• 'Tolong jangan pertikai nazar saya'Abdul Majid melayani orang ramai yang berkesempatan menemuinya di R&R Maran, malam kelmarin.

MARAN - "Jika ada facebook, mahu saja pakcik balas komen orang ramai yang pertikaikan nazar pakcik berjalan kaki ke Stadium Shah Alam ini".

Demikian luahan seorang penyokong setia Pahang, Abdul Majid Hamid, 57, terhadap komen negatif orang ramai berhubung nazarnya berjalan dari Kuantan ke Stadium Shah Alam selepas pasukan Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia.

Abdul Majid berkata, dia mengetahui komen negatif itu selepas ditunjukkan beberapa orang ketika tiba di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Maran iaitu destinasi perhentian kedua dalam misi menunaikan nazar bermula Rabu lalu.

Menurutnya, walaupun dilontarkan kata kurang menyenangkan namun dia tidak menganggap ia halangan malah niat membayar nazar itu tetap diteruskan.

"Pakcik ada baca komen yang pertikai kenapa pakcik tidak bernazar ke Makkah.

"Ingin sahaja pakcik balas begini, jika diberikan kekuatan luar biasa dan ilmu berjalan atas air, pakcik akan berjalan ke Makkah. Doakan pakcik sihat," katanya.

Abdul Majid berkata, dia bertolak dari hentian pertama di R&R Gambang seawal jam 6.45 pagi dan tiba di R&R Maran pada jam 5 petang untuk rehat serta bermalam di situ.