Selasa, 8 Oktober 2013

Pelacur Bawah Umur


Remaja bergelumang noda sejak berusia 14 tahun

BERCINTA dalam usia terlalu muda akan mengundang pelbagai musibah terutama kepada mereka yang taksub sehingga hilang komitmen terhadap pelajaran.

Sinar Harian berkesempatan menemui sorang remaja perempuan, berusia 17 tahun kira-kira jam 3 pagi yang berpelesiran di sekitar Pekan Kulim dan terlibat dalam kegiatan pelacuran bawah umur sejak tiga tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali dengan nama Jaja berkata, dia terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu seawal usia 14 tahun.

Kisah hitamnya bermula apabila dia bercinta dengan seorang pelajar bernama Jo, 17, (bukan nama sebenar) di sekolah sama.

Suatu hari, Jo telah mengajak Jaja keluar bersamanya dengan menaiki sebuah motosikal dan kemudian membawa Jaja ke sebuah pondok dalam hutan.

Apabila tiba di sana, Jo telah menyatakan hasrat melakukan hubungan seks bersamanya namun ditolaknya.

Jo kemudiannya berang dan mengugut akan meninggalkan Jaja berseorangan di pondok itu jika enggan memenuhi kehendaknya.

Memandangkan hari sudah mula gelap dan Jaja takut dengan keadaan hutan di sekelilingnya, dia terpaksa mengikut kehendak Jo.

Setelah dirogol, Jaja kemudiannya dihantar pulang ke rumah.




Dikurung dalam bilik

“Selepas kejadian itu, saya tidak lagi mahu menemui Jo dan berkenalan dengan seorang lelaki lain bernama Lan. Saya tidak tahu apakah pekerjaan dilakukannya, bagaimanapun dia sering membawa saya keluar makan.

"Hubungan saya dengannya baik, namun saya tidak tahu rancangan jahat yang disusun olehnya terhadap saya,” katanya.

Pada suatu hari, Jaja telah dibawa teman lelakinya ke sebuah bilik di sebuah bangunan tinggal.

Jaja kemudiannya dikurung selama dua hari tanpa diberi makanan.

Dia sekali dirogol tujuh lelaki yang terdiri daripada rakan kekasih barunya itu.

“Selama dua hari dikurung, mereka tak bagi saya makan. Dalam bilik itu tidak ada bilik air dan saya tidur beralaskan surat khabar sahaja.

"Setiap hari, saya dikehendaki melayani tujuh lelaki sebanyak tiga hingga empat kali sehari sekiranya tidak mahu dicederakan," katanya.

Pada hari kedua, Jaja berkata, dia sudah tidak tahan dengan perlakuan semua lelaki itu terhadapnya dan meminta dilepaskan, bagaimanapun mereka enggan berbuat demikian sebaliknya terus memaksa melakukan hubungan bersama mereka.

"Salah seorang rakan Lan bersetuju melarikan saya, tetapi harus tinggal di rumahnya. Saya bersetuju dan berjaya melarikan diri dari bilik itu,” katanya.


Terlibat dalam pelacuran

Menurut Jaja, dia tinggal bersama lelaki yang melarikannya itu selama seminggu dan hidup seperti pasangan sudah berkahwin.

Apabila ketiadaan wang, lelaki itu akan mengarahkannya melayani rakan lain.

Jaja sekali lagi terperangkap apabila mendapati kekasih barunya itu merupakan seorang pengedar dadah.

Dia mula takut untuk terus tinggal bersama kekasihnya itu kerana bimbang rumah mereka diserbu polis.

Jaja kemudiannya mengambil keputusan untuk tinggal bersama seorang ibu tunggal di sebuah taman perumahan di Kulim.

Di sinilah Jaja mula terlibat dalam kegiatan pelacuran.


Bayi dikandung akan dijual

“Pada usia muda, siapalah yang hendak mengambil saya bekerja? Ketika itu saya masih bersekolah tetapi sering ponteng dan jarang balik ke rumah mak. Saya tinggal di luar kerana mahu bebas. Saya akhirnya tinggal bersama seorang janda.

"Sepanjang bersamanya, dia sering menyatakan kerja yang paling senang untuk mendapatkan wang adalah dengan 'menjual badan'.

Katanya, saya tidak harus melakukan setiap hari sebaliknya melakukan kerja itu sekiranya ketiadaan wang,” katanya.

Terpedaya dengan pujukan ibu tunggal itu, Jaja tidak lagi kisah sekiranya diarahkan untuk melakukan hubungan seks dengan sesiapa pun.

Menurutnya, masih ramai kalangan pelajar perempuan bawah umur terlibat dalam kegiatan pelacuran ini.

Katanya, mereka akan melakukan kegiatan tidak bermoral itu pada hari tidak bersekolah.

Pada hari sekolah, ada pelanggan yang sanggup melakukan hubungan seks dengan pelajar yang masih memakai uniform sekolah.

Jaja berkata, setiap pelanggan hanya membayar RM50 untuk mendapatkan perkhidmatan seks manakala RM100 sekiranya mahu mereka bersama pelanggan selama sehari dan kos bilik tidur harus dibayar pelanggan.

Katanya, sehingga kini, dua dari enam pelajar bawah umur terlibat sedang hamil antara dua hingga empat bulan.

Bagaimanapun, ini bukanlah satu masalah besar bagi mereka kerana bayi yang dikandung itu akan dijual kepada keluarga yang berkehendakkan anak dengan harga RM4,000 hingga RM5,000.


Perkara biasa ditahan berkhalwat

Menurut Jaja, kegiatan pelacuran yang melibatkan pelajar perempuan ini sukar dikesan kerana tidak dilakukan di premis atau hotel tertentu.

Orang tengah akan mengarahkan remaja bawah umur terlibat tunggu di lokasi dikehendaki sebelum dibawa pelanggan ke tempat lain.

“Ada yang menyatakan kegiatan pelacuran bawah umur ini berlaku di Kulim adalah tidak benar. Kami tinggal di Kulim tetapi akan melakukan aktiviti di hotel atau rumah tumpangan di luar kawasan Kulim.

"Dengan cara ini, kegiatan kami ini tidak mudah dikesan pihak berkuasa. Ditahan jabatan agama kerana berkhalwat adalah perkara biasa tetapi kami tidak akan hadir  sekiranya dipanggil untuk diambil keterangan atau mahkamah,” katanya.

Katanya, sehingga hari ini, aktiviti itu masih dilakukannya dan masih ramai pelanggan yang suka layanan diberikan oleh remaja bawah umur.


Kesalahan serius

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini lebih tiga remaja perempuan terlibat telah ditahan dan diarahkan tinggal di rumah perlindungan.

Kata beliau, penglibatan haram dilakukan golongan remaja ini tidak didalangi sesiapa kerana pelanggan akan terus menghubungi mereka.

“Saya ingin menegaskan, melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur adalah satu kesalahan serius dan boleh disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sekiranya sabit kesalahan.

"Melakukan hubungan seks dengan remaja bawah umur akan diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakannya. Bagi mana-mana remaja perempuan yang terlibat dalam kegiatan ini atau dirogol, seharusnya melaporkan kejadian itu kepada polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap suspek terlibat," katanya.

Ghuzlan berkata, mangsa sepatutnya tidak membiarkan suspek bebas melakukan perbuatan ini dan terus merosakkan remaja perempuan lain.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/remaja-bergelumang-noda-sejak-berusia-14-tahun-1.209448



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines