Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Elfira Loy Bukan Lagi Artis Eksklusif Astro
- 'Designer DD Naik Haji' Lakonan Pertama Didie Alias Bersama RTM
- Ayu Damit & Suami Tanam Nanas, Kelapa
- Tikus gergasi ditangkap
- Diserbu ketika memadu asmara
- Debaran menanti cahaya mata sulung
- Nama Izzue Islam dimanipulasi
- Cerita jodoh Yus, Tauke
- Rosyam 'sailang' watak lain
- Tingkat kemampuan berbahasa Inggeris
- Rasa hebat lakukan jenayah
- Mengelilingi dunia di Intermark Mall
Elfira Loy Bukan Lagi Artis Eksklusif Astro Posted: 03 Oct 2013 08:13 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy bukan lagi artis eksklusif stesen televisyen Astro selepas kontraknya tamat pada Disember tahun lalu. Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy, 19, berkata, dia telah bernaung di bawah stesen itu sejak dua tahun lalu dan merasakan sudah tiba masanya untuk berdikari dengan menguruskan kerjaya sendiri. "Saya dah nak masuk umur 20 tahun dan sudah tiba masanya saya menguruskan kerjaya sendiri. "Lagipun kontrak saya sudah tamat pada hujung tahun lalu di mana pihak Astro memberikan saya buat pilihan sama ada mahu sambung atau tidak," katanya kepadamStar Online. Elfira ditemui pada majlis pelancaran produk syampu anti kelemumur terbaharu jenama Sunsilk Hair Fall Solution di Sunway Piramid di sini pada Khamis. Tambah Elfira, dia juga bersyukur, walaupun tidak menyambung kontrak dengan Astro, dia masih lagi menerima pelbagai tawaran drama daripada stesen berkenaan. Sementara itu, Elfira menghadiri majlis pelancaran Sunsilk itu sebagai tanda sokongan terhadap produk terbabit. Lebih-lebih lagi kata Elfira, dia seorang penggemar produk berkenaan sejak dulu kerana ia dapat mengatasi masalah keguguran rambut. "Saya seorang yang sangat peka berkaitan kecantikan diri terutamanya rambut. Sebelum ini saya sering mengamalkan penjagaan rambut cara tradisional dengan menggunakan santan dan bunga raya. "Bagaimanapun, apabila dah dewasa dan sibuk dengan kerja-kerja lakonan, saya akan ke salon untuk mendapatkan rawatan rambut sekurang-kurangnya sekali salam tiga hari dan selebihnya saya menggunakan syampu Sunsilk di rumah," tuturnya. Selain Elfira, aktres Liyana Jasmay turut hadir ke palancaran produk syampu berkenaan. Dalam pada itu, pengurus jenama Sunsilk iaitu Phoenix Ho berkata, pihaknya turut mengadakan peraduan buat pengguna jenama itu dengan menghantar sekeping gambar bersama kapsyen yang menarik ke laman sosial 'Facebook Sunsilk Malaysia'. "Seramai 25 orang akan dipilih melalui sistem undian di Facebook untuk memenangi sebuah Ipad Mini serta menghadiri parti akhir tahun Sunsilk. "Peraduan akan bermula pada Oktober dan saya percaya di zaman teknologi ini, pelbagai gambar dan kapsyen menarik boleh dilakukan dan semestinya saingan pasti akan sengit," kata Phoenix. | ||
'Designer DD Naik Haji' Lakonan Pertama Didie Alias Bersama RTM Posted: 03 Oct 2013 08:12 PM PDT KUALA LUMPUR: Telefilem Designer DD Naik Haji merupakan lakonan pertama Didie Alias, 40, bersama produksi terbitan RTM biarpun sudah lama berada dalam industri seni tanah air. Penerbit Eksekutif RTM, Ibrahim Ismail berkata, perkara tersebut disebabkan sebelum ini pihaknya tidak mempunyai watak yang bersesuaian dengan pelakon wanita tersebut. "Telefilem ini merupakan drama pertama lakonan Didie Alias bersama RTM. Sebelum ini nama dia tidak pernah tersenarai untuk berlakon bawah pihak kami. Mungkin kerana tiada watak yang sesuai," katanya pada sidang media telefilem di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri, di sini, Khamis. Tambahnya, pemilihan Didie sebagai pemegang watak utama dalam drama khas sempena Hari Raya Aidiladha itu adalah berikutan karakternya sebagai 'Lady Gaga Malaysia'. "Kita mencari seorang yang berkarakter seperti Lady Gaga dan hanya seorang sahaja di Malaysia iaitu Didie Alias dan kita juga menggunakan nama asalnya sebagai tajuk drama ini. "Alhamdulillah dia terima tawaran ini dan menjayakan drama ini dengan baik," katanya. Sementara itu, Didie atau nama sebenar Fadzilah Muhd Ali mengakui teruja dapat bekerjasama dengan pihak RTM buat pertama kali sepanjang kerjayanya sebagai pelakon. "Sebelum ini ada beberapa tawaran drama tapi terpaksa ditolak kerana bertindih dengan penggambaran lain. Namun begitu saya banyak terlibat sebagai pengacara dengan pihak RTM," katanya. Drama ini mengisahkan mengenai seorang pereka fesyen yang berhasrat untuk mendekatkan diri dengan agama dan ingin menunaikan ibadah Haji namun mendapat tentangan keluarga. Ia turut dibarisi pelakon popular Amar Asyraf, Chacha Maembong dan Maimunah Ahmad. Designer DD Naik Haji bakal disiarkan pada 15 Oktober ini pada pukul 10 malam di TV1. | ||
Ayu Damit & Suami Tanam Nanas, Kelapa Posted: 03 Oct 2013 08:10 PM PDT PETALING JAYA: Ketika ramai artis beralih kepada bidang perniagaan seperti membuka restoran, penyanyi Ayu Damit pula sebaliknya apabila melibatkan diri dalam pertanian dengan menanam nanas dan kelapa. Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 24, berkata, aktiviti pertanian itu sudah dijalankan sejak beberapa bulan lalu yang dilakukan atas sebidang tanah di kampung suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 26, yang terletak di Kuala Kangsar, Perak. "Kami memilih untuk memulakan perniagaan itu di Kuala Kangsar kerana senang untuk kami berulang-alik bagi memantau tanaman yang baharu sahaja dimulakan. "Potensi bidang pertanian sangat besar sebenarnya dan permintaan terhadap nenas dan kelapa juga tinggi. Perkara itu membuatkan kami yakin ia akan berjaya," jelasnya kepadamStar Online Tambah Ayu, sejak memulakan tanaman tersebut mereka sering menghabiskan masa di kampung bagi memantau perkembangan tanaman itu di kebun selain mengambil kesempatan untuk bertemu keluarga dan sanak-saudara. Dalam perkembangan lain, Ayu tidak menyangka keputusannya untuk tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone hampir setahun lalu banyak mengubah kerjayanya. Katanya, sejak menguruskan sendiri kerjaya nyanyian, undangan yang diterima semakin banyak sehingga kadang-kala terpaksa menolak permintaan pihak penganjur. "Sebelum ini pihak penganjur sukar untuk mendapatkan saya kerana perlu menerusi pihak pengurusan dan bayaran yang dikenakan juga agak tinggi. "Apabila saya menguruskan sendiri kerjaya, ia lebih mudah dan bayaran yang saya minta juga berpatutan dan Alhamdulillah tawaran semakin banyak," katanya. Ujar Ayu, walaupun sebelum ini dia tidak begitu yakin dapat menguruskan kerjaya sendiri namun dia optimis dapat belajar selok-belok mengenai bidang muzik dan berurusan dengan orang lain. Sementara itu Ayu kini sibuk untuk merakamkan single ciptaan Aubrey Suwito tidak lama lagi. | ||
Posted: 03 Oct 2013 08:05 PM PDT
Tikus seberat 10 kali ganda daripada tikus biasa itu pertama kali dikesan selepas memakan ikan seberat tiga kilogram dari sebuah kolam di kampung Shaoyang yang selama ini mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Menurut media tempatan, selepas dibunuh petani menghadapi kesukaran untuk menyiangnya kerana kulit dan tulang yang tebal. "Dua bilah pisau patah semasa mereka cuba memasaknya," menurut laporan itu kepada Daily Mail. Tikus merupakan makanan tradisional di Guangdong, selatan China dan dipercayai tiga kali lebih berkhasiat berbanding ayam. | ||
Posted: 03 Oct 2013 08:04 PM PDT
TELUK INTAN - Seorang lelaki tempatan yang asyik memadu asmara bersama seorang wanita di sebuah hotel murah di Jalan Raja terkejut apabila diserbu sekumpulan anggota Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan, dalam satu operasi, malam kelmarin. Bahkan wanita berkenaan juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Imigresen yang menyertai Ops 6P Bersepadu di hotel murah tersebut. Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, operasi yang diketuai beliau turut disertai 12 anggotanya dan dua kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Teluk Intan. Menurutnya, sebanyak enam lokasi diserbu dalam masa dua jam dan pihaknya berjaya menahan dua wanita di premis berasingan. "Dua wanita berusia lingkungan 30-an itu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di hotel murah di sini dan salah seorang daripada mereka dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial. "Hasil risikan dibuat mendapati, hotel murah berkenaan turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 bagi satu sesi, malahan pelanggan boleh membawa wanita tersebut ke lokasi lain namun dikenakan caj," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. Khairul Anuar berkata, kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan bagi tujuan siasatan. Katanya, JPN turut memeriksa wanita yang dikatakan mempunyai kad pengenalan namun, MyKad salah seorang daripadanya diragui. "Dalam kes ini, JPN turut menyiasat kes tersebut bagi mengesan sindiket mengeluarkan MyKad palsu yang digunakan oleh wanita warga Indonesia tersebut. "Wanita warga Indonesia berkenaan disiasat di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan sementara di Depot Langkap untuk tindakan lanjut," katanya. | ||
Debaran menanti cahaya mata sulung Posted: 03 Oct 2013 08:02 PM PDT
TIDAK pernah merancang sama ada memperoleh cahaya mata dalam tempoh yang cepat atau lambat, rezeki telah memihak kepada pasangan romantik, pelakon Beego dan Linda Hashim. Setelah berumah tangga pada bulan Jun lalu, akhirnya pelakon yang baru sahaja tampil dalam filem Tanda Putera itu disahkan mengandung tujuh minggu. Yang nyata, jelas terpancar riak wajah gembira kedua-dua pelakon berkenaan sewaktu ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini terutama sekali Beego memandangkan ini merupakan perkahwinan kali kedua buat dirinya. "Apabila doktor mengesahkan yang Linda hamil, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira kerana bakal bergelar bapa. "Ia merupakan perkara yang tidak dijangka sama sekali, meskipun kami tidak pernah merancang dan berserah kepada Allah untuk mendapatkan cahaya mata," ujar pemilik nama sebenar Md. Aszerul Nizam Abdullah itu. Meneruskan perbualan mengenai detik-detik awal sebelum mengetahui isteri tersayang hamil, Beego memberitahu, dia selalu berasa kurang sihat dan tidak sedap badan. Beranggapan bahawa keadaan yang dilaluinya itu sebagai perkara biasa akibat keletihan kerana sibuk dengan aktiviti lakonan, dia mengambil keputusan untuk berehat sahaja tanpa memikirkan bahawa ia merupakan tanda awal yang dia bakal bergelar seorang bapa. "Beberapa hari sebelum isteri membuat pemeriksaan di hospital, saya lihat keadaan isteri pula yang selalu letih. Selain itu, dia juga sudah mula menunjukkan simptom seperti wanita mengandung. "Setelah pemeriksaan dijalankan, Linda didapati hamil oleh doktor dan akibat terlalu gembira saya terus melompat kerana teruja dengan berita gembira yang disampaikan kepada kami," ujarnya. Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya setelah isterinya hamil, pelakon itu menyatakan, dia agak bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang alahan seperti kebanyakan lelaki lain. "Pada peringkat awal kehamilan pastinya merupakan cabaran yang paling besar buat pasangan suami isteri. Bagaimanapun, saya akan lakukan yang terbaik untuk isteri agar kandungannya berada dalam keadaan sihat. "Meskipun usia kehamilan isteri saya masih lagi di peringkat awal, namun perasaan berdebar itu tetap ada menantikan kehadiran cahaya mata sulung ini. Ia merupakan satu anugerah yang tidak terhingga dan merupakan pelengkap kepada kehidupan kami," luahnya. Mengalah Biarpun pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini tetapi ia merupakan pengalaman baharu buat Beego untuk menjalani kehidupan sebagai seorang suami yang bakal bergelar bapa. Beego mengakui, kehidupan yang dilaluinya sekarang ini pastinya agak berbeza berbanding ketika mula-mula berkahwin dahulu. "Sebagai suami saya perlu bersedia dari awal, terutamanya mental dan fizikal. Pastinya bukan mudah untuk menjaga isteri yang baru kali pertama mengandung. "Misalnya, kalau dia tidak dapat menjaga makan dan minum saya dengan baik, sudah tentu saya perlu mengalah kerana memahami keadaan yang harus dilaluinya sekarang. Sikap tolak ansur itu penting supaya isteri dapat menjalani kehidupan dengan baik bersama bayi yang sedang dikandung," jelasnya. Berkenaan dengan jantina bayi pula, pelakon berkenaan menyatakan, dia dan isteri tidak kisah mengenainya kerana dikurniakan cahaya mata juga merupakan satu kurniaan yang tidak terhingga. "Buat masa ini tumpuan saya pastinya lebih terarah kepada isteri tetapi ia langsung tidak mengganggu kerjaya lakonan saya. Lagipun saya perlu lebih berusaha keras memandangkan perlu membuat persediaan untuk menyambut kelahiran anak kami nanti," ujarnya.
Tiada halangan Ketika sesi temu bual berlangsung, Linda Hashim yang turut berada di samping suaminya itu menyatakan, dia agak terkejut dan tidak menyangka hamil dalam tempoh yang cepat selepas mendirikan rumah tangga. Mengakui tidak merasakan sebarang perubahan yang besar sebelum mengetahui dirinya disahkan hamil oleh doktor, Linda masih meneruskan aktiviti lakonan seperti biasa. "Sudah tentu perasaan terkejut itu ada ketika menjalani pemeriksaan, namun pada masa yang sama tetap gembira dan bersyukur kerana ia sememangnya amat dinantikan kami berdua. "Lagipun tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan saya hamil, kecuali badan cepat letih. Bagaimanapun, saya anggap ia satu perkara yang normal dengan jadual aktiviti yang tidak menentu," jelasnya. Meskipun kini usia kandungannya sudah menginjak 10 minggu, Linda menyatakan, dia masih lagi terus berlakon buat masa ini dan Beego sendiri tidak kisah untuknya berbuat demikian. "Ada ahli keluarga yang menasihatkan saya supaya kurangkan aktiviti lakonan setelah didapati hamil. Namun begitu, selagi mampu saya mahu teruskan juga tetapi terpaksa lebih selektif supaya tidak membebankan diri. "Perkara ini pun sudah dibincangkan dengan suami dan dia merestui serta memberi keizinan kepada saya untuk terus berlakon, asalkan saya pandai menjaga diri," jelasnya. Ujar Linda, dia bersedia menerima sebarang tawaran lakonan tetapi drama atau telemovie yang tidak memerlukannya tampil dalam banyak babak atau penggambaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja. | ||
Posted: 03 Oct 2013 08:01 PM PDT
NAMA Izzue Islam sememangnya popular dan kebanyakan peminatnya dalam kalangan wanita. Mengambil kesempatan yang ada, baru-baru ini wujud sebuah akaun palsu yang menggunakan nama Izzue Islam. Apa yang tidak sedap didengar, si penipu tersebut telah membuat urus niaga jual beli telefon bimbit kepada peminat melalui laman akaun Instagram palsu yang diberi nama izzue_4teen. Bagaimanapun, perkara tersebut disedari Izzue sendiri setelah salah seorang pembeli membuat aduan dan memarahinya dalam Instagram sebenar milik Izzue. Selain kes tersebut, wujud isu Izzue tidak berdisiplin dan kurang komitmen terhadap lakonan. Masalah tersebut timbul selepas Izzue dikatakan terlalu banyak mengambil tawaran selain telah berkahwin, Izzue didakwa tidak bersungguh sewaktu bekerja. Ikuti temu bual dengan Izzue yang ditemui pada sidang akhbar filem terbaharu lakonannya, Hantu Tok Mudim di KRU Studios, Cyberjaya berkaitan kedua-dua isu yang kini melanda dirinya itu. Kosmo!: Apakah perkembangan terkini tentang isu penipuan yang menggunakan nama Izzue untuk menjual telefon bimbit yang hangat diperkatakan baru-baru ini? IZZUE: Saya juga sebenarnya tidak tahu dan terkejut dengan komen yang dibuat oleh seorang peminat di laman Instagram milik saya. Dia berurusan dengan orang lain tapi datang untuk meminta saya memulangkan wangnya sekitar bulan September lalu. Sudahkah anda membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut? Saya masih lagi belum membuat laporan polis tentang kejadian tersebut kerana masih sibuk dengan teater Maduku... Kalut di Istana Budaya. Bagaimanapun, saya sudah minta peminat yang ditipu itu untuk melakukan laporan polis. Kami juga sudah berbincang dan berbicara dengan salah seorang wanita yang ditipu itu. Apakah nama akaun yang digunakan oleh si penipu? Dia gunakan nama akaun instagram izzue_4teen yang mana menerusi akaun tersebut, dia membuat urus niaga jual beli telefon bimbit dengan harga RM300. Apabila si pembeli telah membuat bayaran, akaun si pembeli akan terus disekat olehnya. Akaun saya juga telah disekat oleh orang itu. Selain itu, nombor akaun yang diberi pula, nombor akaun rakan isteri saya. Namun ramai yang ditipunya, terdiri daripada wanita dan remaja perempuan. Menambah lagi penipuannya, dia hanya boleh berhubung melalui Whatsapp sahaja. Antara nombor yang digunakan termasuklah 011-3151 6018 dan 011-2624 5773.
Apakah saranan kepada peminatanda di luar sana? RM300 itu bukannya jumlah yang sedikit. Perkara tersebut sebenarnya boleh mengganggu periuk nasi orang lain. Saya harap peminat tidak tertipu dengan perkara begini dan perlu berurusan dengan orang yang betul. Jangan mudah mempercayai perniagaan sebegini. Mereka semua perlu berhati-hati. Jika fikirkan, takkan pula saya minta untuk masukkan wang ke akaun orang lain jika perniagaan itu saya yang buat. Sesiapa yang terkena, harap buat laporan polis dan ini sebenarnya akaun palsu yang meggunakan nama saya. Izzue, bagaimana pula anda memberi respons terhadap dakwaan anda kini sudah mula semakin kurang berdisiplin dalam kerjaya seni selepas berkahwin? Bagi saya sendiri, mungkin ada kesilapan yang saya lakukan secara sedar mahupun tidak. Namun setakat ini, saya tidak pernah lagi mendengar aduan daripada pihak produksi lain. Saya akui, mungkin juga saya pernah terlewat untuk sampai ke set penggambaran, tapi saya telah memaklumkan kepada pihak yang sewajarnya. Adakah hal ini berlakukerana anda mengambil terlalu banyak tawaran sehingga tidak mampu mengawal jadual? Saya tidak ambil banyak tawaran sebenarnya. Saya memang sudah susun jadual saya bersama pengurus saya. Saya tidak ambil tawaran yang bertindih kerana kami faham ia akan menyukarkan komitmen yang diberi kelak. Berkemungkinan hal ini berlaku kerana saya terkejar- kejar ingin seimbangkan nyanyian serta lakonan. Namun bagi pihak produksi memang tiada masalah. Kami sudah bincang awal tentang jadual saya bersama pihak produksi. Apakah tindakan yang mungkin akan anda lakukan? Apa yang saya boleh katakan, mungkin sebelum ini saya tidak sedar akan kesilapan yang dilakukan. Saya mahu lama dalam industri ini. Justeru, kalau boleh saya tidak mahu melakukan kesilapan untuk mematikan karier saya sendiri. | ||
Posted: 03 Oct 2013 07:59 PM PDT
MENGAKUI telah melangkau usia sebenar untuk berkahwin, kumpulan lawak duo, Jambu memberitahu telah mempunyai pasangan masing-masing dan akan menamatkan zaman bujang kelak. Begitu, pengakuan Yus dan Tauke ketika bertemu pada majlis sidang akhbar program terbaharu berjudul Antabax Lat-Tali-Lat. Yus yang kini sudah mencecah usia 37 tahun membuka bicara tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang. "Insya-Allah saya akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun depan kerana ingin memberi peluang kepada bakal isteri untuk menyambung pelajaran pada peringkat ijazah sarjana. "Dia merupakan seorang setiausaha di sebuah syarikat dan berasal dari Taiping, Perak. Mungkin sudah tiba masanya saya untuk berkahwin dan telah jumpa orang yang sesuai. "Dia juga faham kerja saya dan mampu menjaga saya kelak sebagai seorang isteri kepada saya," cerita Yus yang mengenali bakal isterinya melalui laman sosial Facebook. Tambahnya, wanita yang juga bekerja sebagai peragawati separuh masa itu dilihat calon yang paling sesuai buat dirinya. Menunjukkan dirinya serius terhadap perhubungan tersebut, mereka telah berkenalan dengan keluarga masing-masing. "Saya tertarik kepadanya bukan kerana paras rupa, sebaliknya saya tertarik kerana keperibadiannya yang sesuai dengan diri saya sendiri. "Apa yang penting, pada umur saya yang sudah mencecah 37 tahun ini, kefahaman dalam perhubungan adalah sangat penting bagi saya," jelas pemilik nama sebenar Yussry Edoo ini. Namun, bagi pasangan lawaknya, Zamatul Amri Zakaria atau lebih mesra disapa sebagai Tauke, dia pernah dilabel oleh masyarakat sebagai seorang 'kaki wanita'. Ini kerana sejak namanya mula dikenali, Tauke sering saja dilihat bertukar pasangan melalui foto-foto yang dimuat naik dalam laman sosial seperti Instagram dan Facebook. Namun, lelaki yang berusia 37 tahun ini punya jawapan tersendiri terhadap tohmahan yang acap kali dilemparkan kepadanya. "Saya mempunyai masalah setiap kali menjalin hubungan dengan seseorang. Setiap kali saya sudah serasi dengan seseorang, pasti ada yang mengganggu hubungan itu. Sejujurnya, kerana perkara-perkara begini, saya hanya mampu bertahan dengan pasangan selama enam bulan sahaja. "Jadi, biarlah selepas ini, jika saya sudah betul-betul membuat keputusan untuk berkahwin, baru saya akan uar-uarkan berita tersebut. Saya sebenarnya sayangkan pasangan saya dan serius dengannya. "Oleh kerana itu, saya muat naik gambar kami di laman sosial. Namun, ia telah dirosakkan oleh segelintir orang yang hitam hatinya," luah Tauke yang kecewa dengan sikap segelintir masyarakat. Selesa sebagai Jambu Sejak bergabung, duo pelawak Jambu ini sering memberikan persembahan terbaik. Apabila bersama, keserasian mereka jelas terserlah ketika mengadakan persembahan di atas pentas. Itu juga yang diakui oleh kedua rakan baik ini yang lebih selesa untuk beraksi berdua apabila di atas pentas, kaca televisyen mahupun di layar perak. "Kadangkala, apabila saya lihat tawaran yang diberi bukan bersama Tauke, saya mungkin akan menolak tawaran tersebut. "Saya sudah selesa dengan Tauke dan senang bergerak atau membuat kerja bersama," jelas Yus ringkas tentang Jambu. Bicara Tauke memberi pendapat yang sama: "Apa yang membuatkan kami selesa bersama ialah tentang jadual. Contohnya, jika ada pihak yang inginkan Jambu, namun Yus punya tawaran lain secara individu, jadi itu akan menyukarkan kami untuk menerima tawaran bersama." Justeru, kini mereka akan lebih mengutamakan tawaran untuk Jambu dahulu. Jika tiada tawaran bagi duo Jambu, maka tawaran secara individu akan dipertimbangkan. Bercerita mengenai Antabax Lat-Tali-Lat, katanya, program tersebut akan disiarkan pada setiap Ahad, bermula 6 Oktober pukul 6.30 petang. "Ia menampilkan 24 orang peserta dari sekolah-sekolah rendah yang akan beradu kecekapan dalam permainan tradisional Malaysia yang unik seperti Baling Tin, Konda Kondi, Tarik Upih, Galah Panjang, Tuju Tin dan Keting Ting," ujar Tauke. | ||
Posted: 03 Oct 2013 07:57 PM PDT TERBABIT dengan kumpulan samseng bukan pilihan terbaik dalam hidup. Bagi menyelesai- kan masalah sama ada perlu membunuh atau dibunuh, mengkhianati atau dikhianati, dunia kegelapan itu tidak menuntut secebis perasaan belas kasihan. Pengajaran yang ingin disampaikan menerusi filem prekuel KL Gangster 2 dipersembahkan jelas dan dijalin kemas dalam rentetan plot demi plot bersama aksi padat yang luar biasa kesannya kepada penonton tempatan. Bagi sebuah filem aksi, KL Gangster 2 wajar diberikan pujian. Tidak hairanlah kos mencecah RM4.5 juta yang dilaburkan oleh pengarahnya, Syamsul Yusof, antaranya disalurkan untuk menjahanamkan beberapa buah kenderaan dan kesan khas letupan yang luar biasa. KL Gangster 2 berdepan pelbagai halangan getir terutama kontroversi kebocoran versi penuh beberapa bulan sebelum tiba tarikh tayangan. Namun, filem itu kekal bertahan dengan pengaruh peminat daripada filem terdahulu, KL Gangster. Produksi KL Gangster 2 tidak betah dirodok dengan isu lanun cetak rompak yang menjadikan filem yang telah tiris disebar lebih meluas tapi tetap memilih tarikh asal 3 Oktober untuk ditayangkan, sedangkan ramai yang berpendapat ia seharusnya diawalkan tayangannya. Dijalin kemas menerusi penceritaan mengenai pasangan adik-beradik yang berpecah berlandaskan prinsip hidup masing-masing tapi mengikut haluan sama iaitu korupsi, pengkhianatan dan pembunuhan. Susur penceritaan dimulakan dengan krisis kehidupan Malek (Aaron Aziz) yang berdepan dengan tiga situasi genting – adiknya, Jai (Adi Putra) yang berhutang dengan kumpulan gengster, penyakit ibunya dan pelawaan ketua kumpulan samseng King (Ridzuan Ha- shim) yang mahu dia membantu menumpaskan kumpulan yang diketuai samseng psiko, Tailong (Rosyam Nor). Situasi menjadi genting apabila kumpulan samseng menyerang ibu dan adik perempuannya, Zati (Sheera Iskandar) dan pada masa yang sama, ibunya disahkan menghidap barah otak. Terdesak untuk mendapatkan wang bagi mengubati penyakit ibunya, Malek bersetuju untuk menganggotai kumpu- lan King. Tindakan itu menyebabkan Tailong mula panas punggung dan mula berdendam dengan Malek. Selangkah di hadapan, Syamsul terlebih dahulu memikirkan plot filem-filemnya kali ini. KL Gangster 2 menjadi prekuel yang menjelaskan kejadian yang berlaku dua tahun lalu menerusi KL Gangster. Ia termasuklah praperkembangan watak Malek sebelum dia dipenjarakan, kehidupan liar Zeti, kehidupan asal Shark (lakonan Syamsul Yusof) sebelum menjadi ketua gengster dan asal usul kemunculan karakter Tailong. Mencuri perhatian, selain plot yang disusun kemas adalah babak pertarungan antara dua puak samseng yang jelas sukses dalam menduga adrenalin penonton. Tanpa henti, diberikan bertubi-tubi serta memberikan ketidakselesaan sebagaimana kehendak penggemar filem aksi. Dek kerana aksi filem itu yang digarap sarat, Syamsul sebenarnya membiarkan penonton mengalami sendiri permainan aksi tersebut. Skrip klise tidak mengapa kerana ia telah dibayangi oleh beberapa aksi menarik serta efek letupan yang cukup hidup – tidak dibuat-buat. Koreografi kemas babak-babak pertarungan antara puak-puak samseng di beberapa lokasi menambah kredit filem itu. Fakta menarik yang perlu dikongsikan, antara babak yang paling mencabar untuk dirakamkan adalah adegan aksi 10 minit pergaduhan tiga penjuru antara Malek, Jai dan Taikong yang memakan tempoh 16 hari penggamba- ran. Dari segi daya lakonan, paling menyerlah sudah tentu Rosyam. Tailong yang direalisasikan Rosyam nyata lebih jahat, psiko dan liar berbanding watak-watak lakonannya yang terdahulu, baik Castello menerusi filem Castello, mahu pun Zain (Lenjan). Ironinya, Rosyam berjaya mencuri fokus utama (atau dalam bahasa pasar dunia gengster ia dikenali dengan istilah sailang) daripada watak-watak utama KL Gangster 2 – Aaron Aziz, Adi Putra mahu pun Syamsul Yusof. Kemunculan kembali bintang-bintang 1990-an, khususnya Angeline Tan turut mencuri perhatian menerusi watak Suzanne, isteri kepada King – wanita yang sarat pengkhianatan dan ketamakan. Bagaimanapun, untuk penonton memahami lebih jelas perkembangan plot, sarikata berbahasa Inggeris sekurang-kurangnya mampu menyalurkan kefahaman memandangkan dialog bahasa pasar dunia gengsterisme bukan serasi dalam semua kelompok penonton. Dalam pada itu, skrip kaedah ritma yang diungkapkan oleh karakter Ajib (Soffi Jikan) yang terlalu kerap dan diulang-ulang dalam beberapa babak menjejaskan sedikit fokus penonton. Secara puratanya, KL Gangster 2 diolah lebih baik berbanding KL Gangster dan dikupas mendalam mengenai sisi gelap alam samseng tetapi pada masa sama menyampaikan mesej serta pengajaran bernilai dalam kehidupan sehari-hari. | ||
Tingkat kemampuan berbahasa Inggeris Posted: 03 Oct 2013 07:47 PM PDT
BAK peribahasa Melayu, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', begitu juga dalam usaha menguasai sesuatu bahasa. Pendidikan bahasa itu perlu dimulakan sejak awal iaitu ketika anak masih kecil. Di negara kita, penggunaan meluas bahasa Inggeris memerlukan ibu bapa mengambil pendekatan tambahan untuk meningkatkan kemahiran anak-anak berbahasa Inggeris. Inisiatif tersebut dapat membantu kanak-kanak membentuk rangkaian yang kukuh dalam mendalami kemahiran itu. "Kami hanya menggunakan bahasa Melayu semasa berkomunikasi di rumah. Kelemahan kami berbahasa Inggeris turut memberi kesan kepada anak-anak. Di sekolah, anak-anak saya berkawan dengan kanak-kanak Melayu yang rata-rata latar belakang mereka serupa seperti kami," keluh Zailahwati Mohd. Misbah, 37, dari Meru, Klang. Oleh yang demikian, dia dan suaminya, Sahabudin Saharudin, 37, menghantar anak mereka ke kelas bahasa Inggeris di Cambridge English For Life (CEFL) di Shah Alam. "Pendedahan bahasa Inggeris yang profesional di pusat ini telah memberi kesan positif terhadap kemampuan anak-anak saya bertutur dalam bahasa berkenaan," ujar Zailahwati. Menurutnya, kini, kesemua anaknya yang berusia 10, tujuh dan lima tahun bukan sahaja mula membaca buku berbahasa Inggeris malah keyakinan diri mereka turut meningkat. Sejak itu, mereka mula menyertai pelbagai pertandingan bahasa Inggeris di sekolah seperti bercerita dan mengarang. Dalam pada itu, seorang pensyarah di sebuah kolej swasta, Yasotha Devi, 44, memberitahu, dia berasa sedih apabila mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajarnya begitu lemah. Pelaburan Keadaan itu umpama satu "amaran" kepadanya agar menitikberatkan pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anaknya. "Saya menghantar anak-anak ke kelas tambahan, membeli buku-buku yang menarik dan melibatkan mereka dengan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa Inggeris. Walaupun memakan masa, tenaga dan faktor kewangan, saya lihat ia sebagai satu pelaburan pada masa hadapan," kata ibu kepada dua orang anak berusia 13 dan 11 tahun itu. Bahasa Inggeris merupakan bahasa natif bagi lebih 350 juta orang. Kajian oleh Pakar Kamus, Susie Dent dari Universiti Oxford, United Kingdom, menunjukkan bahawa seorang yang berbahasa Inggeris menggunakan 20,000 perkataan daripada 500,000 hingga sejuta perkataan yang ditemui dalam bahasa itu. Persoalannya, berapa banyakkah perkataan yang kita atau anak gunakan menunjukkan kemampuan dan perkembangan bahasa itu? "Saya sendiri tidak pernah menyedari kepentingan untuk mendedahkan anak-anak ke kelas bahasa Inggeris selain di sekolah. Antara sebab utama ialah kos dan sejauh mana ia berkesan?" itu persoalan yang berlegar di pemikiran Adnan Yassin, 47, bapa kepada tiga orang anak. Bermanfaat Selepas dinasihati beberapa orang rakan, dia menghantar anak ke kelas tambahan. Dia juga turut meluangkan masa membuat aktiviti dalam bahasa Inggeris di rumah. Cara tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anaknya malah kepada dirinya sendiri. "Sebelum ini, anak-anak saya tidak meminati bahasa Inggeris, namun kini mereka menunjukkan perkembangan yang positif. Mereka juga seronok apabila saya turut serta melakukan aktiviti dalam bahasa Inggeris bersama mereka. Bagi Mohd. Din Mohd. Layer, 46, yang merupakan seorang pegawai bank percaya minat terhadap bahasa Inggeris boleh dipupuk dengan amalan berkomunikasi secara konsisten. "Anak saya, Mohd. Amiruddin, yang belajar di sekolah agama, pada mulanya enggan bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi kini, dia menunjukkan kemajuan yang baik. "Dia yang berada di semester ketiga tahap Flyers di CEFL tidak lagi malu berinteraksi dalam bahasa itu malah minatnya membaca buku dalam bahasa Inggeris juga semakin meningkat tanpa perlu dipaksa-paksa," ujar Din. Pada pendapatnya, usahanya menghantar anak-anak mengikuti kelas tambahan selain di sekolah merupakan satu tindakan yang betul meskipun memerlukan kos tambahan. | ||
Posted: 03 Oct 2013 07:44 PM PDT
MUTAKHIR ini, kita dikejutkan dengan begitu banyak berita berkaitan jenayah termasuk pembunuh upahan dan kumpulan kongsi gelap. Ia menimbulkan tanda tanya kepada kita mengapa manusia cenderung melakukan jenayah? Adakah jenayah merupakan satu cara baharu untuk manusia mendapatkan keseronokan? Itulah antara persoalan yang belum dapat dirungkaikan dalam kajian-kajian psikologi. Sekiranya salah laku jenayah atau keganasan mampu memuaskan hati manusia, ia mungkin hanyalah ilusi. Kita selalu mendapati bahawa penjenayah yang dimomokkan sebagai bengis dan kejam, biasanya terpaksa menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika hukuman dijatuhkan ke atas mereka oleh mahkamah. Malah, walaupun ada yang sanggup membunuh orang lain, pada akhirnya mereka rela membunuh diri kerana tidak lagi mampu menanggung perasaan bersalah. Semua ini jelas menunjukkan bahawa penjenayah yang ganas sekali pun hanyalah manusia biasa. Umumnya, kajian-kajian psikologi mendapati bahawa penjenayah selalunya datang daripada kelompok yang mempunyai 'penghargaan kendiri' yang rendah. Bagi meningkatkan keyakinan diri, mereka menyertai kumpulan tertentu atau terlibat dengan jenayah yang membolehkan mereka dinilai sebagai manusia hebat dan luar biasa. Kelemahan Berdasarkan tanggapan ini, cubaan menutup kelemahan itulah yang menjebakkan diri mereka dengan jenayah. Sekiranya mereka lemah, mengapa mereka mampu melakukan keganasan dan kekerasan? Seolah-olah mereka yakin terhadap perkara yang dilakukan, sedangkan bagi majoriti lain, mereka sangat takut untuk melanggar undang-undang. Apatah lagi untuk merompak atau membunuh orang tanpa rasa kasihan. Dalam konteks ini, ahli psikologi menganggapnya sebagai satu bentuk 'ego diri'. Penjenayah ini perlu menunjukkan kekuatan mereka bagi memberitahu orang lain bahawa mereka bukanlah individu lemah, sebaliknya mereka adalah manusia unik.
Mereka mahu menunjukkan bahawa mereka mampu melakukan apa yang tidak boleh dilakukan orang lain, walaupun tindakan itu mungkin bertentangan dengan norma dan peraturan hidup manusia. Penyertaan dalam kumpulan jenayah tertentu juga mungkin ada kaitan dengan pengiktirafan psikologi ini. Semakin besar dan terkenal satu-satu kumpulan itu menyebabkan mereka berasa memiliki kehebatan tersendiri. Sebab itulah, kita dapati aktiviti jenayah banyak berlaku dalam kelompok masyarakat minoriti, kumpulan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi. Kelemahan diri telah ditukar kepada bentuk lain bagi membolehkan mereka mendapat pengiktirafan. Adakah undang-undang sedia ada tidak cukup untuk menakutkan manusia? Hukuman Sebenarnya, inilah juga antara isu yang sering dibahaskan dalam kajian-kajian psikologi. Umumnya, kajian mendapati ramai penjenayah tidak menghiraukan bentuk undang-undang atau hukuman bagi tindakan mereka. Mereka juga tidak melakukan pertimbangan untung rugi dalam setiap tindakan jenayah, khususnya hukuman yang bakal diterima. Mereka hanya mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh sekarang dan bukannya musibah pada masa hadapan. Bagi sesetengah penjenayah, mereka cuma mempertimbangkan sama ada mereka akan ditangkap ketika melakukan jenayah atau berjaya menghindarkan diri daripada dihidu oleh pihak berkuasa. Ego diri memperteguhkan perlakuan mereka tadi. Bagi segelintir penjenayah, mereka dikatakan mempunyai personaliti yang sukakan risiko. Semakin besar hukuman, semakin 'seronok' mereka melakukan jenayah terbabit. Ini bukanlah bermakna undang-undang tidak diperlukan. Undang-undang diperlukan bagi mengawal perilaku mereka yang tidak mempunyai personaliti mudah melakukan jenayah. Undang-undang diperlukan bagi membolehkan majoriti masyarakat yang tidak terlibat dengan jenayah berasa gerun dan menghindarkan mereka daripada terjebak. Sebab itulah, penjenayah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dihukum setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Sekalipun mereka tidak takut atau menyesal, sekurang-kurangnya mereka menerima balasan atas perbuatan tersebut. Kecenderungan segelintir ahli masyarakat menganggap penjenayah sebagai wira dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat. Ia hanya akan meninggikan ego diri penjenayah untuk terus melakukan jenayah yang mengancam nyawa dan keselamatan negara. | ||
Mengelilingi dunia di Intermark Mall Posted: 03 Oct 2013 07:43 PM PDT BAGI anda yang mempunyai anak-anak kecil, jangan ketinggalan membawa mereka menyertai peraduan mewarna peti harta karun di Intermark Mall, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober ini. Pelbagai hadiah menarik seperti tiket masuk dan penginapan untuk empat orang ke Taman Tema Universal Studios di Singapura, Legoland di Johor dan Sunway Lagoon di Selangor sedia untuk dimenangi. Pengarah The Intermark, Patrick Liau berkata, peraduan tersebut merupakan sebahagian daripada promosi Mengelilingi Dunia pusat beli-belah tersebut yang berlangsung pada 3 hingga 6 Oktober ini. "Promosi ini bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian barangan dan cita rasa antarabangsa dari kedai, restoran dan rangkaian kesihatan dan gaya hidup yang disediakan The Intermark," katanya. Dengan perbelanjaan serendah RM10, pengunjung boleh menikmati hidangan restoran-restoran dan kafe terkenal di podium melalui gerai-gerai promosi mereka di tingkat bawah dan tingkat satu. Para pengunjung juga berpeluang merasa pelbagai jenis keju di gerai-gerai tersebut. Selain itu, pengunjung berpeluang mendapat baucar bernilai RM50 untuk dibelanjakan di Intermark Mall jika "pasport" mereka dicop sebanyak enam kali di gerai-gerai promosi yang disediakan. "Pasport" ini boleh didapati di kaunter penerangan di tingkat bawah. Mereka yang menjamu selera di sana juga diberi potongan harga antara 20 sehingga 50 peratus bagi hidangan terkenal di restoran dan kafe yang mengambil bahagian. Selaras dengan tema mengelilingi dunia, para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuklah samurai Jepun, nyanyian tenor; dendangan lagu-lagu klasik Cina dari Shanghai; pukulan kompang; tarian kipas Korea dan Flamenco dari Sepanyol. Intermark Mall merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu The Intermark yang turut merangkumi Menara Integra, Menara Vista dan Hotel Double-Tree by Hilton. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |