Khamis, 4 April 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Wan (Shades) Bakal Nikah Artis 90-an Hujung Tahun

Posted: 02 Apr 2013 09:22 PM PDT

Wan, bekas anggota kumpulan Shades.
PETALING JAYA: Bekas penyanyi kumpulan Shades iaitu Mohamad Faizal Mohd Ali atau Wan (Shades) mengesahkan bakal menamatkan zaman bujangnya pada hujung tahun ini dengan seorang artis 90-an.
Wan, 40, berkata, dia kini sedang dilamun cinta dengan seorang wanita yang cukup memahaminya dan berhasrat menjadikan wanita itu sebagai isterinya tidak lama lagi.
"Alhamdulillah, saya mengenali seorang wanita yang sangat saya senangi. Insya-Allah saya akan menamatkan zaman solo pada hujung tahun ini, cuma tarikhnya belum ditentukan lagi.
"Bagaimanapun saya tidak boleh memberitahu siapa wanita itu, tunggulah bila dah nak dekat (perkahwinan) nanti," katanya.
Difahamkan, Wan kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Shila Lama. Bagaimanapun Wan enggan mengulas panjang tentang khabar angin tersebut. Shila juga pernah menyertai kumpulan nasyid Huda bersama Warner Music tidak lama dulu.
Dalam perkembangan lain beritahu Wan, dia masih lagi meneruskan niatnya mengambil tindakan mahkamah terhadap sebuah blog hiburan yang didakwa telah memfitnahnya sebagai suspek kes rogol anak tiri.
Shila Lama dikatakan bakal menjadi isteri kepada Wan. Bagaimanapun Wan mengelak untuk mengesahkannya buat sementara waktu.
Katanya, sehingga kini kes itu masih lagi dalam proses penelitian peguam sebelum ia dibawa ke peringkat mahkamah.
"Tak mungkin saya akan menarik balik kes berat seperti ini kerana ia telah mencalarkan nama baik saya.
"Tindakan membawa kes itu ke mahkamah adalah semata-mata untuk memberi pengajaran kepada semua penulis blog di Malaysia yang kadang-kadang terlupa mereka bukan wartawan bertauliah dan tidak mengambil peduli tentang etika dalam penulisan," katanya.
Wan yang popular dengan lagu Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal ketika bersama Shades mendakwa difitnah apabila sebuah blog hiburan menyiarkan laporan tidak tepat dengan tajuk "Wan Shades Suspek Utama Penyanyi Kumpulan R&B Rogol Anak Tiri Selama Tujuh Tahun?" pada 20 Februari 2012.
Dalam perkembangan lain, Wan bakal muncul di televisyen menerusi drama Epilog Cinta Kirana yang diadaptasi daripada novel Bawa Daku Ke Syurga yang akan ditayangkan menerusi slot Samarinda bermula 10 April ini di TV3.

Dr Ezani (MasterChef) Terpaksa Bahagikan Masa Dua Kerjaya Serentak

Posted: 02 Apr 2013 09:22 PM PDT

Dr Ezani (kanan) bersama Ketua Pembangunan dan Pengurusan Harta Intelek, Astro, Bob Azrai pada katanya yang ditemui pada pelancaran Pprogram PastriBella, pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Juara MasterChef Malaysia musim pertama, Dr. Ezani Farhana mengakui terpaksa membahagikan masa sebaik mungkin antara kerjayanya sebagai doktor gigi dan aktiviti memasak.
Ezani atau nama sebenarnya Ezani Farhana Md Monoto 28, berkata, dia telah memulakan pekerjaan sebagai doktor gigi di sebuah pusat kesihatan milik kerajaan sejak awal Januari lalu.
"Sejak kerja awal tahun lalu saya perlu bahagikan masa antara aktiviti seni dan waktu bekerja saya di pusat kesihatan tersebut.
"Jika ada penggambaran saya 'lari' sekejap dan susun jadual dengan baik agar tidak mengganggu tugas di klinik," katanya yang ditemui pada Pelancaran Program PastriBella, di sini, Selasa.
Jelas Ezani, kebanyakan undangan untuk demonstrasi masakan yang dilakukannya adalah pada hujung minggu atau selepas waktu bekerja.
Dalam pada itu, Ezani mengakui kehidupannya sedikit berubah selepas bergelar juara program itu.
"Alhamdulillah rezeki lebih banyak terutamanya undangan demonstrasi dari dalam dan luar negara.
"Saya juga mengacara program wanita di TV AlHijrah serta program masakan di Astro," katanya.
Sementara itu, program PastriBella ke udara mulai 29 Mac lalu di saluran Astro Prima selama tiga minit.
Setiap segmen dan akan diulang siar mengikut kekosongan slot pada hari-hari tertentu.
Program ini merupakan segmen ringkas mengenai demonstrasi penyediaan kek dan pastri hasil tangan Ezani.

Wajah Semakin Tampan, Edry (KRU) Sangkal Lakukan Botoks

Posted: 02 Apr 2013 09:20 PM PDT

Perbandingan wajah Edry pada 2011 (kiri) dan foto terbaharunya ketika hadir ke majlis sidang media program Liga Juara Hot FM-100 Plus yang diadakan pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan KRU, Edry Abdul Halim menyangkal desas-desus yang mengatakan kononnya dia telah melakukan suntikan botoks pada wajahnya supaya kelihatan lebih muda dan tampan.
Edry, 37, berkata, gosip berkenaan langsung tidak mempunyai asas yang kukuh dan dia enggan melayan cerita tidak benar tentangnya yang hebat diperkatakan di Internet berhubung hal itu.
"Jika benar saya buat sebarang perubahan pada wajah sudah tentu kini saya kelihatan seperti Brad Pitt dan Yusry tidak lagi menjadi anggota KRU yang paling kacak.
"Khabar angin itu sama sekali tidak benar dan saya tidak akan melayan cerita yang tidak masuk akal seperti itu," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Liga Juara Hot FM - 100 Plus di Restoran Full House, di sini, Selasa.
Tambah Edry, dia tidak akan berselindung sekiranya benar dia melakukan perubahan pada wajahnya.
Edry menganggap cerita yang mengatakan dia menggunakan botox adalah tidak masuk akal.
Malah kata Edry dia hanya ketawa apabila cerita kurang enak itu sampai ke pengetahuannya.
"Jika benar saya lakukan sebarang perubahan pada wajah, saya sendiri akan dedahkan perkara itu kepada umum dan tiada apa yang perlu saya sorokkan," katanya.
Dalam pada itu, Edry berkata, perubahan pada wajahnya mungkin disebabkan oleh faktor dia aktif bersenam sebagai rutin harian hingga susuk tubuh dan wajahnya kelihatan berbeza.
Tambah Edry, kekerapannya mengubah gaya rambut dengan pelbagai fesyen turut membuatkan dia kelihatan berbeza pada pandangan mata masyarakat.
"Saya tidak rasa ada apa-apa perubahan pada wajah saya kerana jika buat perbandingan dengan gambar lama dan terkini tiada beza tapi ada orang kata saya nampak lebih muda mungkin kerana gaya rambut yang sentiasa berbeza dan kesan senaman konsisten yang saya lakukan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Edry berkata, dia teruja untuk menyertai program Liga Juara Hot FM-100 Plus bersama-sama selebriti dan pemain bola sepak tempatan yang lain bagi mendekatkannya dengan peminat menerusi aktiviti sukan futsal.
"Saya akan terlibat dalam semua lokasi yang dirancang oleh pihak Hot FM kerana saya sendiri meminati sukan futsal. Selain dapat beriadah melalui aktiviti sukan program ini juga dapat mendekatkan saya dengan peminat," ujarnya.

Aqasha buka syarikat produksi

Posted: 02 Apr 2013 09:20 PM PDT

AQASHA mengakui dia kini lebih selektif memilih watak yang ditawarkan demi menjaga hati isterinya.


ADA khabar terbaharu tentang aktor kacak pemilik nama Firdee Akassya Rosli atau lebih popular dengan panggilan Aqasha. Dia kini sedang sibuk dengan syarikat produksi filem, Camwerk Studios.
Diam tidak diam, kata Aqasha, sudah mencecah usia setahun perniagaan produksi Camwerk Studios yang diusahakan bersama Sein dan Zain (anggota kumpulan Ruffedge) sejak bulan Mac tahun lalu.
"Selama 13 tahun dalam industri berada di depan kamera, mungkin sekarang sudah sampai masa untuk saya mencari aspek lain dalam industri perfileman atau televisyen.
"Syarikat kami menyediakan khidmat produksi filem, televisyen, dokumentari dan video korporat pada mulanya dan kini semakin berkembang untuk menyediakan kemudahan pascaproduksi," katanya.
Aqasha ditemui pada majlis pelancaran filem Langgar di Restoran Carney Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini yang hadir memberikan sokongan terhadap sahabat baiknya, Sein selaku pengarah produksi tersebut.
Dalam pada itu, Aqasha, 32, memberitahu, syarikatnya akan terlibat dengan pembikinan sebuah filem selepas Hari Raya Aidilfitri sekitar bulan Ogos nanti.
Filem genre aksi itu juga merupakan arahan Sein (Syed Hussein) dan Aqasha juga akan menjadi sebahagian daripada pelakon utama.
Profesional dengan Umie
Ditanya perkembangan terkini selain sibuk menguruskan perniagaan yang diasaskan dengan kos ratusan ribu ringgit itu, jawab Aqasha, dia usai menjalani penggambaran telefilem arahan Erma Fatima berjudul, Aku Tahu.
Menerusi telefilem itu, Aqasha akan bergandingan dengan Erra Fazira dan pelakon yang pernah dikaitkan bersama sekitar penghujung tahun 1990-an, Datin Paduka Umie Aida.
"Berlakon bersama nama-nama besar dalam industri adalah penghargaan besar buat saya dan penggambaran berjalan lancar.
"Saya melakonkan watak lelaki simpanan Umie dan tiada masalah untuk melakonkan watak itu kerana masing-masing meletakkan profesionalisme dalam bekerja. Senang untuk saya bekerja dengan dia kembali," ujarnya selepas kali terakhir berlakon bersama Umie menerusi drama Haryati 10 tahun lalu.
Aqasha dalam pada itu meluahkan keterujaan menimang cahaya mata keduanya lima bulan lalu. Katanya, bayi perempuan yang diberi nama Alaena Ayesha melengkapkan keluarganya.
"Alhamdulillah, Allah memberikan kesenangan kepada kami sekeluarga dan rezeki yang tidak pernah putus. Saya bahagia bersama keluarga yang kini semakin bertambah besar," kata bapa kepada Alehandra Ahmad yang kini berusia dua tahun.

AQASHA dan Umie Aida dalam dua babak filem, Embun lakonan mereka.


Hormat isteri
Mengakui kini lebih selektif memilih watak dalam drama mahupun filem, kata Aqasha, dia perlu menghormati perasaan isterinya yang barangkali cemburu melihat dia bermesra dengan aktres lain.
"Dia sedia maklum dan faham tuntutan kerja saya dan saya mahu menjadi seorang suami yang bertimbang rasa. Maka, saya perlu memilih karakter yang sesuai dengan saya.
"Saya rasa watak-watak romantik sudah boleh dilepaskan kepada pelapis baharu dalam industri kita yang tidak kurang bakatnya dan saya sudah sedia untuk memikul watak yang lebih matang.
"Saya akan kurangkan menerima tawaran watak romantik lagi kerana menghormati isteri saya. Bukan tolak terus tapi perlu dibincangkan dengan lebih teliti sejauh mana romantik itu.
"Dia tidak pernah cakap apa-apa tapi saya takut dia simpan dalam dan memendam perasaan. Bimbang sampai masa nanti meletup!" katanya yang kali terakhir melakonkan watak romantik menerusi drama Dejavu Di Kinabalu bersama Tiz Zaqyah tahun lalu.

Afgan Hanya Akan Bercinta Selepas Tamat Belajar

Posted: 02 Apr 2013 09:19 PM PDT

Afgan menunjukkan album terbaharunya Live To Love, Love To Live semasa pelancara album itu di The Vanue, Pavillion, Kuala Lumpur pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia iaitu Afgan hanya akan menjalinkan hubungan cinta selepas dia menamatkan pengajiannya di Universiti Monash dekat sini.
Afgan yang mengambil ijazah dalam bidang pemasaran perniagaan beranggapan sukar baginya memberi tumpuan dalam satu-satu perkara jika terpaksa melakukan dua benda serentak.
"Susah jika bercinta ketika belajar. Sebelum ini saya pernah bercinta dengan seorang wanita Indonesia ketika kemasukan awal saya ke universiti pada tahun 2011.
"Namun ia hanya dapat bertahan selama tujuh bulan sahaja apabila masing-masing membuat keputusan untuk berpisah.
"Sukar sebenarnya untuk menjalinkan hubungan cinta jarak jauh kerana masing-masing tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada kekasih. Rasa macam pentingkan diri pula," katanya.
Afgan ditemui pada pelancaran album ketiganya berjudul Live To Love, Love To Live di The Vanue, Pavillion, di sini pada petang Selasa.
Tambah Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, dia menganggap hubungan cinta adalah satu perkara yang sangat penting buat kehidupan manusia dan kerana itu juga dia sering menghasilkan lagu-lagu berunsur cinta untuk para peminatnya.
Dalam pada itu, lagu-lagu yang dihasilkan juga merupakan perkongsian cerita mengenai pengalaman cinta yang pernah dilaluinya.
"Saya lebih senang berkongsi kisah diri menerusi lagu-lagu yang dibawakan.
"Dan menerusi album ini juga, saya menghasilkan lagu Pesan Cinta yang mengisahkan seorang lelaki iaitu saya yang jatuh hati pada pandang pertama terhadap seorang gadis," ujarnya.
Live To Love, Love To Live menampilkan sebanyak 10 buah lagu yang antaranya seperti Jodoh Pasti Bertemu, Without You, Demi Kamu Dan Aku, Untukmu Aku Bertahan, Katakan Tidak, Cinta Tanpa Syarat, Jauh dan Tanpa Bahasa.
"Menerusi lagu Demi Kamu dan Aku, saya tampilkan lagu ini dengan pasangan duet saya, Sherina. Lagu ini amat berbeza kerana muziknya diselitkan campuran akustik biola.
"Kalau nak tahu lagu ini mengenai hubungan cinta jarak jauh saya yang tidak menjadi itu.
"Malah saya turut menghadiahkan peminat-peminat dengan lagu khas iaitu Untukmu Aku Bertahan sebagai menghargai usaha mereka yang sentiasa menyokong saya tidak kira masa," katanya.
Album Live To Love, Love To Live merupakan album pertama Afgan di bawah naungan Trinity Optima Production di Indonesia manakala Suria Records Sdn Bhd di Malaysia.

Liga Juara 'Hot FM-100 Plus' Tampilkan Artis & Bintang Sukan

Posted: 02 Apr 2013 09:18 PM PDT

Penyampai radio Hot FM, selebriti dan pemain bola sepak kebangsaan bakal memeriahkan acara Liga Juara Hot FM-100 Plus yang bakal diadakan bermula 12 April ini.
KUALA LUMPUR: Stesen radio Hot FM bakal menampilkan 25 orang artis dan pemain bola sepak terkenal untuk beraksi di gelanggang futsal bersempena pertandingan Liga Juara Hot FM-100 Plus bermula 12 April depan.
Pengurus Besar, Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Anida Mohd Tahrim berkata, acara itu diadakan dengan sokongan selebriti selepas melihat keadaan dan rasa tanggungjawab untuk mewujudkan satu komuniti yang sihat selain ingin mendekatkan mereka dengan masyarakat.
"Futsal adalah satu sukan yang amat popular ketika ini dan menjadi kegilaan tidak kira umur bagi masyarakat Malaysia. Melihat kepada keadaan itu kami terpanggil untuk mengadakan acara tersebut yang diyakini dapat menarik perhatian terutamanya pendengar Hot FM," jelasnya ketika pada sidang media program berkenaan di Restoran Full House di sini, Selasa.
Antara artis yang bakal beraksi dalam pertandingan itu seperti Nelydia Sensore, Neelofa, Black, Qi Razali, Scha Al Yahya, Erry Putra, Hairul Azreen, Fizo Omar, Danny X-Factor dan Adam.
Manakala pemain bola sepak yang bakal memeriahkan pertandingan seperti Azman Adnan, Asmawi Bakiri, Mubin Mokhtar, Rusdi Suparman, Anuar Abu Bakar, Safee Sali, Khairul Fahmi Che Mat dan Safiq Rahim.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan bakal beraksi dalam program yang akan diadakan di Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Dalam pada itu, Anida berkata, Liga Juara Hot FM-100 Plus juga diadakan selepas kejayaan acara itu di Sabah dan Sarawak tiga tahun lalu,
"Kali ini kami ingin menjelajah ke negeri Terengganu dan Kelantan. Kami yakin ia akan bertambah hangat dengan kehadiran selebriti popular dan pemain bola sepak terkenal di gelanggang futsal," katanya.
Tiga lokasi gelanggang futsal yang bakal menemui peminat adalah DS Sport Centre 2, Wakaf Mempelam Kuala Terengganu pada 12 April manakala pada hari berikutnya perlawanan akan diadakan di Arena Futsal, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Lokasi terakhir bagi program ini bakal diadakan pada 20 April depan bertempat di Sports Jam, Extreme Park, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Hadiah utama yang bakal dibawa pulang oleh pemenang ialah wang tunai RM3,000 berserta piala pusingan dan trofi.
Kepada peminat yang ingin menyertai pertandingan itu boleh mendapatkan borang penyertaan di laman web Hot FM, www.hotfm.com.my.

Edry tepis tohmahan suntik hidung

Posted: 02 Apr 2013 09:17 PM PDT

EDRY ada cara tersendiri untuk kelihatan muda.


JIKA dilihat dari segi penampilannya, Edry Abdul Halim masih berjaya mengekalkan ketampanannya biar umur kini sudah mencecah 37 tahun. Meraih populariti bersama KRU pada usia remajanya, Edry kini merupakan anggota kumpulan Mojo.
Edry pernah mengulas tentang pertanyaan media sebelum ini tentang wajahnya yang kelihatan cengkung dan kurus. Dia memberi alasan bahawa perubahan wajahnya itu berlaku seiring pertambahan usia.
Bagaimanapun, sebelum ini timbul desas-desus di internet yang mendakwa Edry melakukan sesuatu pada wajahnya terutama membabitkan bahagian hidung.
Bertemu dengan bapa kepada empat orang cahaya mata ketika sesi ramah mesra bersama media Liga Juara Hot FM - 100 Plus di Restoran Fullhouse Kuala Lumpur semalam, Kosmo! mendapatkan kenyataan balas daripada Edry berhubung perkara itu.
Kosmo!: Timbul spekulasi Edry telah mencucuk hidung untuk kekal kelihatan muda. Adakah perkara tersebut benar?
EDRY: Jelas sekali kenyataan itu tidak benar dan saya tidak pernah dan tidak terfikir untuk melakukannya (suntikan hidung). Saya tidak akan melayan tuduhan tidak berasas seperti ini.
Bagaimanakah Edry melihat dakwaan sebegini dan adakah ia mencalar maruah Edry sebagai seorang individu terkenal dalam industri?
Orang ramai boleh menilai saya dan siapa saya pada hari ini. Saya tidak merasakan ada perbezaan jika timbul tuduhan sebegini dan tiada apa yang perlu saya sembunyikan. Kalau saya tidak melakukannya, tiada apa yang perlu saya cakapkan. Malah, jika saya melakukan suntikan pada wajah pun tiada apa yang nak dimalukan.
Mungkinkah Edry mempunyai alasan lain yang lebih kukuh untuk menyokong kenyataan tersebut?
Corak kehidupan saya berbeza setiap hari dan saya melakukan senaman untuk kekal cergas, sihat dan nampak muda.
Edry akan terbabit sama dalam Liga Juara Hot FM - 100 Plus sepanjang bulan April ini. Apakah peranan Edry sebagai selebriti sempena acara tersebut?
Saya akan turun padang untuk berlawan futsal bersama penyampai radio Hot FM, bintang bola sepak tanah air dan peminat di tiga buah lokasi iaitu Kuala Terengganu, Kota Bahru dan Shah Alam. Langkah ini saya rasakan terbaik untuk saya berinteraksi dengan peminat dan perasaan sangat teruja. Lagipun, sepanjang dua dekad KRU dalam industri, rasanya baru tiga kali kami berpeluang ke sana.
Filem 29 Februari kurang mendapat sambutan dalam kalangan penonton tempatan. Adakah Edry berputus asa untuk mencuba formula yang sama untuk filem akan datang?
KRU Studios mempunyai banyak filem dalam tangan untuk ditayangkan antaranya Vikingdom, Ular, Malaysia Masuk World Cup dan Hantu Tok Mudim dan kesemuanya berbeza dari segi genre dan jalan cerita.
Sudah pasti kita mahu ke depan dan menjadi lebih baik tapi adakalanya kita perlu toleh ke belakang dan perlu mengikut rentak pasaran semasa.
Mungkin saya telah menghasilkan filem yang bukan penonton mahu tengok tapi saya tidak berminat untuk menghasilkan filem ringan untuk menjaga maruah dan label syarikat yang telah dibina.
Saya masih menunggu masa yang sesuai untuk filem-filem itu ditayangkan dan sesuai dengan tahap intelektual serta apresiasi penonton.

Penilaian ketat Raja Lawak 7

Posted: 02 Apr 2013 09:16 PM PDT


BARISAN peserta yang bakal bersaing dalam gelanggang Raja Lawak 7.


SERAMAI 11 peserta berkumpulan dan tiga peserta solo berjaya memasuki program realiti popular Astro, Raja Lawak untuk musim ketujuh.
Sebelas peserta berkumpulan yang bertanding adalah Bora, Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Wala, Tuah, Xtra dan Ganu serta tiga peserta solo iaitu Ali, Emy dan Boy.
Menariknya, Raja Lawak musim terbaharu itu juga buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada warga Singapura untuk memeriahkan lagi program tersebut.
Dua peserta dari Singapura yang berjaya menyertai Raja Lawak 7 ialah kumpulan Bora dan Ali.
Ali atau nama sebenarnya Muhammad Ali Abdul Manab dilihat bakal memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain berikutan kepandaiannya meniru gaya ramai artis terkenal termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini.
Raja Lawak 7 bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 12 April ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Menurut Ketua Kumpulan Premium Astro, Nizam Sani, pemilihan peserta pada musim ini adalah lebih ketat kerana mereka perlu menjalani bootcamp untuk dinilai sebelum layak beraksi di gelanggang sebenar.
Jelasnya, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan peserta yang dipilih berkualiti tinggi sekali gus ia dapat mengekalkan standard dan kandungan yang disampaikan mengikut peredaran industri semasa.
"Adalah menjadi hasrat kami untuk membuka mata orang ramai bahawa komedi merupakan satu industri yang serius dan berada di aras tinggi.
"Sempena slogan yang kami perkenalkan tahun ini iaitu Takkan Lawak Hilang Di Dunia, ia juga menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan kandungan program yang lebih segar dan berkualiti," jelasnya ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas mengenai barisan juri untuk Raja Lawak musim terbaharu itu, kata Nizam, sesuai dengan temanya, barisan juri juga akan membariskan pelawak-pelawak legenda yang akan menjadi pengkritik.
Bagaimanapun, barisan juri hanya akan didedahkan pada minggu pembukaan program itu untuk memberikan elemen kejutan buat penonton.
"Barisan juri bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga melatih para peserta untuk menjadi pelawak yang berkaliber," ujarnya.
KUMPULAN Bora dari Singapura dijangka memberikan saingan hebat.


Masih relevan
Ditebak soalan adakah program Raja Lawak masih relevan diadakan, ulas Nizam, program realiti itu masih lagi diterbitkan berikutan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.
Malah, Raja Lawak berjaya mencapai rating yang memberangsangkan sepanjang enam musim lalu.
"Pihak kami membuat kajian penonton tentang Raja Lawak dan mereka mahu program ini dikekalkan. Peningkatan peserta menghadiri uji bakat yang diadakan setiap tahun juga mencatat angka membanggakan selain jumlah undi yang diterima kami adalah konsisten.
"Untuk tahun ini, lima buah negeri yang kami pergi untuk sesi uji bakat mendapat sambutan hangat daripada peserta apabila hampir 400 orang menghadirkan diri di setiap lokasi," ujarnya lagi.
Raja Lawak musim terbaharu itu masih mengekalkan format terdahulu yang mana sistem pemarkahan para peserta ditentukan sepenuhnya kepada undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas.
Musim terbaharu itu juga masih mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.
Juara program Raja Lawak bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000.

Katy Perry Putus Cinta Lagi Dengan John Mayer

Posted: 02 Apr 2013 09:15 PM PDT


John Mayer bersama Katy Perry
PENYANYI Katy Perry akhirnya memutuskan hubungan cintanya dengan John Mayer berikutan sifat kasanova penyanyi lagu Your Body Is A Wonderland itu.
Menurut sumber, John masih cuba mendekati wanita lain ketika bercinta dengan Katy. Malah John dikatakan sempat keluar dengan beberapa wanita lain baru-baru ini.
Seperti dilaporkan ShowbizSpy pada Selasa, Katy telah diberitahu oleh teman-temannya agar tidak menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut.
"John telah mengajak beberapa perempuan lain ke kafe, dan Katy sudah muak dan letih dengan hal itu.
"Banyak temannya yang memperingatkan soal sifat John, tapi Katy pada awalnya tidak mempedulikannya," ujar sumber.
Pada Ogos tahun lalu, pasangan itu pernah dilaporkan putus, tetapi disambung semula. Kini hubungan mereka putus buat kali kedua.

Ye Sung sertai khidmat negara

Posted: 02 Apr 2013 09:14 PM PDT

YE SUNG


AGENSI yang menaungi karier seni kumpulan Super Junior, SM Entertainment mengumumkan bahawa salah seorang anggota kumpulan itu iaitu Ye Sung bakal mendaftar untuk memasuki khidmat negara dengan menyertai angkatan tentera Korea Selatan pada tahun ini.
Sehubungan itu, konsert jelajah terbaharu Super Junior iaitu Super Junior Show 5 merupakan aktiviti terakhir Ye Sung atau nama sebenarnya, Kim Jong Woon bersama kumpulan tersohor Korea Selatan itu.
Ketika muncul pada konsert jelajah tersebut di Seoul, malam Ahad lalu, Ye Sung telah meluahkan emosinya di hadapan ribuan pengunjung dan peminat Super Junior.
Ujarnya: "Selepas lima tahun menjadi pelatih, saya telah menjalani tempoh lapan tahun sebagai salah seorang anggota Super Junior. Saya sangat bertuah kerana atas sokongan anda (peminat) semua."
Tambahnya penuh emosi: "Sebelum ini, saya lupa hakikat betapa bernilainya masa ketika membuat persembahan bersama Super Junior di pentas konsert.
"Namun, kini saya faham... Apabila saya tidak lagi bersama mereka, saya berharap anda semua memberikan sokongan yang lebih kuat buat Super Junior. Saya tidak akan melupakan anda dan berharap kamu semua tidak melupakan saya."

Cyberjaya tiada masjid

Posted: 02 Apr 2013 09:11 PM PDT


SESAK. Beginilah keadaan surau di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya setiap kali solat Jumaat gara-gara tiada masjid di Cyberjaya, Selangor.


CYBERJAYA – Umat Islam di sini terutamanya kaum lelaki menghadapi kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat kerana ketiadaan masjid di kawasan Lembah Silikon Malaysia itu.
Masalah yang dihadapi sejak lebih lima tahun lalu itu menyebabkan mereka terpaksa menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan di luar Cyberjaya seperti Putrajaya dan Dengkil.
Tinjauan Kosmo! baru-baru ini, mendapati umat Islam yang tinggal dan bekerja di situ terpaksa bersesak untuk menunaikan solat Jumaat di dua buah surau yang telah dinaik taraf menjadi surau Jumaat di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan Universiti Multimedia Malaysia.
Seorang kakitangan swasta, Aulia Rahman Zainal, 22, mengakui terkejut dengan ketiadaan masjid di kawasan itu sejak mula bekerja di sini dua tahun lalu.

Banglo murah untuk pesara

Posted: 02 Apr 2013 09:10 PM PDT


CHE MUDA (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Rafi Alwi (kanan) sambil diperhatikan oleh Andrew (tengah) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Para pesara tentera dan polis yang masih mencari rumah kediaman yang selesa dan murah, boleh menyertai projek Perumahan Kampung Tersusun (RPT) Perwira Negeri Perak yang akan dibangunkan oleh Koperasi Perumahan Angkatan Tentera Bhd. (KPATB).
Pengerusi KPATB, Mejar (B) Che Muda Che Ismail berkata, 10 tapak projek telah dikenalpasti untuk projek yang akan dibangunkan dalam kawasan seluas 360 hektar yang akan menempatkan lebih daripada 5,000 peserta yang terdiri daripada kumpulan berkenaan.
Menurutnya, antara lokasi yang telah dikenal pasti ialah Sungai Tumboh, Seri Iskandar, Mukim Blanja, Batu Gajah, Suak Pelang di Sungai Siput dan Sitiawan.
"Projek ini telah dilancarkan oleh Menteri Besar Perak pada 11 Oktober tahun lalu selepas menandatangani memorandum persefahaman antara KPATB dengan kerajaan negeri Perak yang melantik koperasi ini sebagai pemaju bagi projek berkenaan.
"Projek ini akan memberi peluang kepada pesara tentera dan polis untuk memiliki rumah pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran," katanya di sini semalam.

Asrama masjid di Myanmar terbakar

Posted: 02 Apr 2013 09:09 PM PDT


BEBERAPA anggota bomba membantu memadamkan kebakaran di asrama sebuah masjid di Yangon semalam.


YANGON - Polis di Myanmar menyatakan, pihaknya serdang menyiasat ketua sebuah masjid dan seorang guru Muslim kerana disyaki cuai sehingga mengakibatkan asrama masjid itu terbakar semalam.
Kebakaran yang berlaku menjelang subuh itu menyebabkan 13 orang kanak-kanak terbunuh sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa ketegangan agama di negara ini akan meningkat.
Pihak berkuasa menyalahkan kebakaran itu berlaku disebabkan litar pintas.
Beberapa anggota polis pencegah rusuhan ditempatkan di masjid tersebut bagi mengawal ketenteraman awam.
Bagaimanapun, beberapa penduduk Muslim mengesyaki kebakaran tersebut sengaja dilakukan.
Seorang penduduk Muslim, Soe Myint berkata, kebanyakan kanak-kanak dihantar ke asrama itu oleh ibu bapa mereka, sedang nyenyak tidur semasa kebakaran tersebut berlaku.
Menurutnya, dia yang turut membantu mengeluarkan mayat mangsa tidak percaya kebakaran tersebut disebabkan lintar pintas.
Dia menyatakan, masjid itu dipenuhi dengan bau minyak diesel.
Ketua Menteri Yangon, Myint Swe memberitahu pemberita bahawa polis menemui tong diesel di bawah sebuah tangga.
Menurutnya, minyak tersebut pada kebiasaannya digunakan untuk sebuah generator masjid itu apabila bekalan elektrik terputus.
Kira-kira 70 orang berjaya menyelamatkan diri ekoran kebakaran itu.
Rusuhan agama di Myanmar sebelum ini meragut nyawa 43 orang dan 86 cedera pada bulan lalu selepas berlaku perbalahan antara seorang pemilik kedai emas yang beragama Islam dengan pelanggannya beragama Buddha di Meikhtila.

Gelagat haiwan dapat ais

Posted: 02 Apr 2013 09:08 PM PDT


SEEKOR gajah beraim dengan sebongkah ais di Zoo Dusit, Bangkok semalam.


BANGKOK - Haiwan-haiwan di Zoo Dusit di sini diberikan ais bagi tujuan untuk menyejukkan badan ekoran cuaca panas.
Pelbagai gelagat yang melucukan dapat disaksikan oleh para pengunjung ketika haiwan tersebut menjilat dan bermain dengan ais pelbagai warna.
Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan suhu panas di bandar raya ini mencecah antara 38 hingga 40 darjah Celsius.

Komputer ketiga terpantas dunia di Universiti Illinois

Posted: 02 Apr 2013 09:07 PM PDT


PENGARAH projek Blue Waters, Bill Kramer (kiri) berada di dalam sistem stor komputer Blue Waters.


CHAMPAIGN, Illinois - Komputer ketiga terpantas di dunia terdapat di Universiti Illinois, Amerika Syarikat (AS) yang bernilai AS$350 juta (RM1.08 bilion).
Ia kini boleh digunakan oleh para penyelidik, saintis dan ahli perniagaan.
Komputer itu yang diberi nama Blue Waters dihasilkan dengan menggunakan peruntukan Yayasan Sains Kebangsaan, syarikat IBM Corporation dan Cray Inc.
Projek pembinaan komputer itu bermula pada tahun 2007.
Menurut laman web top500, kedudukan komputer itu berada di belakang komputer Titan yang dibina syarikar Cray di Makmal Kebangsaan Oak Ridge, Tennessee di AS.
Komputer paling pantas membuat pengiraan ialah mesin keluaran IMB, Sequoia yang terdapat di Makmal Kebangsaan Livermore, California.

Polis Kathmandu lancar kempen tangkap lembu

Posted: 02 Apr 2013 09:06 PM PDT


SEBUAH bas dan tiga orang penunggang motosikal melintasi seekor lembu di sebatang jalan raya di Kathmandu semalam.


KATHMANDU - Polis di sini melancarkan kempen untuk menangkap lembu-lembu yang berkeliaran di jalan raya.
Haiwan-haiwan itu dipersalahkan kerana berlaku kemalangan dan kesesakan jalan raya.
"Kita menyaksikan kesesakan jalan raya berlaku kerana pemandu kenderaan cuba mengelak lembu-lembu tersebut," kata seorang jurucakap Polis Metropolitan Kathmandu, Pawan Giri.
Menurutnya, kemalangan kerap berlaku semasa para pemandu cuba untuk mengelak lembu tersebut.
Beliau berkata, lembu-lembu itu akan ditahan sehingga pemiliknya membayar denda sebanyak AS$60 (RM185.28).
Lembu dianggap sebagai haiwan suci oleh penduduk beragama Hindu di Nepal.

Korea Utara rancang hidupkan operasi reaktor nuklear

Posted: 02 Apr 2013 09:05 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan menara penyejukan loji nuklear milik Korea Utara yang dimusnahkan di Yongbyon pada 27 Jun 2008.


SEOUL - Korea Utara merancang untuk menghidupkan semula operasi reaktor nuklearnya di kompleks Yongbyon, menurut satu laporan media semalam.
Reaktor nuklear itu akan digunakan untuk mengeluarkan plutonium untuk menghasilkan senjata nuklear.
Bangunan kompleks itu terletak di barat laut negara itu akan beroperasi dengan segera, menurut Jabatan Awam Tenaga Atom Korea Utara.
Reaktor itu ditutup pada tahun 2007 selepas perbincangan antarabangsa yang melibatkan enam pihak berhubung isu Korea Utara diadakan.
Sebuah menara penyejukan di kompleks nuklear Yongbyon sebelum ini pernah dimusnahkan pada 27 Jun 2008.
Perbincangan itu turut melibatkan Amerika Syarikat (AS), China, Rusia dan Jepun bagi menamatkan program senjata nuklear Korea Utara yang telah terhenti sejak 2009.
Keputusan menghidupkan semula operasi reaktor itu dibuat ketika ketegangan berlaku antara Korea Utara, Korea Selatan dan AS.
Ketegangan tercetus sebelum ini selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan barang mewah ke atas Korea Utara selepas ia melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Tentera AS turut menghantar beberapa pesawat kalis radar seperti F-22 Raptor dan pesawat pengebom nuklear B-2 Stealth ke Korea Selatan untuk menunjukkan ia sanggup mempertahankan negara tersebut jika diserang Korea Utara.
Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas bapanya, Kim Jong-il meninggal dunia pada April tahun lalu turut mengancam untuk melancarkan serangan nuklear ke atas AS dan pangkalan tenteranya.
 
 

Dijual RM3,119 bagi 450 gram

Posted: 02 Apr 2013 09:03 PM PDT

GADING mempunyai nilai pasaran gelap yang tinggi walaupun hanya dijadikan perhiasan semata-mata.


SEIRING perkembangan teknologi maklumat, syarikat pemborong dan pengimport, Tujuh Luk Enterprise (Tujuh Luk) yang beribu pejabat di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor turut menggunakan laman web sebagai medium pemasaran berbanding kaedah konvensional.
Cuma, barangan dagangan syarikat itu terdiri daripada benda-benda yang dinilai sebagai mistik oleh sesetengah pihak seperti keris, cincin, batu geliga dan koleksi jenglot.
Menurut pengarah urusannya, Mohd. Hilmi Hussin, konsep perniagaan Tujuk Luk adalah untuk koleksi dan kegemaran lelaki. Selain barang bersifat eksentrik, banyak lagi perhiasan untuk kaum Adam boleh didapati di laman web, www.tujuhluk.com.my.
Antara barang lain yang pernah dijual ialah kristal air mani gajah dan cincin bertatah gading gajah yang dipercayai mempunyai khasiat daripada sudut perubatan dan boleh membaiki hubungan serta bersifat spiritual.
"Ia dapat meningkatkan aura selain bergantung kepada niat pemakainya," terang Hazli Abd. Hamid, 36, penasihat perubatan kepada Tujuh Luk ketika ditemui di Sepang, Selangor.
Sifat penyayang
Kristal air mani gajah yang dijadikan minyak dipercayai dapat membaiki wasilah antara dua individu dengan menundukkan orang yang dicalit.
Kepercayaan itu berasal daripada sifat gajah yang penyayang terhadap anaknya dan ia diperoleh daripada air mani yang tercicir di permukaan tanah seterusnya mengalami penghabluran ketika mamalia itu mengawan.
Kristal air mani gajah mempunyai empat gred yang diukur mengikut tahap ketumpatan. Harga gred A mampu mencecah lebih RM30,000 setiap gram.
Bagi individu yang sering berasa gentar atau rendah diri, cincin bertatah gading gajah pula dipercayai mampu menaikkan semangat pemakai.
Aura dan tenaga yang didapati sama fungsinya semasa gading digunakan gajah untuk berlawan serta memberi rupa yang garang terhadap mamalia daratan terbesar itu.
"Pemakaian cincin dan mani ini hanya sebagai medium dalam mencapai kehendak seperti seseorang itu harus menaiki kenderaan untuk ke destinasi yang dihajati.
"Jadi, pengguna harus membetulkan dulu iktikad dan akidah serta tidak meletakkan 100 peratus kepercayaan terhadap sesuatu benda," kata Hazli memberi nasihat.

BANGKAI gajah tidak bergading ini ditemui di Indonesia.


Ujar lelaki yang mendapat pendidikan di Mesir itu, pemakaian objek sebegitu merangkumi beberapa jurus ilmu seperti alam semula jadi, sains dan budaya.
Keaslian gading gajah boleh ditentukan dengan meneliti permukaan gading yang mempunyai corak, tidak licin dan apabila dibakar, ia mengeluarkan aroma yang tersendiri tidak seperti bau plastik terbakar, ujar Hazli.
Pada 11 Disember lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor telah berjaya menumpaskan cubaan satu sindiket menyeludup 6,034 kilogram gading gajah di Pelabuhan Klang, Selangor.
Hasil pemeriksaan ke atas dua buah kontena oleh pihak berkuasa mendapati, sebanyak 2,341 batang gading gajah disorok dalam 10 bekas khas dalam bentuk komposisi susunan kayu.
Menurut Pengarah Kastam Negeri, Datuk Azis Yacub, sebanyak empat rampasan telah dibuat sejak September 2011 di Pelabuhan Klang diikuti 13 Disember 2011 dan 6 Januari 2012 dan terbaru, Disember lalu.
"Taktik penyeludupan ialah dengan membuat ikrar tidak benar dan pergerakannya berhenti di beberapa destinasi untuk memunggah barang ke kapal yang lain atau berpatah balik ke lokasi asal.
"Usaha ini bagi mengelirukan pihak berkuasa. Daripada ketiga-tiga kes, taktik yang digunakan lebih kurang sama," kata beliau ketika ditemui di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah, Selangor.
Antara contoh barang yang diikrar ialah kraftangan, jubin lantai mahagoni, plastik atau tikar anyam nilon poliester. Kes terbaharu, diikrar sebagai jubin kayu lantai Acajou (mahagoni) sebanyak 1,322 buah.
Hasil maklumat Cawangan Risikan JKDM, kapal yang diberi nama Marivia berasal dari Togo itu telah ke Pelabuhan Algeciras, Sepanyol untuk dipunggah ke kapal CMA CGM Titus sebelum ke Pelabuhan Klang, Malaysia.
Kapal tersebut sampai di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 7 Disember 2012 dan dipunggah di sebuah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Klang. Ia dijangka diubah sebelum dihantar ke destinasi terakhir.
Berdasarkan data yang didapati daripada Traffic Southeast Asia (Traffic), terdapat enam rampasan gading gajah telah dibuat sejak September 2011 di Malaysia. Empat rampasan di Pelabuhan Klang, Selangor, masing-masing satu di Johor dan Pulau Pinang.
Sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka bagi rampasan di Pelabuhan Klang, manakala kes pada September 2011 telah selesai dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak bertanggungjawab mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
Transit pembungkusan
Konvensyen Perdagangan Spesies Terancam Antarabangsa (CITES) menyenaraikan gajah Asia dalam Apendiks Satu pada tahun 1975 diikuti gajah Afrika pada Januari 1990.
Tegas Azis, CITES Apendiks Satu menjadi larangan mutlak untuk diperdagang di negara-negara yang menandatangani konvensyen tersebut menggantikan undang-undang lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 untuk ikrar tidak benar dan Apendiks Satu, CITES. Jika didapati bersalah, denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pelabuhan Klang menjadi transit atau persinggahan untuk pembungkusan semula barang-barang penyeludupan atau bertukar kapal pengangkutan dari negara asal ke destinasi akhir.
Kosmo! pada 5 Januari lalu melaporkan, satu rampasan gading gajah bernilai RM4.26 juta dari Kenya telah dibuat oleh pihak berkuasa Hong Kong, kontena tersebut melalui Malaysia sebelum sampai ke pulau tersebut.
Pada pandangan Traffic, Zon Bebas merupakan masalah paling ketara bagi penyeludupan, namun mengakui amat mustahil untuk pihak berkuasa memeriksa trafik setiap kontena yang keluar dan masuk.
JKDM Selangor yang baru menerima Anugerah Negeri Berprestasi Tinggi Tahun 2012 mempunyai seramai 1,239 kakitangan yang bertugas di Pelabuhan Utara, Barat dan Selatan, Selangor dengan keadaan trafik antara 6,000 hingga 8,000 TEU sehari.
TEU merupakan unit bagi kontena iaitu bersamaan setiap 20 kaki (6.1 meter) persegi. Saiz kontena paling kecil.
Berdasarkan siasatan, destinasi seterusnya bagi kontena yang dirampas pada Disember 2012 akan ke Terminal Pasir Panjang, Singapura, Terminal Kontena Mawan, Chiwan, China dan lokasi terakhir, Xiamen, Xinheida, China.
Kata pegawai kanan program Traffic, Kanitha Krishnasamy, 32, tiada rampasan dilakukan oleh Malaysia sejak tahun 2009, namun ada rampasan dilakukan di Laos, Hong Kong dan Vietnam.
"Sekurang-kurangnya 10 rampasan di luar negara telah melalui Malaysia terlebih dulu," kata Kanitha ketika ditemui di Petaling Jaya.
Gading gajah mendapat permintaan di China dengan perdagangan domestik dibenarkan, tetapi terkawal iaitu simpanan stok yang didapati sebelum prakonvensyen CITES boleh dijual dengan permit.

PIHAK berkuasa Hong Kong merampas gading dan ia telah melalui Malaysia sebelum sampai ke negara itu.


Thailand juga membenarkan perdagangan dalam negara dengan menggunakan sumber domestik.
Terang Kanitha, gading gajah dijadikan sebagai perhiasan sama ada diukir atau dalam bentuk asal dan rampasan yang berlaku menunjukkan terdapat permintaan serta penyeludupan.
Penyeludupan gading gajah disifatkan oleh Kanitha sebagai masalah antarabangsa dan melibatkan sindiket serta pekerja berbilang negara.
Dia memberi contoh, satu rampasan sumbu badak di lapangan terbang antarabangsa Thailand untuk diseludup ke Vietnam, sindiketnya dari Laos dan individu yang bekerja pula warganegara Malaysia.
Di benua Afrika pula, terdapat musim memburu yang dipanggil pemburuan trofi yang membolehkan para pemburu memburu seekor gajah dan membawa pulang tengkorak.
"Pemburu yang berjaya perlu bergambar dengan bangkai haiwan dan dibiarkan. Pihak berkuasa perlu menguruskan bangkai tersebut dan kemudian rangka dihantar kepada pemilik lesen," terang Kanitha.
Lesen pemburuan trofi itu kerap disalah guna oleh pemburu haram. Misalnya, lesen memburu didaftar dengan nama wanita-wanita penghibur dari China bagi mendapatkan gading yang banyak.

Revolusi industri percetakan 3D

Posted: 02 Apr 2013 09:03 PM PDT


MATERIALISE menjadi perintis kepada teknologi pencetak 3D.


PERCETAKAN tiga dimensi (3D) telah banyak mengubah senario pembuatan produk khusus contohnya alat-alat perubatan. Bagaimanapun, revolusi sebenar terjadi apabila pereka mula berfikir mengenai bentuk dan objek tersebut.
Jika teknik konvensional mengehadkan imaginasi pereka, percetakan 3D pula membolehkan setiap rekaan melangkaui gambaran biasa.
"Untuk mula menggunakan teknologi percetakan 3D, para pereka dan jurutera harus membayangkan rupa dan reka produk terbaharu.
"Dengan teknologi percetakan 3D tiada lagi batasan terhadap kompleksiti geometri," ujar Terry Wohlers seorang penganalisis bebas mengenai teknologi itu.
Syarikat perintis teknologi berkenaan, Materialise yang berasal dari Belgium, sebagai contoh pernah mempamerkan kerusi mudah alih dicetak secara terus di atas plastik dengan menggunakan engsel yang saling berkaitan.
"Teknologi ini bukan sahaja lebih mudah tetapi kosnya lebih murah berbanding teknik konvensional," ujar Wohlers.
Selama hampir 25 tahun proses 3D digunakan untuk membina prototaip, namun sekarang ia sudah diaplikasikan dalam pengeluaran tetap.
Syarikat seperti General Electric Co merancang untuk membina bahagian sebuah kapal terbang jenis ringan, manakala doktor gigi membentuk penyalut gigi hanya dalam tempoh sejam berbanding dua minggu sebelum ini.
Mesin pencetak 3D juga kini sedang diuji untuk membina rumah di bulan menggunakan tanah dari situ.
Para saintis juga berharap dapat membina organ manusia selepas pengkaji berjaya menghasilkan tisu menggunakan sel stem manusia.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut mengetengahkan teknologi tersebut sebagai salah satu cabang kerjaya yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Materialise, Wilfried Vancraen yang diiktiraf sebagai individu paling berpengaruh dalam pencetakan 3D oleh majalah TCT, bagaimanapun berpendapat proses menggantikan teknologi berkenaan dalam pasaran massa agak lambat dan mahal.
"Percetakan 3D tidak sesuai untuk membuat kebanyakan produk yang kita gunakan setiap hari. Anda tidak boleh mencetak biola begitu juga dengan iPad," ujarnya.

VANCRAEN bersama kerusi rehat yang dibuat menggunakan teknologi pencetakan 3D.


Pereka robot
Apa yang mampu dilakukan adalah menggabungkan komputer dalam proses rekaan supaya dapat meningkatkan rekaan tersebut.
"Rekaan itu akan kelihatan organik dan sangat berbeza daripada bentuk yang biasa dilihat," ujar Wohlers.
Cabang industri seperti perubatan, perabot dan rekaan pakaian mendapat impak yang besar melalui kaedah itu.
Hampir 90 peratus pembuatan alat pendengaran menggunakan percetakan 3D. Melalui teknologi itu, tahap akustik telah dipertingkatkan semasa dalam proses pembuatan.
Syarikat Sonova yang mengeluarkan alat itu telah menggunakan perisian grafik untuk mengubah suai bentuk alat tersebut semasa ia diimbas supaya ia muat dan sesuai ke telinga pengguna selain meningkatkan kualiti akustik.
"Tutup kedua-dua telinga anda dan cuba bercakap. Suara anda akan kedengaran teruk," ujar Naib Presiden Sains dan Teknologi Sonova, Stefan Launer.
"Dengan meletakkan sistem akustik ke alat tersebut, anda dapat mengurangkan efek tersebut. Ia terhasil melalui perisian tersebut yang meningkatkan tahap akustik," ujarnya.
Mesin pencetak 3D terbesar, dikenali sebagai mesin stereolitografi gergasi, mengambil masa selama seminggu untuk mencetak produk yang besar. Di dalamnya, pancaran laser dengan corak rumit disimbahkan ke permukaan cecair resin plastik.
Lapisan demi lapisan, resin itu dipejalkan kepada objek cetakan 3D di bawah cecair tersebut. Pada proses akhir cetakan, objek tersebut akan timbul keluar melalui tolakan daripada takungan cecair.
Mengenai pembinaan di atas permukaan bulan, para pengkaji akan membuat eksperimen dengan menggabungkan tanah bulan bersama magnesium oksida dan garam. Struktur akan dibina mengikut lapisan sepanjang dua meter sejam.
Pencetak 3D komersial pertama telah dipamerkan di Carolina, Amerika Syarikat pada tahun 1988. Mengambil inspirasi daripada pameran itu, Vancraen menubuhkan Materialise dua tahun kemudian.
"Percetakan 3D kini boleh mencampurkan sifat material yang berbeza sama ada keras, lembut atau berbeza kepadatannya," katanya.
Dengan pertambahan pelanggan sehingga 20 hingga 30 peratus setahun, Wohlers menganggarkan keuntungan teknologi itu akan bertambah.
Pada tahun 2011, ia menjana kewangan sehingga RM5.28 bilion dan dijangka menjadi RM11.49 bilion pada tahun 2015.

Meraikan tubuh pada kanvas

Posted: 02 Apr 2013 09:01 PM PDT

GOPAL bersama dengan lukisannya yang diberi nama Apparitions.


KARYA-KARYA Gopal Krushna Rath, 28, kelihatan umpama dalam alam fantasi atau bawah sedar pemikiran manusia. Aliran karya seperti itu sering dirujuk sebagai surealisme.
Namun, setiap patah perkataan yang keluar dari mulut lelaki dari Bhubaneswar, India itu mencerminkan rasa kagum dan penghargaannya terhadap kemampuan tubuh manusia.
Gaya badan dilukis menggambarkan kemampuan manusia daripada segi pergerakan yang mampu dicapai oleh tubuh seseorang itu.
Ada yang dalam bentuk sedang menari atau bermeditasi yang jelas memaparkan ciri dan hati nurani lelaki itu walaupun disampaikan dalam bentuk seni yang baharu.
"Saya menghargai pergerakan badan terutamanya dalam pergerakan tarian dan yoga," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur bulan lalu.
Lukisan potret
Dia dan seorang lagi pelukis senegara, Guru Suraj dari Chennai, India telah mengadakan pameran lukisan bertajuk, Con-Figure - seeking the essence of divinity in the human visage di Sutra Gallery, Kuala Lumpur.
Guru juga memberi fokus terhadap figura dan kemampuan tubuh manusia bergerak, tetapi dalam gaya yang berlainan, lebih tradisi selain cara memberus agak ketara kelihatan.
Selain lukisan figura, Gopal juga turut mempamerkan satu set lukisan potret yang dilukis menggunakan medium arang di atas kertas lukisan.
Setiap potret memaparkan wajah-wajah bercirikan India seperti wanita dengan bunga terselit selain wajah pendeta yang berjambang.
"Saya mendapat idea ini ketika melawat sebuah tempat keagamaan di India. Namun, setiap wajah yang dilukis ini 100 peratus berdasarkan imaginasi saya," terangnya ringkas.
Selain itu, terdapat satu siri lukisan yang diberi nama Kinematic Movement yang memaparkan figura sedang menari dengan liuk tubuh ke kanan dan ke kiri.

KARYA Gopal (tengah) menggunakan imej tubuh manusia dan warna yang terang.


Hasil lukisan terbesar dan termahalnya, Amrit daripada bahasa Sanskrit memaparkan satu figura berwarna biru sedang memberi air kepada satu lagi individu rona jingga.
Pemandangan lukisan tersebut seperti di sebuah padang rumput yang ditumbuhi pokok bunga teratai.
"Teratai merupakan simbol kesucian," ujar Gopal menerangkan setiap maksud yang dilukisnya.
Selain mengguna bentuk figura dengan aksi yang meliuk dan panjang serta hampir abstrak, Gopal turut menggunakan warna-warna terang dalam setiap lukisan yang dihasilkan.
Ia menjadi ciri-ciri khas Gopal dalam menterjemah dan mengekspresi daya kreativiti dan imaginasi yang bermain dalam kotak fikirannya.
"Saya menyasarkan sesuatu yang ringkas dan seimbang dalam komposisi sesebuah lukisan," katanya lagi.
Sebuah lagi lukisannya bertajuk Apparitions yang juga diambil daripada bahasa Sanskrit. Jika tajuk diterjemah secara langsung bermaksud membuka pintu syurga.
Pada Apparitions, kelihatan dua batang pokok dan di celahnya terlihat ukiran patung yang terdapat di kuil Khajurah, India.

Aaron Aziz disahkan hidap pneumonia

Posted: 02 Apr 2013 08:59 PM PDT


Aaron Aziz
Aaron Aziz
SIAPA sangka aktor kacak yang merupakan pengacara bagi program realiti, Fear Factor Selebriti Malaysia mengalami masalah kesihatan ketika menjejakkan kaki di bumi Cape Town, Africa di awal penggambaran tahun lalu.

Gara-gara tidak mendapat rehat yang secukupnya selepas penggambaran filem arahan Ahmad Idham, dan terpaksa memakai pakaian basah seharian selepas memandu kereta terjun ke dalam kolam.

Tambahan pula cuaca di Cape Town mengalami perubahan setiap masa menyebabkan keadaan Aaron bertambah teruk.

Sempat menjalani penggambaran bagi episod pertama, Aaron kemudiannya ditahan di wad kerana disahkan menghidap pneumonia atau paru-paru berair.

"Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, doktor menahan saya di wad kerana keadaan ketika itu sangat teruk dan tidak berdaya.

"Saya sempat tidur semalaman di wad, namun tidak selesa dengan keadaan wad yang dipenuhi warga emas, saya minta keluar dari hospital," kata Aaron sambil ketawa.

Selepas keluar dari wad, Aaron mengambil keputusan berehat di hotel dan diberikan cuti selama seminggu.

"Lima hari tidak dibenarkan bekerja dan saya kembali mengacara semula dalam episod keempat.

"Inilah kali pertama saya diserang penyakit pneumonia, sebelum ini tidak pernah menghidap apa-apa penyakit kronik," tutur Aaron.

Kaku mengacara

Menyentuh mengenai karier terbarunya sebagai pengacara, Aaron menegaskan dia tidak akan menerima sebarang tawaran untuk mengacara program melainkan Fear Factor.

Berpunca dari fobia terhadap pentas, dia bimbang tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik.

"Dalam Fear Factor sendiri saya telah dilabelkan sebagai kaku, apatah lagi di atas pentas. Begitu juga menyanyi, itu merupakan kali terakhir. Lepas ini tiada lagi," tegas Aaron.

Selain itu, Aaron juga turut berdepan dengan masalah bahasa dan sukar untuk menerangkan perkataan-perkataan tertentu seperti kerangka besi dan jaring.

"Saya tidak biasa kerana apabila ditafsirkan ke Bahasa Melayu ia menjadi pelik," katanya.

Sibuk mengarah

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, Aaron yang kini turut bergelar pengarah tidak menang tangan menjalani penggambaran bagi filem sentuhannya itu.

Menampilkan dirinya sendiri dan Nabil sebagai teraju utama, filem yang diberi judul Romeo Kota ini turut dibintangi oleh pendatang baru yang juga pengacara, Hanis Zalikha.

"Ia masih dalam penggambaran dan judul Romeo Kota ini pun hanya sekadar 'working title' sahaja. Sebaik tamat penggambaran saya akan menukarnya dan ia masih dalam perancangan," katanya.

Sedikit mengenai Romeo Kota, ia mengisahkan dua pegawai polis (Aaron dan Nabil) memburu penjenayah di kota besar sehingga bertembung dengan pelbagai kerenah manusia.

Filem ini turut menyelitkan babak aksi, komedi dan romantik.

Asmidar buang imej lama

Posted: 02 Apr 2013 08:58 PM PDT


Asmidar
Asmidar: 
Asmidar
Asmidar: Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
Nama Asmidar mungkin masih kedengaran agak janggal dalam industri hiburan seni suara.

Biarpun lagu solonya, Biar Sampai Ke Bintang mendapat sambutan menggalakkan, namun populariti gadis berusia 27 tahun ini tidak bergerak seiring populariti lagunya.

Sedar persaingan yang semakin sengit, Asmidar tekad untuk bangkit dan membuat percaturan baru demi memastikan karier nyanyian tidak hilang dibawa arus.

"Sejujurnya lambat atau cepat naik tidak ada bezanya, tetapi yang penting adalah bakat yang mahu dibuktikan kepada umum.

"Saya rasa tidak ada guna saya cepat dikenali, tapi akhirnya tidak bertahan lama. Alhamdulillah, pengalaman sepanjang berada dalam pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa banyak memberi perspektif baru dalam kehidupan untuk saya lakukan yang terbaik.

"Cabaran itu ada di mana, tetapi yang penting bagaimana untuk mengatasi kepayahan itu dan memperbaiki diri untuk ke depan. Saya tidak mengharapkan perjalanan lancar, tapi saya mengharapkan panduan itu tidak tersasar daripada landasan sekarang," katanya kepada Zass.
Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad berkata, selain memperbaiki mutu vokal, dia juga membaiki imejnya agar kelihatan lebih yakin untuk bertemu peminat.

"Saya akui, apa awalnya memang saya tidak pandai bergaya dan sebagainya, namun selepas diberi nasihat dan tunjuk ajar dari pihak Warner Music, banyak bantu untuk perbaiki diri sendiri.

"Saya banyak bertanya dari orang-yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ini, dari pada situ saya perbaiki diri sendiri," katanya


Kali Pertama jadi taruhan

Muncul dengan album pertama yang diberi judul Kali Pertama, Asmidar berkata, dia berharap kemunculan album ini akan menjadi platform buatnya untuk dikenali.

Album yang memuatkan tujuh lagu itu diistilahkan sebagai sebuah pengembaraan dan perjalanan daripada pengalaman yang kosong menjadi lebih erti.

"Pelbagai elemen yang dimuat turun dalam album ini dengan alunan lagu klasik, dengan imej yang berlainan sedikit sebanyak menampakkan ianya lebih menarik," katanya.

Berkongsi dengan lebih lanjut mengenai pembikinan album pertamanya ini, Asmidar berkata, dia bertuah kerana berpeluang menuntut ilmu daripada 'sifu' dalam bidang muzik.

"Semua pencipta lagu yang terlibat dengan album ini adalah orang-orang yang berpengalaman. Banyak input yang saya perolehi semasa merakamkan lagu di dalam album ini dan dari situ saya mula belajar untuk dapatkan 'feel' yang terbaik dalam sesebuah lagu," ujarnya.

Tujuh lagu yang terkandung dalam album ini adalah Biar Sampai Ke Bintang, Kali Pertama, Goldilocks, Sepasang Sudu, Bila Cinta Ada, Pesona Cinta dan Sepenggal Kasih.


Soal cinta

Menyentuh mengenai soal peribadinya pula, Asmidar berkata, dia kini masih lagi 'single' dan ingin fokuskan kepada kerjaya dalam bidang nyanyian terlebih dahulu.

"Saya ini seorang yang susah nak jatuh hati dengan seseorang. Kalau boleh sekarang ini saya nak fokus pada kerjaya dahulu," katanya.
Ditanya mengenai lelaki idaman Asmidar, memberitahu, dia bukanlah seorang yang memilih, tapi biarlah seorang lelaki yang bertanggungjawab.
 "Rupa paras tidak penting, yang penting, adalah hati dan menghormati kedua ibu bapa saya. Kalau boleh, biarlah dia seorang yang dapat membimbing diri saya dan boleh memberikan nasihat yang berguna," katanya.

Mengaku dadah ‘teman’ hidup

Posted: 02 Apr 2013 08:56 PM PDT


Mengaku dadah 'teman' hidup
Tertuduh dibawa anggota polis selepas dijatuhkan hukuman.
GEORGETOWN - Seorang remaja perempuan mengakui menjadikan dadah sebagai teman hidupnya. Tertuduh mengakui perkara terbabit ketika membuat rayuan atas pertuduhan kesalahan menggunakan dadah.

Dia yang berusia 19 tahun itu juga mengaku menggunakan dadah kerana kekurangan kasih sayang.

Dalam rayuan berkenaan, peguamnya memberitahu, bapa tertuduh sudah meninggal dunia dan kerana itulah dia kekurangan kasih sayang.

Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran.

Kejadian yang berlaku pada 20 Mac 2013 itu mengakibatkan dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Setelah disabitkan bersalah, peguam yang mewakili tertuduh juga merayu supaya mahkamah memendekkan tempoh hukuman kerana bimbang masa depannya akan menjadi tidak menentu.

"Tertuduh sebelum ini pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat kecantikan selepas tamat sekolah.

"Tertuduh bimbang sekiranya dia terlalu lama dihukum kemungkinan pekerjaannya akan hilang," katanya.

Kemudiannya, Majistret Umma Devi Loganathan menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan kepada tertuduh dan tiga tahun pengawasan mengikut Seksyen 38 (B) Akta Dadah Berbahaya.

Penyamun temui ajal tertikam parang sendiri

Posted: 02 Apr 2013 08:55 PM PDT


Penyamun temui ajal tertikam parang sendiri
Anggota forensik melakukan pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan rakan suspek.
PUCHONG – Niat seorang lelaki untuk menyamun pemilik sebuah syarikat membawa padah apabila dia maut terkena tikaman parang yang digunakannya untuk mencederakan mangsa dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, mangsa seorang warga Singapura bersama dua pekerjanya baru turun dari kereta dan berjalan kaki ke sebuah restoran di Bandar Puteri 1.

Menurutnya, mangsa yang memiliki syarikat peralatan mekanikal dan elektrik di Taman Perindustrian Puchong itu didatangi suspek dan berlaku pergelutan ketika suspek cuba merentap beg disandang mangsa.

Bagaimanapun, katanya, ketika pergelutan, pekerja mangsa datang menumbuk suspek dari belakang menyebabkannya terjatuh dan parang digunakan terlepas.

"Rakan subahat datang membantu suspek dan berlaku pergelutan selama beberapa minit menyebabkan seorang daripada suspek cedera di paha manakala mangsa terkena libasan parang  pada dada serta jari.

"Suspek kemudiannya memapah rakan subahatnya menaiki kereta Perodua Myvi putih," katanya.

Abd Razak berkata, rakan subahat meninggalkan suspek dalam kereta terbabit di kawasan parkir sebuah pusat sukan kira-kira 500 meter dari sebuah hospital swasta dan tempat kejadian.

Menurutnya, suspek 23 tahun yang terkena tikaman menembusi pahanya itu disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira 1.45 tengah hari.

"Mangsa yang cedera terkena libasan parang pula dilaporkan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

"Manakala pekerja mangsa iaitu pasangan adik-beradik sekitar usia 20an hanya mengalami cedera ringan," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Razak percaya terdapat lebih dua suspek terbabit dengan kejadian itu.

"Pemeriksaan terhadap kereta ditinggalkan menemukan dua parang dan satu daripadanya ada kesan darah selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Suspek yang mati juga mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis berhubung kes samun di Perak," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta berhubung dengan balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang menerusi 03-80620485.

Bangkai tapir dilapah

Posted: 02 Apr 2013 08:53 PM PDT


Bangkai tapir dilapah
Penduduk sekitar melihat bangkai tapir yang dilapah pihak tidak bertanggungjawab.
JERANTUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab melapah tapir mati di Kampung Ulu Cheka, dekat sini.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff berkata, Perhilitan sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pihak terbabit yang telah melapah tapir berkenaan yang dipercayai mati dilanggar sebuah motosikal EX5 kira-kira jam 3 pagi .

Menurutnya, tapir haiwan hampir pupus yang dilindungi dan masyarakat bertanggungjawab melindunginya untuk tatapan generasi masa depan.

"Kami kini menjejaki mereka dan siasatan dijalankan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Akta 716.

"Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menemui haiwan dilindungi sepenuhnya dilarang mengambil atau menyimpan mana-mana bahagian tanpa permit sebaliknya perlu menghubungi Perhilitan berdekatan untuk tindakan lanjut.

"Saya menggesa orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai perkara ini menghubungi pejabat Perhilitan berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kerjasama orang ramai sangat diperlukan dalam usaha memastikan binatang yang dilindungi terus hidup dalam habitat asalnya," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines