LIGA BOLASEPAK MALAYSIA |
- Perlawanan Sumbangsih kembali kira mata
- Perak bakal miliki skuad mantap
- Kekal tiga import
- ‘Ben 10’ sah ubah angin
Perlawanan Sumbangsih kembali kira mata Posted: 07 Nov 2013 10:31 PM PST Sumber: Utusan Malaysia PETALING JAYA - Dua perkara yang membuatkan media tertarik dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam iaitu perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah tahun depan kembali dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super dan pasukan kelab dibenar menyertai Piala Presiden 2014. Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, mesyuarat telah bersetuju supaya pertemuan antara Lions XII (juara Liga Super) dan Pahang dalam perlawanan Sumbangsih pada 17 Januari depan dikira sebagai perlawanan Liga Super pertama kedua-dua pasukan. "Ini adalah perubahan baharu dalam perlawanan Sumbangsih, di mana mesyuarat telah bersetuju supaya ia dijadikan perlawanan pertama Liga Super di mana ia tetap berlangsung 90 minit. ''Jika seri setiap pasukan akan mendapat satu mata manakala juara piala ini pula ditentukan menerusi sepakan penalti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Perlawanan Sumbangsih itu menyaksikan Lions XII akan menjadi tuan rumah dan akan diadakan di Stadium Shah Alam 17 Januari ini. Kali terakhir format seperti ini digunakan ialah pada 2011 sebelum ditukar pada 2012 dan 2013 dengan mengasingkan Piala Sultan Ahmad Shah dengan saingan Liga Super. "Kita menggunakan kembali cara ini adalah untuk menimbulkan persaingan kompetitif, jadi FAM akan menguruskan segala pengangkutan dan penginapan bagi kedua-dua pasukan," ujarnya. Selain perlawanan Sumbangsih, FAM juga menukar saingan Piala Presiden di mana sebelum ini mereka tidak membenarkan pasukan kelab untuk menyertainya tetapi bagi musim depan pasukan seperti Sime Darby, PKNS, T-Team dan Felda United boleh mengambil bahagian. "Tarikh tutup permohonan untuk menyertai Piala Presiden ialah pada 30 November dan pada edisi kali ini mereka akan bersaingan dalam dua kumpulan yang dimainkan secara liga dua pusingan. Pasukan di tempat pertama hingga keempat bagi kedua-dua liga akan mara ke saingan suku akhir. Tahun lepas FAM hanya memperkenal sistem satu liga sahaja," katanya. |
Perak bakal miliki skuad mantap Posted: 07 Nov 2013 10:29 PM PST Sumber: Utusan Malaysia IPOH - Kapten skuad Myanmar yang muncul naib juara Kejohanan Pestabola Merdeka di Kuantan, September lalu, Kyaw Zayar Win serta pemain antarabangsa Syria dan Ghana bakal mengisi kuota import skuad Perak untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Pengurus baharu skuad Seladang, Datuk Azhar Ahmad berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sedang mengadakan rundingan dengan ejen pemain tersebut sebelum menandatangani kontrak. Azhar, yang menggantikan Khairul Azwan Harun berkata, Perak juga sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain Pahang, Hafiz Kamal. Menurut Azhar, jika semuanya berjalan lancar, mereka merupakan antara pemain yang bakal memantapkan skuad Perak yang kehilangan lebih daripada separuh pemainnya menyertai pasukan lain. "Hafiz merupakan pemain kelahiran Perak dan kita sedang mengadakan rundingan dengan majikannya untuk membawa dia beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya. "Selain pemain import, skuad Perak akan menggunakan khidmat pemain skuad Piala Presiden, juga pemain kelahiran Perak yang akan dipilih melalui sesi pemilihan terbuka yang sedang dijalankan sekarang. "Kita mahukan khidmat pemain anak negeri yang 'ada jiwa dan ada rasa kasih kepada Perak' demi memastikan prestasi pasukan sentiasa pada tahap terbaik," katanya kepada pemberita pada sesi pemilihan terbuka pemain di Stadium Perak di sini, semalam. Sementara itu, walaupun skuad Seladang terpalit dengan dakwaan rasuah baru-baru ini, ia langsung tidak menjejaskan minat pemain untuk mewakili skuad Perak. Malah, sesi pemilihan terbuka selama tiga hari yang bermula kelmarin mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 200 orang mencuba nasib pada hari pertama manakala 300 lagi hadir semalam. Sebelum ini, PAFA mengumumkan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias dan Abdul Hadi Yahya antara 12 pemain yang meninggalkan skuad itu. Lain-lain pemain utama yang mencari haluan baharu termasuk ketua pasukan, Shahrulnizam Mustafa dan S. Chanturu. Dua import mereka, Paulo Rangel dan Rafael Souza juga tidak lagi bersama skuad Seladang dan hanya 10 pemain daripada skuad musim ini dikekalkan. PAFA juga mengumumkan bekas pemain Perak, Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menamatkan kontrak lebih awal bersama Perak, baru-baru ini. © Utusan Melayu (M) Bhd |
Posted: 07 Nov 2013 06:41 PM PST Sumber: Harian metro Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan mengekalkan kuota tiga pemain import seperti yang dipersetujui sebelum ini meskipun ada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mengharapkan ada lagi penambahan pemain import berikutan kenaikan gaji pemain tempatan. Jika musim lalu badan induk itu hanya membenarkan pengambilan dua pemain import bagi pasukan Liga Super dan Perdana namun kuota itu berubah dengan penambahan seorang lagi pemain import dari benua Asia selepas mendapat kelulusan Exco FAM April lalu. Biarpun ada desas-desus mengenai kuota 2+1 itu akan ditambah lagi menjelang tarikh tutup pendaftaran pemain import pada 4 Disember ini, namun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Datuk Seri Afandi Hamzah menyatakan tiada keperluan buat masa ini untuk mereka membuat perubahan. "Kita sudah membuat penambahan daripada dua pemain import kepada tiga pemain import musim depan menerusi kuota 2+1 dengan seorang lagi pemain import itu mestilah dari benua Asia. Manakala untuk pasukan yang akan beraksi dalam Piala AFC akan kekal dengan kuota 3+1 pemain import. "Keputusan yang kita ambil ini sudah mengambil kira semua aspek dan setakat ini kita berpegang kepada kuota ini namun kita tidak akan menjangkakan sebarang perubahan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT semalam. Beliau berkata, semua pasukan mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar pemain import pada 4 Disember ini manakala pemain tempatan pada 17 Disember. Semua pasukan Liga-M mempunyai masa lebih panjang bagi pendaftaran kedua pemain musim depan apabila jendela perpindahan pemain dibuka pada 23 Mac hingga 22 April 2014. Sementara itu FAM membuat 'pusingan U' apabila membenarkan semula pasukan berstatus kelab menghantar pasukan bertanding dalam kejohanan Piala Presiden musim depan selepas mengehadkan penyertaan kepada 16 pasukan negeri dan dua dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar musim lalu. |
Posted: 07 Nov 2013 06:40 PM PST Sumber: Harian Metro Kota Bharu: "Saya akui pernah berunding dengan Johor Darul Takzim (DT), namun pada masa sama saya masih menyimpan hasrat untuk bersama TRW kerana mahu menebus kekecewaan gagal mempertahankan Piala Malaysia tahun depan. "Bagaimanapun, saya terkejut apabila Tan Sri (Annuar Musa) menyenaraikan nama pemain yang akan berpindah termasuk nama saya dalam Facebooknya meskipun pada waktu itu saya belum membuat keputusan. Tiada apa yang dapat saya lakukan sekarang selain akan fokus dengan Johor DT bermula musim depan," kata pemain sayap Kelantan, Norfarhan Muhammad. Norfarhan atau lebih dikenali sebagai 'Ben 10' mengesahkan akan berhijrah ke skuad Harimau Selatan tahun depan selepas Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Annuar menyenaraikan nama 12 pemain TRW yang berhijrah tahun depan di laman Facebooknya. Selain Norfarhan, nama lain yang tersenarai adalah Indra Putra Mahayuddin (gambar), Daudsu Jamaluddin, Syakir Shaari, Azizi Mat Rose, S Subramaniam, Rizal Fahmi Rosid, Izuan Salahuddin, Faiz Subri, Zairo Anuar Zailani, Haris Safuan Kamal dan K Nanthakumar. Menurutnya, hasrat untuk kekal bersama TRW hampir menjadi kenyataan kerana pada awalnya Annuar bersetuju dengan permintaannya namun terkilan apabila bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu menarik balik apa yang dipersetujui kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Katanya, dia mungkin bersama Johor DT untuk tempoh satu hingga dua tahun dan tidak menafikan bersedia kembali bersama TRW jika diberi peluang. "Banyak kenangan saya bersama TRW, malah saya dapat menjulang semua trofi ketika bersama pasukan ini. Jika ada peluang, saya mahu kembali semula bersama TRW. Sementara itu, Indra Putra mengesahkan dia berhijrah ke FELDA United, tahun depan. Katanya, dia solat istikharah memohon petunjuk untuk membuat pilihan terbaik demi masa depannya dan akhirnya membuat keputusan itu. |
You are subscribed to email updates from LIGA BOLASEPAK MALAYSIA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |