Jumaat, 8 November 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Rahsia kecantikan Maya Karin

Posted: 06 Nov 2013 08:59 PM PST

  • Maya KarinMaya Karin

Siapa tidak kenal dengan wanita berdarah kacukan Melayu-Jerman, Maya Karin.

Dilahirkan pada 29 Oktober 1979 di Bayreuth, Jerman, aktres jelita ini bukan sahaja berbakat besar dalam bidang lakonan, bahkan pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke ini boleh menyanyi dan mengacara.

Tidak hanya berbekalkan bakat semata-mata, Maya juga adalah antara selebriti wanita yang memiliki rupa paras cantik.

Malah dalam usia 34 tahun, Maya masih langsing dan mempunyai kulit  mulus persis seperti gadis di awal usia 20-an.

Justeru, tidak hairanlah Maya menjadi buruan banyak syarikat yang menginginkannya sebagai duta produk lantaran kecantikan aslinya itu.

Zass akhirnya berjaya mencungkil rahsia penjagaan kulit dan tubuh yang diamalkan Maya.


Sebagai selebriti yang menjadi idola peminat, apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?

MAYA : Sihat bagi saya bila kita amal pemakanan sihat dan selalu bersenam. Kesihatan juga bukan dari luaran,malah dalaman itu amat penting. Oleh itu, apabila badan kita sihat dari dalaman, secara tidak langsung ia kelihatan pada tubuh dan muka. Wajah kita akan nampak berseri-seri dan cantik.

Tapi jika dalaman kita tidak sihat atau kurang sihat, ia akan nampak pada wajah kita. Contoh macam kita demam, kita nampak lesu sahaja. Kesihatan dalaman juga termasuk keceriaan dan kegembiraan yang kita lalui.


Dalam usia 34 tahun, anda masih kelihatan cantik, apa rahsianya?

MAYA : Saya akui amat menjaga kulit terutama muka dan kelangsingan badan. Untuk muka, saya sentiasa amalkan pakai pelembap, selepas mencuci muka dan sebelum tidur.


Rata-rata selebriti tidak kira tua atau muda kini gemar memilih suntikan bagi kecantikan kulit, adakah anda juga mengamalkan atau pernah terfikir untuk mengambil suntikan?

MAYA : Tentu sekali tidak. Walaupun doktor sendiri beri cadangan kata suntikan vitamin C bagus untuk kulit, saya tidak percaya. Jadi amat penting untuk kita bersyukur dengan apa yang kita ada.


Bagaimana pula dengan pengambilan suplemen untuk kulit?

MAYA : Juga tidak. Saya tidak ambil suplemen mahupun ubat untuk kulit atau langsing. Tapi saya gemar minum air buah dikisar sendiri, tanpa gula. Hanya itu saya amalkan.


Sekiranya tidak terlibat dengan sebarang majlis rasmi, adakah anda gemar bersolek apabila keluar rumah?

MAYA :Tidak. Jika tidak terlibat majlis melibatkan ramai orang atau media, saya tidak akan bersolek sebab kerja saya memerlukan saya untuk bersolek. Jadi bila ada peluang, saya suka muka dibiarkan asli sahaja.


Macam mana pula dengan penjagaan tubuh?

MAYA : Saya selalu bersenam dan banyak minum air suam, makan banyak sayur terutamanya ulam-ulaman.


Boleh kongsikan rutin pemakanan anda?

MAYA : Saya makan seperti biasa, tetapi ada hadnya. Jangan sesekali makan berlebihan dan saya juga tidak bersetuju dengan pemakanan tiga kali sehari (dengan menu sihat). Malah jika kita berpuasa pun, kita boleh makan kurang dari tiga kali sehari dan badan kita masih sihat. Sebab itu pentingnya minum banyak air suam kerana ia membantu badan kita merasa segar dan kenyang.


Selain menjaga pemakanan dan kulit, adakah anda gemar memanjakan diri di spa, salun dan sebagainya?

MAYA : Tentu sekali, tetapi tidaklah kerap. Macam saya sebulan sekali saya akan mengunjungi salun, atau spa. Paling penting saya akan berurut sebulan sekali kerana bila badan kita penat bekerja, kita perlu memanjakan diri kita sekali sekala.


Macam anda katakan tadi, jika kita gembira dan tidak tertekan ia secara tidak langsung akan dapat dilihat pada wajah. Sebagai selebriti terkenal, bagaimana cara anda menangani tekanan?
MAYA : Saya suka bersendirian dan mendengar muzik. Tetapi tidaklah menari. Hanya dengar muzik (ketawa).


Profil

Nama Penuh: Maya Karin Roelcke
Panggilan: Maya Karin
Tarikh Lahir : 29 Oktober 1979
Umur: 34 tahun
Tempat Lahir : Bayreuth, Bavaria, Jerman
Profesion : Pelakon, penyanyi, model, pengacara
Filem: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau Cukur, Taming Sari, Cun!.
Album: Erti Cinta, Bukan Qalamaya
Program TV: Wavelength, Ratu Sehari Astro, Beauty Secrets From The East, Channel [V] dan Nona
Pencapaian: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular 2001 (ABP2001); Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia-Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi & Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular ABP2005; Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21

'Biar Jamal Jelaskan Mengenai Hasrat Merisik' - Nas Adila

Posted: 06 Nov 2013 08:59 PM PST


Nas berkata tidak manis baginya untuk bercakap mengenai perakra itu kepada umum kerana dia bimbang akan dipandang serong oleh sesetengah pihak. 
PETALING JAYA: Penyanyi Nas Adila menyerahkan kepada Datuk Jamal Abdillah bagi menjelaskan kepada umum tentang status sebenar hubungan mereka serta desas-desus kononnya dia bakal dirisik.
Nas, 27, berkata, adalah tidak manis baginya untuk bercakap mengenai perkara itu kerana dia bimbang akan dipandang serong oleh sesetengah pihak.
"Sebagai seorang perempuan rasanya tidak manis untuk saya bercakap mengenai hal-hal berkaitan dengan perkara seperti merisik atau pun perkahwinan dan saya minta maaf kerana tidak boleh memberi apa-apa komen.
"Biarlah Jamal yang memberitahu kepada pihak media," katanya kepada mStar Onlineketika dihubungi di sini pada Rabu.
Nas mengulas mengenai laporan akhbar yang mendedahkan Jamal berhasrat untuk memperisterikannya dan rombongan merisik bakal berlangsung dalam waktu terdekat ini.
Jamal Abdillah.
Dalam perkembangan sama, Nas tidak menafikan hubungan mereka semakin rapat sejak penyanyi terkenal itu mengundangnya bersama-sama menjayakan 'Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan' di Istana Budaya pada 30 Mei hingga 2 Jun lalu.
Jelas Nas, sejak itu dia sering di undang untuk mengadakan persembahan bersama Jamal selain selesa berkawan dengan lelaki berusia 54 tahun itu.
"Saya akui hubungan kami rapat kerana Jamal sering mengundang saya sebagai rakan duetnya pada persembahan pentas dan selesa dapat bekerjasama dengan beliau," katanya.
Dalam pada itu, Nas berkata, laporan yang mengatakan dia memutuskan hubungan dengan penyanyi Aliff (AF) adalah tidak benar kerana keputusan untuk berpisah dibuat secara bersama.
Jelas Nas, hubungan mereka masih baik selain menganggap mereka sudah tiada jodoh.
Sementara itu, Jamal menerusi pembantu peribadinya meminta sedikit masa untuk menjelaskan mengenai khabar angin mengenai majlis merisik yang akan diadakan itu.

Junaidah Enggan Popular Kerana Pengaruh Kartunis Lat

Posted: 06 Nov 2013 08:57 PM PST


Junaidah ingin menjadi seorang pengarah berjaya tanpa bersandarkan populariti ayahnya, Datuk Lat.
PETALING JAYA: Pengarah filem baharu Junaidah berasa bimbang sekiranya orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap sesebuah karya yang dihasilkan hanya kerana dia adalah anak kepada kartunis terkenal Datuk Mohd Nor Khalid (Lat).
Junaidah, 30, berkata, keadaan itu akan menyukarkan dirinya untuk berkarya kerana risau hasil kerja yang diusahakannya itu tidak seperti yang diharapkan masyarakat.
"Kalau boleh saya enggan dikenali hanya bersandarkan nama bapa saya. Dan kerana itu saya cuba mengelak untuk dikaitkan dengan ayah.
"Jangan salah faham pula. Bukannya apa, saya risau orang meletakkan harapan yang terlalu tinggi sekiranya saya muncul dengan sesebuah karya
"Saya tidak mewarisi bakat ayah pun, tidak pandai melukis tetapi sifat suka berlawak tu adalah," katanya kepada mStar Online.
Tambah Junaidah yang menghasilkan filem pendek Odah bagi projek Ikal Mayang pada awal tahun ini, dia juga memiliki bakat dalam penulisan skrip teater muzikal.
Katanya, dia sudah mula membabitkan diri dalam penulisan skrip sejak empat tahun lalu dengan bekerja di bawah syarikat aktor Hans Isaac iaitu Tall Order Production.
Dalam perkembangan lain, dia juga terbabit dalam pementasan teater muzikalSupermokh yang akan berlangsung bermula pada Khamis (hari ini).
"Selain itu saya juga bersyukur, selepas filem pendek Odah, ada pihak yang memberi tawaran membantu saya menerbitkan filem arahan saya sendiri dan setakat in masih lagi dalam proses perbincangan.
"Risau juga kerana ia melibatkan filem berbajet besar dan saya masih lagi baharu. Tetapi saya anggap ia sebagai satu cabaran untuk diri memberikan karya yang terbaik buat penggemar filem tempatan," ujarnya.

Umie, Faizal terus bersaing

Posted: 06 Nov 2013 08:56 PM PST

  • Umie Aida Umie Aida dan Faizal Hussein. 

Biarpun berhadapan dengan lambakan muka baru yang kian membanjiri industri seni tanah air namun segelintir 'orang lama' masih lagi bertahan.

Antara nama besar industri yang mampu bertahan sehingga hari ini, Datin Umie Aida dan Faizal Hussein.

Menyingkap sejarah mereka dalam bidang seni, Umie mahupun Faizal terpaksa berjuang demi mempertahankan industri seni yang kian malap.

Suatu ketika dulu, mereka antara orang lama yang menaikkan dunia perfileman dan kini setelah sekian lama bergelumang sepak terajang industri mereka bangkit semula untuk menghidupkan kembali dunia seni.


Bukan bersandar rupa- Umie

Menyingkap kembali sejarah pembabitan Umie dalam industri, dia mula melangkah dalam industri model komersial di bawah kelolaan model terkenal Azah Aziz ketika berusia 15 tahun pada 1989.

Pada 1990, dia menyertai Dewi Remaja dan berjaya mara ke final bersama rakan seangkatannya Jasmin Hamid, Kuza dan model Irene Santiago.

Bertitik tolak dari situ, nama Umie mula popular dalam kalangan penerbit dan menerima tawaran untuk berlakon drama TV pertama iaitu Maafkan Mama. Kemudian Umie muncul dalam filem debutnya, Memori arahan Datuk Rosnani Jamil.

"Saya bermula dengan kosong dalam industri ini  dan tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang bersandarkan rupa semata-mata. Sebaliknya banyak bergantung kepada usaha sendiri untuk maju ke depan.

"Selain berlakon drama atau filem, saya juga terlibat dengan pementasan teater bagi memantapkan kemahiran lakonan," ujar Umie yang aktif teater pada penghujung 90-an.

Antara teater yang mengangkat namanya adalah Lantai T. Pinkie, Mencari Salina, Pelayaran Nur Atma dan Dejavu Seorang Perempuan.
Berpeluang berlakon di sisi nama besar perfileman seperti Jins Shamsuddin, Fauziah Ahmad Daud dan Normah Damanhuri, Umie berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menuntut ilmu dengan nama-nama hebat itu.

"Saya banyak menuntut dengan pelakon handalan supaya lakonan nampak lebih natural dan tidak kaku.

"Tidak cukup itu, pembelajaran melalui filem, CD, buku dan pengalaman sendiri juga membantu kita untuk memajukan diri," katanya.

Tambah Umie, ironinya seseorang pelakon harus melalui kehidupan berliku-liku dan penuh cabaran sebelum menjadi pelakon semula jadi.

Ujarnya, jika tidak, pelakon bukan sahaja tidak dapat menghayati emosi watak dengan baik bahkan kaku di hadapan kamera.


Cabaran 'Aku Bukan Malaikat'

Dalam pada itu, Umie mengatakan berhadapan dengan cabaran sepanjang berlakon dalam drama Aku Bukan Malaikat.

"Saya terpaksa berlakon dengan mereka yang tidak pernah berlakon dan tiada pengalaman langsung dalam lakonan.

"Ia merupakan cabaran terbesar saya kerana mereka bukan pelakon sebenar dan kurang pengetahuan dalam bidang ini," katanya yang tercalon Pelakon Wanita Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin (ASK) 2013.

Tambahnya, pelakon tambahan tersebut merupakan pelajar yang tiada asas lakonan dan diambil untuk mengisi watak sampingan dalam drama itu.

"Mereka tidak tahu apa-apa mengenai 'cut atau repeat',  sedangkan ia asas dalam lakonan.

"Ini menyebabkan saya terpaksa bekerja dua kali ganda dan mengajar mereka mengenai cara berlakon.

"Alhamdullilah... semua berjalan lancar selepas masing-masing diberi tunjuk ajar biarpun agak lambat," katanya.


Tuah sisi antagonis - Faizal

Sementara itu, Faizal, anak kepada seniman Allahyarham Hussein Abu Hassan nampaknya tidak sia-sia mengikut jejak bapanya terjun dalam bidang lakonan.

Pengarah, pelakon, dan juga penulis skrip itu mula menyerlah melalui filem arahan bapanya, Gila-Gila Remaja (GGR) dengan memegang watak sebagai Roy.

Sedikit mengenai sejarah pembabitannya, Faizal memulakan langkah di pentas lakonan sejak menerusi filem Senja Merah (1982).

Namun, namanya melonjak naik selepas membintangi filem GGR (1986) dan ia memberi impak besar untuk Faizal membuktikan darah seni diwarisi.
Selepas itu, beliau sering menjadi buruan produser dan membintangi beberapa filem yang menampilkannya sebagai watak jahat atau antagonis.

Tetapi, selepas filem lakonannya Sate (1997) kurang mendapat sambutan Faizal berehat sementara dari dunia lakonan dan muncul kembali dalam Leftenan Adnan (2000) dengan membawa watak jahat.

Ternyata percubaannya berhasil, yang mana ia telah membuka ruang untuknya dan ditawarkan pelbagai watak hitam dalam filem, mahupun drama.

Filem Gerak Khas The Movie 3 (2005) merupakan filem terakhir Faizal selepas dia dikatakan merajuk dengan industri tempatan dan membawa diri ke luar negara selama empat tahun.

Faizal turut membintangi beberapa filem lain seperti Jalang (2009), 2 Alam (2010), Abuya, Datin Ghairah (2011), Azura dan Bunohan (2012).

Namun filem Bunohan berjaya menaikkan namanya semula hingga dia berjaya meraih lapan anugerah di Festival Filem Malaysia 25, tahun lalu.

Menurut Faizal, walaupun banyak melakonkan watak jahat namun dia tetap gembira dengan penerimaan peminat setia terhadap kerjayanya.

"Saya memang tidak sangka ramai peminat menyukai saya membawa watak antagonis berbanding watak baik.

"Secara jujurnya, saya bukan jenis yang cerewet memilih watak kerana setiap tawaran yang diberikan adalah rezeki dari Ilahi," kata suami kepada pelakon Suhaila Sulaiman dan bapa kepada dua orang anak ini.

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia melihat dari sudut berbeza bagi setiap tawaran yang diterima dan tidak menolak apa jua watak yang akan dilakonkan.

"Setiap watak yang pernah saya jayakan mempunyai pengajaran tersendiri dan menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikan kepada peminat sebaik mungkin," ujar Faizal.


Pelakon Lelaki Terbaik Drama?

Tercalon dalam ASK 2013 bagi drama Fatihah Untuk Abah merupakan satu momen berharga baginya. Biarpun beberapa kali tercalon dalam ASK namun dia tetap bersyukur walaupun tidak memenangi anugerah tersebut.

"Bagi saya, keputusan juri adalah muktamad dan mereka lebih berpengalaman untuk menilai kemampuan kita.

"Menang atau kalah, saya terima dengan lapang dada," katanya yang tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama.

Tambahnya, bekerja di bawah arahan pengarah berkaliber seperti Azma Aizal Yusoof yang memahami,  membuatnya selesa untuk berlakon.

"Saya 'enjoy' dan seronok berlakon dengan pelakon berbakat besar seperti Sharifah Amani, Shafie Naswip, Azhan Rani dan Amyza Adnan.

"Bila kita tiada masalah dengan perjalanan kerja maka hasilnya lebih baik dan berkualiti. Kami juga serasi bekerjasama antara satu sama lain," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Jiwa arahan Kabir Bahtiar sebanyak 15 episod.

Pak Guard Azman jadi pelakon...

Posted: 06 Nov 2013 06:36 PM PST

  • Pak Guard Azman jadi pelakon...

PENGAWAL keselamatan, Azman Md Nayan sekali lagi menjadi bualan ramai di alam maya apabila fotonya bersama aktres jelita, Izara Aishah dan pelakon meningkat naik, Dazrin Kamarudin di kawasan parkir di sebuah lapangan terbang tersebar luas.

Difahamkan, mereka sedang menjalani penggambaran untuk drama TV9, Cinta Pandang Ke-2 arahan pengarah berbakat besar M Nazir Juhan atau Jet Lee.

Penampilan pengawal keselamatan itu yang sebelum ini terlibat kontroversi kerana insiden maki hamun oleh isteri kepada pemain bola sepak terkenal negara ternyata mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Selain ada yang memuji, ada juga menyifatkan bahawa produksi drama tersebut sengaja mencari publisiti di atas kontroversi yang melanda pengawal keselamatan itu.

Bagaimanapun, pengarah drama berkenaan, Jet Lee memberitahu, penglibatan Azman dalam drama arahannya itu hanya satu kebetulan.

"Ketika itu, kami sedang buat penggambaran di kawasan parkir, sebuah lapangan terbang.

"Oleh kerana melibatkan tempat parkir, kami memerlukan seseorang yang beruniform, jadi pengurus produksi panggil Azman untuk menjadi pelakon tambahan sebagai pengawal keselamatan yang juga memang tugasnya.

"Kebetulan pula, waktu itu dia sedang berehat makan tengah hari," katanya pada Zass.

Mengulas mengenai babak berkenaan yang dikatakan sama seperti pernah dialami oleh pengawal keselamatan itu, kata Jet Lee, dia tidak berniat untuk menyindir apatah lagi menyinggung perasaan orang lain dengan watak yang diberikan kepada Azman itu.

"Dia bawa watak sebenar, jadi saya hanya suruh dia berkelakuan seperti dia sedang bekerja.

"Jadi, sebagai seorang pengawal keselamatan di kawasan parkir dia berhak untuk menegur apa yang betul atau tidak," katanya sambil memberitahu babak lakonan Azman hanya mengambil masa selama dua minit.

Drama adaptasi novel Karangkraf

Bercerita lebih lanjut mengenai drama rantaian terbarunya, Cinta Pandang Ke-2, Jet Lee berkata ia adalah drama adaptasi novel berjudul sama karya Laila Kamilia yang diterbitkan oleh Kumpulan Media Karangkraf.

Drama 13 episod ini diterbitkan oleh ZK Creative Production Sdn. Bhd dan akan ditayangkan di slot Aurora di TV9 dan bakal menemui penonton Disember nanti.

"Selain Izara dan Dazrin, drama bersiri ini turut dibintangi Maria Farida, Ridzuan Hashim, Norman Hakim, Erynne Erynna, Along Eyzendy, Amira Rosli, Abby Nour dan ramai lagi," katanya.

Ketika ditanya mengenai cabarannya, Jet Lee menjelaskan dugaan utamanya adalah faktor cuaca yang kini tidak menentu menyebabkan terdapat sedikit gangguan perubahan jadual.

Drama bersiri Cinta Pandang Ke-2 berkisar mengenai seorang rakan lama Zairul lakonan Dazrin dan Ainnur Azleen (Izara) yang tidak pernah sebulu walaupun mereka berdua sekelas.

Tindakan Zairul yang sering menyakitkan hati Ainnur menyebabkan wanita itu berasa hati lalu bertukar sekolah. Mereka terpisah bertahun lamanya sehingga dipertemukan semula di tempat kerja sehingga membuatkan Zairul jatuh cinta dengannya.

Antara kulinari dan perbankan

Posted: 06 Nov 2013 06:34 PM PST



SEKALI pandang wajah Nik Michael Imran Nik Ezar, pasti ramai akan menyangka dia seorang lelaki Barat yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Ironi, pandangan pertama itu salah. Ini kerana, biarpun memiliki wajah Pan Asian yang cukup ketara, namun jejaka tersebut begitu fasih berbicara dalam bahasa Melayu - satu bahasa yang semakin asing untuk digunakan dalam kalangan anak muda sekarang.
Bertemu dengannya baru-baru ini, banyak perkara yang dikongsikan oleh jejaka dengan panggilan mesra Nik ini.
Mula tampil dalam program pertandingan masakan Masterchef musim pertama, nama Nik mula dikenali setelah diberi peluang untuk mengendalikan program masakan yang berjudul Hello Bro…Tolong Masak.
Terkini, karier sebagai chef selebriti dikembangkan dengan sebuah lagi program masakan kendaliannya, Dapur Panas.
Seiring dengan perkembangan positif karier 'bidang terjun'nya ini, Nik yang baru berusia 24 tahun turut memiliki sebuah restoran yang diberi nama Picknik.
Ternyata Nik bukan hanya bersandarkan wajah yang tampan, namun lelaki berdarah kacukan Melayu-Australia ini juga mempunyai aura yang dapat menarik masyarakat untuk menonton program masakan yang dikendalikannya.
"Saya bermula dengan menyertai program realiti masakan Masterchef dan sejak dari itu, mereka lihat saya punya pengikut dan peminat tersendiri.
"Jadi, pada waktu itu pihak Astro menawarkan saya menjadi chef santai dalam program masakan, Hello Bro…Tolong Masak, dan ia sekali lagi mendapat respons yang baik sehingga membuat saya berada di sini pada hari ini," ujar Nik membuka bicara.
Nik kemudian memberitahu, dia telah mencipta resipi peribadinya sepanjang mengendalikan program masakan yang disiarkan.
"Saya tidak curi resipi sesiapa atau menggunakan resipi yang sedia ada," jelas Nik ketika sidang akhbar program masakan terbaharu yang dikendalikannya, Dapur Panas.

SELAIN bidang kulinari, Nik turut mempunyai ijazah dalam bidang kewangan.


Memasak di usia muda
Bicara Nik menceritakan minatnya dalam bidang kulinari atau masakan, dia telah mula meminati bidang yang pada dasarnya dimonopoli golongan wanita di rumah.
Namun, ia berjaya dikomersialkan oleh banyak lelaki sebagai selebriti chef, seawal usia sembilan tahun. Bagaimanapun, dia hanya mula memasak dengan serius setelah berusia 15 tahun.
"Saya minat memasak kerana mengikut ayah saya yang juga seorang chef di Australia. Apabila dia pulang ke Malaysia, dia banyak memasak untuk keluarga dan rakan-rakan yang datang bertandang di rumah.
"Saya juga tidak pasti mengapa minat memasak sebenarnya, namun mungkin kerana sudah biasa melihat bapa saya memasak dan terdedah dengan apa yang dia lakukan, jadi minat itu datang secara semula jadi," tutur Nik yang menjadikan bapanya sebagai mentor.
Menambah cerita mengenai minatnya ini, bicara Nik, memasak membuatkan dirinya berasa tenang selain dia sendiri memang gemar mencipta resipi baharu yang eksklusif.
"Saya gemar mencipta resipi yang lain daripada kelaziman masyarakat. Jika mengendalikan program masakan, saya memang akan mencipta resipi saya sendiri.
"Apa yang paling saya berpuas hati dan gembira dalam minat memasak ini ialah apabila pinggan berisi masakan yang saya sediakan, habis atau kosong.
"Begitu juga ketika mengendalikan program masakan. Kesemua resipi tersebut merupakan resipi yang direka khas saya sendiri.
"Saya tidak curi resipi sesiapa atau reseipi yang sedia ada," jelasnya tentang prinsip diri tentang program masakan.
Apa yang menariknya, walaupun pakar dalam masakan Itali dan Perancis, namun hidangan kombinasi nasi putih, sambal belacan, telur dadar serta sup kosong merupakan antara menu masakan yang digemari Nik setelah penat bekerja di restorannya.
"Agak sukar ingin jelaskan masakan kegemaran saya, namun apabila saya telah selesai dengan kerja di restoran, akhirnya santapan yang dipilih saya ialah nasi putih, telur dadar, sambal belacan dan sup kosong. Atau kata lain, menu nasi bujang," jelas Nik ringkas tentang makanan kegemarannya termasuk tempoyak serta tapai pulut.
Bercerita tentang dirinya, jelas Nik, ketika belajar dia mengambil ijazah dalam jurusan kewangan. Ditebak tentang perbezaan jauh antara bidang masakan dan kewangan, tutur Nik, ia merupakan perancangan masa depannya yang juga dipengaruhi oleh bapanya.
NIK MICHAEL mengaku tidak pandai menghiburkan penonton programnya dengan interaksi bersifat humor, namun dia mahu penonton senang memahami resipi yang sedang diajar.


Ambil peluang
"Secara jujur, saya terjebak dalam dunia sebagai chef selebriti ini kerana mendapat pendedahan dan publisiti yang cukup meluas selepas saya menyertai Masterchef. Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya juga meminati bidang kewangan dan juga membesar dengan pengalaman bapa saya sebagai seorang bekas CEO sebuah bank.
"Jadi, saya terdedah dalam dua bidang ini serentak.
"Saya kira, misalnya jika masa depan saya tak panjang dalam dunia masakan, saya masih lagi punya pengetahuan dalam kewangan," ceritanya panjang lebar.
Malah akui Nik, dia masih menyimpan minat untuk terlibat dalam dunia perbankan. Bagaimanapun, buat masa ini, menjadi chef selebriti merupakan fokus dirinya.
"Walau apa pun terjadi, masakan masih menjadi minat saya walaupun mungkin suatu hari nanti saya akan bekerja di bank," akhiri Nik tentang perancangan alternatif buat dirinya kelak.


'Suami' sahkan Intan Azura isteri pertama

Posted: 06 Nov 2013 06:33 PM PST

INTAN AZURA sudah lama tidak muncul dalam produksi lakonan.


LAMA tidak mendengar perkhabaran terbaharu tentang Intan Azura, dramatis yang pernah popular suatu ketika dahulu.
Namun, baru-baru ini pihak Kosmo! secara eksklusif perkhabaran yang dramatis berusia 35 tahun ini baru sahaja melangsungkan perkahwinannya di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada minggu lalu dengan seorang lelaki bernama Rashdan.
Kosmo! turut menerima sekeping gambar perkahwinan mereka yang bertarikh 2 November 2013. Intan dan suaminya memakai busana pengantin berwarna merah jambu.
Lelaki yang didakwa menjadi suami kepada Intan merupakan seorang pengurus operasi sebuah kilang telekomunikasi di Hulu Kelang, Selangor.
Apa yang menjadi tanda tanya, Intan dikatakan berkahwin sebagai isteri kedua, bahkan majlis tersebut juga disembunyikan daripada kakitangan tempat lelaki itu bekerja.
Bagi mendapatkan pengesahan lanjut, Kosmo! menghubungi suami Intan. Ketika menghubunginya, Rashdan kedengaran terkejut dan cuba mengelak daripada memberi sebarang jawapan dengan alasan dia bukannya artis.
Disoal adakah benar dia telah berkahwin dengan Intan, jawapan yang diberikan: "Saya tidak mahu memberi sekarang komen ,tetapi saya tidak menafikan atau mengiyakan berita itu. Rasanya saya tidak sesuai untuk menjawab soalan itu kerana saya bukannya artis."
Meskipun mengelak daripada memberi pengesahan tentang perkahwinannya, Rashdan menafikan yang Intan berkahwin sebagai isteri kedua.
"Kalau dia berkahwin, apa yang pasti bukan sebagai isteri kedua, sebaliknya isteri pertama," katanya.
Tambah Rashdan, dia meminta andai ingin sebarang kenyataan berhubung perkahwinan tersebut, tanyalah kepada pihak Intan.
"Apa-apa pun tanyalah kepada tuan punya badan, bukannya saya," tuturnya sambil menyatakan, pihak Intan akan memberi kenyataan kepada pihak media dalam masa terdekat.


Christine percaya jodoh pilihan keluarga

Posted: 06 Nov 2013 06:32 PM PST

CRISTINA tidak sangka tercalon dalam kalangan Top 5 Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem pada Anugerah Skrin 2013.


PERTAMA kali tercalon sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Anugerah Skrin 2013 (ASK2013), pelakon jelita, Cristina Suzanne Stockstill mengakui dia bersyukur biarpun filem KIL lakonannya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.
Menurutnya yang akan melangsungkan perkahwinan pada 22 Januari tahun depan itu, tiada istilah untuk bersaing, malah menganggap pencalonannya dalam lima pencalonan terbaik (Top 5) itu sudah memadai.
"Saya akui kutipan untuk filem tersebut tidak mengujakan. Ada yang boleh terima mengenai filem bergenre begitu dan ada juga yang tidak boleh menerimanya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana turut tercalon dalam senarai Top 5 ASK2013," ujarnya ketika ditemui pada majlis Debaran Anugerah Skrin 2013 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.
Cristina tersenarai dalam lima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem bersama pelakon Lisa Surihani (SAM), Nadia Aqilah (Zaiton Ceritaku), Nora Danish (Mencari Cinta) dan Jojo Goh (29 Februari). ASK2013 akan ditayangkan secara langsung pada 29 November ini.
Mengulas lanjut mengenai pencalonannya itu, dia juga teruja kerana tercalon dalam kategori tersebut bersama pelakon-pelakon popular sedangkan akuinya, dia tidak begitu popular dan dikenali ramai.
"Saya tidak sangka tercalon buat pertama kalinya dalam kategori ini kerana sedar hakikat tidak begitu dikenali ramai," ungkapnya seraya merendah diri.
Bagi pelakon berdarah kacukan Jerman, Amerika Syarikat dan Melayu itu lagi, mungkin disebabkan watak Zara dalam filem KIL yang berat dan penuh warna itu membuatkan dirinya tercalon dalam senarai tersebut (Pelakon Wanita Terbaik Filem).
Bakal suami satu kampung
Bercerita mengenai persiapan kahwin pula, kongsi pelakon berusia 28 tahun itu, buat masa ini segara persiapan perkahwinannya diuruskan oleh keluarganya.
Ditanya mengenai keistimewaan memilih tarikh 22 Januari untuk melangsungkan perkahwinan, kata Cristina, ia merupakan tarikh hari lahirnya.
"Masa bertunang dulu pilih tarikh 13 Oktober sempena tarikh lahir tunang. Jadi, tarikh kahwin pula dipilih sempena tarikh hari jadi saya," jelasnya.
Jika sebelum ini ramai yang menganggap dia bertunang secara tiba-tiba kerana kecewa dengan perkahwinan pelakon Bront Palarae, bidas Cristina, ia sekadar kebetulan dan hubungannya bersama Bront tidak lebih daripada rakan sesama industri.
Cristina juga menegaskan, dia tidak kisah menerima pertunangan yang diaturkan oleh keluarganya kerana percaya dengan jodoh pilihan kedua-dua ibu bapanya.
"Kebetulan sahaja tarikh tunang saya dengan majlis perkahwinan Bront jatuh pada tarikh yang berdekatan. Bukan sebab saya kecewa. Bront juga sudah berkawan lama dengan isterinya. Sementara saya pula terima jodoh pilihan keluarga kerana selesa dengan dia (tunang).
"Lagipun kami satu kampung. Saya percaya dengan jodoh pilihan keluarga kerana mereka makan garam dulu sebelum saya," ujarnya yang memberitahu bukan merupakan gadis urban yang menolak jodoh pilihan keluarga.
Bertanya lebih lanjut mengenai gerangan tunang, dengan lembut, Cristina menolaknya dan enggan mendedahkan identiti tunang selagi perkahwinannya belum berlangsung.
Cristina sekadar boleh berkongsi mengatakan tunangnya bekerja di Kuantan dan faham dengan kerjayanya sebagai pelakon.


Imam patahkan sihir Somalia

Posted: 06 Nov 2013 06:29 PM PST


AZMI (kiri) menunjukkan kotak dan kain yang dirampas daripada seorang lelaki Somalia pada sidang akhbar di Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH – Taktik seorang lelaki Somalia yang kononnya mampu menyeru jin bagi memanggil duit untuk menipu penduduk kampung tidak menjadi apabila dia diberkas ketika mengadakan 'rundingan' dengan makhluk ghaib tersebut di Seri Menanti di sini kelmarin.
Suspek berusia 31 tahun yang menggunakan nama Ahmed Ali Osman pada kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) yang dipegangnya diberkas pada pukul 2.30 petang ketika berada di dalam sebuah masjid selepas masuk dalam perangkap yang dipasang polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, suspek diberkas selepas dia berjanji akan memberikan keuntungan sebanyak AS$5 juta (RM15.9 juta) kepada sesiapa yang diperdaya melalui ilmu sihir.


Kekasih pengawal merompak dicari

Posted: 06 Nov 2013 06:28 PM PST

HASNAH diminta bantu siasatan kes rompak kedai emas.


KUALA L.UMPUR - Polis semalam mengedarkan gambar dan nama seorang wanita dipercayai teman wanita pengawal keselamatan yang merompak kedai emas di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak pada 31 Oktober lalu.
Wanita yang dikenali sebagai Norena Lamuddin, 27, berasal dari Lambitan, Filipina itu dicari kerana dipercayai boleh membantu polis mencari sebahagian besar lagi barang kemas bernilai kira-kira RM150,000 yang disamun pengawal keselamatan itu.
"Kami percaya wanita itu merupakan teman wanita kepada suspek utama dan semakan mendapati wanita itu juga menggunakan kad pengenalan palsu dengan nama Hasnah Hassan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.


Tiga beranak jalani rawatan kurangkan bulu

Posted: 06 Nov 2013 06:24 PM PST


RAMBUT Manjura dicukur sebelum dia dirawat dengan menggunakan tembakan laser di Hospital Dhulikhel di pinggir bandar Kathmandu pada 22 Oktober lalu.- REUTERS


KHARAY - Seorang ibu dan tiga anaknya terpaksa menjalani rawatan dengan menggunakan laser baru-baru ini bagi mengurangkan pertumbuhan bulu pada badan mereka.
Wanita berkenaan, Devi Budhathoki, 38, dan anak perempuannya, Manjura, 14, seorang anak lelakinya Niraj, 12, serta seorang lagi anak perempuannya Mandira, 7, disahkan menghidap penyakit genetik Congenital Hypertrichosis Lanuginosa.
Penyakit ganjil itu yang kadangkala digelar sebagai sindrom serigala jadian menyebabkan pesakit mengalami pertumbuhan bulu badan yang berlebihan.
"Niraj pernah memberitahu bahawa dia akan kembali dengan wajah baharu supaya mereka tidak dapat lagi mengejeknya," kata Devi.
Devi dan suaminya yang berusia 65 tahun, Nara Bahadur Budhathoki serta tiga anak mereka tinggal di sebuah kediaman di sini, dalam daerah Dolkha yang terletak sekitar 190 kilometer ke timur laut ibu kota Nepal, Kathmandu.
Empat beranak itu menjalani rawatan dengan menggunakan laser bagi membuang bulu badan secara berkala di Hospital Dhulikhel di pinggir bandar Kathmandu.


Pengajaran maya Frog VLE

Posted: 06 Nov 2013 06:19 PM PST



MOHD. HANIFF HAFISZAL SEMAN, 33, berjalan mundar-mandir di sekeliling bilik makmal komputer yang terletak di tingkat dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), Putrajaya. Sesekali matanya liar memerhatikan gerak-geri pelajar-pelajar tahun tiga Alfa yang leka mengadap komputer masing-masing.
Mereka tampak begitu fokus, mungkin sedang gigih memerah otak menyelesaikan beberapa latihan matematik yang diberikannya sebentar tadi.
"Kelas, kamu semua ada 15 minit lagi. Pastikan semua soalan dijawab dengan sempurna dan disemak sebelum dihantar. Sesiapa mempunyai masalah, sila angkat tangan nanti cikgu akan bantu kamu," katanya sambil melihat jam tangan yang dipakainya.
Lazimnya, begitulah kaedah pengajaran yang dipraktikkannya sejak setahun yang lalu.
Selepas menerangkan sesuatu konsep seperti yang ditetapkan dalam silibus, dia akan memberikan latihan kepada pelajar untuk meningkatkan kefahaman mereka.
Menariknya, Mohd. Haniff Hafiszal tidak menggunakan kaedah pengajaran konvensional di bilik darjah, sebaliknya selesa mengajar dengan bantuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi sistem pembelajaran maya, Frog VLE.
"Melalui sistem ini, kaedah pengajaran bukan sahaja menjadi mudah dan pantas malah lebih interaktif.
"Semua bahan pengajaran juga boleh diakses melalui satu pangkalan data membolehkan guru dan pelajar berkongsi maklumat yang sama," ujarnya yang sudah tujuh tahun bergelar pendidik.
SK Putrajaya Persint 8(1) merupakan salah satu daripada 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di negara ini yang mengguna pakai aplikasi Frog VLE.
Diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama YTL Communications menerusi projek 1BestariNet sejak awal tahun lalu, sistem yang dibangunkan di United Kindom itu membolehkan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah dan lancar.

PENGGUNAAN Frog VLE menjadikan proses pengajaran, pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran di sekolah menjadi mudah serta lancar.


Menerusinya juga, semua sekolah bakal dilengkapi akses internet berkelajuan tinggi 4G, platform pembelajaran bertaraf dunia dan akses kepada sumber dan teknologi sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.
Berasaskan web
Pengarah Eksekutif Frog Asia Sdn. Bhd., Yeoh Pei Lou berkata, Frog VLE adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.
Katanya, melalui sistem itu pendidikan tidak lagi terbatas dalam bilik darjah sahaja sebaliknya boleh dilakukan di mana jua, pada bila-bila masa.
"Sistem ini membenarkan pelajar dan guru untuk menghasilkan dan mengakses sebuah tapak pembelajaran secara dalam talian. Ia membolehkan mereka memperoleh hampir semua maklumat di internet seperti video, gambar, sumber pendidikan dan membinanya menjadi sebuah laman yang menarik tanpa memerlukan sebarang kepakaran teknikal.
"Apa yang lebih penting, limpahan sumber pengajaran dan aplikasi hebat yang ditawarkan itu adalah selamat dan telah ditapis," katanya kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, Pei Lou berkata, sistem itu menggunakan platform Google Cloud yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi Google seperti Google Email, Google Drive dan sebagainya.
Pada masa yang sama, katanya, platform itu juga menawarkan bahan pengajaran berkualiti secara percuma seperti Khan Academy, Ted Education, National Georgaphic dan British Council selain apa yang disediakan oleh KPM.
"Ini akan memberi kelebihan kepada para guru untuk mencari bahan-bahan pengajaran yang sesuai dengan minat dan kemampuan pelajar mereka.
"Pada masa sama, mereka juga boleh menghasilkan bahan pengajaran sendiri dan berkongsi bersama guru lain di sekolah atau di seluruh negara," ujarnya.

PEMBELAJARAN secara interaktif melalui Frog VLE mampu meningkatkan minat dan kefahaman pelajar terhadap sesuatu subjek.


Jelas Pei Lou, syarikat itu tidak sekadar menyediakan platform Frog VLE malah bertanggungjawab memastikan sistem itu dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
"Fasa-fasa akhir kini giat dilaksanakan termasuk menyediakan rangkaian internet berkelajuan tinggi di samping merangka sistem latihan dalam kalangan mereka yang terlibat di semua peringkat.
"Sebanyak 351 buah sekolah telah dipilih di bawah Program Sekolah Champion dan telah diberi bimbingan mengenai penggunaan Frog VLE secara komprehensif. Pada masa sama, kami turut melatih lebih 671 kakitangan di kementerian bagi tujuan yang sama," katanya.
Kelebihan
Sementara itu, Tan Mui Meng, Ketua Panitia Bahasa Cina di sekolah itu berkata, sistem itu memberi kelebihan kepada semua pihak sama ada dalam kalangan pentadbir, para guru, pelajar dan ibu bapa.
Ujarnya, melalui sistem itu, semua maklumat dalam buku teks termasuk latihan dan kerja sekolah akan disimpan dalam satu pangkalan data.
"Ia dapat mengurangkan jumlah buku teks yang perlu dibawa oleh pelajar ke sekolah dan jumlah buku latihan yang perlu ditanda oleh guru setiap hari kerana peranan itu telah diambil alih oleh komputer.
"Dengan ini, guru dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajar serta merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
"Sementara itu, ibu bapa pula bukan sahaja dapat memantau perkembangan anak-anak mereka malah dapat mengetahui acara-acara di sekolah menerusi ruang kalendar, papan notis sekolah dan sebagainya melalui laman yang tersedia," katanya.
Mudah
Bagi Tengku Amirah Zahiyah Tengku Amir Zakri, 10, pada mulanya dia sendiri agak kekok belajar menggunakan sistem itu namun semuanya menjadi mudah selepas mencubanya beberapa kali.
Katanya, penggunaan sistem pembelajaran maya membolehkannya berinteraksi atau bertanya soalan dengan guru biarpun selepas sesi persekolahan tamat.
"Sistem Frog VLE tidak sekadar boleh digunakan di sekolah semata-mata sebaliknya di mana-mana sahaja asalkan ia mempunyai kemudahan capaian internet," katanya.

SISTEM Frog VLE membolehkan guru memberi lebih tumpuan kepada para pelajar.


Ujarnya, sistem itu juga menarik minatnya untuk belajar sesuatu subjek kerana bahan pengajaran yang disediakan berorientasikan pelbagai sumber dan bersifat interaktif.
"Pelajar mempunyai kebebasan membuat rujukan dan ulang kaji sehingga benar-benar faham mengenai subjek dipelajari biarpun tanpa bantuan guru. Ia menjadikan mereka lebih berdikari.
"Saya sendiri turut merasai kesan positif daripada Frog VLE. Jika sebelum ini purata markah bagi subjek matematik ialah sekitar 80 peratus, kini ia telah meningkat lebih 90 peratus dalam tempoh kurang setahun," katanya tersenyum.
Rakannya, Wan Syamirul Azhan Shahrul Azman, 10, berkata, selain pembelajaran melalui nota dan video, pelajar juga boleh menjawab soalan kuiz, latihan, mendapatkan contoh soalan peperiksaan malah dapat mencuba permainan di akhir topik.
"Ia merupakan alternatif kepada kaedah pengajaran konvensional yang lazim berpusat di bilik darjah dan buku teks. Menerusi sistem ini pelajar bukan sahaja lebih tertarik untuk belajar, malah pada masa yang sama berpeluang meneroka ilmu lain yang terkandung di dalamnya," jelasnya.


Telefon pintar lebih praktikal

Posted: 06 Nov 2013 06:15 PM PST


WALAUPUN hanya bersaiz 10.9 sentimeter, telefon pintar HTC One Mini padat dengan teknologi terkini yang menarik.


SYARIKAT pengeluar alat telekomunikasi, HTC memperkenalkan produk terbaharu iaitu HTC One mini yang merupakan edisi kompak bagi telefon mudah alih HTC One.
Ia dipertingkatkan dengan beberapa teknologi terkini seperti HTC BlinkFeed, HTC Zoe dan HTC BoomSound yang memberi kelebihan berbanding produk-produk terdahulu.
HTC One mini mempunyai keluasan 10.9 sentimeter yang dilengkapi dengan skrin definisi tinggi 729 piksel. Ia dikeluarkan dengan dua warna pilihan iaitu Glacial Silver dan Stealth Black dengan permukaan aluminium yang mudah digenggam dalam tapak tangan.
Revolusi sistem bunyi yang hebat pada HTC One turut dilengkapkan dalam produk baharu tersebut. Pengguna akan mengalami alunan bunyi yang berkualiti ketika mendengar muzik atau bermain permainan video. Ia merupakan integrasi daripada sistem Beats Audio yang membawa muzik ke aras yang lebih baik.
Aplikasi HTC BlinkFeed membolehkan pengguna mendapat informasi terkini yang terdapat dalam laman-laman sosial mereka. Setiap status, berita atau gambar tersebut boleh diselenggarakan mengikut kehendak pengguna di mana-mana ruang yang diingini. Ia mampu mempamerkan 10,000 berita atau status dalam sehari bagi membolehkan pengguna terus mendapat maklumat baharu.
Aplikasi kamera dan video menjadi faktor utama kepada kebanyakan pengguna ketika memilih produk telefon pintar. Melalu HTC One mini, ia dilengkapkan dengan kamera UltraPixel dan HTC Zoe yang memberi 300 peratus cahaya, membuatkan gambar lebih terang dan jelas berbanding jenama-jenama telefon pintar lain.
Selain itu, menerusi UltraPixel, gambar lebih berkualiti dan terperinci walaupun dalam keadaan cahaya yang kurang, manakala HTC Zoe membolehkan pengguna mengambil video tiga saat dengan sistem edit yang mudah dan kreatif.
Selain itu, kamera bahagian hadapan mempunyai 1.6 megapiksel yang menangkap gambar yang lebih jelas dan terang.
Pengguna juga boleh membuat video ringkas menggunakan gambar-gambar yang terdapat dalam telefon dengan menggunakan aplikasi Video Highlights.
Ia ditawarkan pada harga RM1,699 dan boleh didapati di kedai-kedai alat telekomunikasi HTC seluruh negara.


Berlumba naiki tangga menara 63 tingkat

Posted: 06 Nov 2013 06:11 PM PST

PARA peserta perlu membuat latihan intensif sebelum menyertai pertandingan ini yang bakal diadakan di Menara Vista, The Intermark.


MENAIKI tangga setinggi 63 tingkat di sebuah bangunan pasti merupakan satu cabaran yang besar bagi sesetengah individu. Tanpa strategi dan langkah yang betul, anda pasti terkandas di tengah jalan.
Bagi individu yang ingin mencabar ketahanan mental dan fizikal, BFM-The Intermark Race To The Top 2013 merupakan medan terbaik untuk berbuat demikian.
Pertandingan yang berlangsung pada 7 Disember depan memerlukan para peserta berlumba menaiki tangga sehingga ke tingkat 63, Menara Vista di The Intermark.
Empat kategori utama disediakan iaitu kategori korporat, terbuka, lelaki dan wanita. Pertandingan itu berkonsepkan perlumbaan dengan peserta perlu melepasi beberapa titik semak (checkpoint).
Pengarah The Intermark Sdn. Bhd., Patrick Liau berkata, pertandingan pada tahun ini mempunyai perbezaan berbanding tahun lalu.
"Selain menaiki tangga setinggi 63 tingkat, pihak penganjur turut mengadakan beberapa kejutan pada acara kali ini.
"Saya menjangkakan seramai 100 peserta individu dan 150 peserta dalam acara berkumpulan akan menyertai pertandingan pada tahun ini. Berlari di kawasan rata tidak sama seperti berlari menaiki tangga. Peserta perlu mempersiapkan diri dengan latihan yang lebih intensif untuk menghadapi cabaran ini," jelasnya kepada pemberita sewaktu sidang akhbar BFM-The Intermark Race To The Top 2013 baru-baru ini.
Acara amal
Tambahnya, kerjasama dengan stesen radio BFM89.9 sebagai penganjur bersama merupakan satu langkah terbaik untuk menarik minat warga kota untuk menyertai pertandingan itu.
Peserta juga berpeluang melihat pemandangan panorama Menara Berkembar Petronas dengan lebih dekat dari tingkat 63, Menara Vista.
Selain menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta, pertandingan itu juga merupakan acara amal. Kesemua hasil kutipan daripada penaja dan yuran penyertaan akan disalurkan kepada lima buah rumah amal untuk kanak-kanak sekitar ibu kota iaitu Rumah Jaireh, Rumah Juara, Shelter Home, Special Children Society of Ampang dan Yayasan Chow Kit.

AKSI peserta-peserta yang menyertai pertandingan BFM-The Intermark Race To The Top 2013 pada tahun lalu.


Pengurus Sokongan dan Pengumpul Dana Yayasan Chow Kit, Nur Balkis Amairuddin memberitahu, hasil sumbangan yang diberikan oleh pihak penganjur melalui pertandingan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk kegunaan operasi rumah amal kendaliannya.
"Dana yang diberikan oleh individu atau syarikat korporat akan digunakan untuk pembelajaran, makanan, perubatan dan program untuk kanak-kanak di Yayasan Chow Kit. Di sini, kami mempunyai tiga pusat penempatan untuk bayi, kanak-kanak dan remaja.
"Kebiasaannya, sumbangan yang diberikan melalui pertandingan seperti ini mencukupi untuk membantu operasi kami. Kami amat berterima kasih kepada pihak The Intermark kerana sudi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Yayasan Chow Kit," ujarnya.
Yuran
Bagi acara individu, yuran sebanyak RM89.90 diwajibkan untuk setiap penyertaan. Kategori berkumpulan terbuka pula dikenakan bayaran sebanyak RM300 untuk kumpulan yang terdiri daripada tiga individu. Bayaran sebanyak RM1,500 dikenakan untuk kategori berkumpulan korporat juga terdiri daripada tiga individu.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan stesen radio BFM 89.9, Malek Ali memberitahu, pertandingan itu merupakan usaha terbaik untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik melalui setiap penyertaan peserta.
"Saya selaku wakil daripada stesen radio amat mengalu-alukan penyertaan warga kota dalam pertandingan ini. Ia merupakan platform terbaik tidak kira golongan korporat mahupun individu untuk membantu memberi sumbangan kepada rumah-rumah amal," ujarnya.
Tarikh tutup penyertaan pada 15 November 2013. Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan perlumbaan BFM-The Intermark Race To The Top 2013, sila layari laman web www.intermark.com.my. Sebarang pertanyaan, sila e-mel ke RaceToTheTop@ming-kh.com.my.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines