Sumber: Utusan Malaysia
SHAH ALAM - Jika Kelantan berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia 2013, esok bermakna ia satu hadiah perpisahan yang sungguh bermakna buat jurulatih mereka, Bojan Hodak yang akan berhijrah ke pasukan lain tahun depan.
Semalam, Hodak mengakui perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Pahang adalah kali terakhir dia mengemudi The Red Warriors walaupun merahsiakan pasukan mana akan dilatihnya walaupun timbul desas-desus sebelum ini dia akan mengendali pasukan Pulau Pinang.
"Sudah tentu, perlawanan terakhir saya (perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Pahang esok),'" katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus pasukan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, semalam.
Bagaimanapun, selepas ditanya ke mana arah tujunya selepas meninggalkan pasukan Kelantan, Hodak hanya memberi jawapan dia tidak tahu.
Hodak menjadi jurulatih pasukan Kelantan sejak Mac 2012, dengan melakar sejarah tersendiri apabila membantu pasukan dari pantai timur itu melakukan treble pada tahun yang sama.
Mengulas perlawanan esok, Hodak berkata, perkara yang paling wajib adalah mencatat kemenangan.
"Selepas dua tahun bersama Kelantan, saya menghadapi situasi perlu menang setiap perlawanan tetapi perlawanan Ahad ini (esok) saya lihat peluangnya ialah 50-50. Cuma kami mempunyai kelebihan dari segi pengalaman beraksi di pentas akhir. Secara keseluruhannya apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit," katanya.
Sementara itu jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, ini adalah peluang terbaiknya melakar sejarah dalam Piala Malaysia kerana kali terakhir Tok Gajah muncul juara adalah pada 1992 ketika dia menjadi pemain dalam pasukan tersebut, sekarang dia mampu untuk mengulanginya dan menamatkan penantian sekian lama tetapi sebagai jurulatih pula.
"Saya tidak mahu sia-siakan peluang yang ada, pada 1992 saya bersama Pahang sebagai pemain, sekarang jurulatih tentulah saya akan cuba buat sesuatu untuk meraih kejuaraan. Tekanan sebagai jurulatih memang ada dari segenap aspek tetapi dalam masa yang sama turut timbul keseronokan," katanya.
Dollah menambah dengan ketiadaan pertahanan import Kelantan, Obinna Nwaneri bukan bermakna Pahang sudah mendapat kelebihan, sebaliknya mereka perlu mempamerkan permainan seperti yang diharapkan.
"Semangat juang yang perlu ada, kerana sebelum ini kita hampir tersingkir dari Piala Malaysia sekarang sudah di pentas akhir, saya tidak mahu peluang ini disia-siakan. Bagaimanapun kita harus sedar bahawa Kelantan sekarang ini adalah pasukan yang baik di bahagian tengah dan serangan," katanya.