Nilai: Akibat gagal membayar tunggakan bil utiliti dan sewa rumah didiaminya bersama suami dan anak-anak, seorang wanita mendakwa menjadi mangsa rogol oleh abang iparnya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Gebok, Mantin di sini, dua bulan lalu.
Wanita berusia 31 tahun itu mendakwa kejadian pertama berlaku pada 17 Julai lalu dan kejadian terakhir pada awal bulan lalu apabila abang iparnya itu dikatakan berang selepas dia dan suami didakwa tidak pernah membayar sewa serta melangsaikan bil utiliti sejak menetap di rumah berkenaan, kira-kira dua tahun lalu.
Sumber berkata, sebelum kejadian itu, suspek dikatakan sudah lama berang dengan mangsa dan suami apabila semua perbelanjaan harian dikatakan ditanggung keluarga suspek dan nenek mangsa.
Menurutnya, rumah yang didiami itu dikatakan milik nenek mangsa yang kemudian dibahagikan kepada dua iaitu satu bahagian didiami kakak mangsa yang juga isteri suspek, anak serta neneknya manakala mangsa, suami serta tiga anak mereka menetap di bahagian yang satu lagi.
“Selepas dua tahun tinggal di rumah itu, suspek mendakwa mangsa sekeluarga tidak pernah membantu menjelaskan bil air, bil elektrik serta bayaran sewa.
“Berang dengan tindakan keluarga wanita berkenaan, suspek yang berusia 40-an dikatakan bertindak memanjat bumbung rumah mangsa kira-kira jam 12 tengah malam, 17 Julai lalu sebelum merogol mangsa,” katanya.