Sabtu, 6 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Pelakon Elfaeza Tepis Gosip Cinta Sharnaaz Ahmad

Posted: 04 Jul 2013 07:37 PM PDT

Elfaeza Ul Huq
KUALA LUMPUR: Pelakon dari Singapura iaitu Elfaeza Ul Huq menepis gosip kononnya dia mempunyai hubungan cinta dengan Sharnaaz Ahmad sebaliknya hubungan itu tidak lebih daripada kawan biasa.
Elfaeza, 28, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu mengenai gosip tersebut dan menyifatkan cakap-cakap itu timbul mungkin kerana kemesraan mereka di set penggambaran drama Mukhlis terbitan Saphire Screen baru-baru ini.
"Mana ada kami bercinta. Tapi kalau bercinta dalam drama Mukhlis memang betul.
"Mungkin gosip ini timbul kerana ada pihak melihat kemesraan kami di set penggambaran tetapi semua itu sekadar mahu menghayati watak sahaja Saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi cakap-cakap mengenai perhubungan kami," katanya kepada mStar Online.
Elfaeza ditemui pada pelancaran koleksi baju raya terbaharu daripada pereka Azura Azwa di Rafflesia, Hotel Park Royal di sini, pada Khamis.
Sharnaaz Ahmad
Drama Mukhlis arahan Faizal Loy akan disiarkan pada sambutan Aidilfitri nanti di saluran RTM.
Dalam pada itu aktres berkenaan bersama empat lagi selebriti baharu iaitu Fify Natasha, Reen Rahim, Mimie Ernida dan Ezzaty turut menggayakan baju Hari Raya rekaan adik beradik iaitu Azura dan Azwa.
"Saya bersyukur sangat apabila diberi peluang menggayakan rekaan terbaharu itu. Memandangkan saya masih lagi baru dalam dunia seni tempatan, ia sedikit sebanyak dapat memperkenalkan lagi nama saya kepada umum menerusi majlis ini," ujarnya.
Sementara itu, Azura, 29, berkata, koleksi Hari Raya pada kali ini lebih memberikan fokus gaya 'retro' moden.
"Kami mengambil inspirasi daripada seniwati Saloma yang memiliki ciri-ciri gaya klasik. Imej klasik itu kami memperkemaskan dengan rekaan moden menggunakan fabrik jenis 'brocade', sifon, 'crepe' dan sutera satin," kata Azura.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan koleksi Hari Raya Azura Azwa boleh datang ke butik mereka Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini atau layari Facebook label berkenaan.

Raja Farah Berhasrat Ambil Anak Angkat

Posted: 04 Jul 2013 07:36 PM PDT

Raja Farah
PETALING JAYA: Pelakon Raja Farah menetapkan masa sehingga tahun depan untuk memperoleh anak sendiri dan memutuskan mengambil anak angkat jika ditakdirkan masih tidak mengandung.
Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 25, berkata, walaupun baru menjangkau tiga tahun perkahwinan, dia dan suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 28, sentiasa berharap untuk mendapat anak secepat mungkin selain sudah berbincang soal anak angkat.
"Ramai yang berkata, usia perkahwinan kami masih muda, jadi tunggu sahajalah rezeki anak yang akan kami peroleh kerana kami tiada sebarang masalah kesihatan. "Tetapi kalau nak menunggu masa, sampai bila? Kami perlu melakukan sesuatu. Mungkin rezeki anak sendiri masih belum tiba.
"Apa-apa pun, yang saya lihat sekarang ini, suami dah semakin mesra dengan anak buahnya. Mana tahu, Allah S.W.T mengizinkan kami untuk mendapatkan anak sendiri pula. Jadi kami tunggu sehingga tahun depan. Jika tiada apa berita, maka kami akan mengambil anak angkat," katanya kepada mStar Online
Tambah Raja Farah, dia dan suami tidak kisah dengan jantina bayi yang akan dijaga mahupun keturunannya asalkan dapat mengenali keluarga bayi berkenaan.
Sementara itu, bertanya mengenai perkembangan kerjaya seni, pelakon yang popular dengan drama Gol & Gincu itu mengakui sejak berumah tangga, dia lebih senang melakukan kerja-kerja pengacaraan berbanding lakonan yang memerlukan masa lama.
"Suami tidak pernah menghalang saya berlakon namun dia ada memberikan syarat iaitu hanya boleh berada di lokasi penggambaran sehingga 11 malam sahaja.
"Sebagai seorang isteri saya terima syarat itu dan atas dasar itu juga saya mengehadkan aktiviti lakonan dan hanya mengambil watak yang sesuai sahaja.
"Tetapi apabila difikirkan kembali, syarat masa itu dilihat seperti kurang adil buat kru produksi dan pelakon-pelakon lain. Jadi saya fikir, lebih elok saya kurangkan lakonan dan fokuskan kerja-kerja pengacaraan," ujarnya.
Terbaharu, Raja Farah bakal muncul di program Rasa Halal Antarabangsa bergandingan dengan Akhtar Sahari di saluran Astro Oasis bermula 27 Jun 2013 (setiap Sabtu, 7.30 malam).
"Saya dan Akhtar merupakan pengacara baru selepas Heliza. Seronok juga mengacara program ini. Kami telah merantau ke Indonesia, New Zealand, Jepun, Sri Langka dan Uzbezkistan untuk meneroka makanan-makanan menarik dan halal buat masyarakat Islam.
"Walaupun pada mulanya suami agak keberatan mahu membenarkan saya keluar dari Malaysia, alhamdulillah, dia lepaskan juga saya untuk mengacara program ini.
"Malah dia juga menjaga jadual pemakanan dan rutin senaman saya agar saya tidak nampak berisi ketika mengacara program itu," tuturnya.

Akui senang berkawan rapat

Posted: 04 Jul 2013 07:06 PM PDT




GANDINGAN aktres Hanez Suraya bersama seorang pelakon muda dari Korea Selatan, Kim Jin Sung menerusi drama Autumn Di Hatiku ada cerita di sebaliknya.
Mereka tiba-tiba sahaja digosip kini sedang menyulam cinta.
Tidak mudah melatah, kata Hanez, dia mengerti dan memahami reaksi peminat yang senang meletakkan kesimpulan setiap kali seseorang pelakon digandingkan bersama menerusi filem atau drama.
Ujarnya, Jin Sung atau lebih mesra dipanggil JS merupakan seorang yang mudah serasi dan komited terhadap perhubungan biarpun sekadar berkawan.
Malah, pelakon baharu dari Korea itu memerlukan bimbingan daripada Hanez.
"Belum pun Autumn Di Hatiku ditayangkan, kami sudah dikaitkan ada hubungan istimewa. Sejujurnya, JS seorang yang kelakar, bagus, rajin belajar dan tidak mengambil kesempatan.
"Cara dia berkomunikasi dengan kita pun ada adab sopan. Saya banyak mengajar dia untuk mendalami bahasa Melayu dan memahami skrip," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar dan ramah mesra bersama pelakon Autumn Di Hatiku di Laundry, The Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Pertama kali bersua dengan JS, kata Hanez, dia menyangka jejaka itu berketurunan Cina sehinggalah mereka mula berkomunikasi.
"Tambah memeranjatkan apabila JS pandai berbahasa Melayu. Saya cuba buli dia dengan merakamkan sebuah video Keek dan sejak itu kami mula rapat.
"Keserasian kami dapat sejak dari sesi bacaan skrip lagi dan JS cepat menghafal skrip serta tidak segan bertanya," tambahnya.
Kawan tak cinta
Kesempatan sama diluangkan bersama pelakon tinggi lampai dari daerah Gangnam di Korea Selatan itu.
MESRA. Hanez lebih senang memanggil Jin Sung dengan nama ringkas, JS.


JS yang sebelum ini pernah menceburi bidang peragaan mengakui agak kekok pada mulanya untuk berlakon bersama produksi Malaysia.
"Saya seronok dan teruja menimba pengalaman baharu bersama pelakon dan tenaga kerja di Malaysia. Seolah-olah saya sukar untuk mempercayai situasi ini sekarang.
"Selama dua bulan saya berada di sini (Kuala Lumpur), banyak perkara sudah saya pelajari dan kalau ditawarkan untuk berlakon lagi selepas ini, mungkin saya akan tinggal lebih lama," ujarnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia.
Pemuda berusia 27 tahun itu sebelum ini pernah mendalami bahasa Melayu selama setahun di Pengajian Asia, Universiti Hankook dan telah menceburi dunia seni sejak empat tahun lalu.
Biarpun namanya tidak gah seperti aktor lain di negara asalnya, kemunculan JS menerusi Autumn Di Hatiku tetap mencuri tumpuan peminat hiburan Korea.
Mencintai suasana dan masyarakat di Malaysia, JS bagaimanapun tidak menolak untuk meneruskan kerjaya atau membeli aset di sini.
Diusik dengan pertanyaan keserasiannya dengan pelakon Hanez Suraya, JS mengakui dia selesa berkawan dengan bekas kekasih Awi Rafael itu.
"Saya belajar skrip dan bahasa Melayu daripada Hanez. Saya sukakan dia tapi tidak mencintainya. Hanez hampir sesuai untuk memiliki ciri-ciri wanita idaman saya.
"Cita rasa saya ialah terhadap seorang wanita yang tinggi, pandai dan cantik," luncur katanya bertebar ketawa.
Hanez sayang Awi
Diselak pula kisah cinta tak kesampaian Hanez dan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael yang dilaporkan telah putus secara rasminya pada minggu lalu, Hanez mengakui dia masih sayangkan Awi.

Barisan pelakon Autumn Di Hatiku (dari kiri) Ezzaty, Kim Jin Sung, Hanez Suraya dan Anaz Ridzuan.


Bagaimanapun, ruang hidupnya masih tidak berubah dan kini dia cuba untuk menjadikan persekitaran kerja mengatasi rasa sunyi.
"Selepas berpisah saya lebih sibuk dan bergerak ke mana-mana sahaja. Lainnya sekarang sudah tiada peneman dan tiada orang yang menelefon atau bertanyakan khabar.
"Sebenarnya hubungan kami sudah lama dingin cuma sekarang baru terlepas mulut. Hati sudah boleh menerima keadaan sekarang cuma pada mulanya memang agak sukar bagi saya.
"Kami cuba menyelesaikan masalah sebelum ini sampai tidak boleh mencuba lagi," katanya yang sudah berpisah sebulan lalu.
Hanez dalam pada itu menafikan khabar angin bahawa punca keretakan hubungan cintanya bersama Awi disebabkan orang ketiga. Sebaliknya, akui Hanez, kesibukan kerja masing-masing menjadi bom masa yang dipendam sehingga satu ketika meletup.
"Hubungan saya dan keluarga Awi masih rapat cuma antara kami berdua yang bermasalah. Kami sudah mencuba sedaya upaya untuk memperbaiki hubungan.
"InsyaAllah kalau ada jodoh saya dengan Awi, ia tidak akan ke mana juga. Buat masa ini masih belum terlintas untuk berbaik semula.
"Saya sangat sayangkan Awi walaupun hubungan kami baru setahun. Mungkin kerana kami terlalu rapat dan kini adalah sukar untuk saya menerima individu lain. Berilah saya masa," ujarnya.

Festival Muzik KL 2013 percuma

Posted: 04 Jul 2013 07:04 PM PDT


FESTIVAL Muzik Kuala Lumpur 2013 akan berlangsung selama dua hari pada 6 dan 7 Julai ini di Jalan Raja, Kuala Lumpur.


MEMASUKI tahun penganjuran kesembilan, Festival Muzik Kuala Lumpur 2013 (FMKL) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tahun ini menampilkan sesuatu yang berbeza apabila ia diadakan secara percuma untuk dinikmati oleh orang ramai.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, selain percuma, semua persembahan FMKL yang bertemakan Muzik Tanpa Sempadan itu dilaksanakan secara terbuka pada 6 dan 7 Julai ini di Jalan Raja, Kuala Lumpur.
"Festival Muzik Kuala Lumpur kali ini menggabungkan persembahan berbentuk hiburan dan juga kerohanian serta acara keilmuan untuk dinikmati oleh semua golongan, sama ada rakyat Malaysia atau pelancong.
"Jalan Raja dipilih sebagai lokasi festival ini kerana ia merupakan kawasan yang popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran FMKL 2013 di Maju Junction, Kuala Lumpur.
Menghidangkan lima aktiviti utama, ia meliputi konsert, bengkel keilmuan, pencungkilan bakat, penyerlahan bakat muda dan ekspo muzik.
Ungkap Norliza, terdapat dua konsert yang diadakan iaitu Konsert Tiga Negara yang menggabungkan artis-artis Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun pada 6 Julai, manakala Konsert Kerohanian diadakan pada 7 Julai di pentas utama Jalan Raja bermula pukul 8.30 malam.
NASH merupakan salah seorang penyanyi yang menjayakan Konsert Kerohanian pada 7 Julai ini menerusi slot FMKL 2013.


"Konsert Tiga Negara menampilkan artis-artis hebat seperti XPDC, Keroz, Dead Mushroom, Sharifah Zarina, Project Pistol, Awang BPR, Andy Flop Poppy, Pentaboyz, Miss Juli dan Yantzen. Konsert Kerohanian pula menampilkan Ramli Sarip, Nash, Rabbani, Raihan dan Hijjaz," jelasnya.
Selain daripada persembahan konsert, ujar Norliza, JKKN turut mengadakan bengkel keilmuan pada 6 Julai bermula pukul 2 petang di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, dengan menampilkan dua penceramah iaitu Jeffry Yong dan Steve Thornton.
Kongsi Norliza lagi, festival tersebut juga akan meneruskan program pencungkilan bakat dalam bidang muzik melalui aktiviti seperti uji bakat Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA), Bakat Muzik Malaysia dan Battle of the Drums.
"Turut mengisi aktiviti untuk acara ini adalah ekspo muzik. Pelbagai aktiviti pameran dan jualan juga diadakan pada kedua-dua hari tersebut," lantun Norliza lagi.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.klfestival.org.my.


Meringkuk dipenjara kerana seks

Posted: 04 Jul 2013 07:00 PM PDT


MUHAMMAD KHAIRI dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dijatuhi hukuman penjara.


SHAH ALAM – Kematian seorang gadis yang mayatnya ditemui dibakar teman lelakinya dua tahun lepas berakhir dengan bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Hakim Datuk Ahmadi Aznawi menjatuhi hukuman tersebut ke atas Muhammad Khairi Nor Aziz, 21, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian Nurul Awatif Mohd. Syakir, 19, pelajar Maahad Tahfiz-At-Tijarah di Selayang, Selangor.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 12 September 2011.
Muhammad Khairi didakwa menyebabkan kematian Nurul Awatif di No. B-119, Apartmen Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor antara pukul 9 malam 4 September 2011 hingga pukul 2.15 pagi pada 5 September 2011.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Muhammad Khairi sebelum ini berhadapan hukuman mati mandatori bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 kanun sama.
Ahmadi dalam penghakimannya berkata, dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira umur tertuduh yang masih muda, tiada rekod jenayah dan laporan dari Penjara Kajang yang menunjukkan tertuduh mempunyai tingkah laku baik sepanjang ditahan.

Namun begitu, beliau menyifatkan kesalahan Muhammad Khairi adalah serius dan tiada kewajaran bagi tertuduh untuk menyebabkan kematian mangsa.
"Awak ada kemahuan dan kehendak serta rasa diri amat tinggi untuk bersama dengan mangsa. Awak paksa diri awak ke atas mangsa dan mangsa menolak kemahuan awak.

"Perkara ini tidak beri kewajaran kepada awak untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa dengan menekupnya sehingga mangsa tidak bernafas," katanya.
Menurut Ahmadi lagi, tindakan tertuduh membakar mangsa hanya untuk menyembunyikan perbuatan menyebabkan kematian adalah tidak wajar sama sekali.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, dalam kes ini kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh dan dia memerintahkan Muhammad Khairi dihukum penjara 18 tahun bermula dari tarikh ditangkap.

Sesah isteri guna tali pinggang

Posted: 04 Jul 2013 06:59 PM PDT


Farid Kamal dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Tindakan tidak berhati perut seorang petani membelasah isteri dengan tali pinggang sehingga cedera bulan lalu akhirnya berbalas apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM5,000 ke atas tertuduh semalam.
Lebih mendukacitakan, lelaki berstatus mualaf itu sanggup bertindak ganas ke atas wanita itu hanya kerana dia gagal mendapat wang RM10 daripada isterinya itu untuk membeli arak.
Majistret Nik Habri Muhamad mengenakan hukuman tersebut ke atas Farid Kamal Bala, 29, selepas dia mengaku bersalah memukul Siti Khadeejah, 32. Siti Khadeejah merupakan mualaf warga Thailand yang memeluk Islam enam tahun lalu.
Tertuduh didakwa memukul Siti Khadeejah pada pukul 8 malam, 8 Jun lalu di sebuah rumah di Pondok Terusan Pasir Tumboh dengan menggunakan tali pinggang menyebabkan wanita itu cedera di dahi, lengan tangan kanan dan jari kecil tangan kanan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri mengendalikan dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut jika sabit kesalahan.

Wanita sorok 40 tin susu formula dalam seluar

Posted: 04 Jul 2013 06:58 PM PDT



WEE SIANG menunjukkan imej tiga wanita yang dipercayai melarikan 40 tin susu formula menerusi rakaman CCTV sebuah pasar raya di Muar, Johor semalam.


MUAR – Kegiatan jenayah curi susu formula yang menggunakan modus operandi menyorok barang itu di dalam jubah dikesan kembali beroperasi di daerah ini.
Dalam kejadian terbaharu pada pukul 7.20 malam, Sabtu lalu, sebanyak 40 tin susu bernilai RM5,000 dilarikan oleh penjenayah tersebut di sebuah pasar raya di sini.
Menurut pengurus pasar raya itu, Aw Wee Siang, kehilangan susu itu disedari oleh pekerjanya ketika membuat pengiraan stok.
"Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati penjenayah yang dipercayai lebih 10 orang menyamar sebagai pelanggan dan menyorokkan tin susu di bawah bungkusan biskut di dalam troli.
"Mereka kemudian membawa troli itu ke satu sudut tersembunyi dan memasukkan tin susu itu ke dalam seluar tiga wanita berusia 40-an dengan dibantu oleh dua lelaki," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tempah barang kini boleh dibuat menerusi posmen

Posted: 04 Jul 2013 06:56 PM PDT



HASNUL (tiga dari kiri) melawat gerai pameran jualan di majlis pelancaran perkhidmatan MyShopping oleh Pos Malaysia di Alor Setar semalam.



ALOR SETAR – Para pelanggan Pos Malaysia Berhad kini tidak perlu lagi keluar ke premis-premis perniagaan untuk membeli-belah, sebaliknya mereka kini boleh membuat tempahan barangan menerusi posmen dan barang akan dihantar terus ke pintu rumah.
Perkhidmatan baharu yang dikenali sebagai MyShopping itu akan dikendalikan lebih 5,000 posmen di seluruh negara yang bertindak sebagai ejen jualan.
Ketua Pegawai Operasi Penyelesaian Komunikasi dan Edarannya, Hasnul Haniff berkata, para pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan pembelian barangan terus ke pintu rumah melalui pengedaran risalah dan borang tempahan barang oleh posmen.
"Ia satu-satunya kaedah membeli-belah secara mudah di negara ini yang ditawarkan Pos Malaysia dan MyShopping memfokuskan penjualan produk tempatan dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan perkhidmatan MyShopping di Kompleks Bazaar Souq Al-Bukhary di sini semalam.

Morsi tumbang selepas setahun

Posted: 04 Jul 2013 05:48 PM PDT


RATUSAN ribu penduduk meraikan penggulingan Presiden Mesir, Mohammed Morsi di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Pihak tentera menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui proses demokrasi, Mohammed Morsi kelmarin, setahun selepas beliau berkuasa.
Tentera kemudian menubuhkan sebuah pentadbiran sementara yang diketuai oleh ketua hakim, Adly Mansour sebagai pemangku presiden Mesir.
"Saya bersumpah akan memulihara sistem pentadbiran negara, menghormati perlembagaan dan undang-undang serta melindungi kepentingan rakyat," kata Mansour dalam majlis angkat sumpah di Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir di sini semalam.
Angkatan bersenjata Mesir turut menggantung perlembagaan dan membuat perancangan untuk mengadakan pilihan raya Presiden yang baharu.
Morsi menyifatkan tindakan tentera itu sebagai rampasan kuasa sepenuhnya.
Selepas pengumuman mengenai rampasan kuasa tersebut disiarkan di televisyen, berjuta-juta penunjuk perasaan anti-Morsi bersorak gembira.
Mereka berpesta sambil menjerit "Tuhan Maha Besar" dan "Hidup Mesir".
Di Dataran Tahrir di sini yang menjadi pusat kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Hosni Mubarak pada 2011, orang ramai menari sambil mengibarkan bendera Mesir.

PASUKAN keselamatan cuba meleraikan pergaduhan antara penyokong dengan penentang Morsi di Kaherah kelmarin.


Namun, gelombang kebangkitan rakyat kali ini lebih besar berbanding dua tahun lalu.
Terdahulu, tentera Mesir yang terpanggil susulan demonstrasi anti-Morsi di seluruh negara memberi tempoh 48 jam kepada beliau meletak jawatan.
Namun, Morsi, 61, tidak menghiraukan kata dua itu dengan alasan beliau adalah pemerintah Mesir yang dipilih oleh rakyat.
Kedegilan Morsi mendorong pihak tentera merampas kuasa pada malam kelmarin.
Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas dan adil itu akhirnya tumbang di tangan rakyat.
Beliau senasib dengan bekas presiden Mubarak yang digulingkan dalam gelombang kebangkitan rakyat pada 2011.
Pada Februari 2011, Mubarak terpaksa berundur selepas tentera Mesir memihak kepada rakyat yang mahukan beliau berundur.
Morsi yang sebelum ini merupakan penyokong pergerakan persaudaraan Islam Ikhwanul Muslimin kini dikenakan tahanan dalam rumah manakala beberapa penasihat kanan beliau turut ditahan.
Perkembangan itu berlaku selepas seminggu Mesir dilanda keganasan yang meragut hampir 50 nyawa.
Sepanjang tempoh tersebut, berjuta-juta orang membanjiri jalan raya dan dataran di Mesir untuk mendesak beliau meletak jawatan.
Sementara itu, kuasa Barat meminta semua pihak agar bertenang dengan demokrasi segera dipulihkan di Mesir.

Alga hijau penuhi pantai di China

Posted: 04 Jul 2013 05:47 PM PDT



ALGA berwarna hijau memenuhi pantai di Qingdao, wilayah Shandong, China semalam.


BEIJING - Laut di sekitar China dipenuhi alga apabila tumbuhan tersebut memenuhi pantai selepas ia dibawa oleh ombak di perairan Laut Kuning, kata beberapa pegawai laut.
Beberapa gambar menunjukkan pengunjung pantai berenang dan bermain dalam arus berwarna hijau di timur Qingdao, wilayah Shandong.
Beberapa jentolak turut digunakan untuk memindahkan bertan-tan alga tersebut dari kawasan pantai.
Pentadbiran Lautan China di laman webnya menyatakan bahawa alga yang dikenali sebagai enteromorpha prolifera itu muncul pada minggu lalu.
Ia menular ke kawasan seluas 28,900 kilometer (km) persegi, sekali gus menjadi fenomena alga terbesar di negara itu setakat ini.
Rekod tumbuhan alga terbesar sebelum ini dicatatkan pada tahun 2008 yang meliputi kawasan sekitar 13,000km persegi.
Agensi berita Xinhua melaporkan, sejumlah pegawai di Qingdao telah memindahkan sekitar 7,335 tan alga.

Shah Rukh Khan dapat anak ketiga

Posted: 04 Jul 2013 05:46 PM PDT



SHAH Rukh Khan dan Gauri pada Anugerah Zee Cine di Macau tahun lalu.


MUMBAI - Aktor popular Bollywood, Shah Rukh Khan dan isterinya, Gauri Khan menimang cahaya mata ketiga mereka dengan kelahiran seorang bayi lelaki menerusi ibu tumpang.
Pesuruhjaya Perbandaran Tambahan badan sivik Mumbai (BMC), Mani- sha Mhaiskar mengesahkan laporan itu melalui sijil kelahiran bayi berkenaan.
"BMC ada menerima sijil kelahiran bayi tersebut dengan nama Shah Rukh Khan dan Gauri Khan sebagai ibu bapa kepada bayi tumpang itu," katanya kepada portal berita The Indian Ex- press.
Pelakon berusia 47 tahun itu dan isterinya sudah pun mempunyai dua cahaya mata iaitu Aryan, 15, dan Suhana, 13.
Menurut satu laporan, bayi itu telah dilahirkan pada 27 Mei lalu oleh ibu tumpang yang merupakan kakak ipar kepada Gauri Khan, Namita Chibber.
Bayi lelaki itu dilahirkan pramatang pada minggu ke-34 dengan berat 1.5 kilogram.
Anak ketiga pasangan tersebut dibawa ke hospital Nanavati sebelum dipindahkan ke hospital Breach Candy di Mumbai, India.

Pakai sangkar kepala untuk berhenti merokok

Posted: 04 Jul 2013 05:45 PM PDT



SEORANG lelaki Turki memakai sebuah sangkar kepala yang dicipta khas untuk berhenti merokok.



KUTAYHA, Turki - Seorang lelaki Turki di sini sanggup mencipta sebuah sangkar kepala dan mengunci kepalanya di dalam sangkar tersebut semata-mata kerana mahu berhenti merokok, lapor akhbar Turki, Hurriyet kelmarin.
Lelaki itu, Ibrahim, 42, yang berasal dari Kutayha, wilayah barat Turki menghasilkan sebuah sangkar berbentuk topi keledar.
Kuncinya pula diberikan kepada isteri dan anak lelakinya. Tindakan itu dibuat supaya dia tidak boleh membuka sangkar kepala tersebut untuk merokok ketika berada di luar rumah.
Ibrahim berkata, dia cuba mengubah tabiat merokok sehingga dua kotak sehari sejak 26 tahun lalu.
Akhbar sama melaporkan bahawa Ibrahim menghasilkan sangkar tersebut sejak dua tahun lalu. Sejak memakainya, dia sudah tidak merokok lagi.

Perjuangan seorang cendiakawan Melayu

Posted: 04 Jul 2013 05:41 PM PDT




PROF. Datuk Dr. Nik Safiah Karim cukup mengenali lelaki itu. Mereka pernah sama-sama menuntut di Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) sekitar awal tahun 60-an.
Beliau mengakui, biarpun menuntut di fakulti yang sama, mereka tidak begitu akrab. Hanya bertemu sekali- sekala, itu pun jika ia melibatkan aktiviti-aktiviti di fakulti.
Sungguhpun begitu, Nik Safiah amat mengagumi lelaki itu. Beliau bukan sahaja pelajar cemerlang malah seorang yang aktif dengan pelbagai aktiviti dan persatuan di universiti.
Bagaimanapun, pada pagi Isnin lalu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh telah pergi untuk selama-selamanya pada usia 79 tahun.
Selepas lapan tahun terlantar akibat strok dan beberapa penyakit lain sebelum ini, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.
Beliau meninggalkan balu Puan Sri Salmah Abu Bakar, 69, dan tujuh anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan.
Mengimbau kenangan bersama ketika di zaman universiti, Nik Safiah berkata, ketokohan dan bakat kempimpinan Awang Had sudah terserlah apabila beliau menjawat beberapa jawatan penting termasuk menjadi Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).
"Di bawah kepimpinan beliau, PBMUM menjadi sebuah persatuan pelajar yang aktif dalam memperjuangkan bahasa Melayu dan bidang sastera di negara ini.
"Selain berkemampuan memimpin, beliau juga cukup berbakat dengan menghasilkan pelbagai karya dan penulisan sastera yang bermutu tinggi," katanya ketika dihubungi Kosmo!
Tambah Nik Safiah, selepas tamat pengajian mereka membawa haluan masing-masing.
Beliau meneruskan kerjayanya sebagai tutor di Jabatan Pengajian Melayu, UM sementara Awang Had pula menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Rakan setugas
Bagaimanapun sekitar tahun awal tahun 70-an, mereka mula menjadi rakan setugas apabila Awang Had dilantik sebagai Penolong Pensyarah di Fakulti Pendidikan, UM.
Jelasnya, Awang Had merupakan seorang cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.
Novel pertamanya, Biru Warna, terkenal dengan bahasa yang indah dan puitis sesuai dengan keperibadiannya yang lemah-lembut dan berhemah ketika berbicara.
Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat termasuk ketika menjadi penulis jemputan.
"Beliau seorang penulis yang tiada tolok bandingnya. Setiap karyanya bukan sahaja sempurna tanpa kesalahan bahasa, malah mempunyai kata-kata indah yang lahir daripada jiwa.

SUMBANGAN Awang Had dalam bidang pendidikan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.


"Malah sepanjang mengajar di UM, saya turut menggunakan beberapa karya beliau sebagai sumber rujukan dan pengajaran kepada pelajar," ujarnya yang memberitahu, pemergian Awang Had merupakan satu kehilangan besar kepada negara.
Dilahirkan pada 24 Jun 1934 di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang Had mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pulau Betung.
Pada tahun 1956, beliau telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 sebelum menyambung pengajian di UM dalam bidang sastera dan seterusnya di peringkat kedoktoran dalam bidang pendidikan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat.
Berkhidmat di UM sehingga tahun 1978, beliau telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.
Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.
Tidak cukup dengan itu, Awang Had juga pernah dilantik sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.
Malah beliau juga bertanggungjawab membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989.
Pada Julai 2000, Awang Had dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sementara itu, seorang rakannya, Datuk Dr. Baharudin Zainal, berkata, selain cemerlang sebagai ahli akademik dan pentadbir universiti, Awang Had juga merupakan seorang pejuang bahasa Melayu yang sukar dicari ganti.
Pernah bersama-sama menuntut di UM satu ketika dahulu, Baharudin atau lebih dikenali dengan nama penanya, Baha Zain memberitahu, mereka pernah berjuang bersama-sama dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).
"Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa beliau merupakan antara mereka yang terawal memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan ketika itu," katanya.

BIARPUN sibuk dengan pelbagai komitmen, Awang Had (tengah) tetap meluangkan masa menyertai forum atau persidangan yang berkaitan bahasa Melayu dan sastera.


Tambahnya, biarpun sibuk dengan pelbagai komitmen dan jawatan yang disandang sama ada di peringkat universiti atau kerajaan, Awang Had tetap meluangkan masa untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sastera di negara ini.
Secara tidak langsung usaha gigih yang dilakukan beliau dan rakan-rakan seangkatannya berjaya memartabatkan bidang sastera melalui pelbagai aktiviti, forum dan sebagainya.
Mencintai ilmu
Berpengalaman sebagai seorang guru, tidak hairanlah jika Awang Had begitu mencintai ilmu sehingga akhir hayatnya.
Perkara itu diakui sendiri oleh menantunya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Katanya, walaupun sudah bersara daripada bidang pendidikan dan mempunyai ijazah kedoktoran, bapa mertuanya itu gigih mempelajari pelbagai bidang ilmu untuk mengisi masa lapang.
"Beliau menganggap ilmu perlu dituntut sehingga akhir hayat. Tidak hairanlah ketika masih sihat dahulu beliau sanggup mengambil pengajian jarak jauh dalam bidang lukisan kerana minat melukis," ujarnya dalam satu temu ramah bersama sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Tambah Abdul Rahman, satu perkara yang paling dikagumi tentang bapa mentuanya ialah beliau amat menitikberatkan soal pendidikan dalam keluarga.
"Setiap kali pulang dari luar negara beliau akan membelikan hadiah bahan bacaan buat cucu-cucunya kerana baginya jika diajar mengenali buku sejak kecil, mereka akan menghargai buku sehingga dewasa.
"Kata-kata itu ternyata ada kebenarannya, sampai sekarang anak-anak saya tidak boleh tidur jika tiada buku. Itu yang membuatkan saya kagum," jelasnya.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa-jasa dalam bidang pendidikan, beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1982.
Selain itu, beliau juga turut menerima pelbagai anugerah akademik dari dalam dan luar negara. Antaranya, Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada UKM dan Profesor Emeritus daripada UUM.

Awas jika demam berulang

Posted: 04 Jul 2013 05:40 PM PDT




BAGI kebanyakan orang, nyamuk bukanlah ancaman yang besar. Bahkan, ramai berpendapat, digigit nyamuk merupakan perkara biasa dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Namun, lain pula pandangan wanita berusia 39 tahun ini.
Suzanne Selvarajah mempunyai alasan kukuh untuk melancarkan perang terhadap serangga yang hampir meragut nyawanya itu.
Menurut Suzanne, demam selama tiga hari yang dialaminya 13 tahun lalu dengan suhu badannya mencatatkan 40 darjah Celsius masih kuat dalam ingatannya.
Dia hanya ke klinik selepas tiga hari demam dan hasil ujian darah mengesahkan dia positif denggi. Suzanne kemudiannya ditahan di hospital selama empat hari kerana bacaan plateletnya mencatatkan bawah 100.
Menurut Suzanne, selepas kejadian tersebut, dia menyangka sudah bebas daripada denggi, tetapi sangkaannya meleset. Lapan tahun selepas kejadian pertama, Suzanne sekali lagi disahkan menghidap demam denggi.
"Saya mengalami simptom yang sama iaitu demam panas selama tiga hari dan suhu badan kekal panas walaupun sudah makan ubat demam.
"Benar, saya terkejut apabila sekali lagi disahkan menghidap demam denggi, walhal saya pernah diserang denggi sebelum ini," katanya ditemui pada sesi dialog mengenai denggi sempena Hari Denggi ASEAN anjuran SC Johnson bersama Kementerian Kesihatan Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

PENGHIDAP demam denggi berdepan dengan dua pilihan iaitu sama ada hidup ataupun mati.


Pada hari ketiga di hospital, tubuhnya dimasukkan plasma gara-gara bacaan platelet merosot sehingga bacaan 26.
Tompok-tompok merah
Selepas dimasukkan plasma, tompok-tompok merah timbul di seluruh badannya. Selepas itu, Suzanne tidak sedarkan diri.
Kemunculan tompok-tompok merah di kulit menyebabkan dia dibawa ke bawah pancuran air untuk menyejukkan suhu badannya. Namun usaha tersebut tidak menunjukkan sebarang penurunan malah bacaan plateletnya semakin merosot.
"Suhu badan saya mula rendah selepas saya diletakkan di dalam air sejuk kerana badan saya rasa panas seperti sedang dibakar.
"Bacaan platelet paling rendah yang pernah dicatatkan ialah 22. Pesakit yang tinggal sebilik dengan saya mencatatkan bacaan platelet 32 dan dia meninggal dunia," katanya yang ditahan di wad selama lima hari ketika diserang kali kedua.
Sepanjang berada di hospital bertarung dengan denggi, Suzanne mengalami pendarahan yang serius di telinga, hidung, mata, gusi dan kemaluan.

MENYEMBUR asap merupakan salah satu cara untuk membasmi populasi nyamuk Aedes.


Sejak itu, Suzanne trauma terhadap nyamuk. Dia sering menyembur rumahnya dengan aerosol, menggunakan ubat nyamuk 24 jam, losen dan apa sahaja yang boleh menyahkan nyamuk.
"Azabnya sakit akibat denggi umpama tulang dipatah-patahkan dan kita tidak mampu mengawal kesakitan tersebut walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya.
"Sebagai seorang dewasa pun saya tidak mampu tahan kesakitannya, bayangkan jika kanak-kanak kecil yang melalui semua itu," ujar ibu kepada seorang cahaya mata berusia setahun lapan bulan ini.
Kajian syarikat pengeluar jenama racun serangga terkemuka, SC Johnson mendedahkan, rata-rata orang ramai tidak mengambil langkah pencegahan di rumah. Dianggarkan 74 peratus beranggapan tidak banyak nyamuk di rumah dan selebihnya tidak menggunakannya atas alasan menjaga alam sekitar dan menganggap denggi bukan ancaman.
PLASMA beku segar dimasukkan ke dalam badan sebagai talian hayat buat pesakit.


Sementara itu, personaliti televisyen popular, Sasha Bashir Ahmad, 33, tidak pernah terfikir bahawa dia akan menghidap denggi.
Peristiwa lima tahun lalu itu masih berbekas dalam memorinya. Bermula dengan simptom klasik iaitu demam panas yang teruk, Sasha dinasihatkan supaya datang ke klinik semula andai demamnya tidak kebah.
Selepas tiga hari, demamnya semakin teruk.
"Muka saya pucat dan suami memberitahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku, kemungkinan denggi.
"Hasil ujian darah menunjukkan saya disahkan positif denggi," katanya yang sukar menerima hakikat pada peringkat awal.
Dua tahun lalu, suaminya menerima nasib yang sama. Kini, ibu kepada anak lelaki berusia 17 bulan itu begitu berhati-hati dengan persekitaran di luar atau di dalam rumah.
"Saya tidak sanggup melaluinya lagi, apatah lagi jika anak saya diserang denggi.
"Kebersihan sangat penting. Ia tanggungjawab bersama kerana sesiapa sahaja boleh diserang denggi dengan hanya satu gigitan," ujarnya menyarankan orang ramai segera ke hospital andai menghidap demam panas.

Serangan kedua lebih parah

Posted: 04 Jul 2013 05:39 PM PDT



KITARAN hidup nyamuk Aedes cuma dalam tempoh sebulan.


DEMAM denggi boleh membawa maut. Ramai beranggapan mereka yang pernah menghidap denggi tidak akan diserang penyakit yang sama kerana tubuh mereka sudah ada antibodi untuk melawan penyakit itu.
Bagaimanapun, profesor Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Shamala Devi Sekaran menyangkal pandangan tersebut.
"Serangan denggi kali kedua jauh lebih teruk dan kesannya lebih rumit. Pesakit juga mungkin mendapat penyakit lain yang lebih serius yang boleh merosakkan paru-paru, hati dan jantung.
Pembiakan nyamuk
"Langkah pencegahan utama untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan denggi ialah mengawal populasi nyamuk Aedes," katanya pada sesi dialog sempena sambutan Hari Denggi Asean di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Memandangkan pemindahan virus memerlukan nyamuk sebagai vektor, penyebaran denggi boleh dihadkan dengan mengurangkan pembiakannya.
Orang ramai harus didik supaya menyedari bahawa nyamuk merupakan vektor penyakit itu, jadi adalah berbahaya jika kawasan berhampiran rumah mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Orang ramai mempunyai persepsi bahawa mereka tidak akan menghidap denggi, namun statistik membuktikan sebaliknya. Kes denggi kini semakin teruk.
"Langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan oleh setiap individu dan memberi kesan jangka panjang. Cara terbaik untuk mengurangkan nyamuk ialah dengan membersihkan tempat-tempat nyamuk bertelur," jelasnya.
Menurut Shamala Devi, air kotor yang bertakung bukanlah satu-satunya tempat pembiakan nyamuk Aedes. Serangga itu masih boleh membiak dalam air bersih seperti dalam balang seramik, bekas logam, tong simpanan air, pasu, bekas makanan dan barangan lain yang menakung air hujan.
Denggi berlaku di kawasan bandar dan di luar bandar. Walaupun kes denggi kerap berlaku semasa musim hujan, ia boleh menjangkiti manusia sepanjang tahun.
Nyamuk Aedes aktif dan menggigit ketika waktu siang dan bukannya pada waktu subuh atau senja sahaja.
Nyamuk betina sahaja akan menggigit dan kita akan dijangkiti jika nyamuk betina tersebut dijangkiti.
"Nyamuk memerlukan darah bagi membolehkannya bertelur. Selepas mendapat bekalan darah, dalam masa tiga hari ia akan bertelur.
"Jika nyamuk tersebut dijangkiti virus, telurnya juga akan dijangkiti. Nyamuk akan bertelur di permukaan air dan ia bertukar menjadi larva kemudian pulpa dan akhirnya menjadi nyamuk dewasa dalam tempoh lapan hingga 10 hari," katanya sambil memberitahu, nyamuk dewasa boleh hidup sehingga tiga minggu.
Kesedaran
Nyamuk bukan saja berada di luar rumah bahkan di dalam rumah lebih-lebih lagi di tempat yang gelap.
Terdapat empat jenis virus berbeza tetapi berkait rapat yang menyebabkan seseorang menghidap denggi. Seseorang itu perlu dijangkiti denggi sebanyak empat kali bagi membolehkannya membina antibodi terhadap keempat-empat virus tersebut.
"Hakikatnya, tidak susah membendung masalah denggi. Kesedaran terhadap denggi perlu berterusan. Setiap komuniti penduduk mesti mengadakan kempen membanteras denggi secara bulanan.
"Bersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Jika semua orang melakukan peranan masing-masing, masalah denggi dapat diatasi," ujarnya.

Reedha buah hati Lia Zalee

Posted: 04 Jul 2013 05:37 PM PDT



KELAHIRAN cahaya mata kedua yang merupakan seorang puteri, sembilan tahun lalu melengkapkan hidup wanita pemilik nama Lia Zalee Ahmad, 38, bersama suami tercinta selepas kelahiran putera sulung mereka.
Walaupun bayi perempuan itu dilahirkan ketika usia kehamilannya hampir enam bulan dengan fizikal bayi yang terlalu kecil iaitu seberat 750 gram, anak kelahiran Labis, Johor itu reda dengan ketentuanNya.
"Saya letakkan namanya Reedha. Apa pun yang terjadi pada bayi itu, saya reda andai itu takdirnya.
"Reedha atau nama penuhnya Amy Reedha Adriana Razalee dilahirkan sempurna fizikalnya, cuma tidak cukup bulan," kata anak ke-10 daripada 11 beradik itu.
Sama seperti bayi normal yang lain, Reedha menjalani fasa tumbesaran yang normal, cuma perkembangannya sedikit lambat, tetapi itu sesuatu yang biasa bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan.
Kebiasaannya, anak kecil sudah pun bertatih untuk berjalan pada usia setahun, namun Reedha tidak menunjukkan perkembangan yang sama.
"Saya langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana kita sedia maklum bayi yang lahir tidak cukup bulan sememangnya lambat berjalan.
"Apabila Reedha mencapai usia satu tahun setengah, dia masih tidak boleh berjalan, kakinya terjingkit dan tidak boleh berdiri dengan betul. Kami terus rujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," ujarnya yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mohd. Reezwan Shah Razalee yang kini berusia 16 tahun.
Dua kali pembedahan
Alangkah terkejutnya dia apabila doktor memberitahu bahawa anaknya mempunyai masalah palsi serebrum iaitu keabnormalan perkembangan otak tertentu yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh.
"Kami terpinga-pinga kerana tidak pernah dengar dan tidak pernah tahu apa itu palsi serebrum, namun kami reda dengan pemberian Allah.
"Apa yang ada dalam fikiran kami suami isteri pada masa itu adalah mahu membesarkannya supaya dia boleh jaga dirinya sendiri kelak," katanya yang menyorot kembali saat puteri kesayangannya itu didiagnosis menghidap palsi serebrum.

TIADA apa yang menggembirakan hati ibu ini selain melihat senyuman yang terukir di bibir Reedha.


Tanpa berlengah, Lia Zalee melakukan pelbagai terapi yang terbaik buat anaknya kerana segala usaha untuk membolehkan puterinya berjalan perlu dilakukan segera ketika tulang masih lembut.
Lia Zalee dan suami membuat 'kerja rumah' dengan merujuk pelbagai bahan bacaan selain meminta pendapat dalam kalangan mereka yang berpengalaman termasuk ibu bapa yang mempunyai anak senasib dengan mereka.
"Seratus peratus respons yang diterima menggalakkan kami melakukan pembedahan kerana itu merupakan jalan terbaik.
"Alhamdulillah, pembedahan pertama pada usia empat tahun pada kedua-dua kaki Reedha membuahkan hasil. Jingkit pada kakinya sudah kurang 40 peratus dan pembedahan kali kedua dilakukan pada usianya tujuh tahun," ujarnya sambil memberitahu, kedua-dua pembedahan tersebut dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur.
Selepas pembedahan kedua, jingkit kaki Reedha bertambah baik dan dia mampu berjalan walaupun kadangkala kestabilannya goyah.
Ibu mana yang tidak sedih dan tersentuh hati apabila buah hati pengarang jantungnya itu terpaksa melalui kesakitan pada usia yang terlalu muda. Namun semua kesedihan itu ditelan Lia Zalee demi mahu melihat anaknya berjalan.
Sungguhpun tidak boleh pulih sepenuhnya, melihat satu-satunya puterinya itu berjalan sudah cukup buat Lia Zalee.
Sama seperti kanak-kanak lain, Reedha tidak ketinggalan memasuki alam persekolahan. Malah, atas permintaan Reedha, Lia Zalee berjaya menempatkan anaknya itu di sekolah biasa walaupun pada mulanya banyak sekolah yang menolak permohonan itu.
Anak yang pintar
Sudah menjadi rutin Lia Zalee menghantar, menjemput, memakaikan lampin pakai buang dan menjenguk puteri kesayangannya itu pada waktu rehat di sekolah.
"Walaupun Reedha mempunyai sedikit kekurangan dari segi fizikal, ia tidak sedikit pun menghalangnya untuk tampil cemerlang dalam bidang akademik.
"Dia tidak berhadapan dengan masalah pembelajaran dan merupakan salah seorang pelajar pintar di Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 1, Kuala Lumpur," katanya sambil mengusap lembut pipi puterinya itu yang berusia sembilan tahun.
LIA ZALEE dan suami begitu menyayangi permata hati mereka iaitu Reedha dan Mohd. Reezwan Shah.


Kini berada dalam darjah tiga, Reedha mempunyai keinginan untuk berjalan seperti rakan-rakannya.
Bagi memenuhi hasrat anaknya itu, Lia Zalee membeli alat bantuan bergerak untuk memudahkan Reedha berjalan kerana anaknya itu tidak mahu menggunakan kerusi roda.
"Adakalanya Reedha mengadu tentang kekurangan pada dirinya, namun selaku ibu saya harus bijak memujuknya.
"Saya katakan padanya: 'Walaupun adik ada kekurangan, mami sayang adik. Adik kena buktikan pada orang bahawa adik boleh berjaya dan adik perlu bersyukur kerana adik tetap cantik'," ujarnya sambil menitipkan pesan buat ibu bapa yang mempunyai anak palsi serebrum supaya tidak malu dengan keadaan anak mereka.
Walaupun Reedha punya kekurangan, puteri kesayangan Lia Zalee itu amat menyejukkan hatinya.
Baru-baru ini sempena Hari Ibu, Reedha membuat dua keping kad hari ibu buat ibunya.
Satu kad daripadanya dan satu lagi daripada abangnya yang tinggal di asrama, sedangkan tulisan yang tertera pada kad yang konon-kononnya daripada abangnya itu adalah milik Reedha.
"Bagi ibu bapa yang mempunyai anak seperti Reedha, terimalah dengan hati terbuka kerana ia merupakan ujian daripada Allah dan amanah yang perlu dijaga," katanya sambil memberitahu Reedha yang bercita-cita mahu menjadi seorang profesor mudah menghafal dan sudah pandai membaca seawal usia empat tahun.

Timba ilmu dengan legenda bola sepak EPL

Posted: 04 Jul 2013 05:36 PM PDT


KEHADIRAN legenda bola sepak EPL sangat mengujakan para peserta klinik bola sepak yang berlangsung di ISN baru-baru ini.


BERCERITA mengenai dunia bola sepak, pastinya peminat tegar sukan itu memasang impian untuk bertemu mata dengan pemain-pemain daripada kelab-kelab bola sepak terkemuka seperti Liverpool, Arsenal, Bayern Munich, Manchester United, Barcelona dan Real Madrid.
Bagai mimpi menjadi kenyataan, 60 pelajar bertuah daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan, Setapak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lai Meng, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bukan sahaja dapat bertemu secara langsung dengan pemain legenda bola sepak Liga Perdana England (EPL), malah berpeluang berkongsi padang dengan mereka.
Antara pemain legenda EPL yang turun padang memeriahkan program Pembangunan Pengenalan Bakat Standard Chartered di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil baru-baru ini ialah Stephane Henchoz, Bjorn Tore Kvarme, Jerzy Dudek dan Dietmar Hamann.
Ketika menunggu kehadiran para pemain kesayangan masing-masing, para peserta klinik bola sepak kelihatan begitu bersemangat dan teruja membuat latihan tendangan penalti.
Sebelum melakukan tendangan penalti, peserta melakukan senaman pemanas badan dengan bimbingan instruktor daripada ISN bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia.
Pelbagai keletah
Oleh kerana 40 daripada 60 peserta merupakan pelajar pendidikan khas yang mempunyai masalah penglihatan, setiap pelajar istimewa itu ditemani seorang buddy.
Sebelum melakukan sepakan penalti, para pelajar pendidikan khas mendengar arahan buddy masing-masing dengan teliti.

PEMAIN cilik ini menunjukkan kemahirannya membuat sepakan ke gawang gol.


Setiap kali sepakan penalti dilakukan, kedengaran tepukan gemuruh terutamanya ketika para pelajar berjaya menjaringkan gol.
Malah, pelbagai keletah mereka turut menghiburkan, sebagai contoh apabila kasut salah seorang peserta melayang bersama bola yang ditendang.
Selepas melakukan latihan tendangan penalti, latihan menggelecek bola dilakukan bagi menguji kemahiran mengawal bola menggunakan kedua-dua belah kaki.
Tepat pukul 4.40 petang, selepas hampir satu jam menunggu, kelihatan kelibat beberapa pemain legenda bola sepak EPL diiringi dengan sorakan serta tepukan gemuruh daripada para peminat cilik.
Tanpa membuang banyak masa, bintang bola sepak yang hadir melakukan demonstrasi skil menimbang bola, menggelecek dan menangkap bola yang ditendang ke gawang gol.
Selesai sesi demonstrasi, tiba masanya para peserta melakukan tendangan ke gawang gol yang dikawal secara bergilir-gilir oleh Henchoz, Tore Kvarme, Dudek dan Hamann.
Walaupun mengalami masalah penglihatan, ada antara tendangan peserta daripada sekolah pendidikan khas membolosi gawang gol yang dikawal Dudek.
Kenangan terindah
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan penganjuran klinik bola sepak sedemikian mampu menggilap bakat para pelajar dalam sukan bola sepak.
"Pelbagai program dilakukan di negeri-negeri untuk mencari bakat-bakat sukan bukan sahaja di bandar-bandar, tetapi juga di kampung-kampung.
"Saya percaya, pengalaman yang diraih oleh 60 pelajar yang hadir pada program ini akan menjadi kenangan yang tidak dapat mereka lupakan," katanya.
Dalam pada itu, bekas pemain tengah Liverpool, Tore Kvarme yang bersara pada bulan Jun 2008 begitu seronok dapat meluangkan masa bersama peserta klinik bola sepak itu terutamanya dari sekolah pendidikan khas.

PARA peserta klinik bola sepak begitu tekun melihat demonstrasi menimbang bola oleh legenda bola sepak EPL kesayangan mereka.


"Walaupun ada kekurangan, mereka sangat yakin, bersemangat dan berbakat," ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Scope International Malaysia, Kwan Chee Sun memberitahu, pihaknya sangat gembira kerana dapat memberikan peluang kepada para pelajar kelainan upaya dan pelajar yang berbakat dalam sukan bola sepak bertemu dengan pemain-pemain legenda bola sepak EPL.
"Diharapkan dengan pendedahan sebegini dapat memberikan perubahan positif terhadap sukan bola sepak negara pada masa akan datang.
"Apa yang pasti, usaha sebegini tidak akan terhenti dan ia akan dilakukan secara berterusan dengan mengadakan banyak lagi aktiviti sepanjang tahun," katanya yang akan mengenal pasti pemain-pemain legenda bola sepak lain pada tahun depan.

Mendidik si kecil berpuasa

Posted: 04 Jul 2013 05:36 PM PDT



BERBUKA puasa bersama-sama membuatkan si anak seronok untuk berpuasa. - Gambar hiasan


BEBERAPA hari sahaja lagi, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang sinonim dengan puasa.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
Apa erti puasa? Ramai sudah maklum, puasa ertinya menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Bukannya lama sangat, lebih kurang 12 jam tetapi percayalah, masih ramai yang payah hendak berpuasa.
Persoalan iman memang tidak boleh disangkal malah tidak mampu berpuasa sebenarnya juga berpunca daripada ketidakbiasaan yang wujud di dalam diri.
Lantaran, sebagai ibu dan bapa, anda sewajarnya mendidik anak anda berpuasa sejak kecil lagi.
Mulakan secara berperingkat
Mungkin ada yang bertanya, pada umur berapa tahun sebaiknya si anak diajar berpuasa? Realitinya, tidak ada dalil khusus dalam syariat yang menekankan mengenai mendidik anak berpuasa, berbeza dengan solat.
Rasulullah SAW menekankan agar ibu bapa menyuruh anak belajar solat ketika berusia tujuh tahun dan sekiranya ketika berusia 10 tahun si anak tadi enggan solat maka si anak boleh dihukum dengan pukulan sekadar untuk mengajar atau menakutkan.
Mengambil kira syarat berpuasa, diwajibkan kepada yang baligh iaitu bermula usia sembilan tahun. Namun, jika tidak biasa dan hanya diminta si anak berpuasa ketika telah diwajibkan, pasti ia akan memberikan dugaan dan cabaran besar buat si anak.
Lantas, sebaiknya si anak diajar berpuasa seawal usia empat atau lima tahun iaitu ketika dia telah mampu untuk meluahkan isi hati mengenai dirinya.
Ajarkan si anak berpuasa secara bertempoh. Boleh mulakan dengan bersahur kemudian tidak mengambil sarapan dan berbuka ketika waktu makan tengah hari.
Janjikan ganjaran
Seterusnya biasakan dengan tempoh yang lebih lama, mungkin berbuka ketika azan waktu solat Asar dan akhirnya cukup sehari dengan berbuka ketika masuknya waktu solat Maghrib.
KANAK-KANAK harus dididik supaya berpuasa agar ibadat puasa tidak berat untuk dilakukan apabila dewasa kelak.


Membiasakan diri sebegini akan dapat memberikan kekuatan kepada si anak untuk berpuasa penuh dan tidak terlalu sakit ketika menghadapi puasa yang sebenar. Paling penting, si anak yang telah biasa berpuasa akan rasa ralat jika sengaja meninggalkannya.
Tidak salah jika ibu bapa menjanjikan suatu ganjaran buat si anak sekiranya berpuasa. Sebagai contoh, jika si anak baru belajar berpuasa, boleh dijanjikan RM10 jika dapat berpuasa penuh sehari dan RM5 jika dapat berpuasa separuh hari.
Jika anak telah berusia tujuh tahun, disiplin diri sewajibnya ditekankan menurut syariat iaitu mengambil kira perintah solat. Jika si anak berpuasa penuh janjikan ganjaran, sebaliknya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran jika berpuasa separuh hari.
Selain ganjaran berbentuk wang, si anak yang berpuasa boleh dijanjikan dengan ganjaran mengikut kehendak hatinya. Mungkin si anak berminat untuk menikmati hidangan tertentu atau memperoleh sesuatu, maka cabarlah si anak untuk berpuasa penuh dan kehendak hatinya akan dipenuhi.
Namun, ganjaran hanya sesuai untuk anak yang baru belajar berpuasa dan di bawah umur baligh. Jika si anak telah baligh, perlu bertegas menyuruh si anak berpuasa bagi melaksanakan perintah Allah dan bukan demi ganjaran semata-mata.
Ketika si anak berusia sembilan tahun, tidak perlu dijanjikan sebarang ganjaran, namun boleh diwujudkan ganjaran tersebut sebagai kejutan saat akhir iaitu diserahkan tanpa si anak maklum terlebih dahulu ketika hari raya.
Wujudkan persaingan
Ia sebagai pendidikan bahawa berpuasa merupakan perintah Allah yang wajib ditunaikan dan sebagai ibu bapa, ganjaran itu diberikan kerana anda berbangga dengan prestasi si anak dalam usaha menjadi anak yang soleh dan solehah.
Selain ganjaran, ibu bapa juga boleh wujudkan persaingan sihat antara anak-anak, jika memiliki lebih daripada seorang anak.
Malah, andai memiliki hanya seorang anak yang boleh dilatih berpuasa, masih boleh wujudkan persaingan antara si anak dengan sepupunya dan boleh juga wujudkan persaingan dengan diri anda sendiri.
Contohnya, anda boleh ceritakan kepada anak anda mengenai kisah anda belajar berpuasa ketika kecil dahulu, tetapi pastikan si anak mendapat manfaat dan semangat, bukan menjadikan si anak tidak minat berpuasa.

BERIKAN semangat kepada anak untuk berpuasa dengan memasak atau membeli juadah kegemaran mereka ketika waktu berbuka.


Mungkin boleh ceritakan mengenai anda terpaksa tidur hampir seharian kerana mahu mempertahankan puasa dan pada masa yang sama yakinkan anak anda bahawa mereka lebih bersemangat dan mampu melakukan yang lebih baik berbanding anda.
Secara tidak langsung, si anak akan rasa tercabar untuk menandingi kehebatan anda ketika kecil seterusnya akan menjadikan anda berbangga dengan dirinya.
Berikan pujian
Bagi seorang kanak-kanak, alat permainan atau wang yang diberikan sebagai ganjaran berpuasa tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan pujian dan perhatian yang diperolehnya daripada anda sebagai ibu atau bapa.
Lantas, dalam kekalutan anda bekerja dan kepenatan berpuasa, pastikan anda tetap memberikan perhatian kepada anak anda.
Anda boleh ambil tahu mengenai perasaannya selepas berjaya berpuasa, boleh juga ambil tahu hidangan yang diidamkan untuk dinikmati ketika berbuka, boleh juga tanyakan menu kegemaran untuk menambah selera ketika bersahur.
Perhatian yang anda berikan akan menambah semangat si anak untuk berpuasa kerana yakin, susah payahnya berpuasa anda hargai.
Ingat! Anak-anak kecil masih belum faham konsep pahala dijanjikan Allah, lantas sebagai ibu bapa, biasakan dengan ganjaran dunia ketika si kecil belajar berpuasa tetapi tetap masukkan dalam minda mereka, puasa mereka dinilai oleh Allah sebagai pahala untuk kehidupan abadi di syurga.

Memasak dengan susu tepung

Posted: 04 Jul 2013 05:32 PM PDT


RAMJEET KAUR (kiri) bersama Sherson menunjukkan hidangan yang dimasak menggunakan susu tepung Dutch Lady.


LAZIMNYA susu sinonim sebagai minuman yang berkhasiat. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa ia boleh menjadi bahan dalam masakan.
Peneraju dan jenama susu terkemuka di Malaysia, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) membuktikan bahawa susu tepung boleh dipelbagaikan kegunaannya.
Berkolaborasi bersama Chef Sherson Lian, Dutch Lady mengambil inisiatif menguar-uarkan kebaikan Susu Tepung Famili Dutch Lady.
Sejak bulan Jun lalu, Dutch Lady Malaysia telah melancarkan dua buku resipi iaitu Cipta Rasa Berkhasiat Di Dapur Chef Sherson dan lima episod program memasak, Cipta Rasa Ramadan dengan memperkenalkan variasi hidangan berkhasiat menggunakan Susu Tepung Famili Dutch Lady.
Hos rancangan masakan 5 Rencah, 5 Rasa dan duta jenama Susu Tepung Famili Dutch Lady mencipta hidangan lengkap yang mudah dihasilkan.
Memasak seawal umur 12 tahun, Sherson berkongsi pengalaman dan kepakarannya menerusi buku-buku resipi dan program memasak terbaharu.
Kerjasama dengan Dutch Lady Malaysia bertujuan menonjolkan kebaikan susu tepung famili sebagai salah satu ramuan yang mudah diadaptasi dalam masakan harian.
"Saya amat bangga dengan buku resipi baharu ini. Ia melambangkan apa yang saya suka tentang hidangan hebat.

PELBAGAI resipi masakan dicipta oleh Sherson menggunakan susu tepung Dutch Lady yang boleh didapati dalam Buku Resipi Cipta Rasa Berkhasiat Di Dapur Chef Sherson.


"Saya sememangnya suka memasak dan ingin memberi inspirasi serta semangat kepada rakyat Malaysia untuk memasak di rumah. Kita mempunyai pelbagai ramuan yang mudah digunakan dan susu adalah antara ramuannya," katanya.
Pengurus Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Ramjeet Kaur Virik memberitahu, penyediaan makanan berkhasiat dan sihat merupakan pilihan terbaik buat seisi keluarga.
"Sherson dan susu tepung famili merupakan gandingan tepat memandangkan beliau terkenal dalam kalangan peminat-peminatnya bersama gaya masakan Malaysia yang ringkas," kata Ramjeet.
Dutch Lady Malaysia teruja dengan penampilan Sherson dalam program masakan televisyen Cipta Rasa Ramadan dan berharap program tersebut dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memasak di rumah.

SHERSON membuat demonstrasi memasak pasta dengan menggunakan susu tepung Dutch Lady.


Pada majlis pelancaran yang berlangsung baru-baru ini, Sherson menunjukkan kemahiran memasaknya di The Cooking House, Petaling Jaya.
Dalam pada itu, Sherson juga akan melawat lima pemenang Peraduan Cipta Rasa Dutch Lady, yang diadakan pada bulan Mac 2013 lalu bagi merasai pengalaman memasak bersama Sherson di dapur mereka sendiri.
Rancangan masakan mereka bersama Sherson, Cipta Rasa Ramadan akan memperkenalkan resipi lazat yang mengandungi Dutch Lady Susu Tepung Famili.
Sebanyak lima episod akan disiarkan di TV3 setiap Rabu (3, 10, 17, 24 dan 31 Julai 2013) dari pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Untuk maklumat lanjut mengenai jadual demonstrasi memasak Sherson, sila rujuk di laman web www.dutchlady. com.my.

Sajian tradisi di Istana Bambu

Posted: 04 Jul 2013 05:31 PM PDT


NASI AMBENG


RAMADAN merupakan bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh jutaan umat Islam di seluruh dunia. Kehadiran bulan yang dilimpahi dengan 1001 keberkatan dan rahmat itu pasti akan disambut dengan penuh rasa kesyukuran.
Selain tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat tarawih, bulan ini juga sinonim buat seisi keluarga mencari destinasi menarik untuk berbuka puasa bersama.
Bagi mereka yang inginkan suasana ala kampung yang dilatari pemandangan sawah padi, Restoran Istana Bambu paling sesuai untuk anda kunjungi.
Restoran ini menyediakan variasi hidangan tradisi yang pasti membuka selera. Antara menu istimewa yang ditawarkan ialah nasi ambeng, patin tempoyak, ayam masak lemak cili padi, sate, tempe belada, terung sambal, gulai daging salai dan asam pedas ikan pari.

KAMBING golek merupakan menu wajib setiap hari.


Selain itu, sajian sotong telur masin, udang goreng nestum dan menu wajib kambing golek juga boleh dinikmati seadanya. Tidak ketinggalan, pelbagai kuih-muih Melayu disediakan di samping minuman seperti jus mangga, teh ais lemon, cendol dan sirap bandung cincau.
Konsep gerai beratap nipah menjadi penghias untuk setiap hidangan yang disediakan sekali gus menyuntik suasana seolah-olah berada di sebuah kampung yang permai.
Ketua Chef Restoran Istana Bambu, Zainab Abdullah, 60, semua resipi ini diyakini mampu menarik perhatian pelanggan untuk berbuka puasa di sana.
"Setiap tahun, juadah berbuka puasa yang ditawarkan tidak pernah menghampakan pengunjung. Jadi, kami tetap memilih sajian tradisi sebagai hidangan utama untuk dinikmati," kata Zainab yang berpengalaman selama tiga dekad dalam dunia kulinari.
Dalam pada itu, pihak pengurusan turut menyediakan kemudahan surau di dalam kawasan restoran bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines