PADANG SERAI - Gara-gara mencuri lembu, seorang lelaki ditahan orang ramai di Bukit Selarung kira-kira jam 1.30 pagi.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Chng Seng Ang berkata, orang awam yang ternampak kenderaan dipandu suspek melaporkan kejadian itu kepada PPKM sebelum semua ahli bertugas menjalankan rondaan mencegah jenayah sampai ke tempat kejadian.
Menurutnya, dalam kejadian itu tiga lelaki berusia 30-an dipercayai mencuri lembu dan diletakkan di bahagian kerusi belakang kereta jenis Proton Wira.
Suspek cuba melarikan diri dengan memecut kereta dipandu mereka ke arah Lebuh raya Kulim -Baling bagaimanapun hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Katanya, dua suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran manakala seorang lagi suspek berjaya ditahan.
Kerana tidak berpuas hati dengan sikap dan perlakuan suspek, orang ramai telah membelasah suspek selain menghiris telinga sebelah kirinya.
“Ketika Ahli PPKM sampai di tempat kejadian, kami dapati suspek terlibat hampir pengsan dan terbaring di atas rumput di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.
Kami kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis dan meminta bantuan ambulans.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kulim dengan ambulans Hospital Kulim dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil, bagaimanapun orang yang bertanggungjawab mencederakan suspek masih gagal menyerahkan diri kepada polis,” katanya. -SH