Ahad, 5 Mei 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Pertama Kali Kenal, Isteri Sangka Jehan Miskin Penganggur

Posted: 04 May 2013 04:32 PM PDT

Jehan bersyukur memiliki seorang isteri yang penyabar dan memahami kerjayanya.
KUALA LUMPUR: Isteri Jehan Miskin iaitu Julie Camelia Rhee, menyangka bahawa aktor itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika di awal perkenalan mereka lima tahun lalu.
Julie, 29, yang mengenali Jehan, 34, di sebuah gimnasium di ibu kota berkata, rasa segan untuk bertanya mengenai karier Jehan membuatkan wanita berasal Korea itu mengandaikan sendiri pekerjaan aktor itu, sehinggalah pada temu janji kedua, dia baru tahu status suaminya sebagai selebriti.
"Pada awal perkenalan kami, Jehan yang menegur saya dahulu dan apabila saya tanya tentang pekerjaannya, dia senyap dan tidak memberikan apa-apa jawapan.
Jehan dan Julie pada acara akad nikah di Carcosa Seri Negara.
"Jadi saya anggap dirinya sedang menganggur, manalah tahu dia sensitif tentang perkara itu.
"Bagaimanapun, pada temujanji kedua kami, saya berasa pelik apabila dia sering didatangi orang yang mahu bergambar dengannya dan masa itu barulah dia cakap yang dirinya seorang pelakon," katanya.
Julie dan Jehan ditemui selepas majlis minum petang pada hari pernikahan mereka di Carcosa Seri Negara, di sini, Sabtu.
Julie yang bekerja sebagai pengurus majlis itu sudah menetap di sini sejak enam tahun lalu dan katanya, dia serasi dengan suasana budaya masyarakat di sini selain selesa menetap di negara ini.
Jehan bersama keluarga Julie yang datang dari Korea bagi menyambut majlis perkahwinan pasangan itu.
Pasangan itu telah diijabkabul oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Sahirman Ahmad dengan mas kahwin sebanyak RM12,000 tunai pada pukul 2.40 petang.
Selepas acara akad nikah, majlis minum petang diadakan dengan kehadiran tetamu seramai 100 orang.
Antara selebriti yang hadir ialah Azura Zainal, Cheryl Samad, Tony Eusoff, Nurul Wahab dan suaminya Eric Depp.
Jehan pula berkata, selepas tiga tahun mengenali Julie, dia sudah mula merasakan wanita itu adalah calon isteri yang diinginkannya dan telah melamar Julie pada tahun lalu di Menara Seoul, Korea.
Jehan telah melamar Julie di Menara Seoul, Korea pada tahun lalu.
"Julie seorang yang sangat sederhana dan penyabar, malah saya dapat menjadi diri saya apabila bersamanya dan kami saling memahami antara satu sama lain.
"Sebelum ini saya pernah berkata pada ibu yang saya tidak akan berkahwin selagi tidak jumpa wanita yang sesuai. Alhamdulillah akhirnya saya berkahwin juga dengan wanita pilihan sendiri, seorang gadis Korea pula," selorohnya.
Sementara itu, pasangan itu tidak merancang untuk mendapatkan zuriat dengan segera dan menyerahkan perkara itu kepada takdir.
"Kami tidak merancang untuk mendapatkan anak dalam masa terdekat ini, tetapi kalau ada rezeki, adalah," ujar Jehan.

Impian belum tertunai

Posted: 04 May 2013 04:31 PM PDT



SAAT pesawat yang dinaikinya membelah awan pada 11 April lalu, saat itu juga hatinya tidak henti berbisik, seperti masih bersisa sedikit kecelaruan. Masih ada keraguan berlegar-legar mencari jawapan.
Akhirnya, permainan perasaan itu dapat dipintas oleh akal yang rasional. Keputusan Alyah muktamad, dia mahu kekal menutup aurat selepas pulang dari menunaikan umrah di Mekah.
Kematangan terzahir daripada buah fikirnya dan bicara penyanyi berusia 32 tahun menunduk bagai padi yang sedang menguning. Berkilauan keemasan namun dipandang dari dekat, tangkainya menunduk ke bumi.
Alyah tetap bimbang kalau-kalau perkongsian demi perkongsian yang terluah daripada bibirnya disalah faham, dia bimbang takut-takut dilihat mengundang riak pada pandangan orang.
"Saya takut juga kalau cerita-cerita tentang perubahan saya ini membuatkan orang lain kurang senang. Saya cuma bercerita tentang saya, apa yang saya lalui, untuk penilaian saya sendiri juga," getusnya sambil membetul-betulkan tudung yang dililit kemas di kepala.
Bulat hati Alyah untuk menjalani kehidupan dan kariernya sebagai seorang wanita berhijab berlaku sekembalinya daripada mengerjakan umrah buat kali kedua. Alyah tidak mahu membohongi diri, dia sendiri dihimpit banyak persoalan sebelum memutuskan untuk berubah imej.
Masih gila-gila
"Syukur Alhamdulillah, Dia memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang muncul. Tipulah kalau saya tidak berasa risau tentang kekangan dan cabaran yang harus saya lalui selepas berimej muslimah begini. Saya pun sudah banyak mendengar kisah-kisah selebriti lain yang terlebih dulu bertudung sebelum saya.
"Ada artis bertudung setelah berada di kedudukan sukses yang tidak mampu digugat oleh sesiapa, ada artis yang bertudung tetapi diuruskan oleh keluarga. Tapi saya, saya sendiri yang menentukan hala tuju saya.
SIBUK merangka promosi untuk single terbaharunya, Permata, dalam masa yang sama Alyah bakal muncul dengan sebuah album kompilasi tidak lama lagi.


"Dalam penerbangan balik pun saya masih terfikir hal itu, saya berfikir sampai terbawa-bawa ke dalam tidur. Saya bermimpi duduk di hadapan sungai, melihat yang mengalir tanpa henti. Bila saya bangun, saya terfikir lagi bahawa saya bukannya mahu melakukan sesuatu yang tidak baik.
"Saya reda, jika tiada peluang untuk saya lagi selepas ini, saya tetap bahagia dengan kehidupan yang datang. Semua ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," bicaranya tersusun menggambarkan ketenangan hidup yang sedang dirahmati.
Akui Alyah juga, biarpun masih membawa sifat gila-gila, adakalanya dia sensitif dan mudah kelam-kabut, namun perubahan imej itu turut membentuk satu lingkaran yang mendamaikan.
"Saya dapat rasakan sendiri. Sekarang, sibuk macam mana sekalipun, saya masih boleh rasa sedikit rileks, dahulu cepat sahaja nak gabra," katanya ketawa.
Belum fikir soal kahwin
Membawa penyanyi lagu Kisah Hati ke perbualan yang bersifat privasi. Sebagai wanita pelengkapnya adalah lelaki tetapi Alyah masih enggan mengakui hubungan istimewanya dengan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS.
"Okey. Sebelum memikirkan alam berumah tangga, saya mahu mengukuhkan ekonomi dulu. Walaupun orang mungkin nampak macam saya sudah ada tempat dalam industri ini, tapi saya masih ada impian lain. Saya juga mahu muncul dengan sebuah konsert, paling tidak pun ada mini showcase sendiri.
"Impian saya membelikan rumah untuk ibu belum tertunai. Sekarang masih ada banyak proses kena lalui. Perancangan kahwin itu biarlah dulu, saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Berkuasa," katanya sambil mengakui tidak mudah puas hati dengan pencapaian yang telah diraih setakat ini.
BERTUDUNG dan berimej muslimah bukanlah satu kekangan untuk Alyah tampil penuh gaya.


Dua belas tahun dalam industri, separuh daripada tempoh itu dia merangkak untuk dikenali dan separuh lagi barulah namanya wangi di taman seni, akui Alyah lagi, perjalanannya sebagai penyanyi masih terlalu panjang.
"Sekarang saya sedang mengumpul semula material untuk album yang tertangguh sekian lama. Saya dalam proses untuk menghimpunkan semula semua single yang dikeluarkan sebelum ini. Sepatutnya album itu telah disiapkan tahun lepas, tapi beberapa masalah teknikal menyebabkan ia tertangguh," jelas Alyah yang kini selesa menggunakan khidmat Syuib Ismail sebagai pengurus peribadinya.
Menghasilkan album kompilasi bawah terbitan syarikatnya sendiri Like Music Sdn. Bhd., Alyah merancang album yang mengandungi tujuh buah lagu termasuklah Realiti Dewi, Kau Bisu, Pesananmu, Lena Sahara, Kisah Hati, Kau Yang Terindah dan Permata boleh dilancarkan selewat-lewatnya Ogos nanti.
Kini rancak mempromosi single terbaharu, Permata nyanyian bersama Ben, penyanyi kanak-kanak yang menyerlah daripada program Bintang Idola, kata Alyah: "Sesuatu yang baharu juga berlaku kepada saya. Jika selama ini kelompok peminat yang meminati saya terdiri daripada peminat remaja hingga dewasa, sekarang saya sudah ada peminat daripada kalangan kanak-kanak. Perbezaan ketara setiap kali ada undangan persembahan."
Fesyen muslimah
Umpama sebuah kisah baharu, Alyah yang dahulunya popular atas percubaan-percubaan berani dari segi fesyen dan solekan itu tampil anggun dalam gaya muslimah yang tersendiri. Fesyen dan stail unik masih sebati dengan dirinya.
"Tapi saya tidak boleh menjadi terlalu simple. Berada dalam bisnes ini saya kena hadir dengan perancangan. Penampilan sangat penting dan saya masih dalam pembelajaran," katanya.
Sebagai selebriti, Alyah juga tidak mungkin dapat memadamkan ingatan dan gambar-gambar lama yang pernah membangkitkan perasaan kurang senang sesetengah peminat.
"Saya tak boleh paksa pihak lain supaya memadamkan gambar-gambar lama saya. Itulah hakikat sejarah Alyah hari ini. Perubahan yang saya lalui ini juga belum lagi secara total, cuma penampilan dan gaya sahaja. Secara peribadinya, saya masih Alyah yang dahulu," jelas Alyah turut berkira-kira mahu mengambil kelas vokal bagi memantapkan lagi skil nyanyiannya.

'Buaian Kasih' Versi Moden Bawang Putih & Bawang Merah

Posted: 04 May 2013 04:30 PM PDT


PETALING JAYA: Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan drama terbaharu berjudul Buaian Kasih, iaitu sebuah kisah Bawang Putih dan Bawang Merah yang telah dimodenkan dimana watak Putih yang selama ini baik diubah menjadi jahat, manakala watak Merah pula berperwatakan baik.
Dalam kisah dongeng versi moden ini, anak raja pula tidak menyintai Merah tetapi cuba mengejar Putih yang menolak cintanya. Segalanya kerana Putih percaya pada mitos asal gelaran 'Putera Raja' mereka pasti akan mengahwini Merah.
Ia mengisahkan watak Suri (Merah) anak kepada Embun yang telah kematian suami. Embun berpindah ke kampung dan berkahwin dengan lelaki bernama Salam yang juga merupakan ayah kepada Qaseh (Putih), seorang yang lurus dan sangat menyayangi kakak dan ibu tirinya.
Tidak lama kemudian, Salam meninggal dunia dan Embun meneruskan perniagaan kedai yang diusahakan oleh arwah Salam yang menyara kehidupan mereka sekeluarga. Namun pada masa sama Embun tidak membenarkan Suri melakukan sebarang kerja walaupun hanya melibatkan kerja ringan.
Watak Suri digambarkan tidaklah seteruk watak Bawang Putih dalam naskhah asal drama ini tetapi disebabkan sikap Embun, Suri terpaksa buat tidak peduli pada Qaseh.
Tidak lama selepas itu, muncul dua beradik datang ke kampung mereka. Kehadiran mereka ke kampung itu dengan impian yang besar untuk membuat kajian terhadap produk yang telah mereka berjaya hasilkan.
Tanpa sengaja si jejaka terjumpa dengan Suri yang sedang leka berbuai di dalam hutan. Melihat sahaja paras rupa dan kecantikan asli Suri membuatkan lelaki itu jatuh hati terhadapnya.
Begitu pun segalanya tidak semudah disangka apabila tawaran untuk berkenalan dan mengenali Suri ditolak mentah-mentah oleh gadis itu.
Menampilkan pelakon Mardiana Alwi, Nad Zainal, Jasmin Hamid, Ryzal Jaafar, Diwan Nawi, Safura Ya'cob dan Raja Azri, Buaian Kasih mengisi slot Cindai mulai 9 Mei ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 2.05 petang di TV1.

Penampilan dinamik Showdown 2013

Posted: 04 May 2013 04:24 PM PDT


JOE Flizzow (kiri) bersama Maple Loo (tengah) dan Hafiz Hathim antara tenaga penting menjayakan musim ketiga Showdown tahun 2012.


SELAMA tiga musim terdahulu Showdown, memperlihatkan rekod cemerlang. Satu-satunya program realiti tarian jalanan itu juga berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meraih pelbagai anugerah antaranya Program TV Popular di Shout! Awards 2010, Program Realiti Terbaik pada Anugerah Skrin 2010 dan 2011 dan Program Realiti TV Terbaik pada malam Anugerah Sri Angkasa 2010.
Pencapaian itu menjadikan program berkenaan patut kekal di skrin televisyen Malaysia, namun tidak bermakna pembikinannya harus statik tanpa pembaharuan. Memasuki musim keempat untuk sesi 2013, program yang berjaya mengembalikan kepanasan tarian breakdance yang memuncak fenomenanya sekitar tahun 1980-an itu kembali dengan format baharu yang bersifat lebih dinamik.
Kali ini, tiada komitmen yang mencecah sehingga tiga bulan pertandingan. Format keseluruhan juga berubah untuk memberi peluang sama rata kepada setiap kru berdasarkan kematangan dan usia dengan memperkenalkan tiga kategori iaitu kategori Junior, Terbuka dan All Stars.
"Sebelum ini ramai peserta uji bakat Showdown terdiri daripada pelajar yang masih di bangku sekolah. Kebanyakan daripada mereka tak boleh beri komitmen dengan jadual pertandingan. Ada juga keluarga yang menghalang sebab mengganggu jadual persekolahan.
"Untuk musim baharu ini, tempoh komitmen untuk keseluruhan pertandingan hanya mengambil masa empat hari," jelas penerbit Showdown musim keempat, Shazreena Kassim kepada Sensasi Bintang.
Tahun lepas, kru yang menamakan kumpulan mereka sebagai Walawei dianggotai pelajar belasan. Biarpun dianggap sebagai kru cilik namun mereka berjaya lolos sampai ke peringkat separuh akhir. Sebagai informasi, fasa musim ketiga Showdown tahun lepas, sebanyak 50 kru yang hadir uji bakat terdiri daripada peserta yang dalam lingkungan usia tujuh hingga 15 tahun.
"Walawei contoh yang terbaik. Jadi, tahun ini peserta berusia kurang daripada 18 tahun boleh bertanding dalam kategori Junior. Tapi, jika mereka merasakan mereka cukup bagus untuk bersaing dengan kru dewasa, hal itu tidak menjadi menjadi masalah," tambah Shazreena.

RAKAMAN menarik kru-kru tarian yang menyertai Showdown pada musim pertama pada tahun 2010.


Seorang lagi penerbit Showdown, How Kitvy pula menjelaskan, kelainan kategori yang diperkenalkan kali ini akan memberikan lebih ruang kepada kru Junior.
"Showdown tahun ini juga lebih cenderung untuk menonjolkan skil tarian setiap kru yang bertanding. Rakaman dibuat terus pada sesi uji bakat, tidak hanya pertandingan atas pentas seperti musim terdahulu. Jadi ia akan kelihatan benar-benar seperti pertandingan tarian jalanan," ujar Kitvy.
Cabaran unit penerbitan
Berbalik kepada tempoh komitmen selama empat hari yang diperuntukkan untuk sesebuah kategori, daripada satu sisi lain, jangka masa sesingkat itu memungkinkan satu cabaran hebat kepada pihak penerbitan sendiri.
"Mengikut format baharu musim ini, uji bakat setiap kategori juga diadakan secara berasingan. Contohnya kategori Junior dan Terbuka yang memulakan uji bakat pada 11 Mei nanti. Rakaman penuh uji untuk kategori Junior itu di hadapan juri akan dibuat pada 19 Mei namun, siaran pertama untuk kategori itu akan disiarkan pada malam 19 Mei itu juga.
"Bayangkan bagaimana pihak penerbitan akan bekerja di unit rakaman dan penyuntingan. Jadi, kami sebenarnya mencabar diri sendiri," tambah Shazreena.
Uji bakat bagi kategori Junior dan Terbuka sebenarnya akan dijalankan serentak pada 11 Mei pukul 9 pagi hingga 3 petang. Uji bakat akan diadakan di Dewan A, Menara Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Setiap kru yang berminat untuk menyertai uji bakat mesti terdiri dari empat hingga lapan anggota.
Memandangkan program pencarian bakat penari jalanan itu sendiri sudah memasuki musim keempat, elemen-elemen yang berbentuk emosi serta diari latihan tidak lagi diberi fokus untuk tatapan khalayak.



"Fokus kali ini lebih kepada pertandingan. Skil dan kreativiti yang lebih akan ditonjolkan. Konsep kalah mati dipraktikkan semasa uji bakat lagi. Bila sudah dapat lampu hijau pada peringkat uji bakat, kru berkenaan terus layak untuk masuk ke rakaman dan pertandingan peringkat separuh akhir. Sebab itulah tempoh komitmen kali ini lebih singkat," jelas Kitvy sambil membayangkan Showdown 2013 lebih sarat sifat jalanannya berbanding musim terdahulu.
Selain mengetengahkan kelainan format persembahan serta kewujudan kategori persaingan, Showdown masih mengekal beberapa segmen yang sudah dianggap sebagai tradisi.
"Kami akan kekalkan elemen penyingkiran dalam segmen Battle. Kalau sebelum ini, kru yang tersingkir mesti memangkah kod SMS mereka di papan latar pentas dengan menyembur cat, elemen itu juga akan diteruskan," kata Shazreena lagi.
Seperkara yang menarik juga, sesi uji bakat Showdown 2013 sebenarnya terbuka untuk kategori Junior dan Terbuka sahaja. Bagi kategori All Stars, ia hanya terbuka untuk kru-kru yang dijemput 8TV tanpa perlu menghadiri uji bakat. Mereka akan terus beraksi di pentas Showcase sebelum mara ke peringkat separuh akhir dan malam kemuncak.
Setiap tiga kru bagi tiap-tiap kategori akan dipilih dan akan beraksi pada pertandingan akhir yang akan berlangsung menjelang 6 Julai nanti.
Menariknya Showdown 2013 juga menawarkan hadiah dan gelaran juara bagi setiap kategori. Juara bagi kategori Junior akan menerima wang tunai bernilai RM10,000 manakala RM5,000 untuk tempat kedua.
Juara kategori Terbuka pula bakal memenangi wang tunai bernilai RM50,000 serta perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat Asia. Naib juara tidak pulang dengan tangan kosong kerana mereka bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000.
Untuk kategori All Stars pula, kru yang bakal bergelar juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM75,000 di samping perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat antarabangsa bernilai RM175,000. Naib juara pula bakal memenangi hadiah wang tunai RM30,000.
Showdown pernah menyaksikan kru Dem Lepak Boyz sebagai juara musim ketiga, kru Elecoldxhot yang pernah menjadi naib juara pada musim pertama sebagai juara musim kedua manakala Wakaka Crew pula bergelar juara musim pertama.

Rabbani tunda Konsert Gaza

Posted: 04 May 2013 04:22 PM PDT

KUMPULAN Rabbani menundakan konsert Gaza ke tarikh 3 Jun depan di Space U8 Mall, Shah Alam.


MALAM kemuncak 5 Negara: Rebuild Gaza For A Nation yang sepatutnya diadakan pada 1 Mei lalu ditunda ke 8 Jun depan, berikutan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang diadakan pada hari ini.
Lokasi konsert juga bertukar daripada Stadium Malawati Shah Alam ke Space U8 Mall, Shah Alam. Karnival jualan tetap diadakan di Shah Alam bermula 3 hingga 8 Jun.
Jurucakap Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, konsert yang membabitkan pelbagai artis dan tokoh berkenaan ditunda berikutan tarikh asal yang terlalu rapat dengan suasana pilihan raya.
"Diharapkan dengan tarikh baru ini memberi peluang kepada individu yang terbabit memberikan tumpuan kepada pilihan raya yang semakin hampir. Pihak penganjur pula dapat bekerja dengan selesa, di mana kempen promosi dapat menyentuh khalayak selepas pilihan raya," katanya.
Konsert berkenaan ialah usaha badan bebas Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) yang mendapat restu Pertubuhan Persidangan Islam, untuk mencetus kesedaran selain mengumpul dana untuk pembangunan semula Gaza.

KONSERT kemuncak Gaza diadakan untuk mengumpul dana bagi pembangunan semula Gaza.


Sebelum acara kemuncak itu, penganjur mengadakan pelbagai acara berkaitan antaranya, Makan Malam Amal Hospital For Gaza dan Konsert Prelude Rebuild Gaza For A Nation, di Alor Setar, Kedah.
Konsert Prelude Rebuild Gaza yang baru selesai itu membabitkan sokongan pelbagai artis, Saujana, Mawi, Herman Tino, Nash, Mawleed, Nowseeheart, Fine dan Rabbani sendiri.
Kedua-dua acara itu mendapat penajaan Dr Rozmey Group dan Puji Travel and Tour yang menaja tiket cabutan bertuah menunaikan umrah.
"Diharapkan penangguhan ini dapat memberi ruang yang selesa kepada banyak pihak untuk memastikan kemeriahannya nanti," katanya.
Menurut Azadan, acara kemuncak yang diadakan di Komplek Space U8 Shah Alam itu akan diisi dengan segmen bersama aktivis Mapim yang ke Gaza dalam acara realiti di mana rancangan itu dirakam dan disiar secara langsung.
Untuk mengetahui maklumat lanjut, layari Facebook Page di www.facebook.com/mapim dan www.mapim2u.com.

Orang ramai ikat lelaki mengamuk

Posted: 04 May 2013 04:21 PM PDT


ORANG ramai melihat lelaki mengamuk yang diikat selepas bertindak agresif mengganggu pengguna jalan raya di Bulatan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.


NAIK ANGIN. Seorang lelaki tiba-tiba mengamuk di tengah-tengah jalan raya selepas kereta yang dipandunya kemik bergesel dengan sebuah lori berhampiran Bulatan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku pukul 1 pagi itu menyebabkan berlaku kekecohan apabila lelaki awal 40-an itu memarahi pengguna jalan raya lain selepas pemandu lori yang melanggarnya melarikan diri selepas melanggar kereta Ford miliknya.
Menurut sumber, lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah itu kemudian ditangkap orang ramai yang berada di tempat kejadian.
"Kaki dan tangan lelaki itu terpaksa diikat berikutan dia bertindak agresif. Orang ramai mengambil masa hampir 20 minit untuk menangkapnya sebelum diserahkan kepada polis," katanya ketika dihubungi semalam.

Lebuh raya sesak, rakyat pulang mengundi

Posted: 04 May 2013 04:19 PM PDT


DERETAN kenderaan mula meninggalkan ibu negara untuk pulang mengundi di kampung masing-masing ketika tinjauan di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur malam kelmarin.


SESAK. Keadaan trafik di beberapa lebuh raya semalam dilaporkan sesak ekoran warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan kewajipan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) hari ini.
Lembaga Lebuh Raya Malaysia memberitahu, antara kawasan yang mengalami kesesakan teruk adalah di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan terutamanya di kawasan Slim River ke Bidor di Perak dan Bukit Merah ke Bandar Bharu, Kedah.
Di Lebuh Raya Karak pula, trafik dilaporkan sesak dari Plaza Tol Gombak ke Bentong, Pahang berikutan pertambahan bilangan kenderaan sejak pagi.
Sementara itu, jurucakap PLUS Expressways Bhd. ketika dihubungi berkata, kira-kira 1.3 juta kenderaan menggunakan laluan lebuh raya utara selatan dan angka itu merupakan pertambahan sebanyak 30 peratus daripada biasa.
"Jangkaan ini adalah untuk dua hari iaitu Sabtu dan Ahad (hari ini)," katanya.
Trafik mula lancar mulai pukul 7 malam semalam di semua kawasan kecuali di Kilometer 371.2, Slim River, Perak ekoran berlaku kemalangan.
Sementara itu, para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula sibuk menyiapkan pusat-pusat mengundi di seluruh negara semalam.

Penduduk bersyukur dapat mengundi

Posted: 04 May 2013 04:19 PM PDT


TIGA anggota tentera beramah mesra dengan penduduk ketika menjalankan rondaan di Kampung Sungai Bilis, Gugusan Labian, Lahad Datu, Sabah semalam.


LAHAD DATU - Kira-kira 600 pengundi berdaftar yang tinggal di gugusan Tanjung Labian di sini tidak mahu ketinggalan untuk membuang undi hari ini bagi memilih wakil rakyat yang dapat membela nasib mereka.
Kesemua pengundi itu yang tinggal di Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanjung Batu, Kampung Lok Buani dan Kampung Tanduo akan membuang undi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku.
Tinjauan Kosmo! Ahad di kawasan gugusan Tanjung Labian semalam mendapati rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana dapat mengundi dalam keadaan aman dan selamat.
Seorang penduduk, Nuraini Kadri, 33, berkata, tarikh 5 Mei merupakan tarikh yang sangat penting kepada mereka yang tinggal di sekitar kawasan Operasi Daulat kerana berpeluang untuk membuang undi sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
"Tidak sangka kami masih boleh membuang undi pada pilihan raya kali ini memandangkan kawasan kampung kami baru sahaja pulih daripada pencerobohan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Gugusan Tanjung Labian di sini merupakan kawasan yang terjejas ekoran pencerobohan puak pengganas Sulu pada 12 Februari lalu.
Sejumlah pasukan keselamatan masih ditempatkan di gugusan Tanjung Labian bagi mengawasi keselamatan di kampung berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Kawalan keselamatan itu dilakukan untuk memastikan kawasan tersebut selamat daripada pencerobohan pengganas Solo.
Bagi Ajmain Mahmood, 35, dia yakin proses pengundian hari ini akan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Setiap orang ada ideologi tetapi ia bukanlah sebab kami tidak boleh hidup bersama," ujarnya.
Apa yang penting, ujar beliau, para penduduk dapat hidup dalam keadaan selamat dan tenang selain dapat mencari rezeki seperti biasa.
Gugusan Labian terletak di kawasan Parlimen Silam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku.
Parlimen Silam menyaksikan persaingan empat penjuru yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Datu Nasrun Datu Mansur yang akan dicabar Dr. Badrulamin Bahron (PKR), Nawawie Saking (Star) dan calon Bebas Dumi Masdal (Bebas).
Sementara DUN Tungku menyaksikan penyandang kerusi daripada BN, Datuk Mohd. Suhaili Said akan ditentang Johani Abdul Halim (PKR), Johan Nul (Star), Datuk Shuib Mutalib (SAPP) dan Tsen Yun Fah @ Mohd. Allan Tsen Abdullah (Bebas).

Mohamed tidak sabar mengundi kali ke-13

Posted: 04 May 2013 04:17 PM PDT


MOHAMED menunjukkan MayKad dan namanya yang tercatat dalam senarai pengundi yang dikeluarkan SPR di rumahnya di Kampung Gong Sentul, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas, Mohamed Omar, 97, tidak sabar untuk keluar mengundi kali ke-13 pada pilihan raya umum hari ini.
Mohamed berkata, dia tidak pernah ketinggalan mengundi sejak pilihan raya umum kali pertama yang diadakan pada tahun 1957.
"Saya bersyukur kerana kesihatan saya baik setiap kali menjelang hari pilihan raya umum serta berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Sentul di sini semalam.
Mohamed yang mempunyai tujuh orang anak dan 35 cucu berkata, pada pilihan raya umum kali ini, dia akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Tumbuh di sini.
Selain itu, menurutnya, dia juga akan memastikan kesemua anak dan cucu-cucunya yang telah layak, pergi mengundi.
Ketika mengimbau kenangan membuang undi pada pilihan raya umum ketika negara mula mencapai kemerdekaan, Mohamed memberitahu, dia bersama arwah isterinya, Hitam Saleh dan rakan-rakan sekampung akan berjalan kaki ke tempat mengundi.
"Awal-awal pagi lagi kami bersiap dengan memakai baju paling cantik dan jalan ramai-ramai sejauh tiga kilometer dengan meredah kawasan sawah untuk pergi ke tempat mengundi yang ditetapkan," ujarnya.

Gerabak kereta api terbakar

Posted: 04 May 2013 04:15 PM PDT

ASAP kelihatan dari beberapa buah gerabak yang terbakar itu.


BRUSSELS, Belgium - Pihak berkuasa Belgium semalam memindahkan hampir 300 orang dari rumah mereka selepas beberapa buah gerabak kereta api yang membawa bahan kimia terbakar selepas ia terbabas daripada landasan.
Seramai dua orang terbunnuh dan 14 lagi cedera dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2 pagi waktu tempatan di kawasan antara bandar Schellebelle dan Wetterem.
Kebakaran tersebut menyebabkan satu siri letupan berlaku menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk yang tinggal dekat lokasi gerabak itu terbabas.
Kereta api yang membawa gerabak bahan kimia itu berlepas dari Belanda dan ia menuju ke bandar Gent-Zeehaven, Belgium. Perkhidmatan kereta api antara Schellebelle dan Wetteren terjejas ekoran kejadian tersebut.

Pasar jual anak dara

Posted: 04 May 2013 04:14 PM PDT


GADIS-GADIS ini akan memakai pakaian yang cantik untuk memikat hati bakal suami.


MENCARI jodoh merupakan salah satu proses asas sebelum perkahwinan. Pelbagai medium digunakan untuk si uda dan dara mengenali hati budi masing-masing. Ada yang selesa diperkenalkan saudara-mara, laman sosial ataupun agensi mencari jodoh.
Namun, di sebuah kampung terpencil Prohorovo, Bulgaria, penduduk kampung tersebut yang terdiri daripada kaum Gipsi mempunyai cara unik untuk menemui jodoh sejak ratusan tahun lagi.
Wanita atau gadis yang masih bujang akan berkumpul di sebuah pasar 'Bridal Market' di kampung berkenaan dengan memakai pakaian yang seksi serta menggiurkan bakal suami.
Cuma individu berumur 15 hingga 30 tahun yang ditemani ibu bapa dibenarkan menyertai acara itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Sesi tawar-menawar berlaku seperti pasar awam tetapi syarat utama gadis atau wanita itu mestilah masih bujang selain paling utama masih, dara.
Sekiranya terbukti anak perempuan tidak lagi perawan, ibu bapa gadis perlu memulangkan semula wang tawaran yang diberikan.
Selain itu, ibu bapa tidak dibenarkan menyertai acara sama pada masa hadapan.
Kebiasaannya, ibu bapa yang membawa anak gadis masing-masing datang daripada keluarga miskin yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka.
Semakin cantik gadis yang dilelong semakin tinggi harga bidaan yang akan diperoleh.
Beli dara
Situasi itu dialami Hristos Georgiev, 18, yang bersandar di bahagian hadapan but kereta sambil menikmati pemandangan sekelilingnya.
Dia berdiri bersebelahan ayahnya sambil berbincang dengan Donka Dimitrova yang akan dikahwininya tidak lama lagi.

BRIDAL MARKET telah diadakan sejak ratusan tahun lagi oleh penduduk Kampung Prohorovo, Bulgaria.


Proses rundingan selama hampir empat jam itu selesai hingga melibatkan bayaran RM20,000. Hristos harus rasa bangga kerana bakal suaminya sanggup meletakkan harga tinggi memandangkan pendapatan purata rakyat Bulgaria hanyalah sekitar RM8,000 setahun.
Menurut Dimitrova, dia menyimpan wang tersebut hasil pekerjaan sebagai buruh binaan di Cyprus.
Bagi seorang ahli etnografi Akademi Sains Bulgaria, Velcho Krustev, setiap lelaki yang memilih pasangan di 'Bridal Market' bukannya membeli isteri tetapi 'dara' mereka.
"Pembayaran itu lebih bersifat situasi menang-menang kerana kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya. Lelaki juga tidak berasa tertipu kerana bakal isteri masih dara.
"Jika tidak, wang itu akan dikembalikan dan keluarga terbabit akan disenarai hitam daripada memasuki pasar itu pada masa hadapan," katanya.
Perceraian selepas perkahwinan jarang berlaku.
Terang Krustev, kecantikan juga menjadi salah satu elemen utama kerana harga bagi bakal isteri boleh mencecah RM50,000.
Pendidikan bukanlah satu keutamaan bagi mereka kerana kajian pada 2004 mendapati 25 peratus wanita kampung tersebut buta huruf dan hanya 10 peratus yang menamatkan pendidikan peringkat menengah.
SUASANA Bridal Market cukup meriah seperti pesta hiburan.


Namun, Krustev memberitahu, tradisi 'Bridal Market' semakin pupus dan wanita di perkampungan itu tidak seperti dahulu dan sama seperti wanita moden lain.
"Ramai yang sudah berhijrah ke bandar besar dan menjalani kehidupan moden sebelum berkahwin.
"Walaupun dahulu dianggap satu larangan berkahwin dengan orang luar tetapi kini tidak lagi," katanya.
Kahwin menara
Lain pula ceritanya di Menara Eiffel di Perancis. Seorang wanita, Erika La Tour Eiffel, 42, membuat keputusan untuk 'berkahwin' dengan menara telekomunikasi itu pada 2007.
Dia yang merupakan seorang bekas tentera yang berasal dari San Francisco, Amerika Syarikat juga menukar namanya kepada menara itu sebagai tanda cintanya kepada menara itu.
Erika turut mendakwa, dia mempunyai hubungan fizikal dengan kipas yang wajib diletakkan bersebelahannya setiap kali ingin tidur.
Tetapi, Menara Eiffel merupakan satu-satunya objek yang dia cintai sehingga mengambil keputusan untuk 'berkahwin' dengan bangunan ikonik itu.
"Saya hairan mengapa manusia tidak boleh mencintai sesuatu benda atau bangunan.
"Menyayangi benda serta bangunan seperti manusia kerana 'mereka' juga ingin dibelai dan mendapat perhatian sewajarnya,' ujarnya.
Wanita ini mendakwa, sifat peliknya itu bermula kerana diabaikan sejak kecil oleh keluarga.

Kanak-kanak ganas ketagih iPad

Posted: 04 May 2013 04:13 PM PDT

IPAD dijadikan alat untuk mengawal kanak-kanak yang hiperaktif. - Gambar hiasan


DAHULU, permainan konda kondi, teng-teng, patung kertas dan dam ular menjadi mainan wajib ketika kanak-kanak bercuti sekolah.
Kesemua permainan itu bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan pada masa lapang tetapi ia turut membantu menjana kreativiti.
Malah, permainan patung kertas yang melibatkan aktiviti padan suai pakaian patung kertas turut membuatkan kanak-kanak berfikir dengan kreatif.
Bagi permainan konda kondi atau teng teng pula, fizikal pemainnya akan lebih cergas kerana permainan itu memerlukan banyak pergerakan fizikal.
Namun, permainan-permainan ini sudah tidak dikenali oleh kanak-kanak pada zaman moden yang lebih obses terhadap gajet-gajet terkini seperti iPad.
Kesemua gajet berkenan tidak memerlukan mereka mengeluarkan peluh sebaliknya hanya mata dan jari jemari aktif berinteraksi.
Di sebalik kebaikan penggunaan gajet yang diuar-uarkan syarikat pengeluar, masyarakat antarabangsa baru-baru ini dikejutkan dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun di London yang terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri berikutan ketagih bermain iPad.
Pakar psikiatri Dr. Richard Graham yang merawat kanak-kanak itu berkata, kanak-kanak tersebut menunjukkan protes dan mengamuk apabila gajet itu diambil daripadanya.
Kanak-kanak tersebut merupakan salah seorang daripada pesakit yang menghadapi gejala ketagihan iPad.
Tambah Graham, ada kanak-kanak yang menghabiskan masa selama 36 jam seminggu untuk bermain gajet tersebut.
Katanya, alat-alat eletronik seperti tablet dan iPad boleh menyebabkan ketagihan sekali gus menyebabkan seseorang menjadi pemberontak.
Mengulas isu sama, pakar kaunselor kanak-kanak, Puteri Azlian Megat Ramli berkata, fitrah semula jadi kanak-kanak sememangnya gemar berseronok.
"Proses ini sebenarnya sangat penting untuk perkembangan mereka tetapi biarlah sesuai dengan peringkat umur mereka," ujar Puteri Azlian.
Jelasnya, situasi itu mungkin berlaku disebabkan kanak-kanak malu dan ragu-ragu apabila autonomi yang diberikan oleh ibu bapanya ditarik balik.
"Autonomi yang dimaksudkan ialah tindakan ibu bapanya yang mengambil alat tersebut sedangkan sebelum ini dia dibiarkan bermain iPad mengikut kemahuannya.

PERMAINAN dam ular tidak sepopular dahulu kerana kemunculan permainan interaktif di dalam gajet terkini yang lebih menarik. - Gambar hiasan


"Hal ini juga boleh mendatangkan perasaan kurang yakin dan rasa rendah diri tentang keupayaan diri mereka," tegasnya.
Tambahnya, penggunaan iPad seawal usia tiga atau empat tahun sebenarnya tidak sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.
"Pada peringkat umur dua hingga tujuh tahun, aspek-aspek perkembangan fizikal yang penting untuk seseorang kanak-kanak ialah perkembangan deria, otot motor halus dan otot motor kasar serta koordinasi tangan seta mata.
"Apabila mereka menghabiskan masa hingga berjam-jam lamanya untuk iPad, proses perkembangan ini akan terganggu," jelasnya.
Daya tumpu
Katanya, penggunaan iPad hanya menggunakan sentuhan satu atau dua jari dan pandangan mata malah posisi badan juga lebih bebas.
"Jadi, aktiviti ini tidak membantu dalam perkembangan penderiaan dan motor kanak-kanak kerana tidak banyak pergerakan anggota badan yang dilakukan.
"Daya tumpu mereka juga lebih terbatas ekoran imej yang sering bergerak dan bertukar ganti pada skrin gajet tersebut dalam tempoh beberapa saat," ceritanya.
Jelasnya, impak yang lebih besar mungkin boleh berlaku seperti melakukan tindakan agresif yang mungkin boleh mencederakan dirinya atau orang di sekelilingnya.
"Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak dapat membuat penilaian dan tidak boleh membezakan realiti menyebabkan mereka boleh meniru aksi yang dipaparkan dalam permainan digital atau rakaman video yang ditonton.
"Mereka hanya memikirkan apa yang mereka mahu buat dan bersikap egosentrik, iaitu tidak memikirkan tentang orang lain," ujar Puteri Azlian.
Katanya lagi, pernah ada kes penyebaran video di laman YouTube yang menunjukkan aksi seks membabitkan kanak-kanak berumur sekitar 12 tahun.
"Perkara ini amat membimbangkan kerana pada usia semuda itu mereka sudah pandai melakukan aksi sedemikian.
Sementara itu, menurut Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Anak-anak Malaysia (Pama) Mohd. Fairuz Mohamed Isa, kanak-kanak secara semula jadi berkeinginan untuk popular, berhibur dan berseronok dengan rakan sebaya.
"Penggunaan gajet memudahkan kanak-kanak mencapai keinginan mereka kerana gajet menjanjikan sesuatu yang menghiburkan," jelasnya.
Radiasi
Jelasnya, dari aspek keselamatan, kanak-kanak boleh terdedah kepada bahaya radiasi ekoran penggunaan alat elektronik yang terlalu lama.
"Kandungan aplikasi yang tidak sesuai dengan adegan melampau yang ganas atau lucah boleh menyebabkan ketagihan kerana kandungannya yang menyeronokkan.
"Selain itu, iklan dalam talian yang tidak sesuai bagi kanak-kanak kerana ada aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun secara percuma mempunyai iklan-iklan yang tidak sesuai dengan kanak-kanak," ujar Mohd. Fairuz.
Bagaimanapun, Mohd. Fairuz tidak menafikan kepentingan dan kebaikan penggunaan gajet canggih untuk semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak.
"Penggunaan gajet boleh membantu ibu bapa mengawal anak-anak yang aktif daripada bertindak di luar kawalan mereka.
"Kanak-kanak yang lasak ini akan leka dan fokus pada permainan interaktif yang terdapat dalam alat yang mereka pegang," jelasnya.

Emma, Uqasha tak bertegur

Posted: 04 May 2013 04:10 PM PDT

EMMA MAEMBONG


ADA pepatah menyebut, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Hari ini, Diva nak reka satu pepatah baharu yang kasi tembak tepat kena kepada golongan artis semua iaitu, kalau serik jadi bahan sensasi jangan sesekali nak jadi artis.
Tidaklah sepuitis pepatah orang dahulu, tapi kira okeylah untuk orang macam Diva yang bukan sesiapa ini, kalau pak menteri tu lain ceritalah. Cakap pasal orang dahulu, Diva memang nak bawa satu cerita dahulukala buat gula-gula hari Ahad begini.
Diva ada terdengar kisah lama pasal dua artis baharu iaitu Emma Maembong dan Uqasha Senrose. Khabarnya mereka memang tak bertegur sapa sekarang ini. Kalau tak silap Diva juga, rasanya Diva pernah terbaca bahawa Emma dan Uqasha sebenarnya sepupu. Kenapa boleh jadi perang dingin?
Kiranya ini kisah dari zaman hingusanlah. Kata cikgu gosip Diva, punca insiden itu berlaku sebelum mereka jadi artis lagi. Semuanya gara-gara teman lelaki. Dahulu Uqasha ada seorang teman lelaki tetapi disebabkan Emma, teman lelaki Uqasha itu sudah berubah cinta. Senang cerita, Emma pernah rampas teman lelaki Uqasha, sebab itulah mereka tidak lagi mesra sampai tak bercakap sehinggalah sekarang.
Itu kisah lamalah, semua itu sudah tinggal bekas pun, Uqasha dah ada Pekin, Emma pula rasanya sudah ada teman istimewa, tak tahulah siapa, sama ada yang lama atau yang baharu.

Jehan Miskin Sah Bergelar Suami Wanita Korea

Posted: 04 May 2013 05:58 AM PDT

Jehan sah bergelar suami kepada Julie Camelia Rhee.
KUALA LUMPUR: Dengan dua kali lafaz, pelakon Jehan Miskin, 34, sah bergelar suami kepada wanita Korea, Julie Camelia Rhee, 29, pada petang Sabtu.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Carcosa Seri Negara kira-kira pukul 2.40 petang.
Pasangan tersebut diijabkabul oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Mohd Sahirman Ahmad.
Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM12,000 tunai berserta tiga dulang hantaran berupa beg tangan jenama Braun Buffel, komputer riba Apple dan set mandian.
Manakala Jehan menerima tiga dulang hantaran berupa beg bimbit jenama Braun Buffel, pen Cross dan Ipad Mini.
Antara selebriti yang hadir ialah Azura Zainal, Cheryl Samad, Tony Eusoff, Nurul Wahab dan suaminya Eric Depp.
Selepas acara akad nikah, majlis minum petang diadakan dengan kehadiran tetamu seramai 100 orang.
Antara barang hantaran Jehan dan isterinya.
Pada majlis tersebut, Jehan mengenakan sut tajaan Bon Zainal manakala isterinya menyarung gaun tajaan Zaterra dan Celest Thoi.

Siti Nurhaliza, Aznil Antara Artis Mahu Pengundi Elak Timbulkan Masalah

Posted: 04 May 2013 05:57 AM PDT

PETALING JAYA: Waktunya semakin hampir untuk kita menyaksikan kemeriahan suasana bagaimana seluruh rakyat Malaysia akan keluar untuk membuang undi pada Ahad ini (esok).
Malah, sudah pasti kita juga akan berkira-kira siapakah yang akan memerintah negara sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat (PR) melalui sebuah proses pemilihan pemimpin dalam negara demokrasi.
Sempena meraikan saat-saat akhir Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) ini, mStar Online mengumpulkan beberapa komen ringkas selebriti terpilih mengenai sambutan berkenaan.
Kebanyakan mereka mengharapkan agar PRU-13 ini berjalan lancar tanpa timbul sebarang kekacauan dan masalah.
Kita juga wajar menerima hakikat terhadap apa juga keputusan yang bakal diperoleh dalam PRU-13 ini.
Siti Nurhaliza
Artis: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
Umur: 34 tahun
Kawasan mengundi: Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur
Lagu popular: Muara Hati & Falling In Love
"Siti berharap proses pembuangan undi akan berjalan lancar dan semua rakyat Malaysia harus keluar mengundi dengan aman.
"Lakukan amanah dan tanggungjawab terhadap negara dan elakkan daripada perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Aznil
Artis: Datuk Aznil Nawawi
Umur: 51 tahun
Kawasan mengundi: Parlimen Titiwangsa, Kuala Lumpur
Rancangan popular: Pengacara Akademi Fantasia & Macam-Macam Aznil
"Keadaan berkempen sekarang berbeza kerana kini ramai yang terlalu taksub dengan parti yang disokong sehingga menimbulkan provokasi dan kekecohan.
"Kalau dulu lebih tenang dan suasananya meriah apabila semua bersatu hati meraikan demokrasi.
"Bagaimanapun pada pandangan saya, sesiapapun yang menang dan berjaya membentuk kerajaan, kita perlulah hormat dan teruskan berbakti kepada agama, bangsa dan negara."
Jamal Abdillah
Artis: Jamal Abdillah
Umur: 54 tahun
Kawasan mengundi: Parlimen Kelana Jaya
Lagu popular: Sendiri, Takdir Penentu Segala & Penghujung Rindu
"Saya akan tetap sokong Barisan Nasional (BN) kerana saya percaya dengan keupayaan kerajaan BN untuk mentadbir negara.
"Saya berpuas hati dengan kejayaan kemajuan Malaysia pada ketika ini.
"Jadi, buat apa kita nak pilih parti lain memerintah jika BN berjaya membawa kecemerlangan kepada negara kita."
Hans Isaac
Artis: Gerald Hans Isaac @ Hans Isaac
Umur: 42
Filem: Hanya Kawan, Tipu Kanan Tipu Kiri & Cuci.
Kawasan mengundi: Parlimen, Ampang, Selangor
"Penduduk di Malaysia cukup bertuah dengan keadaan politik semasa berbanding negara-negara lain yang sentiasa bergolak dan berlaku tunjuk perasaan masih berada pada takuk lama.
"Berdasarkan keadaan semasa di Malaysia pengundi harus berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia bukan perkara semudah yang disangka.
Neelofa
Artis: Noor Neelofa Mohd Noor @ Neelofa
Umur: 24 tahun
Filem: Azura 2012
Kawasan mengundi: Parlimen Pasir Mas, Kelantan.
"Ini merupakan kali pertama saya mengundi dan saya memang teruja untuk membuang undi. Saya anggap undi saya ini amat penting dalam membantu parti yang saya pilih untuk membentuk kerajaan."
Hairie Othman
Artis: Hairie Othman
Umur: 42 tahun
Filem: Kad Cinta & Leftenan Adnan
Kawasan mengundi: Parlimen Pandan, Kuala Lumpur
"Saya adalah penyokong kuat PAS dan saya amat berharap kali ini Pakatan Rakyat (PR)dapat memenangi PRU-13 dan sekali gus membentuk kerajaan.
"Trend PRU-13 ini amat luar biasa berbanding PRU sebelum-sebelum ini kerana golongan muda semakin ramai menunjukkan sokongan mereka kepada PR."
Amy
Artis : Suhaimi Abdul Rahman @ Amy (Search)
Umur: 53 tahun
Lagu Popular: Isabella, Gadisku & Pawana
Kawasan Mengundi: Parlimen Ampang, Kuala Lumpur
"Sejak saya berusia 21 tahun saya tidak pernah melepaskan peluang untuk keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab saya kepada negara.
"Apa yang saya harapkan selepas PRU-13 ini, negara kita akan terus aman, politik akan lebih stabil manakala kedudukan ekonomi serta negara sentiasa maju dan aman."
Risteena
Artis: Risteena Munim Zanul Ilyas @ Risteena (pelakon baru)
Umur: 23 tahun
Drama: Karlos (TV3) & Lara (RTM)
Kawasan mengundi: Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang
"Sebagai pelakon baru, saya berpeluang untuk mengikuti kempen anjuran BN di beberapa lokasi terpilih.
"Apa yang saya lihat, golongan muda memberi sokongan yang baik terhadap PRU-13 ini.
"Pada pandangan peribadi, saya berpuas hati dengan pencapaian negara sekarang dan saya berharap kerajaan yang ada akan dapat meneruskan kepimpinan mereka."
Sam
Artis: Shamsul Annuar Mohd Baharom @ Sam (Bunkface)
Umur: 26 tahun
Lagu popular: Situasi
Kawasan mengundi: Parlimen Kota Raja, Selangor
"Saya sebenarnya tidak sabar untuk membuang undi. Sebagai rakyat Malaysia, ini adalah satu tanggungjawab besar yang harus saya laksanakan.
"Saya mengimpikan sebuah negara yang lebih maju dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni."

Mizz Nina Idam Duet Dengan Justin Timberlake

Posted: 04 May 2013 05:55 AM PDT

Mizz Nina bakal mengadakan konsert sulungnya pada 18 Mei ini.
PETALING JAYA: Penyanyi Mizz Nina berhasrat untuk berduet dengan artis terkenal Amerika Syarikat iaitu Justin Timberlake jika berpeluang pada masa hadapan.
Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 32, berkata, dia sangat meminati penyanyi itu kerana aura dan bakat semula jadi yang terdapat pada Justin cukup mengagumkan.
"Kolaborasi dengan Justin adalah impian menjadi kenyataan jika ia terjadi kerana saya memang meminatinya. Saya juga memasang angan-angan untuk bekerjasama dengan Janet Jackson dan penyanyi rap, Ludacris," jelasnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Nina, peluang itu mungkin tipis kerana sukar untuk dia berhubung dengan pihak pengurusan Justin di Amerika Syarikat.
"Bukan mudah untuk mendapatkan artis terkenal seperti Justin tetapi jika suatu hari nanti ada rezeki dia pasti menjadi pilihan saya," katanya.
Sebelum ini Nina pernah melakukan kolaborasi dengan artis terkenal Amerika Syarikat seperti Colby O'Donis dan Flo Rida. Terbaharu Nina muncul dengan single Around The World bersama bintang K-Pop terkenal, Jay Park.
Justin Timberlake.
Isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh itu bakal mengadakan sebuah konsert 'Around The World' pada 18 Mei depan di KL Live @ Life Center. Ia akan diadakan kira-kira sejam bermula pukul 8.30 malam.
Dalam pada itu, Nina berkata, bagi persediaan konsert tersebut dia juga menghadiri kelas vokal bagi memantapkan persembahan pada malam itu nanti.
Bakal diiringi pemuzik 'live', Nina memberitahu dia mahu persembahan pada malam itu nanti sempurna dan dapat menggembirakan peminat yang hadir.
"Kebanyakan lagu saya adalah berentak rancak dan memerlukan stamina yang tinggi dan selain menghadiri kelas vokal saya juga giat melakukan senaman supaya dapat memberikan persembahan terbaik buat peminat," ujarnya.
Peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert tersebut boleh melayari laman www.redtix.airasia.com atau di semua cawangan Rock Corner dan Victoria Music.
Tiket-tiket dijual pada harga RM70 (pra-jualan) dan RM100 (di pintu masuk konsert).

Perkahwinan Dapat Tepis Tuduhan Izzue Islam Gay

Posted: 04 May 2013 05:55 AM PDT

Izzue Islam
PETALING JAYA: Keputusan pelakon Izzue Islam yang akan melangsungkan pernikahan dengan pengurus sendiri pada 2 Jun depan membuktikan ahli kumpulan Forteen itu bukan lelaki gay seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, menerusi perkahwinannya dengan wanita bernama Awin itu, ia akan dapat menutup mulut pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh sedemikian.
"Alhamdulillah, saya akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi dan pada masa sama dapat menutup mulut orang yang menganggap saya gay selama ini.
"Bagaimanapun saya tidak kisah sangat pun dengan dakwaan itu. Biasalah apabila melihat ahli-ahli Forteen yang berwajah 'jambu', orang menilai macam-macam.
"Sekiranya ada lagi dakwaan-dakwaan seperti itu, saya juga tidak akan mempedulikannya. Biarlah apa orang nak cakap," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.
Izzue dan tunangnya, Awin akan bernikah pada 2 Jun depan.
Izzue dan Awin yang telah mengikat tali pertunangan pada Jun 2012 dan bakal bernikah di sebuah dewan di Shah Alam dekat sini selepas lima tahun perkenalan.
Perkenalan mereka bermula apabila Awin mula menguruskan karier lakonan Izzue dan dia sendiri tidak sedar bilakah rasa cinta di antara mereka mula berputik.
"Memang saya tak pasti bila hubungan kami yang mulanya sebagai kawan menjadi serius. Kami hanya mengikut rentak sahaja. Memandangkan kami faham dengan kerja dan hal peribadi masing-masing, rasanya dia adalah pilihan yang terbaik untuk dijadikan sebagai teman hidup.
"Doakan kami bahagia selamanya dan pada masa sama maafkan saya jika tidak mendedahkan kisah kami secara terbuka. Takut jika perhubungan ini tidak menjadi
"Saya kan orang kampung, jika tak jadi, saya dan keluarga di kedua-dua belah pihak pula yang mendapat malu," ujar pemuda yang berasal dari Kelantan ini.
Dalam perkembangan lain, Izzue kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Sahabat di Kluang, Johor untuk siaran di Astro Ria.
Selain itu Izzue juga bakal menjalani penggambaran filem Suami Aku Ustaz, arahan Adi Putra tidak lama lagi.

RL7: Kumpulan Okay Terkejut Mendahalui Minggu Keempat

Posted: 04 May 2013 05:53 AM PDT

Kumpulan Okay
KUALA LUMPUR: Kumpulan Okay yang dianggotai oleh Mozaid Idris dan Nur Ibrahim Idris mengakui terkejut apabila mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 16 peratus pada pertandingan minggu keempat program Raja Lawak 7 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) malam Jumaat.
Mozaid bagaimanapun berkata, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan kedudukan tersebut telah menaikkan semangat mereka untuk terus berjuang dalam pertandingan tersebut.
"Kami terkejut berada di tempat pertama minggu ini namun ia menaikkan semangat kami untuk terus memberikan persembahan yang lebih baik," katanya ketika ditemui mStar Online pada malam Jumaat.
Mozaid berkata, pada peringkat ini, dia menganggap kesemua 11 peserta yang masih kekal adalah pesaing kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
"Sukar untuk kata siapa pesaing kerana kami semua sedang bermula untuk menunjukkan kehebatan masing-masing dan pada tahap ini kami semua berada ditahap sama," jelasnya.
Dalam pada itu, tiga kumpulan iaitu Bora, Kintan dan Tuah berada di kedudukan terendah pada malam tersebut namun tiada sebarang penyingkiran dilakukan.
Tiga juri tetap yang mengadili peserta adalah Datuk AC Mizal, Saiful Apek dan Isma Aliff.
Sementara itu, pada pertandingan minggu hadapan akan memperlihatkan para peserta berkolaborasi dengan pelawak terkenal tanah air di atas pentas.
Bagaimanapun mereka tidak boleh memilih dengan pelawak mana mereka ingin bekerjasama dan ia akan dibuat secara cabutan undian.
"Ia akan menjadi satu cabaran besar buat kesemua peserta kerana menguji kebolehan mereka berinteraksi dan mewujudkan keserasian dengan pelawak jemputan bagi memberikan persembahan hebat," jelas Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani.
Dalam perkembangan sama, Mozaid berkata, mereka berharap dapat bekerjasama dengan Yasin dan Acong (Sweet Child) dalam persembahan minggu kelima itu.
Raja Lawak 7 disiarkan secara langsung di saluran Warna 132 dan Mustika HD setiap hari Jumaat pukul 10 malam.
Ia dihoskan oleh Johan dan Zizan.

Aqasha Belum Sedia Kembali Menyanyi

Posted: 04 May 2013 05:53 AM PDT

Aqasha lebih berminat menerbitkan album untuk artis lain.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Aqasha tidak berhasrat kembali aktif sebagai penyanyi buat masa ini kerana beranggapan masih belum tiba waktunya untuk dia berbuat demikian.
Aqasha atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, 31, sebaliknya berkata, dia lebih berminat untuk menerbitkan album untuk artis lain sebagai salah satu cabang baru dalam kerjayanya yang sudah mencecah 13 tahun.
"Rindu ingin menyanyi itu sentiasa ada malah saya bermula dalam bidang seni sebagai penyanyi tetapi rasanya saya mahu memberi fokus lain terlebih dahulu.
"Penerbitan album untuk artis lain adalah yang ingin saya lakukan buat masa ini dan mungkin selepas itu baru saya akan muncul dengan produk sendiri," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, sebagai seorang artis yang sudah matang dalam industri hiburan dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia melakukan anjakan dalam kariernya.
Jelas Aqasha, banyak aspek lain dalam bidang seni yang masih belum dipelopori dan dia tidak mahu berada di tahap lama sahaja.
"Saya sudah berada di hadapan kamera selama 13 tahun dan sudah puas membawa pelbagai watak. Sudah tiba masanya saya melakukan perkara lain pula dalam kerjaya saya," katanya yang pernah popular menerusi lagu Embun dan Cahaya Hati.
Dalam perkembangan sama, Aqasha dan rakan kongsinya iaitu Sein serta Zain daripada kumpulan Ruffedge sedang merangka pelbagai projek bagi membangunkan syarikat produksi yang ditubuhkan hampir dua tahun lalu.
Selain terlibat dalam projek penerbitan video korporat, pasca penerbitan dan filem mereka juga akan menerbitkan album dan lagu untuk artis yang ingin mendapatkan khidmat mereka.
"Sein dan Zain sendiri terlibat secara langsung dalam bidang muzik dan akan menggunakan pengalaman yang kami ada untuk projek yang sedang dirancang," katanya.
Malah kata Aqasha mereka juga akan menerbitkan filem pertama di bawah syarikat produksi itu September depan.

Muzik FM Kini Boleh Diikuti Dalam Talian

Posted: 04 May 2013 05:52 AM PDT


PETALING JAYA: Saluran radio Muzik FM yang sebelum ini dapat diikuti menerusi frekuensi FM kini boleh didengar melalui platform atas talian (online).
Muzik FM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada Jumaat berkata, saluran itu telah bergabung dengan Muzik Aktif yang dikenali Galaksi Muzik RTM bermula 21 April lalu.
"Untuk berada seiring dengan perkembangan teknologi moden bidang penyiaran, Galaksi Muzik RTM tampil untuk memberi pilihan kepada rakyat Malaysia terutama sekali kepada golongan remaja di dalam mahupun di luar negara menikmati muzik tempatan dan antarabangsa 24 jam sehari.
"Malah aplikasi Galaksi Muzik RTM boleh dimuat turun menerusi telefon bimbit 'android' di 'Play Store' atau 'Google Play' tanpa perlu melayari laman web seperti yang dinyatakan.
"Aplikasi desktop Galaksi Muzik RTM boleh dimuat turun menerusi www.galaksimuzik.com/desktop," kata kenyataan tersebut.
Galaksi Muzik RTM menampilkan sebanyak empat segmen secara langsung dimulakan dengan Kafe Muzik (10 pagi hingga 1 tengah hari) yang memainkan lagu-lagu hit dari pelbagai genre dan bahasa.
Juga diselitkan slot "Fakta Ringkas Kafe Muzik", "Skuad Penyiasatan Kafe Muzik", "Itu Ini Begitu Begini" dan Double Shot Back To Back yang memainkan lagu-lagu dengan tajuk lagu yang sama atau dua lagu daripada penyanyi yang sama. Ia disiarkan di setiap penghujung jam siaran.
Diikuti pula segmen "Rock Selamba" yang bersiaran pada pukul 4 hingga 6 petang khas buat penggemar muzik rock tempatan dan antarabangsa.
Pada sebelah malamnya pula, segmen "Seleksi Anda" bersiaran selama dua jam dari pukul 9 hingga 11 malam yang akan memutarkan lagu-lagu pilihan pendengar.
Pada pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi, segmen "Gegar Rock Pawana" memutarkan kombinasi lagu-lagu rock keras tempatan dan antarabangsa.
Sempena Pilihan Raya Umum ke-13 pada Ahad ini, siaran Muzik FM dari pukul 5 petang hingga 2 pagi akan membawakan informasi keputusan PRU-13.

Sylvester Stallone & Pengasuh Kim Kardashian Nyaris Bercinta

Posted: 04 May 2013 05:51 AM PDT


Sylvester Stallone
BEKAS pengasuh Kim Kardashian iaitu Pam Behan membuat pengakuan dia nyaris menjalinkan hubungan cinta dengan Sylvester Stallone apabila aktor itu cuba menggodanya.
Menurut laporan portal Aceshowbiz, hal itu berlaku ketika dia masih lagi bekerja dengan keluarga Kardashian.
Bintang filem Rocky itu turut meluahkan keinginannya untuk menjalinkan hubungan dengan Pam, namun wanita berusia 41 tahun itu takut untuk menerimanya.
Pam Behan
"Sly (Sylvester) berkata kepada saya; "Pam, kamu cantik di luar dan dalam. Kamu sangat rendah diri dan itu semua membuatkan saya sukakan kamu," kata Pam, mengenang kembali kenangan tersebut.
Tambah wanita itu, bekerja untuk keluarga kaya itu juga ada suka dan dukanya dan antara pengalaman lain yang tidak dilupakan ialah apabila keluarga Kardashian menghalangnya daripada berhenti bekerja di sana.
"Kloe selalu menghalang saya agar jangan berhenti. Mereka (keluarga Kardashian) memberikan kenangan yang cukup indah buat saya," ujarnya.

Heidi Klum Nafi Bertunang Dengan Pengawal Peribadi

Posted: 04 May 2013 05:51 AM PDT


Heidi dan Martin secara terbuka mengakui sedang berpacaran.
SUPER MODEL Heidi Klum menafikan telah bertunang dengan pengawal peribadinya, Martin Kristen namun tidak menafikan mereka sedang bercinta.
Daily Mail melaporkan pasangan itu dilihat memakai cincin yang sama dari jenama Tiffany & Co di jari manis masing-masing sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun Heidi mengakui cincin berkenaan adalah pemberian Martin dan dia masih belum terfikir mengenai soal kahwin buat masa ini.
"Belum bertunang ia cuma hadiah daripada teman lelaki. Cincin itu hanya sebagai tanda percintaan kami," katanya.
Martin sebelum ini dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga model yang berasal daripada Jerman itu dengan bekas suaminya, penyanyi Seal.
Heidi baru-baru ini secara lantang mengakui cintakan pengawal peribadinya itu selepas mendapati lelaki itu sangat menyayangi anak-anaknya dan sentiasa berada bersamanya apabila diperlukan.

Peralihan kuasa tidak jejas industri hiburan!

Posted: 04 May 2013 05:49 AM PDT


Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Ahmad Idham Ahmad Nadzri
PERBEZAAN fahaman politik antara penerbit popular, Norman Abd Halim dan beberapa rakan artis mendapat perhatian di kalangan penggiat seni tempatan.

Kurang selesa melihat percakaran itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Mohd Affendi Hamdan, akhirnya tampil menyuarakan pandangan agar perkara itu tidak menjadi 'sekam' antara pengamal seni.

Beliau turut berkata, peralihan kuasa mampu menggugat kedudukan Finas sebagai badan kerajaan yang memayungi golongan anak seni tempatan.

Namun, kenyataannya itu turut mendapat reaksi beberapa penggiat seni tanah air.

Ahmad Idham

"Siapa kita nak menentukan hala tuju industri? Saya bukan mahu bidas sesiapa kerana apa yang diperkatakan Pengerusi Finas itu, ada juga kebenarannya. Namun, sebagai pejuang dalam industri, kita tidak boleh terlalu mengharapkan kerajaan kerana kita perlu bekerja sendiri. Sebagai penggiat seni dan juga pernah bergelar Ahli Lembaga Finas, saya amat memahami situasi yang berlaku. Apa yang saya nampak, kenyataan itu terlalu berbaur politik. Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak membayangkan situasi itu. Lagipun, pada saya, ada atau tiada Finas, ia tidak memberi apa-apa makna. Malah, kenyataan mengenai intensif itu sebenarnya tidak wajar dipersoalkan dan diungkit."

Datuk Dr Fazley Yaakob

"
Andai mana-mana kerajaan yang diberi mandat untuk memerintah, industri seni tidak akan dibiarkan terkubur begitu sahaja. Industri muzik dan filem adalah keperluan kepada seluruh masyarakat dan tanpa industri hiburan, kita akan kehilangan industri yang banyak membantu dalam memajukan negara. Saya tidak khuatir mengenai peralihan kuasa kerana setiap pemerintah akan mempertahankan industri ini mengikut cara tersendiri."

Jurey Latiff Rosli

"Siapa jua yang bakal memimpin negara, kita sebagai anak seni akan tetap memperjuangkan hak dalam industri. Jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti membubarkan mana-mana persatuan atau badan yang dipertanggungjawabkan sebelum ini, kami akan menuntut hak itu. Itu adalah janji saya sebagai Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) dalam memastikan industri seni akan terus maju dan berada di tahap yang lebih produktif."

Kamal Adli

"
Saya tak tahu nak cakap apa jika Finas lenyap dari industri kerana selama ini Finas menjadi badan yang banyak membantu kami sebagai anak seni. Saya tidak mencampuri urusan politik, namun jika berlaku peralihan kuasa, saya berharap agar Finas dan industri seni tidak diabaikan atau lenyap begitu sahaja. Siapa akan bantu kami jika Finas tiada?"

Attilia

"Saya bukan mahu menyelar tindakan Pengerusi Finas, namun lebih baik dia berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap. Apa yang saya lihat, ia hanyalah pandangan dari sudut peribadi dan tidak mewakili seluruh isi hati penggiat seni tempatan. Saya memang tidak terlibat dalam politik dan saya tidak rasa perkara itu boleh menggugat industri yang telah lama bertapak ini. Soal kerja dan rezeki, ia terletak di tangan ALLAH SWT. Melihat kepada kenyataan itu, ia sudah berbaur politik dan kepentingan peribadi. Selain itu, saya menyelar tindakan golongan politik yang menggunakan artis sebagai orang tengah dalam mencapai matlamat politik mereka."

Sharnaaz Ahmad

"
Jika difikirkan secara mendalam, tiada kejahatan dalam mana-mana parti baik kerajaan mahupun pembangkang. Saya tidak rasa situasi itu akan berlaku kerana negara kita adalah negara demokrasi dan sebagai rakyat, kita mempunyai hak untuk bersuara. Jika berlaku peralihan kuasa, tidak semestinya segalanya akan mengalami perubahan. Mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara tanpa mengambil pandangan rakyat. Sekiranya rakyat tidak setuju, mereka tidak boleh lakukan sesuka hati dengan merubah itu dan ini."

Suri rumah kena peluru sesat

Posted: 04 May 2013 05:47 AM PDT


Suri rumah kena peluru sesat
Harliah cedera di belakang badan akibat terkena peluru penabur yang dilepaskan pemburu
Suri rumah kena peluru sesat
Polis menemui kesan empat lubang menembusi cermin tingkap dan lima kesan peluru pada dinding rumah.
ALOR GAJAH - Seorang suri rumah nyaris maut selepas terkena peluru penabur  yang dilepaskan sekumpulan pemburu di jalan Bukit Tinggi, Tanjung Bidara, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Harliah Bakar, 43,  sedang leka menjahit dalam bilik bahagian tepi rumah sebelum tersentak sebaik terasa ada objek tertusuk di bahagian belakang bahu sebelah kiri badannya.

Difahamkan, peluru penabur berkenaan terkena pada badan mangsa selepas tiga lelaki yang sedang memburu babi hutan melepaskan tembakan dan terkena pada cermin dan dinding bilik tempat mangsa sedang menjahit pakaian.

Suami mangsa, Helmi Manaf, 41, berkata, dia yang berada di luar rumah menyedari kehadiran tiga lelaki berusia antara 40-an dan 50-an yang mana dua daripada mereka memegang senapang dalam kedudukan yang berbeza.

"Saya berada di luar rumah terkejut bila dengar bunyi tembakan dan mendapati seorang lelaki berdiri berdekatan pagar rumah saya, seorang lagi berdiri pada jarak 25 meter menghadap rumah saya dan seorang lagi berkedudukan jauh.

"Ketika itu juga, seekor babi hutan keluar dari belukar menuju ke semak berdekatan rumah saya dan saya lihat lelaki yang menghadap rumah saya sedang leka menghala senapang ke mengekori pergerakan haiwan itu.

"Sebaik sahaja tembakan dilepaskan, saya dengar isteri menjerit dan saya terus berlari masuk mendapatkan isteri  dan mendapati belakang bajunya sudah terkoyak serta  dipenuhi darah," katanya.

Helmi berkata,  dalam keadaan panik dia segera menjerit meminta pertolongan ke arah tiga lelaki berkenaan namun seorang daripada mereka seolah menafikan kegiatan dilakukan mereka dan memecut kereta melarikan diri.

"Isteri mengadu berasa panas dan terlalu sakit sebelum mendakwa mula terasa pedih dan bisa sebelum muncul dua lelaki tadi cuba menenangkan saya dan isteri dengan mendakwa isteri hanya terkena serpihan kaca sahaja.

"Saya gesa dua lelaki tadi bantu saya bawa isteri ke Hospital Kem Terendak. Isteri menjalani dua kali X-ray dan mendapati ada objek terbenam pada belakang sebelah kiri bahu," katanya.

Menurutnya, berikutan kecederaan parah yang dialami, isterinya kemudian dirujuk ke Hospital Melaka untuk menjalani pembedahan mengeluarkan butir peluru berkenaan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan berkata,  tiga lelaki berumur 40 dan 50-an ditahan untuk membantu siasatan.
"Siasatan awal pihak polis mendapati senapang patah yang digunakan oleh salah seorang lelaki terbabit dipercayai didaftarkan atas nama Relawan Ikatan Rakyat (Rela).

"Tiga lelaki terbabit ditahan dan direman selama lima hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Gempar bom ditemui di 3 lokasi

Posted: 04 May 2013 05:46 AM PDT


Gempar bom ditemui di 3 lokasi
Anggota UPB melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan bom buatan sendiri di Jalan SK7/12, semalam.
Gempar bom ditemui di 3 lokasi
Anggota UPB menjalankan pemeriksaan ke atas kotak tertulis 'Awas Bom' yang ditemui seorang pekerja kedai makan di Jalan SK7/12 .
Gempar bom ditemui di 3 lokasi
Kotak tertulis 'Awas Bom' ini ditemui di tepi tangga tingkat 2, Pejabat DAP Kinrara.
Gempar bom ditemui di 3 lokasi
Pemeriksaan menemui tin yang berisi wayar dan objek hitam di dalam kotak bertulis perkataan 'bom' di temui di luar bilik gerakan DAP di Jinjang Utara.
SERI KEMBANGAN – Penduduk dan pengguna jalan raya di Seri Kembangan semalam gempar dengan penemuan bungkusan tertulis 'Awas Bom' di sebuah kedai makan di Jalan SK7/12, pagi semalam.

Difahamkan, bungkusan berkenaan ditemui pekerja kedai itu sebelum perkara terbabit dimaklumkan kepada majikannya.

Pekerja berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Meksu, 23, berkata, dia menemui bungkusan itu di atas gerai yang terletak di luar kedai ketika hendak memulakan operasi perniagaan kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada majikannya sebelum pemilik kedai itu mengalihkan bungkusan dan meletakkannya di luar premis kedai.

"Saya tidak buka bungkusan itu, hanya nampak di atasnya tertulis 'Awas Bom', kerana bimbang saya beritahu majikan," katanya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, polis menerima laporan jam 11.45 pagi sebelum sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, bungkusan dipercayai terdapat bom buatan itu diletupkan jam 1.15 tengah hari.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu botol kaca dipenuhi paku, dua bateri, baja dan kertas surat khabar diisi dalam sebuah kotak tin biskut.

Katanya, pihaknya percaya ia adalah bom buatan sendiri yang boleh meletup sekiranya cuaca panas ditambah keadaan tekanan dalam tin terbabit.

Abd Razak berkata, beliau percaya kejadian tiada kaitan politik namun siasatan diteruskan untuk menentukan tahap keselamatan orang awam.

Beliau dalam pada itu meminta penduduk supaya tidak gusar dan memberi jaminan keselamatan di kawasan itu.

"Polis percaya ia tiada kaitan politik tetapi lebih kepada menimbulkan kegusaran kepada masyarakat menjelang hari pembuangan undi esok.

"Saya beri amaran supaya mana-mana pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai satu permainan  dan polis akan mengenal pasti mereka yang terbabit," katanya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat prihatin yang segera melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Beliau dalam pada itu juga mengingatkan orang awam supaya segera menghubungi polis sekiranya menemui sesuatu yang mencurigakan dan tidak mengalihkannya atas faktor keselamatan.

Ketika operasi semalam, katanya pihak polis terpaksa menutup jalan sepanjang satu kilometer selama 30 minit daripada dilalui orang awam atas faktor keselamatan ketika kerja meletupkan bom buatan dilaksanakan.

Di Kepong, polis mengesahkan menemui satu kotak yang bertulis perkataan bom di luar bilik gerakan DAP di Jinjang Utara, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis mendapat maklumat berhubung penemuan itu, kira-kira jam 8 pagi.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati di dalam kotak tersebut mengandungi tin yang berisi wayar dan objek hitam.

"Kita tidak dapat pastikan lagi adakah itu bom. Cuma hanya ada tulisan bom di luar kotak. Siasatan masih lagi dijalankan," katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati individu yang meletakkan objek tersebut cuba mengganggu gugat ketenteraman awam.
"Jangan main-main dengan keselamatan negara. Kami akan pastikan individu bertanggungjawab itu dapat diberkas," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines