Khamis, 4 Julai 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Waris mahu raih anugerah

Posted: 02 Jul 2013 09:49 PM PDT




REMBAU MOST WANTED barangkali sebuah lagu yang dihasilkan secara suka-suka oleh seorang jejaka dengan pengenalan nama Waris.
Bagaimanapun, ia meledak seperti 'bom' apabila lagu tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan. Loghat Negeri Sembilan yang digunakan Waris telah membuat dirinya 'terpilih' untuk masuk sebagai pendatang baharu dunia seni suara tanpa perlu bersusah payah.
Muzzammil Alias, begitu nama asal penyanyi yang baru berusia 24 tahun ini. Kini, selepas hampir setahun bergelumang dalam dunia seni, dia semakin hampir dapat menggapai impiannya.
Salah satu impian yang sekian lama dipendam ialah untuk berduet dengan penyanyi terkenal, Datuk Hattan. Dan, akhirnya, impian itu termakbul.
Menerusi lagu Ke Jelobak Ke Jolobu ciptaan Waris sendiri, Hattan bersetuju menyanyikan lagu itu bersamanya malah, pelantun lagu Biso Bonar itu cukup percaya dengan kreativiti penyanyi itu.
"Saya mengenali dia (Waris), malah saya juga diberitahu Waris meminati saya dan ingin berkolaborasi. Saya setuju dan percaya 300 peratus dengan kreativiti Waris," tutur Hattan ketika ditanya mengenai Waris.
Lagu Ke Jelobak Ke Jolobu tersebut sekali gus menjadi single ketiga Waris selepas lagu 'berhantu', Rembau Most Wanted dan Botingkek (nyanyi bersama penyanyi rap Juzzthin).
Mengulas mengenai single ketiganya itu, ungkap Waris, jika lagu Botingkek mengisahkan tentang padah apabila berbelanja tanpa berpada-pada, lagu Ke Jelobak Ke Jolobu pula menceritakan mengenai nama tempat.
"Sudah lama sebenarnya saya meminati Datuk Hattan dan teringin untuk berkolaborasi dengannya.
"Syukur, dia terima. Single ketiga saya bersama dia (Hattan) masih mengekalkan dialek Negeri Sembilan," ujarnya.
Ditebak sama ada dia begitu taksub dengan negeri kelahirannya kerana semua lagu-lagunya dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan, ternyata penyanyi kelahiran Rembau itu mempunyai jawapannya.
IMPIAN Waris untuk berkolaborasi dengan Hattan kini tercapai.


Idam anugerah
Jelasnya, dia bukan terlalu taksub sehingga tidak mahu menyanyikan lagu bahasa Melayu tetapi mengakui mempunyai semangat kenegerian.
Begitupun, dedah Waris, selain loghat Negeri Sembilan, dia juga akan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk dimuatkan dalam album pertamanya.
"Saya merancang untuk keluarkan album pada tahun ini. Walau bagaimanapun, bukan semua lagu dalam album saya nanti dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan.
"Saya turut menyanyikan beberapa buah lagu bahasa Melayu dan Inggeris," ujarnya yang menyerahkan tugas membuat persiapan album itu kepada DJ Fuzz.
Disoal mengenai keberaniannya menghasilkan album saat artis lain lebih cenderung menghasilkan single sahaja, ulas Waris, dia memasang impian untuk menggondol anugerah dalam mana-mana pertandingan muzik.
Jelas Waris yang bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music, sebagai seorang pemuzik yang mempunyai impian sebegitu (dapat anugerah), dia harus mempunyai sebuah album.
Mengulas kenapa menggunakan nama pentas Waris, ujarnya, dia sudah menggunakan nama Waris sejak aktif dalam muzik underground lagi.
"Nama Waris ini gelaran bagi suku sakat di Negeri Sembilan. Saya sudah guna nama Waris sejak dulu lagi iaitu semasa mula-mula terlibat dalam muzik underground. Lagipun, nama Waris kelihatan nogori (negeri) sikit," jelasnya sambil ketawa.
Siapa Waris
Mengenali Waris dengan lebih dekat lagi, mungkin masih ada peminat yang keliru mengenai identitinya.
Waris menegaskan, dirinya bukan hanya bergerak solo dan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan. Cuma, jelasnya, dia hanya berkolaborasi bersama penyanyi rap lain seperti Juzzthin.
"Ramai yang masih keliru sama ada Waris itu nama bagi artis berkumpulan. Saya sebenarnya bergerak solo dan bukan berkumpulan.
"Individu lain yang sering bersama saya ketika beraksi adalah teman kolaborasi dan gandingan yang saya undang untuk memeriahkan lagu dan persembahan sahaja. Selebihnya saya bergerak solo," jelasnya.
WARIS bakal muncul dengan album pada tahun ini.


Fokus pelajaran
Waris yang merupakan pelajar tahun kedua Kejuruteraan Awam di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor itu juga mengakui sehingga kini dia masih tidak percaya dengan populariti yang dikecapinya dalam sekelip mata menerusi YouTube.
Sejak lagu Rembau Most Wanted dimuat naik oleh Waris di YouTube sekitar bulan Februari lalu, ia telah meraih perhatian yang cukup meluas.
Buktinya, selama dua bulan di laman sosial YouTube, jumlah tontonannya mencecah lebih 600,000 orang malah Rembau Most Wanted juga meraih perhatian DJ Fuzz.
"Saya tidak pernah sangka lagu itu akan meletop (popular). Begitupun, saya akui ramai yang mengenali lagu tersebut tetapi bukan penyanyinya. Kawan-kawan saya di universiti juga tidak mengenali saya ketika itu," tuturnya yang turut mendapat tawaran berlakon.
Mengulas mengenai tawaran itu, ujar Waris, ia berlaku secara tidak sengaja.
"Saya pernah berlakon dalam sketsa Untuk Dia yang disiarkan menerusi TV1.
"Sebenarnya saya tidak teringin pun hendak berlakon. Saya tahu saya kaku, tetapi bila dapat tawaran dan lihat jalan ceritanya okey, saya terima," ujarnya sambil ketawa.
Mengulas mengenai kesibukannya sebagai penyanyi dan dalam masa yang sama belajar, Waris mengakui, dia perlu bijak membahagikan masa.
Jelasnya, walau bagaimanapun keluarganya memintanya supaya fokus kepada pelajaran berbanding muzik.
"Keluarga memang sentiasa meminta saya mengutamakan pelajaran berbanding muzik dan saya akur dengan permintaan mereka itu.
"Disebabkan itu, jika belajar saya akan fokus. Bila cuti semester pula saya akan fokus pada muzik," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.

Ainan Tasneem Enggan Bergambar Dengan Lelaki Elak Fitnah

Posted: 02 Jul 2013 09:48 PM PDT

Ainan Tasneem
KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Suka Dia iaitu Ainan Tasneem bertegas untuk tidak bergambar secara berdua-duaan dengan artis lelaki termasuklah untuk sesi fotografi media.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 21, berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak timbulnya sebarang fitnah selain ingin menjaga nama baik keluarganya.
"Saya bertekad untuk tampil bersih dan tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi termasuk bergambar dengan artis lelaki kecuali secara beramai-ramai.
"Keputusan itu dibuat bagi menghargai kepercayaan dan kebebasan yang diberikan oleh keluarga untuk saya bergiat aktif dalam bidang nyanyian," katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Aku Suka Dia di Hotel Royal di sini, Selasa.
Album yang mengandungi lima buah lagu itu diterbitkan oleh syarikat MVM Productions.
Ainan berkata, album yang dilancarkan itu bagi memenuhi permintaan peminat yang sering bertanya tentang perkara itu kepadanya.
Ainan Tasnem bersama ayahnya Dr Ridzuan Mohd Sagir.
Jelasnya, walaupun hanya memuatkan lima buah lagu dia akan tampil dengan album penuh pada penghujung tahun ini dan akan mempelbagaikan genre muzik untuk pendengar.
Antara lagu yang dimuatkan adalah Aku Suka Dia, 150 Juta, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku dan Aku Keliru.
Dalam perkembangan sama, bapa kepada Ainan iaitu Dr Ridzuan Mohd Sagir yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pada mulanya dia keberatan untuk membenarkan anaknya itu terlibat secara serius dalam bidang nyanyian.
Ini kerana katanya dia lebih suka melihat Ainan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian di Universiti Malaysia Perlis dalam bidang Kejuruteraan Bioproses sehingga tamat.
"Lama saya mengambil masa untuk memberi keputusan namun melihat kepada penerimaan peminat dan yakin dia dapat menjadi contoh kepada remaja yang lain, saya benarkan.
"Pun begitu saya meletakkan beberapa syarat seperti menjaga maruah diri, merendah diri dan bersederhana supaya dia sentiasa ingat tujuan asal untuk bergelar penyanyi," jelasnya.
Tambah Ridzuan, sejak di bangku sekolah rendah lagi anaknya itu memang gemar menyanyi dan banyak menyertai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan negeri.

Neelofa Nafi Minta Hutang Daripada Shahrizal Jaszle

Posted: 02 Jul 2013 09:47 PM PDT


Neelofa
PETALING JAYA: Pelakon dan model Neelofa menafikan ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi meminta hutang sebanyak RM5,000 kepada pelakon Shahrizal Jaszle.
Berita Harian melaporkan, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24,berkata, dia tidak pernah berbuat demikian, malah tidak mempunyai nombor telefon pelakon lelaki tersebut.
"Lofa sendiri terkejut apabila membaca laporan akhbar kononnya Lofa menghantar SMS kepada Shahz, kami sudah lama tidak berhubung.
"Apa yang Lofa ingat, Lofa ada minta duit itu sekitar dua tahun lalu dan Lofa tidak tahu mengapa dia mengaitkan Lofa dalam perkara ini," katanya.
Insiden itu dikatakan berlaku ketika Shahrizal menyerang pasangan khalwatnya, Farah Nurizzati Salleh di tempat kerja dan pada masa yang sama, Neelofa kononnya telah menghantar SMS tersebut.
Shahrizal Jaszle dan Neelofa pernah bergandingan dalam filem Azura 2012
Sementara itu, Neelofa berkata, dia sudah mengambil keputusan untuk menghalalkan sahaja hutang tersebut bagi mengelakkan dirinya terus dikaitkan dengan pelakon filem Azura 2012 itu.
"Ada banyak lagi perkara Lofa kena fikir. Sebelum kepala bertambah pening baik saya halalkan sahaja hutang itu.
"Bukan kerana wang itu tidak penting cuma malas untuk panjangkan cerita," ujarnya.

Sorok susu dalam seluar

Posted: 02 Jul 2013 09:43 PM PDT


Sorok susu dalam seluar
Wee Siang menunjukkan hasil rakaman CCTV wanita berjubah yang beberapa kali keluar masuk ke kedainya dalam keadaan mencurigakan.
MUAR - Sindiket mencuri susu kanak-kanak berjenama secara berkumpulan kembali aktif di sekitar Muar apabila menjadikan sebuah pasar raya dekat sini, sebagai sasaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam minggu lalu, tujuh lelaki dan lima wanita dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mencuri di pasar raya terbabit.

Difahamkan, kumpulan itu dipercayai menggunakan tiga kenderaan mewah dan menyembunyikan susu seberat 1.8 kilogram setiap tin di dalam seluar tiga wanita yang memakai jubah.

Pengurus pasar raya itu, Aw Wee Siang berkata, dia menerima maklumat daripada sebuah pasar raya lain yang terlebih dahulu turut berlaku kecurian susu.

Menurutnya, dia kemudian segera mengarahkan pekerja memeriksa rakaman CCTV dan mendapati beberapa lelaki dan wanita memasuki premis dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka berpura-pura seperti beli barang dan menggunakan bungkusan biskut untuk melindungi susu dalam troli sebelum ia dibawa ke sudut yang agak tersembunyi untuk dimasukkan ke dalam seluar tiga wanita secara bergilir-gilir sambil dibantu dua lelaki," katanya.

Wee Siang mendakwa, tiga ahli lain pula berada dalam kereta dan selebihnya bertindak sebagai pemerhati di dalam serta luar pasar raya berkenaan.

Katanya, tiga wanita berusia dalam lingkungan 40an itu dilihat keluar masuk dalam pasar raya melalui pintu belakang melebihi 10 kali dengan lenggok jalan yang kelihatan agak pelik.

"Apabila sedar sedang diperhatikan, mereka meninggalkan pasar raya ini dengan menaiki kenderaan yang sudah bersedia di luar pasar raya.

"Kejadian berlaku sangat pantas dalam tempoh 40 minit ketika pasar raya sesak dengan orang ramai," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya kumpuan terbabit mempunyai peralatan lengkap untuk membuka besi magnet yang berfungsi sebagai keselamatan yang terdapat pada tin susu itu bagi mengelakkan susu yang diseludup keluar dikesan pihak pasar raya.

"Kali terakhir kejadian seumpama ini berlaku ialah dua tahun lalu dan tidak menyangka ia berulang lagi serta percaya ia dilakukan kumpulan yang sama," katanya.

Katanya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM5,000 apabila 40 tin susu telah dicuri.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian dan memberitahu usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 kanun keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Bom tinggalan perang ditemui

Posted: 02 Jul 2013 09:40 PM PDT


Bom tinggalan perang ditemui
Bom dipercayai tinggalan perang dunia kedua yang ditemui pekerja kontraktor
GEORGETOWN - Sebutir bom lama dipercayai tinggalan zaman perang dunia kedua ditemui di kawasan pembinaan banglo mewah di Jalan Barnett di sini oleh beberapa pekerja kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja meratakan tanah.

Penemuan bom kira-kira jam 12.30 tengah hari itu menggemparkan penduduk di kawasan berkenaan apabila mereka semua diarahkan beredar dari rumah bagi tujuan keselamatan.

Difahamkan, bom yang sudah berkarat itu adalah jenis Arial, panjang 86 sentimeter (sm) dan diameter 70 sm terbabit mungkin digunakan ketika perang dunia ke dua.

Menurut sumber, bom itu ditemui ketika pekerja pembinaan terbabit melakukan kerja pembersihan meratakan tanah yang dikorek.

"Pada mulanya mereka menyangka bom berkenaan adalah besi buruk dan membiarkan bom terbabit dalam timbunan tanah.

"Selepas membiarkan bom berkenaan dalam timbunan tanah hari ini (semalam) baru pekerja pembinaan berkenaan tersedar yang besi buruk itu sebenarnya bom lama ketika mereka meratakan tanah," katanya.

Katanya, bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia menghubungi pihak polis dan melaporkan penemuan bom berkenaan.

Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk meletupkan bom berkenaan namun ia sukar berikutan bom berkenaan agak besar saiznya.

"Kawasan terbabit dilingkungi perumahan yang agak padat dan pasukan keselamatan terpaksa berhati-hati kerana tidak mahu menimbulkan kebimbangan orang awam.

"Selain itu, kita juga terpaksa menjaga keselamatan awam dan tugas meletupkan bom lama ini tidak semudah yang dijangkakan berikutan saiznya yang agak besar," katanya.

Menurutnya, pasukan keselamatan juga terpaksa meminta penduduk mengosongkan kawasan berkenaan dan masih menunggu pakar membuka bom dari Alor Setar, Kedah.

Sehingga jam 6 petang semalam, bom berkenaan masih tidak dapat diletupkan dan pasukan keselamatan menjalankan kerja meletupkan bom menggunakan kaedah paling selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Restoran 'ternak' lipas ditutup

Posted: 02 Jul 2013 09:39 PM PDT


Restoran 'ternak' lipas ditutup
Lipas yang terdapat di dalam bekas kedap udara berkeliaran.
Restoran 'ternak' lipas ditutup
Seorang kakitangan MBMB dan Mohd Khaidir (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pemilik restoran.
Restoran 'ternak' lipas ditutup
Salah seorang anggota penguatkuasa menampal Notis Perintah Tutup Premis Makanan di salah sebuah restoran di Melaka Sentral.
BANDARAYA MELAKA - Dua restoran yang ditakungi air dan dijadikan tempat 'ternakan' lipas di Melaka Sentral diarahkan tutup serta-merta dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kesihatan negeri di sini, semalam.

Air bertakung di bahagian dapur dan lipas yang ditemui dalam bekas kedap udara yang sudah tidak lagi digunakan juga boleh dilihat 'merayap' pada dinding premis ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Khaidir Abd Hamid, kedua-dua premis berkenaan antara tujuh yang diperiksa dalam operasi bersepadu yang disertai 30 anggota
dari Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Selain masalah makhluk perosak, premis tersebut turut melakukan pelbagai kesalahan membabitkan kebersihan termasuk pengendalian makanan dan keadaan dapur yang tidak diselenggara.

"Dua premis itu diarahkan tutup serta-merta selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi membolehkan pemilik premis melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum dibenarkan untuk beroperasi sekiranya pihak kita berpuas hati dengan tahap kebersihan mereka," katanya.

Mohd Khaidir yang mengetuai operasi itu berkata, kesemua premis yang telah menjalankan perniagaan lebih lima tahun di terminal bas dan teksi itu turut melakukan kesalahan apabila pekerja atau pengendali makanan tidak memakai apron serta penutup kepala.

"Lima premis lain keseluruhannya memuaskan namun hanya diberi arahan kerja pembetulan seperti pemakaian pelindung, pelupusan sampah lebih teratur dan penyelenggaraan di dapur.

"Mereka turut diberi teguran dan amaran mengenai penyediaan kemudahan premis seperti lantai pecah yang memerlukan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan premis makanan di Melaka Sentral dan akan terus membuat pemantauan berterusan selari dengan arahan kementerian.

"Operasi akan terus dilakukan iaitu kira-kira dua kali sebulan bagi memantau tahap kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan untuk dijual kepada orang ramai.

"Amalan kebersihan dan pengendalian makanan yang baik boleh membantu mengekalkan dan meningkatkan imej bersih negeri Melaka," katanya.

Jualan nisan kerek meningkat

Posted: 02 Jul 2013 09:37 PM PDT


Jualan nisan kerek meningkat
Esah sibuk memotong daun mengkuang untuk digunakan bagi membalut nisan kerek sebagai persediaan awal menyambut ketibaan Ramadan
Jualan nisan kerek meningkat
Permintaan terhadap nisan kerek diusahakan Esah meningkat daripada 100 keping sehari kepada lebih 200 keping sehari pada Ramadan.
MARANG – Pengusaha manisan di Kampung Batangan di Marang yang terkenal dalam pembuatan dan penghasilan gula melaka atau lebih dikenali sebagai 'nisan kerek' di Terengganu tidak sabar menunggu ketibaan Ramadan.
Ini kerana, gula melaka antara bahan penting dalam penyediaan kuih-muih tradisional seperti kuih lompat tikam, onde-onde dan puteri mandi.

Harga semasa nisan kerek asli tidak menggunakan gula sebaliknya menggunakan air nira sepenuhnya dijual pada harga RM4 sekeping, manakala nisan kerek biasa yang bersaiz kecil dan bersaiz besar dijual pada harga RM1 hingga RM2.50 sekeping.
Seorang pengusaha nisan kerek, Esah Awang, 60, berkata, apabila tiba Ramadan, dia dan ahli keluarganya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat secara mendadak daripada penjual kuih-muih di negeri ini.

Bagi menampung permintaan tinggi menjelang Ramadan itu, Esah yang lebih dikenali sebagai Mak Cik Esah di Kampung Batangan berkata, dia turut dibantu anak dan dua pembantunya bagi memproses manisan berkenaan.

"Pada bulan puasa permintaan terhadap nisan kerek meningkat daripada 100 keping sehari kepada lebih 200 keping sehari. Selain Ramadan, permintaan terhadap manisan tersebut juga mendapat sambutan pada musim cuti persekolahan.

"Walaupun permintaan meningkat sekali ganda, namun keuntungan tidak banyak kerana barang mentah agak mahal termasuk daun mengkuang yang digunakan untuk membalut nisan kerek, dijual dengan harga 60 sen segulung," katanya.

Bagaimanapun, berkat kegigihan Esah mengusahakan perusahaan itu bersama suaminya, Mamat Abdullah, 73, sejak 20 tahun lalu, mereka berjaya membuka tempat baru memproses manisan dan kini ia diusahakan anak-anaknya.

Ana Dahlia anak emas Suhan Movies

Posted: 02 Jul 2013 09:34 PM PDT


ANA DAHLIA merupakan pelakon utama drama Cinta Yang Satu dan Dia Tetap Ayah.


SEMEMANGNYA diakui rezeki Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. melimpah ruah apabila apa sahaja produk keluaran syarikat produksi gergasi tersebut pasti berjaya menembusi tembok kukuh pelbagai stesen televisyen di negara ini.
Laluan seperti terbentang luas di depan mata bagi pemilik produksi, Rosyam Nor untuk memasarkan drama-drama terbitan syarikatnya baik di stesen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mahupun stesen swasta sejak beberapa tahun lalu.
Terbaharu, dua buah drama terbitan syarikat itu berjudul Dia Tetap Ayah akan ditayangkan di Astro Prima manakala Cinta Yang Satu di TV2.
Dia Tetap Ayah mengisahkan kehidupan empat orang anak yang menjaga ayah mereka walaupun terdapat kisah pahit bersama si ayah sewaktu mereka kecil.
Antara pelakon yang membintangi drama 16 episod itu ialah Namron, Ana Dahlia, Zalfie Raoul, Jannak Nick, Aizat Hassan, Sherry Ibrahim, Dian P. Ramlee dan Zila Bakarin.
Cinta Yang Satu arahan Along Kamaruddin pula berkisar mengenai seorang gadis kampung yang menghadapi kepayahan hidup selepas cacat penglihatan akibat kemalangan jalan raya.
Drama 13 episod itu dilakonkan oleh Ana Dahlia sebagai Zafirah dan Azlee Khairi sebagai Arif iaitu bekas mat rempit yang melanggar Zafirah.

ROSYAM NOR


Kedua-dua drama terbitan Suhan Movies itu menampilkan Ana sebagai pelakon utamanya. Namun penerbit drama tersebut, Rosyam Nor menyatakan ia cuma kebetulan rezeki Ana untuk menjadi pelakon utama.
"Sebenarnya saya sememangnya mengutamakan anak didik saya daripada program realiti TV, Pilih Kasih seperti yang saya berikan kepada Ana.
"Hakikatnya, bukan senang untuk artis dapat watak yang betul-betul kena dengan watak yang diberi, malah saya sudah berjanji pada mereka dalam masa dua tahun mereka akan dikenali dengan syarat mereka ada komitmen dan kekuatan sendiri," ujarnya tegas.
Rosyam juga memberitahu, biarpun kedua-dua karya tersebut menggunakan khidmat Ana, watak yang dimainkan cukup berbeza antara satu sama lain.
Cinta Yang Satu akan ditayangkan setiap hari Jumaat pukul 9 malam di TV2 bermula 5 Julai ini.
Dia Tetap Ayah pula bakal disiarkan selama setengah jam, setiap Isnin hingga Khamis bermula pada 8 Julai di saluran Astro Prima.

Wang polimer edaran hari raya

Posted: 02 Jul 2013 09:32 PM PDT


NORZILA (kanan) dan Nor Aini menunjukkan wang polimer yang sesuai untuk edaran semula di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan wang polimer yang sesuai untuk edaran semula untuk kegunaan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ia terdiri daripada wang polimer bernilai RM1 dan RM5 yang telah diproses semula supaya kelihatan seakan-akan wang baharu dan sesuai digunakan sebagai duit raya.
Penolong Gabenor BNM, Norzila Abdul Aziz berkata, wang RM1 dan RM5 dipilih kerana ia diperbuat daripada substrat polimer tahan lama dan berupaya mengekalkan kualiti keselamatan dan estetika sepanjang hayat penggunaannya.

Gegaran lapan saat dirasai di Pulau Pinang

Posted: 02 Jul 2013 09:30 PM PDT



SEBAHAGIAN kakitangan awam yang turun menyelamatkan diri ekoran gegaran yang dirasai di Kompleks Tun Abdul Razak, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Beberapa lokasi di sekitar bandar ini mengalami gegaran kira-kira lapan saat berikutan gempa bumi yang melanda Sumatera Utara kira-kira pukul 3.37 petang semalam.
Gegaran dirasai di sekitar Balik Pulau, Bayan Lepas sehingga ke pusat bandar George Town menyebabkan orang ramai terutama yang berada di bangunan tinggi bergegas turun menyelamatkan diri.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam memberitahu, gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter itu berpusat kira-kira 65 kilometer (km) di barat daya Lhokseumawe, Indonesia.
Menurut kenyataan tersebut, gegaran dapat dirasai sehingga kira-kira 385km dari barat daya Balik Pulau tetapi tidak menyebabkan sebarang ancaman tsunami atau amaran berjaga-jaga.

Lantik guru besar melalui penilaian

Posted: 02 Jul 2013 09:29 PM PDT



MUHYIDDIN bersama Khairil (kiri) melawat pameran pada Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-20 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands semalam.


GENTING HIGHLANDS - Mulai tahun depan, proses pelantikan pengetua dan guru besar dimantapkan lagi dengan memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pelantikan itu akan dibuat berdasarkan latihan dan penilaian yang dilaksanakan untuk bakal pengetua dan guru besar melalui Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan Institut Aminuddin Baki (IAB).
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, selain itu, penilaian akan turut dibuat berdasarkan kemampuan bakal guru besar dan pengetua melaksanakan tanggungjawab mereka, sifat kreativiti dan inovasi, di samping mempunyai rekod cemerlang dalam kerjaya sebagai guru.

Suami isteri dera anak ke penjara

Posted: 02 Jul 2013 09:27 PM PDT


MOHD. SHAZWAN (tengah) dan isteri didakwa atas tuduhan mendera tiga anak mereka di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri yang bertindak kejam mendera dan mengurung tiga anak mereka sehingga kelaparan bakal meringkuk dipenjara, masing-masing selama 13 tahun dan 10 tahun seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Shazwan Shaari, 26, yang merupakan bapa tiri dan Norazira Abas, 29, selaku ibu kandung mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan dera yang dikenakan.
Dalam kejadian itu, pasangan tersebut didakwa mendera tiga kanak-kanak, masing-masing berusia dua tahun enam bulan, lima dan tujuh tahun.

Padah libas leher warga emas

Posted: 02 Jul 2013 09:23 PM PDT

JAMAL (kanan) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Perbuatan kejam seorang penganggur menetak dan melibas leher seorang warga emas sehingga hampir putus berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Jamal Kamal, 24, mengaku bersalah melakukan jenayah tersebut dan mengarahkan hukuman itu berjalan dari tarikh lelaki itu ditahan pada 13 Jun lalu.
Terdahulu, Jamal yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk kepala di kandang tertuduh ketika jurubahasa membacakan pertuduhan ke atasnya.
Dalam kejadian itu, Jamal dengan niat menyebabkan kecederaan yang boleh membawa maut kepada Laud Adau, 68, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sapok Pelakat, Sipitang pada pukul 11 malam, 12 Jun lalu.

Orang utan Sumatera mati dibelasah

Posted: 02 Jul 2013 09:20 PM PDT



GAMBAR pada 27 Jun lalu yang disiarkan oleh Program Pemuliharaan Orang Utan Sumatera menunjukkan orang utan yang cedera di Panton Luas, dalam wilayah Aceh.


JAKARTA - Seekor orang utan Sumatera dipukul hingga mati oleh beberapa penduduk di sebuah kampung di Indonesia, kata sebuah kumpulan perlindungan haiwan semalam.
Insiden tersebut merupakan kes terbaharu melibatkan spesies terancam itu dibunuh oleh manusia.
Orang utan betina dewasa itu mati pada Khamis lalu dengan beberapa kesan kecederaan selepas diselamatkan dari sebuah kampung di wilayah Aceh oleh beberapa aktivis Program Pemuliharaan Orang Utan Sumatera.
Pengarah kumpulan berkenaan, Ian Singleton berkata, terdapat kesan bengkak di kepala dan tubuh, kecederaan serius di mata dan pendarahan dalaman di sekitar rahang haiwan primat itu.
Menurut Singleton, dia tidak tahu motif orang utan itu dibunuh.
Ketua agensi pemuliharaan Aceh, Amon Zamora berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat kes itu.
Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi, hanya tinggal sekitar 7,300 orang utan di rimba Sumatera sehingga kini.

Aceh dilanda gempa bumi kuat

Posted: 02 Jul 2013 09:19 PM PDT



ORANG RAMAI keluar dari sebuah bangunan pejabat sejurus selepas gempa bumi kuat melanda Medan semalam.- AFP


LAMPAHAN - Tiga orang terbunuh manakala berpuluh-puluh yang lain cedera apabila gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan wilayah Aceh di Indonesia semalam.
Gempa bumi tersebut turut meruntuhkan sejumlah bangunan dan mencetuskan situasi panik di Aceh yang pernah dilanda ombak besar tsunami pada 2004.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa berlaku di kawasan pedalaman pada pukul 7.37 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer di bawah permukaan Bumi di daerah Bener Meriah, tengah Aceh.
"Seorang kanak-kanak maut dihempap dinding yang runtuh," kata seorang doktor di klinik kesihatan di sini, Ema Suryani kepada agensi berita AFP.
"Kami menerima 50 mangsa dengan 30 mengalami kecederaan serius termasuk di kepala," tambahnya.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke hospital dari beberapa buah kampung dengan menaiki dua buah trak.
Di ibu negeri wilayah Aceh, Banda, orang ramai berlari keluar dari rumah mereka apabila gempa melanda dengan situasi serupa berlaku di Medan, selatan Aceh.
Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gempa itu dapat dirasai selama 15 saat dari Bener Meriah hingga ke Banda Aceh.
Pada 2004 satu gempa bumi kuat melanda Aceh dan mencetuskan tsunami yang meragut 170,000 nyawa di wilayah berkenaan dan puluhan ribu lagi di negara-negara sekitar Lautan Hindi.

Naoko bangga kuasai muzik tradisi Melayu

Posted: 02 Jul 2013 09:17 PM PDT




DALAM kemalapan sambutan anak Melayu terhadap warisan seni, hadir sekujur figura asing yang cuba memahami dan mempelajari adat kebudayaan tersebut.
Terbang dari Negara Matahari Terbit, Naoko, 23, masih bertatih ketika berbicara dalam bahasa ibunda kerana tahap penguasaan bahasa Melayunya baru bermula.
Apakah yang mendorong gadis Jepun itu menuntut ilmu mengenai budaya dan adat Melayu?
"Saya masih ingat lagi ketika bercuti bersama keluarga sewaktu berumur lapan tahun. Kami sempat mengunjungi destinasi wajib pelancong seperti Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
"Walaupun kunjungan itu sudah lama, tetapi kenangan percutian masih basah dalam ingatan, seperti baharu semalam datang ke sini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! dalam persalinan baju kurung songket persis gadis Melayu.
Sejak itu, Naoko mula mengikuti perkembangan Malaysia dari jauh dan memasang impian untuk ke sini pada masa akan datang.
"Selain persekitaran yang indah dengan sejarah dan budaya, hati saya tertawan dengan corak kepimpinan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Pada saya, beliau merupakan salah seorang pemimpin Asia yang sangat berkaliber dalam membangunkan Malaysia seperti yang kita lihat hari ini," kongsi pelajar Jurusan Kemanusiaan di Fakulti Kemanusiaan, Undang-Undang dan Ekonomi, Universiti Mie, Jepun.
Disapa dengan jolokan nama Melayu, Salmah, dia kini berada di Malaysia selama setahun untuk mengambil Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu di Fakulti Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

RAKAN-RAKAN banyak membantu Naoko (tengah) mempelajari gamelan.


Pembelajaran asas
Menurut Naoko, cara terbaik untuk mengenali budaya adalah dengan memahami rentak muzik tradisional.
"Ia saling berkait antara satu sama lain. Malah ketika proses pembelajaran secara tidak langsung saya berinteraksi bersama pelajar lain," jelasnya.
Berasal daripada perkataan Jawa, gamel, gamelan menjadi alat muzik penting di beberapa negeri di Indonesia seperti Kepulauan Jawa, Madura, Bali dan Lombok. Ia merupakan himpunan alat muzik seperti gambang, gendang, gong, saron, demong dan keromong.
Ketika ditemui, Naoko baru sahaja menamatkan pembelajaran asas gamelan dalam satu majlis ringkas di UKM. Mempersembahkan beberapa buah lagu dalam rentak gamelan, Naoko berasa puas kerana mampu menguasai salah satu alat muzik tradisi orang Melayu.
"Saya mempelajari tiga jenis alat muzik gamelan iaitu bonang, gambang dan saron. Tetapi, saya hanya mampu menguasai saron kerana ia lebih mudah berbanding peralatan gamelan yang lain," kongsinya yang berkebolehan bermain instrumen tradisional Jepun seperti koto dan seruling shinobue.
"Bunyi yang terhasil daripada gamelan sangat sedap untuk didengar. Menguasai alat muzik ini merupakan satu pencapaian kepada saya," ujar Naoko.
Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Abdul Khalil Hassan merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menulis kembali nota-nota muzik untuk lagu-lagu klasik gamelan seperti Lambang Sari, Geliung, Ketam Renjong, Togok, Gagak Seteru dan lain-lain.
Menurut Abdul Khalil, muzik gamelan pada suatu ketika boleh dimainkan dalam istana Melayu sahaja. Ia tidak dibenarkan dibawa keluar dari istana dan hanya dipersembahkan kepada umum pada acara-acara tertentu.
"Namun atas usaha Tan Sri Dr. Abdul Mubin dan Profesor Madya Dr. Arif Ahmad, gamelan dapat dimainkan di luar istana. Objektifnya adalah untuk mengelakkan ia terus lenyap ditelan peralihan zaman," ujarnya ketika ditemui di Aswara baru-baru ini.
Satu set gamelan baharu telah dibeli di Solo, Indonesia yang menjadi satu-satunya lokasi untuk membuat dan menempa alat muzik itu.
Sejarah gamelan di Tanah Melayu bermula pada pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah di negeri Pahang. Isteri baginda, Tengku Ampuan Wan Fatimah telah mengembangkan muzik gamelan dan diteruskan oleh isteri keduanya iaitu Cik Zubedah.
Set gamelan Pahang itu kemudiannya dibawa ke Istana Maziah Terengganu oleh Tengku Ampuan Mariam iaitu anakanda kepada Sultan Ahmad dan Cik Zubedah selepas perkahwinannya dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada tahun 1913.
Kemangkatan Sultan Sulaiman pada tahun 1942 menyebabkan Mariam berpindah ke Istana Kolam dengan membawa set gamelan bersama dua orang bekas penarinya.

NAOKO mahir bermain muzik tradisional Jepun yang dipanggil kato.


Pengamatan
Ketika bekerja di bawah Kumpulan Budaya Negara (KBN) pada tahun 1974, Abdul Khalil telah belajar bermain gamelan daripada generasi pertama yang dibenarkan bermain alat itu di luar istana iaitu Pak Ayob di Terengganu.
"Proses pengajaran berdasarkan pengamatan cara bermain sahaja kerana mereka tidak pandai menulis nota-nota muzik. Malah, ia jauh lebih lama berbanding nota muzik yang saya buat kerana sebelum ini gamelan dimainkan bersama tarian istana," ujarnya.
Gamelan Melayu, kata Abdul Khalil, merupakan serapan dari Kepulauan Riau dan dibawa masuk ke Pahang pada majlis perkahwinan diraja ketika itu.
Mengulas mengenai perbezaan antara gamelan Melayu dan negeri-negeri Nusantara yang lain, Abdul Khalil berkata, ia dapat dilihat melalui laras nada atau dipanggil slendro pentatonik, manakala gamelan Jawa mempunyai laras pelog.
"Gamelan Bali atau dipanggil Gong Kebyar mempunyai perbezaan yang ketara. Hal ini kerana gamelan merupakan penyatuan budaya, adat dan agama di Bali. Mereka menjadikannya sebagai pengantara kepada tiga unsur tersebut dalam upacara-upacara agama dan persembahan kebudayaan.
"Disebabkan itu, hari ini, Bali terkenal dengan mainan gamelan yang tersendiri. Dari segi pembelajaran pula, ia lebih sukar berbanding jenis gamelan yang lain. Ia dimainkan dengan cara pantas dan hanya dipersembahkan oleh kaum lelaki," ujarnya.
Abdul Khalil memberitahu, untuk mempelajari muzik gamelan, pelajar perlu tangkas menggunakan alat-alat seperti keromong, gambang dan gendang. Kenong, saron dan demong boleh dipelajari dengan mudah selepas menguasai tiga alat utama itu.
Ukiran dan reka bentuk alat gamelan juga mempunyai perbezaan ketara. Gamelan Melayu mempunyai lengkungan ke atas di hujung alat muzik itu.
Lagu khas
Gamelan Jawa pula dibentuk dengan melengkung ke bawah. Selain itu, gamelan Melayu menggunakan motif bunga-bungaan berbanding gamelan Jawa atau Bali mengambil corak haiwan seperti naga dalam kebanyakan hiasan.
Selepas empat tahun bersama KBN, Abdul Khalil berpindah ke Pusat Kebudayaan Universiti Malaya. Sewaktu bersama institusi pengajian tertua negara itu, dia mencipta lagu gamelan khas untuk majlis konvokesyen yang seterusnya menjadi ikutan universiti-universiti lain.

KUMPULANGamelan Slendro meneruskan legasi kegemilangan alat muzik itu.


Percaya muzik tradisi harus dipertahankan, Pusat Kebudayaan UKM di bawah pimpinan Yusuf Budin telah menubuhkan Kumpulan Gamelan Slendro pada tahun 1998. Sehingga kini mereka mempunyai lebih 100 orang ahli yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
"Ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar UKM. Ia turut disertai oleh individu luar seperti pensyarah dari Malaysian Japan Institute, pegawai-pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain," ujar pengurus kumpulan itu, Abdul Mukmin Hamdan.
Pengetahuan muzik gamelan dalam kalangan masyarakat hari ini, menurut Mukmin masih belum jelas apabila sering mengaitkannya dengan alat muzik caklempong yang mempunyai beberapa persamaan terutamanya jenis alat yang digunakan.
"Caklempong dan gamelan mempunyai banyak perbezaan dari segi sejarah dan cara permainannya. Ia tidak boleh disamakan sama sekali," ujarnya.
Orang awam sering tersalah tafsir persamaan bentuk fizikal keromong untuk gamelan dan gereteh pada caklempong. Keromong mempunyai 10 biji gong kecil manakala gereteh terdiri daripada 15 biji.
"Kami masih dalam perbincangan untuk membuka kelas kepada kanak-kanak kerana mendapat permintaan daripada ibu bapa. Ia menunjukkan muzik gamelan mula mendapat perhatian umum," tambahnya.
Kumpulan Gamelan Slendro pernah dijemput untuk mengadakan persembahan di beberapa buah negara seperti Turki, Indonesia dan Australia.

Umrah bersama MASHolidays

Posted: 02 Jul 2013 09:15 PM PDT


SINDIKET penipuan umrah meranapkan harapan para jemaah untuk beribadah di Tanah Suci. - Gambar hiasan


TANAH Suci Mekah pasti menjadi destinasi impian majoriti umat Islam. Biar negara lain indah dengan seni bina agung atau dilimpahi keindahan alam semula jadi, keistimewaan lokasi kiblat seluruh umat Islam itu sukar ditandingi.
Saban tahun, Baitullah dikunjungi jutaan umat Islam yang ingin mengerjakan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji selain umrah semata-mata mencari keredaan Allah. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika banyak ejen umrah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Dalam keghairahan umat Islam menziarahi Tanah Suci itu, ada pula segelintir pihak yang menangguk di air keruh. Jumlah mereka yang tersadai di lapangan terbang akibat ditipu bukan sedikit. Berdasarkan rekod Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), kira-kira 76,000 aduan difailkan di seluruh negara berkaitan kes penipuan perkhidmatan pakej umrah sejak ia ditubuhkan 13 tahun lalu.
Justeru, menjadi tanggungjawab para jemaah untuk mencari agensi yang berdaftar bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket haram.
Penambahbaikan pakej
Prihatin dengan masalah tersebut, cabang pelancongan Penerbangan Malaysia (MAS), MASHolidays tampil dengan pakej Lambaian Umrah bagi memenuhi keperluan para jemaah.
Menurut Pengurus Kanan MASholidays, Fadhilah Mustaffa, orang ramai tidak perlu ragu-ragu dengan pakej yang ditawarkan kerana ia diperkenalkan sejak tahun 1995.
"Meskipun sudah hampir 17 tahun berada dalam pasaran, ramai yang tidak mengetahuinya. Sehubungan itu, kami cuba memperkenalkan kembali pakej tersebut dengan membuat beberapa penambahbaikan seperti pengisian modul oleh mutawif berpengalaman," ujarnya ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Fadhilah, bersempena bulan Ramadan, para jemaah boleh merebut peluang melalui lima penerbangan ke Tanah Suci.
Mereka boleh memilih dua pakej istimewa iaitu Jannah dan Firdaus yang berbeza dari segi pengisian, jumlah hari, jarak hotel dan lain-lain.

FADHILAH memberi jaminan jemaah bakal berpuas hati dengan pakej Lambaian Kaabah yang ditawarkan oleh MASHolidays.


Pakej umrah tersebut berharga serendah RM6,000 untuk Jannah atau RM8,600 bagi Firdaus.
Pakej Firdaus sesuai buat mereka yang ingin meluangkan masa panjang dan pada masa sama mengikuti pengisian modul khas. Antaranya Cinta Allah dan Rasul, Pemantapan Solat dan Kaunseling Keluarga yang akan dikendalikan oleh Ustaz Zawawi Yusoff.
Para jemaah akan berada di Tanah Suci selama 13 hari 11 malam bermula 12 Julai hingga 23 Julai 2013.
Jarak di antara hotel dan masjid menjadi keutamaan kepada sesetengah jemaah terutamanya golongan berusia dan mereka yang mempunyai anak kecil. Pakej Firdaus menekankan aspek ini melalui pemilihan hotel berdekatan atau setara iaitu 100 meter untuk ke Masjid Nabawi di Madinah dan 60 meter dari Masjidil Haram di Mekah.
"Bagi pakej Jannah, jemaah akan ditempatkan di hotel berhampiran dengan jarak 190 meter dari Masjid Nabawi, manakala jarak penginapan ke Masjidilharam ialah 300 meter.
"Para jemaah juga sempat merasai berpuasa di Tanah Suci iaitu selama dua hari di Madinah. Pakej ini bermula dari 2 Julai hingga 12 Julai melalui penerbangan terus ke Jeddah," ujar Fadhilah.
Pakej Jannah lebih padat dan singkat kerana jemaah perlu melakukan yang wajib dan melakukan ziarah ke destinasi-destinasi penting sahaja.
MASHolidays amat mementingkan kebajikan dan keselesaan jemaah dengan mengehad ahli rombongan seramai 40 hingga ke 45 orang sahaja.
"Jumlah rombongan yang terhad memberi peluang kepada jemaah untuk merasai keselesaan sepanjang berada di sana. Rombongan yang terlalu besar menyukarkan mutawif untuk berhubung terus kepada jemaah jika berlaku sebarang kesulitan," tambah Fadhilah.
Selain itu, para jemaah diberikan elaun bagasi sebanyak 30 kilogram dan 10 liter air zamzam bagi seorang jemaah. Soal pemakanan tidak perlu dibimbangkan kerana mereka dihidangkan makan dan minum tiga kali sehari.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines