BUKTI gigitan cinta "love bite" yang ditemui pada tubuh suami Rahmah.
Kuala Lumpur: Selama 20 tahun berkahwin, Rahmah, 53, dilimpahi pelbagai kemewahan. Rumah tangganya bahagia walaupun suaminya mualaf, dia taat pada perintah agama dan sangat menyayangi dua anak mereka.
Bagaimanapun, semuanya berubah secara mendadak sejak tiga tahun lalu apabila suaminya yang berusia 48 tahun dan berasal dari United Kingdom berkenalan dengan seorang lelaki berumur awal 30-an yang juga rakan sepejabat sebelum menjalin hubungan songsang.
“Sejak awal perkahwinan, saya diberi segala kemewahan, malah perumahan elit menjadi tempat tinggal saya, hanya keluarga kami menginap di situ, selebihnya golongan profesional warga asing.
“Anak belajar di sekolah persendirian dengan bayaran puluhan ribu sebulan. Namun, itu belum cukup untuk menjadikan rumah tangga saya kekal bahagia selepas kehadiran ‘madu’ yang melayani suami ketika dia di luar rumah,” katanya ketika ditemui semalam.
Rahmah berkata, perubahan mendadak suaminya, perunding pembinaan syarikat berpangkalan di luar negara, yang tidak mahu ‘duduk’ rumah dan sering menjadikan urusan kerja sebagai alasan untuk menghilangkan diri selama berminggu-minggu sejak tiga tahun lalu, menimbulkan tanda tanya.
Sumber: http://www.hmetro.com.my