Khamis, 3 Oktober 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Keluarga Tunang Terima Semula Shahrizal Jaszle

Posted: 01 Oct 2013 07:25 PM PDT


Shahrizal Jaszle bersyukur keluarga tunang Redzwani Puteri sudang menerimanya semula.
PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle bersyukur apabila keluarga tunangnya, Redzwani Puteri yang sebelum ini memutuskan tali pertunangan gara-gara kontroversi tangkap khalwat sudah menerimanya kemabli.
Shahrizal berkata, dia tidak sangka akan diterima semula oleh keluarga Redzwani dalam jangka masa yang singkat iaitu pada pertemuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Saya faham situasi keluarga Redzwani yang mesti risau adakah saya layak untuk menjadi suami Redzwani selepas kontroversi tercetus. Dan ia semestinya mengambil masa yang lama untuk mereka percaya kepada saya.
"Tetapi, Alhamdulillah mereka sudah terima saya semula pada Hari Raya lalu dan hubungan saya dan Redzwani sendiri semakin kukuh. Syukur," katanya yang dihubungimStar Online pada Selasa.
Pada 16 Mei lalu, Shahrizal ditahan bersama Farah Nurizzati Salleh, 21, atas kesalahan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.
Perhubungan cinta antara Shahrizal dan Redzwani lebih kukuh sejak melalui pelbagai dugaan.
Walaupun aktor tersebut menyifatkan penangkapan itu sebagai satu perangkap namun Farah berkata mereka sebenarnya mempunyai hubungan istimewa.
Kontroversi itu membuatkan keluarga Redzwani memutuskan pertunangan pada 10 Jun 2013 dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.
Sementara itu, Shahrizal berkata, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan untuk berhadapan dengan kes tersebut yang akan disebut di mahkamah syariah pada 12 November depan.
"Saya bersedia untuk berhadapan dengan kes itu dan sedang mengumpul bukti yang saya tidak bersalah. Kita lihat saja nanti. Insya-Allah semua akan berjalan lancar," ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrizal kini bekerja keras untuk mengumpul wang sebelum mengahwini Redzw dan berhasrat mengadakan majlis selepas kes mahkamah berkenaan selesai.
Malah pelakon drama Iman Nabila itu juga bersyukur kerana kontroversi tersebut langsung tidak menjejaskan perjalanan kariernya selain turut mendapat tawaran daripada pihak produksi Zeel Production.
"Memang sekarang ini saya tengah mengumpul duit untuk mengahwini Redzwani. Dan buat masa ini saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama Dendam Lima Beradikarahan Along Kamaludin dan beberapa drama daripada pihak produksi Zeel. Selain itu adik saya, Shahid Jaszle kini menjadi pengurus saya," ujarnya.

Infiniti Cinta lagu balas dendam

Posted: 01 Oct 2013 07:24 PM PDT



INFINITI membawa pengertian besar dalam kamus sains yang membawa maksud suatu kuantiti atau jumlah yang tidak terhingga. Begitu juga makna yang ingin disampaikan menerusi single terbaharu kolaborasi Zizan Razak dan Kaka Azraff, Infiniti Cinta.
Ditanya Zizan pengertiannya mengenai makna judul lagu yang dinyanyikannya itu, jawab Zizan ringkas, ia berkaitan perasaan sayang yang tiada penghujung dan usaha untuk memenangi hati seseorang tanpa henti.
Kisah tersebut juga diceritakan menerusi lagu ciptaan Audi Mok dan Omar K itu.
Menerusi klip video yang dilancarkan secara rasmi pada 25 September lalu, ia terkandung sebuah cerita pendek.
Kisahnya bermula apabila seorang Chef (Zizan) yang dimarahi oleh seorang pakar uji masakan dan keesokan harinya berjaya menghasilkan hidangan luar biasa enak hasil cinta pandang pertama dengan seorang pelanggan di restorannya.
Benar kata pengarah muzik video itu, Ghaz Abu Bakar, dia mahu menyuntik mood lokasi seolah-olah di kota metropolitan New York dan terbukti menerusi hasil kreativitinya video yang turut dimuat naik menerusi laman sosial YouTube telah ditonton hampir 100,000 pelayar dalam tempoh lima hari.
KAKA menafikan dia menumpang populariti Zizan.


Bangkit semula
Tidak serik selepas kontroversi lagu Bawaku Pergi awal tahun lalu yang didakwa menggalakkan provokasi remaja lari dari rumah, Zizan akui, Infiniti Cinta adalah lagu balas dendam!
"Tanya mana-mana penyanyi pun sudah tentu mereka mahukan sebuah lagu untuk masyarakat dengar. Tak sangka pula lagu sebelum ini (Bawaku Pergi) menjadi kontroversi.
"Lagu Infiniti Cinta ada kena-mengena dengan kehidupan seharian kita dan ini juga ibaratnya sebuah lagu balas dendam tapi bukan balas dendam dari sudut negatif.
"Saya mahu buktikan kami bukan penyanyi yang hanya mahu menyampaikan mesej-mesej negatif saja. Lagipun, kalau benar lagu Bawaku Pergi itu negatif, mustahil pula dapat tontonan sampai beratus-ratus ribu di YouTube," jelas Zizan yang ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran klip video Infiniti Cinta di Souled Out, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Zizan, dia tidak melihat kontroversi lagu Bawaku Pergi sebelum ini menjejaskan kerjaya atau perkembangannya sebagai penyanyi rap.
"Kontroversi itu tidak menjejaskan pun, malah ramai lagi yang suka. Perkara sebegitu tidak akan mematahkan semangat dan saya tidak akan mensia-siakan peluang kali kedua ini. Saya memandangnya dari sudut positif," katanya.
Zizan bagaimanapun tidak menolak seandainya dia ditawarkan untuk menyanyi solo dan mendapat sebuah lagu yang sesuai, namun dia akui kini masih selesa untuk menyanyi rap.
Juliana Evans
Begitu juga Kaka yang menjadi artis sulung menganggotai keluarga Wirefame Entertainment dua tahun lalu, katanya, kisah negatif Bawaku Pergi tidak pernah mematahkan impiannya untuk terus merakamkan lagu baharu.
"Saya memang peminat Zizan. Apabila dapat peluang untuk bekerja bersamanya sudah tentu sukar untuk saya tolak. Zizan mempunyai aura yang kuat dan bakat yang luar biasa.
DARAH SENI... Kaka merupakan anak saudara Ella.


"Apabila dia marah, dia marah dalam keadaan yang aman, lagipun saya sudah faham bagaimana dan bila dia boleh bergurau dan serius ketika bekerja," ujarnya yang berkenalan dengan Zizan menerusi pelakon jelita, Juliana Evans.
Tegas Kaka, dia tidak pernah terlintas untuk menumpang populariti Zizan memandangkan kedua-dua singlenya merupakan duet bersama pelawak kelahiran Terengganu itu.
"Zizan senang untuk bekerjasama dan banyak memberikan tunjuk ajar. Tidak pernah pula terlintas untuk saya menumpang tuah Zizan atau menjadi bayangan dia.
"Saya tidak memandang populariti kerana menyanyi itu memang sudah ada dalam diri saya," kata Kaka yang usai merakamkan sebuah single berjudul Terpulanglah yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Bayang Ella
Beberapa kali mendengar vokal Kaka atau pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff dalam lagu Infiniti Cinta, terkesan sedikit lenggok dan vokal yang persis Ratu Rock, Ella.
Mengakui akan hakikat yang sukar disorok itu, kata Kaka, dia tidak boleh lari daripada terikut-ikut dengan ibu saudaranya, Ella.
"Saya susah nak lari, kalau ada bunyi-bunyi Ella saya tidak tahu tapi sejujurnya persembahan saya dalam lagu ini datang daripada diri sendiri.
KAKA mengakui yang dia adalah salah seorang peminat Zizan.


"Tidak boleh saya nafikan saya kadang-kadang terpengaruh dengan Ella kerana dialah hiburan saya sejak kecil dan dia juga saudara saya tapi saya tidak tiru Ella dan tidak mengambil apa-apa untuk menjadi diri saya hari ini.
"Mungkin akan ada sedikit sebanyak yang tertumpah, saya mengharapkan pendengar boleh menerima saya sebagai diri saya dan enggan dilihat atau dibayangi Ella," katanya yang menjadikan Ella sebagai ikon keluarganya.
Kaka bagaimanapun tidak boleh melenting apabila dikaitkan sering dibayangi Ella.
Kata Kaka, dek kata-kata itu dia seboleh-boleh mengelak daripada menyanyikan lagu Ella.


Wan Nor Azlin Letak Syarat Untuk Kahwin Semula

Posted: 01 Oct 2013 07:23 PM PDT


Wan mengakui tidak memikirkan soal kahwin buat masa ini kerana ingin memberikan tumpuan kepada anak-anaknya.
PETALING JAYA: Pelakon Wan Nor Azlin bersedia untuk berkahwin semula sekiranya lelaki yang melamarnya itu dapat menerima dan menyayangi tiga anaknya hasil daripada perkahwinan terdahulu.
Wan, 45, berkata, perkara itu menjadi keutamaan tidak mahu anak-anaknya berasa tersisih jika dia mengambil keputusan untuk berumah tangga.
"Saya bukan muda lagi untuk bercinta tetapi jika bertemu jodoh semula saya terima dan paling penting lelaki tersebut kena menerima dan menyayangi anak-anak saya.
"Jika dia dapat menerima mereka maka saya percaya dia akan sayang saya seadanya. Selain ikhlas dan jujur lelaki itu perlu mampu menjaga dan menyara kami anak beranak," katanya kepada mStar Online.
Wan dan Mohd Yazli Yaacob disahkan bercerai pada Mac lalu dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danial Luqman, 12, Danny Iskandar, 11, dan Dania Camelia, 8 tahun.
Wan bersama anak bongsunya Dania Camelia yang sering menemaninya.
Tambah Wan, dia tidak menafikan ada didekati oleh beberapa lelaki namun mengakui hatinya masih belum terbuka untuk mendirikan rumah tangga.
"Fokus saya sekarang hanyalah pada kerjaya dan tanggungjawab saya untuk membesarkan anak-anak. Saya selesa sendiri. Memang ada yang mendekati saya tetapi hati masih belum terbuka," tuturnya.
Wan bagaimanapun tidak menafikan kadang-kala berasa sunyi selepas ditinggalkan suami tanpa sebarang khabar berita sejak tujuh tahun lalu.
"Bohong kalau saya katakan saya tidak sunyi tanpa teman hidup selepas tujuh tahun digantung tidak bertali namun anak-anak lebih utama dan bersyukur mereka sentiasa di samping saya," katanya.
Sementara itu, Wan berkata, walaupun telah mengharungi pelbagai cabaran namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya malah mengakui ia telah menjadikannya sebagai seorang wanita yang lebih tabah dan berani.
Dia juga sentiasa yakin ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa dan berharap sentiasa kuat untuk membesarkan anak-anak.
"Tujuh tahun saya ditinggalkan tanpa sebarang khabar berita apatah lagi tidak diberikan nafkah dan sepanjang tempoh itu saya membesarkan anak-anak selain pelbagai dugaan yang datang.
"Namun saya bersyukur masih diberi kekuatan dan semangat untuk tempuh setiap perkara yang datang dan ia sebenarnya telah mematangkan saya sebagai seorang wanita dan manusia," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, dia bakal muncul dengan sebuah drama bersiri sebanyak 26 episod iaitu Mencintaimu yang diarahkan oleh Azizi 'Chunk' Adnan di samping pelakon seperti Raja Ema, Beego, Intan Ladyana, Amran Ismail dan Mustafa Kamal.
Ia bakal bersiaran bermula Khamis ini pukul 9 malam melalui slot Selekta Prima di TV2.

‘Gosip Saya Dengan Erra Fazira Sangat Lucu’ – Amar Baharin

Posted: 01 Oct 2013 07:22 PM PDT


Amar menganggap gosip mengaitkannya dengan pelakon Erra Fazira sebagai cerita lucu.
PETALING JAYA: Aktor Amar Baharin menganggap gosip hangat yang mengaitkan dia mempunyai hubungan dengan pelakon Erra Fazira merupakan satu cerita kelakar yang tidak sepatutnya timbul.
Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 28, berkata, dia tidak layak untuk digosipkan dengan pelakon hebat seperti Erra kerana status mereka yang berbeza.
"Sungguh pun ia hanya gosip tetapi nama saya tidak layak untuk disebut sebaris dengan pelakon terkenal seperti Erra dan saya sebagai pendatang baru dalam industri sangat menghormatinya.
"Kadang-kala apabila difikirkan, gosip itu sebenarnya kelakar dan saya tidak faham mengapa ada pihak yang ingin timbulkan isu yang tidak pernah terjadi," katanya kepadamStar Online.
Sebelum ini, Amar didakwa menjalinkan hubungan istimewa dengan Erra dan dituduh menjadi orang ketiga kepada konflik rumah tangga aktres popular itu.
Bekas finalis program Anak Wayang (2009) ini berkata, walaupun gosip berkenaan sedikit menjejaskan karier lakonannya namun hidup perlu diteruskan kerana dia sedar ia adalah perkara yang harus dilaluinya sebagai seorang artis.
Erra Fazira.
Bagaimanapun jelas Amar, dia tidak mahu dilabel sebagai artis yang ingin mengejar populariti apabila timbul gosip berkenaan.
"Gosip itu tidak benar sama sekali dan saya sendiri tidak tahu siapa yang menyebarkannya dan bimbang juga orang ingat saya pula yang reka-reka cerita sebab nak kejar populariti," tuturnya.
Dalam pada itu, Amar berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergandingan dengan pelakon itu malah baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Shopaholic arahan Erma Fatima.
Kata Amar, gosip itu langsung tidak memberi kesan kepada kerjasama mereka malah dia sangat menghormati sikap profesional pelakon itu.
"Cerita yang tersebar bukan benar dan tiada masalah untuk kami berlakon bersama dan ia tidak memberi kesan dan perasaan janggal langsung tidak wujud ekoran gosip itu," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amar berkata, selain Shopaholic dia juga bakal tampil dalam dua buah lagi drama arahan pengarah sama iaitu Ketika Cinta Merintih dan Mat Kentalyang menjalani penggambaran di sekitar Eropah.

Salwa ditaja 'Datuk'?

Posted: 01 Oct 2013 07:20 PM PDT

  • Salwa RazakSalwa Razak. 

Tampil dengan imej baru, penyanyi lagu Ahmad, Aurora Salwa yang kini dikenali dengan nama Salwa Razak, pernah menghangatkan industri hiburan tempatan dengan kisahnya yang dikatakan melakukan perkara syirik untuk menaikkan namanya dalam bidang seni.

Menutup cerita lama, penyanyi dan pelakon ini  mengambil pendekatan berdiam diri dan enggan mengulas mengenai kisah panas itu lagi.

Ketika ditemui Zass baru-baru ini, pelakon ini juga  enggan melayan gosip dan fitnah yang dilemparkan kepadanya apabila dia dikatakan ditaja seorang Datuk.

"Apa yang pastinya, saya tak berbuat demikian, tetapi kerana ada penganiayaan daripada orang yang tidak bertanggungjawab itu maka timbullah cerita sebegini.

"Orang ini tidak senang melihat saya berjaya dan mahu menghancurkan kerjaya seni saya dan saya tahu siapa yang melakukan kerja ini tetapi saya tak mahu dedahkan. Yang pastinya, sekarang dia sedang melakukan perkara yang sama kepada seorang lagi artis baru di bawah syarikat yang saya bernaung sebelum ini.

"Biarlah. Saya hanya mahu kisah lama saya berkubur dan mulakan kehidupan baru dan ia lebih kepada karier berbanding kisah peribadi," katanya yang sebelum ini sering dikaitkan dengan bekas anggota kumpulan Max:247, Mohd Fairuz Shaari (Alloi).


Nama, imej baru

Biarpun pelbagai tuduhan dilemparkan, Salwa bangkit dari tragedi hitam yang menimpa dirinya. Enggan melayan sebarang cerita atau kontroversi murahan berkaitan dirinya, penyanyi tinggi lampai ini mahu memberi perhatian terhadap karier seninya dengan nama yang baru.

"Salwa Razak merupakan panggilan baru dan saya amat selesa menggunakannya.

"Panggilan ini sebagai lembaran baru untuk saya lupakan sejarah bersama nama Aurora Salwa.

Turut tampil dengan imej baru, Salwa kelihatan lebih manis membawakan imej yang lebih trendy dan santai.

"Saya lebih selesa tampil ringkas, kemas begini. Tapi ia akan ikut acaralah," katanya yang kini membuka lembaran baru dan bersyukur telah menyiapkan klip video dan single terbaru iaitu Hidup Baru dan Takdir Dan Masa di bawah label JJ Solution Sdn. Bhd.

Kedua-dua single itu ditulis oleh komposer, Kunci Demak yang kini sudah pun diputarkan di beberapa buah radio.

Menurut Salwa, single dengan tajuk Hidup Baru itu merupakan buah tangannya untuk peminat apabila lagu itu merupakan sentuhan peribadinya bersama Kunci Demak.

"Saya yang memilih sendiri genre lagu balada ini untuk disesuaikan bersama vokal saya. Nampaknya, seiring dengan umur saya, saya mahu buat perubahan muzik ke arah kematangan saya.

"Saya suka bekerjasama dengan Kunci Demak," katanya yang mahu mengetengahkan genre muzik itu berbanding muzik 'catchy' seperti sebelum ini.

Menurutnya, pada bulan ini dia akan jelajah di stesen-stesen radio untuk mempromosikan singlenya dan berharap lagu itu turut popular seperti 'Ahmad'.


Lakonan, nyanyian seiring

Kekal positif dan lebih terbuka  menceburi pelbagai bidang, nampaknya, tawaran lakonan berpihak kepada bekas anggota polis ini.

Meninggalkan karier lamanya sebagai anggota polis, penyanyi ini mendapat tawaran melakonkan watak aksi di dalam drama D7 sebanyak 13 episod.

Nekad dan yakin dengan bakat yang ada dalam dirinya dia juga kini terlibat dengan sebuah drama yang bertajuk Misteri X.

Menurut Salwa, dia berharap kedua-dua kariernya itu akan berjalan seiring.

"Alhamdulillah, peluang itu datang seiring dan tawaran yang saya terima juga adalah jenis watak yang penuh aksi.

Sekiranya saya mendapat tawaran perempuan Melayu terakhir, saya pasti tidak dapat lakukannya.

"Ini kerana saya seorang yang lasak, jadi saya tak suka watak lemah lembut. Saya yakin, saya tak dapat buat watak itu," akhirinya yang juga pernah berlakon sebagai pegawai polis dalam filem pertamanya, Kerat 14.

Wan Maimunah: Ibu dah lama tak dapat 'job'

Posted: 01 Oct 2013 07:19 PM PDT

  • Wan MaimunahWan Maimunah

"IBU dah lama tak dapat 'job'. Orang dah tak panggil ibu lagi...," itulah luahan pelakon serba boleh yang terkenal dengan watak air mata, Wan Maimunah.

Menurut Wan Maimunah atau nama sebenarnya, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, dia sendiri tidak mengingati drama terakhirnya kerana sudah lama tidak dipanggil ke lokasi penggambaran.

"Ibu tak ingat drama terakhir ibu, tapi seingat ibu, memang dah lama lah tak berlakon.

"Ibu pun pelik, kenapa ibu tak dipanggil lagi. Mungkin produksi dah tak mahu khidmat ibu dan mungkin sudah ada pengganti.

"Ibu teringin nak berlakon lagi lagipun ibu masih boleh bekerja. Ibu masih boleh hafal skrip dan beraksi dengan jiwa seperti dahulu," katanya yang pernah memenangi trofi, Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) untuk lima tahun berturut-turut pada 1992 hingga 1996.

Enggan bergantung hidup kepada anak-anak, Wan Maimunah cuba mencari pendapatan sendiri dengan menjual pakaian wanita.

"Ibu sekarang ada buat perniagaan kecil-kecilan jual barang-barang wanita termasuk baju dan tudung.

"Nak jual kat pasar malam dan buka kedai, ibu tak mampu nak sediakan modal besar-besar. Jadi, ibu nak buka gerai depan rumah ibu saja.

"Bukan apa, meniaga ni, untuk sara makan minum ibu saja. Cukuplah sekadar ibu tak menyusahkan sesiapa," katanya sebak.

Mengimbau kerjaya seni Wan Maimunah, pelakon ini mula menceburi bidang lakonan secara serius pada 1972.

Sepanjang penglibatannya, dia pernah membintangi beberapa filem termasuk, Gentayangan, Puaka Tebing Biru, Cinta Luar Biasa, Soalnya Siapa, Anak Mami The Movie, Putih, Jimi Asmara, Interlud dan Wanita Bertudung Hitam.

Selain di pentas ABP, Wan Maimunah juga pernah menjulang trofi di Anugerah Skrin 2002 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi dramanya, Rumah di Tengah Sawah.

Lelaki paling pendek di dunia

Posted: 01 Oct 2013 07:18 PM PDT

  • Lelaki paling pendek di duniaMaster Nau mempunyai ketinggian 41sm.

KATHMANDU - NEPAL. Seorang warga emas sanggup pergi ke Kathmandu bagi menunaikan hasratnya untuk diiktiraf dalam Rekod Dunia Guinness sebagai lelaki paling pendek di dunia.

Master Nau, 73, dari Bhairahawa mempunyai ketinggian 41 sentimeter (sm).

Anak saudaranya, Seema Sheikh berkata, kehadiran Nau disambut meriah media dari pelbagai agensi.

"Master Nau gemar melancong dan suka berkongsi tentang kehidupan hariannya," katanya.

Difahamkan, rekod manusia paling pendek di dunia ketika ini dipegang seorang lelaki warga Nepal, Chandra Bahadur Dangi, 74, dengan ketinggian 54.6sm, laporan dipetik dari AP.

Kapal persiaran makin popular

Posted: 01 Oct 2013 07:15 PM PDT

  • Kapal persiaran makin popularIndustri pelancongan melalui kapal persiaran berpotensi untuk berkembang di Malaysia berdasarkan permintaan semakin meningkat di rantau ini.

Malaysia adalah antara negara berpotensi berkembang dalam industri pelancongan kapal persiaran berdasarkan perkembangan sektor itu di Asia Tenggara.

Pengarah Princess Cruises Asia Tenggara, Farriek Tawfik berkata, jumlah penumpang di rantau ini dijangka terus meningkat setiap tahun, dengan laporan Tourism Malaysia menunjukkan jumlah penumpang di Asia dan antarabangsa mencatat peningkatan sehingga 14 peratus sejak 10 tahun lalu dalam perniagaan kapal persiaran.

Beliau berkata demikian semasa sidang media memperkenalkan perjalanan musim baru kapal persiaran Princess Cruises bagi pasaran Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, syarikat pengendali kapal Princess Cruises, Carnival Corporation & Plc menyasarkan lebih 40,000 penumpang dari seluruh Asia Tenggara dan antarabangsa termasuk Malaysia bagi perjalanan dalam tempoh empat bulan musim pertamanya, tahun depan.

"Bagi tahun ini, kita sudah pun mencapai sasaran hampir 70 peratus jumlah penumpang iaitu melebihi 500,000 orang dari seluruh rantau Asia dan Eropah.

"Princess Cruises juga satu-satunya syarikat yang menawarkan perjalanan sehingga empat bulan," katanya sambil menambah Princess Cruises berjaya meraih jualan sehingga S$50 juta (RM129) juta tahun ini.

Sementara itu, Farriek berkata, Princess Cruises sedang merancang untuk menerokai perniagaan menyewakan kapal persiaran kepada syarikat yang berminat.

"Perniagaan menyewa kapal persiaran sudah menjadi trend perniagaan dalam industri ini dan potensinya amat besar. Jika sebelum ini kami hanya menawarkan program ini kepada penumpang, selepas ini kita akan menjual program itu kepada syarikat yang berminat," katanya.

Bermula dari November 2014 sehingga Februari 2015, Princess Cruises menerusi kapal persiaran Sapphire Princess akan memulakan pelayaran dari Singapura ke destinasi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur (Pelabuhan Klang) dan Melaka serta beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Aaron tak kisah tak eksklusif

Posted: 01 Oct 2013 07:05 PM PDT

AARON memberitahu, dia hanya terlibat dengan empat produk berlainan pasaran sebagai duta.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Peribahasa yang mungkin sesuai menggambarkan keadaan dan rezeki yang mencurah diterima oleh pelakon kacak, Aaron Aziz.
Tidak dapat dinafikan, semakin meningkat usia pengalamannya berada dalam industri hiburan tempatan, semakin bertambah juga tawaran berlakon mahupun menjadi duta kepada pelbagai jenis produk.
Terkini, Aaron dipilih pula untuk menjadi duta produk kesihatan iaitu Nu Prep Lelaki, khusus untuk mengembalikan sistem tenaga lelaki secara menyeluruh.
Bagaimanapun ada yang berkata, apabila terlalu kerap wajah Aaron Aziz digunakan, tidak kiralah menerusi drama, filem mahupun produk, dia sudah tidak menjadi eksklusif.
Ketika bertemu pelakon tersebut pada pelancaran produk dan memperkenalkan duta produk Nu Prep Lelaki yang bertempat di Restoran Asmara Penchala ini, Aaron menjawab isu lambakan wajahnya ini.
Kosmo!: Bolehkah anda ceritakan perkembangan diri?
AARON: Saya sedang dalam penggambaran supertelefilem yang berjudul Suamiku Encik Perfect 10 bersama Lisa Surihani dan Syazwan Zulkifli. Kemudian, saya akan ke Cape Town, Afrika Selatan untuk rakaman Fear Factor 2 dan seterusnya ke New York bagi penggambaran sebuah telefilem. Saya juga ada penggambaran drama yang bergandingan bersama Jericho Rosales serta filem Adam dan Hawa. Selain itu ada juga aktiviti bersama peminat di Hong Kong.
Kini, sudah berapa banyak anda terlibat dengan produk untuk menjadi duta?
Saya bersama Drive M7, Maybank Debit Card, Uberman dan kini yang terbaharu Nu Prep Lelaki. Setakat ini itu sahaja.

AARON AZIZ tidak kisah tentang pandangan dirinya tidak eksklusif ekoran pembabitannya dalam banyak drama dan filem.


Bagaimanakah anda memilih tawaran menjadi duta dan mungkin pemilihan produk?
Paling penting tawaran itu tidak boleh bertindih. Maksudnya, saya tidak boleh ambil produk yang termasuk dalam kategori yang sama. Tapi sebenarnya apa yang penting, kita perlu yakin dengan produk tersebut. Ia perlu sudah dikenali serta punya rekod yang baik. Memang sebelum tandatangani kontrak, saya sudah buat kajian tentang produk yang membabitkan saya sebagai duta mereka.
Wajah anda sering terpampang di kaca televisyen mahupun menjadi duta atau jurucakap produk. Anda seperti tamak apabila menerima banyak tawaran. Boleh komen?
Sebenarnya, jika ikutkan lakonan, ramai lagi pelakon lain yang boleh dilihat atau ditonton. Mengenai terlalu banyak terima tawaran sebagai duta, itu sebenarnya tidak juga. Kini saya cuma terlibat dengan empat produk sahaja. Mungkin kerana masa dikeluarkan wajah saya seperti contoh kempen baju Jakel. Oleh kerana itu orang ramai rasakan terlalu kerap lihat wajah saya.
Anda tidak risau nama dan wajah Aaron Aziz itu sendiri sudah tidak eksklusif kerana terlalu kerap dilihat di kaca televisyen?
Itu terpulang kepada orang sama ada ingin pandang saya eksklusif ataupun tidak. Bagi saya, saya tidak kisah sama sekali. Selagi saya dapat berikan yang terbaik untuk mempromosi produk yang saya wakili, saya sudah rasa gembira. Ini kerana saya faham apa yang mereka laburkan terhadap promosi dan sebagainya bukannya sedikit. Jadi, ia sebenarnya merupakan situasi menang-menang kepada saya mahupun pengeluar produk terbabit.


Kelainan humor Maduku... Kalut

Posted: 01 Oct 2013 07:04 PM PDT


KEKALUTAN yang timbul dalam hidup seorang lelaki yang beristeri dua digarap dengan menarik menerusi teater Maduku...Kalut.


KISAH tentang kehidupan bermadu sudah acapkali dipaparkan sama ada di kaca televisyen atau layar perak, tetapi teater Maduku... Kalut arahan Azhar Zainal tampil dengan kelainan tersendiri.
Memaparkan sebuah jalan cerita yang agak ringan, namun ia cukup sarat dengan nilai-nilai kemasyarakatan yang ditampilkan menerusi teater yang berdurasi selama lebih sejam itu.
Ceritanya ringkas iaitu mengenai seorang pemandu teksi bernama Selamat (Izzue Islam) yang mempunyai dua orang isteri iaitu Bibi (Jihan Muse) dan Mimi (Nad Zainal).
Kekalutan mula timbul apabila Selamat terlibat dalam suatu insiden sehingga dia tidak pulang ke rumah. Keadaan tersebut membuatkan kedua-dua isterinya berasa risau dan masing-masing membuat aduan kepada pihak polis.
Selain menampilkan Izzue, Jihan dan Nad selaku tunjang utama teater berkenaan, peranan pelakon-pelakon lain seperti Karl Shafek, Sofian Bujang dan Fazleena Hishamuddin tidak kurang hebat.
Paling ketara pastinya lakonan Karl Shafek yang membawakan watak bernama Adam, seorang lelaki lembut yang membuatkan para penonton tidak kering gusi menyaksikan telatahnya.
Ternyata percubaan sulung syarikat MASK Team yang mementaskan teater tersebut di Istana Budaya pada 27 hingga 30 September lalu dilihat mencapai kejayaan yang memberangsangkan.

IMPAK kejayaan pementasan pertamanya ini, teater Maduku...Kalut bakal dibawa dalam siri jelajah untuk dipentaskan di beberapa buah negeri di Malaysia.


Ia berdasarkan kepada sambutan hangat yang diterima sepanjang empat hari pementasan serta maklum balas positif daripada penonton yang telah menyaksikannya.
Penerbitnya, Mohd. Amer Syafiq Khalip berkata, beliau sangat berpuas hati kerana pementasan teater Maduku... Kalut berjalan dengan lancar dan rata-rata penonton sangat berpuas hati dengan jalan cerita yang ditampilkan.
"Pujian harus diberikan kepada para pelakon serta kru yang terbabit dalam teater ini. Komitmen mereka selama dua bulan untuk menjalani latihan akhirnya membuahkan hasil.
"Selain itu, kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh pihak IB kepada syarikat yang kecil seperti MASK Team untuk mementaskannya di sini sangat dihargai," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pratonton minggu lalu.
Menurut Amer, berdasarkan kepada sambutan yang diterima, pihaknya sudah mempunyai perancangan untuk mengadakan siri jelajah dan mementaskan teater berkenaan ke beberapa buah negeri.
Bagaimanapun, ia semuanya bergantung kepada jadual pelakon-pelakon lain memandangkan ada antara pelakon utamanya yang mempunyai komitmen lain seperti berlakon dan menyanyi.
"Itu semua masih lagi dalam peringkat perancangan awal dan saya perlu berbincang dengan pelakon terlebih dahulu. Seboleh-bolehnya saya mahu teater ini dipentaskan sehingga ke Singapura," ujarnya.
Rendah diri
Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam selaku tunjang utama teater Maduku... Kalut berkata, dia bersyukur kerana pementasan dapat dilakukan dengan lancar meskipun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi.

DALAM KARAKTER... Lakonan Karl Shafek berjaya mencuit hati audiens.


Ujar Izzue, pada peringkat awal ketika mula-mula menjalani latihan dahulu, dia berasa cukup gugup kerana ia merupakan percubaan sulungnya berlakon dalam teater.
"Sudah tentu saya berasa sangat rendah diri kerana dikelilingi oleh pelakon-pelakon yang sudah lama aktif dalam teater, malah berasa takut dan risau sekiranya tidak dapat menjayakan tanggungjawab yang diberikan.
"Namun begitu, tunjuk ajar daripada rakan-rakan pelakon lain memang banyak membantu. Mereka banyak memberikan idea-idea dan teknik berkaitan dengan lakonan teater," jelasnya.
Sementara itu, Jihan Muse memberitahu, pada mulanya dia menerima tawaran berlakon teater berkenaan atas dasar kawan sahaja.
Menurutnya, dia hanya membaca skrip yang diberikan oleh penerbit ketika sesi bacaan skrip dan terus tertarik dengan jalan ceritanya kerana ia memaparkan isu sosial yang jarang diketengahkan.
"Ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Izzue dan Nad Zainal dalam teater. Pada mulanya memang agak kekok tetapi lama-kelamaan ia dapat diatasi dengan latihan yang berterusan," ujarnya.


Kekejaman harimau Kuala Pilah

Posted: 01 Oct 2013 07:00 PM PDT


PEGAWAI Perhilitan Jempol memeriksa kandang biri-biri yang disyaki diserang harimau kumbang di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.


KUALA PILAH – Penduduk di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh dekat sini hidup dalam ketakutan selepas harimau kumbang dipercayai telah menyerang ternakan biri-biri milik seorang penduduk di situ kelmarin.
Penternak, Nor Asiah Yunus, 61, berkata, dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, dua ekor biri-biri miliknya hilang manakala baki sembilan lagi ekor biri-biri ditemui mati dengan kesan kecederaan akibat dibaham haiwan buas.
Menurut wanita itu, dia menyedari kejadian tersebut apabila dua anaknya, Abdul Mujib Nong Singah, 30, dan NorKhairukha, 41, pergi ke kandang tersebut pada pukul 7 pagi.
"Kedua-dua anak saya terkejut apabila menemui sembilan ekor biri-biri di dalam kandang itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan banyak kesan kecederaan pada badan setiap ternakan itu," kata Nor Asiah ketika ditemui di sini semalam.


Mangsa nahas dibaham buaya

Posted: 01 Oct 2013 06:59 PM PDT


ANGGOTA polis dan penduduk kampung mengangkat sebahagian mayat Mohd. Munir yang dibaham buaya selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Kupang, Saratok, Sarawak semalam.


SARATOK – Mayat seorang lelaki mangsa kemalangan ditemui dalam keadaan mengerikan apabila separuh badannya hilang dari pinggang ke atas disyaki dibaham buaya selepas tiga hari berada di dalam sungai di Kampung Kupang dekat sini semalam.
Sebelum itu, Mohd. Munir Yusuf, 24, dikhuatiri lemas selepas kereta Proton Saga dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai berdekatan Pangkalan Feri Kaba, Ahad lalu. Jarak tempat kemalangan dengan lokasi mayatnya ditemui kira-kira 20 kilometer.
Sumber berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 7.15 pagi oleh seorang penduduk kampung yang dalam perjalanan ke kebunnya sebelum dia menghubungi polis.


Beg bertulis bahaya atas jalan cetus tanda tanya

Posted: 01 Oct 2013 06:56 PM PDT


ROBOT wheel barrow digunakan bagi mengesan bahan letupan di dalam sebuah beg yang ditinggalkan di hadapan Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Penemuan sebuah beg bimbit yang bertulis perkataan bahaya di hadapan Menara Yayasan Islam Terengganu berdekatan bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam menimbulkan tanda tanya orang ramai.
Perunding insurans, A. Munusamy, 57, berkata, dia menyedari beg itu pada pukul 11.30 pagi ketika mahu pulang ke pejabatnya selepas selesai sarapan pagi di sebuah restoran berhampiran.
"Saya nampak beg itu berada di tengah jalan dan terdapat label bahaya pada beg tersebut.
"Saya kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya kerana curiga dengan isi kandungan beg berkenaan," katanya di sini.


Gaji minimum 1 Januari 2014

Posted: 01 Oct 2013 06:54 PM PDT

KUALA LUMPUR - Dasar Gaji Minimum di semua sektor yang ditetapkan oleh kerajaan sejak 1 Januari lalu akan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot anak Jaem berkata, majikan yang gagal mematuhi perintah tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Akta 732).
"Mana-mana majikan yang gagal mengikut arahan itu akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.
"Justeru, mereka (majikan) diminta mematuhi Perintah Gaji Minimum 2012 iaitu gaji pokok RM900 bagi pekerja di Semenanjung Malaysia dan RM800 bagi mereka yang bekerja di Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.


Kerajaan Persekutuan AS berhenti beroperasi

Posted: 01 Oct 2013 06:50 PM PDT

PEMIMPIN majoriti Senat AS, Harry Reid (dua dari kiri) menanti detik penutupan kerajaan persekutuan kelmarin.- AFP


WASHINGTON - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun semalam sekali gus memaksa sehingga satu juta kakitangan awam bercuti tanpa gaji manakala banyak projek awam turut tergendala.
Penutupan itu berpunca daripada Kongres yang gagal mencapai kata sepakat tengah malam kelmarin untuk meluluskan bajet bagi membiayai perbelanjaan dan hutang negara.
Kongres AS terdiri daripada Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. Senat diterajui oleh Parti Demokrat pimpinan Presiden Barack Obama manakala Dewan Perwakilan pula didominasi pembangkang daripada Parti Republikan.
Dewan Perwakilan menolak bajet tersebut kerana enggan menyokong pelan kesihatan Obama yang disifatkan sebagai satu pembaziran. Pelan itu juga didakwa menyekat kebebasan rakyat untuk memtidak mengambil perlindungan insurans.
Pelan tersebut bertujuan untuk memberi perlindungan insurans kesihatan kepada sekitar 50 juta penduduk berpendapatan rendah dan miskin di AS.
Parti Republikan yang mendominasi Dewan Perwakilan mahu pelaksanaan pelan itu yang berjalan semalam ditunda selama setahun.
Namun, Ketua Majoriti Senat, Harry Reid menolak usul Republikan.
"Parti Demokrat tidak akan berunding dalam keadaan kami diberi tekanan untuk bersetuju dengan Republikan semata-mata bagi mengelakkan penutupan kerajaan berlaku," kata Reid.
Susulan operasi kerajaan AS lumpuh semalam, banyak pejabat dan perkhidmatan awam ditutup manakala bayaran kepada kontraktor ditangguhkan.
Situasi itu menyebabkan pengaliran tunai bagi menjana ekonomi negara yang mencecah ratusan juta dolar sehari disekat.
Namun, sebahagian perkhidmatan penting termasuk rondaan sempadan, pemeriksaan daging dan kawalan udara dan mahkamah beroperasi seperti biasa.
Jabatan Negara memberitahu, pihaknya akan terus menerima dan memproses permohonan visa warga asing, begitu juga dengan operasi kedutaan dan konsulat AS di luar negara.
Namun, kelewatan dalam pemprosesan visa dan pasport memang dijangka ekoran krisis tersebut.
Menurut Pejabat Pengurusan Kakitangan Awam, kerajaan persekutuan menggaji hampir 2.8 juta kakitangan awam setakat September 2012.
"Separuh daripada 670,000 ahli kami diberitahu untuk duduk di rumah manakala sebahagian yang lain akan bekerja tanpa gaji," kata jurucakap Kesatuan Sekerja Kakitangan Awam Kerajaan Persekutuan, Tim Kauffman.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin Parti Demokrat dan Republikan saling menuding jari kerana masing-masing tidak mahu menjadi sasaran kemarahan rakyat kerana mencetuskan situasi tersebut.
Jika Kongres dapat mencari kata sepakat tentang isu itu, kerajaan AS dijadual beroperasi semula sehari dua lagi.
Sebaliknya, operasi kerajaan mungkin ditutup lebih lama jika kebuntuan itu gagal diselesaikan.
Dalam pada itu, beberapa pakar politik melihat Kongres sekali lagi akan bercakaran berhubung usul Obama yang mahu menaikkan had siling hutang negara melebihi AS$16.7 trilion (RM54.7 trilion).


Bayi lahir hasil eksperimen ovari wanita menopaus

Posted: 01 Oct 2013 06:49 PM PDT


PROFESOR Aaron Hsueh antara individu yang membangunkan teknik yang boleh menyebabkan ovari wanita kembali subur bagi menghasilkan sel telur.


WASHINGTON - Seorang bayi berjaya dilahirkan di Jepun menggunakan teknik menyuburkan kembali rahim wanita meno- paus bagi menghasilkan sel telur, kata beberapa saintis antarabangsa kelmarin.
Kajian itu diterbitkan dalam sebuah jurnal Amerika Syarikat (AS), Proceedings of the National Academy of Sciences.
Menurut jurnal tersebut, seorang lagi wanita dilaporkan turut hamil menerusi kaedah sama.
Pasukan penyelidik berkenaan memberi- tahu, teknik itu dapat menawarkan harapan kepada wanita mandul untuk hamil.
Kerjasama kajian teknik itu melibatkan saintis Universiti Stanford, AS dan Sekolah Perubatan Universiti St Marianna di Jepun.
Ia melibatkan rahim dikeluarkan dengan sel-selnya disuburkan di makmal sebelum dimasukkan semula ke dalam tubuh pesakit.
"Teknik ini perlu diperbaiki tetapi kami menjangkakan ia dapat membantu 25 hingga 30 peratus wanita yang menghadapi masalah kemandulan," kata Profesor Aaron Hsueh dari Universiti Stanford.


Wanita menang peraduan raih RM524,868 sejak dua dekad lalu

Posted: 01 Oct 2013 06:48 PM PDT


SETIAP barang yang dimiliki Kim Searle merupakan hasil kemenangannya menyertai peraduan di Cardiff.


CARDIFF, Britain - Seorang wanita di sini, Kim Searle memenangi sejumlah hadiah bernilai £100,000 (RM524,868) selepas dia menyertai 100 peraduan sehari sejak 24 tahun lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Wanita berusia 50 tahun itu serius menyertai peraduan selepas dia mula memenangi sebuah ketuhar gelombang mikro pada tahun 1989.
Dia memperoleh maklumat mengenai peraduan-peraduan tersebut menerusi sejumlah majalah dan laman web.
"Saya menyertai pertandingan setiap pagi, petang dan malam. Saya semakin ketagih. Saya akan menyertai setiap peraduan tanpa mengambil kira hadiah yang ditawarkan.
"Menanti posmen tiba dengan bungkusan hadiah sudah menjadi satu kewajipan," katanya.
Antara hadiah yang dimenangi sejak beberapa tahun lalu dan tidak pernah digunakan adalah kot mudah alih, katil kanak-kanak dua tingkat, buku panduan menjahit dan sebuah kit pertolongan cemas.
Hadiah paling istimewa hingga mendorongnyaterus menyertai peraduan adalah sebuah kereta.


Budak lelaki hamil kembar parasit

Posted: 01 Oct 2013 06:43 PM PDT


KEADAAN perut Xiao Feng yang membusung menyebabkan dia mengalami masalah pernafasan.


HUAXI - Seorang budak lelaki yang berusia dua tahun di China terpaksa dibedah selepas beberapa doktor mendapati dia hamil, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Anak kecil itu, terpaksa dibedah untuk mengeluarkan seorang bayi lelaki di dalam perutnya.
Feng yang berasal dari sini, dalam wilayah Guizhou, dikejarkan ke hospital selepas perutnya membesar sehingga menyebabkan dia sukar bernafas.
Ketika di hospital, anak kecil itu menjalani pemeriksaan X-ray dan pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk mengetahui punca penyakitnya.
Hasil pemeriksaan itu, doktor-doktor mendapati Feng sedang mengandungkan janin kembarnya sendiri yang gagal berkembang.
Dia kemudian menjalani pembedahan dengan segera bagi mengeluarkan janin berkenaan.
Janin tersebut yang dikeluarkan itu berukuran 20 sentimeter lebar dan memiliki tulang belakang dan anggota tubuh yang lengkap termasuk jari tangan dan kaki.
Fenomena itu disebut sebagai kembar parasit
Kembar parasit itu berkembang menjadi seorang bayi lelaki dan telah membesar sehingga mencecah 2/3 saiz perut Feng.


Mohd. Fadly suka menghiburkan

Posted: 01 Oct 2013 06:40 PM PDT



SEBAIK kelibat dua orang badut tiba di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya, Selangor, mereka berdua terus diserbu kanak-kanak yang beratur panjang kerana mahu mendapatkan belon.
Dua orang badut tersebut hadir untuk menghiburkan orang ramai pada acara berbasikal anjuran Majlis Perbandaran Sepang pada 14 September lalu.
Kedua-duanya tampil dengan wajah yang disolek tebal berlatar warna putih, bergincu merah hati di bibir, pipi dan hidung serta mengenakan kostum berjalur warna-warni.
Telatah melucukan badut tersebut diselangi dengan pelbagai aksi nakal ketika mereka menyediakan belon bermacam-macam bentuk. Namun, sebaik salah seorang daripada badut berkenaan membersihkan solekan pada wajahnya dan berkemeja T, imejnya terus berubah.
Lelaki yang sama itu kelihatan garang dan berbadan tegap.
Ada yang menyangka beliau bergurau ketika memberitahu tentang pekerjaan sebenarnya. Tidak kurang juga ada yang mempersendakan dirinya kerana mencari rezeki sebagai badut bagi menyara keluarga. Namun, Mohd. Fadly Abu Hassan, 32, lali dengan situasi tersebut.
Beliau sanggup meninggalkan kerjaya sebagai seorang pengarah urusan bahagian jualan dan pemasaran di syarikat kejuruteraan elektrik milik orang tuanya.
Silap mata
Awang berasal dari Ayer Keroh, Melaka dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor. Ketika di Ayer Keroh, ibu bapanya merupakan penjawat awam di Jabatan Kerja Raya.
Hobi anak kedua daripada empat beradik itu ialah menonton video silap mata dan membaca buku berkaitan politik serta motivasi.
Minat yang mendalam terhadap dunia silap mata dan perasaan ingin menghiburkan orang ramai membuatkan Mohd. Fadly atau lebih terkenal dengan nama Awang The Clown (Awang) untuk tidak mempedulikan cakap-cakap orang lain terhadap keputusannya menjadi badut sepenuh masa.
"Pernah ada pelanggan yang tanya, tidak ada kerja lainkah hendak dibuat selain menjadi badut? Saya jawab, asalkan pekerjaan ini halal dan baik itu sudah memadai," kata bapa kepada empat anak itu.

KEHADIRAN Awang sering mencuri tumpuan pengunjung ketika beliau menghiburkan orang ramai di gerai Kosmo! di tapak Karnival Jom Ke Felda di Felda Papan Timur Kota Tinggi, Johor.


Meskipun dipandang sinis, namun Mohd. Fadly cukup bertuah kerana ramai dalam kalangan rakan-rakannya yang memberi sokongan. Antaranya, membantu beliau dari segi kewangan dan membina laman web untuk memudahkan pelanggan menghubunginya.
Tegas Awang, beliau ingin mengubah persepsi skeptikal masyarakat terhadap badut dengan menampilkan imej badut yang berpelajaran. Baginya, badut mungkin kelihatan bodoh tetapi tidak mudah diperbodohkan.
"Pernah ada orang cuba mengenakan saya dengan bertanyakan soalan yang bukan-bukan.
"Kadang-kadang saya menggunakan helah untuk mengenakan semula penonton tersebut," katanya sambil tersenyum.
Kata Awang, orang tuanya mementingkan pelajaran anak-anak. Kakak sulungnya menyandang jawatan sebagai pengurus stesen minyak, adik ketiganya bergelar akauntan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), manakala adik bongsunya sedang menuntut dalam bidang perubatan.
Menurut Awang, segala-galanya bermula dengan permainan silap mata. Ketika itu, beliau masih menuntut dalam jurusan Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara kampus Melaka pada tahun 2005.
Hilangkan kain
Helah silap mata pertama yang dipelajari Awang ialah teknik menghilangkan kain dalam genggaman. Awang belajar mengenai teknik tersebut daripada pemilik kedai menjual barangan silap mata di pusat beli-belah The Summit, Kuala Lumpur. Ekoran kerap ke kedai tersebut, minatnya terhadap dunia silap mata semakin mendalam.
Selain itu, Awang mendalami ilmu silap mata dengan bertukar-tukar pandangan dan cakera padat silap mata bersama kawan-kawan lain.
Pakar silap mata yang paling dikaguminya ialah Michael Ammar dari Amerika Syarikat kerana beliau kerap menghasilkan cakera padat teknik-teknik melakukan silap mata dengan penyampaian yang mudah difahami. Awang berasa bertuah apabila berpeluang bertemu dengan idolanya yang datang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.
INILAH kostum badut yang paling disayangi Awang kerana ia merupakan kostum pertamanya.


Menurut Awang, Ammar digelar guru terbaik dalam dunia silap mata.
Selain Ammar, Awang turut menggemari ahli silap mata bernama Bill Malone kerana beliau sering menerapkan unsur jenaka dalam video-videonya.
Jika pelajar lain menggunakan wang untuk membeli telefon bimbit baharu, berlainan pula dengan Awang yang banyak menghabiskan wang sakunya untuk berbelanja membeli peralatan silap mata.
Setelah tamat pengajian, Awang bekerja di syarikat bapanya yang banyak melibatkan kerja pemasaran dan jualan. Pada tahun 2008, Awang menjadi badut secara sambilan dengan purata jemputan persembahan sebanyak dua kali sebulan.
Sekitar tiga minggu lalu, Awang melepaskan kerjaya tetapnya. Kini beliau menyara hidup sebagai badut sepenuh masa.
Menurut isterinya, Rozimah Desa, 32, kesibukan Awang memenuhi jemputan persembahan secara tidak langsung menyebabkan dia juga terpaksa menunggu giliran mengajak suami pulang ke kampung halaman.
"Saya pun kena tempah tarikh untuk balik kampung sebab dia terlibat dengan jemputan persembahan hampir setiap hari.
"Kadang-kadang satu hari sehingga empat jemputan. Kami gembira dengan maklum balas orang ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan," jelas wanita yang berasal dari Taiping, Perak itu.
Apakah cerita di sebalik nama Awang sehingga Mohd. Fadly lebih dikenali dengan panggilan tersebut?
Nama Awang dipilih kerana ia menggambarkan identiti kaum Melayu dan personaliti budak nakal yang suka mengusik. Begitulah Awang mahu dirinya dikenali.
"Ia menggambarkan seorang badut nakal yang suka mengusik tapi pada masa sama masih menyampaikan mesej yang berguna kepada orang awam.
"Mesej yang dimaksudkan ialah perbuatan yang menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati dan bergurau mengikut batasa," jelasnya.

AWANG juga gemar mengumpul koleksi daun terup kerana ia berkait dengan permainan silap mata.


Peramah
Awang turut berkongsi tentang pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakannya apabila tertinggal peralatan solek dalam satu persembahan di Shah Alam, Selangor. Namun, nasib menyebelahinya apabila ada rakan lain yang tinggal berdekatan sudi meminjamkan peralatan soleknya kepada Awang.
Sikap Awang yang peramah dan berdisiplin ketika menjalankan tugasnya turut menarik minat kerabat diraja Terengganu untuk menghiburkan tetamu pada sebuah majlis hari jadi.
Meskipun sibuk memenuhi jemputan, Awang tidak lokek berkongsi ilmu.
"Saya mengajak adik jiran untuk belajar menjadi badut selepas mengetahui yang dia bekerja sambilan di restoran.
"Mujurlah dia berminat dan mudah belajar. Saya meminjamkan kostum dan peralatan yang dimiliki untuk dia membuat persembahan," katanya.
Jelas Awang, beliau akan memotong sebanyak RM50 daripada setiap bayaran yang diterima anak didiknya itu dan dikumpul untuk membelikannya peralatan sedikit demi sedikit.
Sementara itu, pelanggan Awang yang kali pertama menggunakan khidmat beliau untuk parti hari jadi anaknya, Azwalina Abd. Wahab, 33, melahirkan rasa puas hati terhadap kesungguhan Awang melayan kanak-kanak pada parti tersebut.
"Awang sangat berbeza dengan badut yang pernah membuat persembahan sebelum ini, beliau datang lebih awal dan pulang lewat.
"Bayaran yang dikenakan juga berbaloi dengan persembahan yang diberikan. Awang memastikan semua kanak-kanak dilayan termasuk menghiburkan tetamu dewasa dengan persembahan silap mata," katanya yang mengenali Awang melalui majlis anjuran teman rapatnya.
Tambahnya, Awang tidak berkira tentang hal bayaran biarpun terpaksa bekerja lebih sejam daripada masa yang dipersetujui. Kemesraan Awang membuatkan Azwalina bercadang untuk menggunakan khidmatnya pada masa akan datang.


Catan figuratif tiga pelukis

Posted: 01 Oct 2013 06:38 PM PDT

LUKISAN Do Not Look Down oleh Arif ini merupakan salah satu catan landskap terbesar pernah dihasilkan pelukis tempatan.


KARYA-KARYA figuratif dan realisme tidak pernah sunyi mewarnai alam seni lukisan tempatan. Sejak awal perkembangan seni lukis moden tempatan, karya-karya unsur ini berkembang dari generasi ke generasi, dekad ke dekad dalam pelbagai bentuk dan tema.
Juntaian kata itu disampaikan oleh kurator Galeri Arti, Mohd. Yusri Abdul Rahman. Beliau berpendapat, setiap generasi pelukis memanipulasikan unsur-unsur tersebut bersesuaian dengan zaman mereka.
"Dari segi gaya persembahan dan pengolahannya berbeza pada setiap dekad. Perubahan ini adalah faktor penting dalam perkembangan seni lukis moden," jelasnya ketika ditemui pada pelancaran pameran Dekad #9 yang bermula pada 15 September hingga 12 Oktober 2013 di Galeri Arti, Desa Melawati, Kuala Lumpur.
Dekad #9 menampilkan tiga pelukis muda tempatan iaitu Rohaizad Shaari, 44, Arif Fauzan Othman, 34, dan Suzuan Suhaimi, 24.
Perbezaan umur 10 tahun mungkin tidak membawa apa-apa pengertian tetapi sebagai pengamal seni, cetusan idea dan ilham boleh diinspirasi berdasarkan persekitaran, sosio politik dan pendidikan pada dekad kelahiran mereka.

ROHAIZAD menggunakan skuter Vespa sebagai subjek utama dalam lukisannya.


Sinonim dengan medium cat air, Rohaizad seperti kebiasaannya membawa pengolahan alam, benda dan landskap.
Jika sebelum ini, dia banyak menggunakan basikal sebagai subjek utama, kini Rohaizad memilih skuter Vespa sebagai citra sembilan keping lukisannya.
Bereksperimen
Namun, dia masih mengekalkan suasana perkampungan yang dihiasi denai-denai sawah, rumah usang dan hutan rimba. Ia sebagai satu penghargaan kepada susunan memorinya sewaktu tinggal di Jitra, Kedah.
"Dulu, skuter Vespa banyak digunakan sebagai kemudahan pengangkutan di kampung. Banyak kenangan berkaitan Vespa melatari kehidupan saya semasa kecil," ujarnya.
Arif Fauzan pula bereksperimen dengan catan figuratif dan landskap. Melalui lukisannya seperti The Reader, Death of The Author, The Classic dan Do Not Look Down, dia semakin matang mengolah komposisi figuranya.
Penggunaan warna yang muram, tona pudar tetapi harmoni dan sapuan yang kasar mencetus perasaan nostalgia dan penuh keharuan seperti yang dipaparkan dalam The Classic.
SUZUAN menggunakan figura wanita bagi mengangkat isu-isu berkaitan feminisme.


Arif memperlihatkan kemampuannya dalam menangani medium besar berukuran 1.5 x 3 meter (m) melalui lukisan Do Not Look Down dan mampu mengisi ruang dengan imej-imej yang bersesuaian. Ia merupakan salah satu catan landskap terbesar pernah dihasilkan pelukis tempatan.
Pelukis muda, Suzuan pula melakukan percubaan dan eksperimen yang menyumbang kepada perkembangan seni kontemporari.
Pada pameran ini, dia mempamerkan dua keping catan figuratif ekspresif berukuran 1.8 x 1.5m iaitu Asal Boleh Memang Boleh dan Mambang Mabuk Minum Brandi.
Suzuan cuba bermain dengan subjek sinikal sebagai respon terhadap sosiobudaya tanah air. Dia banyak menggunakan figura wanita bagi mengangkat isu-isu semasa berkaitan feminisme.
Contohnya, Asal Boleh Memang Boleh diambil daripada poster We Can Do It karya J. Howard Miller, pada awalnya, bertujuan untuk menggalakkan kaum wanita pada tahun 1943 untuk bekerja di kilang-kilang senjata.
Namun, pada tahun 1980-an sehingga hari ini, ia digunakan sebagai ikon gerakan feminisme.


Wangian gambaran perasaan wanita

Posted: 01 Oct 2013 06:36 PM PDT


TENG (kiri) bersama Duta Jenama Lux dan pelakon terkenal, Nur Fazura (tengah) dan Pengurus Jenama Unilever Malaysia, Siti Suhaila Abdul Hamid pada bengkel wangian eksklusif Lux di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.


JENAMA kecantikan ikonik, Lux bersama pakar-pakar haruman terkemuka dunia telah bekerjasama menghasilkan sabun mandian yang diperkaya dengan wangian terbaik dan eksklusif.
Sabun mandian itu terdiri daripada wangi-wangian elegan mempersona yang menyediakan pengalaman mandian mewah sekali gus memberikan kesan keanggunan pada setiap wanita.
Sejak kewujudannya pada tahun 1925, Lux telah merevolusikan dunia sabun kecantikan dan mandian badan serta menambat jutaan hati wanita di seluruh dunia. Ini seterusnya meletakkan jenama sabun kecantikan itu pada kedudukan nombor satu dunia.
"Nadi dalam setiap sabun mandian Lux ialah wangian kerana ia merupakan bahagian penting dalam amalan kecantikan bagi setiap wanita.
"Wangian memberikan rasa positif terhadap diri. Wanita yang menggunakan sabun mandian kami, mampu menggambarkan perasaan sebenar mereka melalui kesan haruman yang berpanjangan," kata Tanya Teng, Pengurus Jenama untuk Pembersihan Kulit, Unilever (M) Sdn. Bhd. (Unilever Malaysia).
Tambahnya, dalam usaha untuk terus memberi inspirasi kepada wanita, pihaknya bekerjasama dengan beberapa pakar haruman terkemuka dunia seperti Ann Gottlieb.
Pakar haruman
Gottlieb telah mencipta antara haruman yang terkenal di dunia seperti Obsession, CK One dan Eternity untuk jenama Calvin Klein, Daisy oleh Marc Jacobs dan J'Adore Christian Dior.
"Para pelanggan Lux pasti menikmati setiap mandian mereka apabila haruman tersebut dihasilkan oleh seorang pakar haruman terkemuka dunia.
"Lux membangkitkan deria dan kenikmatan tanpa tandingan terhadap pengalaman mandian dan penjagaan kulit anda. Ia suatu yang unik bagi Lux," ujar Teng.
Antara varian wangian sabun mandian Lux ialah Lux Soft Touch, Lux Velvet Touch, Lux White Impress, Lux Magical Spell dan Lux Wake Me Up.
Gottlieb bersama pasukan pembangunan wangian di pusat haruman kelas dunia, Givaudan, telah menghasilkan haruman yang kompleks dan penuh misteri seperti Lux Magical Spell.
"Saya telah menghabiskan masa selama 50 tahun bagi menghasilkan haruman-haruman eksklusif untuk individu dalam senarai A seperti Calvin Klein, Sarah Jessica Parker dan legenda industri kecantikan seperti Estee Lauder.
"Saya sangat teruja dengan usaha sama yang menjanjikan satu penemuan baharu ini," katanya.
David Boyd, Pengarah Wangian Global Givaudan turut hadir untuk mengendalikan bengkel wangian eksklusif bagi media baru-baru ini.
"Menghasilkan wangian untuk sabun mandian juga sesuatu yang kompleks sama seperti menghasilkan sebotol minyak wangi.
"Pelbagai eksperimen dan kreativiti diperlukan bagi memastikan wangian tersebut berpadanan dengan jenama, emosi pengguna dan pengalaman yang menakjubkan," ujar Boyd.
Sabun mandian Lux disediakan dalam dua saiz botol berbeza. Botol 700 mililiter (ml) dijual pada harga RM15.90 dan 220 ml pada harga RM6.00 manakala pek isian semula ditawarkan pada harga RM8.90.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web www.unilever.com.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines