada masalah. Lagipun semua orang sudah biasa dengan lagu itu.
SA: Prosesnya begitu mudah Saya juga kagum dengan Altimet apabila dia berjaya melakukan rap secara spontan ketika merakamkan lagu ini.
I: Buat masa ini, baru dua kali kami mengadakan persembahan di atas pentas besar iaitu ketika majlis Anugerah Blokbuster yang diadakan di Johor Bahru, Johor baru-baru ini dan rakaman program hari raya. Untuk persembahan sendiri, memang sudah ada minus one khas. Tiada masalah tentang komitmen masing-masing.
Bagaimana anda melihat kelebihan bekerja bersama sedangkan latar belakang muzik anda berbeza?
A: Setiap daripada kami saling memerlukan antara satu sama lain untuk menjayakan Pak Pung 2013 ini. Hasilnya adalah seperti yang anda dengar.
SA: Projek lagu ini dilakukan dengan tersusun. Ia boleh dikatakan sebagai projek paling cepat disiapkan. Mereka semua profesional.
I: Saya sudah biasa bekerja dengan Altimet sebelum ini. Manakala bersama Saiful Apek kami pernah terlibat ketika dia berlakon dalam filem Sofazr the Movie. Saya menghormati kedua-duanya kerana masing-masing mempunyai pengalaman yang begitu luas. Ia merupakan pengalaman baharu dalam bidang muzik.

Satu lafaz berbeza resam

Posted: 13 Jul 2013 06:54 PM PDT



KRU Syahadah di Scotland dan Ireland bersama keluarga Saleem McGroarty yang merupakan saudara baharu di Edinburgh, Scotland.


ISLAM bukanlah agama yang baharu di negara-negara Eropah. Namun, akibat kurangnya pendedahan khususnya melalui media di Eropah tentang perkembangan para penganut dan agama Islam, ia menggambarkan Islam hanya dominan di negara-negara Asia. Media antarabangsa pula lebih berminat menggambarkan para penganut Islam sebagai pengganas.
Sempena musim kelapan program Syahadah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kali ini menyingkap dan meneroka perkembangan Islam di negara-negara Eropah. Dipecahkan kepada tiga kumpulan produksi, kru Syahadah kali ini membuat penggambaran di Belanda, Jerman, Scotland, Ireland dan England bagi melihat secara dekat bagaimana para penganut agama Islam berasimilasi dengan penduduk tempatan. Kru Syahadah turut meninjau sumbangan para penganut Islam itu terhadap pembangunan sosioekonomi di negara mereka bermastautin.
Lensa kumpulan jurukamera RTM merakamkan tinjauan itu sepanjang hampir sebulan bermula pada penghujung April hingga Mei lalu.
Majoriti penganut agama Islam di negara-negara terlibat berasal dari Maghribi, Syria, Jordan, Lebanon, India, Pakistan dan beberapa penduduk yang berasal dari Asia Tenggara iaitu Thailand, Indonesia serta Malaysia.
Bertemakan Satu Lafaz Berbeza Resam, paparan setiap episod Syahadah kali ini menjanjikan satu kelainan yang menonjolkan bagaimana Islam menjadi teras kehidupan walaupun jati diri mereka berbeza-beza dalam pelbagai sudut kehidupan khususnya aspek budaya dan warna kulit.
"Pada tahun ini, penceritaan Syahadah tidak lagi memfokus terhadap tinggalan peradaban Islam atau meneroka negara-negara Asia Barat yang terkenal sebagai destinasi bersejarah.
"Sebagai penerbit yang diberi amanah untuk menjayakan episod di Belanda, Jerman dan England, fokus episod itu menonjolkan kebebasan beragama yang diterima dengan baik oleh kerajaan dan penduduk yang bukan beragama Islam. Episod seterusnya akan membawa penonton menyusuri perkembangan agama Islam yang dibawa para pekerja asing dari negara-negara Arab dan Asia.
"Kecenderungan generasi muda memeluk agama Islam juga mendapat perhatian dalam program itu. Di Jerman dan England pula, para penganut Islam harus bertindak dengan bijak untuk meneruskan kehidupan," jelas Rosli Mohd. Nordin yang menghabiskan kembara Syahadah selama sebulan di tiga buah negara berkenaan.
Siri Syahadah yang sudah disiarkan mulai Selasa lalu turut merakam umat Islam di Scotland, Ireland dan England.
"Di Scotland, pihak paderi turut membenarkan solat Jumaat dilakukan di dalam gereja terutamanya pada musim sejuk memandangkan ruang masjid yang kecil bersebelahan gereja. Terbaharu, pihak gereja turut membenarkan ruang gereja yang tidak digunakan untuk diubah suai menjadi ruang solat. Itu merupakan antara paparan menarik Syahadah dalam musim ini," tambah Rosli berhubung episod yang dikendalikan rakan setugasnya, Izwan Mokhtar dan Firdaus Shabbir.
Kru Syahadah di England pula ditunjangi Zuramin Ismail dan Jasmaidy Aroff. England begitu sinonim dengan kehadiran para penganut Islam dari Pakistan, India, Arab dan Asia Tenggara. Beberapa personaliti beragama Islam yang menjadi peneraju organisasi yang memperjuangkan kepentingan saudara seagama menjadi fokus paparan di sana.
Program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM dengan kerjasama Yayasan Islam Terengganu itu disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 4.35 petang tetapi siaran dilewatkan kepada pukul 5.30 petang pada setiap Sabtu dan Ahad.

Anak ubat sayu Eira

Posted: 13 Jul 2013 06:53 PM PDT




BIARPUN diperlekeh dengan jolokan pelakon air mata, Eira Syazira tetap bersyukur kerana hasil seni lakonnya mendatangkan impak. Di luar lokasi, bicaranya ramah dan tidak pula cengeng biarpun sesekali terusik oleh kerinduan Ramadan yang pernah dijalani bersama arwah ibunya, Che Ruhani Che Hassan, 60.
Dia reda namun seutuh manapun hatinya menahan perasaan, sayu dan hiba tetap berkunjung. Kepulangan arwah ibunya ke rahmatullah pada Mei lalu masih berbekas di hati. Ramadan kali ini merupakan bulan puasa pertama Eira tanpa ibu sewaktu bersahur atau berbuka puasa.
"Sebelum masuk bulan Ramadan, saya jadi takut, takut untuk tempuhi bulan puasa tanpa mummy (panggilan untuk ibu) biarpun dia sebenarnya tidak begitu sihat sejak tahun lepas lagi. Sekarang bila saya balik ke rumah di Putrajaya rasa kosong. Bila tengok wajah ayah yang sayu, hati saya turut rasa sayu.
"Jadi, kedatangan Ramadan tahun ini memang berbeza dan sangat-sangat dirasai. Kehilangan mummy satu kekosongan buat kami adik-beradik," ujar Eira seperti ada sebak di kerongkong.
Tambah Eira: "Ibu seorang yang cukup hebat di dapur. Dia pakar memasak khususnya masakan Kelantan macam nasi kerabu. Namun, saya reda dengan ketentuan Ilahi, tidak akan selama-lamanya seorang ibu akan berada di samping anak-anak. Mungkin ini semua ujian buat kami, tetapi Tuhan Maha Adil, Dia ambil ibu tetapi Dia kurniakan saya seorang anak sebagai pengubat duka," jelas Eira yang kini bahagia mengulit Amarra Sofea Rose berusia enam bulan, hasil perkahwinannya bersama pelakon Azad Jazmin.
Dalam perkembangan lain, Eira kini muncul di kaca televisyen menerusi drama hebat berjudul Ramadan Yang Hilang. Drama yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 itu seolah-olah mengingatkan penonton terhadap drama Syurgamu Ramadan dalam slot yang sama yang pernah dilakonkan Eira pada tahun lalu.
Bezanya kali ini, Eira bukan ibu kepada anak-anak yang terpaksa meladeni hidup dalam duka. Memegang watak sebagai Zafira, dalam Ramadan Yang Hilang, dia dirundung nasib malang apabila adik angkat yang pernah menjadi kawan baiknya, Delisha berubah sikap menjadi seterunya.
"Masa dalam pantang, saya terfikir, alangkah bagusnya jika dapat kembali berlakon di bawah arahan Shahrulezad. Bagi saya, dia seorang pengarah yang hebat. Habis pantang, Shahrulezad terus tawarkan watak Zafira. Dia beritahu, sewaktu penulisan skrip lagi pelakon watak itu dibayangkan sebagai Eira.
"Apabila orang kata watak sedih dan perempuan malang begitu memang sesuai dengan saya, saya terima gelaran itu sebagai satu penghargaan. Namun, watak Zafira lain sikit. Semasa pertengahan siri itu nanti, penonton akan lihat perubahannya," jelas Eira yang masih berada di lokasi penggambaran drama berkenaan.

Tiga budak cedera mercun bola meletup

Posted: 13 Jul 2013 06:51 PM PDT


SAE-ED ALWAY yang cedera di mata menerima rawatan di HSNZ semalam.


KUALA TERENGGANU - Perayaan Aidilfitri tahun ini pasti disambut suram oleh tiga sahabat selepas mereka cedera akibat terkena mercun bola yang meletup secara tiba-tiba kelmarin.
Kejadian pada pukul 5 petang di Jalan Kamaruddin di sini itu menyebabkan dua daripada mangsa yang dikenali sebagai Sae-ed Alway, 13, dan Muhammad Arfan Ammar, 14, cedera parah manakala seorang lagi, Thaqif, 12, cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Menurut Thaqif, kejadian berlaku apabila mercun bola yang berada di dalam plastik berasap secara tiba-tiba dan tidak sempat dibuang lalu meletup dan mencederakan mereka bertiga.
"Mercun itu mercun lama. Saya bernasib baik kerana hanya cedera ringan tetapi dua lagi rakan saya cedera teruk," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
MUHAMMAD ARFAN melecur di muka.


Difahamkan, mercun bola tersebut milik salah seorang mangsa terbabit.
Sementara itu, tinjauan di HSNZ mendapati Muhammad Arfan menerima rawatan di Unit Rawatan Kebakaran kerana melecur teruk di muka dan dilaporkan stabil.
Sae-ed Alway pula dirawat di Wad Mata hospital sama dan dijadualkan menjalani pembedahan untuk membuang serpihan mercun di mata dalam masa terdekat.
Setakat semalam, keadaan sebenarremaja itu masih belum diketahui.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai insiden tersebut.
Kejadian tersebut adalah yang kedua dilaporkan berlaku sepanjang bulan Ramadan ini.
Pada 10 Julai lalu, dua remaja lelaki melecur teruk di muka dan tangan selepas meriam buatan sendiri meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Taman Bersatu dekat Baling, Kedah.

Kebab kambing, ayam penuhi selera ketika berbuka

Posted: 13 Jul 2013 06:49 PM PDT



MOHD. SHAZWAN (kanan) dan adiknya, Nisha menyediakan kebab daging dan ayam di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur semalam.


CARI KELAINAN. Bagi yang ingin berbuka puasa dengan hidangan yang lain daripada kebiasaan, anda mungkin boleh mencuba kebab daging kambing dan ayam di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.
Menurut pemilik tapak bernombor 165 di bazar tersebut, Mohd. Shazwan Ishak, dia mendapat idea untuk menjual makanan itu kerana ia unik, sihat serta sedap dimakan terutama pada bulan Ramadan.
"Makanan ini begitu istimewa kerana mengandungi daging kambing dan ayam yang telah diperap semalaman dengan pelbagai jenis rempah.
"Ia kemudian dicampur dengan hirisan cili bulat serta tomato segar. Apabila dibakar ia mengeluarkan aroma yang tentunya membangkitkan selera para pelanggan," katanya.
Menurut Mohd. Syazwan, kebab daging kambing dijual pada harga RM6 manakala RM5 untuk daging ayam.
Gerainya mendapat sambutan dengan purata 200 cucuk kebab dijual sehari.

Pelakon Izreen Azminda selamat lahirkan bayi lelaki

Posted: 13 Jul 2013 06:48 PM PDT





KUALA LUMPUR - Pelakon drama bersiri Juvana, Izreen Azminda Mohd. Aznam selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini pada pukul 1.18 pagi semalam.
Suami Izreen, Riza Baharudin memberitahu, isterinya terpaksa bersalin secara pembedahan kerana keadaan kandungan anak sulung mereka berada dalam kedudukan songsang.
"Doktor membuat keputusan melakukan pembedahan secepat mungkin kerana jika lambat ia dikhuatiri boleh membahayakan nyawa Izreen dan bayi," kata Riza ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Riza lagi, selepas selamat bersalin, Izreen berada dalam keadaan stabil tetapi lemah dan perlu berehat.
Bayi pasangan itu pula dalam keadaan sihat.
Pasangan tersebut masih merahsiakan nama bayi seberat 3.30 kilogram itu sehingga proses pendaftaran nama bayi selesai di Jabatan Pendaftaran Negara.
Izreen dan Riza melangsungkan perkahwinan pada 30 Ogos 2012 di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Alor Setar Kedah.

Iftar berjemaah erat silaturahim

Posted: 13 Jul 2013 06:44 PM PDT


SATU hidangan nasi ambang kebiasaannya dimakan bersama oleh empat orang.


BULAN Ramadan sudah pun membuka gelanggangnya pada Rabu lalu. Ramai umat Islam menunggu kedatangan bulan yang penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran pahala yang besar itu.
Sedar atau tidak, cara untuk memperoleh ganjaran pahala lebih besar adalah dengan berbuka puasa, bersahur serta menunaikan solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah.
Walaupun amalan berbuka puasa secara beramai-ramai di restoran merupakan satu pemandangan biasa, jarang kita melihat sekumpulan orang menjamah makanan yang diletakkan di dalam sebuah dulang yang sama.
Bagaimanapun, situasi itu boleh disaksikan di sebuah masjid di Puchong, Selangor. Berhampiran sebuah tasik buatan di Puchong Perdana, beberapa orang petugas Masjid as-Salam sibuk menyediakan juadah untuk ahli kariah yang datang berbuka puasa di situ.
Uniknya, jemaah di masjid ini berkongsi hidangan dalam sebuah dulang.
Menurut ahli jawatankuasa Masjid as-Salam, Norrahmayati Nawawi, 43, amalan makan dalam dulang dipraktikkan di masjid itu setiap kali waktu berbuka puasa pada tahun ini.
Selain nasi dan lauk-pauk, sambal belacan dan ikan masin turut disediakan dalam dulang itu.
"Tidak sah jika tiada ikan masin dan sambal belacan," katanya sambil tersenyum.
Menurut Norrahmayati, dulang aluminium itu akan dibersihkan dan dikeringkan terlebih dahulu.
Kemudian, ia dilapik dengan plastik supaya senang untuk dicuci selepas makan nanti.
"Cuma balut dan buang susa makanan ke dalami tong sampah, mudah bukan," jelas wanita berumur 43 tahun ini berhubung sisa makanan yang ditinggalkan jemaah.
Menu lain yang biasanya dihidangkan ialah daging atau ayam masak kari dan sayur-sayuran goreng. Seramai empat orang akan berkongsi hidangan yang sama.
"Selalunya makanan akan habis. Sebenarnya makan berjemaah ini lebih berkat," Norrahmayati memberikan pendapatnya.
MENU wajib makan dalam dulang ialah ikan masin dan sambal belacan.


Kenali jiran
Bagi Norakmar Re, 48, aktiviti makan dalam dulang sejak beberapa tahun lalu membolehkan dia mengenali jiran-jirannya dengan lebih rapat berbanding sebelum ini.
"Dulu kita tidak kenal jiran walaupun dia duduk selang beberapa rumah sahaja. Makan sebegini memerlukan kita mencari pasangan yang kurang dikenali.
"Imbuhannya, lebih ramai individu yang kita akan kenal. Ia ibarat magnet. Isu-isu yang berlaku di persekitaran juga dapat diketahui," katanya.
Usah berbicara panjang mengenai pengalaman orang lain. Kru Jurnal sendiri berpeluang makan bersama tiga orang kariah masjid itu baru-baru ini.
Aktiviti menghidangkan makanan dimulakan sejak pukul 6.30 petang. Pada hari itu, tidak kurang 30 dulang hidangan disediakan.
Nasinya menggunung tinggi manakala kari daging, beberapa ekor ikan masin, sambal belacan dan sayur-sayuran habis dimakan dalam tempoh kurang setengah jam.
Ternyata makan dengan cara ini juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan ini diakui oleh Muhd Fareezana Razak, 13.
Kekeluargaan
"Saya biasa makan menggunakan dulang bersama keluarga sejak beberapa tahun lalu.
"Bukan pada bulan Ramadan sahaja tetapi semasa makan malam. Pada pandangan saya, tabiat ini mampu merapatkan hubungan dengan adik-adik serta ahli keluarga yang lain.
"Kadangkala kami saling menyuap makanan sesama sendiri termasuk ayah dan ibu. Nikmat itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata," ujarnya.
Makan bersama dalam dulang ada kelebihannya dari segi saintifik. Pakar kanak-kanak, Martha Marino dan Sue Butkus dari Universiti Washington, Amerika Syarikat, berkata, kanak-kanak yang makan bersama dengan kekerapan lebih tiga kali seminggu akan lebih berdisiplin di sekolah. Mereka juga lebih pintar berbanding rakan sebaya.
Menurut satu artikel oleh Matthew Kustenbauder dalam laman web www.theotherjournal.com, kebanyakan keluarga di benua Afrika makan menggunakan dulang. Sebelum makan, mereka akan mencuci tangan terlebih dahulu.

MAKAN dalam dulang seelok-eloknya dilakukan bersama individu yang tidak dikenali.


Tradisi Afrika itu dianggap unik kerana mereka turut berkongsi bekas minuman yang berupa sebuah kole bersaiz besar. Mereka akan minum secara bergilir-gilir.
Di Pahang, tradisi iftar unik diterapkan oleh warga Kuantan yang membanjiri Padang Majlis Perbandaran Kuantan di hadapan Masjid Sultan Ahmad Shah sejak beberapa tahun lalu.
Terdapat lebih 1,000 umat Islam berbuka puasa di padang tersebut pada setiap hari dengan membawa juadah masing-masing.
Ketika menanti waktu berbuka , orang ramai di atas padang diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta ceramah agama yang disediakan oleh pihak masjid.
Di negara ini sejak sekian lama masyarat Jawa terkenal dengan nasi ambang. Apabila menyebut nasi ambang, pasti akan terbayang sedulang nasi berlapikkan daun pisang dengan selonggok lauk yang biasanya dimakan oleh empat orang dewasa.
Menurut Suzaidah Rajan yang mengusahakan perniagaan menjual nasi ambang sejak lapan tahun lalu di Ijok, Selangor, dia akan menikmati nasi itu yang dibawa oleh ayahnya selepas pulang daripada kenduri.
"Saya akan menyorokkan daging atau ayam di sebalik timbunan nasi. Namun, ia akan merapatkan hubungan kami. Bau tempe goreng, ikan goreng, dan ayam kari pasti menggamit selera," katanya mengimbau kenangan.
Ujarnya, nasi ambang yang diusahakannya turut mendapat tempahan daripada badan korporat selain masjid dan surau untuk dijamah semasa berbuka puasa.
"Malah, ada juga yang memesannya untuk dimakan semasa bersahur," katanya.
Tambahnya, nasi ambang dimakan seramai empat hingga enam orang dalam satu talam.
"Tetapi, kini menunya bukan sekadar daging atau ayam tetapi masakan yang berasaskan udang, ketam dan sotong.
"Nasi pula tidak sahaja nasi putih tetapi nasi minyak dan beriani. Selera orang sekarang berbeza-beza," katanya.
Maklumat lanjut mengenai R&S Catering boleh didapati dengan menghubungi Ida menerusi talian 013-241 2211.

Ziada tak malu berhijab

Posted: 13 Jul 2013 06:43 PM PDT


ZIADA (paling kanan) bergambar bersama Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christiane Lagarde (pertama dari kiri) dalam satu majlis makan malam di Davos, AS baru-baru ini.


BELUMPUN sempat meraikan ulang tahun pertama bergelar Presiden Mesir, Mohammed Morsi akhirnya digulingkan tentera yang diketuai Menteri Pertahanan yang dilantiknya, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi.
Seminggu sebelum kejatuhannya, lebih setengah juta rakyat Mesir melancarkan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga mengakibatkan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin rosak teruk manakala puluhan orang dilaporkan maut.
Berita penggulingan Morsi itu mencetuskan kegembiraan kepada ratusan ribu penunjuk perasaan yang berkhemah di sekitar bandar raya Kaherah, malah sesetengahnya meraikannya dengan letupan mercun.
Antara yang tersenyum melihat kemenangan suara rakyat itu ialah Dalia Ziada, seorang aktivis hak kemanusiaan kelahiran Mesir.
Semasa pelantikan Morsi sebagai presiden pada 24 Jun 2012, Ziada, 30, yang juga seorang blogger mengaku kecewa dengan pemilihan ketua negara tersebut.
"Saya percaya kemenangan Morsi adalah sah kerana dilakukan secara demokrasi tetapi ia mungkin satu kesilapan bagi rakyat Mesir.
"Saya berpendapat, rakyat Mesir belum bersedia dipimpin oleh seorang pemimpin daripada pergerakan Islam radikal seperti Ikhwanul Muslimin.
Khitan
"Saya cuma berharap di bawah kepimpinan Morsi, revolusi akan berakhir dan keadaan akan bertambah baik," ujar Ziada.
Walaupun masih muda, pengalaman Ziada sebagai aktivis berhaluan kanan sudah bermula sejak kecil lagi.
Dia yang aktif memperjuangkan hak-hak wanita Islam tidak gentar berdebat dalam kalangan masyarakatnya, mahupun di forum antarabangsa.
"Saya seorang revolusioner dan bangun memperjuangkan hak-hak wanita Islam adalah jiwa saya.
"Minat bergelar seorang pejuang hadir sejak saya berusia lapan tahun lagi.
"Pada waktu itu, ibu mendandan dan memakaikan saya pakaian yang sangat cantik.
"Saya fikir, kami sedang bersiap untuk menghadiri parti hari jadi.
"Namun, telahan saya silap. Ibu membawa saya ke klinik untuk dikhatankan.
"Apabila doktor menerangkan prosedur berkhatan yang bakal dijalankan, saya menjadi takut dan menangis.
"Doktor memberi suntikan untuk menidurkan saya dan apabila sedar, saya menanggung kepedihan dan kesakitan.
"Bermula detik itu, saya akan menjadi orang pertama yang membantah amalan khatan dalam kalangan kanak-kanak perempuan," imbas Ziada yang mengetuai kempen kesedaran tentang kesan amalan berkhatan bersama empat rakannya semasa di universiti.
Selain lantang memperjuangkan hak-hak wanita, Ziada juga sering dijemput menjadi speaker dalam majlis yang membincangkan kebebasan bersuara dan konflik keganasan di Asia Barat sama ada di dalam mahupun di luar negara.
"Pada tahun 2009, saya dijemput untuk mendengar ucapan Presiden AS, Barack Obama di Kaherah.
"Saya turut dijemput menghadiri mesyuarat tertutup bersama Penasihat Kanan White House, Valerie Jarret untuk membincangkan beberapa topik berkaitan belia, hak awam dan hak wanita di dunia Islam," katanya.
Usahanya tanpa lelah untuk memartabatkan hak wanita, kebebasan awam dan demokrasi liberal di Asia Barat sejak di universiti akhirnya mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pertubuhan dunia.
Berani
Selain menggondol Anugerah Presiden Universiti Tuft di AS, dia turut menerima beberapa anugerah keamanan peringkat antarabangsa.
Antaranya, nama Dalia Ziada tersenarai dalam 150 wanita paling berani dan berpengaruh di dunia pada tahun 2011 dan 2012 oleh majalah Newsweek.
Dia juga dipilih sebagai lapan individu yang membawa perubahan di dunia Arab oleh stesen penyiaran CNN pada tahun 2012.
Selain itu, portal berita AS, Daily Beast turut menyenaraikan Ziada sebagai 17 blogger paling berani di dunia pada tahun 2011.
Pemegang Sarjana Perhubungan Antarabangsa dari Sekolah Perundangan dan Diplomasi Fletcher, Universiti Tuft, AS, itu turut menerima Anugerah Kewartawanan Anna Lindh Euro-Mediterranean pada tahun 2010 selain namanya dinobatkan sebagai Juara Hak Wanita oleh majalah Time pada tahun 2009.
Pernah ditanya tentang kelantangannya membidas tindakan kerajaan yang meletakkan wanita sebagai golongan kelas bawahan, jawab Ziada: "Saya tidak takut menjadi revolusioner. Seperti lelaki, saya juga ada kuasa untuk bersuara dan tahu apa yang saya boleh lakukan."
Jelasnya, apa yang dilakukan selama ini bukanlah untuk menaikkan namanya sebagai ikon wanita Arab, sebaliknya memang menjadi prinsip hidup gadis itu untuk menyumbangkan sesuatu kepada bangsanya.
"Saya tidak mahu hidup tanpa menyumbang apa-apa. Apa yang saya mahu, apabila saya mati kelak, golongan wanita Arab boleh menikmati layanan dan keistimewaan seperti yang diperoleh golongan lelaki.
"Itu yang saya perjuangkan selama ini," katanya yang gemar berhijab dengan motif bunga berona terang.
Biarpun sesetengah golongan Barat memandang wanita berhijab sebagai orang yang kolot, Ziada tidak pernah mengendahkan tanggapan tersebut.
"Berhijab adalah jiwa saya. Rasanya seperti berbogel saja bila tidak berhijab. Alhamdulillah, ramai kenalan dari Barat lebih menghormati keperibadian wanita yang berhijab seperti saya.
"Saya juga percaya, hijab bukan sahaja menutup urat, bahkan ia juga boleh melindungi pemakainya daripada pandangan masyarakat," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines